Search This Blog

Tuesday, December 7, 2010

Pengasas Wikileaks ditahan


07/12/2010 6:51pm

LONDON 7 Dis. - Pengasas Wikileaks, Julian Assange, ditahan polis Britain selepas satu waran tangkap Eropah dikeluarkan Sweden berhubung dakwaan jenayah seks termasuk rogol, lapor London Metropolitan Police, hari ini.
Pendakwa raya Sweden mengeluarkan arahan menahan rakyat Australia berusia 39 tahun itu yang dikehendaki atas dakwaan melakukan jenayah seksual, tuduhan yang dinafikannya.
Polis berkata, Assange yang bertanggungjawab mendedahkan dokumen diplomatik sulit Amerika Syarikat (AS), ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi waktu tempatan (5.30 petang waktu Malaysia) semasa hadir ke sebuah balai polis di London di bawah waran tangkap Eropah.
“Dia didakwa oleh pihak berkuasa Sweden atas satu tuduhan paksaan yang menyalahi undang-undang, dua dakwaan pencabulan seksual dan satu dakwaan rogol yang semuanya disyaki dilakukan pada Ogos lalu,” jelas polis London dalam satu kenyataan.
Assange dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret City of Westminster di sini, hari ini juga. - Reuters

Penjual roti maut





SUNGAI LIMAU – Seorang penjual roti warganegara Pakistan maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kilometer 50 Jalan Teluk Intan-Klang di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, lelaki dikenali sebagai Haq, 56, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala setelah motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah MPV yang datang dari arah Sungai Besar menghala ke Sekinchan. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, mangsa dipercayai keluar dari arah satu simpang berhampiran surau Sungai Limau menunggang motosikal Honda EX5 dengan membawa barangan jualan berupa roti dan sedikit buah-buahan. 

Tiba di tempat kejadian, menurutnya, mangsa yang dipercayai tinggal bersama rakan-rakan di Parit 8 Sungai Leman cuba untuk menukar laluan ke lorong laju tanpa menyedari kehadiran MPV Citra yang dipandu seorang lelaki. 

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan, kenderaannya remuk di bahagian hadapan sebelah kiri,” katanya. 

Daripada maklumat rakan Haq yang datang ke tempat kejadian, mangsa dikatakan tinggal di negara ini sejak hampir 10 tahun lalu dan menjalankan perniagaan menjual roti dengan menunggang motosikal. 

Pemandu MPV, Nasri Sarip, 40, berkata, dia tidak sempat untuk mengelak apabila motosikal yang ditunggangi mangsa ketika itu berada di laluan kiri cuba untuk menukar haluan ke kanan secara tiba-tiba. 

Dia yang dalam perjalanan ke Rawang berkata, menyedari motosikal itu cubamenghimpit kenderaannya di sisi kiri menyebabkan perlanggaran berlaku. 

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah untuk bedah siasat.

Dakwa jadi mangsa publisiti





BAGAN DATOH – Penduduk di kawasan Bumi Hijau, Simpang Empat di sini, mendakwa masalah status tanah yang dihadapi mereka dipergunakan oleh seorang ahli politik untuk mendapatkan publisiti. 

Penduduk, R Sellamah, 65, berkata, dia menerima panggilan daripada ahli politik itu yang mengatakan bahawa beliau boleh menyelesaikan masalah tanah dengan menghadirkan diri ke Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). 

Menurutnya, selepas itu, dia ke pejabat ADUN berkenaan, satu perjumpaan dijalankan oleh ADUN itu bersama-sama tujuh keluarga lain di Bumi Hijau yang mempunyai masalah dengan status tanah. 

“Pada mula saya menyangka perbincangan itu mampu menyelesaikan masalah kami, namun tiada apa-apa berlaku melainkan hanya berbincang,” katanya. 

Sellamah berkata, kehadiran mereka dimanipulasikan dengan menyuruh mengangkat sepanduk yang ditulis oleh pihak Pejabat ADUN itu. 

“Saya tidak tahu menahu apabila ADUN dan wakilnya menyuruh kami menunjukkan kad yang ditulis oleh mereka kerana saya buta huruf serta mengikut sahaja. 

“Perbuatan itu amat dikesali kerana mereka menggunakan saya dan penduduk lain untuk mendapatkan publisiti,” katanya. 

Katanya, sejak November lalu, masalah mereka sudah mendapat perhatian Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Zahid Hamdi dan akan selesai tidak lama lagi. 

Manakala, V Palanimah, 51, berkata, dia turut berasa kesal dengan tindakan ahli politik itu yang mempergunakan mereka untuk mendapatkan perhatian daripada pihak tertentu. 

Menurutnya, semasa perjumpaan, dia diarahkan memegang kad yang ditulis oleh pihak Pejabat ADUN itu dan saya tidak tahu apa yang sedang berlaku serta hanya mengikut sahaja. 

“Namun begitu saya yakin masalah ini dapat diselesaikan oleh Ahli Parlimen Bagan Datoh dalam masa terdekat ini,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Permuafakatan Masyarakat India Bagan Datoh (Permai), R Arjasudas berkata, pihaknya sudah membawa perkara itu kepada Dr Zahid untuk tindakan selanjutnya pada 10 November lalu. 

Menurutnya, kini, permohonan itu juga sedang diproses oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah. 

Arjasudas berkata, bagaimanapun beliau kesal dengan tindakan ADUN itu kerana mempergunakan penduduk di kawasan Bumi Hijau untuk mendapatkan perhatian. 

“Masalah ini akan selesai dalam masa terdekat. Tetapi saya hairan kenapa baru sekarang mereka mahu masuk campur, mengapa tidak dua tahun lalu? 

“ADUN itu boleh membawa perkara ini dua tahun lalu kenapa baru sekarang dia mahu sibuk campur tangan dalam masalah ini, padahal kami yang bertungkus-lumus membantu lapan keluarga di situ,” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya dan wakil Ahli Parlimen Bagan Datoh juga sudah berjumpa dengan Pegawai Daerah pada hari ini (semalam) untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai permohonan penduduk di Bumi Hijau. 

“Kami tidak mahu membesarkan hal ini sehingga berjaya mendapatkan status bagi penduduk di kawasan itu,” katanya.

Lelaki maut dipijak gajah ketika cari buah keranji

GUA MUSANG: Seorang lelaki maut dipijak gajah liar manakala empat rakannya terselamat dalam kejadian dikejar sekumpulan gajah ketika mereka mencari buah keranji di Hutan Bring, dekat Pos Pasik, di sini, petang semalam.
Mangsa, Muhamad Adnan Iberahim, 26, dari Kampung Bertam Lama, Gua Musang ditemui meninggal dunia di tempat kejadian oleh rakan-rakannya itu dipercayai dipijak gajah liar terbabit di bahagian kepala dan badan. Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, berkata lima sahabat itu keluar mencari buah keranji pada jam 8 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda. "Sebaik sampai di hutan berkenaan mereka berjalan kaki dalam kawasan hutan untuk mencari pokok keranji lalu terserempak dengan sekumpulan gajah yang dikatakan mengejar mereka. "Dalam kejadian dikejar, masing-masing lari menyelamatkan diri sebelum mereka menyedari kehilangan Muhamad Adnan,” katanya di sini, hari ini. Saiful Bahari berkata rakan-rakannya itu kemudian berpatah balik mencari mangsa selepas kumpulan gajah itu beredar dari kawasan berkenaan. "Mereka menemui mangsa dalam keadaan cedera parah serta sudah meninggal dunia sebelum membawa mayat itu ke rumahnya sebelum membuat laporan polis," katanya. - Bernama

Cubaan seludup gula pasir dipatahkan


07/12/2010 3:00pm

TAWAU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 160 kilogram gula pasir dan 34 kilogram minyak masak dalam satu operasi semalam.
Ketua Penguatkuasa APMM Tawau, Komander (Maritim) Amran Daud berkata, barangan berkenaan dirampas daripada sebuah bot jongkong yang dalam perjalanan dari Tawau ke Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik kira-kira pukul 10.25 pagi.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, dua hari lepas pihaknya merampas 200 kg gula pasir dan 40 kg minyak masak yang cuba diseludup keluar menerusi feri penumpang ke Nunukan, Indonesia kira-kira pukul 4.15 petang.
Kedua-dua rampasan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan gula pasir yang dirampas sepanjang tahun ini meningkat kepada 5,533 kg dan minyak masak pula sebanyak 5,860 kg, katanya. - Bernama

Bekas pelajar agama hilang


07/12/2010 3:13pm

TUMPAT - Selepas berulang alik antara rumah kedua ibu bapanya yang bercerai 10 tahun lalu, akhirnya seorang bekas pelajar perempuan sekolah agama di sini menghilangkan diri sejak dua hari lalu.
Bapa pelajar berkenaan, Kamaruddin Hassan, 46, berkata, anaknya Nurul Shaziena Kamaruddin, 18, ada memaklumkan kepadanya untuk pergi ke rumah ibunya di Pasir Tumboh, Kota Bharu, bagaimanapun anaknya gagal dihubungi selepas itu.
Katanya, sudah menjadi kebiasaan untuk anaknya yang mesra dipanggil Kak Ngah itu berulang alik dari rumahnya di Padang Rokna, Wakaf Baharu ke rumah bekas isterinya, Rola Rina, 37, selepas mereka bercerai kira-kira 10 tahun lalu.
"Kak Ngah ada memaklumkan kepada saya melalui telefon untuk pergi ke rumah ibunya pada Ahad lalu, selepas dia keluar rumah kira-kira pukul 10 pagi hari yang sama tetapi apabila saya cuba menghubunginya keesokan hari, (panggilan) tidak berjawab menyebabkan saya merasa tidak sedap hati.
Selepas menghubungi bekas isterinya, beliau dimaklumkan Nurul Shaziena tidak datang ke sana sejak dua hari lalu dan berusaha beberapa kali menghubungi anaknya sebelum mengambil keputusan melaporkan perkara itu di Balai Polis Wakaf Baharu tengah hari ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau menolak kemungkinan anaknya sengaja meninggalkan rumahnya memandangkan tiada sebarang perselisihan faham atau perkara yang menjadi punca untuk Nurul Shaziena berbuat begitu kerana anaknya akan memaklumkannya jika hendak keluar berjalan-jalan, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritenden Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan itu sambil meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supayamenghubungi balai Polis Wakaf Baharu di talian 09-7196222 atau bapa mangsa di talian 014-5209617 dan 012-9631973. - Bernama

2 cedera lelaki lepaskan 11 tembakan


07/12/2010 4:14pm

BATU GAJAH - Seorang lelaki melepaskan 11 das tembakan kearah tiga lelaki di dalam sebuah kereta di Taman Sri Wangsa, di sini malam tadi, mengakibatkan dua daripada lelaki itu cedera.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, yang cedera dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu ialah pemandu kereta K.Raja, 31, yang berasal dari Taman Sri Wangsa, dan rakannya M.Paramsivan, 24, yang berasal dari Taman Desa Ria, Petaling Jaya, Selangor.
"Seorang lagi lelaki berumur lingkungan 20-an yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kejadian berlaku semasa kereta yang dinaiki tiga lelaki itu dihampiri oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha berwarna gelap.
Katanya, seorang daripada suspek yang bersenjatakan sepucuk pistol kemudiannya melepaskan sebelas das tembakan ke arah ketiga-tiga lelaki di dalam kereta itu sebelum melarikan diri. - Bernama

Putus tangan akibat pecah rumah orang


07/12/2010 4:38pm

BESUT - Seorang lelaki putus tangan akibat ditetak ketika cuba memecah masuk rumah seorang penternak ikan kolam di Kampung Pengkalan Gaduh, Limbongan dekat sini awal pagi tadi.
Tangan kiri pemuda yang berusia 28 tahun itu putus akibat dilibas dengan parang oleh tuan rumah berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritenden Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, kejadian itu berlaku apabila pemilik rumah berumur 49 tahun itu tersedar daripada tidurnya dan ternampak bayangan seseorang yang cuba memasuki rumahnya melalui tingkap.
"Dengan bersenjatakan sebilah parang, secara senyap-senyap, tuan rumah itu keluar daripada rumahnya dan menghampiri suspek yang sedang leka mengumpil tingkap rumah berkenaan dengan sebatang besi.
"Suspek yang terkejut dengan kehadiran tumah rumah itu cuba menyerang dengan besi berkenaan, namun tangan kiri suspek sempat dilibas dengan parang oleh tuan rumah berkenaan," katanya di tempat kejadian.
Suspek yang didapati berasal dari Setiu terus melarikan diri manakala tangannya yang terputus dari paras pergelangan tangan tertinggal di tempat kejadian. - Bernama

3 lelaki Mynmar mati disembelih


07/12/2010 5:00pm

GEORGETOWN - Tiga lelaki warga Myanmar ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kesan kelar dan tikaman pada badan mereka di Flat Menara 1C, Lorong Semarak Api 2, Bandar Baru, Ayer Itam di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten KomisionerGan Kong Meng berkata, siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga mangsa sebelum itu terlibat dalam satu pergaduhan yang berlaku kira-kira pukul 9.25 pagi tadi.
"Mangsa ditemui mati di dua lokasi berasingan dalam rumah yang telah diubah suai oleh pihak pengurusan pangsapuri berkenaan, Dua mangsa ditemui di bahagian dapur dan seorang lagi di bilik tidur.
"Dipercayai salah seorang daripada mangsa bekerja di bahagian penyelenggaraan pangsapuri berkenaan. Ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 20an," katanya.
Beliau berkata, polis turut menemui dua bilah pisau iaitu pisau pemotong sayur dan pisau pemotong daging yang mempunyai kesan darah berhampiran dengan mangsa di tempat kejadian. - Bernama

Warga emas ditemui mati dibunuh


07/12/2010 4:35pm

PASIR MAS 7 Dis. – Seorang warga emas, Yeap Seok Pen, 60, ditemui mati dipercayai dibunuh di rumahnya di Kampung Lubuk Tapah, kira-kira pukul 2 petang ini.
Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan bersama seorang pembantu rumahnya iaitu warga Indonesia.
Katanya, bagaimanapun ketika mayat mangsa ditemui wanita berkenaan tidak berada di situ. – Utusan

4 rakyat Malaysia edar dadah ditahan


07/12/2010 5:16pm

CHENNAI 7 Dis. - Polis merampas dadah 27.5 kilogram dadah jenis ephedrine yang disembunyikan dalam pakaian dalam wanita dan menahan empat lelaki Malaysia bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan menyeludup dadah itu keluar dari India, di sini.
Rakyat Malaysia itu bersama seorang rakyat India ditahan oleh Biro Kawalan Narkotik (NCB), agensi penguatkuasaan anti dadah elit India, di sini pada hari Ahad lepas berdasarkan maklumat awam.
"Kami mendapat beberapa maklumat penting dan menyiasatnya. Kami syak mereka mempunyai kaitan dengan pembekal dadah lebih besar di Malaysia," kata pengarah zon selatan NCB Davidson Devasirvatham kepada Bernama hari ini.
Mereka yang ditahan bagi membantu siasatan ialah M. Muruganandham, 52, K. Subramaniam, 46, M. Mahendran, 40, dan P.Sathyaseelan, 34, semuanya dipercayai terbabit dalam bidang perniagaan kecil-kecilan.
Rakyat India itu pula dikenal pasti sebagai Rangasamy Gunasekaran, 33, yang berasal dari Tanjavur di Tamil Nadu, yang disyaki menjadi orang hubungan antara kumpulan pengedar dadah Malaysia dan rangkaian dadah di Chennai.
Semua mereka ditahan di lapangan terbang Antarabangsa Anna semasa menunggu untuk menaiki penerbangan Chennai-Kuala Lumpur, sejurus selepas mereka membawa bagasi untuk pemeriksaan. - Bernama

Patung Barbie boleh disalahguna hasil pornografi kanak-kanak: FBI





2010/12/07

LOS ANGELES: FBI mengeluarkan "amaran jenayah siber" untuk patung baru Barbie yang dilengkapi kamera video kecil tersembunyi di bahagian dada, menyatakan mainan itu boleh disalahguna untuk menghasilkan pornografi kanak-kanak.

Laporan yang dikeluarkan pejabat lapangan FBI Sacramento pada 30 November lalu dengan tajuk "'Gadis Video' Barbie Kemungkinan Satu Kaedah Produksi Pornografi Kanak-kanak" itu memberi amaran kamera patung mainan berkenaan merakam video sehingga 30 minit yang boleh dimuat turun ke komputer.Amaran itu mendapat liputan media selepas dihantar kepada beberapa oraganisasi berita secara tidak sengaja.Seorang jurucakap wanita FBI cuba mengawal keadaan dengan menyatakan laporan itu adalah untuk kegunaan penguatkuasa undang-undang.

“Tiada laporan mengenai insiden patung mainan ini digunakan untuk perkara lain selain tujuan asalnya," 

“Sebagai penjelasan, tujuan amaran itu adalah untuk memastikan agensi penguatkuasa sedar bahawa patung mainan itu, sama seperti peralatan dengan keupayaan merakam video, boleh mengandungi bukti dan tidak seharusnya diabaikan ketika sesuatu pemeriksaan," kata jurucakap wanita terbabit yang berpangkalan di Washington, Jenny Shearer, dalam satu kenyataan.

Patung Gadis Video Barbie buatan Mattel Inc dan mula dipasarkan Julai lalu pada harga AS$49.99 itu mengandungi kamera video kecil di bahagian dada yang diselindungi dalam satu loket. 
Rakaman kamera video itu boleh ditonton pada layar LCD pada bahagian belakang patung atau dimuat turun ke komputer.

Amaran FBI itu menyatakan tiada tanda-tanda rakam video itu boleh disalurkan terus ke internet. - Reuters

Kemalangan maut di Port Dickson

ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan mayat mangsa dalam kereta mereka yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah trak tentera di Jalan Pantai, Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, 5 Dis. Lima sekeluarga maut dalam kemalangan tersebut-utusan





PORT DICKSON: “Saya sebak melihat keadaan mayat mangsa yang kepala terbelah dan putus terhimpit dalam kereta yang remuk teruk,” kata seorang kontraktor yang juga saksi terawal kemalangan maut mengorbankan lima sekeluarga di Kilometer 19.6 Jalan Pantai, Pasir Panjang, dekat sini, semalam.
Hardi Jamu, 37, berkata dia melihat lima mangsa yang berada dalam kereta berkenaan tidak bergerak dan percaya mereka sudah meninggal dunia akibat parah.
“Saya berkejar mendapatkan beberapa lagi mangsa dalam kenderaan lain untuk memberi bantuan selain cuba menahan kenderaan yang lalu lalang bagi mengelak mereka terbabit kemalangan ngeri itu.

“Keadaan kelam-kabut dan orang ramai yang berada di kawasan sekitar serta pengguna jalan raya lain datang memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, lima sekeluarga yang menaiki Proton Wira dari Port Dickson maut selepas kenderaan dinaiki berlanggar sebuah trak tentera.

Mereka yang maut ialah Mohd Said Lakan, 58, isterinya, Rosnani Buyong, 50, anak mereka, Nordiana, 30, menantunya, Saipol Naaim Mat Dan, 36, (pemandu kereta) dan cucunya, Muhammad Harith Firdaus Saipol Naaim berusia empat tahun.

Kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah kereta yang datang dari Port Dickson menghala Linggi memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh belakang trak tentera yang menuju Port Dickson menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh Proton Wira dinaiki lima sekeluarga berkenaan.

Dua lagi kenderaan terbabit iaitu sebuah Perodua Myvi dan Kia Spectra. Empat mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak dan mereka dikejarkan ke Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Menceritakan kejadian itu, Hardi berkata, ketika kejadian, dia berada di simpang di depan lokasi nahas itu untuk keluar membeli barangan.

Katanya, tiba-tiba dia terdengar dentuman kuat sebelum melihat sebuah kereta melanggar sisi belakang trak tentera menyebabkannya hilang kawalan.

“Trak tentera itu kemudian terlanggar Proton Wira dan terbalik sambil menyeret Proton Wira itu ke tepi jalan.

“Sejurus kemudian saya terdengar beberapa lagi dentuman dipercayai akibat kemalangan susulan di belakang trak tentera berkenaan,” katanya.

Menurutnya, selepas melihat keadaan pemandu dan penumpang Proton Wira berkenaan, dia segera pergi ke beberapa lagi kenderaan yang turut terbabit dalam kemalangan untuk memberikan bantuan.

“Saya dan beberapa pengguna lain serta orang ramai yang berada di tempat kejadian memberikan bantuan kepada mangsa yang cedera sebelum mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

“Pasukan bomba dan polis yang dihubungi datang ke lokasi tidak lama selepas kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit,” katanya.

Hardi berkata, pemandu dan beberapa anggota tentera dalam trak tentera itu, bagaimanapun tidak cedera serius.

Bantah berjimat cermat

SEKUMPULAN remaja bertempur dengan polis di Athen, Greece, awal pagi ini. Sekurang-kurangnya tiga orang cedera apabila ribuan penunjuk perasaan berarak di jalan raya menuju ke Athen bagi membantah tindakan berjimat kerajaan berikutan krisis hutang. - Foto Reuters


Gadis lari ikut kekasih ke Sabah tapi akhirnya jadi 'amah'




KOTA KINABALU: Seorang remaja yang mabuk cinta dari Rawang lari dari rumah mengikut teman lelakinya ke Sabah.
Tetapi tanpa diduga dia mendapati dirinya menjadi 'amah' kepada keluarga pemuda itu.Remaja berusia 16 tahun yang meninggalkan keluarganya mengikuti teman lelaki berusia 24 tahun itu ke Kota Kinabalu menyedari kesilapannya apabila pemuda tersebut menjual telefon bimbit dan cincin emasnya.Malah pemuda itu menjadikan gadis itu pembantu rumah di rumah keluarga angkatnya di Kelombong dekat sini sejak 9 November lalu.Gadis itu jatuh cinta kepada lelaki itu, yang dikenalinya hanya beberapa bulan yang lalu, selepas mereka bekerja di syarikat katering yang sama.Gadis itu lari dari rumah teman lelakinya itu baru-baru ini, lalu membuat laporan polis di Balai Polis Menggatal dan meminta bantuan kembali semula ke pangkuan keluarganya di Selangor.Gadis itu, yang termakan kata-kata manis pemuda itu, telah mengikutnya ke Sabah, dan meninggalkan rumah hanya sehelai sepinggang.Dia ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat tambang murah AirAsia beberapa hari selepas lari dari rumah.Gadis itu dipercayai seorang pelajar tercicir.Pasangan remaja itu memutuskan untuk lari selepas ibu gadis menentang hubungan mereka.Polis Sabah menahan pemuda itu dan menghubungi polis Rawang, tempat ibu gadis itu membuat laporan anaknya hilang.Sabtu lalu polis menghantar gadis yang ketakutan itu ke rumah tumpangan Bukit Harapan sementara menunggu usaha menghantarnya pulang dan menjalankan siasatan kemungkinan dia diculik.Pengasuh Bukit Harapan, Cik Anne Keyworth, menyifatkan gadis itu sebagai bijak.'Mujur dia ada akal untuk pergi ke balai polis untuk mendapatkan bantuan dan tidak merayau tak tentu arah dan bercampur gaul dengan budak jahat,' katanya. -- The Star.

1,000 dijel kerana tonton TV Korea S




SEOUL: Lebih 1,000 rakyat Korea Utara dipenjara kerana menonton secara senyap-senyap filem dan rancangan televisyen Korean Selatan, sedang Pyongyang berusaha membendung budaya asing, kata sebuah kumpulan berpaling tadah berpangkalan di Seoul, semalam.
Perpaduan Intelektual Korea Utara (NKIS) berkata sekitar 1,200 penduduk kini ditahan di penjara bandar Kaechon, barat laut negara itu, kerana kesalahan tersebut.Ia menukil satu sumber di penjara itu berkata penjara tersebut menampung 3,000 banduan.Akses kepada budaya pop asing dilarang keras bagi rakyat jelata di Korea Utara. Pesalah dikenakan denda berat atau hukuman penjara.Tetapi cakera video digital (DVD) dan cakera padat (CD) muzik yang diseludup masuk dari China, sekutu rapat dan rakan kongsi utama Pyongyang, menjadikan budaya pop Korea Selatan semakin popular, kata kumpulan itu menerusi laman web mereka.'Pegawai penjara berkata ini kali pertama jumlah mereka yang dipenjara semata-mata kerana meninton drama TV Korea Selatan melebihi 1,000 orang.'Kini penjara penuh sesak dengan tahanan serupa itu,' kata NKIS.Dengan menukil satu sumber lain, NKIS berkata Pyongyang telah membentuk satu pasukan polis khas pada Januari lalu bagi menumpaskan mereka yang 'semangatnya sudah rosak'.Mereka yang ditangkap selalunya dipenjara antara dua hingga lima tahun dan mendapat layanan lebih buruk daripada pesalah lain.Laporan berita dan rakyat Korea Utara yang berpaling tadah berkata meskipun tersisih dan dikawal ketat, Korea Utara tidak terlepas daripada pengaruh budaya pop Korea Selatan. -- AFP.

3 minit kebas motosikal



Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2010/12/07

Dua geng dianggotai pelajar terbabit kes curi sejak 2 tahun 

KANGAR: Hanya tiga hingga lima minit – itulah tempoh maksimum diperlukan seorang pencuri untuk melarikan sebuah motosikal, terutama jenis Honda, lebih-lebih lagi membabitkan model EX-5.Malah, tempoh sebenar yang diperlukan terutama oleh seorang pencuri yang dianggap mahir dipercayai jauh lebih pantas dan dikatakan boleh dilakukan dalam tempoh kurang tiga minit, lebih-lebih lagi jika motosikal itu tidak dilengkapi kunci kedua.Ia didedahkan sendiri Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Deputi Superintendan Lee Swee Meng, susulan kejayaan pihaknya menggagalkan operasi dua geng curi motosikal dianggotai majoriti pelajar sekolah berusia 16 tahun dari sekitar Kodiang dekat sini, beberapa hari lalu. 

Kumpulan itu disyaki terbabit sekurang-kurangnya 74 kes curi motosikal, majoritinya jenis Honda Ex-5 bukan saja di Perlis, malah turut membabitkan kawasan sekitar Kedah dan Pulau Pinang, sejak lebih dua tahun lalu. 

Mengulas lanjut taktik mereka, Lee berkata mereka akan menendang tayar depan motosikal untuk mematahkan kunci kedua pada tengkuk motosikal, sebelum membuka bahagian lampu hadapan pada ruang muka pemegang motosikal yang kebiasaannya hanya ditutupi satu atau dua skru kecil. 

“Selepas itu, suis motosikal sudah boleh dihidupkan melalui sambungan wayar pada ruang mukanya, sebelum dilarikan yang keseluruhan prosesnya memakan masa kurang tiga minit," katanya. 
Dalam kejadian jam 2 pagi pada 1 Disember lalu, dua remaja berusia 16 tahun ditahan selepas dikesan cuba mencuri motosikal di sekitar kawasan pasar raya di sini, sebelum disusuli penahanan dua lagi suspek kira-kira sejam setengah kemudian. 

Hasil siasatan, semua suspek yang masih bersekolah dan berasal dari Kodiang, termasuk dalang utamanya mengaku terbabit sekurang-kurang 30 kes curi motosikal sejak dua tahun lalu. 

Semua mereka mengaku mencuri motosikal terbabit di sekitar negeri ini, termasuk kawasan Changloon, Jitra dan Alor Setar untuk mendapatkan alat ganti, manakala rangkanya dibuang di tiga lokasi berbeza di sepanjang Sungai Sentap dekat sini. 

Selain empat remaja itu, Lee berkata pihaknya turut berjaya mematahkan kegiatan satu lagi kumpulan yang turut dianggotai majoriti pelajar sekolah berusia 16 tahun dan dipercayai mempunyai kaitan dengan geng pertama. 

"Semua empat remaja serta seorang lelaki berusia 21 tahun itu ditahan sehari kemudian dan hasil siasatan mendapati mereka terbabit sekurang-kurangnya 44 kes curi motosikal majoritinya membabitkan Honda EX-5 di sekitar Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya. 

Lee berkata, pihaknya yakin kaedah yang mudah dan pantas untuk melarikan motosikal antara faktor dua geng itu memilih motosikal model berkenaan sebagai sasaran mereka. 

"Buat masa ini, kita boleh kaitkan 74 kes curi membabitkan kedua-dua geng itu. 
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Rakan Cop Perlis di talian 04-9711999 untuk membantu siasatan,” katanya. 

dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya. 

Isu dua Korea dikhuatiri gagal dikawal




2010/12/07

Hu Jintao (kiri) dan Barack Obama.
Hu Jintao (kiri) dan Barack Obama.
Presiden China beri amaran kepada Obama mengenai konflik menerusi panggilan telefon 

BEIJING: Presiden China, Hu Jintao memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam bahawa ketegangan di semenanjung Korea mungkin tidak boleh dikawal jika tidak ditangani dengan sempurna.Pemimpin China itu yang negaranya mempunyai pengaruh besar ke atas Korea Utara berkata demikian dalam perbualan telefon dengan Obama semalam, pertama di antara kedua-dua pemimpin itu selepas Pyongyang membedil pulau Korea Selatan hampir dua minggu lalu mencetuskan kebimbangan perang besar-besaran.Penganalisis berkata kenyataan Hu itu membayangkan keinginan beliau untuk menyaksikan isu diselesaikan segera dan juga untuk menyangkal dakwaan Beijing memihak kepada Pyongyang. 

Rumah Putih berkata Obama dalam perbualan telefon itu menggesa Beijing berkerja sama dengan Washington dan negara lain untuk memberitahu Korea Utara bahawa serangan provokatifnya itu tidak boleh diterima. 

Perbualan telefon Obama dan Hu itu dibuat ketika Korea Selatan memulakan latihan bedilan tentera laut di perairannya. 

“Keadaan sekarang terutamanya, jika tidak ditangani dengan baik, ketegangan mungkin memuncak di semenanjung Korea atau menjadi tidak boleh dikawal dan ini menjejaskan kepentingan semua pihak,” Hu dipetik sebagai berkata oleh laman web kementerian luar China. 
“Tugas utama sekarang ialah untuk menangani keadaan ini dengan tenang,” katanya. 

China didesak Amerika Syarikat dan sekutunya untuk lebih berusaha membendung sekutunya, Korea Utara yang membedil pulau Yeonpyeong yang membunuh empat orang, termasuk dua orang awam. 

Hu berkata China menyatakan kekesalan terhadap kematian berkenaan. Beijing enggan menyalahkan sesiapa berhubung insiden itu. 

“Kita perlu meredakan ketegangan bukan memburukkan keadaan lagi; mengadakan dialog, bukan konfrontasi, damai dan bukan perang,” kata Hu. – Reuters