Search This Blog

Monday, December 6, 2010

Korban bom nekad di Pakistan cecah 50 orang




2010/12/06

PESHAWAR, Pakistan: Angka korban serangan dua pengebom nekad di wilayah yang banyak diduduki anggota militan di barat laut Pakistan mencecah 50 orang. 

Menteri Penerangan Khyber Pakhtunkhwa, Mian Iftikhar Hussain, berkata serangan itu turut mencederakan lebih 100 orang, kebanyakannya parah.Seorang pegawai politik tempatan, Mohammad Khalid Khan, berkata anggota militan terbabit menyerang kawasan pejabat kerajaan di Mohmand ketika mesyuarat masyarakat setempat bagi penubuhan pasukan militia antiTaliban.Khan berkata, antara yang terbunuh dan cedera ialah ketua masyarakat, polis dan pegawai politik. - AP 

Maut selepas terbabas





BENTONG – Hasrat seorang pekerja sebuah kilang untuk ke tempat kerja tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 75.9 Lebuh raya Karak- Kuala Lumpur kira-kira jam 8 pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Rosli Abdul Rahman berkata, mangsa Ahmad Fuad Hussain, 23, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Batu Tiga, Karak Setia menuju ke tempat kerja. 

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ warna merah seorang diri dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tembok batu. 

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga mangsa untuk dikebumikan” katanya kepada Sinar Harian. 

Rosli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan. 

“Susulan kejadian ini juga, saya menasihatkan penunggang motosikal berhati-hati di jalan raya dan tidak mengabaikan langkah keselamatan termasuk memakai topi keledar. 

“Sebelum memulakan perjalanan sama ada jauh atau dekat, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Bengkel kereta musnah dalam kebakaran


KUANTAN - Sebuah bengkel kereta di Jalan Padang Lalang di sini terbakar hari ini menyebabkan kerugian hampir RM500,000.

Menurut pemilik bengkel berkenaan, Chen Wai Foong, 43, ketika kejadian 2 pagi itu, dia berada di rumahnya di Taman Muhibah, Bukit Bay Route, dekat sini, dan diberitahu oleh seorang rakannya.

"Sebaik tiba, saya lihat api marak terlalu pantas walaupun anggota Bomba dan Penyelamat sedang mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran.

"Perniagaan yang diusahakan lima tahun lalu musnah sekelip mata, saya kerugian hampir RM500,000," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuantan berkata, punca kejadian masih disiasat.

ADUN Kota Damansara antara 48 ditahan




KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim antara 48 penyokong ‘baju merah’ yang ditahan polis dalam perhimpunan di Masjid Negara, semalam. 

Mereka antara hampir 5,000 penyokong yang membanjiri perkarangan masjid sejak jam 11.30 pagi, untuk menyertai perhimpunan membantah kenaikan harga air di Selangor. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah berkata, polis menahan 48 penyokong itu kerana mereka cuba berarak ke Istana Negara dan enggan mematuhi arahan bersurai. 

“Kami tempatkan mereka di pusat tahanan sementara di Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967. 

“Setelah selesai, kami akan lepaskan mereka selewat-lewatnya petang ini (semalam). Bagaimanapun ADUN berumur 40-an itu, kami sudah bebaskan lebih awal kerana berpuas hati dengan keterangan yang diberikan,” katanya pada sidang media, semalam.

24 IPTS dilarang ambil pelajar asing


06/12/2010 5:34pm

KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 daripada 204 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) telah dibatalkan kelulusan mengambil pelajar antarabangsa sepanjang tahun ini kerana gagal menjaga kebajikan dan disiplin mereka.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sehingga 23 November lepas, 180 IPTS sahaja yang masih dibenarkan mengambil pelajar asing.
IPTS perlu membaharui kelulusan untuk mengambil pelajar antarabangsa dua tahun sekali daripada Kementerian Dalam Negeri, dan kementerian itu hanya boleh meluluskannya setelah Kementerian Pengajian Tinggi berpuas hati dengan IPTS itu yang perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan, katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Baharum Mohamed (BN-Sekijang) yang ingin tahu tindakan kementerian itu terhadap kemasukan pelajar asing di negara ini kerana ada yang didakwa terlibat dengan kegiatan tidak bermoral dan jenayah seperti pengedaran dadah dan “black money”. – Bernama

Dua maut, seorang parah nahas jalan raya


06/12/2010 2:12pm

KUANTAN: Dua maut manakala seorang lagi cedera parah dalam tragedi kemalangan berasingan di Bentong dan Raub, Pahang, semalam.
Menurut Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman, dalam kejadian pertama di Km 75.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, seorang penunggang motosikal, Ahmad Fuad Hussin, 23, maut selepas motosikalnya terbabas dan merempuh penghadang jalan.
"Ketika kejadian 8.20 pagi itu, mangsa menunggang motosikal dari arah Karak ke Bentong, tiba di tempat kejadian motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh tembok penghadang jalan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata mangsa cedera teruk di bahagian perut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam kejadian lain pula seorang pemandu kereta maut dalam nahas membabitkan dua buah kereta di Km 339 Jalan Raub-Kuala Lipis.
"Mangsa, D. Lexchumi Lexcumani, 24, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya cedera parah. Pemandu sebuah lagi kereta terbabit hanya cedera ringan,” katanya.
Pada kejadian 7.05 petang itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Raub ke Lipis.
"Sampai di tempat kejadian mangsa dikatakan cuba memotong kenderaan di hadapannya bagaimanapun gagal sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain yang datang dari arah bertentangan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Dong,” katanya. - Bernama

Pengimport rokok saman pegawai kastam


06/12/2010 5:06pm

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat mengimport rokok kretek memfailkan saman berjumlah RM15 juta terhadap pegawai kastam dan empat yang lain kerana menyita 23,347 karton rokok kretek miliknya di Pelabuhan Klang dan Padang Besar, Perlis.
Roslan Abu Bakar, 46, memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 November lalu dan akan menyerahkan pernyataan tuntutan kepada defendan hari ini.
Media turut memperoleh dokumen tersebut di sini hari ini.
Saman itu difailkan melalui Tetuan J.R. Ravendran & Assoc. Roslan merupakan plaintif pertama dan syarikat Ramunus Sdn Bhd yang mempunyai lesen menjalankan perniagaan mengimport rokok kretek dari Indonesia adalah plaintif kedua.
Kedua-duanya menamakan Kamaruddin Jusoh dan Mohd Sukri Jusoh, keduanya pegawai kanan kastam di bahagian penguatkuasaan di Dengkil, Selangor, sebagai defendan pertama dan kedua, manakala Mohamad Sapian Sanusi yang merupakan Penolong Kanan Pengarah Kastam 1 di tempat yang sama sebagai defendan ketiga.
Ketua Pengarah Kastam dan Kerajaan Malaysia pula dinamakan sebagai defendan keempat dan kelima. – Bernama

Pencuri diberkas sejam selepas mencuri


06/12/2010 5:10pm

KUANTAN – Seorang lelaki yang sebelum itu berjaya melarikan barang kemas di sebuah kedai di Raub, akhirnya diberkas selepas cuba mencuri di sebuah kedai lain di Kuala Lipis.
Menurut Pegawai Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri, dalam kejadian pertama kira-kira 2.30 petang Jumaat lepas, suspek, 39, berjaya memperdayakan seorang pemilik kedai di Jalan Tun Razak, Raub.
"Suspek telah meminta ditunjukkan barangan kemas yang mahu dibelinya sebelum bertindak melarikan barang kemas berkenaan yang bernilai lebih RM20,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Suspek berkenaan kemudiannya cuba menggunakan taktik yang sama di sebuah kedai emas di Kuala Lipis kira-kira jam 3.45 petang pada hari yang sama.
"Ketika kejadian, pemilik kedai, 39, bersama isteri dan seorang pembantu kedai berkenaan. Suspek cuba menggunakan cara yang sama bagi memperdaya mangsa sebelum bertindak melarikan barang kemas bernilai RM15,000.
Bagaimanapun, Noor Asyikin berkata jeritan mangsa menarik perhatian seorang anggota polis yang berada berhampiran kedai berkenaan sebelum mengejar dan memberkas suspek. – Bernama

Rasuah: Khir Toyo serah kepada pihak mahkamah


06/12/2010 5:39pm

SHAH ALAM 6 Dis. - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk membuat keputusan berhubung dakwaan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah di Seksyen 7, di sini bernilai RM6.5 juta, hanya dengan harga RM3.5 juta pada tiga tahun lalu.
Ketika bercakap kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Sesyen Shah Alam kira-kira pukul 3 petang ini memberitahu, beliau percaya dengan sistem perundangan di negara ini yang disifatkan mampu membersihkan namanya daripada tuduhan tersebut.
Katanya, sepanjang pengetahuan beliau, pembelian tanah dan kediaman berkenaan melibatkan jumlah hanya RM3.5 juta dan bukannya RM24 juta seperti yang didakwa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim sebelum ini.
Malah katanya, proses pembelian tanah dan kediaman berkenaan juga turut dilakukan mengikut prosedur yang betul termasuk melibatkan penilaian nilai hartanah oleh pihak bank dan sebagainya.
“Saya fikir biarlah mahkamah buat keputusan (mengenai tuduhan itu). Saya juga mempunyai keyakinan yang tinggi sistem perundangan negara.
“Saya yakin kes ini dapat dibicarakan segera supaya saya dapat bersihkan nama daripada arena politik dan serta sebarang dakyah daripada pembangkang" katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai tuduhan itu, Mohamad Khir menyatakan bahawa beliau membeli tanah serta kediaman tersebut mengikut harga pasaran manakala pembelian itu dibuat atas dasar beliau sebagai pembeli yang berminat (willing buyer).
Menurut beliau, pemilik sebelum ini (Pengarah syarikat Ditamas Sdn. Bhd., Datuk Shamsuddin Haryoni) menyatakan bahawa hartanah seluas 55,000 kaki persegi itu dibeli daripada pemilik pertama pada harga RM6.5 juta dan kemudian menjual kepadanya pada harga RM3.5 juta.
Mohamad Khir ketika ditanya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suee Lim sekiranya mahkamah memutuskan beliau tidak bersalah terhadap pertuduhan itu berkata, beliau akan meneruskan tindakan ke atas wakil rakyat daripada DAP itu.
Mohamad Khir hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah yang bernilai RM6.5 juta hanya dengan harga RM3.5 juta.
Shamsuddin Haryoni turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir pada 29 Mei 2007.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.
Mohamad Khir dan Shamsuddin masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM750,000 dengan seorang penjamin.
Menurut Mohamad Khir, wang jaminan yang dibayar oleh seorang penjamin di kaunter bayaran mahkamah berkenaan kira-kira pukul 3.15 petang ini diperoleh hasil kutipan daripada ahli keluarganya. - Utusan

Kes Khir Toyo: Terserah Pejabat Peguam Negara – PM


06/12/2010 5:39pm

PUTRAJAYA 6 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung tindakan selanjutnya terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo atas tuduhan memiliki dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor dua tahun lepas.
"Saya tidak boleh nak komen. Ini proses biasa, maknanya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) akan buat siasatan dan hantar (laporan) kepada (pejabat) Peguam Negara.
"Kalau (pejabat) Peguam Negara kata ada kes, terpulang kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan,” kata Perdana Menteri ketika melancarkan Talent Corporation di pejabatnya di sini hari ini.
Mohamad Khir didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta. – Bernama

Mohamad Khir lepas jawatan Ketua Pembangkang Selangor


06/12/2010 5:49pm

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang negeri itu berkuat kuasa serta-merta.
Mohamad Khir dalam blognya www.drkhir.com berkata, kedudukannya dalam UMNO pula akan diserahkan kepada pucuk pimpinan dan beliau sedia berundur jika ia menjadi masalah besar kepada parti.
Beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah yang bernilai RM6.5 juta hanya dengan harga RM3.5 juta, dua tahun lalu.
Pengarah syarikat Ditamas Sdn. Bhd., Shamsuddin Haryoni yang menjual hartanah tersebut turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir pada 29 Mei 2007.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.
Mohamad Khir dan Shamsuddin masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM750,000 dengan seorang penjamin. - Utusan

Kapal tenggelam ketika pindah minyak secara haram


06/12/2010 7:00pm

JOHOR BAHRU 6 Dis. - Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Singapura, MT Po Lai, tenggelam di perairan Pengerang, Kota Tinggi, pagi tadi ketika cuba melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram.
Menurut Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar, Pusat Operasi APMM menerima laporan bahawa kapal iru tenggelam di kedudukan 3.6 batu nautika selatan Tanjung Ayam, Pengerang, pada 7.30 pagi.
Anggota APMM yang dikerah ke lokasi kejadian mendapati sebahagian badan kapal terbabit masih kelihatan di permukaan, katanya.
Menurut Zulkifli, kapal yang mempunyai lima anak kapal dipercayai menghadapi masalah menstabilkan kedudukannya ketika sedang melakukan pemindahan minyak dengan sebuah kapal “Kam Fong”.
"Kesemua anak kapal sempat menyelamatkan diri dengan melompat ke kapal Kam Fong, katanya.
Beliau berkata APMM sedang bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar Johor bagi memantau kemungkinan berlakunya tumpahan minyak. - Bernama

Lubuk songsang kena geledah





BANDARAYA MELAKA - Berselindung di sebalik tawaran perkhidmatan spa, namun sebaliknya, ia adalah ‘lubuk’ golongan gay memuaskan nafsu seks songsang mereka. 

Lebih menjijikan, ada antara mereka sudah berusia mencecah 50 tahun dan layak dipanggil ‘atuk’, namun sanggup melibatkan diri disebabkan dahagakan belaian ‘anak ikan’ muda untuk memberikan mereka perkhidmatan seks. 

Malam kelmarin, dua buah premis di Jalan Hang Kasturi di sini diserbu sepasukan anggota pelbagai agensi termasuk Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam operasi dipanggil Ops Songsang. 

Operasi dilaksanakan selepas mendapat banyak aduan daripada ibu bapa tinggal yang berhampiran mendakwa kawasan itu terdapat kegiatan seks luar tabii melibatkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT). 

Sebuah premis yang diserbu itu kelihatan kosong semasa kedatangan pasukan operasi yang berjaya dihidu mereka. 

Namun, serbuan di sebuah lagi premis tiga tingkat mendapati 30 lelaki berusia 20 hingga 50 tahun disyaki sedang melakukan dan menunggu giliran untuk memuaskan nafsu songsang mereka.

Sultan Kelantan lucut dua pingat darjah kebesaran Ku Li


06/12/2010 11:59am

KOTA BHARU 6 Dis. – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V perkenan menarik balik dua pingat darjah kebesaran dengan salah satunya Darjah Kerabat (DK) yang dikurniakan kepada tokoh politik negara, Tengku Razaleigh Hamzah.
Dua pingat kebesaran tersebut ialah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) dan tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) Al-Muhammadi I).
Pada sidang media di Istana Balai Besar, di sini, malam tadi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias mengumumkan penarikan balik anugerah itu berkuat kuasa 2 Disember lalu.
Darjah Kerabat dikategorikan sebagai pingat tertinggi istana dan dikhaskan kepada keluarga diraja.
Mohd Aiseri juga mengumunkan penarikan balik tauliah pelantikan Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili I) daripada Dr Yaacob Hussain Merican, 72, serta pelantikan Jaksa Pendamai (JP), juga berkuat kuasa pada tarikh yang sama. – Bernama

Jerung baham wanita Jerman di Mesir




2010/12/06

EL-ARISH, Mesir: Seekor jerung membaham hingga putus lengan seorang pelancong warga emas Jerman di pusat peranginan Laut Merah Mesir, menyebabkan mangsa terbunuh serta merta. 

Ia berlaku selang beberapa hari selepas jerung mencederakan empat pelancong Eropah lain.Wanita Jerman yang terbunuh itu sedang berenang di laut Sharm el-Sheikh, pusat peranginan dan menyelam terkenal di semenanjung Sinai, apabila beliau diserang.
“Ia pasti serangan jerung," kata Hesham Gabar, Ketua Dewan Menyelam dan Sukan Air Mesir. 

Kedutaan Jerman di Cairo tidak dapat dihubungi untuk memberi ulasan. - AP 

SPRM tahan Khir Toyo di pejabatnya di Shah Alam


06/12/2010 12:16pm

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo hari ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di pejabatnya di Shah Alam kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali berkata, Khir Toyo kemudian dibawa ke Mahkamah Seksyen Shah Alam untuk dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas kesalahan rasuah.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung penangkapan tersebut.
Di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, seseorang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Difahamkan, penahanan Khir Toyo berkaitan dengan dakwaan bahawa beliau menerima rasuah berhubung pembelian tanah untuk ”Istana Khir” iaitu rumahnya yang ala Bali di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Khir Toyo, 45, menjadi Menteri Besar Selangor yang ke-13 pada Ogos 2000 ketika berumur 35 tahun dan merupakan penjawat jawatan Menteri Besar Selangor yang termuda. – Bernama

Pengedar dadah warga Myanmar ditembak mati polis


06/12/2010 1:18pm

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Polis menembak mati seorang pengedar dadah warga Myanmar di sebuah premis yang dijadikan rumah sewa di Jinjang di sini pagi ini.
Dalam kejadian pukul 4 pagi, suspek berusia 38 tahun sebelum itu melepaskan tembakan ke arah polis apabila menyedari kediamannya dikepung. – Utusan

Lubuk curi pasir





PETALING JAYA - Sebuah tanah rizab untuk pembinaan sekolah menengah di PJS 5 dekat sini dikesan dijadikan lokasi mencuri pasir. 

Masalah yang berlarutan sejak beberapa bulan yang lalu itu dikesan oleh penduduk setempat yang hairan kerana sering ternampak lori keluar masuk membawa pasir keluar. 

Pegawai Unit ADUN Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zey Iskandar Mohd Jalil berkata siasatan mendapati kerja-kerja dijalankan tanpa permit yang sah. 

“Kita sudah masuk dan menyiasat lokasi ini dan terdapat kerja-kerja mencuci pasir, membawa masuk tanah dan mengorek pasir keluar,”katanya. 

Dalam pemeriksaan mengejut yang dibuat bersama Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Lembaga Urus Air Selangor kelmarin sebanyak lima buah jengkaut di tapak tersebut ditinggalkan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa. 

Menurut Zey kewujudan tapak tersebut turut menyebabkan jalan utama di PJS 7 kotor akibat tanah yang dibawa oleh lori-lori yang keluar masuk. 

“Pengusaha turut mengalirkan air sisa buangan mencuci pasir terus ke dalam Sungai Penchala. 

“Kita telah membuat lawatan pertama ke lokasi ini pada 25 November lalu, nampaknya pengusaha ini masih berdegil meskipun amaran sudah diberikan,”katanya. 

Sementara itu Ketua Penolong Pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Petaling Yahya Hasan memaklumkan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang permit ataupun kebenaran kepada pihak terbabit untuk menjalan kerja-kerja mengorek dan membawa keluar pasir. 

“Kita beri amaran terakhir, jika mereka degil jentera mereka bolah disita dan tanah ini juga akan dirampas,”katanya.

Maut selepas terbabas





BENTONG – Hasrat seorang pekerja sebuah kilang untuk ke tempat kerja tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 75.9 Lebuh raya Karak- Kuala Lumpur kira-kira jam 8 pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Rosli Abdul Rahman berkata, mangsa Ahmad Fuad Hussain, 23, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Batu Tiga, Karak Setia menuju ke tempat kerja. 

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ warna merah seorang diri dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tembok batu. 

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga mangsa untuk dikebumikan” katanya kepada Sinar Harian. 

Rosli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan. 

“Susulan kejadian ini juga, saya menasihatkan penunggang motosikal berhati-hati di jalan raya dan tidak mengabaikan langkah keselamatan termasuk memakai topi keledar. 

“Sebelum memulakan perjalanan sama ada jauh atau dekat, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Penuntut UiTM maut





MACHANG - Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) terbunuh, manakala empat cedera ringan selepas kenderaan yang dinaiki terbabit kemalangan di kilometer 46.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat jambatan Kampung Kemuning di sini, semalam. 

Kemalangan jam 6 pagi itu membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah lori. 

Mangsa, Ahmad Muzaffar Abdul Rahman, 23, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai tercampak keluar dari kereta Perodua Myvi yang dinaikinya bersama kakaknya, Nurfathyah, 24, dan suaminya. 

Kakak mangsa dan suaminya yang baru melangsungkan perkahwinan minggu lalu, dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut, manakala pemandu lori, Ravi A/l Gopal, 29, yang cedera kaki diberi rawatan pesakit luar. 

Pemandu kereta Subaru, Khaiza Mat Ali, 21, dan abang iparnya, Azhan, 23, yang cedera muka dan bahu turut menerima rawatan di Hospital Machang. 

Khaiza ketika ditemui di tempat kejadian berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia mendapati salah sebuah kereta jenis Myvi, dipercayai cuba memotong, tetapi gagal menyebabkan kenderaan terbabit bertembung dengan sebuah lagi kereta dan bergesel dengan keretanya. 

Pada masa sama, katanya, sebuah lori dari Kuala Krai ke Machang tiba-tiba merempuh sebuah lagi kereta lain. 

Pemandu lori, Ravi pula berkata, dia mengesyaki pemandu kereta Myvi berkenaan mengantuk menyebabkan dia masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lagi kereta Myvi yang dalam perrjalanan dari Machang ke Kuala Lumpur. 

“Saya nampak Myvi masuk ke laluan bertentangan menyebabkan kenderaan terbabit bertembung sebelum merempuh kenderaan lain dan saya ketika itu gagal mengawal lori saya lalu berlanggar dengan salah satu kenderaan lain,” katanya. 

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Abdul Malek Bedol yang mengesahkan menerima laporan kemalangan itu berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila salah sebuah kereta dipercayai terbabas sebelum melanggar satu sama lain. 

Menurutnya, kejadian berlaku dalam keadaan hujan renyai dan mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya di Beris Kubor Besar, Bachok. 

“Kita akan mengambil keterangan daripada pemandu kereta masing-masing untuk membantu siasatan yang akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Karam dipukul ribut




SENAI – Empat kru sebuah bot Barter Trade yang karam berjaya diselamatkan sebuah kapal dagang yang melalui perairan kira-kira 13 batu nautika Barat Sungai Rengit jam 9 pagi semalam. 

Bot yang membawa muatan 63,000 biji kelapa bulat itu dalam perjalanan dari Selat Panjang, Indonesia ke Batu Pahat dan kejadian dipercayai telah berlaku dua hari lalu. 

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, pasukan Penyelamat Sub Centre Johor Bahru telah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh kapal MV Energy Patriot yang telah melihat sebuah bot hampir karam ketika melalui perairan tersebut, jam 8.35 pagi semalam. 

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan telah menggerakkan sebuah bot laju Kilat 47 ke lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat mangsa. 

“Kesemua mangsa telah dijumpai dan diselamatkan oleh sebuah kapal milik MISC, MT Bunga Emas 10 kira-kira 2.3 batu nautika selatan Pulau Kukup yang sedang melalui kawasan tersebut dan Bot Kilat 47 yang berada berhampiran lokasi terus membantu mangsa-mangsa berkenaan dan dibawa ke jeti terminal kukup. 

“Difahamkan bot mereka telah dipukul ribut menyebabkan bot terbalik dan mereka bernasib baik kerana memakai jaket keselamatan selain berpaut pada tong-tong kosong sebelum diselamatkan. 

“Kesemua mangsa yang dalam keadaan kesejukan itu kemudiannya telah diberi makan, minum dan pakaian oleh kru kapal MT bunga emas 10,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. 

Kesemua mangsa berada di dalam keadaan baik dan telah diserahkan kepada wakil Konsulat Jeneral Indonesia di Johor Bahru yang telah menunggu di jeti Feri Kukup untuk memberi bantuan kepada rakyat mereka. 

Mangsa yang diselamatkan ialah Sarlan Yusak, 35; Juliman Sutiar, 28; Musriyadi Ngadimin, 28, dan Saiful Nizan Mastor, 25. 

“MRSC Johor Bahru selaku penyelaras operasi mencari dan menyelamat di perairan Selatan Semenanjung Malaysia amat mengharapkan kerjasama kapal dan pengguna di laluan ini untuk memberi bantuan segera kepada mereka yang mengalami kecemasan. 

“Kami juga amat mengharapkan kru kapal, feri, nelayan atau sesiapa saja yang melihat atau mengetahui sebarang kecemasan yang berlaku menyalurkan maklumat kejadian ke hotline MRSC JB dengan segera agar bantuan dapat diberi dengan cepat. Tindakan pantas amat penting untuk kita mengelakkan sebarang kehilangan terutamanya nyawa di perairan kita. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kru MT Bunga Emas 10 kerana memberi bantuan dengan cepat dan juga kepada Konsulat Jeneral Indonesia atas keprihatinan mereka memberi bantuan kepada mangsa-mangsa terlibat,” katanya.

Nenek maut terjun bangunan





JELUTONG - Seorang wanita warga emas ditemui mati, dipercayai selepas terjun dari tingkat 17 Pangsapuri Desa Green di sini, semalam. 

Yap Bee Swan, 65, dikatakan mengalami tekanan perasaan melampau, ditemui orang ramai yang mengakui terdengar bunyi dentuman kuat selepas wanita itu terjatuh di atas bumbung di hadapan pintu masuk pangsapuri itu. 

Suaminya, Ooi Lye Beng, 73, berkata, Bee Swan beritahu mahu turun ke kedai namun dia tidak pulang selepas lebih sejam keluar rumah. 

“Saya tak risau ataupun berfikir bukan-bukan kerana saya sangka, mungkin dia bertemu kawan-kawanya dsebab dia memang ramai kawan.

“Apabila mendengar bunyi riuh-rendah di bawah, saya menjenguk dan jiran menjerit suruh saya turun. Alangkah terkejutnya saya apabila lihat isteri saya dalam keadaan terbaring dengan muka dipenuhi darah,”katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian.

Lye Beng berkata, isterinya mengalami masalah kesihatan namun dia tidak tahu apa penyakit sebenar dihidapi Bee Swan.

Menurutnya lagi, kebelakangan ini, isterinya menunjukan perubahan sikap dan sering kelihatan tertekan tanpa sebab.

“Saya pernah tanya apa masalahnya namun dia tak pernah ceritakan. Kami tidak pernah bergaduh atau berselisih faham. Saya tak tahu kenapa dia sehingga sanggup buat macam ini,”katanya. 

Suasana pilu menyelubungi apabila anak lelaki mangsa yangpulang dari kerja, terkejut melihat balutan mayat yang dikerumuni orang ramai itu adalah mayat ibunya. 

Mayat Bee Swan kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang.