Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Hasrat keluarga mangsa bunuh





JOHOR BAHRU – Keluarga wanita mengandung yang ditemui mati dengan kesan kelar di leher dipercayai dilakukan suaminya sendiri meminta supaya polis menyiasat kes tersebut secara menyeluruh. 

Bapa mangsa, Hamzah Mohd, 51, berkata, dia bersedia untuk menghantar sepucuk surat kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman, Kuala Lumpur, sekiranya siasatan sedia ada tidak dapat menegakkan keadilan terhadap anak perempuannya. 

“Bukti sudah dapat dan kes ini adalah berat sekali gus memerlukan siasatan terperinci untuk mendakwa lelaki terbabit kerana ternyata dia mempunyai niat membunuh. 

“Saya berharap kes ini dapat disiasat seadilnya dan tidak melepaskan penjenayah hidup bebas begitu sahaja tanpa dikenakan sebarang hukuman setimpal,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor, di sini, kelmarin. 

Dalam pertemuan itu, Hamzah bersama isterinya, Maimon Hamid, 49, dijemput hadir ke pejabat Perkeso Johor untuk menerima cek Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM750 setiap seorang. 

Hamzah berkata, dia amat berharap Perkeso Johor tidak melakukan pembayaran Pencen Penakat yang akan diterima oleh bekas suami mangsa berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. 

“Kami (keluarga) yang kehilangan nyawa anak tidak meraih sebarang faedah, tetapi bekas suami pula menerima sejumlah wang pencen selepas melakukan membunuh. 

“Menjadi harapan saya sekeluarga supaya bekas suami anak perempuan tidak meraih bayaran pencen secara bulanan. 

“Tidak mengapa bekas suami menerima bayaran pencen bulanan ini sekiranya anak perempuan saya meninggal dunia kerana sakit atau sebab lain, tetapi dia dibunuh kejam oleh lelaki terbabit,” katanya. 

Selain itu, katanya, dia sekeluarga bersyukur di atas keprihatinan Perkeso Johor yang bertindak menguruskan faedah caruman anak perempuannya dan memberikan cek pengurusan jenazah. 

Pengarah Perkeso Johor, Che Hamid Che Ahmad berkata, pihaknya mengucapkan takziah di atas pemergian mangsa dan usaha dilakukan oleh itu berdasarkan arahan daripada ibu pejabat sejurus akhbar tempatan melaporkan berita berhubung kes tersebut. 

“Selepas membuat siasatan terperinci mendapati mangsa mempunyai bilangan caruman yang dibuat sebanyak 24 bulan dalam tempoh 40 bulan sebelum kematian seperti termaktub dalam akta. 

“Justeru, kami menyampaikan cek pengurusan jenazah kepada keluarga mangsa pada hari ini (kelmarin) seterusnya akan menguruskan pembayaran Pencen Penakat mangsa,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, Perkeso Johor juga akan meneliti permohonan bapa mangsa supaya bayaran Pencen Penakat tidak dibayar kepada bekas suami berikutan kes ini sedang di bawah siasatan polis dan segalanya bergantung kepada keputusan mahkamah. 

“Berdasarkan akta yang sudah termaktub, sekiranya orang berinsurans meninggal dunia di luar waktu kerjanya, balu atau duda mereka akan menerima Pencen Penakat. 

“Bagi kes ini, Perkeso Johor akan melakukan penelitian dan siasatan terlebih dahulu berhubung kelayakan terima Pencen Penakat kepada bekas suami kerana terdapat bantahan daripada keluarga mangsa,” katanya. 

Terdahulu, media massa tempatan melaporkan kematian seorang wanita mengandung yang ditemui mati dengan kesan kelar di lehernya dipercayai dilakukan oleh suaminya sendiri pada 22 November lalu. 

Mangsa, 26, ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah.

Seorang maut, 4 cedera





SUNGAI DULANG - Seorang lelaki maut dan empat cedera apabila kereta Proton Wira yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 26.5 Teluk Intan-Sungai Dulang kira-kira jam 10.30 malam, malam semalam. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa S Varatharaju, 49, memandu seorang diri dari arah Simpang 3 ke Sungai Dulang memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta. 

Menurutnya, kereta Perodua Kelisa yang dipandu oleh seorang wanita berusia 49 tahun bersama dua anaknya dari arah Sungai Dulang ke Simpang 3 tidak dapat mengelak lalu merempuh kereta mangsa. 

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dalaman dan maut di tempat kejadian, mayat dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan selanjutnya. 

“Manakala pemandu kereta Perodua Kelisa dan anaknya yang berusia 16 dan 14 tahun cedera parah dihantar ke Hospital Teluk Intan,” katanya. 

Kok Liang berkata, disebabkan kemalangan berlaku di kawasan gelap, seorang penunggang motosikal turut mengalami kecederaan parah apabila melanggar kereta mangsa. 

Katanya, penunggang motosikal berusia 17 tahun itu tidak sempat mengelak kereta mangsa sebelum merempuhnya. 

"Kini lelaki itu dirawat di Hospital Teluk Intan. 

"Kami sedang menjalankan siasatan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Ibu rayu Zulkifli pulang ke pangkuan keluarga



SHAH ALAM – Seorang ibu, Zaleha Abdul Ghani, 59, merayu anaknya, Zulkifli Abdollah, 37 yang hilang sejak 11 hari lalu supaya kembali ke pangkuan keluarga semula kerana semua ahli keluarga risau keselamatannya.

Katanya, kehilangan Zulkifli lebih membimbangkan keluarga selepas anaknya itu dikesan keluar tanpa membawa kad pengenalan dan wang.

“Anak saya mempunyai ketinggian lima kaki, berkulit cerah dan tidak mempunyai sebarang kecacatan tetapi berjalan terhincut- hincut disebabkan kesan kemalangan yang dialaminya sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung kehilangan anaknya, minggu lepas.

“Saya buntu memikirkan nasib anak sulung saya daripada dua beradik itu yang sehingga kini tidak tahu di mana malah dia tidak pandai menguruskan diri sendiri,” katanya.

“Kami sekeluarga berharap beliau akan pulang segera dan meminta kerjasama daripada orang ramai untuk menghubungi kami dan balai polis berhampiran sekiranya menjumpai Zulkifli,” katanya.

Dua sepupu terbunuh

 



KUANTAN - Keriangan dua sepupu menghabiskan cuti hujung minggu di bandar ini berakhir tragedi apabila mereka terbunuh selepas kereta yang dnaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 37, Jalan Kuantan-Kemamani, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Azlan Ahmad, 33, dari Taman Kemajuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah dan Bernard Arasad, 34, dari Kampung Peringatan Petagas, Penampang, Sabah, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di badan. 

Ketika kejadian, dua mangsa terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke asrama tempat mereka bekerja di Kemaman, Terengganu dari bandar ini. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superitendan Zulkifli Taha berkata, seorang lagi mangsa iaitu pemandu kereta Perodua kancil itu, Datu Kumpasan Ali, 30-an, parah di badan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku AmpuanAfzan (HTAA), 

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda Ford itu, Ahmad Amri Mahmad Razali, 33, dan lima ahli keluarganya hanya cedera ringan. 

“Dua mangsa yang juga sepupu bersama rakan mereka datang ke bandar ini semalam bagi menghabiskan cuti hujung minggu,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Zulkifli berkata, ketika kejadian kereta Perodua Kancil itu dalam perjalanan dari Kuantan ke sebuah asrama kilang di Kemaman, Terengganu. 

“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dinaiki tiga mangsa itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapan. 

“Bagaimanapun, kereta itu gagal memotong lalu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan,” katanya. 

Akibat pelanggaran itu, katanya, kereta Perodua Kancil itu remuk menyebabkan mangsa maut. 

Sementara itu, Ahmad Amri berkata, ketika kejadian, diabersama isteri, Rohaida Awang, 33, dan empat anaknya dalam perjalanan dari Kemaman untuk pulang ke kampung mereka di Pekan. 

”Saya nampak kereta Perodua Kancil itu datang dari depan dan dalam jarak 50 meter, secara tiba-tiba ia masuk ke laluan bertentangan. 

”Saya tidak sempat untuk mengelak kerana jarak yang terlalu dekat sehingga menyebabkan kami bertembung,” katanya. 

Ahmad Amri yang juga pensyarah di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Gebeng bersyukur keluarganya selamat.

Wanita S'pura tipu peniaga $2.9 juta




SHAH ALAM: Seorang wanita warga Singapura kelmarin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini kerana dituduh menipu seorang ahli perniagaan, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, sebanyak RM7 juta ($2.9 juta) tahun lalu.
Sharida Abdul Majid, 46 tahun, juga ahli perniagaan, dituduh menipu Tan Sri Abdul Rashid di Peremba Square, Shah Alam, antara September 2009 dengan 13 November 2009 dengan memperdayanya bahawa dia telah memperoleh kontrak bernilai tidak kurang 8 juta dolar Brunei.Sharida menawarkan Tan Sri Abdul Rashid untuk menyertai kontrak itu.Dia didakwa mendorong Tan Sri Abdul Rashid untuk menyerahkan wang berjumlah RM7 juta melalui tiga keping cek Standard & Chartered Bank sebagai bahagian penyertaan beliau dalam kontrak itu.Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.Sharida juga menghadapi pertuduhan menggunakan dua bil tunai syarikat High Motivations Sendirian Bhd bertarikh 28 September 2009, sebagai dokumen cagaran walaupun dia tahu ia palsu.Sharida mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Norshuhaida Zainal Azhar memohon mahkamah supaya mengenakan ikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin warga Malaysia manakala pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.'OKT (Orang kena tuduh) merupakan warga negara asing, rakyat Singapura... ada kebarangkalian tinggi untuk beliau melarikan diri,' katanya.Peguam, Encik Mohd Azfar Abdullah, yang memberitahu mahkamah bahawa beliau adalah bekas suami Sharida, kemudian membuat rayuan bagi pihak wanita itu dan meminta supaya mahkamah mengenakan nilai jaminan yang rendah.Katanya, hasil perkongsian hidup dengan Sharida selama 23 tahun mereka dikurniakan empat anak, yang paling kecil berusia lima tahun.'Oleh kerana OKT ibu tunggal, anak-anak memerlukan kehadirannya,' katanya.Encik Mohd Azfar berkata, Sharida telah menetap di Malaysia selama 30 tahun dan beliau sendiri akan memastikan tertuduh hadir di mahkamah.Katanya, dalam perbicaraan nanti, Sharida akan diwakili peguam dari Tetuan Selvamookiah & Co kerana 'beliau tidak sesuai mewakili tertuduh'.Hakim Wan Mohd Norisham kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan memerintahkan supaya pasport Sharida diserahkan kepada mahkamah.Beliau juga menetapkan 7 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. -- Bernama

Gadis dilapor hilang sejak 1 November

Ummu Aiman Khamis, 15 tahun


SINGAPURA




POLIS meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Ummu Aiman Khamis (gambar), 15 tahun, yang dilaporkan hilang, supaya tampil menghubungi pihak berkuasa.
Menurut polis, Ummu Aiman kali terakhir dilihat sekitar 9.30 pagi di Pasir Ris Downtown East pada 1 November lalu.Ummu Aiman dilaporkan mempunyai ketinggian sekitar 1.6 meter, berbadan kurus, berkulit cerah dan berambut pendek hitam.Dia kali terakhir dilihat memakai seluar hitam, jaket kelabu, berkasut hitam dan memakai beg sandang.Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Ummu Aiman diminta menghubungi hotline polis di talian 1800- 255-0000.

Mahkamah tolak permohonan lafaz cerai Sultan Ismail Petra terhadap isteri kedua




2010/12/05

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini menolak permohonan pengesahan lafaz cerai bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra terhadap isteri keduanya, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, yang difailkan seorang wanita, Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman pada Mac lalu. 

Hakim Abdullah Man yang membuat keputusan itu berkata, ia kerana mahkamah mendapati plaintif gagal mengemukakan saksi yang mencukupi mendengar pengesahan lafaz cerai itu selain tiada saksi lain ketika Abdullah menghadap Sultan Ismail Petra di Istana Mahkota, Kubang Kerian pada 30 Oktober lalu."Mahkamah telah membuat keputusan berdasarkan kepada tiga perkara iaitu yang pertama sama ada pihak ketiga boleh memohon bagi pengesahan lafaz cerai, yang keduanya apakah plaintif mempunyai saksi yang mencukupi dan ketiga apakah yang berlaku di Istana antara saya dan Sultan boleh diterima di mahkamah.
"Berdasarkan itu mahkamah hari ini menolak permohonan plaintif (Nik Rorhana) bagi memohon pengesahan lafaz cerai ini dan plaintif boleh membuat rayuan berhubung keputusan ini dalam tempoh 14 hari," kata Abdullah sewaktu membacakan penghakimannya. 

Pada prosiding hari ini, Nik Rorhana hadir manakala defendan Elia Suhana, 31, tidak hadir atas alasan tidak sihat. 

Pada 21 Mac lalu, Elia Suhana melalui peguam syarie yang mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan mengemukakan permohonan untuk membatalkan permohonan pengesahan lafaz cerai oleh Sultan Ismail Petra terhadapnya yang difailkan oleh Nik Rorhana pada 9 Mac lalu. 

Sultan Ismail Petra yang ketika itu masih Sultan Kelantan didakwa menjatuhkan talak tiga terhadap Elia Suhana pada 12 Februari lalu di hadapan beberapa orang saksi ketika dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. 
Sebelum itu, Abdullah berkata, atas isu yang pertama mahkamah memutuskan pihak ketiga iaitu Nik Rorhana berhak memfailkan permohonan lafaz cerai bagi pihak Sultan Ismail Petra itu berdasarkan kepada hukum syarak. 

"Bagi isu yang kedua mahkamah mendapati plaintif telah gagal mengemukakan saksi yang mencukupi dan hanya mengemukakan seorang saksi iaitu seorang doktor dan mahkamah berpuas hati dengan keterangannya. 

"Bagaimanapun keterangan saksi yang kedua mahkamah tidak berpuas hati kerana keterangannya tidak mencukupi sebagai saksi," katanya. 

Abdullah berkata, dalam isu yang ketiga Sultan Ismail Petra hanya membenarkan seorang hakim sahaja untuk ditemubual berhubung pengesahan lafaz cerai baginda itu yang diadakan di Istana Mahkota pada 30 Oktober lalu. 

"Jika saya yang menjadi saksi dalam pertemuan itu siapa pula yang boleh menjadi hakim dan hakim tidak boleh menjadi saksi," katanya. 

Peguam mewakili Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hassan ketika ditemui di luar mahkamah berkata, sepatutnya apa yang berlaku di Istana Mahkota pada ketika itu ia perlu dihadiri plaintif, defendan, peguam yang mewakili kedua-duanya dan termasuk hakim. 

"Apa yang berlaku ia sudah tidak mematuhi prosedur kerana hakim pada masa yang sama tidak boleh menjadi saksi. 

"Dengan keputusan mahkamah hari ini Cik Puan Elia Suhana dan Al-Sultan (Sultan Ismail Petra) masih lagi adalah suami isteri yang sah," katanya. 

Sementara itu, peguam plaintif, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, beliau akan berbincang dengan anak guamnya itu sama ada untuk memfailkan rayuan atas keputusan itu atau sebaliknya. - BERNAMA 

Penyamun tidak serik





MUAR - Seorang penyamun yang baru dibebaskan daripada menjalani hukuman penjara selama dua bulan kerana melakukan jenayah pecah rumah tidak pernah serik dengan hukuman diterimanya apabila dia mengulangi kegiatan tersebut. 

Bagaikan kemaruk dengan kegiatan mencuri, lelaki berusia 23 tahun itu bersekongkol dengan seorang lagi rakannya selama enam bulan untuk mendalangi lebih 10 jenayah yang sama sejak dari tempoh dia dibebaskan. 

Namun, kelicikan suspek dalam menjalankan semua kegiatan tersebut terbongkar apabila sepasukan anggota polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Batu 17, Air Hitam dekat Bakri di sini pada 30 November, lalu. 

Dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi itu, kedua-dua suspek turut ditahan dalam keadaan berkhayal selepas dipercayai menggunakan dadah jenis heroin. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan, berkata kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 29 dan 23 tahun.

“Dalam serbuan ini, polis berjaya merampas sejumlah barangan yang dipercayai dicuri iaitu sebuah motosikal, tiga televisyen, dua pemain cakera video, sebuah radio dan sebuah mesin meracun hidraulik.

“Suspek turut membawa polis ke sebuah lagi rumah dan berjaya menemui barangan curi lain termasuk kamera digital, gelang tangan emas, rantai perak, komputer riba dan telefon bimbit,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Choon Guan berkata, dengan penahanan kedua-dua suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan lebih 10 kes pecah rumah yang berlaku sejak enam bulan lalu di sekitar Bakri dan Sungai Balang.

Kesemua barangan yang dirampas ini dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 4 Disember lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dan pecah rumah,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara maksimum sehingga 14 tahun.

Wanita maut lori bertembung trak tunda





IPOH - Seorang wanita maut selepas lori yang dinaiki bersama suaminya melanggar sebuah trak penunda di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, berhampiran Kampung Kepayang di sini, pagi semalam. 

Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, kejadian yang berlaku jam 6.14 pagi menyebabkan Hayati Mahat, 47, meninggal dunia manakala suaminya, Mohd Sabri Ibrahim, 54, yang memandu lori mengalami kecederaan pada bahagian badan dan kaki. 

Menurutnya, Mohd Sabri dan pemandu trak penunda, Saiful Asuwa Abdul Hamid, 27, yang turut cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini bagi mendapatkan rawatan. 

“Mangsa yang maut meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepada dan dua lagi yang cedera dihantar ke HRPB. 

“Kemalangan berlaku selepas lori yang membawa muatan sayur dipandu Mohd Sabri dilanggar sebuah trak penunda yang terbabas sebelum bertembung,” katanya. 

Mohd Rodzi berkata, mangsa yang maut dan suami berasal dari Kampung Sungai Itek, Gopeng manakala Saiful Asuwa berasal dari Simpang Pulai, di sini. 

Mayat mangsa yang selesai dibedah siasat di HRPB dituntut oleh ahli keluarga tengah hari semalam.

Siswi bergetah kena cekup





GEORGETOWN - Dua wanita warga China yang kononnya masih menunggu visa pelajarnya dikeluarkan pihak berkuasa dan seorang wanita Vietnam yang pasportnya dirampas oleh mahkamah kerana sedang menunggu perbicaraan kes antara 42 pelayan pelanggan (GRO) yang ditahan dalam Ops Noda di sini, semalam. 

Operasi itu yang melibatkan sepasukan pegawai dan anggota D7 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menyerbu sebuah pusat hiburan, G-Planet di sini kira-kira jam 10.45 malam. 

Diketuai Asisten Superintendan Khairi Anuar Rosli, pasukan itu berjaya menahan 35 wanita warga China, lima Vietnam, dan masing-masing seorang dari Thailand dan Indonesia. 

Turut ditahan, pengurus pusat hiburan itu yang berusia 38 tahun, 15 pekerja dan 45 pelanggan untuk siasatan dan pemeriksaan air kencing. 

Khairi Anuar berkata, ketika serbuan, kesemua wanita itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang namun usaha mereka gagal kerana permis itu telah dikepung anggota polis. 

Menurutnya, Pemeriksaan ke atas pusat hiburan itu mendapati permis berkenaan dilengkapi lampu isyarat amaran di setiap bilik bagi memudahkan GRO melarikan diri jika diserbu pihak berkuasa.

“Sebaik polis berjaya memasuki pusat hiburan itu, mereka masih mahu lari malah ada yang tanggalkan kasut tumit tinggi untuk memudahkan mereka lolos. Namun usia mereka sia-sia kerana anggota kita sudah siap menunggu di luar,” katanya.

Menurutnya, daripada pemeriksaan, 27 didapati memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial, enam menggunakan permit berkahwin dengan lelaki tempatan, seorang menggunakan visa pelajar kolej,seorang menggunakan visa sebagai pekerja restoran, seorang pasportnya dirampas oleh mahkamah dan enam lagi tiada pasport,”katanya ketika ditemui selepas selesai operasi itu.

Khairi Anuar berkata, dua daripada enam wanita yang tidak mempunyai pasport itu memberi alasan sedang menunggu visa pelajar dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen sementara empat lagi gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri. 

Menurutnya, pemeriksaan air kencing mendapati enam positif dadah. Pelanggan dan pekerja pusat itu bagaimanapun dibebaskan selepas keterangan mereka diambil manakala kesemua GRO dan pengurus pusat hiburan itu dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit yang jika sabit kesalahan boleh dihukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kita juga akan menyiasat pemilik premis berkenaan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen iaitu menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit,”katanya.

Urut guna mulut





PETALING JAYA – Mengejutkan apabila sebuah pusat urut di Sungai Buloh dikesan menawarkan pakej oral seks kepada pelanggannya. 

Pakej urutan menggunakan mulut istimewa hanya ditawarkan kepada pelanggan setianya dengan bayaran serendah RM80 hingga RM100 sahaja. 

Perkara itu terbongkar dalam Ops Noda & Dadu Cawangan Kongsi gelap perjudian dan maksiat D7 Iibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kelmarin. 

Ketua Operasi, Asisten Supritendan Mohd Nazri Daud berkata, dalam serbuan di dua buah premis di Sungai Buloh dan Sungai Way, pihaknya berjaya menahan seorang wanita tempatan dan 12 wanita warga Thailand dan China berusia lingkungan 30-an. 

”Kita turut menahan dua lelaki warga asing yang turut bekerja sebagai tukang urut dan pemeriksaan mendapati ke semua mereka masuk ke negara ini sebagai pelancong,” katanya. 

Sementara itu, dalam serbuan lain, sebanyak 49 set komputer dirampas di dua pusat kafe siber judi di Sea Park dan Kelana Jaya. 

Dua lelaki tempatan yang menjadi penjaga pusat siber judi terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut. 

Katanya, tindakan diambil dibawa Sekysen 39 b peraturan-peraturan Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan Tindakan diambil di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.