Search This Blog

Saturday, December 4, 2010

Pencuri kabel dicekup



KUANTAN - Tindakan pegawai sebuah syarikat komunikasi bersama polis bantuan syarikat terbabit membuat rondaan mencegah kegiatan curi kabel membuahkan hasil apabila berjaya mengesan kegiatan dua lelaki mencuri kabel di kawasan Seri Damai dekat sini, petang kelmarin. 

Menyedari perbuatan mereka disedari, suspek lari lintang pukang cuba mengelak daripada dicekup, bagaimanapun seorang daripada mereka tertangkap dan diserahkan kepada polis. 

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, berikutan penahanan suspek berusia 23 tahun dari Jaya Gading dekat sini itu, polis berjaya merampas dua gulung kabel berukuran 100 meter yang sudah dipotong. 

Menurutnya, dua suspek terbabit dipercayai menjadikan talian kabel telefon di kawasan agak terpencil itu sebagai sasaran. 

“Usaha suspek untuk mendapatkan keuntungan tidak seberapa hasil menjual kabel itu bagaimanapun gagal apabila perbuatan mereka berjaya disedari pekerja syarikat terbabit. 

“Ketika pegawai berusia 45 tahun itu mengetuai tugas rondaan di kawasan terbabit, dia ternampak dua lelaki sedang menarik kabel yang telah dipotong lalu berhenti untuk membuat pemeriksaan,” katanya. 

Kamaruzzaman berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut manakala rakannya sedang dijejaki. 

“Kes disiasat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalang utama ditahan



LEDANG – Misteri kehilangan minyak pelincir kenderaan di sebuah bengkel di bandar Tangkak, di sini terjawab dengan penangkapan dua suspek pada 1 Disember lalu kira-kira jam 2.50 petang.

Salah seorang daripada suspek tersebut ialah pekerja bengkel itu yang juga merupakan dalang dalam kejadian pecah bengkel terbabit.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 20-an.

Menurutnya, suspek dipercayai melakukan kegiatan tersebut pada waktu malam bagi mengelakkan kegiatan mereka daripada dikesan oleh majikannya.

“Namun, perbuatan jahat pekerja itu ini dapat dihidu oleh majikannya setelah hairan melihat stok minyak pelincir di bengkelnya hilang.

“Aduan yang dibuat membolehkan pihak polis menjejak suspek dan seterusnya me�ngenal pasti dalang kecurian ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di sini, kelmarin.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati seorang lagi suspek merupakan menganggur ada aktif dalam kegiatan mencuri.

Dalam pada itu, minyak pelincir yang dicuri itu dipercayai untuk tujuan dijual kepada pelanggannya di sekitar Tangkak.

“Hasil tangkapan yang dilakukan di salah sebuah rumah suspek di Jalan Payamas, Tangkak telah menemui 12 kotak berisi minyak pelincir jenama Shell.

“Nilai kesemua barangan rampasan ini dianggarkan berjumlah RM2,600,” katanya.

Harun berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman bermula pada 2 Disember hingga 5 Disember ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dan pecah bengkel yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Nyaris maut ditetak





KOTA TINGGI – Seorang warga emas nyaris maut selepas ditetak oleh sekumpulan penyamun bersenjata di sebuah kilang wayar di Kawasan Perindustrian Bandar Penawar di sini, Ahad lalu, menyebabkannya parah apabila diserang oleh salah seorang suspek dengan parang. 

Mohd Nor Iman, 68, berkata, dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, dia bersama seorang lagi rakannya berada di pos pengawal di kilang terbabit terkejut apabila didatangi empat suspek bertopeng sambil membawa parang. 

Menurutnya, ketika kejadian, dia dan rakan sedang berehat namun tersentak apabila pos pintu pengawal ditendang suspek menyebabkannya tergamam selepas salah seorang daripada suspek memberi amaran sambil memegang parang. 

Betis dilibas parang, tangan diikat 

“Suspek menyuruh kami diam dan beritahu jangan bergerak kerana mereka akan buat apa saja termasuk memancung kami jika cuba melawan mereka,” katanya kepada Sinar Harian. 

Mohd Nor berkata, pada waktu itu, dia hanya mampu mengucap dan sempat membaca ayat kursi namun tetap berdoa semoga nyawanya selamat. 

“Tiada apa yang saya ingat sewaktu itu selain berdoa supaya nyawa saya tidak melayang di tangan penjenayah kejam seperti ini,” katanya. 

Mohd Nor yang baru kerja di kilang itu selama empat bulan berkata, suspek bertindak ganas apabila melibas parang pada bahagian tulang betis kaki kemudian tangannya diikat dengan tali kasut. 

“Suspek mula bertindak lebih agresif apabila cuba mencederakan saya hingga mengakibatkan betis kaki dilibas dengan parang salah seorang suspek hingga mengakibatkan banyak tumpahan darah,” katanya. 

Katanya, selepas ditetak dengan parang, suspek menendangnya di bawah meja, sebelum dia menjerit meminta tolong supaya melepaskannya yang banyak kehilangan darah pada waktu itu. 

“Badan saya lemah, perasaan pun takut dan hanya mampu berdoa,” katanya. 

Mangsa jadi trauma 

Mohd Nor berkata, kejadian itu menyebabkan dia kini lebih berhati-hati dan berharap kejadian sama tidak berulang lagi pada masa depan kerana trauma kesan daripada peristiwa itu. 

“Saya trauma dengan kejadian ini dan berharap peristiwa malang ini tidak menghantui saya pada masa akan datang,” katanya. 

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam kejadian itu, mangsa dipercayai diikat penjenayah sebelum dilibas dengan parang pada bahagian betis kanan, sebelum kesemua suspek melarikan 37 gelung tembaga bernilai RM250,000 dari kilang tersebut. 

Bagi menghilangkan bukti, penjenayah terbabit turut melarikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kilang tersebut. 

Katanya, polis kini masih memburu suspek kes tersebut dan meminta orang ramai yang mempunyai bukti kes itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di talian 07-2212999. 

Gerak hati isteri sebelum kejadian 

Sementara itu, isteri mangsa, Rediah Gimin, 58, berkata, pada hari kejadian, dia tidak sedap hati ketika hendak menunaikan solat maghrib sebelum mengiringi suaminya keluar bekerja. 

“Hati saya tiba-tiba tidak tentu arah pada waktu itu, kemudian menghantar suami ke pintu sebelum dia (suami) terus ke tempat kerja,” katanya. 

Namun katanya, dia terkejut apabila didatangi polis ke rumahnya sebelum diberitahu bahawa suaminya ditetak oleh sekumpulan penjenayah di kilang tempatnya bekerja. 

“Hati isteri mana tidak sedih apabila mendengar peristiwa itu, namun saya gagahkan jua hati dan berharap suami saya selamat daripada dugaan ini,” katanya. 

Menurutnya, peristiwa itu menyebabkan dia mula bimbang dengan nasib suaminya itu, bagaimanapun dia bersyukur kerana suaminya selamat dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa. 

“Kami sekeluarga bersyukur kerana keadaan suami saya selamat dan Alhamdulillah suami sudah stabil selepas menjalani rawatan di beberapa buah hospital sejak selepas hari kejadian tersebut,” katanya.

Penjual air ketum diberkas





PEKAN SIK-Tindakan licik seorang penagih dadah yang juga pengedar air ketum menggunakan taktik campuran minuman kola bergas dan ubat batuk untuk mengurangkan rasa pahit air ketum berjaya ditumpas, awal pagi kelmarin.

Difahamkan selain dapat mengurangkan pahit, minuman campuran itu dipercayai memberi kesan khayal yang lebih kuat kepada peminum berbanding hanya meminum air ketum semata-mata.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Zaidong Mustaffa berkata, berdasarkan maklumat awam, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) diketuai Inspektor Awang Rablin Kasta berjaya menghidu kegiatan berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kota Aur sekitar jam 3 pagi, suspek utama seorang lelaki Melayu berumur 24 tahun berada dalam rumah berkenaan bersama empat pelanggan.

“Kesemua mereka berumur antara 17 hingga 26 tahun dan hasil ujian saringan awal mendapati, tiga daripada pelanggan itu positif dadah ketamin manakala dua lagi positif morfin,” katanya.

Beliau berkata, bersama penangkapan suspek utama, polis turut menemui 34 biji pil berisi bahan yang disyaki dadah dan dua botol berisi ubat batuk. Suspek utama juga positif ketamin.

“Dalam serbuan berkenaan juga, polis turut merampas 28 botol plastik mengandungi air ketum dan jumlah cecair adalah 42 liter.

“Berdasarkan siasatan awal, harga pasaran sebotol air campuran ketum, kola bergas dan ubat batuk dijual RM10 dan dalam tempoh sehari pengedar tersebut memperoleh pulangan hingga RM280 untuk 28 botol itu,” katanya.

Selain itu, barangan lain yang dirampas adalah 90 botol berisi cecair ubat batuk (Kodein), daun ketum dengan anggaran berat 8,000 gram, periuk, tong gas dan dapur untuk memasak cecair tersebut.

“Melalui maklumat yang diperoleh, pengedar mendapatkan sumber daun ketum dari kawasan kampung sekitar Kampung Danglau, Nami, Belantik, Sik dan kawasan berdekatan untuk memenuhi tuntutan pelanggannya,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman dan kes tersebut akan disiasat bawah dua seksyen iaitu Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Barang niaga hangus

 


KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri bersama dua anaknya nyaris terbakar selepas paip minyak motosikal roda tiga yang dinaiki mereka tiba-tiba mengeluarkan api di Jalan Sultan Sulaiman, kelmarin. 

Isteri, Husna Hayati Rizon, 23, dari Kampung Paya Bunga berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, dia bersama suami, Saiful Andri Jaafar, 30, dan dua anaknya, Hasmira, 6, dan Haslinda, 4, dalam perjalanan dari rumah ke Pantai Batu Burok untuk berniaga rojak buah, minuman serta makanan ringan. 

Menurutnya yang merupakan penjaja jalanan, setibanya di tempat kejadian, motosikal roda tiga yang dinaiki mereka itu tiba-tiba terbakar. 

“Ketika itu, hanya suami menyedarinya, lalu dia memberhentikan motosikal dan mengarahkan kami semua turun. 

“Dalam keadaan kelam kabut itu, saya hanya sempat menyelamatkan kedua-dua anak manakala semua barang niaga lain yang diletakkan di dalam tong motosikal hangus sekelip mata,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian. 

Husna Hayati berkata, motosikal roda tiga itu adalah kenderaan utama digunakan mereka untuk mencari rezeki. 

Sebelum ini ia tidak pernah ‘meragam’ atau mengalami sebarang kerosakan. 

“Walaupun sudah uzur, namun motosikal roda tiga ini banyak berbakti kepada kami, malah ia tidak pernah memberi banyak masalah sebelum ini. 

“Tetapi mungkin sudah ditakdirkan perkara ini akan berlaku kerana sebelum ini, sudah dua hari kami tidak berniaga disebabkan hujan, tetapi tidak tahu kenapa dan mengapa tiba-tiba hari ini, kami teringin sangat berniaga walaupun masih hujan,” katanya. 

Sementara itu, Husna Hayati yang sudah tujuh tahun menjadi penjaja jalanan bersama suami meluahkan rasa kecewa kerana sebelum ini, mereka pernah memohon untuk mendapatkan sebuah kedai untuk berniaga, tetapi sehingga kini masih tidak mendapat jawapan menggembirakan. 

“Saya bersama suami bukan orang senang dan kami bergantung harap sepenuhnya dengan hasil pendapatan sebagai penjaja jalanan untuk mengisi perut dan membesarkan dua anak yang masih kecil.

“Tetapi saya tidak tahu kenapa permohonan yang dibuat sebelum ini untuk mendapatkan sebuah kedai bagi memudahkan kami berniaga tidak diluluskan sedangkan kami amat memerlukannya,” katanya.

Dua kemalangan maut dalam tempoh dua hari




MARANG - “Pemandu terbabit juga dipercayai melanggar sebuah kenderaan lain ketika cuba memasuki lorong menyebabkan kenderaan dipandu berpusing sebelum berada di laluan bertentangan dan bertembung dengan lori berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Ahmad berkata, penunggang motosikal yang berada dekat dengan lori berkenaan juga dipercayai gagal mengelak selepas dua kenderaan itu bertembung sekali gus menyebabkan motosikal ditunggang dirempuh Gen2. 

“Mangsa, Khoiralazi Mohamad, 26, penunggang motosikal kedua yang maut di Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan dalam tempoh dua hari. 

“Khoiralazi disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Klinik Kesihatan Merchang,” katanya. 

Sebelum itu pada Rabu lalu, seorang operator kilang di Cendering, Kuala Terengganu yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kubu maut beberapa meter dari lokasi berkenaan selepas dirempuh sebuah bas ekspres. 

Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu, bas ekspres dalam perjalanan dari Melaka ke Kota Bharu dengan membawa 11 penumpang terbalik ketika cuba mengelak motosikal di simpang tiga. 

Ahmad Maslan berkata, siasa-tan akan dibuat secara menyeluruh berhubung dua kejadian itu dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1985.

Penghulu masih cari 4 lembu terlepas



KUALA KRAI - Penghulu Mukim Mengkebang di sini, Husin Taib masih mencari empat lembu miliknya yang hilang seminggu selepas Hari Raya Aidiladha lalu sehingga menyebabkan dia kerugian kira-kira RM8,000. 

Husin berkata, dia berusaha mencari lembu itu merata tempat terutama sekitar Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Mengkebang dan kampung berdekatan namun sehingga kini masih belum ditemui. 

Menurutnya, ternakan hilang itu adalah lebihan kembu korban yang dijualnya menjelang Aidiladha lalu dan ditambat kira-kira 500 meter dari rumahnya di RPT Mengkebang, dekat sini. 

“Lembu terlepas ini saya hanya ikat di tengkuk kerana sudah ada orang tempah untuk majlis kenduri tetapi bila sampai hari pembeli datang nak ambil, lembu tak ada (hilang). 

“Saya sudah cuba cari sekitar tanah rancangan ini termasuk di kawasan kebun getah dan tepi jalan besar sehingga sampai ke Sungai Pas tetapi tak jumpa,” katanya di sini, semalam. 

Husin berkata, dia khuatir empat lembu terlepas itu sudah terkeluar jauh dari kawasan tanah rancangan berkenaan dan berkeliaran merata tempat seolah-olah tidak ada pemilik. 

“Sekarang ini, bila terdengar atau orang beritahu ada ternampak lembu berkeliaran, saya akan pergi tengok sama ada itu lembu saya yang hilang,” katanya. 

Husin turut meminta bantuan orang ramai terutama penduduk sekitar tanah rancangan itu yang ternampak empat lembu dewasa berkeliaran supaya menghubunginya menerusi 019-9108998 atau 019-9046052 (Ismail Awang).

Cubaan seludup pasir tumpas





PELABUHAN KLANG - Hasrat penyeludup membawa pasir ke Singapura gagal selepas Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Negeri Selangor berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan pasir berjumlah RM144,000 dalam dua serbuan berasingan di Perairan Sungai Langat berhadapan Jugra dan di Jeti Pulau Carey, Banting baru-baru ini. 

Ketika sedang melakukan rondaan kira-kira jam 2 petang, Selasa lalu di Perairan Sungai Langat, Bahagian Penguatkuasaan Selangor menahan sebuah kapal bersama tongkang bagi tujuan pemeriksaan. 

Pengarah KDRM Negeri Selangor, Datuk Roslan Yusuf berkata, pemeriksaan ke atas dokumen Borang Kastam 2 mendapati muatan yang dibawa diisytiharkan sebagai Mortar Mix (campuran pasir halus dan simen) untuk melekatkan batuan. 

“Pengisytiharan dalam borang dengan muatan yang dibawa adalah berbeza dan ia jelas wujud penipuan, tambahan lagi pengeksportan pasir dilarang secara mutlak. 

“Pegawai kita terpaksa menahan kapal bersama muatan itu yang dianggarkan seberat 3,600 metrik tan dan dianggarkan bernilai RM72,000. Malah lapan lelaki dipercayai kapten dan tujuh anak kapal turut dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut,” katanya. 

Menurutnya, hasil penahanan kapal berkenaan, sekali lagi KDRM membuat serbuan di sebuah Jeti Pulau Carey, Banting kira-kira jam 1.20 petang, kelmarin 

“Kastam menahan tongkang bersama muatan pasir seberat 3,600 matrik tan bernilai kira-kira RM72,000. 

“Kita juga menahan seorang lelaki yang mendakwa sebagai pemilik kepada muatan berkenaan,” katanya ketika sidang media di Pejabat KDRM Pelabuhan Klang Utara dan Jeti Pulau Carey, Banting, di sini petang semalam. 

Beliau berkata, kesemua sembilan lelaki yang ditahan berusia 28 hingga 54 tahun dan tujuh daripadanya sudah dibebaskan manakala dua lagi ditahan reman bagi membantu siasatan. 

“Kita akan melakukan siasatan lanjut yang boleh disabitkan di bawah Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967 (semakan 1980) iaitu membuat Pengeksportan Tanpa Permit Yang Sah. 

“Kesalahan pertama, denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak kurang 20 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 40 kali ganda nilai barang atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. 

Dalam pada itu katanya, pemilik jeti yang menyalahgunakan lesen untuk aktiviti menyalahi undang-undang akan diambil tindakan tegas dengan membatalkan lesen.

Tragedi KM29

 


MARANG – Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini, seolah-olah ‘berpuaka’ apabila lokasi berkenaan meragut nyawa seorang lagi penunggang motosikal dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di sini, petang kelmarin. 

Kemalangan melibatkan sebuah lori, sebuah kereta Proton Gen2 dan motosikal. 

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, penunggang motosikal terbabit yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Kuantan maut selepas sebuah lori dari arah sama bertembung dengan Proton Gen2 dari arah bertentangan. 

Bagaimanapun, pemandu dan kelindan lori serta pemandu Proton Gen2 yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Mercang tidak mengalami sebarang kecederaan serius. 

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu Proton Gen2 yang gagal untuk memasuki lorongnya semula selepas memotong lebih dua buah kenderaan.

Puluhan kenderaan terkandas




KUALA LIPIS - Berpuluh-puluh kenderaan terkandas di laluan Taman Permai dan Chenderas Jaya apabila berlaku banjir kilat di kawasan itu lewat petang kelmarin. 

Seorang peniaga, Norziana Mohd Noor, 39, berkata, kejadian banjir kilat bitu berlaku terlalu pantas di mana paras air naik dalam tempoh setengah jam sahaja sehingga menenggelamkan permukaan jalan. 

Menurutnya, hujan lebat sekitar jam 4.30 petang itu menyebabkan paras air naik di permukaan jalan sehingga menyukarkan kenderaan ringan seperti motosikal serta kereta melalui kawasan itu. 

“Paras air naik terlalu cepat dan dalam kekalutan itu, terdapat kemalangan kecil berlaku membabitkan sebuah motosikal serta kereta. 

“Kejadian itu turut memberi kesan kepada perniagaan saya apabila gerai jualan terpaksa ditutup lebih awal akibat dinaiki air banjir,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin. 

Seorang penduduk di Taman Permai, Roslan Abdullah, 50, berkata, ketika kejadian itu berlaku, orang ramai sedang berpusu-pusu keluar dari tempat kerja untuk pulang ke rumah. 

Menurutnya, banjir itu menyebabkan orang ramai terkandas dalam perjalanan ke destinasi masing-masing dan mengambil sedikit masa sehingga air surut. 

“Kejadian banjir seperti ini kerap berlaku. Antara punca dikenal pasti ialah masalah perparitan yang tidak dapat berfungsi dengan baik akibat disekat sampah sarap. 

“Selain itu, sistem longkang yang kecil dan terhad juga menyebabkan berlaku banjir kilat itu. Saya berpendapat kira perkara ini akan berulang terutama menjelang musim tengkujuh,” katanya. 

Roslan berkata, pihak berkaitan diharapkan dapat memainkan peranan dalam usaha menaik taraf sistem perparitan di kawasan itu untuk mengelakkan kejadian sama berulang. 

“Penduduk di kawasan ini semakin bertambah dan langkah menaik taraf terutama membabitkan sistem perparitan perlu disegerakan. 

“Pihak berkaitan perlu menyelenggarakan dan mengutip sampah sarap di kawasan longkang itu untuk memudahkan laluan air sekiranya berlakunya hujan lebat,” katanya.

PANTANG MAUT





KOTA TINGGI – “Mujur ada lori, jika tidak, sudah pasti saya yang dilanggar,” kata seorang saksi ketika melihat kemalangan dua lori di Simpang Kampung Mawai Lama, petang semalam. 

Ketika kejadian, Ahmad Idrus, 42, yang dalam perjalanan ke Kota Tinggi, berhenti di simpang tiga jalan kampung berkenaan sementara menanti dua lori terbabit melintasi jalan utama di hadapannya. 

Dakwanya, sebuah lori yang membawa barangan logam dari Tanjung Sedili menuju Kota Tinggi tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori dari arah bertentangan yang membawa muatan pasir. 

“Saya terkejut melihat sebuah lori yang membawa barangan logam memandu dengan laju turun dari bukit dan menghala ke arah saya. 

“Dalam masa sama, lori pasir dari arah Kota Tinggi menuju ke Tanjung Sedili melintas di hadapan saya menyebabkan lori pasir itu dirempuh lori yang membawa barangan logam tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Buat maksiat dalam kereta




LUNAS - Seorang janda anak satu ditangkap khalwat bersama kekasihnya yang juga suami orang di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga di Taman Industri Saujana, di sini.

Jurucakap Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) berkata, pemantauan terhadap kereta pasangan itu dilakukan kira-kira dua minggu lalu selepas menerima aduan daripada orang ramai mengenai perlakuan sumbang pasangan itu.

"Kira-kira jam 9 malam ketika Penguat kuasa PADK membuat rondaan, anggota terserempak dengan kereta Proton Saga baru sepertimana aduan diterima.

"Setelah membuat pemeriksaan terhadap kereta itu. PADK menemui sepasangan kekasih duduk di kerusi belakang kereta dalam keadaan mencurigakan, " katanya.

Menurutnya, siasatanPADK mendapati pasangan wanita berusia 38 tahun dan sudah menjanda sejak 14 tahun lalu setelah kematian suaminya, manakala pasangan lelaki berusia 20 tahun merupakan suami orang dan mempunyai seorang anak.

"Mereka bekerja di kilang sama di Lunas dan keluar bersama sejak jam 5 petang sehingga ditangkap kira-kira jam 9.30 malam, ” katanya.

Juru cakap PADK berkata, hasil siasatan PADK terhadap pasangan wanita mendapati mereka berkenalan sejak beberapa bulan lalu dan mengaku sudah terlanjur.

Bagi mengelak perlakuan sumbang mereka itu dilihat orang ramai, tingkap belakang kereta ditutup dengan penggalas cermin.

Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Lunas untuk membuat laporan tangkapan.

Pasangan wanita ditahan di lokap Balai Polis Lunas manakala lelaki dilokap Balai Polis Kulim. Pasangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

PADK turut menasihatkan pasangan itu agar menyedari kesalahan dilakukan tergolong dalam dosa besar. Pasangan akan diarahkan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada tarikh ditetapkan sekiranya gagal berbuat demikian, waran tangkap akan dikeluarkan.

Nafi tipu Rashid Hussain



SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan, yang juga ibu tunggal, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan menipu Pengasas bank RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussan membabitkan kerugian RM7 juta berhubung satu kontrak, tahun lalu. 

Sharida Abdul Majid, 46, didakwa menipu Abdul Rashid dengan memperdaya beliau bahawa dia mendapat satu kontrak bernilai tidak kurang B$8 juta (Brunei Dollar) dan menawarkan ahli perniagaan itu untuk menyertai pelaksanaan kontrak terbabit. 

Perbuatannya didakwa mendorong Abdul Rashid menyerahkan tiga keping cek bank Standard Chartered berjumlah RM7 juta sebagai penyertaan dalam kontrak berkenaan. 

Pada masa sama, bekas isteri kepada seorang peguam itu, turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menggunakan dua keping bil tunai High Motivations Sdn Bhd yang palsu. 

Sharida didakwa melakukan kedua-dua kesalahan terbabit antara 1 Oktober dan 13 November tahun lalu di Tingkat 6, Bangunan B, Peremba Square Saujana Resort, Shah Alam. 

Ketika prosiding pendakwaan itu, bekas suami wanita berkenaan, Mohd Azfar Abdullah, hadir bagi pihak peguam, Selvamookiah untuk rayuan pengurangan ikat jamin RM1 juta yang ditawarkan pendakwaan. 

Menurutnya, walaupun bekas isteri yang dikahwininya selama 23 tahun itu seorang warganegara Singapura, dia menetap di negara ini selama 30 tahun. 

“Kami mempunyai empat anak yang memerlukan kehadiran tertuduh dan saya akan memastikan dia hadir ke mahkamah,” katanya. 

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaacob membenarkan Sharida diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin serta syarat pasport antarabangsa miliknya diserahkan kepada mahkamah. 

Beliau turut menetapkan sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen pada 7 Januari depan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Perdagangan, Nurshuhaida Zainal Azahar dan Nuur Fakhizaa Abu Bakar.

Tiga ditahan selepas terima wang tebusan RM30, 000 bebaskan pelajar diculik


KUALA LUMPUR -- Tiga orang, termasuk seorang wanita, ditahan di kawasan Rawang, dekat sini selepas menerima wang tebusan berjumlah RM30,000 bagi membebaskan seorang pelajar kolej swasta yang diculik sejak tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata penahanan itu dibuat selepas keluarga pelajar perempuan itu menyerahkan wang tebusan di kawasan Bukit Bintang hari ini.

Pelajar berusia 22 tahun itu diculik pada Rabu lepas di hadapan rumahnya di Selayang Baru kira-kira 5.45 pagi ketika menunggu rakannya untuk ke kolej di Petaling Jaya sebelum didatangi dua lelaki menaiki kereta.

"Keluarga menyedari kehilangannya apabila suspek menghubungi mereka (keluarga) beberapa jam selepas kejadian untuk meminta wang tebusan berjumlah RM30,000," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata keluarga mangsa, yang bimbang dengan keselamatan pelajar berkenaan, membuat laporan polis pada Rabu lepas mengenai kejadian dan panggilan ugutan itu.

"Selepas itu, polis telah merancang dengan keluarga mangsa untuk menetapkan tempat dan waktu untuk menyerahkan wang itu," katanya.

Abdul Rahim berkata selepas keluarga menyerah wang tebusan dan mangsa dibebaskan, polis mengekori tiga suspek itu dengan seorang suspek lelaki menunggang motosikal manakala dua lagi suspek termasuk seorang wanita menaiki kereta Toyota Avanza.

Beliau berkata polis menahan suspek yang menunggang motosikal di lampu isyarat Tesco Rawang dan dua suspek lagi ditahan kira-kira 500 meter dari Tesco menghala ke arah Rawang pada kira-kira 3.05 pagi dan merampas wang tebusan itu dari dalam kereta.

"Kesemua suspek berumur lingkungan 20-an itu masing-masing merupakan pekerja kilang, petugas di pejabat peguam dan penganggur," katanya.

Mereka ditahan reman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup. -- BERNAMA

41 maut hutan terbakar


ANGGOTA penyelamat berjalan di celah pokok rentung di luar Kibbutz Beit Oren berhampiran bandar Haifa di utara Israel. Pesawat bomba dari empat negara tiba di Israel untuk membantu melawan kebakaran besar hutan yang sudah meragut sekurang-kurangnya 40 nyawa dan memaksa ribuan penduduk dipindahkan. - Foto Reuters




2010/12/04

HAIFA: Ribuan anggota bomba Israel dan penyelamat bertungkus lumus mengawal kebakaran hutan besar-besaran yang mengorbankan 41 orang, ketika bantuan global datang untuk memadamkan kebakaran terbesar dalam sejarah negara itu, semalam.

Ketika angin kencang menyebabkan kebakaran menghala ke bahagian bandar pelabuhan utara di sini, polis dan pegawai perubatan berkata penyelamat menemui mayat menjadikan jumlah yang maut kepada 41 orang dan memberi amaran angka itu mungkin meningkat.
Sehingga pagi ini, kami menemui 41 mayat dan masih ada tiga lagi yang hilang, kata jurucakap polis Micky Rosenfeld, menambah ada 16 orang cedera termasuk tiga parah dan satu kritikal.
Rosenfeld berkata 15,000 orang dipindahkan ketika api membakar lebih 4,000 hektar tanah dan sampai ke bahagian selatan bandar ini, bandar ketiga terbesar di Israel dengan jumlah penduduk 265,000 orang.

Polis dan penyelamat mengesahkan kebanyakan yang maut adalah pengawal penjara yang cuba memindahkan tahanan dari hutan itu.

Bas cuba berpatah balik dan sesetengahnya cuba melarikan diri, namun mereka terperangkap akibat kebakaran dari dua arah berlainan, kata Rosenfeld, dan menambah dua pegawai polis dan mangsa ketiga masih hilang.

Kami masih cuba mencari di kawasan seperti Beit Oren yang teruk terbakar, justeru kami tidak pasti apa yang kami temui dan jumlah kematian mungkin meningkat, katanya.
Di pusat arahan sementara di Universiti Haifa, konvoi kereta bomba keluar masuk dan polis berusaha mengawal lalu lintas yang diliputi asap tebal, kata wakil AFP, di tempat kejadian.

Ketika pergunungan Carmel terus terbakar lebih 24 jam selepas kebakaran bermula, empat pesawat pengebom air Canadair dilihat terbang di kawasan yang dipenuhi asap, menjirus air ke dalam api yang marak.

Dua helikopter jabatan bomba dan tiga pesawat kecil turut dilihat terbabit dalam menyekat kebakaran itu.

Hanya 1,500 anggota bomba berkhidmat di seluruh Israel, jumlah yang tidak mencukupi bagi negara dengan 7.6 juta penduduk, menyebabkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu merayu bantuan antarabangsa.

Menjelang awal pagi semalam, lima pesawat Greek, sebuah pesawat Bulgaria dengan 100 anggota bomba, sebuah pesawat Cyprus dan helikopter serta helikopter Britain berada di Israel, kata jurucakap tentera.
Sementara itu, beliau berkata helikopter kedua Britain dijangka tiba tidak lama lagi.

Tentera Israel berkata lapan pesawat dan tiga helikopter antarabangsa terbabit dalam operasi itu, selain 150 anggota bomba dari pelbagai negara. Kementerian Luar mengesahkan ia menerima jaminan bantuan tambahan daripada Azerbaijan, Croatia, Mesir, Perancis, Jordan, Romania, Russia, Sepanyol dan Turki. AFP