Search This Blog

Friday, December 3, 2010

8 pelajar, pembantu kantin terbabit curi motosikal ditahan





2010/12/03

KANGAR: Lapan remaja lelaki dan seorang pembantu kantin di sebuah institusi pengajian tinggi awam dekat sini, ditahan dalam beberapa operasi sejak Rabu lepas kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di kawasan utara Semenanjung. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Dsp Lee Swee Meng, berkata semua pelajar itu berusia 16 tahun, manakala pembantu kantin lelaki itu pula berusia 21 tahun.
"Penangkapan mereka yang semuanya berasal dari Kodiang, Kedah dipercayai dapat menyelesaikan kes curi motosikal di sekitar Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

71 maut pemberontak bertempur di Afrika Tengah





2010/12/03

LIBREVILLE: Seramai 71 orang, termasuk 65 pemberontak terbunuh sepanjang minggu lalu dalam pertempuran membabitkan kumpulan penentang dengan tentera kerajaan di utara Republik Tengah Afrika (CAR). 

Jurucakap CAR, Fidele Ngouand berkata, keganasan tercetus membabitkan dua kumpulan berbeza di Bandar Birao, tetapi pihak tentera berjaya mengawalnya.
“Di pihak tentera kerajaan, enam anggota terbunuh manakala di pihak pemberontak 65 maut dengan tiga parah," katanya.
Beliau bagaimanapun menafikan ada orang awam terbunuh dalam kejadian itu. 

Sementara itu, pihak pemberontak menerusi badan Konvensyen Patriotik bagi Keadilan dan Keamanan (CPJP) mendakwa jumlah korban yang dikeluarkan kerajaan itu tidak tepat. 

“Jumlah itu tidak tepat. Tentera Chad dan kerajaan CAR sejak kebelakangan ini memburu anggota CPJP," katanya. 

Minggu lalu, puak pemberontak menyerang Birao dan memaksa pihak tentera kerajaan berundir. 
Tentera CAR yang diperkuatkan dengan bantuan tentera Chad bagaimanapun dikatakan menyerang semula dan menawan bandar itu daripada puak pemberontak. - AFP

Pengawal keselamatan mengaku salah rogol anak kandung





2010/12/03

KANGAR: Seorang pengawal keselamatan hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 12 tahun sebulan dalam satu kejadian di kawasan kebun jati, Felcra Lubok Sireh dekat sini pada 22 November lalu. 

Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad menetapkan 11 Januari depan untuk menjatuhkan hukuman.
Lelaki berusia 38 tahun itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan kira-kira 4.30 petang di kebun berkenaan, dan dia yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.
Dia yang tinggal di Felcra Lubok Sireh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan. 

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sementara menunggu keputusan hukuman. 

Menurut fakta kes, pada hari berkenaan tertuduh mengajak anak perempuannya itu mencari rebung di kebun tersebut dan apabila sampai di tempat kejadian telah mengarahkan mangsa membuka seluar sebelum merogolnya. 

Tertuduh juga telah mengugut mangsa agar tidak memberitahu sesiapa. - BERNAMA

Domain wikileaks.org digugurkan





2010/12/03

STOCKHOLM: Penyedia sistem nama domain WikiLeaks menyatakan ia sudah menarik balik khidmat kepada wikileaks.org. 

EveryDNS menyatakan ia menggugurkan laman web itu semalam selepas ia menjadi "sasaran serangan penafian perkhidmatan pengedaran pelbagai".
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat Amerika Syarikat itu menyatakan serangan terbabit mengancam kestabilan prasarananya. - AP

Kes Kugan: Mahkamah tangguh keputusan ke atas konstabel





2010/12/03

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan keputusan ke atas Konstabel V Navindran yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang tahanan polis, A Kugan, kepada 28 Januari depan. 

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh baru itu selepas berjumpa dengan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi dan pihak pembelaan yang diwakili peguam Datuk P.M. Nagarajan dalam kamarnya.
Nagarajan ketika ditemui pemberita hari ini, berkata hakim memberitahu kedua-dua pihak bahawa mahkamah belum bersedia untuk menyampaikan keputusan berkenaan.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan pada hari ini untuk memutuskan sama ada tertuduh membela diri atau dilepaskan daripada dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis. 

Navindran, 28, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik soal siasat D9, Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 4 petang pada 16 Jan tahun lalu. 

Dia yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. 

Bagi dua pertuduhan pilihan menyebabkan cedera kepada Kugan, Navindran turut mengaku tidak bersalah di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan. 
Prosiding bicara itu yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali dan Abazafree Mohd Abbas berlangsung selama 25 hari, bermula 18 Februari lalu dan mengemukakan 24 saksi pendakwaan. - BERNAMA

Lebih 150 maut serangan tentera di Nigeria





2010/12/03

LAGOS: Lebih 150 orang yang kebanyakannya orang awam maut dalam serangan tentera yang lengkap bersenjata serta menggunakan serangan bom udara di satu kawasan deltan minyak terbesar, sejak Rabu lalu. 

Koordinator Kebangsaan Forum Keadilan dan Hak Asasi Manusia, Oghebejabor Ikim, memberitahu Associated Press, operasi tentera itu mensasarkan kawasan perkampungan dan kebanyakannya membunuh orang awam.
"Serangan itu membabitkan perkampungan di Delta Niger yang diteruskan hari ini apabila pihak tentera berusaha untuk menangkap militan yang dikenali John Togo," katanya.
“Saya boleh menyatakan serangan itu membunuh orang awam yang tidak berdosa. Rumah mereka dibakar. Wanita dirogol. Mereka sedang membunuh. Adakah ini cara untuk tangkap John Togo?” katanya. 

Seorang jurucakap tentera mengesahkan hari ini operasi ketenteraan itu masih berjalan tetapi enggan untuk memberi penjelasan lanjut. - AFP

Sembunyi atas siling




JOHOR BAHRU – Seramai 35 pekerja warganegara asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Johor dalam satu serbuan di sebuah kilang kain di Kawasan Perindustrian Larkin, di sini, kelmarin.

Timbalan Penolong Pengarah II Jabatan Imigresen Negeri Johor, Gajendra Bahadur berkata, serbuan Ops Mahir itu menyaksikan 334 pekerja kilang terbabit diperiksa yang bermula sekitar jam 4.15 petang dan berakhir jam 7 petang.

Menurutnya, hasil daripada siasatan dilakukan mendapati 31 lelaki dan empat wanita lingkungan usia antara 20 hingga 40 tahun yang merupakan pekerja kilang terbabit terpaksa ditahan selepas melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Ketika serbuan dilakukan, pintu pagar kilang ini dibuka lambat, selain terdapat segelintir pekerja asing ini cuba untuk meloloskan dengan bersembunyi di atas siling dan di sebalik kain-kain, namun berjaya ditangkap.

“Dalam serbuan ini, kami menahan 23 pekerja warganegara Bangladesh, Indonesia (tiga), Nepal (lima), Myanmar (dua) dan China (seorang) kerana melakukan kesalahan Sek�syen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pas yang sah.

“Seorang pekerja kilang ini warganegara Indonesia turut di tahan di bawah Seksyen 15 (1) (c) akta yang sama kerana dokumen permitnya sudah tamat tempoh,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas serbuan berkenaan berakhir.

Maut ditimpa “bucket” traktor




SUNGAI SIPUT (U) - Seorang lelaki, Low Choon Lim, 34, maut setelah terlibat dalam satu kemalangan sewaktu bekerja di sebuah bengkel membaiki traktor, di Jalong Tinggi, di sini, kelmarin.

Difahamkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian perut apabila “bucket” yang ingin dipasang pada sebuah traktor terjatuh di atas badannya.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, sewaktu kejadian mangsa yang juga seorang mekanik bersama dua lagi rakannya sedang membaiki sebuah traktor dan ingin memasang alat berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, mangsa tiba-tiba tergelincir menyebabkan alat yang ingin dipasang dan diangkat terjatuh menimpanya.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi dan ketika itu mangsa bersama dua rakan sekerja berbangsa Cina dan orang asli cuba mengangkat “bucket” untuk di pasang pada bahagian badan traktor.

“Mangsa dikatakan tergelincir akibat tanah yang licin selepas hujan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang tinggal di Kampung Baru Simpang Jalong itu, meninggal dunia kira-kira satu jam selepas kemalangan berlaku.

“Selepas kemalangan, mangsa terus dikejarkan ke Hospital Sungai Siput untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi gagal diselamatkan.

“Kita syak punca kematian mangsa disebabkan kemalangan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan mengenai kes ini,” katanya.

Mangsa difahamkan pekerja tetap di bengkel itu dan meninggalkan seorang isteri serta empat anak.

'Pencuri' kambing diberkas




POKOK SENA - Seorang penduduk di Kampung Panchur terkejut apabila melihat ular sawa sepanjang empat meter dan seberat kira-kira hampir 50 kilogram yang kekenyangan selepas menelan seekor daripada lebih 40 kambing peliharaannya di sebuah ladang kelapa sawit kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Haminah Nayan, 52, berkata, kebiasaan pada setiap pagi dia akan ke ladang kelapa sawit untuk melihat binatang peliharaannya seperti lembu, kambing dan ayam.

Namun, kejadian semalam yang pertama kali berlaku dalam hidupnya tidak akan dilupakan sampai bila-bila apabila melihat seekor kambingnya telah ditelan oleh seekor ular sawa.

Menurutnya, terkejut melihat perkara itu, dia terus memaklumkan kepada anaknya, Nazaruddin Ishak, 34, supaya berbuat sesuatu selain bimbang ular tersebut akan melarikan diri.

“Sepanjang saya memelihara binatang ternakan, tidak pernah kambing saya dimakan oleh ular sawa dan hal inilah kejadian pertama kali yang berlaku dan saya melihat sendiri ular yang kekenyangan berada di dalam kandang kambing.

“Saya juga bimbang ular itu akan melarikan diri selepas melihat kelibat saya tetapi anak saya memaklumkan bahawa ular itu tidak dapat melarikan diri disebabkan kekenyangan dan dia yang menghubungi talian kecemasan 999,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui dekat sini.

Haminah berkata, dia panik dengan kejadian berkenaan dan menyerahkan hal itu kepada anaknya untuk diuruskan sebelum Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) datang untuk menangkap ular tersebut.

Sementara itu, pegawai operasi JPAM, Mohd Fazol Ab Aziz berkata, bilik gerakan 999 JPAM Kota Setar menerima panggilan kecemasan jam 9.10 pagi dan satu pasukan dihantar ke lokasi kejadian dengan kekuatan lima anggota dengan sebuah jentera.

Menurutnya, anggota JPAM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular tersebut dan tidak mengambil masa yang agak lama disebabkan ular sawa itu baru sahaja menelan mangsa.

“Anggota JPAM mengambil masa kira-kira 15 minit dan semasa anggota sampai di lokasi ular itu masih berada dalam kandang kambing yang terletak di kawasan ladang kelapa sawit,” katanya.

Ular sawa 2.5 meter tersangkut




AYER HITAM - Penemuan seekor ular sawa sepanjang 2.5 meter yang tersangkut pada pukat yang diletakkan dalam petak sawah di Kampung Kerpan di sini, mengejutkan penduduk kampung itu.

Ular itu ditemui penduduk, Khairul Anuar Samsudin, 27, pada pukat yang diletakkan di sekeliling sawah milik bapa mertuanya itu kira-kira jam 6.30 petang.

Khairul Anuar yang ketika itu baru sahaja pulang dari tempat kerja bersama anak saudaranya berjalan di sekitar kawasan sawah padi yang kebetulan terletak berhampiran rumahnya.

Menurutnya, selepas sampai di kawasan sawah itu, dia hairan apabila melihat sebahagian padi di situ berada dalam keadaan rebah dan kemudian terus menghampiri kawasan berkenaan.

“Saya segera ke kawasan padi rebah itu dan mendapati terdapat seekor ular sawa apabila ternampak sebahagian pokok padi yang bergoyang-goyang di situ.

“Pada mulanya saya ingatkan burung yang tersangkut pada pukat yang diletakkan bapa mertua saya untuk mengelakkan ayam makan padi itu, namun selepas menghampiri kawasan itu saya amat terkejut apabila mendapati seekor ular sawa sedang melingkar dalam sawah,” katanya.

Khairul Anuar berkata, sebaik sahaja menyedari kejadian itu, dia segera meminta bantuan penduduk kampung namun, tiada siapa yang berani mengalihkan ular itu memandangkan ia begitu besar dan bimbang perkara yang tidak diingini berlaku.

Menurutnya, disebabkan penduduk tidak dapat berbuat apa-apa, dia segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan dan tidak berapa lama kemudian empat anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Kota Setar datang membantu menangkap ular tersebut.

“Saya juga anggota JPAM, namun disebabkan saiz ular itu terlalu besar ia menyukarkan saya menangkapnya seorang diri namun, memerlukan bantuan rakan lain untuk menangkapnya,” katanya.

Pegawai Operasi JPAM Daerah Kota Setar, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, Bilik Gerakan 999 JPAM Kota Setar menerima panggilan kecemasan pada jam 6.35 petang.

Menurutnya, satu pasukan bersama empat anggota dihantar ke sana bagi membantu menangkap ular sawa yang ditemui itu.

“Anggota JPAM Kota Setar mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap reptilia tersebut dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara,” katanya.

Kereta rempuh treler, pemandu selamat




KUALA LINGGI - Seorang pemandu treler hadapi saat mencemaskan apabila terbabit dengan kemalangan di Taman Cherry Indah, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.40 pagi itu, treler membawa muatan tong gas yang dipandu S.Kumar, 32, dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah bertentangan.

:Kumar berkata, dia bersama kelindannya, S.Saravanan, 19, dalam perjalanan dari arah Port Dickson menuju ke arah pekan Kuala Sungai Baru melalui jalan Kuala Linggi.

"Saya menyedari terdapat sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu dalam keadaan laju ketika melalui satu selekoh tajam di hadapan sebuah taman perumahan dekat sini.

“Sampai di selekoh, kereta berkenaan dalam seolah-olah kelam kabut sebelum hilang kawalan lalu merempuh hadapan lori saya sebelum saya dapat mengelak,"katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian.

Kumar berkata, dia tergamam selepas melihat kereta berkenaan memasuki laluannya dan merempuh bahagian kanan kepala treler, sebelum berpusing menyebabkan lori yang dipandu terbabas ke kiri jalan.

:Manakala, katanya, rakannya yang berada di sebelah tempat duduk hadapan sedang tidur ketika itu terus terjaga selepas dikejutkan dengan dentuman kuat, sehingga menyebabkannya dia terjatuh ke bawah tempat duduk.

“Bagaimanapun, saya lega kerana pemandu kereta berkenaan hanya cedera ringan. Kalau lihat kepada keadaan keretanya memang teruk," katanya.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit, seorang anggota tentera berusia lingku-ngan lewat 20-an dikatakan tersepit di celah beg udara semasa kejadian itu, sekali gus menyelamatkan nyawanya.

Mangsa turut dibantu orang ramai sebelum dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan lanjut.

Pengusaha burung walit curi air




NILAI – Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat serbuan ke atas sebuah premis di Bandar Baru Nilai, dekat sini kerana dikesan terlibat dalam kegiatan mencuri air.

Serbuan dilakukan kira-kira 11.30 pagi diketuai pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguat kuasaan SPAN, Mohadir Hid ke atas sebuah rumah kedai tiga tingkat yang turut diubah suai untuk ternakan burung walit.

Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, ketika serbuan, pemilik premis dikesan membuat penyambungan tidak sah menggunakan paip High Density Poly Ethyene (HDPE) bersaiz 25 milimeter dari paip utama milik Sains.

“Kita percaya pemilik premis tersebut membuat penyambungan haram itu adalah bagi kegunaan harian dan pembinaan premis terbabit,” katanya.

Menurut Azlan, Sains turut menjalankan ujian klorin di lokasi dan ianya membuktikan bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

“Sehubungan itu, SPAN bertindak menyita paip HDPE tersebut sebagai bahan bukti,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Dua remaja maut kes langgar lari




PULAU CAREY – Gara–gara pengusaha lori yang membawa kenderaan berat di sini dipercayai tidak mengutamakan ciri–ciri keselamatan, dua remaja lelaki Orang Asli maut apabila motosikal yang ditunggang mereka dilanggar lari sebuah lori.

Dua mangsa terbabit, Hazali Hasan, 14, dan rakannya, Muhamad Zaimi Amin, 16, maut di tempat kejadian yang berlaku lebih kurang jam 2.25 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Nordin Manan berkata, hasil siasatan awal kemalangan berpunca daripada lori yang cuai berkenaan masuk ke simpang salah sebuah ladang dan melanggar motosikal terbabit.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan terbabit diharapkan terus menghubungi polis untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.

Menurutnya, usaha mengesan suspek lori berkenaan sedang diteruskan akibat masalah langgar lari di kawasan berkenaan sering terjadi.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), E Munusamy berkata, kemalangan yang melibatkan langgar lari di kawasan berkenaan perlu dipantau.

Menurutnya, mengikut pemerhatiannya, kemalangan maut atau langgar lari sering berlaku sehingga kawasan berkenaan dilabel sebagai ‘kawasan tidak selamat’ berikutan keadaan lori berat yang keluar masuk menjalankan kerja penyelenggaraan sebuah lebuh raya.

“Dalam pada itu, pihak berkuasa perlu memantau aktiviti pengusaha lori berat di kawasan berkenaan yang didakwa tidak mempunyai ciri–ciri keselamatan.

“Masalah berkenaan bukan sahaja berlaku pada satu masa sahaja malah ianya berlanjutan,” katanya.

Budak 3 tahun maut



PETALING JAYA – Seorang budak perempuan berusia tiga tahun maut setelah terjatuh dari Tingkat 12, Rumah Pangsa Kayu Ara, dekat sini.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari, semalam, mangsa, Rosanisah Abdul Hamid ditemui mati oleh seorang penjaja di tingkat bawah Blok A rumah pangsa terbabit dalam keadaan berlumuran darah.

Menceritakan detik itu, penjaja tersebut, Zaleha Hussin 30 berkata dia terdengar bunyi seperti beg plastik sampah jatuh beberapa meter daripada gerainya.

“Ketika itu saya sedang masak, jadi saya tolehlah ingatkan anak patung yang jatuh bila pergi dekat rupa-rupanya budak, saya tidak berani angkatnya kerana takutkan darah.

Menurutnya, dia terpaksa menjerit meminta pertolongan kerana memandangkan tiada penghuni lain yang menyedari kejadian tersebut.

“Masa itu memang saya tengok dia sudah tidak bergerak mukanya penuh dengan darah,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Rosli Hashim, 34, berkata, dia sendiri musykil bagaimana mangsa boleh terjatuh sedang tembok balkoni itu lebih tinggi daripadanya.

“Saya sudah periksa dekat balkoni itu tidak ada meja atau rak diletakkan berhampiran dinding balkoni,” katanya

Bapa mangsa, Abdul Hamid Hashim, 38, berkata dia terkejut selepas dimaklumkan kejadian tersebut.

“Saya sedang makan ketika itu, kakaknya yang berusia 12 tahun bawa Rosanisah keluar,” katanya

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisiner, Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Pengawal ditangkap curi 15 telefon bimbit




KUANTAN - Angan-angan seorang pengawal keselamatan mengaut keuntungan ribuan ringgit hasil menjual 15 telefon bimbit dan 16 memori kad yang dicuri daripada sebuah kedai yang dijaganya tidak kesampaian apabila dia dicekup polis selepas perbuatannya itu berjaya dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit, malam kelmarin.

Lebih mengejutkan, hasil semakan ke atas rekod pengawal keselamatan daripada sebuah syarikat di sini itu mendapati dia pernah memiliki 17 rekod jenayah lampau termasuk 12 kes curi dan lima kes dadah.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, suspek, Mohd Kamaruleza Mahmud, 37, dari Sungai Isap di sini ditahan di rumahnya kira-kira jam 11.50 malam, 1 Disember lalu.

Menurutnya, hasil penahanan pengawal tidak amanah itu, polis berjaya menemui dan merampas kembali barangan curi yang dianggarkan bernilai RM4,465.

“Tindakan pantas polis yang bertindak berdasarkan maklumat dan pengecaman identiti suspek melalui rakaman CCTV itu berjaya menyelesaikan kes terbabit dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, pekerja wanita kedai menjual telefon bimbit dan aksesori itu menutup perniagaan kira-kira jam 9.30 malam, 30 Disember lalu.

“Bagaimanapun, ketika memulakan perniagaan kira-kira jam 11.30 pagi hari berikutnya, jurujual berusia 22 tahun itu mendapati kedainya terdapat kesan dipecahkan dan hasil pemeriksaan mendapati 15 telefon bimbit pelbagai jenama, 16 memori kad dan wang tunai RM15 lesap,” katanya.

Noor Asyikin berkata, berikutan kejadian, jurujual terbabit membuat laporan polis dan hasil siasatan dijalankan polis berjaya mengesan identiti suspek apabila kelibatnya melakukan jenayah berjaya dirakam CCTV.

Suspek yang berjaya ditahan polis untuk siasatan lanjut kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencuri dan dia mengaku bersalah.

Tertuduh yang merayu supaya tidak dipenjarakan dan memilih untuk membayar didenda gagal dalam rayuannya kerana hukuman penjara adalah wajib seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Majistret Adibah Abdul Kadir dalam keputusannya menjatuhkan hukuman penjara ke atas tertuduh selama sebulan bermula semalam dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.

Sebelum itu, Adibah menegur perbuatan tertuduh yang dianggap memalukan kerana sebagai seorang pengawal dia sepatutnya memikul amanah yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan di situ namun sebaliknya pula yang berlaku.

Mungkin menyedari kesilapannya, tertuduh meminta maaf bagaimanapun penyesalannya itu bukan alasan untuk mahkamah membebaskannya daripada hukuman.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa, Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin.

Dua maut, seorang cedera




LANCHANG – Dua lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dinaiki merempuh belakang sebuah lori tiga tan yang diletakkan di lorong kecemasan di Kilometer 92.8 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) kira-kira jam 4 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, mereka yang terbunuh ialah penumpang hadapan Hilux, Mohd Helvin Mohd Hanapiah, 25, dari Batang Berjuntai, Selangor, mati di tempat kejadian akibat tersepit dan cedera parah di kepala serta badan.

Menurutnya, seorang lagi yang terbunuh ialah pemandu Hilux, Abas Mohd Jusof 65, dari Ijok, Selangor yang mati ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh, manakala seorang lagi penumpang dikenali Mohd Syed Ujang, 56, hanya mengalami cedera ringan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Hilux yang dinaiki tiga lelaki berkenaan dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur selepas selesai mengiringi sebuah kenderaan lain yang membawa bahan letupan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu Hilux gagal mengelak sebuah lori tiga tan yang diletakkan sekumpulan pekerja pemasang papan iklan di lebuh raya lalu merempuhnya.

“Akibat rempuhan kuat, kenderaan dinaiki kesemua mangsa remuk teruk lalu terseret kira-kira 10 meter ke hadapan,” katanya, semalam.

Mohd Nor berkata, lori yang berhenti di lorong kecemasan itu tidak meletakkan kon amaran.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rugi RM2,000 ditipu 'rakan maya'




KUALA TERENGGANU - Seorang kakitangan kerajaan, 46, terpaksa berputih mata setelah kerugian RM2,000 kerana ditipu gara-gara terpedaya dengan janji manis seorang ‘rakan maya’ yang dikenal melalui laman sosial.

Kejadian berlaku pada 22 November lalu apabila mangsa seorang lelaki yang berasal dari Kampung Padang Nenas menerima kiriman emel dari syarikat penghantaran Kurier Atlas Air yang dihantar kepada alamat laman sosialnya memberitahu dia bakal menerima satu bungkusan dari London.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Azmi Adam berkata, teruja membaca isi kandungan emel berkenaan, mangsa terus menghubungi nombor telefon yang diberikan untuk mengetahui lebih lanjut kandungan bungkusan yang bakal diterimanya itu.

“Mangsa terus menghubungi syarikat penghantaran tersebut dan bercakap dengan seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat tersebut.

“Wanita berkenaan memberitahu mangsa bakal menerima satu bungkusan yang berisi laptop dan beberapa jenis barangan berharga yang lain.

“Dia turut meminta mangsa membuat bayaran RM2,000 untuk kos cukai Kastam dan mengarahkan mangsa memasukkan wang berkenaan ditujukan kepada Pegawai Kastam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus memasukkan jumlah wang yang diminta mengikut arahan diberikan dan setelah hampir seminggu menanti, bungkusan dijanjikan masih tidak ‘nampak bayang’.

“Mangsa yang menyedari dirinya tertipu membuat laporan polis pada 29 November lalu di Balai Polis Gong Badak dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pada masa sama, Azmi mengingatkan orang ramai agar jangan mudah percaya atau melayan sebarang emel yang tidak dikenali kerana selain boleh mengundang virus kepada komputer, dalam masa sama ia untuk mengelak daripada penipuan.

Cubaan curi besi, alat ganti terbongkar



KEMAMAN – Cubaan dua pemandu treler membawa keluar muatan besi dan alat ganti terpakai disyaki dicuri di dalam kawasan syarikat Polyethylene Malaysia Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Kerteh, dekat sini, terbongkar apabila dua anggota polis bantuan Petronas berjaya menahan kedua-dua treler terbabit ketika melalui kawasan pemeriksaan di pintu pagar syarikat berkenaan, petang kelmarin.

Penahanan dua buah treler itu yang masing-masing membawa dua buah kontena berkunci juga membongkar misteri muatan dalam kesemua kontena itu kerana pada awalnya, kedua-dua pemandu lelaki berusia 50 dan 47 tahun terbabit mengatakan, kontena yang dibawa kosong.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, hasil pemeriksaan yang dilakukan dua anggota polis bantuan itu mendapati salah sebuah treler yang membawa dua kontena itu sarat dengan muatan besi dan alat ganti kenderaan terpakai, manakala sebuah treler lagi turut mengandungi besi dan alat ganti tetapi dalam kuantiti separuh kurang daripada kontena pertama.

“Kesemua besi dan alat ganti berkenaan dipercayai dicuri dalam kawasan syarikat berkenaan.

“Bagi treler pertama yang sarat dengan muatan, terdapat kira-kira 27 jenis besi dan alat ganti yang dicuri termasuk jenis ‘stud bolt’, ‘dam strip’ dan pulley, sementara treler kedua berisi tiga jenis besi dan alat ganti iaitu ‘steam trap’, ‘valve’ dan roller,” katanya.

Beliau berkata, berikutan penahanan itu, kes terbabit kemudiannya dilaporkan kepada polis dan kedua-dua pemandu sekarang ditahan reman selama tiga hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, menurutnya, ketika ini nilai kecurian masih dalam siasatan dan polis juga akan memanggil pihak pengurusan syarikat itu untuk mengesahkan barang yang dicuri itu adalah milik mereka.

Katanya, kedua-dua pemandu yang berasal dari Bukit Kuang dan Pasir Minal itu sebelum ini tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Menurutnya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Pelayan hotel sambilan mengaku ceroboh



KOTA BHARU – Seorang pelayan hotel sambilan semalam didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret, di sini setelah mengaku menceroboh sebuah kedai di Peringat Melor, Isnin lalu.

Tertuduh, Amir Faizullah As’asy, 24, sebelum itu dilihat abang ipar pemilik kedai, Mohd Azlin Nasir, 37, berada di dalam kedai miliknya kira-kira jam 1.40 pagi, tarikh berkenaan.

Gelagat Amir yang seolah-olah sedang mencari sesuatu di dalam kedai terbabit diperhatikan abang ipar dan pemiliknya sendiri dari luar kedai terbabit.

Apabila menyedari dirinya diperhatikan, Amir cuba melarikan diri dan penduduk kampung bertindak mengejar dan tertuduh dapat ditangkap 500 meter daripada kedai berkenaan.

Tertuduh kemudinya diserahkan kepada pihak polis dan didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedu-duanya sekali.

Majistret Norhaslinda Che Seman turut menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan terhadap tertuduh sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Saman RM1 juta, Ning harap penyelesaian baik



“Saya harap perkara ini tidak sampai ke mahkamah dan biarlah ia berakhir segera,” ujar Ning Baizura berhubung kes saman RM1 juta oleh penerbit album dan pengurus warga Itali, Luigi Bajona.

Luigi yang pernah menguruskan beberapa persembahan Ning di Itali, termasuk menyanyi di hadapan Prince Albert di Paris, mendakwa penyanyi itu memfitnahnya pada 24 Januari 2009 melalui laman sosial Facebook.

Difahamkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh 12 Oktober lalu untuk pengurusan kes saman terhadapnya.

Bagaimanapun, kata Ning, sehingga hari ini, kes itu belum mencapai sebarang keputusan untuk tindakan seterusnya.

“Kes ini masih diteruskan, tapi belum ada tarikh perbicaraan kerana menurut peguam saya, kes ini tidak relevan, dan tak tahu dia (Luigi) nak saman atas dasar apa. Kalau dia kata saya fitnah dia menerusi Facebook, itu tidak benar kerana tak ada bukti pun saya mengata dia. Malah saya tak pernah tulis nama dia pun.

“Sebenarnya, dia nak saman malu ke atas saya kerana album East to the West (2007) yang diterbitkannya itu tak berjaya dan dia menyalahkan saya atas semua ini. Pada dia, saya telah banyak merugikannya.

“Tetapi berdasarkan kontrak, itu adalah tanggunjawabnya sebagai penerbit untuk menguruskan karier seni saya. Dan tidak ada lagi undang-undang yang boleh menyalahkan artis sekiranya mereka rugi,” cerita Ning tanpa berselindung.

Jelas Ning, dia ada cuba berbincang dengan Luigi untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah, namun terpaksa dilupakan setelah Luigi memintanya memohon maaf secara terbuka.

“Dia suruh saya minta maaf dan siarkan pada media dan juga Facebook saya, tetapi saya rasa itu melampau kerana saya tidak bersalah. Sekiranya saya memohon maaf, itu jelas menunjukkan saya bersalah.

“Apa yang saya tahu, dia sebenarnya dah lama nak saman saya. Sebelum ini, dia pernah nak saman saya bersama syarikat Ning Associates, tetapi setelah berbincang dengan peguam saya, dia tak jadi nak saman. Sekarang, dia nak saman saya secara personal pula,” jelas penyanyi yang popular dengan lagu 'Teguh' dan 'Ke Sayup Bintang'.

Isteri kepada jejaka Inggeris, Omar Sharif Christopher Layton Dalton ini juga tidak menafikan turut merasai kesan dari saman itu dan berasa khuatir sekiranya ia akan menjejaskan periuk nasinya sebagai artis.

“Buat masa ini, karier saya masih berjalan dengan baik. Tetapi saya rasa risau juga sekiranya nanti ia akan mempengaruhi orang lain untuk tidak bekerjasama dengan saya. Tapi saya percaya, masyarakat pandai menilainya,” kata Ning yang ditemui ketika pelancaran album sulung anak didiknya, Nubhan, di sebuah kelab di ibu kota, kelmarin.



Sayangkan Nubhan

Menyentuh tentang Nubhan, Ning berkata, dia tetap akan menyokong dan membantu Nubhan walaupun pihak pengurusan Artisted United Record (AUR) sudah bertukar tangan.

“Saya sayangkan Nubhan dan saya anggap dia seperti adik sendiri. Sejak awal kemunculannya dulu, saya percaya dengan bakat dia. Saya percaya, Nubhan boleh berjaya," katanya.

Tragedi Festival Air Kemboja




Kejadian terbaru yang melanda Kemboja baru-baru ini, membawa kepada sekurang-kurangnya 378 orang maut manakala ratusan lagi cedera dalam rempuhan di atas jambatan Diamond Gate semasa Kemboja menyambut Festival Air di negara itu pada 22 November lalu.

Keadaan menjadi tidak terkawal apabila orang ramai yang hadir untuk menyambut festival itu tiba-tiba panik dan berasak-asak di atas jambatan sempit, menyebabkan ratusan mati dipijak atau terjatuh ke dalam sungai.

Terdapat juga dakwaan yang mengatakan 378 orang yang maut dalam rempuhan itu berpunca akibat terkena renjatan elektrik selepas pasukan tentera Kemboja menyembur meriam air ke arah orang ramai.

Tindakan tentera tersebut menyebabkan litar pintas terjadi yang berpunca daripada lampu-lampu di atas jambatan itu tetapi dinafikan kerajaan Kemboja termasuk doktor yang memeriksa mayat mangsa.

Punca sebenar kejadian ngeri yang dianggap paling teruk dalam sejarah negara itu yang masih belum diketahui.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen turut mengisytiharkan 24 November lalu sebagai Hari Berkabung bagi rakyat negara itu untuk memperingati mangsa-mangsa yang terkorban akibat rempuhan.

Maut kereta bertembung

REMBAU: Seorang lelaki terbunuh selepas kereta dipandunya bertembung dengan kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 15.5 Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa Soo Weng Kit, 22, terbunuh akibat cedera di dada.
Pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan mangsa pula cedera di badan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, berkata sepasukan anggota polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kemalangan untuk melakukan siasatan.


“Berdasarkan siasatan awal, Perodua Myvi dipandu mangsa yang maut datang dari arah Tampin sebelum bertembung dengan Proton Waja,” katanya.

PDRM serah suspek militan Indonesia



03/12/2010 4:22pm

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Proses membawa pulang seorang suspek militan Indonesia yang ditahan di negara ini ketika cuba menyeludup senjata api ke republik itu pada Oktober lepas sedang diuruskan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, Fadzli Sadama, 27, yang ditahan di Johor ketika cuba menyeludup sejumlah senjata api dipercayai untuk kegunaan pengganas, kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kita setuju untuk membawa tangkapan dari Malaysia ke negaranya untuk tindakan selanjutnya. Ini hanya masalah teknikal sahaja, jangan jadikan ia sebagai satu isu," katanya kepada pemberita selepas menandatangi Prosedur Tetap (PROTAP) Malindo No.15 antara PDRM dan Kepolisan Negara Republik Indonesia (POLRI) di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir Kepala Kepolisan Negara Republik Indonesia yang baru dilantik, Drs. Timur Pradopo.

Ismail berkata, suspek itu juga dipercayai terbabit dalam kes rompakan bersenjata sebuah bank antarabangsa di Medan, Sumatera membabitkan RM139 juta.

Fadzli yang ditahan berseorangan di negara ini juga dikatakan mempunyai rancangan untuk menyerang sebuah penjara di republik itu bagi membebaskan rakan baiknya, Toni Togar, perancang utama pengeboman Hotel JW Marriot di Jakarta, tujuh tahun lalu.

Ismail berkata, polis percaya pihak yang membantu dari segi pembiayaan dan perlindungan kepada anggota militan tidak sedar atau mengetahui aktiviti mereka. - Bernama

Kastam tumpas cubaan eksport 7,200 tan pasir di Selangor



03/12/2010 4:06pm


PELABUHAN KLANG 3 Dis. – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) negeri berjaya menumpaskan cubaan mengeksport 7,200 tan metrik pasir bernilai RM144,000 secara haram ke Singapura dalam dua serbuan yang dilakukan kelmarin dan semalam.
Serbuan pertama dibuat di perairan Sungai Langat berhampiran Jugra, Banting manakala serbuan kedua dilakukan di sebuah jeti persendirian di Pulau Carey, Banting.
KDRM negeri turut menahan sembilan individu bagi membantu siasatan termasuk pemilik pasir dan dua kapten kapal yang masing-masing berusia 54 dan 53 tahun. – Utusan

Ahli perniagaan wanita dituduh tipu pengasas RHB RM7j


WARGA Singapura, Sharida Abdul Majid, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan menipu pengasas RHB Bank, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, dengan menggunakan dokumen palsu, membabitkan kerugian RM7 juta. - Foto 

03/12/2010 11:19am

SHAH ALAM 2 Dis. - Seorang ahli peniagaan yang juga bekas isteri seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini hari ini atas tuduhan menipu pengasas RHB, Tan Sri Rashid Hussa├Čn membabitkan kerugian RM7 juta.

Sharida Abdul Majid, 46, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob atas dua tuduhan dan dibebaskan dengan jaminan RM500 ribu.
Tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dua cagaran berharga iaitu bil tunai High Motivations Sdn. Bhd. sebagai tulen sedangkan ia palsu.
Tuduhan kedua, dia didakwa menipu Abdul Rashid Hussain dengan memperdaya beliau supaya percaya bahawa tertuduh telah mendapat satu kontrak bernilai tidak kurang B$8 juta (Brunei Dollar) serta menawarkan beliau untuk menyertai dalam pelaksanaan kontrak sehingga dengan curang mendorong mangsa serah wang RM7 juta.
Tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM500,000.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 7 Januari depan. - Utusan

Bekas DPP dipenjara setahun


BEKAS Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Lukman Zainuddin, 37, (kiri) berjalan bersama peguamnya memasuki Mahkamah Sesyen Klang, pagi tadi. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2,000 kerana bersalah cuba melupuskan sebuah kereta mewah jenis BMW milik isterinya yang dilaporkan dicuri, empat tahun lalu. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

03/12/2010 10:25am

KLANG 3 Dis. - Seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Rendah di sini selepas didapati bersalah atas tuduhan cuba melupuskan sebuah kereta mewah milik isterinya yang dilaporkan dicuri, empat tahun lalu.
Hakim Yong Zarida Sazali memutuskan hukuman itu terhadap Lukman Zainuddin, 37, selepas beliau berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Tertuduh yang menjawat jawatan tersebut antara 1997 dan 2002 didakwa cuba melupuskan sebuah kereta BMW 318 (i) (A) nombor pendaftaran ADT 6677 di Pangsapuri Putra Harmoni di Presint 9, Putrajaya, antara pukul 11 malam, 24 Mac 2006 dan 12.15 pagi keesokan harinya. - Utusan

Guru ditipu lelaki 'Iraq' yang minat dalami Islam



KOTA BHARU - Seorang guru wanita kerugian RM15,000 selepas dipercayai ditipu seorang kenalan melalui laman sosial Facebook.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, kejadian itu berlaku selepas guru wanita dari Taman Uda Murni, dekat sini, berkenalan dengan seorang lelaki yang dipercayai berasal dari Iraq.

Selepas berkenalan beberapa minggu, pada 30 November lalu, suspek menghantar khidmat pesanan ringkas melalui laman sosial itu kepada mangsa mengenai hasratnya untuk mempelajari agama Islam.

"Bagaimanapun, suspek menghubungi mangsa kelmarin dan memaklumkan bahawa dia menghadapi masalah dengan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kerana membawa sejumlah besar wang pound sterling yang tidak diisytiharkan," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Selepas menerima panggilan daripada suspek, mangsa sekali lagi menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen dan bertanya sama ada mangsa mengenali suspek.

Mazlan berkata, wanita itu memperkenalkan diri sebagai Fatimah dan dia dikatakan telah menawarkan diri untuk membantu membebaskan suspek dengan syarat mangsa membuat bayaran RM15,000.

“Selepas membuat transaksi, mangsa menghubungi pihak Imigresen KLIA untuk memaklumkan kemasukan wang itu tetapi mangsa dimaklumkan bahawa wanita yang mendakwa sebagai Fatimah itu bukan kakitangan jabatan itu di KLIA,” katanya.

Mazlan berkata, selepas menyedari dirinya tertipu, mangsa cuba menghubungi suspek tetapi tidak berjaya, lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu. - Bernama

Tiga maut di Lebuh Raya Persekutuan



PETALING JAYA – Dua pekerja pemasang papan iklan dan seorang pejalan kaki maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 28.4 Lebuh Raya Persekutuan, menghala ibu kota, berhampiran susur masuk Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, pejalan kaki warga Myanmar, Dong Sian Sing dan dua penumpang belakang sebuah pacuan empat roda, Toyota Hilux, Muhammad Yurusyahmi Mohd Yusob, 21, dan warga Myanmar, Htet Lwin Zaw, 29, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kejadian berlaku apabila pejalan kaki yang berada di pembahagi lebuh raya cuba melintas tanpa menggunakan jejantas.

Katanya, sebuah kereta Produa Viva dipandu seorang lelaki berumur 33 tahun dari arah Kuala Lumpur menghala Shah Alam melanggar mangsa ketika kenderaan itu berada di lorong laju.

“Pejalan kaki tercampak ke laluan menghala ke ibu kota dan sejurus itu, pacuan empat roda yang membawa lima penumpang, melanggar serta mengheret mangsa sejauh 50 meter.

“Pacuan empat roda itu kemudian hilang kawalan dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas, mengakibatkan dua penumpang belakang maut setelah tercampak keluar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.

Katanya, pemandu Hilux, Thomson Meldy Gondipar, 23, dari Sabah, cedera ringan, manakala dua lagi penumpang, Kyaw Kyaw Lin dan Suzemcy Soimin, 22, cedera parah.

Arjunaidi berkata, pemandu Viva hanya cedera ringan dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.:

“Kami percaya kejadian berlaku selepas lima lelaki menaiki pacuan empat roda itu baru selesai kerja memasang papan iklan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat, manakala mangsa cedera dirawat di hospital sama.

Bekas Presiden Taiwan jalani hukuman penjara 19 tahun

TAIPEI: Bekas Presiden Taiwan, Chen Shui-bian dipindahkan semalam dari sebuah penjara ke pusat tahanan untuk menjalani hukuman penjara 19 tahun, selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitannya atas dakwaan rasuah besar-besaran.

Chen, 60, yang kelihatan santai dibawa oleh van polis dan Pusat Tahanan Tucheng pinggir bandar ke Pusat Tahanan Taipei di daerah Taoyuan.
Pemimpin prokemerdekaan yang memecahkan monopoli kuasa selama 50 tahun lawannya, Parti Nasionalis pada 2000, disabitkan atas dakwaan menggelapkan wang AS$3.15 juta (RM9.93 juta) pada 2009 daripada dana khas presiden, menerima rasuah bernilai sekurang-kurangnya AS$9 juta (RM28.37 juta) dan melakukan penggubahan wang haram menerusi akaun bank Swiss.
Dia bersama isterinya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup namun hukuman dikurangkan.

Chen menjadi sanjungan petani miskin dan pekerja industri di selatan namun ditolak golongan lain terutama keluarga yang tiba dari China selepas kekalahan Nasionalis di tangan komunis pimpinan Mao Zedong pada 1949.

Ketika tempoh pemerintahan lapan tahun Chen, dia dipilih semula dengan margin tipis pada 2004, menolak agenda mengetengahkan pemisahan Taiwan dari tanah besar, yang berpecah selepas kejayaan parti Komunis. AP

Indonesia pindah tapak loji nuklear

JAKARTA: Kerajaan Indonesia kemungkinan memindahkan tapak rancangan loji jana kuasa nuklear pertamanya ke Pulau Bangka di wilayah Bangka Belitung dari Muria di wilayah Jawa Tengah berikutan bantahan keras daripada penduduk tempatan, lapor akhbar Jakarta Post semalam.

Ketua Agensi Tenaga Atom Nasional, Hudi Hastowo dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan tidak lama lagi akan menjalankan satu kajian kewajaran untuk meneroka kemungkinan membangunkan sebuah loji jana kuasa nuklear di Bangka.
Bangka Belitung berbeza dari lokasi loji jana kuasa nuklear yang dirancang. Orang di situ mengalu-alukan rancangan itu dan berbangga menjadi hos loji jana kuasa nuklear pertama Indonesia, katanya.
Tentangan umum menjadi kekangan utama kepada kerajaan untuk membangunkan loji jana kuasa nuklear. Agensi

Penjenayah larikan peralatan kamera RM20,000

IPOH: Seorang jurugambar Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) yang bertugas di sini, kehilangan sebuah kamera digital bersama lensa dan peralatan lain bernilai lebih RM20,000 selepas cermin keretanya dipecahkan penjenayah, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.35 malam itu, Muhaizan Yahya, 32, meletakkan kenderaannya di hadapan Pejabat NSTP di Jalan Datuk Seri Ahmad Said di sini, sebelum naik ke pejabat yang terletak di tingkat satu untuk mengambil komputer ribanya.

Sebelum itu, saya keluar dari pejabat NSTP jam 10.15 malam bersama kamera berkenaan, namun berpatah balik ke pejabat selepas menyedari komputer riba tertinggal.
Sebaik meletakkan kenderaan di hadapan bangunan pejabat, saya bergegas naik ke tingkat satu pejabat untuk mengambil komputer riba.

Tidak sampai 20 minit kemudian ketika saya kembali semula ke kereta, saya terkejut apabila mendapati cermin belakang sebelah kiri dipecahkan dan kamera digital jenis Canon 50D bersama kelengkapan yang lain dilarikan, katanya di sini, semalam.

Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Sungai Senam, di sini pada jam 12.43 pagi.

Militan Indonesia ditahan di Johor




2010/12/03

Republik kerjasama dengan Malaysia berkas suspek

JAKARTA: Unit khas antipengganas Polis Indonesia bekerjasama dengan rakan sejawatannya dari Malaysia dalam penangkapan terbaru seorang suspek militan republik itu di Johor yang merancang satu serangan di Indonesia, kata polis kelmarin.

Dalam satu insiden berasingan, polis mematikan dua bom kelmarin sejurus sebelum ia meletup di pos polis di daerah Klaten, Jawa Tengah.
Di Malaysia, Fadli Sadama ditahan 13 Oktober lalu ketika dalam perjalanan menaiki bas ke Johor bersama dua pistol dalam pemilikannya, kata sumber rapat dengan pasukan unit antipengganas elit Densus 88 kepada Jakarta Globe.
Suspek berusia 27 tahun itu dituduh terbabit dalam satu rompakan bank bersenjata secara ganas di Medan Ogos lalu dan cubaan menyeludup senjata ke Indonesia.

Kami mengerahkan tujuh penyiasat polis ke Malaysia Selasa lalu untuk menyoal Fadli Sadama.

Dia memberitahu kami bagaimana rangkaian pengganas Medan bekerja di bawah suspek pengebom yang dipenjarakan, Toni Togar, melanjutkan keupayaannya dengan merekrut anggota baru, kata sumber.

Laporan media berkata, Fadli menjalani hukuman penjara kerana terbabit dalam rompakan Bank Lippo di Medan pada 2003 di mana dua kakitangan bank dibunuh. Fadli turut mengaku menyeludup lima raifal gempur ke Indonesia, kata sumber.

Sebuah akhbar harian di Malaysia melaporkan Fadli merancang menggunakan senjata itu untuk menyerang sebuah penjara di Indonesia yang menahan Toni Togar, dipercayai dalang rompakan bank di Medan Ogos lalu yang menyebabkan seorang anggota polis terkorban dan dua pengawal keselamatan cedera.

Toni yang juga dikenali sebagai Indrawarman, menjalani hukuman penjara 20 tahun di Pusat Tahanan Pematang Siantar di Sumatera Utara atas pengeboman Hotel Marriott di sini pada 2003 yang mengorbankan 12 orang.

Satu lagi sumber antipengganas memberitahu Jakarta Globe skuad itu juga sedang mengawasi seorang lelaki yang tinggal di Nusa Tenggara Barat yang dipercayai terbabit dengan pembiayaan satu kem latihan bersenjata di Aceh dikaitkan dengan ulama Islam, Abu Bakar Bashir.

Dia enggan memberitahu lebih lanjut. Agensi

71 maut pemberontak bertempur di Afrika Tengah

LIBREVILLE: Seramai 71 orang, termasuk 65 pemberontak terbunuh sepanjang minggu lalu dalam pertempuran membabitkan kumpulan penentang dengan tentera kerajaan di utara Republik Tengah Afrika (CAR).

Jurucakap CAR, Fidele Ngouand berkata, keganasan tercetus membabitkan dua kumpulan berbeza di Bandar Birao, tetapi pihak tentera berjaya mengawalnya.

“Di pihak tentera kerajaan, enam anggota terbunuh manakala di pihak pemberontak 65 maut dengan tiga parah," katanya.
Beliau bagaimanapun menafikan ada orang awam terbunuh dalam kejadian itu.

Sementara itu, pihak pemberontak menerusi badan Konvensyen Patriotik bagi Keadilan dan Keamanan (CPJP) mendakwa jumlah korban yang dikeluarkan kerajaan itu tidak tepat.

“Jumlah itu tidak tepat. Tentera Chad dan kerajaan CAR sejak kebelakangan ini memburu anggota CPJP," katanya.

Minggu lalu, puak pemberontak menyerang Birao dan memaksa pihak tentera kerajaan berundir.
Tentera CAR yang diperkuatkan dengan bantuan tentera Chad bagaimanapun dikatakan menyerang semula dan menawan bandar itu daripada puak pemberontak. - AFP

Kes curi kabel menjadi-jadi


MASJID TANAH: Kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) Berhad di beberapa kampung di Kuala Linggi, dekat sini, yang didalangi sekumpulan individu dipercayai penagih dadah semakin menjadi-jadi, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada penduduk.
Ini berikutan tinjauan Metroplus bersama anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) menemui beberapa kawasan yang menjadi tempat pelupusan kabel membuktikan kegiatan tidak bertanggungjawab itu semakin berleluasa.

Difahamkan, antara kampung yang terjejas teruk akibat kegiatan itu ialah Kampung Bukit Darat, Kampung Kuala Linggi, Tanjung Dahan serta beberapa kampung berdekatan menyebabkan mereka sering terputus talian telefon sejak kebelakangan ini.
Terdapat empat lokasi strategik bagi melupus dan melapah kabel curi berkenaan termasuk di kawasan ladang kelapa sawit terpencil di Tanjung Serai, Kuala Linggi, selain turut disediakan tempat untuk mereka melepaskan gian bekalan dadah gantian (metadon).

Penduduk, Abdul Rahim Omar, 40, berkata dia percaya kegiatan terbabit didalangi sekumpulan lelaki dipercayai penagih dadah yang kerap berkeliaran di kawasan berkenaan pada tengah malam.

Menurutnya, kegiatan mencuri kabel berkenaan sudah lama berlaku dan ia dipercayai dilakukan pada waktu awal pagi ketika penduduk tidur menyebabkan perbuatan mereka sukar dikesan.

Katanya, perbuatan itu juga sukar ditangani disebabkan masalah penagih tegar itu didakwa merekrut generasi muda sebagai pelapis mereka.

“Bukan itu saja, mereka membawa masuk penagih dadah dari luar untuk melakukan aktiviti di kawasan ini selain menjadikan lokasi terpencil itu sebagai tempat ‘melapah’ kabel curi sebelum dikumpul dan dijual kepada peraih lain bagi mendapatkan bekalan dadah gantian.
“Saya kesal kerana perbuatan mereka itu semakin menjadi-jadi, malah aduan kepada pihak berkaitan langsung tidak mendapat kerjasama menyebabkan kumpulan lelaki terbabit tidak mengendahkan perasaan penduduk yang berdepan masalah.

“Malah, pihak berkenaan turut mempertahankan penagih tegar di bawah kendalian mereka berada dalam keadaan terkawal dan mematuhi peraturan ditetapkan, tetapi berdasarkan keadaan berselerakan ini membuktikan mereka seolah-olah mudah mendapat bekalan dadah gantian,” katanya ketika ditemui, di sini.

Abdul Rahim yang juga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kawasan Kuala Linggi berkata, dia percaya pencuri kabel adalah individu sama kerana lokasi melapah yang tersorok itu turut menjadi tempat untuk mereka melepaskan gian tanpa diketahui orang lain.

Menurutnya, jumlah kumpulan lelaki terbabit juga didapati semakin ramai, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada penduduk jika kegiatan mereka mudah mempengaruhi golongan muda.

Katanya, masalah penagihan dadah di kawasan berkenaan dipercayai berkait rapat dengan kecurian kabel yang semakin berleluasa dan begitu membimbangkan penduduk.

“Kami merayu pihak berkuasa supaya masalah ini ditangani secara lebih berhemah dan bersepadu kerana ia membabitkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung di kawasan ini,” katanya.

'Ini antara hidup mati'


ALOR SETAR: “Saya mahu pergi, ini antara hidup dan mati.” begitu kata-kata terakhir diluahkan Syed Mohd Afifi Al-Idrus Syed Ahmad Khatib, 25, sebelum meninggalkan rumah April lalu dan masih tidak dapat dikesan hingga kini.
Kakaknya, Sharifah Nurdina Al-Idrus, 27, berkata adiknya yang bekerja sebagai kelasi syarikat perkapalan antarabangsa, MISC Berhad disedari ‘hilang’ selepas gagal menghubungi keluarga.

Mengimbau detik kehilangan adiknya, menurutnya, Syed Mohd Afifi pulang bercuti di kampung di Jalan Pegawai dekat sini dan tiada sebarang perselisihan faham dengan keluarga atau rakan.
Namun selepas beberapa hari, anak ketiga daripada lapan beradik itu mula berkelakuan pelik seperti gelisah dan banyak meluangkan masa di luar menyebabkan mereka sekeluarga mengesyaki ada sesuatu tidak kena kerana dia sebelum itu anak yang bertanggungjawab dan penyayang terhadap keluarga.

“Adik tidak pernah bertindak seperti itu, tetapi kali ini dia berubah menjadi seorang yang pemarah dan pendiam. Dia kemudian bergegas ke Thailand kerana mahu bertemu kekasihnya, rakyat negara itu dan sejak hari itu saya tidak lagi menerima sebarang berita daripadanya.

“Saya percaya dia berubah sikap selepas berkenalan dengan teman wanitanya kerana turut menghabiskan wang demi wanita itu selain membeli sebidang tanah kepada ibu bapa teman wanitanya yang tidak diketahui lokasi, malah kami merestui hubungan mereka,” katanya.

Katanya, dia kemudian membuat semakan di syarikat tempat adiknya bekerja pada 17 September lalu dan mendapati Syed Mohd Afifi tidak melaporkan diri di syarikat itu sejak 9 Julai lalu yang juga tarikh akhir bercuti. Berikutan itu, dia dan bapanya, Syed Ahmad Khatib Syed Abu Bakar Al-Idrus, 57, membuat laporan di Ibu Pejabat (IPD) Alor Setar pada 24 Oktober lalu dan hasil pemeriksaan melalui pas lawatannya mendapati kali terakhir Syed Mohd Afifi direkodkan masuk ke Malaysia pada 13 Oktober lalu.

“Namun menghairankan apabila tiada rekod dia meninggalkan negara sebelum tarikh berkenaan,” katanya.
Sharifah Nurdina berkata, bapa dan ibunya, Rosmin Ahmad Salut, 52, kini hilang selera makan kerana begitu merindui Syed Mohd Afifi dan dia khuatir jika kedua mereka sakit hingga terpaksa mengelak menunjukkan kesedihan apabila berbincang mengenai adiknya itu.

Lebih memilukan, adiknya, Sharifah Nurul Tasneem Al-Idrus,12, sering memberitahu keluarga yang dia begitu merindui abangnya kerana hubungan mereka begitu rapat.

“Syed Mohd Afifi selalu membelikan cenderamata kepada keluarga jika bertugas di luar negara dan banyak membantu keluarga sejak mula bekerja pada 2007. Saya bimbang nasibnya dan berharap dia pulang segera dengan selamat walau apapun keadaannya,” katanya.

Sharifah Nurdina memohon kepada sesiapa yang mengenali atau pernah melihat Syed Mohd Afifi menghubungi keluarganya melalui talian 012-5481358 atau 012-5468985.

Peruncit, penyamun bersekongkol


PETALING JAYA: Sekumpulan penyamun kedai serbaneka tumpas selepas tertangkapnya enam lelaki termasuk seorang peniaga kedai runcit yang bertindak sebagai pembeli barangan samun.
Kumpulan itu dipercayai aktif di sekitar daerah ini menyamun menggunakan pisau dan parang sejak September lalu. Mereka menyasarkan kedai beroperasi 24 jam untuk menyamun barangan seperti rokok, bateri, pisau cukur dan beberapa barang lain.

Hasil maklumat awam serta risikan, polis menahan semua ahli kumpulan terbabit dalam dua serbuan pada 27 dan 28 November lalu di rumah suspek di Kampung Melayu Subang, Desa Mentari dan Puchong, dekat sini. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan seorang daripadanya mempunyai sehingga 16 rekod jenayah dalam kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan. Menurutnya, kumpulan terbabit kebiasaannya menyamun pada waktu awal pagi ketika keadaan sunyi dan tiada pelanggan. “Mereka menyamar sebagai pelanggan dengan memakai topi besbol atau topi keledar sebelum mengeluarkan pisau atau parang dan mengugut penjaga kaunter serta dengan pantas menyamun barang di kaunter seperti rokok, bateri dan pisau cukur.
“Setakat ini tiada laporan mengenai pekerja atau pelanggan dicederakan, namun kita percaya dengan tumpasnya kumpulan ini polis dapat menyelesaikan 15 kes samun sekitar Petaling Jaya, membabitkan kerugian dianggarkan RM45, 000,” katanya.

Arjunaidi berkata, suspek yang ditahan adalah dua pengawal keselamatan, seorang berusia 30 tahun mempunyai satu rekod lampau dan seorang lagi berusia 32 tahun ada tiga rekod jenayah. “Tiga lagi penganggur berusia 19 tahun dan tiada rekod jenayah, seorang lagi berusia 26 tahun mempunyai satu rekod serta suspek berusia 37 tahun memiliki 16 rekod jenayah lampau.

“Peniaga yang membeli barangan samun itu berusia 55 tahun adalah warga asing yang mempunyai taraf pemastautin dan ditahan di rumahnya di Puchong.


“Antara barangan dirampas dalam serbuan itu 274 kotak rokok pelbagai jenama, 38 bateri, puluhan pisau cukur dan empat keping kad pengenalan milik orang lain,” katanya.

Semua suspek direman sehingga 4 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Lelaki Australia mati telan dadah belum dikenal pasti


PETALING JAYA: Warga Australia yang ditemui mati dalam sebuah bilik hotel terkemuka di Bandar Utama kerana menelan 49 tiub berisi dadah masih belum dikenal pasti kerana tiada waris menuntut mayatnya.
Lelaki itu ditemui mati seorang pekerja hotel yang ingin mengemas bilik disewanya dan hasil bedah siasat menemui 49 tiub dadah dalam usus mangsa.
Kematian lelaki itu dipercayai akibat satu daripada tiub kecil berkenaan pecah dan menyebabkan keracunan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak kedutaan Australia, namun sehingga kini tiada maklumat mengenai lelaki itu.



“Masih belum ada waris datang mengenal pasti dan menuntut mayat lelaki berkenaan dan kita masih meneruskan siasatan berhubung kes itu,” katanya.

Pisau melekat di dada jiran


AMPANG: Seorang lelaki yang menyangka jirannya bertengkar dengan ahli keluarga terkejut apabila mendapati sebilah pisau terpacak di dada jirannya itu akibat ditikam penyamun dalam kejadian di Pangsapuri Sri Intan, Taman Bukit Permai, di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lelaki berkenaan pada mulanya menaiki tangga untuk pulang ke rumahnya di tingkat tiga sebelum terdengar kekecohan di rumah jirannya di tingkat dua pangsapuri terbabit.

Menurut sumber polis, dia pada mulanya beranggapan jirannya mungkin bertengkar dengan ahli keluarganya dan enggan mencampuri urusan mereka.
“Namun, tiba-tiba dia ternampak seorang lelaki keluar daripada rumah jirannya dalam keadaan cemas dan kelam-kabut membuatkannya menuju ke rumah terbabit.

“Sebaik berada di depan pintu, lelaki berkenaan terkejut melihat sebilah pisau melekat di dada jirannya itu sebelum meminta pertolongan,” katanya.

Menurutnya, beberapa jiran datang ke rumah mangsa manakala lelaki itu mengejar penyamun yang melarikan diri, namun gagal menahannya berikutan suspek sudah memecut motosikalnya.

“Lelaki itu naik semula ke rumah jirannya untuk memberikan pertolongan, namun mangsa sudah dibawa beberapa penduduk ke Hospital Ampang untuk rawatan.

“Mangsa bernasib baik kerana tikaman itu tidak mengenai organ dalamannya dan kini stabil selepas mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lelaki yang menikam mangsa seorang penyamun yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya.

“Ketika kejadian, mangsa tidak mengunci pintu rumah dan penyamun terbabit menyusup masuk sebelum dia mengambil telefon bimbit mangsa di ruang tamu.

“Namun, kejadian itu disedari mangsa yang ketika itu baru keluar dari bilik sebelum terserempak penyamun terbabit,” katanya.

Menurutnya, mangsa cuba menahan penyamun terbabit dan ketika itu berlaku pergelutan sebelum dia ditikam dengan pisau.

“Bagaimanapun, mangsa gagal mengecam wajah penyamun terbabit kerana ketika kejadian dia memakai topi keledar selain keadaan kelam-kabut,” katanya.

Wanita bisu hilang sejak dua tahun lalu

GUA MUSANG: Seorang wanita bisu gagal dikesan ahli keluarganya sejak dua tahun lalu selepas dikatakan keluar rumah untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.
Noraini Ismail, 32, dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Lembaga Gua Musang, di sini, sejak Oktober 2008 tanpa pengetahuan ibunya, Siti Hamidah Mamat, 59.

Menurut Siti Hamidah, anaknya itu mencari pekerjaan kerana ingin hidup berdikari.
Katanya, dua bulan sebelum itu, anaknya pernah ke Kuala Lumpur namun pulang semula ke rumah.

“Dia hilang selepas kali kedua keluar rumah tanpa pengetahuan saya. Pemergiannya itu langsung tidak diketahui ahli keluarga tetapi disyaki dia ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Siti Hamidah berkata, anak keempat daripada tujuh beradik itu seorang yang pemalu kerana rendah diri berikutan dirinya tidak normal berbanding adik beradik lain.

Katanya, dia sering memujuk Noraini supaya tabah mengharungi kehidupan walaupun tidak boleh bertutur.

“Saya pernah mencarinya di Petaling Jaya tempat tinggal sementaranya namun dia gagal dikesan.
“Saya diberitahu bahawa alamat terakhirnya ialah di Kampung Melayu, Subang tetapi jirannya memaklumkan dia tidak pulang ke rumah berkenaan sejak dua tahun lalu,” katanya.

Siti Hamidah berkata, dia buntu mencari anaknya itu dan bimbang mengenai keselamatannya.

Justeru, dia meminta orang ramai yang tahu di mana Noraini berada menghubunginya di talian 019-9378404.

Penangan mabuk cinta

KUALA LUMPUR: Hanya tinggal setahun untuk menamatkan pengajiannya, namun kerana mabuk cinta seorang remaja sanggup mengikut teman lelaki dan meninggalkan keluarga tanpa khabar berita sejak Julai lalu.
Remaja terbabit, Suhana Ahmad, 22, yang mengikuti kursus ijazah dalam bidang pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mendapat biasiswa kerana sentiasa mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dikatakan melarikan diri bersama teman lelaki yang dikenalinya sejak empat tahun lalu.

Menurut ibunya, Siti Marliah Marjunid, 53, mereka sekeluarga terlalu merindui Suhana dan berharap anaknya pulang dengan segera kerana sudah pelbagai ikhtiar dilakukan mengesan anak ketiga daripada empat beradik itu namun masih buntu.
“Hati ibu mana yang tidak risau mengenangkan anak yang sehingga kini tidak diketahui apa yang berlaku, sudah banyak usaha dilakukan untuk mencari termasuk secara tradisional namun anak saya masih gagal ditemui.

“Cubaan menghubunginya melalui telefon bimbit juga gagal berikutan anak saya mungkin sudah menukar taliannya,” katanya yang kini hanya mampu menangis mengenangkan anak perempuannya itu.

Menurutnya, sejak kehilangan Suhana Julai lalu, dia sentiasa menanti kepulangan anaknya itu terutama ketika menjelang Aidilfitri namun hampa kerana remaja terbabit langsung tidak pulang.

“Sebelum ini, pada Januari lalu dia pernah melarikan diri bersama teman lelakinya namun ditemui semula di stesen LRT Asia Jaya, Petaling Jaya bersama teman lelakinya itu.

“Selepas dibawa pulang, saya sangkakan dia akan berubah dan mahu meneruskan pengajiannya di UPM namun Julai lalu secara tiba-tiba dia memberitahu mahu menangguhkan pelajaran tanpa memberi sebarang alasan,” katanya.
Menurutnya, dia cuba memberikan nasihat kepada anak gadisnya itu supaya menghabiskan pengajian terlebih dulu namun kerana terlalu mengikut kehendak hati anaknya itu sekali lagi melarikan diri.

“Saya kenal dengan teman lelakinya itu dan mereka bercinta ketika anak saya bekerja di sebuah stesen minyak bersama dengan lelaki terbabit selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

“Apa yang membimbangkan, teman lelakinya itu masih tidak mempunyai pekerjaan dan saya pernah menghubungi keluarga lelaki terbabit yang tinggal di Negeri Sembilan namun ibunya juga memberitahu yang anaknya itu sudah lama tidak pulang,” katanya.

Menurutnya, dia berharap anak gadisnya itu segera pulang dan meneruskan kembali pengajian tertangguh kerana usianya masih mentah dan berharap dia tidak terlalu mengikutkan hati.

“Saya agak kecewa dengan keputusan yang dibuat anak kerana saya dan suami bertungkus-lumus bekerja menjual nasi lemak untuk menampung kos pembelajarannya di universiti.

“Demi masa depannya sendiri, saya amat berharap dia pulang dan menamatkan pengajiannya terlebih dulu dan jika mahu berkahwin kami sekeluarga akan merestui mereka,” katanya.

Mayat dalam longkang

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki yang dijumpai dalam longkang di tepi jalan menghala Mahkamah Jalan Duta, di sini, semalam dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampak di kawasan itu.
Mayat terbabit ditemui orang awam kira-kira jam 9 pagi ketika melalui kawasan itu sebelum membuat laporan polis.

Selepas menerima laporan itu, anggota polis dan bomba dari Balai Bomba Sri Hartamas bergegas ke tempat kejadian sebelum membawa mangsa naik ke atas.

Bagaimanapun, operasi membabitkan 10 anggota bomba mengalami kesukaran kerana kedudukan mayat yang terperosok di dalam longkang menyebabkan pihak berkenaan mengambil masa untuk membawanya naik ke atas.


Mayat yang terapung di dalam air terpaksa dinaikkan menggunakan tali secara mengiring dan dibawa ke atas beberapa jam selepas itu.

Jalan raya ketika itu turut sesak selepas orang awam yang melaluinya berhenti untuk melihat mayat diangkat sehingga memaksa polis mengarahkan mereka mengalihkan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata pihak forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipanggil ke tempat kejadian bagi membuat siasatan.

Pramugari maut angkara drebar mabuk


REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
GEORGETOWN: Hasrat seorang pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) yang dalam perjalanan bertemu rakan serta neneknya yang akan menjalani pembedahan tidak kesampaian apabila terbunuh dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila mangsa, Ng Sweet Yuin, 27, dari Lebuh Maccalum, di sini, memandu Perodua Myvi seorang diri dari pusat bandar raya menuju Jambatan Pulau Pinang.

Seorang ahli keluarga mangsa yang ditemui berkata, mangsa keluar rumah untuk bertemu rakannya sebelum menziarahi neneknya yang akan menjalani pembedahan di sebuah hospital hari ini (semalam).

Menurutnya, Ng baru pulang ke rumah Selasa lalu untuk bertemu neneknya, tetapi hasratnya tidak kesampaian apabila terbabit kemalangan terbabit.

“Ng dipercayai menjadi mangsa keadaan berikutan kelalaian pemandu lain menyebabkan dia pergi buat selama-lamanya dan saya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulai Pinang (HPP), di sini, semalam.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, dalam kejadian itu, kereta mangsa dipercayai bertembung sebuah Proton Satria dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun dari arah bertentangan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, Proton Satria itu baru keluar dari sebuah stesen minyak kira-kira 300 meter dari tempat kejadian dan memasuki laluan bertentangan.

Katanya, siasatan turut mendapati lelaki berkenaan yang baru pulang dari luar negara dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Akibat rempuhan kuat itu, kereta mangsa terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas manakala bahagian depan kedua-dua kereta itu remuk teruk menyebabkan serpihan kaca bertaburan atas jalan.

“Mangsa dipercayai tersepit dalam kereta sebelum dibantu orang ramai yang membawanya keluar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan HPP,” katanya.

Jurucakap itu berkata, pemandu Proton Satria itu cedera di muka dan badan serta dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kemalangan termasuk mengambil sampel darah lelaki terbabit untuk ujian kimia bagi menentukan sama ada memandu di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke HPP dan hasil bedah siasat mangsa disahkan mati akibat parah di kepala dan dada.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Deputi Superintendan Abd Rahim Din, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum dua tahun atau maksimum 10 tahun dan denda RM5,000 atau maksimum RM20,000 atau kedua-dua sekali.