Search This Blog

Thursday, December 2, 2010

Lelaki disyaki larikan rantai emas diberkas

SINGAPURA
SEORANG lelaki berusia 54 tahun diberkas kerana dipercayai melarikan seutas rantai emas selepas berpura-pura hendak membelinya.
Polis, dalam kenyataannya semalam, berkata lelaki itu diberkas di Dunlop Street malam kelmarin.Dalam kejadian sekitar 8.10 malam itu, para pegawai Divisyen Polis Central sedang melakukan rondaan berjalan kaki di Serangoon Road apabila terdengar kekecohan dari sebuah kedai emas berdekatan.Mereka diberitahu seorang lelaki baru sahaja mencuri seutas rantai emas bernilai $2,500 dari kedai itu.Menurut para pekerja kedai emas tersebut, lelaki berkenaan sebelum ini berpura-pura hendak membeli rantai emas.Namun, suspek melarikan rantai emas tersebut ketika pekerja kedai sedang menulis harga rantai itu.Dengan segera, polis mengejar suspek dan memberkas lelaki itu di Dunlop Street.Siasatan awal polis menunjukkan, suspek juga dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya dua lagi kes dengan beberapa utas rantai emas dicuri dari kedai-kedai pajak dengan strategi yang serupa - menyamar sebagai pelanggan.Menurut polis lagi, lelaki tersebut akan didakwa di mahkamah rendah hari ini atas kesalahan mencuri.

Lelaki disyaki suruhan Noordin Top ditahan




KUALA LUMPUR: Malaysia menahan seorang lelaki disyaki militan rakyat Indonesia, yang dipercayai orang suruhan pakar bom Jemaah Islamiyah (JI), Noordin Mohammad Top, menurut laporan semalam.
Suspek berkenaan, Fadli Sadama, 27 tahun, ditahan bulan lalu semasa cuba menyeludup keluar senjata ke Indonesia bagi serangan pengganas, lapor akhbar The Star semalam, yang menukil satu sumber antipengganasan.Fadli dikatakan terlibat dalam rompakan sebesar RM139 juta ($57.9 juta) ke atas Bank CIMB Niaga di Medan, Sumatera.Dia bercadang menggunakan senjata itu untuk menyerang sebuah penjara, tempat seorang pengganas bernama Toni Togar ditahan.Sumber memberitahu The Star bahawa Fadli ditahan pada 13 Oktober lalu ketika dalam sebuah bas di Johor.Fadli memiliki dua revolver yang dibeli di Sungai Golok, Kelantan, tambah sumber itu.Dia dikatakan penyokong kuat Toni, yang dihukum penjara 20 tahun kerana terlibat dalam serangan bom ke atas Hotel JW Marriott pada 2003, serangan bom pada Hari Krismas 2000, dan rompakan ke atas Bank Lippo di Medan pada 2003.Toni dipercayai dalang rompakan Bank CIMB Niaga pada Ogos lalu dan beberapa bank lain di Sumatera, menurut Ketua Polis Indonesia, Jeneral Bambang Hendarso Danuri.'Toni berupaya mengendali kumpulan pengganas di Medan dari bilik penjara,' kata Jeneral Danuri seperti yang ditukil akhbar Jakarta Globe.Toni, yang ditahan di Penjara Pematang Siantar di Sumatera Utara, dijangka dipindahkan ke Jakarta untuk disoal siasat tidak lama lagi.Fadli dipercayai membantu merancang rompakan ke atas Bank CIMB Niaga, yang melibatkan 16 militan lengkap bersenjata.Dalam rompakan itu, mereka menembak mati seorang pegawai polis dan mencederakan dua pengawal keselamatan bank.Seorang lagi militan, Taufik Marzuki, 25 tahun, ditangkap pada 29 September lalu di Shah Alam.Taufik adalah bekas anggota kumpulan pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM).Dia melarikan diri ke Malaysia selepas polis menyerbu kem latihan pengganas di Aceh Februari lalu.Dalam serbuan itu, tiga pegawai polis dan seorang awam terkorban. -- The Star.

30 penyelewengan didedah




SHAH ALAM – Gagasan Anti Penyelewengan Sela- ngor (GAPS) yang mempunyai sebanyak 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini akan menyerahkan memorandum 30 pe-nyelewengan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, esok.

Pengerusinya, Hamidzun Khairuddin berkata, seramai 2,000 orang akan hadir untuk mengiringi GAPS menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor.

“Kami akan menyerahkan memorandum kepada Tuanku mengenai penyelewengan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri antaranya membazir wang rakyat apabila membeli hutang syarikat korporat Talam Corporation bernilai RM392 juta menggunakan wang rakyat.

“Kerajaan Negeri juga menutup institusi latihan kemahiran untuk Bumiputera iaitu Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) dan membazir wang rakyat dengan membelanjakan RM800,000 dalam program sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri didakwa gagal mentadbir Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan baik sehingga menggadaikan semua hartanah kepada REIT yang mengakibatkan PKNS sekarang tidak mempunyai premis sendiri dan terpaksa menyewa bangunan untuk beroperasi.

Hamidzun berkata, antara NGO yang akan terlibat ialah Majlis Belia Malaysia (MBM), Perkasa dan beberapa pertubuhan terdiri daripada masyarakat India dan Cina.

“Kita juga bercadang membawa isu ini kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 5 Disember nanti dan akan berhimpun secara aman walaupun pada hari yang sama ada pihak lain akan memberikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata, kesemua 50 NGO itu prihatin dan bersatu untuk membela rakyat di negeri ini yang berada di bawah pentadbiran kerajaan PR kerana hak mereka telah diketepikan.

Katanya, GAPS yang baru ditubuhkan dua bulan lalu bergerak bersama slogan Selangor Bersih.

Lans Koperal hadapi dua pertuduhan



RAUB – Seorang anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menghadapi dua pertuduhan rasuah melibatkan tuntutan dan penerimaan rasuah sebanyak RM1,200.

Lans Koperal Adli Ismail dari Bahagian Narkotik IPD Lipis dituduh meminta wang tunai sebagai dorongan untuk mengubah dua keputusan ujian saringan air kencing yang positif mengandungi dadah jenis Methamphetamine.

Dia dituduh berbuat demikian antara jam 8 pagi hingga 10 pagi di Lokap Mahkamah Kuala Lipis pada 2 Jun lalu.

Adli juga dituduh menerima suapan RM1,200 daripada individu sama pada 8 Jun lalu lebih kurang jam 7 petang di Felda Chegar Perah, Kuala Lipis.

Timbalan Pendakwa raya SPRM, Mohd Josiendra Abu Senin mengemukakan siasatan kes di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi pertuduhan pertama, manakala Seksyen 17 (a) Akta yang sama untuk pertuduhan kedua.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 akta yang sama iaitu dipenjara sehingga tempoh 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Hakim Suraiya Mustaffa Kamal mengarahkan bayaran jaminan sebanyak RM6,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 20, 21 dan 22 Mac tahun depan.

Tertuduh diwakili peguam K Doraisamy daripada Tetuan Loke, Chew dan Zainal.

Padah tunjuk hebat di jalan raya



KUANTAN - Kehebatan melakukan aksi bahaya ketika menunggang motosikal tanpa mempedulikan undang-undang jalan raya langsung tidak mendatangkan faedah kerana pelakunya terpaksa meringkuk dalam penjara selama lima bulan dan didenda RM5,000.

Hukuman atas perbuatan tertuduh, Mohd Affendi Mohamad, 22, dari Kampung Gong Lingai, Kuala Terengganu diputuskan Mahkamah Majistret Khas Trafik Kuantan setelah dia didapati bersalah atas tuduhan menunggang secara melulu sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Kerana ‘kehebatannya’ itu juga, pekerja kilang ini turut hilang kelayakan memandu apabila lesen B2 miliknya digantung selama dua tahun selain berdepan tambahan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang ditetapkan.

Sebelum itu tertuduh yang diwakili peguamnya, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar merayu supaya mahkamah mengetepikan hukuman penjara bagaimanapun rayuan itu gagal melepaskannya daripada hukuman wajib itu.

Tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada 9 November 2009 didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu di Jalan Kuantan-Gambang hadapan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan kira-kira jam 1.30 pagi, 25 Oktober tahun lalu.

Aksinya menunggang ala Superman sambil mencelah dan mengangkat tayar serta melanggar lampu isyarat merah berjaya dikesan sepasukan anggota trafik yang kebetulan menjalankan tugas Ops Cegah Lumba Haram di kawasan itu.

Tertuduh yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ berjaya dihalang polis dan ketika cuba menahannya motosikal yang ditunggangi terjatuh bagaimanapun dia masih cuba untuk melarikan diri hingga berlaku pergelutan.

Cubaannya gagal apabila berjaya ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dihadapkan ke mahkamah dan berdepan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 jika didapati bersalah.

Selepas empat kali kesnya dibicarakan, tertuduh terpaksa akur dengan hukuman yang bakal dihadapinya setelah disabitkan bersalah oleh mahkamah itu, semalam.

Hukuman dibuat Majistret Adibah Abdul Kadir manakala pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Nik Azwan Sidi Ahmad.

Rugi RM10,000




SUNGAI PUTERI – Seorang warga emas terpaksa berputih mata selepas mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas rumahnya di Kampung Sungai Puteri, di sini, dipecah masuk, awal pagi, Isnin lalu.

Dalam kejadian itu, suspek berjaya melarikan wang tunai RM2,200, selain lima bentuk cincin dan empat loket yang disimpan dalam almari bilik rumah mangsa.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, kejadian awal pagi itu dipercayai dilakukan suspek ketika mangsa, Ramlah Awang Deris, 71, bersama lima cucunya sedang nyenyak tidur di depan ruang tamu rumah.

Menurutnya, kejadian hanya disedari mangsa ketika hendak menunaikan solat Subuh.

“Mangsa mendapati biliknya berselerak dan kesemua barangan kemas termasuk wang miliknya habis dikebas.

"Hanya dokumen penting seperti kad pengenalan serya barangan lain ditinggalkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainul berkata, hasil siasatan awal, polis percaya suspek menggunakan laluan di bahagian atas bumbung belakang rumah mangsa yang terlibat dengan kerja-kerja penyambungan rumah.

“Terdapat laluan di atas belakang rumah mangsa yang terbuka menyebabkan suspek mudah masuk, tambahan pula terdapat tangga yang ditinggalkan menyebabkan suspek mudah panjat ke dalam rumah terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut percaya kegiatan itu dilakukan pada waktu hujan dan sehingga semalam, polis masih memburu suspek yang mendalangi kes berkenaan.

“Polis tidak menolak kemungkinan ia dilakukan mereka yang tinggal di kawasan berdekatan rumah mangsa, namun kami masih menjalankan siasatan berhubung perkara ini sebelum sebarang tangkapan dilakukan,” katanya.



Terkejut lihat barang berselerak



Sementara itu, Ramlah ketika ditemui berkata, dia hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 6 pagi iaitu selepas bangun daripada tidur untuk menunaikan solat Subuh di dalam bilik.

“Saya terkejut apabila mendapati beg tangan dan beberapa barangan lain berselerak di atas lantai.

“Setelah meneliti, saya terkejut apabila wang di dalam beg tangan saya RM200 hilang,” katanya.

Walaupun terkejut, dia meneruskan niatnya ke bilik air untuk mengambil air sembahyang sebelum teringat barangan kemas dan wang RM2,000 yang disimpan dalam almari baju di dalam biliknya.

“Punah harapan saya apabila kesemua wang dan duit saya hilang dalam sekelip mata.

“Saya amat terkejut dengan peristiwa ini memandangkan tempat simpanan wang ada surah Yasin, namun pihak terbabit masih tergamak mencurinya,” katanya.

Ramlah berkata, sebelum ini terdapat juga kejadian seumpama itu berlaku di rumah jiran beberapa bulan lalu, namun dia tidak menyangka penjenayah terbabit menjadikan rumahnya sebagai sasaran pada kali ini.



Terkilan duit simpanan arwah suami dikebas



Ramlah berkata, apa yang mendukacitakannya, duit yang hilang itu adalah wang peninggalan arwah suaminya, Mat Isa Awang Lelah, yang meninggal dunia kira-kira tiga bulan lalu.

Katanya, suaminya meninggalkan wang itu untuk dibuat perbelanjaan, namun tidak menyangka ia akan dikebas individu yang tidak bertanggungjawab.

“Duit ini adalah wang pusaka yang ditinggalkan suami untuk menyambung rumah pada bahagian belakang. Ia untuk membeli kayu dan tak sangka pula jadi begini. Saya sungguh sedih dengan kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, selepas ini dia terpaksa mengeluarkan sekali lagi wang simpanan arwah suaminya untuk membayar kos upah dan harga kayu bagi menggantikan wang yang dikebas suspek.



Syukur keluarga selamat



Walaupun menanggung kerugian, Ramlah tetap bersyukur kerana keluarganya masih selamat dan tidak dicederakan suspek.

“Alhamdulillah kami sekeluarga masih selamat dan dipanjangkan umur. Mujur salah seorang anak dan menantu serta cucu tinggal di rumah saya. Tiada kecederaan atau kejadian tidak diingini berlaku ke atas kami,” katanya.

Permainan ganas askar



WASHINGTON - Perbicaraan pertama salah seorang daripada sekumpulan askar Amerika Syarikat (AS) yang didakwa menjadikan pembunuhan penduduk Afghanistan sebagai 'sukan' dijadual bermula, semalam.

Pegawai tentera, Robert Stevens adalah seorang daripada tujuh anggota tentera yang berhadapan dengan tuduhan salah laku yang serius semasa sedang berkhidmat di Afghanistan, menurut angkatan tentera dalam satu kenyataan.

Tuduhan ke atas Stevens termasuk bersubahat untuk memukul dan menyerang yang menyebabkan kematian atau kecederaan kepada orang lain dan jika disabitkan bersalah, dia boleh dijatuhi hukuman maksimum 27 tahun dan enam bulan penjara.

Pembunuhan itu dilaporkan berlaku berhampiran markas tentera AS di wilayah bergolak Kandahar, selatan Afghanistan.

Kesemua anggota tentera itu didakwa atas tuduhan membunuh dan menggunakan bom tangan serta senjata api untuk membunuh sekurang-kurangnya tiga penduduk awam di Afghanistan.

Menurut dokumen siasatan, salah seorang daripada askar didakwa mengumpul jari mangsa yang maut selepas menjadi sasaran mereka.

Kerajaan sedia bantu bebas kapal, krew jika diminta pemilik MV Albedo



KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sedia membantu membebaskan krew dan kapal MV Albedo daripada tawanan lanun di Lautan Hindi jika diminta berbuat demikian oleh pemiliknya.

Namun kata beliau, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang permintaan berbuat demikian, baik daripada pemilik kapal mahupun kedutaan krew yang terlibat.

Kerajaan juga belum bercadang menubuhkan pasukan perunding untuk membincangkan soal tuntutan dan pembebasan sepertimana kelaziman kes rampasan kapal, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas perkembangan terkini akan nasib kapal itu yang didaftarkan di Malaysia dan 23 krewnya yang terdiri daripada warga Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Iran, yang ditawan lanun kira-kira 1,660 kilometer dari Mogadishu, Somalia, awal Jumaat lepas.

Berasaskan laporan dari Kesatuan Eropah, MV Albedo ditawan ketika dalam perjalanan membawa kontena dari Jebel Ali di Emiriyah Arab Bersatu ke Mombasa, Kenya.

Dua pemimpin China dituduh punca AIDS



BEIJING 1 Dis. - Seorang pesara Kementerian Kesihatan China hari ini mendesak dua pemimpin kanan negara bertanggungjawab ke atas skandal penjualan darah mengandungi AIDS pada sekitar 1990-an.
Chen Bhingzhong, 78, yang menderita kanser hati telah menulis sepucuk surat terbuka kepada Jintao yang menyatakan pihak yang bersalah dalam skandal kecuaian di wilayah Henan itu masih belum dihukum.
Dalam surat yang disiarkan dalam laman web kumpulan aktivis Aizhixing, bekas ketua Institut Pendidikan Kesihatan itu menuding ke arah 'dua pegawai kanan' yang sejak kes itu telah memasuki senarai sembilan pemimpin tertinggi China.
Bercakap kepada AFP menerusi telefon sempena sambutan Hari AIDS Sedunia hari ini, Bhingzhong menyebut nama Li Keqiang yang kini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan dikatakan akan menggantikan Jiabao, pernah mentadbir Henan dari tahun 2002 hingga 2004.
Seorang lagi ialah Li Changchun, ketua propaganda Parti Komunis yang memegang jawatan sama dari tahun 1992 hingga 1998.
Kedua-dua mereka kini adalah sebahagian daripada anggota jawatankuasa biro politik parti itu, badan tertinggi dan paling berkuasa China.
Sekitar 1990-an, kesemua perkampungan di Henan dilanda wabak HIV/AIDS.
Ramai penduduknya dijangkiti selepas berulang kali menjual darah di pusat pengumpulan yang menghimpunnya dalam sebuah bekas dan menyuntikkan semula darah selepas plasma diambil.
Skandal penjualan darah itu pada awalnya disembunyikan oleh pegawai tempatan yang mana sebahagian daripada mereka turut terlibat secara aktif. Namun ia terdedah selepas kempen berterusan oleh aktivis termasuk pengasas Aizhixing, Wan Yanhai.
Kerajaan pada 2001 menyatakan seramai 30,000 hingga 50,000 orang dijangkiti HIV menerusi program itu tetapi Bhingzhong mendedahkan angka sebenar mencapai 100,000 dengan sekurang-kurangnya 10,000 mangsa meninggal dunia. - AFP

Pelajar Itali bantah pembaharuan



PELAJAR-PELAJAR cuba menebalikkan van polis semasa mengadakan bantahan terhadap cadangan pembaharuan pendidikan di Rome, semalam. – AP


ROME 1 Dis. – Beribu-ribu pelajar berarak di bandar-bandar Itali semalam dan mengepung jalan raya utama serta landasan kereta api, ketika penggubal undang-undang bakal mengundi untuk mengadakan pembaharuan pendidikan yang mencetuskan protes terbesar sejak beberapa dekad lalu.
Kumpulan pelajar yang minggu lalu menguasai lokasi tarikan pelancong di seluruh negara termasuk Menara Condong PIsa dan Colosseum, berikrar untuk menghalang cadangan perubahan yang diusulkan Menteri Pendidikan, Mariastella Gelmini.
Mereka memenuhi tengah kota Rome sambil melaungkan rasa tidak puas hati dan mengibarkan sepanduk dengan slogan ‘pendidikan kini sedang melutut’ sebelum bertindak melontar telur, sayuran, botol dan mercun ke arah Parlimen.
Penunjuk perasaan kemudian menghalang lalu lintas di jalan utama dan sebahagian daripada mereka menyerbu stesen kereta api sebelum berbaring di atas landasan, menyebabkan gangguan perkhidmatan.
Pertempuran dengan pihak polis tercetus apabila mereka cuba memasuki Parlimen. Protes sama di bandar-bandar lain turut menyebabkan ketegangan dengan polis.
“Kami mahu melihat pembaharuan peringkat akar umbi, bukan yang dibuat dari koridor kuasa,” kata seorang pelajar jurusan matematik di University of Florence, Tommaso Ricci, 24.
Perdana Menteri Silvio Berlusconi menuding jari ke arah ekstremis berhaluan kiri sebagai punca tercetusnya demonstrasi dan mendakwa pelajar universiti sebenar berada di rumah untuk belajar.
Protes oleh pelajar Itali adalah yang terbaru dalam gelombang demonstrasi menentang langkah jimat cermat di seluruh Eropah. – REUTERS

Barang seludup RM3.66 juta dirampas



Penguat kuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Kelantan dan anggota Unit Pencegah Penyeludupan memeriksa tangki minyak kereta yang diubah suai di Pangkalan Kubor, semalam.


PENGKALAN KUBOR 1 Dis. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan (PPDNKK) merampas pelbagai jenis barang seludup berjumlah RM3.66 juta dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Pengarahnya, Fauzi Haron berkata, dalam tempoh tersebut juga sebanyak RM89,600 kompaun telah dikeluarkan membabitkan 679 kes kebanyakkannya di bawah Akta Kawalan Bekalan terutama bahan api.
Jelasnya, harga minyak yang rendah di negara ini menjadi faktor utama kepada berlakunya penyeludupan petrol dan diesel untuk dijual di negara jiran dengan harga yang tinggi.
"Sebanyak 429 kes atau RM2.9 juta adalah di bawah Akta Kawalan Bekalan dan selebihnya barang lain.
"Jelas di sini bahawa subsidi yang diberikan kerajaan untuk kemudahan rakyat telah disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menyeludupnya ke negara jiran kerana mahu mengaut keuntungan," katanya kepada pemberita ketika melakukan operasi pemantauan penjualan minyak di beberapa stesen minyak sekitar daerah ini, hari ini.
Operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP).
Menurut Fauzi, PPDNKK kerap melakukan operasi membanteras penyeludupan di seluruh negeri namun ia memerlukan kerjasama semua agensi secara total untuk hasil yang berkesan.
Sebagai contoh katanya, pemantauan agensi itu hanya berkuat kuasa di darat manakala kawasan perairan tertakluk kepada agensi keselamatan yang lain.
Mengenai kawalan harga sempena bulan perayaan Disember ini, beliau berkata, PPDNKK telah bersedia dengan anggota yang mencukupi untuk memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membeli apa-apa barang bukan kawalan yang dijual pada harga melampau untuk kebaikan mereka sendiri.
"Kalau pengguna tidak beli peniaga terpaksa turunkan semula harga kerana ia ditentukan oleh mekanisme pasaran. Pengguna sebenarnya yang mempunyai kuasa mutlak untuk menghalang kenaikan harga barangan," tambahnya.

Wanita larikan anak saudara



KUALA LUMPUR 1 Dis. - Seorang wanita berasal dari Acheh, Indonesia, dipercayai telah menghilangkan diri bersama dua anak saudaranya selepas membawa kanak-kanak itu keluar dari rumah mereka di Gombak, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, wanita berkenaan sebelum itu meminta kebenaran daripada ibu bapa kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun tersebut untuk membawa mereka bersiar-siar.
Katanya, bagaimanapun sehari selepas kejadian, ketiga-tiga mereka tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi.
"Ibu bapa kanak-kanak tersebut telah membuat laporan polis keesokan harinya kerana bimbang keselamatan mereka.
"Keluarga itu berasal dari Acheh, bagaimanapun telah mendapat status kerakyatan tetap (PR) negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahim, wanita berkenaan tiba ke negara ini dan tinggal bersama keluarga kanak-kanak itu sejak lima bulan lalu dan bekerja di sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor.
"Sebelum menghilangkan diri, wanita terbabit turut meninggalkan sekeping nota meminta maaf kepada pasangan terbabit yang ditinggalkan di dalam bilik.
"Menerusi nota ringkas itu, wanita tersebut juga mendakwa ingin memulakan hidup baru. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan kes orang hilang," katanya.

Mekanik bawa peluru ke balai diberkas



KLANG 1 Dis. - Tindakan seorang mekanik membawa tujuh butir peluru hidup ke balai polis untuk membuktikan dia telah diugut dengan pistol oleh seorang rakan yang datang ke rumahnya di Rantau Panjang di sini pada Sabtu lalu, membawa padah apabila dia turut diberkas pada hari sama atas kesalahan dadah.
Ini kerana pasukan polis dari Balai Polis Bukit Raja di sini yang menyerbu rumah pengadu sejurus selepas aduan dibuat untuk menahan suspek, telah menemui beberapa plastik lutsinar dipercayai berisi serbuk dadah jenis syabu, alat menghisap dadah, penimbang dan gunting.
Polis yang kemudian membuat ujian air kencing ke atas pengadu dan suspek, selepas penemuan itu mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, semasa serbuan pukul 3.50 petang, pihaknya mendapati suspek sedang dalam keadaan khayal di rumah pengadu.
Beliau berkata, polis kemudian menemui sepucuk pistol buatan China jenis Norinco daripada suspek sebelum menemui beberapa plastik lutsinar berisi serbuk putih dipercayai dadah serta peralatan lain.
"Kedua-dua lelaki itu yang masing-masing berusia 25 tahun dan 27 tahun kini ditahan reman hingga Jumaat ini," kata beliau kepada pemberita di pejabatnya di Sungai Kapar Indah, di sini hari ini.
Menurut Mohamad Shukor, suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Akta Penagihan Dadah sementara pengadu pula disiasat di bawah Akta Penagihan Dadah.
Dalam kes berasingan, beliau memberitahu, polis merampas sepucuk pistol jenis Browning, 11 butir peluru hidup dan sejumlah dadah semasa menyerbu sebuah rumah di Klang Utama, di sini pada 22 November lalu.
Katanya, berikutan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di dalam rumah terbabit dan direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Akta Penagihan Dadah.
"Terdapat seorang wanita berusia 30 tahun yang disyaki teman kepada suspek di dalam rumah tetapi tidak ditahan," katanya.

17 individu ditahan terlibat judi dalam talian antarabangsa



MASZELY Minhad (kiri) bertanyakan sesuatu kepada penjaga sebuah premis permainan judi dalam talian antarabangsa yang diserbu dalam Ops Dadu di Jinjang, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Dis. - Sebanyak 17 individu termasuk seorang remaja berusia 16 tahun ditahan dalam serbuan di lima premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian dalam talian antarabangsa di sekitar Kepong dan Jinjang, hari ini.
Remaja terbabit yang merupakan antara tujuh penjaga premis, ditahan ketika serbuan diadakan dalam Ops Dadu dan dilancarkan serentak dari pukul 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang.
Sepuluh daripada tangkapan itu pula merupakan pelanggan, yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 60 tahun.
Menurut Ketua Operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Supritendan Maszely Minhad, lima premis itu tidak memiliki lesen dan mula beroperasi sejak dua bulan lalu.
"Ketika serbuan dilakukan pelanggan-pelanggan sedang asyik menjalankan kegiatan haram itu.
"Berdasarkan siasatan polis, kelima-lima premis terbabit mempunyai rangkaian perjudian dalam talian antarabangsa yang sama.
"Wang taruhan mencecah sehingga RM100,000 bagi setiap premis yang diuruskan oleh dua penganjur," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Maszely berkata, polis turut merampas mesin judi berupa 114 unit komputer dan wang tunai RM1,266.
Jelasnya, sebanyak lapan unit kamera litar tertutup (CCTV) ditempatkan di pintu masuk, pintu belakang, bilik orang kenamaan (VIP) dan di ruang utama setiap premis tersebut.
"Apa yang menarik premis itu turut menyediakan sebuah bilik VIP serta makanan dan minuman panas khusus untuk pelanggan tetap dan berprofil tinggi bagi memberi keselesaan kepada mereka.
"Selain itu, pemilik premis turut meletakkan tanda amaran perjudian dalam talian adalah haram dan tidak bertanggungjawab atas kesalahan tersebut.
"Polis sedang mengesan dua penganjur terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun," katanya lagi.

Halizan - anak bakal pulang dari Lombok





02/12/2010 4:52pm

KUALA TERENGGANU - Keluarga Halizan Ibrahim, wanita dari Terengganu yang lari mengikut kekasihnya ke Lombok, Indonesia gembira apabila mendapat khabar yang dia akan pulang ke Malaysia bersama anaknya tidak lama lagi.
Kakak kepada Halizan, Hartini Ibrahim, 39, yang tinggal di Kampung Nibong di sini berkata, beliau baru sahaja berhubung dengan adiknya melalui telefon petang semalam dan Halizan, 38, menyatakan dia akan pulang tidak lama lagi bersama anaknya yang hanya dikenali sebagai Zulfakar yang baru dilahirkan.
"Perkhabaran terbaru ini melegakan keluarga kami. Sebelum ini kami tidak tahu kesudahan apakah dia akan pulang atau sebaliknya," katanya di sini hari ini.
Hartini berkata, semasa perbualan semalam, adiknya menyatakan dia kini sudah tidak ada halangan lagi untuk pulang bersama anaknya.
Ini kerana Halizan sudah mendapat kebenaran daripada kerajaan Indonesia untuk membawa anaknya pulang bersamanya ke Terengganu, katanya.
Beliau berkata, sebelum ini adiknya bukan tidak mahu pulang ke kampung mereka tetapi disebabkan kesukaran untuk membawa pulang anaknya bersama.
"Halizan tidak akan pulang sekira anaknya tidak boleh dibawa bersama ke Terengganu," katanya.
Hartini berkata, keluarganya terutama ibunya sungguh gembira apabila mendengar perkhabaran terbaru itu.
"Jika sudah tinggal di kampung, susah senang kita sama-sama dapat membantunya," katanya.
Halizan bersama anaknya kini berlindung di Rumah Kebajikan Bude Rini setelah ditinggalkan kekasihnya yang dikenali sebagai Asitah yang kini kembali bekerja di Malaysia. - Bernama

Gempa kuat gegar Papua New Guinea





2010/12/02

SYDNEY: Gempa bumi dengan kekuatan 6.9 pada skala Richter menggegarkan Papua New Guinea hari ini. 

Bagaimanapun, Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) menyatakan tiada ancaman segera tsunami. - AFP

Dua maut, pacuan empat roda rempuh lori





2010/12/02

KUANTAN: Dua maut manakala seorang cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki, merempuh bahagian belakang sebuah lori di KM 92.7 Lebuh Raya Pantai Timur berdekatan Temerloh, semalam. 

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata mereka yang maut ialah pemandu kenderaan berkenaan, Abas Mohd Jusof @Yusof, 65, dan penumpang hadapan Mohd Helvin Mohd Hanapiah, 25.
Seorang lagi lelaki yang identitinya belum dikenal pasti mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata dalam kejadian jam 2.50 petang itu, kenderaan pacuan empat roda tersebut dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan. 

"Sampai di tempat kejadian, pacuan empat roda ini merempuh belakang sebuah lori yang dipercayai berhenti di lorong kecemasan," katanya. 

Akibat kejadian itu, Mohd Helvin maut di tempat kejadian manakala Abas meninggal dunia di hospital. - BERNAMA

4 maut selepas perompak tawan bas penumpang di Manila




2010/12/02

MANILA: Tiga perompak merampas sebuah bas penumpang dan bertempur dengan pihak berkuasa di sebuah lebuh raya, mengakibatkan empat orang awam terbunuh. 

Pihak tentera pada mulanya mempersalahkan pemberontak New People’s Army terhadap kejadian di timur Manila itu ketika wakil pemberontak dan kerajaan bertemu dalam rundingan tidak rasmi di Hong Kong.
Siasatan kemudian mendapati tiga perompak menawan bas berkenaan yang dinaiki enam penumpang untuk melarikan diri dan merempuh sekatan jalan pihak polis dan tentera serta melepaskan tembakan terhadap anggota keselamatan yang mengejar mereka.
Ketua polis Quezon, Eric Velasquez, berkata konduktor bas, dua penumpang wanita dan seorang penumpang lelaki terbunuh dalam kejadian itu selepas bas berkenaan melanggar sebatang pokok. 

Beliau berkata, dua suspek kini dalam tahanan pihak berkuasa manakala seorang lagi berjaya melarikan diri. 

“Tembakan dilepaskan dan apabila mereka berhenti, tembakan terus dilepaskan. Seorang suspek bolos," katanya. 

Velasquez berkata, ketika menawan bas itu, suspek memaklumkan mereka adalah anggota New People’s Army dan mengacukan senjata pada kepala pemandu. 
"Empat yang terbunuh adalah orang awam yang terkena tembakan dalam kejadian itu," katanya sambil menambah pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat. - AP

3 maut nahas di Lebuhraya Persekutuan





2010/12/02

PETALING JAYA: Tiga lelaki maut selepas terbabit dalam satu kemalangan di KM28.4 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam awal hari ini. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata kejadian berlaku kira-kira 1.30 pagi apabila warga Myanmar Dong Sian Sing dilaporkan melintas lebuh raya itu lalu dilanggar sebuah kereta yang menghala ke Kuala Lumpur sebelum tercampak ke seberang jalan.
"Mangsa yang tercampak ke seberang jalan sekali lagi telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda dan menyeret mangsa sejauh 50 meter.
"Kenderaan itu terbabas dan menyebabkan dua penumpang di dalamnya tercampak ke luar dan mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini. 

Beliau berkata penumpang di dalam pacuan empat roda itu terdiri dari warga Myanmar Htet Iwin Zaw, 29 dan seorang lagi rakyat tempatan Mohd Yuros Shahri Mohd Yusof, 21. 

"Pemandu dan dua lagi penumpang di dalam kenderaan pacuan empat roda itu hanya mengalami kecederaan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut," katanya. 

Arjunaidi berkata kawasan itu kerap berlaku kemalangan berikutan orang ramai yang suka melintas jalan tanpa menggunakan jejantas yang disediakan. 
"Mungkin mereka malas hendak berjalan jauh untuk menggunakan kemudahan yang ada menyebabkan laluan bawah (lebuh raya persekutuan itu) yang menjadi pilihan," katanya. - BERNAMA

Ahli perniagaan dipercayai dibakar hidup-hidup dalam pikap





2010/12/02

IPOH: Seorang ahli perniagaan, S Jagadeson, 34, ditemui rentung dipercayai dibakar hidup-hidup bersama kenderaannya di satu lorong di belakang Kawasan Perindustrian Ringan Kinta Jaya, Kampung Rapat, di sini awal pagi tadi. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim, berkata mayat mangsa ditemui di dalam kereta itu selepas api dipadamkan anggota bomba dan penyelamat yang turur terkejut dengan penemuan itu.
"Polis percaya kes itu berunsur jenayah kerana mulut mangsa dililit dengan pita pelekat ketika mayatnya ditemui terbaring di tempat duduk belakang pikap jenis Toyota Hilux miliknya.
"Identiti mangsa dicam oleh isterinya sendiri berdasarkan beberapa barangan termasuk pakaian yang dipakai oleh mangsa dan cincin. 

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa dibakar ketika masih hidup tetapi kita akan menunggu laporan bedah siasat dan membuat siasatan lanjut," katanya. 

Dzuraidi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian.

Nigeria rancang dakwa Dick Cheney atas kes rasuah





2010/12/02

LAGOS: Pihak berkuasa Nigeria merancang mendakwa bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Dick Cheney, atas skandal rasuah yang membabitkan firma Halliburton.

Jurucakap anti-rasuah, Femi Babafemi ketika ditanya sama Cheney akan didakwa atas siasatan yang dilakukan, beliau berkata: ”Ia benar...pasti.”
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan maklumat lanjut berhubung dakwaan yang dijangka difailkan minggu depan. - AFP

kemalangan maut diLebuhraya Lim Chong Eu


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa keadaan Perodua MyVi yang remuk selepas dirempuh Proton Satria di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang, awal pagi tadi. Pemandu Perodua MyVi, Ng Sweet Yuin, 27, (gambar kecil) terbunuh dalam nahas itu. - Foto Rudy Syareme Sheriffudin

Remaja mati ditembak ketika minum





2010/12/02

IPOH: Seorang remaja berusia 17 tahun mati ditembak lelaki bersenjatakan pistol ketika mangsa sedang minum di sebuah kedai di Taman Bertuah, Kampung Tawas, dekat sini, 6.30 petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata Regan a/l Mani, 17, yang ditembak tiga kali mati di tempat kejadian.
"Polis masih menyiasat motif pembunuhan itu," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini untuk bedah siasat.

Azisman berkata, siasatan polis mendapati penjenayah itu menaiki sebuah motosikal bersama seorang rakan.

Beliau meminta saksi kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan.

8 maut suhu cecah –20 Celcius


SEBUAH pesawat diselaputi salji di Lapangan Terbang Geneva yang ditutup sementara.
SEBUAH pesawat diselaputi salji di Lapangan Terbang Geneva yang ditutup sementara.
Penerbangan di beberapa negara Eropah dibatal akibat salji tebal
LONDON: Salji tebal mula melanda Britain dan beberapa negara Eropah semalam, ketika bermulanya musim sejuk, menyebabkan jadual penerbangan di sekurang-kurangnya empat lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Gatwick di selatan London terpaksa dibatalkan.
Di Scotland, lapangan terbang Edinburgh ditutup selepas salji tebal melitupi landasan, manakala jurucakap lapangan terbang City yang lebih kecil menyatakan ia masih beroperasi tetapi beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan.
Polis di Kent dan Surrey di selatan negara itu menasihati pemandu kenderaan agar tidak membuat sebarang perjalanan kecuali benar-benar penting, manakala keadaan sesak teruk berikutan kenderaan bergerak terlalu perlahan dilaporkan berlaku di lebuh raya M52 London menuju ke beberapa kawasan.

Kebanyakan wilayah di Britain dilanda salji tebal, dengan angin kencang memburukkan lagi keadaan.

“Berikutan masalah cuaca buruk, tiada penerbangan yang akan berlepas atau mendarat di Gatwick. Landasan akan terus ditutup sehingga sekurang-kurangnya jam 6 petang esok,” kata jurucakap lapangan terbang itu dalam satu kenyataan yang dihantar ke laman webnya.

Agensi Lebuh Raya juga melaporkan kelewatan di laluan M1, East Midlands dan di lebuh raya A1 berhampiran bandar Catterick di Yorkshire.
Di WARSAW, Poland, polis berkata lapan orang mati kesejukan selepas iklim sejuk melanda, dengan suhu jatuh kepada –20 Celcius di sebahagain besar negara berkenaan.

Jurucakap polis, Mariusz Sokolowski berkata lapan lelaki, semuanya sebelum itu minum minuman beralkohol, meninggal dunia kelmarin saja. Beliau meminta rakyat Poland menghubungi polis jika ternampak ada orang gelandangan di luar.

Ramai rakyat Poland mati kesejukan di Poland, kebanyakannya orang gelandangan dan mabuk.

Di BRITAIN, perkhidmatan kereta api Eurostar antara London dan Eropah juga lewat berlepas dengan enam kereta apinya terlewat jadual sehingga 30 minit.

Britain yang mengalami musim sejuk paling buruk dalam tempoh 30 tahun pada 2009, tidak pernah dilitupi salji pada awal musim sejuk sejak 1993.

Setakat ini, tiada tanda salji akan cair, sebaliknya jabatan kaji cuaca meramalkan lebih banyak salji dijangka turun di timur Scotland dan bahagian tengah serta selatan England.

Lapangan terbang Zurich di Jerman melaporkan kelewatan dan pembatalan penerbangan ketika ramai orang kenamaan termasuk bekas Presiden Amerika, Bill Clinton dan Perdana Menteri Sepanyol menuju ke ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Geneva untuk pembidaan tuan rumah kejohanan Piala Dunia 2018 dan 2022.

Pihak berkuasa kawalan trafik Eropah, Eurocontrol juga melaporkan kelewatan teruk di lapangan terbang Tegel di Berlin dan utara Sepanyol. Jurucakap lapangan terbang Geneva, Bertrand Staempfi berkata lapangan terbang itu akan ditutup hingga jam 2 petang esok waktu tempatan. – Reuters/AFP

Pengasas WikiLeaks berdepan risiko dibunuh





2010/12/02

LONDON: Pengasan WikiLeaks, Julian Assange kini didakwa berdepan risiko dibunuh berikutan pendedahan lamam web pembocor maklumat itu yang mengeluarkan ratusan ribu maklumat rahsia Amerika. 

Jurucakap laman web itu, Kristinn Hrafnsson hari ini berkata, Assange akan kekal bersembunyi untuk keselamatan dirinya.
Beliau berkata, nyawa warga Australia itu kini terancam selepas ahli poliik Amerika mahu dia dikenakan tindakan undang-undang sebagai pengkhianat, manakala penasihat kepada Perdana Mnteri Kanada, Stephen Harper dilaporkan berkata Assange sepatutnya dibunuh.
“Kami menerima ancaman sedemikian daripada kerajaan dan pengkritik dan sebahagian daripada mereka amat menakutkan dengan mahu Julian Assange dibunuh dengan kejam,” katanya dalam satu debat di Frontline Club di London. 

Hrafnsson berkata, tempat Assange kini berada perlu dirahsiakan walaupun sebelum ini dia dikatakan berada di Sweden dan London. 

Assange juga kini diburu Interpol berikutan satu waran tangkap dikeluarkan pihak berkuasa Sweden berhubung satu kes rogol membabitkannya. - AFP

Pecah amanah: 2 bekas pegawai Pempena dibicara 21 Mac depan





2010/12/02

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan kes bekas Ketua Pegawai Operasi Pempena Sdn Bhd Mohammad Rosly Md Selamat dan Ketua Pengawal Kewangan syarikat itu, Lim Khing Tai terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan RM169,770, empat tahun lalu. 

Hakim Rozana Ali Yusoff, menetapkan tarikh itu selepas menemui pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Anas Mahadzir dan pihak pembelaan yang diwakili peguam, Rejender Singh dan peguam tertuduh kedua, Cheow Wee dalam kamarnya.
Perbicaraan itu akan dijalankan selama lima hari.
Pada 16 Ogos lalu, mereka didakwa melakukan kesalahan iaitu dengan curangnya menggunakan wang yang diamanahkan kepadanya untuk membayar kepada Ummi Hafilda Ali melalui empat keping cek Bumiputra Commerce Bhd. 

Mereka didakwa menggunakan wang itu sebagai bayaran penajaan bagi penganjuran Konsert Amr Diab walaupun mengetahui pembayaran itu masih belum mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Pempena Sdn Bhd. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Pempena Sdn Bhd, Tingkat 29, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, pada 15 Ogos 2006, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. 

Pempena Sdn Bhd adalah Pembangunan Pelancongan Nasional Sdn Bhd yang juga adalah anak syarikat Tourism Malaysia. 
Mohammad Rosly turut menghadapi tuduhan berasingan bersama Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) Datuk Mirza Mohammad Taiyab Beg Mirza Hadi Hassan Beg atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM888,000, tiga tahun lalu. - BERNAMA

Pengawal keselamatan mati ditetak dengan kapak





2010/12/02

JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan sebuah pusat krematorium Hindu di Jalan Kebun Teh, di sini, maut apabila ditetak dengan kapak selepas dipercayai bertengkar dengan rakan tempat bekerjanya jam 1.15 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu dikatakan bertengkar dengan suspek berusia awal 50-an yang bekerja sebagai tukang kebun.
"Kedua-dua mereka saling melakukan provokasi dan berkesudahan dengan suspek bertindak menetak mangsa dengan kapak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Beliau berkata mangsa yang cedera parah di leher meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat. 

Zainuddin berkata polis tidak menolak kemungkinan pertengkaran berpunca daripada soal kerja. 

Polis, katanya berjaya menahan suspek dan menemui senjata yang digunakan di sekitar kawasan kejadian. 

Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan bekerja di pusat berkenaan sejak setahun lalu, katanya. 
Beliau berkata mangsa yang berasal dari Seremban pula difahamkan baru bekerja di pusat berkenaan. 

Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 
- BERNAMA

Mahkamah tetapkan 10 Dis permohonan Measat



02/12/2010 2:58pm

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi menetapkan 10 Disember ini untuk memutuskan berhubung permohonan Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. untuk menangguhkan prosiding satu saman yang mendakwa ia telah melanggar satu 'perjanjian tidak boleh dedah'.
Hakim Datuk Azahar Mohamed hari ini menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan oleh peguam Measat, N. Navaratnan dan peguam AV Asia Sdn. Bhd., Firoz Hussein Jamaluddin.
AV Asia, pembekal peralatan sokongan menyaman Measat dengan mendakwa bahawa anak syarikat Astro itu telah mendedahkan maklumat sulit kepada Tele System Electronic, defendan kedua.
Pada 28 September, Av Asia memfailkan saman kerana dikatakan melanggar perjanjian tidak boleh dedah mengenai gangguan hujan, satu sistem yang direka bagi mengurangkan gangguan terhadap pemancaran satelit.
Azahar juga menetapkan hari yang sama bagi sebutan berhubung kes injunksi yang difailkan AV Asia untuk menghalang kedua-dua defendan daripada menggunakan maklumat sulit berhubung produk berdefinisi tinggi kepada Astro Beyond. - Bernama

Bekas calon Presiden saman Angkasa



02/12/2010 5:17pm

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Kuala Lumpur, Datuk Mustapa Kamal Maulut memfailkan saman bagi mencabar keputusan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang menggantungnya daripada menyertai mana-mana persidangan atau mesyuarat koperasi itu bagi tempoh lima tahun.
Mustapa yang pernah menjadi calon jawatan presiden Angkasa, mengemukakan saman pemula itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, pada 26 Oktober lepas.
Pihak media memperoleh saman itu hari ini selepas saman itu diserahkan kepada Presiden Angkasa Prof Ali Baharom di pejabatnya di Kelana Jaya.
Mahkamah menetapkan 8 Disember ini bagi sebutan semula kes itu.
Mustapa dalam samannya, memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan Angkasa yang menggantungnya pada 26 Ogos lepas, sebagai tidak sah dan terbatal.
Beliau mendakwa tiada sebarang peruntukan dalam Undang-undang Kecil Angkasa untuk melucutkan hak peribadinya bagi menghadiri mana-mana persidangan kebangsaan, persidangan negeri atau mesyuarat Angkasa. - Bernama