Search This Blog

Wednesday, December 1, 2010

Ditangkap orang awam ketika cuba merompak



01/12/2010 6:28pm

GEORGE TOWN: Seorang lelaki gagal dalam cubaannya untuk merompak sebuah kedai emas di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini apabila dia ditangkap oleh orang ramai kebetulan berada di kompleks tersebut hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata dalam kejadian pukul 1.15 tengah hari, orang ramai di Kontar menyedari tindakan seorang lelaki yang bersenjatakan sebilah parang dan menyerbu sebuah kedai emas.
"Lelaki itu pada mulanya mengacukan parang terhadap salah seorang pekerja kedai emas berkenaan tetapi setelah menyedari dikepung oleh orang awam, dia cuba melarikan diri,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, orang awam kemudiannya bergelut dengan lelaki berusia 32 tahun sebelum menyerahkannya kepada polis.
Perompak itu ditahan di ibu pejabat polis Daerah Timur Laut untuk membantu siasatan dan polis merampas beg galas, tali pinggang, topi keledar dan sebuah motosikal yang dipercayai milik lelaki terbabit. - Bernama

Perisian cetak rompak: RM5 juta komputer, peralatan dirampas



01/12/2010 5:19pm

PETALING JAYA: Pihak berkuasa merampas komputer dan peralatan komputer bernilai hampir RM5 juta daripada 20 buah syarikat yang didapati menggunakan perisian cetak rompak di daerah Petaling Jaya sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Daerah Petaling Jaya, Mohd Ruhani Bakar berkata serbuan dijalankan hasil maklumat orang ramai dan Business Software Alliance (BSA).
"Kebanyakan syarikat yang menggunakan perisian palsu ini terdiri daripada syarikat kejuruteraan di mana perisian yang digunakan biasanya untuk membuat lukisan (pelan rumah) dan sebagainya.
"Lazimnya mereka (syarikat) menggunakannya kerana ia menjimatkan kos kerana membeli perisian cetak rompak jauh lebih murah daripada yang asli,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Ruhani berkata pihaknya juga merampas lapan unit komputer riba bernilai RM174,000 hasil serbuan terhadap sebuah anak syarikat Australia yang beroperasi di sini semalam.
Beliau berkata syarikat tersebut yang menjalankan perniagaan industri minyak dan gas didapati menggunakan perisian cetak rompak dalam menjalankan operasi mereka.
Katanya lanjutan kepada aduan yang diterima daripada BSA, sepasukan penguatkuasa dari cawangan KPDNK Petaling Jaya membuat serbuan ke atas premis di Damansara itu pada 12 tengah hari.
Beliau berkata syarikat tersebut akan dikenakan tindakan menurut Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 yang memperuntukkan denda minimum RM2,000 setiap salinan langgaran dan tidak lebih daripada RM20,000. - Bernama

Penulis bebas dituduh tipu peniaga RM144,000



01/12/2010 1:56pm

KUALA LUMPUR 1 Dis. — Seorang penulis bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menipu seorang ahli perniagaan membabitkan wang berjumlah RM144,000 pada tahun lepas.
Mohamed Fareq Abdul Rahman, 35, dari Taman Setapak, di sini didakwa menipu Ong Eng Huat, 45, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dua surat tawaran pelantikan sebagai wakil penjual stesen minyak Petronas adalah benar sehingga mendorong Ong menyerahkan wang RM144,000 kepadanya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Coffee Bean, Mid Valley, Brickfields, pada Disember 2009.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat, dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Hakim Azizah Mahamud membenarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh dan menetapkan 15 Dis ini untuk tertuduh melantik peguam dan penyerahan dokumen. — Bernama

Siswa berpistol



KUALA TERENGGANU - Gelap masa depan! Itulah nasib dua penuntut sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kemaman yang ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam satu rompakan bersenjata di sebuah kedai 24 jam di Geliga, Kemaman, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, polis telah menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 6.05 pagi mengenai kejadian itu dan bergegas ke kedai itu yang terletak di Jalan Kuantan di Chukai, Kemaman.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan Balai Polis Chukai telah pergi ke tempat kejadian dan hasil siasatan mendapati, kejadian samun itu dilakukan dua lelaki bertopeng dan memakai helmet serta bersenjatakan pisau.

“Kejadian tersebut hanya berlaku dalam tempoh lima minit dan dua suspek itu melarikan dua peti tunai berisi lebih kurang RM2,500.

Dua pasangan suami isteri antara 10 ditahan sedang berjudi



KUALA LUMPUR - Polis menahan 10 orang termasuk dua pasangan suami isteri ketika mereka sedang asyik bermain judi menggunakan komputer, dalam satu operasi di sebuah premis di Jalan Sentul Pasar berhampiran sebuah sekolah di sini, petang ini.

Pegawai Turus Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibupejabat Polis Bukit Aman ASP Khairi Anuar Rosli berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan pukul 1.30 petang itu terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita, berumur lingkungan 20an hingga 60an.

"Polis turut menyoal siasat dua pekerja lelaki premis itu yang berumur lingkungan 20an. Selain itu 44 komputer bernilai RM50,000 serta wang tunai RM 1,000 turut dirampas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati premis yang tidak memiliki sebarang lesen perniagaan yang sah itu baru sebulan beroperasi dan bagi mengaburi pihak berkuasa, pintu depan premis itu sentiasa ditutup, dan pelanggan memasuki ke premis berkenaan melalui pintu belakang.

Menurutnya di samping itu kamera litar tertutup ditempatkan di pintu belakang bagi mengawasi pelanggan yang datang.

Khairi berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin judi atau penjara sehingga lima tahun.

4 maut dalam letupan bom bas di Colombia





2010/12/01

BOGOTA: Bom pada bas yang diletupkan pemberontak berhaluan kiri di selatan Colombia membunuh tiga askar dan seorang orang awam serta mencederakan 16 yang lain. 

Pihak berkuasa mempersalahkan Revolutionary Armed Forces of Colombia (FARC) terhadap letupan di negeri Huila itu.
Bas awam itu dipasang dengan bahan letupan dan diletupkan di luar sebuah balai polis di Vegalarga pada 2145 GMT.
Diasaskan pada 1964, FARC adalah kumpulan pemberontak tertua dan terbesar di Amerika Latin dengan kira-kira 7,000 anggota. - AFP

Polis Ohio terpedaya dengan topeng perompak





2010/12/01

CINCINNATI: Seorang lelaki berkulit putih yang mengaku bersalah terhadap enam tuduhan merompak di Ohio menggunakan topeng hitam yang kelihatan begitu hidup sehinggakan polis pada awalnya menahan seorang lelaki berkulit hitam. 

Malah ibu kepada lelaki berkulit hitam yang ditahan itu juga percaya foto suspek yang beliau lihat di televisyen adalah gambar anaknya.
Conrad Zdzierak, 30, mengaku bersalah di Hamilton County Common Pleas Court terhadap enam pertuduhan merompak itu. Beliau berhadapan hukuman penjara 35 tahun.
Zdzierak merompak kira-kira AS$15,000 di empat bank, sebuah syarikat kewangan dan farmasi pada Mac dan April — jenayah yang dilaporkan saksi dan rakaman video pemantauan sebagai dilakukan perompak berkulit hitam. 

Topeng yang dipakai Zdzierak begitu menyamai rupa lelaki berkulit hitam itu sehinggakan beberapa saksi mengesahkan foto yang ditunjukkan polis adalah lelaki yang merompak mereka. 

Akhbar Cincinnati Enquirer melaporkan Zdzierak ditahan di sebuah hotel apabila teman wanitanya menghubungi polis selepas menyaksikan laporan rompakan itu dan menemui dua topeng dan wang yang terkena pewarna bagi mengesan perompak. - AP

Bayi maut kereta masuk longkang




2010/12/01

KUANTAN: Seorang bayi berusia satu tahun maut selepas kepalanya terhantuk pada papan pemuka kereta, manakala empat lagi adik beradiknya cedera, apabila kenderaan yang dinaiki terbabas dan melanggar jambatan kecil di Kilometer 65.1 Lebuhraya Karak, dekat Bentong, malam kelmarin. 

Dalam kejadian jam 9.15 malam, Wan Nor Syifa Sorfina Wan Ghazali, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata mangsa yang dipangku ibunya, Ismawati Ismail, 38, bersama empat beradik yang lain dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur selepas bercuti.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika hujan lebat dan kereta Honda Accord yang dipandu bapa mangsa, Wan Ghazali Wan Mohamad, 50, dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar jambatan kecil dan masuk ke dalam longkang. 

“Anak bongsu daripada lima beradik itu dikatakan terhantuk pada papan pemuka kenderaan apabila kereta itu terbabas dan melanggar jambatan kecil. 

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong yang tiba di tempat kejadian pada jam 9.21 malam selepas menerima laporan berhubung kejadian itu,” katanya di sini, semalam. 

Rosli berkata, adik beradik mangsa yang lain, pasangan kembar, Wan Nor Shahirah dan Wan Nor Shakirah,16; Wan Ahmad Zulpadhli, 14, dan Wan Ahmad Zulhilmi, 7, dihantar ke Hospital Bentong (HB) untuk menerima rawatan akibat cedera di tubuh dan kepala. 

Penunggang motosikal terbunuh dirempuh bas ekspres, 11 penumpang cedera





2010/12/01

KUALA TERENGGANU: Seorang penunggang motosikal maut manakala 11 penumpang serta pemandu sebuah bas ekspres cedera dalam satu kemalangan di Kampung Gong Beris, Marang, awal pagi ini. 

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, berkata Shahbudin Sudin, 24, yang berasal dari Kampung Pengkalan Berangan, Marang, mengalami kecederaan parah di kepala akibat kejadian itu dan meninggal dunia di tempat kejadian.Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi di Km 29, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Pulau Kerengga ketika bas ekspres itu dalam perjalanan dari arah Dungun menghala ke pusat bandar.
Katanya, motosikal itu dikatakan membelok masuk ke simpang Gong Beris di sebelah kanan jalan secara tiba-tiba tanpa memberi isyarat, menyebabkan ia dirempuh bas berkenaan. 

"Akibat kemalangan itu bas berkenaan gagal dikawal dan merempuh pula sebatang tiang elektrik di tepi jalan menyebabkan ia terbalik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Ahmad Mazlan berkata, 11 penumpang serta pemandu bas itu yang mengalami kecederaan ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, dan mayat Shahbudin juga dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat. 

Sementara itu, bapa Shahbudin, Sudin Solah, 72, ketika ditemui pemberita di Unit Forensik hospital memberitahu anaknya itu bakal berkahwin pada Jun tahun depan. - BERNAMA 

Bekas imam maut




SEREMBAN – Seorang bekas imam di sebuah surau dekat sini maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Senawang - Paroi, berdekatan Taman Desa Duranta, dekat sini semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa, Ahmad Abu Samah, 83, yang juga seorang pesara tentera dikatakan terjatuh daripada motosikalnya, sebelum dirempuh sebuah lori yang kebetulan berada di belakangnya. 

Pemandu lori berkenaan dikatakan gagal mengawal kenderaan lalu melanggar mangsa sehingga mengakibatkan kecederaan teruk di bahagian kepala dan tangan kanan. 

Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 ketika itu dalam perjalanan pulang ke dari Ampangan ke rumahnya di Taman Rashidah Utama, dekat sini.

"Siasatan awal mendapati, terdapat kesan jatuh di antara tayar hadapan dan tayar belakang lori terbabit.

“Kita percayai lori terbabit tidak dapat mengelak selepas mangsa terjatuh daripada motosikalnya, sebelum tayar lori berkenaan terkena kepada kepala mangsa," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini untuk bedah siasat.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kemalangan berkenaan.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian, Azmir Majid, 31, berkata, dia ternampak mangsa jatuh daripada motosikalnya ketika mahu keluar daripada rumah.

“Lori yang melanggar mangsa kemudian berhenti di hadapan dan kami terus menghubungi polis sejurus selepas melihat kejadian itu,” katanya.

Pegawai Imigresen mengaku tidah bersalah



KUALA LUMPUR - Seorang pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima satu suapan wang tunai berjumlah RM2,200 di Mahkamah Sesyen di sini, tahun lalu. 

Abdul Rahim Yusoff, 39, melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya Malaysia kira-kira jam 4.45 dan 6 petang, 12 Februari 2009. 

Bagi pertuduhan pertama, Abdul Rahim didakwa menerima satu suapan bernilai RM200 daripada Chua Choon Mui yang bekerja sendiri, sebagai balasan untuk menyelesai dan melepaskan Chua yang disyaki melindungi perempuan rakyat China. 

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama kira-kira jam 5 petang, 22 Februari 2009, dengan menerima satu suapan bernilai RM2,000 daripada Chua sebagai balasan untuk menyelesai dan melepaskan Chua yang disyaki melindungi perempuan (PRC). 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Undang-undang Malaysia Akta 694). 

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi. 

Pegawai Penyiasat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hung Heng Hong, menawarkan wang jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin. 

“Saya memohon mahkamah memberi hukuman setimpal kerana rasuah adalah kesalahan serius,” katanya. 

Peguam bela tertuduh, Ahmad Bakhtiar Hamdan, memohon mahkamah meringankan hukuman kerana anak guamnnya melapor diri kepada pihak SPRM sepanjang siasatan. 

“Anak guam saya adalah seorang penjawat awam di mana isterinya tidak bekerja dan mempunyai seorang anak yang masih bersekolah. Dengan jumlah itu adalah sukar bagi anak guam saya membayar denda terbabit, saya memohon mahkamah meringankan hukuman dan denda,” katanya. 

Hakim S M Komathy Suppiah, mengurangkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dan menetapkan 6 Januari 2011 untuk tarikh bicara.

Penunggang motosikal terbunuh dirempuh bas ekspres, 11 penunpang cedera


KUALA TERENGGANU - Seorang penunggang motosikal maut manakala 11 penumpang serta pemandu sebuah bas ekspres cedera dalam satu kemalangan di Kampung Gong Beris, Marang, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata, Shahbudin Sudin, 24, yang berasal dari Kampung Pengkalan Berangan, Marang, mengalami kecederaan parah di kepala akibat kejadian itu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 3.30 pagi di Km 29, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Pulau Kerengga ketika bas ekspres itu dalam perjalanan dari arah Dungun menghala ke pusat bandar.

Katanya motosikal itu dikatakan membelok masuk ke simpang Gong Beris di sebelah kanan jalan secara tiba-tiba tanpa memberi isyarat, menyebabkan ia dirempuh bas berkenaan.

"Akibat kemalangan itu bas berkenaan gagal dikawal dan merempuh pula sebatang tiang eletrik di tepi jalan menyebabkan ia terbalik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Mazlan berkata, 11 penumpang serta pemandu bas itu yang mengalamai kecederaan ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, dan mayat Shahbudin juga dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Sementara itu bapa Shahbudin, Sudin Solah, 72, ketika ditemui pemberita di Unit Forensik hospital memberitahu anaknya itu bakal berkahwin pada Jun tahun depan.

Operasi menyelamat jadi sukar sebab hujan



YONG PENG – Mayat seorang lelaki ditemui di dalam sungai dipercayai akibat lemas selepas terjatuh dalam kemalangan melibatkan sebuah bas, dua kereta dan lori di Kilometer 110.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di sini, Sabtu lalu.

Ketua Operasi Skuba, Zaidin Arifin berkata, mangsa dipercayai jatuh ke dalam sungai selepas terbabit dalam kemalangan berkenaan.

“Dalam kemalangan terbabit tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa dipercayai jatuh ke dalam sungai berdekatan.

“Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan daripada balai Bomba Yong Peng untuk membantu mencari dan menyelamat mangsa yang lemas,” katanya.

Menurutnya, dengan kekuatan 10 anggota pasukan selam dari Johor Bahru, mangsa berjaya ditemui di dasar sungai kira-kira jam 4.35 petang kelmarin.

“Mangsa, Sathia Pameswaran berumur 17 tahun ditemui di dasar sungai kira-kira jam 4.35 petang.

“Mayat mangsa diserahkan pada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zaidin berkata, operasi menyelamat mangsa agak sukar berikutan cuaca hujan dan keadaan sungai yang agak berbahaya.

“Namun pasukan selam berjaya menemui mangsa kira-kira setengah jam semasa operasi dan menyelamat dilakukan.

“Mangsa ditemui kira-kira 20 meter dari tempat mangsa tercampak keluar dan dipercayai hanyut dari tempat kejadian,” katanya.

Lelaki jual air ketum ditahan



SERI ISKANDAR – Seorang lelaki yang memproses 325 peket air ketum di sebuah rumah di Changkat Lada berjaya ditahan dalam satu serbuan, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, hasil rampasan bernilai RM650 itu disimpan dalam dua kotak ais untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, serbuan yang diketuai seorang pegawai dan tujuh anggota berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.

“Serbuan pada jam 1.30 petang itu dilakukan hasil maklumat orang awam dan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) dikejarkan ke rumah suspek sebelum menjumpai 325 peket lut sinar dipercayai air daun ketum.

“Hasil siasatan mendapati, suspek memproses sendiri air ketum dan siap sedia untuk dipasarkan dalam kuantiti 300 mililiter bagi RM2,” katanya ketika mengadakan sidang media di IPD di sini, semalam.

Mohamad Fakri berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM10,000, penjara empat tahun atau kedua-duanya. Bagaimanapun, suspek dilepaskan dengan jaminan polis.

“Orang ramai tidak digalakkan untuk mengambil minuman air ketum ini. Kesannya boleh mendatangkan ketagihan dan memudaratkan kesihatan,” jelasnya.

Peniaga bekal pistol ditahan

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga berusia 39 tahun diberkas selepas disyaki menjadi pembekal senjata api buatan sendiri dan dua peluru penabur kepada dua pelajar institusi kemahiran yang merompak sebuah kedai serbaneka di Kemaman, kelmarin.
Lelaki terbabit ditahan di rumahnya di Jalan Jakar, Chukai, kira-kira jam 2 petang kelmarin, selepas dua suspek kes samun yang juga pelajar berkenaan diberkas di rumah masing-masing di Taman Perwaja secara berasingan kira-kira jam 8 pagi.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata penahanan terakhir itu menjadikan tiga individu berusia 20 hingga 39 tahun kini ditahan bagi membantu polis menyelesaikan siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, mereka akan direman seminggu bermula tengah hari semalam sehingga Isnin ini.

“Mereka kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan serta menggunakan senjata.

“Selain itu, mereka disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti lebih berat) 1971 kerana memiliki pistol buatan sendiri dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini semalam.

Harian Metro semalam melaporkan, dua lelaki ditahan membabitkan rampasan pisau dan pistol selain wang sejurus satu rompakan di sebuah kedai serbaneka dekat Kemaman kira-kira jam 6 pagi kelmarin.

Penahanan itu menjadikan ia antara kes terpantas diselesaikan polis Terengganu dan Shukri ketika dihubungi memberitahu akan mengadakan sidang akhbar mengenai perkara berkenaan.

Dalam sidang akhbar sama, Shukri berkata, penahanan itu hasil kerjasama orang awam menyebabkan polis menjalankan tindakan segera sebaik menerima gambaran serta identiti suspek.

“Selepas menerima laporan seorang pekerja kedai berkenaan yang memberitahu penjenayah bertopeng dan memakai topi keledar melarikan diri menggunakan sebuah Perodua MyVi bernombor pendaftaran TAW 9794, semakan kenderaan terbabit terus dilakukan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya.

Tukang kasut ke tali gantung

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang tukang kasut dan seorang pembuat bingkai cermin selepas didapati bersalah mengedar 28.6 gram dadah jenis monoacetylmorphines, lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S Hassan Badjenid memutuskan demikian terhadap Chen Chee Sin, 38, dan Liew Kah Poh, 28, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Changkat Permata, Taman Permata, Hulu Klang, jam 10 malam pada 13 Disember 2005. Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1992 yang membawa hukuman mati. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Isa Hasim manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam S Vikneswaran dan KA Ramu. Sebanyak 18 saksi dikemukakan sepanjang prosiding berjalan.

Penarik kereta jerat diri sendiri

RAMPAS...Ketua Balai Polis Sri Kembangan, Cif Inspektor Chai Chee Boon menunjukkan kereta curi yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...Ketua Balai Polis Sri Kembangan, Cif Inspektor Chai Chee Boon menunjukkan kereta curi yang dirampas daripada suspek.

SERDANG: Tindakan seorang penarik kereta memandu kereta mewah Mitsubishi Lancer Evolution 7 yang dicurinya dengan mengekalkan nombor pendaftaran asal kenderaan berkenaan menjerat diri apabila dia dicekup polis.
Suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an terbabit ditahan sebaik memasuki kereta itu selepas mengunjungi sebuah spa di Dang Wangi, di sini, awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata kereta berkenaan dilaporkan hilang pada 25 November lalu di sebuah rumah di Sri Kembangan.

Katanya, polis menemui kereta itu di tempat letak kereta spa berkenaan.

“Polis menahan suspek ketika dia berada di dalam kereta berkenaan dan pemeriksaan pada tubuh suspek polis menemui beberapa kunci kereta lain dipercayai dicuri suspek.

“Suspek juga dipercayai melakukan jenayah pecah rumah di kawasan berkenaan ekoran penemuan kunci itu,” katanya ketika ditemui.

Menurut Abd Razak, suspek menunjukkan polis lokasi kereta curi lain disembunyikan, namun hanya menemui sebuah Toyota Alphard yang dilaporkan dicuri di Kawasan Perindustrian Kuchai Lama, dekat sini.

Beliau berkata, kenderaan lain dipercayai sudah dialihkan rakan suspek yang mengetahui lelaki terbabit dicekup.

Katanya, hasil soal siasat polis kemudian menahan dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun dipercayai rakan jenayahnya di sebuah rumah di Kuchai Lama pada malam suspek ditahan.

Menurutnya, melalui pengakuan suspek, mereka mencuri kenderaan berkenaan selepas mendapat permintaan pembeli sebelum mencuri kenderaan itu di kawasan letak kereta serta rumah yang dipecah masuk.

Razak berkata, suspek juga memiliki rekod jenayah dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.

Katanya, semua suspek kini direman sehingga 5 Disember ini dan disiasat mengikut Seksyen 379 (a) dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Gempa bumi sederhana di Sumatera Utara pagi ini


KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Sumatera Utara Indonesia pada pukul 8.50 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan di sini berkata, pusat gempa itu terletak di latitud 2.8 Utara dan longitud 99.0 Timur iaitu 28 km dari Barat Daya Permatang Siantar, Indonesia dan 241 km dari Barat Daya Pulau Pangkor, Perak.

Menurut kenyataan itu gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Selangor, namun ia tidak mencetuskan ancaman tsunami kepada Malaysia.

Sementara itu, Pusat Kawalan Bomba dan Penyelamat Selangor ketika dihubungi mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan berkaitan gegaran.

Cheryl ditawar RM14.6j jadi juri


LONDON - Anggota kumpulan pop Girls Aloud, Cheryl Cole (gambar) mendapat tawaran lumayan £3 juta (RM14.6 juta) untuk menjadi juri program pertandingan nyanyian popular, X Factor di Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.
Penyanyi berusia 27 tahun itu menerima tawaran rasmi sebagai juri pada Sabtu lepas, seminggu selepas beberapa eksekutif stesen televisyen Fox tiba di sini untuk menyaksikan dia mengadili programX Factor Britain.
Cheryl akan menyertai pengasas X Factor, Simon Cowell, 51, dalam program realiti di AS tersebut.
Pada minggu lalu, Cowell yang merupakan jutawan industri muzik mendedahkan bahawa dia merancang untuk mendedahkan nama-nama juri X Factor di AS pada bulan ini. - Agensi

Tukang cuci culik, cedera pelajar di penjara 15 bulan


PETALING JAYA 30 Nov. - Seorang tukang cuci dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah melarikan seorang pelajar kolej dengan niat mengurung mangsa dengan salah dan mencederakannya, empat tahun lalu.
Majistret Aishah Hijriah Arshad menjatuhkan hukuman ke atas P. Indrani, 56, yang bekerja di bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dekat sini.
Aishah membuat keputusan itu selepas meneliti segala keterangan saksi-saksi dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Indrani didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melarikan Mohamed Haja Najimudin, 23, dengan niat menyebabkan mangsa dikurung dengan cara yang salah.
Wanita itu juga didakwa bagi tuduhan mendatangkan kecederaan ke atas mangsa dengan menggunakan sebilah sabit dan puntung rokok yang boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya di hadapan Kolej Olympia, Jalan Barat di sini pada pukul 12.30 tengah malam, 18 Julai 2006.
Dia dihukum penjara 15 bulan bagi setiap pertuduhan dan hukuman diperintahkan berjalan serentak.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Choong Kah Sen mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 324 kanun tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Terdahulu peguam bela V. Samynathan memohon hukuman ringan dikenakan ke atas anak guamnya atas alasan Indrani telah berkhidmat dengan jabatan kerajaan sejak 30 tahun yang lalu dan ini merupakan kesalahan pertamanya.
Mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan dengan syarat jumlah jaminan ditambah kepada RM10,000 dan rayuan difailkan esok.
Sepanjang perbicaraan berlangsung, seramai tujuh saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.

Bapa Syafiah Humaira, dua rakan diperintah bela diri tuduhan bunuh


SHAH ALAM 30 Nov. - Konstabel Sahari Usul, bapa kepada kanak-kanak yang mati didera teman lelaki ibunya, Syafiah Humaira dan dua rakan sekerjanya diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang warga Indonesia, empat tahun lalu.
Hakim Dr. Badariah Sahamid memutuskan demikian di akhir kes pendakwaan selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap Sahari, 33, Koperal Ailias Yahaya, 56, dan Konstabel Saiful Azlan Shah Abdullah, 46.
''Saya mendapati kejadian tersebut telah dirancang teliti bermula dari balai polis. Berdasarkan keadaan mangsa yang digari dan ditembak dari dekat jelas menunjukkan niat semua tertuduh untuk membunuh mangsa.
''Saya tidak mempunyai kesangsian mengenai peranan yang dimainkan setiap tertuduh dalam jenayah ini,'' katanya semasa membacakan penghakiman ringkasnya.
Beliau kemudian menetapkan 8 Disember ini bagi menentukan tarikh untuk ketiga-tiga tertuduh mula membela diri.
Sahari dari Balai Polis Subang Jaya manakala Ailias dan Saiful Azlan Shah dari Balai Polis Sungai Pelong dituduh bersama-sama membunuh pekerja bengkel, Yusrizal Yusuf, 38.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Ladang Caledonia, Kilometer 22, Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor, Batu Arang, dekat sini antara pukul 10 malam dan 11.30 malam, 13 Januari 2006.
Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Mohd. Azari Harun dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.
Sahari diwakili peguam J. Kuldeep Kumar, manakala Ailias dan Saiful Azlan Shah masing-masing diwakili M. Athimulan dan Ravi Shankar Ghandi.
Mengikut keterangan saksi-saksi pendakwaan, mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isteri kepada bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Alias Mohamad Isa, Zainun Talib kira-kira setahun sebelum kejadian dan pernah mengugut akan melarikan Zaitun.
Dua minggu sebelum kejadian, Alias membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Pelong selepas Yusrizal mengugutnya dengan berkata:
''Jika abang mahu pukul saya, pukul sampai mati. Jika tidak mati, saya akan bunuh semua anak beranak abang tujuh keturunan.''
Semasa dipanggil ke balai oleh Sahari, Alias dan rakannya, Sulaiman Mohamad, 40, telah melepaskan geram dengan memukul serta menendang Yusrizal yang ditahan bagi tujuan pengecaman suspek bagi kes tersebut.
Mangsa yang dikatakan kebal kerana mengamalkan ilmu hitam dan mempunyai tangkal serta minyak pengasih kemudiannya dibawa ke sebuah ladang dan ditembak di kepala dari jarak dekat.
Peluru tersebut dikatakan ditembak daripada pistol yang telah diserahkan oleh Sahari kepada Ailias dan Saiful Azlan Shah pada malam kejadian.
Sebelum ini, Alias dan Sulaiman turut didakwa membunuh Yusrizal bersama-sama ketiga-tiga tertuduh.
Mereka berdua bagaimanapun masing-masing dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM500 selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan iaitu menyebabkan kecederaan mangsa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

21 pengikut IJ bebas dengan ikat jamin



Sebahagian daripada pengikut ajaran sesat IJ di Mahkamah Rendah Syariah Kajang semalam.


KAJANG - Seramai 21 pengikut ajaran sesat Islam Jamaah (IJ) yang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Kampung Sungai Tangkas, Bangi pada Jumaat lalu dibebaskan dengan ikat jamin oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah mengarahkan kesemua pengikut kumpulan itu termasuk 13 warga tempatan diikat jamin RM500 hingga RM8,000 seorang.
Selain 13 warga tempatan, turut dibebaskan dua warga Bangladesh dan enam warga Indonesia.

Edar morfin


SHAH ALAM 30 Nov. - Seorang tukang kasut dan seorang pembuat bingkai cermin dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah jenis monoacetylmorphines, lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid menjatuhkan hukuman itu terhadap Chen Chee Sin, 31, dan Liew Kah Poh, 28, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Chee Sin dan Kah Poh didakwa membuat persediaan bagi tujuan mengedar 28.6 gram monoacetylmorphines di tepi Jalan Changkat Permata, Taman Permata Hulu Klang pada pukul 10 malam, 13 Disember 2005.
Mereka disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Isa Hassin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam S. Vigneswaran dan K. A. Ramu.
Sepanjang kes itu dibicarakan, sebanyak 18 saksi pendakwaan dan pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Edar 1.147kg kanabis


ALOR SETAR 30 Nov. - Seorang juruteknik sebuah syarikat swasta dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.147 kilogram, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Azman Husin menjatuhkan hukuman itu ke atas Azizan Yahaya, 50, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut melampaui keraguan yang munasabah.
Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, tertuduh yang memakai kemeja-T warna putih dan seluar gelap kelihatan tenang, manakala seorang wanita dipercayai ahli keluarga terdekatnya yang berada di galeri awam dilihat menitiskan air mata.
Azizan disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah tersebut di rumah bernombor 1154 Taman Bersatu, Jalan Kuala Kedah di sini pada pukul 3.15 pagi, 15 Jun 2008.
Tertuduh yang bekerja di sebuah syarikat produk kesihatan di sini didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohd. Azman berkata, mahkamah tiada pilihan melainkan menjatuhkan hukuman mati seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Menurutnya, beliau telah menyemak fail kes berkenaan sebanyak tiga kali dan melakukan solat istikharah sebelum membuat keputusan.
"Hanya ada satu hukuman atas kesalahan yang dilakukan. Oleh itu tertuduh dihukum mati,'' ujar beliau.
Semasa rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam S.P. Raman yang mewakili tertuduh menyatakan, Azizan mempunyai tanggungan iaitu seorang isteri dan tiga orang anak selain tiada rekod kesalahan lampau.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim yang mengendalikan pendakwaan pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan Azizan kerana dadah merupakan musuh nombor satu negara.
Katanya, ia juga sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam mengenai hukuman yang akan diterima akibat melakukan kesalahan tersebut.
Sementara itu, peguam tertuduh yang ditemui selepas mahkamah selesai bersidang memberitahu, anak guamnya akan membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Kapak kepala kekasih


SEREMBAN 30 Nov. - Seorang lelaki yang bekerja mengorek pasir dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah menyebabkan kematian kekasihnya dengan menetak kepala wanita itu dengan kapak, dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin menjatuhkan hukuman ke atas N. Balamurugan, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.
Balamurugan yang berbaju gelap dan berseluar jean dilihat sugul ketika keputusan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Balamurugan didakwa dengan niat melakukan pembunuhan menyebabkan kematian K. Gantimadi, 45, di sebuah rumah di Taman Kelab Tuanku, Mambau di sini, pada pukul 12.40 tengah malam, 16 Ogos 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Ketika perbicaraan, seorang saksi yang turut berada di rumah tersebut melihat tertuduh sedang memegang sebilah kapak dan sebuah beg berisi barang kemas, sejumlah wang serta beberapa dokumen.
Sebelum melarikan diri, tertuduh yang menetap di Mambau sempat mencampakkan kapak itu ke atas sofa lalu menampar serta mencekik leher saksi tersebut.
Dia (saksi) selepas itu mendapati si mati yang juga ibu tunggal terbaring dalam sebuah bilik dengan kepala berlumuran darah.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami 11 kesan kecederaan teruk pada bahagian kepala iaitu keretakan tulang tengkorak termasuk tisu otak sehingga menyebabkan kematiannya.
Ahmad Nasfy dalam penghakimannya berkata, pendakwaan berjaya membuktikan kes berikutan keterangan beberapa saksi menunjukkan tertuduh membunuh mangsa.
''Pendakwaan telah membuktikan bahawa kecederaan terhadap si mati dilakukan dengan niat dan tertuduh turut melarikan barang kemas, wang serta beberapa dokumen.
''Hujahan pihak pembelaan yang mendakwa bahawa tertuduh mabuk ketika kejadian turut ditolak oleh mahkamah,'' ujar Ahmad Nasfy.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.

Kes Liong Sik dipindah ke Mahkamah Tinggi KL


Ling Liong Sik ketika hadir di Mahkamah Sesyen Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 30 Nov. - Perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik atas tuduhan menipu Jemaah Menteri berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ia berikutan perintah Mahkamah Sesyen di sini hari ini yang memindahkan kes itu ke ibu negara atas budi bicara pendakwa raya mengikut Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.
Hakim Suzana Hussin ketika memutuskan demikian memberitahu, tarikh sebutan untuk menentukan perbicaraan akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi kelak.
Beliau turut menyatakan, jaminan RM1 juta yang diberikan sebelum ini, dikekalkan tertakluk kepada sebarang perubahan yang akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.
Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes terhadap bekas Presiden MCA itu yang didakwa menipu kerajaan Malaysia berhubung skandal PKFZ melibatkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion, hampir lapan tahun lalu.
Sementara itu, bekas menteri Kabinet tersebut ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah menyatakan, pihaknya mengharapkan agar perbicaraan dapat dipercepatkan.
Liong Sik yang didakwa pada 29 Julai lalu, hadir di mahkamah kira-kira pukul 8.12 pagi ditemani isteri, Toh Puan Ena Ling dan keluarga terdekat.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup memaklumkan, pendakwa raya bersetuju menggunakan budi bicaranya untuk memindahkan perbicaraan kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Seksyen 418A memberi kuasa statutori kepada pendakwa raya untuk mengemukakan sijil perpindahan agar sebarang kes jenayah yang perbicaraannya belum dimulakan, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Menurut Manoj, pihaknya memberi pertimbangan agar kes itu dipindahkan setelah meneliti surat permohonan daripada peguam bela yang diterima pada 30 Ogos lalu.
Sementara itu, peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Liong Sik memohon agar jaminan RM1 juta dikekalkan dan sebarang perubahan material akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi, kelak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad menyatakan, jaminan di Mahkamah Sesyen kekal sehingga Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh sebutan dan terpulang kepada hakim berkenaan untuk mengekal atau mengubah jumlah jaminan.
Liong Sik didakwa atas satu tuduhan utama dan satu tuduhan pilihan menipu Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan terhadap pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ (dahulu dikenali sebagai Mega Distribution Hub) di Pelabuhan Klang.
Bagi kedua-dua tuduhan, bekas menteri Kabinet itu didakwa melakukan perbuatan itu di antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di sini.
Bagi pertuduhan utama, Liong Sik, 66, didakwa menipu berhubung pembelian tanah berdasarkan terma-terma yang dipersetujui di antara Kuala Dimensi Sdn. Bhd. dengan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang antara lainnya adalah:
n Luas tanah 999.5 ekar (404.5 hektar) (43,538,200 kaki persegi);
n Kadar pembelian tanah sebanyak RM25 satu kaki persegi (skp) menjadikan jumlah pembelian bernilai RM1,088,456,000 dan;
n Tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah 'deferred payment' (bayaran tertangguh) selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (berjumlah RM720,014,600).
Bekas menteri Kabinet itu didakwa secara curang menyembunyikan fakta ke atas tanah tersebut iaitu kadar RM25 skp bagi tempoh bayaran balik 10 tahun atau RM25.82 skp bagi tempoh bayaran balik 15 tahun adalah termasuk kadar kupon/faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh itu.
Fakta berkenaan merupakan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan.
Penyembunyian fakta itu mendorong Jemaah Menteri bersetuju terhadap pembelian tanah tersebut sedangkan beliau mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan kerajaan menanggung kerugian.
Bagi tuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Liong Sik turut didakwa atas tuduhan pilihan menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta serupa pada waktu dan tempat yang sama.
Bagi tuduhan tersebut, beliau didakwa mengikut Seksyen 417 kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bekas pemimpin itu antara individu yang didakwa setelah projek PKFZ yang dibina di kawasan seluas 400 hektar sebagai hab penghantaran kargo bersepadu itu menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.
Berikutan itu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang mengadakan satu siasatan telah memperakukan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat beberapa individu termasuk seorang lagi bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy.

Saksi: Aminulrasyid pandu laju


SHAH ALAM 30 Nov. - Remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah dikatakan memandu laju tanpa menghiraukan arahan berhenti oleh kereta peronda polis kerana mahu pulang ke rumah dan berjumpa ibunya, sebelum kejadian dia ditembak mati pada awal pagi 26 April lalu.
Mohd. Zubir Salleh, 15, semasa memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berkata, kejadian itu diceritakan di dalam tandas sekolah selepas perhimpunan pagi oleh rakannya, Mohd. Azamuddin Omar, 15, yang menaiki kereta Proton Iswara bersama-sama Aminulrasyid pada malam kejadian.
Menurut pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 itu, Mohd. Azamuddin menceritakan tentang kejadian dikejar dan ditembak oleh kereta peronda selepas keluar minum di sebuah restoran di Seksyen 7 di sini.
Dia dan sekumpulan pelajar yang mendengar cerita itu turut menangis beramai-ramai apabila diberitahu bahawa Aminulrasyid telah meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Katanya, kejadian tembakan di Seksyen 11 itu juga diceritakan oleh ibunya semasa dia curi-curi pulang ke rumah selepas itu untuk membuang air besar kerana tidak sanggup menggunakan tandas sekolah yang didakwa terlalu kotor.
''Dia (Mohd. Azamuddin) cerita bagaimana mereka dikejar oleh kereta peronda polis pada malam itu sehingga ke Bulatan Kayangan dan tembakan bermula ketika sampai berhampiran stesen minyak.
''Dia beritahu Aminulrasyid bawa kereta laju sebab nak jumpa mak dia. Azamuddin bercerita tidak lama, tetapi orang yang menangis yang lama,'' katanya semasa disoal balas oleh peguam M. Athimulan.
Dalam kes itu, Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11 antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April lalu.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu dalam keterangannya, Mohd. Zubir berkata, dia bertembung dengan Mohd. Azamuddin yang lengkap berpakaian seragam sekolah dan membawa beg di luar kawasan sekolah pada pukul 7.20 pagi, hari kejadian.
Kata saksi, rakannya itu kelihatan takut-takut dan dilihat seperti mempunyai masalah sebelum bertindak menyuruhnya mengumpulkan rakan- rakan sebaya yang kemudiannya diajak ke tandas pelajar lelaki.
Di dalam tandas itu, Mohd. Azamuddin turut menyerahkan kepadanya bungkusan plastik berisi kemeja-T warna merah berbelang dan seluar pendek biru yang dikatakan dipakai pada malam itu serta terkena darah Aminulrasyid.
''Dia meminta saya tolong simpan. Selepas tamat waktu persekolahan, saya membawanya pulang dan menyembunyikan bungkusan itu di bawah zink dekat longkang di lorong berhampiran rumah.
''Saya tunjukkan bungkusan itu kepada pasukan forensik polis pada pukul 1 pagi, 27 April lalu selepas mereka datang ke rumah dan bertanyakan tentang bungkusan itu,'' jelas Mohd. Zubir.
Dalam keterangannya, Mohd. Zubir juga mengesahkan Aminulrasyid yang dikenalinya sejak sekolah rendah itu pandai memandu kereta serta pernah melihat mangsa memandu kereta jenis pengendalian manual kepunyaan abangnya.
Selain meminjamkan kereta abangnya kepada mangsa, saksi turut mengaku dia juga pernah memandu kereta untuk membawa ibunya ke pasar berdekatan walaupun tidak mempunyai lesen.
Semasa ditanya Athimulan sama ada dia pernah melarang Aminulrasyid daripada memandu kereta kerana tidak mempunyai lesen, saksi dengan jujur menjawab: ''Saya pun tak ada lesen.''
Dia yang mengakui memandu kereta tanpa lesen adalah satu kesalahan kemudian dilihat mengangguk-angguk kepala apabila Hakim Latifah Mohd. Tahar menasihatkan agar tidak mengulangi perbuatan itu pada masa akan datang.
Terdahulu, saksi pendakwa ke-32, R. Lokman Hakim R. Daly, 23, yang menyambung keterangannya berpendapat, Aminulrasyid seorang yang mahir memandu kereta walaupun hanya berusia 15 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu.
Katanya, ia berdasarkan cara mangsa memecut dan mengelak kenderaan lain semasa dikejar oleh tiga motosikal yang ditunggang olehnya serta dua rakan, Abdul Hadi Asadullah Abu Bakar dan Mohd. Suffian Ramli pada malam kejadian.
Semalam, Lokman Hakim memberitahu bahawa dia terpaksa menjatuhkan badan di atas jalan raya apabila motosikalnya dihimpit kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid pada malam tersebut ditembak mati.
Perbicaraan bersambung 6 Disember ini.