Search This Blog

Monday, November 29, 2010

Kereta Aminulrasyid turut dikejar beberapa penunggang motosikal







2010/11/29

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah pada hari dia mati ditembak, bukan sahaja dikejar kereta peronda polis malah oleh beberapa penunggang motosikal. 

Saksi ke-32 pendakwaan, R Lokman Hakim R Daly, 23, berkata beliau dan dua rakannya mengejar kereta itu selepas ia melanggar kereta milik seorang rakannya yang bernama Syafiq.
"Saya dan dua lagi rakan saya bernama Abdul Hadi dan Sufian mengejar kereta Iswara tersebut untuk meminta ganti rugi," katanya pada perbicaraan Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lalu.
Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa 
hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit 
kesalahan. 

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya. 

Menceritakan insiden itu, Lokman Hakim yang bekerja sendiri berkata beliau sedang minum di sebuah restoran di Seksyen 7 apabila mendengar bunyi dentuman seperti kereta berlanggar pada kira-kira 12.15 malam. 
"Syafiq kemudian pergi tengok dan dapati bumper bahagian depan kereta jenis Toyota Celica miliknya yang diletakkan di tepi jalan berdekatan restoran, telah tertanggal sedikit kerana dilanggar oleh kereta Iswara itu, yang kemudian 
beredar meninggalkan restoran. 

"Saya dan dua lagi rakan terus menaiki motosikal untuk mengejar kereta 
Iswara itu bermula dari Seksyen 8 terus ke Seksyen 9 hingga ke Bulatan Kayangan, 
dan akhirnya ke Persiaran Dato' Menteri di mana saya telah terjatuh di tepi 
jalan," katanya sambil menambah bahwa kereta Iswara itu dipandu laju dan 
melanggar kira-kira enam lampu isyarat. 

Ditanya bagaimana boleh terjatuh, Lokman Hakim berkata selepas memasuki 
Persiaran Dato' Menteri, kereta Iswara itu dipandu perlahan berikutan keadaan 
jalan yang berbukit dan ketika cuba memotong kereta tersebut, beliau telah 
dihimpit ke kanan jalan menyebabkan beliau terpaksa menjatuhkan badan bagi 
mengelak daripada terlanggar pembahagi jalan. 

"Saya tidak dapat cam wajah pemandu itu tetapi berdasarkan tangan dan 
tubuhnya yang kecil, saya lihat pemandu kereta itu ialah seorang budak lelaki 
berumur lingkungan 17 tahun tahun dan penumpang di sebelahnya juga seorang budak 
lelaki yang kurus, kecil dan sebaya dengannya pemandu itu," katanya. 

Saksi itu berkata beliau cedera di kedua-dua belah tangan serta lutut dan telah mendapatkan rawatan di sebuat pusat perubatan di Seksyen 20 sebelum 
membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 3.30 pagi hari yang 
sama. 

Terdahulu, Lans Koperal Madi Samsudin dari Cawangan Persenjataan Balai Polis Seksyen 6 yang menyambung keterangannya hari ini berkata, sejumlah 10 butir peluru telah digunakan oleh senjata milik anggota peronda polis konstabel 
sokongan Mohd Izham Mahayadin, yang turut mengejar Aminulrasyid pada hari 
kejadian. 

Saksi ke-26 pendakwaan itu berkata, beliau memberi selaras submachine gun jenis HK MP5 dan empat magazine mengandungi 100 butir peluru kepada Mohd Izham, yang menjalankan tugas rondaan pada 25 April lepas, namun hanya menerima 90 butir peluru apabila anggota polis itu memulangkannya semula pada pagi 26 April. 

"Semasa menyerahkan semula senjata, Mohd Izham beritahu dia ada lepaskan 
tembakan tetapi dia tidak pasti berapa banyak. Selepas itu, saya kira jumlah 
peluru yang tinggal dan saya dapati ada kekurangan 10 butir peluru daripada 100 
butir peluru yang saya beri sebelum itu," katanya. 

Turut memberi keterangan pada perbicaraan hari ini ialah Konstabel Rozaini Haili yang bertugas di cawangan persenjataan Balai Polis Seksyen 6 di sini. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung esok. - BERNAMA 

10 nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan





29/11/2010 7:33pm

LUMUT 29 Nov. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 10 orang nelayan Indonesia berusia antara 17 dan 20 tahun kerana menceroboh perairan negara di Pulau Pangkor semalam.
Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3 (DM 3), Kapten Maritim Ang Cheng Hwa, berkata nelayan yang menaiki dua bot berasingan ditahan kapal APMM KM Malawali pada 11.45 pagi dan 12.15 tengah hari.
Katanya, kedua-dua buah bot dikesan berada kira-kira 25 batu nautika dari barat laut Pulau Pangkor.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata kedua-dua buah bot berkenaan sedang menangkap ikan menggunakan peralatan rawai semasa ditahan semasa tangkapan itu dilakukan.
Kedua-dua bot itu yang setiap sebuah dikendalikan oleh seorang tekong dan empat awak-awak berpangkalan di Belawan, Sumatera, Indonesia, katanya.
Katanya, kedua-dua kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan perikanan Malaysia.
Beliau berkata jika sabit kesalahan, tekong bot boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih dua tahun manakala awak-awak boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan setiap seorang. - Bernama

Isteri rentung, suami melecur dalam kemalangan





29/11/2010 7:35pm

KUANTAN 29 Nov. - Seorang wanita rentung selepas kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta lain lalu terbakar di Km 35 Jalan Kuantan-Kemaman dekat Sungai Baging di sini hari ini.
Mangsa, Senik Osman, 69, maut di tempat kejadian manakala suaminya yang berumur 72 tahun yang memandu kereta Proton Iswara mereka cedera parah serta melecur separuh badan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha berkata, dalam kejadian pada 1.45 petang itu, kenderaan mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kemaman ke Kuantan.
"Sampai di tempat kejadian, sebuah kereta yang jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai gagal memotong kenderaan dihadapannya sebelum merempuh kereta yang dinaiki mangsa dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi
di sini, hari ini.
Katanya, kereta yang dinaiki mangsa kemudian terbakar dan menyebabkan mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan rentung dijilat api sementara suaminya yang melecur sempat menyelamatkan diri.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sementara suami mangsa kini menerima rawatan di hospital yang sama, katanya.
Katanya pemandu kereta Toyota Vios terbabit bagaimanapun hanya cedera ringan. - Bernama

Kes gambar bedah siasat Nurin selesai di luar mahkamah





2010/11/29

KUALA LUMPUR: Pihak yang terbabit dalam saman cuai yang dikemukakan oleh Jazimin Abdul Jalil, bapa Nurin Jazlin yang mati dibunuh, terhadap polis dan kerajaan, hari ini bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah. 

Hakim Mahkamah Tinggi Harmindar Singh Dhaliwal hari ini merekodkan penyelesaian itu dalam kamarnya dengan kehadiran peguam Siti Natasha Basheer Hassan yang mewakili Jazimin, dan Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom bagi defendan.
Sebelum ini, kedua-dua pihak melalui proses mediasi bagi menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.
Zureen Elina memberitahu pemberita bahawa plaintif telah menarik balik saman terhadap keempat-empat defendan tanpa kebenaran memfailkannya semula, dan tidak ada perintah mengenai kos. 

Ditanya mengenai terma penyelesaian, beliau berkata ia tidak boleh didedahkan. 

Jazimin, 35, seorang pekerja di sebuah syarikat keselamatan, menyaman ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Petaling Jaya dan kerajaan Malaysia yang didakwa cuai sehingga menyebabkan gambar bedah siasat anaknya disebarkan di Internet. 

Pada 29 Januari lalu, Jazimin dibenar memasukkan nama Lans Koperal Amran Arifin sebagai defendan kelima selepas pernyataan pembelaan defendan lain menunjukkan beliau yang mengedarkan gambar itu. 
Pada 22 Julai lalu, Jazimin memperoleh penghakiman engkar terhadap Amran kerana gagal memfailkan notis kehadiran selepas saman diserahkan kepadanya pada 18 Mei lalu. 

Menerusi saman yang difailkan 21 Ogos 2008, Jazimin menuntut ganti rugi dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah kerana mendakwa gambar tersebut bukan untuk tatapan umum tetapi untuk siasatan kes anaknya. 

Nurin Jazlin, 8, hilang pada 20 Ogos 2007 selepas dia pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini. 

Dua puluh tujuh hari kemudian, mayatnya ditemui dalam sebuah beg gimnasium di depan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48 di Petaling Jaya dan laporan bedah siasat mendedahkan dia didera secara seksual. - BERNAMA

Lelaki Bangladesh ditemui mati dengan usus perutnya terburai





2010/11/29

KAJANG: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui mati dengan keadaan usus perutnya terburai dalam sebuah gaung di Batu 14, Sungai 
Tekali, Hulu Langat, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Sakaruddin Che Mood berkata Azmol Hossain, 30, ditemui oleh sepasukan anggota polis kira-kira 11 pagi tadi selepas mendapat laporan daripada orang awam. "Semalam, seorang penduduk di situ menghubungi polis kira-kira pukul 5.30 petang selepas melihat Azmol berlari dengan keadaan perut yang berlumuran darah.

"Dalam kejadian itu, saksi turut melihat mangsa diekori oleh empat lelaki yang menaiki tiga motosikal yang tidak mempunyai nombor pendaftaran," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini. 

Ekoran kejadian itu, katanya polis mengesan beberapa tompokan darah 
di sekitar lokasi kejadian dan kawasan gaung tetapi gagal menjejaki mangsa. 

"Kita kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa sehingga 11 malam tadi, namun terpaksa dihentikan akibat hujan 
lebat sebelum disambung pagi tadi," katanya. 

Sakaruddin berkata siasatan awal mendapati mangsa terjun ke dalam gaung 
berkenaan untuk menyelamatkan diri dari kumpulan penyerang itu. 

"Kita juga percaya mangsa mati akibat pendarahan yang teruk di perutnya 
akibat dirodok dengan senjata yang tajam," kata Sakaruddin. 

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh oleh rakan 
senegaranya dan berdasarkan siasatan awal, ia berpunca akibat dendam. 

"Tiada barang berharga atau dokumen pengenalan diri yang hilang. Sehingga kini polis masih menjejaki empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes ini," katanya. 

Mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Mentakab banjir kilat lagi





ROMLAY Baie (kanan) melihat suri rumah membersihkan pekarangan rumah dipenuhi lumpur akibat banjir kilat di Taman Mentakab Indah, Mentakab, kelmarin.


MENTAKAB 28 Nov. – Selepas daerah Lipis dan Kuala Krau dilanda banjir kilat baru-baru ini, sebanyak 60 keluarga di Taman Mentakab Indah dekat sini mengalami nasib sama berikutan hujan lebat berterusan selama dua jam di taman perumahan itu awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, air Sungai Netas yang berpunca dari Hutan Simpan Kemasul, Lanchang dekat sini melimpah memasuki kawasan perumahan terbabit.
Bagaimanapun, tiada pemindahan mangsa dilakukan berikutan banjir kembali surut beberapa jam kemudian.
Difahamkan banjir kilat yang berpunca daripada sistem pengairan yang tersumbat di kawasan perumahan itu merupakan kali ketiga tahun ini selepas kejadian pertama dan kedua masing-masing pada Januari serta Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Taman Mentakab Indah, Wan Mohd. Saidi Wan Zainudin berkata, paras air meningkat mendadak selepas hujan lebat selama dua jam bermula pukul 11 malam.
Menurutnya, penduduk yang tinggal di Lorong 10, 12 dan 13 taman perumahan itu bertungkus-lumus menyelamatkan barang berharga masing-masing selepas paras air meningkat hampir semeter.
“Keadaan itu sangat menyulitkan kerana air naik pada tengah malam. Mahu tidak mahu semua yang terlibat terpaksa memindahkan barang ke kawasan lebih tinggi. Kejadian ini adalah yang ketiga tahun ini selepas yang terburuk pada Januari dan Jun lalu.
“Punca kejadian masih sama iaitu sistem saliran yang tidak mampu menampung bebanan air yang terlalu banyak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Wan Mohd. Saidi berkata, banjir mulai surut kira-kira pukul 3 pagi tetapi dikhuatiri bencana itu akan berulang apabila musim tengkujuh bermula tidak lama lagi.
Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Temerloh, Romlay Baie berkata, Jawatankuasa Bencana Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memantau keadaan yang berlaku di kawasan perumahan itu hari ini.
Menurutnya, JKM mengumpul senarai nama mangsa yang terlibat dan pihaknya juga akan sentiasa memantau perkembangan banjir dari semasa ke semasa.
“Sehingga kini, kita masih belum membuka bilik gerakan dan paras air Sungai Pahang serta Sungai Semantan masih di bawah paras berjaga-jaga,” katanya.
Bagaimanapun menurut Romlay, tidak ada mangsa dipindahkan dalam kejadian banjir kilat itu dan keadaan kembali pulih selepas banjir surut.

Komputer riba mahkamah hilang



KUALA LUMPUR 28 Nov. - Sebuah komputer riba di pejabat Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, dilaporkan hilang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kehilangan komputer terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan orang dalam atau kakitangan yang bertugas di situ.
Ini kerana, kata beliau, tiada sebarang kesan bangunan kompleks mahkamah terbabit dipecah masuk.
"Kita menerima laporan ada sebuah komputer riba hilang di bangunan mahkamah tersebut.
"Siasatan awal, kita mengesyaki orang dalam terlibat dalam kes ini kerana tiada kesan pecah masuk di bangunan pejabat tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau bagaimana enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut kerana ia masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, difahamkan, sepasukan anggota polis dari Unit Forensik telah pergi ke tempat kejadian pada pukul 7 petang semalam untuk siasatan.
Kecurian komputer riba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta yang dilaporkan itu bukanlah kes pertama kehilangan barang-barang dalam bangunan mahkamah.
Sebelum ini, pada 23 Ogos lalu, Kompleks Mahkamah Seremban yang terletak bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Seremban 2 di Negeri Sembilan dipecah masuk dipercayai ketika cuti hujung minggu.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku antara malam Jumaat dan Sabtu itu, suspek memecah masuk ke bilik mahkamah tersebut dengan mengumpil tingkap bangunan.

Sindiket terbongkar




MUAR – Taktik menjadikan rumah kediaman sebagai stor menyimpan barangan seludup terbongkar apabila Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua Muar berjaya menyerbu rumah tersebut, Jumaat lalu.

Rumah berkembar yang terletak di Lorong Kim Kee, Jalan Salleh di sini dipercayai telah diubahsuai menjadi stor simpanan barang seludup untuk tujuan mengelirukan pihak berkuasa.

Dipercayai rumah terbabit yang tidak berpenghuni itu sudah beroperasi sejak dua bulan lalu.

Hasil risikan selama tiga hari, PGM melancarkan operasi menyerbu rumah terbabit yang diketuai oleh Inspektor Mohd Naser Marzuke bersama lima anggotanya yang lain.

Naser ketika ditemui berkata, hasil serbuan yang dilakukan berjaya merampas sebanyak 525 karton minuman keras bersama 110 karton rokok putih pelbagai jenama

Menurutnya, PGM mendapati rumah berkembar yang tidak berpenghuni itu sudah diubahsuai menjadi stor bagi menempatkan barangan seludup terbabit.

“Anggota PGM terpaksa memecahkan pintu rumah ini sebelum merampas semua barangan seludup yang dipercayai dibawa masuk ke negara ini tanpa cukai.

“Rumah ini dipercayai menjadi transit menyimpan barang-barang sebelum diedarkan kepada peniaga di sekitar bandar ini,” katanya dalam sidang media di markas PGM di sini, kelmarin.

Mohd Naser berkata, nilai rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM182,000 termasuk cukai.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati penyeludup begitu licik kerana membawa masuk barangan seludup ini hanya pada waktu malam bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa.

“Penyeludup ini juga didakwa memindahkan barangan seludup ini dengan menggunakan sebuah kereta bagi mengelakkan aktiviti mereka terbongkar,” katanya.

Katanya, kesemua barangan itu dipercayai untuk simpanan sempena Tahun Baru Cina akan datang.

“Kesemua barangan rampasan ini bawa ke Pangkalan Markas PGM untuk tujuan dokumentasi.

“Kes ini akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 di bawah Seksyen 135 (1) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai duti kastam atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Aduan babitkan penjawat awam biadap makin meningkat





2010/11/29

IPOH: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes membabitkan penjawat awam berlaku biadap dan bersikap perkauman terhadap orang ramai.

Beliau berkata masalah salah laku penjawat awam terutama yang bertugas di barisan hadapan tersebut disedari meningkatkan berdasarkan peningkatan aduan yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam (BPA).
"BPA menerima lebih 60 aduan dari seluruh negara setiap bulan yang membabitkan penjawat awam bersikap kasar, biadap dan menyentuh isu perkauman sehingga menimbulkan rasa kemarahan pengadu dan rakyat," katanya pada sidang akhbar di pejabat BPA Perak di sini.
Aduan terhadap kes seumpama itu menimbulkan kemarahan kaum dan ia boleh digunakan sebagai isu untuk menyebabkan perbalahan di kalangan pemimpin politik, katanya.

Murugiah berkata BPA sedang memantau semua aduan yang diterima itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengesyorkan tindakan sewajarnya diambil oleh jabatan atau agensi terbabit bagi membendung masalah itu.

Katanya, tindakan yang boleh diambil termasuk memecat, menggantung atau mengenakan tindakan disiplin kepada individu yang terbabit.

Katanya, satu contoh kes yang diterima BPA ialah aduan pada 10 November lalu yang membabitkan seorang jururawat di sebuah hospital di sini yang mengeluarkan kata-kata kesat dan bersifat perkauman terhadap satu keluarga.
Murugiah berkata kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan penjawat awam beruniform dan yang berurusan setiap masa bersama pelanggan seperti anggota polis, kakitangan hospital dan sekolah.

Beliau berkata isu seperti itu menimbulkan masalah apabila berlaku campur tangan ahli politik.

Beliau menasihati penjawat awam supaya lebih peka berhubung isu berkaitan dan berusaha sebaik mungkin memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka. - BERNAMA

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM nafi keluar kenyataan fitnah terhadap MB Selangor





2010/11/29

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menafikan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung siasatan kes dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Abdul Khalid. 

Beliau berkata kenyataannya yang didakwa memfitnah itu diucapkan secara suci hati dan tanpa mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan reputasi atau imej Abdul Khalid.
Katanya, kenyataannya itu dibuatnya ketika menjawab soalan media pada satu sidang akhbar pada 20 Februari 2009 berhubung perkembangan hasil siasatan SPRM ke atas aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Besar Selangor itu.
Ahmad Said berkata demikian dalam pernyataan pembelaannya bagi menjawab pernyataan tuntutan dalam kes saman fitnah yang difailkan Abdul Khalid kepadanya, SPRM dan kerajaan berhubung pendedahan hasil siasatan suruhanjaya itu terhadap dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Abdul Khalid. 

Dalam pernyataan yang difailkan pada 31 Julai tahun lalu, yang diperoleh media hari ini, Ahmad Said berkata kenyataan itu dibuat atas kapasitinya sebagai ketua SPRM dan juga tanggungjawabnya di sisi undang-undang dan tanggungjawab moralnya untuk memaklumkan perkembangan hasil siasatan kes itu kepada masyarakat umum. 

Beliau berkata secara alternatifnya, kenyataan itu dibuat dalam keadaan perlindungan bersyarat. 

Abdul Khalid dalam writ samannya mendakwa pendedahan yang dibuat oleh Ahmad Said mengenai hasil siasatan suruhanjaya itu adalah berunsur fitnah. 
Beliau memohon ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi am dan ganti rugi khas dan juga injunksi untuk menghalang para defendan daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu. 

Beliau tidak menyatakan amaun yang dimohon. 

Ahmad Said membuat kenyataan mengenai hasil siasatan suruhanjaya itu mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Abdul Khalid berhubung penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu bagi Aidiladha untuk kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakili Abdul Khalid. 

Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Khalid mendakwa perkataan memfitnah yang dikeluarkan oleh Ahmad Said, yang telah menyebabkannya diterbitkan oleh media, berniat untuk merendah-rendahkan kapasitinya secara peribadi dan rasmi. 

Abdul Khalid, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, mendakwa SPRM bertindak di luar bidang kuasa mereka, telah secara efektif merampas kuasa dan fungsi Peguam Negara. 

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Anisah Normah Muhammad Nor menetapkan 26 Januari depan bagi pengurusan kes saman itu selepas kes itu didengar di hadapannya hari ini. 

Peguam Wan Anuar Shadat Mohamed Amin hadir mewakili Abdul Khalid manakala Peguam Kanan Persekutuan, Habibah Harun mewakili Ahmad Said. - BERNAMA

Dua penyelia gudang tidak mengaku salah rasuah pegawai KPDNKK





2010/11/29

ALOR SETAR: Dua penyelia gudang tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen berasingan di sini, hari ini atas tuduhan memberi rasuah masing-masing membabitkan wang tunai RM4,000 dan RM3,000 bagi melindungi kesalahan menjual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing, Oktober lalu. 

Dalam kes pertama, tertuduh Loi Kok Lun, 29, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memberi rasuah kepada anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Loi didakwa memberi rasuah wang tunai sebanyak RM4,000 kepada Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNKK, Nazrul Hisham Hamudi sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan terhadap kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mas Petroleum Sdn Bhd, Jalan PKNK 4, Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, antara jam 6.50 petang hingga 7 petang, 22 Oktober lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi. 

Tertuduh juga boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 24 akta sama. 

Mohd Sabri menetapkan 18 Januari 2011 sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan dan mengarahkan tertuduh membayar wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin. 
Tertuduh yang diwakili T Jeyadeeson membayar wang jaminan itu. Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Iznina Hanim Hashim mencadangkan supaya tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, tetapi tertuduh merayu jaminan sebanyak RM5,000. 

Bagaimanapun, hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin. 

Di mahkamah berasingan, seorang lagi penyelia gudang, Koh Kok Shiun, 30, tidak mengaku salah ketika pertuduhan dibacakan di depan Hakim Chan Jit Li. 

Dia didakwa memberi rasuah RM3,000 kepada Pembantu Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Iswandy Ahamad sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Honest Acceptance (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, antara jam 6.20 petang hingga 7.05 petang hari yang sama. 

Hakim menetapkan 11 Januari 2011 sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan dan mengarahkan tertuduh membayar wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin. 

Tertuduh diwakili peguambela T Jeyadeeson, manakala pendakwaan dilakukan Iznina Hanim.

Maut ketika selamatkan rakan





JENAZAH Amirul Ashraf Mazlan (gambar kecil) dibawa keluar dari Unit Forensik HKT, Kota Tinggi, semalam.


KOTA TINGGI 28 Nov. - Niat murni seorang remaja untuk menyelamatkan rakannya daripada lemas berakhir dengan tragedi apabila dia pula yang terkorban di pantai peranginan Tanjung Balau, Desaru, Pengerang, dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 4.35 petang itu, rakan mangsa yang berusia 15 tahun terbabit berjaya diselamatkan oleh tiga lagi rakan mereka yang lain.
Ketua Polis daerah, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, kejadian berlaku apabila mangsa, Amirul Ashraf Mazlan, 13, melihat rakannya hampir lemas semasa mandi di pantai itu.
"Namun usahanya tidak kesampaian apabila dia pula tenggelam dibawa arus. Rakan mangsa pula berjaya diselamatkan tiga lagi rakan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata, kumpulan remaja itu kemudian menghubungi pasukan penyelamat dan gerakan mencari berjaya menemui mayat Amirul Ashraf, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian, pukul 6 petang.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.
Beliau berkata, mangsa dan rakan-rakannya berasal dari Kampung Felda Sening di sini.
Ibu Amirul, Siti Aminah Muntalib, 34, berkata, sebelum kejadian anak kedua daripada lima beradik itu sempat makan tengah hari di rumah datuknya sebelum pergi bersama empat rakannya untuk berkelah di pantai Tanjung Balau di sini.
Katanya, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Adela itu menaiki motosikal bersama rakan-rakannya ke pantai tersebut.
"Tiada tanda-tanda pelik atau kelainan ditunjukkan anak saya sebelum kejadian ini. Kali terakhir saya melihatnya pada minggu lalu semasa dia mengambil upah menjaga kolam ikan di loji Sungai Lebam sempena cuti sekolah ini.
"Sesungguhnya Allah lebih menyayanginya, saya menerima ketentuan Allah ini dengan hati yang reda," katanya.

Lelaki korban pertama banjir di Kelantan



TUMPAT 28 Nov. - Seorang lelaki menjadi korban banjir pertama di negeri ini selepas tergelincir dan lemas di sebatang tali air sedalam dua meter di depan rumahnya di Kampung Rokma, Wakaf Baru, di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi ketika mangsa, Abdullah Yakub, 49, hendak memberi makan ternakan burung dan itiknya di dalam sangkar bersebelahan tali air terbabit.
Isteri mangsa, Rokiah Ibrahim, 48, berkata, suaminya itu keluar rumah selepas menunaikan solat Subuh.
"Selalunya sekejap sahaja dia beri makan lepas itu pulang ke rumah sebab sangkar itu bukanlah jauh sangat.
"Namun saya tunggu sehingga pukul 11 pagi, dia tidak pulang-pulang. Memandangkan air banjir ketika itu sudah mencecah paras pinggang jadi saya mula berfikir mungkin ada sesuatu yang buruk berlaku," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, dia kemudian segera membuat laporan di balai polis berhampiran pukul 3.50 petang untuk meminta bantuan pihak berkuasa mengesan suaminya.
Tambahnya, berikutan itu, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor telah melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa di tali air tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Abdul Manaf Jaafar berkata, mangsa ditemui pada pukul 5.30 petang di dalam tali air itu iaitu kira-kira 20 meter dari lokasinya disyaki terjatuh.
"Seramai 14 anggota terlibat dalam operasi itu iaitu enam anggota dari Pengkalan Kubor dan bakinya dari unit skuba negeri," ujarnya.
Tambahnya, insiden itu merupakan kejadian lemas pertama berlaku selepas gelombang banjir kedua melanda daerah tersebut.
Dalam pada itu, Abdul Manaf turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati di musim banjir ini.
"Saya mohon kerjasama orang ramai, terutama ibu bapa supaya mengawasi anak-anak mereka agar tidak bermain air di musim banjir ini," ujarnya.

Jatuh gaung, kelindan maut




IPOH – Seorang kelindan maut, manakala pemandunya cedera parah apabila treler yang membawa muatan papan lapis terjunam ke dalam gaung di Kilometer 12 Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands lewat malam kelmarin.

Ketua Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, dalam kejadian jam 11.50 malam itu, D Ramarao Demudoo, 35, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan.

Katanya, mayat mangsa yang berasal dari Taman Jati, Jelapang itu di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Menurut beliau, pemandu lori yang cedera parah turut di bawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun identiti pemandu lori belum dikenal pasti kerana polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri padanya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kata Mohd Rodzi, siasatan awal polis mendapati treler yang datang dari arah Cameron Highlands itu tergelincir akibat jalan licin kesan hujan lebat sejak petang.

“Pemandu treler gagal mengawal kenderaan yang dipandunya lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter,” katanya.

Mohd Rodzi berkata, anggota bomba Balai Simpang Pulai mengambil masa lebih satu jam untuk mengeluarkan mayat mangsa dari gaung itu.

Tiga kedai, sebuah rumah musnah dijilat api



SEREMBAN 28 Nov. - Tiga premis perniagaan dan sebuah rumah di Taman Bunga Raya, Mantin dekat sini, musnah dalam kebakaran hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, kesemua premis berkenaan gagal diselamatkan kerana api marak dengan cepat.
Kebakaran melibatkan dua buah kedai perabot, satu bengkel besi dan sebuah rumah yang terletak berhampiran.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua premis kosong termasuk rumah terbabit.
Kebakaran dikatakan bermula dari dua kedai perabot sebelum api merebak ke bengkel dan rumah itu.
Ketua Unit Pengurusan Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Timbalan Penguasa Bomba,Ismail Mohamad Yusof berkata, seramai 15 anggota dan tiga jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Seremban dan Nilai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan.
"Apabila sampai ke lokasi kita dapati sebahagian besar bangunan itu sudah dijilat api dan kebakaran juga merebak dengan cepat.
"Kita berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 10 minit dan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian dialami mangsa.
"Berdasarkan siasatan awal, kita tidak menolak kemungkinan semua premis berkenaan musnah disebabkan pembinaan bangunan tidak menepati ciri keselamatan atau piawaian ditetapkan," ujarnya.
Sementara itu, pemilik bengkel besi, Abdul Rahman Abdullah, 38, berkata, ketika kejadian dia tiada di bengkel miliknya kerana bercuti dan hanya mengetahui mengenai kebakaran itu melalui seorang rakan.
"Rakan saya beritahu bahawa sebuah kedai perabot yang terletak bersebelahan dengan bengkel saya terbakar.
"Saya kemudian bergegas ke bengkel dan terkejut selepas mendapati api telah pun marak ke premis saya," katanya.
Katanya, dia bersama-sama tiga lagi pemilik premis yang lain tidak mampu melakukan apa-apa ekoran api marak dengan cepat.

2 anggota polis dipenjara 2 bulan, denda RM10,000 kerana rasuah





2010/11/29

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret membebaskan dua anggota polis daripada tuduhan menerima rasuah sebaliknya mengenakan hukuman penjara dua bulan dan denda RM10,000. 

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu setelah menerima rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret di sini yang membebaskan Lans Koperal Mohd Salleh Musa, 47, dan Lans Koperal Hasnul Malik Yeop Mat Rasid, 51, daripada tuduhan itu pada 29 Oktober tahun lalu

Empat sahabat maut, dua terselamat kemalangan Lebuhraya Pagoh-Yong Peng



BATU PAHAT 28 Nov. - Empat sahabat maut manakala dua lagi terselamat apabila kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 110 Lebuh Raya Utara-Selatan Pagoh-Yong Peng dekat sini, malam semalam.
Mangsa terbunuh ialah pemandu kereta, T. Sajeevan, 22, dan penumpang, A. Manimaran, Shamugam dan P. Sathiya yang kesemuanya berusia 17 tahun.
Mayat Sathiya yang tercampak hanya ditemui pada pukul 4.20 petang ini oleh pasukan penyelamat di sungai berdekatan.
Nahas ngeri yang berlaku pukul 10 malam itu dipercayai berpunca daripada kereta Proton Iswara yang hilang kawalan apabila terlanggar belakang sebuah lori tunda sehingga menyebabkannya berpusing dan melintang di atas lebuh raya.
Berikutan itu, bas ekspres tersebut yang datang dari belakang gagal mengelak kereta mangsa lalu merempuh kenderaan terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supritendan Adnan Azizon berkata, empat daripada mangsa tercampak keluar dari kereta tersebut manakala dua lagi tersepit.
"Sejurus itu, sebuah kereta lain yang tidak dapat mengelak kemalangan tersebut turut merempuh kereta mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Adnan memberitahu, dua mangsa yang cedera parah pula dirawat di hospital sama.
Menurutnya, mangsa-mangsa adalah dalam perjalanan dari Simpang Renggam menuju ke Kuala Lumpur.
Katanya, pemandu, penumpang bas ekspres dan kereta lain yang turut terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Mohamad Majid berkata, usaha mencari Sathiya dijalankan anggota dari balai tersebut dan Balai Johor Bahru bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Kumpulan aktif edar dadah tumpas



29/11/2010 3:09pm

KUALA LUMPUR: Satu kumpulan pengedaran dadah yang bergiat aktif di Lembah Klang sejak enam bulan lepas tumpas apabila polis menahan tiga lelaki dan merampas pebagai jenis dadah bernilai RM165,000 dalam satu serbuan di sini pada 25 November lepas.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditangkap dalam serbuan di tempat letak kereta Berjaya Times Square.
"Satu pasukan polis dari unit narkotik Balai Polis Dang Wangi telah membuat serbuan terhadap satu kereta pada 7 petang yang mana terdapat tiga lelaki di dalamnya.
“Seorang daripada mereka cuba melarikan diri ketika serbuan dibuat tetapi berjaya ditangkap,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Amar Singh berkata, polis merampas 10,022 biji pil Eramin 5, 50 biji pil Ecstasy, tujuh paket syabu seberat sembilan gram dan satu paket ganja seberat satu gram.
Beliau berkata kesemua dadah itu dijumpai dalam kereta dan pada ketiga-tiga lelaki itu.
Amar Singh berkata kejayaan polis menumpaskan kumpulan pengedaran dadah itu adalah hasil daripada maklumat dan kerjasama oleh orang awam.
Beliau berkata seorang daripada lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah dadah. - Bernama

373 kes jangkitan HIV dikesan dalam 10 bulan diSingapura




BILANGAN warga Singapura yang dijangkiti HIV - bertambah kepada 373 kes untuk sepanjang 10 bulan lalu.
Namun, Kementerian Kesihatan (MOH) menjangka bilangan yang dijangkiti HIV bagi sepanjang tahun ini bakal menyamai bilangan sepanjang tahun lalu iaitu 463 kes.Dalam satu kenyataan, MOH menyatakan bahawa lebih separuh atau 60 peratus daripada kes baru yang dikesan berada di tahap terakhir apabila mereka mendapat tahu mengenai jangkitan virus itu.Perangkaan yang disertakan MOH dalam kenyataannya itu juga memaparkan tentang jumlah ujian HIV yang dijalankan tahun ini terus bertambah berbanding tahun lalu.Sejumlah 143,906 ujian HIV dijalankan dari Januari hingga September lalu berbanding 129,966 bagi tempoh yang sama tahun lalu.Jumlah ujian HIV melibatkan mereka yang memilih merahsiakan nama mereka berkurang kepada 7.3 peratus dari Januari hingga Oktober lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu.Daripada seramai 7,762 orang yang menjalani ujian HIV secara rahsia, 3,113 daripada mereka menjalaninya di enam klinik manakala 4,649 melakukannya di tempat-tempat yang disediakan oleh Kumpulan Bertindak Bagi Aids.Menurut MOH lagi, dengan bilangan kes tahun lalu itu, jumlah pesakit Aids yang berpunca daripada virus HIV kini mencecah 4,573 orang sejak penyakit itu mula dikesan di Singapura pada 1985.Daripada jumlah itu, 1,356 pesakit telah meninggal dunia.Hubungan seks menjadi punca utama jangkitan HIV di sini.Jangkitan melalui hubungan heteroseksual, atau hubungan kelamin dengan berlainan jantina, membentuk 56 peratus kes.Jangkitan berpunca daripada hubungan homoseksual (seks sesama jenis) ialah 33 peratus manakala kes berpunca daripada hubungan biseksual (seks dengan berlainan jantina dan sesama jenis) membentuk 9 peratus.Sejumlah 63 peratus daripada kes-kes baru dikesan menghidap HIV menerusi prosedur perubatan, 16 peratus melalui pemeriksaan kesihatan dan 8 peratus hasil pemeriksaan HIV secara sukarela.Lagi 7 peratus dikesan menerusi pemeriksaan di penjara atau pusat pemulihan dadah.Lebih ramai individu homoseksual atau 15 peratus dikesan menghidap HIV menerusi pemeriksaan sukarela berbanding 5 peratus golongan heteroseksual.Dari segi jantina, sejumlah 4,111 pesakit Aids adalah lelaki manakala 462 kes adalah wanita.Sejumlah 61 peratus kaum lelaki yang dijangkiti HIV masih bujang manakala 60 peratus kaum wanita yang menghidap penyakit itu telah berumah tangga.Dari segi bangsa, sejumlah 82 peratus kes HIV berbangsa Cina, 11 peratus Melayu dan 4 peratus India.Majoriti kes atau 58 peratus kes dalam usia 30 tahun dengan 49 tahun, manakala 16 peratus berusia 20 dengan 29 tahun.MOH menggesa golongan yang berisiko dijangkiti HIV supaya kerap menjalani pemeriksaan.

Berselera sebelum maut





LEMAL – Mangsa yang rentung dalam kebakaran lewat petang kelmarin, berselera ketika makan bersama ibu dan adiknya sebelum kejadian yang berlaku di Kampung Banggol Ubi Keling Nibong Lemal. 

Ibu mangsa, Saudah Ali, 70, berkata, anaknya, Fatimah Said, 52, berselera ketika menikmati makan tengah hari iaitu sup daging. 

Menurutnya, jika sebelum ini, dia tidak akan menghabiskan makanan tetapi sebelum kejadian dia semakin berselera. 

“Saya tidak menyangka itu adalah kali terakhir makan bersama dengannya,” katanya. 

Saudah berkata, anaknya yang buta kedua-dua mata dan lumpuh, serta berbadan gempal sudah menunjukkan kelainan perangai sejak beberapa hari yang lalu. 

Katanya, mangsa merupakan anak sulung dari lapan adik beradik ini tidak bekerja dan menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan. 

Dia yang tinggal sehelai sepinggang kini, tinggal bersama saudara maranya yang tinggal berdekatan. 

Saudah berkata, dia yang tinggal di rumah berkenaan sejak lebih 20 tahun lalu, mengesyaki kebakaran itu dipercayai berpunca daripada sistem pendawaian yang sudah lama tidak ditukar. 

Sementara itu, adik mangsa, Mohd Johari Omar, 50, berkata, terkejut apabila diberitahu rumah maknya yang berdekatan dengan rumahnya terbakar. 

Menurutnya, ketika itu dia sedang berehat dan bergegas ke tempat kejadian tetapi tidak sempat untuk menyelamatkan barang-barang dan dokumen penting kerana api sudah marak. 

“Saya terus menelefon bomba dan akibat dari kejadian tersebut, berlaku lintar pintas yang menyebabkan bekalan elektrik di rumah saya terputus,” katanya.