Search This Blog

Sunday, November 28, 2010

Premis terbakar

SEREMBAN: Empat pemilik premis hanya mampu menepuk dahi sambil memerhati deretan tiga kedai dan sebuah rumah mereka yang dipercayai tidak menepati ciri keselamatan, musnah dalam kebakaran di sekitar Taman Bunga Raya, Mantin, di sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, semua pemilik dan penghuni tiada di dalam premis berkenaan berikutan rata-rata mereka mempunyai urusan peribadi serta bercuti.

Kebakaran dikatakan bermula di dua kedai perabot sebelum api merebak ke sebuah kedai kimpalan dan rumah berdekatan.

Ketua Unit Pengurusan Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohamad Yusof berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan awam.

“Seramai 15 anggota dan tiga jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Seremban dan Nilai tiba di lokasi berkenaan untuk memadam kebakaran keempat-empat premis terbabit.

“Api berjaya dikawal kebakaran dalam tempoh 10 minit dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, pihak bomba tidak menolak kemungkinan semua premis berkenaan hangus disebabkan pembinaan bangunan yang tidak menepati ciri keselamatan atau piawaian ditetapkan.

“Ini kerana dinding yang dibina tidak menepati piawaian iaitu hanya pada paras siling dan bukan paras bumbung. Berikutan itu, api akan cepat menyambar jika berlaku sesuatu kebakaran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya kini menyiasat punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian yang ditanggung.

Sementara itu, pemilik kedai kimpalan, Abdul Rahman Abdullah, 38, berkata ketika kejadian, dia dan beberapa pekerjanya tiada di dalam premis berkenaan.

“Saya ketika itu berada di rumah dan hanya dimaklumkan kejadian berkenaan oleh seorang rakan. Saya bersama isteri kemudian bergegas ke situ dan mendapati kedai kami sudah musnah dijilat api,” katanya yang tidak sempat menyelamatkan apa-apa di dalam premis berkenaan.

Dirempuh kren

KUCHING: Tragis dan mengerikan apabila jasad seorang penunggang motosikal kaku di celah tayar sebuah kren dalam kemalangan ngeri di persimpangan lampu isyarat depan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), petang kelmarin.
Davidson anak Tony, 22, berasal dari Kampung Baru Mawang, dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di kedai membuat roti di bandar raya ini dalam kejadian jam 5.45 petang.

Difahamkan, sebaik tiba di persimpangan terbabit, mangsa bersama rakannya yang membonceng motosikal itu dikatakan dirempuh kren yang dalam perjalanan menghala ke LTAK.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat menyebabkan pemandu kren terbabit gagal melihat mangsa bersama rakannya di lampu isyarat terbabit lalu merempuhnya.

Bagaimanapun, rakan mangsa yang sehingga kini tidak diketahui identitinya terselamat selepas berjaya melompat ketika kren terbabit bergesel dengan motosikal ditungganginya.

Pelajar cedera kena tetak

TAWAU: Seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) patah pergelangan tangan dan cedera parah pada lengan kiri apabila ditetak dua lelaki tidak dikenali menggunakan parang di Taman Semarak, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, Wong Wei Chung, 18, dikatakan dalam perjalanan ke kedai fotokopi untuk mencetak tugasannya sebelum didatangi suspek terbabit.

Difahamkan, seorang susprk bertanya mangsa berasal dari mana dan sebelum sempat menjawab pertanyaan itu, Wong terus dibelasah dan ditetak.

Mangsa yang terkejut dengan perbuatan lelaki terbabit menyangka dibelasah dengan kayu lalu mempertahankan diri dengan menepis objek terbabit.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek yang memukul menggunakan parang menyebabkan pergelangan tangan mangsa patah selain kesan kelaran sepanjang enam sentimeter pada lengannya.

Wong yang kesakitan menjerit meminta pertolongan sebelum pergaduhan itu disedari orang ramai. Kedua-dua suspek yang panik kemudian melarikan diri.

Orang ramai yang melihat keadaan mangsa yang parah membawanya ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada unsur provokasi manakala mangsa tidak mengenali atau mengecam kedua-dua suspek yang memukulnya.

Polis yang giat memburu semua suspek memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Terdahulu, ibu mangsa, Dina Lucas, 40-an, ketika dihubungi mengakui anaknya tidak mengenali lelaki berkenaan yang secara tiba-tiba membelasahnya menggunakan parang.

“Wong kini dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Tawau selepas dihantar tiga lelaki,” katanya.

Laungan azan tetap berjudi


PETALING JAYA: Laungan azan solat Jumaat dari masjid berdekatan tidak menghalang tujuh lelaki Islam untuk terus berjudi di sebuah bangunan yang berselindung di sebalik papan tanda sebuah kedai komputer di sini.
Premis berkenaan yang pernah diserbu polis beberapa minggu dijadikan lelaki berkenaan bagi melepaskan gian judi ketika umat Islam solat Jumaat.

Mereka tidak serik dengan tindakan pihak berkuasa apabila masih lagi bermain judi di situ walaupun pernah diserbu polis.

Premis yang beroperasi di kawasan perniagaan PJ Old Town itu sekali lagi diserbu polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, jam 3.30 petang kelmarin.

Dalam serbuan tersebut, seramai tujuh tahi judi berusia lingkungan 23 hingga 58 tahun dicekup bersama dua penjaga tempatan, termasuk seorang remaja perempuan berumur 16 tahun.

Polis juga merampas wang RM1,200 serta menyita 74 komputer yang digunakan sebagai mesin judi di tempat itu.

Superintendan Pencegahan Cawangan D7 Bukit Aman, Superintendan Maszely Minhad berkata, pihaknya mendapat maklumat wujudnya premis judi di kawasan berkenaan sebelum melakukan risikan.

Menurutnya, kawasan yang padat dengan kedai perniagaan itu juga membuatkannya menjadi antara tempat strategik untuk membuka perniagaan judi siber.

Mujur sangkut

JITRA: Satu keluarga di Kampung Pulau Pisang, Tunjang, dekat sini, lega apabila seekor ular tedung selar sepanjang hampir dua meter yang cuba memasuki rumah mereka gagal apabila tersangkut pada pukat dijemur di belakang rumah mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, baru-baru ini, Anwar Sarrazim Lit, 41, berkata, ketika itu dia berehat di rumah sebelum terdengar bunyi bising di belakang rumahnya.

“Saya tergamam apabila melihat seekor ular tedung selar sebesar lengan tersangkut pada pukat dijemur di belakang rumah. Saya baru menjemur pukat air tawar ini dua jam lalu. Sebelum ini saya menggunakannya untuk menangkap ikan.

“Saya tak sangka pula di kawasan rumah saya ini terdapat ular tedung selar. Kejadian ini menakutkan saya bersama 10 ahli keluarga lain kerana haiwan ini memang dikenali amat berbisa,” katanya.

Katanya, mujur ular itu tidak dapat memasuki rumahnya apabila tersangkut pada pukat itu.

Anwar berkata, dia kemudian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menangkap reptilia itu.

Pegawai Operasi JPAM Kota Setar, Koperal Wan Haslan Wan Hamid berkata, empat anggota JPAM dikerahkan ke lokasi dan mendapati seekor ular tedung selar sepanjang 1.5 meter tersangkut pada pukat berkenaan.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan reptilia itu berikutan seluruh badannya terlilit pada pukat berkenaan.

Lagi kes curi kabel

KOTA KINABALU: Kematian seorang lelaki yang rentung ketika cuba mencuri kabel elektrik berhampiran kondominium di Tanjung Aru, 24 November lalu, tidak pernah mematahkan semangat ‘penyangak’ yang masih mencuba nasib mencuri kabel elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Terbaru, pepasang pencawang elektrik milik SESB di Kingfisher hilang dikebas, menyebabkan Bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah terputus bekalan elektrik hingga menjejaskan fungsi pam air.

Malah, kejadian itu mengakibatkan lampu jalan utama sekitar kawasan terbabit terpadam dan berbahaya kepada kenderaan, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas pihak berkuasa menerima panggilan daripada orang ramai yang mengadu tekanan bekalan air di kediaman mereka tidak berfungsi.

Beberapa kakitangan SESB yang membuat pemeriksaan mendapati kotak menempatkan fius utama pencawang dicuri individu tidak bertanggungjawab.

Masalah itu berjaya diatasi apabila SESB membawa set Janakuasa Mudah Alih bagi membekalkan elektrik untuk sementara sebelum kerja menggantikan fius yang hilang.

Pengurus Zon Tengah Kendalian Pembahagian SESB, Yuzrian Efren Yunus berkata, pihaknya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 menggantikan peralatan yang dicuri dalam kejadian itu.

“Akibat tindakan mereka (pencuri), lampu jalan sepanjang lebih satu kilometer terputus selain beberapa bangunan kerajaan terputus bekalan air apabila pam gagal berfungsi.

“Kami menerima aduan mendakwa bekalan air terputus akibat pam air mati dan lebih teruk lagi, pengguna jalan raya terpaksa bergelap akibat ketiadaan lampu jalan sekitar Jalan Kingfisher,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Yuzrian berkata, perbuatan itu bukan saja menyusahkan orang ramai, malah pelakunya terdedah dengan renjatan elektrik yang boleh membawa maut.

“Mereka (pencuri) tidak pernah serik walaupun kejadian seorang lelaki rentung, dipercayai cuba mencuri kabel, disiarkan secara meluas di akhbar tempatan beberapa hari lalu.

“Pencuri ini berani mati kerana bukan saja berani bermain dengan elektrik, malah sanggup mencuri pepasang di setiap pencawang elektrik SESB,’’ katanya.

Yuzrian berkata, SESB meminta kerjasama orang ramai segera melaporkan kepada SESB jika mengesan kegiatan pencerobohan di mana-mana pencawang SESB sekitar mereka.

Tiga maut menjelang pilihan raya di Ivory Coast





2010/11/28

ABIDJAN: Sekurang-kurangnya tiga maut apabila kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan polis yang membantah perintah berkurung diadakan menjelang pemilihan presiden, semalam. 

Kumpulan remaja mengadakan protes terhadap perintah berkurung di Daerah Abobo, bahagian utara Abidjan yang menjadi kawasan kediaman kelas rendah dan golongan buruh.
Kawasan itu dianggap kubu kuat calon pembangkang, Alassane Ouattara, sehingga tercetus pertempuran antara kumpulan penunjuk perasaan dengan polis yang menggunakan sentaja api bagi menyuraikan demontrasi itu.
Dalam kejadian itu, berpuluh lagi dilaporkan cedera dan dikejarkan ke hospital. 

Kumpulan penunjuk perasaan juga bertindak membakar kenderaan polis sebelum pasukan tentera dikerah membantu polis bagi meredakan ketegangan. 

Perintah berkurung itu dikeluarkan Presiden, Laurent Gbagbo sejak malam bagi menghalang penduduk keluar berkumpul bagi mengelak daripada tercetusnya keganasan pada pemilihan presiden hari ini. - AFP

Bekas calon Presiden Mexico dibebaskan penculik





2010/11/28

MEXICO CITY: Bekas calon bagi jawatan Presiden Mexico, Diego Fernandez de Cevallos yang dilaporkan diculik, dibebaskan awal semalam tetapi pihak berkuasa masih belum mengesahkan pembebasan itu.

Akhbar harian El Universal dalam laporan muka depannya berkata, Fernandez de Cevallos yang diculik pada Mei lalu dibebaskan awal pagi semalam dan kini berada di kediamannya.
Akhbar yang memetik sumber keluarga berkata, Fernandez de Cevallos dilaporkan dalam keadaan sihat.
“Kami tidak mengetahui apa-apa mengenainya. Kami tidak boleh mengesahkan pembebasannya atai menafikan laporan itu," kata seorang pegawai kerajaan di sini.

Sementara itu, satu lagi laporan media yang juga memetik sumber keluarga berkata, ahli politik itu masih ditahan sebagai tebusan.

Pada Oktober lalu, El Universal melaporkan bahawa keluarga ahli politik itu sudah membayar AS$20 juta wang tebusan dan penculik dikatakan bersetuju membebaskannya, awal bulan lalu.

Fernandez de Cevallos dilaporkan hilang pada 15 Mei lalu ketika memandu ke kawasan kediaman ladangnya di Negeri Queretaro, di bahagian tengah Mexico. 
Fernandez de Cevallos, 69, yang menjadi menganggotai parti konservatif - Parti Bertindak Kebangsaan (PAN) pernah bertanding sebagai calon presiden pada 1994 tetapi kalah kepada bekas presiden, Ernesto Zedillo dari Parti Intitusi Revolusi (PRI). - AFP

Tiga ditahan bersama dadah, senjata api di Kulim





2010/11/28



KULIM: Polis menahan tiga orang termasuk seorang wanita
dan menemui pelbagai dadah bersama sepucuk pistol dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bidara di sini Jumaat lalu. Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mohd Asri Yusuf berkata dalam serbuan
2.30 petang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kulim Cif 
Insp A. Rajaram, polis menemui 126 biji pil Eramin 5, tiga biji pil WY, tiga 
biji ketamin dan 3.8 gram syabu, kesemuanya bernilai RM5,620 dalam rumah itu. 
"Pemeriksaan ke atas sebuah kereta (Proton) Wira Aeroback yang berada di 
luar pagar rumah itu, polis menjumpai sepucuk pistol jenis Smith & Wesson 
tersimpan dalam satu sarung pistol bersama enam butir peluru dan satu paket 
plastik lutsinar mengandungi 25 butir peluru yang disimpan dalam kasut keselamatan," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini. 
Mohd Asri berkata suspek lelaki berusia 28 tahun, yang dipercayai menjadi 
perancang utama kumpulan itu, mempunyai beberapa rekod kesalahan jenayah lampau 
termasuklah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan 
Khas) selama dua tahun selain mempunyai beberapa rekod jenayah lain. 
Seorang lagi suspek lelaki berusia 26 tahun tiada sebarang rekod jenayah 
manakala suspek wanita 22 tahun itu yang sudah berkahwin serta mempunyai dua 
orang anak mempunyai beberapa rekod jenayah. 

Mohd Asri berkata aktiviti mereka adalah memproses dadah yang dilakukan di 
sini dan menjualnya di sekitar Seberang Perai dan Pulau Pinang. 
Beliau berkata ketiga-tiga suspek, yang didapati positif dadah, akan 
disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah 
Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Senjata Api 1960. 
Mereka, yang merupakan penduduk tempatan, ditahan reman sehingga 2 Dis, 
katanya. 
Dalam perkembangan lain, Mohd Asri berkata pengedar dadah kini didapati 
menukar taktik menyeludup dadah jenis ganja dan heroin ke negara ini melalui 
Kedah dengan menggunakan rakyat asing seperti Nigeria, Myanmar dan Indonesia. 
“Ini terbukti berikutan lima kes apabila tiga warga asing ditahan membawa 
dadah ganja atau heroin sama ada melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi 
atau pada pintu masuk di Sempadan Bukit Kayu Hitam," katanya. -- BERNAMA

Seoul ikrar balas dendam atas serangan Pyongyang



KORBAN UNTUK NEGARA: Ahli keluarga askar marin Korea Selatan, yang terkorban dalam serangan Korea Utara tidak dapat menahan sebak ketikadiiringi untuk menghadiri upacara pengkebumian mangsa di sebuah hospital tentera di Seongnam di selatan Seoul semalam. - Foto AFP

28 Nov 2010

Akan lancar serangan balas beribu kali ganda lebih teruk


SEOUL: Komander marin Korea Selatan semalam berikrar akan melancarkan serangan balas 'beribu kali ganda' lebih teruk ke atas Korea Utara.
Leftenan Jeneral Yoo Nak Joon dalam upacara pengkebumian dua anggota marin yang terkorban ekoran serangan Korea Utara pada Selasa lalu berkata:'Semua anggota marin akan membalas dendam atas kematian dua anggotanya, walau apa pun berlaku. Kami akan ingat di dalam hati rasa marah dan permusuhan yang dialami hari ini.Beliau menambah:'Anggota marin kita akan melancarkan serangan balas yang seratus kali atau seribu kali lebih teruk ke atas Korea Utara.'Selasa lalu, Korea Utara melancarkan bedilan meriam ke atas sebuah pulau Korea Selatan menyebabkan dua anggota marin dan dua orang awam negara itu terkorban.Dua anggota marin yang terkorban diberi penghormatan ketenteraan dalam upacara pengkebumian yang diiringi tangisan pilu anggota keluarga mereka.Selepas upacara pengkebumian itu selesai, tiga bantahan anti-Korea Utara yang berasingan diadakan di sini.'Masa untuk bertindak sudah tiba. Masa untuk bertindak balas. Mari kita serang istana presiden di Pyongyang,' laung sekitar 1,000 anggota veteran marin di Seoul.Sehubungan itu, Menteri Pertahanan Korea Selatan yang baru, Encik Kim Kwan-jin, semalam menggesa agar tindakan lebih tegas diambil ke atas Korea Utara.'Kita perlu menangani dengan tegas tindakan provokatif Korea Utara. Kita perlu melancarkan serangan balas yang berkali ganda lebih teruk,' kata Encik Kim, yang ditukil akhbar Chosun Ilbo.Akhbar The Korea Economic Daily pula berkata pemerintah Korea Selatan telah mengemukakan usul agar ditingkatkan belanjawan pertahanan sebanyak 5.8 peratus kepada AS$27 bilion ($37 bilion) pada tahun depan.Sebelum ini, ahli Parlimen Korea Selatan telah membidas Presiden Lee Myung-bak kerana tidak memberi respons yang tegas terhadap serangan Korea Utara.Semalam, Korea Utara mengulangi amaran supaya latihan ketenteraan antara Korea Selatan dengan Amerika Syarikat yang dijadualkan bermula hari ini dibatalkan.Korea Utara menyifatkan latihan itu sebagai satu 'tindakan provokatif yang tidak boleh dimaafkan'.Washington menegaskan latihan tentera yang diadakan merupakan satu latihan biasa yang telah dijadualkan lama sebelum Korea Utara menyerang Korea Selatan Selasa lalu.China, yang merupakan sekutu rapat Korea Utara, pula menggesa agar kedua-dua negara Korea itu mengawal diri. -- AP, AFP.

Demam denggi catat 3 kematian minggu ini





2010/11/28

GEORGETOWN: Tiga lagi kematian akibat demam denggi dilaporkan minggu ini menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia meningkat kepada 128 orang sejak Januari lalu. 

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata satu kematian dilaporkan di Sarawak semalam manakala dua kematian dilaporkan masing-masing di Pulau Pinang dan Johor pada Isnin lalu.
"Jumlah ini menyaksikan peningkatan kematian kepada 50 kes berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu sebanyak hanya 78 kematian yang direkodkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus Basic Life Saving Training anjuran bersama Puteri Umno Bahagian Bukit Gelugor dan Murni Nursing Academy di sini hari ini.
Beliau berkata sehingga semalam 43,477 kes demam denggi dilaporkan berbanding 37,205 kes bagi tempoh sama tahun lalu. 

Sehingga semalam, Selangor mencatatkan jumlah kes demam denggi tertinggi tahun ini berbanding negeri lain iaitu 15,520 kes dengan 43 kematian. 

Sementara itu, Rosnah berkata sebanyak lapan kes Influenza A (H1N1) dicatatkan sejak minggu lalu dan tiada kematian direkodkan. 

Beliau juga menjelaskan bahawa kematian seorang wartawan yang dalam perjalanan pulang bertugas dari luar negara baru-baru ini adalah akibat sakit jantung dan bukan dijangkiti H1N1. - BERNAMA

Rampas ganja dari warga asing


TIMBALAN Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Yahya Othman menunjukkan ketulan ganja yang dirampas dari seorang wanita warga asing ketika mengadakan sidang akhbar di Seremban, hari ini. Ganja seberat 12.5 kilogram itu ditemui dalam beg wanita terbabit ketika menahan sebuah bas ekspres di tepi lebuh raya berhampiran plaza tol Seremban awal, pagi semalam. - Foto BERNAMA


Polis tahan pensyarah wanita warga asing disyaki miliki dadah
SEREMBAN -- Polis menahan seorang pensyarah wanita warga asing di dalam sebuah bas ekspres menghala arah selatan berhampiran plaza tol
Seremban di sini awal pagi semalam, selepas menemui 12 kilogram dadah jenis kanabis padanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan DSP Yahaya Othman berkata wanita berusia 51 tahun yang merupakan pensyarah sebuah kolej swasta di Cheras itu ditahan pada kira-kira pukul 5.30 pagi.

Beliau berkata selepas dipintas, polis yang memeriksa bas itu menjumpai 12 ketulan plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis kanabis dipercayai milik
wanita berkenaan, yang dianggar bernilai RM50,000.

Bercakap kepada pemberita dalam satu persidangan media di Ibupejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini beliau berkata wanita itu didapati memasuki Malaysia pada 10 Oktober lepas.

Yahya berkata wanita itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu
siasatan, dan polis sedang menyiasat sekiranya wanita itu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengedar dadah di Seremban dan Lembah Klang.
-- BERNAMA

Keluarga tidur dalam kesejukan akibat ribut


KOTA BHARU -- Hujan lebat sepanjang hari serta ribut petir mengakibatkan 12 buah keluarga di Kampung Senang, Kota jambal di sini tidur dalam keadaan kesejukan apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin kuat.
Mangsa ribut Tengku Omar Tengku Husin, 46 berkata kejadian itu berlaku kira-kira 1.30 pagi semalam.

Rogol anak tiri, mekanik dihukum penjara 18 tahun, 6 sebatan





2010/11/28

ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan kepada seorang mekanik atas tuduhan merogol anak tirinya tiga tahun lalu. 

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh, yang berumur 27 tahun.
Tertuduh yang berasal dari Langkawi disabitkan dengan kesalahan melakukan sumbang mahram dengan merogol anak tirinya, berumur 17 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah di Kampung Huma Mukim Ayer Hangat, Langkawi pada 20 November 2007 kira-kira 6 petang.
Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376B akta sama. 

Peguam tertuduh, K Kartikumar meminta mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lalu, di samping dia juga terpaksa menyara ibu dan bapanya. 

Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Rizal Fadzil memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang mencerminkan kepentingan awam terhadap tertuduh kerana semua masyarakat tidak dapat menerima perbuatan seperti itu. 

Kartikumar kemudian memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan hukuman kerana beliau mahu membuat rayuan di Mahkamah Tinggi. 
Mohd Sabri membenarkan hukuman ditangguhkan sehingga menunggu rayuan dan menetapkan tertuduh membayar jaminan RM7,000. - BERNAMA 

Maut diserang sakit jantung ketika memandu



28/11/2010 1:21pm

KUALA LUMPUR — Seorang usahawan dari Shah Alam dipercayai maut akibat serangan sakit jantung selepas terlibat dalam satu kemalangan di kawasan perumahan Kajang Utama dekat sini malam tadi.
Tan Shik Cin, 41, yang terbabit dalam kemalangan apabila keretanya terjunam dalam longkang sedalam 20 meter setelah kereta yang dipandunya terbabas, dipercayai mati di tempat kejadian, menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supt. Che Husin Omar kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, Tan dipercayai meninggal dunia disebabkan serangan sakit jantung, dan bukannya kerana kemalangan.
Ketika kejadian Tan sedang memandu kereta Mercedes Benznya berseorangan, dan beliau dilaporkan hilang kawalan kereta yang dipandunya sewaktu menuruni bukit di kawasan tersebut pada pukul 8.30 malam tadi, katanya.
"Mangsa kemudian memasuki jalan bertentangan sebelum keretanya terjunam ke dalam longkang itu,” kata Che Husin.
Beliau berkata mayat Tan kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat siasat. — Bernama

1 maut, 1 parah treler masuk gaung



28/11/2010 1:17pm

IPOH — Seorang kelindan treler terbunuh, manakala pemandunya cedera parah apabila kenderan yang mereka naiki terbabas ke dalam gaung di KM12 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, di sini malam tadi.
Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, DSP Mohd. Rodzi Rejab berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 11.55 malam tadi, D.Ramarao @ Demudoo berusia 35 tahun dan berasal dari Taman Jati, Jelapang di sini.
Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Rodzi berkata, pemandu treler yang cedera parah masih belum dikenalpasti identiti dan dirawat di hospital yang sama, katanya ketika dihubungi hari ini.
Polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri daripada pemandu terbabit dipercayai berusia 40-an dan berbangsa Melayu.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika treler yang membawa muatan kayu playwood itu dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke sini apabila dikatakan gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan dan terhumban ke dalam gaung sedalam 10 meter. — Bernama

Mayat lelaki leher dikelar, ditemui di jinjang



28/11/2010 2:16pm

KUALA LUMPUR — Mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tikaman di hadapan dan belakang badan, serta kesan kelar di leher, ditemui di tepi jalan menuju ke tangki air Kampung Batu, Jinjang di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata, mangsa yang merupakan seorang India Muslim berumur dalam lingkungan 45 hingga 50 tahun itu ditemui mati oleh orang awam kira-kira pukul 1.30 pagi.
"Mangsa memakai kemeja-t berbelang-belang, berseluar panjang, memakai selipar dan badannya agak gempal.
"Bagaimanapun tiada sebarang dokumen diri atau senjata dijumpai di tempat kejadian,” katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini hari ini.
Jelas Zakaria, mangsa disyaki dibunuh beberapa jam sebelum ditemui dan beliau tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di situ. — Bernama

Hampir pengsan bil hospital RM23,000



Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2010/11/28

Kakitangan swasta kecewa tak dimaklum caj melebihi jumlah maksimum ditanggung insurans 

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan swasta dari Kluang, Johor, hampir pengsan apabila melihat bil perubatannya mencecah RM23,000 selepas 12 hari dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Batu Pahat kerana batuk selama dua minggu.
Roslan Husin, 46, mendakwa pakar di hospital swasta itu bagaimanapun gagal mengesan punca penyakitnya sejak dia ditahan di wad hospital itu 4 Febuari tahun lalu, selain mendakwa caj ubat dikenakan berjumlah RM9,852 mahal dan melampau.
Lebih menyedihkan, dia mendakwa kakitangan pusat perubatan swasta itu hanya memberitahu kos perubatannya melebihi jumlah maksimum perlindungan insuransnya iaitu RM15,000 selepas 11 hari ditahan di wad. 

“Saya terkejut, marah dan hampir pengsan apabila diberitahu bil perubatan saya melebihi RM15,000 yang ditanggung syarikat insurans. Saya persoalkan kenapa hanya diberitahu selepas ia lebih daripada jumlah itu, kenapa tak beritahu awal,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu. 

Roslan berkata, dia pergi ke hospital swasta setelah dinasihatkan oleh doktor klinik panel syarikatnya kerana mereka gagal mengesan punca batuk dialaminya. 

“Mereka periksa saya macam biasa, tidak buat apa-apa kecuali membuat imbasan x-ray dan masukkan wayar dalam hidung. Pakar di situ kata saya menghidap asma tetapi saya tak percaya, saya cuma batuk-batuk. Kemudian mereka datang dan beritahu bil perubatan saya mencecah RM23,000 menyebabkan saya terkejut,” katanya. 
Dia tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan namun, pihak hospital yang gagal mengesan punca penyakit tetap memintanya tinggal di wad selama dua hari lagi. 

“Saya tolak permintaan mereka menyebabkan doktor pusat perubatan pakar itu menulis surat untuk merujuk saya ke Hospital Kluang, tetapi doktor hospital kerajaan beritahu pada saya, kalau pakar pun tidak dapat kesan apa punca penyakit saya, tak guna untuk saya dimasukkan ke hospital kerajaan,” katanya. 

Katanya, selepas keluar dari hospital swasta itu dia mencuba kaedah perubatan tradisional dan penyakitnya kini sembuh. 

Isnin lalu, Berita Harian melaporkan 26 peratus daripada individu yang gagal membayar balik pinjaman bank dan kad kredit kerana menanggung beban hutang membiayai kos perubatan tinggi di hospital swasta.

Tiga bekas kekasih Woods peringati hubungan sulit





2010/11/28

Parti ulang tahun sempena kecurangan jaguh golf terdedah 

FLORIDA: Tiga bekas perempuan simpanan Tiger Woods bercadang mengadakan ‘majlis ulang tahun’ bagi memperingati malam kemalangan yang menimpa pemain golf itu, sehingga menyebabkan kecurangannya terbongkar.
Akhbar Daily Mail melaporkan pelakon filem lucah Holly Sampson, Jocelyn James dan pelayan kelab malam Jamie Jungers akan menganjurkan majlis berkenaan di sebuah bar di Los Angeles.
Acara pada 3 Disember itu bertujuan ‘memberi malu paling besar’ kepada Woods selepas beliau menghadapi kehidupan paling teruk tahun ini, berikutan pendedahan skandal kecurangannya dan tuntutan cerai isteri beliau, Elin Nordegren. 

Pada tarikh itu, Woods dijadualkan bermain untuk tujuan amal, kurang 50 kilometer dari lokasi majlis iaitu ZIN Bistro, Weslake Village, di pinggir Los Angeles. 

Woods kini bermain di Kejuaraan Dunia Chevron di Sherwood Country Club di Thousand Oaks. Semua keuntungan acara itu akan disumbangkan kepada badan amal tajaannya, Yayasan Tiger Woods. 

Pemilik ZIN Bistro Rouz Yaz berkata: “Saya yakin sambutan malam ulang tahun itu akan menjadi satu acara yang hebat. Saya teruja menerima kehadiran ketiga-tiga wanita berkenaan”. 
“Kami akan mengadakan majlis koktel, muzik hebat dan tarian istimewa yang hanya akan dipersembahkan oleh Holly, Jamie dan Joslyn. Woods juga dialu-alukan untuk hadir,” katanya. 

Ketiga-tiga hos malam sambutan terbabit mengaku pernah menjalin hubungan dengan bintang sukan berusia 34 tahun itu. 

James, 33, adalah antara wanita yang paling terbuka dalam kenyataan membabitkan hubungan beliau bersama Woods selain mendedahkan mesej lucah yang dikirim kepadanya. 

James juga mendakwa pernah hamil ketika menjalin hubungan dengan Woods 
selama dua tahun tetapi mengalami keguguran. 

Sampson dibayar oleh Woods untuk menemaninya pada satu majlis, manakala Jungers berkata beliau menjadi perempuan simpanan Woods selepas bertemu dengannya di Las Vegas. 

Ketiga-tiga wanita itu adalah antara 14 wanita yang dinamakan sebagai wanita simpanan Woods, selepas kecurangannya didedahkan. 

Kereta yang dipandu Woods melanggar sebatang pokok di hadapan rumahnya di Florida sehari selepas cuti Hari Kesyukuran tahun lalu. 

Sebuah majalah di Amerika mendakwa ketika kejadian, Woods sedang menjalin hubungan dengan pelayan kelab malam Rachel Uchitel. 

Khabar angin menyatakan kemalangan dialami Woods berpunca daripada pergaduhannya dengan Elin yang terjumpa mesej Uchitel dalam telefon bimbitnya. – Agensi

Filem lucah Stallone dilelong RM1.28 juta





2010/11/28

NEW YORK: Hak bagi filem lucah keluaran 1970 lakonan Sylvestor Stallone, The Party at Kitty and Stud’s dijual melalui e-Bay pada harga AS$400,000 (RM1.28 juta). 

Stallone yang pertama kali melakonkan filem lucah ringan pada 1970 memainkan watak Stud, seorang lelaki muda yang bersama teman wanitanya, Kitty yang gemar mengundang pelbagai wanita untuk tidur bersama mereka.
Filem selama 71 minit itu bagaimanapun diberikan tajuk semula sebagai The Italian Stallion oleh Bryanston Distributors selepas aktor terbabit menjadi terkenal melalui filem Rocky, lapor akhbar New York Daily News.
The Sun melaporkan, filem itu mungkin akan disiarkan semula berikutan seorang pemilik yang tidak dikenali membeli hak filem terbabit. – Agensi

Nenek antara 3 maut nahas berasingan



Oleh Hamid Salleh
bhkt@bharian.com.my
2010/11/28

POLIS mengangkat jenazah Kelsom (gambar kecil) selepas dirempuh van di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam.
POLIS mengangkat jenazah Kelsom (gambar kecil) selepas dirempuh van di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam.
Dua kemalangan babitkan penunggang motosikal 

KUALA TERENGGANU: Tiga termasuk seorang nenek terbunuh dalam kemalangan berasingan dalam tempoh 24 jam di sini.
Kemalangan membabitkan Kelsom Chik, 68, berlaku ketika mangsa melintas jalan ke sebuah stesen minyak di Jambatan Sultan Mahmud, jam 8.40 pagi semalam selepas dikatakan teringin menjamah makanan ringan.
Mangsa dari Kampung Padang Hiliran, di sini, mati di tempat kejadian akibat cedera parah selepas dilanggar van dipandu Romley Mamat, 59, dari Kampung Mak Kemas, Bukit Payong, Marang. 

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, berkata Romley dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dikatakan cuba memberhentikan kenderaannya tetapi gagal lalu merempuh mangsa. 

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan di Kampung Atas Tol, di sini jam 10 malam kelmarin, Mohd Saiful Azhar Wahab, 28, maut apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah motosikal lain selepas mangsa yang bekerja sebagai buruh dalam perjalanan dari Kampung Pengkalan Setar untuk pulang ke rumahnya di Kampung Buluh Gading. 
“Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa melanggar sebuah motosikal lain yang melintas jalan. Mohd Saiful Azhar meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke HSNZ untuk bedah siasat. Bagaimanapun, penunggang motosikal berasingan hanya cedera ringan,” katanya. 

Kejadian ketiga pula membabitkan seorang lelaki, Zaid Ngah, 46, dari Kampung Jeram, Tepoh, yang maut selepas motosikalnya terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Tuanku Mizan di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, jam 2.45 pagi semalam.

Buruh maki polis trafik kena tahan




2010/11/28

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh yang mengeluarkan kata-kata kesat 'polis bodoh' ketika ditahan dalam operasi mencegah samseng jalanan di bandar raya ini awal pagi semalam, ditahan polis. 

Pemuda berusia 20 tahun dari Kampung Pengadang Baru itu didakwa bersikap kurang ajar terhadap anggota polis yang menahan dan memeriksa Perodua Kancil dinaikinya bersama empat lagi rakan di simpang tiga Pengadang Baru, di sini, kira-kira jam 2.30 pagi selepas didapati mencurigakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata anggota operasi diketuai Pegawai Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kuala Terengganu, Inspektor Zainal Abidin Ismail itu kemudian mengarahkan semua di dalam kenderaan itu keluar, tetapi pemandunya bertindak kurang ajar dan menengking anggota trafik.

8 maut pesawat kargo terhempas di Karachi





2010/11/28

KARACHI: Lapan orang maut apabila sebuah pesawat kargo Russia terhempas di sebuah kawasan perumahan sesak di tengah Karachi, semalam. 

Ketua Polis, Fayyaz Lenghari, bagaimanapun berkata setakat ini laporan yang diterimanya menunjukkan lima maut.

Maut tak sempat beli makanan

NGERI... anggota polis mengangkat mayat mangsa selepas terbabit nahas ketika melintas jalan.

NGERI... anggota polis mengangkat mayat mangsa selepas terbabit nahas ketika melintas jala

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang wanita warga emas untuk membeli makanan ringan di sebuah stesen minyak tidak kesampaian apabila dia maut selepas dirempuh sebuah van ketika melintas jalan berhampiran Jambatan Sultan Mahmud, di sini, pagi semalam.
Kelsom Chik, 68, dari Kampung Padang Hiliran meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah. Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk bedah siasat.

Anak saudara mangsa yang hanya dikenali sebagai Jefri, 35, berkata Kelsom keluar dari rumah seorang diri melalui jalan kampung dan ketika melintas dia dilanggar sebuah van yang datang arah jambatan Sultan Mahmud.

“Saya yang mendapat tahu mengenai kejadian itu daripada seorang rakan terus ke lokasi kemalangan, tetapi apabila tiba, saya dapati ibu saudara saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di HSNZ, di sini, semalam.

n.
Jefri berkata, arwah ibu tunggal yang tinggal dengan seorang saudaranya di kampung itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Kemalangan berlaku jam 8.40 pagi di depan sebuah stesen minyak berhampiran Jambatan Sultan Mahmud dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kampung Atas Tol, di sini, seorang pemuda terbunuh apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Zamri berkata, Mohd Saiful Azhar Wahab, 28, yang bekerja sebagai buruh dalam perjalanan dari Kampung Pengkalan Setar untuk pulang ke rumahnya apabila bertembung dengan sebuah motosikal lain yang melintas jalan.

Katanya, mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.