Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Ditembak ketika berkempen pilihan raya di Taiwan



27/11/2010 2:47am

TAIPEI 27 Nov. – Anak bekas Naib Presiden Taiwan kena tembak di muka ketika berkempen untuk parti Kuomintang, sehari sebelum menjelang pilihan raya tempatan semalam, menurut para pegawai parti.
Sean Lien kini dirawat di hospital setelah ditembak, meskipun “bahagian otaknya tidak terluka dan nyawanya tidak dalam bahaya,” kata pegawai kanan parti, We Den-yih.
“Kami terkejut dan sedih bila mendapat tahu kejadian ini. Penyerangnya telah ditangkap ditempat kejadian itu juga,” katanya kepada pemberita.
Menurut laporan media tempatan, Lien sedang menuju ke pentas untuk berkempen di daerah Taipei bila seorang lelaki mendekatinya dan menembak ke arah mukanya.
Jutaan rakyat Taiwan akan keluar mengundi pada pilihan raya tempatan hari ini sebagai tanda simpati mereka menjelang pemilihan presiden pada pilihan raya 2012 nanti. – AFP

Iran digegar dengan gempa bumi 5.6 skala Richter



27/11/2010 2:47am

TEHERAN 27 Nov. – Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.6 pada skala Richter telah menggegarkan sekitar kawasan gunung di selatan Iran semalam, tetapi tiada kerosakan yang dilaporkan berlaku.
“Gegaran berlaku sekitar kawasan gunung berhampiran Firouzabad dalam wilayah Fars pada pukul 4.03 petang waktu tempatan (8.33 malam waktu Malaysia),” lapor televisyen Iran yang memetik kenyataan dari pusat seismologi Universiti Tehran.
“Sehingga kini tidak ada sebarang kerosakan yang dilaporkan berlaku,” kata agensi berita IRNA.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat menganggarkan gempa berukuran pada kadar 5.6 skala Richter itu berlaku dalam kedalaman 10.1 kilometer. - Reuters

21 jemaah ditahan



KAJANG - Seramai 21 jemaah ditahan selepas dirikan solat Jumaat di surau di Kampung Sungai Tangkas, Batu 18, Jalan Bangi, dekat sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa Agama Negeri Selangor, Mohamad Rais Rasid berkata, mereka dipercayai pengikut tegar ajaran sesat, ‘Ajaran Islam Jamaah'.

Mereka terdiri daripada 13 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan tiga Bangladesh.

Menurutnya, mereka menunaikan solat Jumaat, walaupun tidak mencukupi 40 orang sebagai syarat berdasarkan mazhab Shafie.

Solat Jumaat kurang daripada 40 orang difatwakan salah pada 1998.

“Beberapa barang yang berkaitan dengan ciri Islam Jamaah disita sebagai bukti melanggar perintah, termasuk kitab, surat tebus dosa, pendaftaran syarikat, (buku) zikir serta dokumen lain,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat selepas operasi dilakukan.

Rais berkata, risikan dilakukan sejak tahun 2009 selepas menerima aduan.

Ciri kesalahannya didapati mengikut fatwa Bai’ah.

Setiap pengikut perlu berbai’ah dengan seorang dikenali sebagai Nurhasan, yang didakwa Amirul Mukminin.

Menurut Rais, jemaah ditahan itu dibawa ke mahkamah untuk proses jamin atau perintah tahanan.

Ketua kumpulan itu, Abdul Wahid ada di Indonesia katanya, mereka mengesyorkan supaya Imigresen menghantar jemaah Indonesia balik ke negara asal dan menahan Abdul Wahid di lapangan terbang.

“Jemaah yang ditahan berusia 29 hingga 55 tahun dan (Jais) akan mencadangkan kepada pendakwa supaya memasukkan mereka ke pusat pemulihan, tetapi bukan penjara kerana dikhuatiri akan mempengaruhi yang lain.

Terdapat sebuah surau dengan kelulusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk dijadikan solat Jumaat dan hanya 2 kilometer dari situ.

Ajaran itu juga pernah disebarkan di Petaling Jaya, Klang dan Kuala Langat . Wahid dan isterinya diarah hadir ke Pejabat Agama Islam Hulu Langat bantu siasatan pada 1 Disember ini.

Gara-gara ramalan malapetaka



BAKAR ARANG- Seorang wanita berumur 70 tahun termangu apabila menyedari dia ditipu dua wanita sekelip mata hingga kerugian RM3,000 dan barang kemas berjumlah RM5,000 Isnin lalu.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Boo, 70, berkata, kejadian berlaku ketika dia ke pasar tani untuk membeli barangan keperluan dapur dan bertemu dengan seorang wanita berumur dalam lingkungan 30an.

Menurutnya, wanita 30an terbabit berpura-pura bertanyakan kepadanya mengenai masalah suaminya yang terkena buatan orang dan mencari tempat serta orang yang boleh menyembuhkan suaminya itu.

“Selepas seketika, wanita 30an itu bertanyakan di mana dia boleh membawa suaminya untuk pergi berubat bagi mengubati buatan orang (sihir), datang pula seorang wanita 40an mencelah dan mengatakan dia tahu bagaimana caranya untuk membantu wanita 30an itu.

“Wanita 30an itu kemudiannya mengajak saya menemaninya pergi bersama wanita 40an berkenaan untuk mengetahui cara bagaimana dia boleh menyembuhkan penyakit buatan orang dan akibat kasihan saya pergi menemaninya,” katanya ketika sidang media yang diadakan di pejabat MCA Sungai Petani di Taman Intan, di sini, kelmarin.

Boo berkata, mereka kemudiannya dibawa wanita 40an itu ke satu tempat bersebelahan dengan Pejabat Tenaga Nasional Behad (TNB) dan di sana wanita 40an telah meramalkan nasib Boo hingga dia percayakannya.

Menurutnya, wanita 40an itu mengatakan bahawa keluarga Boo akan ditimpa malapetaka iaitu kemalangan hingga meragut nyawanya dan anaknya pada tahun hadapan.

“Menurut mereka jika saya merayu kepada ‘atuk’ mungkin boleh mengelakkan malapetaka yang akan berlaku namun, ia memerlukan banyak wang untuk berbuat demikian.

“Wanita 30an itu juga meyakinkan saya mengenai rayuan kepada ‘atuk’ dan dia berkata ingin pulang ke rumah untuk mengambil wang dan kembali ke tempat itu untuk melakukan proses rayuan dan meminta saya berbuat demikian juga,” katanya.

Boo berkata, akibat ketakutan akan malapetaka yang diperkatakan itu, dia segera pulang ke rumahnya di Taman Intan dengan mengayuh basikal dan membawa RM3,000 dan barang kemas bernilai RM5,000 untuk diberikan kepada wanita 40an terbabit.

Menurutnya, apabila tiba di tempat itu semula, wanita 40an itu sudah menyediakan satu beg plastik berwarna hitam berisi dua air mineral dan surat khabar serta memintanya meletakkan wang dan barang kemas dalam beg plastik berkenaan serta mengikatnya.

“Wanita 40an itu memberikan beg plastik berkenaan dan mengatakan hanya boleh membuka beg plastik itu selepas 49 hari dan beri minum air mineral itu kepada anak saya.

“Pulang sahaja ke rumah, saya memberitahu cucu saya hal terbabit dan apabila cucu saya membuka beg plastik itu, wang dan barang kemas itu sudah tiada. Baru saya sedar saya ditipu mereka berdua,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang, Ko Hung Weng berkata, dia berharap orang ramai meningkatkan kesedaran mengenai kes penipuan ini dan lebih berhati-hati.

Ibu tunggal warga emas rugi RM150,000



PANGKAL CHANGGONG – Seorang ibu tunggal warga emas, Khuzaimah Daud, 68, kerugian harta benda anggaran RM150,000 apabila rumah kediamannya musnah dalam kejadian kebakaran petang semalam.

Menantunya, Mazlan Mustafa berkata, ketika kejadian pada jam 5.20 petang itu, Khuzaimah berada di rumah jiran berdekatan.

Menurutnya, kejadian itu hanya disedari ketika api sudah marak dan memusnahkan keseluruhan rumah dalam masa beberapa minit sahaja.

“Tiada sesiapa berada dalam rumah semasa kebakaran kerana adik ipar, Mahadi Muhamad yang tinggal bersama ibu mertua saya juga sedang keluar.

“Api marak terlalu cepat hingga tidak sempat menyelamatkan apa-apa,” katanya ketika ditemui di sini, pagi semalam.

Beliau berkata, punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan masih dalam penyiasatan pihak bomba.

Amaran untuk jemaah haram

MAKKAH: Pihak berkuasa Arab Saudi memberi amaran akan bertindak lebih tegas terhadap jemaah tanpa permit dan syarikat perkhidmatan haji yang terbabit membawa jemaah itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pusat Haji, Putera Khaled Al-Faisal (gambar) memberitahu wartawan di Makkah semalam, kerajaan Saudi membelanjakan berbilion riyal setahun untuk pengurusan ibadah haji bagi memberi keselesaan kepada tetamu Allah.

Bagaimanapun, kehadiran jemaah haji tanpa permit yang tidak mempunyai tempat tinggal di Mina dan juga Makkah, mengganggu kelicinan ibadah berkenaan apabila mereka bersesak-sesak tinggal di tepi jalan dan bawah jambatan.

Menurut Khaled, kempen Tiada Haji Tanpa Permit yang dilancarkan pada musim haji ini berjaya mengurangkan sebanyak 20 peratus jemaah haram dan yang tinggal di tempat terbuka.

Jemaah haji haram yang ditangkap akan didenda dan dipenjara.

Pihak berkuasa Arab Saudi mendakwa jemaah tanpa izin itu menjadi punca kepada longgokan sampah sarap dan kesesakan jalan raya di Mina dan Makkah setiap kali musim haji.

Menurutnya, jika tindakan tidak diambil, kehadiran jemaah tanpa permit itu akan terus menghantui pihak berkuasa dan juga jemaah lain.

“Isu jemaah tanpa izin akan berakhir dan kami berharap tidak ada lagi masalah ini pada musim haji akan datang,” kata Khaled.

Beliau memberitahu, pihaknya mempunyai rancangan khas untuk menangani masalah itu. Beliau bagaimanapun, tidak menjelaskan rancangan itu secara terperinci. - Agen

Geng curi kambing diberkas


SUNGAI SIPUT - Tiga lelaki India dipercayai geng curi kambing berjaya diberkas pihak berkuasa dalam serbuan yang dilakukan disebuah rumah di Rimba Panjang.

Ketua Polis Daerah, Suprintendan Azman Salim berkata suspek berumur 20 hingga 40 tahun bukan sahaja aktif dalam kegiatan curi kambing tetapiturut terlibat dalam beberapa kes jenayah termasuk pecah rumah dan curi motosikal.

Jalan songsang

SIASAT...pegawai Jais menyoal siasat pengikut IJ.
SIASAT...pegawai Jais menyoal siasat pengikut IJ.



RAMPAS...pegawai penguat kausa Jais merampas dokumen di surau tanpa tauliah di Sungai Tangkas, dekat Kajang, semalam.
RAMPAS...pegawai penguat kausa Jais merampas dokumen di surau tanpa tauliah di Sungai Tangkas, dekat Kajang, semalam.


PUTRAJAYA: Kegiatan ajaran sesat Islam Jamaah (IJ) yang antaranya menghalalkan tulang babi dimakan dikesan bergerak semula di negara ini selepas penahanan 21 pengikutnya selepas mereka melakukan solat Jumaat di surau tanpa tauliah di Sungai Tangkas, dekat Kajang, semalam.
Kegiatan ajaran sesat yang dipercayai didalangi lelaki warga Indonesia itu menjadikan surau berkenaan sebagai markas sejak beberapa bulan lalu sebelum diserbu sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kira-kira jam 1.40 tengah hari.
Sebelum serbuan, beberapa penguat kuasa Jais menyelinap ke dalam kumpulan terbabit yang taksub mendengar khutbah dalam bahasa Arab yang disampaikan lelaki itu.

Selepas mereka selesai bersolat, penguat kuasa Jais mengepung surau itu dan menahan 21 pengikut kumpulan itu yang turut membabitkan beberapa wanita.



Mereka yang berusia antara 20-an hingga 50-an, sebahagiannya ditahan di dalam sebuah rumah berhampiran surau itu dan kebanyakan mereka warga Indonesia.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamed Khusrin Munawi, berkata ajaran sesat IJ sudah diwartakan haram sejak 1980-an selepas ia didapati bertentangan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini.

Menurutnya, ajaran itu dibawa dari Indonesia dan disebarkan di kalangan penduduk tempatan yang terpedaya kerana ingin menggunakan jalan singkat bagi mendekatkan diri dengan Allah.

“Antara kepercayaan pengikut kumpulan itu ialah tulang babi halal dimakan, yang haram daging babi saja. Jelas pegangan ini bertentangan dengan ajaran Islam sebenar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, serbuan semalam dilakukan pihaknya selepas siasatan dan pemantauan Jais mendapati kumpulan ajaran sesat itu cuba mengembangkan ajaran mereka bukan saja di kalangan pendatang Indonesia, tetapi juga kepada penduduk tempatan.

Menurutnya, tindakan pengikut ajaran itu yang mengadakan solat Jumaat dengan jumlah makmum hanya 20 orang satu lagi bukti kesesatan mereka.

Selain itu, kata Khusrin, satu lagi kesalahan mereka yang jelas ialah melakukan solat Jumaat di surau yang tidak pernah diberikan tauliah oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan menjadikan surau itu sebagai markas menyebarkan ajaran sesat terbabit.

“Jais serius untuk memastikan ajaran sesat terbabit tidak terus berkembang. Sebab itu kami menempatkan ‘orang kita’ dalam kumpulan itu ketika mereka melakukan solat Jumaat tadi (semalam).

“Dengan tindakan itu, Jais berharap dapat memiliki bukti kukuh, malah selepas ditahan semua mereka dibawa ke Mahkamah Syariah Kajang untuk didakwa atas kesalahan menjadi pengikut ajaran yang difatwakan sesat,” katanya.

Sementara itu, portal e-Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan antara penyelewengan pengikut IJ ialah mendakwa kumpulan mereka saja mengamalkan cara Islam sebenar manakala bukan ahli dianggap kafir.

Pengikutnya juga dibenarkan melakukan solat Jumaat di rumah, menganggap lelaki dan perempuan ajnabi tidak batal wuduk jika bersentuhan, selain mengeluarkan hukum binatang yang mati di perkampungan orang Islam tidak perlu disembelih dan halal dimakan.

Remaja khalwat hisap syabu

MELAKA: Sepasang kekasih bukan saja menjadikan bilik hotel bajet yang disewa sebagai tempat melampiaskan nafsu, malah dipercayai turut menjadikannya sebagai tempat melepaskan gian untuk menghisap syabu.
Ini berikutan pasangan kekasih ditahan ketika ‘lalok’ menerusi operasi sepasukan polis ke atas sebuah hotel di Bandar Hilir, dekat sini, kira-kira jam 11.30 malam pada Rabu lalu.

Difahamkan, ujian air kencing terhadap kedua-dua pasangan itu yang membabitkan remaja perempuan berusia 18 tahun dan lelaki berusia 21 tahun didapati positif syabu, malah pemeriksaan lanjut polis menemui syabu pada lelaki terbabit.

Remaja perempuan terbabit kemudian diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) selepas reman ke atasnya selesai dan disabitkan dengan kesalahan berkhalwat dengan kekasihnya.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agamanya, Rahimin Bani, berkata berdasarkan siasatan, pasangan terbabit mendakwa memasuki bilik itu beberapa jam sebelum diserbu polis.

Katanya, ketika ditahan hanya pasangan terbabit berada di dalam bilik berkenaan dan polis menjalankan pemeriksaan terhadap mereka.

“Pasangan terbabit berdua-duaan di dalam bilik berkenaan dan dipercayai melakukan maksiat. Mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan gadis itu diserahkan kepada Jaim hari ini (semalam), manakala lelaki terbabit masih direman,” katanya di sini, semalam.

Rahimin berkata, pasangan terbabit berkenalan sejak beberapa tahun lalu dan sebelum ini gadis terbabit mengakui pernah beberapa kali ke rumah teman lelakinya itu.

Katanya, dia menjadikan bilik di rumah lelaki terbabit sebagai tempat melakukan maksiat, tetapi mereka tidak melakukan lagi di situ kerana beberapa kali diserbu penduduk kampung.

“Ketika ini, pihak Jaim mengambil keterangan gadis itu serta lelaki terbabit selepas dia akan diserahkan nanti.

“Pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan muhrim dengan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

36 pelombong terperangkap di New Zealand

WELLINGTON: Kira-kira 36 pelombong arang batu hilang selepas sebuah lombong di pantai barat New Zealand meletup, semalam.
Letupan di lombong arang batu Pike River di pantai barat, Pulau Selatan itu berlaku sebelum jam 4.00 petang (11 pagi waktu Malaysia). Dua pelombong terselamat tetapi usaha menghubungi yang lain tidak berjaya setakat ini, kata ketua eksekutif syarikat perlombongan berkenaan.

Pihak polis berkata, pasukan penyelamat berada di tempat kejadian tetapi tidak dapat turun ke bawah kerana bekalan elektrik yang disalurkan ke sistem pengudaraan terputus akibat letupan itu.

“Terdapat letupan tetapi tidak diketahui puncanya. Pasukan penyelamat tidak dapat turun kerana mengundang risiko kepada mangsa yang terperangkap,” kata jurucakap polis, Barbara Dunn. - AFP

Amah Indonesia dibunuh majikan Saudi

JAKARTA: Indonesia mendesak kerajaan Arab Saudi menyiasat laporan penemuan mayat seorang pembantu rumah di tempat pembuangan sampah, kes kedua penderaan pekerja negara itu di Arab Saudi minggu ini.
Menteri Buruh, Muhaimin Iskandar berkata, petugas kedutaan negara itu di Riyadh dihantar ke bandar Abha untuk mengumpulkan maklumat mengenai kematian Kikim Komalasari, 36, yang didakwa dibunuh majikannya.
Menurut laporan, leher mangsa dikelar dan terdapat kecederaan di seluruh tubuhnya.

Penemuan mayat itu diumumkan ketika pegawai Indonesia berlepas ke Arab Saudi untuk mendapatkan keadilan bagi seorang lagi warganya, Sumiati binti Salan Mustapa. - Agensi

Pemandu lori nyaris maut

SEREMBAN: Seorang pemandu lori nyaris maut apabila lori dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 21 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) berdekatan Mantin, di sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, pemandu berusia 40-an yang memandu sebuah lori muatan kecil secara bersendirian itu datang dari arah bandar ini menuju ke Kajang, Selangor.

Mangsa dikatakan menghantar bekalan barangan keperluan antaranya susu, beras, gula dan sabun.

Majikan mangsa berusia 30-an yang enggan dikenali berkata, lori berkenaan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbalik di lokasi kejadian.

“Keadaan itu menyebabkan hampir keseluruhan muatan bertaburan atas jalan, manakala bahagian belakang lori iaitu kayu penghadang turut tercabut.

“Mangsa bagaimanapun hanya cedera ringan pada tangan dan kepala,” katanya.

Menurutnya, mangsa dikejarkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan lanjut.

Tinjauan Harian Metro mendapati selain kerja menunda lori itu dilakukan, ada orang awam mengambil kesempatan mengutip barangan yang bertaburan di kawasan terbabit.

Dua lelaki cedera ditembak pembonceng



27/11/2010 2:48am

KUALA LUMPUR – Dua lelaki cedera ditembak seorang pembonceng motosikal di hadapan sebuah kedai pajak gadai di Bandar Baru Sungai Buloh semalam.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mamah berkata, ketika kejadian tersebut pada kira-kira 5.35 petang, seorang lelaki yang memakai helmet telah turun dari motosikal dan melepaskan tembakan terhadap kedua-dua lelaki yang sedang duduk di hadapan kedai pajak gadai itu.
"Akibat daripada tembakan tersebut kedua-dua mangsa yang berusia 25 dan 28 tahun telah mengalami kecederaan di kaki kiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.
Omar berkata, mereka dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapat rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.
Katanya, polis menemui lima kelongsong peluru yang dipercayai telah digunakan semasa kejadian itu dan kini sedang memburu penunggang dan pembonceng motosikal itu. – Bernama

Guna pendaftaran palsu untuk ceroboh



27/11/2010 1:31pm

SANDAKAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan taktik nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan mengecat rumah kemudi kapal mereka mengikut warna pendaftaran kapal nelayan tempatan ketika menceroboh masuk menangkap ikan di perairan negara.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish berkata, kapal nelayan asing dari negara jiran menggunakan taktik itu bagi mengelirukan dan mengelak diperiksa oleh pihak berkuasa Malaysia.
Katanya, APMM mengenal pasti taktik yang digunakan oleh kapal nelayan asing itu dalam beberapa operasi sebelum ini dan memantaunya melalui pemeriksaan terhadap mana-mana kapal nelayan yang menangkap ikan di kawasan laut dalam khususnya di kawasan perairan sempadan negara.
"Pembangunan perikanan laut dalam di negara ini mampu menjanjikan hasil tangkapan yang banyak dan ini menarik perhatian kapal asing dari negara jiran menceroboh perairan negara kita.
"Kami giat berusaha untuk mengekang aktiviti kapal nelayan asing supaya tidak terus menular kerana kegiatan mereka mampu menjejaskan hasil tangkapan nelayan tempatan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Gerak Saraf Jiwa Murni di Kampung Air di sini hari ini. – Bernama

Tiga maut dalam kemalangan berasingan di Kuala Terengganu


KUALA TERENGGANU, 27 Nov (Bernama) -- Dua penunggang motosikal dan seorang pejalan kaki maut dalam kemalangan berasingan dalam tempoh 24 jam di sini.

Penunggang motosikal yang terbunuh ialah Mohd Saiful Azhar Wahab, 28, dari Kampung Atas Tol dan Zaid Ngah, 46, dari Kampung Jeram, Tepoh manakala pejalan kaki yang maut ialah seorang wanita warga emas Kalsom Chik, 68, dari Kampung Padang Hiliran, Bukit Kecil.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin berkata dalam kejadian pertama yang berlaku di Kampung Atas Tol, Mohd Saiful Azhar bertembung dengan sebuah motosikal lain yang keluar dari simpang kanan jalan, ketika dalam perjalanan ke Kampung Buluh Gading pada kira-kira 9.15 malam.

Beliau berkata Mohd Saiful cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal yang turut terlibat dalam nahas itu cedera ringan.

Zaid pula cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Tuanku Mizan di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal di sini pada 2.45 pagi, dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada kira-kira 10 malam tadi.

Sementara itu, Kalsom meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah van di Jalan Tuanku Mizan pada 8.40 pagi ini.

Ketika kejadian, Zamri berkata mangsa sedang melintas jalan untuk membeli roti di sebuah stesen minyak di seberang jalan berkenaan.

2 penyeludup lari elak ditangkap




PADANG BESAR – Cubaan dua penyeludup untuk membawa masuk 38 kambing jantan melalui pintu masuk sempadan Padang Besar – Thailand di sini, gagal apabila sepasukan anggota Pos Simpang Lima Rejimen Sempadan yang sedang mengadakan rondaan terserempak dengan mereka. 

Malah kesemua kambing turut dipasangkan tag kuarantin palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa tempatan. 

Ketua Kompeni B, Batalion 5 RS, Mejar Norawze Che Sidek berkata, rondaan yang diketuai Kapten Nasip Mirol terserempak dengan dua penyeludup berkenaan pada jam 4 petang kelmarin. Namun, pihaknya tidak dapat memberkas penyeludup berkenaan kerana mereka sempat melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran. 

Menurutnya, dua penyeludup berkenaan dipercayai menyeludup kambing berkenaan untuk dijual terus ke pasaran tempatan tanpa menjalani tempoh kuarantin terlebih dahulu. 

“Penggunaan tag pada kambing berkenaan hanya boleh didapati selepas haiwan ternakan berada dalam tempoh kuarantin yang sudah ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar Negeri (JPHV). 

“Taktik samaran tag palsu yang dipasang pada telinga kambing berkenaan dikesan sudah lama dipraktikkan terutama dalam kalangan sindiket di sekitar kawasan sempadan di sini. 

“Tag berkenaan dipercayai dipasang sebelum ternakan dibawa masuk melepasi sempadan, seolah-olah kemasukannya mengikuti prosedur ditetapkan, sekali gus berpotensi menjadi samaran untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui berhampiran dengan garisan sempadan Padang Besar – Thailand. 

Berdasarkan maklumat, tag berkenaan kebiasaannya digunakan untuk mengesahkan ternakan dibawa masuk ke negara ini melalui laluan sah, termasuk melepasi tempoh kuarantin ditetapkan JPHV. 

Namun, pihak Veterinar negeri yakin tag yang digunakan itu palsu dan semua 38 kambing yang dirampas akan diserahkan kepada pihak JPHV negeri untuk tindakan lanjut. 

Sementara itu, Ketua Pos Simpang 5 RS, Kapten Nasip Miros berkata, semua kambing baka terbabit ditemui di kawasan cerun bukit kira-kira 100 meter dari garisan sempadan, petang kelmarin. 

“Ketika ditemui, dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an dilihat sedang asyik memandu arah kambing terbabit di kawasan cerun berkenaan sebelum melarikan diri, selepas menyedari kehadiran anggota bertugas. 

“Berdasarkan maklumat, semua kambing terbabit dikatakan bernilai antara RM300 dan RM400 setiap seekor. Bagaimanapun, harganya dikatakan mampu mencecah sehingga RM700 seekor di pasaran tempatan,” katanya. 

Difahamkan, kawasan berkenaan sebelum ini dikawal Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), namun kini diambil alih Batalion 5 RS yang berpangkalan di Bukit Kayu Hitam, Kedah secara rasmi bermula 15 November lalu. 

“Kami yakin kawasan hutan berbukit ini sering menjadi laluan penyeludup memandangkan sempadannya tidak dilengkapi pagar dan ini membolehkan penyeludup keluar masuk dengan mudah. 

“Walaupun baru mengambil alih tugas mengawal sempadan, anggota RS sentiasa bersiap sedia untuk menjalankan tugas pemantauan bagi memastikan laluan terbabit selamat,” katanya.

Lelaki bunuh rakan dipenjara 12 tahun



KANGAR - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah kerana menyebabkan kematian seorang rakan di tepi Lebuhraya Changloon - Kuala Perlis, di Ulu Pauh, di sini, pada Mei tahun lalu. 

Tertuduh yang berketurunan Siam, Phanomphon Keawnuprasit, 19, semalam dijatuhkan hukuman itu oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab selepas mengambil kira keseimbangan faktor mitigasi dan kepentingan awam dalam kes berkenaan. 

Mohd Zaki ketika membacakan keputusan berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh amat berat dan kepentingan awam juga menuntut agar hukuman berat dikenakan ke atasnya mengikut peruntukan Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. 

“Selepas mempertimbangkan beberapa faktor dan hujah dalam kes serta perbicaraan, saya memutuskan hukuman 12 tahun penjara ke atas tertuduh bermula tarikh tangkapan,” katanya ketika ditemu kepada Sinar Harian. 

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya kes, Azman Abu Hassan, memohon mahkamah menetapkan hukuman maksimum mengikut peruntukan Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu penjara 30 tahun. 

Azman berbuat demikian selepas mengambil kira tahap keseriusan kes kerana tertuduh menyebabkan kematian mangsa, Careek Charol @ Endin Charol, 29 yang mempunyai isteri dan dua anak orang yang masih kecil. 

Sebelum ini, Phanomphon anak bongsu daripada lima beradik dan berasal dari Kampung Panggas, Chuping, dituduh menyebabkan kematian Careek dalam satu pergaduhan membabitkan sembilan individu di tepi Lebuhraya Changloon - Kuala Perlis, berhampiran Ulu Pauh, antara jam 1.30 dan 1.50 pagi, pada 9 Mei 2009. 

Dia yang diwakili Peguam Jamil Mohamed Shafie, dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Penunggang motosikal maut



SEREMBAN - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Batu 10, Jalan Seremban-Jelebu, berhampiran Bukit Tangga dekat sini, kira-kira jam 11 malam, kelmarin. 

Jurucakap polis berkata, mangsa, Ruzailey :Samsu�ddin, 33, menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Jelebu ke Seremban sebelum dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit di lokasi kejadian. 

"Motosikal mangsa seterusnya dikatakan melanggar bahagian tepi kanan sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah :bertenta�ngan. 

"Kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai meninggal di tempat kejadian berikutan cedera parah pada kepala,” katanya, di sini, semalam. 

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, dekat sini untuk bedah siasat. 

Bagaimanapun, beliau berkata, seorang lelaki berumur sekitar 40-an yang memandu Proton Wira terbabit tidak cedera dan beberapa ahli keluarganya dalam kenderaan sama juga selamat. 

"Lelaki berkenaan membuat laporan polis sejurus selepas kejadian dan keterangannya telah diambil untuk membantu siasatan. 

"Punca sebenar kemalangan masih disiasat dan saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Inspektor Mohd Taufiq Abd Samad menerusi talian 06-603 3394 atau balai polis berdekatan,” katanya.

Air naik mendadak



KUALA KRAU - Sebanyak 23 rumah di Felda Jenderak Utara dinaiki air kira-kira jam 12 tengah malam, Khamis lalu akibat hujan lebat selama dua jam tanpa henti menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda. 

Manakala di Kampung Paya Luas, sebanyak sembilan rumah dinaiki air termasuk sebuah dewan orang ramai dan laluan utama namun kenderaan masih boleh melalui jalan itu. 

Perkampungan Orang Asli, Kampung Paya Mendoi pula terputus hubungan kerana air naik secara mendadak namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. 

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, keadaan yang berlaku di Felda Jenderak Utara hanya banjir kilat dan tiada mangsa dipindahkan kerana air naik beberapa jam sahaja. 

Menurutnya, kejadian banjir di Kampung Paya Mendoi menyebabkan tiga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terkandas namun pihak polis pantas membawa mereka keluar untuk menduduki peperiksaan penting itu. 

“Tiada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan dalam kejadian banjir yang melanda ketiga-tiga kampung ini namun sembilan mangsa di Kampung Paya Luas terpaksa memindahkan barangan kepunyaan mereka. 

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kita harap penduduk mengambil langkah berjaga-jaga kerana musim tengkujuh sudah tiba,” katanya ketika meninjau keadaan mangsa banjir di Kampung Paya Luas. 

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Suprintendan Zundin Mahmood; Penghulu Mukim Jenderak, Zainal Azman Bidin; Jabatan Kebajikan Masyarakat Temerloh dan wakil Pegawai Daerah Temerloh. 

Ditanya mengenai persediaan menghadapi musim tengkujuh, Mohd Nor berkata, pihaknya bersama agensi keselamatan lain kini bersiap sedia menghadapi banjir untuk membantu penduduk terbabit. 

Menurutnya, penduduk terutama di kawasan yang jauh dari bandar Temerloh perlu merujuk balai polis berhampiran jika terdapat sebarang kemungkinan berhadapan dengan banjir. 

“Saya minta ibu bapa memantau anak masing-masing terutama pada musim cuti sekolah ini. Jangan biarkan anak-anak bermain atau mandi-manda di sungai kerana paras air kini sangat dalam,” katanya. 

8 junior ceroboh rumah penduduk



KUANTAN - Lapan kanak-kanak termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan polis selepas menceroboh masuk dan menjadikan sebuah rumah yang ditinggalkan penghuninya di Kampung Sungai Temau, dekat Lipis, sebagai tempat melepak sejak beberapa hari lalu. 

Kanak-kanak berusia antara 7 hingga 15 tahun dipercayai anak penduduk tempatan di situ bukan sahaja merosakkan barang-barang dalam rumah tersebut malah turut mencuri beberapa barangan elektrik membabitkan nilai kerugian ditanggung pemiliknya kira-kira RM2,500. 

Mereka juga menjadikan kediaman milik lelaki berusia 33 itu sebagai rumah sendiri apabila sempat memasak makanan dan menjamu selera berikutan penemuan nasi goreng dan udang goreng dalam bekas atas dapur rumah terbabit. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Siasatan dan Perundangan) Superintendan Mohd Haris Daud berkata, kehadiran kanak-kanak tanpa ditemani orang dewasa di rumah itu menimbulkan tanda-tanya seorang jiran selepas menyedari mereka mula berkampung di situ sejak bermulanya cuti sekolah beberapa hari lalu. 

Menurutnya, curiga dengan tetamu misteri itu, jiran terbabit menghubungi pemiliknya yang kebetulan berada di Kuala Lumpur, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin. 

“Pemilik rumah menghubungi bapanya yang diamanahkan untuk menjaga rumah itu untuk menyiasat perkara sebenar kerana bimbang barang-barang berharga yang ada di dalamnya lesap dilarikan. 

“Ketika bapa pemilik rumah itu tiba, dia ternampak beberapa orang kanak-kanak berada dalam rumah anaknya lalu bertindak mengunci pintu dari luar dan menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam. 

Mohd Haris berkata, polis yang tiba selepas dihubungi menahan kanak-kanak terbabit untuk siasatan lanjut bagaimanapun mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selepas siasatan siap dijalankan. 

“Hasil pemeriksaan ke atas rumah itu mendapati premis tersebut dijadikan ’port’ kanak-kanak terbabit untuk melepak dan bermain memandangkan banyak barang mainan dipercayai milik mereka ditemui termasuk senjata mainan dan kereta kawalan jauh. 

“Beberapa barangan dalam rumah terbabit juga dirosakkan manakala beberapa barangan elektrik lesap dilarikan,” katanya. 

Beliau berkata, rumah mangsa juga berada dalam keadaan berselerak dan dipercayai dicerobohi sejak beberapa hari lalu sebelum perbuatan mereka disedari jiran.

Padah lari daripada polis




JERTIH – Seorang pemuda yang cuba melarikan diri daripada polis cedera apabila motosikal yang dinaikinya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kampung Kubang Depu, dekat Jertih. 

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa yang berumur 20 tahun cedera di kepala manakala rakannya yang membonceng tidak mengalami kecederaan. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, ketika kejadian, lelaki berkenaan bersama sekumpulan penunggang motosikal berada di sebatang jalan di kampung itu. 

Menurutnya, mereka dipercayai terdiri daripada golongan mat rempit yang berkumpul untuk menjalankan kegiatan lumba haram dan mengganggu pengguna jalan raya lain di kawasan itu. 

“Terdahulu, sebelum itu, pada jam 6.30 petang hari yang sama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut menerima maklumat daripada orang ramai memberitahu terdapat sekumpulan penunggang motosikal di kawasan tersebut. 

“Bertindak atas maklumat itu, sebuah kereta peronda polis dihantar membuat tinjauan di kawasan berkenaan,” katanya. 

Kamaruddin berkata, menyedari kehadiran polis, semua penunggang motosikal itu berpecah dan melarikan diri. 

Beliau berkata, kereta peronda polis bertindak mengekori salah sebuah motosikal tersebut sambil memberi amaran supaya berhenti namun tidak diendahkan sebaliknya memecut laju dari arah Kampung Kubang Debu ke Kampung Cherang Meliling. 

“Bagaimanapun, motosikal yang dinaiki lelaki berasal dari Kampung Pulau Panjang, Jertih itu terbabas. Dia yang cedera dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan,” katanya. 

Kejadian ini disiasat mengikut Seksyen 42 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan kerana menunggang secara berbahaya. 

Kata Kamaruddin, penunggang motosikal diingatkan sentiasa mematuhi arahan polis dan tindakan melarikan diri akan membahayakan diri sendiri. 

“Polis akan bertindak dengan cara paling munasabah serta menggunakan kekerasan yang paling minimum jika ada yang cuba melarikan diri,” katanya.

Pacuan empat roda rempuh kedai



GUA MUSANG – Peniaga kedai makan bersebelahan Stesen Minyak Shell Gua Musang di sini, kerugian kira-kira RM10,000 apabila kedai makannya dirempuh pacuan empat roda tanpa pemandu 12 malam, semalam. 

Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian pemandu pacuan empat roda seorang lelaki berketurunan Cina berusia lingkungan 40-an meninggalkan kenderaannya tanpa mematikan enjinnya. 

Tidak lama kemudian, kenderaan tersebut dilihat menuruni bukit, lalu melanggar Perodua Kancil diletakkan di tepi jalan sebelum rempuh kedai makan itu. 

Pemiliknya, Mohd Fahmi Nordin, 23, berkata, ketika itu kedai makannya ditutup dan dia berada di kediamannnya di Taman Wangi kerana bercuti dua hari sempena perkahwinan abangnya. 

Mohd Fahmi berkata, dia merancang untuk memulakan semula perniagaannya semalam tetapi terpaksa menangguhkannya akibat kejadian tersebut. 

“Hasrat untuk memulakan perniagaan esok terpaksa dibatalkan akibat kerosakan teruk pada bahagian hadapan kedai. 

“Kerusi, meja banyak yang rosak, begitu juga pendawaian perlu dibuat baru dan dianggarkan mengambil masa untuk disiapkan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Mohd Fahmi berkata, walaupun berdepan kerugian, tetapi dia bersyukur kerana tidak ada yang cedera. 

Menurutnya, kejadian semalam merupakan kemalangan kedua berlaku di kedai makannya. 

“Walau pun berdepan kerugian agak besar kerana terpaksa mengambil masa membaik pulih kedai dan bercuti bagi kerja-kerja pembaikan, saya tetap bersyukur kerana kejadian berlaku ketika saya tidak berniaga, kalau tidak, mungkin ada akan cedera. 

“Kejadian pertama berlaku beberapa tahun lalu melibatkan kerugian kira-kira RM5,000 apabila kedai dirempuh kereta Wira juga tanpa pemandu,” katanya.

Amah Indonesia diperkosa sampai hilang ingatan






GAMBAR yang disiarkan akhbar Jawa Pos menunjukkan Nina (kanan) yang hilang ingatan akibat diperkosa dua majikannya di Jeddah, Arab Saudi.



KANDARA, Arab Saudi – Seorang pembantu rumah Indonesia hilang ingatan selepas dia berulang kali diseksa dan dirogol dua majikannya di Arab Saudi, lapor sebuah akhbar semalam. Menurut akhbar Jawa Pos, dia ditemui oleh beberapa amah Indonesia lain dalam keadaan menyedihkan di sebuah jambatan di sini, Jeddah.
Nasib malang yang menimpa pembantu rumah itu dikenali sebagai Nina berumur dalam lingkungan 20-an dan berasal dari Karawang, Jawa Barat, diceritakan oleh sekumpulan amah Indonesia yang tinggal di bawah jambatan Kandara kepada seorang wartawan akhbar Jawa Pos.
Jambatan tersebut menjadi tempat tinggal amah-amah Indonesia yang senasib dengan Nina.
Menurut seorang amah di jambatan itu, Hani Marsiana, Nina ditemui dua minggu lalu dalam keadaan tidak bermaya dengan tubuhnya mempunyai kesan dipukul.
Hani berkata, Nina ditemui oleh beberapa amah Indonesia yang tinggal di bawah jambatan dan mereka merawatnya sehingga dia kembali waras tapi masih trauma dengan kejadian menimpanya.
Menurutnya, selepas badannya mula bergerak dan mampu duduk, amah-amah Indonesia lain mula bertanya mengenai kisah hidupnya.
Dia berkata, Nina menceritakan pada mulanya dia diperkosa oleh seorang majikan Arab menyebabkannya meninggalkan majikannya itu.
Nani kemudiannya diperkosa oleh seorang oleh warga Mesir selepas terpedaya dengan jaminannya untuk membantunya.
Hani berkata, Nani kemudiannya dibuang oleh warga mesir itu di kawasan Kandara.
“Nina ini diturunkan dari mobil (kereta) Camry oleh orang Mesir itu,” katanya.
“Kasihan sekali amah-amah di sini. Mereka tidak (diberi) gaji selama berbulan-bulan, bahkan ada yang diseksa, diperkosa dan dibuang ke jambatan Kandara,” ujar seorang lagi pembantu rumah Indonesia, Rokib. – Agensi

Empat premis judi berkomputer tidak serik diserbu empat kali


KUALA LUMPUR: Walaupun sudah empat kali diserbu sekitar dua bulan lepas, empat premis di Danau Kota Setapak di sini, masih tidak serik menjalankan kegiatan judi berkomputer.
Pegawai Turus Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 malam tadi, polis menahan 28 pelanggan lelaki berumur 22 hingga 24 tahun serta empat pekerja pusat berkenaan termasuk seorang wanita dalam lingkungan 23 hingga 24 tahun.

"Keempat-empat premis ini tidak mempunyai sebarang lesen. Ketika serbuan dilakukan pelanggan-pelanggan sedang asyik menjalankan kegiatan haram itu," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Dalam serbuan itu polis turut merampas 132 komputer dan wang tunai sebanyak RM1,904, katanya.

"Hasil pemeriksaan, kita dapati setiap premis dilengkapi dengan kamera litar tertutup, manakala pada pintu masuk premis itu mempunyai sistem kawalan yang mana pelanggan yang ingin masuk ke premis itu perlu tahu kata laluan" katanya.

Razali berkata, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun. Sementara itu, pada masa yang sama beberapa anggota polis turut menahan lima lelaki dalam lingkungan 22 hingga 24 tahun yang melakukan kegiatan haram itu di dua premis di Taman Intan Baiduri, Kepong.

Korea di ambang perang





2010/11/27

Pyongyang, Beijing beri amaran kepada Seoul, Washington elak latihan tentera sasar Korea Utara

SEOUL: Korea Utara yang melancarkan bedilan meriam berhampiran sempadan Korea Selatan Selasa lalu memberi amaran, rancangan Seoul dan Amerika Syarikat mengadakan latihan ketenteraan bersama, akan membawa Semenanjung Korea semakin hampir ke kancah peperangan. 

Selain itu, suasana terus tegang selepas China turut memberi amaran supaya Korea Selatan dan Amerika Syarikat tidak melakukan latihan di zon ekonomi eksklusif (EEZ) untuk menunjukkan kekuatan kepada sekutunya, Korea Utara.
“Kami memegang pendirian konsisten dan jelas dalam isu ini. Kami menentang mana-mana pihak melakukan tindakan ketenteraan di EEZ tanpa kebenaran,” menurut kenyataan jurucakap Kementerian Luarnya, Hong Lei.
Korea Utara yang tidak mengaku bersalah berikutan serangan ke atas Pulau Yeonpyeong wilayah Korea Selatan mengkritik ‘penjajah Amerika dan pasukan tentera boneka Korea’ dalam apa yang disifatkannya sebagai latihan yang ‘cuba mencetuskan perang’. 

“Keadaan di Semenanjung Korea semakin hampir kepada peperangan berikutan rancangan membabi-buta, pihak yang suka berperang untuk mengadakan latihan sekali lagi yang menyasarkan Korea Utara,” lapor agensi berita rasmi Korea Utara (KCNA). 

Korea Utara dalam satu kenyataan lain juga berikrar melancarkan lebih banyak serangan artileri jika Korea Selatan melakukan sebarang ‘provokasi’ lagi pada masa depan. 

Pyongyang yang menuduh Seoul melancarkan taktik konfrontasi berkata: “Korea Utara sudah bersiap sedia untuk melancarkan siri serangan dan meletupkan benteng musuh, jika mereka berani mencabar kedaulatan dan maruah kami, walaupun pada tahap paling rendah’. 
Tentera Amerika dalam kenyataannya pula berkata, latihan yang dijalankan adalah untuk pertahanan dan sudah dirancang lama sebelum serangan Korea Utara berlaku. – AFP

JAIS tumpas ajaran sesat Islam Jamaah



Oleh Sarah Sulaiman

2010/11/27

ANGGOTA penguat kuasa JAIS merampas dokumen milik kumpulan itu di Kampung Sungai Tangkas, Kajang, semalam.
ANGGOTA penguat kuasa JAIS merampas dokumen milik kumpulan itu di Kampung Sungai Tangkas, Kajang, semalam.
Kumpulan dipercayai melatih ahli ‘Skuad Berani Mati’ untuk laksana misi membunuh

BANGI: Satu kumpulan ajaran sesat yang merekrut ‘Skuad Berani Mati’ untuk sebarang urusan jihad termasuk dikatakan sanggup menjalankan kerja membunuh ditumpaskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam serbuan di sebuah surau persendirian di Kampung Sungai Tangkas, di sini semalam.

Hasil risikan teliti anggota penguat kuasa JAIS selama setahun yang turut mengikuti perkembangan pengikut amalan itu, 21 pengikut ajaran sesat Islam Jamaah, berumur 29 hingga 55 tahun yang baru selesai mengadakan ‘solat Jumaat’ di surau terbabit, diberkas semalam.
Mereka ditahan dalam serbuan di surau berkenaan yang dipercayai dijadikan markas ajaran terbabit, pada jam 12 tengahari.
Ketua Penguat Kuasa Agama Negeri Selangor, Mohamad Rais Rasid, berkata ajaran sesat itu diperkenalkan Mohd Madigol Abd Aziz yang dikenali sebagai Nurhasan Al-Ubaidah Lubisdi dari Jawa Timur, Indonesia pada 1941.

Ajaran dipercayai disebarkan di Hulu Langat oleh Abdul Wahab Jantan, 41 yang berasal dari Kajang sejak tahun 2000 di surau terbabit, yang dibina hasil kutipan yuran pengikutnya.

Bagaimanapun, Abdul Wahab gagal dikesan kerana dipercayai berada di Solo, Indonesia. Isterinya, Ramizah Shaari, 51, ketika ditemui di rumah yang terletak bersebelahan surau terbabit memberitahu suaminya itu berada di Solo atas urusan perniagaan broker. 

Mohamad Rais berkata, apa yang mengejutkan, pengikut ajaran itu melakukan beberapa penyelewengan yang memesongkan akidah termasuk perlu bai’ah iaitu sumpah taat setia kepada pengasas selain mendakwa hanya pengikut Islam Jamaah saja sebagai Islam sebenar manakala orang lain dianggap kafir. 
“Ajaran yang sudah difatwakan sebagai ajaran salah dan sesat pada 24 September 1998 itu turut menolak hukum Ijma dan Qias, najis mughallazah tidak perlu disamak serta binatang yang mati di dalam perkampungan orang Islam Jamaah tidak perlu disembelih dan halal dimakan.

“Mereka juga hanya perlu melakukan sembahyang Jumaat di rumah dengan menyatakan sembahyang Jumaat di masjid hanya adat saja, tidak perlu meletakkan al-Quran di tempat yang suci kerana tiada al-Quran yang betul di dunia dan boleh mengampunkan dosa dengan mengisi borang tebus dosa yang disahkan oleh pemimpin, ” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Operasi yang dijalankan membabitkan 34 anggota JAIS, 30 anggota polis Kajang serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) itu turut menahan orang kuat kepada pemimpinnya, Amir Herman Amirruddin yang bertindak mengimamkan solat Jumaat yang dijalankan di surau persendirian itu.

Selain mengadakan solat Jumaat di surau persendirian tanpa kebenaran mufti, kumpulan ini juga dipercayai menjalankan nikah sindiket diwalikan oleh pemimpin dengan hanya mengisi beberapa borang yang disaksikan oleh pengikutnya. 

Mohamad Rais berkata, setakat ini JAIS mengadakan kerjasama dengan pihak Imigresen bagi menahan pemimpin ajaran itu di mana-mana lapangan terbang atau laluan lain bagi mengelak berlakunya penularan semula ajaran itu di Hulu Langat.

Beliau berkata, semua pengikut ajaran sesat yang ditahan itu dibawa ke Mahkamah Syariah Hulu Langat bagi tujuan jaminan tahanan sementara dan direman sehingga Selasa ini bagi tujuan pendakwaan.