Search This Blog

Friday, November 26, 2010

8 kes H1N1 dilaporkan dari 14- 20 November



26/11/2010 3:49pm

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Rashid Shirlin hari ini mengesahkan lapan kes Influenza A (H1N1) dilaporkan dalam tempoh 14 hingga 20 November.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap perkembangan tersebut dan mengambil langkah pencegahan termasuk mengambil vaksin bagi mengelak jangkitan virus tersebut daripada merebak.
"H1N1 kini dikategorikan sebagai endemik, iaitu penyakit yang akan berterusan berlaku di kalangan masyarakat. Namun, tiada kematian dalam tempoh ini.
“Tetapi orang ramai dinasihatkan terus berwaspada dan mengamalkan langkah pencegahan walaupun jangkitan virus ini masih ditahap minimum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran dagangan sempena kongres Oral dan Pembedahan Maxillofacial (rahang atas) Asia Ke-9 (ACOMS) selama tiga hari di sini hari ini.
Katanya, selain langkah pencegahan yang telah dimaklumkan sebelum ini, orang ramai dinasihatkan mendapatkan suntikan vaksin “trivalent” di mana-mana hospital swasta berdekatan. - Bernama

Dipenjara 3 tahun kerana serang wanita



26/11/2010 5:05pm

SIBU - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang pekerja ladang warga Indonesia kerana menyerang seorang wanita, pertengahan bulan ini.
Hakim Dean Wayne Daly membuat keputusan itu selepas tertuduh, Nawa Rodding, 36, mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, mangsa Risnawati Idrus, 20, sedang membasuh kain di kuarters pekerja di Jalan Teku kira-kira 3.30 petang 18 Nov apabila Nawa tiba-tiba menyerangnya menggunakan batang besi, mengakibatkan wanita itu cedera di belakang dan kaki kirinya. - Bernama

Polis akan ambil keterangan mangsa tembak



26/11/2010 6:17pm

KUALA LUMPUR - Polis akan mengambil keterangan tiga mangsa tembak dalam kejadian rompakan di pejabat pengurup wang di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, dua hari lepas apabila mendapat kebenaran pihak hospital.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata, keterangan daripada ketiga-tiga mangsa yang kini dilaporkan stabil itu penting bagi membantu polis menjejaki penjenayah terbabit.
"Keadaan mereka kini stabil selepas pembedahan mengeluarkan peluru dilakukan... bagaimanapun kita perlu menunggu kebenaran Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengumpul keterangan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. - Bernama

Suami isteri diarah bela diri rompak kamera TV3





2010/11/26

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri pemilik restoran makanan Afrika diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan merompak dua kamera milik Stesen TV3, dua tahun lalu. 

Hakim Zainal Abidin Kamarudin membuat keputusan itu terhadap Elizabeth Sumana De Silva, 44, dan suaminya warga Nigeria, Adeyemi Rasaq Tunde, 44, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Bagi pertuduhan pertama, Silva dan Adeyemi didakwa bersama-sama lebih kurang 20 orang yang masih bebas, merompak sebuah kamera jenis Panasonic DVX 102B milik TV3 yang berada dalam kawalan jurugambar Fauzi Muin, 33.
Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu turut didakwa bersama 10 orang yang masih bebas, merompak sebuah kamera jenis Panasonic DVC PRO milik stesen itu yang berada dalam kawalan Nor Azman Jumahat, 36. 

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Menara Gading 1, Taman Connaught, Cheras, di sini pada 1.10 pagi, 15 September 2008. 

De Silva, warga Malaysia berketurunan Portugis dan Adeyemi adalah pemilik restoran makanan Afrika di Taman Connaught, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan, jika disabitkan kesalahan. 

Bagaimanapun, Zainal Abidin memerintahkan pertuduhan pertama yang dihadapi De Silva dipinda kepada Seksyen 412 Kanun Keseksaan selain memerintahnya membela diri bagi pertuduhan kedua. 
Adeyemi pula diperintah membela diri bagi pertuduhan pertama dan dilepas dan dibebaskan bagi pertuduhan kedua. 

Zainal Abidin, dalam penghakimannya, berkata pertuduhan pertama yang dihadapi De Silva dipinda kepada Seksyen 412 Kanun Keseksaan atas tuduhan memiliki barang curi kerana berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tiada seorangpun antara mereka yang melihat tertuduh merampas kamera tetapi mereka tidak menafikan tertuduh terbabit. 

"Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, terdapat kamera yang disimpan di kaunter pembayaran di restoran milik tertuduh dan tertuduh juga mengakuinya," katanya. 

Bagi pertuduhan kedua yang dihadapi De Silva, Zainal Abidin berkata, saksi pendakwaan dapat mengecam tertuduh yang merampas kamera itu ketika kejadian dan ini menunjukkan dia terbabit dalam kes tersebut. 

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, saksi pendakwaan juga dapat mengecam tertuduh kedua iaitu Adeyemi terbabit dalam kes itu manakala bagi pertuduhan kedua, Adeyemi dilepas dan dibebaskan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. 

"Tiada keterangan daripada mana-mana saksi pendakwaan yang dapat mengecam tertuduh terlibat dalam kes ini," katanya. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Asyiqin Zulkifli, yang mengemukakan seramai tujuh saksi manakala pasangan itu diwakili peguam Christopher Joseph dan Mohd Aris Abu Bakar. - BERNAMA

Pelajar kolej temui ajal dalam tandas



MASJID TANAH - Seorang pelajar Kolej Matrikulasi Londang, Melaka, ditemui meninggal dunia di dalam sebuah bilik air di bangunan asrama berkenaan, kelmarin, ketika pelajar lain sibuk mengikuti sesi pembelajaran di kelas.

Madihah Fauzi, 19, disifatkan sebagai pelajar berdisiplin dan memiliki penampilan yang bagus serta cemerlang dalam setiap pelajarannya, selain memegang jawatan Exco Pelajar.

Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar) Kolej Matrikulasi Londang, Khairuddin Norazri ketika ditemui berkata, kejadian itu pertama kali berlaku di kolej berkenaan dan ia di luar pengetahuan pihak pengurusan kolej.

"Amat mengejutkan kerana pihak kolej sebelum ini tidak pernah dimaklumkan bahawa mangsa mengalami penyakit dalaman (perut) yang kronik sehinggalah berita penemuan mayat mangsa sampai kepada pengetahuan kami.

“Dalam hal ini, pihak kolej tidak pernah abaikan kebajikan pelajar dan kami sangat terkejut dengan apa yang berlaku kerana sebelum kejadian ini, mangsa mengadu sakit perut biasa serta memaklumkan boleh mengawal diri," katanya.

Menurutnya, mangsa sememangnya ada mengadu sakit perut kepada rakannya pada malam sebelum kejadian dan memaklumkan akan ke klinik pada pagi keesokannya untuk mendapatkan rawatan.:

"Kelakuan mangsa yang bersahaja dan memperlihatkan dirinya sihat sambil membawa peralatan mandi ke bilik air meyakinkan rakan sebiliknya bahawa mangsa akan ke klinik selepas itu, namun apa yang berlaku sebaliknya.

"Kehilangan mangsa disedari beberapa pelajar yang juga rakan sebiliknya. Mangsa tidak muncul-muncul sejak pagi itu selepas ke bilik air sebelum rakannya pergi mencarinya di kawasan bilik air wanita," katanya.

Khairuddin berkata, sebaik sahaja rakannya masuk ke dalam bilik air berkenaan, mereka nampak sekujur tubuh di dalam tandas melalui bahagian bawah, dalam keadaan terbaring.

"Rakan mangsa terpaksa memecahkan pintu tandas untuk mengeluarkan mangsa yang ketika itu sudah tidak lagi bernyawa sebelum bantuan kecemasan tiba setengah jam kemudian, namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

“Pihak kami menghormati keputusan keluarga mangsa membawa pulang jenazah terus ke kampungnya di Johor Bahru tanpa dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan pihak kolej telah menguruskannya," katanya.

Seorang kontraktor diarah kembalikan RM20 ribu dalam masa 30 hari


IPOH - Seorang pensyarah, Anuar Shaari melahirkan rasa kecewa terhadap kontraktor yang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian rumah beliau kerana kerja yang dilakukan tidak siap seperti yang dijangka.

Rasa tidak puas hati ini dibawa ke Mahkamah Tribunal dan setelah mendengar keterangan kedua-dua belah pihak, presiden tribunal mengarahkan kontraktor kembalikan wang sebanyak 20 ribu kepada Anuar dalam tempoh 30 hari.

Sederet gerai papan enam pintu musnah dalam kebakaran di Tawau


TAWAU - Sederet gerai papan enam pintu musnah dalam kebakaran di Jalan Pelabuhan di tengah-tengah pusat bandar Tawau kira-kira 10.20 pagi ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Tawau Kamarudin Sabanah, ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, berkata dua jentera dengan 12 anggota dikejarkan di tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan kira-kira 10.25 pagi.

Katanya sebaik tiba, keseluruhan gerai sudah pun terbakar.

Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa kurang dari 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan yang berhampiran.

Kamarudin berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
Gerai yang dibina pada pertengahan tahun 70-an itu menyajikan pelbagai jenis makanan tempatan yang menjadi tempat tumpuan orang ramai termasuk pelawat dari negara jiran.

Seorang pekerja Norlelah Barjai, 16, yang ditemui Bernama berkata, ketika
kejadian, dia sedang menyiapkan barang-barang mentah untuk dimasak di gerai majikannya.

"Ketika asyik bekerja, saya terdengar satu letupan dari salah sebuah gerai
di situ dan apabila saya keluar menjenguk, saya lihat api telah marak dengan cepat dan terus lari menyelamatkan diri," katanya.

Polis tahan 4 lelaki curi komponen cip elektronik RM2.7 juta





2010/11/26

IPOH: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian komponen pembuat cip elektronik yang diimport dari Taiwan dan Amerika Syarikat bernilai RM2.7 juta yang dilaporkan hilang pada 12 Ogos lalu. 

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata keempat-empat lelaki berusia antara 30 hingga 36 tahun itu ditahan pada Ahad dan Isnin lalu di sekitar bandar raya ini hasil maklumat orang awam.
"Susulan tangkapan lelaki berkenaan, polis menemui semua komponen berkenaan di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Ringan, Silibin, di sini," katanya pada sidang media selepas majlis perbarisan sempena pertukaran Ketua Polis Perak, di sini hari ini.
Zulkifli akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 1 Disember ini dan tempatnya akan dipangku Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof. 

Kehilangan komponen itu dilaporkan sebuah syarikat pengangkutan di sini ketika ia dibawa sebuah treler dari Gudang Kargo KLIA di Sepang ke Ipoh. 

Zulkifli berkata, siasatan mendapati seorang lelaki, yang juga pemandu treler berkenaan, telah menggunakan salinan kad pengenalan palsu semasa memohon kerja dan bertanggungjawab membawa komponen itu ke sini. 

Beliau berkata, seorang daripada empat lelaki itu mempunyai kes membabitkan kesalahan mencuri, menipu, pecah amanah, samun dan kesalahan mengikut Akta Senjata Api (Hukuman Berat) yang dilaporkan di negeri ini, Selangor, dan Kuala Lumpur. 
Mereka ditahan reman sejak ditahan sehingga esok. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan (pecah amanah oleh pembawa barang) yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda sekiranya disabitkan kesalahan. 

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai dapat membantu kes pembunuhan seorang peguam di sini. 

Katanya, suspek berusia 35 tahun itu ditahan semalam di sebuah rumah di sini dan setakat ini tujuh suspek ditahan, katanya. 

"Suspek itu direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya. 

Pada 16 November lalu, peguam G Balasunderam, 57, diserang dua lelaki bertopeng ketika turun dari kereta di hadapan rumahnya dai Taman Desa Rishah, Buntung di sini dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada jam 9 malam hari yang sama. 

Susulan kes pembunuhan itu, polis memberkas enam lelaki berusia 21 hingga 30 tahun pada Isnin lepas di sebuah hotel di Menglembu. 

Zulkifli berkata, dengan penangkapan tujuh lelaki itu polis percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam waktu terdekat ini. - BERNAMA

Kes Siti Fairuz 13 Disember, Norish Karman 26 Januari



SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menetapkan 26 Januari tahun depan bagi kepu:tusan bantahan awal oleh Datuk Hashimuddin Abdul Kadir terhadap tuntutan hak penjagaan anak (hadanah) oleh bekas isterinya, pelakon Norish Karman.

Peguam Syarie mewakili Hashimuddin, Muhamad Burok mengesahkan kepada mahkamah pihaknya menerima hujahan balas daripada peguam Norish, Amli Embong.

Amli semalam tidak hadir ke prosiding itu kerana tidak sihat dan hanya diwakili pembantunya.

Norish atau nama sebenarnya, Nor’asikin Karman, 35, bernikah dengan Hashimuddin, 60, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 11 Januari 1998 di Perlis dan bercerai 15 Julai tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.:

Hasil pernikahan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Haqiem Armany, 9; Hardy Amieran, 5; dan Putri Hanyz Amanda, 4.

Sementara itu mahkamah sama menetapkan pada 13 Disember ini bagi kes tuntutan mutaah (sagu hati selepas perceraian) dan harta sepencarian penyanyi popular tahun 1980-an, Siti Fairuz Sheikh Mohamed, 44, terhadap bekas suaminya yang dianggarkan bernilai RM200,000.

Pada tarikh berkenaan defendan, Muhamad Zainuddin Kordi, 45, dikehendaki hadir ke mahkamah bagi tujuan pengesahan rekod penyelesaian terma perjanjian sebelum ini.

Sekiranya defendan gagal hadir maka mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu itu diwakili peguam syarie, Fakrul Azman Abu Hasan, manakala defendan diwakili peguam syarie, Wan Nureen Afiza Wan Azmi yang menyebut kes bagi pihak peguam syarie, Zuri Zabuddin.

Sebelum ini majlis sulh yang ditetapkan mahkamah gagal kerana defendan tidak hadir tanpa sebab.

Siti Fairuz memfailkan permohonan pada 26 November 2008 untuk menuntut mutaah dan harta sepencarian iaitu 10 harta alih dan tidak alih yang dibeli sepanjang tempoh perkahwinan.

Penyanyi itu bernikah dengan Mohamad Zainuddin yang bertugas sebagai pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 1988 dan dikurniakan lima anak.

Pada 14 Julai 2008, mereka sah bercerai secara taklik di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya mensabitkan taklik yang dilafazkan suaminya pada 1993.

12 pelacur China ditahan

PUCHONG: Lagi gadis genit dari China yang menjadi pelacur ditahan. Kali ini 12 gadis ditahan ketika melayan pelanggan di sebuah restoran di Pusat Perdagangan One Puchong, di sini, dalam Ops Noda, malam kelmarin.
Difahamkan, gadis terbabit akan dibayar pemilik restoran jika mampu mempengaruhi pelanggan membeli minuman keras yang mahal di restoran itu sambil melayan pelanggan terbabit.
Malah, pelanggan juga boleh membawa pulang gadis terbabit untuk melakukan hubungan seks asalkan bersetuju bayaran dikenakan.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 malam yang dilakukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Bukit Aman mendapati semua gadis terbabit yang berusia 18 hingga 30-an dan berasal dari China memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Teguk arak sejak umur 14 tahun



DUNGUN – “Saya mula mengambil minuman haram ini sejak umur 14 tahun lagi, tekanan jiwa serta masalah keluarga mendorong saya membuat keputusan itu.

"Bapa dan ibu saya, kedua-duanya penagih dadah, jadi siapa lagi yang akan membimbing saya ke arah jalan yang benar?"

Demikian pengakuan seorang gadis 18 tahun yang dicekup polis ketika berada bersama sekumpulan rakannya yang juga penagih dadah di sebuah rumah di Kampung Cacar Baru, dekat sini, awal bulan lalu.

Anak sulung daripada tiga beradik itu yang meluahkan perasaannya kepada wartawan Sinar Harian ketika ditemui di Balai Polis Paka berkata, akibat masalah keluarga, dia hilang arah dan mula terjebak dengan gejala sosial pada umur awal belasan tahun lagi.

Gadis bertubuh genit itu menceritakan, akibat masalah keluarga, dia kemudiannya mencari jalan keluar dengan melakukan aktiviti menyeronokkan bersama rakan sebaya, biarpun menyedari perbuatan itu melanggar batas agama.

“Saya mula mengambil minuman keras sejak umur 14 tahun ketika di sekolah menengah lagi, minuman itu saya beli di kedai berdekatan dan meneguknya di ceruk semak atau ketika berhibur pada malam hari di pusat hiburan berdekatan bersama rakan.

“Kalau ibu bapa saya dapat hidu tembelang saya, mungkin dia marah, tetapi mereka apa kurangnya sebab mereka juga mengambil dadah,” katanya.

Menurutnya yang hanya ingin dikenal sebagai Nadia, dia semakin hilang arah sejak bapanya meninggal dunia hampir setahun lalu, dipercayai dijangkiti HIV.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, seks bebas dan minuman keras serta dadah yang diambilnya sekali-sekala merupakan perkara biasa baginya, apatah lagi kebanyakan rakannya penagih yang mengamalkan gaya hidup serupa.

“Sejak bapa saya meninggal November tahun lalu, ibu saya yang juga bekas Orang Dalam Pengawasan Polis kerana terbabit dengan kesalahan dadah terpaksa menyara keluarga dengan bekerja di pusat karaoke.

“Jika saya ingin kembali ke pangkal jalan, siapa yang akan membimbing saya? Semua memandang rendah pada saya, sebab itu saya makin hanyut," katanya.

Bagaimanapun dia yang pernah ditahan polis beberapa kali sebelum ini dipercayai kerana kesalahan dadah masih belum meninggalkan tabiat buruk itu.

Kali terakhir dia ditahan bersama beberapa lagi rakannya yang lain dalam serbuan polis berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka, dekat sini, ialah petang kelmarin.

Hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methapethamine dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang mengesahkan tangkapan terbabit berkata, pihaknya kini giat memburu individu yang disyaki terlibat dengan pengedaran atau pengambilan dadah.

“Kejayaan tangkapan serta rampasan barang kes berkaitan dadah menggambarkan kita benar-benar serius menguatkuasakan undang-undang menangani gejala yang semakin menular dalam kehidupan masyarakat hari ini,” katanya

Bunyi kuat kejut peniaga



GUA MUSANG – “Terkejut dan panik,” itu reaksi peniaga bersebelahan kedai makan yang menjadi mangsa rempuhan pacuan empat roda malam kelmarin, berdekatan Stesen Minyak Shell, di sini.

Ketika kejadian kira-kira jam 12 malam itu, peniaga tersebut, Rahana Talib, 43, berkata, dia sedang duduk di depan kedainya sambil mengupas bawang sebagai persediaan untuk berniaga.

“Saya melihat sebuah pacuan empat roda tanpa pemandu menuruni bukit lalu merempuh kereta kancil dan kedai sebelah sebelum berhenti di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Rahana berkata, itu merupakan kejadian kedua berlaku di kedai terbabit dan bersyukur tiada yang cedera.

“Kejadian pertama saya hanya mendengar cerita kerana tiada di tempat kejadian.

“Tetapi semalam, saya benar-benar terkejut apabila melihat kejadian berlaku di depan mata,” katanya.

Menurutnya, dia hanya menanggung kerugian kecil akibat kejadian itu.

Misteri bau busuk terjawab



SUBANG JAYA – Tanda tanya seorang isteri yang pelik panggilannya ke telefon bimbit suami tidak berjawab berakhir dengan kesedihan apabila suaminya itu ditemui di sebuah rumah pangsa kos rendah di SS19, di sini, petang semalam.

Mangsa, M Suhaili Shamsudin Abu Bakar, 30, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tinggal berseorangan di rumah dipercayai disewa selepas isterinya pulang ke kampung selepas melahirkan anak sulung mereka seminggu sebelum Aidiladha lalu.

Sinar Harian dimaklumkan, isteri mangsa yang risau beberapa panggilan terhadap kedua-dua nombor telefon milik suaminya tidak dijawab, bertindak menghubungi penyelia di tempat suaminya bekerja.

Sumber berkata, penyelia yang kemudian mendapati mangsa tidak hadir bekerja seperti biasa berkunjung ke rumahnya untuk mengetahui apa yang berlaku.

Katanya, penyelia itu memaklumkan curiga selepas terhidu bau busuk dari luar rumah mangsa sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sepasukan polis tiba di tempat kejadian dan pemeriksaan dijalankan menemukan mayat mangsa tanpa pakaian di bilik belakang kediamannya di Tingkat 3 rumah pangsa berkenaan.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari yang lalu berdasarkan keadaan mayat ketika ditemui,” katanya yang memaklumkan mangsa pernah menghubungi seorang rakannya 22 November lalu dan mengadu sakit dada.

Jiran mangsa, Nik Marhahliza Nik Mohamad, 35 berkata, dia ada terhidu bau busuk dari rumah itu pagi semalam namun tidak menyangka ada apa-apa keadaan yang mencurigakan.

“Sudah beberapa hari saya tidak ternampak kelibat lelaki itu sejak isterinya pulang ke kampung.

“Tetapi sebelum itu, saya sempat bersembang dengan isterinya yang memaklumkan terpaksa pulang ke kampung kerana anaknya yang baru dilahirkan menghidap sakit kuning,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kematian mangsa dan dia dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Kejadian disedari pe- nyelia tempat mangsa bekerja kira-kira jam 3.30 petang yang kemudian memaklumkan kepada pihak polis berhubung perkara itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya.

Wanita dipijak peragut



TAMAN SRI PUTRI – Seorang wanita dipijak peragut kejam yang berang apabila habuan beg tangan milik wanita itu gagal diperoleh dalam kejadian kira-kira jam 2 petang berhampiran Jalan Sri Putri 6/1 berdekatan Tadika Kemas di sini, Selasa lalu.

Wanita terbabit Siti Zaleha Ngadimin, 46 berkata, ketika kejadian beliau sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah setelah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

“Ketika itu saya baru lepas turun dari bas di hadapan masjid berhampiran dan terus berjalan kaki menuju ke rumah.

“Saya tidak dengar sebarang bunyi enjin kenderaan dan terkejut tiba-tiba beg ta�ngan diragut dari arah belakang oleh seorang penunggang motosikal,” katanya ketika ditemui.

Dalam kejadian itu, dia turut jatuh dan terseret kira-kira satu meter apabila cuba bertahan agar begnya tidak diragut sehingga menyebabkan motor peragut berkenaan turut terjatuh sama.

“Peragut itu hanya berseorangan dan turut terjatuh apabila beg saya gagal diragutnya. Namun kemudiannya dia segera menghampiri saya untuk mengambil beg sekali lagi.

“Saya nekad mempertahankan diri dan mengelakkan beg diambil kerana terdapat dokumen penting di dalamnya, sambil menjerit meminta pertolongan,” katanya.

Katanya, orang ramai dari kawasan perumahan berhampiran yang terdengar jeritannya segera datang ke tempat kejadian untuk membantunya, namun gagal menjejaki peragut yang sempat melarikan diri.

“Peragut berkenaan sempat memijak perut saya apabila mendapati orang ramai telah menyedari kejadian itu sebelum melarikan diri bersama motosikalnya.

“Sehingga sekarang kesakitannya masih terasa, tambahan pula saya pernah menjalani pembedahan di perut sebelum ini. Malah saya masih tidak dapat berjalan dengan baik setelah cedera akibat kejadian itu,” katanya.

Siti Zaleha yang trauma dengan kejadian itu terpaksa diberikan suntikan bagi mengurangkan kesakitan yang dialami dan turut dinasihatkan agar mendapatkan rawatan susulan.

“Doktor maklumkan tisu-tisu di bahagian perut saya rosak akibat dipijak dan peristiwa itu menyebabkan saya trauma untuk tinggal seorang diri di rumah kerana sering terbayang kejadian yang berlaku.

“Mujurlah saya dapat menumpang di rumah kakak yang kebetulan tinggal di Bandar Putra sehingga suami pulang dari kursus beberapa hari lagi,” katanya.

Katanya, dia juga dapat mengecam wajah peragut berkenaan yang dipercayai berada dalam lingkungan umur 20-an hingga 30-an dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku.

Lemas disangka gurauan




TANJUNG KLING - Kegembiraan enam rakan sekampung dari Batu 9, Air Salak, Bukit Rambai, untuk mandi laut berakhir duka apabila salah seorang daripada mereka lemas, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Tan Kee Chuan, 15, lemas walaupun cuba diselamatkan rakannya, Heng Kim Hai, 36; Denis Sia, 16; Daniel Ng, 18; Denis Heng, 15, dan Ong Shee Leong, 15.

Kim Hai berkata, sebelum kejadian mangsa menelefonnya, mengajaknya bersama empat lagi rakan yang lain mandi bersama di laut berhampi�ran Kondominium Ocean Palms, di sini.

Menurutnya, ketika sampai di pantai, dia dan empat rakannya melihat mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah (SM) Gajah Berang mandi seorang diri.

“Sebelum menyedari dia lemas, kami yang hanya duduk di pantai melihat dia mandi. Kemudian dia terkapai-kapai dan menjerit meminta tolong.

“Pada mula kami menyangka dia hanya bergurau lemas untuk ‘memancing’ kami mandi bersama tetapi lama-kelamaan kami hanya nampak bahagian kepala dia sahaja dan ketika itu baru sedar, dia benar-benar lemas,” katanya ketika ditemui di Pantai Batu 6 1/2, Lereh, di sini, semalam.

Pengusaha minyak ‘bersembunyi’ di Bali



SHAH ALAM – Seorang pengusaha minyak di Perak yang menjadi buruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penye�lewengan diesel bersubsidi, dikesan bersembunyi di sebuah pusat peranginan terkenal, di Bali, Indonesia.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an tidak diberkas semasa SPRM bersama Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan serbuan besar-besaran di empat negeri iaitu, Perak, Kedah, Perlis dan Pahang, Isnin lalu.

Menurut sumber, ketika serbuan, SPRM mengenal pasti lokasi suspek berada dan hanya menunggunya pulang untuk diberkas.

“Semasa serbuan itu, SPRM sudah mengetahui suspek sedang bercuti di Bali dan kita hanya menunggu kepulangannya.

“SPRM akan menangkapnya dalam tempoh terdekat dan suspek akan terus dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh,” katanya kepada :Sinar Harian.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata, sehingga kini, 44 individu terdiri daripada ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), pengusaha minyak, ‘runner’ (orang upahan) atau pekerja dan pemandu lori ditahan.

Katanya, tangkapan terbaru SPRM membabitkan lima individu di Perak iaitu tiga jurupam di PNK Matang, Krian dan Manjung Utara, seorang 'runner' dan pemilik jeti, berumur antara 22 dan 35 tahun.

Mohd Jamidan berkata, di Kuantan, Pahang pula, tiga individu antaranya seorang pengusaha ‘skid tank’ haram ditahan.

Beliau berkata, terdahulu di Sarawak, enam individu ditahan sekitar Julai sehingga Ogos lalu, melibatkan pegawai tertinggi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Wilayah III Miri, seorang Pembantu Hal Ehwal Ekonomi LKIM, Miri, dan masing-masing dua PNK serta pengusaha.

“20 kad e-diesel juga di rampas dan akan ada lagi tangkapan dibuat dan di Sarawak sahaja, kita sedang memburu tiga lagi individu,” katanya, semalam.

Mohd Jamidan berkata, selain tangkapan itu, 21 premis industri di seluruh negara yang membeli diesel bersubsidi, turut disiasat.

Isnin lalu, di Perak, enam ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) ditahan kerana disyaki menjadi dalang sindiket untuk dijual kepada pengusaha industri yang menyebabkan kerajaan kerugian berpuluh juta ringgit setahun mengikut harga pasaran semasa.

Mohd Jamidan pada sidang medianya di SPRM Perak memberitahu, 21 individu juga ditahan di Perlis, Kedah dan Pahang.

Mereka ditahan kerana disyaki memalsukan dokumen minyak yang diambil daripada depot.

Kelmarin, seorang pemandu lori ‘skid tank’ haram, Sofli Ahmad, 31, dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, selepas mengaku bersalah cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai penguat kuasa KPDNKK berhubung kes penyelewengan subsidi diesel.

Di Alor Setar, seorang pemilik depot simpanan, Zulkifli Ibrahim, 45, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan memberi rasuah wang tunai RM3,000 kepada seorang pegawai penguat kuasa kementerian sama.

Sejak Julai lalu, harga minyak diesel bersubsidi dijual kepada nelayan pada harga RM1.25 seliter dan sindiket mengaut keuntungan sekitar 40 sen bagi setiap liter, setelah minyak itu dijual kepada pengusaha industri.

Harga pasaran untuk diesel sekarang adalah kira-kira RM1.75 seliter dan jualan untuk industri tidak menentu, berdasarkan pasaran dunia.

Kegiatan penyelewengan ini digambarkan berada pada tahap serius apabila dikatakan lebih 1 bilion liter diesel berkenaan disalurkan kepada persatuan nelayan

Kes harta sepencarian RM2 juta Siti Fairuz 13 Dis.


SHAH ALAM 25 Nov. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 13 Disember ini tarikh akhir untuk merekodkan penyelesaian di antara penyanyi terkenal era 80-an, Siti Fairuz dan bekas suaminya berhubung harta sepencarian dan mutaah hampir RM2 juta.
Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain menetapkan tarikh tersebut selepas peguam syarie, Wan Nureen Wan Afiza yang menyebut bagi pihak peguam syarie, Zuri Zabudin Budiman memaklumkan, pihaknya gagal menghubungi anak guam mereka, Muhamad Zainuddin Kordi, 46, bagi mengesahkan terma-terma penyelesaian.
Hari ini, mahkamah sepatutnya merekodkan penyelesaian berhubung tuntutan mutaah dan harta sepencarian itu.
Sekiranya pada tarikh sebutan akan datang, Muhamad Zainuddin yang merupakan pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), tidak hadir ke mahkamah dan penyelesaian gagal direkodkan, mahkamah akan menetapkan tarikh bagi perbicaraan tuntutan tersebut.
Siti Fairuz atau nama sebenarnya Siti Fairus Sheikh Mohamed, 46, yang popular dengan laguBila Ku Rindu Ku Sebut Namamu disahkan bercerai secara taklik dengan Muhamad Zainuddin oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 14 Julai 2008.
Lafaz yang berbunyi: ''Kalau you nyanyi lagi, jatuh talak,'' itu yang dibuat kira-kira 15 tahun lalu disabitkan taklik oleh mahkamah kerana ia dengan niat menceraikan Siti Fairuz.
Penyanyi itu dikatakan melanggar taklik tersebut apabila menyanyi di Pentas Lanai Seni di sini kira-kira pukul 8.30 malam, 30 Mac 2008.

Stesen bas jadi sasaran kemarahan

Foto AP
Mudah cetak
E-mel

26 Nov 2010

LUAR NEGARA




LONDON: Para penunjuk perasaan merosakkan dan membakar sebuah stesen bas di London kelmarin sebagai membantah rancangan kerajaan Britain menaikkan sebanyak tiga kali ganda yuran tuisyen universiti di negara itu.
Yuran tuisyen universiti di serata negara akan dinaikkan sehingga £pounds;9,000 ($18,572) setahun.Polis berkata dua pegawainya cedera dalam bantahan kelmarin sementara 32 penunjuk perasaan telah ditangkap. -- AP.

Bekas peguam akui guna wang adik Sultan Brunei



PUTERA JEFRI BOLKIAH



NEW YORK - Bekas peguam Putera Jefri Bolkiah, Faith Derbyshire memberitahu Mahkamah Tinggi New York kelmarin bahawa dia menggunakan wang AS$5 juta (RM15.6 juta) hasil jualan ladang milik kerabat diraja Brunei itu di Las Vegas untuk membeli sebuah rumah di Pantai Manhattan, Los Angeles.
Wanita tersebut berkata, Putera Jefri, 56, yang merupakan adik Sultan Brunei pernah memberitahunya supaya menggunakan hasil jualan ladang itu untuk membayar gajinya dan suaminya Thomas Derbyshire, 39, yang dianggar sekitar AS$3.1 juta (RM9.6 juta) setahun.
Faith, 30, turut mengaku dia memindahkan AS$100,000 (RM312,700) dari akaun Putera Jefri sebagai bayaran perbelanjaan untuk sebuah hartanah milik kerabat diraja itu.
Dia memberitahu mahkamah bahawa dia pernah menggunakan wang Putera Jefri untuk membeli dua jam tangan jenama Rolex dan seutas jam tangan Cartier dengan nilai keseluruhan AS$16,000 (RM50,032).
Namun, kata Derbyshire, semua jam tangan itu bukan untuk suaminya tetapi untuk keluarga diraja berkenaan.
"Putera Bahar (salah seorang anak lelaki Putera Jefri) meminta saya membeli jam tangan Cartier untuk seorang wanita," ujarnya.
Derbyshire dan suaminya, Thomas Derbyshire, 39, dipecat pada tahun 2006 selepas dua tahun bekerja dengan Putera Jefri.
Putera berkenaan menyaman dua bekas peguamnya itu bagi menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya AS$7 juta (RM21.8 juta) kerana mendakwa mereka menyeleweng wangnya semasa bekerja untuknya.
Perbicaraan disambung semula pada minggu depan. - AP

Beli telefon bimbit mainan RM300


MOHD. JASMI menunjukkan telefon bimbit mainan yang dibeli pada harga RM300 di Tanah Merah semalam.


Oleh SAMSUL BAHARI MOHAMEDTANAH MERAH - Seorang mekanik kerugian RM300 apabila terbeli sebuah telefon bimbit mainan yang menggunakan jenama terkenal daripada seorang lelaki di Kampung Bukit Panau di sini kelmarin.
Menurut mangsa, Mohd. Jasmi Jusuh, 35, pada hari kejadian dia dikunjungi seorang lelaki ketika menjalankan kerja di bengkel di hadapan rumahnya pada pukul 10 pagi.
Katanya, seorang lagi lelaki berada di dalam kereta jenis Nissan Sunny yang diletakkan kira-kira 100 meter dari bengkelnya.
"Lelaki terbabit menawarkan sebuah telefon bimbit berjenama terkenal yang berharga ribuan ringgit di pasaran.
"Dia menawarkan telefon bimbit tersebut dengan harga RM300 sahaja tanpa pengecas bateri dengan alasan memerlukan wang segera," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Curi wang isteri bayar hutang kahwin


CHOON GUAN (kiri) menunjukkan wang tunai dan barang kemas yang dirampas daripada seorang lelaki untuk membayar hutang kahwin di Muar semalam.


MUAR – Buntu mahu menyelesaikan baki hutang semasa berkahwin Februari lalu, seorang lelaki tergamak mencuri barang kemas dan wang tunai isterinya sendiri sebelum membuat laporan polis palsu mengatakan dia dirompak pada malam Selasa lalu.
Sebelum itu, suspek, 22, seorang pemandu lori membuat laporan polis mendakwa dia dirompak ketika pulang kerumahnya di Taman Temiang Jaya, Jalan Kim Kee di sini pukul 8.40 malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Lee Choon Guan berkata, hasil siasatan bagaimanapun mendapati keterangan suspek mencurigakan sebelum lelaki itu mengaku mencuri barangan kemas dan wang tunai milik isterinya yang berusia 32 tahun.
“Ketika disoal siasat, suspek mendakwa diserang tiga lelaki warga asing yang bersenjatakan senapang patah dan parang ketika pulang ke rumah.
“Namun keterangannya didapati meragukan sebelum polis menemui barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM2,017 di dalam sebuah beg galas yang disembunyikan dalam but kereta Perodua Kancil milik suspek,” katanya kepada pemberita semalam.

Dijel tiga tahun langgar budak


MUKIYAT dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dijatuhi hukuman penjara tiga tahun semalam.


SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini semalam menambahkan hukuman penjara terhadap seorang pemandu treler yang didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Salina Saparedi, 7, dalam kemalangan di hadapan sekolahnya lima tahun lalu.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad mengekalkan denda RM7,000 atau penjara 10 bulan yang diputuskan oleh Majistret Mujib Saroji terhadap tertuduh, Mukiyat Lasiran, 47.
“Hukuman Mahkamah Majistret selama 30 bulan tidak memadai, oleh itu mahkamah mengenepikan keputusan itu dan menetapkan hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini (semalam) dan denda RM7,000 kekal dan jika tidak bayar, denda penjara 10 bulan dikenakan,” kata Siti Mariah ketika membaca keputusan beliau.

Presiden Korea Selatan dikecam





2010/11/26

SERPIHAN peluru yang dilepaskan Korea Utara dijumpai di Pulau Yeonpyeong diletakkan di atas meja ketika mesyuarat pembuat dasar di Seoul, semalam.
SERPIHAN peluru yang dilepaskan Korea Utara dijumpai di Pulau Yeonpyeong diletakkan di atas meja ketika mesyuarat pembuat dasar di Seoul, semalam.
Tindak balas bedilan Pyongyang terlalu lembut

SEOUL: Parti memerintah Korea Selatan semalam mengecam kerajaan dan tentera negara itu kerana bertindak balas terlalu lembut terhadap bedilan Korea Utara yang membunuh empat orang, termasuk dua orang awam Selasa lalu. 

Kecaman paling pedas ditujukan kepada Presiden Lee Myung-Bak kerana membuat kenyataan pihaknya mahu mengelakkan ‘perang besar-besaran’ sejurus selepas pulau kecil Korea Selatan dibedil Pyongyang.
Walaupun kenyataan itu ditarik balik kemudian, ia sudah terlalu lambat dan anggota parti pimpinan Presiden sendiri, Grand National Party (GNP) mengutuk beliau kerana membuat kenyataan lembut itu.
“Biar saya berkata sesuatu kepada si bodoh di Rumah Biru (pejabat presiden) yang menasihatkan presiden membuat kenyataan itu,” Ahli Parlimen GNP, Hong Sa-Duk dipetik sebagai berkata oleh akhbar harian JoongAng semalam. 

“Mereka semua harus dipecat kerana memberi nasihat kepada presiden supaya membuat kenyataan lembut terhadap tindakan Korea Utara.” 

Insiden Selasa lalu adalah krisis sempadan kedua dihadapi Lee dalam tempoh kurang lapan bulan selepas pengeboman kapal perang Korea Selatan Mac lalu yang didakwa dilakukan Pyongyang. 

Lee mendapat sokongan masyarakat tempatan dan antarabangsa dalam menangani insiden Mac itu yang menyebabkan kematian 46 tentera laut Korea Selatan, tetapi serangan terbaru – bedilan pertama terhadap sasaran orang awam Korea Selatan sejak perang 1950-53 – mencetuskan lebih banyak kemarahan di kalangan rakyat negara itu. 
Tentera Korea Selatan bertindak balas dengan melepaskan 80 bedilan ke arah Korea Utara, tetapi ahli parlimen kelmarin mempersoalkan kenapa menteri pertahanan Kim Tae-Young tidak bertindak balas lebih keras. 

“Jika kita menggunakan keupayaan tentera udara kita untuk menghapuskan artileri Korea Utara tidak mungkin akan ada serangan kedua dari utara,” kata Ahli Parlimen GNP Chung Mi-Kyung, merujuk kepada tempoh masa di antara beberapa peringkat bedilan yang dibuat Pyongyang. 

Beliau juga mengecam tentera Korea Selatan kerana hanya melepaskan 80 bedilan yang tidak diketahui kesan terhadap sasarannya 10 minit selepas bedilan utara. 
Kim berkata: “Jika kita menggunakan kekuatan tentera udara kita, Pyongyang mungkin tidak dapat melancarkan bedilan selanjutnya. Namun ia mungkin membawa kepada perang besar-besaran.” 

Bagaimanapun akhbar tempatan tetap mengecam tindak balas Seoul. Akhbar harian JoongAng dalam lidah pengarangnya berkata: “Masalah kita ialah tindak balas lemah kita.” 

Akhbar Chosun Ilbo berkata Seoul harus menghentikan kitaran di mana utara membuat provokasi dan selatan tidak tahu bagaimana untuk membalas. 

Pejabat presiden Korea Selatan semalam, mengumumkan langkah mengukuhkan kedudukan pertahanan di lima pulaunya yang bersempadan dengan Korea Utara, namun Pyongyang berkata ia bersedia untuk melancarkan serangan lagi jika Seoul meneruskan ‘provokasi ketenteraan.’ – AFP/AP

Empat maut akibat denggi





2010/11/26

Kematian dicatat antara 14 hingga 20 November lalu

KUALA LUMPUR: Empat kematian akibat demam denggi membabitkan dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak dilaporkan dalam tempoh 14 hingga 20 November lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Katanya, kedua-dua lelaki itu ialah seorang 48 tahun dari Petaling Jaya dan seorang operator pengeluaran berumur 41 tahun dari Masjid Tanah, Melaka.
Dua kes kematian turut berlaku di Sabah membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun yang bekerja sebagai akauntan dari Tawau dan seorang kanak-kanak berumur tiga tahun dari Sandakan, katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Dr Mohd Ismail berkata, bilangan kematian meningkat sebanyak 60 peratus atau 47 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 125 kematian berbanding 78 dalam tempoh yang sama, tahun lalu.

Jumlah kes yang dilaporkan dari Januari hingga 20 November lalu adalah 42,914 kes, peningkatan 17 peratus atau 6,400 kes berbanding sebanyak 36,514 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu, katanya.

"Sejumlah 147 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 18 lokaliti panas dikenal pasti pada minggu lalu, membabitkan sebanyak 261 kes demam denggi. Lokaliti panas ini juga masih melaporkan sebanyak 85 kes baru pada minggu itu.

"Sepuluh atau 56 peratus daripada 18 lokaliti panas ini masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi. Hanya lima atau 28 peratus daripada 22 lokaliti panas menjalankan aktiviti gotong-royong," katanya. 
Bagi penyakit Chikungunya, bagi tempoh bermula 14 hingga 20 November lalu, sebanyak dua kes dilaporkan, tidak berubah berbanding dua kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama minggu sebelumnya.

Dr Mohd Ismail berkata, setakat ini jumlah terkumpul kes Chikungunya adalah sebanyak 795 kes, penurunan sebanyak 83 peratus atau 3,947 kes berbanding dengan 4,742 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lepas. – BERNAMA