Search This Blog

Thursday, November 25, 2010

Pasport Palsu Dibanteras



24/11/2010 16:19:15
Jabatan Imigresen berjaya membongkar sindiket menjual pasport palsu yang telah beroperasi sejak 3 tahun lalu.
Namun, dalang utamanya berjaya menghidu kehadiran pihak berkuasa, hanya 2 orang bawahannya berjaya ditahan.
Serbuan dilakukan sepasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen Putrajaya diketuai Timbalan Penolong Pengarahnya, Mohd Radzi Ain ke sebuah rumah di Bandar Sunway, Petaling, Selangor, tengah hari tadi.
Ketika serbuan, 2 lelaki warga asing berada di dalam rumah.
Pelbagai dokumen seperti laporan perubatan, 150 pasport Indonesia, cop syarikat serta beberapa peralatan mencetak turut ditemui.
Sindiket ini dipercayai didalangi seorang lelaki yang memiliki taraf penduduk tetap.
Namun, usaha anggota penguatkuasa cuba mengumpan lelaki berkenaan untuk datang ke rumah ini gagal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55 (D), Akta Imigresen kerana memiliki dokumen palsu.
Setiap pasport palsu dijual sehingga RM3 ribu kepada pendatang tanpa izin.

200 banduan Thailand merusuh





2010/11/25

BANGKOK: Kira-kira 200 banduan hari ini merusuh di Penjara Lop Buri yang terletak 150 kilometer di utara Bangkok. 

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Thailand, Thanis Sriyaphan, berkata banduan yang merusuh itu memusnahkan harta benda dan mengugut untuk membakar penjara itu dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari.
Banduan yang bersenjatakan kayu dan batang besi naik berang selepas pihak berkuasa penjara merampas beberapa telefon bimbit yang diseludup masuk daripada mereka.
Bagaimanapun, keadaan itu berjaya dikawal selepas gabenor wilayah, Chatchai Promlert dan pengarah penjara berunding dengan banduan terbabit. 

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu. - BERNAMA

Jambatan goyang punca panik


NGETH Svey Kheng, 18, menangis akibat terlalu sedih kerana kematian kakaknya, Ngeth Svey Neang, 19, ketika upacara memberi penghormatan terakhir bagi pengebumian kebangsaan yang diadakan di kawasan tragedi rempuhan di tengah ibu negara Phnom Penh, Kemboja, hari ini. Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen mengetuai upacara itu di pekarangan jambatan yang mengorbankan 350 nyawa ketika sambutan Festival Air, Isnin lalu. - foto AFP/HOANG DINH Nam


PHNOM PENH: Hasil siasatan awal terhadap kejadian yang menyebabkan 456 orang mati terpijak di satu pesta di bandar raya ini menunjukkan ia berpunca daripada jambatan yang penuh sesak dengan pengunjung, bergoyang, lalu menyebabkan panik.
Rangkaian televisyen rasmi kerajaan, TV Bayon melaporkan, jawatankuasa yang dibentuk untuk menyiasat tragedi itu mendapati ramai pengunjung di atas jambatan itu datang dari luar bandar dan tidak tahu adalah perkara biasa bagi jambatan gantung bergoyang.

Kerana bimbang jambatan itu runtuh selepas bergoyang, mereka panik dan berebut-rebut untuk menyelamatkan diri.

Menurut laporan berkenaan, jawatankuasa itu membuat rumusan berdasarkan siasatan dan kenyataan saksi.

Tragedi kelmarin berlaku apabila puluhan ribu orang datang untuk menyaksikan konsert percuma di sebuah pulau di Sungai Bassac di Phnom Penh.

Kira-kira dua juta penduduk dipercayai mengunjungi Phnom Penh untuk menyambut cuti tiga hari yang menandakan berakhirnya musim monsun.


Saksi menyelar pihak berkuasa kerana menyebabkan kesesakan dengan menutup jambatan kedua yang merentasi sungai berkenaan dan lewat dalam memberi bantuan kecemasan. Sejumlah besar pengunjung datang ke pulau itu untuk meraikan malam terakhir perayaan berkenaan.

Perdana Menteri, Hun Sen menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi paling buruk sejak kekejaman pemerintahan komunis yang menyebabkan kira-kira 1.7 juta orang terbunuh pada akhir 1970-an.

Jawatankuasa itu yang turut dianggota anggota Kabinet dan pegawai bandar raya Pnom Penh berkata, keadaan panik itu ditambah pula dengan orang ramai menghadapi masalah untuk bernafas kerana mereka terlalu rapat antara satu sama lain. Dianggarkan kira-kira 7,000 hingga 8,000 orang berada di atas jambatan itu ketika kejadian.

Jawatankuasa itu melaporkan, sebelum kejadian, ada saksi mendengar jeritan kononnya jambatan itu akan runtuh, menyebabkan mereka yang berada di atasnya cemas dan ada yang terjun ke dalam sungai. - Reuters

Denggi: 4 kematian minggu lalu





2010/11/25

KUALA LUMPUR: Empat kematian akibat demam denggi membabitkan dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak dilaporkan dalam tempoh 14 hingga 20 November lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican. 

Katanya, dua lelaki itu ialah seorang berusia 48 tahun dari Petaling Jaya, Selangor, manakala kes kedua membabitkan seorang operator pengeluaran berumur 41 tahun dari Masjid Tanah, Melaka.
"Dua kes kematian turut berlaku di Sabah membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun yang bekerja sebagai akauntan dari Tawau dan seorang kanak-kanak berumur tiga tahun dari Sandakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Mohd Ismail berkata, bilangan kematian meningkat 60 peratus atau 47 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 125 kematian berbanding 78 dalam tempoh sama tahun lalu. 

Katanya, jumlah kes yang dilaporkan dari bulan Januari hingga 20 November lalu adalah 42,914 kes, peningkatan sebanyak 17 peratus atau 6,400 kes berbanding sebanyak 36,514 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu. 

"Sejumlah 147 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 18 lokaliti panas dikenal pasti pada minggu lalu membabitkan sebanyak 261 kes demam denggi. Lokaliti panas ini juga masih melaporkan sebanyak 85 kes baru pada minggu tersebut. 

"Sepuluh atau 56 peratus daripada 18 lokaliti panas ini, masih mempunyai kadar pembiakan aedes yang tinggi. Hanya lima atau 28 peratus daripada 22 lokaliti panas menjalankan aktiviti gotong-royong," katanya. 
Bagi penyakit Chikungunya, bagi tempoh bermula 14 hingga 20 November lalu, sebanyak dua kes dilaporkan, tidak berubah berbanding dua kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama minggu sebelumnya. 

Dr Mohd Ismail berkata, setakat ini jumlah terkumpul kes Chikungunya adalah sebanyak 795 kes, penurunan sebanyak 83 peratus atau 3,947 kes berbanding dengan 4,742 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. - BERNAMA

Surat palsu bayaran permohonan tanah di Sarawak dikesan





2010/11/25

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak meminta orang awam supaya berwaspada dengan edaran surat palsu kononnya jabatan itu akan mengenakan bayaran untuk proses permohonan tanah atau melantik ejen untuk mengutip bayaran tersebut. 

Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu berkata mereka telah mengesan sepucuk surat palsu bertarikh 16 November 2010 diedarkan bagi mengutip bayaran sebanyak RM178.60 untuk setiap ekar/hektar tanah yang dipohon di Bahagian Samarahan.
Menurut jabatan itu, surat palsu berkenaan kononnya ditandatangani pengarahnya dan dialamatkan kepada Awang Bakar Awang Daud dari Kampung Muara, Tuang, Kota Samarahan.
Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Samarahan, Taib Belal, telah membuat laporan polis mengenai kewujudan surat palsu itu semalam. 

Jabatan itu menasihatkan sesiapa yang dikunjungi oleh individu yang membawa surat palsu itu supaya menghubungi polis dengan segera. - BERNAMA

16 rumah rosak dipukul ribut di Perlis





2010/11/25

KANGAR: 16 rumah di tiga buah kampung di sini rosak dipukul ribut petang semalam.

Tujuh daripadanya di kampung Long Boh, lima di Kampung Baru, tiga di Tambun Tulang dan sebuah di Sungai Bakong.
Turut rosak ialah rumah seorang pesawah, Abu Bakar Ahmad, 40, apabila sebahagian besar komponen rumahnya termasuk bumbung dan dinding rumah diterbangkan angin sejauh 20 meter dalam kejadian jam 6.30 petang di Kampung Long Boh dekat sini.
Abu Bakar berkata, rumah itu masih dalam proses baik pulih dan beliau bersama isteri dan dua anaknya hanya berada di rumah itu pada sebelah siang kerana belum ada bekalan elektrik manakala sebelah malamnya menumpang di rumah kakaknya yang terletak berhampiran.

Bercakap kepada pemberita di sini, Abu Bakar, bersyukur kerana tiada yang cedera dalam kejadian itu.

Mengikut perancangan, beliau sekeluarga akan menduduki rumah itu secara tetap mulai bulan depan tetapi kejadian itu menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM5,000.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, turut melawat mangsa kejadian.
Beliau diiringi Pengarah Kebajikan Masyarakat Perlis, Abdullah Ali.

Md Isa berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu menghulurkan bantuan kepada mangsa ribut manakala Baitulmal akan memberi bantuan membaiki rumah yang rosak.

"JKM akan mengesan mana-mana lagi rumah yang rosak dipukul ribut bagi menghulurkan bantuan segera kepada mereka," katanya.

JKM masih meneruskan bancian mengenai jumlah rumah terbabit dan anggaran kerugian.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut melawat mangsa-mangsa kejadian ribut dan menghulurkan
bantuan kewangan antara RM300 sehingga RM1,000.

Shahidan berkata, 14 daripada 16 keluarga mangsa ribut itu adalah mereka yang telah terjejas dengan kejadian banjir yang melanda kawasan itu awal bulan ini. - BERNAMA

Lelaki keturunan siam dipenjara 12 tahun, terbabit kes bunuh





2010/11/25

KANGAR: Seorang lelaki berketurunan Siam dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas didapati salah terbabit dalam pembunuhan seorang lelaki dalam satu pergaduhan di tepi Lebuhraya Changloon-Kuala Perlis, pada Mei tahun lalu.

Kakak bongkar rahsia 2 beradik

MERSING: Rahsia dua beradik perempuan berusia 13 dan 16 tahun yang menjadi hamba seks abang kandung sejak bertahun lalu di Felda Tenggaroh 5 di sini, terbongkar apabila kakak mereka terlihat perlakuan ganas lelaki berusia 24 tahun itu, pagi kelmarin.
Kakak mereka yang berada dalam rumah berkenaan, terlihat suspek menarik dengan ganas tangan adik yang berusia 13 tahun masuk ke dalam bilik.
Apabila lelaki itu menyedari perbuatannya dilihat kakaknya, dia melarikan diri dari rumah sebelum menumpang lori menuju ke Felda Tenggaroh 2.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya sudah menahan suspek kes itu.


“Dia ditahan ketika menumpang lori tidak jauh dari kawasan Felda berkenaan dan kini direman untuk membantu siasatan.

“Suspek bekerja di sebuah ladang di Kota Tinggi dan turut positif ganja,” katanya.

Mohd Nor berkata, kakak mangsa membuat laporan polis apabila terlihat perbuatan adik lelakinya itu dan siasatan mendapati gadis berusia 13 tahun itu dirogol sejak tiga tahun lalu.

Pendedahan gadis itu membongkar rahsia kakaknya yang berusia 16 tahun turut menjadi mangsa rogol abang mereka sejak awal tahun ini.

“Mangsa tidak mahu membuat laporan polis kerana suspek mengugut membunuh seisi keluarga jika tembelangnya pecah. Mereka dirogol ketika ibu bapa keluar bekerja,” katanya.

Kedua-dua beradik itu yang dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, semalam, untuk menjalani pemeriksaan, berjaya dipujuk supaya membuat laporan polis berkaitan kejadian di Balai Polis Sugai Ambat, tengah hari, kelmarin.

Mohd Nor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram.

Geng Black tumpas

BURU...Wan Abdul Bari menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki polis.
BURU...Wan Abdul Bari menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki polis.



SAKIT...perut Ai Ling yang luka dirodok.
SAKIT...perut Ai Ling yang luka dirodok.


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan manakala rakannya diburu selepas dipercayai meragut dan merodok pinggang serta belakang seorang wanita sebanyak empat kali di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini, 12 November lalu.
Kedua-dua suspek yang dikenali sebagai Geng Black diburu selepas aktif melakukan 10 kes samun di tepi jalan di sekitar Lembah Klang.
Suspek berusia 25 tahun itu yang juga seorang kelindan lori diberkas di rumahnya di Taman Sri Sentosa, di sini, kira-kira jam 9.45 malam kelmarin.
Namun, polis masih memburu rakannya yang kini masih aktif meragut dan menyamun mangsa.
Suspek kedua dikenali sebagai Mohd Sufi Usman, 21, dan alamat terakhirnya di Taman Sri Sentosa.
Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata dengan penangkapan Geng Black itu dapat menyelesaikan 10 kes samun di tepi jalan di sekitar Lembah Klang.
“Kami (polis) merampas dua topi keledar dan pisau yang dipercayai digunakan mereka untuk memukul dan merodok perut serta belakang mangsa,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Wan Bari berkata, beliau meminta orang ramai yang mengenali suspek kedua menyalurkan maklumat ke talian 03-22744465.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan mengenai pinggang dan belakang seorang gadis dirodok empat kali dengan pisau selepas dia cuba mempertahankan beg tangannya daripada diragut dua lelaki bermotosikal ketika berjalan bersama rakannya di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Toh Ai Ling, 19, terbaring berlumuran darah sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan akibat kecederaan serius pada buah pinggangnya.

Sementara itu, Ai Ling ketika ditemui di PPUM menyatakan rasa kesal dengan tindakan suspek.

Rentung genggam kabel

HAMPIR PUTUS...sebahagian penebat kabel elektrik terkoyak dipercayai dipotong mangsa.
HAMPIR PUTUS...sebahagian penebat kabel elektrik terkoyak dipercayai dipotong mangsa.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang cuba mencuri kabel elektrik berhampiran Kondominium Marina Court di sini, ditemui rentung dalam keadaan terlentang dengan tangannya masih menggenggam kabel yang hampir terputus, semalam.
Difahamkan, lelaki berusia 23 tahun itu mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik berkuasa 11,000 volt (kV) beberapa hari lalu sebelum ditemui pengawal keselamatan yang terhidu bau busuk di sekitar kawasan itu, kira-kira jam 7.30 pagi.
Sebelum itu, pengawal terbabit memeriksa kawasan berkenaan selepas dimaklumkan mengenai bau busuk oleh orang ramai yang lalu-lalang di kawasan berkenaan.

Ketika memeriksa di satu kawasan parit, pengawal itu terkejut melihat tubuh manusia terlentang dengan berpakaian gelap dipercayai terbakar sebelum memaklumkannya kepada polis.


Polis yang tiba beberapa minit kemudian terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba dan penyelamat bagi mengeluarkan mayat berikutan keadaan parit yang menyalurkan paip air bawah tanah itu agak sempit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, polis yang menerima panggilan orang ramai bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Sebaik tiba, polis menemui satu mayat rentung dalam keadaan terlentang.

"Oleh kerana kabel elektrik masih berfungsi, polis terpaksa meminta bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk mematikan bekalan bagi membolehkan anggota bomba membawa keluar mayat terbabit,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian dan polis menolak sebarang unsur jenayah.

“Mangsa mati akibat terkena renjatan elektrik berdasarkan keadaan mangsa yang memegang kabel yang hampir terputus.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke di Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat," katanya.

Pemilik gudang dituduh beri rasuah kepada pembantu penguatkuasa KPDNKK

ALOR SETAR: Seorang pemilik gudang hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi rasuah kepada Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Bukit Kayu Hitam pada 11 Oktober lalu.

Cheah Woon Yong, 34, dituduh memberi suapan iaitu wang tunai sebanyak RM3,000 kepada Mohd Khairul Hafieza Mat Hassan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu satu kesalahan di bawah Sekyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dia dituduh memberi suapan itu antara 4.30 hingga 5.30 petang di premis No.

7, Gudang PKNK, Bukit Kayu Hitam pada tarikh tersebut.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta SPRM 2009 iaitu penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim mencadangkan sebanyak RM10,000 sebagai wang jaminan dengan seorang penjamin tetapi tertuduh merayu jaminan sebanyak RM5,000.

Hakim Norsharidah Awang kemudian menetapkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 9 Januari tahun depan.-- Bernama.

TUDM tahan semula Tharmendran kerana tinggal tugas

SHAH ALAM: Sarjan N Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang menghadapi tuduhan mencuri dua enjin pesawat F5, hari ini ditahan semula oleh TUDM atas kesalahan meninggalkan tugas.
Tangkapan dibuat oleh lima pegawai Jabatanarah Provos Marsyal TUDM di perkarangan tempat letak kereta Kompleks Mahkamah di sini pada 12 tengah hari ini selepas Tharmendran menghadiri pendengaran permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, kegagalan Tharmendran untuk hadir bertugas selepas membayar jaminan pada 6 September lalu sehingga ke hari ini adalah satu kesalahan meninggalkan tugas yang bertentangan dengan peruntukan Akta Tentera 1972. Tharmendran masih lagi berada dalam perkhidmatan TUDM, kata unit itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 6 Januari lalu, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.-- Bernama

Pemandu treler hadapi detik cemas 5 jam disamun


25/11/2010 2:41pm


KUANTAN - Seorang pemandu lori treler menghadapi detik cemas selama kira-kira lima jam selepas kenderaan membawa muatan besi bernilai RM220,800 yang dipandunya disamun dua lelaki bersenjatakan parang.
Dalam kejadian 1 pagi semalam, mangsa berusia 50 tahun yang dalam perjalanan ke Klang, Selangor berhenti rehat seketika di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lanchang dekat Temerloh setelah penat memandu.
Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata, pemandu itu bagaimanapun didatangi dua lelaki yang menutup separuh mukanya dengan kain bagi mengelak dicam mangsa.
"Salah seorang daripada mereka kemudian mengugut mangsa dengan mengacukan parang ke lehernya sebelum mengikat kaki dan tangan serta menutup mata mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Bernama

Lelaki Argentina dituduh rogol anak selama lebih 30 tahun




2010/11/25

BUENOS AIRES: Seorang lelaki Argentina berusia 62 tahun ditangkap dan didakwa merogol anak perempuannya selama lebih 30 tahun dan menyebabkan anaknya itu melahirkan 10 anak, dalam kes yang "lebih teruk" daripada kes Josef Fritzl di Austria pada 2008, kata seorang hakim. 

“Tertuduh menafikan pertuduhan itu tetapi ujian DNA mengesahkan beliau adalah bapa kepada anak yang dilahirkan itu," kata Hakim Virgilio Palud kepada radio tempatan.Lelaki terbabit dituduh melakukan penderaan seksual berulang kali dan sumbang mahram, jenayah yang membawa kepada hukuman penjara 20 tahun.
Tertuduh yang identitinya tidak dinyatakan, ditangkap Jun lalu kerana mencuri lembu, menyebabkan anak perempuannya itu yang kini berusia 43 tahun, melaporkan perbuatan beliau kepada polis walaupun diancam. 

Wanita terbabit yang identitinya tidak dinyatakan, mendakwa beliau dipukul dan dirogol sejak berusia 13 di rumah keluarganya di perkampungan Nicanor Molinas, 600 kilometer ke utara Buenos Aires. 

Palud berkata, perbuatan rogol itu menyebabkan wanita berkenaan mengandung dan melahirkan 10 anak yang kini berusia antara 7 dan 27 tahun dan hanya anak sulung yang mengetahui bahawa bapa dan datuknya adalah lelaki sama. 

“Ia lebih teruk daripada apa yang berlaku di Austria,” katanya merujuk Josef Fritzl yang dihukum penjara seumur hidup pada 2009 selepas mengurung anak perempuannya selama 24 tahun dan memperoleh tujuh anak serta membunuh seorang daripadanya. - AFP 

Doktor tewaskan penyamun


Harriszamani menunjukkan papan kekunci yang digunakan untuk berlawan dengan penjenayah di sebuah klinik di Danau Kota, Setapak kelmarin.


KUALA LUMPUR – Seorang doktor di sebuah klinik di Danau Kota, Setapak di sini menjadi hero apabila dia berjaya mematahkan cubaan merompak oleh dua lelaki di klinik tempatnya bertugas.
Malah dalam kejadian pada pukul 8.45 malam kelmarin itu, Dr. Mohd. Harriszamani Abu Bakar, 32, juga berjaya merampas beg galas salah seorang penjenayah itu.
Semasa kejadian mencemaskan kira-kira 10 minit itu, kedua-dua suspek tersebut bersenjatakan pisau rambo dan sebilah parang.
Di dalam beg galas tersebut mengandungi kad pengenalan salah seorang suspek itu dan wang tunai sebanyak RM5.
Turut ditemui borang permohonan nikah dan kad pengenalan seorang wanita dipercayai milik tunang suspek.
Sebelum kejadian, suspek yang berusia 26 tahun itu masuk ke klinik tersebut dan berpura-pura mendaftar sebagai pesakit dengan menggunakan nombor kad pengenalan palsu.
Suspek yang memakai baju mempunyai logo sebuah restoran makanan segera itu mendakwa dia sakit tekak selain mata merah.
Mohd. Harriszamani berkata, selepas mendapat rawatan, suspek yang memakai baju T dan seluar jean itu keluar dari bilik pemeriksaan untuk mengambil ubat.
“Selepas suspek keluar, seorang lagi pesakit lelaki yang berusia 29 tahun masuk ke dalam bilik pemeriksaan.
“Ketika pesakit saya masuk, tiba-tiba ada dua lelaki termasuk ‘pesakit’ yang mengadu sakit tekak sebelum itu menceroboh bilik pemeriksaan,” kata beliau kepada Kosmo! semalam

Pemandu lori dijel dua tahun





IPOH - Seorang pemandu lori dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 setelah mengaku bersalah cuba merasuah seorang Penolong Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Nurhayati Mat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Sofli Ahmad, 33, dari Pangkalan Baru, Pantai Remis dekat sini didapati memberi rasuah itu bagi melepaskan diri daripada kesalahan menyimpan diesel bersubsidi tanpa permit pada 6 Ogos lalu.
Bapa kepada lima orang anak itu merupakan salah seorang daripada 19 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan KPDNKK di Perak, Pahang, Kedah dan Perlis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menerusi Ops Nano baru-baru ini.

Peragut adik-beradik dicekup





Anggota bomba berusaha menurunkan suspek kes ragut selepas cuba memanjat bumbung dan menyelinap di sebalik tangki air jirannya di Taman Bukit Kepayang, Seremban semalam.



SEREMBAN - Dua beradik suspek kes ragut yang terdesak sanggup memanjat bumbung rumah jiran mereka untuk menyembunyikan diri namun percubaan mereka itu gagal apabila ditahan polis di Taman Bukit Kepayang, di sini pagi semalam.
Kedua suspek yang berada kira-kira lebih sejam di atas bumbung tersebut akhirnya dibawa turun oleh sepasukan bomba sebelum mereka ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, kedua suspek lelaki berusia 20-an itu dipercayai melakukan kegiatan ragut di sebuah rumah di sekitar Jalan Tan Sri Manickavasagam kira-kira pukul 6.15 petang Selasa lepas.
"Dua suspek terlibat kes ragut itu menggunakan alasan mahu memungut hutang ketika melakukan jenayah di rumah terbabit. Mereka kemudiannya dikatakan cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Ford Laser.
"Mereka juga dipercayai melarikan beg pinggang mangsa yang berisi sejumlah wang," katanya di sini semalam.

RM200,000 duit pengurup wang dirompak




SEORANG anggota polis mengambil gambar kelongsong peluru selepas kejadian rompakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Tindakan dua pekerja syarikat pengurup mata wang asing mengejar dua lelaki yang merompak wang berjumlah RM200,000 di tempat mereka bekerja di tingkat satu sebuah bangunan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini semalam mengundang padah apabila mereka cedera ditembak.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, kedua-dua lelaki warga tempatan berumur 30-an itu cuba mendapatkan semula wang yang dirompak oleh dua penjenayah yang masing-masing bertopeng dan seorang lagi memakai topi keledar.
Seorang daripada pekerja itu cedera di perut manakala seorang lagi cedera di paha. Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tauke minyak mengaku tak bersalah rasuah sorok diesel



25/11/2010 1:13pm

IPOH - Seorang pemilik stesyen minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga tuduhan rasuah kepada beberapa anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos dan September lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Ngoh Keh Heng, 41, didakwa secara rasuah memberikan suapan wang tunai berjumlah RM15,000 sebagai dorongan kepada pembantu penguatkuasa KPDNKK, Mohd. Noraz Abdul Aziz yang bertugas di pejabat KPDNKK Ipoh di sini untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana menyimpan minyak diesel bersubsidi secara haram.
Pertuduhan kedua pula, Keh Heng didakwa secara rasuah menawarkan suapan wang tunai berjumlah RM8,000 - RM2,000 setiap seorang - sebagai dorongan kepada anggota KPDNKK iaitu Mohd. Noraz, Mohd. Khairil Akhtar Ahmad, Noor Hisham Abdul Aziz serta seorang pegawai SPRM Mohd. Ridzuan Shaari untuk tidak mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara yang sama. - Bernama

Putera Jefri saman peguam


JEFRI dan Micha di luar Mahkamah Agung Manhattan, semalam.
JEFRI dan Micha di luar Mahkamah Agung Manhattan, semalam.
PATUNG berahi Micha.
PATUNG berahi Micha.
NEW YORK: Anggota keluarga diraja Brunei yang terkenal kerana kehidupan mewah, terpaksa melalui saat memalukan apabila bekas tunangnya, model kepada empat patung erotik bersaiz manusia sebenar, memberi keterangan di mahkamah, semalam.
Putera Jefri Bolkiah terbabit dalam kes saman ke atas dua bekas peguamnya sebanyak �5 million (RM25 juta).

Dia mendakwa mereka menipunya berjuta-juta dolar ketika menguruskan hartanya, satu daripadanya Estet Sunninghill di Ascot, England, tempat dia menyimpan patung bogel kekasihnya itu.

Putera itu mengarahkan pengukiran patung dia mengadakan seks dengan Micha Raines. Terkenal kerana gaya hidup mewah, Jefri yang didakwa mempunyai kira-kira 40 wanita simpanan, pernah bertunang dengan Micha yang berasal dari Las Vegas.

Patung itu menggambarkan putera berkenaan dan Micha, yang juga bekas pembantu peribadinya dan ibu seorang daripada 18 anaknya, dalam beberapa adegan seks.

Wanita berusia 41 tahun itu dipanggil untuk menjadi saksi bagi pihak Jefri.

Micha menjawab beberapa soalan mengenai perniagaan putera itu ketika dia bersamanya.

Micha mendedahkan bagaimana Jefri sebelum ini begitu tertarik dengan peguam suami isteri, Thomas Derbyshire dan Faith Zaman, yang ditugaskan untuk menjual Estet Sunningham, sebuah rumah 23 bilik.

Antara barangan yang ditinggalkan di kediaman itu ialah patung Micha mengadakan seks dengan putera itu.

Jefri memecat peguam berkenaan pada 2006.

Beliau melantik pasangan itu menjadi peguamnya selepas hanya bertemu sekali di London pada 2004.

Setakat ini, Hakim Ian Gammermann melarang peguam bela mengemukakan bukti kehidupan mewah dan tabiat seks Jefri sebagai bukti dalam kes itu. - Agensi

Pendatang perlekeh penduduk setempat

PUCHONG: Bukan hanya bersikap besar kepala, tetapi kumpulan pendatang asing yang dipercayai menetap di rumah kongsi dan rumah terbengkalai di La Cottage dan Nusa Putra, dekat Taman Putra Perdana, juga berani memperlekehkan penduduk setempat yang menegur tindakan kurang ajar mereka.
Lebih menimbulkan perasaan tidak selesa di kalangan penduduk apabila golongan itu menjadikan kawasan rumah kongsi dalam kawasan semak itu sebagai tempat berjudi terutama pada malam minggu apabila kawasan rumah kongsi dikunjungi orang luar seolah-olah satu temasya.

Tinjauan Harian Metro mendapati terdapat beberapa penempatan rumah kongsi di kawasan perumahan itu. Malah, kedudukan taman perumahan yang agak terpencil turut menjadi antara punca golongan terbabit berani melakukan kegiatan tidak berfaedah dan berkelakuan tidak senonoh.

Malah, penduduk setempat mendakwa golongan itu tanpa segan silu mengakui mereka dilindungi pihak tertentu menyebabkan mereka berani bermaharajalela.

Dianggarkan, terdapat hampir 60 pendatang asing di rumah kongsi sekitar La Cottage dan 30 orang lagi di Nusa Putra.

Peniaga yang dikenali sebagai Amin, 30, mendakwa kehadiran golongan itu di kawasan berkenaan menimbulkan perasaan takut di kalangan penduduk setempat, apatah lagi rumah mereka itu agak terpencil.

Menurutnya, sebelum ini sebahagian daripada pendatang asing itu bekerja di tapak pembinaan rumah berhampiran. Bagaimanapun, projek berkenaan dihentikan pada 2005 sebelum kerja pembinaan dimulakan beberapa bulan lalu.

“Ada antara pendatang asing wanita hanya berkemban ketika mandi di lombong berhampiran menyebabkan kami malu apabila melihat gelagat itu, selain mengancam keselamatan berikutan pernah berlaku beberapa kes pecah rumah termasuk pernah mengacukan parang ke arah seorang kanak-kanak dalam satu kes tahun lalu,” katanya yang menetap hampir tujuh tahun di kawasan berkenaan.

OKU terjun tingkat 17

GEORGETOWN: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 17 sebuah pangsapuri di Blok 352, Lebuh Maccalum, di sini, dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Abd Halim Bulat, berkata mangsa dikenali sebagai Toh Kim Huat, 46, menetap di Lebuh Nordin kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Beliau berkata, mangsa ditemui berlumuran darah dalam keadaan terlentang oleh orang ramai sebelum memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, mangsa dilaporkan terjun dari tingkat 17 pangsapuri berkenaan dipercayai untuk membunuh diri, namun punca kejadian masih disiasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Rentung genggam kabel

HAMPIR PUTUS...sebahagian penebat kabel elektrik terkoyak dipercayai dipotong mangsa.KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang cuba mencuri kabel elektrik berhampiran Kondominium Marina Court di sini, ditemui rentung dalam keadaan terlentang dengan tangannya masih menggenggam kabel yang hampir terputus, semalam.
Difahamkan, lelaki berusia 23 tahun itu mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik berkuasa 11,000 volt (kV) beberapa hari lalu sebelum ditemui pengawal keselamatan yang terhidu bau busuk di sekitar kawasan itu, kira-kira jam 7.30 pagi.
Sebelum itu, pengawal terbabit memeriksa kawasan berkenaan selepas dimaklumkan mengenai bau busuk oleh orang ramai yang lalu-lalang di kawasan berkenaan.

Ketika memeriksa di satu kawasan parit, pengawal itu terkejut melihat tubuh manusia terlentang dengan berpakaian gelap dipercayai terbakar sebelum memaklumkannya kepada polis.


Polis yang tiba beberapa minit kemudian terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba dan penyelamat bagi mengeluarkan mayat berikutan keadaan parit yang menyalurkan paip air bawah tanah itu agak sempit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, polis yang menerima panggilan orang ramai bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Sebaik tiba, polis menemui satu mayat rentung dalam keadaan terlentang.

"Oleh kerana kabel elektrik masih berfungsi, polis terpaksa meminta bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk mematikan bekalan bagi membolehkan anggota bomba membawa keluar mayat terbabit,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian dan polis menolak sebarang unsur jenayah.

“Mangsa mati akibat terkena renjatan elektrik berdasarkan keadaan mangsa yang memegang kabel yang hampir terputus.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke di Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat," katanya.

Tetak bapa kekasih

AMPANG: Hanya kerana hubungan cinta dihalang, seorang lelaki menetak bapa kekasihnya menggunakan parang di depan rumah mangsa di Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang, di sini.
Kejadian kira-kira jam 6 petang Isnin lalu berlaku ketika mangsa yang berusia 40 tahun dan bekerja sebagai buruh baru pulang dari pasar malam tidak jauh dari rumahnya dengan menunggang motosikal.
Suspek dipercayai mengenali anak mangsa yang berusia belasan tahun sejak beberapa bulan lalu, tetapi mangsa dipercayai tidak merestui hubungan itu kerana suspek seorang warga asing.

Menurut sumber polis, sebaik mangsa turun dari motosikalnya, suspek yang menyorokkan parang di belakang badannya memanggil lelaki itu, tetapi ia tidak diendahkan.


“Mangsa yang tidak mengesyaki sesuatu masuk ke rumah dan ketika itu, suspek menyerang dan menetak kepala serta badan mangsa sebelum melarikan diri.

“Anak saudara mangsa yang berusia 14 tahun dan berada di rumah itu menjerit kerana terkejut dengan tindakan suspek,” katanya.

Menurutnya, dalam kekecohan itu, mangsa terjatuh berlumuran darah sebelum dia dibantu jiran yang keluar melihat apa yang berlaku selepas terdengar jeritan meminta tolong.

“Mangsa yang parah dibawa anak saudaranya itu ke Hospital Ampang dan pemeriksaan mendapati tulang pinggulnya patah akibat ditetak suspek.

“Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan susulan itu, seorang lelaki berusia 20-an yang juga warga Filipina ditahan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suspek menyerang dan menetak mangsa kerana tidak puas hati selepas hubungan cinta dia dan anak gadis mangsa tidak direstui.

“Mungkin kerana berang tindakan mangsa yang menghalang cinta mereka membuatkan suspek sanggup menyerang dan menetak mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, berikutan laporan mangsa, polis menahan seorang lelaki berusia 20-an yang juga warga Filipina beberapa jam kemudian dan merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tiga ditembak penyamun syarikat pengurup wang


Oleh Muhamad Fairoz Azizan

2010/11/25

ANGGOTA polis memeriksa kawasan kejadian kes samun bersenjata di Kuala Lumpur, semalam.
ANGGOTA polis memeriksa kawasan kejadian kes samun bersenjata di Kuala Lumpur, semalam.
2 lelaki bertopi keledar larikan wang tunai RM200,000

KUALA LUMPUR: Dua pekerja syarikat pengurup wang dan seorang pengunjung gedung pakaian beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, cedera terkena tembakan dalam kejadian samun bersenjatakan pistol dan parang, petang semalam. 

Dalam kejadian jam 3.30 petang di Chow Kit itu, dua lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh dan mulut ditutup dengan kain memasuki gedung berkenaan dan menyamun pejabat pengurup wang yang terletak di tingkat dua gedung itu.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek mengacukan senjata ke arah seorang pekerja pengurup wang itu dan mengarahkannya memasukkan sejumlah wang tunai pelbagai mata wang yang dianggarkan bernilai RM200,000 ke dalam sebuah beg.
“Suspek kemudian melarikan diri melalui tangga gedung itu dan salah seorang pekerja syarikat terbabit mengejar suspek, namun suspek bertindak melepaskan tembakan mengenai tangan dan perut mangsa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. 

Beliau berkata, seorang pengunjung wanita gedung itu terkena tembakan rambang dan mengenai kaki kanannya, manakala seorang lagi pekerja syarikat itu cuba mengejar suspek namun terkena tembakan di bahagian paha kiri. 

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai berusia lewat 20-an melarikan diri dengan menaiki motosikal dan siasatan polis mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang dalam gedung berkenaan. 

“Seorang pekerja syarikat pengurup wang itu parah, manakala dua lagi mangsa cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Semua mangsa berusia lingkungan 30-an,” katanya. 
Beliau berkata, kes di siasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

2 bersaudara maut kereta rempuh pokok


Oleh Mohd Zaidi Ya'acob

2010/11/25

  KEADAAN kereta yang remuk selepas terbabit dalam nahas di Jalan Kolam Air, Machap Umbo dekat Alor Gajah,   awal pagi semalam.
KEADAAN kereta yang remuk selepas terbabit dalam nahas di Jalan Kolam Air, Machap Umbo dekat Alor Gajah, awal pagi semalam.
Empat mangsa lagi parah selepas pulang makan malam

ALOR GAJAH: Dua bersaudara termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas kereta yang mereka naiki bersama enam lagi saudaranya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok sawit di Jalan Kolam Air, Machap Umbo, di sini, awal pagi, semalam. 

Dalam kejadian jam 1.20 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai On Hock Yau, berusia lima tahun dari Machap Umbo dan sepupu perempuannya, Quek Mei Yen, 16, warga Singapura.Empat lagi mangsa yang mengalami parah adalah On Wei Wei, 25, pemandu kereta dan adiknya, On Seng Peek, 24, serta dua sepupu mereka, Quek Jin Long, 12, dan Quek Jin Yong, 15.
Mei Yen disahkan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala sepupunya, Hock Yau meninggal dunia di Hospital Alor Gajah. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, berkata semua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Melaka dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). 

Beliau berkata, ketika kejadian, mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Durian Tunggal selepas menikmati makan malam bersama di Machap. 

Sementara itu, bapa Wei Wei yang hanya mahu dikenali sebagai On, berkata, tiga anak saudaranya iaitu Mei Yen, Jin Long dan Jin Yong sepatutnya pulang ke Singapura semalam. 
“Namun, disebabkan pasport dua daripada mereka tertinggal di rumah saudaranya di Kuala Lumpur, menyebabkan ketiga-tiga mereka mengambil keputusan menangguhkan perjalanan pulang ke Singapura. 

“Disebabkan keadaan sudah lewat, mereka setuju bermalam di rumah kami di Durian Tunggal sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura pagi ini," katanya.