Search This Blog

Tuesday, November 23, 2010

Tinggal sehelai sepinggang





2010/11/22

MELAKA: Dua beradik tinggal sehelai sepinggang apabila dua rumah papan yang menjadi kediaman mereka di Lorong Haji Baba, Kampung Pasir Puteh, Bachang, dekat sini, musnah dalam kebakaran, kira-kira jam 2 petang, semalam. 

Kejadian yang dipercayai bermula dengan satu letupan kecil itu, turut memusnahkan sebuah Proton Iswara yang diletak dalam garaj, selain sejumlah wang tunai dan barang kemas untuk hantaran perkahwinan milik anak mangsa.
Pemilik rumah, Anisah Saad, 50, dan adiknya, Salbiah Saad, 44, bagaimanapun lega apabila anaknya, Hairul Nizam Anwar, 26, sempat menyelamatkan sebuah Proton Wira yang turut diletak di situ dengan nekad memecahkan cermin hadapan kereta.
Itulah saja harta kami yang terselamat, yang lain termasuk sejumlah wang hasil perniagaan dan barangan kemas untuk hantaran Hairul Nizam pada 9 Mac depan sudah musnah, katanya ketika ditemui, semalam. 

Hairul yang tergamam dengan kejadian itu, sebelum itu bergegas pulang dari tempat kerjanya di sebuah kilang di Krubong untuk membantu tetapi hanya sempat menyelamatkan Proton Wira miliknya diletak di luar perkarangan rumah.

Gempa bumi kuat 6.1 Richter landa Papua





2010/11/23

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda timur Papua New Guinea 5.01 petang tadi. 

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologikal hari ini pusat gempa itu di 368km utara Port Moresby, Papua New Guinea dan 3,423km tenggara Kunak, Sabah.

Pelajar tingkatan 4 hilang dari sekolah





2010/11/23

ALOR SETAR: Seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah di Sungai Petani, hilang dipercayai dilarikan teman lelakinya sejak 21 Oktober lalu. 

Ibu mangsa Tan Ghek Khim, 46, mendakwa sehari sebelum kejadian, anaknya Low Li Min, 16, ada memberitahunya mahu berkawan dengan seorang lelaki tetapi dia menolak kerana Low masih lagi belajar.
"Pada keesokkan harinya, guru kelas anak saya ada menghubungi saya dan memberitahu bahawa anak saya (Low) tidak masuk ke kelas. Saya berasa hairan kerana anak saya pergi ke sekolah seperti biasa. Dia pergi bersama rakan perempuannya," katanya pada sidang media di pejabat Gerakan di sini hari ini.
Tan berkata, kawan anaknya itu ada memberitahunya bahawa anaknya telah mengikut seorang lelaki dipercayai teman lelakinya sebelum masuk ke sekolah pagi itu. 

"Saya mengesyaki lelaki itu adalah teman lelaki anak saya. Saya dan suami terus pergi ke rumah lelaki itu dan seorang lelaki dipercayai ahli keluarga mereka telah memberi nombor telefon bapanya. 

"Saya terus menghubungi bapa suspek dan dia beritahu dia akan cuba mencari (Low) tetapi sehingga sekarang anak saya belum ditemui," katanya. 

Tan berkata, dia percaya kehilangan Low ada kena mengena dengan pinangan yang ditolak pada Disember tahun lepas. 
"Keluarga teman lelaki anak saya ada datang meminang anak saya tetapi saya menolak dengan cara baik kerana Low masih bersekolah. Baru-baru ini pun mereka ada datang untuk meminang tetapi macam mana saya nak terima sedangkan anak saya tidak berada di depan mata," katanya dengan nada sedih. 

Sepanjang kehilangan Low, Tan berkata dia hanya bercakap dengan Low sebanyak dua kali sahaja melalui telefon. 

"Kali pertama dia telefon, dia cakap mahu pulang sambil menangis dan semalam kami dapat bercakap dengannya sekali lagi dan memujuknya memberitahu lokasi dia berada tetapi dia kata dia berada jauh dan tidak tahu tempatnya. Saya meminta pertolongan orang ramai menghubungi balai polis berhampiran sekiranya menjumpai Low," katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hashim Ali, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata polis sedang menyiasat kes itu. - BERNAMA

Buruh maut dalam tanah runtuh di Desa Hartamas





2010/11/23

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja binaan warga Indonesia maut dalam kejadian tanah runtuh ketika melakukan kerja-kerja membuat tembok penahan di sebuah banglo mewah di Desa Hartamas di sini petang ini. 

Ketika kejadian 3 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Hasib, 27, dari Madura, Indonesia, sedang membuat tembok penahan tanah runtuh itu bersama dua rakannya selepas hujan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata siasatan awal mendapati kepala mangsa terhantuk pada tembok penahan berkenaan sebelum ditimbus tanah runtuh sedalam kira-kira dua meter.
"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa mengambil masa setengah jam oleh beberapa anggota pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Sri Hartamas sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya.

Seorang rakan mangsa yang dikenali sebagai Subarto Pukiman, 49, berkata ketika kejadian, beliau cuba menyelamatkan rakannya, namun tidak sempat kerana tanah runtuh secara tiba-tiba. 

"Selepas Hasib tertimbus, saya memanggil kawan-kawan lain untuk mengeluarkannya dengan menggunakan jentolak, namun ia amat sukar...tidak lama selepas itu, polis dan bomba tiba di tempat kejadian," katanya yang sudah empat tahun bekerja bersama mangsa di negara ini. - BERNAMA

10 ditahan di 3 negara dalam operasi antikeganasan





2010/11/23

BRUSSELS: Pendakwaraya persekutuan di Belgium berkata 10 suspek ditahan selepas operasi antikeganasan di Belgium, Belanda dan Jerman. 

Menurut kenyataannya, sasaran operasi itu ialah suspek yang merancang serangan di Belgium manakala yang lain ialah suspek pencari anggota pertubuhan pengganas Chechen.
Sepuluh rumah diserbu di tiga negara pagi tadi dan 10 suspek warga Belgium, Belanda, Maghribi atau Russia ditahan.
Menurut kenyataan itu, siasatan sebelum ini menjurus kepada penahanan di Sepanyol, Maghribi dan Arab Saudi. - AP

Korea Utara tembak pulau Korea Selatan



RUMAH penduduk di Pulau Yeonpyeong, Korea Selatan, terbakar selepas Korea Utara melepaskan berpuluh tembakan artileri ke atas pulau berhampiran sempadan barat yang dipertikaikan hari ini. Tindakan Korea Utara itu menyebabkan Korea Selatan membalas tembakan dan mengerah pesawat pejuang. Sekurang-kurangnya seorang anggota marin Korea Selatan dilaporkan terbunuh. - Foto AP

2010/11/23

SEOUL: Korea Utara melepaskan berpuluh tembakan artileri ke atas pulau Korea Selatan yang berpenduduk dekat sempadan barat yang dipertikaikan, menyebabkan Korea Selatan membalas tembakan dan mengerah jet pejuang, kata pegawai tentera.

Dua anggota marin Korea Selatan dilaporkan terbunuh manakala 15 yang lain cedera.
Pertempuran kecil itu berlaku ketika ketegangan baru berikutan dakwaan Korea Utara ia memiliki kemudahan baru bagi pemeringkatan uranium dan selepas lebih sebulan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, mengumumkan anak lelaki bongsunya sebagai bakal pengganti.
Televisyen YTN Korea Selatan melaporkan beberapa rumah terbakar dan peluru artileri masih berguguran di Pulau Yeonpyeong, kira-kira 100 kilometer dari pantai.

YTN melaporkan antara 1,200 dan 1,200 penduduk tinggal di pulau itu. - AP

Patung bogel dijual secara terbuka di Perlis



PATUNG separuh bogel yang dijual secara bebas kepada pengunjung Pasar Sehari Wang Kelian di Padang Besar kelmarin.


PADANG BESAR - Mungkin hanya untuk tarikan, namun seorang peniaga tidak mempedulikan sensitiviti apabila dia dikesan menjual patung wanita separuh bogel secara terbuka di Pasar Sehari Wang Kelian di sini kelmarin.
Patung yang menampakkan buah dada wanita itu akan bergerak-gerak selepas dihidupkan dengan hanya menggunakan tenaga solar apabila coli patung itu ditanggalkan.
Menurut peniaga tersebut yang enggan dikenali, patung itu dijual pada harga RM10 sahaja dan permainan tersebut sesuai diletakkan di papan pemuka kenderaan untuk menghilangkan rasa mengantuk.
"Pelanggan yang berkunjung suka melihat patung ini apabila buah dadanya bergerak-gerak selepas colinya ditanggalkan.
"Dalam sehari lebih lima buah akan terjual. Patung ini sesuai diletakkan di dalam kereta dan kebanyakan pembeli adalah orang muda," katanya.

Lelaki Iran ke tali gantung



ROUHOLLAH AHMADZADEH (tengah) diiringi keluar daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dihukum gantung atas tuduhan menyeludup syabu semalam.


SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warga Iran selepas dia didapati bersalah mengedar syabu seberat satu kilogram Jun tahun lalu.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman tersebut selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang konsisten selain berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah.
Tertuduh, Rouhollah Ahmadzadeh Irandoust, 50, didakwa melakukan perbuatan itu di kaunter pemeriksaan kastam D Unit Khas Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pukul 3.50 pagi pada 14 Jun 2009.
Tertuduh yang diwakili peguam Gooi Soon Seng didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama.

'Mangsa' rompakan disiasat kerana buat laporan palsu



23/11/2010 7:01pm

KUCHING - Gara-gara membuat laporan palsu bahawa wang tunai RM5,000 miliknya telah dirompak dua anggota polis, seorang penyelia stor kini disiasat polis.
Dalam insiden itu, lelaki berusia 42 tahun tersebut mendakwa wang berkenaan, kad pengenalan dan kad ATM miliknya telah dilarikan dua lelaki bermotosikal di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di sini pada 8.50 pagi semalam.
'Mangsa' mendakwa kedua-dua lelaki yang berjaket hitam dan berkemeja-T dengan logo polis itu telah mengacukan sesuatu menyerupai pistol ke pinggangnya, sebelum melarikan duit tersebut yang didakwa diletakkan dalam sampul surat.
Lelaki tersebut kemudian membuat laporan di Balai Polis Padungan di sini kira-kira 10 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kock Keong yang mengesahkan kejadian itu berkata, lelaki tersebut bagaimanapun mengaku membuat laporan palsu setelah disoal siasat.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu, yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata kes itu akan dirujuk kepada Peguam Kanan Persekutuan untuk tindakan lanjut. - Bernama

Mayat wanita reput dalam semak



23/11/2010 7:12pm

IPOH - Mayat seorang wanita hampir reput dipercayai mangsa bunuh dijumpai di sebuah kawasan semak berhampiran bekas ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata, mayat itu ditemui oleh seorang pekerja memotong rumput yang melakukan kerja pembersihan di situ tengah hari tadi.
Mayat berkenaan tersorok dalam timbunan dahan kayu dan semak dengan kedua-dua kakinya terikat, katanya.
Zakaria berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat bagi memastikan punca kematian.
Beliau berkata, identiti wanita itu belum diketahui kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai.
Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui telefon 05-2451500. - Bernama

3 terbunuh kereta melambung atas van



23/11/2010 1:06pm

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Dua tukang masak antara tiga yang terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabas ke arah bertentangan dan melambung ke atas sebuah van di Jalan Syed Putra di sini, awal pagi tadi.
Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, kedua-dua tukang masak itu dikenal pasti sebagai Lee Fong Hoon, 36, dan Oo Der Hing, 25, manakala pemandu van yang turut terbunuh dalam kemalangan maut itu ialah Raja Nazreen Raja Sulong, 34.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, katanya.
Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 4.10 pagi berdekatan Sekolah Menengah Kuen Cheng, beliau berkata, ia turut menyebabkan seorang wanita cedera ringan apabila kereta yang dipandunya melanggar bahagian belakang van terbabit.

"Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Fong Hoon dari arah Petaling Jaya ke pusat bandar merempuh tiang lampu dan terbabas ke arah bertentangan lalu melambung ke atas van itu.

"Akibat rempuhan yang kuat itu, van tersebut berpusing melawan arus sebelum dilanggar oleh kereta yang dipandu wanita itu," katanya.

Rosli berkata, ketiga-tiga mangsa yang terbunuh itu telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. - Bernama

Buruh binaan mati tertimbus



23/11/2010 5:28pm

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Seorang pekerja buruh binaan maut selepas tertimbus tanah sedalam dua meter di sebuah tapak pembinaan rumah berkembar tiga tingkat di Jalan Puncak Kiara, di sini hari ini. - Utusan

Pesakit buah pinggang dipenjara 12 tahun



23/11/2010 7:20pm



KOTA BHARU 23 Nov. – Seorang pesakit buah pinggang terlepas hukuman gantung selepas pihak pendakwaan meminda pertuduhan mengedar kepada memiliki ganja seberat 4.8 kilogram tiga tahun lalu.
Tertuduh, Abdullah Mahmood, 45, bagaimanapun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hakim Azman Abdullah turut menjatuhkan hukuman penjara tambahan 24 bulan bagi menggantikan hukuman sebat yang sepatutnya dikenakan ke atas tertuduh disebabkan faktor kesihatannya.
Beliau mengarahkan tertuduh yang berasal dari sini dan telah berkeluarga serta bekerja sendiri menjalani hukuman tersebut mulai dari tarikh dia ditangkap pada 7 Ogos 2007. - Utusan

Buah pinggang mungkin rosak

BUKTI...Yati menunjukkan kecederaan yang dialami.

BUKTI...Yati menunjukkan kecederaan yang dialami.


KUALA LUMPUR: “Berkali-kali saya minta maaf daripadanya tetapi dia tak hiraukan dan terus menendang saya,” kata seorang eksekutif pentadbiran yang menjadi mangsa buli jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Ampang di sini, semalam.
Lebih trauma apabila doktor mengesyaki buah pinggang wanita berusia 26 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Yati itu mungkin rosak akibat tendangan lelaki berusia 30-an terbabit.
Semuanya bermula ketika Yati menunggang motosikal untuk ke tempat kerja dan ketika tiba di Jalan Ampang kira-kira jam 10 pagi, kenderaannya bergesel dengan motosikal lelaki terbabit.

“Saya berjaya mengawal motosikal dan tidak terbalik, tetapi saya lihat lelaki berkenaan terjatuh di atas jalan raya menyebabkan saya berpatah balik untuk melihat keadaannya,” katanya kepada Harian Metro.


Yati berkata, ketika bertanya keadaannya sejurus tiba di lokasi kejadian, lelaki terbabit terus bangun dan menendang motosikalnya hingga terbalik.

“Akibatnya saya terjatuh bersama motosikal dan lelaki terbabit terus meluru serta menendang saya berkali-kali. Saya berjaya bangun semula dan meminta maaf tetapi dia terus memukul saya terutama di bahagian pinggang,” katanya.

Dia bernasib baik apabila beberapa pengguna jalan raya berhampiran tempat kejadian segera bertindak menenangkan lelaki itu sebelum polis, ambulans tiba dan membawa kedua-dua mereka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Saya tahu saya bersalah sebab cuai ketika menunggang motosikal sehingga bergesel dengan motosikal lelaki itu, tetapi kecederaannya hanya sedikit, di bahagian siku saja dan dirawat sebagai pesakit luar di HKL,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abd Rahim Hamzah Othman mengesahkan laporan kes itu.

Sita kenderaan tak jelas denda

SUBANG JAYA: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor kini dibenarkan menyita kenderaan yang mempunyai jumlah tunggakan kompaun tinggi termasuk bagi kesalahan meletakkan kereta di kawasan larangan, berkuat kuasa serta-merta.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Adnan Md Ikhsan, berkata persetujuan yang dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan negeri itu untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya yang memandang remeh terhadap kompaun PBT.

“Bagi MPSJ, kenderaan yang boleh disita adalah kenderaan yang mempunyai lebih daripada 10 tunggakan atau pengguna yang berdegil melakukan kesalahan sama di kawasan sama, meskipun sudah dikompaun beberapa kali,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ di sini, semalam.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat untuk menanam sifat tanggungjawab di kalangan pengguna jalan raya yang berterusan melakukan kesalahan sama setiap hari khususnya kesalahan meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak sepatutnya.

Menurutnya, pengguna hanya boleh mendapatkan semula kenderaan yang ditunda sekiranya semua bayaran kompaun dibuat.

Selain itu, beliau mengumumkan kompaun minimum bagi kesalahan tempat letak kereta di Subang Jaya dinaikkan RM10 menjadikannya RM50 berbanding RM40 sebelum ini.

Pegawai kanan Yayasan Selangor direman 7 hari


23/11/2010 3:14pm

SHAH ALAM 23 Nov — Seorang pegawai kanan Yayasan Selangor ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perbelanjaan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 yayasan itu yang dikatakan melebihi RM300,000.
Perintah tahanan reman sehingga 29 Nov itu dikeluarkan oleh penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi, Khairul Nizam Abu Bakar.
Pegawai berusia 40-an itu ditahan pagi semalam oleh SPRM berikutan pembabitannya sebagai pengerusi pengelola untuk majlis tersebut.
Sambutan ulang tahun yayasan berkenaan mendapat perhatian apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat baginda berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kosnya yang dikatakan amat tinggi.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa kos majlis berkenaan menjangkau lebih RM800,000 dan sebahagian daripada jumlah itu sudah dibayar kepada syarikat yang diberi kontrak menganjurkannya. — BERNAMA FAI FAI SBB

Di China semua diselamatkan, di NZ mungkin semua terkorban


OPERASI BERJAYA: Gambar yang dipetik daripada TV ini menunjukkan para pegawai perubatan mengusung salah seorang daripada pelombong arang batu yang diselamatkan semalam.. -- Foto AP


23 Nov 2010

LUAR NEGARA

PEKERJA LOMBONG TERPERANGKAP



BEIJING: Kesemua 29 pekerja lombong China yang terperangkap akibat banjir dalam lombong arang batu di barat daya negara itu telah diselamatkan semalam.
Mereka mula terperangkap dalam lombong Batian di wilayah Sichuan apabila banjir berlaku pada pagi kelmarin.Ketika itu, 35 pelombong berada dalam lombong berkenaan.Seramai 13 pelombong berjaya menyelamatkan diri sementara 22 yang lain terperangkap.Lagi tujuh pekerja penyelamat juga kemudian terperangkap bersama para pelombong dalam percubaan awal untuk menyelamatkan kumpulan itu.Tepukan gemuruh menyambut setiap pekerja lombong apabila mereka dibawa keluar seorang demi seorang semalam.Mereka diselubungi selimut sebaik saja dibawa keluar memandangkan mereka semua tidak berpakaian.Pakaian mereka basah ekoran banjir di dalam lombong itu.Para pelombong itu kelihatan tidak memakai kasut dan mata mereka ditutup agar pancaindera mereka dilindungi daripada sinaran matahari setelah terperangkap dalam keadaan bergelap lebih 24 jam.Tahun lalu, 2,631 pelombong China mati semasa bertugas.Pada Oktober lalu, 33 pelombong Chile telah berjaya diselamatkan setelah terperangkap selama lebih dua bulan.Kejayaan Chile telah mencetuskan kritikan penduduk China terhadap pihak berkuasa setempat kerana gagal melancarkan operasi serupa.Pemerintah China telah berkali-kali berikrar akan menutup lombong yang berbahaya.Namun, kemalangan terus dilaporkan berlaku.Sementara itu, di New Zealand, pihak polis dan pekerja penyelamat buat pertama kali akur bahawa 29 pelombong yang terperangkap sejak Jumaat lalu mungkin sudah mati.Mereka telah terperangkap di lombong berhampiran Atarau di Pulau Selatan apabila satu letupan kuat meruntuhkan lombong berkenaan.Gas toksik telah menghalang para pekerja penyelamat daripada melancarkan operasi menyelamat lebih awal.Superintenden polis, Encik Gary Knowles, berkata:'Keadaan masih lagi serius memandangkan kita tidak dengar apa-apa daripada pelombong yang terperangkap selama lebih tiga hari.'Semalam, robot canggih akan diturunkan ke dalam lombong itu untuk mengambil gambar dan menilai kadar gas toksik.Encik Knowles berkata pihaknya perlu bersedia menghadapi semua kemungkinan, termasuk korban jiwa. -- AP, AFP, Reuters.

Pasukan khas ditubuh kesan penyamun



23/11/2010 4:28pm





DICARI... Lakaran fotofit dua suspek dipercayai terbabit dalam tiga kes ragut dan samun yang berlaku di Temerloh dari September hingga November tahun ini.



TEMERLOH 23 Nov. – Polis Temerloh menubuhkan dua pasukan khas bagi memberkas dua lelaki dipercayai terbabit dalam tiga kes samun dan ragut membabitkan kerugian lebih RM18,000 di daerah ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor berkata, dua penjenayah terbabit dipercayai terbabit dalam kes jenayah itu sejak September lalu hingga bulan ini.
Menurutnya, mereka dipercayai daripada kumpulan sama melakukan jenayah ragut dan samun bersenjata parang dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha RX-Z 125.
“Modus Operandi mereka ialah dengan berpura-pura bertanya arah jalan sebelum meragut dan merampas barang kemas mangsa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini hari ini. - Utusan

Pakai mekap dan bertudung




MENYAMAR sebagai seorang wanita untuk mengelak daripada dikesan sebelum melarikan diri ke Malaysia.
Mas Selamat Kastari mengenakan mekap dan memakai tudung menyamar sebagai wanita apabila meninggalkan rumah abangnya di Tampines sebelum ke Malaysia.Penyamaran pengganas Jemaah Islamiyah (JI) Singapura itu didedahkan dalam sidang Parlimen, semalam.Mas Selamat dikatakan membawa bersama bantuan bekalan seperti pakaian dan ubat, kad EZ-link serta wang yang diberikan abangnya, Asmom, dan keluarganya.Butir-butir kejadian ini, selepas Mas Selamat melarikan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road (WRDC), didedahkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.Beliau menyampaikan kenyataan Menteri bagi memberi perkembangan terkini episod Mas Selamat yang telah ditahan semula selepas melarikan diri dari WRDC pada 27 Februari 2008.Siasatan menunjukkan bahawa Mas Selamat telah mendapatkan perlindungan di flat abangnya, Asmom, di Tampines.Asmom, isterinya, Aisah, dan anaknya, Nur Aini, mengaku salah atas peranan mereka dan dikenakan hukuman penjara minggu lalu, dedah Encik Shanmugam.Seorang lagi anak Asmom, Mahadir, diberikan amaran keras.Butir-butir dan maklumat mengenai bagaimana Mas Selamat masuk ke Malaysia sedang disiasat dan perlu disahkan sepenuhnya.Mas Selamat sebelum ini memang dikatakan beberapa kali menyamar diri untuk mengelak daripada dikesan sebelum dia ditangkap.

Pelajar tidak pulang sejak lima hari


-- Foto BHM





KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok, tidak pulang ke rumah sejak lima hari lalu selepas dikatakan keluar ke kedai untuk membeli alat tulis bagi peperiksaan itu.
Fatin Farihah Nordin, 17 tahun (gambar), yang pernah meraih anugerah pelajar cemerlang Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Damai dekat sini, tahun lalu, keluar rumah 12 tengah hari Rabu lalu.Ibunya, Cik Zatul Bazamah Zainal Abidin, 34 tahun, berkata anak sulung lima beradik itu keluar rumah sehelai sepinggang dan mengesyaki anaknya itu keluar bersama seorang lelaki.Menurut beliau ketika beliau menghubungi telefon bimbit anaknya, pelajar itu memberitahu ada di Putrajaya bersama seorang rakan.'Ketika saya menelefonnya, dia beritahu ada di Putrajaya dan ke sana naik motosikal bersama rakan.'Apabila saya tanya sama ada rakan itu lelaki, dia terus matikan telefon dan sehingga kini tak dapat dihubungi,' katanya ketika mengunjungi Balai Berita di sini, kelmarin.Cik Zatul berkata, beliau bimbang atas keselamatan Fatin Farihah kerana selepas empat hari, anaknya itu langsung tidak menghubunginya, apa lagi dia perlu pulang segera bagi menduduki SPM.Beliau menambah, pihaknya sudah pun membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh, kelmarin. -- BHM.

29 pelombong diselamatkan



BEIJING - Seramai 29 pelombong berjaya diselamatkan selepas terperangkap selama sehari di dalam lombong arang batu Batian di wilayah Sichuan, China akibat banjir, semalam. 

Agensi media Xinhua melaporkan pelombong tersebut terperangkap selepas lombong itu tiba-tiba dinaiki air, kelmarin. 

Pelombong dilaporkan ditemui dalam keadaan tidak berkasut dan berbaju kerana pakaian mereka basah akibat banjir. 

Mangsa turut memakai penutup mata supaya cahaya matahari tidak menjejaskan penglihatan mereka selepas berada dalam tempat gelap selama sehari. 

Biro keselamatan kerja Sichuan, Lin Shucheng berkata, walaupun kemalangan lombong haram banyak berlaku di China, tetapi operasi di lombong arang batu Batian adalah sah dan mempunyai lesen penuh. 

China bergantung kepada arang batu untuk 70 peratus daripada pengeluaran tenaga dan lombong negara itu dikategorikan sebagai paling berbahaya di dunia, di mana lebih daripada 2,600 nyawa terkorban dalam kemalangan lombong arang batu sepanjang tahun lalu

Bas rempuh, libat 6 kenderaan lain



KUALA TERENGGAN – Seramai 60 individu cemas apabila sebuah bas merempuh kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Mahmud, di sini, kira-kira jam 3.30 petang semalam. 

Enam-puluh orang itu terdiri daripada 48 penumpang bas, pemandu dan kelindan bas berkenaan, manakala selebihnya adalah pemandu serta penumpang enam kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu. 

Rempuhan itu menyebabkan pemandu Perodua Kancil, seorang wanita berusia lingkungan 20-an cedera akibat tersepit dalam kenderaannya sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini. 

Bagaimanapun, semua mangsa lain tidak mengalami kecederaan. 

Sinar Harian difahamkan, kemalangan dikatakan berlaku apabila pemandu bas yang datang dari Dungun ke Kuala Terengganu itu tiba-tiba merempuh Perodua Kancil walaupun sudah menekan brek untuk berhenti. 

Susulan rempuhan itu, Perodua Kancil yang berada di lorong kiri terbabit bergerak melanggar kenderaan lain manakala bas yang gagal dikawal itu memasuki lorong tengah lalu melan:ggar beberapa kereta lain. 

Seorang penumpang bas, Nur Azleen Rozelan, 18, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia yang berada di dalam kenderaan itu terkejut apabila mendengar bunyi rempuhan kuat selepas bas melanggar sebuah :Pajero. 

“Akibat kemalangan itu, semua penumpang yang ada dalam bas panik dan menjerit meminta pemandu menghentikan bas namun bas hanya berhenti kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian,” katanya, semalam. 

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu, ketika kejadian dia sedang minum di sebuah warung tidak jauh daripada lokasi kejadian sebelum melihat bas terbabit tidak berhenti di simpang berkenaan. 

“Bas itu merempuh sebuah kereta kancil yang ketika itu berhenti di lorong kiri jalan menghala ke Kuala Terengganu. 

“Kancil itu kemudiannya merempuh kereta di depannya yang menyebabkan kereta itu merempuh sebuah lagi kereta di depannya yang bergerak melanggar sebuah lagi kenderaan di depannya. 

Katanya, bas itu kemudiannya masuk ke lorong tengah lalu melanggar sebuah Pajero dan menggesel sebuah Perodua Myvi. 

“Pajero itu kemudiannya melanggar sebuah Perodua Viva yang berada di lorong kanan dan kereta itu melanggar sebuah lagi Perodua Kancil,” katanya. 

Kemalangan itu turut menyebabkan jalan berkenaan mengalami kesesakan sejauh satu kilometer sebelum kembali lancar setengah jam kemudian apabila semua kenderaan yang terbabit dialihkan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner, Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian itu.

Mayat lelaki ditemui berulat di tepi kolam


KUANTAN - Mayat seorang lelaki, dipercayai mati dibunuh, ditemui dalam keadaan berulat di tepi sebuah kolam di Kampung Sungai Ruan, Raub petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Mohd Haris Daud berkata, mayat tanpa sebarang identiti itu dijumpai lengkap berpakaian oleh penduduk kampung berkenaan kira-kira pukul 5.45 petang.

"Kita percaya mangsa dibunuh berdasarkan daripada beberapa kesan tikaman di bahagian leher dan dada serta cedera di bahagian anggota badan lain.

"Warga tempatan berkenaan dipercayai seorang penagih dadah berikutan penemuan peralatan menghisap dadah di sisi mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil bedah siasat mendapati lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an meninggal dunia sejak lima hari lepas akibat tikaman dengan objek tajam. 

Belum ada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya

Askar Israel terlepas hukuman penjara




TEL AVIV - Dua askar Israel yang didapati bersalah menggunakan seorang kanak-kanak Palestin sebagai perisai manusia semasa Perang Gaza pada 2009 terlepas daripada menjalani hukuman penjara, kelmarin. 

Pegawai tentera itu disabitkan bersalah, bulan lalu, selepas memaksa Majed Rabah, 9, membuka beberapa beg yang dikhuatiri mengandungi bom semasa serangan Israel ke atas Gaza selama 22 hari yang berakhir pada Januari 2009. 

Kedua-dua askar yang tidak didedahkan identiti mereka itu diturunkan pangkat selain diletakkan di bawah pemerhatian selama dua tahun oleh mahkamah tentera Israel dan hanya akan menjalani hukuman penjara tiga bulan jika melanggar peraturan semasa tempoh itu. 

Jurucakap kumpulan hak asasi manusia Defence for Children International, Gerard Horton menyelar keputusan mahkamah itu yang dianggapnya sebagai 'sukar dipercayai.' 

"Adakah pihak berkuasa Israel berpendapat hukuman penjara tiga bulan sesuai dengan tindakan dua askar bersenjata menggunakan kanak-kanak sebagai perisai manusia?," katanya. 

Hukuman ringan itu turut dikritik oleh ibu kanak-kanak itu yang berazam akan memfailkan saman di mahkamah awam bagi mencabar keputusan mahkamah tentera rejim.

Nenek kecewa cinta terhalang



KULIM - Gara-gara hasrat untuk berkahwin dengan lelaki dicintai tidak direstui anak-anak, seorang warga emas berumur 75 tahun lari meninggalkan rumah untuk bertemu kekasihnya di Sik, empat hari lalu. 

Seorang anak wanita itu yang enggan dikenali berkata, ibunya sering dilihat mengelamun dan termenung. 

Setelah diajukan soalan, dia memberitahu hasratnya mahu berkahwin. 

Menurutnya, pada mulanya, hasrat si ibu tidak ditentang keluarga, tetapi setelah mendapati umur kekasihnya jauh lebih muda daripadanya, anak-anak tidak bersetuju memandangkan warga emas itu ada penyakit darah tinggi dan kencing manis. 

"Niat mak untuk bernikah semula itu kami setuju, tetapi biarlah dengan lelaki yang seusia dengannya. 

"Sekarang ini mak berumur 75 tahun manakala kekasihnya 42 tahun. 

"Sekiranya mereka menikah, ini akan mendatangkan kesulitan kepada anak dan waris untuk memanggilnya bapa. Mendengarkan itu, mak mungkin berkecil hati,” katanya. 

Menurutnya, setelah mendapati cintanya terhalang, warga emas itu mengambil keputusan membawa diri. 

Dia dikatakan keluar dari rumah menaiki teksi menuju ke Sik. 

"Keluarga puas berusaha mencari mak di sana, tetapi gagal dan akhirnya kami membuat laporan polis," katanya. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song :(gambar) :berkata, terdapat beberapa kejadian lari dari rumah yang tidak dilaporkan kepada polis. 

“Saya meminta kerjasama orang ramai supaya membuat laporan sekiranya ada ahli keluarga mereka lari dari rumah atau hilang. Dengan adanya laporan, polis boleh membantu mencari ahli keluarga yang hilang. 

"Kita harus peka dan cuba mendalami masalah dialami ahli keluarga,” katanya. 

Apapaun, kisah cinta nenek ini jika dapat direalisasikan hingga diijab kabul mungkin tidak jauh bezanya dengan cinta Nek Wok, atau nama sebenarnya, Wook Kundur, 108, dari Besut, Terengganu yang juga memilih Mohd Noor, 39, lelaki jauh lebih muda sebagai suami. 

Kisah cinta unik pasangan yang mempunyai perbezaan umur yang jauh itu pernah menggemparkan negara dan mendapat perhatian media.

Hampir 20 kes bomoh tipu



KUALA LUMPUR – Gara-gara mahu jadi kaya serta-merta, ramai orang gelap mata sehingga sanggup mempertaruhkan masa depan kepada bomoh nombor ekor yang hanya dikenali menerusi corong telefon. 

Walaupun hanya mendengar suara, ramai individu yang terpedaya kerana janji manis yang ditawarkan bomoh itu kononnya boleh menjangkau sehingga 10 kali ganda wang yang diberikan. 

Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, ini terbukti apabila sepanjang tahun 2007 sehingga semalam, 19 kes mangsa diperdaya bomoh ekor membabitkan kerugian RM930,000 dikesan pihaknya. 

Menurutnya, bagi tahun ini, terdapat enam kes menggunakan modus operandi sama dan seorang mangsa adalah Orang Asli yang kerugian kira-kira RM30,000. 

Beliau berkata, kebanyakan individu yang menjadi mangsa adalah ahli perniagaan, suri rumah dan penganggur. 

Chong berkata, seorang suri rumah warga emas turut menjadi mangsa apabila risalah ubah nasib yang diterimanya pada November tahun lalu, benar-benar ‘mengubah’ kehidupannya. 

Menurutnya, mangsa, Yeoh, 57, terus menghubungi dua nombor telefon yang tertera pada kertas itu bagi membeli nombor ekor daripada seorang bomoh yang memperkenalkan diri sebagai Master Gong Da Si. 

“Lelaki itu berjanji akan bantu ubah hidup mangsa dan menetapkan syarat, mangsa perlu membuat pembayaran kepadanya. Mereka juga tidak boleh bertemu, dikhuatiri akan mengganggu proses mendapatkan kekayaan itu. 

“Mangsa diminta membuat pembayaran sebanyak empat kali menerusi akaun bank atas penama berlainan, kononnya untuk upacara sembahyang dan membeli pakaian sembahyang bagi mempercepatkan mangsa memperoleh kekayaan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. 

Chong berkata, mangsa memasukkan wang berjumlah RM118,000 ke dalam akaun diberikan. 

Pada kali kedua dan ketiga, mangsa memasukkan lagi RM9,600 dan RM5,400 ke akaun berasingan. 

“Mangsa membuat bayaran terakhir RM71,400 kepada bomoh itu kerana yakin bahawa pulangan akan diperoleh dalam tempoh terdekat mencecah sehingga jutaan ringgit ,” katanya. 

Beliau berkata, bomoh nombor ekor itu bagaimanapun terus meminta wang daripada mangsa dengan memberi pelbagai alasan sehingga mangsa gagal membuat pembayaran. 

"Pada 20 Oktober lalu, mangsa cuba meminjam wang daripada anaknya untuk membuat pembayaran kepada bomoh itu, dan terkejut apabila diberitahu dia sebenarnya ditipu bomoh itu. 

"Mangsa yang kerugian kira-kira RM204,400 kemudian membuat laporan di Balai Polis Jinjang pada 27 Oktober lalu," katanya

Pegawai kanan TLDM didakwa kemuka invois palsu lebih RM500,000



IPOH - Seorang pegawai kanan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan mengemukakan invois palsu membabitkan nilai keseluruhan lebih RM500,000 bagi pembelian rangsum segar atau pek makanan tentera, empat tahun lepas.

Zamri Jusoh, 38, seorang leftenan komander di TLDM Lumut dekat sini, didakwa mengemukakan empat invois palsu Landmark Plaza bernilai RM520,852,99 bagi pembelian rangsum segar pada 2006, ketika bertugas sebagai pegawai bekalan di Kapal Diraja Sri Indera Sakti.

Hakim Noor Hayati Mat membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan suratan pemalsuan sebagai tulen, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Ketua Unit Pendakwaan dan Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Mahamad Sukri Abu Seman manakala Zamri diwakili peguam Norashikin Zainuddin.-BERNAMA