Search This Blog

Monday, November 22, 2010

Polis siasat dakwaan cermin kereta Ahli Parlimen dipecahkan



22/11/2010 6:20pm



SHAH ALAM 22 Nov. – Polis sedang menyiasat laporan yang dibuat Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa cermin belakang dua kereta miliknya dipecahkan dalam satu kejadian malam tadi.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan sekumpulan individu yang tidak berpuas hati setelah pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Langat semalam, dibatalkan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu yang dibuat oleh Abdullah pagi ini setelah menyedari cermin belakang kereta Toyota Fortuner dan Perodua Alza miliknya pecah kira-kira pukul 6 pagi. – Utusan.

Penduduk 5 kampung bantah ternakan burung walit





2010/11/22

KULIM: Lebih 1,200 penduduk dari lima kampung di Mukim Sidam, Padang Serai dekat sini, berkata mereka berdepan kesukaran akibat kegiatan industri burung walit yang menghasilkan bunyi bising selain kenderaan berat syarikat burung walit berkenaan yang menyebabkan jalan kampung mereka rosak. 

Mereka adalah penduduk yang tinggal di Kampung Paya Ketiau, Kampung Tengah Lesung Tujuh, Kampung Teluk Binu, Kampung Sidam Kanan dan Kampung Bukit Sidam yang menggunakan jalan kampung dari Taman Damai, Pekan Padang Serai dan kawasan sekitar sejauh 2.5 kilometer.
Hari ini lebih 50 penduduk mengadakan demonstrasi secara aman sebagai bantahan terhadap pengusaha ternakan burung walit di sebuah tapak lokasi baru yang dicadangkan didirikan sebuah bangunan di Kampung Paya Ketiau.
Jurucakap kumpulan itu, Md Yusof Nik Din, 52, berkata kegiatan menternak burung berkenaan bermula dengan aktifnya pada 2008. 

"Sejak itulah jalan kampung di sini menjadi mangsa lori beroda enam berulang-alik untuk membawa barang-barang peralatan pembinaan," katanya kepada pemberita selepas demonstrasi 15 minit itu. 

Sepasukan anggota polis diketuai Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Daerah Polis Kulim, ASP Hamdan Basiron, mengawasi demonstrasi berkenaan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini tidak berlaku. 

Md Yusuf yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Paya Ketiau, berkata dengan kerjasama beberapa Pengerusi JKKKP sekitar kawasan terbabit, mereka telah menulis surat kepada beberapa jabatan kerajaan yang terbabit menyatakan kekesalan mereka dan meminta supaya tindakan sewajar diambil. 
Katanya, cuma dua jabatan sahaja iaitu Pejabat Tanah Kulim dan Pejabat Kesihatan sahaja yang menjawabnya tetapi hanya sekadar melepas tangan sementara jabatan yang lain tidak memberi sebarang tindakan. 

Md Yusuf berkata, ketika ini terdapat sembilan bangunan memelihara burung itu dan tiga lagi akan dibina di sekitar tempat tinggal penduduk. 

"Kami kesal kerana pihak berkuasa tempatan boleh mengeluarkan lesen kepada bangunan yang dibina sekitar tidak sampai pun 100 meter jaraknya dengan rumah kediaman kami," katanya. 

Pekerja kilang Jaafar Man, 47, dari Kampung Paya Ketiau, berkata empat orang anaknya yang masih bersekolah tidak dapat belajar dengan sempurna antara 7 malam dan 10 malam setiap hari kerana bunyi yang kuat daripada rakaman suara burung yang dipasang di situ. 

Pengerusi JKKKP Kampung Tengah Lesung Tujuh Yusuf Abdul Rahman, 65, pula berharap tindakan segera diambil pihak berwajib mengatasi masalah di situ. 

"Semakin banyak bangunan memelihara burung ini didirikan semakin merugikan penduduk di situ," katanya. - BERNAMA

Polis akan ambil keterangan keluarga lelaki ditembak mati





2010/11/22

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan ahli keluarga dua daripada tiga lelaki yang mati ditembak selepas disyaki selesai merompak sebuah stesen minyak di Glenmarie, Shah Alam, 13 November lalu. 

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegam, berkata proses mengambil keterangan termasuk merakam percakapan ini adalah prosedur biasa bagi sebarang laporan polis yang dibuat termasuk oleh keluarga mangsa.
"Mereka berhak membuat laporan polis dan kita akan mengambil tindakan menggunakan prosedur.
"Kertas siasatan akan dibuka dan selepas itu kita akan merakam percakapan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan motosikal "First Response By Motobike In Hot Spot"kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini. 

Dua hari lalu, ahli keluarga dua suspek membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya yang antara lain menuntut supaya kerajaan dan Polis Diraja Malaysia membuat permohonan maaf kepada keluarga mangsa. 

Dalam laporan itu, mereka meragui tindakan polis menembak mati remaja terbabit kerana mahu mempertahankan diri dan meminta kes itu disiasat. 

Dalam kejadian itu, tiga penjenayah dipercayai anggota "Geng Minyak" ditembak mati di Jalan Kerjaya, Glenmarie, Shah Alam, selepas selesai merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1. 
Thaiveegam memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan. 

Terdahulu di majlis itu, beliau mengagihkan 89 motosikal untuk kegunaan 10 balai polis di kawasan tumpuan utama di Selangor. - BERNAMA

Dua pemandu maut nahas kereta





2010/11/22

KUANTAN: Dua pemandu terbunuh manakala seorang penumpang parah dalam nahas jalan raya membabitkan dua kereta di KM20 Jalan Pekan-Nenasi hari ini. 

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahaya Othman, berkata mangsa, Muhammad Annaqib Abdul Rahman, 23, mati di tempat kejadian manakala seorang lagi, Saharizal Shamsudin, 31, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan 1.30 petang tadi.
Nahas berlaku pada 7 pagi tadi ketika Muhammad Annaqib bersama rakan sekerjanya sedang dalam perjalanan dari Kuantan untuk ke tempat kerja di Pekan manakala Saharizal sedang memandu dari arah bertentangan.
"Sampai di tempat kejadian kedua-dua kenderaan terbabit dipercayai telah tersasar sedikit ke jalan bertentangan yang berhampiran dengan selekoh sebelum bertembung," katanya. 

Rakan sekerja Muhammad Annaqib kini dirawat di Hospital Pekan kerana cedera parah di badan. - BERNAMA

"Geng Lawi Ayam" terbabit 74 kes samun di Kelantan tumpas

TUMPAT: Polis Kelantan menumpaskan "Geng Lawi Ayam" apabila menahan ketua kumpulan bersama isteri dan adiknya serta seorang lagi yang aktif menyamun dan pecah rumah di sekitar daerah Tumpat dan Kota Baharu sejak 10 bulan lalu.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, dengan tertangkapnya kesemua ahli kumpulan itu, yang berumur antara 20 dan 29 tahun, polis menyelesaikan sekurang-kurang 74 kes samun dan curi, termasuk kes pecah rumah yang terbaru pada 14 November lalu.

Katanya, serbuan pertama dijalankan apabila polis mendapat maklumat mengenai seorang daripada penjenayah itu berusia 21 tahun dan menahannya di sebuah rumah di Kampung Laut, Palekbang, di sini minggu lalu.

Hasil soal siasat, polis menahan dua lagi ahli kumpulan itu iaitu adik dan isteri ketua kumpulan berkenaan. "Berikutan penahanan tiga orang itu polis berjaya menahan ketua kumpulan itu yang berusia 25 tahun di sebuah rumah di Kampung Semut Api, Kota Baharu," kata Mazlan.

Polis menemui dan merampas barangan curi termasuk 11 utas gelang emas, lapan utas rantai leher, sembilan gelang tangan, dua anting-anting, kerongsang, 20 bentuk cincin, 20 biji batu permata, 13 jam tangan dan 20 telefon bimbit, beberapa komponen motosikal, 12 keping wang siling kenangan, barangan elektrik, komputer riba dan televisyen, yang kesemuanya bernilai RM70,000. "Polis turut menemui pelbagai jenis senjata berbahaya termasuk parang, pedang, sabit, kapak dan lawi ayam selain walkie-talkie," kata Mazlan.

"Polis juga telah mengambil keterangan daripada dua orang yang membeli barang-barang curi daripada kumpulan itu," katanya.-- Bernam

ASP didakwa rompak juruteknologi perubatan



KUALA LUMPUR -- Seorang pegawai polis berpangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di hari ini atas tuduhan merompak seorang juruteknologi perubatan, tahun lepas.

ASP Che Anua Che Omar, 54, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit, kesemua bernilai RM10,000, milik Ahmad Shabri Mohd Halami, 29.

Che Anua, dari Seri Gombak di sini, didakwa melakukan kesalahan itu di No 44-3, Blok B, Rampai Court, Wangsa Maju, di sini, pada pukul 9 malam, 5 Mei 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Abu Hassan Ramli menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Che Anua, yang tidak diwakili peguam, merayu supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarganya. "Saya tidak mempunyai wang yang banyak kerana isteri tidak bekerja dan saya perlu menanggung empat anak di samping membiayai rawatan di Institut Jantung Negara bagi mengubati penyakit jantung yang saya hidapi," katanya.

Hakim Datuk Jagjit Singh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes. -- BERNAMA

Lelaki warga Iran ke tali gantung edar syabu

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1,001 gram di KLIA, Sepang, pada Jun tahun lalu.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman itu terhadap Rouhollah Ahmadzadeh Irandoust, 50, yang didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter pemeriksaan Kastam 'D', Unit Khas Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama KLIA, pada 3.50 pagi 14 Jun tahun lalu.

Rouhollah yang diwakili peguam Gooi Soon Seng didakwa mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata, tertuduh dalam pembelaannya menafikan bahawa dia membawa bagasi berisi dadah itu ketika tiba di KLIA, sebaliknya mendakwa seorang rakan bernama Mushtaba yang membawa bagasi itu.

"Tertuduh mendakwa ketika dia dan seorang lagi rakan diarah imbas bagasi di mesin pengimbas, Mushtaba menghilangkan diri untuk menghisap rokok sehinggalah mereka dibawa ke bilik pemeriksaan Kastam kerana terdapat imej mencurigakan pada bagasi itu.

"Tertuduh seharusnya tidak mengakui bagasi berisi dadah itu adalah miliknya walaupun terdapat tag namanya pada bagasi itu dan walaupun ada masalah bahasa seharusnya tertuduh menafikan bahawa bagasi berisi dadah itu adalah miliknya.

APMM rampas gula, minyak masak diseludup guna feri





2010/11/22

TAWAU: Cubaan penumpang feri menyeludup keluar beberapa jenis barangan kawalan dari bandar ini ke Nunukan, Indonesia berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Ops Sejahtera ke atas dua feri, petang kelmarin. 

Dalam pemeriksaan rutin anggota APMM yang menggunakan kapal ronda maritim KM PINTAR ke atas feri berkenaan kira-kira jam 4.30 petang, pegawai dan anggota APMM menemui 540 kilogram (kg) gula pasir, 190 kg minyak masak dan 13 tong gas.

Warga Iran ke tali gantung



22/11/2010 12:37pm

SHAH ALAM - Seorang lelaki warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1,001 gram di KLIA, Sepang, pada Jun tahun lepas.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman itu terhadap Rouhollah Ahmadzadeh Irandoust, 50, yang didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter pemeriksaan Kastam 'D', Unit Khas Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama KLIA, pada 3.50 pagi 14 Jun tahun lepas.
Rouhollah yang diwakili peguam Gooi Soon Seng didakwa mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata tertuduh dalam pembelaannya menafikan bahawa dia membawa bagasi berisi dadah itu ketika tiba di KLIA, sebaliknya mendakwa seorang rakan bernama Mushtaba yang membawa bagasi itu.
"Tertuduh mendakwa ketika dia dan seorang lagi rakan diarah imbas bagasi di mesin pengimbas, Mushtaba telah menghilangkan diri untuk menghisap rokok sehinggalah mereka dibawa ke bilik pemeriksaan Kastam kerana terdapat imej mencurigakan pada bagasi itu.
"Tertuduh seharusnya tidak mengakui bagasi berisi dadah itu adalah miliknya walaupun terdapat tag namanya pada bagasi itu dan walaupun ada masalah bahasa seharusnya tertuduh menafikan bahawa bagasi berisi dadah itu adalah miliknya.
Mushtaba juga seharusnya tidak dibenarkan keluar dari barisan untuk menghisap rokok dan meninggalkan bagasi dengan tertuduh," katanya.
Mohtarudin berkata, keterangan saksi-saksi pendakwaan juga konsisten bahawa tertuduh yang telah mengeluarkan anak kunci bagasi tersebut serta pakaian yang terdapat dalam bagasi itu sesuai dipakai oleh tertuduh. - Bernama

Cubaan rampasan kuasa gagal





2010/11/22

TENTERA Pihak Berkuasa Tertinggi Sementara memasuki pangkalan tentera bagi melancarkan operasi menahan pegawai tentera pemberontak, di Antananarivo, kelmarin. Gambar bawah, pasukan polis bersiap sedia  menghadapi penunjuk perasaan berdekatan lapangan terbang, di  Antananarivo,  kelmarin.
TENTERA Pihak Berkuasa Tertinggi Sementara memasuki pangkalan tentera bagi melancarkan operasi menahan pegawai tentera pemberontak, di Antananarivo, kelmarin. Gambar bawah, pasukan polis bersiap sedia menghadapi penunjuk perasaan berdekatan lapangan terbang, di Antananarivo, kelmarin.
16 tentera memberontak tak puas hati cadangan perlembagaan menyerah diri 

ANTANANARIVO, Madagascar: Satu cubaan rampasan kuasa dilancarkan sekumpulan tentera yang kurang puas hati dengan cadangan pindaan perlembagaan dipatahkan tanpa pertumpahan darah di negara kepulauan lautan Hindi ini lewat kelmarin.
Perdana Menteri Madagascar, Camille Vital memberitahu wartawan, 16 pegawai tentera yang memberontak sudah menyerah diri, menamatkan cubaan rampasan kuasa itu yang bermula Rabu lalu.
Pegawai tentera terbabit berhasrat menjatuhkan kerajaan Presiden Andry Rajoelina, seorang bekas datuk bandar dan pengacara radio (DJ) berusia 36 tahun yang menumbangkan presiden sebelum ini tahun lalu dengan sokongan tentera.

Awal kelmarin, wartawan melihat beratus-ratus anggota tentera yang setia kepada Rajoelina dikerah memasuki sebuah pangkalan tentera berhampiran lapangan terbang di ibu negara.

Pegawai kerajaan berkata, pihaknya merancang mengadakan rundingan dengan tentera pemberontak yang berlindung di pangkalan terbabit.

Namun, beberapa tembakan kemudian kedengaran dari pangkalan tentera itu. Kolonel Julien Ravelomihary, seorang pegawai kanan dalam tentera Pihak Berkuasa Tertinggi Sementara memberitahu wartawan beberapa pegawai tentera pemberontak bersetuju menyerah diri, tetapi beberapa pegawai rendah pada mulanya enggan berbuat demikian.

Walaupun tembakan dilepaskan, Vital berkata: “Krisis ini berakhir dengan pegawai tentera yang memberontak menyerah diri tanpa pertumpahan darah.”
Polis juga melepaskan gas pemedih mata ke arah beratus-ratus penunjuk perasaan anti-Rajoelina di tengah-tengah Antananarivo.

Tunjuk perasaan kelmarin itu diketuai pertubuhan datuk bandar yang menuntut rundingan mengakhiri rampasan kuasa berkenaan. Polis berkata, mereka menahan ketua penunjuk perasaan itu dan tidak ada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan. – AP

Rugi RM300,000 kedai terbakar





2010/11/22

JELI: Seorang peniaga kerugian kira-kira RM300,000 apabila rumah kedai dua tingkat disewanya di pasar di sini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin. 

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam ketika mangsa Wan Mustafa Wan Mahmud, 48, bersama isterinya, Rabiatun Adawiyah Abu Sama, 26, serta tiga anak mereka sedang tidur di tingkat atas, sebelum terkejut apabila terhidu bau asap.
“Api marak dengan pantas menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda dalam kedai yang turut menempatkan barangan elektrik dan telefon bimbit,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di sini, semalam.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Jeli, Che Engku Chik Che Engku Ngah, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu jam 11.11 malam sebelum ke lokasi dengan lapan anggota.

'Pegawai JKM' kebas wang wanita tua



Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2010/11/22

Dakwa untuk daftar program e-Kasih 

BETONG: Seorang wanita berusia 60 tahun hilang semua wang simpanan dan barang kemas bernilai kira-kira RM20,000 selepas diperdaya pasangan yang mendakwa sebagai wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melakukan proses pendaftaran program e-Kasih, kira-kira tiga bulan lalu.
Lebih malang, warga emas yang berasal dari sebuah rumah panjang berdekatan, hanya menyedari dia ditipu beberapa hari lalu, selepas mendapati wang yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun bank tidak dilakukan JKM, sebelum laporan mengenainya dibuat.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata mangsa dikunjungi dua individu berpakaian kemas berusia sekitar 30-an yang memintanya menyerahkan buku bank dan barang kemas sekiranya mahu menerima bantuan di bawah program e-Kasih. 

Katanya, percaya dengan janji oleh individu berkenaan, mangsa menyerahkan semua barang berharga sebelum dibawa mengeluarkan semua wang simpanannya di bank, dengan individu berkenaan berjanji akan membawanya menghadiri temu duga JKM. 

“Bagi meyakinkan mangsa, dua ‘pegawai’ terbabit menjelaskan adalah sukar baginya menerima bantuan sekiranya JKM mengetahui dia mempunyai wang simpanan serta barang kemas yang banyak. 

“Tanpa berfikir panjang atau berbincang dengan ahli keluarga, mangsa menyerahkan semua barang kemas serta wang simpanannya untuk disimpan ‘sementara’ oleh suspek yang memaklumkan akan menyerahkan kembali barangan berkenaan selepas permohonan mangsa berjaya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. 
Bukhori berkata, selepas menunggu temu duga yang dijanjikan hampir tiga bulan, mangsa kemudian memaklumkan kejadian kepada keluarganya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Betong, Jumaat lalu. 

“Setakat ini, kita sudah menerima 10 laporan kes membabitkan modus operandi yang sama dengan mangsa kebanyakannya adalah penduduk di kawasan pedalaman dan berusia 60 tahun ke atas,” katanya. 

Mana-mana penduduk yang mempunyai maklumat mengenai kes ini atau pernah menjadi mangsa kepada kumpulan ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Betong di talian 083-472551 bagi membantu siasatan.

Kadmium, plumbum pada gelas kanak-kanak





2010/11/22

LOS ANGELES: Gelas minuman dengan karakter komik dan wayang seperti Superman, Wonder Woman dan the Tin Man daripada “The Wizard of Oz” melebihi paras persekutuan untuk barangan kanak-kanak sehingga 1,000 kali ganda, menurut ujian makmal yang ditugaskan The Associated Press. 

Corak enamel pada set superhero itu yang diperbuat di China dan dibeli di kedai Warner Brothers Studios di Burbank, mengandungi antara 16 peratus dan 30.2 pertus plumbum. Had persekutuan bagi produk kanak-kanak ialah 0.03 peratus.
Gelas yang sama juga mengandungi tahap tinggi kadmium yang lebih merbahaya walaupun tiada had persekutuan bagi logam toksik itu dalam corak permukaan.
Dalam ujian berasingan bagi meniru penggunaan harian, gelas bercorak lain mengeluarkan sedikit plumbum atau kadmium. 

Pihak persekutuan bimbang logam toksik itu melekat pada tangan kanak-kanak dan boleh sampai ke mulut. 

Antara jenama gelas berknaan ialah Coca-Cola, Walt Disney, Burger King dan McDonald’s. - AP

Korban denggi cecah 125 orang



Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2010/11/22

Wabak makin serius dengan jumlah kematian dicatatkan meningkat: Liow 

KUALA LUMPUR: Ancaman wabak denggi di negara ini semakin serius selepas jumlah angka korban sehingga semalam terus meningkat mencecah 125 mangsa, peningkatan 60 peratus berbanding 77 kes kematian dalam tempoh sama tahun lalu.
Dua kematian terbaru dicatatkan semalam membabitkan mangsa dari Sandakan dan Tawau, Sabah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata jumlah kes denggi dilaporkan turut meningkat 18 peratus tahun ini kepada 42,659 kes sehingga 18 November lalu berbanding 36,135 kes dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu. 

Katanya, peningkatan itu tidak selari dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan mengurangkan kes denggi sebanyak 10 peratus setiap tahun melalui pelbagai pendekatan mencegah, selain meningkatkan kesedaran orang ramai dan pengamal perubatan. 

“Wabak denggi dalam negara kita semakin serius. Bilangan kematian begitu tinggi dan kita tak boleh lambat mengambil tindakan dengan kerjasama semua pihak. Doktor, pengamal perubatan swasta dan klinik kerajaan perlu mengenalpasti tanda-tanda denggi lebih awal dan memberi rawatan segera,” katanya di sini, semalam. 

Liow berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Penyakit Berjangkit anjuran Kementerian Kesihatan dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan pelancaran semula Garis Panduan Amalan Klinikal (CGP). 
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dan Presiden MAA, Dr David KL Quek. 

Katanya, garis panduan klinikal diperkenalkan tahun lalu yang boleh diakses melalui laman web kementerian, www.moh.gov.my akan menjadi panduan kepada pengamal perubatan di klinik swasta dan kerajaan bagi merujuk kes denggi dengan lebih cepat kepada hospital. 

“Ini penting kerana kalau tak tahu cara pengesanan awal dan lewat memberi rawatan, kadar kematian terus meningkat. Kalau dulu orang sakit denggi meninggal dunia seminggu selepas dikesan, sekarang hanya empat hari. 

“Buat masa ini tiada ubat atau vaksin khusus untuk penyakit denggi, maka ia sangat penting pesakit yang disyaki mengalami penyakit itu mendapat rawatan pada peringkat awal agar ia tidak menjadi serius,” katanya. 

Liow berkata, statistik menunjukkan kurang 40 peratus kes yang dirujuk terus ke hospital selepas pesakit menerima rawatan awal di klinik swasta atau kerajaan. 

Selain menyeru pengamal perubatan memainkan peranan lebih aktif dengan merujuk suspek denggi lebih awal ke hospital, Liow juga menggesa masyarakat bekerjasama menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan tempat tinggal masing-masing.

Susu dicampur melamin muncul lagi di China





2010/11/22

BEIJING: Pihak berkuasa di tengah China sedang mencari produk tenusu yang mengandungi melamin, bahan kimia yang membunuh enam bayi dan menyebabkan 300,000 yang lain sakit pada 2008.

Akhbar China Daily melaporkan kerajaan di bandaraya Xiangfan di wilayah Hubei mengarahkan peniaga untuk mencari 50 paket minuman susu berperisa jagung.
Ujian mendapati kandungan melamin dalam minuman itu adalah tinggi, sekali gus menunjukkan bahan kimia itu yang selalunya diguna dalam pembuatan plastik, sengaja dimasukkan semasa proses pengeluaran.
Laporan itu menyatakan syarikat yang mengeluarkan minuman itu membeli susu tepung daripada pembekal di wilayah lain tanpa mengetahui ia dicemari melamin.

Industri tenusu China terjejas pada 2008 selepas pendedahan bahawa melamin dicampurkan ke dalam susu tepung untuk ia kelihatan mengandungi kadar protein yang tinggi. - AFP

Kenduri terakhir



SEKINCHAN - Semalam merupakan undangan kenduri perkahwinan terakhir buat seorang warga emas apabila dia maut ketika perjalanan pulang setelah terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Tali Air 6, hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, kira-kira 12 tengah hari. 

Mangsa, Ruminah Mat Kassim, 76, meninggal dunia di tempat kejadian sebaik motosikal jenis Yamaha yang dinaiki bersama anak lelakinya dirempuh sebuah kereta yang dalam perjalanan dari arah Sungai Besar menghala ke Tanjung Karang. 

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohamad berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala sementara anak mangsa berusia 45 tahun patah kaki kiri. 

Menurutnya, kereta jenis Mercedes yang dinaiki sebuah keluarga dipandu di lorong laju, gagal mengelak motosikal berkenaan yang cuba untuk melintas laluan menyebabkan pertembungan berlaku. 

“Mangsa yang melambung dan tercampak ke bahagian tengah jalan mati di tempat kejadian sementara anak lelaki terseret beberapa meter cedera di bahagian kaki kiri, topi keledar yang digunakan mangsa juga tercampak,” katanya. 

Kedua-duanya, Noor Mushar berkata, dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Parit 7 Ban 1 Sungai Leman setelah selesai menghadiri majlis perkahwinan di rumah kenalannya di Tali Air 6 berhampiran Kampung Sungai Labu. 

Jenazah mangsa yang dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam telah dituntut keluarga sementara anak mangsa kini dirawat di hospital sama. 

Pemandu dan penumpang kereta dilaporkan selamat.

Bapa ayam 'ghaib' lacur wanita



PELACUR warga China sememangnya gemar menjalankan aktiviti persundalan dengan menggoda lelaki tempatan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Taktik bapa ayam memperdagangkan wanita untuk aktiviti persundalan dengan berselindung di sebalik khidmat urut dilihat semakin menjadi-jadi dengan yang terbaru mereka meletakkan nombor telefon di dinding tandas stesen minyak.
Nombor telefon tersebut diletakkan di tempat strategik iaitu di atas tempat pengguna lelaki membuang air kecil. Nombor itu diletakkan sama paras dengan kepala lelaki dewasa.
Taktik tersebut dilihat seakan membantu perniagaan bapa ayam tersebut walaupun pelanggan yang menghubungi nombor berkenaan pada mulanya merasa tertipu kerana mereka bukan menyediakan khidmat tukang urut tetapi pelacur.
Kosmo! yang cuba menghubungi nombor yang tertera di dinding tandas berkenaan kemudian bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Richard.
Richard pada mulanya berpura-pura menanyakan jika wartawan memerlukan tukang urut sebelum mengubah topik dengan menawarkan pelacur-pelacur belaannya.

RM300,000 lesap di Internet sebulan




BUKAN semua penjualan dalam talian merupakan penipuan tetapi jika pengguna tidak berhati-hati mereka menjadi mangsa. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Para pembeli pelbagai barangan secara dalam talian melalui Internet di negara ini mengalami kerugian di antara RM200,000 hingga RM300,000 setiap bulan gara-gara tertipu dengan sindiket perniagaan yang sebenarnya tidak wujud.
Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih, Azli Paat yang mendedahkan perkara itu berkata, jumlah tersebut berdasarkan lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan transaksi urus niaga yang dibuat menerusi pelbagai kaedah pembayaran seperti kad kredit, perbankan Internet atau bayaran secara bersemuka bernilai RM2.5 juta hingga RM3 juta setiap bulan.
Setiap hari, rakyat di negara ini berbelanja kira-kira RM100,000 untuk membeli pelbagai produk secara dalam talian di Internet.
Katanya, terdapat empat proses penting ketika pembelian dalam talian iaitu carian Internet, pengesahan atau perjanjian pembelian, penghantaran dan pembayaran.
“Malangnya penipuan sering berlaku apabila proses ini tidak diikuti. Kaedah yang salah ialah pembayaran dahulu baru penghantaran menyebabkan barang tidak sampai kepada pembeli,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Hilang nyawa selamatkan rakan




SANAK saudara mengusung mayat Ahmad yang lemas ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya di Hutan Lipur Hulu Tembakah, Hulu Besut, Terengganu kelmarin.


BESUT - Niat murni seorang lelaki untuk menyelamatkan rakannya daripada lemas berakhir dengan tragedi apabila dia terkorban manakala rakannya selamat dalam kejadian di Hutan Lipur Lata Tembakah Hulu Besut dekat sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu berlaku ketika Ahmad Mustapha, 18, dikatakan cuba menyelamatkan rakannya yang dikenali sebagai Salahuddin yang hampir lemas ketika mereka bersama 12 lagi rakan dari Kampung Kulim Hilir, Pasir Puteh, Kelantan mandi-manda di kawasan kolam di situ.
Bagaimanapun, usahanya itu tidak ke mana apabila dia pula yang lemas manakala Salahuddin dapat diselamatkan dengan bantuan rakannya, Mohd. Zulhi Awang, 22.

Dua beranak diserang penyamun




Salah seorang anak Che Omar, Mohd. Ismail Che Omar (kiri) menunjukkan kesan umpil di rumahnya di Kampung Matang Acheh, Pantai Remis yang dimasuki penyamun semalam.


PANTAI REMIS – Seorang warga emas dan anak lelakinya nyaris maut selepas ditetak dengan parang oleh seorang daripada tiga perompak yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Matang Acheh di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, Che Omar Ahmad, 58, dan anaknya Saiful Che Omar, 25, cedera di beberapa bahagian badan, kepala dan kaki.
Mereka dimasukkan ke Hospital Seri Manjung dekat sini.
Menurut beliau, kejadian itu berlaku apabila mangsa bersama enam anggota keluarga lain yang sedang tidur menyedari rumah mereka dimasuki orang.
Katanya, tiga suspek berkenaan yang memakai topeng muka telah mengumpil salah sebuah tingkap di bahagian dapur sebelum salah seorang masuk melalui tingkap ke dalam rumah itu.
“Suspek yang masuk melalui tingkap itu kemudian membuka pintu rumah bagi membolehkan dua suspek lain masuk,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Katanya, kehadiran penceroboh itu disedari Saiful yang terus bergelut dengan ketiga-tiga suspek itu di ruang tamu rumah.
Pergelutan antara Saiful dan suspek-suspek itu menyebabkan ayahnya tersedar dan datang membantunya.

Wanita parah tersepit dalam kereta




ORANG ramai melihat kemalangan membabitkan lapan buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang wanita cedera parah apabila pemandu sebuah bas henti-henti gagal membrek kenderaannya di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Mahmud di sini menyebabkan tujuh buah kenderaan lain turut terlibat dalam kejadian itu.
Dalam kejadian pada pukul 3.15 petang semalam, tujuh kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu ialah sebuah bas, dua buah kereta Perodua Kancil, Perodua Viva, Proton Iswara, Proton Persona, Perodua Myvi dan sebuah Pajero.
Mangsa yang cedera parah di kaki dan kepala membabitkan pemandu sebuah Perodua Kancil. Dia yang berusia 20-an itu mengalami kecederaan selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Seorang penumpang bas, Nur Azleen Rozelan, 18, berkata, sebelum kejadian dia duduk di bahagian tengah bas yang dalam perjalanan dari Dungun menuju ke Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).