Search This Blog

Saturday, November 20, 2010

TKI dibekal telefon bimbit



JAKARTA: Tenaga Kerja Indonesia (TKI) di luar negara akan dibekalkan telefon bimbit oleh kerajaan negara itu bagi membolehkan mereka melaporkan kejadian yang tidak diingini yang menimpa mereka mereka dengan segera.
Cadangan itu dibuat oleh Presiden Susilo Bambang Yudohoyono pada mesyuarat Kabinet di pejabat presiden yang khusus untuk membincangkan perlindungan terhadap pekerja Indonesia di seberang laut, semalam.
Rancangan sedang dibuat untuk memberikan telefon bimbit kepada pekerja kita. Nombor telefon yang boleh mereka hubungi seperti pejabat konsul akan disediakan supaya mereka boleh menghubungi jika ada masalah menimpa mereka.

Ia akan dilaksanakan secepat mungkin, kata Susilo.
Beliau mengaku kerajaan lewat dalam mengetahui maklumat mengenai pekerja Indonesia yang didera atau yang berdepan dengan masalah lain seperti tidak menerima gaji.
Lebih-lebih lagi, katanya, seperti di Arab Saudi yang sukar untuk mendapatkan maklumat sehingga nasib pekerja Indonesia di negara itu terlalu sukar untuk diketahui.
Mesyuarat diadakan selepas seorang pembantu rumah negara itu, Sumiati binti Salan Mustafa cedera teruk hingga hilang bahagian atas bibir akibat digunting isteri majikannya di Madinah. – Agensi
Sumber : Harian Metro

Pasangan kembar seiras bunuh diri




DENVER: Sepasang kembar seiras warga Australia menembak diri mereka dalam satu kejadian bunuh diri paling aneh di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, seorang daripada mereka terselamat, kata sumber polis, semalam.
Menurut polis, Louie Perea, seorang daripada pasangan kembar itu, 29, yang terselamat cedera di kepala disoal siasat polis selama dua jam.
Namun, dia enggan menjelaskan mengapa mereka berbuat demikian.
Punca tembakan belum diketahui…Kami sudah menyoal mangsa tetapi dia enggan menjawab, kata Perea di pejabatnya di Arapahoe, Colorado.
Kembar yang terselamat itu tertekan, kecewa dan marah, kata Perez.
Pihak berkuasa masih menyiasat mengenai punca kejadian. – AFP
Sumber : Harian Metro

36 pelombong terperangkap di New Zealand




WELLINGTON: Kira-kira 36 pelombong arang batu hilang selepas sebuah lombong di pantai barat New Zealand meletup, semalam.
Letupan di lombong arang batu Pike River di pantai barat, Pulau Selatan itu berlaku sebelum jam 4.00 petang (11 pagi waktu Malaysia). Dua pelombong terselamat tetapi usaha menghubungi yang lain tidak berjaya setakat ini, kata ketua eksekutif syarikat perlombongan berkenaan.
Pihak polis berkata, pasukan penyelamat berada di tempat kejadian tetapi tidak dapat turun ke bawah kerana bekalan elektrik yang disalurkan ke sistem pengudaraan terputus akibat letupan itu.
Terdapat letupan tetapi tidak diketahui puncanya. Pasukan penyelamat tidak dapat turun kerana mengundang risiko kepada mangsa yang terperangkap, kata jurucakap polis, Barbara Dunn. – AFP
Sumber : Harian Metro

Mayat amah di tempat pembuangan sampah


ANGGOTA-ANGGOTA pertubuhan pemantau imigran melakukan tunjuk perasaan bagi memprotes penderaan amah Indonesia, Sumiati dengan berhimpun di luar Kedutaan Arab Saudi di Jakarta semalam.

JAKARTA – Indonesia semalam menuntut satu siasatan dijalankan berikutan satu laporan yang menyatakan seorang amah, Kikim Komalasari telah dibunuh oleh majikannya dan dibuang ke tempat pembuangan sampah, sekali gus menjadi kes kedua berkaitan penderaan amah di Arab Saudi pada minggu ini.
“Sangat mengejutkan dan ia tidak berperikemanusiaan. Saya amat berharap penjenayah itu akan dihukum,” kata Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang mempengerusikan mesyuarat kabinet bagi membincangkan keperluan melindungi ratusan ribu warga Indonesia yang bekerja di negara Asia Barat.
Menteri Buruh Indonesia, Muhaimin Iskandar menyatakan, satu pasukan kedutaan telah dihantar ke Abha, Arab Saudi untuk meninjau dakwaan bahawa seorang amah berusia 36 tahun dibunuh oleh majikannya.

Leher Kikim dilaporkan dikelar selain dia didapati mengalami luka serius di tubuhnya.
Laporan itu didedahkan semasa satu pasukan pegawai Indonesia dihantar ke Arab Saudi untuk mencari keadilan dan memberi bantuan perubatan kepada seorang lagi amah, Sumiati Salan Mustapa, 23.
Sumiati dimasukkan di hospital sejak 8 November lalu di Madinah.
Majikannya didakwa mencederakan Sumiati dengan api, mematahkan jari tengah dan memotong bibirnya dengan menggunakan gunting.
Pada awal minggu ini, badan Pemantau Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di New York menggesa Arab Saudi, Jordan dan Kuwait supaya lebih serius untuk melindungi pekerja asing di negara mereka. – AP
kredit : kosmo.com.my

Lebih 2000 janin ditemui di kuil di Thai

GAMBAR menunjukkan sejumlah bungkusan plastik yang mengandungi janin di sebuah rumah mayat di Bangkok semalam.



BANGKOK – Polis Thailand semalam menemui lebih 2,000 janin dalam bungkusan plastik yang digugurkan secara haram di sebuah rumah mayat di sebuah kuil Buddha di Phya Krai, Bangkok.
Dua orang penjaga kuil mengaku menyembunyikan janin-janin itu di dalam tiga tempat simpanan yang berasingan. Kedua-dua penjaga itu mendedahkan, satu rangkaian klinik pengguguran telah mengupah mereka untuk menyimpan janin tersebut.
Namun, mereka tidak mengetahui bilangan janin yang telah disimpan di dalam rumah mayat tersebut.
“Di dalam sebuah bilik, kami telah menemui janin-janin. Kami kini membuka bilik yang seterusnya,” kata Komander Polis Metropolitan Bangkok, Kolonel Sombat Milintajinda.
Sebahagian janin itu telah disimpan selama lebih setahun.
Penemuan itu menggemparkan Thailand, sekali gus menunjukkan situasi pengguguran bayi secara haram di negara berkenaan.
Kementerian Kesihatan menganggarkan daripada satu juta kehamilan, 80,000 bayi digugurkan secara haram.
Ketua penyiasat dari balai polis Phya Krai berkata, setakat ini seorang wanita berusia 33 tahun telah ditahan dan dia mengaku melakukan pengguguran secara haram.
Jenayah itu terbongkar apabila bilangan janin didapati meningkat semasa kerja-kerja pengubahsuaian kuil sedang dijalankan. – AFP
kredit : kosmo.com.my

Raya tergendala akibat banjir




SAUK – Segala urusan dan persiapan penduduk dari beberapa kampung di sekitar Sauk, di sini, sempena menyambut perayaan Aidiladha tergendala akibat bencana banjir yang melanda penempatan mereka, kelmarin.

Sebanyak 50 rumah di Jenalik, Biong, Kati dan kampung berhampiran menjadi sasaran banjir malah merupakan paling buruk pernah berlaku di sini.

:Mangsa banjir bukan sahaja tidak dapat menyediakan persiapan untuk menyambut Aidiladha tetapi turut mengalami kerugian kerana banyak barangan berharga musnah ditenggelami air.

Mangsa, Rosidah Talib, 63, berkata, kejadian berkenaan adalah banjir paling buruk yang dialami kerana sebelum ini Jenalik tidak pernah dinaiki air sehingga ke paras pinggang.

Menurutnya, barangan keperluan yang dibeli untuk memasak pada hari raya turut dihanyutkan air dan mereka terpaksa menyambutnya secara ala kadar sahaja.

“Sebelum ini, pernah berlaku banjir tetapi tidak seteruk ini dan kami juga terkejut dengan keadaan itu tetapi terpaksa menerima sebagai ketentuan-Nya.

“Beberapa barangan berharga dan elektrik turut rosak kerana tidak sempat untuk diselamatkan memandangkan air naik dengan begitu cepat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Katanya, pada pagi raya memang dia sekeluarga tidak dapat meraikan apa-apa kerana kerja membersihkan rumah belum selesai.

Mangsa, Jamilah Hashim, 49, turut menanggung kerugian kecil dan terpaksa melupakan hasrat meraikan hari raya dengan meriah bersama keluarga.

“Banjir kali ini memang teruk sehinggakan banyak barangan tenggelam dan rosak menyebabkan persiapan raya terpaksa dihentikan.

“Kami juga tidak dapat tidur lena dengan keadaan ini dan kerja membersihkan rumah pula bukan perkara mudah,” katanya.

Mangsa, Azmi Puteh, 46, berkata, air mulai naik kira-kira jam 8 malam dan dia bernasib baik kerana sempat memindahkan barang berharga ke tempat selamat.

“Rumah pun belum lagi siap dicuci tetapi persiapan raya kali ini saya buat secara ala kadar sahaja memandangkan hanya tinggal seorang diri.

“Saya tidak berdepan kerugian besar melainkan perlu membersihkan rumah sahaja kerana sempat bertindak sebelum air naik,” katanya.

Bekalan air terganggu

Sementara itu, mangsa, Sabariah Uda Mat Yasin, 67, berkata, lebih memburukkan keadaan apabila bekalan air turut terganggu akibat bencana banjir berkenaan.

“Alhamdulillah, tidak berlaku perkara buruk walaupun terpaksa meredah banjir dan barangan berharga juga sempat diselamatkan dengan bantuan anak buah.

“Saya tinggal di sini sejak lahir lagi dan ini kejadian paling teruk malah kerja pembersihan juga tidak dapat dilakukan dengan cepat kerana kadangkala bekalan air terputus,” katanya.

Seorang lagi mangsa dari Kampung Biong, Habsah Mohd Kassim, 52, berkata, banjir yang melanda bukan perkara baru bagi penduduk kerana kampung mereka sering dinaiki air kdisebabkan faktor semula jadi.

“Pada hari kejadian saya tiada di rumah kerana keluar bekerja dan apabila pulang air sudah mencecah paras lutut.

“Di kampung ini memang selalu banjir seperti ini dan baru sahaja beberapa bulan lalu kami berdepan masalah yang sama,” katanya.

Katanya, barangan di rumah memang sempat diselamatkan tetapi lantai rumah semakin lama semakin teruk kerana rosak akibat banjir.

Mangsa, Bariah Lebai Ramli, 66, berkata, bukan sahaja barangan di dalam rumah rosak tetapi tempat tidurnya juga turut dinaiki air.

“Habis semua katil, bantal tilam basah ditenggelami air dan saya terpaksa menumpang tidur di rumah jiran.

“Sudah berpuluh-puluh tahun saya tinggal di sini dan terpaksa berdepan masalah banjir yang tidak berkesudahan,” katanya.

ADUN bantu ringankan beban

Bagaimanapun, bagi meringankan beban mangsa, bantuan segera daripada peruntukan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan pihak Parlimen Kuala Kangsar dihulurkan kepada mangsa.

Siti Salmah, berkata, pihaknya turut bersimpati dengan musibah yang melanda penduduk dan berusaha menghulurkan sumbangan mengikut keperluan.

“Kita bagi sumbangan bukan berhasrat mengganti kerugian dialami penduduk tetapi sekadar membantu mengurangkan beban.

“Lebih menyedihkan kita dalam persiapan menyambut raya dan walaupun mungkin kerja membersihkan rumah masih tidak siap kita berharap penduduk dapat bersabar," katanya.

Menurutnya, pihaknya berterima kasih kepada anggota Rela Daerah Kuala Kangsar yang turun padang a membantu kerja pembersihan rumah penduduk dan melakukan kerja memotong kayu kerana sebuah rumah di sini dihempap pokok.

“Masalah ini tidak pernah kita ambil ringan dan kita akan terus bersama penduduk untuk berdepan situasi ini, sekali gus cuba mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Samun treler, muatan plastik RM120,000 lesap



GELIGA – Seorang pemandu treler tidak menyangka tindakannya memberhentikan treler di hadapan Masjid Geliga untuk membetulkan tali kanvas yang putus akhirnya bertukar menjadi tragedi ngeri apabila dia disamun tiga lelaki bersenjatakan parang hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM120,000 setelah muatan plastik yang dibawa lesap dilarikan. 

Malah, dalam kejadian jam 8.30 malam pada Jumaat lalu itu pemandu berusia 44 tahun itu turut dipukul dan dilarikan ketiga-tiga supek sebelum ditinggalkan di kawasan Pancing, Kuantan, Pahang. 

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, mangsa yang memandu treler sarat dengan muatan plastik secara tiba-tiba didatangi tiga lelaki Melayu yang bertindak agresif menyerangnya dengan parang setelah memberhentikan kenderaan. 

“Sebelum kejadian, ketika mangsa tiba di simpang empat lampu isyarat sebuah kereta menunjukkan sesuatu ke arah badan lori seolah-olah ada sesuatu yang tak kena. 

“Curiga dengan keadaan itu mangsa mengambil keputusan memberhentikan kenderaan yang dipandunya di hadapan Masjid Geliga untuk memeriksa badan lori berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, selepas diperiksa mangsa mendapati tali pengikat kanvas badan lori putus dan dia cuba membetulkan kembali ikatan tali berkenaan sebelum secara tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapan kenderaannya dan sejurus kemudian tiga lelaki keluar dari kereta itu sambil memegang parang.

Katanya, salah seorang daripada tiga lelaki berkenaan sempat memukul belakang kepala serta menutup muka, mulut dan mengikat tangan mangsa sebelum dibawa masuk ke dalam kereta.

“Sebelum itu suspek ada bertanya mangsa mengenai cara untuk mematikan sistem penentu kedudukan global (GPS) treler berkenaan, bagaimanapun jawapan tidak tahu yang keluar daripada mulut mangsa menimbulkan kemarahan sehingga dia dipukul,” katanya.

Kata Abdullah Sani, mangsa yang ditinggalkan di kawasan Pancing, Kuantan kemudian diselamatkan oleh penduduk kampung yang menemuinya di tepi jalan sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Pancing.

Bagaimanapun, kata beliau, treler yang dipenuhi dengan muatan plastik yang hilang dijumpai semula keesokannya pada jam 3.30 pagi di Kampung Selamat Pekan oleh pihak polis.

Namun, semua barang muatan plastik Resien berjumlah kira-kira 22 tan dianggarkan bernilai RM120,000 hilang.

Kata Abdullah Sai, semua barang tersebut adalah milik Patlin Malaysia Sdn Bhd yang akan dihantar ke Syarikat Klang Hock, Kapar, Klang.
“Treler yang dijumpai dibawa ke Balai Polis Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dua remaja maut



KUANTAN – Dua remaja maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka bertembung di antara satu sama lain dalam kejadian kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Pantai Sepat, Kampung Sepat di sini, malam kelmarin. 

Lebih tragis, salah seorang daripada remaja itu maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya pecah dengan cebisan otak yang terburai keluar. 

Pegawai Turus Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Deputi Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 7.14 malam itu mengakibatkan Fahrizal Wasrodlin, 17, Mohd Tarmizi Ahmad, 19, mati serta-merta di tempat kejadian. 

Menurutnya, kemalangan itu berlaku apabila Fahrizal yang menunggang motosikal Honda Wave dan datang dari arah Cherok Paloh ke Kuantan tiba-tiba bertembung dengan Mohd Tarmizi yang menunggang motosikal jenis Yamaha SS2 dari arah bertentangan. 

“Pada masa sama, seorang penunggang dari arah belakang Fahrizal cuba mengelak dan terjatuh mengakibatkan kecederaan di bahagian badan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, semalam. 

Katanya, Fahrizal dari Taman Sriku, Jalan Gambang dan Mohd Tarmizi dari Kampung Pak Mahat, Kempadang maut akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut. 

Kedua-dua mangsa memiliki lesen memandu tetapi dipercayai tidak memakai topi keledar.

Bas terjunam elak kereta



SOLOK MENGGONG - Perjalanan seorang lelaki untuk mengeluarkan wang di pekan Tampin terkandas di tengah jalan apabila bas Maraliner yang dinaikinya terbabas. 

Kejadian itu berlaku selepas bas terbabit mengelak daripada bertembung dengan sebuah kereta dari arah hadapan, tengah hari semalam. 

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, bas domestik Maraliner yang dipandu Zainal Yusuf, 44, dari arah Alor Gajah menuju ke Hutan Percha bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Pesona yang dipandu di laluan bertentangan ketika cuba memotong. 

Akibatnya, bas berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan sehingga remuk teruk, cermin hadapan pecah termasuk bumbung kemek selepas terbabas, melanggar pokok dan terjunam ke ladang sawit. 

Penumpang bas, Malik Sudi, 43, berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat duduk bahagian tengah dan terkejut apabila bas tiba-tiba membelok ke kiri jalan, sebelum terjunam ke dalam kawasan ladang kelapa sawit berdekatan. 

“Masa kejadian, saya rasa bas bergegar sebelum terbabas dan terjunam. Saya tidak mampu buat apa-apa kerana terlalu terkejut, tambahan pula cuma saya seorang penumpang yang ada dalam bas terbabit.

“Saya cukup berdebar ketika merasakan baha gian hadapan bas berlanggar sebab selepas bertembung, bas terus terbabas dan hampir melanggar sebatang pokok di sebelah kanan. Tidak mustahil keadaan ini boleh membawa kemungki nan kecederaan yang parah," katanya.

Sementara itu, Zainal berkata, dia menyedari kehadiran kereta yang dipandu seorang lelaki berbangsa Melayu dan berusaha untuk brek bagi mengelak berlaku pertembungan tetapi gagal kerana bas masih bergerak perlahan.

Zainal bersama konduktor bas berkenaan, Mohd Husin Hak, 25, hanya mampu berserah apabila mendapati kereta dari arah bertentangan memasuki laluannya ketika cuba memotong dua kenderaan di hadapan termasuk sebuah lori tetapi tidak sempat mengelak.

“Saya dah bagi lampu amaran dari jauh sebab ketika kejadian hujan lebat dan saya tahu jalan licin. Apabila menyedari ada kereta memasuki laluan saya, saya segera tekan brek dan bagi lampu tetapi pemandu terbabit terus memandu laju untuk memotong.

"Inilah pertama kali saya terbabit dalam kemala ngan selepas 12 tahun bekerja sebagai pemandu bas. Saya cuma cedera ringan di kaki kanan dan sakit di bagi akibat terhentak dengan stereng bas, sementara konduktor serta penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

123 kematian akibat denggi



20/11/2010 3:01pm

TEMERLOH - Sebanyak 123 kematian akibat denggi dilaporkan sejak Januari tahun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sehingga semalam, sebanyak 42,749 kes denggi dilaporkan di seluruh negara membabitkan 123 kematian.
"Jumlah kematian meningkat berbanding tahun lepas. Sepanjang tahun lepas sebanyak 36,294 kes dilaporkan membabitkan 77 kematian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Juara Rakyat Karnival Kesihatan dan Keselamatan anjuran UMNO Bahagian Temerloh di sini, hari ini.
Beliau berkata, Selangor merupakan negeri tertinggi kes denggi iaitu sebanyak 15,323 kes.
"Jumlah kematian akibat denggi di Selangor sahaja ialah sebanyak 43 orang (sehingga semalam)," katanya. - Bernama

Rakyat kita diperalat sindiket kad kredit



KUALA LUMPUR - Kebanyakan rakyat Malaysia yang ditangkap di luar negara atas kesalahan menggunakan kad kredit klon dipercayai menjadi orang suruhan kepada sindiket penipuan.
Mereka dikatakan dibekalkan dengan kad kredit dan diarahkan untuk membeli pelbagai barangan mahal dan berjenama di luar negara.
Apabila kembali ke ibu negara, barangan itu akan dijual oleh sindiket tersebut di pasaran tempatan dengan tujuan untuk mendapatkan wang tunai.
Sindiket jenayah komersial itu dipercayai mempunyai rangkaian antarabangsa ekoran penahanan rakyat Malaysia di luar negara seperti Ireland, Kuwait dan China.
Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay mendedahkan, sejak tahun 2004, seramai 209 rakyat negara ini ditahan dan dibicarakan di luar negara atas kesalahan yang melibatkan penyalahgunaan kad kredit.

Mayat adik disangka buah kelapa




Ahli keluarga menunggu pasukan menyelamat mencari Fadzwan (gambar kecil) yang hilang dibawa ombak di pantai Telaga Daing, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki tidak menyangka tubuh manusia yang disangka buah kelapa yang terdampar di tepi pantai Telaga Daing dekat sini rupa-rupanya jasad adik bongsunya yang hilang ketika mandi petang kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, mangsa Muhammad Fadzwan Jamaluddin, 12, mati lemas ketika dia mandi di pantai tersebut bersama empat rakannya.
Ketika mandi mangsa yang memperoleh keputusan 2A dan 3B dalam Ujian Percapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini dibawa ombak kuat ke tengah pantai yang dalam.
Abang mangsa, Fadli Izudin, 27, berkata, mayat adiknya itu hanya ditemui oleh pasukan penyelamat dan orang ramai pada pukul 10 pagi semalam selepas operasi mencari dimulakan sejak malam kelmarin.
Menurutnya, mayat adiknya ditemui terdampar di tepi pantai, kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.
“Ketika kejadian, saya masih berada di Kuala Lumpur kerana berkerja dan selepas dimaklumkan, saya terus balik ke Kuala Terengganu untuk sama-sama mencari Fadzwan.

'Wakil SSM' minta peniaga bayar caj RM250

GERIK: Tindakan seorang lelaki berusia 44 tahun yang memperdaya beberapa peniaga di daerah ini dan Lenggong dengan menyamar wakil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak seminggu lalu dipatahkan selepas dia ditahan di sini, kelmarin.
Lelaki terbabit ditahan selepas memperdaya seorang peniaga wanita yang menjalankan perniagaan runcit di Kampung Bandariang, di sini, selepas mengambil bayaran RM250 daripada mangsa kononnya bagi bayaran pemeriksaan tahap kebersihan di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Mahad Nor Abdullah, berkata suspek mendakwa sebagai wakil SSM dari Ipoh dan diarahkan untuk memeriksa tahap kebersihan premis perniagaan di Gerik dan Lenggong dengan mengenakan bayaran RM250 kepada setiap mangsa selepas membuat pemeriksaan sebagai caj perkhidmatan.

Beliau berkata, mangsa diberikan sijil perakuan sebagai pengiktirafan daripada SSM dan mengeluarkan resit bayaran, tetapi ia palsu.

“Sebaik menerima maklumat kegiatan haram lelaki terbabit, kami segera bertindak dan menahan suspek di sebuah kedai makan di Kampung Bersia, dekat sini, bersama beberapa dokumen palsu yang dibawanya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia (PDRM), suspek menetap di Kuala Lumpur dan sering bergerak ke beberapa negeri untuk menjalankan kegiatan penipuannya.

Mahad Nor berkata, suspek dikehendaki PDRM kerana terbabit beberapa kes penipuan sama selain diburu Ibu Pejabat SSM di Putrajaya.

“Suspek mempunyai satu rekod jenayah dan beberapa kes menipu di Johor pada 2001. Suspek direman untuk siasatan lanjut dan akan dipindahkan ke IPD Batu Gajah selepas tamat tempoh tahanan reman di IPD Gerik dan bergerak ke beberapa IPD lain yang turut merekod laporan kes penipuannya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 419, Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar untuk tujuan melakukan penipuan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau didenda atau kedua-dua sekali,” katanya.

Lari masuk hutan tinggal lori rokok seludup

KUANTAN: Seorang lelaki lari lintang-pukang ke dalam hutan selepas lori dipandunya yang membawa 13,400 kartun rokok ditahan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 3 Pahang di Jalan Nenasi-Rompin, dekat Sungai Miang, Pekan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, pemandu lori dipercayai berusia 40-an terbabit bergegas menyelamatkan diri sebaik saja memberhentikan lori tiga tan dipandunya di bahu jalan selepas dipintas anggota PGM.

Tindakannya itu membolehkan pihak berkuasa mematahkan cubaan penyeludupan rokok ke negeri ini dianggarkan bernilai RM345,600 dengan jumlah cukai melebihi RM1 juta.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi (PGM), Wilayah 3 Pahang, Asisten Superintendan Mohd Khairuddin Jamal, berkata selepas memintas kenderaan itu, pemandunya memberhentikan lori dan melarikan diri ke hutan berhampiran selepas meninggalkan kenderaan itu di bahu jalan.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam lori itu, anggotanya menemui lebih 50 kotak berisi 13,400 kartun keretek pelbagai jenis.

“Anggota PGM mengambil masa kira-kira 20 minit mengekori lori terbabit selepas mendapat maklumat awam mengenai kegiatan itu dan kami sudah meletakkan beberapa anggota di lokasi rahsia sebelum memintas kenderaan terbabit,” katanya pada sidang media di Markas Operasi PGM WIlayah 3 Pahang, di Padang Lalang, di sini, semalam.

Mohd Khairuddin berkata, pihaknya percaya semua rokok itu dibawa melalui jalan laut sebelum dibawa ke Rompin untuk dijual kepada peruncit pada harga serendah RM3 sekotak.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung rampasan itu dan tidak menolak kemungkinan didalangi satu sindiket.

“Pemeriksaan turut mendapati lori terbabit didaftarkan atas nama sebuah syarikat di Klang, Selangor.

“Siasatan kini menjurus kepada pemilik sebenar lori terbabit, namun pada masa sama kami turut melakukan siasatan sama ada lori itu kenderaan curi atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, PGM memberi amaran kepada pihak terbabit dalam aktiviti berkenaan supaya menghentikan kegiatan haram itu kerana pemantauan berterusan dilakukan pihaknya dalam usaha mematahkan segala cubaan penyeludupan.

“Rampasan ini yang keenam dilakukan dan terbesar setakat ini, lima lagi kes terdahulu hanya menunggu tarikh perbicaraan,” katanya.

Terbenam tanpa mayat

GOMBAK: Penemuan sebuah kereta dalam gaung lebih 100 meter di Kilometer 35.4 Lebuhraya Karak berhampiran Genting Sempah, di sini masih menjadi tanda tanya berikutan pasukan penyelamat gagal menemui sebarang tanda kewujudan mayat pemandunya walaupun selepas lebih 24 jam operasi mencari dilakukan di sekitar kawasan itu.
Kereta Kia Spectra itu ditemui secara tidak sengaja oleh seorang pemandu trak tunda yang kebetulan lalu di situ kira-kira jam 3 petang kelmarin ketika sedang menunda sebuah kereta lain yang juga terbabit dalam kemalangan.

Pemandu trak itu, Wong Kam Way, 31, yang melihat kereta itu di celah rimbunan pokok tebal kemudian turun ke dalam gaung untuk melihat lebih dekat kedudukan kereta itu yang didapati terbalik dan terbenam ke dalam lumpur.

Dia menghubungi polis selepas yakin ada mangsa di dalam kenderaan berkenaan yang dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sejak beberapa hari lalu.

Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Bomba dan Penyelamat serta polis segera ke lokasi kejadian kira-kira jam 5 petang untuk menyiasat.

Bagaimanapun, usaha mengesan mangsa sehingga jam 1 pagi semalam gagal kerana lokasi yang berlumpur dan keadaan kereta yang terbenam.

Anggota penyelamat yang menggunakan tali untuk turun ke dalam gaung itu juga gagal menemui sebarang mayat mangsa yang pada awalnya disangka masih terperangkap di dalam kereta itu.

Keadaan hutan tebal menyebabkan anggota penyelamat menghentikan usaha mencari mangsa sebelum disambung kira-kira jam 9 pagi semalam.

Namun, hingga jam 4 petang semalam, lebih 20 anggota JPAM yang terbabit dengan usaha mencari mangsa masih gagal walaupun dibantu unit anjing pengesan polis (K9).

Sementara itu, usaha menarik kereta itu menggunakan kren menemui kegagalan berikutan kenderaan berkenaan tersangkut di bahagian bawah jambatan lebuh raya sebelum diturunkan semula.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar yang dihubungi wartawan Harian Metro berkata, usaha mengesan pemilik kereta itu sukar dilakukan berikutan plet hadapan dan belakang kereta gagal dikesan.

“Saya percaya kereta itu tersadai di dalam gaung berkenaan lebih dari seminggu berdasarkan keadaan fizikalnya.

“Namun, hasil siasatan dilakukan petang semalam, polis mendapati kereta itu pernah dilaporkan dicuri pada 20 Oktober lalu di Sungai Besi, di sini. Kereta itu milik seorang pegawai tentera yang tinggal di Kerinchi, di sini,” katanya.

Jurutera korban terbaru denggi

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera lelaki berusia 47 tahun dari Selangor korban terbaru demam denggi bagi tempoh 7 hingga 13 November lepas, menjadikan jumlah kematian tahun ini 121 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, kematian jurutera dari Taman Bukit Mewah, Kajang itu pada 9 Nov lepas, didapati berpunca daripada komplikasi kegagalan organ akibat denggi selepas menghidap penyakit itu pada 28 Oktober lepas.

Lelaki tertekan nyaris bunuh diri

KUCHING: Tertekan dengan masalah kesihatan dihadapi, seorang lelaki berusia 50-an sanggup bertindak mengelar leher dan tangan sendiri hingga hampir pengsan dalam kejadian di Jalan Rubber, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi hanya disedari isteri mangsa yang terjaga daripada tidur selepas menyedari mangsa tiada disebelahnya.

Bimbang sesuatu terjadi ke atas suaminya, wanita berkenaan keluar mencari lelaki terbabit sebelum terkejut melihat suaminya memegang pisau sambil mengelar tangan dan leher.

Isteri mangsa kemudiannya menyentap pisau bagi menghalang suami daripada terus melakukan perbuatan itu sebelum menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan teruk sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika ditemui mengesahkan menerima panggilan daripada isteri mangsa sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, mangsa mengalami pendarahan teruk dan dirujuk ke HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Adik rindu kakak hilang

PRAI: “Saya sebak setiap kali mengenangkan nasib dia, malah adiknya asyik menangis kerana terlalu merinduinya,” kata Mohd Subri Jaafar, 47, bapa kepada Siti Nasihah, 15, yang hilang sejak lebih dua minggu lalu.
Siti Nasihah atau panggilan manjanya, Ana, anak sulung daripada dua beradik gagal dikesan selepas ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Ketil, Kedah pada 2 November lalu.

Mohd Subri, pengawal keselamatan di Hospital Seberang Jaya di sini berkata, kali terakhir anaknya dilihat dalam perjalanan ke sekolah membonceng motosikal seorang lelaki.

“Saya dimaklumkan rakan sekolahnya, mereka nampaknya membonceng motosikal seorang lelaki yang tidak dikenali. “Sehari selepas itu, saya tidak mendapat berita daripadanya lalu membuat laporan di Balai Polis Kuala Ketil,” katanya di pejabat Harian Metro, di sini, semalam. Katanya, lebih memilukan ketika sambutan Aidiladha lalu kerana dia sekeluarga tidak dapat meraikannya seperti biasa berikutan teringatkan nasib Siti Nasihah.

“Adiknya, Siti Nor Alia, 11, asyik menangis kerana rindukan kakaknya. Saya sendiri menahan sebak setiap kali menatap gambarnya sehingga tidak dapat memberi tumpuan pada kerja,” katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Siti Nasihah boleh menghubungi Mohd Subri di 013-4563742 atau balai polis berhampiran.

Saya sendiri menahan sebak setiap kali menatap gambarnya sehingga tidak dapat memberi tumpuan pada kerja,” katanya.

Walaupun mencuba pelbagai kaedah tradisional termasuk mendapatkan khidmat bomoh, kelibat Siti Nasihah gagal dikesan.

Menurut Mohd Subri, ada bomoh mendakwa anaknya dipukau dan dikurung sekumpulan lelaki di sebuah taman perumahan tetapi tidak pasti lokasinya. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Siti Nasihah boleh menghubungi Mohd Subri di 013-4563742 atau balai polis berhampiran.

“Saya juga mencari merata tempat sekitar Kedah, tetapi tidak mendapat sebarang maklumat, malah bantuan anggota Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah (Pekida) turut digunakan, namun tidak berhasil. “Saya bertambah cemas sebaik membaca berita dalam akhbar mengenai penemuan mayat terbakar tidak dikenali di Kulim Hi-Tech, baru-baru ini,” katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Siti Nasihah boleh menghubungi Mohd Subri di 013-4563742 atau balai polis berhampiran.

Suami lari isteri dicekup

GERIK: Seorang lelaki sanggup memaksa isterinya, seorang warga Thailand berusia 42 tahun memproses dan mengedar air daun ketum sebelum dijual kepada penagih dadah di sekitar Hulu Perak sejak beberapa tahun lalu.
Lebih mendukacitakan, suami wanita berkenaan berusia 45 tahun sanggup lari meninggalkan isterinya seorang diri selepas serbuan dilakukan sepasukan polis dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di kediaman pasangan itu di sini pada 12 November lalu.

Ketika serbuan dilakukan, pasangan suami isteri berkenaan cuba melarikan diri dengan terjun melalui pintu belakang rumah mereka, namun isteri suspek gagal berbuat demikian.

Anggota polis juga terpaksa bergelut beberapa minit dengan suami suspek sebelum dia dapat meloloskan diri masuk ke dalam hutan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Mahad Nor Abdullah, berkata dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pahit Luar itu, pihaknya menahan suri rumah berkenaan yang ketika itu leka membungkus air ketum untuk dijual kepada pelanggannya.

“Atas maklumat awam dan risikan, sekumpulan anggota kami menyerbu ke rumah suspek kira-kira jam 6 petang dan mendapati seorang wanita warga Thailand bersama suaminya sedang memproses daun ketum di dalam rumah mereka.

“Pemeriksaan mendapati, suspek menyembunyikan dua guni daun ketum basah seberat enam kilogram (kg) bersama 27 bungkus air ketum yang sudah diproses dalam sebuah almari di belakang rumahnya,” katanya.

Katanya, siasatan awal ke atas wanita itu mendapati suaminya memaksanya untuk menjual air dan daun ketum bagi menanggung perbelanjaan harian keluarga termasuk empat anak mereka berusia antara empat hingga 21 tahun.

Mahad Nor berkata, suaminya memperoleh bekalan daun ketum dibeli dari luar daerah Hulu Perak dengan harga RM5 sekilogram sebelum dijual dengan harga RM8 sekilogram dan sebahagian lagi dijual dalam bentuk air dengan harga RM3 sebungkus.

Katanya, serbuan kedua di kampung sama selang 20 minit selepas itu, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun kerana menyimpan seguni daun ketum basah seberat 3 kg.

“Suspek yang juga seorang penoreh getah sebelum ini pernah ditahan atas kesalahan sama dan kesnya masih dalam proses perbicaraan.

“Kedua-dua suspek ditahan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis dan akan didakwa mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan akan dikenakan penjara tidak melebihi empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

RapidKL nafi berlaku letupan

KUALA LUMPUR: Pengurusan bas RapidKL menafikan berlaku letupan dalam kejadian sebuah bas miliknya terbakar di bahagian enjin hingga menyebabkan tiga pelajar kolej perubatan menaiki bas itu melecur, dua parah, kelmarin.
“Bagaimanapun satu siasatan terperinci sedang dijalankan untuk mengetahui punca kejadian dan bas terbabit tidak dibenarkan beroperasi sehingga siasatan terperinci selesai,” kata pihak pengurusan syarikat berkenaan melalui satu kenyataan die-mel kepada Harian Metro semalam.

Menurut kenyataan itu, bas milik RapidKL sentiasa diselenggara secara berkala mengikut jadual sudah ditetapkan.

“Selain itu, wakil syarikat juga bertemu dengan semua mangsa dan memastikan rawatan terbaik diberikan. Malah RapidKL akan menanggung sepenuhnya semua kos perubatan mangsa dan kos pampasan,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama RapidKL menegaskan pihaknya tidak akan menanggung kos yuran pengajian sekiranya ada di antara mangsa tidak dapat menduduki peperiksaan akhir tahun hingga terpaksa mengulang semester.

Tangan mangsa tercampak

KUALA TERENGGANU: “Ketika kejadian, saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas meninggalkan kawasan itu. Selepas diberitahu rakan ada kemalangan, saya berpatah balik ke sana tetapi membatalkan hasrat itu selepas melihat semua yang berada di kawasan kemalangan bertempiaran melarikan diri.
“Rakan yang melihat kejadian itu memberitahu bunyi akibat perlanggaran itu memang kuat dan tangan lelaki maut di tempat kejadian itu dikatakan tercampak kira-kira 10 meter sebelum jatuh ke laluan sebelah,” kata seorang remaja lelaki yang enggan didedahkan identitinya.

Dia yang tinggal di kawasan Manir, di sini, berkata Lebuhraya Pantai Timur 2 di Kampung Bukit Guntong itu menjadi medan pertemuan Mat Rempit dua kawasan, Manir dan Tepoh melakukan pelbagai aksi berbahaya serta berlumba sejak sebulan lalu.

“Kawasan lebuh raya ini siap ditar sebulan lalu dan sejak itu kawasan ini menjadi tumpuan Mat Rempit dua kawasan berkenaan melakukan perlumbaan haram,” katanya.

Remaja berusia 20-an itu mendakwa, sebelum ini aktiviti lumba haram dilakukan di kawasan lebuh raya berhampiran Kampung Telemong, di sini dan berpindah ke kawasan berkenaan sebaik laluan lebuh raya di Kampung Bukit Guntong itu ditar.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam membabitkan pelumba dua kumpulan berbeza iaitu kumpulan RXZ dan Honda Cub.

Sebelum kejadian, dia yang berada di kawasan berkenaan bersama kira-kira lebih 40 orang remaja lelaki berkata, perlumbaan di litar haram itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Honda EX5, RXZ dan Honda Cub.

Katanya, Honda EX5 menggunakan laluan sebelah manakala RXZ dan Honda Cub menggunakan laluan sama dengan arah bertentangan.

“Kejadian berlaku apabila penunggang Honda Cub di hadapan berpaling ke belakang melihat rakannya dan pada masa sama merempuh motosikal RXZ ketika bersaing bersama dua pelumba lain. Dua penunggang RXZ itu bagaimanapun sempat mengelak,” katanya.

Tinjauan Harian Metro ke kawasan lebuh raya berkenaan mendapati, kumpulan Mat Rempit terbabit memasuki kawasan lebuh raya itu melalui laluan sementara yang dibina bagi memudahkan kenderaan untuk projek pembinaan LPT itu keluar masuk.

Sebelum memasuki kawasan itu, kumpulan remaja itu dikatakan menggunakan laluan kebun getah yang dibina bagi menghubungkan kawasan perkampungan Manir dengan lebuh raya berkenaan.

Peluk ibu sebelum 'ghaib'

MASJID TANAH: “Pada malam sebelum Nur Bazilah menghilangkan diri, dia tidur dengan saya di tingkat atas sambil memeluk saya dengan erat dan menyelimutkan badan tanpa menunjukkan tanda hendak meninggalkan kami sekeluarga,” kata ibu, Karimah Mahmood, 53, mengenai kehilangan anak gadisnya, Nur Bazilah Abdul Rahman, 18, dari rumah mereka di di Kampung Kubang Semang Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada 14 November lalu.
Karimah berkata, anaknya itu keluar dari rumah seawal jam 6.30 pagi dengan membawa sebuah beg sandang dipercayai selepas kecewa bercinta dengan seorang lelaki baru dikenali menerusi laman sembang sosial Internet.

Biarpun mengalami darah tinggi, beliau dan suaminya, Abdul Rahman Ahmad, 68, semalam, sanggup meredah perjalanan sejauh 300 kilometer dari Pulau Pinang ke Melaka semata-mata untuk mengesan anak bongsunya.

Difahamkan, anak bongsu dari lima beradik itu yang juga penuntut di sebuah kolej swasta di Ipoh, Perak, bertindak demikian selepas berlaku perselisihan dengan keluarga yang menegur perubahan dirinya selepas mengenali beberapa lelaki.

Pasangan terbabit datang ke rumah keluarga mereka di sini sejak kelmarin dan ditemani anak perempuan serta menantu mereka.

“Sebelum ini dia pernah memberitahu ada berkawan dengan seorang lelaki, tetapi dia kecewa selepas mengetahui teman lelakinya itu sudah memiliki teman wanita.

“Dia sebelum ini seorang pendiam dan kurang bercakap di rumah. Namun, sejak empat bulan lalu selepas menuntut di sebuah kolej swasta, perangainya mula berubah dan sering ingkar peraturan kolej dan keluar dari asrama bersama teman lelaki yang baru dikenali,” katanya.

Sementara itu, menantunya, Nur Hakim Ismail, 28, mengharapkan kerjasama semua pihak atau rakan-rakan yang mengenali Nur Bazilah atau lebih mesra dengan panggilan Adik, menghubunginya di talian 012-4031985 atau hubungi balai polis berdekatan sekiranya adik iparnya itu ditemui.

Remaja perempuan pencuri nangis ditahan

AMPANG: Seorang remaja berusia 16 tahun adalah antara dua suspek yang dicekup polis selepas dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian samun di sekitar Ampang sejak dua tahun lalu.
Remaja berkenaan menangis ketakutan ketika dia dan rakannya dicekup di rumahnya di Pusat Komersial Ampang, di sini, awal pagi Rabu lalu.

Remaja yang sudah tidak lagi bersekolah itu difahamkan sudah 10 kali melakukan kegiatan samun di kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, mereka dicekup ketika sedang berehat di rumah berkenaan bersama seorang lagi rakannya yang juga ketua kumpulan itu.

Katanya, kumpulan suspek lebih dikenali dengan panggilan Geng Harun bersempena dengan nama ketua kumpulan itu yang berusia 24 tahun.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kedua-dua suspek , polis turut menemui dua bilah parang dan beberapa keping kad sim telefon dipercayai disamun daripada mangsa.

“Pihak polis juga masih menjalankan saringan air kencing ke atas mereka bagi memastikan sama ada mereka positif mengambil dadah atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu dikesan hanya menjalankan kegiatan pada awal pagi ke atas kedua-dua premis berkenaan kerana ketika itu kurang pelanggan.

Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang remaja bersama tiga rakannya ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Hotel Flaminggo, di sini, kira-kira jam 5 pagi semalam.

Ketika dicekup semua mereka berada di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic hitam yang sedang berhenti di bahu jalan.

Abd Jalil berkata, semua mereka berusia antara 16 dan 24 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan dalam kereta berkenaan, polis menemui tiga bilah parang dan dua bilah pisau lipat di bawah tempat duduk depan dan belakang yang dipercayai digunakan suspek bagi menyamun mangsa.

2 penuntut UiTM maut nahas

ALOR SETAR: “Malam Rabu lalu, arwah Syazwan bersalaman dengan saya dan berkata tak sabar untuk mengikut rakannya ke Pulau Pinang.
“Saya pelik kerana dia nampak tergesa-gesa pada malam itu. Saya tak sangka itu antara tanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Muhd Najib Zakaria, 18, rakan Syazwan Azizan, 19, yang maut bersama seorang lagi rakannya, Azrul Hadi Azizzan, 18, manakala dua yang lain cedera dalam kemalangan maut di Kilometer (KM) 47.7, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berhampiran susur keluar Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, Syazwan dan Azrul Hadi maut, manakala Muhammad Aiman Ismail, 18, patah tangan dan kaki, sementara pemandu kereta, Faris Abdul Ghani, 18, cedera ringan selepas kereta Perodua Viva dinaiki terbabas dan melanggar pokok.

Keempat-empat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis itu dalam perjalanan pulang ke Perlis selepas menziarahi ibu Azrul Hadi di Pulau Pinang.

Muhd Najib berkata, dia pelik dengan sikap Syazwan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Teh di kalangan rakan sekuliah sebelum dimaklumkan rakan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Sementara itu, bapa saudara Azrul Hadi, Abdul Rahman Omar, 68, berkata dia terkejut selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Arwah mungkin pulang ke rumah kakaknya di Pulau Pinang untuk menziarahi ibunya yang mengalami darah tinggi. Sejak bapanya meninggal dunia tiga bulan lalu, ibunya Mariam Md Saman, 45, mengikut anak perempuannya ke Pulau Pinang.

“Saya tak sangka arwah pergi terlebih dulu daripada kami. Dia seorang yang periang dan selalu mendengar kata orang tua,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.

Difahamkan, empat sahabat baik itu mengambil jurusan Diploma Pengurusan Perladangan di UiTM berkenaan dan baru mendaftar masuk ke universiti itu pada Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghaffar Rajab berkata, empat penuntut lelaki berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Arau, Perlis.

“Kereta Perodua Viva dipandu Faris dikatakan cuba mengelak ‘objek’ melintas di lebuh raya menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas,” katanya.

Empat premis judi berkomputer tidak serik diserbu empat kali

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah empat kali diserbu sekitar dua bulan lepas, empat premis di Danau Kota Setapak di sini, masih tidak serik menjalankan kegiatan judi berkomputer.
Pegawai Turus Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 malam tadi, polis menahan 28 pelanggan lelaki berumur 22 hingga 24 tahun serta empat pekerja pusat berkenaan termasuk seorang wanita dalam lingkungan 23 hingga 24 tahun.

"Keempat-empat premis ini tidak mempunyai sebarang lesen. Ketika serbuan dilakukan pelanggan-pelanggan sedang asyik menjalankan kegiatan haram itu," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Dalam serbuan itu polis turut merampas 132 komputer dan wang tunai sebanyak RM1,904, katanya.

"Hasil pemeriksaan, kita dapati setiap premis dilengkapi dengan kamera litar tertutup, manakala pada pintu masuk premis itu mempunyai sistem kawalan yang mana pelanggan yang ingin masuk ke premis itu perlu tahu kata laluan" katanya.

Razali berkata, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun. Sementara itu, pada masa yang sama beberapa anggota polis turut menahan lima lelaki dalam lingkungan 22 hingga 24 tahun yang melakukan kegiatan haram itu di dua premis di Taman Intan Baiduri, Kepong.

Razali berkata, dalam serbuan itu polis merampas 51 komputer dan wang tunai berjumlah RM1,109.

Suspek itu turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk soal siasat. "Keenam-enam premis yang diserbu itu akan disita," katanya.- Bernama

Jatuh dalam lubang berapi


PARAH...Nurzilawati melecur 26 peratus dari bahagian pinggang ke bawah.
PARAH...Nurzilawati melecur 26 peratus dari bahagian pinggang ke bawah.


KUALA LUMPUR: Tiga pelajar kolej kejururawatan cedera, dua melecur teruk selepas enjin bas dinaiki tiba-tiba meletup menyebabkan mereka terjatuh ke dalam ‘lubang berapi’ di bahagian enjin yang terbakar.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam kelmarin di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, di sini, ketiga-tiga mangsa jatuh ke dalam lubang itu sejurus lantai bas berkenaan runtuh akibat letupan yang berlaku.
Ketika kejadian bas itu berhenti di persimpangan lampu isyarat dan ketiga-tiga mangsa yang dalam perjalanan pulang ke asrama di Subang Bestari, dekat sini, selepas membeli-belah di ibu kota sempena cuti Aidiladha, duduk di kerusi paling belakang.

Seorang mangsa, Nurzilawati Hussin, 20, berkata sedang rancak berbual, enjin bas di bawah lantai tempat mereka duduk tiba-tiba meletup, menyebabkan dia terus terperosok masuk ke bahagian enjin.


“Kejadian berlaku sekelip mata dan api menyambar kaki serta baju kurung dipakai saya hingga paras punggung. Dalam keadaan cemas itu saya sempat ditarik keluar rakan ke tempat selamat.

“Dalam keadaan terbaring kesakitan di tepi jalan, seorang lelaki yang simpati mencurahkan air ke kaki saya yang panas akibat terbakar,” katanya.

Nurzilawati dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), namun dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan kecederaan melecur dialaminya serius dan memerlukan pembedahan segera.

“Doktor memberitahu hampir 26 peratus tubuh saya melecur. Malah saya terpaksa menjalani pembedahan lebih tiga jam pagi tadi (semalam) memulihkan kulit melecur teruk,” katanya.

Menurutnya, dia belum lagi memaklumkan kejadian menimpanya kepada ibu bapanya di Batu Rakit, Terengganu kerana bimbang mereka sukar menerimanya.

“Saya sedih kerana kecederaan yang saya alami menyebabkan saya tidak dapat menduduki peperiksaan kolej bakal bermula 13 Disember depan.

“Saya mungkin terpaksa mengulangi semula semester ini dan membayar yuran kira-kira RM10,000. Itu satu lagi beban kerana bapa saya hanya bekerja sebagai penjual sate,” kata Nurzilawati.

Menurutnya, kesan kebakaran itu menyebabkan kulit bahagian punggung hingga tapak kakinya sakit seperti dihiris benda tajam selain menyebabkan dia tidak boleh bergerak.

Dia yang cedera paling teruk berbanding dua rakan lain mendakwa memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua bulan untuk sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Seorang lagi mangsa, Nur Nadia Husna Arshad, 20, turut melecur 11 peratus dari paha ke bawah.

Menurutnya, sebelum enjin bas itu meletup dia bersama Nurzilawati dan seorang lagi kawan, Nur Aisyah Abd Samad, 20, duduk di kerusi belakang bas dengan penutup enjin terletak berdekatan kaki mereka.

“Sebaik bas berhenti di satu persimpangan lampu isyarat, enjin bas tiba-tiba meletup dan mengeluarkan percikan api sebelum asap memenuhi bas.

“Kami bertiga kelam-kabut selamatkan diri dan saya tidak boleh melihat dengan jelas. Ketika hendak lari ke pintu bas, saya terjerumus ke dalam lubang di lantai bas.

“Saya terperosok di bahagian enjin hingga paras pinggang mengakibatkan kedua-dua kaki sangat pedih akibat terkena wap panas dan percikan api,” katanya yang ditemui di PPUM, semalam.

Nur Nadia berkata, selepas jatuh dia menguatkan diri keluar dari lubang itu dan merangkak ke pintu bas sebelum Nur Aisyah memapahnya keluar.

“Doktor beritahu saya perlu masa tiga hingga empat minggu untuk pulih, itupun jika menggunakan ubat khas yang agak mahal kosnya dan perlu dibayar tunai.

“Wakil syarikat bas datang melawat dan berjanji menanggung segala kos. Kalau benar saya harap mereka dapat bayar segera kerana saya ingin menduduki peperiksaan Disember ini,” katanya.

Sementara itu, Nur Aisyah yang dibenarkan keluar berikutan hanya melecur di tapak kaki kanan pula berkata, dia bersyukur ketiga-tiga mereka selamat walaupun berdepan insiden paling bahaya pernah mereka alami.

Geng Latin tumpas

TAHAN...empat rakyat asing yang ditahan ketika pecah masuk rumah di Ampang, kelmarin.

TAHAN...empat rakyat asing yang ditahan ketika pecah masuk rumah di Ampang, kelmarin.
AMPANG: Sekumpulan empat warga Amerika Latin termasuk seorang wanita berasal dari Bolivia, Costa Rica dan Mexico dicekup selepas memecah masuk sebuah rumah pesara kerajaan di Jalan Chong Kong Lin 2, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, semua mereka yang berusia antara 25 dan 45 tahun itu didapati memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong sebelum mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah.

Katanya, dalam kejadian itu, semua mereka dicekup ketika memecah masuk rumah seorang pesara kerajaan yang pulang ke kampung untuk berhari raya, kira-kira jam 10 pagi.
Katanya, ketika diserbu, wanita dan seorang lagi rakan lelakinya menunggu di dalam sebuah kereta Proton Persona di luar pagar rumah sementara dua lagi berada di dalam rumah itu.

“Mereka cuba melarikan diri dengan memecut kereta berkenaan sebaik diserbu namun polis menahan mereka selepas kereta dipandu terbabas di bahu jalan berkenaan.

“Rakan mereka yang berada di dalam rumah pula yang menyedari kehadiran polis segera melompat keluar dari rumah sebelum melarikan diri ke kawasan semak di belakang rumah itu,” katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka turut ditahan.

Abd Jalil berkata, siasatan awal mendapati ahli wanita dalam kumpulan itu ditugaskan untuk membuat pemeriksaan ke atas rumah yang ingin dipecah masuk dengan cara menekan loceng.
Katanya, jika rumah itu berpenghuni, pasti tiada siapa akan menjangka wanita berkenaan mempunyai niat jahat.

“Wanita itu sebaliknya akan bertindak mengugut mangsa dengan parang sebelum mengarahkan tiga rakan lain menggeledah rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 456 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah. Sementara itu, dalam kejadian berasingan, taktik licik seorang lelaki warga emas dari Peru meragut seorang wanita di sebuah restoran di sebuah stesen minyak berhampiran Hospital Ampang Puteri, di sini, tidak menjadi apabila dia dicekup orang awam selepas cuba melarikan diri sebaik tindakannya disedari pelanggan di restoran berkenaan, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, suspek yang berusia 57 tahun datang ke restoran berkenaan sebelum mendekati mangsa yang sedang makan bersama keluarganya.

Ketika mangsa sedang leka menjamah makanan, suspek memaklumkan kepada mangsa kononnya wangnya tercicir di atas lantai sebelum cuba mengambil beg tangan mangsa.

Abd Jalil berkata, ketika suspek cuba menarik beg tangan mangsa, orang ramai yang menyedari tindakannya terus menerpa ke arahnya.

“Suspek cuba melarikan diri, tetapi gagal. Dia diserahkan kepada polis,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek memasuki negara ini melalui sempadan pintu sempadan di Rantau Panjang, Kelantan.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Putera Jefri Bolkiah beri keterangan


NEW YORK 19 Nov. - Kerabat diraja Brunei, Putera Jefri Bolkiah (gambar) memberi keterangan di mahkamah di sini semalam dalam kes tuntutan samannya terhadap pasangan suami-isteri yang merupakan bekas peguam beliau.
Jefri memberi keterangan ringkas dan bersahaja di mahkamah di Manhattan semasa disoal berjam-jam mengenai urusan perniagaannya dengan bekas peguam, Thomas dan Faith Zaman Derbyshire.
Adik Sultan Brunei itu berkata, pasangan tersebut mencuri wang berjumlah kira-kira AS$7 juta (RM22.4 juta) daripadanya dengan pelbagai cara, termasuk menggelapkan hasil jualan hartanah dan menggunakan kad kredit korporat beliau untuk perbelanjaan peribadi.
Pasangan Derbyshire itu bagaimanapun mendakwa, semua tindakan mereka itu mendapat kebenaran Jefri dan beliau berhutang AS$12 juta (RM38.4 juta) kepada mereka sebagai yuran guaman.
Hakim sebelum itu menegaskan bahawa perbicaraan itu tidak akan memberi terlalu banyak tumpuan terhadap kegiatan Jefri, malah para peguam tidak dibenarkan sama sekali menyebut tentang patung-patung erotik yang disimpan di sebuah kediaman yang pernah dimiliki oleh putera itu.
Namun, keterangan Jefri memberi sedikit gambaran tentang kehidupan seorang kerabat diraja yang menganggotai salah sebuah keluarga diraja terkaya di dunia, meskipun beliau mempunyai reputasi sebagai seorang pemboros.
Jefri mengakui beliau biasa mengarahkan pasangan Derbyshire yang berpangkalan di London supaya datang untuk mengadakan mesyuarat singkat dengannya di Singapura, di Lugano, Switzerland dan di Paris.
Pasangan peguam tersebut membantunya mengurus beberapa hartanah termasuk hotel mewah New York Palace dan Hotel Bel Air di Los Angeles.
Jefri dikenali kerana gaya hidup mewahnya dan kerana dakwaan beliau menggelapkan hampir AS$16 bilion (RM51.2 bilion) daripada dana kerajaan Brunei semasa berkhidmat sebagai Menteri Kewangan.
Kerugian itu hampir menyebabkan negara itu muflis. - AP

36 terperangkap di bawah tanah


WELLINGTON 19 Nov. - Seramai 36 orang terperangkap di bawah tanah dalam satu letupan yang menggegarkan sebuah lombong arang batu di New Zealand, hari ini.
Lombong baru itu, yang mula menghasilkan arang batu pada tahun ini, digali di lereng sebuah banjaran gunung di South Island dan seorang pelawat, baru-baru ini melaporkan arang batu di situ mengeluarkan gas.
Dua pelombong keluar dari lombong itu dan mendapat rawatan di hospital kerana kecederaan yang agak serius.
Mereka memberitahu pihak berkuasa, tiga lagi rakan mereka akan keluar dari lombong itu.
Media melaporkan ada kemalangan jiwa tetapi polis tidak dapat mengesahkan laporan itu.
Ketua Eksekutif Pike River Coal, pemilik lombong itu, Peter Whittal percaya 36 orang yang terperangkap itu terdiri daripada pelombong dan kontraktor luar.
"Kami belum pasti sama ada mereka terperangkap atau memilih untuk terus berada di bawah tanah dan berlindung daripada insiden itu," kata Whittal.
Terowong utama lombong itu sepanjang lebih dua kilometer ke dalam banjaran gunung, manakala perkhidmatan telefon mudah alih tidak memuaskan kerana kawasan berkenaan sangat terpencil.
Timbalan Datuk Bandar Greymouth, Doug Truman berkata, beliau melawat lombong tersebut, baru-baru ini dan dimaklumkan lapisan arang batu di situ mengeluarkan gas.
Namun beliau berkata, piawai keselamatannya sangat tinggi dan para pekerja cukup terlatih. - Reuters

Dua warga Bangladesh didakwa rompak rakan senegara


KUALA LUMPUR 19 Nov. - Dua warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak secara berkumpulan terhadap rakan senegara mereka, dua minggu lalu.
Mohashin Roni, 34, dan Kamal Hassan, 29, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.
Kedua-dua tertuduh bersama lima suspek yang masih bebas didakwa merompak sebuah telefon bimbit jenama Nokia dan wang RM5,200 milik buruh binaan yang hanya dikenali sebagai Munnaf.
Kejadian didakwa berlaku di Jalan Alor, Dang Wangi di sini pada pukul 9.30 malam, 5 November lalu.
Kedua-dua lelaki tersebut yang tidak diwakili peguam bela didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Abu Hassan Ramli, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh merupakan warganegara asing.
Ahmad Kamar tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes.

17 bebas sertai perhimpunan haram


KUALA LUMPUR 19 Nov. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan 17 individu termasuk tiga ahli politik parti pembangkang daripada pertuduhan terlibat dalam perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara, tiga tahun lalu.
Tiga ahli politik tersebut ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohammad Sabu.
Kesemua 14 lelaki lain yang dibebaskan berusia antara 25 dan 53 tahun. Hakim Datuk Jagjit Singh membebaskan kesemua tertuduh tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa menyertai perhimpunan yang tujuannya diadakan untuk melakukan mudarat awam di Bangunan Sogo, Jalan Tun Perak, Jalan Raja Laut, Masjid Negara dan Jalan Istana antara pukul 1 tengah hari dan 3 petang, 10 November 2007.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mereka turut didakwa atas tuduhan pilihan iaitu didapati mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967.
Bagi kesalahan ini, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Jagjit dalam keputusannya menyatakan, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kesemua tertuduh melakukan perbuatan yang memudaratkan ketika perhimpunan tersebut berlangsung di lima lokasi terbabit.
"Saya mendapati 15 tertuduh yang berhimpun secara aman di pekarangan Masjid Negara bukan suatu kesalahan kerana tempat tersebut merupakan rumah ibadah. Oleh demikian, mereka berhak berada di kawasan tersebut," katanya.

Warga Zimbabwe bawa dadah dipenjara lima tahun


SHAH ALAM 19 Nov. - Seorang mekanik warga Zimbabwe dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membawa 1,298 gram kokain semasa transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tujuh tahun lalu.
Stancelaus Tongai Chifamba, 30, didakwa membawa dadah tersebut di Aras 3, Bangunan KLIA, Sepang dekat sini pada pukul 2.20 petang, 25 Mei 2003.
Dia didakwa mengikut Seksyen 21(6) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh pada asalnya didakwa atas tuduhan mengedar dadah yang membawa hukuman gantung sampai mati tetapi dipinda kepada pertuduhan di bawah Seksyen 21(6) setelah mahkamah mendengar pembelaannya pada 20 Ogos lalu.
Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin membuat pindaan tersebut setelah mendapati tertuduh bersalah bagi tuduhan membawa dadah itu semasa transit sebelum meneruskan penerbangannya ke Bangkok, Thailand.
Menurut Mohd. Zaki, beliau turut mengambil kira keterangan tertuduh mengenai tiket penerbangan tertuduh ke negara ini dan Bangkok telah dijadualkan pada hari yang sama.
Ketika dipanggil membela diri, tertuduh menyatakan, dia dipaksa menelan 75 ketulan berisi dadah bagi membayar hutangnya kepada seorang lelaki warga Afrika.
Tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Gooi Soon Seng dan V. Aruvindhashan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alfred Egin.

Dua lelaki Aceh dihukum mati


SHAH ALAM 19 Nov. - Keterangan pembelaan dua pembantu kedai warga Indonesia yang mendakwa mereka dalam perjalanan menghantar dua kotak air mineral sebelum diberkas polis, gagal meyakinkan Mahkamah Tinggi di sini untuk melepaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah.
Akibatnya, kedua-dua lelaki dari Aceh itu hari ini dihukum gantung sampai mati oleh Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin setelah didapati bersalah mengedar lebih 20 kilogram ganja di sebuah plaza tol di Gombak, lapan tahun lalu.
Hakim tersebut menjatuhkan hukuman itu ke atas Ismail Ibrahim, 36, dan Azhar Zakaria, 37, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Dalam penghakimannya, beliau menyatakan, mahkamah mendapati keterangan tertuduh ketika membela diri adalah bersifat penafian semata-mata.
Kedua-dua tertuduh sewaktu diperintahkan membela diri memberitahu mahkamah bahawa ketika kejadian mereka dalam perjalanan untuk menghantar dua kotak air mineral ke satu lokasi di Janda Baik dekat sini.
Mereka disabitkan dengan kesalahan mengedar ganja seberat 20.052 kilogram di Plaza Tol Gombak, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Gombak, pada pukul 1.30 petang, 21 Mei 2002.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong.
Sepanjang perbicaraan, sebanyak sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Penyanyi wanita Filipina bersalah edar dadah


SHAH ALAM 19 Nov. - Seorang penyanyi pub warga Filipina dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 3,903 gram kokain, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Jacqueline Quramno, 25, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.
Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di pintu masuk No. 5, bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini pada pukul 7.30 pagi, 28 Jun 2005.
Dia yang diwakili peguam bela, Siva Shankar Mob Narashimen didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Hakim tersebut dalam penghakimannya menyatakan, mahkamah menolak pembelaan yang dikemukakan tertuduh bahawa dia ditawarkan pekerjaan sebagai penyanyi di Sao Paulo, Argentina.
Menurut wanita itu, setibanya di Sao Paulo, dia tidak diberi peluang menjalani uji bakat sebagai penyanyi di sana kerana tidak memahami bahasa Sepanyol.
Menurut Hakim Mohd. Zaki, tiket penerbangan yang dimiliki tertuduh merupakan tiket perjalanan lengkap dari Sao Paulo-Filipina-Kuala Lumpur-Bangkok yang menunjukkan pemergiannya ke sana telah dirancang dan bukannya untuk mencari pekerjaan di negara tersebut.
Beliau turut menyatakan, sekiranya tertuduh benar-benar ingin bekerja di Sao Paulo, dia seharusnya memiliki permit pekerjaan sebagai bukti dakwaannya itu.
Alasan tertuduh bahawa dia berkunjung ke Malaysia atas tawaran dua lelaki warga Nigeria yang ditemuinya di Manila setelah gagal dalam uji bakat juga ditolak atas faktor yang sama.
''Setelah berpuas hati dengan keterangan kesemua saksi, tertuduh didapati bukanlah seseorang tidak mempunyai maklumat mengenai barangan yang dibawanya,'' ujar beliau.
Sepanjang perbicaraan berlangsung, sebanyak tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alfred Egin.

Penjual ikan dihukum gantung bunuh rakan



Roslan Hussin dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam setelah bersalah membunuh rakan karibnya, dua tahun lalu.


PULAU PINANG 19 Nov. - Dua tahun lalu, seorang penjual ikan tergamak menetak kepala rakan karibnya dengan parang semata-mata untuk merompak wang RM9,000 milik mangsa yang mempunyai pertalian persaudaraan dengannya. Perbuatan membunuh yang kejam itu dilakukan tanpa mengenal erti kasihan, lebih-lebih lagi wang tersebut ingin digunakan oleh mangsa untuk majlis perkahwinan anaknya.
Lelaki itu bagaimanapun menerima pembalasan hari ini apabila dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini atas perbuatannya itu terhadap peniaga kedai runcit tersebut.
Roslan Hussin, 43, dijatuhi hukuman berkenaan setelah disabitkan dengan kesalahan membunuh Jasni Hamid, 50, kira-kira pukul 8.45 malam, 23 Mac 2008 di Jalan Mini Tar Lava, Kampung Air Hitam, Sungai Dua, Seberang Perai Utara di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Arik Zakri Abdul Kadir mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Ketika Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu kira-kira pukul 10.30 pagi, raut wajah Roslan yang bertubuh sederhana dan agak rendah itu kelihatan muram.
Tertuduh yang diwakili peguam K. Simon Murali pada mulanya mendengar penghakiman itu dengan tekun sebelum dilihat berpaling ke arah ahli keluarganya di galeri awam sambil mengangguk-angguk kepalanya beberapa kali sewaktu hukuman dijatuhkan.
"Gantung,'' katanya yang memakai baju kemeja kotak-kotak hitam putih dan berseluar jean biru sejurus selepas prosiding selesai.
Ahli keluarga Roslan termasuk isteri dan dua anaknya kemudian dilihat berpelukan sesama sendiri sambil menangis sebaik sahaja polis menggari semula tangan tertuduh untuk membawanya ke lokap.
Dalam penghakiman bertulisnya yang dibacakan hampir sejam, Hakim Abdul Halim berkata, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Menurut beliau, keterangan bela diri tertuduh secara tidak bersumpah di kandang pesalah pula hanya bersifat penafian semata-mata serta penuh dengan keraguan yang boleh dipertikaikan.
Beliau berkata, tertuduh juga cuba mewujudkan elemen alibi untuk menafikan penglibatannya dalam kes itu tetapi ia hanya timbul semasa pembelaan dan tidak disokong dengan keterangan saksi-saksi lain.
Menurutnya, sungguhpun tidak ada keterangan langsung membuktikan tertuduh telah menyebabkan kematian mangsa tetapi ia berjaya dibuktikan melalui keterangan kes, terutama hasil analisis asid deoksiribonukleik (DNA).
DNA tertuduh yang dijumpai pada parang yang ditemui dalam semak berdekatan tempat kejadian, wang RM9,000 dijumpai di bawah katil tertuduh dan kesan darah mangsa pada motosikal tertuduh amat jelas untuk mengaitkannya dengan pembunuhan ini.
"Begitu juga kata-kata mangsa sebelum kematiannya yang diberitahu kepada lima saksi yang cuba membantunya di tempat kejadian bahawa tertuduh telah menetaknya merupakan keterangan yang sahih, kukuh dan tidak boleh disangkal.
"Ini kerana walaupun cedera parah, mangsa ketika itu masih hidup dan mampu berkata-kata. Amat jelas itu bukan satu muslihat, tetapi apa yang telah berlaku kepadanya,'' kata hakim tersebut.
Menurutnya lagi, keterangan rakan sekampung mangsa menunjukkan telah berlaku sesuatu apabila kelibat tertuduh tidak kelihatan di kawasan kejadian sedangkan sebelum itu, dia disifatkan sebagai orang yang paling sibuk jika berlaku sesuatu kejadian atau aktiviti di kampung berkenaan.