Search This Blog

Friday, November 19, 2010

Kelab malam khayalan dijual RM1.98 juta


GAMBAR menunjukkan suasana di dalam Kelab Malam Neverdie di alam khayalan Entropia Universe.


LOS ANGELES - Seorang selebriti di alam siber, Jon Jacobs mengejutkan pakar-pakar apabila dia berjaya menjual kelab malam dunia khayalan di Internet pada harga AS$635,000 (RM1.98 juta) dalam bentuk wang tunai sebenar kepada seorang pelabur baru, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia merancang untuk menggunakan wang itu bagi memulakan usaha niaga dan mencari cara untuk membuat keuntungan dengan media tradisional melibatkan produser Hollywood.
Jacobs yang dilahirkan di London, Britain pada mulanya menyertai permainan dalam talian di dunia khayalan Entropia Universe dengan membeli Resort Angkasa Lepas Asteroid pada harga AS$100,000 (RM311,999) pada 2005.
Jacobs memajukan asteroid itu yang turut dikenali sebagai kelab malam Neverdie dan menjualnya pada harga AS$635,000.
Dia terpaksa memajakkan rumahnya di alam nyata untuk mendapatkan wang tunai bagi membeli resort angkasa lepas itu.
Resort angkasa lepas itu turut dilengkapi dengan sebuah stadium, apartmen dan sebuah pusat beli-belah yang membolehkan dia memperoleh pendapatan AS$200,000 (RM623,999) dalam bentuk wang tunai setiap tahun daripada pengguna alam maya yang membeli barang dan perkhidmatannya.
Menurut majalah Forbes, jualan itu mungkin yang paling tinggi dalam dunia siber kerana sebelum ini seorang pemilik watak Erik Buzz Lightyear di Entropia Universe membeli Stesen Angkasa Lepas Crystal Palace pada harga AS$330,000 (RM1.02 juta) pada 2009.
Seorang lagi pelajar sebuah sekolah tinggi, Mike Everest dari Durango di Colorado dan ibunya memperoleh AS$35,000 (RM109,200) dengan membina dan menjual senjata di dunia khayalan Entropia pada 2006. - Agensi

Eksekutif menang saman malu RM42.45 juta


DUBLIN - Seorang eksekutif perlombongan, Donal Kinsella memenangi kes saman malu terbesar di Ireland apabila panel juri sebuah mahkamah memerintahkan dia dibayar pampasan mencecah £8.51 juta (RM42.45 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Bayaran itu sebagai ganti rugi satu kenyataan media oleh majikannya, firma perlombongan Kenmare Resources bahawa dia menceroboh ke bilik seorang kakitangan wanita dalam keadaan bogel ketika bertugas di Afrika pada 2007.
Peguam-peguam Kinsella berhujah, laporan tersebut berniat jahat dan sengaja dibuat untuk menjatuhkan maruah anak guam mereka yang sudah beristeri dan mempunyai enam orang anak dan kedudukannya sebagai pengarah syarikat.
Panel 11 juri berkenaan sebulat suara memutuskan bahawa satu kenyataan media syarikat itu gagal memperincikan bahawa perbuatan tersebut tidak disengajakan kerana ketika itu, Kinsella mengigau dan dia berjalan semasa sedang tidur.
"Nama saya sudah dibersihkan," kata Kinsella yang berasa sangat gembira dengan keputusan itu.- Agensi

Menangis sebelum mati nahas



MOHD. Nazri (kiri) dan Aisyah membaca berita mengenai kematian Intan Safiah yang disiarkan Kosmo! di rumahnya di Kerinchi, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sebuah sekolah antarabangsa maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 26 Kondominium Mont Kiara dekat Seri Hartamas di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.20 tengah hari itu, mangsa yang berusia 17 tahun dan berdarah campuran Jepun-Filipina ditemui mati di dalam longkang di tingkat bawah bangunan tersebut.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak pengurusan kondominium berkenaan 10 minit selepas kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah terjatuh dari tingkat 26. Kita menemui beberapa buah buku miliknya di situ.
“Mangsa tinggal bersama keluarganya di tingkat 17 dan merupakan seorang pelajar A-Level di sebuah sekolah antarabangsa di Brickfields,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, enam jam sebelum kejadian, ibu mangsa telah menghantarnya ke sekolah tetapi mangsa tidak menyatakan apa-apa.

Mati sebelum tamat A-Level



ANGGOTA polis mengusung mayat seorang remaja untuk dibawa ke hospital di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sebuah sekolah antarabangsa maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 26 Kondominium Mont Kiara dekat Seri Hartamas di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.20 tengah hari itu, mangsa yang berusia 17 tahun dan berdarah campuran Jepun-Filipina ditemui mati di dalam longkang di tingkat bawah bangunan tersebut.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak pengurusan kondominium berkenaan 10 minit selepas kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah terjatuh dari tingkat 26. Kita menemui beberapa buah buku miliknya di situ.
“Mangsa tinggal bersama keluarganya di tingkat 17 dan merupakan seorang pelajar A-Level di sebuah sekolah antarabangsa di Brickfields,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, enam jam sebelum kejadian, ibu mangsa telah menghantarnya ke sekolah tetapi mangsa tidak menyatakan apa-apa.

Majikan Sumiati masih bebas di Madinah

RIYADH: Polis masih belum menangkap majikan Sumiati Binti Salan Mustapa.
Ketua Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia di Pejabat Konsul negara itu di Jeddah, Didi Wahyudi berkata, majikan Sumiati masih bebas di Madinah meskipun laporan telah dibuat di Pejabat Polis Faisaliah, 10 November lalu.

Pembantu rumah itu cedera teruk akibat didera oleh keluarga majikannya, termasuk hilang sebahagian bibir kerana digunting dan hingga ini masih dirawat di Hospital Raja Fahd di Madinah.

Dalam pada itu, Duta Arab Saudi ke Jakarta, Abdulrahman Alkhayat, semalam menyifatkan kekejaman yang dilakukan terhadap Sumiati sebagai tidak bertamadun.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan terhadap kes itu dan pada masa sama, menolak dakwaan penderaan seumpama itu adalah perkara biasa di negara nya.

“Belum ada sebarang tangkapan kerana siasatan masih dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di Jakarta, semalam.

“Terdapat lebih sejuta pekerja Indonesia di Saudi. Apa yang terjadi pada Sumiati adalah sesuatu yang jarang berlaku. Semoga ia tidak akan berulang,” katanya. - Agensi

Warga asing jadi drebar teksi di Sungai Buloh

SEWAKAN TEKSI...pemandu teksi disyaki warga asing mengambil penumpang di Sungai Buloh.
SEWAKAN TEKSI...pemandu teksi disyaki warga asing mengambil penumpang di Sungai Buloh.
SUNGAI BULOH: Segelintir pemandu teksi tempatan di daerah ini dikenal pasti menjadi tauke dan hidup goyang kaki apabila menyewakan teksi mereka kepada warga asing bagi mengaut keuntungan mudah.
Kegiatan mereka mengakibatkan pemandu teksi warga asing terutama rakyat Indonesia menjadikan beberapa kawasan tumpuan orang ramai sebagai ‘port rasmi’ mereka, malah dipercayai turut mengenakan tambang sesuka hati.

Tinjauan Harian Metro di sebuah pusat beli-belah di sini mendapati pemandu teksi berkenaan mula berkumpul dan menunggu penumpang sekitar jam 5 petang berikutan terdapat ramai pekerja yang pulang ketika itu.

Seorang pengadu yang dikenali sebagai Mohamed, 27, berkata, kegiatan pemandu teksi yang terdiri daripada warga asing terbabit semakin berleluasa kerana tiada tindakan daripada pihak berkuasa.

Katanya, memandangkan kawasan itu turut dipenuhi warga asing berkenaan maka dia tidak hairan kegiatan pemandu teksi itu sering mendapat sambutan penumpang.

“Memang tidak logik apabila melihat pemandu teksi di kalangan warga asing kerana setahu saya mereka tidak dibenarkan sama sekali untuk memiliki lesen atau menyewa daripada warga tempatan.

“Setakat ini tidak ada kejadian buruk atau masalah jenayah membabitkan golongan itu namun sebagai warga tempatan, saya pasti mereka menutup ‘periuk nasi’ pemandu tempatan yang masuk di kawasan Sungai Buloh,” katanya.

Penumpang, Siti Norfatimah Zulkifli, 19, mengakui terdapat pemandu teksi warga asing di setiap perhentian bas atau teksi di daerah ini.

Menurut Siti, kebiasaannya pemandu warga asing akan menunggu penumpang di kawasan tumpuan orang ramai seperti Stesen Komuter Sungai Buloh, perhentian bas atau pondok teksi.

“Selalunya, mereka menggunakan teksi lama iaitu Proton Iswara dan mempunyai lokasi khas untuk menunggu dan mengambil penumpang.

“Saya tidak pernah guna perkhidmatan mereka kerana bimbang keselamatan diri dan tambang dicaj juga tanpa menggunakan meter,” katanya.

Resah lelaki pakaian ‘seksi’ kawal trafik

KUALA LUMPUR: Gelagat seorang lelaki kurang siuman berpakaian seperti wanita seksi yang sering mundar-mandir di sekitar kawasan Taman Samudera di sini menimbulkan keresahan penduduk setempat.
Bukan itu saja, aksinya sebagai ‘polis trafik’ di jalan utama di situ turut mencuri tumpuan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

Tinjauan Harian Metro mendapati lelaki berkenaan menjadikan ruang bawah jejambat berhampiran susur masuk ke Taman Samudera itu sebagai tempat tinggalnya dengan menjadikan kotak dan akhbar sebagai alas tidur.

Menurut seorang penduduk, Md Kassim Abdul Aziz, 50, kehadiran lelaki berkenaan dikesan di kawasan itu sejak tiga tahun lalu.

Katanya, lelaki itu akan kelihatan pada waktu petang ketika dia pulang ke ruang di bawah jejambat terbabit untuk berehat.

“Dia akan keluar dari bawah jejambat itu pada waktu pagi dan mundar-mandir di sekitar kawasan itu. Ada masanya dia akan memberikan isyarat lalu lintas kepada orang ramai yang lalu di situ.

“Ada aduan daripada orang ramai mengatakan dia mengotorkan kawasan sekitar, tetapi setakat ini dia tidak mengganggu ketenteraman awam walaupun ada pejalan kaki yang lalu berhampiran,” katanya.

Abdul Aziz berkata, kerana simpati melihat keadaannya yang tidak terurus, dia pernah memberikan wang kepada lelaki berkenaan untuk membeli makanan, tetapi ditolak dengan cara baik.

Wanita dinodai dua polis palsu

PETALING JAYA: Seorang pelayan restoran warga Myanmar dirogol bergilir-gilir oleh dua lelaki yang menyamar sebagai polis di sebuah kawasan perindustrian di Kelana Jaya, dekat sini, malam kelmarin.
Ketika kejadian jam 10 malam itu, mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum ditahan dua lelaki terbabit yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Dua lelaki berkenaan yang menaiki kereta Proton Waja berwarna perak pada mulanya meminta mangsa menunjukkan dokumen pengenalan diri dan selepas diberi, mereka meminta mangsa memberikan wang pula.

Mangsa yang ketika itu tiada wang dipaksa masuk ke dalam kereta dengan alasan ingin membawanya ke balai polis namun sebaliknya dibawa ke sebuah kawasan perindustrian.

Mangsa yang tidak tahu muslihat dua lelaki terbabit hanya mengikut arahan mereka namun tidak menyangka ia menjadi sejarah hitam dalam hidupnya apabila menjadi pemuas nafsu seks dua lelaki berkenaan yang merogolnya secara bergilir-gilir di tempat duduk belakang kereta. Selepas puas meratah tubuh mangsa, mereka meninggalkan mangsa bersendirian.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang kontraktor kerugian RM25,000 apabila disamun di tepi jalan SS 7, Kelana Jaya, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang baru mengeluarkan wang berkenaan dari sebuah bank dan dalam perjalanan ke pejabat berhenti seketika di kawasan kejadian untuk membuang air kecil.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba mangsa didatangi empat lelaki menunggang dua motosikal berhenti dan mengacu pisau kepadanya serta meminta menyerahkan wang kepada mereka.

Mangsa dipercayai sudah mengekori sejak dia mengeluarkan duit dari bank dan penjenayah terbabit menunggu peluang terbaik untuk menyamun.

Bayar ribu dapat juta

SEREMBAN: Terpengaruh untuk mendapatkan harta yang dikatakan milik bekas Presiden Sukarno, enam rakan sepejabat kerugian RM16,000 yang mereka laburkan kononnya untuk mencairkan harta bekas pemimpin nombor satu Indonesia itu.
Seorang daripada mangsa yang mahu dikenali sebagai Shamsul, 30-an, berkata, segalanya bermula apabila dia bersama rakan diperkenalkan mengenai pelaburan pencairan harta Sukarno itu oleh seorang lelaki berusia 40-an di sebuah restoran di sekitar Bandar Baru Nilai, di sini, pada 13 Oktober lalu.
Menurutnya, lelaki itu memberitahu pewaris harta yang kononnya berjumlah AS$3.2 bilion (RM10 billion) itu adalah anak Sukarno yang dibawa ke negara ini ketika masih kecil dan dia kini dalam proses mendapatkan semula harta berkenaan yang didakwa berada dalam kawalan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Bagaimanapun, kami diberitahu harta itu perlu ‘dicairkan’ terlebih dulu dan memerlukan bantuan daripada pelabur atau digelar ‘jemaah’ untuk menyalurkan kos pelepasan mencecah puluhan ribu ringgit.


“Kos itu dianggap sebagai pelaburan untuk memastikan kelancaran proses pencairan harta berkenaan antaranya membabitkan urusan polis, kastam, imigresen dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Selepas harta itu dicairkan, setiap pelabur akan menerima pulangan balik pelaburan sebanyak lima kali ganda termasuk bonus yang didakwa mencecah jutaan ringgit dalam tempoh hanya seminggu,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, pada masa yang sama pelabur juga diminta tidak mendedahkan hal berkenaan kepada sesiapa kerana semua urusan adalah sulit.

Shamsul berkata, untuk meyakinkannya dan rakan lelaki itu turut menunjukkan dokumen didakwa surat asal Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang menyatakan terdapat perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan White House (kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat) serta FBI (Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat).

“Selain itu, lelaki berkenaan turut menunjukkan slip pemindahan wang sebanyak RM250 juta dari sebuah bank di London ke akaun bank tempatan yang dikatakan milik pewaris harta terbabit bertarikh 12 Oktober 2010,” katanya.

Shamsul yang terpengaruh dengan kata-kata lelaki itu kemudian bersetuju membayar kos pelepasan dengan memasukkan wang berjumlah RM2,500 ke dalam akaun bank seorang lelaki dipercayai orang kanan sindiket terbabit.

“Namun, janji yang diberikan berkaitan pulangan balik pelaburan termasuk bonus dalam tempoh seminggu ternyata palsu semata-mata dan gagal diperoleh sehingga ke hari ini,” katanya yang membuat laporan polis.

Menurutnya, selain dirinya, lima lagi rakan sepejabatnya turut membuat pelaburan dengan jumlah berbeza-beza antara RM2,000 dan RM3,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira RM16,000.

“Saya percaya selain kami berenam, ramai lagi individu termasuk di negeri lain turut terpedaya dengan helah licik sindiket ini. Saya membuat pendedahan ini supaya orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak turut menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan berkata seorang lelaki berusia 30-an dipercayai orang kanan sindiket berkenaan ditahan pihaknya di sekitar Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor, minggu lalu.

“Kami merampas sebuah komputer riba dipercayai milik ketua sindiket berkenaan dan beberapa slip atau resit bank.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis sedang memburu dalang sindiket yang berasal dari Muar, Johor,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu dan turut memburu mangsa di beberapa negeri lain.

“Sehubungan itu, kami meminta mangsa yang turut terpedaya supaya tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tiga ambil lembu korban maut nahas



KUCHING: Tiga sahabat dalam perjalanan untuk mengambil lembu untuk dikorbankan sempena Aidiladha, maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka bertembung dengan lori treler di Kilometer 63 Jalan Sri -Sarikei, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi berkenaan, semua mangsa yang berasal dari Sri Aman, dikenali sebagai Hairi Kuhde, 43, Abang Morni Abang Sapawi, 52, dan Wan Malik Wan Oya, 44, meninggal di tempat kejadian selepas kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dipandu Hairi, terperosok di bawah lori yang menuju ke Kuching.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad, berkata kenderaan pacuan empat roda berkenaan dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan berten-tangan menyebabkan ia dirempuh lori treler yang membawa tangki gas cecair. 

"Berdasarkan laporan awal, semua mangsa yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Hospital Sri Aman, mahu mengambil lembu di Sarikei bagi dijadikan korban pada majlis yang dijadualkan berlangsung pagi esok (hari ini). 

"Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi berdekatan simpang ke Betong, pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan dikatakan gagal mengawal kenderaannya menyebabkan dia gagal mengelak lori treler yang datang dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi. 

Difahamkan, ketika kejadian itu, jalan raya dalam keadaan licin kerana hujan menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan tidak menyedari kehadiran lori treler di hadapannya. 
Mat Jusoh berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kenderaan pacuan empat roda berkenaan dipandu dalam keadaan laju berdasarkan keadaannya yang terputus sejurus kejadian. 

"Kita terpaksa mendapatkan bantuan daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Sri Aman yang mengambil masa lebih 30 minit bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan. 

"Pemandu lori treler terbabit telah dipanggil bagi memberi kenyataan dengan semua mayat dihantar ke Hospital Sri Aman bagi proses bedah siasat sebelum dibenarkan dituntut ahli keluarga masing-masing," katanya. 

Difahamkan, pemandu treler yang dikenali sebagai Mud Angi berusia sekitar 30-an, hanya mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan pulang selepas polis merakam percakapannya di Ibu Pejabat Polis Sri Aman. 

Tanah runtuh ancam 10 keluarga




2010/11/19

 SEORANG penduduk melihat tebing yang runtuh mengancam kediaman Orang Asli di Pos Sendrop, semalam.
SEORANG penduduk melihat tebing yang runtuh mengancam kediaman Orang Asli di Pos Sendrop, semalam.
LOJING: Seramai 10 keluarga Orang Asli di Pos Sendrop, dekat sini, terselamat apabila bertindak pantas menyelamatkan diri setelah berlaku kejadian tebing runtuh berhampiran dengan kediaman mereka malam kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam ketika hujan lebat itu, tiada kemalangan jiwa berlaku dan penduduk yang keluar rumah untuk menyelamatkan diri, kembali semula setengah jam kemudian setelah mendapati kediaman selamat diduduki.Kejadian dipercayai akibat pembukaan tanah tidak terkawal oleh syarikat tertentu bagi kegiatan menanam sayur di kawasan tinggi itu dan penduduk Orang Asli kesal dengan sikap pengusaha kebun sayur yang bertindak mengalihkan aliran anak sungai ke kawasan berhampiran penempatan mereka sehingga menyebabkan berlaku hakisan tebing.
Penduduk, Rokiah Angah, 52, berkata ketika kejadian, beliau bersama lima beranak sedang bersiap untuk tidur sebelum kejadian itu dan dikejutkan dengan satu gegaran kuat menyebabkan mereka semua bergegas keluar dari rumah menyelamatkan diri. 

Beliau berkata, tidak sampai 10 minit selepas keluar dari rumah, tebing berhadapan rumahnya runtuh dan aliran air sungai melimpahi tebing sebelum mengalir ke kampung berkenaan. 

“Walaupun kediaman selamat dalam kejadian malam tadi, namun saya tetap merasa bimbang sekiranya kejadian tebing runtuh itu menjadi lebih serius akan menyebabkan berlaku kemalangan jiwa nanti. 

“Apabila sebuah syarikat pengusaha kebun sayur menimbus anak sungai asal dan membina aliran baru berhampiran rumah, saya sudah menjangkakan kejadian ini akan berlaku,” katanya. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pos Sendrop, Rashid Akoh, berkata, penduduk di sekitar Lojing kini berhadapan dengan pelbagai masalah hakisan apabila pembukaan tanah tinggi di sini semakin tidak terkawal. 

Beliau berkata, walaupun sehingga kini belum lagi berlaku kemalangan jiwa, namun pihak berkuasa terbabit seharusnya memandang serius terhadap kemusnahan di penempatan Orang Asli sekarang. 

"Saya sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pelbagai peringkat pemimpin sama ada kerajaan negeri atau pusat mengenai masalah ini, namun belum mendapat sebarang jawapan terbaik untuk mengatasinya,” katanya. 

3 warga Filipina dipenjara miliki MyKad orang lain




2010/11/19

MELAKA: Tiga warga negara Filipina termasuk sepasang suami isteri, dijatuhi hukuman penjara antara lima hingga enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam atas kesalahan memiliki MyKad dan salinan dokumen itu yang bukan milik mereka. 

Usin Uring, 49, serta pasangan suami isteri, Rif Arapat, 29, dan Leng Jhen, 30, dari Zamboanga City, Filipina didakwa melakukan kesalahan itu jam 11.30 pagi, di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Melaka, di Ayer Keroh, 11 November lalu.Majistret Muhammad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap Usin, manakala masing-masing enam bulan terhadap pasangan suami isteri itu. Hukuman berkuat kuasa bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 11 November.
Beliau juga memerintahkan ketiga-tiga tertuduh diserahkan kepada pihak imigresen untuk proses penghantaran ke negara asal. 

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa JPN, Mohamad Nazer Mahmood. 

Jurujual rentung kereta terbakar


Oleh Zulfa Mohamad
bhnews@bharian.com.my
2010/11/19

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mayat pemandu kereta yang rentung di Kilometer 12.2 Jalan Lingkaran Luar Butterworth, dekat Sungai Puyu, Butterworth, awal pagi semalam.
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mayat pemandu kereta yang rentung di Kilometer 12.2 Jalan Lingkaran Luar Butterworth, dekat Sungai Puyu, Butterworth, awal pagi semalam.
Kenderaan dipandu hilang kawalan lalu terbabas sebelum rempuh pembahagi jalan 

BUTTERWORTH: Seorang jurujual rentung apabila kereta dipandunya terbakar selepas terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 12.2 Jalan Lingkaran Luar Butterworth dekat Sungai Puyu, di sini awal pagi semalam.Dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, mangsa, Wong Tat Heng, 27, memandu kereta Chevrolet dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menikmati makan malam di Bukit Mertajam.
Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian, mangsa hilang kawalan menyebabkan keretanya terbabas, sebelum merempuh pembahagi jalan di susur keluar Sungai Puyu lalu terbalik dan terbakar. 

Beberapa penduduk bergegas ke tempat kejadian sebaik terdengar bunyi dentuman kuat, namun tidak dapat menyelamatkan mangsa kerana api marak lalu menghubungi bomba. 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Pegawai Bomba Kanan Dua, P Yellepal, bersama empat anggotanya ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 4.50 pagi. 

Katanya, kereta mangsa masih terbakar ketika pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian dan mengambil masa 15 minit bagi mengawal api. 
“Pemandu kereta itu didapati rentung seluruh badan dan tiada dokumen pengenalan diri ditemui kerana musnah dijilat api. 

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Traffik dan Ketenteraman Awam Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Superintendan, Mohd Suhaimi Mohd Noor, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 421(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sampah meningkat tiga kali ganda


AZAMANUDDIN Haq Ahmad (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada para pekerja E-Idaman yang turut terjejas akibat banjir di Kangar, semalam.


KANGAR 18 Nov. - Selepas Perlis dilanda bencana alam luar jangka selama seminggu baru-baru ini, syarikat pelupusan sisa pepejal di negeri ini pula menerima 'bencana luar jangka' apabila terpaksa mengangkut sampah lebih tiga kali ganda sehari selepas banjir itu reda.
Lazimnya, syarikat itu hanya memunggah dan melupuskan cuma kira-kira 100 tan sampah sehari, tetapi sejak seminggu lalu Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman) terpaksa bekerja keras untuk memunggah dan melupuskan 350 tan sampah setiap 24 jam.
E-Idaman perlu bekerja keras kerana sampah, termasuk yang dibawa arus banjir itu bukan saja sampah biasa yang bersifat buangan isi rumah, tetapi sebahagian daripadanya tergolong dalam kategori sampah pukal.
Sampah pukal itu termasuk pelbagai perabot rumah dan pejabat, aksesori kenderaan terpakai serta sisa buangan kilang dan bengkel yang rosak sewaktu banjir seminggu yang melanda Perlis mulai awal bulan ini.
Pengarah E-Idaman, Azamanuddin Haq Ahmad memberitahu, ekoran pertambahan 250 tan sampah setiap hari itu, pihaknya terpaksa menyewa 20 buah lori dan 10 jentolak untuk menambah kekuatan sedia ada bagi mengangkat dan menguruskan sampah, terutama sampah pukal untuk dilupuskan.
"Sampah pukal itu termasuk pelbagai perabot rumah dan pejabat seperti almari, tikar dan peralatan rumah yang rosak dan dibuang oleh penduduk termasuk dilonggokkan di tepi-tepi jalan dan di tempat tong sampah.
"E-Idaman perlu mengutip dan melupuskan sampah pukal itu dalam usaha memastikan kebersihan untuk kepentingan penduduk dan alam sekitar," ujarnya pada sidang akhbar di pekarangan pejabat E-Idaman di sini hari ini.
Sebelum itu, Azamanuddin bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar Baru negeri, Dr. Por Choo Cho menyampaikan sumbangan E-Idaman sebanyak RM200 seorang kepada 73 pekerja syarikat pelupusan sampah yang menjadi mangsa banjir di Perlis baru-baru ini.
Beliau memberitahu, pihaknya masih meneruskan pungutan sampah 350 tan sehari kerana kini sebahagian besar mangsa banjir sedang melakukan kerja-kerja pembersihan kediaman dan premis sambil membuang pelbagai kelengkapan yang rosak.

Kes baru selesema burung

HONG KONG 18 Nov. - Hong Kong berusaha mengawal penularan selesema burung selepas merekod kes pertama sejak 2003, apabila seorang wanita berusia 59 tahun yang disahkan dijangkiti penyakit itu, kini berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Seorang jurucakap Jabatan Kesihatan berkata, kerajaan segera menaikkan paras amaran penyakit itu ke tahap 'serius' hari ini, bermaksud penyakit tersebut berisiko tinggi untuk berjangkit dan membawa maut.
Hong Kong mencatat kes selesema burung terakhir pada 2003 dan muncul negara pertama di dunia dilanda wabak tersebut di kalangan manusia pada 1997 apabila enam mangsa maut selepas dijangkiti virus mutasi yang pada ketika itu tidak dapat dikenal pasti.
Berjuta-juta ayam dan itik dibunuh semasa wabak melanda ketika itu dan bandar raya yang dihuni tujuh juta penduduk tersebut berada dalam keadaan panik sama seperti semasa wabak Sindrom Akut Pernafasan Teruk (SARS) melanda pada 2003, mengorbankan kira-kira 300 nyawa.
Keadaan tegang berlaku lagi tahun lalu apabila penularan selesema burung meragut 80 nyawa di Hong Kong.
Wanita berusia 59 tahun tersebut disahkan positif Infulenza A, sejenis virus berasal dari burung selepas dikesan menghidap pneumonia, kata pegawai. Dia berada dalam keadaan serius di sebuah wad yang diasingkan.
Pegawai berkata, wanita tersebut baru kembali dari tanah besar China dan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dia mungkin dijangkiti di sana.
Siasatan awal mendapati pesakit tersebut tidak mengunjungi mana-mana ladang ternakan atau bersentuhan dengan ayam serta itik yang masih hidup.
Dia dimasukkan ke hospital Ahad lalu selepas mengadu mengalami demam berulang, batuk dan kahak berdarah.
Menurut Setiausaha Makanan dan Kesihatan Hong Kong, York Chow kerajaan telah meningkatkan pemeriksaan ternakan di pasar-pasar borong serta memperketat kawalan jangkitan di hospital-hospital awam dan klinik. - AFP

Rolls-Royce akan ganti 40 enjin pesawat A380


DALAM gambar fail 13 November ini, enjin rosak pada pesawat superjumbo Qantas A380 dikeluarkan daripada pesawat di lapangan terbang Singapura. - AP


SYDNEY 18 Nov. - Rolls-Royce mungkin akan menggantikan sehingga 40 enjin pesawat jumbo Airbus A380 yang dimiliki tiga syarikat penerbangan, selepas insiden letupan di udara menimbulkan kebimbangan keselamatan terhadap pesawat penumpang terbesar dunia itu, lapor Qantas Airways.
Bilangan tersebut hampir separuh enjin Trent 900 yang dipasang pada pesawat A380 milik Qantas, Singapore Airlines dan Lufthansa, selepas pemeriksaan rapi dibuat ekoran insiden letupan 4 November lalu di ruang udara Indonesia.
"Rolls-Royce mungkin akan menggantikan 40 enjin pesawat A380, termasuk pesawat milik Singapura dan Lufthansa.
"Qantas hanya mempunyai enam pesawat dengan empat enjin pada setiap kapal terbang," kata seorang jurucakap Qantas.
Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Alan Joyce berkata, sebanyak 14 enjin A380 milik pesawatnya mungkin terpaksa ditukar, sekali gus menimbulkan persoalan bilakah pesawat A380 akan menyambung semula perkhidmatan ke Los Angeles dan London.
Katanya, Rolls-Royce sedang berusaha mengubah suai enjin bagi mengelakkan kebocoran minyak, namun tiada satu pun turbin Qantas telah diperbaiki.
Syarikat penerbangan Australia itu terpaksa menangguhkan penggunaan semua enam pesawat A380 miliknya selepas insiden berlaku, yang memaksa sebuah pesawat mendarat cemas di Singapura.
Qantas sebelum ini berkata, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya tiga enjin baru selepas pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran minyak.
Singapore Airlines pula dilapor menghentikan perkhidmatan tiga daripada 11 pesawat A380, sementara Lufthansa telah menggantikan satu enjin di sebuah daripada tiga pesawat jumbonya sebagai langkah berjaga-jaga.
Pengendali pesawat A380 lain juga dilapor terpaksa menggunakan turbin yang dikeluarkan pengilang lain. - AFP

Pemilik lori lepas asap hitam didenda RM3,000


SHAH ALAM 18 Nov. - Gara-gara mengelak membayar kompaun RM2,000 atas kesalahan melepaskan asap hitam ke udara, seorang pengarah sebuah syarikat pembinaan dan perniagaan hari ini didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Sebelum Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman, Yap Hock selaku pengarah Syarikat Pembinaan dan Perniagaan Yap Adik-Beradik dan pemilik lori, sempat memberikan alasan bahawa pejabatnya telah terbakar bagi meraih simpati mendapatkan hukuman ringan.
Bukan itu sahaja, Yap Hock yang tidak diwakili peguam turut menyalahkan pemandu yang memandu lorinya kerana gagal menyerahkan tawaran kompaun tersebut kepadanya sebagai majikan.
Hasbi bagaimanapun berkata, kompaun RM2,000 telah dikeluarkan pada April tahun lalu walhal lelaki itu mengatakan pejabatnya terbakar sebulan kemudian.
Perkara tersebut menyebabkan Hasbi menegur sikap Yap Hock dan mengingatkannya agar lebih bertanggungjawab pada masa akan datang.
''Kepada pemandu pula sekiranya mendapat surat kompaun tolong serahkan kepada majikan. Jika sebelum ini kompaun dijelaskan maka tidak perlu kamu datang ke mahkamah untuk berhadapan dengan pertuduhan,'' kata Hasbi.
Yap Hock sebagai pemilik lori bernombor pendaftaran WPB 8615 yang dipandu oleh Borhani Bon didapati telah melepaskan asap hitam ke udara dengan ketumpatan 76.7 peratus iaitu melebihi had ketumpatan maksimum yang dibenarkan sebanyak 50 peratus.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10.26 pagi, 30 Mac 2009 di Plaza Tol Sungai Buloh, dekat sini.
Pertuduhan terhadap syarikat dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) , Hariati Abu Bakar mengikut Seksyen 22(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dibaca bersama Seksyen 43(2) akta sama.
Hukuman bagi kesalahan itu diperuntukkan mengikut Seksyen 22(3) akta tersebut yang boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Fakta kes menyebut, kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan ujian pelepasan asap hitam oleh sepasukan pegawai dari JAS.

Remaja kacukan Jepun maut jatuh kondominium


KUALA LUMPUR 18 Nov. - Seorang remaja lelaki berketurunan Jepun-Filipina maut setelah terjatuh dari tingkat 26 sebuah kondominium di Jalan Kiara 3, Bukit Kiara di sini hari ini.
Mangsa, Toshiyuki Sheito, 17, yang menuntut di sebuah sekolah antarabangsa di ibu negara, mati akibat kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.
Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, anak tunggal itu yang tinggal bersama keluarganya di tingkat 17, dipercayai terjun daripada tingkat 26 berdasarkan penemuan beg sekolahnya di situ.
Terdahulu Toshiyuki dihantar ibunya ke sekolah pada pukul 7.30 pagi. Dia dipercayai baru pulang ke rumah selepas sesi persekolahan
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut.
Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati mangsa mungkin mengalami masalah kemurungan dan tekanan sehingga dia terdesak berbuat demikian.
Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sementara itu, di PPUM, percubaan pemberita untuk menemu bual ibu-bapa mangsa tidak berhasil kerana mereka masih bersedih di atas kejadian yang menimpa anak mereka.

Diaibkan dalam Facebook


KUALA LUMPUR 18 Nov. - Seorang ahli perniagaan wanita mendakwa dia diaibkan dalam laman web sosial Facebook dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki yang pernah ditolak cintanya, dua tahun lalu.
Menurut mangsa, Sammi Lam Sin Yee, 26, dia telah diburuk-burukkan dalam satu akaun pengguna Facebook sebagai wanita yang mempermainkan lelaki dalam hubungan sebelum melesapkan duit mereka.
Katanya, dia percaya akaun Facebook itu sengaja dibuka oleh seorang individu bertujuan untuk mengaibkan dirinya di hadapan kenalan-kenalan dan ahli keluarga.
"Dalam akaun tersebut, pihak terbabit menggambarkan betapa jahatnya saya suka menggoda lelaki dan kemudiannya menipu wang mereka.
"Komen yang dipaparkan mengatakan saya telah menipu beberapa lelaki sebanyak RM300,000 sejak lima tahun lalu di Bahau, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini hari ini.
Sin Yee mendakwa, dia yakin ia merupakan angkara seorang ejen insurans yang dikenalinya dua tahun lalu selepas dia membeli polisi insurans daripada lelaki terbabit.
Katanya, lelaki berkenaan cuba memikatnya namun dia telah menolak.
Mulai saat itu, mangsa mula menerima pelbagai gangguan menerusi e-mel dan khidmat pesanan ringkas yang berbaur ugutan bahawa hidupnya tidak akan senang selepas ini.
"Kemarahan saya memuncak dengan apa yang berlaku baru-baru ini apabila saya diaibkan pula dalam Facebook.
"Perkara ini telah menjejaskan imej saya sebagai pemilik pusat tuisyen dan kerjaya sampingan sebagai ejen hartanah," jelas Sin Yee.
Dia bagaimanapun boleh bernafas lega kerana teman lelaki dan majikannya yakin dan percaya dia bukan wanita seperti yang dinyatakan dalam Facebook, malah ditemani kedua-duanya pada sidang akhbar hari ini untuk menjelaskan perkara sebenar serta membersihkan namanya.
Berikutan itu, sebagai langkah keselamatan, mangsa yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan telah membuat laporan polis di Balai Polis Kepong pada Isnin lalu.
Keluh Sin Yee, yang lebih membimbangkannya adalah segala butiran peribadinya seperti nombor MyKad, nombor pendaftaran kereta dan alamat tempat kerja turut disiarkan dalam Facebook.

Cedera batu jatuh di lebuh raya


Mohamad Radzuan Taib menunjukkan tulang rusuknya yang patah akibat kereta dinaikinya merempuh batu besar, baru-baru ini.


IPOH 18 Nov. – Seorang pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat patah tulang rusuk kanan selepas kenderaan dipandu anaknya merempuh seketul batu besar yang menghempap laluan di Kilometer 260 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat Jelapang di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, kaki kanan Mohamad Radzuan Taib, 53, turut cedera akibat tertusuk serpihan dashboard kereta Myvi tersebut manakala anaknya, Shafiq Affandi, 24, hanya cedera ringan.
Menurut Shafiq Affandi, dia bersyukur kerana sempat membrek kereta itu setelah ternampak ketulan batu tersebut yang betul-betul jatuh di tengah laluan itu.
“Semasa kejadian, saya bersama ayah dalam perjalanan dari Taiping ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dan selepas melalui Terowong Menora, sebuah lori dipandu begitu rapat di belakang kami.
“Tidak sampai 500 meter selepas itu, saya terperanjat besar apabila di hadapan saya terdapat seketul batu besar yang sudah jatuh di atas jalan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

40 syarikat tampil bantu siasatan


SEREMBAN 18 Nov. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri mengesahkan hampir 40 syarikat termasuk individu persendirian telah tampil bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang kutipan RM660,000 yang didakwa dikutip untuk menjayakan Majlis Mesra Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.
Menurut jurucakap suruhanjaya itu, kesemua mereka merupakan pihak yang menghulurkan sumbangan bagi tujuan menjayakan majlis berkenaan.
''Kerjasama orang ramai ini amat diperlukan bagi membantu pihak kami melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tujuan pendakwaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan enam individu ditahan oleh SPRM kerana dituduh meminta dan menyalahgunakan wang sebanyak RM660,000 yang dikutip daripada individu dan syarikat bagi menganjurkan satu majlis jabatan itu.
Mereka yang ditahan ialah tiga kakitangan JPJ berusia antara 45 hingga 53 tahun, manakala tiga lagi individu yang bertindak sebagai orang suruhan dan pemungut sumbangan berusia antara 45 hingga 55 tahun.
Wang kutipan itu dikatakan lesap daripada akaun Kelab Sukan dan Kebajikan JPJ Negeri Sembilan atas nama Majlis Mesra JPJ Negeri Sembilan, yang kini cuma berbaki RM4,000 sahaja.
Jurucakap itu berkata, SPRM melalui pasukan khas yang ditubuhkan kini sedang mengumpulkan pelbagai maklumat berhubung penyelewengan wang kutipan itu.
''Saya meminta lebih ramai individu, syarikat atau mana-mana pejabat yang pernah menyumbang untuk majlis itu supaya tampil melaporkannya kepada SPRM," ujarnya.
Dalam pada itu, jurucakap berkenaan turut memberitahu, tempoh penahanan reman terhadap enam individu terbabit yang sepatutnya tamat hari ini, terpaksa dilanjutkan bagi membantu pihaknya melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.
''Perintah penyambungan reman itu telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan perkembangan tersebut.

Empat termasuk tiga kakitangan hospital terbunuh


SRI AMAN 18 Nov. - Empat terbunuh manakala seorang lagi cedera parah dalam dua kemalangan berasingan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan lori treler serta sebuah Toyota Vios dan sebuah bas ekspres di sini pagi ini.
Mereka yang terbunuh ialah tiga kakitangan Hospital Sri Aman yang menaiki pacuan empat roda iaitu Wan Malik Wan Oya, 44, dan Abang Morni Abang Sepawi, 52, dari Kampung Hilir Sri Aman serta Harry Kuchoe, 43, dari Serian.
Manakala seorang lagi yang maut ialah Billy Joe Harry, 25, yang menaiki kereta Toyota Vios manakala rakannya, Mohd. Subrie Sulaiman, 25, mengalami cedera parah.
Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Sri Aman, Inspektor Percubaan Ahmad Fuad Mahmod berkata, kejadian membabitkan tiga kakitangan Hospital Sri Aman yang bertugas sebagai tukang cuci (cleaner) berlaku kira-kira 500 meter berhampiran simpang Bandar Betong pada pukul 10.38 pagi.
Katanya, kejadian itu berlaku di selekoh di kilometer 63 Jalan Sri Aman-Sarikei setelah kenderaan yang dipandu mangsa dari Sri Aman gagal dikawal lalu memasuki lorong bertentangan.
''Kenderaan yang dinaiki mangsa terus bertembung dengan lori trailer yang datang dari arah Sarikei lalu terperosok di bawah lori berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Lubok Antu, Deputi Supritendan Bidol Noyeng berkata, polis masih menyiasat punca kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dan sebuah bas ekspres di kilometer 41 Jalan Sri Aman-Sarikei.
Katanya, mangsa yang terbunuh, Billy Joe dan rakannya difahamkan sedang dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Bintulu sebelum bertembung dengan bas ekspres berkenaan.
''Kita percaya, hujan pada awal pagi dipercayai menjadi salah satu faktor yang mengakibatkan kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi," katanya.