Search This Blog

Thursday, November 18, 2010

Pemandu bas terselamat hukuman sebatan rotan kerana miliki dadah


PUTRAJAYA - Seorang pemandu bas, yang didapati bersalah kerana memiliki dadah, terselamat daripada hukuman sebatan rotan mandatori kerana dia menghadapi hukuman mati bagi kes dadah lain.

Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar yang mengetuai tiga panel hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan luar biasa ini setelah mengambilkira Seksyen 289 (b) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) yang mengecualikan hukuman sebatan rotan terhadap lelaki yang menghadapi hukuman mati.

Suriyadi yang bersidang dengan dua lagi hakim, Hakim Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop, memberitahu Suzimi Shaari bahawa dia terselamat daripada hukuman sebatan rotan mengikut Akta Dadah Merbahaya (DDA), oleh sebab Seksyen 289.

Seksyen 39 (A) DDA mengenakan hukuman minimum lima tahun penjara dan maksimum 20 tahun penjara dan 10 sebatan rotan mandatori bagi seseorang yang disabitkan kesalahan kerana memiliki dadah.

Sebelum itu, panel berkenaan sebulat suara menolak rayuan Suzimi terhadap kesalahan dan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya yang berusia 45 tahun oleh Mahkamah Tinggi Taiping, Perak pada 31 Mac 2007 bagi pertuduhan pertama mengedar
4,877 gram ganja.-Bernama

Gunung Merapi sudah meragut 273 nyawa

ANGGOTA penyelamat yang diselaputi abu letusan Gunung Merapi mula menggunakan jentera berat di Kampung Argomulyo di daerah Sleman, Jawa Tengah, yang terjejas akibat bencana itu bagi mencari mayat mangsa yang tertimbus. Gunung Merapi sudah meragut 273 nyawa sejak ia meletus akhir bulan lalu manakala lebih 300,000 penduduk terpaksa tinggal di khemah sementara. - Foto AFP/Clara Prima

Polis tubuh pasukan khas siasat kes bunuh peguam di Ipoh

IPOH: Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan bantuan Ibu pejabat Polis Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes pembunuhan seorang peguam di sini dua hari lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya memandang serius kes pembunuhan itu kerana ia membabitkan seseorang yang mempunyai kerjaya cukup dihormati.

"Pasukan Tugas Khas itu akan diketuai oleh Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Ipoh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan ada kemungkinan pembunuhan itu berkaitan dengan urusan kerja, bagaimanapun siasatan terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang kesimpulan diambil.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang peguam G Balasunderam, 57, yang baru turun dari kereta di hadapan rumahnya selepas pulang dari pejabat, diserang dua lelaki bertopeng di Taman Desa Rishah, Buntong di sini.

Balasunderam yang mengalami cedera parah meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada jam 9 malam.-Bernama

Wanita Thai bawa 98 kapsul kokain dalam perut dihukum mati

KUALA LUMPUR: Sudahlah terpaksa menelan 98 kapsul dadah jenis kokain dan menanggung sengsara untuk mengeluarkannya pula menerusi pembuangan air besar selama enam hari berturut-turut, kesudahannya nyawa seorang wanita warga Thailand akan berakhir di tali gantung.
Itulah yang terpaksa dihadapi oleh Phrueksa Taemchim, 26, apabila dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar kokain seberat 713.8 gram tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menjatuhkan hukuman itu terhadap Phrueksa selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

"Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati," katanya.

Phrueksa, yang sebelum ini bekerja sebagai pelayan restoran di Thailand, didakwa melakukan kesalahan itu di Hentian Puduraya di sini pada 8.30 pagi 3 Julai 2009.

Mahkamah diberitahu bahawa seorang pegawai kanan polis menahan tertuduh di stesen bas Puduraya tetapi setelah diperiksa, tiada barang salah yang ditemui padanya.

Mayat tangan, kaki terikat dalam lombong


18/11/2010 11:49am

KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki ditemui dalam sebuah lombong dengan keadaan tangan dan kakinya diikat dengan wayar di Kampung Keliang, Kalumpang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, tiga kesan tikaman dikesan di belakang badan lelaki yang dipercayai warga asing berumur 30-an itu ditemui terapung dalam lombong berkenaan oleh orang awam pada kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
"Selain diikat, bahagian muka lelaki itu turut dibalut dengan pita pelekat," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, identiti lelaki itu belum dikenal pasti dan mayat lelaki dengan ketinggian 153 sentimeter itu ditemui dengan t-shirt belang berwarna coklat dan biru, berseluar jeans berwarna coklat dan bertali pinggang hitam.
Norel Azmi berkata, mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru (HKKB) untuk dibedah siasat dan pemeriksaan awal mendapati lelaki itu mati sejak tiga hari lepas.
Beliau berkata, kematian lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

2 anak mangsa ragut dibantu



Oleh Fazurawati Che Lah
bhkb@bharian.com.my
2010/11/18

TENGKU MUHAMMAD FAIZ PETRA menyampaikan sumbangan kepada Hasimah di rumahnya di Tumpat, semalam.
TENGKU MUHAMMAD FAIZ PETRA menyampaikan sumbangan kepada Hasimah di rumahnya di Tumpat, semalam.
Tengku Mahkota Kelantan sampai sumbangan peribadi 

TUMPAT: Nasib dua daripada lima beradik yang hidup dibelenggu kemiskinan bersama nenek mereka di Kampung Kok Bedollah, dekat sini, selepas kematian ibu akibat diragut lebih setahun lalu mendapat perhatian Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.Kehidupan Nurul Akmal Elisa Md Zani, 7; dan adik bongsu, Siti Najwa, 4; bersama neneknya, Hasimah Hussin, 56, yang mendiami rumah uzur selepas kematian ibu mereka, Sharifah Mohd Nor, mendapat perhatian Istana Kelantan untuk menghulurkan sumbangan.
Selain dua beradik itu, tiga lagi yang lain iaitu Nor Hidayu, 14; Mohd Saifullah, 12; dan Mohd Salwa Nabil, 9; masing-masing tinggal bersama bapa mereka Mohd Zani Awang, 40, di Kota Bharu. 

Prihatin dengan nasib Nurul Akmal Elisa, Siti Najwa dan neneknya, Tengku Muhammad Faiz Petra meluangkan masa satu setengah jam bersama keluarga itu dan berkenan supaya sebuah rumah baru dibina menerusi peruntukan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang dijangka dibina awal tahun depan. 

Baginda turut berkenaan menyumbang sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban kehidupan keluarga itu. 

Hasimah berkata, beliau terharu dengan keprihatinan Tengku Mahkota Kelantan yang sanggup datang ke rumah untuk bertanya khabar mengenai diri dan cucunya selain memberikan sumbangan. 
“Mak cik sangat terharu dan berterima kasih kepada Tengku Mahkota kerana baginda sungguh prihatin apabila sanggup mencemar duli meluangkan masa bersama kami. 

“Mak Cik tidak menyangka baginda berkenan untuk membina sebuah rumah baru selepas bertanya khabar mengenai kehidupan kami sekeluarga yang hidup serba kekurangan, mak cik anggap ini sebagai berita gembira sempena Aidiladha,” katanya di sini, kelmarin. 

Pada 6 Mei tahun lalu, Sharifah yang sedang mengandung tiga bulan meninggal dunia akibat terjatuh daripada motosikalnya selepas diragut dan dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan. 

Ketika kejadian, mangsa sedang mengandung anak keenam dalam perjalanan pulang dari rumah ibunya di Kampung Kok Bedolah, Tumpat ke Bachok. 

Hasimah berkata, tanpa sumbangan Tengku Mahkota Kelantan, beliau mengakui adalah sukar untuk dirinya membaik-pulih rumahnya memandangkan kekangan kewangan. 

“Pada masa sama, saya beryukur apabila dua cucu ini turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan,” katanya. 

Polis berjaya tumpas cubaan samun treler




2010/11/18

JOHOR BAHRU: Polis berjaya mematahkan cubaan samun treler kontena berisi dakwat pencetak industri bernilai lebih RM200,000, kelmarin dan kini sedang memburu suspek kes terbabit. 

Dalam kejadian 7 malam kelmarin, dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya yang menjalankan rondaan di Kawasan Perindustrian Taman Tan Sri Yaakob, di sini, mengesan sebuah kontena tanpa kepala treler yang dipercayai disamun beberapa jam sebelum itu.Ketika anggota polis itu menghampiri dua lelaki yang berada berhampiran treler berkenaan, mereka dengan tiba-tiba memandu sebuah kenderaan lain dan melarikan diri.
Pemeriksaan polis terhadap kontena berkenaan membawa kepada penemuan dakwat pencetak industri itu yang dipercayai hasil samun kontena berkenaan. 

Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai menyamun lori kontena itu dan membawa bersama pemandunya yang ketika itu dalam perjalanan ke Pasir Gudang, kira-kira jam 4.30 petang. 

Mata serta tangan pemandu berusia 45 tahun itu diikat oleh suspek sambil mengacu parang kepada pemandu itu. 

Suspek dipercayai memandu lori terbabit ke kawasan Perindustrian Taman Tan Sri Yaakob dan meninggalkan kontena berkenaan di bahu jalan kira-kira 7 malam, manakala kepala treler ditinggalkan di Jalan Layang, Taman Perling, di sini bersama pemandu dengan mata dan tangannya masih diikat. 
Pemandu treler berkenaan yang diselamatkan orang ramai, membuat laporan di Balai Polis Taman Perling. 

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff meminta orang ramai yang mempunyai sebarabg maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi talian hotline Polis Johor di 07-2212999 atau datang ke balai polis berhampiran. 

Wanita kena samun terima 15 jahitan




2010/11/18

TELUK INTAN: Seorang wanita menerima 15 jahitan di leher selepas dikelar seorang lelaki dalam cubaan samun di hotel murah di sini, kelmarin. 

Mangsa berusia dalam lingkungan 50-an yang menyewa bilik di Jalan Pasar, didatangi seorang lelaki India.Sebaik wanita itu membuka pintu, suspek mengeluarkan pisau dan menggugut mangsa menyerahkan barang berharga sebelum berlaku pergelutan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata wanita terbabit menjerit meminta pertolongan dan suspek yang terkejut mengelar lehernya. 

"Suspek kemudian cuba melarikan diri tetapi pengurusan hotel dan orang ramai berjaya menahan suspek dan menyerahkannya kepada polis. Wanita yang cedera itu dihantar ke Hospital Teluk Intan dan kini stabil," katanya di sini, semalam. 

Goh berkata, suspek ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. 

Lelaki berang libas pedang samurai



SEMENYIH: Pemilik kawasan melombong pasir haram di Sungai Kembong Hulu, dekat sini dipercayai bertindak ganas apabila menggunakan pedang samurai untuk menghalang penguat kuasa Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat (PTDHL) daripada menyita jentera yang digunakannya.Lapan anggota PTDHL termasuk wartawan Berita Harian berdepan detik cemas apabila lelaki berusia 30-an, itu mengarahkan rakannya menutup palang pintu kawasan perlombongan dan kemudian bertindak melibas serta mengancam akan membunuh penguat kuasa yang cuba mengambil tindakan.
Penguat kuasa PTDHL membuat pemeriksaan berikutan pendedahan Sentral kelmarin, bahawa kawasan terbabit menjalankan semula kegiatan mengorek dan mencuri pasir di kawasan lombong pasir haram walaupun pernah dikenakan tindakan sebulan lalu. 

Lelaki itu juga bertindak mengancam membunuh sesiapa saja selepas Penolong Pegawai Daerah (Penguatkuasa), PTDHL, Mohd Fadhlullah Omar mengarahkan anggotanya menyita jentera bernilai lebih RM300,000 yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan terbabit. 

“Saya tidak bersalah, ini tanah saya dan apa bukti yang saya menjalankan kegiatan ini (curi pasir). Sebelum ini pejabat tanah (PTDHL) suruh saya ratakan pasir saja, kali ini kenapa nak ambil jentera. 

“Siapa ambil jentera biar dua-dua mati, saya mati di tali gantung, awak mati di pedang saya,” kata lelaki itu yang berang sambil memegang dan menghunuskan pedang ke arah anggota PTDHL. 
Pada 19 Oktober lalu, sepasukan penguat kuasa PTDHL bersama agensi penguat kuasa lain, menyerbu kawasan perlombongan pasir haram itu menemui sebuah mesin pengaut pasir yang disorokkan dan mengeluarkan arahan supaya kegiatan perlombongan dihentikan serta-merta. 

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat, Zainal Abidin Aala berkata laporan polis dibuat di Balai Polis Beranang, di sini berhubung tindakan lelaki terbabit yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan mengancam menggunakan pedang. 

“Kita difahamkan lelaki itu mengamuk selepas penguat kuasa mahu menyita jentera yang disewa RM10,000 sebulan. Selepas gagal menyita jentera itu termasuk kekurangan bukti anggota PTDHL hanya menyita bateri dan komponen penting jentera. 

Katanya, PTDHL memberikan notis 8A iaitu mewartakan tanah itu milik kerajaan kerana kegagalan mematuhi notis 7B yang dikeluarkan sebelum ini. 

“Selepas memberikan notis 8A kertas siasatan akan disiapkan, individu akan diambil tindakan mengikut Seksyen 426 (1) Kanun tanah Negara Pindaan 2008 yang jika disabitkan kesalahan pengusaha terbabit boleh didenda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. 

Dua maut, 3 parah dalam nahas berasingan




2010/11/18

KOTA KINABALU: Seorang kelindan lori minyak kelapa sawit maut, manakala pemandunya parah selepas kenderaan berkenaan terbabas dan melanggar pokok di selekoh Kilometer 65, Jalan Ranau-Telupid, berhampiran Kampung Mirulu dekat Ranau, pagi semalam. 

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, Sopian Cinongka, 40, maut akibat parah di kepala dan badan, manakala pemandu lori yang identitinya belum dikenal pasti parah di kepala dan kaki.Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Suhaimi Hasim, berkata ketika kejadian mangsa dalam perjalanan membawa minyak kelapa sawit dari pekan Telupid ke Ranau.
“Ketika melalui selekoh tajam itu, pemandu lori dipercayai gagal mengawal kenderaannya, lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar beberapa pokok. 

"Mereka tersepit dalam kenderaan itu. Kelindan lori terbunuh di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di Ranau, semalam. 

Suhaimi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Ranau untuk dibedah siasat manakala pemandu itu dirawat di Hospital Duchess of Kent, Sandakan. 

Di KINABATANGAN, seorang wanita maut, manakala dua lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 68, Jalan Sandakan-Lahad Datu, semalam. Semua mangsa ialah 
pemandu ketiga-tiga kereta dan wanita yang maut dikenali sebagai Nursia Yusof, 24. 

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Superintendan Jaini Abdul Kadir, berkata Nursia, yang berasal dari Tawau, meninggal dunia di tempat kejadian. 

Beliau berkata, kemalangan jam 10.50 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Nursia dalam perjalanan dari Kinabatangan ke Sandakan, bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan. 

Akibat pertembungan itu, kenderaan Nursia berpusing ke kiri jalan sebelum dirempuh sebuah kereta lain dari arah Kinabatangan, katanya. 

Jaini berkata, kedua-dua pemandu kereta yang cedera parah dihantar ke Hospital Daerah Kinabatangan dan berada dalam keadaan stabil. 

Malaysia dituduh berat sebelah pada MILF


MANILA 17 Nov. - Usaha untuk menyambung semula rundingan damai di antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) ditangguhkan lagi kerana tindakan negara ini yang mahu menggantikan Malaysia sebagai orang tengah.
Kuala Lumpur telah menjadi orang tengah dalam rundingan damai itu sejak Mac 2001 bagi mencari jalan terbaik untuk menghentikan konflik yang mengorbankan lebih 120,000 orang, dua juta hilang tempat tinggal selain turut membantutkan ekonomi di kawasan yang kaya dengan sumber semula jadi itu.
Sejak 2003, wakil Malaysia, Othman Razak telah menjadi orang tengah dalam rundingan itu tetapi pegawai kanan Filipina berkata, pihaknya mendapati beliau ialah seorang yang berat sebelah.
"Penangguhan rundingan damai ini dibimbangi akan dijadikan alasan oleh beberapa pihak untuk merosakkannya.
"Kami bersedia untuk menyambung kembali rundingan damai itu, tetapi kerajaan telah menghalang perkembangannya.
"Mereka mahu menggantikan Malaysia sebagai orang tengah kerana sikap sebenar mereka yang berat sebelah terhadap umat Islam dan kami tidak akan membenarkan ia berlaku," kata Ketua Rundingan Damai MILF, Jun Mantawil.
Ketika Benigno Aquino mengangkat sumpah sebagai Presiden baru Filipina Jun lalu, beliau berjanji akan menyelesaikan konflik MILF dengan baik, tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan drastik dibuat oleh kerajaan pimpinannya.
Aquino sebelum ini berkata, beliau telah membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Seorang pegawai kanan di bawah kepimpinan bekas Presiden, Gloria Macapagal Arroyo sebelum ini juga telah memaklumkan kepada Najib tentang perkara itu ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan.
Beberapa pegawai kanan kerajaan Filipina turut meminta Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman agar menggantikan Othman dengan individu lain ketika beliau berada di sini. - REUTERS

Rakyat Haiti tuduh askar Nepal PBB bawa virus kolera


WANITA Haiti menutup hidungnya daripada asap tayar yang dibakar oleh penunjuk perasaan yang berang terhadap pasukan pengaman PBB dari Nepal yang dituduh membawa virus kolera di Port-au-Prince, Haiti, kelmarin. - AP


PORT-AU-PRINCE 17 Nov. - Presiden Haiti, Rene Preval menggesa rakyatnya agar bertenang ketika beliau sedang berusaha memulihkan pergolakan di negara ini yang menyaksikan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) diserang beberapa kali oleh orang ramai kerana dituduh sebagai pembawa virus kolera.
Jumlah kematian akibat virus bawaan air itu kini menjadi 1,000 orang dan satu kes jangkitan kolera turut dilaporkan di negara jiran iaitu Republik Dominika semalam.
Pergolakan terbaru itu berlaku dua minggu sebelum pilihan raya Presiden berlangsung dan ia kali pertama diadakan sejak kejadian gempa bumi terburuk yang membunuh hampir 250,000 orang pada Januari lalu itu.
Ahli politik yang terlibat dalam pilihan raya tersebut dikatakan sebagai punca kepada pergolakan yang berlaku di utara Haiti itu.
Dalam rusuhan yang berlaku Isnin lalu, dua warga Haiti terbunuh dan seorang daripada mereka mati akibat ditembak oleh anggota pengaman PBB di sini.
"Gangguan dan ketidakstabilan tidak membawa sebarang makna kepada negara kita yang sedang menempuh masa-masa sukar.
"Anda perlu berhati-hati dengan beberapa pihak yang cuba merosakkan negara demi kepentingan politik mereka.
"Tembak-menembak, melontar botol dan membakar tayar tidak akan dapat menyelesaikan masalah jangkitan kolera, malah ia hanya memburukkan lagi keadaan," kata Preval.
Beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di utara bandar Cape-Haiten dan membakar sebuah balai polis berhampiran selain cuba untuk membakar kawasan kem milik PBB sebelum mereka disuraikan oleh polis yang melepaskan tembakan amaran serta menyembur gas pemedih mata.
Penunjuk perasaan mendakwa virus kolera mudah merebak ke negara ini melalui sebuah kereta kebal yang terdapat di pangkalan tentera yang menempatkan pasukan pengaman dari Nepal. - AFP

Operasi cari mangsa runtuhan dihentikan


ANGGOTA polis berkawal di hadapan kawasan bangunan runtuh ketika para penyelamat mencari mangsa di New Delhi, kelmarin. Operasi mencari dihentikan semalam setelah polis mengesahkan tidak menemui mangsa lagi di situ. - AFP


NEW DELHI 17 Nov. - Pasukan penyelamat menggunakan jentolak bagi membersihkan runtuhan dari tapak bangunan kediaman lima tingkat yang runtuh dan mengorbankan sekurang-kurangnya 67 orang, setelah harapan untuk menemui mangsa yang terselamat pudar.
Pasukan penyelamat telah menggeledah dan mencari di bawah longgokan konkrit dan batang besi sejak malam Isnin lalu ketika bangunan yang didiami sejumlah keluarga golongan miskin itu runtuh.
Akhbar Hindustan Timesmelaporkan, kemungkinan terdapat 20 orang lagi mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan tersebut.
Punca kejadian tersebut dikatakan mungkin disebabkan kualiti pembinaan yang rendah, air bertakung dari sungai berdekatan iaitu Sungai Yamuna dan penambahan tingkat bangunan secara haram pada struktur bangunan itu.
Pihak berkuasa bandar raya berkata, mereka akan melakukan pemeriksaan ke atas beberapa lagi apartmen di New Delhi bagi mengelak kejadian itu berulang.
"Kami telah mengeluarkan petugas, hanya jentera yang berada di tapak runtuhan itu ketika ini.
"Sejak semalam, kami hanya menemui perabot dan barang-barang keperluan rumah yang rosak, kami tidak mengangkat mayat, sekarang tiada lagi harapan untuk menemui mangsa yang terselamat," kata sukarelawan yang menyertai aktiviti menyelamat, Gulshan Rai kepadaAFP.
Jurucakap polis New Delhi, Rajan Bhagat berkata, seramai 67 disahkan maut tetapi tidak dapat dipastikan jumlah mangsa yang masih hilang manakala seramai 100 lagi mangsa dilaporkan cedera.
"Kami sedang memindahkan runtuhan ketika ini, kami tidak boleh membuat spekulasi jumlah sebenar kematian kejadian tersebut," katanya. - AFP

Empat kaki judi ditahan


BESUT 17 Nov. - Empat kaki judi berjaya ditahan di sebuah rumah yang dijadikan sebagai pusat kegiatan judi haram di Taman Teratur, Jerteh, dekat sini kelmarin.
Ketua Polis daerah, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, siasatan mendapati kegiatan itu telah dijalankan sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, turut dirampas wang tunai berjumlah RM7,937, mesin faks, kalkulator dan beberapa helaian kertas mengandungi nombor pertaruhan yang disyaki digunakan untuk tujuan tersebut.
"Kejayaan adalah hasil maklumat awam sebelum polis menjalankan intipan. Kesemua suspek yang merupakan penduduk tempatan berusia 30 hingga 50-an.
"Siasatan percaya kegiatan pertaruhan itu dilakukan tiga kali dalam seminggu," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Mohd. Zainy Mohd. Noor.
Beliau berkata, keempat-empat yang ditahan itu, direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Tiga diikat sebelum disamun empat lelaki


SEREMBAN 17 Nov. - Empat sekeluarga terpaksa menempuh pengalaman mencemaskan selepas diikat kaki dan tangan mereka oleh empat lelaki bersenjatakan parang yang memecah masuk rumah mereka di Park Avenue, Seremban 2, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 4.15 pagi itu, kesemua suspek bertopeng tersebut melarikan sebuah televisyen plasma, empat utas jam tangan, telefon bimbit serta sejumlah wang tunai yang kesemuanya bernilai kira-kira RM10,000.
Mangsa, Yap Siok May, 40-an berkata, ketika kejadian dia tidur bersama suami dan seorang anak perempuan berusia empat tahun di sebuah bilik manakala ibu mertuanya berusia 60-an tidur di dalam bilik lain.
"Tiba-tiba saya dan suami terjaga apabila melihat kelibat beberapa lelaki bertopeng berada di dalam bilik kami.
"Salah seorang daripada mereka mengacukan parang ke arah saya dan mengarahkan kami masuk ke sebuah lagi bilik untuk mengejutkan ibu mertua," katanya di sini hari ini.
Siok May memberitahu, kesemua mangsa dikumpulkan dalam sebuah bilik sebelum diikat dengan wayar kecuali anaknya itu.
Ujarnya, penjenayah berkenaan kemudian menggeledah rumah kira-kira sejam sebelum melarikan diri bersama-sama barangan berharga.
"Selepas penjenayah itu keluar, saya membuka ikatan tangan suami dan ibu mertua sebelum menghubungi polis.
"Saya dan keluarga masih trauma dengan kejadian itu bagaimanapun bersyukur kerana kami tidak diapa-apakan," katanya.
Siok May berkata, kumpulan suspek itu dipercayai memasuki rumahnya melalui pintu tepi rumah mereka dengan memotong jeriji besi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi hari ini, mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan operasi mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Wanita miliki air ketum ditahan polis


GERIK 17 Nov. - Seorang wanita warga Thailand ditahan polis kerana memiliki dan menjual daun ketum di sebuah rumah di Kampung Pahit Luar di sini, baru-baru ini.
Wanita berusia 42 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik (IPD) pada pukul 6 petang, Jumaat lalu.
Dalam serbuan itu, polis merampas 27 peket cecair ketum yang sudah diproses, tiga guni daun ketum yang ditemui di dapur belakang rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mahad Nor Abdullah berkata, suspek ditahan hasil maklumat orang awam dan intipan polis.
Beliau berkata, ketika ditahan suspek bersama suaminya, seorang lelaki tempatan cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah mereka namun wanita itu berjaya ditangkap.
"Berlaku pergelutan antara polis dengan suami wanita terbabit. Lelaki itu bagaimanapun dapat meloloskan diri," katanya pada sidang akhbar di IPD Gerik, semalam.
Beliau berkata, polis percaya daun ketum itu untuk diedarkan kepada penagih di sekitar daerah ini dan kampung berkenaan.
Mahad Nor berkata, daun ketum yang sudah di proses itu dijual pada harga RM3 bagi setiap satu bungkus, manakala daun ketum yang belum diproses dijual dengan RM8 setiap satu kilogram.
Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi empat tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

'Fatihah sering menangis, panggil nama ibu'


FATIHAH Shaiful Fadzilah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, semalam.


IPOH 17 Nov. - Kanak-kanak mangsa kemalangan di Kilometer 377.6 Lebuh Raya Utara-Selatan semalam berada dalam keadaan stabil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Kanak-kanak itu, Fatihah Shaiful Fadzilah, 4, tahun masih dirawat di Wad Delima, HRPB kerana mengalami lecuran di beberapa bahagian badan.
Ibu saudaranya, Nor Azizah Shahar, 23, berkata, meskipun masih dalam kesakitan akibat mengalami lecuran itu, Fatihah sering menangis dan memanggil-manggil nama ibunya.
"Dia sehingga kini masih tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada ibu, bapa dan dua adiknya, terus menyebut mama, mama.
"Saya bersyukur kerana keadaannya semakin pulih dan berharap dia dapat sembuh dengan cepat," katanya ketika ditemui di HRPB di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, hajat enam sekeluarga mahu beraya di kampung tidak kesampaian apabila kereta Proton Iswara dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua buah lori dan sebuah teksi di Kilometer 377.6 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Slim River awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta, Shaiful Fadzilah Shahar, 36, isterinya Siti Suzana Mohd. Nor, 33, dan dua anak kembar pasangan itu, Fitri dan Fikri berusia enam tahun.
Dua lagi anak pasangan itu yang mengalami cedera parah dan ringan ialah Fatihah dan Firdaus, 8.
Nor Azizah berkata, abang sulungnya itu ada menghubungi keluarga di Kampung Guar Badak, Lenggong petang semalam untuk memaklumkan dia akan pulang beraya di kampung.
"Selepas puas menanti, kami sekeluarga mencuba menghubungi abang (Shaiful Fadzilah) melalui telefon bimbitnya kira-kira pukul empat pagi dan ketika itulah kami mendapat tahu mereka sekeluarga terlibat dalam kemalangan," katanya.
Katanya, jenazah abang, kakak ipar dan dua anak saudaranya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Guar Badak selepas Asar hari ini.

Blogger terkenal Mesir yang dihukum penjara selama empat tahun dibebaskan


18/11/2010 2:07am

KAHERAH, 18 Nov. - Seorang bolgger terkenal Mesir yang dihukum penjara selama empat tahun kerana mengkritik Presiden Hosni Mubarak telah dibebaskan.
Abdel Kareem Nabil adalah blogger pertama di Mesir yang dihukum penjara kerana tulisannya. Pendakwaan keatasnya merupakan sebahagian daripada tindakan tegas kerajaan ke atas blogger dan pengamal media. Tindakan itu mendapat bantahan kumpulan hak asasi.
Saudaranya, Abdel Rahman berkata, dia telah dibebaskan kelmarin selepas 10 hari ditahan tanpa sebab sebelum menjalani hukuman dan kini dia memerlukan rehat sebelum bercakap kepada media.
Mengguna nama Kareem Amer dalam bloggernya, dia ditangkap pada tahun 2006 dan dihukum kerana menghina Islam dan Mubarak.
Sebelum itu, Kareem diusir dari Universiti Al-Azhar kerana menuduh institut keagamaan negara itu mempromosikan ekstremisme serta menggelar Mubarak sebagai diktator. - AP

Lelaki ditembak cuba rempuh polis


KUALA LUMPUR 17 Nov. - Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan terhadap seorang suspek dipercayai pengedar dadah selepas cuba merempuh beberapa anggota yang cuba menahan keretanya di Jalan Chiak, Kepong Baru, semalam.
Kejadian pukul 6.30 petang itu berlaku ketika suspek berusia 30-an yang menaiki kereta Honda berwarna biru sedang menjalankan urusan jual beli dadah di tepi jalan berkenaan.
Tembakan itu mengenai dada dan rusuk suspek terbabit.
Sepasukan polis yang membuat rondaan telah terserempak dengan kereta suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan berhenti di sebelah sebuah lagi kereta Nissan Fairlady berwarna putih.
Suspek kemudian dilihat menyerahkan satu bungkusan menerusi tingkap kepada pemandu kereta satu lagi.
Ekoran itu, beberapa anggota berjalan menghampiri kereta kedua-dua suspek dan memperkenalkan diri sebagai polis, manakala beberapa lagi anggota bersedia menghentikan kereta bagi membuat sekatan.
Terkejut dengan kehadiran polis, kedua-dua suspek memecut melarikan diri dan hampir melanggar anggota-anggota polis terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainuddin Ahmad berkata, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri.
"Sebuah lagi kereta dapat meloloskan diri. Pemeriksaan lanjut ke atas kereta Honda itu menemui 45 biji pil ekstasi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, suspek yang cedera parah itu kini menerima rawatan di Hospital Selayang.

'Saya hanya pertahan diri, keluarga bila tembak mati penjenayah'


PETALING JAYA 17 Nov. - Lelaki warga emas yang menembak mati seorang penjenayah yang memecah masuk rumahnya di SS8/8 Kelana Jaya, di sini semalam, tidak berniat untuk membunuh suspek, sebaliknya semata-mata bagi mempertahankan diri dan ahli keluarganya.
Bekas penyelia ladang yang enggan namanya disiarkan atas faktor keselamatan itu, berkata, dia berada kira-kira lima meter jaraknya daripada suspek ketika melepaskan dua das tembakan.
"Dalam keadaan cemas, saya tidak tahu ke arah mana tembakan saya. Saya terserempak dia betul-betul di hadapan saya.
"Apa difikirkan saya ialah keselamatan kami sekeluarga... anak, cucu dan pembantu rumah yang diikat dan dikunci dalam bilik.
"Ini kerana saya tidak tahu apa yang akan dilakukan suspek bersenjatakan parang selepas itu," ujarnya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Menurutnya, senapang patah yang digunakannya itu, merupakan senjata dimilikinya sewaktu menguruskan ladang, kira-kira 40 tahun lalu.
Tambahnya, ia digunakan untuk tujuan menjaga ladang daripada ancaman binatang buas.
Katanya lagi yang kelihatan masih sihat dan cergas itu, dia masih menyimpan senapang tersebut dan memperbaharui lesen senjata api setiap tahun.
Ditanya perasaannya sehari selepas kejadian itu, dia hanya menyerahkan keselamatan dirinya kepada tuhan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya berjaya menahan seorang rakan suspek berusia 21 tahun di Puchong bagi membantu siasatan.
"Pemuda itu direman selama seminggu dan polis masih mengesan tiga lagi suspek lain yang polis percaya telah melakukan banyak jenayah pecah rumah dan samun di sekitar Lembah Klang.
"Semakan polis mendapati suspek yang mati ditembak itu memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan jenayah sama," katanya.

Suspek curi kereta ditahan


Kereta yang terlibat kemalangan dengan kereta Kancil yang dipercayai dicuri di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 17 Nov. - Akibat ketakutan kerana menaiki kenderaan curi, dua suspek bertindak merempuh sebuah kereta peronda polis yang cuba memeriksa mereka dalam satu sekatan jalan raya di ibu negara, awal hari ini.
Tindakan itu menyebabkan anggota terbabit mengejar kereta Perodua Kancil sehingga ke Jalan Sultan Ismail sebelum kenderaan suspek berlanggar dengan sebuah kereta Proton Waja.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, kejadian pukul 3.45 pagi itu mengakibatkan seorang daripada suspek parah manakala rakannya cuba melarikan diri.
"Suspek memandu kereta itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan bersama rakannya yang parah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Zulkarnain, rakan suspek yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan kira-kira pukul 6 pagi.
Beliau memberitahu, siasatan ke atas kereta suspek mendapati kenderaan tersebut dilaporkan hilang di Melaka Tengah.

Pesawat perang Israel bunuh dua adik beradik Palestin di hari raya


18/11/2010 2:07am

GAZA CITY 18 Nov. - Tentera rejim zionis Israel melancarkan serangan udara dan membunuh dua beradik di Gaza City ketika umat Islam Palestin sedang menyambut Hari Raya Korban semalam, kata sumber perubatan dan jurugambar AFP.
“Mohammed Yassin terbunuh manakala adiknya, Islam yang parah mati tidak lama kemudian, apabila tentera rejim penjajah melancarkan serangan ke atas sebuah kereta di Samer dalam kawasan Gaza City,” kata jurucakap perkhidmatan kecemasan, Adham Abu Selmiya kepada AFP yang melihat mangsa di hospital Shifa.
Para saksi memberitahu, mereka nampak pesawat perang rejim penjajah Israel menembak ke arah sebuah kereta putih di mana kedua beradik itu berada, di pusat bandar berkenaan.
Minggu lalu di kawasan yang sama, pesawat perang rejim penjajah itu telah melancarkan serangan ke atas sebuah kereta dan membunuh pejuang kanan tentera Islam, Mohammed Al-Nemnem. - AFP

18 cedera gaduh pilih imam solat Aidiladha




2010/11/18

QUETTA: Tembak menembak dalam sebuah masjid di barat laut Pakistan mencederakan sekurang-kurangnya 18 orang dalam satu pertengkaran mengenai siapa yang sepatutnya mengimamkan solat Aidiladha. 

Pengikut dua pemimpin agama bersaing mengeluarkan senjata dan mula melepaskan tembakan pagi semalam selepas bertengkar mengenai siapa yang sepatutnya memulakan dulu solat di sebuah masjid kecil di daerah pedalaman Khuzdar di wilayah Baluchistan, kata pegawai polis, Javed Ahmed.Daerah terbabit terletak kira-kira 900 km ke barat laut Islamabad. Kebanyakan etnik Pashtun membawa senjata api setiap hari dalam kehidupan sehari mereka.
Berjuta penduduk Pakistan lain meraikan Aidiladha semalam dalam suasana aman menyertai penduduk Islam seluruh dunia meraikan hari kebesaran umat Islam selama tiga hari yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban. 

Pakistan menyambut hari raya sehari selepas kebanyakan negara meraikannya sejak semalam berikutan pihak berkuasa negara itu mengikut pengiraan anak bulan. 

Sambutan sunyi di beberapa kawasan di Pakistan berikutan banjir buruk yang menjejaskan 20 juta penduduk manakala 7 juta yang lain masih lagi kehilangan tempat tinggal. 

Kebanyakan masjid turut meningkatkan keselamatan semalam untuk mengawal kemungkinan serangan Taliban dan kumpulan pelampau Islam lain. 
Awal bulan ini sekurang-kurangnya 70 penduduk mati apabila seorang pengebom bunuh diri menyerang sebuah masjid yang selalu dikunjungi golongan anti-Taliban dan sebutir bom tangan meletup di barat laut negara itu. – AP