Search This Blog

Wednesday, November 17, 2010

Angka korban taun di Haiti cecah 1,000 orang




2010/11/17

PORT-AU-PRINCE: Wabak taun yang melanda Haiti ini sudah mencecah angka korban 1,000 orang dengan penduduk terus melancarkan domonstrasi mendakwa bakteria taun dibawa anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Di bandar Cap-Haitien, di utara penduduk membakar tayar dengan ribuan peserta berkumpul untuk berarak kelmarin dan membakar sebuah balai polis serta cuba mengugut untuk membakar pejabat PBB. Dua warga Haiti maut dalam rusuhan itu termasuk seorang anggota pengaman PBB cedera ditembak.

Enam anggota pengaman PBB atau MINUSTAH cedera dalam perhimpunan kali kedua Isnin lalu di bandar Hinche, berdekatan markas pengaman Nepal yang didakwa membawa bakteria Vibrio taun ke negara itu. 

“Kami sedang memantau bandar lain daripada merebaknya rusuhan yang dijangka hari ini," kata seorang pegawai polis. 

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Paul-Antoine Bien-Aime dan Ketua Polis Haiti, Mario Andresol dijadual mengetuai delegasi ke negeri di utara bagi membantu menenangkan semula keadaan. 
Kementeria Kesihatan Haiti mengesahkan semalam, angka korban taun meningkat kepada 1,034 orang dengan 16,800 mangsa kini dirawat di hospital sejak wabak melanda penghujung Oktober lalu. 

Wabak itu memburukkan lagi keadaan apabila pihak berkuasa Haiti masih bertungkus-lumus menangani kejadian gempa bumi kuat Januari lalu yang mengorbankan 250,000 penduduk dengan 1.3 juta lagi hilang tempat tinggal. - AFP

Empat beranak, termasuk kembar maut nahas di Slim River




2010/11/17

IPOH: Empat orang daripada satu keluarga terbunuh manakala dua lagiparah apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan dua lori dan sebuah teksi di Kilometer 377.6 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Slim River, awal hari ini. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Deputi Superintendan, Anuar Osman, berkata mereka yang terbunuh dalam kejadian pada jam 2 pagi ialah pemandu kereta Shaiful Fadzilah Shahar, 36, isterinya Siti Suzana Mohd Nor, 33, dan dua anak kembar lelaki mereka, Fitri dan Fikri berusia enam tahun.Shaiful Fadzilah, Siti Suzana dan Fitri yang cedera di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Fikri yang juga cedera di kepala, meninggal dunia di Hospital Slim River, katanya ketika dihubungi hari ini.
Anuar berkata dua lagi anak pasangan itu, Fatihah, 4, yang cedera parah, dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun manakala seorang lagi anak lelaki, Firdaus, 8, cedera ringan dan dirawat di Hospital Slim River.

Keluarga berasal dari Labu, Seremban dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang untuk berhari raya di Lenggong, katanya. - BERNAMA 

Peguam maut ditikam 4 lelaki bertopeng




2010/11/17

IPOH: Seorang peguam maut selepas ditikam empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau di rumahnya, di Desa Rishah, di sini, kira-kira jam 5 petang semalam. 

Mangsa, G Balasundram, 57, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini kira-kira jam 9.30 malam tadi.Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, berkata ketika kejadian mangsa baru pulang ke rumah dari pejabatnya di sini.
"Semasa mangsa keluar dari keretanya, empat lelaki masing-masing bersenjatakan pisau telah menyerang menyebabkan mangsa jatuh dan mengalami cedera parah di seluruh badan," katanya.

Beliau berkata keempat-empat lelaki berkenaan kemudian melarikan diri dengan menaiki dua motosikal.

Isteri mangsa L. Puspha, 48 yang berada di rumah ketika itu, terkejut melihat 
kejadian dan segera membawa suaminya ke hospital, katanya.
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen di talian 05-2451222 untuk membantu siasatan. 

14 maut jerangkap samar meletup di Kemboja




2010/11/17

PHNOM PENH: Empat belas terbunuh di barat Kemboja apabila sebuah traktor buatan sendiri merempuh kawasan jerangkap samar peninggalan perang pada 1980-an, semalam.

Kejadian berlaku di Wilayah Battambang, 250 kilometer dari Phnom Penh ketika pekerja ladang yang menaiki traktor berkenaan dalam perjalanan pulang dari menuai cili.Jurucakap polis, Mejar Buth Sambo, berkata 12 daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian, termasuk seorang budak perempuan berusia setahun, manakala dua lagi meninggal dalam perjalanan ke hospital.
Sambo berkata, kawasan berkenaan pernah menjadi medan perang sengit antara Khmer Rouge dan tentera kerajaan pada 1980-an dan awal 1990-an dengan meninggalkan beberapa kawasan jerangkap samar.

Dianggapkan antara empat hingga enam juta jerangkap samar tertanam di bumi Kemboja sepanjang tiga dekad peperangan itu berlaku.

Perdana Menteri, Hun Sen awal tahun ini berkata, pihaknya mengambil masa bertahun-tahun lagi untuk membersihkan negara itu daripada jerangkap samar yang membabitkan lebih separuh perkampungan di negara itu.

Pihak berkuasa Kemboja dan asing setakat ini sudah memusnahkan 2.7 juta jerangkap samar membabitkan kawasan seluas 520 kilometer persegi. - AP 

Jala bayi: Mayat ditemui terapung di sungai

HULU KLANG: Seorang lelaki yang sedang menjala ikan di sungai berhampiran flat PKNS AU3, Keramat di sini, terkejut apabila menemui mayat bayi lelaki di tebing sungai itu, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Mohamad Hasan, 42, seorang warga Indonesia sedang menjala ikan terlihat mayat seorang bayi dengan tangan kanannya tersangkut pada sebatang kayu.

Dia memaklumkan kejadian itu kepada penghuni flat berhampiran sebelum mereka melaporkan penemuan itu kepada polis. Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, berdasarkan keadaan mayat yang lebam dan kebiruan, polis percaya bayi terbabit berada di kawasan itu sejak dua atau tiga hari lalu.

“Ketika ditemui mayat bayi itu dalam keadaan terlingkup dan tidak berbaju dengan tangan kanannya tersangkut pada sebatang kayu yang tercacak di tebing sungai itu,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal terhadap mayat bayi berkenaan tidak terdapat sebarang kecederaan dan usia sebenar serta keturunannya belum dapat dikenal pasti.

“Setakat ini, kita tidak dapat pastikan sama ada bayi berkenaan baru dilahirkan kerana ketika ditemui tidak terdapat tali pusat pada badannya. Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali. Abd Jalil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Empat daripada satu keluarga terbunuh dalam kemalangan ketika pulang berhari raya

IPOH: Empat orang daripada satu keluarga terbunuh manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan dua lori dan sebuah teksi di Km 377.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River, 130km dari sini awal hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim DeputiSuperintendan Anuar Osman berkata, mereka yang terbunuh dalam kejadian pada 2 pagi ialah pemandu kereta Shaiful Fadzilah Shahar, 36, isterinya Siti Suzana Mohd Nor, 33, dan dua anak kembar lelaki mereka, Fitri dan Fikri berusia enam tahun.

"Shaiful Fadzilah, Siti Suzana dan Fitri yang cedera parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Fikri yang juga cedera parah di kepala, meninggal dunia di Hospital Slim River," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anuar berkata, dua lagi anak pasangan itu, Fatihah, 4, yang cedera parah, dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, manakala seorang lagi anak lelaki, Firdaus, 8, cedera ringan dan dirawat di Hospital Slim River.

Keluarga itu berasal dari Labu, Seremban dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang untuk berhari raya di Lenggong, katanya.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dipandu Shaiful Fadzilah dikatakan dirempuh dari belakang oleh sebuah treler, mengakibatkan kereta terbabit merempuh lori di hadapannya. "Sebuah teksi turut dirempuh oleh lori berkenaan, bagaimanapun pemandunya hanya cedera ringan," katanya.
Pemandu treler yang mengalami kecederaan dirawat di hospital Slim River dan polis sedang mengambil sampel darah untuk pemeriksaan.

Anuar berkata, kemalangan berlaku ketika hujan dan treler itu yang dipercayai dipandu laju gagal berhenti ketika kenderan bergerak perlahan ke susur keluar Slim River.

"Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dari kereta yang remuk itu, katanya.-- Bernama

Laut Banda dilanda gempa bumi


17/11/2010 1:00pm

KUALA LUMPUR - Gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter melanda Laut Banda, Indonesia pukul 4.06 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pusat gempa itu terletak 399 kilometer tenggara Ambon dan 1,831 kilometer di Tawau, Sabah. - Bernama

1 maut, 2 parah terbabit kemalangan


17/11/2010 4:13pm

KINABATANGAN - Seorang wanita maut manakala dua lelaki cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 68, Jalan Sandakan-Lahad Datu dekat sini hari ini.
Kesemua mangsa ialah pemandu ketiga-tiga kereta dan wanita yang maut dikenali sebagai Nursia Yusof, 24.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Supritendan Jaini Abdul Kadir berkata, Nursia yang berasal dari Tawau, meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, kemalangan pukul 10.50 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Nursia dalam perjalanan dari Kinabatangan ke Sandakan bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.
Akibat pertembungan itu, kenderaan Nursia berpusing ke kiri jalan sebelum dirempuh sebuah kereta lain dari arah Kinabatangan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jaini berkata, kedua-dua pemandu kereta yang cedera parah dihantar ke Hospital Daerah Kinabatangan dan berada dalam keadaan stabil manakala jenazah Nursia dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.
Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya. - Bernama

Universiti Ohio gempar dengan ancaman bom


17/11/2010 2:09am

COLUMBUS, Ohia 17 Nov. - Universiti Negeri Ohio digemparkan dengan e-mail ancaman bom yang dihantar kepada FBI bertindak mengosongkan empat buah bangunan termasuk perpustakaan utamanya.
Jurucakap FBI di Cincinnati, Micheal Brooks berkata, ancaman itu telah dihantar ke cawangan ibu pejabatnya di Washington.
Polis kampus pula berkata, amaran ancaman bom yang melibatkan bangunan Perpustakaan Peringatan William Oxely Thompson dan tiga bangunan makmal itu diterima pada pukul 8.19 pagi waktu tempatan.
Semua bangunan telah dikosongkan dan ditutup dengan pihak berkuasa turut menutup tiga jalan raya manakala beberapa buah helikopter berligar-ligar di udara kawasan berkenaan. Semua pelajar dan fakulti diberi amaran agar menjauhi kawasan terlibat melalui sistem pesanan dalam internet serta telefon bimbit.
Pasukan Bomba dan pakar bom Columbus, pasukan keselamatan kolej dan FBI kelihatan membanjiri kawasan yang menjadi ancaman.
Beberapa kelas bangunan akademik lain di universiti itu bagaimanapun berjalan mengikut jadual. Universiti Ohio yang menempatkan lebih 56,000 pelajar di kampus Columbus adalah yang terbesar di negeri itu. - AP

Penyeludup dadah Kenya diharam memasuki Amerika


17/11/2010 2:09am

NAIROBI, Kenya 17 Nov. - Amerika Syarikat mengharamkan empat orang pegawai kanan kerajaan Kenya dan seorang ahli perniagaan terkenal negara itu memasuki negaranya kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah.
Duta besar AS, Michael Ranneberger di Kenya berkata, tindakan itu dibuat kerana laporan jelas telah mensabitkan mereka.
Ranneberger bagaimanapun tidak menamakan kesemua pegawai dan ahli perniagaan terbabit. Ia merupakan tindakan pertama ke atas pegawai kanan Kenya yang disyaki menyeludup dadah diharamkan memasuki AS.
Duta besar itu berkata, Kenya adalah pusat transit utama penyeludupan heroin, kokain dan pelbagai jenis dadah lain di mana kerajaan negara berkenaan tidak bersungguh-sungguh untuk menanganinya. - AP

Peguam mati dibunuh


17/11/2010 12:42pm

IPOH 17 Nov. - Seorang peguam mati dibunuh di hadapan rumahnya di Taman Desa Rishah, Buntong di sini malam tadi.
Mangsa, G. Balasumdram, 57, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada pukul 9 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuradi Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - Utusan

Empat sekeluarga maut kemalangan


17/11/2010 12:54pm

TANJONG MALIM 17 Nov. - Empat beranak maut manakala dua lagi parah apabila kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan dua buah lori dan sebuah teksi di Kilometer 377.6 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Slim River awal pagi ini.
Mangsa ialah Shaiful Fadzilah Shahar, 36, dan isterinya, Siti Suzana Mohd. Nor, 33, serta dua anak kembar mereka, Fitri dan Fikri yang berusia enam tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Deputi Supritendan Anuar Osman ketika dihubungi di sini hari ini berkata, dalam kejadian pukul 2 pagi ini keluarga itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Lenggong dari Seremban, Negeri Sembilan untuk menyambut Hari raya Aidiladha. - Utusan

Tiga termasuk budak dua tahun maut kena rempuh


Oleh Suzianah Jiffar 

2010/11/17

Pacuan empat roda hilang kawalan langgar kereta dinaiki mangsa

LAHAD DATU: Tiga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mati manakala tiga lagi parah apabila kereta Proton Saga yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 39, Jalan Lahad Datu-Tungku di sini, tengah hari semalam. 

Mangsa yang maut dalam kemalangan jam 12 tengah hari itu ialah penumpang kereta yang dikenali sebagai Dinowana Sangkula, 65; Amir Bolo, 37, dan Siti Hana Amran, 2 tahun.Tiga lagi penumpang kereta itu parah manakala pemandu dan lima penumpang kenderaan pacuan empat roda berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Shamsudin Mat, berkata identiti tiga mangsa yang parah dan kini menerima rawatan di Hospital Lahad Datu, belum diketahui. 

Dinowana dan Siti Hana meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Amir di hospital kerana cedera teruk di kepala.

Siasatan awal mendapati, semua mangsa yang menaiki kereta Proton Saga itu dalam perjalanan dari pekan Lahad Datu ke Tungku. 

Apabila tiba di selekoh di Kilometer 39, pemandu pacuan empat roda yang dalam perjalanan dari Tungku ke Lahad Datu gagal mengawal kenderaannya dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta mangsa, katanya. 

65 maut apartmen runtuh





2010/11/17

PEKERJA bertungkus lumus melakukan kerja menyelamat di kawasan  apartmen empat tingkat yang runtuh di Lalita Park, New DelAhi.
PEKERJA bertungkus lumus melakukan kerja menyelamat di kawasan apartmen empat tingkat yang runtuh di Lalita Park, New DelAhi.
Tragedi di New Delhi dipercayai berlaku akibat hujan lebat

NEW DELHI: Pasukan penyelamat terpaksa memecah kepingan konkrit dan menggunakan tangan untuk menarik keluar mangsa yang terselamat dan mayat dari bangunan apartmen empat tingkat yang runtuh kelmarin di sebuah kawasan penduduk miskin di New Delhi. 

Sekurang-kurangnya 65 orang terbunuh dan ramai cedera dalam kejadian itu.Bangunan berusia 15 tahun yang menempatkan kira-kira 200 penduduk itu, kebanyakannya keluarga pendatang dari wilayah lain, runtuh petang kelmarin di kawasan Lalita Park, New Delhi di mana usaha menyelamat gagal disebabkan kenderaan gagal memasuki laluan sempit. Skala tragedi terbabit tidak pernah berlaku sebelum ini, kata ketua menteri New Delhi, Sheila Dikshit yang melawat tempat kejadian.

Seorang lelaki berusia 18 tahun, Niranjan berkata dia berjalan pulang dari taman terbabit apabila menyaksikan bangunan itu runtuh dengan keluarganya berada di dalam. 

Keseluruhan bangunan runtuh dalam masa beberapa saat seperti ia dibuat daripada pasir, katanya kepada Press Trust of India. 
Saya berlari ke arah runtuhan tetapi tidak dapat berbuat apa-apa. 

Punca runtuhan masih belum diketahui. Seorang pegawai berkata bangunan itu mungkin rosak akibat hujan lebat. Penduduk berkata tuan rumah juga didapati melakukan kerja menambahkan tingkat tambahan bangunan secara haram. 
Pegawai mengarahkan pemindahan sekurang-kurangnya sebuah bangunan berhampiran kerana dikhuatiri juga akan runtuh, kata Dikshit. 

Polis berkata mereka memfailkan dakwaan terhadap Amrit Singh, pemilik bangunan dan sedang menjejaki beliau. Penduduk berkata beliau melarikan diri sebaik saja bangunan terbabit run-tuh. 

Penduduk yang tiba ke tempat kejadian untuk membantu terpaksa menggunakan tangan mereka bagi menggali runtuhan konkrit dan batu bata sebelum dibantu pihak bomba dan polis. 

Polis turut menggunakan anjing pengesan untuk mencari penduduk yang terperangkap. 

Sehingga tengah hari semalam, sekurang-kurangnya 65 mayat ditemui, manakala 80 yang lain cedera, kata pegawai polis, Mohammed Akhlaq. 

Lalita Park adalah sebuah kawasan penduduk yang sesak berhampiran tebing Sungai Yamuna yang menempatkan berjuta-juta pekerja miskin yang berhijrah ke New Delhi dari kawasan perkampungan luar bandar untuk mendapat peluang pekerjaan di bandar besar. AP 

Sime Darby mahu dakwa individu punca rugi RM1.3b


Oleh Azli Ayob

2010/11/17

SIME Darby Bhd akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang dipercayai terbabit dalam isu lebihan kos dan kemungkinan salah laku di bahagian tenaga dan utiliti konglomerat itu sehingga menyebabkan kerugian yang dianggarkan berjumlah RM1.3 bilion. 

Pengerusinya, Tun Musa Hitam, berkata audit forensik yang dijalankan ke atas unit itu juga sudah mengenal pasti individu yang disyaki mempunyai kes prima facie dalam kes itu.Kami akan mengambil tindakan undang-undang itu sebelum akhir tahun ini, katanya dalam kenyataan dikeluarkan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) Sime Darby di Kuala Lumpur, semalam.
Musa berkata, laporan audit forensik itu sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu. 

Memandangkan siasatan sedang berjalan dan atas nasihat peguam, buat masa ini kami tidak dapat mengumumkan hasil siasatan jawatankuasa ini kepada anda, katanya. 

Lembaga Pengarah Sime Darby menubuhkan jawatankuasa siasatan itu yang dipe-ngerusikan Tan Sri Samsudin Osman pada 6 Julai lalu. 

Jawatankuasa itu akan melaporkan mengenai mana-mana individu mungkin bersalah dan menentukan sama ada lembaga pengarah boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan. 
Juruaudit forensik bebas, KPMG dan Deloitte Enterprise Risk Services Sdn Bhd dan perunding undang-undang dilantik untuk mengkaji situasi dalam empat projek yang diketuai bahagian tenaga dan utiliti Sime Darby. 

Projek terbabit adalah Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar (MOQ), sebuah projek membabitkan pembinaan kapal serta Projek Empangan Hidroelektrik Bakun. 

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG), Rita Benoy Bushon, yang ditemui pemberita pada AGM itu berkata, pemegang saham yang menghadiri AGM itu membangkitkan banyak persoalan berkaitan laporan audit forensik itu. 

Meskipun mengakui kecewa kerana laporan audit forensik itu tidak didedahkan, namun beliau akur dengan keputusan Lembaga Pengarah Sime Darby. 

Persoalan mengenai laporan audit forensik itu tidak dijawab dan ia agak mengecewakan kerana kita telah menunggu sebegitu lama. 

Sekarang ini kita terpaksa menunggu lagi sehingga akhir tahun ini kerana lembaga pengarah akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kes ini, katanya. 

Sementara itu, Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Mohd Bakke Salleh, berkata keputusan kewangan Sime Darby bagi tempoh suku pertama berakhir 30 September 2010 dijangkakan kembali positif. 

Ia kini dalam jajaran positif, katanya semasa diminta mengulas mengenai keputusan kewangan kumpulan itu yang dijadual diumumkan pada 25 November ini. 

Kerugian dialami oleh unit minyak dan gas serta kejuruteraan, menyebabkan konglomerat itu mengumumkan pada Ogos lalu mengenai penurunan 43 peratus keuntungan sebelum cukainya kepada RM1.74 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2010 berbanding RM3.07 bilion setahun sebelum itu. 

Cynthiara kesal bogel

JAKARTA: Gara-gara ingin hidup mewah dan mencapai impian menjadi model antarabangsa, aktres jelita Cynthiara Alona sanggup menggadai maruah dengan bergambar bogel.
Gambar itu kini tersebar secara meluas di Internet. Akibatnya, Cynthiara kini terpaksa menjalani kehidupan penuh penyesalan di samping berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Apabila saya melihat gambar saya telanjang, saya malu dan sedih,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem Pengakuan Sang Pelacur di Senayan, semalam.

Dia menerima bayaran 300 juta rupiah (RM105,000) untuk bergambar bogel. - Agensi

Tapak tangki najis ragut nyawa



Shahrul (gambar kecil) pelajar SMK Bunut Susu di Pasir Mas yang terkorban di kolam tapak projek bangunan baru sekolahnya kelmarin.


PASIR MAS – Tiada siapa menyangka, majlis jamuan akhir tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu yang diadakan kelmarin merupakan hari terakhir bagi Mohd. Shahrul Amin Mohd. Abdul Kadir.
Ini kerana selepas jamuan itu, pelajar tingkatan dua terbabit kemudian ditemui mati lemas selepas dia terjatuh ke dalam kolam di tapak projek tangki najis dan bangunan baru di sekolah itu.
Dalam kejadian itu, Shahrul, 14, meninggal dunia akibat lemas dalam lubang sedalam tiga meter yang dipenuhi air ekoran hujan beberapa hari lalu.
Kejadian pada pukul 3.30 petang itu berlaku apabila mangsa didakwa memanjat pagar zink setinggi tiga meter untuk masuk ke tapak projek bersebelahan sekolahnya sebelum dia terjatuh ke dalam kolam itu.

Gadis lari nyaris dirogol

KUALA LUMPUR: ”Saya minta maaf mak, saya menyesal dan janji tidak akan buat lagi,” kata Wan Nur Hakimah Wan Manah, 13 yang lari daripada rumah bersama dua rakannya di Flat Danau Kota Off Jalan Genting Klang, di sini, minggu lalu.
Lebih menjadi sesalan bagi remaja itu apabila dia dan seorang rakannya nyaris menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang kononnya ingin membantu membawanya pulang ke rumah.

Menurutnya, perasaan kesal kerana menurut kehendak hati yang mahu mencari ketenangan dan kebebasan dengan lari daripada rumah menghantui dirinya apatah lagi bila mengenangkan dia terpaksa mengikat perut kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

“Saya dan rakan terpaksa meminta wang daripada orang yang kami temui kerana ingin membeli makanan. Ketika itu baru saya tahu betapa susahnya bila berjauhan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Akhbar ini Ahad lalu melaporkan kehilangan Nur Hakimah dan rakannya yang dikenali sebagai Amylia,16 dan adiknya, Adila, 13 dan kebimbangan keluarga mengenai keselamatan mereka.

Nur Hakimah berkata, mereka merayau-rayau di pusat beli-belah dan pada jam 3 pagi mereka didatangi seorang lelaki ketika berada berhampiran Hentian Puduraya yang mahu menghantar mereka pulang ke rumah.

“Tetapi, kerana dia bermotosikal, lelaki itu memaklumkan akan membawa saya dan Amylia dahulu sebelum berpatah balik mengambil Adila kemudian.

“Bagaimanapun, sebaik memasuki rumah berkenaan, lelaki itu cuba merogol kami dan dalam keadaan kelam-kabut itu, kami berjaya melarikan diri,” katanya.

Namun, remaja terbabit bernasib baik apabila bertemu lelaki yang kemudian membawa mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sementara itu, ibunya, Nor Hazita Shaari, 44, melahirkan rasa syukur kerana doanya untuk menyambut Aidiladha bersama anaknya itu dimakbulkan Tuhan.

Katanya, sejak kehilangan Nur Hakimah, mereka sekeluarga bimbang keselamatannya hingga penyakit batuk kering yang dihadapinya semakin teruk.

Lupus hantaran

KUALA LUMPUR: Dua warga Indonesia yang terbabit dalam upacara pernikahan menggunakan sindiket diketuai ‘Pak Hashim’ empat hari lalu, terpaksa melupakan seketika hasrat mereka untuk bergelar suami isteri selepas kedua-duanya didenda RM800 setiap seorang atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar.
Hakim Syarie Khairul Azwadi Mohamed Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Uswatun dan Nurdin (umur tidak dinyatakan) di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, selepas mahkamah menerima pengakuan salah mereka.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka hanya perlu membayar RM150 setiap seorang kerana mereka dibenarkan menambah daripada wang jaminan yang dikenakan terhadap mereka sebelum ini iaitu masing-masing RM650.

Kedua-dua tertuduh yang hanya menundukkan muka turut berdepan hukuman penjara 12 hari sekiranya mereka gagal membayar denda seperti yang diperintahkan mahkamah.
MENGAKU SALAH...pasangan warga Indonesia Nordin (kanan) dan Uswatun (dua dari kiri) diiringi penguat kuasa Jawi selepas perbicaraan semalam.
MENGAKU SALAH...pasangan warga Indonesia Nordin (kanan) dan Uswatun (dua dari kiri) diiringi penguat kuasa Jawi selepas perbicaraan semalam
Mahkamah juga memerintahkan barangan hantaran milik pasangan itu dilupuskan.

Mengikut pertuduhan, mereka di dakwa melakukan di sebuah rumah di rumah No 51, Lot 2242, Jalan Kubur, Kampung Pantai Dalam dekat sini, jam 7.45 malam pada 13 November 2010.

Pasangan itu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 39 dan Seksyen 40 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 40 (2) yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding semalam, kedua-dua tertuduh memohon supaya hukuman yang dikenakan kepada mereka diringankan kerana masih menanggung keluarga. Bagaimanapun, Pendakwa Syarie Mohd Sohibul Kahfi daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mereka bukan saja melakukan kesalahan berdasarkan undang malah turut melanggar hukum syarak.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Khairul Azwadi sempat menasihati kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan mereka dan mengikut prosedur serta undang-undang yang ditetapkan di negara ini.

“Perkahwinan adalah sesuatu digalakkan dalam Islam untuk menambahkan bilangan zuriat dan generasi yang akan mengembangkan Islam.

“Namun, perkahwinan itu perlu mengikut prosedur terutama hukum syarak. Jika kamu atau mana-mana pihak mempunyai masalah mengenai wali, kamu boleh merujuk kepada pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya.

Atuk tembak mati perompak remaja

SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di rumah mangsa, semalam.

SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di rumah mangsa, semalam.


PETALING JAYA: Cemas melihat dua cucunya diacu dengan parang, seorang datuk bertindak pantas mengambil senapang patah sebelum melepaskan tembakan ke arah seorang perompak berusia 17 tahun yang menceroboh rumah teres dua tingkat milik mereka di Sungai Way, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi, lelaki berusia 70 tahun itu yang juga bekas mandur estet berada di tingkat atas rumahnya apabila terdengar bunyi bising di tingkat bawah sebelum terlihat seorang remaja lelaki mengacukan parang kepada pembantu rumah serta dua cucunya berusia lapan dan 10 tahun.

Warga emas itu masuk ke biliknya untuk mengambil selaras senapang patah dan ketika bergegas turun dia terserempak suspek yang pada masa sama menaiki tangga untuk ke tingkat atas.

Dengan pantas, dia melepaskan dua das tembakan dan satu daripadanya mengenai rusuk remaja itu sebelum rebah di atas tangga.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin, berkata perompak remaja yang terkena tembakan itu mati ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Menurutnya, ketika kejadian ada lima penghuni dalam rumah itu iaitu lelaki warga emas berkenaan, anak lelaki dan dua cucunya serta seorang pembantu rumah.

“Siasatan awal mendapati lima suspek terbabit kes itu. Tiga daripada mereka menunggu dalam kereta sementara seorang berkawal di pintu rumah. Hanya remaja yang mati ditembak itu masuk ke rumah.

“Sebaik memasuki rumah, remaja itu mengacu parang kepada pembantu rumah serta mengugut untuk membunuh dua kanak-kanak yang ketika itu berada di tingkat bawah sekiranya bapa kanak-kanak terbabit enggan memberi kerjasama menyerahkan barang berharga kepadanya,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Khaw berkata, selepas perompak remaja itu ditembak pemilik rumah menggunakan senapang patah miliknya, rakannya yang berkawal di pintu rumah segera lari masuk ke dalam kereta bersama tiga rakan yang lain sebelum memecut meninggalkan tempat kejadian.

Sehubungan itu, katanya, polis kini giat memburu keempat-empat suspek terbabit yang dipercayai berusia antara 17 dan 20 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata,” katanya.

Sementara itu, ibu suspek yang ditembak meraung ketika datang menuntut mayat anak sulungnya itu di PPUM di sini, petang semalam.

Wanita berusia 40 tahun itu memberitahu dia tidak menyangka anaknya terbabit kegiatan samun berkumpulan berikutan selama ini dia diberitahu anaknya bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel kenderaan.

Menurutnya, dia cuba menghubungi anaknya kira-kira jam 11 pagi semalam, namun panggilannya tidak dijawab menyebabkan dia menghantar SMS bagi mengetahui keadaan anaknya itu.

“Saya amat terkejut apabila polis datang ke rumah dan memberitahu anak saya mati ditembak kerana melakukan rompakan.

“Saya sedih kerana suami saya masih meringkuk di penjara selepas terbabit kes pukul dan kini anak saya terbabit kes jenayah,” katanya.