Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Sembilan lagi mayat ditemui




YOGYAKARTA: Para penyelamat menemui sembilan lagi mayat yang tertimbus abu ledakan Gunung Merapi di lereng gunung itu selepas seminggu ia meledak, sedang pengesahan angka kematian dek bencana alam itu mencecah 250 orang semalam.Gunung berapi itu, yang memuntahkan awan gas dan abu panas sejak dua hari lalu, terus aktif sejak meledak pada 26 Oktober lalu.Tiada kematian terbaru dilaporkan, kata para pegawai. -- AP.

penjara 18 tahun dan 12 sebatan kerana rogol

MOHD Zulkarnain Zainal, 23, yang mengaku bersalah merogol anak saudara tirinya berusia 10 tahun pada Jun lalu dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa

Banteras aksi panas di pantai



TUMPAT - Pasangan kekasih yang tidak segan silu melakukan ‘aksi tidak senonoh’ di kawasan Pantai Sri Tujoh dan Pantai Geting, menjadikan kawasan tersebut tumpuan Pejabat Agama Jajahan Tumpat untuk melakukan operasi tangkapan pasangan berkhalwat.

Penolong Pegawai Penguat Kuasa Agama, Kamarudin Osman berkata, dari Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 55 kes tangkapan khalwat dan kelakuan tidak sopan berlaku di kawasan tersebut.

Menurutnya, kedua-dua kawasan berkenaan merupakan kawasan panas bagi Penguat Kuasa Agama Tumpat dan Skuad Amru berdasarkan statistik tangkapan khalwat tahun ini yang agak tinggi di kawasan itu.

“Kita dibantu Skuad Amru Masjid As-Somadi Geting yang mempunyai kuasa menangkap pasangan berkhalwat di sekitar Pantai Sri Tujoh dan Pantai Geting.

“Mereka melakukan rondaan secara bergilir-gilir setiap masa terutama di sekitar Pulau Tengkorak yang menjadi kegemaran pasangan kekasih kerana kawasannya agak terlindung dengan pokok ru” katanya.

Menurutnya, pada 10 November lalu, satu tangkapan dilakukan ke atas pasangan yang berdua-duaan di dalam sebuah kereta di Pantai Geting. 

"Lelaki tersebut berusia 47 tahun, berstatus suami orang dengan enam anak manakala wanita terbabit, isteri orang, berusia 45 tahun juga mempunyai enam anak ditangkap kira-kira jam 1.30 tengah hari di kawasan pantai tersebut.

“Ketika serbuan, mereka berdua-duan di dalam kereta di tempat duduk masing-masing dengan kusyen kereta direbahkan.

“Setelah disoal siasat, mereka bukan muhrim dan didakwa di bawah Seksyen 5 (1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2/85 Negeri Kelantan dan jika sabit kesalahan akan 

Menteri Telekom India letak jawatan berhubung penipuan 2G


NEW DELHI - Menteri Komunikasi dan Teknologi Informasi India A. Raja meletak jawatan Ahad malam berikutan dakwaan berlaku penipuan peruntukan spektrum 2G yang mencetuskan kontroversi. 

Ahli politik berusia 47-tahun itu menghadapi tekanan supaya meletak jawatan selepas anggota parlimen pembangkang mendesaknya berbuat demikian minggu lepas, mengakibatkan sidang parlimen ditangguhkan beberapa kali. 

Beliau dikatakan terlibat dalam rasuah berhubung peruntukan spektrum 2G, yang dibekalkan pada harga rendah kepada pengusaha telekomunikasi, mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan. 

Sejak kontroversi itu meletus, Raja mempertahankan dirinya dengan berkata, keputusannya itu selaras dengan dasar kementerian dan tidak ada penyelewengan berlaku. 

"Demi mengelakkan kerajaan dari diaibkan dan memelihara keamanan dan harmoni, saya meletak jawatan. 

"Namun, saya tidak bersalah..." katanya kepada media tempatan sejurus selepas menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Manmohan Singh di kediamannya. 

Raja adalah anggota Dravida Munnettra Kazhagam (DMK), dipimpin oleh tokoh karismatik M. Karunanidhi, ketua menteri negeri Tamil Nadu, selatan India. -BERNAMA

Operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak lemas dihentikan


ALOR SETAR - Pasukan mencari dan menyelamat telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat Awwad Hakimi Rudaini, 7, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di Tanjung Bendahara ketika banjir 4 Nov lepas.

Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusof berkata, operasi itu terpaksa dihentikan hari ini selepas 10 hari kanak-kanak terbabit dilaporkan terjatuh ke dalam tali air itu.

"Pihak keselamatan seperti polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah berusaha mencari kanak-kanak itu tapi sehingga semalam kami gagal menemui mayat mangsa," katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, hari ini.

Asri berkata, kira-kira 90 anggota pasukan keselamatan terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat sepanjang operasi itu dijalankan.

Beliau berkata, operasi mencari mayat kanak-kanak itu dijalankan sehingga ke Kuala Kedah iaitu lebih 10 kilometer dari tempat kanak-kanak itu dilaporkan terjatuh.

Dalam kejadian 4 Nov lepas, Awwad Hakimi dan rakannya Nur Irshah Rosli, 9, dikatakan terjatuh ke dalam tali air itu ketika bermain bersama beberapa rakan lain. Mayat Nur Irshah dijumpai pada 6 Nov lepas kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

Pemandu lori dipenjara sembilan tahun, 10 sebatan miliki 755 gram kanabis


SHAH ALAM - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis kanabis seberat 755 gram, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan tertuduh, C.S.Gunalan, 28, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu pada 22 Dis 2008.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan 2, Desa Jaya, Kepong, Gombak, kira-kira pukul 8 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan minimum 10 kali sebatan.

Gunalan sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengedar mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun menukar pengakuannya selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 6 akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin mengendalikan pendakwaan sementara tertuduh diwakili peguam Naran Singh.-BERNAMA

Kilang proses makanan di Pulau Pinang didenda RM22,500 kerana guna pengawet terlarang


GEORGE TOWN - Pemilik Kilang Teoh Guan Hup Food Stuff Industries didenda RM22,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menggunakan bahan pengawet yang dilarang dalam produk makanan keluarannya. 

Majistret Mohd Firdaus Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas Gooi Soon Chye mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan yang dihadapi kilangnya mengikut Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983 (Pindaan 2002).

Dia dihukum mengikut Seksyen 13B(4) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, kilang itu didakwa menggunakan asid borik dan asid benzoik dalam produk makanan yang diproses dan diedarkannya iaitu mee kuning, kuey teow, hor fun dan bee tai bak.

Sampel produk kilang berkenaan telah diambil oleh pegawai kesihatan negeri Faizal Mohamad Fauzi pada 19 Mei lepas untuk dianalisis di Makmal Kesihatan dan Kualiti Makanan Pulau Pinang. 

Keputusan analisis menunjukkan kesemua sampel mengandungi asid borik dan asid benzoik, iaitu sejenis bahan pengawet yang dilarang penggunaannya dalam makanan.

Pendakwaan dijalankan oleh Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan dari Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Ideris Mohamad manakala Gooi tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ideris meminta mahkamah mengenakan hukuman berbentuk teladan terhadap Gooi yang hadir sebagai wakil kilangnya, kerana kesalahan itu dilakukan secara berulang sejak 2005.

Beliau berkata, kilang berkenaan telah didenda sebanyak lapan kali berjumlah RM14,000 oleh mahkamah atas kesalahan yang serupa.

Sementara itu, dalam rayuannya, Gooi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang ringan.-BERNAMA

Mayat warga Myanmar dipercayai mabuk telah ditemui



Johor Bahru - Mayat seorang lelaki warga Myanmar berusia 25 tahun dipercayai mabuk dan telah terjun ke sungai di Taman Mount Austin petang semalam kini ditemui bomba.

Mayat telah diangkat keluar dari Jeti Permas Jaya dan kemudian dibawa ke Jeti Stulang Laut. Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 5.30 petang dan bomba mendapat panggilan pada jam 5.456 petang dari Balai Polis Majidee.

Bookie kutip RM1.4 juta sehari ditahan




2010/11/15

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menahan dua lelaki dipercayai menjalankan kegiatan bookie judi haram bola sepak membabitkan pertaruhan kira-kira RM1.4 juta sehari di sebuah rumah di Lengkok Kristal, Jalan Penang Free, di sini, semalam. 

Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, suspek masing-masing berusia 24 dan 41 tahun ditahan ketika sedang asyik menjalankan urusan penerimaan pertaruhan daripada pelanggan.Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata serbuan itu dibuat hasil maklumat orang awam serta intipan selama seminggu.
Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati suspek menerima dan menjalankan pertaruhan berkenaan daripada rumah itu bagi semua perlawanan bola sepak yang berlangsung di seluruh dunia. 

“Suspek menjalankan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu dan mampu menerima pertaruhan sehingga RM1.4 juta sehari. Rumah itu milik bapa saudara seorang suspek terbabit,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

AS pujuk Israel henti pembinaan haram



TEL AVIV - Amerika Syarikat (AS) memujuk sekutu kuatnya, Israel supaya menghentikan pembinaan penempatan haram bagi penduduk Yahudi di Tebing Barat selama 90 hari dengan menawarkan pakej insentif kepada rejim itu. 

Tindakan itu dilakukan bagi menghidupkan semula rundingan damai antara Palestin dan Israel yang tergendala akibat kedegilan rejim Zionis itu yang terus membina rumah haram penduduk Yahudi di atas tanah milik Palestin. 

Bagaimanapun permintaan AS supaya pembinaan haram itu dihentikan tidak membabitkan pembinaan di Baitulmaqdis Timur, iaitu kawasan yang diingini Palestin sebagai ibu negara Palestin merdeka pada masa akan datang. 

Melalui tawaran itu, AS berjanji tidak akan meminta sebarang tempoh tambahan bagi pembekuan pembinaan penempatan Israel selepas tempoh 90 hari yang dituntut itu tamat. 

Pakej insentif yang ditawarkan pula termasuk komitmen AS untuk terus menolak usul antarabangsa yang mengkritik Israel dan pembekalan sebanyak 20 jet pejuang pengintip kepada Tel Aviv. 

Palestin sebelum ini menegaskan tidak akan menyambung semula rundingan damai pusingan terbaru yang bermula September lalu sehingga Israel menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Isu seksi di pentas MIFA



Selepas 20 tahun, Didie Alias kembali ke pentas peragaan. Terbaru, Didie muncul dalam Malaysian International Fashion Awards 2010 (MIFA). Namun di sebalik kemunculannya itu, ada cerita kurang enak mengenai pelakon dan pengacara ini. 

Didie yang mengenakan busana paras lutut berwarna hitam dikatakan tidak sesuai dengan usianya hingga menimbulkan rasa kurang enak dalam kalangan peminatnya. 

Dalam usianya yang sudah meniti angka 40 itu, Didie dikritik di internet hanya kerana penampilannya itu. 

“Bagi saya, fesyen tidak mengikut usia. Kalau berani mencuba, sesiapa pun boleh berfesyen. Yang penting kita tahu jenis pakaian yang hendak dipakai. 

“Saya tak kata saya bijak dalam berfesyen, tapi saya suka mencuba sesuatu yang baru. Lagi-lagi fesyen yang pelik. Saya sukakan kelainan. Tapi jangan pula sampai menjolok mata. Setakat ini, saya menerima respons yang baik. 

“Cuma mulut orang kita tak boleh nak tutup. Mereka bebas nak cakap apa mengenai saya. Mungkin ada yang cakap kalau usia dah 40an tak boleh nak berfesyen. Saya tak kisah kerana saya tahu apa yang saya lakukan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini. 

Didie yang mengenakan busana rekaan PLU Creative berkata, pakaian yang digayakan tidaklah terlalu seksi seperti tanggapan sesetengah pihak. 

“Memang pada mata kasarnya ia nampak seperti seksi. Tambahan dengan pakaian itu yang terdedah sebelah bahu, orang yang melihat akan merasakan saya terlalu seksi. 

“Sebenarnya tidak. Saya memakai stoking nipis berwarna hitam dan baju nipis rona kulit. Kalau tengok betul-betul memang tak seksi. Saya ambil kira itu semua. Lagi pun, saya masih waras dan tak mahu dikatakan tak sedar diri,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Didie yang sebelum ini dikritik hebat semasa mengenakan pakaian pada majlis anugerah anjuran sebuah akhbar harian berkata, keberanian yang ditunjukkan masih ada batasnya memandangkan dia sudah bersuami. 

“Dalam soal berpakaian ini, saya menghormati suami saya. Selain melakukan perbincangan dengan pereka fesyen, saya akan meminta izin daripada suami terlebih dahulu. 

“Saya akan beritahu apa pakaian yang akan saya pakai kepadanya. Jadi, dia tak akan terkejut sekiranya ada tanggapan negatif yang dilemparkan kepada saya,” katanya lagi. 

Pengacara program hiburan 1 vs 0 ini mengakui tidak ramai selebriti yang berani tampil mengenakan fesyen yang pelik-pelik. 

“Saya perhatikan ramai selebriti yang berhati-hati untuk berfesyen. Bagi saya, ini adalah fesyen sahaja. Bukannya nak pakai pergi majlis atau kenduri. Ia hanya di pentas sahaja. Saya berterima kasih kepada mana-mana pereka fesyen yang mahu bekerjasama dengan saya,” katanya yang baru menamatkan penggambaran sketsa Gila Gila dan Ada Aku Kisah untuk siaran Astro.

Tidak sempat terima 'pen drive'



KAMPUNG RAJA – Seorang guru lelaki, Ahmad Rushdan Jusoh, 42, yang dalam perjalanan untuk menerima 'pen drive' daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta kira-kira jam 2 petang di Alor Lintah dekat Jertih, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah, Superinten-dan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, motosikal yang ditunggang mangsa melanggar sebuah kereta dari arah bertentangan yang membelok untuk memasuki simpang Kampung Kubang Bemban dekat Alor Lintah. 

Menurutnya, mangsa dari rumahnya di Kampung Raja menuju ke Jertih merempuh sebelah kiri sebuah Proton Wira yang dipandu wanita berumur 44 tahun. 

“Mangsa menunggang motosikal jenis Suzuki Sport Shogun berada di belakang sebuah kenderaan menghala ke Jertih, bagaimanapun kereta di depannya dikatakan memberhentikan kereta untuk memberi laluan kepada kereta Proton Wira itu memasuki simpang. 

“Mangsa mungkin tidak menyedari kenderaan itu berhenti dan meneruskan perjalanan menyebabkan dia merempuh sisi kiri kereta Proton Wira yang sedang membelok,” katanya. 

Kamaruddin berkata, berikutan pelanggaran berkenaan, motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk dan terpelanting manakala kereta tersebut kemek pada sebelah kiri. 

Mangsa dikejarkan ke Hospital Besut dan meninggal dunia kira-kira tiga jam kemudian berikutan pendarahan serius dalam perut. 

Bagaimanapun, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan ketika kejadian kenderaan di kawasan berkenaan dikatakan agak sesak. 

Kamaruddin berkata, Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 



“Tidak perlu pergi klinik, saya sudah hendak mati”

“ARWAH ada mengadu bahawa dia berasa letih dan tidak berdaya untuk pergi ke majlis penerimaan 'pen drive' di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong kelmarin tetapi dia gagahkan juga hadir ke majlis itu bagi meraikannya bersama rakan setugas,” demikian kata Fairuz Ismail, 39, isteri mangsa. 

Fairuz berkata, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Beting Lintang dekat Tembila itu kira-kira jam 10 pagi pada hari kejadian. 

Menurutnya, pada pagi itu suaminya memberitahu tidak sedap badan, bagaimanapun dia tetap pergi ke majlis tersebut. 

“Dia memberitahu saya akan menunggang motosikal bagi mengelak kesesakan lalu lintas berikutan lebih 3,000 guru daerah ini akan ke majlis itu,” katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tembila. 

Fairuz berkata, pada hari itu dia tidak pergi bersama suaminya kerana terbabit dengan mesyuarat pemarkahan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di SMK Tengku Mahmud dekat Kampung Alor Lintang yang dijadualkan berakhir semalam. 

Menurutnya, ketika bermesyuarat, seorang rakan menghubunginya kira-kira jam 2.15 petang memberitahu ada kemalangan membabitkan penunggang motosikal. 

“Rakan saya memberitahu bahawa dia seakan pernah terlihat individu yang terbabit dalam kemalangan berkenaan. 

“Justeru, dia bertanya mengenai kenderaan dan warna baju suami saya lalu saya memberitahunya. Dia berkata individu yang kemalangan itu memang suami saya,” katanya. 

Ibu kepada tiga anak berumur 4 hingga 14 tahun ini berkata, terkejut dengan kejadian itu dia terus bergegas ke Bahagian Kecemasan Hospital Besut dan melihat keadaan suaminya yang ketika itu mengerang kesakitan. 

Katanya, suaminya tidak mengalami kecederaan serius pada bahagian luar anggota badan kecuali patah satu jari kelengkengnya tetapi dikatakan mengalami kecederaan dalaman serius. 

“Dia meninggal dunia di sisi saya kira-kira jam 4.45 petang,” katanya sedih. 

Fairuz berkata, arwah suaminya menunjukkan perubahan ketara sejak sebulan lalu iaitu berubah menjadi pendiam dan kurang bergurau dengan anak. 

“Dahulu, dia suka bergurau terutama dengan anak tetapi sejak belakangan ini dia lebih pendiam dan sebulan lalu ketika saya meminta dia ke klinik untuk merawat batuknya, dia kata tidak perlu ke klinik kerana dia sudah hendak mati. 

“Saya tidak ambil berat katanya itu kerana ingatkan dia hanya bergurau,” katanya. 

Sementara itu, jenazah Ahmad Rushdan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kenjing dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pelagat kira-kira jam 11 pagi semalam. 

Bapa mangsa, Jusoh Ali, 68, ialah Ahli Jawatankuasa Pas Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Jertih. 



Fairuz kesal beg duit suami dicuri

FAIRUZ kesal kerana ada pihak tidak bertanggungjawab tergamak mencuri beg duit ketika suaminya kesakitan sebaik sahaja berlanggar dengan kereta, kelmarin. 

Fairuz berkata, beg duit suaminya yang mengandungi sejumlah tunai, dokumen penting lain seperti kad pengenalan, kad kredit dan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dipercayai dicuri daripada seluar suaminya sebaik sahaja kejadian berlaku. 

Menurutnya, dalam keadaan kecemasan begitu, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku beriku-tan siasatan kemalangan dan urusan berkaitan akan menimbulkan sedikit kesukaran kerana tiada kad pengenalan sebagai rujukan. 

“Saya bukannya sayangkan duit yang ada dalam beg itu tetapi sikap pihak tidak bertanggungjawab amat dikesali kerana suami saya dikatakan mengadu kesakitan sebaik sahaja berlanggar dengan kenderaan berkenaan,” katanya. 

Fairuz berkata, selain tunai terdapat empat kad ATM dan satu kad kredit dalam beg suaminya.

Pemuda mati tertiarap




KULAIJAYA – Seorang pemuda yang bekerja sebagai ejen penjual telefon bimbit ditemui meninggal dunia di rumahnya di Jalan Bunga Kertas 1, Taman Sri Muhibah, di sini kira-kira jam 4.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, mangsa, Kang Kim Loon 27, yang ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah dipercayai dibunuh.

“Kami menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan mayat mangsa di rumahnya.

“Mangsa ditemui tertiarap di dalam bilik tidur di tingkat atas rumahnya dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat dipukul di bahagian kepalanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulkefly berkata, motif kejadian masih belum dikenal pasti manakala siasatan berhubung kes berkenaan akan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi memastikan motif dan suspek yang terlibat.

Sementara itu, menurut salah seorang rakan mangsa yang enggan dikenali, mangsa yang berasal dari Melaka itu seharusnya menghadiri sebuah mesyuarat pada hari kejadian namun tidak menghadirinya dan gagal hubungi.

Kemudian rakannya itu bertindak menjejaki mangsa di rumahnya namun menemui mangsa yang sudah meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah sebelum menghubungi pihak polis.

Sinar Harian difahamkan, mangsa yang masih belum berkahwin tinggal berseorangan di rumah manakala rakan serumahnya telah pulang ke kampung sejak seminggu lalu.

Jam tangan arwah suami jadi kenangan


JOHOR BAHRU - Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus dalam tragedi penambakan pantai di Pantai Lido, di sini, kelmarin, berakhir apabila mayat mangsa ditemui Pasukan Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 7.30 pagi, semalam. 

Mayat Mohd Nor Miskan, 36, ditemui kira-kira 10 meter dari tempat kejadian setelah gerakan mencari bermula jam 10.30 malam kelmarin. 

Pegawai Bomba Atas Bahagian Operasi, Aminah Saimin berkata, pasukan penyelamat menjumpai mayat terapung di bahagian pelampung saluran penyedut pasir dengan keadaan masih lengkap berpakaian. 

“Anggota penyelamat menjumpai mayat tersebut terapung di bahagian pelampung kira-kira 10 meter dari tempat mangsa jatuh dan keadaannya masih lengkap berpakaian dan seterusnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat," katanya. 

Mangsa yang merupakan operator jengkaut bagi projek pembinaan pusat komersial dan residen di bawah Syarikat Central Malaysian Properties Lido Boulevard difahamkan berkhidmat dengan syarikat itu sejak 10 tahun lalu. 

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norlaila Parijan, 38, bersama empat anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki dalam lingkungan umur lima hingga 13 tahun. 

Norlaila berkata, dia masih terkejut dan bersedih dengan apa yang menimpa suaminya, namun dia dan keluarga reda serta menerimanya sebagai ketentuan Ilahi. 

Ketika menunggu laporan bedah siasat hospital bagi pengurusan jenazah, salah seorang kakitangan HSA menyerahkan jam tangan milik mangsa yang masih ada di pergelangan tangannya kepada isteri mangsa. 

Norlaila terus sebak melihat jam tangan milik arwah suami dan menganggapnya sebagai kenangan daripada arwah. 

“Belakangan ini arwah sangat mesra dengan kami lebih dari biasa dan apabila kami menerima berita kejadian yang menimpanya, kami sekeluarga tidak putus-putus berdoa serta menunaikan solat hajat moga Allah menyelamatkannya. 

“Sungguhpun begitu, kami menerima pemergiannya dengan reda dan semoga rohnya ditempatkan di sisi hamba-Nya yang beriman," katanya ketika ditemui di ruang menunggu Jabatan Forensik HSA, di sini, semalam. 

Sementara itu, bapa mangsa, Miskan Yusuf, 68, berkata, hubungan antara beliau dengan arwah anaknya disifatkan seperti rakan karib kerana mereka amat rapat. 

“Sudah tentu pemergiannya membuatkan saya rasa kehilangan yang amat sangat, namun saya menerimanya dengan hati yang terbuka," katanya sambil menahan kesedihan. 

Jenazah Allahyarham dibawa ke Kampung Parit Hassan, Simpang Renggam, dekat sini, untuk dikebumikan.

Maut di pusat tuisyen



KEPONG – Seorang lela:ki maut selepas bertindak nekad membakar diri di dalam sebuah pusat tuisyen di Taman Kepong Indah, di sini, dipercayai gara-gara ada masalah peribadi dengan teman wanitanya. 

Polis menemui botol arak berhampiran mayat mangsa yang rentung dan syak dia menuang arak ke seluruh badannya sebelum membakar diri. 

Orang ramai di luar premis itu gempar apabila melihat api marak di dalam premis terbabit kira-kira jam 1 pagi, semalam. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, premis itu milik teman wanita mangsa, seorang ahli perniagaan dalam lingkungan umur 40-an. 

Menurutnya, lelaki berumur 48 tahun itu dilihat memasuki premis berkenaan selepas jam 12 tengah malam. 

“Tidak lama selepas itu, saksi ternampak api marak dari dalam premis berkenaan. Pasukan Bomba dan Penyelamat yang tiba selepas menerima maklumat daripada orang awam berjaya memadamkan kebakaran daripada terus merebak. 

“Mayat lelaki itu ditemui di atas kerusi manakala kebakaran itu hanya menyebabkan kerosakan kecil premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Zakaria berkata, mangsa dipercayai membantu teman wanitanya menguruskan pusat tuisyen itu. 

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh diri.

Mungkin rasa cemburu jadi motif




PETALING JAYA – Seorang jiran, Azmin Jusoh, 51, yang melihat Haryadi mati dengan beberapa tikaman di Taman Desaria, di sini, menceritakan bahawa mangsa yang tinggal di tingkat lima turun ke tingkat dua melalui tangga untuk meminta bantuan. 

Menurutnya, isteri mangsa turut berada bersama mangsa ketika kejadian kerana Azmin sempat bertanya kepada wanita itu sebelum ditahan polis bagi siasatan lanjut. 

Azmin menceritakan semula kepada :Sinar Harian :inti pati perbualannya bersama wanita itu. 

Katanya, isteri mangsa diekori hingga ke rumahnya oleh enam lelaki warga Indonesia yang dipercayai turut dikenali pasangan suami isteri itu. 

"Wanita itu beritahu saya, sebaik dia tiba di rumah, kumpulan enam lelaki itu bertanya tentang suaminya dan ingin bertemunya sebelum dua daripadanya masuk ke dalam rumah bertemu mangsa," katanya. 

Berdasarkan perbualan yang tidak mahu diceritakan, berlaku satu pertikaman lidah sebelum berlaku pergaduhan dan beberapa lagi suspek turut masuk ke dalam rumah sebelum menikam mangsa yang melawan bagi mempertahankan diri. 

“Wanita itu juga sempat menceritakan kepada saya bahawa selepas mangsa sudah separuh nyawa akibat tikaman teruk, kumpulan lelaki itu melarikan diri sebelum pasangan itu nekad turun ke tingkat dua bagi meminta bantuan daripada seorang kenalan, tetapi si suami rebah tidak lama selepas tiba di rumah kenalannya," katanya. 

Azmin berkata, dia sendiri sempat melihat Haryadi menjerit-jerit meminta tolong di hadapan rumah kenalannya itu dan Azmin terus melaporkan kejadian kepada pengerusi persatuan penduduk. 

Pengerusi persatuan penduduk, Hamsar Samiri, 52, berkata, dia segera menghubungi talian kecemasan sebelum menghubungi polis bergerak di kawasan berhampiran. 

Katanya, pergaduhan dipercayai berpunca daripada cemburu atau cinta tiga segi membabitkan enam lelaki Indonesia (suspek) dan suami isteri itu.

Orang Asli maut selepas motosikal terbabas


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki Orang Asli maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 16.7 Lebuhraya Guthrie menghala Shah Alam dekat sini awal hari ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor Supt Che Hussin Omar berkata mangsa dikenali sebagai Hapet@Azmi Aseh, 39, berasal dari Kampung Orang Asli, Bukit Bangkong, Sungai Pelik, Sepang.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi tadi, mangsa dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri dan tercampak ke lorong motosikal.

"Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum meninggal di Hospital Sungai Buloh," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan polis dimaklumkan mangsa, yang juga pekerja buruh binaan, dalam perjalalan ke tempat kerja.

Di IPOH, seorang penunggang motosikal, Fakaruddin Ishak, 40, maut selepas merempuh kenderaan pacuan empat roda di km 23.6 Jalan Kuala Kangsar-Gerik hari ini.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Mahad Nor Abdullah berkata, dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi itu, Fakaruddin dikatakan dalam perjalanan dari Gerik ke Kuala Kangsar.

Tabib warga Singapura mati ditetak


KAJANG - Seorang tabib rakyat Singapura mati selepas tiga hari koma akibat ditetak dengan sebilah parang di kepala dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Baru, Sungai Chua dekat sini, Rabu lepas. 

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Sakaruddin Che Mood berkata, mangsa yang dikenali sebagai Leong Sin Yu (lelaki), 60, sebelum itu dirawat di Hospital Serdang selepas mengalami pendarahan teruk di kepala.

"Mangsa dihantar ke hospital sejurus selepas kejadian itu dan pada Sabtu lepas dia disahkan meninggal dunia setelah tiga hari berada dalam keadaan koma," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, Leong yang tinggal berseorangan didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 pada pukul 9.30 malam.

Suspek yang berusia awal 30-an dipercayai memecah masuk dengan mengumpil pintu hadapan rumah mangsa.

Pelancong Perancis lemas ketika menyelam di perairan Pulau Mabul


SEMPORNA - Seorang pelancong rakyat Perancis yang melakukan aktiviti menyelam, ditemui mati lemas di kawasan perairan Pulau Mabul, awal pagi semalam.

Identiti lelaki berusia 26 tahun itu belum didedahkan kerana usaha menghubungi keluarga lelaki itu masih dijalankan. 

Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Azim Khan Abdullah berkata, lelaki itu melakukan aktiviti menyelam bersama dua lagi rakannya di kawasan perairan pulau itu pada pukul 1.30 pagi.

"Rakannya membuat laporan polis pada pukul 3 pagi apabila mangsa tidak muncul di permukaan air bersama mereka," katanya.

Sehubungan itu gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan dan mayat lelaki itu ditemui terapung pada kira-kira pukul 10 pagi di kawasan dia dilaporkan hilang.

Bayi dalam kotak



GEORGETOWN - Seorang lelaki yang ingin membuang kotak yang disangkanya sampah terkejut apabila ternampak seorang bayi lelaki di dalamnya. 

Mahmud Maslan berkata, ketika ditemui, bayi itu tidak menangis. 

“Saya menjumpai satu kotak dan setelah diperiksa, ia berisi seorang bayi lelaki. Saya mengambil keputusan membawanya pulang ke rumah terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis,” katanya. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, seorang lelaki yang dipercayai baru pulang dari masjid menjumpai kotak minuman di penjuru kaki lima Flat Sri Petani, lalu mengambilnya untuk dibuang.

“Siasatan awal mendapati bayi seberat 2.7 kilogram baru diletakkan di situ kira-kira 15 minit setelah dilahirkan dalam tempoh 24 jam. Bayi itu sihat dan dalam keadaaan stabil serta masih mempunyai tali pusat.

“Ketika ditemui, bayi yang berkulit cerah dan berambut lurus itu tidak menangis dan dalam keadaan bogel, diletakkan dalam kotak minuman. Pemeriksaan doktor, mendapati tali pusat bayi itu dipotong dengan kasar dan ini menunjukkan suspek tidak mempunyai pengalaman."

"Terdapat juga kesan darah kering pada bayi itu,” katanya kepada media di Balai Polis Pulau Tikus, di sini, semalam.

Menurutnya, bayi itu belum diketahui keturunannya dan sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut .

Kong Meng turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, menghubungi Ibu Pejabat Daerah Timur Laut Pulau Pinang di talian 04-2282222.

Kes itu disiasat dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.