14/11/2010 3:26pm
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
SEREMBAN 13 Nov. – Lima termasuk dua kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menyalahgunakan wang sebanyak RM660,000 yang dikutip daripada individu dan syarikat untuk menganjurkan satu majlis yang tidak wujud.
Majlis berkenaan yang kononnya dijadualkan pada 2 Oktober lalu, bagaimanapun sebenarnya tidak pernah diadakan.
Dua kakitangan JPJ berkenaan yang merupakan seorang pegawai berusia 45 tahun dan kerani berusia 53 tahun telah ditahan di rumah mereka pagi ini.
Pengarah SPRM negeri, Hishammuddin Hashim berkata, tiga lagi individu ditahan itu berusia 45 hingga 55 tahun, yang bertindak sebagai orang suruhan dan pemungut sumbangan bagi pihak pegawai berkenaan.
Mereka juga ditahan anggota SPRM di rumah masing-masing pagi ini.
Katanya, kesemua mereka ditahan reman sehingga 18 November ini bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, wang berkenaan dikutip oleh lima individu itu bagi menganjurkan satu program yang dinamakan ‘Majlis Mesra JPJ Negeri Sembilan’.
“Mereka menggunakan kepala surat JPJ negeri dengan mengeluarkan permohonan oleh Kelab Kebajikan JPJ Negeri Sembilan untuk mengutip derma itu sejak bulan Jun hingga Oktober lalu.
“Individu berkenaan turut menggunakan nama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan dalam senarai aturcara majlis yang diedarkan bersama bagi menyakinkan orang ramai untuk menyumbangkan derma.
“Orang ramai telah terpengaruh kerana terdapatnya nama orang kenamaan itu. Majlis ini didakwa akan berlangsung pada 2 Oktober lalu. Tetapi sebenarnya, ia tidak diadakan langsung.
“SPRM mendapati sejumlah besar wang yang dikutip itu telah dikeluarkan daripada Kelab Sukan dan Kebajikan JPJ Negeri Sembilan atas nama Majlis Mesra JPJ Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Hishammuddin juga memberitahu, hasil siasatan yang dilakukan pegawainya mendapati cuma tinggal RM4,000 sahaja baki wang yang masih terdapat dalam akaun kelab tersebut.
Katanya, siasatan awal itu juga mendapati dua kakitangan JPJ terbabit telah mengeluarkan wang berkenaan secara berperingkat-peringkat dan diagihkan bersama orang suruhan mereka.
Hishammuddin juga memberitahu, individu yang ditahan itu kononnya telah membuat perjanjian bersama JPJ dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempengaruhi orang ramai dari seluruh negara bagi menyumbang untuk menjayakan satu majlis yang tidak wujud.
Tambahnya, SPRM juga akan menyiasat sekiranya ada penglibatan pegawai JPJ dan kakitangan lain dalam penyelewengan tersebut, termasuklah mereka yang telah menggunakan mahupun mengambil keuntungan daripada wang dikutip itu.
“Ia menjadi satu kesalahan kepada pegawai kerajaan untuk mengutip derma daripada mana-mana syarikat mahupun individu. Kes itu akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan, perbuatan itu jelas mempunyai kepentingan diri sendiri dan melanggar peraturan penjawat awam, iaitu mereka tidak boleh mengutip sebarang derma mahupun sumbangan bagi apa tujuan sekali pun.
Ditanya sama ada SPRM akan membuat lebih banyak penahanan selepas ini, Hishammuddin berkata, buat masa ini pihaknya masih lagi meneruskan siasatan.
“Apa yang saya hendak tegaskan, orang ramai diminta tidak lagi menyumbang atau memberikan derma kepada individu, mahupun memasukkan wang mereka dalam akaun kelab tersebut kerana ternyata ini satu penipuan.
“Kita dapati kutipan yang dilakukan oleh individu itu membabitkan syarikat besar dan individu penting dari seluruh negara,” tegasnya.
Katanya, siasatan terperinci akan diteruskan terhadap lima individu ditahan itu bagi membongkar dan mendapatkan butiran sehingga ke akar umbi.
“Ini kerana pihak SPRM mahu tahu, di mana baki wang itu digunakan dan untuk siapa,” ujarnya.