Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Lelaki rogol anak




JOHOR BAHRU - Gara-gara melampiaskan nafsu ke atas anak sendiri, seorang petani dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam. 

Hakim Salawati Djambari menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Jais Adon, 53, mengaku bersalah merogol anaknya yang berusia 16 tahun dan memerintahkan hukuman tersebut dijalankan bermula dari tarikh tangkapan dibuat iaitu pada 30 Oktober lalu. 

Salawati berkata, perlakuan seperti itu adalah sesuatu yang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang bapa terhadap anak kandungnya sendiri dan perbuatan itu dianggap keji. 

”Ini adalah kesalahan yang paling keji. Sebagai seorang bapa, kamu seharusnya melindungi anak sendiri dan bukannya merogol dirinya. Anak kamu juga mungkin akan mengalami trauma sepanjang hayatnya,” tegasnya. 

Tertuduh yang hadir memakai kemeja kotak-kotak dan berseluar khakis bagaimanapun tidak me�nunjukkan sebarang reaksi dan kelihatan tenang ketika hukuman itu dijatuhkan. 

Menurut fakta kes, mangsa membuat laporan polis pada pukul 12.15 pagi, 30 Oktober lalu mendakwa bahawa dirinya dirogol beberapa kali oleh bapanya sehingga pertengahan bulan lalu di rumah beralamat 1230, Jalan Bunga Dahlia, Kampung Separa, Kulaijaya. 

Mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk pemeriksaan lanjut dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami koyakan lama pada Hymen di beberapa kedudukan mengikut arah pusingan jam. 

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali. 

Ketika dibacakan pertuduhan, tertuduh terus me�ngaku bersalah dan merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan mengalami kecacatan di bahagian kaki selepas wmengalami kemalangan jalan raya baru-baru ini. 

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh yang sanggup merogol anak sendiri selain pengajaran bagi masyarakat umum.

Tiga penjenayah Geng Minyak tumpas


13/11/2010 3:29pm

SHAH ALAM – Tiga penjenayah dipercayai anggota “Geng Minyak” ditembak mati oleh polis di Jalan Kerjaya, Glenmarie di sini awal hari ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, ketiga-tiga lelaki itu yang baru sahaja selesai merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1 pada kira-kira 4.15 pagi bertembung dengan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan mencegah jenayah di kawasan itu.
Mereka cuba melarikan diri dengan sebuah kenderaan sebelum terbabas di bahu kiri jalan kira-kira dua kilometer dari stesen minyak yang disamun.
"Ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang kemudian keluar dan cuba menyerang polis menyebabkan anggota saya tiada pilihan selain melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan kesemua mereka tersungkur di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Thaiveegan berkata, kesemua suspek terbabit dipercayai berasal dari Cheras, Selangor dan dalam tempoh sebulan lepas, geng itu disyaki terbabit dalam kejadian samun stesen minyak di Monteres dan Bukit Subang, di sini dan terbaru di Glenmarie. – Bernama

Rupa-rupanya masih ada sisa tiub tertinggal dalam perut

SINGAPURA
Oleh
Linilidia Abdul Hamid

KELEGAAN yang dirasakan setelah tiub sepanjang 25 sentimeter dikeluarkan daripada perutnya ternyata hanya sementara.
Ini kerana lelaki yang telah menjalani amputasi separuh badan, Encik Amri Mohd Samat, mendapat tahu masih ada lagi sisa tiub yang tertinggal dalam perutnya.Akibatnya, Encik Amri, 44 tahun, perlu menjalani proses mengeluarkan sisa tiub dalam perutnya.Proses mengeluarkan sisa tiub telah dilakukan Khamis lalu di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).Beliau telah dipindahkan ke situ dari Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), Sabtu lalu.'Pertama kali mereka keluarkan tiub daripada perut saya, prosesnya mengambil masa 15 minit. Kali ini mereka ambil masa lebih lama kerana tiub itu berada lebih dalam di bahagian bawah sebelah kiri perut,' ujarnya, yang masih bujang.Menurut Encik Amri, sisa tiub itu berukuran sepanjang jarinya atau sekitar 10 sentimeter.'Lega mereka dah keluarkan sisa tiub. Tapi, kali ini, mereka tidak benarkan saya simpan tiub itu kerana perlukannya untuk siasatan,' ujarnya.Sebelum ini, Encik Amri telah menjalani proses mengeluarkan tiub daripada perutnya di KTPH.Beliau ke sana pada 23 September lalu kerana mahu mendapatkan rawatan bagi bedsor atau ulser kulit.Tiub itu ditemui secara tidak sengaja ketika Encik Amri menjalani pemeriksaan di hospital itu.Punca sebenar bagaimana tiub itu boleh berada dalam perutnya masih lagi disiasat pihak TTSH - tempat Encik Amri menjalani amputasi separuh badannya.Encik Amri pernah menjalani amputasi separuh badan, juga kerana masalah bedsor, pada Mei 2007.Namun, masalah bedsor yang dialaminya ketika itu begitu teruk sehingga mengancam nyawanya.Sebelum menjalani amputasi separuh badan, Encik Amri lumpuh daripada bahagian pinggang ke bawah akibat satu kemalangan motosikal semasa berusia 21 tahun.Beliau hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda dan tekanan berpanjangan pada bahagian punggung serta pahanya menyebabkan masalah bedsor itu.Menurut Encik Amri, beliau kini mahu menumpukan perhatian kepada rawatan masalah bedsor.'Ada orang yang sarankan saya ambil tindakan undang-undang tapi saya tetap dengan pendirian saya dan tidak mahu ambil sebarang tindakan kerana saya rasa terhutang budi kepada kakitangan TTSH,' ujarnya.

Pakistan kunyah RM200 juta sirih pinang

 

ISLAMABAD - Tradisi mengunyah ‘paan’ atau sirih di Pakistan semakin menjadi amalan yang mahal dengan negara itu membelanjakan sehingga AS$64.7 juta (RM200 juta) untuk mengimport daun sirih dan buah pinang setiap tahun. 

Kedua-dua bahan itu digunakan dengan meluas untuk menghasilkan paan, selain dicampur ramuan lain seperti kapur tohor, buah pelaga, bunga cengkih dan pudina yang berfungsi sebagai penyegar mulut dalam kalangan penduduk Pakistan. 

Menteri Perdagangan Pakistan, Makhdoom Amin Fahim mengumumkan kepada Parlimen negara itu, buah pinang bernilai AS$59 juta (RM182 juta) dan daun sirih bernilai AS$5.7 juta (RM17.6 juta) diimport dari pelbagai negara bagi memenuhi permintaan terhadap produk itu. 

Buah pinang dilaporkan diimport dari India, Malaysia, Myanmar dan Thailand manakala dauh sirih dibeli dari Australia, Bangladesh, China, dan Emiriyah Arab Bersatu. 

Terdapat pihak yang mempersoal mengapa begitu banyak wang dibazirkan untuk mengimport sirih pinang sedangkan ia dianggap tidak baik untuk kesihatan. 

Makhdoom menjelaskan, sirih pinang adalah antara barangan harian yang paling tinggi permintaan di negara Islam itu dan tindakan menaik-kan cukai bagi mengurangkan import hanya akan mencetuskan kemarahan orang ramai yang kebanyakannya 'ketagih' dengan sirih pinang.

Hakim bantah hukuman memandu laju



BERLIN - Seorang hakim Jerman meraih populariti apabila membebaskan 42 pesalah yang memandu melebihi had laju tanpa sebarang hukuman kerana beliau berpendapat pengawalan had laju hanya berfungsi untuk mengisi tabung negara dan bukannya untuk mencegah kemalangan. 

Jurucakap mahkamah, Bernd Kahre berkata, hakim Helmut Knoener, 62, mahu menentang amalan negara itu yang mendakwa pesalah yang memandu melebihi had laju. 

Menurutnya, Knoener yakin kawalan had laju tidak diadakan untuk memastikan keselamatan jalan raya sebaliknya hanya menjadi sumber pendapatan tambahan. 

"Bagaimanapun, pihak berkuasa masih boleh membuat rayuan bagi menjatuhkan hukuman kepada kesemua 42 pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju tersebut," katanya.

Gadis hilangkan diri gagal lunas hutang ah long




KUALA LUMPUR – Gara-gara terlalu gilakan barangan berjenama, seorang bekas penuntut jurusan penyiaran sanggup meminjam wang mencecah ribuan ringgit dengan ah long bagi mendapatkan apa yang diingini. 

Bukan sekadar berhutang dengan ah Long, gadis itu, Leong Seed Ling, 24, juga sering menipu bapanya termasuk menjual segala barangan berharga dalam rumah bagi mendapatkan wang tambahan untuk dia berjoli. 

Bapa gadis itu, seorang juruteknik yang hanya mahu dikenali sebagai Kim Seng, 53, berkata, selama ini anaknya memang tidak mendengar kata malah tidak pernah membantunya sama ada dari segi perbelanjaan atau keperluan harian. 

Katanya, selepas kematian isterinya tahun lalu, perangai Seed Ling semakin menjadi-jadi sehingga dia menyedari perbuatan anaknya menjual pelbagai barangan berharga dalam rumah. 

“Dia jual antaranya, pencetak, komputer, pemain video cakera padat digital (DVD) dan minuman keras berjenama untuk dapatkan duit. 

“Bila saya sedar semua barang dalam rumah hilang, dia nafikan dia jual tapi bagi pinjam pada kawan. Disebabkan terlalu geram, saya pernah halau dia dari rumah kerana kelakuan dia yang melampau tetapi tidak diendahkan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. 

Bagaimanapun, Kim Seng berkata, pada 20 September lalu, Seed Ling yang juga pekerja sebuah butik itu, menghilangkan diri dan gagal dihubungi sehingga sekarang. 

“Saya tak tahu dia ke mana sehinggalah ah Long datang ke rumah menuntut hutang serta mengugut saya sekeluarga. Rumah kami disimbah cat dan setiap hari hidup dalam ketakutan,” katanya. 

Menurutnya, sebelum ini dia mengetahui Seed Ling pernah berhutang dengan ah Long dan pernah membantunya melangsaikan hutang itu lebih RM15,000 dengan menggunakan wang insurans yang dibeli mendiang isteri. 

Katanya, dia tidak menyangka anaknya itu tidak serik dan terus berhutang sebelum melarikan diri kerana gagal melunaskan hutang terbabit. 

Kim Seng berkata, dia tidak menolak kegilaan anaknya terhadap pelbagai barangan berjenama termasuk pengaruh kawan, menyebabkan dia lupa diri dan sanggup berhutang dengan ah Long. 

“Saya kesal dengan apa yang berlaku kerana sudah banyak saya berkorban untuk menghantar dia belajar tetapi dia berhenti separuh jalan. Dia mahu belajar di bidang kecantikan, saya beri dia duit tapi akhirnya disia-siakan,” katanya. 

Menurutnya, dia terpaksa memutuskan hubungannya dengan Seed Ling kerana sudah tidak tahan diancam ah Long. 

Katanya, dia merayu agar ah Long berhenti mengganggunya dan terus mencari Seed Ling jika mahu hutangnya dibayar. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, bagi tempoh Januari sehingga semalam, pihaknya menerima aduan 261 kes membabitkan ah Long termasuk nilai berjumlah RM26 juta. 

“Ini adalah penurunan 226 kes berbanding tahun lalu. Bagi tahun ini terdapat enam kes yang membabitkan ahli keluarga memutuskan hubungan dengan suami, bapa dan anak kerana menjadi mangsa ugutan ah Long,” katanya.

Selepas anak, suami dirasuk


KAMPUNG BELIKU – Selepas beberapa hari kejadian ahli keluarga Azmi Ibrahim, 45, dan dua keluarga lain berlari untuk terjun perigi beransur reda, keadaan kembali kecoh kelmarin, apabila tiga anak dan seorang menantu termasuk Azmi sendiri kembali diganggu, didakwa angkara makhluk halus. 

Isteri Azmi, Noraini Mat Ali, 42, berkata, akibat gangguan terbaru itu, keadaan bertambah kelam kabut dan dia sekeluarga tertekan apabila anak, menantu dan suaminya meracau, memekik, mengamuk serta mengadu sakit. 

Menurutnya, dalam kejadian bermula petang kelmarin, anak sulungnya Norafida, 24, yang mempunyai dua anak berusia tiga dan lima tahun pula diganggu, sedangkan sebelum ini dia tidak pernah mengalami keadaan sedemikian, sebaliknya yang sering diganggu adalah Nor Syamira, 14. 

“Paling saya susah hati kerana suami turut ‘terkena’ apabila badannya menjadi lemah dan dia mengadu sakit pada bahagian kaki dari paras lutut ke bawah, iaitu sakit sama seperti ketika anak-anak saya diganggu. 

“Selama ini dia (Azmi) membantu memegang anak-anak yang tidak terkawal dan dirasuk, tetapi sekarang dia juga sudah kena,” katanya. 

Kebetulan, ketika Sinar Harian berkunjung ke rumah Azmi, tiga anaknya sedang diganggu dan seorang telah sedar manakala Azmi pula terbaring tidak bermaya. 

Noraini berkata, keadaan tidak terkawal bermula kira-kira jam 6 petang dan lazimnya berlarutan hingga ke siang hari keesokannya. 

Bagaimanapun, keadaan itu kembali reda pada jam 1 pagi apabila seorang pengamal perubatan Islam, Hussin Hashim, 54, dari Felda Kepis, Bahau, Negeri Sembilan dibantu dua anaknya, merawat mangsa. 

Hussin, seorang nazir sebuah masjid datang dari Bahau ke sini secara sukarela kerana simpati dengan nasib tiga keluarga ini setelah membaca kisah mangsa yang disiarkan Sinar Harian. 

Sementara itu kata Noraini, kejadian kelmarin juga agak teruk apabila anak keempatnya, Nurul Jannah, 18, yang selama ini jika diganggu hanya berdiam diri, kini bertukar agresif. 

“Ketika dirasuk dia akan melakukan aksi seperti orang sedang menyembah dan saat itulah kakak (Norafida, yang mengalami sakit kepala) serta adiknya (Nor Syamira) akan bertambah sakit dan meracau. 

"Malah Norafida akan menghantukkan kepalanya ke dinding rumah,” katanya yang tinggal di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), dekat Kampung La, Hulu Besut. 

Menurutnya, sebelum ini, dalam keadaan tidak sedar diri, Nor Syamira pernah cuba memotong kakinya dengan sebilah pisau, namun sempat dirampas bapanya. 

“Kami semua buntu dan amat terjejas dengan kejadian aneh ini kerana di rumah ini perlu ada ramai orang terutama lelaki bagi mengawasi anak-anak saya, termasuk Nor Syamira yang sentiasa mahu lari ke perigi memandangkan mangsa akan mempunyai tenaga luar biasa ketika meronta," katanya.

Penduduk lereng Merapi sanggup korban kerana lembu


YOGYAKARTA -- Dek terlalu sayangkan lembu peliharaan mereka, ramai penduduk di lereng Merapi menjadi korban letusan gunung berapi itu kali ini.

"Mengapa banyak orang meninggal, kerana mereka cinta kepada sapinya," kata Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Dr Syamsul Maarif.

Hubungan itu sangat istimewa sehingga penduduk di situ enggan menjual lembu-lembu itu walaupun kerajaan menawar untuk membeli semua haiwan peliharaan mereka bagi mengelakkan mereka sering pulang rumah semasa Merapi masih aktif meletus
sekarang.

Ada penduduk yang enggan berpindah ke pusat pemindahan kerana tidak mahu berpisah dengan lembu mereka, dan bagi yang berpindah pula, mereka akan kembali setiap hari ke rumah masing-masing untuk memberi makan lembu dan memerah susunya
untuk jualan dan pendapatan mereka.

"Ada seorang perempuan warga mas di pusat pemindahan yang merintih kepada pasukan penyelamat untuk membawanya pulang ke rumah setiap hari semata-mata untuk bertemu dengan lembu-lembunya, dan selepas mengusap dengan penuh kasih sayang haiwan itu dengan tangannya selama beberapa ketika, beliau baru boleh dibawa turun semula ke pusat pemindahan," katanya.

Sehingga kini, bilangan kematian bencana letusan Merapi meningkat lebih 200 orang dan ia terus meningkat apabila pasukan pencari dan penyelamat menemui mayat-mayat penduduk yang dilaporkan hilang dalam kejadian letusan paling dahsyat pada 5 Nov lalu.

Kecuali pada hari itu apabila Merapi meletus paling dahsyat dan di luar dugaan yang menyebabkan sebilangan penduduk mati kerana tidak sempat menyelamatkan diri, kebanyakan kes kematian dalam bencana kali ini ialah penduduk pulang untuk memberi makan lembu mereka dan sekaligus mengambil susu.

Pemeliharaan lembu, kebanyakannya jenis tenusu, merupakan budaya hidup masyarakat di lereng Merapi sejak sekian lama. Pada masa ini terdapat puluhan ribu lembu di lereng gunung berapi berusia 400,000 tahun itu.

Tinjauan Bernama di lereng gunung itu sebelum Merapi meletus mendapati pemandangan biasa di situ ialah kebanyakan penduduk berjalan kaki membawa sabit
yang tajam bagi memotong rumput di kawasan yang menghampiri puncak Merapi dan rumput itu menjadi makanan penting lembu mereka.

Tinjauan terkini pula mendapati banyak motosikal sarat dengan muatan rumput, kadang-kadang melebihi ketinggian kepala penunggang motosikal itu, diangkut mendaki gunung itu.

"Kami terpaksa membeli rumput dari bawah untuk memberi makan lembu kami kerana rumput-rumput di sini sudah dimusnahkan awan panas abu volkanik Merapi yang meletus beberapa kali sebelum ini," kata Maria Seger Rahayu.

Maria, pengusaha butik di pekan kecil Surowono, Klaten, merupakan antara keluarga yang enggan berpindah kerana mahu menjaga perniagaannya selain menjaga lembu peliharaan keluarganya.

"Boleh dikatakan setiap rumah memelihara lembu, kami ada lima ekor, ada keluarga yang mempunyai lapan ekor dan lebih," katanya.

Persoalannya ialah jika ini penyebabnya banyak kematian, kenapa lembu-lembu itu tidak dipindahkan ke kawasan selamat bersama penduduk agar mereka tidak perlu kembali ke rumah masing-masing bagi menjaga lembu-lembu itu.

"Lembu-lembu ini jumlahnya puluhan ribu, di Boyolali sahaja ada 50,000 ekor. Sebagai jalan keluar Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah mengusulkan agar kerajaan membeli semua sapi ini, namun ia bukan semudah itu kerana faktor hubungan istimewa penduduk dengan lembu-lembu peliharaan mereka itu," katanya.

Operasi pemindahan penduduk merupakan satu lagi cabaran BNPB kerana ada penduduk yang akan bersembunyi ketika anggota pasukan penyelamat berkunjung ke rumah mereka untuk dipindah dan diselamatkan. 

Bagaimanapun pihak berkuasa tidak pernah berputus asa dalam usahanya dan antara tindakan yang dilakukan ialah menggunakan anggota tentera bagi melakukan pemindahan paksa iaitu dengan menangkap mereka yang enggan berpindah walaupun terpaksa berdepan dengan sebahagian penduduk yang menjerit dan meronta-ronta dalam proses pemindahan itu.

Dalam usaha menyelamatkan nyawa dalam keadaan kecemasan pula, anggota pasukan penyelamat bukan lagi mengetuk pintu rumah mengejutkan penduduk, malah mereka terpaksa memecahkan pintu dan terus mengangkat penduduk yang sedang nyenyak tidur dalam kes Merapi meletus di waktu dinihari.

Sejak Merapi meletus kali pertama pada 26 Okt lepas, jumlah penduduk yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan bertambah daripada belasan ribu orang kepada 500,000 orang sekarang. Radius jarak keselamatan pula telah diperluaskan dari 10km di luar puncak Merapi itu kepada 20km sekarang. 

"Menguruskan 500,000 orang ini yang dengan pelbagai ragam manusia bukan suatu perkara yang mudah. Kami terpaksa menyediakan pelbagai kemudahan dan keperluan harian yang asas selain memberi makan mereka tiga kali sehari.

"Dengan adanya kemudahan telefon bimbit, kumpulan-kumpulan penduduk juga sering berpindah dari satu pusat pemindahan ke pusat pemindahan lain apabila tertarik dengan menu makanan di tempat itu.

"Masing-masing ada telefon bimbit, mereka akan bertanya rakan-rakan di pusat pemindahan lain apa menunya di sana? Jika sesuai dengan selera mereka, mereka berpindah pula ke situ," kata Dr Syamsul. -- BERNAMA

Padah buat pusingan U




TUMPAT - Seorang warga emas yang menunggang motosikal roda tiga maut dirempuh sebuah kereta ketika membuat pusingan U di Kilometer 9 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor di kampung Bendang Luas, lewat petang kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Senik Mohamed, 70, dari Kampung Kebakat yang cedera parah di kepala serta hancur kaki kanan, meninggal dunia di tempat kejadian. 

Difahamkan, akibat rempuhan kereta kancil yang dalam perjalanan dari arah Wakaf Bharu, mangsa melambung dan motosikalnya putus dua manakala kereta terbabit yang dipandu seorang lelaki bersama penumpang terbabas jatuh ke dalam longkang di jalan bertentangan. 

Pemandu dan penumpang kereta terbabit tidak mengalami kecederaan yang serius dan hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tumpat. 

Saksi kejadian, Saiful Adli Ismail, 30, berkata ketika kejadian dia berada kira-kira 10 meter dari tempat kemalangan mendakwa melihat mangsa seperti mahu membuat pusingan U kerana kerap berpaling ke arah belakang. 

“Perlahan saja pakcik itu menunggang motosikal roda tiganya menghala ke Chabang Empat. Saya lihat seperti dia mahu melintas jalan kerana kerap berpaling ke belakang walau pun berada di laluan motosikal,” katanya. 

Menurutnya, ketika pakcik itu cuba membelok ke sebelah kanan jalan, datang sebuah kereta kancil yang dipandu laju dari arah yang sama lalu melanggarnya. 

“Kereta itu sempat brek tetapi mungkin kerana terlalu dekat sangat sehingga dilanggarnya motosikal roda tiga pakcik tersebut,” katanya yang turut terdengar dentuman yang kuat akibat rempuhan kereta itu walau pun ketika itu dia berada kira-kira 10 meter dari tempat kejadian. 

Menurutnya, dia juga turut melihat bagaimana warga emas itu melambung dan jatuh di atas jalan manakala kereta tersebut terbabas dan masuk longkang di tepi jalan. 

“Saya terus berlari ke tempat kejadian untuk menyelamatkan pakcik itu, namun dia sudah meninggal dunia. Pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami kecederaan serius dan keluar sendiri melalui cermin hadapan sebelum dibawa ke hospital oleh ambulans selepas dihubungi orang ramai,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut.

Lanun rampas kapal China di Laut Arab




2010/11/13

BEIJING: Lanun merampas sebuah kapal kargo dengan 29 kelasi di Laut Arab dan memberitahu syarikat perkapalan itu bahawa mereka akan membawanya ke Somalia, kata pegawai China dan media. 

Serangan itu berlaku dua hari selepas 17 kelasi China kembali selepas ditawan lanun Somalia selama empat bulan. Ia turut menunjukkan penularan kegiatan lanun di luar Teluk Eden, lubuk lanun yang kini dironda pasukan antarabangsa.Seorang pegawai Pusat Penyelamat Marin China berkata, kapal Yuan Xiang yang berdaftar di Panama diserang malam tadi.
Agensi berita Xinhua melaporkan Ningbo Hongyuan Ship Management Company melaporkan serangan lanun itu kepada pusat penyelamat berkenaan sejurus sebelum tengah malam dan menyatakan lanun terbabit membawa kapal berkenaan ke Somalia. - AP 

Murid koma 12 hari mati di hospital




2010/11/13

LENGGONG: Hampir setiap hari dia mendesak dibelikan tudung labuh dan telekung baru walaupun sudah memilikinya sebelum dia dilanggar kereta akhir bulan lalu. 

Tetapi semalam dia menghembuskan nafas terakhirnya, kata Salleh Abdullah yang kehilangan anak bongsunya selepas koma 12 hari akibat kemalangan pada 31 Oktober lalu.Fatin Nur Shahirah, murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Bukit Balai (SKBB) Lenggong meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 12.30 tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari di Kilometer 1 Jalan Lenggong-Grik, depan Dataran Lenggong, mangsa yang berjalan bersama rakannya, Nursuhana Taruddin, 12, tercampak ke atas jalan selepas dilanggar sebuah kereta dari arah Grik menuju Lenggong menyebabkan kulit kepala mangsa mangsa pecah dan koma. 

Salleh, 68, dari Kampung Sira di sini, berkata beliau hairan dengan perubahan sikap Fatin yang kerap mengamuk apabila permintaannya itu tidak dipenuhi sehinggalah isterinya, Arabiah Alias, 58, bersetuju membelinya sehari sebelum kemalangan itu. 

Sebelum kejadian itu juga, dia menyatakan mahu makan laksa kegemarannya sepuas-puasnya di rumah ibu sepupunya, Norhazita Taruddin di Kampung Pecah Batu di kampung bersebelahan dan mahu makan piza yang akan dibelinya, katanya. 

Beliau yang juga peniaga ayam di Pasar Lenggong di sini berkata, ketika itu anaknya bersama rakan dari rumahnya pergi berjalan kaki ke Kampung Pecah Batu terletak bersebelahan kampungnya selepas meminta izin ibunya. 
Anak saya dilanggar se kereta yang dipandu lelaki berasal dari Kampung Pahit, Grik yang menghala ke Lenggong tetapi rakannya, Nursuhana selamat. 

Saya dan keluarga terkilan kerana dia tidak sempat memakai tudung labuh serta telekung baru dan hasratnya untuk makan laksa kegemarannya tidak tercapai. Bagaimanapun, kami reda dengan takdir Allah ini, katanya. 

Pegawai cukai beri rasuah di penjara




2010/11/13

JAKARTA: Seorang pegawai cukai Indonesia yang dibicarakan atas tuduhan terbabit dalam rasuah didapati meneruskan amalan itu dengan memberi wang kepada kakitangan penjara untuk keluar tahanan, kata jurucakap polis. 

Polis bertindak dengan menahan sembilan pegawai penjara kerana membenarkan pegawai cukai itu, Gayus Tambunan keluar daripada tahanan setiap minggu sejak Julai lalu, katanya.Tangkapan itu dilakukan selepas Gayus didapati hilang ketika satu pemeriksaan dilakukan di penjara yang terletak di pinggir Jakarta itu.
Pihak berkuasa kemudian menemui Gayus di rumahnya. Kes itu dianggap sebagai menunjukkan rumitnya usaha melawan rasuah di negara itu, antara yang paling teruk di Asia. 

Gayus dibicarakan atas tuduhan memberi wang kepada pegawai perundangan termasuk seorang hakim bagi mengelak tuduhan melakukan rasuah di pejabat cukai. - Reuters 

Pakistan tuduh Taliban serang polis




2010/11/13

KARACHI: Pakistan semalam menuduh pengebom berkaitan Taliban dan al-Qaeda melakukan serangan ke atas polis di Karachi, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa rangkaian pengganas terbabit sedang memperluaskan perjuangan mereka di bandar raya berkenaan. 

Dalam kejadian kelmarin, sekumpulan lelaki bersenjata memandu kenderaan ke Jabatan Penyiasatan Jenayah (JSJ), yang menjadi tempat tahanan suspek keganasan, petang Khamis lalu, membalas tembakan polis dan meletupkan trak yang sarat dengan bahan letupan.Serangan itu mengorbankan 18 orang dan memusnahkan bangunan berkenaan di kawasan paling dilindungi di Karachi, berhampiran bangunan kerajaan lain, Konsulat Amerika Syarikat, hotel bintang lima yang sering dikunjungi warga Barat, dan pejabat menara tinggi.
Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) mendakwa bertanggungjawab, dan jurucakapnya, Azam Tariq memberitahu AFP dari tempat yang tidak dinyatakan, serangan itu bertujuan membalas dendam penahanan dan penderaan rakan seperjuangan mereka. 

Namun, Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik menuduh Lashkar-i-Jhangvi, kumpulan pengganas berkaitan al-Qaeda dan Taliban, yang dikenal pasti sering menyerang golongan Muslim Syiah dan mempunyai asal usul di wilayah tengah Punjab. 

Lashkar-i-Jhangvi bertanggungjawab bagi serangan ke atas bangunan JSJ itu di Karachi, katanya kepada pemberita di Islamabad semalam. AFP 

Polis tembak mati 3 penjenayah di Shah Alam


ANGGOTA polis forensik memeriksa mayat tiga penjenayah yang ditembak mati di Jalan Kerjaya, Shah Alam, 4 pagi tadi selepas menyamun sebuah stesen minyak, 2 km dari tempat kejadian. - Foto Che Rani Che Din


2010/11/13

SHAH ALAM: Polis menembak mati tiga penjenayah di Jalan Kerjaya di sini jam 4 pagi tadi selepas mereka menyamun sebuah stesen minyak, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian. 

Ahli MBPJ disaman RM10 juta


ZALINA mengemukakan saman RM10 juta selepas mendakwa difitnah pemimpin PKR.


SHAH ALAM - Seorang wanita memfailkan saman RM10 juta terhadap Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mahharul Ismail dan tiga anggota keluarganya kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah menerusi laman sosial Facebook.
Zalina Jaafar, 42, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi peguamnya Faizul Mohd. Nasir pada pukul 10 pagi di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Selain Mahharul, dua adik perempuannya, Maisarah dan Norsyam serta anak saudara mereka, Wan Ikhwan Wan Azani, turut dinamakan sebagai defendan.
Mahharul merupakan Setiausaha Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Petaling Jaya Selatan manakala Zalina merupakan pembantu kepada Ahli Majlis MBPJ, R. Selvarajan. Selvarajan merupakan Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Petaling Jaya Selatan.
Zalina mendakwa Mahharul telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di laman Facebook miliknya (Mahharul) pada 28 September lalu dan kenyataan di laman sosial milik Wan Ikhwan diterbitkan pada 21 September lalu.
Dia turut mendakwa Maisarah dan Norsyam dengan niat jahat telah mengeluarkan kata-kata fitnah yang menyentuh peribadinya secara palsu pada laman sosial milik Wan Ikhwan.
"Antara lain saya difitnah sebagai seorang perempuan tidak bermaruah, melakukan hubungan sulit dengan suami orang tanpa sebarang ikatan perkahwinan selain menuduh saya tidak layak memegang sebarang jawatan dalam politik," kata Zalina.