Search This Blog

Friday, November 12, 2010

Akibat rasuah RM83




JOHOR BAHRU – Seorang peniaga warga Singapura diperintah membayar denda RM10,000 dan penjara satu hari oleh Mahkamah Sesyen semalam kerana cuba memberi suapan bernilai RM83 kepada seorang anggota polis. 

Tertuduh, Ng Chai Hock, 45, pada 30 Mei lalu kira-kira jam 6.08 petang telah melakukan kesalahan memandu melebih had laju 164km/j di Kilometer 21 di Lebuhraya Link Kedua berhampiran Tol Lima Kedai. 

Mengikut fakta kes, Chai Hock telah diminta oleh anggota bertugas, Lans Koperal Samsol Faizal Ibrahim menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandu untuk diperiksa. 

Bagaimanapun, Chai Hock gagal berbuat demikian kerana tidak membawa kad pengenalan bersama dan memiliki lesen memandu tamat tempoh bukan kepunyaannya. 

Anggota itu kemudiannya telah menerangkan kepada tertuduh bahawa dia boleh dikenakan kompaun RM300 kerana memandu laju dan menasihatkan supaya bayar di mana-mana cawangan trafik berdekatan.

10 wanita maut dalam kebakaran di Korea Selatan




2010/11/12

SEOUL: Api memusnahkan sebuah rumah penjagaan di tenggara Korea Selatan hari ini, menyebabkan 10 orang terbunuh dan 17 yang lain cedera. 

Semua mangsa adalah wanita dalam usia 70-an atau lebih yang sedang tidur ketika kebakaran bermula awal pagi tadi di bangunan dua tingkat di bandar pelabuhan Pohang.Pegawai polis, Lee In-shik, berkata 17 orang mengalami cedera ringan dan dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan.
Api marak selama 30 minit sebelum anggota bomba dapat memadamkannya. 

Pihak polis dan bomba kini menyiasat punca kebakaran. 

Presiden Lee Myung-bak sempat menyatakan kekesalan terhadap kematian itu sebelum menyertai Sidang Kemuncak Kumpulan 20 di Seoul. - AP 

Wanita 32 tahun korban terbaru denggi





2010/11/12

PUTRAJAYA: Satu kematian akibat demam denggi dicatat bagi tempoh 31 Oktober hingga 6 November lalu, membabitkan seorang wanita berusia 32 tahun dari Taman Layang, Temerloh Pahang. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata wanita yang bekerja di pasar raya di Bandar Mentakab itu mula demam pada 25 Oktober dan dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah pada 29 Oktober."Hasil pemeriksaan mendapati kawasan kediaman pesakit adalah bekas lokaliti wabak manakala tempat kerjanya adalah lokaliti wabak sejak 30 Oktober lalu.
"Sehubungan itu, aktiviti kawalan iaitu semburan kabus telah dijalankan di kawasan kediaman serta tempat kerja mangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dr Mohd Ismail berkata, dalam tempoh itu, sejumlah 681 kes demam denggi dilaporkan dengan lima negeri menunjukkan peningkatan iaitu Sarawak dari 42 kes kepada 57 kes, Sabah dari 17 kepada 29 kes dan Terengganu dari 38 kepada 46 kes. 

Beliau berkata, sejumlah 200 lokaliti wabak denggi sedang dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu 26 lokaliti panas dikenalpasti minggu lalu, membabitkan 407 kes demam denggi. 

"Lokaliti panas juga melaporkan 116 kes baru dalam tempoh yang sama. Lima atau 19 peratus daripada 26 lokaliti panas masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi," katanya. 
Lima lokaliti itu ialah Selayang Baru dan Taman Desa Jaya Kepong di Selangor, Taman Malim Jaya dan Jalan Taming Sari di Melaka dan Flat Stulang Laut di Johor. 

Bagi penyakit Chikungunya pula, kes yang dilaporkan untuk tempoh yang sama iaitu 31 Oktober hingga 6 November adalah sama dengan minggu sebelumnya iaitu kekal empat kes. - BERNAMA

Spa pusat seks


Oleh Nurhayati Abllah 
bhnews@bharian.com.my
2010/11/12

Pusat kecantikan dilengkapi hotel sedia 12 pelacur warga asing 

IPOH: Kegiatan mereka dipercayai bermula sejak lebih tiga bulan lalu dengan menjadikan perniagaan spa dan rawatan kecantikan untuk mengaburi perkhidmatan seks yang disediakan.Lengkap dengan laluan rahsia ke bilik hotel bersebelahan menjadikan ramai pengunjung tidak segan untuk ‘berurusan’ di spa terbabit, semata-mata untuk mendapatkan layanan seks dari pelayan warga asing.
Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu akhirnya terbongkar selepas sepasukan polis membabitkan tiga pegawai dan sembilan anggota dari Jabatan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman menyerbu premis berkenaan yang terletak di Jalan Mustapha Al Bakri di sini, malam kelmarin. 

Operasi itu diketuai Asisten Superintendan Khairi Anuar Rosli, kira-kira jam 7 malam, selepas pasukan berkenaan melakukan intipan dan penyamaran sejak seminggu lalu. 

Khairi Anuar berkata, serbuan hampir tiga jam itu adalah hasil maklumat awam dan risikan polis yang mendapati ada kegiatan menawarkan perkhidmatan seks dilakukan di spa itu menggunakan pelacur warga asing. 

“Serbuan kali pertama di spa itu pada tahun ini, berjaya memberkas 12 pelacur membabitkan tujuh warga Thailand, tiga dari China dan dua warga Laos berusia lingkungan 20 hingga 30-an. 
“Ketika serbuan dijalankan, ada antara mereka sedang melayan pelanggan dan selebihnya menunggu kedatangan pelanggan. Malah, seorang daripada mereka cedera ringan selepas terjatuh dari siling premis yang runtuh ketika cuba menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas serbuan itu. 

Difahamkan, premis dua tingkat spa itu diubah suai dengan tingkat bawahnya menawarkan rawatan kecantikan, manakala di tingkat atas disediakan bilik kecil yang memuatkan katil serta tilam. 

Malah, premis itu juga dipercayai mempunyai laluan rahsia untuk ke hotel bersebelahan tanpa memerlukan pelanggan memasuki hotel menerusi pintu masuk utama. 

Khairi Anuar berkata, polis juga menahan tiga pekerja spa terbabit iaitu seorang wanita yang bekerja sebagai juruwang dan dua lelaki tempatan. 

“Selain itu, seorang pelanggan berusia 29 tahun dan rakyat tempatan turut ditahan ketika sedang melakukan hubungan seks. Turut ditemui dalam serbuan itu beberapa peralatan seks,” katanya. 

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan pelacur warga asing itu ditahan mengikut Akta Imigresen kerana menyalah gunakan pas lawatan sosial. 

“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri untuk siasatan lanjut dan menjalani ujian air kencing,” katanya. 

Pesawat terhempas di Sudan, sekurang-kurangnya 2 maut




2010/11/12

KHARTOUM, Sudan: Sebuah pesawat membawa 36 orang terhempas ketika cuba mendarat di barat Darfur, menyebabkan dua terbunuh. 

Pegawai penerbangan awam Sudam, Abdel Hafiz Rahim, berkata pesawat Antonov 26 itu terhempas di lapangan Zalingei semalam dan "90 peratus daripada 33 penumpang dan tiga anak kapal" terselamat manakala empat lagi cedera.Pesawat milik Tarco Airline itu dalam penerbangan dari Khartoum.
Rahim berkata, punca nahas masih disiasat tetapi berkata lapangan itu tidak diturap dengan sempurna. - AP 

Gempa bumi 6.1 gegar Maluku, tiada amaran tsunami




2010/11/12

JAKARTA: Gempa bumi 6.1 magnitud melanda kepulauan Maluku di timur Indonesia pada 10.14 pagi ini.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada laporan segera mengenai kerosakan. AFP

Kereta putus dua

SEORANG lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas dan merempuh kereta lain dalam nahas di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Bukit Putus, Kuala Pilah, hari ini. Dalam kejadian 9.20 pagi itu, mangsa yang memandu Proton Wira hanya cedera ringan manakala kenderaannya putus dua. - Foto Dzulkeffli Mustapha


KUALA PILAH 12 Nov. – Seorang anggota polis terselamat walaupun kereta jenis Proton Wira dipandunya terputus dua dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus di sini hari ini.
Kejadian berlaku pukul 9.20 pagi ketika mangsa yang berusia 25 tahun dan hanya ingin dikenali sebagai Amir, memandu keretanya menghala ke Seremban.
Kereta dipandunya itu dikatakan terbabas kerana keadaan jalan yang licin akibat hujan dan berpusing beberapa kali sebelum dirempuh sebuah Proton Gen2 dinaiki seorang wanita dan kanak-kanak dari arah bertentangan.
Berikutan rempuhan itu, kereta berkenaan terputus dua. Bahagian hadapannya terpelanting di laluan arah Seremban, sebelum dirempuh sebuah lagi kereta Proton Wira yang dipandu seorang wanita dipercayai sedang mengandung.
Seorang saksi, Saparul Kamal Othman, 44, berkata, dia dalam perjalanan menuju ke Seremban dan ternampak kereta Proton Wira di hadapannya tiba-tiba terbabas lalu berpusing beberapa kali.
“Kemudian saya nampak kereta itu melintang di tengah jalan dan pada masa itulah, sebuah kereta Proton Gen2 dari arah bertentangan merempuhnya, menyebabkan bahagian hadapan Wira tersebut putus dua.
“Serpihan kenderaan itu pula dilanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang wanita dari arah Kuala Pilah,” katanya.
Berikutan itu, dia segera memberhentikan kenderaan dan membantu mangsa yang cedera dalam kereta Proton Gen2 dan Proton Wira yang dinaiki wanita berkenaan.
“Saya kemudian menghubungi pasukan penyelamat dan kesemua mangsa yang berjaya dikeluarkan dari kereta yang remuk itu telah dibawa oleh orang awam ke hospital.
“Seorang wanita berusia 50-an bersama seorang budak lelaki berusia belasan yang menaiki kereta Proton Gen2 itu dilihat mengalami kecederaan pada kaki dan kepala.
“Pemandu Proton Wira yang melanggar serpihan bahagian hadapan kereta yang terputus dua itu pula dilihat cedera pada bahagian dadanya,” kata Saparul.
Walaupun kereta dipandu anggota polis itu terputus dua, mangsa cuma mengalami kecederaan ringan pada tangannya.
Sementara itu, Amir berkata, dia masih terkejut dengan kemalangan yang menimpa dirinya.
“Kereta yang saya pandu tiba-tiba tidak dapat dikawal dan berpusing beberapa kali sebelum melanggar sebuah kereta Proton Gen2. Saya tidak tahu apa berlaku kerana jalan licin.
“Saya terkejut kerana kereta ini terputus dua. Alhamdulillah, saya tidak mengalami kecederaan serius,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.
Berikutan kemalangan tersebut, berlaku kesesakan yang teruk di laluan menghubungkan Seremban dan Kuala Pilah.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi memberitahu, siasatan berhubung kemalangan itu sedang dilakukan.

Waspada sindiket culik palsu, kata polis

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan sindiket penculikan palsu yang semakin aktif di daerah Sentul baru-baru ini sehingga mengaut keuntungan lebih RM100,000.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, sejak bulan lalu, lima kes dilaporkan berlaku yang menyasarkan golongan suri rumah berusia 50-an dengan jumlah wang tertinggi diserahkan mencecah RM30,000 bagi satu kes.

"Modus operandi mereka adalah menelefon mangsa menggunakan nombor telefon pelik dan tidak dikenali mangsa, lalu mendakwa ahli keluarga mangsa kini diculik sindiket itu.

"Suspek akan mengugut mangsa supaya jangan meletakkan telefon sehingga arahan membawa sejumlah wang ke satu tempat dipatuhi atau ahli keluarga mereka akan dicederakan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 30 motosikal kepada anggota polis dari unit 'First Response Team' (FRM) di sini hari ini.

Zakaria berkata, mangsa kemudian akan pulang ke rumah dan mendapati anggota keluarga mereka selamat dan tidak diculik seperti yang didakwa suspek.

"Mangsa yang mengesyaki dirinya ditipu kemudian akan membuat laporan polis.

Di sini saya ingin menasihatkan orang ramai khasnya suri rumah supaya jangan sesekali terpedaya dengan sindiket ini," katanya.

Difahamkan syarikat telekomunikasi sukar mengesan nombor telefon yang digunakan suspek dan ini menyukarkan polis mengesan lokasi serta identiti suspek.
Menurutnya, sehingga kini, terdapat lima kes seumpamanya, iaitu empat kes yang dilaporkan di Kepong dan satu kes di Jinjang dengan jumlah kerugian keseluruhan melebihi RM100,000.

Katanya dalam kes terbaru, seorang suri rumah berumur 55 tahun kerugian RM5,000 hasil penipuan sindiket itu yang mendakwa anak lelakinya yang berumur 30-an dipukul dan diculik sindiket berkenaan.

Zakaria berkata, dalam kejadian 2 petang dua hari lalu, mangsa dari Kepong Baru menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan kemudian diarah supaya meletakkan wang di tempat pembuangan sampah di sebuah restoran di Kepong.

Beliau berkata, mangsa seterusnnya pulang ke rumah dan mendapati anak lelakinya tidak diculik lalu membuat laporan polis.

Zakaria berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 (Pemerasan) Kanun Keseksaan.

Terdahulu di majlis itu, beliau berkata unit FRM diharap dapat membantu mengurangkan kadar jenayah di Kepong sehingga 15 peratus berbanding 13 peratus ketika ini.

Katanya, unit itu akan bertindak dengan memberi bantuan segera dan pantas dalam mana-mana kes sebelum pengawai penyiasat tiba di lokasi kejadian.

Beliau berkata, unit itu juga menggunakan konsep 'Stop and Talk' bagi membantu orang ramai membuat laporan polis dengan cepat dan akan berkawal sepanjang 24 jam di kawasan tumpuan utama.-Bernama

Penjaga kolam ikan didakwa cuba langgar pegawai polis

KUALA LUMPUR: Seorang penjaga kolam ikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan cuba melanggar seorang pegawai polis bulan lalu.
Yam King Cheong, 36, dari Cheras, dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan cuba melanggar Mohd Haswadi Zamri Shaari dari Cawangan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan 2/125, di hadapan Pasaraya KK Desa Petaling, Cheras, pada 25 Oktober lalu.

Yam, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. Terdahulu, Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Muhamad Sapri Yaakub menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap Yam.

Namun Majistret Aina Azahra Arifin tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tidak berpuas hati dengan penjamin yang datang untuk menjamin Yam.

"Tertuduh perlu mencari penjamin lain kerana penjamin yang dikemukakan tidak dapat menyakinkan mahkamah untuk memastikan kehadiran tertuduh pada setiap kali tarikh perbicaraan yang ditetapkan," katanya. Aina Azahra kemudian menetapkan 15 Disember ini untuk sebutan kes.-Bernam

PGM Sandakan rampas barangan kosmetik bernilai RM60,000

SANDAKAN: Polis Marin merampas pelbagai barangan kosmetik bernilai kira-kira RM60,000 dan menahan tiga lelaki di Jalan 2 Bandar Sandakan di sini, semalam.
Ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan pada jam 6.50 petang ketika menjual barangan kosmetik itu kepada beberapa penjaja, kata Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin Sandakan, Asisiten Superintendan Gan Ping Sin.

Beliau berkata, tiga lelaki yang berusia antara 30 dan 50 tahun itu terdiri daripada dua rakyat tempatan dan seorang rakyat India yang memiliki pasport antarabangsa negara itu.

"Ketika diperiksa, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengesahan ke atas 59 jenis barangan kosmetik yang mereka jual dan ia adalah kesalahan mengikut Akta Jualan Dadah 1952 (Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Komestik 1984)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu diserah kepada Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.-Bernama

Rakyat Malaysia yang hilang ditemui mati dibunuh di Madurai

CHENNAI: Tiga rakyat Malaysia, seorang wanita dan dua anaknya yang dilapor hilang Isnin lalu di selatan India ditemui mati, kata polis.
Mayat M Adhila Banu, 24, anak lelakinya Mohd Aslam (7) dan anak perempuannya Ajira Banu (5) yang telah reput itu di ditemui di Vadipatti di Madurai, Tamil Nadu pada pagi Khamis.

"Ia adalah kes bunuh, mayat itu dikenal pasti oleh ibu Adhila dan dia mengesahkan tiga mayat itu adalah anak dan dua cucunya.

"Mayat reput tiga beranak itu ditemui dalam jarak kira-kira lima kilometer terpisah antara satu sama lain dan dibalut dengan "dhoti" putih. Mayat itu dibuang ke dalam terusan yang berisi air, di bawah jambatan," kata inspektor polis Vadipatti, P.R Lakshmanan kepada Bernama hari ini. Beliau berkata, polis masih menyiasat motif, punca dan lokasi sebenar pembunuhan itu.

Adila dan dua anaknya pulang ke kampung halaman mereka di Barathi Nagar di daerah Ramanathapuram dari Malaysia kira-kira tiga bulan lalu dan tinggal bersama ibu bapanya.

Menurut ibunya, Saibu Nisha, 56, Adila dan dua anaknya tidak pulang selepas keluar dari rumah Isnin lalu untuk membeli tong gas memasak.

Mayat mereka ditemui kira-kira 150 kilometer dari rumah mereka.

"Mayat tiga beranak itu kini ditempatkan di Hospital Kerajaan di Madurai untuk bedah siasat, dan polis menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes itu," kata Lakshmanan.

Pelajar berkhalwat



TAMPIN – Kerana sayang dan cinta, seorang pelajar tingkatan dua, salah sebuah sekolah di Daerah Tampin ditangkap berkhalwat bersama pasangannya, yang juga pelajar tingkatan lima, dari Daerah Alor Gajah di sebuah hotel di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam. 

Sinar Harian difahamkan, usaha menangkap pasangan sekolah itu mengambil masa lebih dua jam apabila sepasukan kakitangan bahagian penguatkuasaan Pejabat Agama Islam Daerah dengan bantuan polis gagal memasuki bilik sewa mereka, seawal jam 8.50 pagi. 

Menurut sumber, berikutan kedegilan pasangan pelajar terbabit yang berlanjutan sehingga jam 10.50 pagi, pasukan serbuan terpaksa menendang pintu untuk memecah masuk ke bilik sewa berkenaan. 

“Bagaimanapun, pelajar lelaki terbabit akhirnya membuka pintu bilik hotel selepas hampir dua jam 15 minit, pasukan serbuan berusaha untuk masuk. 

“Pelajar itu juga didapati masih mengenakan seluar sekolah berwarna hijau dan baju T berwarna coklat, sementara pasangannya dilihat dalam keadaan sugul dan terkejut dalam tandas. Dia berpakaian lengkap baju T dan seluar sukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Motosikal bertembung




BENTONG – Dua remaja Orang Asli maut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 2.5 Jalan Bentong ke Empangan Chamang kira-kira jam 7.50 malam kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, dua mangsa itu ialah Ali Elis, 19, yang beralamat di Kampung Lebak, Chamang dan Alun Hoong Hing, 22, yang beralamat di Kampung Sungai Gabong. 

Menurutnya, Ali menunggang motosikal jenis Yamaha SS berwarna merah dalam perjalanan dari arah Bentong ke Empangan Chamang. 

“Setibanya ditempat kejadian, Ali dipercayai gagal mengawal kenderaan kemudian bertembung dengan sebuah motosikal jenis Suzuki berwarna biru dari arah bertentangan yang dinaiki dua orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun. 

“Akibat pertembungan itu, ketiga-tiganya dipercayai tercampak dan Ali meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya kepada Sinar Harian. 

Beliau berkata, penunggang motosikal Suzuki, Alun pula mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan namun meninggal dunia kira-kira pada jam 10 malam. 

Menurutnya, kanak-kanak yang juga anak saudara kepada Alun pula bernasib baik kerana mengalami kecederaan ringan. 

“Kes kemalangan ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

“Susulan kejadian ini saya menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika menunggang motosikal,” katanya. 

Rosli berkata, aspek keselamatan seperti pemakaian topi keledar dan keadaan motosikal yang baik dapat mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

Paris paling bercahaya dari angkasa



GAMBAR yang dirakamkan dari ketinggian 460 kilometer menunjukkan London (kiri), Selat Dover dan Paris (kanan) dipenuhi dengan cahaya lampu.


STESEN ANGKASA LEPAS ANTARABANGSA (ISS) - Seorang angkasawan ISS, Doug Wheelock merakamkan gambar yang menunjukkan London dan Paris yang merupakan lokasi paling bergemerlapan dengan cahaya lampu pada waktu malam.
Gambar-gambar itu yang dirakamkan 460 kilometer dari Bumi di atas ISS , turut menunjukkan beberapa bandar raya di Eropah dan Amerika Syarikat yang disinari lampu.
Keadaan itu jauh berbeza dengan kawasan mundur termasuk di utara Afrika dan sepanjang Sungai Nil yang diselubungi kegelapan. - Agensi

Ahli MBPJ disaman kerana fitnah menerusi Facebook


12/11/2010 4:58pm

SHAH ALAM - Seorang wanita memfailkan saman terhadap Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mahharul Ismail dan tiga anggota keluarganya kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah menerusi laman sosial Facebook.
Zalina Jaafar, 42, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi peguamnya Faizul Mohd. Nasir di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Selain Mahharul, dua adik perempuannya, Maisarah dan Norsyam serta anak saudara mereka, Wan Ikhwan Wan Azani, turut dinamakan sebagai defendan.
Zalina, yang menyatakan jawatannya sebagai pembantu seorang “ahli majlis" Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendakwa Mahharul telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di laman sosial milik Mahharul pada 28 September lepas dan kenyataan di laman sosial milik Wan Ikhwan dikeluarkan pada 21 September lepas.
Beliau turut mendakwa Maisarah dan Norsyam dengan niat jahat telah mengeluarkan kata-kata fitnah yang menyentuh peribadinya secara palsu pada laman sosial milik Wan Ikhwan. - Bernama

Pengetua mengaku tak bersalah palsukan invois RM7,640


12/11/2010 5:43pm

RAUB - Seorang pengetua sekolah di Triang, Bera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap sembilan pertuduhan membuat pemalsuan invois pembekalan buku-buku latihan sekolah dan bahan pembelajaran lain yang melibatkan nilai keseluruhan RM7,640 pada 2005 dan 2006.
Cheong Chok Weng, 57, Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Triang, Bera didakwa melakukan kesalahan itu pada Oktober dan Disember 2005 serta Disember 2006, ketika menjadi Pengetua Sekolah Menengah Khai Mun, Bentong.
Mengikut kertas pertuduhan, lapan penipuan invois dilakukan oleh tertuduh pada Oktober dan Disember 2005 apabila membuat invois Chewai Enterprise, membabitkan pembekalan alatan pembelajaran yang keseluruhannya bernilai RM7,440 sedangkan pembekalan itu tidak dibuat oleh Chewai Enterprise.
Antara pembekalan berkenaan adalah soalan mirip peperiksaan Matematik Tambahan Tingkatan 5 (SPM) Kertas 1, pad kertas lukisan, soalan mirip peperiksaan Fizik SPM Kertas 1 dan Kertas 2, buku Latih Tubi SPM English Paper 1, kertas lejar dan jurnal. - Bernama

Kanak-kanak dan pasangan suami isteri cedera ditetak


12/11/2010 6:24pm

KUANTAN - Seorang kanak-kanak tiga tahun dan sepasang suami isteri cedera ditetak dengan sebilah pedang samurai oleh seorang lelaki di rumah pangsa Alor Akar dekat sini pagi tadi.
Anas Safian Effa Rizal cedera parah di kepala, kaki dan tangan manakala pengasuhnya, Suzziana Mohd Hopiah, 24, cedera di kepala dan bahu akibat ditetak dan suami Suzziana, Mohd Taufik Abdul Razak, 36, cedera di lengan kiri dan belakang dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd. Jasmani Yusof berkata, polis telah mengenal pasti suspek berusia 30an itu dan sedang mengesannya.
"Kanak-kanak itu dilaporkan stabil, ibu jari tangan kirinya hampir putus dan kaki kirinya patah, manakala Mohd. Taufik dilaporkan stabil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Jasmani berkata, siasatan awal mendapati kes itu berkaitan dengan perempuan. - Bernama

Lima ditahan disyaki kesalahan bertentangan hukum syarak

KUALA PILAH - Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan lima orang yang disyaki terlibat dengan kesalahan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Penyelaras operasi JHEAINS, Mohd. Zol Sidek berkata, kesalahan itu adalah mengeluarkan kenyataan yang berlawanan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.
Mereka yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita yang berusia 60-an itu ditahan dalam satu operasi membabitkan 60 anggota JHEAINS, polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan di markas jemaah itu di Kampung Parit dekat sini pada pukul 1 tengah hari ini.
Penyelaras operasi Mohd. Zol Sidek berkata, mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah untuk siasatan lanjut.
"Mereka ditahan kerana didapati telah mengeluarkan satu kenyataan yang berlawanan dengan hukum syarak. Berhampiran tempat ini telah disediakan sebuah masjid untuk tujuan solat Jumaat bagi kariah Kampung Parit, tapi mereka mendakwa tidak melaksanakan solat Jumaat di masjid yang disediakan itu kerana mengikut fahaman mereka, masjid itu menjalankan perkara bidaah,” katanya. - Bernama

‘Vegrow Capsule’, ubat batuk ‘NCHK Pil Zhi Ke’ kandung racun berjadual


12/11/2010 8:27pm

KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihat mengelak dari membeli dan mengguna dua produk tradisional iaitu ”Vegrow Capsule” dan ”NCHK Pil Zhi Ke” yang telah dibatalkan pendaftarannya setelah dikesan mengandungi racun berjadual.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican berkata, pendaftaran produk ”Vegrow Capsule” yang digunakan secara tradisional untuk menguatkan badan dan untuk kesihatan, dikesan mengandungi racun thiodimethylsikdenafil (analog sildenafil).
"Sildenafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk. Sildenafil atau analognya adalah tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini. Pemegang pendaftaran bagi produk ”Vegrow Capsule” ialah sebuah syarikat di Selangor dan produk dikilangkan juga di Selangor.
Penggunaan sildenafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serious seperti kesan kardiovaskular (contohnya kematian cardiac serta merta, kegagalan jantung, hypotensi postural, berdebar, susah bernafas, pendarahan cerebrovaskular), katanya. - Bernama

Geng rompak bersenjata tumpas, 4 ditahan


12/11/2010 3:03pm

IPOH 12 Nov. – Polis berjaya menumpaskan satu geng perompak bersenjata api yang melakukan rompakan bernilai lebih RM1.1 juta dengan penahanan empat lelaki di sekitar bandar raya ini dan Sitiawan beberapa hari lalu.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sepucuk pistol jenis `Remington Rand Inc.’ dan satu kelopak berisi enam butir peluru hidup daripada salah seorang suspek.
Sebahagian barang yang dicuri turut ditemui semula, antaranya, sebuah kereta Toyota Vios, empat unit komputer riba, 11 telefon bimbit, dua monitor komputer, tiga unit pemprosesan pusat (CPU) dan sebuah mesin pencetak. – Utusan

Tebing sungai runtuh, jambatan Merbau Pulas ditutup

12/11/2010 4:21pm


KULIM 12 Nov. – Laluan Jalan Kulim-Baling berdekatan jambatan Pekan Merbau Pulas dekat sini terpaksa ditutup sementara kepada lalu lintas berikutan kejadian runtuhan tebing di Sungai Sedim malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Chin Sin Song berkata, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan menutup laluan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini kerana ia kini berada pada tahap bahaya.
Para pengguna jalan raya dari arah Baling dan Kuala Ketil kini boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Kuala Bakong-Merbau Pulas untuk menuju ke Kulim.
“Pengguna dari Kulim, Padang Serai yang ingin ke Baling, boleh menggunakan laluan Sungai Karangan-Lebuh Raya Kulim Baling sehingga kerja-kerja membaiki tebing sungai siap,” katanya. – Utusan

2 pelajar UiTM maut, 2 lagi cedera

KEADAAN kereta yang dinaiki empat sahabat pelajar UiTM yang terbabit dalam kemalangan maut di KM 47.7 berhampiram susur keluar Tol Alor Setar Utara, 7 pagi ini. Dalam kejadian itu dua maut, dua lagi parah.Foto: Syaharim Abidin (12/11/10)
KEADAAN kereta yang dinaiki empat sahabat pelajar UiTM yang terbabit dalam kemalangan maut di KM 47.7 berhampiram susur keluar Tol Alor Setar Utara, 7 pagi ini. Dalam kejadian itu dua maut, dua lagi parah.Foto: Syaharim Abidin (12/11/10)

12/11/2010 4:38pm


ALOR SETAR 12 Nov. – Dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau, Perlis maut manakala dua rakan mereka cedera setelah kereta yang dinaiki terbabas lalu merempuh dua batang pokok di Kilometer 47.7, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Alor Setar Utara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi, Mohd. Azrulhadi Azizan, 18, dan Syazwan Azizan, 19, meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Rakan mereka, Muhammad Aiman Ismail, 18, patah tangan dan kaki manakala pemandu kereta Perodua Viva yang mereka naiki, Faris Abdul Ghani, 18, cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini. – Utusan.

Kes Noritta: Saman fitnah RM27juta warga Finland ditolak


12/11/2010 4:49pm

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos saman fitnah RM27 juta oleh pengurus pemasaran produk warga Finland, Mikko Kauko Johannes Jarva, 35, terhadap sembilan defendan yang terdiri daripada syarikat akhbar dan ketua pengarangnya yang didakwa telah memfitnahnya kerana menyiarkan gambar dan mengaitkannya dengan pembunuhan pegawai pemasaran, Noritta Samsudin. - Utusan

Korban Gunung Merapi kini 194 orang


TENTERA Indonesia membersihkan candi Borobudur yang dipenuhi debu daripada Gunung Merapi, di Magelang, Yogyakarta, Indonesia, semalam. - AP


YOGYAKARTA 11 Nov. - Gunung Merapi hari ini terus menghamburkan debu tinggi ke udara, namun ruang angkasa di Jakarta, beratus-ratus kilometer dari sini cerah membolehkan penerbangan antarabangsa disambung semula, hari ini.
"Ketika ini semua pesawat beroperasi seperti biasa," kata pengarah lapangan terbang antarabangsa utama Indonesia, Frans Yosef.
Walaupun demikian, Jabatan Negara Amerika Syarikat menggesa pelancong menjauhi Gunung Merapi yang telah meletus beberapa kali dalam abad ini, mengorbankan lebih 1,400 nyawa.
Angka kematian rasmi dalam letusan kali ini meningkat kepada 194 orang selepas pihak berkuasa memasukkan bilangan mangsa yang maut akibat masalah pernafasan, serangan jantung serta penyakit lain.
Gunung berapi di Pulau Jawa itu kembali meletus dua minggu lalu, menghamburkan debu sehingga enam kilometer ke udara hampir setiap hari, termasuk memuntahkan lahar dan batu panas.
Lebih 350,000 orang penduduk telah dipindahkan ke tempat perlindungan kecemasan yang kini sesak.
Presiden Barack Obama memendekkan kunjungan ke Indonesia dan berlepas ke Seoul untuk menghadiri sidang kemuncak G20, malah beberapa syarikat penerbangan antarabangsa membatalkan penerbangan ke Jakarta, semalam berikutan kebimbangan mengenai debu gunung berapi yang dibawa angin. - AP

Penjual emas mati ditembak


ALOR SETAR 11 Nov. - Seorang penjual emas maut selepas ditembak oleh dua perompak bertopeng di tempat letak kereta pasar buah-buahan di Pekan Cina di sini hari ini.
Mangsa, Fong Chung Sing, 49, ditembak dari jarak dekat yang mengenai badannya oleh salah seorang daripada penjenayah tersebut dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, mangsa sebelum itu baru keluar dari sebuah kedai emas berhampiran lokasi kejadian sambil membawa dua beg berisi barangan kemas yang tidak diketahui nilainya.
Katanya, ketika Chung Sing sedang berjalan menuju ke kenderaannya, dua perompak tersebut menghampiri mangsa dan melepaskan satu das tembakan ke badannya.
"Berikutan tembakan itu, mangsa terjatuh tidak jauh dari tempat dia ditembak.
"Perompak berkenaan kemudian meragut kedua-dua beg yang dibawanya sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna emas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mohd. Zakaria berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua-dua penjenayah itu telah memerhatikan gerak geri mangsa sebelum melakukan rompakan.
Menurutnya, Chung Sing berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang dan datang menjual emas ke kedai-kedai di sekitar bandar raya ini sejak setahun lalu.
Berikutan kejadian itu, katanya, polis sedang memburu kedua-dua suspek termasuk mengadakan pemeriksaan dan sekatan jalan raya di semua laluan keluar dari bandar raya ini.
Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Setar.