Search This Blog

Thursday, November 11, 2010

Pegawai forensik sebak ceritakan kedudukan mayat Aminulrasyid




2010/11/11

SHAH ALAM: Perbicaraan kes kematian Aminulrasyid Amzah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini hening seketika apabila seorang pegawai polis dari unit forensik sebak ketika memberitahu mahkamah mengenai kedudukan mayat mangsa apabila beliau tiba di tempat kejadian pada 26 April lalu. 

Terdahulu, Cif Inspektor Mazli Jusoh @ Che Kob dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang juga penyiasat tempat kejadian memberitahu mahkamah bahawa beliau melihat mayat mangsa dalam keadaan tertiarap dengan mukanya tersembam pada tempat duduk pemandu manakala badannya berada di luar kereta Proton Iswara Aeroback berwarna putih.Ketika ditanya, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Mazli berkata, beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat asal, Asisten Superintendan Ahmad Fauzi Mohamed Zin, bahawa mayat mangsa sudah dialihkan oleh anggota MPV polis dan kemudian telah diperiksa oleh pihak ambulans.
"Pada pendapat saya kedudukan mayat telah dialih daripada kedudukan asalnya dan mayat pada masa itu dalam keadaan kedudukan yang begitu menyedihkan. Bagi saya cara itu...," kata Mazli sebelum beliau tiba-tiba terdiam dan menundukkan wajahnya. 

Saksi ke-25 pendakwaan itu kemudian dengan sebak memohon kepada Hakim Latifah Mohd Tahar, supaya memberikan beliau masa selama lima minit untuk menenangkan dirinya sebelum terus berdiri dan berjalan keluar dari kamar mahkamah dengan matanya yang kelihatan agak kemerahan dan berair. 

Latifah, seterusnya menangguhkan seketika prosiding perbicaraan berikutan permohonan Mazli itu. 

Mazli memberi keterangan pada perbicaraan anggota polis Koperal Jenain, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lalu. 
Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya. 

Menyambung keterangannya, Mazli berkata, beliau memutuskan untuk meletakkan mayat mangsa dalam keadaan lebih baik iaitu dengan membaringkannya di atas tanah yang berumput kerana siasatan beliau di tempat kejadian mungkin akan mengambil masa agak lama. 

Ditanya Mohd Dusuki sama ada beliau ada mengambil gambar mayat mangsa, saksi itu berkata, beliau terlupa untuk berbuat demikian. 

Mazli berkata, beliau kemudian membuat pemeriksaan dan penandaan pada kesan-kesan tembakan dan barangan yang dijumpai pada kereta bernombor pendaftaran BET 5023 itu termasuk sebilah parang serta mengambil kesan tumpahan cecair disyaki petrol. 

Saksi itu berkata, berdasarkan kesan petrol yang ditemui di tempat kejadian, beliau mendapati kereta itu dipandu laju dan bergerak dengan lurus sebelum melanggar sebatang pokok menyebabkan kereta itu berubah sedikit arahnya menghala ke tembok dinding rumah no: 2 di Jalan Makyong 11/2G. 

Kereta itu kemudian melanggar tong sampah plastik depan tembok tersebut sehingga kereta itu berhenti. 

Seterusnya, Mazli berkata, pada 28 April lalu (dua hari selepas kejadian) beliau diminta oleh pegawai penyiasat Asisten Superintendan Abd Halim Ismail (pegawai penyiasat yang menggantikan Ahmad Fauzi) untuk merakam gambar keseluruhan kereta tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. 

Beliau juga merakam gambar tempat kejadian bagi melihat kesan-kesan tanah yang dikatakan kereta itu kemungkinan cuba untuk mengundur ketika kejadian. 

"Saya dapati tidak ada kesan tanah yang terhasil akibat daripada tayar berpusing. Di tepi longkang berhampiran tayar kiri yang tergantung (ketika kejadian) juga tidak ada kesan tayar bergesel dengan permukaan kasar. 

"Pada pendapat saya kesan-kesan tanah berlaku lebih kepada apabila kereta terbabas dan kemudian ditarik keluar dari tempat kejadian," katanya. 

Ditanya Mohd Dusuki mengapa beliau tidak menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh pada hari kejadian, Mazli berkata, pada permulaan beliau menerima taklimat daripada Ahmad Fauzi bahawa mangsa ditembak ketika cuba mengundur selepas terbabas ketika dikejar oleh polis, maka siasatan pihaknya adalah lebih terarah kepada kawasan tempat kejadian kereta terbabas. 

Ditanya mengapa beliau mengambil masa lewat dua hari untuk menjalankan pemeriksaan semula di tempat kejadian, saksi itu berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut pada 28 April apabila diminta pegawai penyiasat. 

Mengulas keadaan kereta tersebut ketika beliau menjalankan pemeriksaan keseluruhan, Mazli berkata, kereta itu diletak di tempat letak kereta awam di IPD Shah Alam tanpa sebarang garisan polis. 

"Kebiasaannya barang kes untuk buat pemeriksaan tidak diganggu oleh eksibit lain. Pegawai penyiasat akan memasang garisan polis jadi anggota polis lain yang tiada kaitan dengan kes akan faham bahawa kereta itu tidak boleh dihampiri atau diganggu. 

"Kalau tiada garisan polis kemungkinan ada anggota polis lain atau orang awam boleh menghampirinya," katanya. 

Mazli seterusnya berkata, pada tarikh sama (28 April) pihaknya turut diminta oleh pegawai penyiasat untuk mencari kelongsong peluru dan serpihan anak peluru bermula dari Bulatan Kayangan, Seksyen 11 sehingga ke tempat kejadian bagi mengetahui dari mana tembakan dilepaskan berikutan terdapat dua anggota polis yang telah melepaskan tembakan dalam kes itu. 

Saksi itu berkata, daripada pemeriksaan di kawasan tersebut pihaknya menemui sejumlah 15 kelongsong peluru dan dua sepihan anak peluru. 

Perbicaraan bersambung pada 22 November ini. - BERNAMA 

Jenazah Daud Ibrahim dikebumi di Muar

POLIS memeriksa Proton Iswara yang dipandu bekas jaguh lumba basikal kebangsaan, Daud Ibrahim, 63 (gambar kecil), yang maut selepas dirempuh treler dari arah belakang di KM232 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, pagi tadi. - Foto Owee Ah Chun


MUAR: Jenazah bekas jaguh lumba basikal negara, Daud Ibrahim, yang terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di KM232.6 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Rembau, Negeri Sembilan, awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, di sini selepas solat Zohor, hari ini.

Allahyarham disemadikan bersebelahan kubur isteri pertama beliau, Allahyarham Maimon Ahmad.


Sebelum itu, jenazah dibawa ke kediamannya di Jalan Daud di sini pada 12.40 tengah hari dari Hospital Tampin.

Daud, 63, meninggalkan seorang isteri dikenali Lily, seorang warga Indonesia serta 13 anak daripada dua orang isteri yang masing-masing meninggal dunia pada tahun 2006 dan 2007.


Antara orang kenamaan yang dilihat hadir menziarah jenazah adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim; Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Abu Samah Abdul Wahab; Presiden Persatuan Lumba Basikal Johor, Datuk Samat Aripin; serta bekas pelumba negara, Datuk Ng Joo Ngan, Kamarden Ali, Ishak Amin dan Othman Rashid.


Razali ketika ditemui menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada sukan lumba basikal.


"Tidak ramai atlet seperti beliau yang sanggup berkorban demi sukan yang diminati hingga ke akhir hayat dan patut dicontohi oleh atlet muda hari ini.


Beliau adalah ketua jurulatih Persatuan Lumba Basikal Johor sehingga akhir hayat," katanya.


Razali, yang turut menyampaikan bantuan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Negara (Yakin) kepada keluarga Allahyarham, berkata usaha akan dibuat untuk membantu menguruskan bayaran insurans kepada keluarga itu secepat mungkin supaya pelajaran lima anak Allahyarham tidak terganggu.


Abu Samah pula berkata, Daud adalah seorang atlet yang tegas dan tidak teragak-agak menegur persatuan jika ada sesuatu yang tidak disukainya.


Samat pula berkata, Allahyarham baru sahaja pulang dari Sarawak selepas membimbing dan mengetuai pasukan Johor dalam kejohanan sirkit kebangsaan minggu lalu.


"Pelumba muda yang dibawa bersamanya iaitu dua anak beliau, Mohd Firdaus dan Fakaruddin serta pelumba wanita Norsalinah Abdul Karim, menunjukkan pencapaian memberangsangkan walaupun kali pertama diketengahkan.


"Ketiadaan Allahyarham amat dirasai khususnya kepada pelumba Johor yang menganggap beliau sebagai bapa dalam sukan lumba basikal," katanya.


Ng pula berkata, beliau kehilangan seorang kawan baik yang dikenalinya selama 51 tahun iaitu sejak mereka berumur 13 belas tahun lagi. "Saya orang KL (Kuala Lumpur), dia JB (Johor Bahru), tapi kami sering berjumpa dalam perlumbaan basikal. Sejak itulah kami berkawan sehingga kami sama-sama mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan," katanya di Kuala Lumpur.


Menurut Ng, beliau baru sahaja bertemu dengan Daud dua hari lalu dan mereka berbual mengenai zaman muda.


"Tak sangka perkara ini berlaku. Saya sangat sedih dan terkejut," katanya.


Ng berkata, kenangan manis yang paling istimewa bersama Allahyarham adalah ketika kedua-dua mereka memenangi pingat emas pada Sukan Asia di Bangkok pada 1970.


"Orangnya suka bergurau dan suka mengusik saya, tapi bila mengajar dia fokus dan serius. Dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak didiknya," kata Ng.


Nor Affancy Rosli, antara pelumba yang pernah dilatih oleh Daud, berkata Allahyarham adalah seorang jurulatih yang baik dan mudah didekati.


"Pemergian Allahyarham memang satu kehilangan besar buat sukan berbasikal negara apatah lagi beliau pergi sebelum kita sempat menunjukkan penghargaan di atas jasa beliau," katanya. -Bernama

Lebih 90,000 orang pelarian di Malaysia


11/11/2010 1:17pm

KUALA LUMPUR 11 Nov — Seramai 90,301 pelarian kini berada di Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNCHR) sehingga September tahun ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk A. Kohilan Pillay berkata, Malaysia bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi UNCHR dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dalam penghantaran pulang orang pelarian ke negara asal atau penempatan semula ke negara-negara ketiga yang mahu menerima mereka.
Beliau berkata setakat ini seramai 49,082 orang pelarian telah dihantar ke negara ketiga dengan UNCHR sebanyak 68 peratus dan IOM sebanyak 32 peratus, katanya menjawab pertanyaan Hamim Samuri (BN-Ledang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Hamim dalam pertanyaannya ingin tahu jumlah pelarian luar negara yang masih berada di negara dan penyelesaian untuk jangka masa pendek dan panjang serta bentuk kerjasama yang diberikan oleh negara-negara seperti Kemboja, Vietnam, Thailand dan sebagainya.
Kohilan berkata isu-isu berkaitan orang pelarian belum pernah dibangkitkan oleh negara-negara sumber seperti Kemboja, Vietnam, Filipina dan Thailand semasa perbincangan dua hala dengan Malaysia. — Bernama

Remaja perempuan, kakak ipar didakwa miliki dadah

 

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun bersama kakak iparnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan memiliki dadah jenis Methaphetamine, Ahad lalu. 

Selain remaja yang sudah tidak bersekolah dan wanita berusia 20 tahun itu, turut didakwa bersama mereka di mahkamah tersebut ialah dua rakan lelaki masing-masing berumur 20 dan 26 tahun. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja itu bersama Nor Haslimawati Harmoniyadi, Mohd Afizan Abd Razak, 26, dan Mohd Amirul Izuan Zainuddin dituduh memiliki dadah jenis Methaphetamine seberat 6.7 gram. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Batu Burok, Jalan Haji Da kira-kira jam 10.45 pagi, Ahad lalu.

Tukang kebun jadi pengarah syarikat



KUANTAN - Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) terkejut apabila mendapat tahu namanya didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai Pengarah di tiga buah syarikat.

Mohd Syawaluddin Hassan, 36, yang berasal dari Kampung Tengah berkata, bukan sekadar namanya didaftarkan sebagai Pengarah, malah dia turut menjadi penjamin kepada salah satu syarikat berkenaan untuk membeli sebuah kereta jenis Mercedes Benz.

“Jika difikirkan secara logik, memang tidak masuk akal seorang OKU mampu untuk menjadi penjamin membeli kereta mewah sedangkan gaji bulanan saya sekadar cukup makan.

“Saya sedar nama saya digunakan untuk menjadi penjamin setelah pihak bank menghantar surat meminta saya untuk menjelaskan hutang yang tertunggak,” katanya yang bekerja sebagai tukang kebun.

Keliru dengan keadaan tersebut, Syawaluddin bertindak membuat laporan polis sebelum merujuk kepada pihak bank berkenaan untuk mendapatkan kepastian.

“Banyak kali saya ke bank, tetapi masalah saya masih tidak diselesaikan. Keadaan tersebut membuatkan saya bertindak untuk membuat aduan kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuantan dengan harapan mereka dapat membantu,” katanya.

Kata Syawaluddin, masalah ini mungkin timbul kerana kecuaiannya menghilangkan kad pengenalan beberapa kali.

“Tidak dinafikan, kad pengenalan saya pernah hilang beberapa kali. Namun, saya sendiri tidak pasti apa yang berlaku ada kena-mengena dengan kehilangan kad pengenalan tersebut atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chon Siang berkata, pihaknya sudah mendapatkan peguam untuk mengendalikan masalah Syawaluddin.

“Buat masa ini, kami akan serahkan kes ini kepada peguam yang dilantik kerana kami sendiri tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menyelesaikannya. Apa yang boleh saya kata, kami akan mengambil tindakan saman kepada pihak terbabit.

“Memandangkan kami tidak mendapat kerjasama dari pihak bank, jadi saya rasa itulah cara terbaik untuk mencari penyelesaian kes ini,” katanya.

Mangsa langgar lari maut di hadapan perhentian bas Taman Perling



JOHOR BAHRU - Seorang warga emas maut setelah terlibat dalam satu kejadian langgar lari di hadapan perhentian bas Taman Perling, iaitu laluan dari arah Plaza Tol Taman Perling menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

Difahamkan, wanita berusia 73 tahun itu sedang berjalan kaki di tepi jalan utama berkenaan sebelum dilanggar kenderaan dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 7.20 petang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, wanita warga emas itu dipercayai dilanggar lari kenderaan yang belum dikenal pasti.

“Kejadian itu baru berlaku. Buat masa ini kita difahamkan sebelum kejadian, wanita itu sedang berjalan kaki.

“Kita tidak menolak kemungkinan kemalangan itu adalah kes langgar lari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, sejurus kejadian berlaku.

Justeru, Ruslan meminta kepada orang awam dan saksi kemalangan terbabit supaya dapat tampil dan memberi keterangan di balai polis ber-hampiran bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini.

Nampak percikan api




MENGLEMBU – Sebuah keluarga tidak sempat meraikan hari jadi yang kedua anak bongsu selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Rumah Pekerja Ladang Menglembu, Yayasan Perak, di sini, petang kelmarin. 

Selain itu, sepasang warga emas dan dua orang pekerja asing mengalami nasib yang sama apabila rumah mereka turut hangus dalam kejadian kebakaran itu. 

Mangsa, V Tamilvaanan, 26, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, beliau sedang berehat di rumah sebelum menyedari percikan api yang tiba-tiba muncul dari rumah bersebelahan. 

Beliau yang dalam keadaan cemas segera masuk ke rumah untuk menyelamatkan isteri dan tiga anaknya yang sedang tidur berusia antara dua hingga lima tahun. 

“Keadaan pada ketika itu sangat kelam kabut sehingga kami tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting mahupun barangan keperluan memandangkan api merebak dengan cepat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Tamilvaanan yang bekerja di ladang kelapa sawit itu berkata, segala dokumen penting seperti MyKad, sijil kelahiran milik anak-anaknya, kad pendaftaran motosikal jenis Honda C-70 dan surat pajak gadai musnah bersama harta benda lain.

“Sepanjang menetap di sini, kebakaran ini adalah kejadian terburuk yang menimpa kami sekeluarga,” katanya yang sudah bermastautin di situ hampir 26 tahun lalu.

Seorang lagi mangsa yang turut berkongsi nasib yang sama, N Ramasee, 54, berkata beliau terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa keluarganya itu.

Katanya, segala barangan keperluan yang baru dibeli sempena perayaan Deepavali Jumaat lalu hangus terbakar dalam sekelip mata.

“Saya dan suami cuba meninjau keadaan sekitar rumah selepas kebakaran dipadamkan namun tiada apa yang dapat diselamatkan kerana semuanya sudah bertukar menjadi abu.

“Buat masa ini, kami terpaksa hidup dalam keadaan sehelai sepinggang dan menunggu bantuan ihsan daripada mereka yang sudi menghulurkan,” katanya yang sudah 26 tahun bekerja di ladang berkenaan.

Difahamkan, anggaran kerugian bagi kedua-dua keluarga itu adalah sebanyak RM34,000.

Sementara itu, Ketua Bahagian MIC Batu Gajah, S Pulikesi berkata, pihaknya sudah memberikan bantuan kilat sebanyak RM2,000 bagi setiap keluarga.

“Bagaimanapun, bagi dua pekerja asing yang turut kehilangan tempat tinggal dalam kejadian itu, pihak ladang akan menguruskannya,” katanya yang ditemui selepas melawat kawasan kebakaran di sini, semalam.

Pulikesi berkata, pihaknya akan membantu menguruskan dokumen pengenalan diri kedua-dua keluarga berkenaan secepat mungkin supaya segala urusan penting dapat diselesaikan segera.

“Keluarga terbabit akan ditempatkan di sebuah penempatan sementara yang diuruskan pihak ladang sementara menunggu pembinaan semula rumah baru yang dijangka akan disiapkan dalam masa terdekat,” katanya.

Pengawal pantai akui sebar video



TOKYO - Seorang pengawal pantai mengaku memboco:rkan rakaman ke dalam YouTube yang memaparkan pertembungan antara kapal pengawal pantai Jepun dan bot nelayan China September lalu, semalam.

Pengakuan itu dilakukan selepas pendakwa raya Jepun menyiasat rekod pengguna laman YouTube bagi memulakan siasatan terhadap penyebaran rakaman itu yang bakal menjejaskan lagi hubungan kedua negara yang sedang bertelingkah.

Ketua Pengawal Pantai, Hisayasu Suzuki berkata, seorang anak kapal peronda yang berpangkalan di Kobe mengaku membocorkan rakaman itu kepada kapten kapal tersebut, semalam.

Kerajaan Jepun mengesahkan ketulenan rakaman itu yang memaparkan pertembungan antara kapal pengawal pantai Jepun dan bot nelayan China yang berlaku di Laut China Timur, pada awal September lalu.

Terdahulu, penahanan pengawal pantai Jepun terhadap kapten bot nelayan China menyebabkan ketegangan berlaku dan hubungan antara dua negara itu merosot berbanding tahun-tahun sebelum ini. 

Hutan Indonesia musnah akibat letusan Merapi



YOGYAKARTA - Letusan terbaru Gunung Merapi di Indonesia menyebabkan lebih 860 hektar hutan di kawasan sekitarnya musnah, mengakibatkan kerugian yang dianggarkan sekurang-kurangnya 33 bilion Rupiah (RM11 juta).

Letusan itu memusnahkan beberapa kawasan hutan termasuk sebahagian daripada Taman Negara Gunung Merapi dan ladang pertanian milik penduduk tempatan Yogyakarta.

Agensi Perhutanan Yogyakarta melaporkan sehingga kini, lebih daripada 270,000 pokok musnah akibat letusan Gunung Merapi.

Menurut agensi tersebut, haiwan di dalam hutan berdekatan gunung itu terpaksa berpindah ke kawasan lain dan tapak sarang burung helang Jawa juga musnah akibat bencana itu.

Sekurang-kurangnya 191 terkorban setakat ini dan 340,000 penduduk lain yang terjejas terpaksa tinggal di dalam kem perlindungan sementara sejak gunung itu meletus, bulan lalu.

Senjata makan diri



PORT DICKSON – Seorang anggota tentera, Muhammad Nur Hafiz Ezidin, 22, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas tiga pertuduhan.

Muhammad Nur Hafiz didakwa atas tuduhan pertama kerana mempunyai senjata bahaya iaitu sebilah pisau jenis ‘swiss tool’.

Dia dituduh di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1985, jika disabitkan kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan disebat.

Sementara itu, pertuduhan kedua pula kerana memiliki senjata api, sepucuk pistol dan satu kelopak kosong.

Kesalahan itu dituduh di bawah Seksyen Seksyen 8 Akta Senjata 1960 membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak lebih dari RM10,000 atau kedua-duanya.

Kena penjara kerana nafkah



GEORGETOWN - Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang memerintahkan seorang peniaga dipenjara lima hari sehingga sebutan semula kesnya 15 November ini setelah gagal mematuhi arahan membayar tunggakan nafkah anak berjumlah RM24,000 sejak 2007.

Hakim Mohammad Zamri Roslan membuat keputusan itu kerana sikap gagal patuh arahan dan tidak serius Norisam Ghazali, 42, dari Bayan Lepas untuk menyelesaikan separuh tunggakan sebanyak RM15,000 kepada bekas isterinya, Mazlina Mohd Merican, 39, serta tiga anak mereka, sebelum 4 November lalu.

Defendan diarah membayar nafkah anak RM400 sebulan dan penambahan RM200 setiap enam bulan bagi menampung kos rawatan jantung anak sulung mereka di Kuala Lumpur bermula Mac 2007.

Dalam sebutan semalam, Hakim Mohammad Zamri memberi peluang kepada defendan untuk membayar RM15,000 dan menyediakan seorang penjamin serta wang jaminan RM1,000 sebelum 4.30 petang.

“Mahkamah mendapati defendan tidak serius dengan arahan yang diberikan dan tindakan tegas akan diambil bagi membuktikan kesungguhan mahkamah dalam kes ini,” katanya.

Norisam hanya mengangguk faham namun gagal menyediakan wang tunggakan nafkah sebelum dibawa ke Penjara Pulau Pinang.

Mazlina dari Sungai Pinang mendapat bantuan Bahagian Sokongan Keluarga Seksyen Pulau Pinang, Jabatan Kehakiman Syariah negeri yang diketuai Penolong Pengarah Kanan, Asrul Nizam Yahya dan dibantu Haslinda Harun.

Sementara itu, Asrul Nizam berkata, kes itu adalah yang pertama di negeri ini dan ia menunjukkan betapa komitednya Bahagian Sokongan Keluarga dalam membantu ibu tunggal mendapatkan hak mereka.

“Tugas kami adalah membantu ibu tunggal teraniaya dengan mencari bekas suami yang gagal membayar nafkah termasuk mempunyai arahan mahkamah,” katanya.

Cuai



KOTA DAMANSARA – Tiga buah van membawa pelajar di Seksyen 6 dekat sini ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi gabungan Unit trafik IPK Selangor dan IPD Petaling Jaya kelmarin.

Van pertama yang ditahan melibatkan seorang lelaki berusia 33 tahun yang setelah diperiksa lesennya sudah tamat tempoh sejak tahun 2007 manakala cukai jalan kenderaannya juga tidak diperbaharui sejak dua bulan yang lalu.

Ketika ditahan lelaki tersebut mengaku tidak sedar lesennya sudah tamat tempoh selain turut memberi alasan terlupa.

Dalam operasi yang sama juga seorang wanita berusia 39 tahun turut dikenakan saman kerana lesennya sudah tamat tempoh dan memberi alasan tidak sempat berbuat demikian kerana kesibukannya.

Ketika diperiksa terdapat tujuh orang penumpang terdiri daripada pelajar sekolah rendah di dalamnya.

Seorang lelaki berusia 40 tahun yang sedang membawa lapan orang pelajar di dalam van turut dikenakan tindakan kerana tidak mempunyai Lesen Pemilik Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Lelaki itu memberitahu lesennya masih di dalam proses namun dia tidak terlepas daripada tindakan.

Ketua Operasi Asisten Superintenden Hambazi Abdul Rahman berkata operasi tersebut dijalankan berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai.

"Kita harap ibu bapa khususnya menyiasat latar belakang van yang membawa pelajar ke sekolah agar keselamatan anak mereka terjamin,”katanya.

Selain itu antara kesalahan utama yang dikesan sepanjang operasi selama tiga jam di kawasan itu termasuklah menunggang dengan tidak memakai topi keledar, tidak mempunyai lesen memandu, serta tidak meletakkan kenderaan di parkir yang dikhaskan.

Sebanyak 384 saman dikeluarkan dalam operasi tersebut.

Dua tukang rumah parah jatuh banglo




TUMPAT - Malang tidak berbau apabila dua tukang rumah yang leka memasang siling rumah terjatuh dari tingkat dua rumah banglo yang masih dalam pembinaan di kampung Kelaboran, dekat sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa Omar Mamat, 67, bersama adik iparnya, Rasid Husin, 49, cedera parah di kepala dan tidak sedarkan diri apabila terjatuh pada ketinggian kira-kira 6 meter apabila kayu yang mereka pijak patah. Akibat kecederaan itu, mereka dihantar ke Hospital Tumpat di sini dan akibat kecederaan parah kepala, retak tulang punggung, patah tangan, Rasid dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HPRZ) II manakala Omar dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. 

Isteri Omar, Maimunah Hussin, 57, dari Kampung Kelaboran berkata, hampir tiga bulan suaminya mengambil upah memasang siling rumah terbabit yang tidak jauh dari Hospital Tumpat. 

Menurutnya, dia dimaklumkan kejadian malang menimpa suaminya apabila dihubungi oleh anak sulungnya, Sepiah, 36 dan terus bergegas ke Hospital Tumpat. 

“Ketika itu saya sedang mengurut ibu bersalin dekat kampung ini, dan tidak menyangka suami saya boleh terjatuh kerana kerja tukang rumah ini sudah berpuluh tahun dilakukannya. 

“Saya terus bergegas ke hospital dan alangkah terkejutnya kerana suami cedera parah di bahagian kepada, retak tulang punggung serta patah dibahagian paha sebelum dihantar ke HRPZ II,” katanya ditemui di pekarangan hospital Tumpat. 

Menurutnya, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika menikmati sarapan pagi bersama dan mereka sempat berbual sebelum suaminya keluar bekerja pada jam 8 pagi. 

Sementara itu, isteri Rasid, Norini Mamat, 44, masih lagi terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya selepas dimaklumkan penduduk kampung pada jam 11.30 pagi. 

“Ini kali kedua suami saya jatuh dari rumah banglo ini selepas sebulan lalu, kejadian lalu menyebabkan suami cedera parah di kedua-dua kepala lututnya dan dia baru kembali bekerja. 

“Setiap kali dia ke tempat kerja, hati saya bimbang dan risau memikirkan kejadian sama akan berulang lagi, dan tidak menyangka, kali ini lebih teruk kerana menyebabkannya mengalami kecederaan yang serius,” katanya.

Remaja perempuan, kakak ipar didakwa miliki dadah

 


KUALA TERENGGANU – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun bersama kakak iparnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan memiliki dadah jenis Methaphetamine, Ahad lalu. 

Selain remaja yang sudah tidak bersekolah dan wanita berusia 20 tahun itu, turut didakwa bersama mereka di mahkamah tersebut ialah dua rakan lelaki masing-masing berumur 20 dan 26 tahun. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja itu bersama Nor Haslimawati Harmoniyadi, Mohd Afizan Abd Razak, 26, dan Mohd Amirul Izuan Zainuddin dituduh memiliki dadah jenis Methaphetamine seberat 6.7 gram. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Batu Burok, Jalan Haji Da kira-kira jam 10.45 pagi, Ahad lalu.

Mutiara terberat dunia dikunci




2010/11/11

DENVER: Sebutir mutiara seberat enam kilogram, dipercayai yang terbesar di dunia, kini dikunci di dalam sebuah peti simpanan bank di Colorado sehingga satu pertikaian perundangan di sini dapat menyelesaikan bagaimana untuk membahagikan hasil jualannya. 

Seorang hakim persekutuan bersetuju untuk membuka kembali kes 29 tahun terhadap apa yang digelar ‘Mutiara Allah’ itu.Namun, minggu lalu peguam seorang daripada pelabur meminta mahkamah kekal dengan perjanjian terdahulu.
Asal mutiara berdiameter 23 sentimeter itu yang menyerupai bentuk otak manusia, dikelilingi lagenda dan mitos. Penyelam yang menemuinya pada 1934 di luar pantai Filipina lemas apabila dia masuk ke dalam kepah besar untuk mengambilnya. 

Seperti yang dilaporkan akhbar Denver Post pada 4 Mei 2007, konflik berhubung pemilikan batu permata itu bermula pada 1975 apabila pemilik bersama Eloise Bonicelli ditembak dan dibunuh seorang penceroboh di rumahnya. – AP 

Bapa mengaku pernah pukul Michael Jackson





2010/11/11

LONDON: Buat pertama kali, bapa kepada mendiang Raja Pop, Michael Jakcson mengakui beliau pernah memukul bintang legenda berkenaan. 

“Saya akan menghukum beliau dengan memukulnya menggunakan tali atau sesuatu apabila beliau melakukan sesuatu kesilapan,” lapor The Sun yang memetik Joe, bapa Michael Jackson ketika ditemubual dalam rancangan The Oprah Winfrey Show”.Joe yang pada awalnya mengelak untuk menceritakan mengenai hubungan beliau dengan Michael menceritakan, “Saya tidak rasa beliau takutkan saya.
“Beliau hanya takut jika melakukan sesuatu kesilapan dan saya akan menghukumnya tetapi bukan memukulnya. Saya tidak pernah memukulnya seperti yang pernah media cuba ceritakan,” katanya. 

Bagaimanapun beliau terpaksa mengaku apabila isterinya, Katherine, mencelah, “Baik kamu mengakui saja. Itu caranya orang kulit hitam membesarkan anak mereka.” 

Sementara itu, Katherine mendedahkan bahawa anak lelakinya itu memang ketagih untuk melakukan pembedahan plastik. 

Melalui temubual yang sama juga, Katherine berkata beliau pernah meminta pakar bedah anak lelakinya itu supaya sekadar berpura-pura melakukan pembedahan ke atas hidung penyanyi terbabit jika diminta melakukan pembedahan lagi, lapor Telegraph. 
Katherine berkata anak lelaki itu mendapati dirinya buruk ketika zaman remaja dan kemudian mengambil keputusan untuk membuat pembedahan hidung. 

“Katanya beliau bercakap sendiri dengan pakar bedah itu kerana mendapati hidung MJ semakin mengecil berikutan pembedahan yang berulang kali dan pernah satu ketika ia kelihatan seperti satu penyungkil gigi. – Agensi 

Cedera dilibas pisau bekas suami




2010/11/11


KUALA TERENGGANU: Seorang janda muda yang berang dengan tindakan bekas suaminya masuk ke dalam rumah ketika ketiadaannya menerima padah apabila cedera di paha akibat terkena libasan pisau suaminya, awal pagi Isnin lalu.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hotel pulang ke rumah di Perumahan Kos Rendah, Jalan Tok Adis, Kuala Ibai, selepas mendapat rawatan di sebuah klinik kerana terjatuh di bilik air. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Samsuddin, berkata ketika mangsa sampai di rumah, dia terkejut apabila mendapati bekas suaminya berusia 25 tahun yang juga seorang penganggur berada dalam rumahnya.

“Mangsa berang apabila suaminya mempersoalkan kenapa dia pulang lewat, lalu bertengkar sebelum suspek meluru ke dapur mengambil sebilah pisau,” katanya.