Search This Blog

Wednesday, November 10, 2010

Sebanyak 29,500 liter diesel haram dirampas

SEREMBAN: Sebanyak 29,500 liter minyak diesel bernilai RM59,000 dalam beberapa lori tangki dan tong minyak dirampas oleh para pegawai penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Kampung Nyatoh, dekat Rantau, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Negeri Sembilan, Mohd Nor Musa berkata, rampasan itu dilakukan pada jam 10 pagi selepas pasukannya memantau premis simpanan minyak itu selama seminggu.

"Premis itu adalah sebuah kawasan pengumpulan minyak diesel milik rakyat tempatan tetapi lesen penjualan bahan itu tamat sejak 2007 lagi. Pemilik premis itu bagaimanapun terus mengumpul dan menjual minyak diesel secara haram sehingga ke hari ini.

"Daripada 29,500 liter minyak yang dirampas, sebanyak 4,500 liter adalah diesel subsidi kerajaan," kata Mohd Nor.

Seorang lelaki berusia 50-an yang dipercayai pemilik premis itu turut ditahan.

-Bernama

Bayi lelaki dijaga pengasuh meninggal dunia


10/11/2010 8:52pm

KUALA LUMPUR - Bayi lelaki berusia tujuh bulan mati dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini setelah didapati tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Taman Melati di sini.
Bayi itu Yusuf Razzin Mohd. Yusri dibawa ke hospital oleh ibu bapanya setelah dimaklumkan mengenai keadaannya oleh pengasuhnya.
Ketika tiba di wad kecemasan HKL, difahamkan kanak-kanak itu sudah tidak bernafas dan badannya menjadi kebiruan.
Kematian bayi itu menimbulkan keraguan dan sehubungan itu satu laporan polis dibuat oleh pihak HKL kira-kira 3 petang tadi di pondok polis hospital tersebut.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada kematian itu mempunyai kaitan dengan unsur jenayah. - Bernama

Kereta putus dua


SEKINCHAN - Pertembungan tiga kenderaan dengan salah sebuah daripadanya putus dua di kilometer 72 Jalan Teluk Intan-Klang Parit 4 di sini, semalam menyebabkan dua beranak terbunuh manakala tiga lagi cedera. 

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Sayed Mutalib Sayed Sultan, 28, mati di tempat kejadian sementara ibunya, Shamsiah Ibrahim, 66, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. 

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, kereta jenis Mitsubishi Lancer yang dinaiki dua beranak itu terputus dua setelah bertembung dengan sebuah pacuan empat roda sebelum dirempuh dan diseret sebuah lori pasir lapan tan yang datang dari arah bertentangan. 

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan dari arah Tanjung Karang ke Sungai Besar maut akibat cedera parah di bahagian kepala sementara ibu mangsa yang terperangkap di bahagian tempat duduk hadapan dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Tanjung Karang bersama tiga yang lain. 

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta, lori dan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga beranak. 

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan dan memasuki lorong yang digunakan kenderaan pacuan empat roda dan lori berkenaan menyebabkan pertembungan berlaku, kereta berkenaan diseret lori sejauh hampir 17 meter dari tempat perlanggaran,” katanya kepada Sinar Harian. 

Jenazah Sayed Mutalib yang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak sementara Shamsiah yang dihantar ke Hospital Tanjung Karang telah dituntut keluarga, semalam. 

Mengikut dokumen pengenalan diri, kedua-duanya berasal dari Selekoh, Perak. 

Tiga beranak yang menaiki pacuan empat roda dikenali Mohd Mukti Selamat, 57, Norbaiti Nadirah, 20, dan Norsuhaili, 18, dirawat sebagai pesakit luar. Pemandu lori berusia lingkungan 50-an tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Sementara itu, seramai 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan dan Tanjong Karang dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan 12.01 tengah hari.

Korban Gunung Merapi meningkat



MERAPI - Angka kematian akibat letusan Gunung Merapi di Indonesia, terus meningkat ke 153 orang dalam tempoh dua minggu ini.

Penduduk di sekitar kawasan gunung Merapi mula meninggalkan kawasan tempat tinggal mereka kerana khuatir ia akan meletus lagi.

Walaupun tiada sebarang letusan besar berlaku sejak Jumaat lalu, tetapi ia tetap memuntahkan abu panas dan kerikil.

Sebuah hospital yang terletak di tapak gunung berapi tersebut melaporkan lebih daripada 12 mayat dibawa ke bilik mayat, termasuk tujuh yang berjaya dikeluarkan dari sebuah kampung yang musnah serta yang masih menerima rawatan terbakar, meninggal dunia, semalam.

Sekurang-kurangnya 1,400 orang maut akibat Gunung Merapi meletus sejak seabad lalu

Ibu sarat mengandung maut

KOTA TINGGI - “Saya buat rumah untuk isteri, tapi tak sangka dia akan pergi dulu,” demikian kata Borhanodin Rasuai, 43, suami kepada Jumirah Soogiman, 36, yang terbunuh dalam kemala ngan, tengah hari semalam.

Borhanodin berkata, sebelum ini dia dan isteri berniaga di merata tempat termasuk kali terakhir di Kuala Lumpur sebelum mengambil keputusan untuk pulang semula ke kampung.

Menurutnya, sebaik saja pulang ke kampung dia tidak lagi bekerja dan masih menanti panggilan kerja-kerja di kampung, sambil isteri mahu menjalankan perniagaan barangan basah dengan menggunakan van.

“Saya sudah menasihatinya agar tidak lagi berniaga memandangkan dia sarat mengandung, tetapi dia masih bertegas mahu berniaga hingga mengundang kejadian menyayat hati ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Borhanodin berkata, hanya sebulan saja lagi isterinya itu bakal melahirkan anak keenam dan segala barangan keperluan kelengkapan sudah dibeli lebih awal.

“Sedih apabila barang kelengkapan sudah dibeli, namun isteri dan bakal anak tiada, tetapi saya reda dengan ketentuan ini,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, isterinya itu, baru mengambil anak keempatnya, Mohamad Razaq, berusia enam tahun di sebuah Taman Bimbingan Kanak (Tabika) di Mawai Baru, Kota Tinggi selepas pulang berniaga.

“Anak saya patah di bahagian kaki dan masih menerima rawatan kecemasan di Hospital Kota Tinggi,” katanya.

Borhanodin turut menyifatkan isterinya itu sebagai seorang yang penyayang, baik hati, dan sentiasa menghormatinya sebagai suami.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Nurul Atieka, 18, berkata, sepanjang waktu persekolahan semalam dia gelisah seperti ada sesuatu yang tidak kena hingga diberitahu bahawa ibunya itu maut dalam kemalangan.

Nurul yang juga pelajar tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laksamana baru menjalani peperiksaan akhir tahun semalam.

“Tidak sangka rasa tidak sedap hati adalah petanda bahawa emak kesayangan sudah tiada lagi dan ia adalah sesuatu yang sukar untuk kami terima,” katanya.

Sembunyi dadah dalam dua beg



AMPANG – Sepasang suami isteri serta dua rakan wanita mereka yang sedang leka berborak, terkejut ketika diserbu polis di sebuah premis dua tingkat di Taman Nirwana, di sini, malam kelmarin. 

Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 malam itu, polis turut menemui lima kanak-kanak dipercayai anak pasangan berkenaan, masing-masing dua lelaki dan tiga perempuan berumur antara empat dan 12 tahun. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin berkata, pemeriksaan lanjut di tingkat bawah rumah itu menemui pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM150,000 yang disembunyikan di dalam dua beg berasingan. 

“Kami menemui empat paket heroin yang disimpan di dalam sebuah beg berwarna hitam yang mengandungi logo sebuah premis kedai emas. 

“Di dalam beg berasingan, kami jumpa empat paket dadah jenis syabu seberat 57 gram, 100 biji pil ‘WY’ dan 63 pil erimin 5. Polis kemudiannya merampas dua paket syabu yang disimpan di tingkat atas kediaman itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,000, tiga telefon bimbit, serangkai anak kunci, ‘sealer’ (1) dan dua alat penimbang dipercayai digunakan untuk kerja pembungkusan dadah. 

Amiruddin berkata, ujian saringan awal air kencing dijalankan ke atas suspek lelaki berumur 37 tahun dan dua suspek wanita serta mendapati mereka positif dadah. 

“Berdasarkan semakan, suspek lelaki disahkan memiliki tiga rekod lampau membabitkan kes dadah dan curi. 

”Dia juga didapati aktif melakukan kegiatan haram itu sejak tujuh tahun lalu,” katanya. 

Amiruddin berkata, suspek lelaki dan tiga suspek wanita berumur antara 27 dan 40 tahun itu, direman seminggu sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Katanya, siasatan menjurus pelbagai aspek dijalankan termasuk punca bekalan diperoleh serta pasaran jualan dadah terbabit.

Lelaki Myanmar maut dalam keadaan ngeri



SHAH ALAM – Mayat seorang lelaki warga Myanmar dalam keadaan ngeri dengan leher hampir putus dan beberapa kesan tikaman di badan ditemui di sebuah rumah di tingkat 16, Pangsapuri Rimba Jaya 2, Taman Rimba Jaya, di sini, pagi semalam. 

Mayat Nay Ayng, dalam lingkungan 30an, berseluar tanpa baju ditemui terlentang oleh seorang lelaki senegaranya yang juga jiran yang pelik melihat pintu rumah sewa mangsa terbuka luas sebelum menghubungi ejen pekerja mereka yang kemudian datang dan menghubungi polis.: 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, mangsa ditemui dengan leher dikelar dengan senjata tajam dipercayai pisau dan lebih sembilan kesan tikaman menggunakan pemutar skru dalam bilik kedua rumah yang disewa bersama beberapa rakan senegaranya. 

“Maklumat awal mendapati mangsa tidak keluar bekerja awal pagi tadi (semalam) kerana dikatakan sakit dan percaya kejadian berlaku selepas semua rakan serumah mangsa keluar bekerja di sebuah kilang di Klang. 

“Siasatan di tempat kejadian mendapati ada kesan pergelutan dan keadaan rumah berselerak seolah-olah digeledah, bagaimanapun pengenalan diri mangsa yang masuk ke negara ini sejak setahun lalu ditemui dalam rumah itu,” katanya, semalam. 

Noor Azam berkata, siasatan dalam rumah tidak menemui sebarang senjata yang digunakan dan motif kejadian masih dalam siasatan. 

"Sehubungan itu, lapan lelaki yang juga rakan serumah mangsa ditahan bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Maut berpelukan




MASJID TANAH - Dua sahabat maut dalam keadaan berpelukan selepas motosikal yang ditungganginya terperosok di sebelah tiang elektrik dalam kemalangan di jalan Masjid Tanah-Alor Gajah, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, mangsa, Ahmad Faez Mohd Shah, 16, dan Suqri Amin Sabaruddin, 15, menaiki motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah pekan Masjid Tanah menuju ke arah pekan Alor Gajah. 

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dol Said itu dikatakan cuba mengelak satu lubang berpetak di permukaan jalan raya berhampiran sebuah masjid di kawasan berkenaan. 

Setibanya di selekoh tajam berdekatan dengan sebuah masjid, motosikal dinaiki mereka terbabas ketika mengelak sebuah lubang berpetak di hadapannya, sebelum merempuh sebatang tiang elektrik di bahu jalan. 

Akibat rempuhan kuat, kedua-dua mangsa tercampak ke tengah jalan raya. 

Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan. 

Difahamkan, Ahmad Faez adalah anak kedua daripada enam beradik yang juga pelajar Tingkatan Empat SMK Dol Said, sementara Suqri Amin pula masih menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sekolah sama. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Suprintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian tetapi tidak menolak kemungkinan motosikal mangsa laju sehingga hilang kawalan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Orang ramai atau saksi keja dian yang mempunyai maklumat, diminta menghubungi balai berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya, semalam.

Sementara itu, bapa Ahmad Faez, Mohd Shah Mohd Sidek, 50-an, yang juga guru di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Mohd Zain, di sini, tidak menyangka kejadian itu menimpa anaknya.

Mohd Shah bagaimanapun enggan ditemu ramah kerana masih bersedih dengan kejadian itu.

Telaga 'puaka' kini dipagar ditutup kayu, zink



BESUT - Bimbang keselamatan 10 kanak-kanak dan remaja perempuan dari tiga buah keluarga yang bagai dirasuk, berlari untuk terjun ke dalam telaga, penduduk bertindak menutup telaga itu dengan zink dan memagarinya. 

Menurut bapa mangsa, Zulkifli Ibrahim, 42, telaga yang tidak digunakan sejak dua tahun lalu itu didakwa dihuni seorang 'puteri' yang menyeru mangsa untuk terjun ke dalamnya seperti yang disiarkan Sinar Harian 4 November lalu. 

Kini hanya anaknya, Siti Nor Atiqah, 14 sahaja yang meracau dan berlari ke telaga itu pada jam 6 hingga 6.30 petang manakala mangsa yang lain sebelum ini mengalami sakit badan dan meracau termasuk anak sulungnya Nor Fatihah, 18. 

"Sebelum ini, Siti Nor Atiqah pernah terlepas daripada jagaan dan cuba mencabut paku pada penutup telaga ini untuk terjun," katanya

Khir Toyo dimasukkan ke hospital disyaki demam denggi


10/11/2010 6:59pm

SHAH ALAM 10 Nov. - Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dimasukkan ke Pusat Perubatan Selangor (SMC) di sini pagi tadi kerana disyaki menghidap demam denggi.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu dimasukkan ke hospital tersebut kira-kira pukul 10 pagi selepas mengadu demam, sakit kepala dan badan menggeletar.
Isteri beliau, Datin Seri Zaharah Kechik ketika dihubungi berkata, beliau yang bimbang dengan keadaan kesihatan suaminya itu terus membawanya ke SMC untuk pemeriksaan lanjut.
"Apabila tiba di hospital, doktor yang melakukan pelbagai pemeriksaan termasuk mengambil sampel darahnya mengesyaki Datuk Seri mungkin mengalami demam denggi.
"Dr. Khir kemudian diminta untuk menjalani rawatan lanjut bagi memastikan keadaannya baik dan beliau kini berehat di wad,” kata beliau. - Bernama

Wanita di penjara sehari, denda RM14,000 kerana menyogok pegawai polis

SHAH ALAM: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memberi RM17,500 kepada seorang pegawai polis sebagai dorongan untuk melepaskan rakannya, seorang rakyat Columbia yang ditahan kerana kesalahan pecah rumah.
Tertuduh, Anne Charmaine Skelchy, 41, boleh dipenjara selama sebulan, jika gagal membayar denda itu.

Skelchy yang berasal dari Taman Abadi Indah, Kuala Lumpur, didakwa memberi wang sogokan kepada Cif Inspektor Zahirudin Baharum sebagai dorongan untuk melepaskan Nelson Dario Hurtado daripada tindakan siasatan yang dijalankan terhadapnya bagi kesalahan pecah rumah di pejabat Ketua Balai Polis Hulu Klang di Ampang, 5.50 petang pada 27 Jun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda.

Di mahkamah sama, Hurtado, 24, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan penjara RM90,000 selepas mengaku bersalah bersubahat dengan Skelchy untuk memberi wang itu kepada pegawai yang sama, pada masa, tarikh dan tempat sama.

Jika gagal membayar denda, lelaki itu boleh dipenjara selama tiga bulan.

Hurtado didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Fazillah Mohd Osman, sementara pembelaan diwakili peguam Varghese Onny.-Bernama

Gempa bumi sederhana landa Luzon, Kepulauan Filipina

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.4 pada skala Richter melanda Luzon, Kepulauan Filipina pada 6.30 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata pusat gempa itu terletak di 110 kilometer (km) Barat Laut Manila dan kira-kira 942 km Timur Laut Kudat, Sabah.

"Gempa bumi itu bagaimanapun tidak membawa ancaman tsunami," menurut kenyataan itu.- Bernama

Suspek tetak warga emas ditahan polis

TUMPAT: Seorang lelaki yang dipercayai suspek yang terbabit menetak seorang warga emas sehingga parah di Kampung Bahagia, Cabang Empat dekat sini kelmarin berjaya ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap berkata, suspek itu ditahan di Kampung Sungai Jelawang, Kuala Krai kira-kira jam 12.30 awal pagi tadi.

"Suspek berumur 22 tahun yang sebelum ini cuba melarikan diri berjaya ditahan polis malam tadi dan dia akan ditahan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, polis akan menyiasat motif kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca ekoran dendam lama.

Selain itu Khalid berkata, isteri suspek yang ditahan untuk diambil keterangan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis.

Dua hari lalu, seorang warga emas, Mohamad Salleh, 52, cedera parah dipercayai ditetak selepas menegur tindakan suspek yang menggunakan renjatan elektrik untuk menangkap ikan.

Beliau berkata, Mohamad ditetak sebanyak 15 kali di beberapa bahagian badan dan kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.-Bernama

Sindiket curi lori, penyeludupan tumpas


10/11/2010 1:00pm

JOHOR BAHRU — Polis menumpaskan sindiket curi lori dan penyeludupan rokok serta minuman keras selepas menahan sembilan lelaki di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Saleng, Senai, dekat sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata kesemua lelaki berkenaan ditahan kira-kira pukul 3 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan berdasarkan hasil maklumat orang ramai dan risikan selama enam bulan.
"Polis menemui lima lori pelbagai jenis dalam gudang itu dan semakan mendapati tiga daripadanya dicuri di daerah ini manakala dua lagi di Pandan Indah, Selangor dan Kuantan, Pahang,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.
Beliau berkata polis turut menemui 210 kotak rokok jenama D&J Premium American Blend dan 148 kotak minuman keras pelbagai jenama di dalam gudang itu.
Kesemua lori dan barangan seludup itu dianggar bernilai RM2.2 juta.
"Polis percaya sindiket itu terlibat dalam 37 kes curi lori dan seludup sebelum ini. Semakan mendapati seorang daripada lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod memiliki dadah di Alor Setar, Kedah lima tahun lepas dan masih dikehendaki bersabit kesalahan memiliki VCD lucah di Kota Damansara, Kuala Lumpur, empat tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata kesemua lelaki berumur 17 hingga 40 tahun itu kini direman untuk siasatan lanjut. — Bernama

Dadah: 382 rakyat asing ditangkap setakat September


10/11/2010 1:43pm

KUALA LUMPUR — Seramai 382 rakyat asing yang terlibat dengan kes pengedaran dadah di Malaysia ditangkap dalam tempoh Januari hingga September tahun ini dengan 222 lagi masih dalam siasatan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata penangkapan paling ramai membabitkan rakyat Myanmar iaitu 120 orang diikuti Iran (97 orang), Thailand (39), Indonesia (33) dan Nigeria (23).
Beliau berkata, pada tahun lepas, seramai 225 rakyat asing ditahan dengan 137 lagi masih dalam siasatan manakala pada 2008, seramai 227 ditahan dan 214 lagi disiasat, katanya menjawab pertanyaan Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Loke dalam pertanyaannya ingin tahu jumlah kes tangkapan mengenai kesalahan pengedaran dadah melibatkan rakyat asing mengikut negara asal masing-masing pada 2008, 2009 dan 2010 serta jumlah kes yang telah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman pada tahun-tahun berkenaan.
Abu Seman berkata, kerajaan memandang serius kegiatan pengedaran dadah termasuk yang melibatkan rakyat asing dengan pelbagai langkah diambil Polis Diraja Malaysia bagi membanteras kes berkenaan. — Bernama

Mayat hangus terbakar ditemui di Pedas


10/11/2010 1:44pm

REMBAU — Polis menemui satu mayat yang hangus terbakar, dipercayai seorang lelaki mangsa bunuh di kawasan belukar Kampung Sungai Ibor, Pedas dekat sini, hari ini.
Mayat yang belum dikenalpasti identitinya itu ditemui oleh orang awam pada pukul 7.40 pagi.
"Mayat itu 95 peratus hangus dan kami percaya ia adalah mayat seorang lelaki,” kata Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Mizan Md Dom.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian, polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibakar di kawasan itu.
Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 3 hingga 5 pagi ini,” katanya kepada Bernama di sini.
Mayat itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja”afar Seremban.
Mizan meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan atau yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di talian 06-6852222 atau balai polis berhampiran. — Bernama

Hakim luang masa sejam lihat kereta dipandu Aminulrasyid


10/11/2010 2:41pm

SHAH ALAM - Hakim Mahkamah Sesyen di sini Latifah Mohd. Tahar hari ini meluangkan masa kira-kira sejam melihat sendiri kesan tembakan dan kerosakan pada kereta Proton Iswara berwarna putih yang dipandu Aminulrasyid Amzah pada malam dia mati ditembak, April lepas.
Ketua unit Senjatapi dan Kesan Alat dari Seksyen Kriminalistik, bahagian forensik, Jabatan Kimia, Shaari Desa menyambung keterangannya dengan menunjukkan semua kesan tembakan, kerosakan pelanggaran dan kesan kerosakan lain yang terdapat pada kereta bernombor pendaftaran BET 5023 itu kepada hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan.
Kereta itu sebelum ini berada dalam stor barang kes pihak polis dan ditunda ke tempat letak kereta mahkamah bagi membolehkan mereka melihat sendiri kesan-kesan tersebut seperti yang diterangkan Shaari dalam prosiding semalam.
Saksi ke-24 pendakwaan itu turut menunjukkan kepada Latifah, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Dusuki Mokhtar dan Idham Abd Ghani serta peguam M. Athimulan dan Salim Bashir ukuran lubang peluru yang menembusi cermin belakang dan tempat letak kepala kerusi pemandu menggunakan alat pengukur.
Prosiding mahkamah kemudian ditangguhkan pada pukul 11 pagi sebelum bersambung semula setengah jam kemudian. - Bernama

Dua remaja terbunuh kemalangan di Kurong Tengar


10/11/2010 4:01pm

KANGAR - Sepasang remaja terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Kurong Tengar, Kuala Perlis dekat sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt. Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, pemandu kenderaan itu, Nursyahirah Mat Akhir, 20, dan rakannya Zulkhairi Che Basri, 21, terbunuh di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.
Kejadian berlaku pukul 1.20 pagi ketika kedua-dua remaja dari Kedah itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Perlis menghala Alor Setar. - Bernama

Lima anggota ‘Geng Big Bear’ aktif menyamun diberkas


10/11/2010 7:55pm

KUALA LUMPUR - Lima anggota ‘Geng Big Bear’ yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam dan kafe internet di sekitar Wangsa Maju dan Gombak diberkas polis ketika cuba menyamun sebuah kafe internet di Taman Seri Rampai awal pagi ini.
Polis berjaya menggagalkan cubaan menyamun yang berlaku kira-kira 6.15 pagi itu setelah unit rondaan kenderaan terserempak dengan lima lelaki tersebut, berumur antara 17 hingga 20 tahun, berkeliaran dengan motosikal berhampiran premis berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama hari ini berkata, polis turut menemui dua bilah parang dan dua belantan besi pada motosikal yang dipercayai dijadikan senjata untuk kegiatan menyamun mereka, ketika pemeriksaan dijalankan.
Kesemua lelaki tersebut termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai “Big Bear” kerana berbadan gempal kini ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya, katanya. - Bernama

Remaja 15 tahun antara empat dituduh miliki pil kuda


10/11/2010 4:43pm

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan tiga lagi rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan miliki 6.7 gram methamphetamine dan memasukkan dadah ke dalam badan.
Bagi pertuduhan pertama, remaja itu bersama tiga lagi rakannya Mohd. Afizan Abdul Razak, 26; Mohd. Amirul Izwan, 20, dan Nor Haslinawati Harmoniyadi, 20, dituduh secara bersama memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 6.7 gram.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu pada Ahad lepas kira-kira pukul 10.45 pagi di sebuah rumah di Kampung Batu Buruk, Jalan Hj Da di sini.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof, manakala pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Insp. Mohd. Zainuddin Abdul Ghani.
Selain itu, mereka, yang diwakili peguam dituduh secara berasingan telah memasukkan dadah ke dalam badan pada hari yang sama pukul 11.30 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu. - Bernama

Bom mortar ditemui di tempat pelupusan sampah


10/11/2010 4:44pm

TUMPAT - Seorang pekerja mengutip barang-barang terbuang di kawasan pelupusan sampah Majlis Daerah Tumpat (MDT) di sini, menemui empat biji bom mortar dipercayai milik angkatan tentera di dalam sebuah guni plastik yang dibuang di kawasan itu hari ini.
Ketua Daerah Polis Tumpat, Supt. Khalid Munap berkata, bom mortar itu sepanjang 0.3 meter ditemui oleh Mohd. Firdaus Sabri, 19, kira-kira pukul 10 pagi dari guni yang baru dibuang oleh sebuah lori sampah ke kawasan itu.
"Sebaik guni itu tercampak keluar dari lori, lelaki itu terus mendekati dan bila membuka sebuah guni, terkeluar empat biji bom yang masih aktif,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.
Beliau berkata, bom dipercayai milik tentera itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Polis Tumpat oleh unit bom polis Kelantan sebelum diletupkan kira-kira pukul 1.45 petang di kawasan pelupusan sampah itu. - Bernama

Penjara 18 tahun, sebat untuk bekas guru swasta perkosa pelajar


10/11/2010 6:58pm

KOTA KINABALU - Seorang bekas guru sekolah rendah swasta dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan dua sebatan bagi setiap satu dari dua kesalahan memperkosa seorang pelajar perempuan Singapura berusia 11 tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen Duncan Sikodol memerintahkan hukuman penjara itu ke atas Adrian Simon berjalan serentak.
Adrian, 31, memperkosa pelajar tersebut, ketika itu muridnya, di bilik stor makmal sains SRS Datuk Simon Fung di Likas antara Februari dan Mac, 2010; antara 2.10 petang dan 3.30 petang.
Dia melakukan kesalahan yang sama di tempat yang sama pada 26 Mac 2010 pada pukul 10.25 pagi.
Kedua-dua tuduhan dibuat di bawah Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan. - Bernam

Wanita dipenjara, denda RM14,000 kerana sogok polis


10/11/2010 7:23pm

SHAH ALAM - Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memberi RM17,500 kepada seorang pegawai polis sebagai dorongan untuk melepaskan rakannya, seorang rakyat Columbia yang ditahan kerana kesalahan pecah rumah.
Tertuduh, Anne Charmaine Skelchy, 41, boleh dipenjara selama sebulan, jika gagal membayar denda itu.
Skelchy yang berasal dari Taman Abadi Indah, Kuala Lumpur, didakwa memberi wang sogokan kepada Cif Inspektor Zahirudin Baharum sebagai dorongan untuk melepaskan Nelson Dario Hurtado daripada tindakan siasatan yang dijalankan terhadapnya bagi kesalahan pecah rumah di pejabat Ketua Balai Polis Hulu Klang di Ampang, pukul 5.50 petang pada 27 Jun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda.
Di mahkamah sama, Hurtado, 24, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan penjara RM90,000 selepas mengaku bersalah bersubahat dengan Skelchy untuk memberi wang itu kepada pegawai yang sama, pada masa, tarikh dan tempat sama. - Bernama

Filipina keluar amaran gunung berapi Bulusan bakal meletus




2010/11/10

MANILA: Pihak berkuasa Filipina awal pagi ini mengeluarkan amaran kepada penerbangan awam dan penduduk mengenai kemungkinan gunung berapi aktif, Bulusan meletuskan lebih banyak abu dan lahar. 

Bunyi letusan dan dua letupan debu dikeluarkan gunung berapi setinggi 1,565-meter (5,135 kaki) itu semalam, menyebabkan perkampungan penduduk dilitupi debu putih, menurut kenyataan Institut Gempa Bumi dan Seismologi Filipina hari ini.“Pihak berkuasa penerbangan awam mesti menasihatkan juruterbang agar jangan terlalu dekat dengan puncal Bulusan kerana ia mengeluarkan letusan debu dan lahar yang membahayakan pesawat," katanya.
Gunung Berapi Bulusan terletak di Kepulauan Luzon, iaitu 250 kilometer di barat daya ibu negara Manila. 

Ia adalah salah satu daripada 23 gunung berapi aktif fi Filipina. 

Setakat ini kerajaan belum mengeluarkan arahan untuk membawa keluar lebih 75,000 penduduk yang tinggal berdekatan gunung berapi itu iaitu di Bandar Irosin dan Juban yang berisiko tinggi. 

Mengikut sejarah, Bulusan sudah meletus 16 kali dan kali terakhir pada 2006 lalu. 
Kwahnya mula menggelegak pads 6 November lalu. - AFP 

PENTAGON gagal perjelaskan pelancaran peluru berpandu di California





2010/11/10

WASHINGTON: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), berkata pihaknya sedang mengenal pasti sama ada satu peluru berpandu dilepaskan daripada pesisir pantai selatan California dan pihak yang melancarkannya. 

Jurucakap Jabatan Pertahanan Tentera Laut dan Udara serta Pusat Kawalan Pertahanan Angkasa Lepas Amerika Utara, berkata mereka sedang meneliti video yang diletakkan dalam laman web stesen televisyen Selatan California, KFMB.Video itu menunjukkan satu roket atau objek lain lain dilepaskan ke udara dan pergerakan yang besar di atas lautan Pasifik.
Sementara itu, jurucakap Pentagon, Kolonel Dave Lapan, berkata hari ini pihak berkuasa negara itu belum dapat mengesahkan sama ada berlaku pelancaran dan sekiranya ada, siapa yang melancarkannya. 

Beliau berkata, pihak berkuasa negara itu sudah berhubung dengan Tentera Udara, Tentera Laut dan NORAD, termasuk pihak berkuasa awam, yang mengawal dan memantau ruang udara. - AFP