Search This Blog

Tuesday, November 9, 2010

Tren KTMB Tergelincir Berhampiran Stesen Bukit Timah Singapura

Khidmat tren antara bandar ke selatan terganggu: KTMB

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Antara Bandar ke selatan terganggu berikutan kegelinciran tren KTM Antara Bandar di Kilometer 773.0 di Stesen Bukit Timah, Singapura, pada 8.17 pagi tadi. 

Tren yang terbabit adalah tren Ekspress Rakyat dari Singapura ke Butterworth, Pulau Pinang yang bertolak pada 8 pagi yang membawa 60 orang penumpang dari Singapura.

"Penumpang yang terbabit telah dibawa semula ke Stesen Tanjung Pagar di Singapura dan tambang sepenuhnya dipulangkan. Tiada sebarang kemalangan atau kecederaan dilaporkan," menurut KTMB dalam kenyataan di sini hari ini.

Perkhidmatan tren lain yang terjejas ialah Ekspres Rakyat dari Butterworth ke Singapura di mana perkhidmatannya akan ditamatkan di Stesen JB Sentral.

Perkhidmatan Ekspres Rakyat dari Singapura ke Butterworth pula akan dibatalkan dan tren itu hanya akan bermula dari Stesen KL Sentral ke Butterworth.

Selain itu, perkhidmatan tren Ekspres Senandung Sutera dari Kuala Lumpur ke Singapura akan ditamatkan di Stesen JB sentral dan ia dijangka lewat.
Bagi perkhidmatan Ekspres Senandung Sutera dan Ekspres Sinaran Selatan dari Singapura ke Kuala Lumpur, tren dari Singapura akan dibatalkan dan akan bermula dari JB sentral.

Bagi perkhidmatan Ekspres Sinaran Selatan dari Kuala Lumpur ke Singapura, tren hanya akan ditamatkan di Stesen JB Sentral manakala perkhidmatan Ekspres Senandung Timuran dari Singapura ke Tumpat, Kelantan dibatalkan dan tren itu akan bermula dari JB Sentral.

Bagi Ekspres Sinaran Timuran pula dari arah Tumpat ke Singapura, tren akan ditamatkan di Stesen JB Sentral sementara bagi Tren Shuttle dari Kuala Lipis, Pahang ke Singapura dan balik ke Kuala Lipis dengan perkhidmatannya bermula dan tamat di Stesen JB Sentral.

Perkhidmatan Tren Shuttle Singapura ke Gemas, Negeri Sembilan dan Singapura, akan dibatalkan.

"Penumpang boleh meminta pemulangan tambang penuh untuk perkhidmtan yang dibatalkan atau pun menukar semula tarikh perjalanan. Kerja-kerja mengalihkan gerabak dan membaik pulih landasan sedang dijalankan dan landasan dijangka pulih pagi esok," menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan KTMB boleh dihubungi di talian Pusat Khidmat Pelanggan KTMB 1-300-88-5862. - BERNAMA

Firma kutip hutang guna hakim palsu




2010/11/09

Taktik paksa pelanggan bayar segera pinjaman 

PENNSYLVANIA: Sebuah syarikat kutipan hutang dihadapkan ke mahkamah selepas didapati mewujudkan mahkamah dan hakim palsu serta diarahkan menghentikan perbuatan itu serta-merta, lapor akhbar di sini.Syarikat Unicredit America di Erie, Pennsylvania, menggunakan sepina palsu dan kakitangan berpakaian seperti hakim, termasuk seorang timbalan sherif untuk memaksa orang ramai melunaskan hutang dengan segera.
Hakim Mahkamah Rayuan Awam, Michael E Dunleavy terkejut dengan dakwaan bahawa ada orang berpakaian serba hitam yang menyamar seperti hakim, menyebabkan beliau bertanya peguam bela syarikat itu. 

“Orang itu berlagak seperti hakim?” tanya Dunleavy. Keterangan bahawa syarikat berkenaan menghantar surat ugutan mirip sepina mahkamah juga menaikkan kemarahan Dunleavy. 

Dunleavy memberitahu peguam Unicredit, Lawrence D’Ambrosio, yang menulis surat itu: “Biar saya nyatakan satu perkara kepada anda sebagai seorang peguam. Adalah lebih baik anda tidak lagi hantar surat seperti ini lagi. Saya arahkan anda tidak lagi melakukannya.” 

Hakim berkenaan, bagaimanapun, tidak membekukan aset Unicredit, seperti diminta pejabat Peguam Kerajaan Negeri. Perbicaraan seterusnya akan menyentuh soal denda dan pembayaran balik kepada mangsa, lapor Erie Times-News. 
Kerajaan berkenaan juga memfailkan kes terhadap Unicredit dan mendakwa ia melakukan amalan perniagaan tidak adil. Kes berkenaan akan membela beratus-ratus pelanggan yang tertipu dengan taktik itu. 

Mahkamah olok-olok itu dihiasi perabot sama digunakan di pejabat mahkamah sebenar termasuk kerusi hakim, meja peguam dan defendan, petak saksi, ruangan pemerhati dan buku undang-undang. 

Saksi menyatakan dalam perbicaraan tertentu, seorang individu berpakaian hitam duduk di tempat yang disediakan untuk hakim, lapor Erie Times-News. 

Peguam Negara Pennsylvania, Tom Corbett mendakwa perbicaraan itu digunakan untuk mengugut pelanggan supaya memberi butiran akaun bank, membuat pembayaran serta merta atau menyerahkan hak milik kenderaan atau aset lain. 

Kakitangan syarikat didakwa sering dihantar ke rumah pelanggan bagi mendapatkan dokumen selepas ‘perbicaraan’. – Agensi 

Dicekup 15 minit lepas samun

GOMBAK: Tiga lelaki ditahan dalam tempoh 15 minit sejurus selepas menyamun sebuah kedai runcit, di Selayang Baru, di sini pagi kelmarin.
Ketiga-tiga suspek berusia 18 hingga 26 tahun terbabit menyamun kedai berkenaan selepas berpura-pura menyamar sebagai pelanggan.
RAMPAS...antara barangan yang dirampas daripada perompak, semalam.
RAMPAS...antara barangan yang dirampas daripada perompak, semalam.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, seorang daripada suspek masuk ke kedai itu sebelum berpura-pura bertanya sama ada kedai berkenaan menjual minuman keras.

“Bagaimanapun, pemilik kedai memberitahu premisnya tidak menjual minuman keras menyebabkan suspek naik angin dan memarahi mangsa.

“Suspek yang tidak berpuas hati keluar dari kedai berkenaan sebelum datang semula beberapa minit kemudian membawa sebilah parang. Suspek sekali lagi bertanya soalan sama kepada mangsa,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan mangsa masih terpinga-pinga, dua lagi rakan suspek menyerbu masuk sebelum mengacukan parang ke arah mangsa.

“Suspek menyelongkar barangan di dalam premis itu sebelum mengambil rokok, wang jualan dan beberapa barang lain. Kumpulan penjenayah itu kemudian melarikan diri.

“Mangsa yang tidak dicederakan segera menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu sebelum polis menjalankan gerakan memburu suspek,” katanya.
Menurutnya, hasil tindakan pantas polis, ketiga-tiga suspek diberkas kurang 15 minit kemudian di kawasan berhampiran kedai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan penahanan ketiga-tiga lelaki terbabit. “Semua suspek ditahan jam 11.45 pagi pada hari sama kejadian. Hasil pemeriksaan menemui sebilah parang, dua cota warna hitam, enam pucuk pistol mainan plastik, sebilah pisau lipat, tujuh telefon bimbit, dan pelbagai barangan runcit hasil samun kedai berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman sehingga Isnin ini dan setakat ini pihaknya masih menyiasat sama ada mereka terbabit dalam kes rompakan lain atau tidak.

Penipuan berleluasa: Zaid



SHAH ALAM - Selepas menimbulkan kontroversi mahu bertanding jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), calon timbalan presiden, Datuk Zaid Ibrahim sekali lagi membuat kejutan apabila membuat keputusan menarik diri daripada bertanding jawatan berkenaan. 

Selain itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan dan semua jawatannya dalam parti itu. 

Zaid berkata, ketika menawarkan diri menyertai PKR, beliau berharap boleh membawa politik progresif, memupuk dan memperkembangkan demokrasi dan ketelusan di negara. 

"Bagaimanapun, sebenarnya saya tersilap,” katanya dalam satu kenyataan di blognya, semalam. 

Menurutnya, beliau mengambil keputusan ini kerana melihat tidak ada usaha kepimpinan parti untuk menangani manipulasi dan amalan tidak adil dalam pemilihan parti. 

"Perkara berkenaan telah berulang-kali ditimbulkan. Sepanjang pemilihan PKR, tiada usaha kepimpinan secara aktif menangani perkara ini dan membiarkan salah laku serta penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu," katanya. 

Zaid berkata, beliau yakin mana-mana parti politik dengan sikap hipokrit dan nilai-nilai palsu tidak akan mampu menawarkan sebarang pembaharuan yang bermakna kepada rakyat di negara ini. 

Penarikan diri bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu memperlihatkan beliau begitu kecewa dan tidak boleh meneruskan proses pemilihan yang didakwanya 'cacat'. 

Katanya, beliau akan tetap komited terhadap perjuangan pembangkang dan akan terus bercakap berhubung isu yang membabitkan rakyat jelata serta terus berjuang bagi memastikan rakyta mendapat kerajaan yang lebih baik. 

“Saya berharap peminat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tidak lagi menganggap saya sebagai ‘spoiler’ yang akan menghalang perarakan mereka ke Putrajaya. Saya ucapkan maju jaya kepada mereka,” katanya. 

Zaid kini berada di tempat kedua dalam pertandingan tiga penjuru bagi jawatan berkenaan antara dua naib presiden, Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub. 

Difahamkan Zaid akan mengadakan sidang media hari ini bagi mengumumkan secara rasmi dan menjawab pelbagai persoalan sehingga beliau mengambil tindakan tarik diri.

Treler terbakar




SEREMBAN - Seorang pemandu dan kelindannya nyaris maut apabila treler dipandu terbakar sebelum merempuh pembahagi lebuh raya di Kilometer 253.6 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini, semalam. 

Difahamkan, kenderaan itu sarat dengan muatan kayu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Muar, Johor sejurus sebelum terbabit kemalangan, kira-kira jam 12 tengah hari. 

Pemandu treler, Mohd Khatib Ahmad, 26, berkata, pada mulanya dia terlihat api pada bahagian kiri kenderaan berkenaan. 

“Tiba-tiba beberapa tayar meletup menyebabkan saya terpaksa berhempas-pulas mengawal kenderaan supaya tidak berlaku kemalangan. 

“Kemudian, treler merempuh pembahagi jalan di lorong paling kanan lebuh raya,” katanya, semalam. 

Menurutnya, dia dan kelindan segera melompat keluar untuk menyelamatkan diri daripada treler yang terbakar.

Ibu hamil kritikal

  KEMAMAN – Selepas lebih 15 jam terapung di laut, 16 mangsa bot karam yang hilang, termasuk seorang kanak-kanak berumur empat tahun, berjaya ditemui semalam dalam keadaan selamat kira-kira 16 batu nautika ke selatan Pulau Tenggol, di perairan Dungun selepas bot itu bocor petang kelmarin.   Semua mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 10 pagi dalam keadaan lemah dan kesejukan oleh bot Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga Kemaman yang terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat.   Tiga daripada mangsa yang dalam keadaan kritikal, iaitu, Noraini Sosilawati Siregar, 30, yang mengandung empat bulan, anaknya, Mohd Daniel Aiman Mohd Zulkifli, 4, dan Muhamad Azahari Mohd Amin, 38.   Komander PGM Wilayah Tiga Kemaman, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Salleh Mat Jani berkata, semua mangsa yang memakai jaket keselamatan yang terapung dalam keadaan berkumpulan berjaya dilihat pasukan keselamatan selepas salah seorang mangsa melambai jaket keselamatan yang dipakai ke arah bot penyelamat.   “Semua mangsa ditemui dalam keadaan lemah. Mereka dinaikkan ke dalam bot dan diberi makanan, katanya pada sidang media selepas mangsa dinaikkan di Pengkalan PGM Wilayah Tiga Kemaman, di Bukit Kuang, di sini.   Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, bot jenis D-Guardian Katamaran yang membawa 15 pelancong terdiri daripada penyelam berlesen dari Kuala Lumpur dan Selangor, dan seorang pemandu bot, karam setelah bot bocor pada bahagian enjin.   Kejadian berkenaan terjadi selepas kira-kira 10 minit mereka bertolak daripada Pulau Tenggol selepas selesai aktiviti menyelam, mengakibatkan pemandu bot, Zulfadlil Yahya, 29, cuba berpatah balik, tetapi gagal disebabkan air masuk terlalu cepat sehingga menenggelamkan bot.   Namun, sebelum bot tenggelam kira-kira 8.3 batu nautika dari pulau berkenaan, Zulfadlil sempat menghubungi majikannya memaklumkan kejadian malang yang berlaku ke atas mereka.   Mohd Salleh berkata, sebaik menerima laporan bot karam berkenaan daripada pengusaha chalet pulau itu, mereka turut memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kuala Terengganu untuk mendapatkan bantuan sebelum APMM turut membantu kerja menyelamat dengan menggunakan sebuah helikopter, enam buah bot (tiga daripada bot milik pengusaya chalet Tanjung Jara, Dungun) dan dua kapal dengan kekuatan anggota seramai 100 orang.   Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Sembilan Kuala Terengganu, Kapten Maritim Adam Aziz berkata, kerja menyelamat yang diselaraskan kira-kira jam 11 malam turut dibantu pasukan bomba dan penyelamat dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).   “Sewaktu kejadian angin agak kencang, iaitu pada kelajuan 50 hingga 60 knot sejam, laut bergelora ditambah dengan cuaca hujan menyebabkan kerja-kerja menyelamat agak sukar kerana hujan lebat mengakibatkan jarak pemandangan kami agak terhad, kalau cuaca baik mungkin kesemua mangsa dapat ditemui dan diselamatkan lebih awal,” katanya.     Mangsa kritikal akibat banyak tertelan air laut

Akibat tertelan air laut terlalu banyak, salah seorang mangsa yang kritikal selepas lebih 15 jam terapung di laut, Mohd Azahari Mohd Amin, 38, mengalami muntah serius.

Menurutnya, disebabkan tertelan air laut terlalu banyak, dia yang menghidap gastrik mengalami alahan sehingga muntah-muntah mengakibatkan tubuhnya lesu sepanjang terapung.

“Disebabkan ombak besar, saya tidak dapat mengelak daripada tertelan air laut dan disebabkan itu, saya sesak nafas,” katanya yang mendapat rawatan lanjut di Unit Kecemasan, Hospital Kemaman, selepas berjaya diselamatkan pasukan PGM Wilayah Tiga kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Dia yang bekerja sebagai pengurus projek berkata, pada malam kejadian, ombak terlalu besar diikuti hujan lebat sehingga badannya tidak terdaya melawan arus.

“Namun disebabkan kami berpegang tangan dan terapung dalam kumpulan, ia memberi semangat luar biasa kepada kami untuk terus bertahan sambil membaca selawat beramai-ramai.

“Sambil terapung juga, kami cuba berenang ke arah daratan berpandukan cahaya yang dapat dilihat, namun usaha kami melawan arus gagal kerana terlalu deras,” katanya.

Menurutnya, mereka juga nyaris dilanggar sebuah kapal besar yang melewati lokasi kejadian walaupun telah memberi isyarat dengan meniup wisel yang ada pada jaket keselamatan masing-masing.



Kes pertama sejak tujuh tahun

KUALA TERENGGANU – Jabatan Laut Wilayah Timur tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana pengusaha atau pemandu bot keluar masuk ke pulau di negeri ini walaupun sekarang musim tengkujuh.

Pengarahnya, Rossid Musa berkata, melarang pengusaha bot atau agensi pelancongan keluar ke laut adalah di luar kawalannya kerana golongan itu mempunyai tanggungjawab terhadap chalet atau resort yang diusahakan.

Bagaimanapun katanya, walaupun tidak ada larangan khusus, semua pengusaha bot dan nelayan perlu mematuhi peraturan yang menetapkan mereka meminta kebenaran daripada Jabatan Laut terlebih dahulu sebelum keluar.

“Apabila ada permohonan, kita akan rujuk kepada Jabatan Meteorologi sama ada cuaca dan keadaan laut ketika itu sesuai atau tidak untuk mereka turun ke laut, kalau baik kita akan beri kebenaran dan jika tidak, ia akan ditangguhkan.

“Adalah di luar kawalan kita untuk halang mereka (ke laut dan pulau) kerana mereka ada rumah, chalet di sana (pulau), jadi keluar masuk itu menjadi perkara biasa, cuma mereka perlu sentiasa berhubung dengan kita dan Jabatan Meteorologi,” katanya.

Menurut Rossid, meskipun Terengganu kini mula dilanda musim tengkujuh, permohonan untuk keluar ke laut dan pulau masih diterima setiap hari dan ia akan diproses mengikut peraturan bagi memastikan keselamatan mereka.

Ditanya sama ada bot jenis D-Guardian Katamaran membawa 16 pelancong yang karam di Pulau Tenggol, lewat petang kelmarin ada membuat permohonan untuk keluar dari pulau, beliau tidak dapat mengesahkannya.

Rossid berkata, semua itu masih dalam siasatan dan pihaknya belum mendapat maklumat terperinci mengenai nahas yang hampir meragut nyawa 16 pelancong tempatan dan seorang pemandu bot itu.

Katanya, kes itu pertama kali berlaku di Terengganu sejak tujuh tahun lalu dan hasil siasatan yang dijangka siap dalam tempoh seminggu itu akan dibentangkan dalam satu mesyuarat di Putrajaya.

“Kita belum habis siasat kerana banyak maklumat yang perlu dikumpulkan sama ada dari agensi pelancongan, pengusaha chalet dan mangsa terlibat sendiri, sehingga siasatan ini selesai, kita tidak dapat beri penjelasan,” katanya.

10 minit tenggelam di laut

PORT DICKSON: “Saya sempat menasihatkannya segera naik ke darat sebelum terlambat kerana menyedari air laut mula pasang tetapi tiba-tiba mendapatinya sudah hilang dari pandangan dan menyangka dia bergurau.”
Begitu kata Fazli Yahya, 22, apabila rakannya, Mohd Farid Abdullah, 23, yang mandi-manda bersamanya di Pantai Cermin, dekat sini, kelmarin hampir lemas apabila tenggelam selama 10 minit dipercayai dihanyutkan arus deras ketika air laut pasang secara tiba-tiba.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, kedua-dua sahabat berkenaan mengalami detik mencemaskan ketika mandi dalam jarak 50 meter dari pantai apabila seorang daripada mereka ‘hilang’ ketika berenang ke darat.

Fazli berkata, sebelum itu dia bersama tujuh rakan lain termasuk Mohd Farid dari Skudai, Johor datang ke pantai peranginan berkenaan untuk berseronok ketika cuti hujung minggu dan tidak pernah menduga bakal berdepan kejadian hampir meragut nyawa rakannya.

Menceritakan semula detik cemas itu, katanya, ketika berenang beriringan menuju ke darat selepas menyedari ombak besar besar, Mohd Farid tiba-tiba mengalami kejang kaki.

“Saya kemudian mendapati dia (Mohd Farid) tenggelam lalu menjerit berulang kali, namun tiada sahutan dan masih tidak timbul menyebabkan saya menyelam tanpa memikirkan keselamatan diri untuk mengesannya tetapi gagal.

“Disebabkan air pasang mendadak dan ombak kuat, saya terus berenang ke tepi pantai meminta pertolongan rakan lain dan orang ramai yang berada berhampiran.

“Mohd Farid berjaya ditemui dalam keadaan lemah dipercayai terminum banyak air oleh pasukan penyelamat dan orang ramai kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, dia begitu panik apabila berdepan kejadian mencemaskan itu tetapi berjaya mengelak daripada lemas dalam insiden itu.

Katanya, rakannya kini dalam keadaan stabil dan sudah dimasukkan ke wad biasa walaupun keadaannya sebelum itu agak kritikal kerana terminum banyak air laut.

“Saya bersyukur kerana kami semua terselamat daripada kejadian tidak diingini dan turut memberi pengajaran berharga,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga di kawasan berkenaan dikenali sebagai Azimah, 40-an, berkata dia sudah kerap memberi amaran dan melarang pengunjung pantai mandi-manda jika keadaan berbahaya tetapi tidak pernah diendahkan.

Angkara banjir: Rumah runtuh masuk sungai

JITRA: “Kira-kira lima minit selepas kami keluar rumah, saya mendapat panggilan yang memaklumkan rumah kami runtuh ke dalam sungai,” kata Siti Nor Shamima Zulkafli, 18, yang nyaris maut bersama suaminya, Mohd Shafari Shukur, 25, dan anak lelaki mereka berusia satu setengah tahun apabila rumah mereka yang terletak di tebing Sungai Pelubang, Kampung Pelubang, di sini, runtuh ke dalam sungai itu, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, tiga beranak itu baru lima minit meninggalkan rumah berkenaan untuk membeli barang keperluan harian di pekan Kepala Batas, di sini.

“Panggilan daripada abang itu cukup mengejutkan. Apabila kami berpatah balik saya terkejut apabila hanya bahagian ruang tamu yang tinggal, manakala bahagian lain sudah ‘hilang’.

“Mujur kami tergerak hati untuk keluar pada waktu itu, jika tidak entah apa akan jadi kepada keluarga saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian semalam mendapati separuh daripada rumah mangsa runtuh sedalam hampir 20 meter ke tebing sungai itu. Selain itu, sebahagian daripada kedai makan di sebelah rumah mangsa turut runtuh ke dalam tebing itu, manakala sebuah lagi rumah di situ mengalami keretakan serius.

Kejadian itu dipercayai berlaku akibat mendapan tanah di tebing sungai seluas kira-kira 10 meter itu berikutan dilanda banjir sejak 2 November lalu.

20 pelabur mendakwa ditipu skim pelaburan perladangan rumpai laut

PETALING JAYA: Tertarik dengan janji akan mendapat pulangan lumayan daripada apa yang dilaburkan, kira-kira 20 pelabur skim pelaburan perladangan membabitkan rumpai laut di Sabah mendakwa kerugian lebih RM5 juta apabila penganjur skim itu melarikan diri.
Malah pejabat penganjur skim yang menjanjikan pulangan sebanyak 20 peratus daripada jumlah yang dilaburkan pada setiap tiga bulan itu yang terletak di Cheras di sini juga telah disita.

Seorang mangsa, Mandy Cheong Wai Mung, 38, berkata pulangan lumayan itu dijanjikan seorang lelaki berumur 46 tahun yang mendakwa syarikat yang diwakilinya mengusahakan ladang tanaman rumpai laut di Semporna. "Satu lot berharga RM3,300 dan jika membeli lima lot pulangan yang akan diterima ialah RM3,300.

"Untuk pelabur yang membeli lebih dari lima lot, mereka juga akan diberi tiket penerbangan, makan serta tempat tinggal untuk pergi melihat ladang itu," katanya kepada pemberita di Pejabat Biro Aduan Komuniti MCA Petaling Jaya Utara di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi menggalakkan lagi bilangan pelabur, lelaki itu melantik 19 syarikat untuk menjadi ejen bagi mencari lebih ramai lagi pelabur.

"Saya adalah salah seorang dari 19 pengarah syarikat itu, jadi jika saya mencari lebih banyak individu di bawah saya, makin banyak pulangan yang akan saya dapat.

"Di bawah saya ada kira-kira 1,000 orang. Secara peribadi saya sudah melabur sebanyak RM500,000, manakala pelaburan oleh individu di bawah saya keseluruhannya kira-kira RM5 juta," katanya.

Mandy berkata, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 31 Disember 2009 dan kes itu juga dirujuk kepada Bank Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun yang sama. Sementara itu, seorang lagi mangsa, Azli Mohamad, 40, berkata dia terjebak untuk melabur sehingga RM100,000 kerana dipengaruhi dengan janji serta bukti yang ditunjukkan.
"Ketika melawat ladang yang dikatakan kepunyaannya itu, banyak banting- banting logo syarikatnya selain itu kami juga dibawa menaiki bot yang ada nama syarikatnya," katanya.-Bernama

Wanita sarat mengandung maut dalam kemalangan

JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang sarat mengandung lapan bulan maut apabila van yang dipandunya dirempuh sebuah lori di KM46.8 Jalan Johor Baharu-Mersing, hari ini.
Jumirah Soogiman, 36, seorang peniaga yang berasal dari Kampung Sungai Telur, Kota Tinggi, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

"Kemalangan pada jam 12.10 tengahari itu dipercayai berlaku apabila lori dari arah Johor Baharu ke Mersing itu terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar van yang dipandu Jumirah," kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Osman Muhammad Sebot ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut ke atas kemalangan berkenaan sedang dijalankan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran.-Bernama

Lima ditahan bersama 30 kilogram ketum

BESUT: Lima orang termasuk sepasang bekas suami isteri dan anak mereka ditahan bersama 30 kilogram daun ketum mentah dan 160 bungkus air ketum dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Kolam, Bukit Kenak di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Sisatan Jenayah Narkotik pada kira-kira jam 5.30 pagi.

Beliau berkata, semua suspek yang berumur antara 20 dan 43 tahun itu ditahan selepas polis menemui dua baldi plastik yang berisi 160 bungkusan dipercayai air ketum dan tiga guni daun ketum yang belum diperoses seberat 30 kilogram di dalam bangsal di belakang rumah itu.

Katanya, daun ketum itu dipercayai diperolehi dari Kedah manakala air ketum yang siap diperoses itu adalah untuk pasaran sekitar kawasan Jerteh, dan semua barang yang dirampas itu dianggar bernilai RM1,230.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata, kes disiasat mengikut bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali, dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.-Bernama

Helah wanita Togo seludup syabu guna ikan masin, cili kering gagal

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisiner Nordin Kadir (kiri) menunjukkan bungkusan syabu yang disembunyikan tepi kotak beku sejuk bercampur ikan masin yang dirampas daripada seorang wanita warganegara Togo di KLIA pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor di sini, hari ini. Foto: Roslin Mat Tahir (09/10/2010)
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisiner Nordin Kadir (kiri) menunjukkan bungkusan syabu yang disembunyikan tepi kotak beku sejuk bercampur ikan masin yang dirampas daripada seorang wanita warganegara Togo di KLIA pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor di sini, hari ini. Foto: Roslin Mat Tahir (09/10/2010)
SHAH ALAM: Polis menahan seorang wanita warga Togo yang menyorokkan dadah jenis syabu seberat 2.2 kilogram bernilai RM562,000 dalam sebuah bekas ais yang dipenuhi ikan masin dan cili padi kering di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, wanita itu dipercayai cuba menggunakan ikan masin dan cili padi kering berkenaan bagi mengelirukan anjing pengesan daripada menghidu dadah yang dibawanya.

Bagaimanapun, beliau berkata wanita berusia 32 tahun itu ditahan polis sebaik tiba dari Dubai pada 11.40 pagi selepas dilihat berada dalam keadaan yang mencurigakan.

"Pada mulanya, memang kita tidak temui apa-apa selain ikan masin dan cili kering, tetapi setelah pemeriksaan terperinci dilakukan, kita temui dua peket dadah disembunyikan di ruang kosong kiri dan kanan bekas ais.

"Ruang kosong itu sebenarnya dilapisi gabus yang menjadi bahan penebat bekas, tetapi gabus itu telah dibuang dan digantikan dengan dua peket plastik syabu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nordin berkata, siasatan awal mendapati wanita itu adalah seorang peniaga runcit dan dia diupah sebanyak USD$2,000 (RM6,192) untuk menyeludup masuk syabu.

"Wanita itu didapati baru pertama kali masuk ke negara ini, dan syabu dibawa dipercayai untuk pasaran tempatan," katanya. Beliau berkata, polis narkotik KLIA dan Bukit Aman turut menahan seorang wanita warga Thailand yang baru tiba dari Buenos Aires, Argentina kerana disyaki cuba menyeludup dadah jenis kokain.

Katanya, wanita itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan, namun selepas bagasinya diperiksa, polis tidak menemui sebarang dadah.
"Bagaimanapun, kita tetap bawa wanita berusia 26 tahun ini ke Hospital Serdang untuk menjalani ujian X-ray dan hasilnya kita dapati terdapat beberapa objek pelik, dipercayai kapsul berisi dadah di dalam perutnya.

"Selepas tiga hari melalui proses buang air besar, sebanyak 82 kapsul berisi kokain seberat 1.1 kilogram bernilai RM240,000 berjaya dikeluarkan," katanya.

Nordin berkata, wanita itu yang juga seorang peniaga runcit, didapati telah tiga kali masuk ke negara ini, dan dia disyaki dijadikan keldai dadah untuk menyeludup kokain.

"Kita percaya kokain ini bukan untuk pasaran negara ini, sebaliknya akan diseludup semula ke Bangkok, kerana wanita ini akan berlepas ke Bangkok sehari selepas tiba di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua wanita itu ditahan reman sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.-Bernama

Pekerja pusat kebajikan dituduh bunuh remaja Autisme


09/11/2010 2:32pm

PETALING JAYA 9 Nov. — Seorang pekerja pusat kebajikan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang remaja yang menghidap autisme dua minggu lepas.
S. Tirupathi, 26, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Dia yang tidak diwakili peguam didakwa membunuh Brian Goh Kah Heng, 19, di sebuah rumah beralamat No 38, Jalan 18/19, Taman Kanagapuram, dekat sini, antara jam 10.30 pagi hingga 11.30 pagi pada 24 Okt lalu.
Tirupahthi, yang kelihatan muram, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalakan Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur yang memohon tarikh sebutan bagi mendapatkan laporan kimia.
Mahkamah menetapkan 5 Jan depan untuk sebutan kes. Dalam kejadian itu, akhbar melaporkan remaja terbabit ditemui tidak sedarkan diri di rumah kebajikan itu di Seksyen 18, di sini sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan kira-kira 1 tengah hari.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur jenayah menyebabkan kematian remaja itu dan pada masa sama terdapat kesan kecederaan pada dubur mangsa dipercayai dijolok menggunakan cota. — Bernama

Warga Vietnam mati ditikam rakan selepas bergurau


09/11/2010 2:07pm

JITRA 9 Nov. — Mula-mula bergurau, kemudian bertengkar, lepas itu kena bunuh, demikian nasib yang dialami seorang warga Vietnam yang mati ditikam rakannya di asrama pekerja di Pekan Jitra 2 malam tadi.
Nguyen Banthey, 24, ditikam sekali di dada kirinya dengan pisau oleh rakannya yang berumur sekitar 30-an.
Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Sawaluddin Hamenuddin, mangsa dan suspek sebelum itu sedang berbual-bual sambil bergurau di tingkat atas bangunan rumah kedai dua tingkat itu yang dijadikan asrama pekerja, kira-kira 9 malam sebelum kedua-duanya bertengkar sehingga berlaku pembunuhan.
Lima warga Vietnam termasuk mangsa dan suspek menghuni sebuah bilik bangunan itu yang kesemua mereka merupakan pekerja kilang membuat topi keledar di Sungai Korok.
Sawaludin berkata suspek melarikan diri selepas kejadian itu tetapi kemudiannya ditahan polis ketika sedang berjalan seorang diri kira-kira satu kilometer dari asrama tersebut.
Beliau berkata polis turut menahan tiga yang lain itu untuk disoal siasat.
Bangunan rumah kedai tersebut disewa oleh pihak kilang itu untuk menempatkan 15 pekerja yang kesemuanya warga Vietnam. — Bernama

Penghantar surat terlepas tuduhan merompak


09/11/2010 3:28pm

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang penghantar surat atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang penolong pengurus syarikat, dua tahun lepas.
Hakim Zainal Abidin Kamaruddin membuat keputusan itu terhadap Muhammad Ibnu Yahya, 22, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes di akhir pembelaan.
Dalam penghakimannya Zainal Abidin berkata, terdapat percanggahan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan berkenaan pengecaman tertuduh yang didakwa terbabit dalam kes tersebut.
"Setelah merujuk dan membandingkan kesemua keterangan saksi-saksi, mahkamah mendapati terdapat percanggahan dalam keterangan itu.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Ibnu bersama enam lagi yang masih bebas didakwa merompak Tang Chee Keong, 43, dengan merampas dompet yang mengandungi kad pengenalan, pas kerja, kad ATM CIMB dan juga wang tunai RM40 milik mangsa. - Bernama

Suami isteri, 2 rakan edar dadah ditahan


09/11/2010 4:56pm

KUALA LUMPUR - Polis menahan sepasang suami isteri dan dua rakan wanita mereka serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM150,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Nirvana, Ampang malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritenden Amiruddin Jamaluddin berkata, ketika serbuan pada 10.30 malam dilakukan, kesemua suspek sedang asyik membungkus dadah dalam plastik, dipercayai untuk diedarkan di sekitar Ampang.
"Selepas pemeriksaan keseluruhan di rumah dua tingkat itu, kami berjaya merampas dadah disyaki heroin seberat 1,613 gram, syabu seberat 57.4 gram, 100 pil WY (pil kuda) dan 63 pil eramin 5.
"Turut dirampas adalah dua alat penimbang, satu sealer, empat buah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM2,000. Jumlah keseluruhan dadah dan barang dirampas kira-kira RM150,000,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, polis turut menemui seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan berusia empat hingga 12 tahun, dipercayai anak pasangan terbabit, dan mereka diserahkan kepada anggota keluarga yang lain. - Bernama

2 kelindan maut rempuh belakang lori


09/11/2010 5:07pm

KUANTAN - Dua kelindan lori maut manakala pemandunya cedera selepas lori yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori jenis Scania di KM 164 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritenden Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, R. Mohandass, 27, dan B. Tamilselvam, 30, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu.
Beliau berkata, pemandu lori Scania yang sedang menghala arah Kuantan itu memberitahu, dia hanya sedar mengenai kejadian itu apabila terdengar satu dentuman kuat di bahagian belakang lori.
Katanya, setelah diperiksa, pemandu lori Scania itu mendapati sebuah lori merempuh belakangnya.
"Dua kelindan lori itu mati di tempat kejadian, manakala pemandunya yang cedera dihantar ke ke Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh," katanya.
Mohamed Fauzi berkata, Kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Peniaga maut dibelasah menantu


09/11/2010 5:41pm

KOTA TINGGI 9 Nov. – Seorang peniaga kain yang parah selepas dibelasah menantunya dalam satu pertengkaran di rumahnya di Jalan Bendahara 3, Bandar Tenggara di sini semalam, meninggal dunia awal pagi ini.
Mangsa yang berusia 52 tahun meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, pukul 5.20 pagi.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Osman Mohamad Sebot berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.40 petang mengakibatkan mangsa cedera di dada dan kepala.
Beliau berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, menantu mangsa yang berusia 23 tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berasal dari Kampung Pangkalan Batu Mersing di sini. - Utusan

Pelajar 16 tahun didakwa culik, cabul kanak-kanak 8 tahun


09/11/2010 6:12pm

KLANG 9 Nov. - Seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menculik dan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, pada bulan lepas.
Bagaimanapun, Majistret Afifah Mamat@Yusof memerintahkan kes itu didengar oleh Mahkamah Juvana pada 11 November ini kerana ia melibatkan remaja bawah umur.
Afifah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim.
Pelajar tingkatan empat itu didakwa menculik mangsa di depan sebuah sekolah di Pandamaran di sini, kira-kira 6.40 petang pada 25 Okt lepas, mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, atau penjara maksimum 30 tahun, dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. - Bernama

MILF desak Manila bersih imej





2010/11/09

MANILA: Pemisah Islam Filipina mendesak kerajaan menarik balik kenyataan menyalahkan mereka sebagai bertanggungjawab melakukan serangan bom ke atas sebuah bas di Mindanao, 20 Oktober lalu yang menyebabkan sembilan orang terbunuh. 

Mereka menegaskan, tanpa langkah itu hanya akan menjejaskan usaha damai kedua-dua belah pihak.Jurucakap Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Von al Haq berkata, ulasan Setiausaha Pertahanan Filipina, Voltaire Gazmin bertujuan mencemar imej kumpulan itu menjelang rundingan yang dijadual diadakan semula.
“Ia kenyataan terbuka bertujuan mempersoalkan kewibawaan MILF dan menjejaskan rundingan damai. Kami sedia berunding dengan kerajaan tetapi kenyataan itu mesti ditarik balik,” kata al Haq yang dihubungi wartawan melalui telefon dari Mindanao. 

Al Haq berkata, MILF memfailkan bantahan rasmi membabitkan dakwaan itu dengan jawatankuasa bersama yang memantau perjanjian gencatan senjata bagi kedua-dua belah pihak. – AFP 

Ramai tinggalkan kota Yogyakarta, debu Merapi sampai di Bandung




2010/11/09


  • Foto
    PASUKAN mencari dan menyelamat dari Yogyakarta mencari mangsa letusan Merapi di Kampung Ngancar di Sleman, semalam.
  • Foto
    DEBU Merapi sudah sampai dan meliputi bandar Muntilan, Jawa Tengah.
YOGYAKARTA: Semakin ramai penduduk Yogyakarta lari dari kota itu dengan menaiki kereta api dan bas termasuk kenderaan sewa bagi mengelak menjadi mangsa gunung berapi Merapi yang debunya dilaporkan sudah sampai di Bandung.

Yogyakarta yang mempunyai 400,000 penduduk, terletak 30 kilometer dari Merapi dan sudah diselimuti debu gunung berapi itu yang meletus lebih dua minggu lalu.Sekurang-kurangnya 280,000 penduduk yang tinggal sekitar 20 kilometer dari Merapi sudah pindah ke tempat perlindungan sementara.
“Merapi terletak 550 kilometer dari Jakarta dan debunya sudah ditiup ke sebelah barat hingga kota Bandung, 400 kilometer dari gunung itu,” lapor Jakarta Post.

Gambar majlis pengebumian beramai-ramai membabitkan 141 penduduk yang terbunuh kerana letusan Merapi menjadi peringatan kepada mereka.

“Ibu bapa saya menghubungi saya dan menyuruh saya perlu keluar dari sana. Mereka berkata, saya perlu pulang ke rumah!” kata Linda Ervana, 21 pelajar sejarah yang menantikan bersama rakannya di sebuah stesen kereta api di bandar universiti itu.

Selepas gagal mendapatkan tiket, mereka akhirnya memutuskan untuk menyewa sebuah bas mini bersama rakan sekelasnya yang lain. 
“Ia seperti dalam filem 2012,” kata rakannya yang berusia 22 tahun, Paulina Setin. “Seperti satu bencana dalam sebuah filem.”

Gunung berapi terbabit dilaporkan meletup paling kuat dalam tempoh seabad Jumaat lalu dengan mengeluarkan gas panas, batuan dan debu yang mengalir dengan laju, menutupi seluruh kampung dan menyebabkan tanaman musnah terbakar.

Kebimbangan mengenai bahaya kena debu gunung berapi terbabit menyebabkan banyak penerbangan antarabangsa membatalkan penerbangan ke ibu negara Indonesia, Jakarta, beberapa hari sebelum rancangan lawatan Presiden Barack Obama ke negara itu, perhentian kedua dalam lawatan 10 hari beliau ke Asia.

Kebanyakan syarikat penerbangan meneruskan semula operasi mereka semalam manakala pegawai Rumah Putih berkata bahawa Obama masih dijadualkan meneruskan lawatan mulai hari ini.

Merapi adalah antara gunung berapi paling aktif di dunia dan meletus beberapa kali sejak beberapa abad lalu membunuh lebih 1,400. Tetapi, letusan Jumaat lalu disifatkan paling kuat sejak 1930 apabila hampir 100 nyawa melayang.

Pihak berkuasa memberikan masa tiga hari kepada keluarga mangsa untuk mengenal pasti jenazah orang yang mereka sayangi.

Untuk mempercepatkan proses, kebanyakan keluarga bersetuju anggota keluarga mereka dikebumikan secara beramai-ramai. – AP/Agensi