Search This Blog

Monday, November 8, 2010

Lalulintas di Lebuh Raya Selatan tergendala akibat treler terbakar

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran sebuah treler yang membawa kayu selepas melanggar pembahagi jalan  di KM253.2 di Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan. Menurut pemandunya, Mohd Khatib, 26 ia lihat percikan api yang di lihat tiba tiba keluar dari tayar atau brek. Foto: Owee Ah Chun
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran sebuah treler yang membawa kayu selepas melanggar pembahagi jalan di KM253.2 di Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan. Menurut pemandunya, Mohd Khatib, 26 ia lihat percikan api yang di lihat tiba tiba keluar dari tayar atau brek. Foto: Owee Ah Chun


SEREMBAN - Laluan ke selatan di Km 253.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang mengalami kesesakan sepanjang tiga kilometer hampir dua jam tengah hari tadi apabila sebuah treler terbabas, terbakar dan melintang di lorong ke selatan lebuh raya itu.


Jurucakap polis berkata, dalam kejadian tengah hari itu, treler membawa muatan kayu bergergaji sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Muar.


"Pemandu lori itu Mohd Khatib Ahmad, 26, tidak mengalami kecederaan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya.


Kejadian itu juga menyebabkan rombongan kereta rasmi yang membawa Presiden Austria Dr Heinz Fischer untuk melakukan lawatan ke Melaka hari ini tergendala seketika.


Rombongan itu terpaksa menunggu hampir 20 minit untuk pasukan bomba memadamkan api sebelum mereka dibenarkan melepasi laluan itu. 


Jurucakap PLUS berkata, keadaan pulih pada 2 petang apabila laluan itu dibuka semula.

Lapan cedera kilang rim motosikal terbakar


PERAI - Lapan pekerja kilang membuat rim motosikal, Excel Rim Sdn Bhd di Kawasan Perusahaan Prai di sini, cedera apabila sebuah mesin pengumpulan habuk di kilang itu meletup ketika mereka sedang bekerja.

Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Razam Taja Rahim berkata, letupan itu telah mengeluarkan percikan api yang menyebabkan kilang berkenaan kemudiannya hangus terbakar.

Katanya ketika kejadian pada 10.15 pagi itu kesemua lapan pekerja yang tercedera dipercayai tercampak akibat letupan gas dan terkena bahang api.

Mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan Hospital Pakar Bagan untuk rawatan manakala 70 lagi pekerja yang sedang bertugas terselamat.

Mohamad Razan berkata, sebaik pasukan bomba tiba di tempat kejadian, api telah marak di seluruh bangunan kilang dan beberapa serpihan besi dilihat bertaburan.

"Bomba mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran dan terpaksa menggunakan semburan buih untuk mengawal api," katanya.

Jumlah kerugian dianggarkan lebih RM1 juta.

Letupan mesin pengumpulan habuk kilang itu juga telah merosakkan dua buah kilang lain yang terletak 100 meter dari kilang itu.

Sebuah daripada kilang itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung.

Katanya, bomba masih menyiasat punca kebakaran

Laluan ke selatan tergendala akibat treler terbakar

ROMBONGAN kereta rasmi yang membawa Presiden Austria, Dr Heinz Fischer dalam perjalanan ke Melaka melepasi treler yang terbakar di KM 253.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang dekat sini, hari ini. Kejadian jam 12 tengah hari itu mengakibatkan rombongan Dr Heinz terpaksa menunggu hampir 20 minit untuk pasukan bomba memadamkan api sebelum mereka dibenarkan melepasi laluan itu. - Foto BERNAMA


SEREMBAN: Laluan ke selatan di KM 253.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang mengalami kesesakan sepanjang tiga kilometer hampir dua jam tengah hari tadi, apabila sebuah treler terbabas, terbakar dan melintang di lorong ke selatan lebuh raya itu. 


Jurucakap polis berkata, dalam kejadian tengah hari itu, treler membawa muatan kayu bergergaji sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Muar."Pemandu lori itu Mohd Khatib Ahmad, 26, tidak mengalami kecederaan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya.
Kejadian itu juga menyebabkan rombongan kereta rasmi yang membawa Presiden Austria, Dr Heinz Fischer untuk melakukan lawatan ke Melaka hari ini tergendala seketika. 

Rombongan itu terpaksa menunggu hampir 20 minit untuk pasukan bomba memadamkan api sebelum mereka dibenarkan melepasi laluan itu. 

Jurucakap PLUS berkata, keadaan pulih pada 2 petang apabila laluan itu dibuka semula. - BERNAMA 

Pelakon dan tunang dibebaskan dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR:Seorang pelakon lelaki dan tunangnya yang ditahan Jumaat lalu kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin berkata, kedua-dua suspek dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.

Tempoh tahanan reman pelakon berusia 30 tahun dan tunangnya yang berumur 24 tahun itu tamat hari ini.

"Namun kertas siasatan kes itu tidak ditutup, dan jika terdapat keraguan (dalam kes itu) mereka boleh ditahan semula," katanya ketika dihubungi.

Mereka ditahan ketika sedang menunggu bekalan dadah dari bekas teman lelaki tunang pelakon itu di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) di Ampang Jaya.

Amiruddin berkata, polis masih mengesan bekas teman lelaki wanita itu yang dipercayai berada di sekitar Lembah Klang bagi melengkapkan siasatan.

Exco Selangor kerugian lebih RM70,000 selepas rumah dipecah masuk

KLANG: Seorang exco kerajaan negeri Selangor kerugian lebih RM70,000 selain hilang sebuah peti besi yang mengandungi barangan berharga, selepas rumahnya di Taman Klang Jaya di sini dimasuki pencuri, tengah hari tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr A Xavier Jayakumar berkata, beliau percaya kejadian itu berlaku antara 12.30 tengah hari dan 3.30 petang, ketika semua anggota keluarganya tidak berada di rumah.

"Kejadian disedari oleh anak lelaki saya, Dev Arul yang pulang dari sekolah kira-kira jam 3.30 petang, apabila melihat keadaan empat bilik yang berselerak dengan semua laci meja terbuka dan peti besi hilang.

"Beliau kemudian menghubungi isteri yang memaklumkan kejadian ini kepada saya," katanya ketika ditemui hari ini.

Xavier yang bergegas pulang dari persidangan Dewan Undangan Negeri berkata, kejadian itu adalah yang pertama sejak 21 tahun menetap di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti suspek dalam kejadian itu," katanya.-Bernama

Mayat mangsa lemas ditemui


08/11/2010 5:22pm

ALOR SETAR - Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di sungai berhampiran wat Siam di Jitra semalam ditemui pukul 8 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritenden Sawaluddin Hamenuddin ketika dihubungi berkata, mayat Ahmad Hamizan Ahmad Suhaimi, 24, dari Taman Seri Utama, Jitra dijumpai lebih satu kilometer dari tempat mangsa terjun.
"Mayat dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat," katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab pula berkata, usaha mencari seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas pada Khamis lepas di Tanjung Bendahara masih diteruskan.
Beliau berkata, Awwad Hakimi Rudaini, 7, dikatakan bermain bersama rakannya Nur Irshah Rosli, 9, berhampiran tali air di Tanjung Bendahara sebelum terjatuh ke dalam tali air itu. - Bernama

Ibu bersikap pelik

JASIN: “Sebelum bertolak ke Marang, Jumaat lalu, umi (ibu) tiba-tiba menangis dan memeluk saya dengan erat sambil berpesan agar belajar rajin-rajin. Ibu juga nasihatkan saya supaya jangan abaikan solat.
“Saya pelik dengan sikap ibu dan langsung tidak menyangka rupa-rupanya ia pesanan terakhir umi kepada saya,” kata Nurhazimah Abu Hassan, anak bongsu Patimah Ramli, 46, yang mati dalam keadaan rentung bersama tiga saudaranya dalam kemalangan di Kilometer 119 Jalan Kuantan-Segamat, kelmarin.
DIKEBUMI...tiga jenazah dikebumikan di Tanah Perkubungan Islam Kampung Bukit Duyung, semalam.
DIKEBUMI...tiga jenazah dikebumikan di Tanah Perkubungan Islam Kampung Bukit Duyung, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam apabila kereta Proton Persona dinaiki keempat-empat mangsa yang dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas menghadiri majlis pertunangan di Marang, Terengganu bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan .

Selain Patimah yang juga bekas wartawan Berita Harian, tiga lagi mangsa dalam kemalangan itu ialah adik iparnya, Md Sharif Nani, 61, seorang pesara Jabatan Kerja Raya dari Taman Air Keroh Height, Air Keroh; isteri Md Sharif, Marinah Kambas, 60, dan anak saudara mereka, Rosli Mat Isa, 28.


Nurhazimah, 10, berkata, kali terakhir dia dapat menghubungi ibunya pada kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu dan arwah memberitahu ketika itu dia berada di Kuantan.

“Umi beritahu kalau tak dapat menghubunginya mungkin bateri telefon bimbitnya sudah habis. Malam tadi (kelmarin) sehingga pagi ini (semalam) saya cuba menghubunginya, tetapi hanya masuk peti pesanan suara,” kata pelajar Tahun Empat Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di Pernu.

Suami Patimah, Abu Hassan Nani, 62, berkata, sebelum bertolak ke Marang pada kira-kira jam 7 pagi Jumaat lalu, terdapat sedikit kelainan pada sikap Patimah.

“Semasa arwah nak pergi (dia) ketawa tidak, senyum pun tidak. Sebelum bertolak dia minta izin (untuk) pergi dan cium saya sekali,” kata bekas pesara tentera itu.

Menurut Abu Hassan, sebelum bertolak arwah Patimah turut mencium anak keduanya, Mohd Zamri, 33, berulang kali sehingga menimbulkan tanda tanya dan rasa pelik kepada dirinya.

Katanya, dia tidak menyangka perubahan perlakuan itu rupa-rupanya menjadi petanda dirinya akan pergi buat selama-lamanya.

Abu Hassan yang menghidap barah paru-paru berkata, apabila mendapati isterinya masih belum tiba sehingga awal pagi dia dia terus menghubungi saudaranya.

“Hampir satu jam saya menelefon mereka, tetapi masih gagal,” katanya.

Menurutnya, kira-kira jam 6 pagi semalam seorang anaknya memberitahu mengenai berita menyedihkan itu.

Menurutnya, tahun ini genap 10 tahun dia mendirikan rumah tangga dengan Patimah yang juga isteri keduanya selepas kematian isteri pertama.

Jenazah Patimah tiba di rumah keluarganya kira-kira jam 5 petang semalam sebelum disembahyang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pondok Batang, di sini.

APMM selamatkan tujuh krew dua bot tundaVietnam

JOHOR BAHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menyelamatkan tujuh krew dua bot tunda yang karam akibat ribut di perairan Pulau Lima, Pengerang, dekat Kota Tinggi, semalam.
Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Johor Baharu, Kapten Maritim Mohd Sabri Mohamed berkata, operasi menyelamat tujuh krew bot tunda "Phuocan 6" dan "Phuocan 8" itu dijalankan selepas APMM menerima maklumat daripada seorang nelayan tempatan di Sungai Rengit, Kota Tinggi, pada 6.30 petang.

"Bertindak dari maklumat itu, APMM menggerakkan dua kapal dan sebuah bot laju dengan 70 pegawai dan anggota. Lebih kurang 9.30 malam, bot laju APMM berjaya mengambil tiga mangsa yang telah diselamatkan oleh sebuah bot tunda "Homa" di kedudukan 2.5 batu nautika ke tenggara Pulau Mungging, Pengerang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sabri berkata, bot laju berkenaan berjaya mengambil empat lagi mangsa 10 minit kemudian yang diselamatkan oleh kapal "Ocean Explorer" di kedudukan empat batu nautika ke timur Pulau Mungging.

Beliau berkata, kedua-dua bot tunda itu dipukul ribut pada 6 petang ketika dalam pelayaran dari Vietnam ke Pelabuhan Pasir Gudang di sini.

Katanya, kesemua tujuh krew rakyat Vietnam berumur 17 hingga 56 tahun itu dibawa ke jeti kastam Tanjung Puteri untuk urusan lanjut. -Bernama

Kastam KLIA rampas barang seludup bernilai hampir RM4 juta

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya merampas barang seludup bernilai RM3,960,489 juta daripada 67 kes rampasan yang membabitkan pelbagai kesalahan.
Pengarah Kastam KLIA Datuk Azizah Idris berkata, rampasan terbesar dicatatkan pada bulan lalu dengan jumlah rampasan sebanyak RM1,172,396 juta yang membabitkan nilai cukai berjumlah M3,371,543.19 juta.

"Antara barang yang dirampas bagi bulan itu termasuklah rokok, minuman keras dan tiga kereta Mercedes Benz, BMW dan Nissan Fairlady, katanya kepada pemberita di Kompleks Kastam, di sini hari ini.

Beliau berkata, empat warga tempatan berumur antara 20 dan 40 tahun ditahan untuk membantu siasatan berhubung penyeludupan kereta mewah itu dan mereka dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu siasatan diselesaikan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang belum lulus Kastam dan jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Walaupun selalunya barang-barang ini ditahan ketika masih dalam perjalanan tetapi kali ini barang-barang tersebut dikesan berada di rumah kediaman yang dijadikan stor manakala kereta mewah disimpan di premis kediaman di sekitar Lembah Klang dan pihak Kastam bertindak atas maklumat risikan dan maklumat orang awam," katanya.

Azizah berkata, orang ramai diseru untuk terus memberi kerjasama kepada Kastam dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA di talian 03-8787 4909 atau menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.

Sementara itu, beliau berkata Kastam melalui Cawangan Pemeriksaan Penumpang berjaya mengesan 25 kes penyeludupan dadah seperti syabu oleh penumpang-penumpang yang cuba masuk ke negara ini dengan meletakkan dadah itu di dalam bagasi atau disorok dalam badan termasuk di tali pinggang.
Beliau berkata, kebanyakan mereka adalah rakyat India, Nigeria, Iran, Pakistan dan Uzbekistan dengan purata syabu yang dirampas sebanyak satu hingga dua kilogram bagi setiap kes.

"Kes-kes ini kita serahkan kepada Bahagian Narkotik Kastam atau Narkotik Polis di mana berkenaan, dan selepas itu ia akan diurus oleh pihak yang berkenaan," katanya.-Bernama

Imigresen serbu flat Pantai Dalam

KUALA LUMPUR: Beberapa pemilik flat di Pantai Dalam, di sini, dikesan menyewakan rumah kepada warga asing dengan kadar RM100 seorang sebulan sebagai cara mudah mendapat pendapatan tambahan tanpa mengambil kira sama ada warga berkenaan memiliki dokumen atau tidak.
Malah, pendapatan itu meningkat jika kediaman asal diubah suai termasuk menyediakan ruang bilik yang mampu memuatkan sehingga lima orang dalam satu bilik.

Ini terbukti selepas lebih 20 lelaki dipercayai warga Indonesia ditahan selepas pemeriksaan mengejut dilakukan sepasukan anggota termasuk pegawai dari Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di lokasi itu.

Ketua Unit Operasi Imigresen Malaysia WPKL, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, dalam operasi kira-kira jam 11 malam itu, pihaknya terpaksa memecah beberapa pintu rumah disewa warga asing terbabit selepas mereka enggan memberi kerjasama dengan mengurung diri dalam rumah serta bilik. Hasilnya semua lelaki warga Indonesia berkenaan diberkas dengan ada antara mereka yang cuba meloloskan diri namun gagal.

Beliau berkata, rumah didiami warga asing terbabit disewa daripada penduduk tempatan yang sengaja menambah binaan bilik dalam rumah bagi membolehkan lebih ramai orang menyewa. “Semua warga asing itu ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri dan sebahagiannya ada pas lawatan sosial sementara, tetapi sudah tamat tempoh,” katanya

Dengar letupan 5 minit lepas terjun treler

ANGGOTA bomba bertungkus lumus mengeluarkan mayat mangsa dari dalam kereta Proton Perdana V6 yang remuk selepas merempuh belakang sebuah lori di Jalan Tasek, Ipoh, kira-kira 2.45 pagi ini.
ANGGOTA bomba bertungkus lumus mengeluarkan mayat mangsa dari dalam kereta Proton Perdana V6 yang remuk selepas merempuh belakang sebuah lori di Jalan Tasek, Ipoh, kira-kira 2.45 pagi ini.
MUADZAM SHAH: “Tanpa berlengah saya terjun dari tempat duduk sebaik menyedari asap berkepul-kepul keluar dari bahagian treler yang berlanggar.
“Saya dipapah anak ke tepi jalan kerana tidak berdaya lagi untuk bergerak. Tidak sampai lima minit, saya terdengar letupan sebelum treler dan kereta itu terbakar,” kata pemandu treler, Rosli Che Hassan, 50, ketika ditemui di Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini, semalam. Menceritakan detik sebelum kemalangan ngeri menyebabkan empat sekeluarga rentung itu, Rosli berkata, dia dan anaknya, Rozlan, 18, dalam perjalanan ke Rantau Panjang, Kelantan menghantar bekalan kelapa yang diambil dari Batu Pahat, Johor. Menurutnya, dia bertolak dari Batu Pahat kira-kira jam 5 petang kelmarin dan sempat berhenti rehat dan makan di persimpangan Bahau, dekat Keratong, sebelum kemalangan.

Katanya, beberapa saat sebelum kejadian dia melihat kereta dinaiki mangsa di laluan bertentangan cuba memotong sebuah lori. “Kereta itu dapat memotong dan memasuki laluannya semula. Namun, tiba-tiba ia terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian depan treler saya. “Selepas itu, kereta terbabit terperosok ke bahagian tengah treler dan saya terpaksa memberhentikan kenderaan yang dipandu,” katanya.

“Saya sedih kerana tidak dapat membantu mereka, apatah lagi saya juga cedera. Inilah pengalaman pertama saya terbabit dalam kemalangan maut selama 25 tahun menjadi pemandu,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Rosli berkata, walaupun kejadian itu menjadi pengalaman paling tidak dapat dilupakan, dia tidak berhasrat untuk berhenti sebagai pemandu memandangkan ia satu-satunya pekerjaan yang mampu menyara kehidupannya.

Gambar bogel Emma tersebar

RHODE ISLAND: Sekeping gambar memaparkan imej separuh bogel didakwa Emma Watson kini dilaporkan beredar di kalangan penuntut Universiti Brown yang menjadi tempat aktres itu menyambung pengajian kini.
Melalui gambar itu, bintang filem Harry Potter berkenaan dilihat hanya dibaluti tuala dari pinggan ke bawah, manakala bahagian atas tubuhnya terdedah.

Dia dilihat berdiri di sebelah tab mandi.

Gambar itu dilaporkan beredar melalui e-mel di kalangan penuntut Universiti Brown yang berprestij itu.

Menurut jurucakap Emma - membawa watak Hermione dalam Harry Potter - berang sebaik saja mendapat tahu mengenai gambar berkenaan.

Katanya, ketika ini keutamaan Emma adalah mencari siapa yang bertanggungjawab mula-mula menyebarkan gambar itu supaya ia dapat dihentikan.



“Menurut Emma, gambar itu palsu,” katanya semalam.

Jurucakap itu berkata, ada beberapa keping gambar bogel palsu beredar sejak dua bulan lalu dan ia memang dilihat pelakon terbabit.

KEMBARA TUKANG SIHIR...Emma bersama pelakon utama lain dalam filem terakhir Harry Potter.
KEMBARA TUKANG SIHIR...Emma bersama pelakon utama lain dalam filem terakhir Harry Potter.
CARI PUNCA... Emma bertekad mengesan siapa dalang di sebalik penyebaran gambar mengaibkan dirinya.
CARI PUNCA... Emma bertekad mengesan siapa dalang di sebalik penyebaran gambar mengaibkan dirinya.
“Emma bosan dengan penyebaran gambar palsu itu dan orang ramai sepatutnya tahu ia bukan asli,” katanya.

Sementara itu, Emma ‘mengisytiharkan’ dirinya kini dewasa sepenuhnya apabila menyatakan, kini masa sesuai untuknya ‘lebih nakal’.

Dalam temubual sempena pelancaran filem terakhir Harry Potter tidak lama lagi, Emma menyatakan, dia akan melakukan apa yang sering dilakukan seorang gadis bujang.

“Saya mahu melakukan perkara lebih nakal.

“Tiga bulan lalu saya memotong rambut dan ketika itu juga saya berasa benar-benar menjadi wanita sejati.

“Kini saya bersedia menghadapi risiko,” katanya.

Kata aktres berusia 20 tahun itu, dia pernah bercinta sekali tetapi keadaan ketika itu agak rumit.

Bagaimanapun, Emma enggan mendedahkan identiti bekas kekasihnya itu kerana menganggap ia tidak adil kepada lelaki terbabit.

“Cuma, saya tak pernah kecewa,” katanya.

Mengenai lelaki pilihannya, Emma berkata, dia suka seseorang yang pintar, mahir berkomunikasi dan kelakar.

Kata Emma, dia juga mahu lelaki yang bersedia menerima dirinya seadanya.

“Namun, saya tak pernah menerima lamaran sesiapa.

“Ketika ini saya gembira hidup sendirian dan mahu menikmatinya sebaik mungkin,” katanya. - Agensi

Drebar bas cedera dirotan

SENTUL: Seorang pemandu bas cedera di rusuk kiri selepas dibelasah seorang lelaki yang juga pemandu bas menggunakan rotan, pagi semalam.
Kejadian dipercayai berlaku apabila suspek mendakwa mangsa bertindak kurang ajar kerana merebut penumpang lain ketika mereka yang memandu bas masing-masing tiba untuk mengambil penumpang di Taman Sri Murni, Selayang, kira-kira jam 7.45 pagi.
Mangsa berusia 42 tahun yang ketika itu sedang berhenti mengambil penumpang terkejut apabila didatangi suspek yang tiba-tiba bertindak memukulnya.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad berkata, sebaik tiba di Taman Sri Murni, sebuah bas dipandu seorang lelaki berhenti berhampiran bas dipandu mangsa sebelum pemandu bas itu menaiki bas mangsa lalu bertindak memukulnya dengan menggunakan rotan.

Rupa-rupanya 'Mat Despatch'

KUALA LUMPUR: Golongan wanita perlu lebih berjaga-jaga berikutan terdapat individu yang menggunakan kesempatan menyamar sebagai pegawai polis sebelum menyamun mereka.
Berdasarkan rekod, sejak bulan lalu hingga kini, empat kes menggunakan modus operandi itu dilaporkan di sekitar Bangsar di sini, membabitkan empat wanita termasuk eksekutif dan pekerja butik.

Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, hasil maklumat diberikan mangsa, kebiasaannya suspek akan menahan mana-mana wanita yang sedang memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

“Selepas mengekori mangsa, suspek yang lengkap berseluar biru gelap seperti seluar anggota polis meminta mangsa berhenti sebelum mengeluarkan buku tertera logo polis dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang ketakutan hanya menuruti arahan ‘pegawai’ berkenaan sebelum kesempatan itu diambil suspek merampas telefon bimbit milik mangsa.

Katanya, berdasarkan laporan itu, anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan seorang lelaki di Jalan Tun Razak di sini, kira-kira jam 2 petang pada 31 Oktober lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis mendapati lelaki terbabit berusia 31 tahun itu bekerja sebagai budak penghantar surat di sebuah syarikat di ibu kota.

Berdasarkan pemeriksaan lanjut, polis mendapati nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek adalah palsu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Malah, motosikal yang ditunggangnya juga didapati motosikal curi yang dilaporkan hilang di Dang Wangi.

“Polis yakin dengan penahanan lelaki itu dapat menyelesaikan beberapa kes menyamar sebagai anggota polis di Brickfields,” katanya.

Dua maut dalam dua kemalangan berasingan




SHAH ALAM – Tindakan seorang penunggang motosikal yang cuba menyeberang jalan mengundang padah apabila dilanggar sebuah kereta sehingga maut di Jalan Klang, Teluk Intan, malam kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, mangsa berusia 32 tahun itu mati di tempat kejadian. 

Ketua Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar berkata, kereta itu dipercayai tidak dapat melihat mangsa dan terus merempuh motosikal itu. 

“Mangsa dikatakan melambung dan mati di tempat kejadian. 

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam. 

Dalam kejadian berasingan, seorang pembonceng motosikal maut selepas motosikal ditunggang rakannya bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 32.8 Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) tengah malam kelmarin. 

Dalam kejadian jam 12.25 pagi itu, motosikal itu dipercayai dari Klang menuju ke Kuala Lumpur.

Jaga disamun enam lelaki bersenjata parang

 

KOTA TINGGI - Seorang lelaki kerugian kira-kira RM50,0:00 selepas disamun enam lelaki bersenjatakan parang di Taman Sri Saujana, di sini, pagi semalam. 


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, pengawal keselamatan di Taman Johor Jaya berusia 49 tahun itu disamun kira-kira jam 6.30 pagi. 


Ketika kejadian mangsa, Kolandasamy Rajanathan, dipercayai katakan sedang bersiap untuk pergi dan membuka pintu pagar untuk keluarkan kereta sebelum pergi dengan motosikal. 


“Mangsa sedang bersiap sedia untuk pergi kerja dengan motosikal dan buka pintu pagar untuk letak kereta di luar rumah. 


“Mangsa masuk semula ke rumah untuk mengambil kunci motosikal dan ketika itu diserbu enam lelaki dipercayai keturuan India bersenjatakan parang dan memakai penutup muka,” katanya. 


Menurut Osman, sewaktu kejadian seorang anak lelaki mangsa berusia 16 tahun sedang tidur dan dicederakan suspek sebelum melarikan barang berharga. 


“Anak lelaki mangsa berusia 16 tahun dicederakan suspek hingga luka di mulut manakala mangsa luka tangan,” katanya. 


Osman berkata, suspek mengikat tangan kedua-dua mangsa sebelum membawa keluar barangan berharga termasuk sebuah kereta Perodua Viva berwarna merah, barangan kemas, wang tunai, komputer riba dan telefon bimbit yang semunya dianggarkan berjumlah RM50,000.

18 mayat sah pelancong diculik




ACAPULCO - Pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan bahawa semua 18 mayat dijumpai dalam sebuah kubur adalah pelancong yang diculik selepas disahkan ahli keluarga terdekat mereka, kelmarin. 

Pengarah Penyiasat Polis Persekutuan Guerrero, Fernando Monreal berkata, mayat hampir reput itu dikenal pasti melalui bentuk fizikal dan pakaian mereka. 

Seramai 18 daripada 20 pelancong diculik semasa berada di Acapulco yang terletak bersempadan dengan Guerrero, bagaimanapun, dua lagi masih hilang. 

Penculikan secara beramai-ramai pada 30 September lalu sangat menggerunkan kerana kesemua mangsa itu mungkin bukan sasaran penjenayah.

Bot tenggelam, kami terapung: pemandu





KEMAMAN – “Bot tenggelam terlalu cepat, walaupun saya dan pelancong lain cuba menimba air tetapi disebabkan air memasuki bot terlalu pantas menyebabkan saya terpaksa mengarahkan semua terjun daripada bot,” kata pemandu bot, Zulfadlil Yahya, 29, ketika menceritakan detik cemas bot yang membawa kira-kira 15 pelancong tenggelam sewaktu dalam perjalanan pulang dari Pulau Tenggol, Dungun, lewat petang kelmarin. 


Menceritakan lebih lanjut saat cemas tersebut, Zulfadlil berkata, dia menyedari bot berkenaan mengalami kebocoran setelah cuba meningkatkan kelajuan bot tetapi gagal selepas kira-kira 10 minit berlepas daripada Pulau Tenggol. 


“Ketika itu saya juga lihat salah satu enjin bot ditenggelami air sebelum pemandu berpatah balik menuju ke pulau. Tetapi air terlalu cepat masuk ke dalam bot melalui lubang yang bocor menyebabkan satu lagi enjin tenggelam dan hanya beberapa minit kemudian bot jenis D-Guardian Katamaran karam sepenuhnya. 


“Ketika itu saya turut panik, namun nasib baik sebelum bot tenggelam hampir semua pelancong memakai jaket keselamatan yang membolehkan kami semua terapung,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Jeti Markas PGM Wilayah Tiga di Bukit Kuang, di sini, semalam. 


Katanya, walaupun dia dan kebanyakan mangsa ketika itu panik tetapi mereka masih berenang dan berkumpul dalam sebuah kumpulan. 


Zulfadlil yang berpengalaman mengendalikan bot lebih 11 tahun berkata, selepas melompat ke dalam laut mereka saling berpegangan tangan dan membuat bulatan bagi memastikan semua mangsa tidak terpisah dan hanyut dibawa arus dan gelombang yang agak deras ketika itu.

Peniaga maut kereta yang dipandu rempuh belakang treler


IPOH - Seorang peniaga terbunuh apabila kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Simpang empat lampu isyarat, Jalan Tasik di sini awal hari ini.


Kemalangan pada pukul 2.43 pagi itu menyebabkan Cheah Soon Lee, 30, yang berasal dari Taman Idris di sini, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.


Mayatnya dihantar di Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, kata Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh DSP Mohd Rodzi Rejab ketika dihubungi di sini, hari ini.


Rodzi berkata, ketika kejadian, Cheah yang memandu sendirian dalam perjalanan dari Chemor ke Ipoh.


"Berdasarkan keadaan kereta yang remuk, mangsa dipercayai memandu laju dan polis telah mengambil contoh darah mangsa untuk diperiksa bagi memastikan sama ada mangsa berada di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Sukar diramal bila Merapi akan berhenti meletus


ANGGOTA pasukan khas tentera Indonesia mengangkat mayat mangsa letusan Gunung Merapi di perkampungan Ngepringan di Sleman, Jawa Tengah, hari ini. Angka korban daripada siri letupan Gunung Merapi sejak dua minggu lalu mencecah 141 mangsa semalam ketika lebih banyak mayat dikeluarkan dari timbunan abu yang membakar perkampungan itu Jumaat lalu. - Foto AFP/Sonny Tumbelaka

YOGYAKARTA - Kelakuan Merapi yang berubah pada letusan kali ini menyulitkan pakar-pakar gunung berapi meramalkan bila ia akan berhenti meletus dan kembali normal.


Mereka percaya gunung berapi teraktif di dunia itu masih menyimpan tenaga besar di dalam perutnya yang belum dikeluarkan.


Sejak letusan pertama pada 26 Okt lepas gunung berapi berusia 400,000 tahun itu terus meletus, malah letusan pada dinihari 5 Nov dianggap paling dahsyat sejak seabad lepas apabila ia menyembur awan panas abu volkanik setinggi 8,000 meter ke udara.


Kejadian awal pagi Jumaat itu telah menyebabkan hujan abu kerikil volkanik sehingga kota Yogyakarta, yang terletak 32km dari puncak gunung berapi itu, selain turut mengorbankan lebih ramai penduduk di lereng gunung itu.


Sejak letusan pada 26 Okt, lebih 100 penduduk di sekitar lereng gunung berapi itu mati, kebanyakannya akibat terkena awan panas abu volkanik yang suhu panasnya 600 darjah selsius.


Pasukan mencari dan menyelamat percaya masih ada lagi mayat di kawasan penempatan yang teruk terkena awan panas abu volkanik itu, namun usaha mencari dan membawa keluar mereka terhalang oleh kejadian letusan yang berlaku dari semasa ke semasa.


Laporan-laporan menyebut letusan Merapi sehingga kini telah memusnahkan 26 kampung serta sejumlah besar ternakan lembu milik masyarakat kampung.


Sejak letusan awal pagi Jumaat itu, pihak berkuasa telah meluaskan radius kawasan keselamatan iaitu 20 km dari puncak Merapi.


Sebelum ini radius keselamatan ialah 10km dari puncak merapi tetapi kemudiannya ia dinaikkan ke 15km apabila letusan semakin besar berlaku.


Penduduk, yang telah bertahun-tahun biasa dengan letusan Merapi pun kini mula panik dengan perilaku gunung berapi yang luar biasa kali ini dan secara sukarela meninggalkan rumah masing-masing dan menumpang di pusat-pusat pemindahan, menjadikan kawasan penduduk seperti pekan mati.

Pemandu van maut langgar kerbau



IPOH – Gara-gara kerbau melintas jalan, seorang pemandu van maut apabila melanggar haiwan itu berhampiran lampu isyarat Jalan Ipoh - Lumut dekat Falim semalam. 

Mangsa, Kho Hon Leong, 25, dari Taman Canning mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk memandu. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rajab berkata, dalam kejadian pada jam 3.45 awal pagi itu, mangsa yang memandu sendirian dari Ipoh ke Lumut dikatakan gagal mengawal kenderaan dipandunya setelah dua kerbau tiba-tiba melintas jalan. 

Katanya, Hon Leong yang terkejut dengan kemunculan haiwan itu tidak sempat menekan brek dan cuba mengelak daripada melanggar kerbau itu, sebelum dia terbabas di tepi jalan dan merempuh pokok. 

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. 

Mohd Rodzi menasihatkan pemilik haiwan seperti kerbau, lembu dan kambing supaya memastikan ternakan mereka ditambat atau tidak dibiarkan berkeliaran di jalan raya kerana boleh mengundang bahaya kepada pengguna. 

Katanya, kejadian malang yang menimpa Hon Leong sebagai contoh yang berpunca daripada kecuaian pemilik haiwan berkenaan membiarkan lembu, kerbau dan kambing mereka terbiar serta berkeliaran di jalan raya.

Lelong hantaran kahwin



JITRA - Orang ramai mulai membanjiri kawasan pekan Jitra 2 untuk membeli pelbagai barangan yang dilelong peniaga di sini, apabila kawasan ini mula reda dengan banjir yang melanda sejak seminggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, banyak pengguna mengambil peluang membeli pelbagai barangan termasuk pakaian, tudung, tuala dan barangan keperluan lain yang dijual dengan harga lelong di sini sejak beberapa hari lalu.

Dalam masa sama, peniaga juga mengambil kesempatan melelong barangan mereka dengan harga serendah 50 sen kepada pembeli akibat banyak barangan terjejas banjir baru-baru ini.

Peniaga Perniagaan Kain Lim, Lim Kheng Seng berkata, mereka mengambil peluang mengadakan jualan lelong untuk menghabiskan pelbagai stok pakaian yang kebanyakan rosak akibat banjir.

“Banyak juga pakaian yang basah, namun masih elok, jadi saya melelongnya dengan harga yang murah kepada pembeli dan ia akan diteruskan sehingga tiada lagi pembeli yang datang membeli barang lelongan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian banjir itu, perniagaan Lim terjejas teruk dan melibatkan kerugian kira-kira RM30,000 dan terpaksa menjual pelbagai jenis pakaian yang basah dengan harga lelong sehingga mencapai potongan sehingga 40 peratus.

Sementara itu, tinjauan di Kedai Wan Hantaran, pemiliknya, Low Poh Wan, 47, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000 pada kejadian banjir kali ini.

Menurutnya yang menjual pelbagai barangan untuk hantaran perkahwinan dan bunga-bunga plastik itu, dia mula membuka kedainya itu semalam dan pada masa sama membersihkan setiap penjuru kedai yang terjejas banjir baru-baru ini.

“Dalam kejadian banjir baru-baru ini, kita sempat menyelamatkan sebahagian barang dan disimpan di bahagian atas kedai dan sebahagian lagi diangkat dan diletakkan pada tempat yang lebih tinggi dalam kedai ini.

“Jika tidak diselamatkan pasti lebih banyak barang yang rosak dan terpaksa menanggung kerugian yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun Poh Wan berkata, banyak juga barangan yang dijual di kedainya yang perlu dicuci semula sebelum dijual kepada pengguna kerana kesan lumpur yang masih ada pada barang berkenaan.

“Jika ada barang yang masih boleh digunakan kita akan jual, jika rosak teruk kita akan membuangnya sahaja,” katanya.

Sementara itu, Tinjauan di Pusat Optik Jitra mendapati, pemiliknya sibuk membersihkan kedainya bersama beberapa pembantu sebelum membuka semula perniagaan cermin mata itu.

Pemiliknya, Doreen Tan berkata, banyak juga kotak cermin mata yang rosak akibat terkena lumpur dan ia berkemungkinan tidak lagi boleh digunakan semula.

Menurutnya, dia menutup kedai cermin matanya itu sejak hari pertama banjir dan tidak dapat menganggarkan kerugian yang dialami kerana masih belum membuat pengiraan ke atas barangan yang rosak.

“Malah, saya juga tidak pasti bila kedai ini akan mula beroperasi memandangkan masih banyak benda perlu diselesaikan selepas banjir mulai surut,” katanya.



Banjir di Ayer Hitam masih teruk

Dalam perkembangan lain, banjir di Ayer Hitam masih buruk memandangkan air di kawasan Jitra mula surut dan ia turun ke kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Abdul Ghani Ahmad berkata, beberapa kawasan di DUN itu yang terlibat dengan banjir termasuklah Kampung Telaga Batu, Kampung Telaga Batu Putat, Kampung Kota Rentang, Kampung Alor Biak, Sungai Korok, Permatang Bonglai, Pida 1, 2, dan 3.

Menurutnya, sejak banjir mula melanda kawasan itu, beliau bersama skuad banjir Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Ayer Hitam dengan kerjasama penghulu dan Majlis Ketua Kampung (MKK) sentiasa bergerak ke kawasan banjir yang terlibat untuk memberi bantuan.

Menurutnya, bantuan makanan dan keperluan asas diberikan kepada mangsa banjir di seluruh kawasan DUN Ayer Hitam yang terlibat.

“Kita mengambil tanggungjawab sepenuhnya membantu semua mangsa tidak kira mereka yang berpindah ke pusat penempatan sementara mahupun yang mendirikan khemah di sekitar kawasan rumah yang selamat.

“Bantuan tidak mencukupi juga tidak timbul memandangkan kita sentiasa memberi bantuan dari masa ke masa kepada mangsa mengikut keperluan mereka.

“Setiap hari kita akan menghantar skuad banjir ke kawasan yang mengalami banjir bagi melihat keperluan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kelmarin beliau bersama Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak juga melawat beberapa kawasan di DUN Ayer Hitam dan DUN Kota Siputeh bermula dengan pusat penempatan di Sekolah Kebangsaan Kodiang.

Menurutnya, Azizan bersamanya juga melawat di Sekolah Kebangsaan Sri Muda, Alor Biak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Putra, Alor Biak di samping menyampaikan bantuan keperluan makanan dan barangan lain kepada mangsa.

Sehingga jam 10 malam kelmarin, jumlah mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sri Muda, Alor Biak ialah seramai 2,197 manakala di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Putra, Alor Biak pula seramai 713 mangsa ditempatkan di situ buat sementara waktu. 

Musnah sekelip mata





MANTIN – Sebelas sekeluarga di Kawasan Merah, dekat sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah papan yang didiami mereka, musnah dalam kebakaran, petang kelmarin. 


Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, rumah papan yang disewa mereka sejak tiga tahun lalu hangus sekelip mata dipercayai akibat litar pintas. 


Lebih menyedihkan, keluarga berkenaan hanya mampu melihat semua barangan dan peralatan dalam rumah berkenaan hangus terbakar selepas tidak berjaya menyelamatkannya berikutan api terlalu marak. 


sebanyak empat jentera bomba dan penyelamat membabitkan 20 anggota dari Mantin, Seremban 2 dan Nilai bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran. 


Seorang ahli keluarga, Shamsiah Abdullah, 50, berkata semasa kejadian, dia terdengar bunyi letupan kuat dari arah ruang tamu belakang rumah sebelum masing-masing bertempiaran menyelamatkan diri.


"Ketika itu, saya sedang mandi dan terkejut apabila anak dan cucu saya menjerit. Pada mulanya, saya tidak tahu mengapa mereka menjerit dan saya terus keluar dari bilik air. 


"Masa itu, saya lihat api sedang marak dan cuba memadamkannya, tetapi tidak berhasil. Saya hanya mampu berserah melihat satu demi satu bahagian dinding rumah dijilat api dengan cepat," katanya.


Shamsiah bagaimanapun bersyukur kerana suami, anak dan beberapa cucu yang tinggal bersama terselamat, tanpa sebarang kecederaan sekalipun kehilangan harta benda.


Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Ghazali Maulud berkata, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 6.22 petang.


Menurutnya, sebanyak empat jentera bomba dan penyelamat membabitkan 20 anggota dari Mantin, Seremban 2 dan Nilai bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas itu.


“Sebaik sahaja sampai ke tempat kejadian, api sudah marak. Bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dalam masa lima minit sahaja," katanya.


Beliau berkata, kebakaran itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih lagi disiasat.

Padah pandu laju




TANJUNG SEPAT – Akibat memandu dengan keadaan laju di salah sebuah selekoh di Kilometer 64 Jalan Klang – Banting – Port Dickson, seorang lelaki Chong Der Kwei, 38, mati di tempat kejadian apabila kenderaan yang dipandu terbabas ke pesisiran pantai berhampiran Kampung Tumbuk. 

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada hari Deepavali lalu jam 4.30 pagi tetapi hanya disedari pengadu kira – kira jam 9.45 pagi hari yang sama. 

Menurutnya, mangsa yang memandu kenderaan berseorangan telah terhumban ke persisiran pantai ketika air pasang dan telah dijumpai di persisiran pantai ketika air laut surut. 

“Mangsa dipercayai memandu kenderaan tersebut dengan keadaan laju dari arah Sungai Pelek menghala ke Tanjung Sepat hilang kawalan apabila melalui selekoh sehingga terbabas dan terpelanting ke tepi jalan dan terhumban di dalam lumpur pantai kerana dipercayai memandu laju. 

“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan tidak berjaya keluar dari kenderaan dan telah meninggal dunia di tempat kejadian”, katanya kepada Sinar Harian, semalam.