Search This Blog

Sunday, November 7, 2010

Bukit Aman sentiasa pantau orang hilang




2010/11/07

KUALA LUMPUR: Polis Bukit Aman sentiasa memantau ketat senarai orang hilang dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) di seluruh dunia bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa perdagangan manusia atau terbabit dalam perilaku jenayah. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata setakat ini kerjasama dengan Interpol banyak membantu dalam siasatan terutama membabitkan sindiket antarabangsa.Bagi kes orang hilang, katanya semua kes yang dilaporkan kepada polis akan disiasat rapi bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam perilaku jenayah walaupun mangsa mendakwa melarikan diri dengan kerelaan hati.
“Jika terbukti mereka tidak terbabit dengan sebarang kegiatan jenayah, polis tidak boleh ambil tindakan tetapi akan memaklumkan kepada keluarga mereka sebab mereka buat tindakan tanpa paksaan. 

“Kita bimbang jika wujud unsur paksaan seperti culik atau permerdagangan manusia seperti pelacuran. Jika mereka bersih daripada sebarang kegiatan memudaratkan, mereka bebas ke mana saja asalkan mematuhi undang-undang,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Beliau diminta mengulas mengenai laporan kes ramai wanita Malaysia terutama remaja bawah umur yang melarikan diri atau dilarikan teman lelaki ke luar negara terutama ke Indonesia. 

Berdasarkan laman web rasmi Polis Diraja Malaysia, terdapat 311 kes orang hilang dilaporkan sejak 2004 hingga September lalu membabitkan pelbagai kategori umur. Sepanjang tempoh tiga bulan antara Julai hingga September lalu, terdapat 16 kes membabitkan gadis dan remaja bawah umur disenaraikan PDRM. 
Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO percaya, ada antara kes yang dilaporkan itu berkait rapat dengan kes melarikan diri atau dilarikan warga asing untuk dijadikan isteri termasuk remaja bawah umur. 

Mengulas lanjut, Bakri berkata, bagi kes remaja bawah umur, polis akan tetap mengambil tindakan walaupun mereka mendakwa melarikan diri secara sukarela kerana tertakluk mengikut undang-undang. 

“Kes itu kita akan guna tindakan berbeza kerana kemungkinan mereka dipaksa. Polis boleh dakwa sesiapa yang melarikan remaja bawah umur atas tuduhan menahan, mengurung secara salah,” katanya. 

Mengulas mengenai peranan badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu menyelesaikan kes orang hilang, Bakri berkata, kerjasama erat kedua pihak mencapai tahap membanggakan dan perlu diteruskan. 

Katanya, mereka bukan saja membantu mencari orang hilang dan memberikan kaunseling bahkan turut menyebarkan maklumat melalui media, melalui program anjuran mereka di seluruh negara. 

Tiga maut dirempuh pacuan empat roda


Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2010/11/07

Mangsa berjalan di kaki lima ketika dilanggar 

KOTA KINABALU: Tiga sekeluarga yang sedang berjalan di kaki lima di Kilometer 85, Jalan Nangoh-Paitan, Beluran, terbunuh selepas sebuah pacuan empat roda tiba-tiba merempuh mereka, semalam.Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Gagosah Tiopo, 55, bersama anak saudara, Naslia Kamaruddin, 48, dan cucunya, Emmie Galpam, 22, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas terperosok di bawah kenderaan terbabit.
Difahamkan sebelum kejadian, mangsa sedang berbual sambil berjalan di depan rumah Gagosah sebelum pacuan empat roda yang dalam perjalanan ke simpang Jalan Sandakan-Telupid, hilang kawalan lalu merempuh tiga wanita terbabit. 

Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang juga seorang penjual ikan berusia 21 tahun itu, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan ditahan polis. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Beluran, Asisten Supe-rintendan Zakaria A Rahim, berkata semua mayat dihantar ke Hospital Beluran untuk dibedah siasat. 

“Pemandu terbabit bergegas meninggalkan tempat kejadian kerana bimbang keselamatannya sebelum membuat laporan polis dan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan,” katanya di sini, semalam. 
Zakaria berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

Selawat, doa berserah kepada tuhan supaya ditemui: Mangsa bot karam




2010/11/07

KEMAMAN: Sepanjang 16 jam hanyut di lautan, kesemua penumpang bot yang karam di perairan Terengganu berhampiran Pulau Tenggol hanya mampu berdoa dan berselawat selain berserah kepada tuhan supaya mereka ditemui dalam keadaan selamat. 

Pemandu bot, Zulfadly Yahya, 29, berkata dalam keadaan hujan dan kegelapan malam itu, mereka nyaris dilanggar beberapa kapal yang dipercayai tidak nampak mereka terapung di lautan."Sebaik menyedari bot akan karam, saya menyuruh mereka yang telah lengkap dengan jaket keselamatan terjun untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk.
"Selepas itu kami cuba berenang semula ke pulau tetapi gagal akibat ombak yang agak kuat. Apa yang boleh kami lakukan ialah pastikan kami tidak berpecah dan berada dalam keadaan berkumpulan untuk memudahkan pihak berkenaan mengesan kami," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Pangkalan Marin Wilayah Tiga di Kemaman di sini, hari ni. 

Menceritakan kembali kejadian yang berlaku semalam, Zulfadly yang sudah 11 tahun bekerja sebagai pemandu bot, berkata dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu bot jenis D-Guardian Katamaran itu mengalami kerosakan enjin selepas mengambil pelancong dari Pulau Tenggol. 

"Saya cuba membawa bot berpatah balik, tetapi gagal sebab ombak agak kuat menyebabkan bot itu karam tetapi saya sempat hubungi majikan saya bagi memaklumkan kejadian itu," katanya. 

Beliau berkata, sepanjang terapung di lautan dengan keadaan malam yang gelap dan hujan, ada di kalangan mereka yang disengat obor-obor, malah ada yang menangis terutama pelancong wanita. 
Namun, mereka tidak putus asa dan sentiasa berselawat serta berdoa selain memberikan kata-kata semangat antara satu sama lain dan meminum air hujan bagi menghilang dahaga. 

Azhar Ahmad, 40-an dari Kuala Lumpur pula berkata pengalaman sebagai penyelam profesional banyak membantu menyelamatkan keadaan walaupun ketika itu beliau terfikir kematian telah hampir dengan dirinya. 

"Kami datang dari Kuala Lumpur seramai 10 orang, kebanyakannya penyelam bertauliah dan keadaan ini membantu kami agar tidak panik, namun apa yang kami risaukan ada di antara penumpang lain adalah kanak-kanak dan seorang wanita mengandung," katanya yang mempunyai dua tahun pengalaman menyelam. 

Mazli Abd Malik, 33, dari Ampang berkata pada mulanya beliau risau jika mereka tidak ditemui oleh pasukan penyelamat. 

"Sepanjang 16 jam kami terapung di laut dalam keadaan gelap, banyak kapal yang lalu, tetapi semuanya tidak nampak kami," katanya yang bekerja sebagai juruperunding. 

Seorang lagi mangsa, Loo Kit Chong berkata semasa saat-saat cemas sebelum bot itu karam, mereka cuba membuang air dari dalam bot setelah dimaklumkan bot yang mereka naiki mengalami kerosakan. 

"Namun tidak sempat sampai daratan bot itu tenggelam, menyebabkan kami terpaksa terjun. Semasa hanyut, kami beberapa kali nampak daratan dan cuba berenang, namun gagal sebab ombak kuat. 

"Jadi kami ambil keputusan untuk membiarkan diri kami hanyut sahaja untuk menjimatkan tenaga sebelum ditemui oleh pasukan penyelamat," katanya. 

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said melawat kesemua mangsa yang kini dirawat di Hospital Daerah Kemaman. 

"Mungkin disebabkan mereka dari Kuala Lumpur dan Selangor jadi tidak faham dengan keadaan cuaca di Terengganu iaitu pulau-pulau di negeri ini tidak sesuai dikunjungi pada musim tengkujuh kerana ombak besar dan angin kencang. 

"Jadi saya menasihati mereka yang ingin datang ke pulau-pulau di Terengganu supaya menunda hasrat mereka sehingga musim tengkujuh berakhir," katanya. 

Tiga mangsa yang dilaporkan kritikal sebelum ini iaitu seorang kanak-kanak Mohd Danial Aiman Mohd Zulkifli, 4, ibunya yang mengandung empat bulan Noraini Sosilawati, 33, dan Mohd Azharini Mohd Amin kini berada dalam keadaan stabil. - BERNAMA 

Bakti terakhir seorang suami

KUANTAN: “Kami sangat sedih dengan pemergian arwah, apatah lagi dia baru sebulan mendirikan rumah tangga,” kata Mohd Helmi Abdul Jalil, 25, adik kepada Mohd Hazrul, 26, yang lemas di kawasan perkelahan Pasir Kubur, Sungai Lembing, di sini, tengah hari semalam.
Hazrul yang juga kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dikatakan tergelincir bersama isterinya, Nor Faridah Mamat Amin, 26, sebelum mereka dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai berkenaan, kira-kira jam 12 tengah hari.

Mohd Helmi berkata, mangsa bertugas di Padang Rengas, Perak namun pulang bercuti di kampung mereka di Kampung Pulau Tamu, Pekan sebelum dijadualkan pergi menghadiri kursus di Terengganu pada minggu depan.

“Malam tadi (malam semalam), arwah tetap beria-ia mengajak kami pergi berkelah di kawasan perkelahan itu walaupun sebelum ini ibu (Zaidah Abdul Aziz, 55,) menegah kerana sekarang ini musim hujan.

“Ketika kejadian, saya dan ibu mandi di kawasan air cetek manakala arwah dan isterinya mandi di kawasan lebih dalam tidak berapa jauh dari kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Katanya, dia sempat melihat mangsa bersama isterinya tenggelam dan dihanyutkan arus deras sebelum mereka dinaikkan ke tebing dengan bantuan seorang pengunjung yang menghulurkan tali pancing kepada mereka.

“Lebih menyayat hati apabila arwah dikatakan cuba menyelamatkan isterinya daripada lemas dengan mengangkatnya ke permukaan air ketika mereka berdua tenggelam dan dihanyutkan arus.

“Selepas mereka dinaikkan, kami sempat memberi bantuan pernafasan (CPR) selama kira-kira 30 minit kepada arwah, namun dia disahkan meninggal dunia ketika bantuan tiba,” katanya.
Mohd Helmi berkata, jenazah akan dibawa pulang ke Pekan untuk dikebumikan berdekatan kampung halamannya selepas bapa mereka, Abdul Jalil Hassan, 54, pulang dari Sarawak.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklafikasikan kes berkenaan sebagai mati lemas.

Artis berparti Halloween

KUALA LUMPUR: Mengaibkan apabila ada artis tanah air tergamak menyambut Halloween pada 31 Oktober lalu, sedangkan perayaan itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Sekurang-kurangnya dua artis dikesan berbuat demikian, dipercayai di sebuah kelab malam sekitar ibu kota, biarpun jumlahnya mungkin lebih ramai.
Artis terbabit ialah pelakon kontroversi, Fasha Sandha dan penyanyi popular, Joe Flizzow.

Gelagat mereka dikesan selepas lapan gambar Fasha berpakaian seksi ala ‘Genie In The Bottle’ dimuat turun dalam laman sosial Facebook milik kelab peminatnya.


Daripada jumlah itu, tiga gambar Fasha bersama teman lelakinya, Rizal Ashram atau Jejai, dua gambar solo Fasha dan masing-masing satu gambar Fasha bersama Joe, dengan seorang rakannya dikenali Azian dan gambar bertiga bersama Jejai dan Azian.
BUDAYA ASING... gambar Fasha bersama kenalannya meraikan Halloween yang terpapar pada Facebook kelab peminat.

BUDAYA ASING... gambar Fasha bersama kenalannya meraikan Halloween yang terpapar pada Facebook kelab peminat.
Satu gambar solo Fasha ketika menyambut hari itu turut dipapar dalam sebuah laman web hiburan tanah air.

Tindakan Fasha turut mendapat reaksi berbeza daripada peminatnya dalam laman sosial berkenaan. Daripada 29 komen, ada yang menyokong pelakon berusia 26 tahun itu, ada peminat memberi nasihat secara baik dan tidak kurang juga yang mengkritiknya.

Bagaimanapun, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha ketika dihubungi Metro Ahad, enggan mengulas berkenaan isu itu.

Halloween berasal daripada perkataan Hallowe’en iaitu singkatan daripada ‘All Hallow’s Eve’ (malam sebelum hari ‘All Hallow’).

Selain itu, perayaan ini ditentukan mubaligh Kristian bertepatan dengan hari perayaan orang gasar kerana mahukan kaum itu mempercayai agama mereka.

Bagi penganut Kristian, Halloween biasanya dikaitkan dengan syaitan, iblis, ahli sihir, hantu, goblin dan makhluk mitos yang menyeramkan.

Selain itu, perayaan itu disambut dengan menghiasi rumah dan pusat beli-belah dengan simbol tertentu seperti labu yang diukir membentuk wajah menyeramkan iaitu nama Jack-o’-lantern dan berpakaian aneh.

Mengulas mengenai budaya itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, orang Islam tidak boleh terpedaya hingga terbabit dalam perayaan berkait dengan agama lain seperti Halloween kerana adalah jelas ia satu daripada upacara orang Kristian.

“Jika berkaitan dengan agama lain selain Islam, kita seharusnya berhati-hati walaupun menyertainya sekadar untuk suka-suka. Apa matlamat kita meraikannya, sedangkan ia bukan dalam budaya Islam.

“Dalam Islam, ada perkara yang boleh untuk kita raikan, kenapa kita perlu cari budaya yang berkaitan dengan agama lain seperti menyambut Halloween.

“Tidak kira hanya suka-suka atau apa juga tujuannya, orang Islam patut mengelak menyambut perayaan Hallowen kerana ia boleh mendatangkan syirik,” katanya.

Muslihat baru Israel

BEIT IKSA (Tebing Barat): Projek sistem kereta api berkelajuan tinggi bernilai AS$2 bilion (RM6.4 bilion) antara Tel Aviv dan Baitulmaqdis yang dirancang Israel bertukar menjadi mimpi ngeri apabila laluan projek akan diubah ke Tebing Barat.
Laluan baru itu akan dibina di wilayah yang menjadi pergolakan antara negara Zionis dan Palestin bagi meredakan kemarahan penduduk Yahudi yang membantah rancangan awal pembinaan landasan berhampiran kediaman mereka, selain kononnya untuk berfungsi sebagai jalan pintas. Pengkritik mendakwa tindakan itu melanggar undang-undang antarabangsa kerana projek pembinaan akan mencerobohi tanah milik penduduk Palestin dan tidak memberi manfaat kepada penduduk di Tebing Barat.

“Kerajaan Palestin akan berusaha bersungguh-sungguh mengikut saluran yang sah dan menggunakan apa juga kaedah diplomatik bagi menamatkan pencerobohan dan keganasan terhadap hak rakyat Palestin ini,” kata jurucakap kerajaan, Ghassan Khatib.

Beliau menggesa syarikat asing yang terbabit dengan projek pembinaan kereta api laju itu supaya menarik diri.

Beberapa syarikat dari Itali dan Russia dikatakan terbabit dalam projek pembinaan landasan itu, manakala anak syarikat kereta api dimiliki kerajaan Jerman pula bertanggungjawab ke atas pelan teknikal projek berkenaan.

Kerajaan Palestin berhasrat menubuhkan negara berdaulat yang menggabungkan wilayah di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis yang dijajah Israel sejak 1967. Sementara itu, sumber pegawai kerajaan Israel berkata, mereka akan memastikan projek keretapi Tel Aviv-Bailtulmaqdis itu akan memberi faedah kepada rakyat Palestin. Bagaimanapun seorang penyelidik, Dalit Baum berkata, rancangan Israel itu hanya satu muslihat supaya projek berkenaan seolah-olah dilihat memberi manfaat kepada kedua-dua negara itu.

Laluan sepanjang enam kilometer yang akan dibina menerusi terowong itu membabitkan penempatan penduduk Palestin di Beit Iksa dan Beit Surik. Kebanyakan penduduk di dua kawasan itu sudah pun kehilangan tanah mereka ketika Israel membina tembok pemisah di Tebing Barat. - AP

Suami dah mati, isteri diburu along

NUSAJAYA: Malang sungguh nasib seorang wanita yang belum habis berkabung akibat kematian suami apabila datang pula ceti haram atau along membuat kacau ketika upacara menguruskan mayat di Taman Seri Yaacob, di sini, baru-baru ini.
Lebih menyeksakan, wanita itu kini hidup dalam ketakutan apabila diganggu sekumpulan along yang menuntut dia melunaskan baki pinjaman mendiang suaminya yang meninggal dunia dipercayai akibat membunuh diri, dua minggu lalu.

Tidak cukup menerima puluhan panggilan telefon daripada along terbabit, mangsa mendakwa pintu pagar rumahnya turut dipasang mangga oleh anggota sindiket berkenaan.

Ketika mayat mendiang suami masih di rumah mangsa dua minggu lalu, along berkenaan menemui wanita berusia lewat 40-an itu dan mengarahkannya melunaskan baki hutang tanpa menghormati upacara yang berjalan.

Mangsa bukan saja ketakutan akibat diancam along berkenaan, malah bimbang jika suaminya turut meminjam wang daripada beberapa along lain.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Aziz Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat mangsa berhubung tindakan along yang mengganggu wanita terbabit.

“Wanita terbabit mendakwa dia diganggu along yang menuntut baki pinjaman oleh mendiang suaminya sebelum ini, menyebabkan dia dalam ketakutan dan tertekan.

“Siasatan awal mendapati mangsa kerap diganggu, namun tidak membabitkan kecederaan fizikal atau tindakan membaling cat pada rumah sebagai amaran,” katanya.

Mangsa banjir di daerah Kota Setar terus meningkat

ALOR SETAR: Keadaan banjir di daerah Kota Setar semakin buruk dengan lebih ramai penduduk di daerah itu dipindahkan sehingga petang ini, namun jumlah mangsa banjir di Kedah keseluruhannya berkurangan.
Jumlah mangsa banjir di daerah Kubang Pasu tidak berubah, manakala di daerah Pokok Sena dan Pendang semakin berkurangan. Sehingga jam 4 petang ini, seramai 31,712 orang daripada 7,856 keluarga masih berada di 83 pusat pemindahan di empat daerah itu.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara ketika dihubungi berkata di daerah Kota Setar, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 21,116 orang dengan jumlah keluarga 5,060 berbanding 21,058 orang pagi ini.

Bilangan mangsa di Kubang Pasu pula masih kekal 9,531 orang daripada 2,591 keluarga, manakala jumlah mangsa di daerah Pokok Sena berkurangan kepada 1,003 orang daripada 143 keluarga dan di Pendang seramai 242 orang melibatkan 62 keluarga.

Beliau berkata, daripada 83 pusat pemindahan yang masih dibuka, 45 ialah di daerah Kota Setar, 34 di Kubang Pasu, tiga di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Sementera itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (Sada) Datuk Adzmi Din berkat,a sehingga kini 75 peratus loji bekalan air di Bukit Pinang telah beroperasi dan Sada sedang berusaha untuk membolehkan loji itu beroperasi 100 peratus.

"Kita jangkakan satu atau dua hari lagi loji akan pulih dan bekalan air dapat disalurkan ke semua kawasan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, 11 kawasan di daerah Kota Setar dan beberapa kawasan di daerah Pokok Sena belum mendapat bekalan air sepenuhnya, manakala di Padang Terap, masalah bekalan air pulih sepenuhnya.
"Kami akan berusaha untuk pulihkan bekalan air ini secepat mungkin supaya semua penduduk mendapat bekalan air bersih dengan cepat," katanya. Sementara itu, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pelajaran Kedah berkata, kira-kira 30 sekolah di daerah Kota Setar masih ditutup kerana dinaiki air dan ada juga yang dijadikan tempat penempatan banjir.

Jurucakap itu berkata, lapan sekolah di Kubang Pasu masih ditutup, empat daripadanya dijadikan pusat penempatan banjir dan empat lagi dinaiki air manakala di Padang Terap, semua sekolah dibuka seperti biasa. Sehingga petang ini, hanya satu jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Jitra-Sungai Korok, manakala lima jalan di daerah Kota Setar dan dua jalan di daerah Kubang Pasu masih digenangi air, tetapi tidak ditutup kepada lalu lintas.

Sementara itu, KM28 Lebuhraya Utara Selatan ke utara dan selatan yang ditutup sebelum ini telah dibuka satu lorong ke utara dan satu lorong ke selatan.-- Bernama

Raja dadah Mexico ditembak mati

MEXICO CITY: Pasukan keselamatan Mexico menembak mati salah seorang raja kartel dadah paling dikehendaki di negara itu, Antonio Ezequiel Cardenas Guillen dalam kejadian berbalas tembakan, semalam di bandar Matamoros di utara Mexico.
Cardenas Guillen, atau lebih dikenali sebagai ‘Tony Tormenta’ atau ‘Taufan Tony’ adalah adik kepada bekas ketua dadah, Osiel Cardenas Guillen yang dipenjarakan, dipercayai menjalankan rangkaian dadah terbesar bersama Jorge Eduardo Costilla Sanchez. Cardenas Guillen menjadi mangsa terbaru pemimpin dadah berprofil tinggi yang ditumpaskan pasukan tentera, Presiden Felipe Calderon yang ditempatkan di seluruh negara untuk memerangi kegiatan penyeludupan dadah di Mexico.

Insiden terbaru di Matamoros yang bersempadan dengan Brownsville, Texas di Amerika Syarikat (AS) itu turut menyebabkan tiga anggota kumpulan bersenjata dan dua tentera marin terbunuh, kata jurucakap keselamatan pasukan tentera Calderon, Alejandro Poire. Jabatan Pertahanan Mexico pula melaporkan, seorang askar dan wartawan juga dilaporkan maut dalam pertempuran itu.

“Hari ini kami berjaya mara selangkah lagi untuk melumpuhkan kumpulan penjenayah yang sudah melakukan banyak kemusnahan di negara ini,” ujar Poire.

Kejadian tembak-menembak itu bermula kira-kira jam 11 pagi di kawasan penempatan di Matamoros dan berlanjutan hingga ke pusat bandar selama lapan jam, kata seorang penduduk yang tidak mahu dikenali. Rakaman video yang dihantar ke laman YouTube menunjukkan aksi kejar-mengejar beberapa kenderaan pacuan empat roda dan trak pikap di jalan raya dengan hingar-bingar bunyi tembakan serta kumpulan lelaki bertopeng yang menyekat lalu lintas. Sebelum ini, Cardenas Guillen, 48, pernah didakwa atas kesalahan mengedar dadah di AS dan pihak berkuasa AS menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM16 juta) terhadap maklumat yang membawa kepada penangkapannya. - AP

Kanak-kanak lemas cuba selamat sepupu

BACHOK: Hasrat seorang kanak-kanak perempuan menyelamatkan sepupunya yang lemas di tali air tidak kesampaian apabila dihanyutkan air deras sungai dalam kejadian di Kampung Tualang, Banggu, Binjai, di sini, semalam.
Kejadian jam 10 pagi itu berlaku ketika Siti Nur Fatihah Sharom, 11, bersama dua rakannya yang lain membantu menyelamatkan sepupunya, Mohd Faiz Ismail, 7, yang hampir lemas ketika mandi di kawasan tali air itu.

Difahamkan, empat sekawan terbabit mengambil peluang cuti hujung minggu semalam untuk bermain di kawasan tali air, namun keadaan bertukar sebaliknya selepas seorang daripada mereka lemas.

Melihat mangsa terkapai-kapai untuk mendapatkan bantuan, mangsa yang berada di atas jambatan melompat ke dalam tali air tetapi impiannya tidak tercapai kerana dihanyutkan air deras sungai dengan kedalaman enam meter.

Berikutan itu, penduduk kampung melakukan operasi menjejaki mangsa di sekitar kawasan kejadian sebelum menemui mayat mangsa di dasar sungai iaitu kira-kira 10 meter dari lokasi kehilangannya.

Bapa saudara mangsa, Ismail Harun, 34, berkata dia yang baru keluar rumah untuk ke tempat kerja tidak menduga mendapat berita menyedihkan selepas dimaklumkan mengenai kejadian yang meragut nyawa anak saudaranya.

“Ketika melangkah keluar rumah, seorang rakan mangsa memberitahu Siti Nur Fatihah lemas di tali air. Saya diberitahu kejadian berlaku ketika mangsa mahu menyelamatkan anak saya yang lemas di tali air.

“Dalam keadaan panik, saya segera menuju ke lokasi kejadian dan mendapatkan kepastian daripada anak dan rakannya mengenai lokasi kejadian sebelum melakukan selaman di dasar sungai untuk menjejaki mangsa,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.
Menurutnya, proses menjejaki mangsa mengalami kesukaran kerana keadaan tali air deras pada dasarnya dengan kedalaman enam meter, menyebabkan kerja mencarinya dilakukan dengan penuh berhati-hati.

“Kawasan tali air memang berisiko kerana pernah meragut nyawa beberapa kanak-kanak, termasuk abang kepada mangsa, Mohd Fizi pada 1998 dan sejak itu ia belum lagi ‘makan orang’ hinggalah kejadian semalam.

“Keadaan sungai yang dalam menyebabkan kami terpaksa menggunakan kaki untuk mengesan mangsa kerana percaya tubuhnya masih berada di dasar tali air sebelum berhasil menjumpainya sejam kemudian,” katanya.

Katanya, lebih menyedihkan ibu mangsa, Haslina Haron, 42, baru saja terbabit dalam kemalangan jalan raya selepas dilanggar lari sebuah kereta dalam kejadian di bandar Kota Bharu, manakala ayahnya membawa lori di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Hasmadi Jusoh, mengesahkan pihaknya menerima kejadian kira-kira jam 10.15 pagi daripada penduduk kampung selepas sejam kejadian berlaku.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dari Unit Skuba Kota Bharu sampai ke lokasi kejadian pada jam 10.30 pagi untuk melakukan persiapan bagi menyelamat mangsa, namun mayat ditemui penduduk kampung.

Budak maut

TELUK INTAN: Tindakan seorang abang membawa adiknya ke pasar malam kerana rindu lama tidak bertemunya berakhir dengan tragedi selepas kedua-duanya terbunuh apabila motosikal dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di tepi jalan di Sungai Tiang Baroh, Selekoh, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang, Ahmad Zia-ul Imran Ahmad Jalaluddin, 4, membonceng di bahagian depan, meninggal dunia di tempat kejadian manakala abangnya yang menunggang motosikal, Ahmad Zia-ul Ikmal, 15, menghembuskan nafas terakhir tidak lama kemudian ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Selekoh.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.

Rakan Allahyarham Ahmad Zia-ul Ikmal, Muhammad Nafis bahari, 15, yang membonceng di belakang hanya cedera ringan dan turut menerima rawatan di klinik sama.

Menyayat hati, kejadian berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Selekoh selepas ke pasar malam di Sungai Tiang Baroh.

Difahamkan, Ahmad Zia-ul Ikmal membawa adiknya bersama ke pasar malam berkenaan bagi melepaskan rindu kerana sudah lama tidak bertemu adik bongsunya memandangkan arwah bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam, Selangor dan baru pulang ke rumah sempena cuti Deepavali.

Keluarga mangsa, terutama ibu mereka, Makhtum Yusuf, guru kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup dan suami, Ahmad Jalaluddin Yassin, juga guru di SMK Seri Muara di sini, tidak dapat ditemubual kerana masih trauma dengan tragedi meragut nyawa dua ahli keluarga mereka sekali gus itu.

Jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiang Darat, di sini, kira-kira jam 3 petang semalam di dalam satu liang lahat.

Dadah: Aktor kena cekup

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon sebuah filem yang memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 baru-baru ini, ditahan polis malam kelmarin, dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan dadah jenis metafetamin.
Pelakon berusia 30 tahun itu ditahan bersama tunangnya yang juga pelayan pelanggan (GRO) ketika menunggu bekalan dadah di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) di Ampang, di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, saringan awal di ibu pejabat polis daerah itu mendapati kedua-dua mereka positif metafetamin.

“Ketika ditahan kira-kira jam 8 malam, kedua-dua mereka menunggu bekalan dadah, dipercayai daripada bekas kekasih wanita terbabit yang menetap di kawasan berhampiran. Pelakon itu mengaku mengambil dadah itu sejak sembilan bulan lalu,” katanya, semalam.


“Kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kerjaya seni artis ini bermula sebagai anggota sebuah kumpulan pemuzik, namun hanya tampil dengan satu album sebelum dibubarkan.

Selain watak utama beberapa drama, dia juga sering tampil sebagai pelakon pembantu di sebuah syarikat perfileman terkemuka.

Ibu dan anak maut dalam kebakaran di Kampung Parit Lapis

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan ibunya mati dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Parit Lapis Seri Paya Darat, Ayer Hitam, Batu Pahat, awal hari ini.
Mayat Lenny Mariyana Daud, 29, dan anaknya Nor Sabihah Qasreena Mohd Nizam ditemui dalam keadaan berpelukan di atas katil dalam bilik mereka.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, kedua-dua beranak itu dipercayai terperangkap dalam kebakaran yang berlaku pada jam 1 pagi itu.

Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas pendawaian letrik dalam bilik tidur mangsa, katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Ibu kepada Lenny Mariyana yang enggan namanya disiarkan berkata, dia terbangun apabila terdengar anaknya menjerit meminta tolong.

"Malangnya, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana api telah marak di bahagian dinding bilik tidur mereka," katanya.

Katanya, ketika kejadian terdapat tujuh anggota keluarga yang lain di dalam rumah itu dan kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.

Mayat kedua-dua beranak itu dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat.-- Bernama

Pelakon dan tunang ditahan kes dadah dijangka bebas esok

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon lelaki dan tunangnya yang ditahan Jumaat lalu kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dijangka dibebaskan esok.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin berkata, tempoh tahanan reman kedua-dua mereka akan berakhir esok dan berkemungkinan akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas semua keterangan diambil.

"Polis sudah mengambil keterangan daripada pelakon itu dan tunangnya, setakat ini kita berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan.

"Siasatan diteruskan untuk mengetahui punca bekalan dadah diperolehi dan sejauh mana pembabitannya dalam aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Amiruddin berkata, polis turut menyiasat sama ada kedua-dua suspek terbabit dalam pengedaran dadah.

Jumaat lalu, pelakon dan tunangnya itu ditahan ketika sedang menunggu bekalan dadah dari bekas teman lelaki wanita itu (tunang) di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) di Ampang Jaya.

Hasil ujian saringan air kencing polis mendapati kedua-dua mereka positif dadah.

Amiruddin berkata, polis masih mengesan bekas teman lelaki wanita itu yang dipercayai masih lagi berada di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-Bernama

Lelaki kurang siuman korban banjir


07/11/2010 4:20pm

ALOR SETAR - Seorang lelaki kurang siuman dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjun ke dalam sebuah sungai berhampiran wat Siam di Jitra tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Sawaluddin Hamenuddin berkata mangsa, Ahmad Hamizan Ahmad Suhaimi, 24, dari Taman Seri Utama di sini dikatakan terjun ke dalam sungai itu kira-kira 12.15 tengah malam tadi dan dilihat oleh orang awam.
"Mereka (orang awam) terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu kerana mereka tidak sempat menyelamatkan mangsa disebabkan arus sungai tersebut deras," katanya.
Beliau berkata, sehingga kini, gerakan mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan. - Bernama

Nur Irshah lemas di tali air ditemui


07/11/2010 4:23pm

ALOR SETAR - Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, mangsa lemas yang dijumpai pagi semalam telah dikenal pasti sebagai Nur Irshah Rosli, 9, iatu anak kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.
"Mayat mangsa telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tanjung Bendahara kira-kira 7 petang semalam.
"Seorang lagi mangsa, Awwad Hakimi Rudaini, 7, yang turut dikhuatiri lemas bersama Nur Irshah masih belum ditemui dan pasukan penyelamat masih meneruskan gerakan mencari dan menyelamatnya," katanya.
Kedua-dua kanak-kanak tersebut dikatakan bermain berhampiran tali air di Tanjung Bendahara sebelum terjatuh ke dalam tali air tersebut Khamis lalu. - Bernama

21 maut dalam nahas pesawat sewa khas di Pakistan

MULA MENYIASAT: Pegawai dan askar Pakistan memeriksa di tempat pesawat yang membawa kakitangan syarikat minyak Italy, ENI, terhempas dan membunuh semua penumpang dekat sebuah depot tentera di Karachi. -- Foto AP



KARACHI: Sebuah pesawat sewa khas yang membawa kakitangan sebuah syarikat minyak Italy terhempas sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang Karachi semalam, menyebabkan kesemua 21 penumpang terkorban, kata para pegawai.
Pesawat Beech 1900 milik syarikat JS Air itu baru saja berlepas apabila juruterbangnya memberitahu menara kawalan ada masalah enjin, kata Encik Pervez George, seorang jurucakap Penguasa Penerbangan Awam (CAA) Pakistan.Juruterbang diarah berpatah balik tetapi sewaktu pesawat itu membelok ia menjunam dekat sebuah depot tentera.Ia terbakar selepas terhempas dan patah dua, dengan ekornya terpisah dari badannya yang hangus.'Pesawat hangus dan tidak ada mangsa terselamat. Mayat mangsa tidak dapat dikenal langsung,' ujar pegawai penyelamat, Leftenan Kolonel Noor Alam, dekat tapak nahas di Gulistan- e-Jauhar.Encik George berkata punca nahas ialah kerosakan teknikal kerana juruterbang melaporkan salah satu enjin pesawat itu tidak berfungsi.Sebahagian besar daripada 21 orang dalam pesawat itu dipercayai rakyat Pakistan, tetapi kedutaan asing berkata mereka sedang menyiasat sama ada terdapat rakyat asing.Seorang pegawai JS Air di Karachi berkata pesawat itu disewa ENI, sebuah syarikat minyak Italy.Ia berlepas dari lapangan terbang Jinnah di Karachi sejurus selepas 7 pagi dan sedang menuju telaga minyak di Bhit Shah, dalam wilayah Sindh, selatan Pakistan, apabila nahas berlaku.Jurucakap JS Air, Encik Nadeem Hanif, berkata pesawat itu berupaya membawa 19 penumpang dan dua kru. Ia sudah pun diperiksa sebelum berlepas semalam.'Ia sebuah pesawat bagus dan sudah diberi kebenaran terbang,' kata beliau.Ini nahas pesawat kedua terburuk di Pakistan tahun ini. Pada 28 Julai, sebuah pesawat Airbus 321 membawa 152 orang terhempas dekat Islamabad, menyebabkan semua penumpang terbunuh. -- AP, AFP.

Kesemua 16 mangsa bot karam di Pulau Tenggol ditemui selamat


KEMAMAN - Kesemua 16 mangsa yang dikhuatiri hilang dalam kejadian bot karam di Pulau Tenggol dekat sini petang semalam ditemui selamat dalam keadaan terapung kira-kira 12 batu nautika dari pulau berkenaan menghala ke Kuantan pagi ini.

Ketua Pasukan Gerakan Marin Wilayah Timur, ACP Mohd Salleh Mat Jani berkata, kesemua mangsa iaitu sembilan lelaki dewasa, enam wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, ditemui dalam keadaan keletihan kira-kira pukul 10 pagi tadi oleh pasukan gerakan marin yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat. 

Kesemua mangsa kini dalam perjalanan pulang ke jeti Pangkalan Marin Wilayah Timur Teluk Kalong di sini untuk diberikan bantuan dan rawatan.

Pencuri licik




SEGAMBUT – Kejadian pecah dan samun di Medan Niaga Taman Sri Kuching dekat sini semakin menjadi-jadi. 

Terbaru kegiatan yang didalangi kumpulan tertentu semakin berani apabila sanggup memecah sebuah premis menjual alat ganti mesin lima kali dalam tahun ini. 

Pemilik premis terbabit John Lee 50, mengakui masalah tersebut mula berlaku sejak awal tahun ini. 

Dalam dua kejadian sebelum ini, penjenayah yang masuk dengan memotong pagar pintu utamanya melarikan semua kabel dan wayar elektrik miliknya. 

“Mereka cukup licik dan pakar membuka pintu yang sudah dikunci menggunakan mangga. 

“Kedua-dua kejadian itu saya percaya berlaku pada waktu pagi kerana kawasan ini agak sunyi dan jauh daripada pandangan awam,”katanya ketika ditemui kelmarin. 

Dalam pada itu, John Lee berkata, tiga bulan lalu sebuah premis perniagaan di kawasan itu turut di samun enam lelaki bermotosikal dan bersenjatakan parang.

“Penjenayah itu mengambil kesempatan sewaktu premis perniagaan hendak ditutup kira-kira jam 6 petang, nasib baik pekerja premis terbabit tidak dicederakan, namun wang hasil jualan kesemuanya berjaya dilarikan,” katanya. 

Dia berkata, keadaan itu jelas menunjukkan kumpulan itu semakin berani menunjuk kuasa kerana setakat ini tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka. 

Sementara itu seorang lagi pemilik premis di situ, Simon Lee, 55, mendakwa kumpulan tersebut juga bertindak menyamar sebagai pemilik premis.

Menurutnya, dia pernah ternampak beberapa individu yang mencurigakan memecahkan pintu salah sebuah premis di situ dan kemudiannya memasang kunci baru. 

“Kejadian tersebut pernah berlaku dan tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk memudahkan mereka memantau keadaan sekitar dan melakukan aktiviti pada masa yang sesuai tanpa disedari sesiapa. 

“Tindakan itu jelas membuktikan bahawa mereka melakukan aktiviti ini sepenuh masa kerana percaya tiada sesiapa yang boleh menghalang mereka,” katanya.

Tanaman dimusnah



FELDA TEMBANGAU 3 – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tembangau 3 hilang sumber pendapatan apabila tanaman sawit yang diusahakan setahun lalu dimusnahkan Pejabat Tanah Daerah. 

Lebih mengecewakan apabila sebahagian tanaman ditebang tanpa sebarang notis malah penduduk mendakwa baki tanaman itu akan ditebang pada bila-bila masa untuk projek pembangunan. 

Kebanyakan penduduk yang juga pekerja Felda Plantation Sdn Bhd mengaku bahawa tanaman kelapa sawit itu diusahakan di atas tanah Kerajaan Negeri, namun ia antara inisiatif mereka mendapatkan wang untuk tabung PIBG. 

Penduduk, Md Naser Md Zin, 49, berkata, mereka mengusahakan projek tanaman sawit kerana tidak mahu tanah itu terbiar begitu sahaja sebelum projek pembangunan dimulakan. 

“Kami tahu kawasan ini akan dibangunkan tetapi kami pasti ia akan mengambil tempoh masa lama. Daripada dibiarkan ditumbuhi semak samun, kami mengambil keputusan untuk mengusahakan projek ini. 

“Tidak sepatutnya tanaman ini dimusnahkan begitu sahaja sedangkan projek pembangunan di atas tanah itu lambat lagi. Mereka tidak perlu bertindak kejam terhadap kami,” katanya kepada Sinar Harian. 



Gaji kecil jadi punca 



Md Naser berkata, setiap pekerja ladang di kawasan itu menerima pendapatan hanya sebanyak RM16.60 sehari dan ia menyukarkan mereka menyediakan kewangan mencukupi untuk pendidikan anak masing-masing. 

Menurutnya, projek itu adalah antara langkah penyelesaian diambil PIBG untuk mengisi tabung persatuan seterusnya menjalankan pelbagai aktiviti sekolah membabitkan murid. 

“Ramai dalam kalangan pekerja masih berhutang dengan pihak sekolah kerana tidak mampu membayar yuran selain yuran sekolah.

“Jadi, melalui kata sepakat, hasil bantuan PIBG dan individu yang mendermakan benih serta baja, sebanyak 1,500 pokok sawit dapat ditanam,” katanya. 

Sinar Harian difahamkan, sebahagian tanaman sawit yang diusahakan itu sudah mengeluarkan hasil yang dimasukkan ke dalam tabung PIBG. 

Manakala, tanaman sawit yang ditebang pula berada di atas tapak projek pembinaan klinik di kawasan itu untuk kemudahan mereka pada masa akan datang. 



Kami bukan anti pembangunan 



Seorang pekerja, Rosnizam Abdul Ghani, 38, berkata, pekerja di kawasan itu bukanlah anti pembangunan tetapi sebelum sebarang projek pembangunan dilaksanakan kerajaan, mereka tidak mahu tanah terbiar begitu sahaja. 

Katanya, mereka mengusahakan tanah itu bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi demi pendidikan anak-anak pekerja Felda Plantation. 

“Kami berbangga apabila kerajaan mahu mendirikan sebuah klinik di sini tetapi janganlah aniaya kami dengan menebang pokok sawit itu. 

“Tidak bolehkah mereka menunggu sehingga projek hendak dijalankan baru tanaman itu ditebang. Sekurang-kurangnya kami sempat menikmati hasil tanaman itu demi anak-anak kami,” katanya. 

Rosnizam berkata, cara itu sahaja dapat mengurangkan beban memandangkan pendapatan mereka yang terlalu kecil. 

Menurutnya, PIBG termasuk ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan projek haram itu kerana ia tidak akan dilaksanakan jika gaji mereka setimpal dan mengikut peredaran masa. 



Permohonan tiada jawapan 



Permohonan untuk melaksanakan projek tanaman sawit di atas tanah kerajaan itu pernah dihantar ke Pejabat Tanah Daerah, namun tiada jawapan yang diterima PIBG. 

Md Naser berkata, memandangkan keputusan daripada pihak berkenaan lewat, mereka tidak mahu membazirkan masa untuk terus membiarkan tanah itu terbiar dengan semak-samun. 

Menurutnya, keputusan menebang pokok sawit tanpa perbincangan itu cukup mengecewakan mereka, malah berharap ada pihak yang boleh campur tangan menyelesaikan isu itu. 



Tidak akan kompromi 



Sinar Harian seterusnya menghubungi Pejabat Tanah Daerah berhubung isu penebangan tanaman kelapa sawit itu. 

Pegawai Daerah, Datuk Ahmad Daud, berkata, pencerobohan tanah haram kerajaan tidak wajar berlaku. 

Menurutnya, penduduk terbabit perlu memahami tindakan tegas akan diambil jika mereka mengusahakan tanah kerajaan terutamanya tanah pembangunan. 

“Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang menceroboh tanah kerajaan. Tidak kira apa bangsa sekali pun yang menceroboh, tindakan tetap akan diambil tanpa sebarang notis. 

“Jadi, mana-mana tanah kerajaan yang diusahakan secara haram untuk pembinaan rumah, kedai mahupun tanaman akan dimusnahkan walaupun pembangunan bakal dilaksanakan mengambil masa lama,” katanya. 

Beliau berkata, kawasan itu akan dibangunkan sebagai kawasan bandar baru yang lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk penduduk di sini pada masa akan datang. 

Beliau juga mahu penduduk memberikan kerjasama yang baik dalam hal itu jika mereka benar-benar bukan anti pembangunan dan jangan menceroboh kawasan yang bukan hak sendiri.