Search This Blog

Saturday, November 6, 2010

Minta mangsa ugutan lelaki menyamar tampil



SHAH ALAM – Polis meminta mangsa tampil membuat laporan berhubung kes penyamaran individu sebagai anggota polis yang meminta wang perlindungan untuk membantu siasatan. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, sehingga petang semalam, pihaknya masih belum menerima keterangan daripada mana-mana individu. 

Katanya, identiti lelaki yang menyamar sebagai polis itu masih belum dikenal pasti kerana pengadu sebelum ini tidak dapat mengecam nombor pendaftaran kereta yang dinaiki individu berkenaan. 

“Kami (polis) tidak dapat menangkap individu itu kerana tidak mempunyai maklumat lengkap berkaitan dengannya. 

“Siasatan masih dijalankan dan kami minta sesiapa yang pernah menjadi mangsa tampil memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

Rabu lalu, seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa ditahan seorang lelaki mengaku anggota polis, menaiki kereta jenis Proton Saga Aeroback sebelum diarahkan masuk ke dalam kenderaan berkenaan dan meminta wanita itu menunjukkan pasportnya. 

Bagaimanapun, apabila mendapati pasport itu adalah sah, lelaki tersebut meminta wanita berusia 43 tahun itu membuat 20 salinan, sebelum memberhentikan keretanya berhampiran sebuah kedai gambar di Seksyen 7, Shah Alam. 

Wanita itu kemudiannya diarahkan supaya meninggalkan semua barang yang dibawanya dan apabila keluar untuk membuat salinan, didapati kereta itu lesap bersama barangnya. 

Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu berbadan tegap, mempunyai ketinggian lima kaki lima inci, berkulit kuning langsat, berambut pendek dan menggunakan kereta Proton Saga Aeroback biru tua. 

Noor Azam berkata, sasaran utama mangsa kes itu adalah pekerja warga asing:.

Suspek kes tikam pemilik kedai eletrik ditahan



SHAH ALAM – Seorang suspek kes pembunuhan pemilik kedai elektrik yang ditemui mati berlumuran darah di lorong belakang, dekat Jalan Awan Jawa, Taman Yarl, Jalan Klang Lama kelmarin, ditahan tengah malam tadi. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki berumur dalam lingkungan 30-an itu ditahan di rumahnya dekat tempat tinggal mangsa di Jalan Klang Lama. 

“Siasatan mendapati motif pembunuhan disebabkan hutang kerana suspek dipercayai berhutang dengan mangsa. 

“Mangsa sering menuntut suspek yang tidak bekerja itu supaya membayar hutang dan menyebabkan suspek tertekan kerana tidak mampu untuk membayarnya,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam. 

Semalam akhbar ini melaporkan mayat lelaki lingkungan 20-an ditemui dengan kesan tikaman di dada dalam kenderaan pacuan empat roda. 

Mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam di tempat lain dan ditinggalkan di situ.

Tiga berang samun kedai runcit



SHAH ALAM – Hanya keran:a gagal mendapatkan minuman keras, seorang lelaki naik berang sehingga sanggup menyamun sebuah premis kedai runcit di Selayang Baru, Gombak, Khamis lalu. 

Suspek turut mengajak dua rakannya menyamun premis itu, namun ketiga-tiga mereka ditahan kira-kira 15 minit kemudian. 

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, suspek memasuki premis dan berpura-pura mahu membeli minuman keras. 

Menurutnya, pemilik premis memberitahu dia tidak menjual minuman keras. 

“Suspek tidak berpuas hati dan memarahi pemilik premis kedai itu dan beredar sebelum datang semula bersama sebilah parang selepas itu,” katanya. 

Beliau berkata, dua rakan suspek meluru masuk dan mengacukan parang. 

“Mereka mengambil rokok, barangan dan wang tunai sebelum melarikan diri,” katanya. 

Katanya, dalam tempoh 15 minit, ketiga-tiga suspek berusia 18 hingga 26 tahun itu berjaya dikesan dan ditahan berhampiran premis yang disamun. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung penahanan ketiga-tiga suspek itu.

Kanak-kanak perempuan 11 tahun mati lemas di tali air


KOTA BHARU -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun mati lemas ketika cuba menyelamatkan sepupunya daripada lemas di tali air di Kampung Tualang, Banggu, di sini hari ini.

Mayat Siti Nur Fatihah Sharom, murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Banggu di sini dijumpai kira-kira setengah jam selepas kanak-kanak itu dilapor hilang dibawa arus deras di tali air itu.

Bapa saudara mangsa, Ismail Harun, 34, berkata Siti Nur Fatihah cuba menyelamatkan anaknya Mohd Faiz, 9, yang hampir lemas ketika mandi di tali air itu bersama empat rakannya kira-kira pukul 10 pagi.

"Melihatkan keadaan sepupunya itu (Mohd Faiz) hampir lemas Siti Nur Fatihah terjun ke dalam tali air yang dipenuhi air dan arus yang deras menyebabkan mangsa terus hilang dibawa arus," katanya.

Beliau berkata Mohd Faiz berjaya diselamatkan rakan anaknya itu yang sebaya dengannya.

Ismail yang bekerja sebagai pendawai elektrik berkata mayat Siti Nur Fatihah dijumpai kira-kira 10 meter dari tempat kejadian oleh penduduk kampung yang mencarinya di tali air itu.

Ketika kejadian ibu mangsa, Haslina Harun, 32, yang masih sakit selepas terlibat dalam nahas jalan raya di hadapan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) berada di rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian.

Manakala ayahnya, Sharum Abdul Hamid, 37, bekerja sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke HPRZ II untuk bedah siasat. Jurucakap Balai Polis Binjai yang dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. -- BERNAMA

Tragedi Deepavali




BOLTON – Sepasang suami isteri bukan sahaja tidak dapat menyambut perayaan Deepavali kerana rumah mereka terbakar dalam kebakaran malah lebih menyayat hati apabila anak bongsunya maut dalam kejadian yang berlaku di Tingkat dua, rumah kedai Centrepoint di sini kelmarin. 

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Zakaria Ainol berkata, ketika kejadian, A.Praveen Dhurai, 3, sedang nyenyak tidur dalam sebuah bilik bagaimanapun kakaknya berusia, 18 tahun bersama seorang lagi abangnya lima tahun gagal membawa kanak-kanak itu keluar. 

Menurutnya, dalam kejadian lebih kurang jam 11.30 pagi kakak dan abang mangsa panik sehingga mereka tidak sempat menyelamatkan mangsa lebih-lebih lagi api marak dari arah sebuah bilik lain sebelum mereka turun mendapatkan pertolongan. 

Katanya, pihaknya mengambil masa lebih setengah jam untuk mengawal kebakaran dan mangsa dapat dibawa keluar oleh anggota bomba yang masuk ke dalam rumah itu. 

“Ketika dibawa keluar oleh anggota bomba mangsa masih lagi bernyawa dan hanya melecur 30 peratus sahaja. 

“Namun disebabkan mengalami sesak nafas yang teruk mangsa disahkan meninggal dunia setelah dibawa masuk ke sebuah klinik dialisis yang terletak di bawah rumah mangsa,” katanya. 

Menurutnya, pihaknya telah memeriksa rumah itu dan mendapati ianya musnah hampir 60 peratus termasuk rumah di tingkat atas turut mengalami kerosakan. 

“Sebanyak tiga jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian termasuk dari Balai Bomba Rawang dan Gombak Selatan untuk memadam kebakaran bagaimanapun punca kejadian masih disiasat namun mengesyaki ianya mungkin daripada masalah pendawaian elektrik mahupun litar pintas,” katanya.

Bapa sial sanggup bawa anak beli dadah




DUNGUN - Tidak serik! Pengalaman hidup di sebalik tirai besi, dibuang daerah serta menjalani rawatan di pusat pemulihan belum cukup untuk memberi pengajaran buat sekumpulan penagih tegar yang masih menjadikan aktiviti pengambilan dadah sebagai tabiat mereka.

Malah sebuah rumah papan usang, berhampiran sekolah yang menjadi tempat untuk mendidik anak bangsa dijadikan port untuk urusan jual beli dadah.

Lebih mendukacitakan, sebagai taktik untuk mengaburi pihak berkuasa, ada bapa sial sanggup membawa anak mereka yang masih kecil ke port itu untuk membeli bekalan.

Bagaimanapun, perbuatan terkutuk itu berjaya dibongkar setelah sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun melancarkan operasi khas menyerbu lokasi terbabit berdekatan Kampung Cacar Baru, Paka, pagi kelmarin.

Keira bimbang gambar peribadinya disiarkan


KEIRA KNIGHTLEY


LONDON - Kecurian dua buah komputer riba yang berlaku baru-baru ini membuatkan pelakon siri filem Pirates of the Caribbean,Keira Knightley berasa sangat bimbang, lapor sebuah akhbar semalam.
Keira berasa sangat susah hati kerana kecurian itu mungkin akan mendedahkan gambar-gambar peribadinya.
Perkara ini tidak mustahil kerana ramai bintang-bintang muda yang gemar merakamkan gambar intim mereka sebelum ini.
Insiden kecurian di kondominium Keira di London itu berlaku pada minggu lalu ketika dia berada di Rom Itali untuk mempromosikan filem terbarunya, Last Night.
Dia tinggal di rumah tersebut dengan abangnya, Caleb.
Seorang pegawai polis di Westminster memberitahu, rumah Keira bukan menjadi sasaran secara khusus kerana dua buah rumah turut dipecah masuk di kawasan sama baru-baru ini.
"Satu pasukan forensik turut dibawa untuk mengesan sebarang cap jari atau tapak kasut di lokasi kejadian," katanya. - Agensi

Kapten pesawat Qantas A380 dapat pujian




SYDNEY - Juruterbang pesawat Airbus A380 yang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura akibat kerosakan satu enjin pesawat itu menerima pujian ekoran kemampuannya mengendalikan pendaratan tanpa berlaku sebarang kemalangan jiwa.
Juruterbang kelahiran Australia, Richard Champion de Crespigny (gambar) berjaya mendaratkan pesawat yang membawa 459 orang dengan hanya mengalami kerosakan pada salah satu sayapnya.
Para penumpang memuji cara de Crespigny, 53, yang memiliki pengalaman selama 35 tahun dalam penerbangan, menenangkan mereka menerusi pemberitahuan melalui alat Intercom dalam pesawat Airbus ketika saat cemas itu berlaku.
"Saya memohon maaf. Saya pasti anda sedar bahawa enjin kedua pesawat mengalami masalah teknikal. Anda juga pasti tahu bahawa kita tidak akan meneruskan perjalanan ke Sydney.
"Buat masa sekarang, pesawat terbang dalam keadaan selamat. Terima kasih di atas kesabaran anda," kata de Crespigny menerusi rakaman mengenai insiden yang disiarkan di Internet.
"Kapten dan krewnya sangat hebat," kata seorang penumpang, Simon Johnson yang memberitahu para penumpang tidak berasa panik tetapi mengaku kecut perut apabila terdengar bunyi yang kuat dari dalam pesawat.
Isteri juruterbang itu, Coral Champion de Crespigny menyatakan, dia tidak terkejut dengan sikap tenang Richard ketika berdepan dengan situasi sebegitu.
"Saya boleh katakan bahawa para penumpang sangat bertuah kerana Richard yang menjadi juruterbang mereka," katanya kepada akhbar The Australian. - AFP

Kesilapan reka bentuk enjin



SEBUAH pesawat Airbus A380 milik Qantas Airlines dibawa masuk ke sebuah hangar untuk diperiksa di sebuah lapangan terbang di Sydney kelmarin.


SYDNEY – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penerbangan Qantas Airways dari Australia, Alan Joyce semalam menyatakan, bahagian yang rosak atau kesilapan reka bentuk dipercayai menyebabkan letupan pada sebuah daripada empat buah enjin pesawat Airbus A380 miliknya sehingga memaksa juruterbang melakukan pendaratan cemas di Singapura kelmarin.
Letupan pada enjin itu menyebabkan sejumlah serpihan logam bertaburan di Pulau Batam, Indonesia dekat Singapura.
Enjin pesawat itu meletup selepas ia baru berlepas dari lapangan terbang tersebut untuk menuju ke Sydney.
Pesawat itu kemudian berlegar-legar di udara dan membuang minyak sebelum mendarat cemas di lapangan terbang sama.
Ia merupakan insiden paling serius melibatkan pesawat penumpang terbesar di dunia itu sejak ia beroperasi pada 2007.
Kejadian tersebut turut memaksa Qantas membekukan sementara perkhidmatan semua pesawat Airbus A380 miliknya manakala penerbangan-penerbangan lain memeriksa semula enjin pesawat itu.
“Kami percaya insiden berpunca daripada kegagalan bahan atau kesilapan reka bentuk,” katanya dalam satu sidang media di sini.
Syarikat Qantas membekukan perkhidmatan semua enam pesawat A380 untuk pemeriksaan keselamatan yang melibatkan masa sehingga 48 jam.
“Jika pemeriksaan itu berjalan lancar, pesawat berkenaan akan kembali beroperasi seperti biasa,” kata Joyce.
Sementara itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia semalam menyatakan, tiada tanda-tanda insiden pesawat A380 tersebut disebabkan oleh perbuatan khianat.
Pesawat Qantas A380 itu yang membawa 459 orang termasuk 26 krew mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada pukul 11.46 pagi waktu tempatan selepas satu enjinnya meletup di udara.

Lubang (dalam bulatan) pada sayap pesawat Airbus A380 milik Qantas Airways yang mendarat cemas di Singapura kelmarin.


Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Ekoran kejadian itu, syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa menyatakan, ia tidak menggunakan perkhidmatan sebuah pesawat A380 bagi laluan dari Frankfurt ke Johannesburg kerana tidak mempunyai masa mencukupi untuk melakukan pemeriksaan enjin.
Pembuat enjin pesawat Airbus itu, Roll-Royce telah mengeluarkan kenyataan meminta pemilik A380 melakukan pemeriksaan enjin.
Namun, syarikat penerbangan Singapore Airlines mengesahkan semua 11 pesawat A380 miliknya adalah selamat untuk digunakan. – Agensi

Ditahan miliki senapang angin



MOHD. SABRI (tengah) mendengar taklimat yang diberikan oleh pegawainya mengenai senapang angin yang dirampas daripada lima lelaki pada sidang akhbar di Bahau, Negeri Sembilan semalam.


BAHAU – Hasrat lima sekawan untuk memburu ayam hutan dengan menggunakan senapang angin buatan sendiri tidak kesampaian apabila mereka ditahan di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Raja Alias, Jempol di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, kesemua suspek yang berusia di antara 21 dan 50 tahun itu ditahan pada pukul 10 malam Rabu lalu di Kilometer 4, Lebuh Raya Bahau-Keratong berhampiran Felda Raja Alias 4 di sini.
“Sebaik diarahkan berhenti, polis yang melakukan pemeriksaan menjumpai lima laras senapang angin di dalam beg galas yang dibawa oleh kelima-lima lelaki terbabit,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, selain senapang, pihaknya turut merampas sebilah parang dan pisau serta hampir 200 bebola besi dan batu timah yang dipercayai hendak digunakan sebagai peluru.
Menurut Mohd. Sabri, soal siasat mendapati ketika ditahan suspek dari Jempol itu dalam perjalanan untuk memburu ayam hutan di satu kawasan ladang kelapa sawit berhampiran dengan menggunakan senjata itu.
“Senjata tersebut mampu menembak dua bebola besi pada satu-satu masa. Kelajuannya boleh mencapai sehingga 50 meter serta boleh mengakibatkan kematian jika mengenai sasaran,” katanya yang memberitahu kesemua suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

Sengatan maut tebuan tanah



DI teratak inilah Halimah dikatakan telah keluar untuk ke rumah iparnya sebelum dilaporkan hilang Ahad lalu.


KEMAMAN – Misteri kehilangan seorang warga emas selepas keluar dari rumahnya di Bandar Seri Bandi dekat sini Ahad lalu terungkai apabila dia ditemui mati disyaki akibat disengat tebuan tanah.
Halimah Sidik, 74, ditemui dalam keadaan mayatnya telah berbau dan mereput selain lengkap berpakaian di kawasan belukar kira-kira dua kilometer dari rumahnya pada pukul 11 pagi oleh pasukan penyelamat yang mencarinya.
Pasukan penyelamat menemui sarang tebuan kira-kira satu meter dari mayat mangsa dan siasatan awal tidak menolak kemungkinan wanita yang menghidap penyakit nyanyuk itu meninggal dunia kerana disengat serangga berbahaya berkenaan.
Sarang tebuan itu kemudiannya dibakar.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdullah Sani Salat memberitahu, siasatan awal mendapati, kematian mangsa tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
“Kami sebelum ini sudah beberapa kali melalui kawasan itu tetapi gagal mengesan mangsa.
“Bagaimanapun pagi tadi, (semalam) kami berjaya mengesan mangsa selepas terhidu bau busuk dari arah semak,” katanya ketika ditemui semalam.
Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Letusan Merapi paling dahsyat



para penunggang motosikal melalui sebatang jalan di Muntilan dekat Yogyakarta yang diselaputi abu Gunung Merapi semalam.


JAKARTA - Letusan Gunung Merapi tengah malam semalam adalah yang paling dahsyat setakat ini dengan semburan awan panas setinggi 8,000 meter ke udara selain menghasilkan hujan abu volkanik, hujan pasir serta kerikil sehingga ke Yogyakarta yang terletak kira-kira 30 kilometer dari gunung berapi itu.
Sekurang-kurangnya 54 orang, kebanyakannya dari kawasan Cangkringan di daerah Sleman, mati akibat melecur di seluruh badan terkena abu volkanik, manakala 66 lagi cedera dengan lebih 40 peratus kesan lecuran.
Berpuluh ribu penduduk dipindahkan selepas pihak berkuasa meningkatkan radius zon keselamatan kepada 20 kilometer di luar puncak Gunung Merapi, termasuk penduduk Sleman yang dipindahkan ke Stadium Maguharjo, Yogyakarta ekoran sering terdedah kepada ancaman awan panas Merapi.
Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta pula ditutup kerana ditimpa abu volkanik, sementara penerbangan ke destinasi itu serta ke Solo dibatalkan.
Sementara itu, di Yogyakarta, seramai 320 pelajar Malaysia telah dipindahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia ke penempatan sementara di Solo petang semalam berikutan letusan tersebut.
Mereka yang merupakan sebahagian daripada 500 pelajar dari Universitas Gadjah Mada, Institusi Seni Indonesia dan Politeknik Seni Yogyakarta telah dipindahkan pada pukul 3 petang (waktu Malaysia) menggunakan 10 buah bas.

Mayat ditemui dengan kesan tikaman


06/11/2010 4:47pm

SANDAKAN – Mayat seorang wanita ditemui dengan kesan tikaman di lehernya dalam kamar mandi rumah pekerja di sebuah kilang papan di Batu 11 dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rosli Mohd Isa berkata, mayat Ana Aripi, 30, ditemui oleh anak saudaranya kira-kira 7.30 pagi.
Katanya, polis yang pergi ke tempat kejadian menemui kesan tikaman benda tajam di leher mangsa tetapi tidak menemui sebarang senjata tajam di sekitar kawasan kejadian.
Beliau berkata, motif pembunuhan belum dapat dikenal pasti dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Sandakan untuk bedah siasat.
Rosli berkata, belum ada sebarang tangkapan dilakukan. – Bernama

Pengguna motosikal catat kematian paling tinggi tahun lepas

KUALA LUMPUR: Seramai 4,070 pengguna motosikal maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara sepanjang tahun lepas, jumlah yang paling tinggi berbanding pengguna jalan raya lain.
Lebih separuh daripada jumlah keseluruhan mereka yang cedera parah akibat kemalangan jalan raya tahun lepas juga terdiri daripada pengguna motosikal, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), sebanyak 6,745 kematian dilapor dan 8,846 orang cedera parah akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun lepas.

"Daripada jumlah yang maut itu, 4,070 adalah pengguna motosikal, 1,411 membabitkan kereta, 593 pejalan kaki dan masing-masing 13 pengguna bas ekspres dan bas sekolah.

"Mereka yang cedera parah pula ialah 5,758 pengguna motosikal, kereta (1,709), pejalan kaki (613) dan pelbagai jenis bas seperti bas ekspres, bas kilang, bas sekolah (59)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 41,055 kenderaan terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lepas dan daripada jumlah itu 9,591 merupakan kemalangan maut.

Kemalangan maut yang membabitkan motosikal ialah 4,191 kes, kereta (3,140), bas ekspres (60) dan bas sekolah (27).

Kong berkata, kementerian sentiasa mengambil langkah untuk mencegah kemalangan jalan raya dan usaha itu akan terus dipertingkat bagi mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.
"Walaupun kemalangan maut membabitkan bas adalah kecil berbanding jumlah keseluruhan kemalangan maut, kerajaan tidak memandang ringan perkara itu," katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab untuk memastikan keselamatan di jalan raya bukan hanya bergantung kepada kerajaan tetapi juga industri automobil, pengguna jalan raya dan masyarakat.-- Bernama

9 maut, ribuan pindah kerana banjir, tanah runtuh

MANILA: Hujan lebat mencetuskan bencana alam di utara Filipina dan sembilan orang terbunuh, manakala ribuan lagi terpaksa berpindah, kata polis semalam.
Jurucakap polis Filipina, Agrimero Cruz, berkata banjir dan tanah runtuh sejak tiga hari lalu memaksa lebih 39,900 orang dipindahkan di utara Pulau Luzon.

“Mangsa banjir kini ditempatkan di beberapa pusat penempatan sementara yang dikendalikan kerajaan,” katanya.

Sembilan orang disahkan terbunuh dan empat lagi masih hilang di kawasan pergunungan pulau berkenaan. - AFP

77 korban baru Merapi

MAYAT seorang mangsa terlentang  di jalan raya di Kampung Argomulyo.
MAYAT seorang mangsa terlentang di jalan raya di Kampung Argomulyo.

ARGOMULYO: Letupan terbaru dan terbesar Gunung Merapi semalam meragut 77 lagi nyawa dan memaksa penerbangan ditunda serta beribu-ribu lagi penduduk berpindah ke pusat perlindungan.
Gunung berapi paling aktif di Indonesia itu memuntahkan debu, asap panas berbahaya dan batu volkanik tinggi ke udara sepanjang malam hingga pagi dan mencetuskan panik dan kelam kabut di jalan raya apabila penduduk lari menyelamatkan diri dalam kegelapan.

Sehingga semalam, 120 orang terbunuh sejak Merapi mula meletup 26 Oktober lalu, sehari selepas tusnami meragut lebih 400 nyawa di kawasan pendalaman luar pantai Sumatera.

   
  • FotoMAYAT penduduk ditempatkan di sebuah hospital di Yogyakarta.
  • FotoPASUKAN penytelamat mencari mangsa di Kampung Argomulyo.
Dalam kejadian semalam, debu yang dimuntahkan Merapi merebak ke kawasan yang luas, termasuk ibu negeri Jawa Tengah, Yogyakarta yang terletak kira-kira 28 kilometer ke selatan gunung berkenaan.

“Jumlah penduduk yang terbunuh hingga saat ini ialah 77 orang,” kata Suseno Wibowo, pegawai di Hospital Sarjito, Yogyakarta.

Kebanyakan mangsa ialah kanak-kanak dari Kampung Argomulyo yang terletak 18 kilometer dari kawah Merapi.

“Saya menemui tiga mayat, seorang kanak, ibu dan bapa di atas katil. Mereka mungkin tidur lena apabila debu panas melanda rumah mereka. “Kami juga menemui mayat seorang lelaki dengan telefon masih di tangannya, kata anggota penyelamat, Utha.

Pasukan Perubatan Polis Yogyakarta, Teguh Dwi berkata: “Kampung Argomulyo musnah terbakar akibat dilanda asap panas. “Ramai kanak-kanak terbunuh. Ketika saya sampai, tanah di kampung berkenaan masih panas,” katanya.
Sungai di kampung itu mengalirkan campuran lumpur dan debu dan beberapa mayat masih bergelimpangan,” kata seorang penduduk. - AFP

'Tak pernah-pernah'

TENGGELAM...laluan di Kilometer 4 dan 5 Jalan Langgar, Alor Setar yang tidak pernah ditenggelami air dinaiki air sehingga 0.5 meter, semalam.
TENGGELAM...laluan di Kilometer 4 dan 5 Jalan Langgar, Alor Setar yang tidak pernah ditenggelami air dinaiki air sehingga 0.5 meter, semalam.

ALOR SETAR: “Tidak pernah sepanjang hidup selama 67 tahun kawasan kami dinaiki air termasuk ketika Kedah dilanda banjir besar pada 1999 dan 2005, tetapi (banjir) kali ini, kami turut terjejas.” Itu luahan penduduk Hutan Kampung, dekat sini, Mokhtar Ahmad, 67, yang terkejut apabila kawasan tempat tinggalnya dinaiki air sehingga sedalam dua meter semalam.
Menurutnya, ketika keluar dari rumahnya ke pusat bandar raya untuk membeli keperluan rumah kira-kira jam 7 malam semalam, keadaan jalan dari Hutan Kampung ke Alor Setar masih seperti biasa sedangkan daerah Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Langgar teruk dilanda banjir selain beberapa kawasan bersebelahan Sungai Kedah di Alor Setar.

“Bagaimanapun, air meningkat mendadak di Hutan Kampung dan Jalan Langgar sejak awal pagi tadi (semalam) menyebabkan sebahagian besar jalan utama di Hutan Kampung ditenggelami air.

“Keadaan air juga dilaporkan agak tinggi di Kepala Batas berpunca dari banjir yang sudah surut di Bukit Pinang mengalir ke Hutan Kampung dan Kepala Batas,” katanya.

Peniaga, Tolha Ahmad, 49, pula bimbang barangan persediaan perkahwinan anaknya dua minggu lagi musnah apabila rumahnya di Taman Mawar, Hutan Kampung dilanda banjir.

“Saya hanya mendapat tahu rumah kami dimasuki air pagi ini (semalam) apabila dihubungi jiran ketika saya berada di rumah seorang lagi anak di Kuala Kedah sejak dua hari lalu,” katanya.

Menurutnya, dia bergegas pulang bersama dua anaknya untuk menyelamatkan barangan dalam rumah termasuk peralatan perkahwinan anak ketiganya yang akan berlangsung dua minggu lagi.