Search This Blog

Friday, November 5, 2010

Banjir di selatan Thailand ragut lagi 12 nyawa



BANGKOK - Banjir yang melanda sebahagian besar wilayah selatan Thailand telah menyebabkan 12 mangsa maut sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban kepada 122 orang.
Jabatan Pencegahan Bencana Thailand menyatakan hampir enam juta penduduk di 39 wilayah di utara, tengah, timur dan timur laut Thailand terjejas akibat banjir yang melanda selama dua minggu itu.
Semalam, kehidupan di bandar Hat Yai kembali seperti biasa apabila banjir surut dengan cepat sejak kelmarin. Ratusan penduduk berkumpul untuk membersihkan jalan-jalan utama yang sebelum ini hanya boleh dilalui oleh bot. - AP

Enjin Airbus A380 meletup di udara




Penyembur jentera bomba menembak air ke arah sebuah enjin pesawat Qantas Airways di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura semalam.


SINGAPURA - Sebuah pesawat gergasi Airbus A380 milik syarikat Qantas Airways dari Australia yang membawa 459 orang termasuk 26 krew mendarat cemas di sini semalam selepas sebuah enjinnya meletup menyebabkan bingkai enjinnya berkecai di udara.
Insiden semalam adalah paling serius membabitkan pesawat Airbus A380 sepanjang tiga tahun sejarah penerbangannya.
Pesawat Airbus A380 yang turut dikenali dengan gelaran Superjumbo memiliki empat enjin dan merupakan pesawat penumpang terbesar, paling senyap dan paling mesra alam di dunia.
"Sebelum ini, beberapa insiden kecil melibatkan enjin Airbus A380 pernah berlaku tetapi tiada satu pun yang serius seperti ini," kata seorang pakar penerbangan, Tom Ballantyne.
Syarikat Qantas pula memiliki rekod penerbangan paling selamat di dunia tanpa nahas udara yang meragut nyawa sepanjang 90 tahun ia beroperasi.
Namun, pada pukul 11.46 pagi waktu tempatan semalam, pesawat dua tingkat milik Qantas itu terpaksa mendarat cemas.
Juruterbang membuat keputusan untuk membuat pendaratan cemas selepas sebuah enjin di sayap kiri pesawat itu terbakar 15 minit selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada pukul 9.56 minit pagi.
Pesawat berkenaan berlepas dari London dan singgah di Singapura semasa dalam penerbangan menuju ke Sydney, Australia.
Beberapa saksi berkata, mereka terdengar letupan kuat di udara dan melihat serpihan-serpihan logam terjatuh ketika pesawat itu mengalami masalah enjin di pulau Batam yang terletak dekat dengan Singapura.
Serpihan-serpihan bingkai itu termasuk sekeping serpihan dengan sebahagian lambang kanggaru terbang terhempas di sebuah kawasan perumahan dan industri di Batam.
"Saya tidak melihat pesawat terhempas tetapi saya terdengar satu letupan kuat di udara. Selepas itu, serpihan-serpihan logam menjunam dari udara dan terhempas di sebuah kawasan industri di Batam," kata seorang saksi, Noor Kanwa.
Seorang lagi saksi berkata, berpuluh-puluh penduduk Batam keluar dari rumah mereka dan melihat pesawat itu berlegar-legar di udara untuk membuang minyak sebelum cuba mendarat.
Beberapa laporan awal media menyatakan, pesawat itu terhempas selepas meletup di ruang udara Batam.
Namun, laporan tersebut kemudian disangkal oleh pihak pengurusan Qantas Airways yang mengeluarkan kenyataan bahawa penerbangan itu terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura selepas mengalami masalah enjin tanpa mengulas lanjut.
Dalam satu wawancara telefon dengan seorang penumpang, Ulf Waschbusch berkata, dia terdengar bunyi letupan di udara dan melihat sayap Qantas A380 terbakar sejurus selepas ia berlepas.
"Kami mendengar bunyi letupan, saya melihat satu kebakaran kecil berlaku pada sayap kirinya," kata Waschbusch yang berasal dari Jerman.
"Sayap kiri pesawat itu pecah sedikit," tambah penumpang itu yang bekerja di sebuah syarikat teknologi di Singapura dan menuju ke Sydney untuk melancong.
Menurutnya, juruterbang kemudian mengumumkan bahawa pesawat tersebut akan membuang minyak sebagai persiapan untuk melakukan pendaratan cemas.
"Kami berlegar-legar di ruang udara Batam selama hampir dua jam untuk membuang minyak," katanya.
"Tanpa diduga, semua penumpang berada dalam keadaan tenang. Kami langsung tidak menjerit," jelas Waschbusch.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pegawai Australia memberitahu, tiada penumpang atau krew pesawat itu yang cedera dalam kejadian tersebut.

GAMBAR menunjukkan bingkai enjin Qantas yang berkecai.


Namun, penumpang-penumpang ditawarkan sesi kaunseling selepas insiden tersebut.
Ekoran kejadian itu, pihak Qantas Airways membuat keputusan menggantung penerbangan semua enam pesawat Airbus A380 miliknya sehingga satu siasatan menyeluruh dijalankan.
Siasatan menyeluruh itu akan turut melibatkan agensi siasatan nahas udara Perancis (BEA).
Seorang jurucakap BEA menyatakan, sebuah enjin pesawat itu mengalami kerosakan serius.
"Apa yang kami tahu buat masa sekarang ialah bingkai bahagian belakang enjin tersebut hilang. Terdapat kerosakan pada bahagian belakang motor jet yang membawa masalah yang serius," katanya di Paris.
Pada masa ini terdapat 37 pesawat Airbus A380 yang beroperasi di seluruh dunia. Sebuah pesawat itu berharga dari AS$346.3 juta (RM1 bilion). - Agensi

'Ingatkan dia dah kena gantung'






KUALA LUMPUR – “Saya tak sangka dia masih hidup, ingatkan pembunuh anak saya itu telah digantung sampai mati.’’
Demikian reaksi spontan bapa kepada Sabi’ul Malik Shafiee atau Along Spoon, Tengku Shafiee Tengku Yusof (gambar), 60, mengenai penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 2 November lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh kes itu, Lans Koperal Mohamed Ya’cob Demyati.
Tengku Shafiee mengakui dia tidak pernah dimaklumkan mengenai kes itu selepas hukuman mati dijatuhkan pada tahun 2002.
“Tak ada sesiapa memberitahu saya pasal pelaksanaan hukuman kes itu sehinggalah saya tahu kedudukan sebenar selepas terbaca dalam Kosmo!,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan keputusan sebulat suara tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas Mohamed Ya’cob selepas dia didapati bersalah membunuh penyanyi itu 11 tahun lalu.
Dia didapati membunuh penyanyi yang popular dengan lagu Rindu Serindu-Rindunya itu pada pukul 1 pagi 26 Disember 1999 sebelum rangka penyanyi itu ditemui di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang, Jelebu pada 6 Januari 2000.

Banjir di Kedah, Perlis kian buruk




Sebahagian besar bandar raya Alor Setar ditenggelami banjir manakala beberapa batang jalan utama ditutup kepada semua kenderaan semalam.


ALOR SETAR - Banjir yang melanda Kedah dan Perlis semakin buruk apabila lebih 40,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.
Angka tersebut lebih sekali ganda daripada angka pemindahan yang dicatatkan dalam banjir besar yang melanda pada tahun 2005 apabila 21,000 penduduk dipindahkan.
Di Kedah, jumlah mangsa meningkat kepada lebih 28,569 orang berbanding kira-kira 25,000 kelmarin ekoran keadaan banjir yang semakin buruk di empat daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang manakala keadaan banjir di Padang Terap semakin baik.
Di Kubang Pasu, seramai 15,672 penduduk daripada 4,347 keluarga dipindahkan manakala di Padang Terap, 2,737 orang masih berada di pusat pemindahan.
Banjir di Kota Setar melibatkan 8,184 penduduk, Pokok Sena seramai 1,281 orang dan daerah Pendang merekodkan 158 penduduk yang dipindahkan.
Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata, sehingga pukul 12 tengah hari semalam, sebanyak 103 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 46 di Kubang Pasu, 35 di Padang Terap, 15 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Kanak-kanak maut kebakaran




KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki yang sedang tidur maut selepas kediaman didiami keluarganya di tingkat dua, sebuah rumah kedai di Central Point, Taman Sri Gombak, di sini, terbakar. 

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, Praveen Annadhurai, 3, ditemui parah melecur di kepala dan tangan kanannya, dibawa ke klinik berham:piran, tetapi disahkan meninggal dunia selepas itu. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Zakaria Aini berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu dikatakan sedang tidur bersama kakak dan abangnya di bilik berasingan. 

“Kakak dan abangnya yang tidur di bilik berasingan dengan adik mereka sempat menyelamatkan diri, tetapi Praveen pula terperangkap semasa kebakaran berlaku. 

“Ketika bomba tiba, mangsa ditemui dalam keadaan parah sebelum kami menghantarnya ke klinik berhampiran, tetapi dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya. 

Mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. 

:Zakaria berkata, kebakaran hanya membabitkan tingkat dua di bangunan rumah kedai tiga tingkat yang dipadamkan oleh anggota bomba daripada Selayang, Gombak Selatan dan Rawang. 

Menurutnya, punca kejadian dan kerugian masih lagi disiasat. 

Difahamkan, ketika kejadian, kedua ibu bapa Praveen dan adik-beradik lain keluar membeli barang rumah.

Lelaki mati ditikam ditemui dalam bonet



Kuala Lumpur – Orang ramai terkejut melihat mayat di dalam kereta di lorong belakang rumah kedai di Jalan Awan Jawa, Taman Yarl, di sini, semalam. 

Mayat lelaki lingkungan 20-an ditemui berlumuran darah dengan kesan tikaman di dada dalam kenderaan pacuan empat roda. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa yang juga pemilik kedai barangan elektrik itu ditemui orang awam kira-kira 1 tengah hari. 

“Pada mulanya mereka berasa hairan kerana kereta Toyota Hilux itu diletakkan di tengah jalan sehingga menghalang kenderaan lain untuk melepasinya. 

“Namun apa yang mengejutkan: ialah setelah diperiksa, didapati seorang: :lelaki dalam keadaan terlentang berlumuran darah di dalam bonet dengan kesan tikaman di bahagian dada kiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 

Orang ramai kemudian membuat laporan polis memaklumkan kejadian berkenaan. 

Menurutnya, mangsa dipercayai mati dibunuh dalam tempoh 24 jam di tempat lain menggunakan senjata tajam malam kelmarin dan kemudian, suspek meninggalkan mayat di lorong itu. 

Bagaimanapun, senjata yang digunakan tidak ditemui di lokasi kejadian. 

Chin Wah berkata, polis sedang menyiasat kes berkenaan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian. 

Siasatan awal mendapati :kereta terbabit didaftarkan atas nama syarikat lelaki itu. 

“Identiti mangsa masih belum diketahui kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau dom:pet ditemui. 

“Cuma berdasarkan maklumat diperoleh, mangsa adalah pemilik kedai barangan elektrik,” katanya. 

Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi polis.

Letusan Merapi paling dahsyat, 54 dilaporkan terbunuh



05/11/2010 3:40pm

JAKARTA 5 Nov. – Letusan Gunung Merapi tengah malam tadi adalah yang paling dahsyat setakat ini, dengan semburan awan panas setinggi 8,000 meter ke udara, selain menghasilkan hujan abu volkanik, hujan pasir serta kerikil sehingga ke Yogyakarta, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari gunung berapi itu.
Sekurang-kurangnya 54 orang, kebanyakannya dari kawasan Cangkringan di daerah Sleman, mati akibat melecur di seluruh badan terkena abu volkanik, manakala 66 lagi cedera dengan lebih 40 peratus kesan lecuran.
Berpuluh-puluh ribu penduduk dipindahkan selepas pihak berkuasa meningkatkan radius zon keselamatan kepada 20 kilometer di luar puncak Gunung Merapi, termasuk penduduk Sleman (dipindahkan ke Stadium Maguharjo) yang sering terdedah kepada ancaman awan panas Merapi.
Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta pula ditutup kerana ditimpa abu volkanik, sementara penerbangan ke destinasi itu serta ke Solo dibatalkan.
Sementara itu, lebih 500 pelajar Malaysia di Yogyakarta, Magelang dan Solo kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk dibawa pulang.
Pengarah Education Malaysia (EM) di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata, semua pelajar sedang dipindahkan ke Solo, yang terletak 65 kilometer dari Merapi dan 85 kilometer dari Yogyakarta, sebelum diterbangkan ke Malaysia. – Bernama

Pesawat Cuba terhempas, 68 dikhuatiri maut



2010/11/05

HAVANA: Pesawat Cuba yang dalam perjalanan dari bandaraya timur Santiago de Cuba ke ibu negara terhempas semalam bersama 68 penumpang dan anak kapal termasuk 28 rakyat asing.

Nasib mereka tidak dapat dipastikan.
Televisyen Cuba melaporan Pesawat AeroCaribbean itu terhempas berhampiran perkampungan Guasimal di wilayah Santi Spiritus.
Ia membawa 61 penumpang dan tujuh anak kapal. - AP

Mayat mangsa lemas ditemui di Terusan Arau




2010/11/05

KANGAR: Mayat seorang pemuda yang terjatuh dalam Terusan Arau di Simpang Empat dekat sini Rabu lalu, ditemui tersangkut pada sebuah jambatan di Sungai Baru dekat sini hari ini.

Mayat Muhammad Nurul Afiq Mohd Rozaidi, 21, ditemui orang ramai 8.45 pagi tadi kira-kira dua kilometer dari tempat dia terjatuh dalam terusan itu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin, berkata semasa ditemui, mayat mangsa yang berasal dari Simpang Empat itu telah kembung.
Mangsa dilaporkan terjatuh dalam terusan itu kira-kira 1.05 tengah hari Rabu lalu ketika sedang menunggang basikal di pinggir terusan dan dihanyutkan arus deras.

Usaha mencari dan menyelamat oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Pasukan SMART sebaik kejadian juga gagal kerana arus kuat namun kawasan kejadian itu tidak dilanda banjir.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. - BERNAMA

Mangsa banjir di Kedah meningkat hampir 40,000



2010/11/05

ALOR SETAR: Jumlah penduduk yang dipindahkan kerana banjir di Kedah meningkat kepada 39,512 orang pagi ini berbanding 32,990 orang malam tadi berikutan peningkatan mendadak mangsa banjir di Kubang Pasu dan Alor Setar.

Bagaimanapun, semakin ramai mangsa banjir di Daerah Padang Terap yang dibenarkan pulang.
Mangsa di tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang terus meningkat.
Di Kubang Pasu, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 21,111 orang membabitkan 5,740 keluarga manakala di daerah Kota Setar, seramai 15,736 orang (4,047 keluarga) dan di daerah Pendang pula 241 orang (60 keluarga).

Mangsa banjir di Padang Terap berkurangan kepada 657 orang berbanding 2,279 orang malam tadi membabitkan 204 keluarga dan daerah Pokok Sena juga menunjukkan penurunan daripada 1,868 orang kepada 1,767 orang melibatkan 313 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga 8 pagi ini, 100 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 50 adalah di Kubang Pasu, 10 di Padang Terap, 32 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Katanya, keadaan di Padang Terap bertambah baik dengan 2,722 orang daripada 339 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat manakala 10 pusat pemindahan ditutup.
Tinjauan di kawasan sekitar bandaraya Alor Setar mendapati semakin banyak jalan raya dan premis kerajaan digenangi air dan semakin banyak kediaman berdepan dengan gangguan bekalan air termasuk terputus bekalan.

Kawasan perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan juga pejabat BERNAMA Biro Kedah, kedua-duanya di Jalan Stadium, mula digenangi air. - BERNAMA

Lelaki lemas, 2 wanita parah nahas bas ekspres



2010/11/04

PEKAN: Seorang lelaki terbunuh manakala dua wanita cedera parah apabila bas ekspres Transnasional  yang membawa 33 penumpang dari Johor Bahru ke Kuantan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik lalu memasuki sungai di Kilometer 20 Jalan Pekan-Nenasi dekat sini malam ini.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, Ismail Nakayudin Hamdan, 25, dari Taman Cenderawasih, Kuantan, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat lemas.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata mangsa terperangkap di dalam bas berkenaan yang separuh tenggelam.
Beliau berkata, penumpang lain berjaya menyelamatkan diri melalui pintu kecemasan bas terbabit.

Mayat dua beradik perempuan ditemui




2010/11/04

ALOR SETAR: Mayat dua beradik perempuan yang hilang selepas terjatuh ke dalam tali air di Kampung Telaga Emas, Langgar, di sini semalam ditemui hari ini.

Mayat Nurul Shafika Mohamad Sukur, 9 ditemui pada jam 2 petang manakala mayat kakaknya, Nurul Nadia, 13, ditemui kira-kira sejam kemudian.
Dua beradik dari Kampung Bukit Teriak, Langgar, itu ditemui sepasukan unit skuba bomba kira-kira 50 meter dari tempat mereka terjatuh.

Merapi meletus lagi, ragut lebih banyak korban



2010/11/05

GUNUNG MERAPI, Indonesia: Angka korban letusan Gunung Merapi meningkat hampir sekali ganda kepada 79 selepas awan gas panas melanda perkampungan di pergunungan itu.

Jurucakap hospital, Heru Nugroho, berkata 35 mayat dibawa ke situ selepas insiden itu.
Lebih daripada 65 yang lain cedera, kebanyakannya parah.
Lelaki dengan muka diselaputi abu berduyun-duyun menuruni Gunung Merapi dengan motosikal, diikuti beberapa lori yang membawa wanita dan kanak-kanak yang menangis, berikutan letusan terbaru sebelum tengah malam tadi.

Askar membantu mengeluarkan mayat dari Bronggang, kampung yang terjejas teruk yang terletak 15 kilometer dari kawah Gunung Merapi, ke rumah mayat hospital.

Tidak dapat dipastikan kenapa keluarga yang tinggal di dalam "zon bahaya" Gunung Merapi tidak dipindahkan. - AP

Sekumpulan singa baham pelancong di Zimbabwe



2010/11/05

HARARE, Zimbabwe: Sekumpulan singa membaham seorang pelancong apabila beliau mandi di bawah pokok ketika senja di sebuah kem hutan simpan yang tidak berpagar.

Peter Evershed, ahli perniagaan Zimbabwe berusia 59 tahun, diserang lima singa di kem Chitake Springs, kawasan memerhati hidupan liar berhampiran hutan simpan Mana Pools.
Ketua Pasukan Petugas Perlindungan Alam Zimbabwe, Johnny Rodrigues, berkata Evershed adalah yang terakhir dalam kumpulan ahli keluarga dan kawannya yang mandi ketika itu.
"Mereka terdengar Evershed menjerit dan meluru ke tempat mandi tetapi beliau sudah mati akibat luka besar di leher," katanya. - AP

Warga Nigeria dipenjara





Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Oparaugo Uchenna Samuel, semalam.


SHAH ALAM 4 Nov. - Terpikat dengan janji manis seorang duda berketurunan Amerika, Edmund Wax melalui Internet, wanita Filipina berusia 45 tahun sanggup berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk meraikan hari lahir serta merancang perkahwinan mereka.
Namun, apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Narita, Jepun pada pukul 5.20 pagi, 12 Disember 2009, bukan ahli perniagaan itu yang menyambutnya, sebaliknya dia disambut lelaki warganegara Nigeria, Oparaugo Uchenna Samuel bersama seorang rakannya.
Mulai detik itu, impian indah wanita tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dua lelaki tersebut bertindak mengikat tangan dan kaki serta menyumbat mulutnya sehingga pengsan selepas dia dibawa ke sebuah rumah.
Tidak cukup sekadar dikurung dalam keadaan bogel, mangsa yang berusia 45 tahun itu telah ditipu, dimarahi, ditendang dan dipukul dengan pisau panas apabila dia meminta makanan.
Sementara barang-barang miliknya seperti sebuah beg pakaian, telefon bimbit i-Phone dan komputer riba turut dirampas oleh kedua-dua lelaki itu.
Dalam tempoh tersebut, teman wanita Samuel, Nurrul Atika Baharuddin dan rakannya, Khairun Azhan Mohammed Aziddin hanya berdiam diri walaupun melihat wanita itu dikurung serta diseksa semasa berkunjung ke rumah tersebut.
Selepas beberapa hari dikurung, wanita malang itu pengsan dan ditinggalkan tanpa belas kasihan di Jalan PJS 11, Petaling Jaya pada 17 Disember tahun lalu sebelum ditemui oleh orang awam.
Sekalipun melakukan perlakuan kejam, Samuel yang sebelum ini didakwa atas tuduhan menculik begitu bernasib baik apabila ditawarkan pertuduhan pilihan.
Dia yang merupakan penuntut sebuah kolej swasta dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melarikan mangsa dengan niat untuk mengurung secara sulit dan salah.
Sementara Nurrul Atika, 21, dan Khairun Azhan, 25, yang juga penuntut kolej swasta pula dikenakan hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah dengan sengaja tidak melaporkan perbuatan Samuel.
Hakim Datuk Mohtarudin Baki semasa menjatuhkan hukuman itu berkata, kesalahan dilakukan Samuel bukan sahaja serius malah perbuatannya langsung tidak menghormati undang-undang negara.
"Saya bersetuju bahawa hukuman setimpal tiga tahun penjara dari tarikh ditangkap dijatuhkan ke atas tertuduh pertama (Samuel) dan selepas habis hukuman, dia perlu dihantar pulang ke negara asal.
"Tertuduh kedua dan ketiga, walaupun perbuatan awak bukan satu kesalahan aktif tetapi bentuk kesalahan kamu adalah serius dan kamu sepatutnya membuat aduan awal kepada polis," katanya.
Mengikut pertuduhan pilihan, Samuel bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melarikan wanita warganegara Filipina itu dengan niat menyebabkan mangsa dikurung secara sulit dan salah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di No. E-12-05, Blok E, Mentari Court, Jalan PJS 8/9, Taman Sri Mentari, Petaling Jaya dekat sini antara pukul 5.20 petang, 12 Disember 2009 dan 9.50 pagi, 17 Disember 2009.
Dia dituduh mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Nurrul Atika yang melahirkan seorang bayi yang kini berusia empat bulan ketika di penjara, iaitu hasil hubungan dengan Samuel dan Khairun Azhan pula didakwa dengan sengaja tidak memberi sebarang maklumat mengenai kesalahan yang dilakukan Samuel.
Mereka berdua dituduh di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

'Hartawan Lebanon' berang





Elie Yousseff Najem hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bagi perbicaraan kes khalwatnya semalam.


KUALA LUMPUR 4 Nov. - "Saya bukan Islam, jadi tidak perlu dibicarakan di Mahkamah Syariah."
Kata-kata tersebut diungkapkan oleh 'hartawan Lebanon' Elie Yousseff Najem dengan nada yang tinggi pada hari ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Mohd. Amran Mat Zain menetapkan 20 Januari tahun depan untuk perbicaraan kes khalwatnya.
Elie yang tidak diwakili peguam syarie melontarkan ungkapan sedemikian setelah tidak berpuas hati kes tersebut akan tetap dibicarakan.
Dia turut meminta Pendakwa Syarie, Hanifah Haydar Ali Tajuddin menarik balik pertuduhan tersebut.
Mohd. Amran yang berang dengan perbuatan tertuduh tersebut telah mengarahkan anggota polis membawa lelaki tersebut keluar dari mahkamah dengan serta-merta.
Terdahulu, lelaki tersebut yang memakai pakaian seragam penjara warna jingga dan menaiki kerusi roda tiba di mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan dikawal oleh tiga pegawai Penjara Kajang.
Elie, 50, bersama pasangannya, Roslin Taha, 49, didakwa berkhalwat di sebuah bilik bernombor 8804, Tingkat 8, Wisma Belia, Brickfields di sini pada pukul 3.45 petang, 27 April lalu.
Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 27(a) dan 27(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.
Hartawan itu yang menimbulkan banyak kontroversi juga pernah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk dengan bekas isterinya, Farinnie Mohd. Farid, 24.
Pasangan tersebut yang kini telah disahkan bercerai, dikurniakan dua anak, Prince-Kovadis Yousseff Najem, 3, dan Nur Analeeza Sofya, 2.
Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap Elie setelah didapati bersalah menipu Tan Sim Chai di sebuah premis beralamat B-3-14, Blok B, Megan Avenue 2, Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 19 September 2005.
Elie juga dihukum penjara lima bulan oleh mahkamah yang sama atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosialnya dengan menjadi pengarah sebuah syarikat.

44,176 dipindahkan di tiga negeri



SHAH ALAM 4 Nov. - Sebanyak 44,176 penduduk daripada 9,981 keluarga di sekitar Perlis, Kedah dan Kelantan telah selamat dipindahkan ke pusat penempatan banjir sejak 1 November lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, kesemua mangsa telah dipindahkan ke 143 buah pusat pemindahan yang berhampiran kawasan terlibat.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan, seramai 29,963 orang merupakan penduduk di Kedah, 13,711 orang (Perlis) dan 502 orang (Kelantan).
"Seramai 738 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam usaha membantu dan menyelamat kesemua mangsa banjir yang melibatkan 17 bot, lebih 15 kenderaan darat dan helikopter.
"Seramai 568 pegawai dan anggota bertugas di Kedah, Perlis (162 orang) dan Kelantan (lapan orang). Kerja-kerja menyelamat dilakukan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain," katanya.
Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis serah tugas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Soiman Jahid kepada pemangkunya yang juga Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Puzi Mohd. Tabot.
Dalam perkembangan terbaru hari ini, kata Wan Mohd. Nor, 15 pesakit buah pinggang dan empat kakitangan dari Hospital Kangar dipindahkan dengan helikopter ke hospital di Pulau Pinang.
Kata beliau, pemindahan itu dibuat kerana pesakit-pesakit terlibat tidak dapat menjalani rawatan hemodialisis akibat masalah bekalan elektrik yang terganggu di Hospital Kangar.

Banjir di Kedah makin buruk, Perlis tambah baik



ALOR SETAR 4 Nov. - Banjir yang melanda negeri ini tidak menampakkan tanda-tanda akan pulih malah jumlah mangsa yang dipindahkan kini meningkat kepada 28,569 orang berbanding 25,000 semalam.
Keadaan banjir menjadi semakin buruk di daerah Kota Setar apabila air mula melimpah memasuki kawasan bandar dan taman-taman perumahan yang sebelum ini tidak pernah dilanda bencana alam itu.
Jumlah penduduk yang dipindahkan di daerah berkenaan melonjak kepada 8,184 orang berbanding 1,788 semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, sebanyak 105 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dengan Kubang Pasu sebanyak 46 pusat, Padang Terap (35), Kota Setar (15), Pokok Sena (lapan) dan Pendang (satu).
Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan turut menunjukkan peningkatan di daerah Kubang Pasu iaitu seramai 15,648 orang dan Pokok Sena (1,824) berbanding hanya 1,259 orang, semalam.
Sementara itu di Pendang, seramai 176 penduduk dipindahkan manakala di Padang Terap banjir mula surut dan hanya 2,737 orang masih berada di pusat pemindahan berbanding 3,105 orang, semalam.
Banjir juga meragut dua lagi nyawa apabila dua kanak-kanak, Nur Irshah Rosli, 9, dan rakannya Awwad Hakimi Rudaini, 7, dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke dalam tali air di Tanjung Bendahara di sini.
Ia menjadikan jumlah kehilangan nyawa setakat ini tujuh orang termasuk seorang remaja di Perlis yang masih belum ditemui sejak semalam.
Beberapa jalan utama masih ditutup kepada lalu lintas antaranya Jalan Alor Setar-Kangar, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Kuala Sungai-Sungai Baru, Jalan Alor Setar-Kepala Batas, Jalan Hutan Kampung-Kepala Batas dan Jalan Pantai Johor-Gunung Keriang.
DI PERLIS, keadaan banjir di bahagian utara negeri itu mula pulih namun air dijangka melimpah ke bahagian selatan khususnya di Kuala Perlis.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, jumlah mangsa yang ditempatkan di 46 pusat pemulihan juga semakin berkurangan iaitu seramai 13,773 orang setakat pukul 2 petang ini yang melibatkan 2,524 keluarga berbanding 14,140 orang di 51 pusat pemindahan banjir malam tadi.
"Sebanyak sembilan pusat pemindahan banjir telah ditutup melibatkan tujuh di Padang Besar dan masing-masing sebuah pusat pemindahan di Arau dan Kangar," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui kerajaan negeri hampir mengisytiharkan darurat di Perlis memandangkan banjir kali ini lebih besar berbanding kejadian pada 2005.
Beliau menegaskan, mangsa banjir di negeri itu pada masa ini amat memerlukan bantuan makanan terutama susu bayi berbanding bantuan kewangan.
"Bekalan makanan berkurangan kerana pembekal makanan amat terhad lebih-lebih lagi pemilik kedai runcit menutup operasi mereka," katanya.
DI KELANTAN, paras air Sungai Golok surut kepada 9.75 meter petang ini berikutan cuaca baik dan cerah sejak dua hari lalu berbanding 10.10 meter petang semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Pasir Mas memberitahu, buat masa ini hanya tinggal 23 orang daripada tiga keluarga yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh.
Pusat pemindahan sementara di Stesen Keretapi Lama Rantau Panjang dan Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi ditutup pada pukul 2 petang ini.
DI TERENGGANU, Bilik Gerakan MKN memaklumkan tiada sebarang laporan banjir diterima di kesemua daerah di negeri ini ekoran cuaca baik sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun sembilan mangsa daripada lima keluarga yang terdedah ancaman ombak besar di kawasan Kampung Pantai, Kuala Besut, Besut masih ditempatkan di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Pantai sejak Isnin lalu.

Angka korban banjir di Thai kini 122 orang



Walaupun banjir masih belum surut di bandar Haadyai, orang ramai tetap meneruskan aktiviti harian mereka di bandar Selatan Thai itu seperti biasa. – AP


BANGKOK 4 Nov. – Angka korban akibat banjir besar di Thailand, meningkat kepada 120 hari ini, selepas bencana yang melanda selama berminggu-minggu itu kini merebak ke bahagian selatan dan menjejaskan berpuluh-puluh ribu penduduk termasuk pelancong.
Banjir mula menenggelamkan selatan negara ini malam Isnin lalu selepas hujan lebat turun berhari-hari, mengakibatkan lapan kematian di wilayah Songkhla, dua di Pattani serta masing-masing satu di Satun dan Surat Thani.
Beribu-ribu tentera dikerahkan ke kawasan terlibat bagi membantu mangsa yang terkandas di rumah masing-masing, selepas banjir kilat melanda Haadyai, sebuah bandar yang dihuni lebih 150,000 penduduk.
Jabatan Pencegahan dan Pengawalan Bencana melaporkan, tiga lagi maut di bahagian utara selepas banjir melanda wilayah itu sejak 10 Oktober lalu, menjadikan angka korban meningkat kepada 122 hari ini.
Lebih enam juta penduduk terjejas, dalam banjir yang disifatkan oleh Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva sebagai ‘satu bencana alam semula jadi paling buruk’.
Banjir dilapor telah surut di sebahagian besar Haadyai, sebuah bandar pelancongan.
Bagaimanapun menurut Lembaga Pelancongan Thailand, lebih 100 pelancong asing masih terkandas di hotel mereka, awal hari ini.
Kerajaan juga telah menghantar dua kapal tentera ke wilayah selatan bagi membekalkan ubat-ubatan dan logistik untuk operasi bantuan.
Pegawai pelancongan, Panu Woramit berkata, bot-bot polis marin semalam berjaya menyelamatkan kira-kira 100 penduduk dan pelancong di Koh Tao, sebuah pulau percutian popular di Surat Thani selepas mereka terkandas selama setengah hari.
Beliau berkata, lapangan terbang Koh Samui yang terletak berhampiran juga mula beroperasi seperti biasa selepas ditutup berikutan cuaca buruk. – AFP

Lapan kapal lakukan kesalahan maritim ditahan



JOHOR BAHRU 4 Nov. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan menahan lapan kapal dagang kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan maritim termasuk melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Pengerang.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim, Zulkifli Abu Bakar berkata, kesemua kapal berkenaan ditahan dalam operasi khas yang dijalankan selama dua hari berakhir semalam.
Beliau berkata, lapan kapal berkenaan ditahan dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
"Kapal berkenaan adalah Kapal MT Orapin II yang didaftarkan di Bangkok, Thailand, MT Merlion Star (Port Klang) manakala TB LCC VII, TB Manyplus 9, MT Aceoil No.1 dan MT Aquarius (Singapura).
"Kesalahan dilakukan adalah kerana mereka tidak memaklumkan ketibaan kapal di perairan negara, gagal menunjukkan resit bayaran Dius Rumah Api dan bersauh di kawasan larangan bersauh," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Zulkifli, dua buah kapal iaitu MT Merlion Dua yang didaftarkan di Basseterre dan MV Lu Rong Yu Shui yang didaftarkan di Shandong, China pula ditahan di kedudukan 2.8 batu nautika (5 kilometer) selatan Tanjung Stapa, dekat sini kerana melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran.
Menurutnya, kapal-kapal berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(l) Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Siasatan mendapati kapal MT Merlion Dua membekalkan minyak jenis Marine Gas Oil kepada kapal MT Lu Rong Yu Shui sebanyak 50,000 liter. Turut ditahan 12 anak kapal MT Merlion Dua dan 18 anak kapal MV Lu Rong Yu Shui.
"Anak kapal yang ditahan adalah warga Myanmar dan China serta berusia dalam lingkungan 21 hingga 53 tahun," ujarnya.
Mengikut statistik dari 2008 hingga kini, Maritim Malaysia Wilayah Selatan telah membuat 98 tangkapan melibatkan Akta Perkapalan Saudagar 1952 atas pelbagai kesalahan dengan melibatkan jumlah kompaun dan denda dianggarkan sebanyak RM230,000.

5 maut kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat



05/11/2010 2:58am

MANILA 5 Nov. - Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat yang tidak berhenti sejak empat hari lalu menyebabkan banjir teruk di wilayah utara Filipina hari ini.
Jurucakap tentera, Loreto Magundayao berkata, empat kanak-kanak adalah antara yang terbunuh akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku di wilayah Isabela itu. - AP