Search This Blog

Thursday, November 4, 2010

Penjenayah berputih mata




SEORANG pekerja kilang mengukur saiz lubang peti besi yang ditebuk oleh perompak dalam kejadian di Bukit Rambai, Melaka semalam.


MELAKA - Usaha sekumpulan perompak menebuk peti besi nyata sia-sia apabila mereka gagal melarikan wang sebanyak RM10,000 dalam kejadian di sebuah kilang perabot di Taman Perindustrian Bukit Rambai di sini semalam.
Kejadian di antara pukul 12 tengah malam dan 7 pagi itu berlaku apabila suspek yang dipercayai lebih daripada seorang telah menebuk lubang berbentuk segi empat berukuran 0.2 meter tinggi dan 0.165 meter lebar.
Namun kepingan besi yang dipotong itu kemudian telah terjatuh lalu menghempap wang berkenaan menyebabkan ia sukar diambil.
Difahamkan, suspek mengambil masa selama satu jam untuk menebuk peti besi berkenaan menggunakan alat pemotong besi. Suspek turut meninggalkan beberapa keping mata pemotong besi di situ.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, kejadian itu disedari salah seorang pekerja kilang berkenaan yang datang untuk memulakan operasi pada pukul 7.30 pagi.
"Dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada majikannya dan polis," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambahnya, ketika kejadian terdapat seorang pengawal keselamatan tetapi dia tidak menyedari pejabat itu diceroboh.
Menurut Salehhudin, pihaknya kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan penjenayah berkenaan.

Hisap syabu sebelum mencuri




THAIVEEGAN (tengah) menunjukkan sepucuk pistol yang dirampas daripada lima suspek kes pecah rumah di Balai Polis Seri Kembangan semalam.


KUALA LUMPUR - Lima lelaki yang bekerja sebagai tukang rumah rupa-rupanya turut melakukan 'kerja sambilan' sebagai penjenayah pecah rumah.
Mereka yang dikenali dengan gelaran Geng Ah Soon mengambil upah membaiki rumah mangsa dan pada masa yang sama memerhatikan selok-belok rumah itu sebelum dipecah masuk.
Ahli kumpulan yang berusia antara 28 hingga 43 tahun itu menyewa sebuah rumah di Taman Sungai Besi Indah di sini dan ia dipercayai menjadi lokasi intipan dan markas merancang jenayah.
Namun, kegiatan yang dilakukan sejak setahun lalu dengan diketuai seorang lelaki yang masih bebas dikenali sebagai Ah Soon terbongkar selepas polis menahan mereka di rumah sewa tersebut pada Rabu lalu.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, polis berjaya menjejaki kumpulan itu selepas menerima maklumat mengenai tiga kejadian pecah rumah di Taman Bukit Serdang dekat sini.
"Kumpulan itu dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Serdang, Kajang dan Cheras dengan memilih waktu awal pagi ketika penghuni rumah keluar berjoging.
"Kita mengesyaki sebelum melakukan jenayah itu kesemua suspek mengambil dadah jenis syabu bagi menghilangkan rasa takut," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Seri Kembangan di sini semalam.

Banjir ragut enam nyawa




anggota Maritim Malaysia turut menyertai gerakan mencari Muhammad Nurul Afiq yang lemas di Sungai Baru, Kangar semalam.


ALOR SETAR – Banjir besar yang melanda tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan sejak Isnin lalu telah meragut enam nyawa sehingga lewat petang semalam.
Dalam kejadian di Kampung Telaga Emas, Pokok Sena di sini, dua beradik iaitu Siti Nadia Syukor, 13, dan adiknya Sharifah, 8, dikatakan hanyut setelah motosikal yang ditunggangi bersama seorang rakan mereka, Intan Malik, 14, tiba-tiba hilang kawalan dan terjatuh ke dalam arus tali air.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, ketiga-tiga mereka kemudian hanyut di dalam tali air yang mengalir deras.
“Tetapi Intan sempat berpaut pada sebatang pokok sebelum diselamatkan oleh penduduk manakala dua beradik malang itu hanyut dibawa arus,” katanya.
Dalam pada itu, mayat seorang warga emas berbangsa Jerman yang dihanyutkan arus deras berhampiran rumahnya di Kampung Kerenjis, Kota Giam, Jitra kelmarin ditemui oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 5.45 petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Sawaluddin Hamenuddin, mayat Erna Fisher, 64, ditemui tersangkut di sebatang pokok berdekatan rumahnya.
Sebelum itu, seorang kanak-kanak berusia 13 tahun, Mohd. Zaki Amani Shaari ditemui mati lemas ketika memukat ikan di kawasan bendang bersama abangnya di Kampung Charok Bongor, Kuala Nerang pada pukul 5 petang kelmarin.
Di Perlis pula, seorang remaja, Muhammad Nurul Afiq Mohd. Rozaidi, 21, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Terusan Arau ketika menunggang basikal di Sungai Baru, Kangar semalam.

Remaja 16 tahun dituduh bunuh bapa



CLARISSA SANCHEZ


TUCSON, Amerika Syarikat (AS) - Seorang remaja, Clarissa Sanchez berusia 16 tahun didakwa atas tuduhan membunuh bapanya, lapor sebuah akhbar semalam.
Tuduhan membunuh itu turut dikenakan terhadap kekasih remaja tersebut, Larry Coronado berusia 19 tahun.
Kedua-dua remaja itu dituduh selepas mayat bapa Clarissa, Andres Sanchez ditemui di gurun Tucson, Arizona selepas dilaporkan hilang selama 10 hari sejak 20 Oktober lalu.
Keluarga dan rakan-rakan pada mulanya menganggap Andres yang berusia 40 tahun meninggalkan rumahnya atas kemahuan sendiri.
Namun, pada akhirnya, polis diminta menyiasat kehilangan Andres.
Anggota-anggota polis pergi ke rumah Andres dan mendapati terdapat sesuatu yang tidak kena dengan kehilangannya.
Clarissa dan teman lelakinya kemudian dibawa ke sebuah ibu pejabat polis untuk disoal siasat.
Para detektif mendapati kedua-dua remaja itu bertanggungjawab terhadap kehilangan Andres.
Detektif-detektif yang melakukan siasatan itu turut meminta bantuan para pegawai peronda basikal untuk mencari Andres.
Selepas soal siasat itu, polis menemui mayat Andres yang reput di sebuah kawasan gurun terpencil.
Polis memberitahu, Andres dibunuh di rumah dan mayatnya dibuang ke gurun itu.Motif pembunuhan masih disiasat polis. Buat masa kini, kedua-dua remaja itu ditahan di penjara Pima County. - Agensi

Pengawal keselamatan menyamar polis ditahan



04/11/2010 5:38pm

SHAH ALAM - Polis menahan seorang pengawal keselamatan yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis dari ibu pejabat Bukit Aman, selepas lelaki itu merampas sejumlah wang tunai milik beberapa pekerja pembinaan warga Indonesia di tapak perumahan Seksyen U1, Bukit Jelutong di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, pengadu yang merupakan pekerja pembinaan warga Indonesia di tapak perumahan itu didatangi oleh seorang lelaki yang memakai kemeja-T lambang polis dengan menunggang motosikal.
Beliau berkata, suspek yang berumur 37 tahun memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Bukit Aman dan meminta rakan-rakan pengadu yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk menyerahkan RM50 kepadanya.
"Disebabkan takut, dua rakan pengadu menyerahkan RM50 tiap seorang kepada suspek dan suspek kemudian terus beredar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Noor Azam berkata, kira-kira pukul 6 petang kemudiannya, suspek kembali ke rumah kongsi yang di tapak perumahan yang sama dan sekali lagi meminta wang daripada pekerja-pekerja tersebut. - Bernama

Kanak-kanak 3 tahun mati dalam kebakaran



04/11/2010 5:34pm

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun mati selepas kediaman keluarganya di tingkat dua sebuah rumah kedai di Central Point, Taman Sri Gombak di sini, terbakar hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Zakaria Aini berkata, Praveen Annadhurai, anak bongsu daripada enam adik beradik, ditemui parah melecur di kepala dan tangan kanannya, selepas terperangkap dalam kebakaran yang berlaku pada 11.30 pagi ini.
"Anggota bomba membawanya untuk menerima rawatan kecemasan di sebuah klinik berhampiran namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian di klinik itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. - Bernama

Pemandu teksi mogok

KUALA LUMPUR: Lebih 100 pemandu teksi melancarkan mogok di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC), sebagai tindakan membantah sistem perkhidmatan teksi baru yang digunakan pihak pengurusan menara itu, petang semalam.
Dalam perhimpunan aman kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, semua pemandu teksi terbabit enggan mengambil penumpang berikutan tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan memulakan sistem baru iaitu setiap teksi yang ingin mengambil penumpang di kawasan itu perlu memakai pelekat khas yang perlu dibayar RM50 sebulan dan penumpang juga dikenakan bayaran RM2 jika menggunakan khidmat teksi berkenaan.
BAWA BINCANG...anggota polis berunding dengan pemandu teksi yang mogok, semalam.
BAWA BINCANG...anggota polis berunding dengan pemandu teksi yang mogok, semalam.

Pemandu teksi, Zakaria Abdullah, 35, berkata perhimpunan secara aman itu adalah susulan daripada perhimpunan pertama minggu lalu selepas pihak KLCC bersetuju mempertimbangkan bantahan mereka mengenai sistem baru itu. Katanya, mereka nekad berkumpul kali kedua apabila tiada kata putus daripada pengurusan selepas seminggu berlalu dan keadaan itu semakin membebankan mereka.

“Kami tidak puas hati dengan sistem baru yang dilaksanakan bermula 25 Oktober lalu. Sebelum ini, kami bebas mengambil penumpang tanpa sebarang halangan, tetapi kini mana-mana teksi yang tidak berdaftar dengan syarikat yang mengendalikan sistem teksi baru ini tidak dibenarkan masuk.

“Apa tujuannya bayaran RM50 sebulan bagi pelekat dan kenapa penumpang harus membayar wang RM2. Penumpang sering merungut mengenai bayaran itu dan mereka ingatkan kami yang mengenakan bayaran itu,” katanya.

Zakaria berharap pihak KLCC membatalkan sistem baru itu dan membenarkan semua teksi beroperasi di pusat tumpuan pelancong berkenaan seperti dulu tanpa sebarang halangan. Mereka semua bersurai kira-kira tiga jam kemudian selepas pihak pengurusan berjanji akan mempertimbangkan bantahan mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Awana Sutera Sdn Bhd, Datuk Sham Ismail Tom, yang mengendalikan sistem perkhidmatan baru di KLCC berkata, sistem berkenaan dibuat bagi tujuan menjaga kepentingan semua pihak terutamanya penumpang.

Menurutnya, sistem berkenaan mendapat sokongan daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP

Warga Iran telan dadah mati

KUALA LUMPUR: Misteri kematian seorang pelancong warga Iran terbongkar apabila dia didapati menelan bungkusan dadah syabu sejak beberapa hari lalu.
Suspek yang dipercayai menelan berpuluh ketulan kecil dadah syabu dipercayai mengalami sakit perut yang serius sehingga menyebabkan kematiannya di dalam sebuah bilik hotel. Mangsa yang berusia 34 tahun sebelum ini dikesan menginap bersama dua rakan lain di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini selepas memasuki Malaysia dengan menyamar sebagai pelancong asing.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan mati mengejut selepas mengadu sakit perut pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Katanya, pegawai perubatan yang melakukan bedah siasat mengesan kewujudan objek aneh di dalam perut mangsa yang dikenal pasti sebagai dua ketulan dadah mampat.

“Hasil siasatan polis mendapati ketulan dadah seberat 19 gram itu adalah dadah jenis syabu yang ditelan mangsa sebagai taktik untuk menyeludup bahan itu ke negara ini. “Bagaimanapun, hasil bedah mendapati mangsa mati kerana sembelit.

“Kematian lelaki terbabit bukan berpunca daripada dadah yang ditelannya itu kerana ketulan dadah berkenaan tidak pecah ketika ditemui.

“Berikutan itu, polis menahan dua rakan mangsa berusia 34 dan 35 tahun kerana bersubahat menyeludup serta mengedar dadah berkenaan bersama mangsa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, polis percaya mangsa sudah menelan lebih daripada dua ketul dadah yang ditemui itu.

“Kita (polis) mengesyaki mangsa berjaya mengeluarkan sejumlah ketulan syabu yang lain sejurus tiba di negara ini. Buat masa ini kita sedang menyiasat kepada siapa dadah itu diedarkan termasuk pembabitan dua suspek berkenaan,” katanya.

Kejadian terbaru itu membuktikan sindiket dadah warga Iran semakin aktif menggunakan taktik menelan dadah selepas lapan lelaki Iran ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal September lalu.

Semua suspek terbabit yang kebanyakan bekerja sebagai peladang diupah sindiket dadah antarabangsa supaya menelan 500 bungkusan dadah kecil sebesar ibu jari tangan dewasa itu dengan upah AS$20 (RM60) bagi setiap bungkusan yang ditelan.

Tiang gol ragut nyawa

KEPALA BATAS: “Beberapa hari lalu, dia beritahu dapat nombor dua dalam peperiksaan tahunan dan di sekolah dia aktif,” kata bapa saudara Mohd Khairi Iskandar Onzek, 8, yang meninggal dunia pagi semalam kerana kecederaan dialami akibat ditimpa tiang gol di sekolahnya, Isnin lalu.
Shahizan Mohd Said, 29, yang ditemui di Taman Sri Desa berkata, selepas kejadian jam 12 tengah hari itu, Mohd Khairi dihantar ke Hospital Kepala Batas sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
“Saya dimaklumkan Mohd Khairi kehilangan banyak darah dan doktor memberitahu dia bukan saja cedera, malah saraf otaknya rosak dan itu antara sebab dia meninggal dunia,” katanya.
TRAGEDI...tiang gol yang menimpa Mohd Khairi Iskandar sehingga meragut nyawanya dalam kejadian Isnin lalu.
TRAGEDI...tiang gol yang menimpa Mohd Khairi Iskandar sehingga meragut nyawanya dalam kejadian Isnin lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa terjatuh sebelum dihempap tiang gol menyebabkannya mengalami pendarahan di hidung dan telinga, selain kecederaan dalaman.


Guru sekolah yang dimaklumkan kejadian itu menghantar mangsa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan.

Bagaimanapun, keadaan mangsa bertambah teruk menyebabkan dia dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia jam 8 pagi semalam.

Tinjauan Harian Metro di sekolah berkenaan mendapati dua tiang gol diikat tali penghadang selain dilekatkan notis ‘Awas’.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pajak Song, jam 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya menerima laporan kematian mangsa pagi semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan, tiada unsur jenayah menyebabkan kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Mayat wanita Jerman ditemui sangkut di pokok

JITRA: Mayat wanita warga Jerman berusia 64 tahun yang dihanyutkan arus deras bersama anak dan menantunya, ditemui tersangkut pada sebatang pokok berhampiran rumahnya di Kampung Kerenjis, Kota Giam, di sini, kira-kira 100 meter dari tempat dia berpaut di bawah jambatan kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin, berkata Erna Fischer, 64, ditemui kira-kira jam 5.45 petang semalam oleh penduduk kampung dan pasukan keselamatan.
“Mangsa ditemui tidak jauh dari tempat kejadian di sungai berkenaan selepas dua hari dihanyutkan arus deras.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra (HJ) untuk dibedah siasat,” katanya di sini semalam.


Dalam kejadian Selasa lalu, wanita warga Jerman berusia 64 tahun itu hilang dan dikhuatiri lemas manakala anak lelaki serta menantunya terselamat dengan memanjat dan berpaut pada pokok selepas mereka dihanyutkan arus deras banjir.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa bersama anaknya, Yusof Abdullah, 41, juga warga Jerman serta menantunya, Ashalehah Zain, 40, warga tempatan dikatakan panik apabila mendapati air memasuki rumah mereka melebihi paras pinggang menyebabkan mereka keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, sebaik keluar dari rumah, ketiga-tiga mereka dihanyutkan arus deras sejauh kira-kira 300 meter sebelum sempat berpaut pada pokok, manakala mangsa sempat berpaut pada jambatan.

Tak sempat lepas rindu

ALOR SETAR: “Saya pelik kerana arwah menghubungi saya pagi tadi (semalam), memberitahu dia tidak mahu kerja esok (hari ini), sedangkan dia sihat,” kata Azharuddin Che Nut, 30, suami Nurul Fitri Mohamad, 30, yang maut selepas pacuan empat roda polis dinaiki bersama empat rakan terbabas lalu terbalik di Kilometer 51.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Alor Setar Selatan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, semua mangsa bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani selepas mengikuti kursus di Anak Bukit di sini, sejak empat hari lalu.

Difahamkan, ketika kejadian kenderaan dinaiki mangsa dalam perjalanan pulang ke IPD Kuala Muda selepas kursus dihadiri bersama rakannya ditamatkan lebih awal berikutan banjir yang semakin buruk di Alor Setar.

Mangsa bertugas di cawangan komunikasi IPD Kuala Muda, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala Nurul Akma Ramli, 25, yang bertugas di cawangan pengangkutan patah kaki.

Dua daripada mangsa yang cedera anggota polis dan seorang kakitangan IPD berkenaan.

Azharuddin berkata, Nurul Fitri yang berasal dari Lumut, Perak menghubunginya kira-kira jam 9 pagi semalam memberitahu dia akan pulang ke rumah dan tidak bertugas keesokan hari (hari ini).

“Arwah beritahu dia sangat rindu dua anak lelakinya iaitu Mohamad Faris Daniel, 4, serta Mohamad Alif Daniel, dua tahun.

“Bagaimanapun saya terkejut apabila dihubungi pejabatnya memberitahu isteri saya terbabit kemalangan di Alor Setar.
“Sebaik tiba di IPD Kuala Muda saya diberitahu isteri sudah tiada lagi dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Chang berkata, berdasarkan maklumat, polis mendapati ketika menyusur keluar dari Alor Setar menghala ke Sungai Petani sebuah kenderaan pacuan empat roda menghimpit mereka menyebabkan pemandunya, seorang anggota polis hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.

Katanya, kenderaan anggota polis itu remuk teruk dan terperosok ke dalam parit di tepi lebuh raya berkenaan menyebabkan seorang maut, seorang cedera parah manakala tiga lagi cedera ringan.

“Mangsa dan dua rakannya adalah kakitangan IPD Kuala Muda cawangan komunikasi dan pengangkutan manakala dua lagi anggota polis dari IPD sama,” katanya.

5 sahabat penyamun

SERDANG: Lima sahabat yang mahir mengubah suai rumah menyalahgunakan kemahiran itu dengan menjalankan kegiatan memecah masuk rumah.
Mereka yang dikenali sebagai Geng Ah Soon itu licik menggunakan helah untuk membaiki rumah di kawasan perumahan tertentu sambil pada masa sama memantau keadaan rumah lain sebelum memecah masuk walaupun ditinggalkan penghuninya untuk tempoh singkat.

Namun, kegiatan jenayah geng terbabit yang dipercayai aktif sejak setahun lalu tumpas selepas sepasukan polis menahan mereka dalam satu serbuan di sini pada 27 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, bertindak hasil maklumat awam, mereka akhirnya ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan selepas polis menerima laporan tiga kes pecah rumah di sekitar Seri Kembangan antara jam 3 pagi dan 6.30 pagi.

Pemilik kedai elektrik ditemui mati dengan kesan tikaman di dada

KUALA LUMPUR: Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui di tempat simpanan barang di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Awan Jawa, Taman Yarl dekat sini petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki berumur sekitar 20an itu dijumpai orang awam pada pukul 1 petang, dengan satu kesan tikaman di dada kiri.

"Lelaki yang dipercayai pemilik sebuah kedai elektrik itu mati dalam tempoh 24 jam lalu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dipindahkan ke belakang kereta Toyota Hilux bernombor pendaftaran WPC 3278 yang diletakkan di belakang deretan kedai di kawasan itu.

Katanya, lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan terlentang dan semakan terhadap kenderaan itu mendapati ia didaftarkan atas nama syarikat lelaki berkenaan.

Ku berkata, mayat itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi polis.-Bernama

Bayi dibungkus kain batik



MERSING - Penduduk Felda Nitar 1 gempar apabila dikejutkan dengan tangisan bayi lelaki yang dipercayai dibuang berdekatan sebuah rumah peneroka di sini, kelmarin. 

Bayi itu ditemui dalam keadaan uri belum dipotong dan berbungkus dengan kain batik. 

Bayi seberat 2.4 kg berkenaan dipercayai baru sahaja dilahirkan dan terus ditinggalkan di situ kira-kira jam 8 malam kelmarin. 

Salah seorang penduduk yang ditemui, Siti Zaharah Ahmad, 54, berkata, dia dikejutkan dengan panggilan cucunya, Zulkifli Kassim, 13, yang memberitahu ada bayi ditemui berdekatan rumahnya. 

Sebaik saja mendapat berita tersebut, Siti Zaharah bergegas ke luar rumah untuk melihat keadaan bayi berkenaan yang dibaluti kain batik dan masih berlumuran darah. 

“Saya dapati bayi berkenaan menangis akibat kesejukan, namun tiada sebarang kecederaan pada tubuh badannya kerana baru ditinggalkan di situ, katanya. 

Menurutnya, dia bersama seorang lagi jirannya bergegas membawa masuk bayi berkenaan ke dalam rumah dan menyelimutkannya dengan kain lebih tebal, katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Katanya, bayi lelaki itu kemudian diambil dan seterusnya diazankan oleh salah seorang penduduk Felda berkenaan. 

“Syukurlah bayi berkenaan selamat dan tiada perkara buruk menimpanya,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mad Nor Rasid semasa dihubungi mengesahkan penemuan bayi berkenaan dan pihaknya ada menerima laporan kejadian tersebut. 

“Pada masa ini, bayi tersebut ditempatkan di Hospital Mersing untuk penjagaan dan rawatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat apabila kes selesai,” katanya.

Pelakon disangka penjenayah ditembak mati



CEBU - Seorang pelakon Filipina yang sedang beraksi dalam satu penggambaran filem ditembak mati oleh pengawal keselamatan sebuah kampung selepas dia disalah anggap sebagai penjenayah sebenar. 

Kirk Abella sedang menjalani penggambaran watak penyerang bersenjata yang memakai topeng dan pelakon itu membawa bersama sebuah pistol mainan sambil menunggang motorsikal di bandar pelabuhan di Cebu, Sabtu lalu. 

Lakonan meyakinkan Abella menyebabkan anggota pasukan keselamatan daerah itu, Eddie Cuizon, menganggapnya sebagai penjenayah sebenar dan menembak bahagian belakang badan pelakon itu. 

Cuizon kemudian menyedari kesilapannya dan menyerah diri kepada polis.

Remaja OKU dihanyut arus banjir



KUALA NERANG - “Ketika diajak makan bersama, dia tidak mahu sebaliknya hanya memerhatikan saya sahaja. Saya pelik dengan kelakuannya itu tetapi tidak menyangka rupanya itulah perubahan terakhir sebelum dia meninggalkan kami sekeluarga,” kata Rohani Baharum, 51, ibu kepada Zaki Amani Shaari, 13, OKU yang meninggal dunia akibat lemas setelah tergelincir lalu terjatuh dalam arus banjir petang kelmarin.

Menurutnya, dia mula menyedari kehilangan anak ke- 10 dari 11 beradik itu apabila abang mangsa, Salahudin Shaari, 14, pulang ke rumah memberitahu bahawa adiknya jatuh dalam arus banjir.

“Kami sekeluarga pergi mencarinya di kawasan itu tetapi tidak berjumpa. Turut membantu adalah orang kampung yang kebetulan ada berhampiran kawasan tempat anak saya jatuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya, Kampung Charok Bongor, dekat sini, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Shaari Ismail, 65, berkata, selepas gagal menemui mangsa, dia mengambil keputusan untuk membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu sekali gus meminta operasi mencari dilakukan.

Solehudin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3 petang ketika mereka berdua dalam perjalanan menuju ke kawasan sawah kerana mahu melihat orang memukat ikan.

“Dia menyuruh saya berjalan di depan dan dia di belakang . Selepas itu, saya tengok dia sudah tidak ada. Saya tidak dengar apa-apa, dia tidak menjerit tetapi hanya nampak kasunya dan kesan gelincir,” katanya.

Menurutnya, dia terus bergegas pulang memberitahu ibu dan ahli keluarga mengenai kejadian itu sehingga mereka pergi semula ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya untuk mencari adiknya.

Rohani berkata, mereka yang dibantu penduduk kampung mengambil masa dua jam sebelum menemui mangsa di kawasan sawah yang dipenuhi air bah.

“Hampir dua jam kami mencari dan anak saya berjaya ditemui apabila orang kampung dari Barokhas menyelam di kawasan dasar sawah itu dan berjaya mengangkat naik anak saya. Ketika itu dia sudah tidak bernyawa lagi,” katanya.

Menurutnya, walaupun sedih dengan tragedi yang menimpa, namun dia tabah menghadapi suratan takdir kerana anaknya itu adalah anak lelaki yang ketiga meninggal dunia selepas dua daripadanya terlibat dalam kemalangan.

Sementara itu, mangsa merupakan pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kuala Nerang.

Dua lagi kanank-kanak dikhuatiri lemas di Alor Setar



ALOR SETAR - Dua kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di kawasan sawah padi di Tanjung Bendahara di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab berkata, dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa Nur Irshah Rosli, 9, dan rakannya Awwad Hakimi Rudaini, 7, dikatakan sedang bermain-main di kawasan sawah tersebut yang dipenuhi air.

Katanya semasa kejadian, ada beberapa orang lagi kanak-kanak bermain di kawasan itu.

"Kanak-kanak itu memberitahu selepas dua mangsa itu terjatuh ke dalam tali air, mereka dipercayai tersedut masuk ke dalam lubang yang dalam," katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Ghafar berkata, orang ramai gagal menyelamatkan mangsa kerana air terlalu deras dan kawasan tali air tersebut sangat berbahaya.

Sementara itu, bapa Nur Irshah, Rosli Ismail, 45, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu pada mulanya bermain bersama beberapa rakan di halaman rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara dekat sini.

Setengah jam kemudian beliau yang berada di rumah menerima panggilan daripada salah seorang anak lelakinya mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu dan bergegas ke tempat kejadian, 500 meter dari kediamannya.

"Sejak awal lagi saya dah nasihat dia (mangsa) jangan pergi main jauh-jauh sebab takut berlaku perkara yang tidak diingini.

"Tiba-tiba saya dapat panggilan dari abang mangsa yang mengatakan Irshah lemas ketika bermain bersama rakan-rakan di tepi tali air yang mengalir deras," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat dua kanak-kanak itu sedang giat dijalankan oleh polis dan bomba. Hadir sama di tempat kejadian adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Anggota Parlimen Alor Setar Datuk Chor Chee Heung yang melawat dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Nyawa hujung tanduk



SUNGAI BUAYA – Sepasang suami isteri warga emas berhadapan detik mencemaskan apabila berdepan dengan penyamun bersenjata tajam yang cuba menyamun rumah mereka di sini awal pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, K Balakrishnan, 65, dan isterinya, R Poongavanan, 59, berdepan maut apabila tiga penyamun yang memecah masuk kediaman mereka bertindak mengacukan parang panjang ke leher dan mengugut sedia membunuh mereka sekiranya cuba melawan. 

Poongavanan berkata, ketika kejadian, mereka sedang tidur sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran tiga penjenayah yang masing-masing bersenjata parang panjang. 

“Seorang lelaki mengacukan parang dan menyoal kami sementara dua lagi menggeledah seluruh rumah. 

“Dia kata, ‘u (you) cakap betul-betul mana u simpan, kalau ada cakap ada, kalau u tipu potong tangan suami dan u saya bunuh!’, katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, semalam. 

Poongavanan berkata, ketiga-tiga penjenayah terbabit memakai topeng muka dan bertutur dalam bahasa yang sama. 

Menurutnya, dia sempat merayu agar tidak diapa-apakan dan meminta supaya tangan suaminya tidak diikat kerana mengidap sakit jantung dan perlu ditenangkan. 

Malah, dia dan suami sempat bersembahyang di dalam bilik kerana menyedari nyawa di hujung tanduk.

Mangsa lemas kedua




BACHOK - Kanak- kanak Down Sindrom mangsa lemas kedua musim tengkujuh di negeri ini selepas terjatuh ke dalam parit berhampiran rumahnya di Kampung Kubur Tok Din, Repek dekat sini kelmarin. 

Pemangku Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Malek Che Omar berkata, mangsa, Siti Nor Ekma Mohd Rosly, 12, dipercayai bermain seorang diri di kawasan berkenaan sebelum dilaporkan terjatuh ke dalam parit sedalam lima kaki itu. 

“Kejadian dipercayai berlaku kira- kira jam 4 petang selepas keluarga mendapati mangsa tidak berada di sekitar kawasan rumah dan usaha mengesannya gagal. 

“Keluarga mangsa membuat andaian kemungkinan Siti Nor Ekma terjatuh ke dalam parit berkenaan selepas menemui selipar yang dipakainya di atas tebing berdekatan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian tersebut yang merupakan kejadian pertama di Bachok sejak negeri dilanda tengkujuh beberapa hari lalu. 

Malek berkata, sepasukan enam anggota dari balai bomba dan penyelamat berkenaan yang diketuai beliau bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan daripada abang mangsa yang datang sendiri ke balai berkenaan memaklumkan kejadian tersebut. 

“Kami menerima aduan sekitar jam 6.14 petang dan terus ke lokasi kejadian untuk melancarkan gerakan mencari mangsa yang kemudian ditemui jam 6.45 petang, kira- kira 40 meter dari tebing parit berkenaan di mana selipar mangsa ditinggalkan. 

Beliau berkata, mayat Siti Nor Ekma kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat. 

Mangsa kemudian diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian. 

Malek berkata, orang ramai terutama penduduk yang tinggal di kawasan rendah yang mudah digenangi air dinasihatkan supaya sentiasa mengawasi pergerakan ahli keluarga mereka terutama kanak-kanak daripada bermain atau mandi di kawasan air yang dalam bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang 

Beliau berkata, walaupun Bachok adalah kawasan pantai yang sukar digenangi air bah, namun jaringan tali air yang dipenuhi air akibat hujan berterusan sepanjang musim tengkujuh ini turut merbahaya kepada penduduk. 

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak mandi di kawasan Pantai Irama sepanjang musim ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan ombak yang besar, dan sikap berwaspada penting bagi mengelak sebarang kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Kes jual bayi: Hospital ada rekod buruk

Foto
ORANG ramai tetap datang mendapatkan rawatan tanpa menyedari hospital yang menjalankan kegiatan jual bayi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sudah ditutup, semalam.
KUALA LUMPUR: Hospital swasta di Jalan Ipoh di sini yang diserbu polis kerana didakwa menjual bayi memang dalam siasatan dan penilaian Kementerian Kesihatan kerana mempunyai rekod perkhidmatan buruk.
Sumber memberitahu Berita Harian, hospital itu juga gagal memenuhi syarat mengemukakan permohonan untuk memperbaharui lesen operasinya enam bulan sebelum tamat tempoh.
Beliau berkata, pihaknya mungkin tidak akan mempertimbangkan permohonan rayuan pihak hospital berkenaan untuk memperbaharui lesennya.

“Pendedahan kegiatan penjualan bayi di hospital swasta berkenaan mengukuhkan lagi siasatan dan penilaian jawatankuasa rayuan yang dilakukan terhadapnya dan jika prestasi perkhidmatannya menjurus kepada pelbagai aspek menyalahi Akta Hospital Swasta 1971, tindakan setimpal akan dikenakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Berita Harian mendedahkan Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman menyerbu hospital berkenaan dan menahan enam individu termasuk pemilik hospital bergelar Datuk, isteri dan anaknya serta tiga kakitangan hospital.

Penahanan dibuat selepas urusan menjual bayi perempuan berusia seminggu di hospital itu kepada satu paisteri dengan harga RM21,000.
Dalam kejadian itu, polis juga berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki berusia kira-kira empat bulan. Kedua-dua bayi itu diletakkan di sebuah pusat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas terhadap hospital kerajaan atau swasta dan doktor yang terbabit dalam sebarang kegiatan menyalahi etika.

“Kementerian Kesihatan memandang serius kes penjualan bayi membabitkan sebuah hospital swasta dan menasihatkan orang ramai berhati-hati agar tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tiong Lai berkata, ketika ini, pihaknya sedang meneliti kes yang didedahkan baru-baru ini untuk mengesan sebarang tindakan hospital berkenaan yang menyalahi Akta Hospital Swasta.

“Mengikut akta itu, perkhidmatan menggugurkan kandungan juga boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya lebih prihatin dan peka bagi memastikan tidak terjebak dalam kegiatan memudaratkan mereka, selain menyalurkan maklumat kepada pihak yang berwajib.

Lelaki Nigeria dan kekasih dipenjara kurung wanita Filipina




2010/11/04

SHAH ALAM: Seorang lelaki Nigeria sanggup menyamar sebagai seorang duda bangsa Amerika Syarikat dan memperdayakan seorang wanita Filipina melalui internet untuk mengahwininya sehingga mendorong mangsa datang ke Malaysia sebelum bertindak melarikan dan mengurung wanita itu secara salah. 

Tertuduh, Oparaugo Uchenna Samuel, 27, bagaimanapun hari ini menerima hukumannya apabila dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada Disember tahun lalu.
Di mahkamah yang sama, teman wanita Samuel yang juga rakyat tempatan, Nurrul Atika Baharuddin, 21, dan rakannya Khairun Azhan Mohammed Aziddin, 25, pula dijatuhi hukuman penjara enam bulan setelah mengaku bersalah sengaja tidak melaporkan perbuatan Samuel melarikan dan mengurung mangsa berumur 45 tahun itu walaupun mereka mengetahuinya.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukumannya berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 14 Disember tahun lalu. 

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan mereka di sebuah rumah di alamat No.E-12-05, Blok E, Mentari Court, Jalan PJS 8/9, Taman Sri Mentari, Petaling Jaya, antara 5.20 petang, 12 Disember tahun lalu hingga 9.50 pagi, 17 Disember tahun lalu. 

Ketika dalam tahanan reman, Nurrul Atika telah melahirkan seorang anak lelaki yang kini berusia empat bulan hasil perhubungannya dengan Samuel. 

Mengikut fakta kes, mangsa datang ke Malaysia pada 12 Disember tahun lalu atas dorongan Samuel bersama-sama seorang lagi suspek yang masih bebas di mana mereka telah memperdayakannya melalui Internet dengan Samuel menyamar sebagai "Edmond Wax", seorang duda berbangsa Amerika yang juga peniaga di Malaysia yang telah menyatatakan hasrat hatinya untuk mengahwini mangsa. 
Setibanya di Lapangan Terbangsa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, mangsa menaiki teksi dan menuju ke sebuah rumah (tempat kejadian) di mana Samuel dan suspek yang masih bebas mengurung mangsa di dalam sebuah bilik dengan tangan dan kakinya diikat serta mulutnya ditutup. 

Apabila mangsa sedar daripada pengsan keesokan harinya, beliau mendapati dirinya telah dikurung di dalam sebuah bilik dalam keadaan berbogel dan wanita itu juga tidak diberi makan selama empat hari dan dipukul di bahagian muka apabila meminta makanan. 

Pada satu ketika, mangsa turut dimarahi, ditendang dan diterajang oleh Samuel serta seorang lagi suspek yang masih bebas apabila cuba menyelamatkan diri dan tidak cukup dengan itu, suspek yang masih bebas turut menggunakan pisau yang dipanaskan untuk memukul mangsa di bahagian tangan dan badan. 

Selepas beberapa hari dikurung, mangsa telah dipengsankan sekali lagi oleh Samuel dan seorang lagi suspek yang masih bebas sebelum ditinggalkan di atas jalan PJS 11, Petaling Jaya pada 17 Disember tahun lalu. Mangsa ditemui oleh orang awam dan dibawa ke hospital. 

Barang-barang milik mangsa seperti satu beg bagasi, sebuah telefon bimbit Iphone dan komputer riba turut diambil oleh Samuel dan seorang lagi suspek yang masih bebas. 

Nurrul Atika dan Khairun Azhan telah datang melawat Samuel di tempat kejadian dan sepanjang tempoh mangsa dikurung, mereka berdua nampak mangsa dan Samuel juga telah memberitahu mereka berdua bahawa mangsa telah diperdayakan untuk datang ke Malaysia seterusnya dikurung dengan salah. 

Nurrul Atika dan Khairun Azhan juga tanpa apa-apa sebab telah sengaja tidak melaporkan perbuatan Samuel kepada polis atau kepada mana-mana pegawai polis yang berhampiran. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Kamal Roslan sementara ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam-peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Salim Bashir dan Abu Dzarr Ab Karim. - BERNAMA

Pemandu lori, warga Indonesia maut nahas





2010/11/04

IPOH: Seorang pemandu lori dan seorang warga Indonesia terbunuh dalam dua kemalangan di Telun Intan di sini awal pagi ini. 

Dalam kejadian pertama seorang pemandu lori terbunuh selepas lori yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori lain di KM 24 Jalan Feri-Hutan Hutang Melintang.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang, berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian jam 4.20 pagi itu ialah Ismail Mohd Nor, 50, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Katanya, Ismail yang mengalami kecederaan cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. 

Beliau berkata, nahas berlaku apabila Ismail yang dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Klang dikatakan merempuh belakang sebuah lori di hadapan. 

Dalam satu lagi kejadian, seorang lelaki warga negara Indonesia terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor lembu di kawasan jalan Kampung, Teluk Buluh, Teluk Intan. 

Goh Kok berkata, lelaki yang terbunuh dalam nahas 3.30 pagi itu hanya dikenali sebagai Hery, 27, yang bekerja sebagai buruh binaan. 
Katanya, lelaki itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan. - BERNAMA

ADUN Sekinchan dakwa dipukul sekumpulan lelaki





2010/11/04

TANJUNG KARANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, mendakwa dipukul di kepala dan beberapa bahagian badan lain oleh sekumpulan lelaki di Sawah Sempadan, di sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi. 

Sehubungan itu beliau membuat satu laporan di Balai Polis Kuala Selangor kira-kira jam 1.30 petang berhubung kejadian itu.

Polis sahkan 10 budak hanya dicabul





2010/11/04

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan 10 kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 14 tahun di pusat perlindungan di Jalan Klang Lama, di sini, hanya dicabul, bukan diliwat seperti dilaporkan sebuah akhbar (bukan Berita Harian) baru-baru ini. 

Timbalan Pengarah Siasatan/Perundingan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata selepas mengambil keterangan suspek liwat dan mangsa, pihaknya menahan seorang lelaki yang juga pemilik pusat perlindungan kerana disyaki mendera penghuninya.
“Suspek berusia 48 tahun itu ditahan selepas satu laporan polis dibuat sukarelawan berusia 58 tahun yang mendakwa pemilik pusat itu sering memukul penghuni di pusat berkenaan.
“Lelaki yang juga bekas jurugambar yang ditahan atas dakwaan liwat itu dibebaskan dengan jaminan polis petang kelmarin selepas memberi keterangan Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, kelmarin. 

“Lelaki itu mendakwa tidak pernah meliwat kanak-kanak berkenaan sebaliknya hanya melakukan perbuatan ringan seperti menyentuh kemaluan mangsa,” katanya.

Wanita maut jip polis terbabas dalam parit





2010/11/04

 JIP   terbabas menyebabkan seorang maut di Kilometer 51.3  Lebuh Raya Utara Selatan, semalam.
JIP terbabas menyebabkan seorang maut di Kilometer 51.3 Lebuh Raya Utara Selatan, semalam.
ALOR SETAR: Seorang petugas cawangan komunikasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani maut manakala seorang rakannya cedera parah apabila jip polis yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di kilometer 51.3 kilometer Lebuhraya Utara Selatan dekat susur keluar Alor Setar selatan menghala Kuala Lumpur di sini, semalam. 

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, mangsa, Nurul Fitri Mohamad, 30 berasal dari Lumut, Perak parah di kepala dan badan, manakala Nurul Akma Ramli dari cawangan pengangkutan IPD Kuala Muda patah kaki kanan apabila land rover yang dinaiki bersama dua rakan sekerjanya serta dua anggota polis terbabas ke dalam parit.
Ketika kejadian kenderaan terbabit dalam perjalanan pulang ke IPD Kuala Muda selepas kursus yang dihadiri mangsa bersama rakannya ditamatkan lebih awal berikutan kejadian banjir yang semakin buruk di Alor Setar.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Chang, berkata berdasarkan maklumat awal polis mendapati ketika menyusur keluar dari Alor Setar menghala ke Sungai Petani sebuah kenderaan pacuan empat roda menghimpit kenderaan mereka, menyebabkan pemandunya seorang anggota polis hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit. 

“Kemalangan itu menyebabkan seorang maut, seorang cedera parah manakala tiga yang lain mengalami cedera ringan,” katanya, semalam. 

Sementara itu, suami Nurul Fitri, Azharuddin Che Nut, 30, seorang kakitangan di sebuah Kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, berkata isterinya menghubungi beliau kira-kira jam 9 untuk memberitahu dia akan pulang ke rumah. 

Azharuddin berkata, isterinya memberitahu dia amat merindui dua anak lelaki mereka, iaitu Mohd Faris Daniel, 4 serta Mohd Alif Daniel, 2 tahun dan memaklumkan akan menghubungi pejabat tempat arwah bekerja untuk bercuti hari esok (hari ini) namun tidak kesampaian. 
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila dihubungi pejabatnya memberitahu isteri terbabit dengan kemalangan di Alor Setar. 

“Sebaik tiba di IPD Kuala Muda saya diberitahu bahawa isteri sudah tiada lagi dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada lebih 28,000





2010/11/04

ALOR SETAR: Bilangan penduduk yang dipindahkan kerana banjir di negeri ini meningkat kepada lebih 28,000 orang pagi ini berbanding sekitar 27,000 malam tadi, berikutan keadaan banjir yang semakin buruk di empat daerah. 

Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang mencatatkan peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan, manakala keadaan banjir di Padang Terap pula semakin baik dan jumlah mereka berada di pusat pemindahan berkurangan.
Di Kubang Pasu, seramai 15,637 penduduk daripada 4,347 keluarga kini dipindahkan, manakala di Padang Terap seramai 3,219 orang masih berada di pusat pemindahan, Kota Setar melibatkan 1,788 penduduk, Pokok Sena (1,259 orang) dan daerah Pendang merekodkan 158 penduduk dipindahkan.
Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata, sehingga 9 pagi ini sebanyak 104 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 46 di Kubang Pasu, 35 di Padang Terap, 15 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang. 

Katanya, keadaan banjir di Padang Terap bertambah baik dengan 774 orang daripada 274 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. 

Keadaan banjir di Kota Setar pula semakin buruk dengan paras air semain naik walaupun hujan telah berhenti. 

Beberapa jalan utama di bandar raya Alor Setar pula semakin digenangi air menyebabkan lalulintas sesak. 
Selain itu beberapa kawasan kediaman juga berdepan dengan gangguan bekalan air, termasuk terputus bekalan. - BERNAMA