Search This Blog

Wednesday, November 3, 2010

Tukang urut 'kantoi'




SHAH ALAM – Tiga buah pusat urut di U13 Setia Alam dekat sini diserbu dalam satu operasi bersepadu oleh sepasukan penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Imigresen Selangor. 

Hasil pemeriksaan dua daripada premis terbabit beroperasi tanpa lesen dan menggaji pekerja asing secara tidak sah. 

Ketua Operasi, Hairul Hanif Abu Taib berkata, ke semua barangan daripada pusat urut tidak berlesen disita manakala sebuah lagi lesennya ditarik setelah didapati melanggar syarat lesen. 

Berdasarkan aduan ketiga-tiga buah pusat urutan terbabit dipercayai menawarkan khidmat urutan batin dan seks kepada para pelanggan. 

”Salah sebuah daripada pusat urutan ini kita telah sita barangannya sebanyak tiga kali namun pemiliknya masih berdegil dan meneruskan operasi,” katanya ketika ditemui di sini. 

Tindakan diambil di bawah Undang-undang kecil pusat kecantikan dan penjagaan Kesihatan (MBSA) 2007 Peruntukan 3 kerana menjalankan perniagaan pusat urutan tanpa kebenaran dari pihak Majlis. 

Operasi yang turut dihadiri oleh Datuk Bandar Shah Alam Mazalan Md Noor ini turut menahan dan memeriksa 10 orang gadis tempatan yang bekerja sebagai tukang urut. 

Manakala 18 tukang urut warga Thailand dan Indonesia ditahan pihak Imigresen. 

Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Johari Supardi berkata, ke semua tukang urut yang ditahan kerana menyalahgunakan lawatan pas sosial. 

“Dua orang penjaga premis ditahan untuk siasatan lanjut manakala yang lain di bawa ke depoh tahanan Imigresen KLIA. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan Seksyen 55B kerana menggaji pekerja warga asing secara tidak sah 

Dalam operasi sama, sebanyak 76 set komputer disita daripada dua buah pusat siber yang beroperasi secara haram U5 Puteri Subang. 

Tindakan diambil di bawah undang-undang kecil pusat siber dan kafe siber MBSA 2007 Peruntukan 3 kerana menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen.

14,818 mangsa dipindah

ALOR SETAR: Banjir di Kedah bertambah buruk apabila seramai 14,818 penduduk membabitkan 4,188 keluarga di empat daerah di negeri itu iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena dan Kota Setar dipindahkan ke 87 pusat penempatan apabila rumah mereka dinaiki air sedalam antara satu dan lebih dua meter berikutan hujan lebat sejak Sabtu lalu.
Kubang Pasu mencatat mangsa banjir paling ramai dipindahkan iaitu 10,834 orang membabitkan 3,108 keluarga diikuti Padang Terap, 3,478 orang daripada 927 keluarga, Kota Setar seramai 438 orang daripada 136 keluarga manakala Pokok Sena membabitkan 68 orang daripada 17 keluarga.

Tinjauan Harian Metro di daerah Padang Terap, semalam mendapati, keadaan bertambah buruk apabila laluan utama dari Kuala Nerang ke Padang Sanai ditutup kerana dinaiki air sedalam 1.5 meter di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap dan di bangunan Majlis Daerah Padang Terap.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Padang Terap, Abdul Gafar Yahya berkata, 38 kampung membabitkan 11 mukim di daerah itu terjejas dengan banjir kerana ditenggelami air setinggi paras pinggang sehingga menenggelamkan kenderaan selain terputus perhubungan jalan raya, semalam.

“Kita membuka 41 pusat penempatan sementara di beberapa tempat di mukim ini apabila paras air naik mendadak selepas hujan lebat tanpa henti sejak dua hari lalu,” katanya.

Roboh rumah sendiri




BUKIT RAMBAI - Sebuah rumah agam bernilai lebih RM2.5 juta terpaksa dirobohkan sendiri tuan rumah selepas membinanya di tanah milik Gereja Katolik Daerah Melaka-Johor secara tidak sah di Kampung Baru Ayer Salak, di sini, pagi semalam. 

Bangunan tiga tingkat, milik ahli perniagaan, Peter Lim, 44, dan keluarganya itu akhirnya dirobohkan kira-kira jam 9 pagi selepas perintah mahkamah dikeluarkan sejak 3 Mac lalu dilanjutkan berikutan proses rayuan oleh keluarga Lim. 

Lebih 20 anggota polis dari Balai Polis Melaka Tengah dan Balai Polis Tanjung Minyak dipanggil berkawal, selain pihak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga dilihat berada di kawasan rumah berkenaan untuk kerja pemotongan air serta elektrik, kira-kira jam 10 pagi. 

Lim berkata, kos perobohan rumah itu menelan belanja antara RM80,000 hingga RM90,000 dan dijangka selesai selepas dua hingga tiga bulan.

Gadis, teman lelaki dicari



TELUK INTAN - Seorang gadis, T Thivya Priya, 16, dipercayai hilang selepas mengikut teman lelakinya, V Gobi sejak 11 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kehilangan disedari ibu gadis itu ketika mahu menjemput anaknya pulang dari sekolah dan dimaklumkan gadis itu tidak ke sekolah.

Menurutnya, laporan polis dibuat keluarga pelajar Tingkatan 4 di salah sebuah sekolah di sini selepas terputus hubungan dan tiada khabar berita.

“Hasil maklumat daripada ibu gadis berkenaan, memang ada sistem pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya tetapi sejak kebelakangan ini, tiada SMS yang dihantar oleh anaknya itu.

“Kita mencari kedua-dua mereka dan jika orang ramai mempunyai maklumat mengenai gadis ini serta teman lelakinya, diminta terus berhubung dengan pihak polis,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.
Katanya, gadis berkenaan yang juga merupakan ahli Ikatan Relawan Rakyat (Rela) tinggal bersama keluarganya di Jalan Padang Tembak, di sini.

Sementara itu, Kok Liang turut memaklumkan pihak media, polis berjaya menahan dua lelaki di Port Dickson, Negeri Sembilan yang membawa kepada penemuan sebuah kereta jenis Toyota Camry yang dilaporkan hilang di Jalan Merbuk, di sini bulan lalu.
Menurutnya, kejadian itu disedari pemiliknya yang memberhentikan kenderaan miliknya untuk membeli pisang goreng.

Termakan coklat berulat




PASIR GUDANG – Seorang ibu terkejut sebaik melihat coklat yang sedang dimakan anak bongsunya yang baru berumur dua tahun sudah berulat, sedangkan baru dibeli suami di sebuah kedai runcit Taman Cahaya Masai, di sini. 

Noridah Mohamed berkata, kejadian lebih kurang jam 2.30 petang Ahad lalu itu sangat mengejutkan mereka sekeluarga kerana coklat yang berharga RM1 dari sebuah syarikat pengeluaran makanan terkenal itu menjadi kegemaran anak-anaknya. 

Menurutnya, kejadian yang tidak disangka itu membuatkan mereka sekeluarga serik untuk mendapatkan barangan berjenama syarikat itu lagi kerana tidak mahu kejadian sama berulang. 

“Kami pelik macam mana coklat itu boleh rosak dan berulat, sedangkan masa tamat tempoh tercatat di kotak pada April tahun depan. Malah keempat-empat kotak coklat yang dibeli itu semuanya sama. 

“Nasib baik anak bongsu kami yang sudah termakan tidak sakit, tetapi agak meloyakan tertelan coklat yang sudah berulat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, di sini, semalam. 

Sementara itu, suaminya, Harun Yusoh, 46, berkata, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Scientec pada hari yang sama kerana bimbang dengan kesihatan anak bongsunya yang telah termakan coklat berulat. 

Menurutnya, kejadian yang pertama kali berlaku ke atas keluarganya diharap menjadi iktibar kepada orang lain agar lebih berhati-hati membeli barangan makanan. 

“Kita harap pihak syarikat berkenaan lebih bertanggungjawab dengan produk makanan yang dikeluarkan dan tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengancam kesihatan pengguna. 

“Kita kesal kerana anak yang masih kecil telah termakan coklat yang sudah berulat dan tidak akan membenarkan anak-anak mendapatkan coklat berjenama itu lagi pada masa akan datang,” katanya.

'Wajib Rugi’ tipu ramai graduan

KUALA LUMPUR: Teruja dengan tawaran jawatan tinggi sebagai eksekutif pentadbiran menyebabkan puluhan graduan tempatan menjadi mangsa penipuan syarikat pelaburan ‘wajib rugi’ yang didakwa menjalankan perdagangan mata wang asing (forex) di luar negara.
Kebanyakan mangsa yang baru tamat pengajian dan terdesak mahu mendapatkan pekerjaan didakwa tanpa berfikir panjang terus menerima tawaran pekerjaan itu yang kononnya menawarkan gaji sehingga lima angka setiap bulan.

Bagi mencapai hasrat itu, semua mangsa dikehendaki keluar mencari pelanggan yang berminat melabur wang ke dalam syarikat berkenaan.

Pihak syarikat berjanji memberi komisen sehingga AS$60 atau RM186.80 kepada pekerja yang membawa seorang pelanggan melabur dalam syarikat itu.

Tertarik dengan tawaran gaji lumayan itu, menyebabkan ramai graduan lepasan ijazah bersetuju bekerja di syarikat itu yang terletak di Jalan Yap Kwan Seng di sini.

Sumber polis berkata, bagi memastikan sasaran memperoleh komisen tinggi tercapai, ada graduan sanggup memujuk ahli keluarga dan rakan termasuk ibu bapa menjadi pelanggan mereka.

Beliau berkata, mangsa bersetuju melabur antara RM100,000 hingga RM200,000 selepas diyakinkan syarikat berkenaan mereka akan memperoleh keuntungan lumayan.

'Lebih baik gadis daripada gay'





2010/11/03

Silvio Berlusconi
Silvio Berlusconi
ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, berkata 'lebih baik gemarkan gadis daripada gay' ketika menolak gesaan supaya meletak jawatan mengenai laporan bahawa beliau membantu seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang hadir dalam pesta di rumahnya terlepas daripada hukuman undang-undang apabila dituduh mencuri. 

Berlusconi enggan meminta maaf atas kecenderungannya bersosial dengan wanita lebih muda dan menafikan beliau melakukan sebarang perbuatan tidak senonoh.
Ia berhubung dengan kes remaja bernama Ruby yang memenuhi dada akhbar Itali minggu lalu menyebabkan ahli politik pembangkang mendesak Berlusconi meletak jawatan.
“Seperti biasa, saya tiada masalah bekerja dan ada kalanya saya terlihat wajah jelita gadis, adalah lebih baik gadis cantik daripada menjadi gay,” katanya pada majlis pameran motosikal di Milan. 

“Anda sepatutnya tidak bimbang mengenai kerajaan yang masih memiliki majoriti dan berazam untuk memerintah hingga tamat penggal,” tegasnya. 

Berlusconi yang bertelagah dengan media mengenai penganjuran parti yang dihadiri wanita di kediamannya di Arcore dekat Milan, semakin ditekan selepas akhbar menyiarkan laporan mengenai Ruby. 

Akhbar Corriere della Sera mendedahkan butir perbualan telefon Berlusconi kepada seorang Ketua Polis Milan bagi pihak Ruby yang ditahan atas tuduhan mencuri pada Mei lalu. 
Ia menimbulkan persoalan sama ada Berlusconi bertindak tidak wajar apabila campur tangan dalam proses undang-undang. 

Berlusconi membantu Ruby atau nama sebenarnya, Karima El Mahroug, sambil menolak mengenakan tekanan terhadap polis. – Reuters

Haadyai ditenggelami air





2010/11/03

KEADAAN bandar Haadyai, Thailand yang ditenggelami banjir semalam.
KEADAAN bandar Haadyai, Thailand yang ditenggelami banjir semalam.
100,000 penduduk terjejas akibat banjir mencecah empat meter

BANGKOK: Banjir kilat dengan kedalaman beberapa meter melanda hampir keseluruhan Haadyai, bandar raya utama di selatan Thailand, menyebabkan sekurang-kurangnya 100,000 penduduk terjejas.
Banjir buruk di kawasan tengah dan timur Thailand sejak 10 Oktober lalu meragut lebih 100 nyawa menyebabkan bencana yang merebak ke selatan menimbulkan kebimbangan lebih banyak kematian.
Paras air meningkat mula menenggelamkan wilayah Songkhla lewat kelmarin selepas beberapa hari hujan lebat, menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menjejaskan berpuluh ribu penduduk.

“Sebanyak 80 peratus Haadyai ditenggelami air dan 30,000 isi rumah dengan 100,000 penduduk terperangkap di rumah mereka.

“Paras air berada pada paras kritikal iaitu sedalam tiga hingga empat meter,” kata Datuk Bandar Haadyai, Prai Pattano.

Pihak berkuasa menganggarkan hampir enam juta penduduk terjejas dengan kebanyakan rumah, ladang dan ternakan musnah.
Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva menyifatkan banjir itu sebagai ‘satu bencana alam besar.’

“Saya amat bimbang terutama wilayah Songkhla di mana semua jalan terputus akibat banjir,” katanya.

Sebuah hospital di wilayah itu juga terpaksa memindahkan pesakitnya kelmarin selepas kawasan sekitar dilanda banjir kilat.

Sejumlah 104 penduduk, termasuk tiga rakyat asing mati dalam bencana yang menjejaskan berpuluh wilayah di negara itu walaupun paras air mulai surut di beberapa kawasan.

Bangkok setakat ini dalam keadaan bersiap sedia menghadapi banjir. – AFP

Mak nyah kena 10 tahun, enam sebat





2010/11/03

BATU PAHAT: Seorang mak andam mak nyah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam, atas dua tuduhan mencederakan teman lelakinya sehingga mangsa disahkan mengalami kecacatan kekal di bahagian muka serta mengurung mangsa, tahun lalu. 

Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz membuat keputusan itu terhadap Mohd Hafiz Jaafar, 29, selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.
Sebaik saja keputusan diumumkan, tertuduh terus meraung serta menangis sebelum merayu supaya hukumannya dikurangkan.
“Tolonglah tuan hakim, saya tak mahu kena sebat... saya tak sanggup... kalau kena penjara lama pun tak apa, saya sanggup... saya tak sanggup kena sebat, " katanya. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Safiah Abdul Aziz, manakala enam saksi termasuk seorang doktor pakar saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan kes berkenaan.

Keluarga 38 mangsa Merapi masih trauma



Laporan dari Yogyakarta, Indonesia oleh Syed Azman Syed Ali
bhnews@bharian.com.my
2010/11/03

SEMALAM genaplah seminggu Gunung Merapi meletuskan awan panas dan debu lahar, namun kebanyakan keluarga 38 mangsa terkorban masih dalam keadaan trauma dan bersedih kerana kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata. 

Antaranya, dua adik beradik, Tumini, 17, dan Adri, 15, dari Desa Kinaharjo, yang kehilangan tempat bergantung apabila ibu bapa mereka terkorban dalam insiden yang turut menyaksikan lebih 40,000 mangsa di daerah Sleman, Klaten, Magelang dan Boyolali dipindahkan.
Tumini berkata bapanya, Darmadi, 45, meninggal dunia di rumah kerana tidak sempat lari ke pusat pemindahan manakala ibunya, Ratmi, 32, yang melecur separuh badan kerana terkena awan panas gunung berapi disahkan meninggal dunia lima hari kemudian di Rumah Sakit Umum Utama (RSUP) Dr Sardjito di sini.
“Sudah hancur semuanya. Saya dan adik tidak punya apa-apa lagi,” katanya kepada Berita Harian, petang semalam. 

Tumini dan Adri ditemui di lokasi baru pusat penempatan sementara rim satu (kawasan kritikal) di sebuah pensantren di Kedungbrayut, Wukirsari, Sleman yang menempatkan kira-kira 300 mangsa dari Kinaharjo yang juga kawasan paling teruk menerima kesan bencana alam itu. 

Kawasan itu dilaporkan musnah sepenuhnya dengan sebilangan besar rumah ranap dan dilitupi debu lahar dengan ternakan mati bergelimpangan di semua tempat. 

Kawasan dalam status awas itu turut didiami jurukunci Merapi, Mbah Maridjan, antara 15 mangsa korban pertama yang disahkan mati akibat letusan Merapi pada petang Selasa lalu yang memuntahkan awan panas atau wedhus gembel sepanas 600 darjah Celsius dan debu lahar yang membahayakan kesihatan. 
Tumini berkata, ketika kejadian, dia dan adiknya terlebih dulu turun ke pusat pemindahan yang terletak kira-kira enam km dari Kinaharjo sebelum ibunya yang kemudian terkena hembusan debu volkanik dalam perjalanan, sementara bapanya terperangkap di rumah ketika awan panas semakin mengganas. 

Adri berkata, beliau akan menjadi lebih tabah dan kuat untuk menjaga kakaknya yang juga satu-satunya ahli keluarga beliau yang masih ada untuk meneruskan hidup. 

“Saya tidak boleh menangis,” katanya kelihatan sugul kerana terpaksa menyaksikan bapanya dikebumikan secara beramai-ramai di Kampung Sidoredjo, Sleman, dekat sini. 

Letusan gunung berapi yang berlaku seiring ketika tsunami dan gempa bumi melanda Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat itu, turut mengorbankan seorang wartawan berita portal yang cuba memujuk Mbah Maridjan turun dari gunung berapi paling aktif di dunia itu yang disifatkan ahli volkanologi sebagai ‘sukar diramalkan’. 

Ia terus meletuskan awan panas dan debu lahar beracun, namun tiada mangsa korban baru dicatatkan sehingga petang semalam.

Pelajar Tingkatan Satu lemas



Oleh Azmi Md Deros, Adha Ghazali, Nahar Tajri, Zuliaty Zulkiffli, Betty Subaryati dan Asrol Awang
bhnews@bharian.com.my
2010/11/03

 KEADAAN bandar Kangar yang ditenggelami banjir setinggi 0.5 hingga 1 meter, semalam.
KEADAAN bandar Kangar yang ditenggelami banjir setinggi 0.5 hingga 1 meter, semalam.
Mangsa hilang ketika memasang pukat bersama abang di bendang 

ALOR SETAR: Seorang pelajar berusia 13 tahun menjadi mangsa pertama lemas dalam kejadian banjir di Kedah ketika mencari ikan di kawasan sawah yang ditenggelami banjir di Kampung Pong, Kuala Nerang lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Mohd Zaki Amani Shaari, 13, bersama abangnya Sallehudin Al Ayubi Shaari, 15 pergi ke kawasan bendang berhampiran rumahnya untuk menangkap ikan menggunakan pukat.
Bagaimanapun, ketika sedang asyik menahan pukat Sallehudin menyedari adiknya hilang menyebabkannya panik dan cuba mencari di sekitar kawasan berkenaan, namun hanya terjumpa selipar yang dipakai adiknya. 

Sallehudin kemudian bergegas pulang dan memberitahu keluarga yang melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. 

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan, Ku Yaacob Ku Ahmad ketika dihubungi berkata mayat mangsa ditemui pada kira-kira jam 7 malam tadi. 

Sementara itu, keadaan banjir di Kedah bertambah buruk apabila lebih 15,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke 159 pusat penempatan sementara di empat daerah yang terjejas teruk akibat bencana itu sejak dua hari lalu. 
Jurucakap bilik gerakan banjir negeri ketika dihubungi berkata, Kubang Pasu mencatat mangsa dipindahkan paling ramai, iaitu 10,834 orang membabitkan 3,108 keluarga ditempatkan di 31 pusat pemindahan, manakala Padang Terap pula seramai 3,560 daripada 941 keluarga di 41 pusat pemindahan. 

Di Kota Setar, 709 orang daripada 202 keluarga dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan dan Pokok Sena 368 orang di lapan pusat pemindahan. 

Sehingga jam 6.30 petang semalam empat sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kampung Kubu di Kuala Nerang mencatat bacaan 15.5 meter, berbanding paras bahaya 13.5 meter, manakala Sungai Bata di Kubang Pasu mencecah 10.22 meter, berbanding paras bahaya 9.14 meter. 

Di KANGAR, banjir bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 4,536 orang di 35 pusat pemindahan di negeri ini, selain lebih 11,000 hektar sawah dilaporkan tenggelam selepas hampir dua pertiga daripada negeri ini dilanda banjir bermula malam Ahad lalu. 

Selain bandar ini, pekan Arau membabitkan sekitar Istana Diraja Arau turut dilaporkan terjejas kerana digenangi air. 

Di RANTAU PANJANG: Seramai 340 mangsa banjir membabitkan 101 keluarga di Rantau Panjang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan banjir di sini, malam kelmarin dan awal pagi semalam, berikutan hujan lebat sejak Jumaat lalu, menyebabkan air Sungai Golok melimpahi kampung mereka. 

Di KUANTAN, Kerajaan negeri menyediakan sebanyak 600 pusat pemindahan di seluruh daerah yang boleh menampung lebih 100,000 mangsa banjir dan boleh beroperasi bila-bila masa jika berlaku banjir.

Hukuman gantung dikekalkan





GAMBAR fail menunjukkan Mohamed Ya’cob dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Seremban selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh Along Spoon pada 26 Disember 1999.



PUTRAJAYA - Seorang anggota polis tetap akan menjalani hukuman mati selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana membunuh penyanyi kumpulan Spoon 11 tahun lalu.
Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang mengetuai panel tiga hakim sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang dibuat selepas mendapati Lans Koperal Mohamed Ya'cob Demyati bersalah terhadap tuduhan membunuh Sabi'ul Malik Shafiee atau lebih dikenali sebagai Along (gambar kecil) dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya pada 10 April 2002.
Dua lagi hakim dalam panel tersebut ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Md. Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong.
Sewaktu keputusan itu diumumkan, Mohamed Ya'cob, 44, dari cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, kelihatan tenang.




2 individu saman syarikat kosmetik Sosilawati





2010/11/03



KUALA LUMPUR: Dua ahli perniagaan memfailkan saman
terhadap syarikat Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya atas dakwaan melanggar perjanjian jual beli sebidang tanah yang mempunyai kedai pejabat bernilai RM3 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Dalam saman yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di 
sini pada 5 Ogos lepas itu, Low Choong Yen, 59, dan Lim Bee Geok, 52, menamakan 
Nouvelle Beauty sebagai defendan. 
Media memperoleh writ saman itu melalui carian fail di mahkamah hari ini. 
Saman itu difailkan 25 hari sebelum Sosilawati, 47, ditemui mati bersama 
pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru 
Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos lalu. 
Hari ini kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan 
Pendaftar Mahkamah Tinggi Hilmiah Yusof. 
Peguam S.H.Tang yang mewakili dua ahli perniagaan itu hadir ketika kes itu 
disebut. Bagaimanapun tiada peguam yang hadir bagi mewakili Nouvelle Beauty. 

Mahkamah menetapkan 1 Disember ini bagi mendengar permohonan Low dan Lim untuk 
memasukkan penghakiman ingkar terhadap Nouvelle Beauty kerana Nouvelle Beauty 
gagal memfailkan balasan selepas 14 hari saman dikemukakan kepada mereka. 
Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof. 
Dalam writ samannya, Low dan Lim mendakwa mengikut surat tawaran yang 
dipersetujui dan ditandatangani oleh pihak atau wakil Nouvelle Beauty, pada 2 
April lepas, defendan telah bersetuju untuk menjual sebidang tanah seluas 144.9 
meter persegi bersama dengan kedai pejabat empat tingkat yang dibina di tanah 
itu, milik Nouvelle Beauty, kepada mereka pada harga RM3 juta. 
Low dan Lim berkata mereka telah membayar wang kesungguhan sebanyak RM60,000 
semasa surat tawaran jual beli hartanah itu ditandatangani dan baki deposit 
sebanyak RM240,000 akan dibayar semasa Perjanjian Jual Beli ditandatangani. 
Baki sebanyak RM2,700,000 pula akan dibayar dalam masa 90 hari dari tarikh 
Perjanjian Jual Beli ditandatangani, kata mereka. 
Mereka mendakwa terma dan syarat-syarat dalam draf Perjanjian Jual Beli 
telah dipersetujui dan dijadikan muktamad oleh kedua-dua pihak pada 22 April, 
2010. 

Mereka berkata selepas sebulan surat tawaran jual beli hartanah itu 
ditandatangani, Nouvelle Beauty melalui surat peguamcaranya bertarikh 30 April, 
2010, memaklumkan mereka tidak berniat untuk meneruskan transaksi jual beli 
hartanah itu kerana mereka dikehendaki menunggu selama enam hingga 12 bulan 
untuk mendapatkan kebenaran pindah milik kepada bukan bumiputera serta bagi 
menyempurnakan seluruh transaksi jual beli untuk memperoleh harga belian 
sebanyak RM3 juta berkenaan. 
Low dan Lim mendakwa mereka, melalui satu surat bertarikh 3 Mei, menegaskan 
Nouvelle Beauty terikat kepada terma-terma di dalam Perjanjian Jual Beli 
hartanah memandangkan kedua-dua pihak bersetuju terhadap terma-terma penjanjian 
tersebut. 
Mereka mendakwa Nouvelle Beauty pada 25 Mei, 2010, telah memulangkan surat 
Perjanjian Jual Beli, suratcara pindahmilik, borang permohonan untuk kebenaran 
pindah milik beserta cek plaintif berjumlah RM240,000 kepada mereka. 
Mereka berkata Nouvelle Beauty bagaimanapun gagal membayar wang sebanyak 
RM60,000 yang dibayar mereka sebagai wang kesungguhan. 
Mereka memohon satu perisytiharan bahawa terdapat satu perjanjian yang sah 
di antara plaintif dan defendan di mana plaintif telah bersetuju untuk membeli 
dan defendan bersetuju untuk menjual tanah itu berasaskan kepada terma-terma dan 
syarat-syarat Perjanjian Jual Beli. 
Mereka juga memohon perintah mahkamah supaya Nouvelle Beauty meneruskan 
pelaksanaan Perjanjian Jual Beli hartanah itu, selain perintah injunksi bagi 
menghalang Nouvelle Beauty daripada melupuskan hartanah tersebut kepada orang 
lain selain daripada plaintif. 
Mereka juga menuntut gantirugi akibat pelanggaran kontrak perjanjian, 
faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - BERNAMA

Operator IPD Kuala Muda maut, 2 cedera selepas land rover terbalik

ALOR SETAR: Seorang operator telefon di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda maut manakala dua pembantu tadbir di IPD itu cedera selepas kenderaan Land Rover yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di susur masuk Plaza Tol Alor Setar Utara berhampiran Hutan Kampung hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi itu ialah Nurul Fitri Muhamad, 30, manakala dua yang cedera ialah Noraini Abu Seman, 34, dan Rogayah Hussain, 40.

"Ketika kejadian semua mereka dalam perjalanan pulang selepas menjalani kursus pengurusan selama tiga hari di Pusat Latihan Polis, Anak Bukit di Alor Setar," katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau berkata, mayat Nurul Fitri dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk dibedah siasat. Salah seorang mangsa yang cedera dimasukkan ke wad hospital itu, manakala seorang lagi dimasukkan ke wad Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Hashim berkata, pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

--Bernaam

Lebih 25,000 orang dipindah akibat banjir di Kedah



03/11/2010 7:13pm

ALOR SETAR 3 Nov. – Lebih 25,000 penduduk daripada 6,415 keluarga di empat daerah di Kedah dipindahkan ke pusat penempatan banjir berikutan keadaan banjir semakin teruk sejak dua hari lepas.
Daripada jumlah itu, 15,613 penduduk daripada 4,178 keluarga adalah dari daerah Kubang Pasu, 3,105 mangsa daripada 801 keluarga (Padang Terap), 5,331 penduduk daripada 1,202 keluarga (Kota Setar) dan 1,039 penduduk daripada 234 keluarga di Pokok Sena.
Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata, sebanyak 94 pusat penempatan mangsa banjir dibuka di keempat-empat daerah dan daripada jumlah itu, 45 di Kubang Pasu, 35 di Padang Terap, lima di Pokok Sena serta sembilan di Kota Setar.
Sementara itu, beliau berkata, 803 orang mangsa banjir daripada 183 keluarga di Padang Terap telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kira-kira pukul 1 tengah hari ini.
Antara kampung yang dilanda banjir di Kubang Pasu ialah Kampung Changkat Setoi, Paya Lantau, Malau, Changlun, Jitra dan Kodiang.
Bacaan paras air Sungai Bata melepasi paras bahaya iaitu 9.58 meter (paras bahaya 9.14m). - Utusan

Korban banjir: 2 beradik dikhuatiri lemas di Pokok Sena



03/11/2010 8:07pm

ALOR SETAR 3 Nov. – Dua beradik dari Kampung Telaga Mas, Pokok Sena dikhuatiri lemas selepas motosikal yang mereka tunggangi tergelincir masuk ke dalam tali air di kampung itu hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab berkata, Siti Nadia Syukor, 13, dan Sharifah Syukor, 8, dikatakan menunggang motosikal bersama rakan mereka, Intan Malik, 14.
"Semasa mereka melalui jalan batas ban tali air di kampung itu, tiba-tiba air beralun kuat menyebabkan Intan yang membawa motosikal tersebut tidak dapat mengawal kenderaan itu menyebabkan mereka terjatuh ke dalam tali air dan dihanyutkan arus,” katanya yang menerima laporan tentang kejadian itu kira-kira pukul 1 tengah hari.
Beliau berkata, Intan dapat berpaut pada dahan sebatang pokok dan diselamatkan oleh orang kampung.
"Dua beradik itu pula dihanyutkan arus dan usaha mencari dan menyelamat masih giat dijalankan oleh pasukan penyelamat,” katanya. – Bernama

3 jam paut pokok

JITRA: “Saya melihat sendiri bagaimana ibu mentua dihanyutkan air, tetapi tak mampu menolongnya kerana nyawa saya dan suami juga pada waktu itu bagai telur di hujung tanduk.”
Demikian kata Ashalehah Zain, 40, yang terselamat daripada lemas selepas berpaut pada sebatang pokok hampir tiga jam apabila banjir menenggelamkan rumahnya di Kampung Kota Giam, di sini, malam kelmarin.
TENGGELAM...laluan ke Hospital Kuala Nerang turut dinaiki air.
TENGGELAM...laluan ke Hospital Kuala Nerang turut dinaiki air.
AGIH...petugas mengagihkan bekalan makanan kepada mangsa banjir di Pekan Kuala Nerang, semalam.
AGIH...petugas mengagihkan bekalan makanan kepada mangsa banjir di Pekan Kuala Nerang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, suami Ashalehah, Yusuf Abdullah, 41, seorang warga Jerman turut mengalami pengalaman serupa, namun ibu Yusuf, Erna Fischer, 64, hanya mampu berpaut pada pokok selama satu minit sebelum dihanyutkan arus deras dan masih belum ditemui sehingga petang semalam.
Saya dan suami yang berpaut pada pokok berasingan hanya mampu bertawakal kepada Allah SWT kerana sedar nyawa kami dalam bahaya,” kata Ashalehah.

Ashalehah dan Yusof diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah, kira-kira jam 11.30 malam selepas menerima maklumat penduduk kampung berkenaan.

Ashalehah berkata, sebelum kejadian dia dan suami serta ibu mentuanya keluar daripada kediaman mereka sejurus melihat air sungai membanjiri rumah mereka hingga ke paras pinggang.

Menurutnya, tidak sampai seminit mereka keluar, tiba-tiba arus deras menolak mereka hingga ke sungai kira-kira 300 meter dari rumahnya.

“Saya sempat berpaut pada sebatang pokok di tepi sungai itu manakala suami berpaut dan memanjat pokok kira-kira lima meter daripada saya.
“Saya dengar ibu menjerit meminta tolong dan lama-kelamaan suara itu semakin sayup dan tidak kedengaran lagi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam kelmarin.

Ashalehah berkata, dia nampak ibu mentuanya dibawa arus deras melalui sungai itu dan terkilan kerana tidak sempat menyelamatkannya.

Bagaimanapun, Ashalehah menyifatkan dia bernasib baik kerana ketika kejadian, anaknya yang berusia 13 dan 10 tahun berada di asrama sekolah.

Katanya, dia sudah tujuh tahun tinggal bersama suami di kampung berkenaan dan kadang-kala ibu mentuanya melawat mereka dan tinggal antara dua atau tiga bulan sebelum pulang ke Jerman.

“Sepatutnya hari ini (semalam) ibu pulang ke Jerman kerana tiket penerbangan sudah ditempah. Namun, segala-galanya sudah ditakdirkan dan saya hanya mampu berdoa supaya ibu selamat,” katanya.

Penduduk kampung, Ropian Hasan, 51, berkata, dia menemui pasangan suami isteri itu selepas terdengar suara meminta tolong dari pokok tidak jauh dari rumahnya.

“Saya meredah air separas dada ke kawasan pokok itu dan terkejut mendapati seorang lelaki dan seorang wanita sedang berpaut pada dua batang pokok,” katanya. Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Kota Setar, Leftenan Muda Khairul Afzan Yassin berkata, pihaknya mengambil masa hampir satu jam untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa.

“Kami mengerah 150 anggota dalam misi menyelamat mangsa di empat daerah yang terbabit banjir,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin pula berkata, Erna dilaporkan hilang kira-kira jam 8.30 malam ketika keluar menyelamatkan diri bersama anak dan menantunya.

Curi air: Syarikat pembinaan didenda RM3,000



03/11/2010 1:19pm

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pembinaan hari ini didenda RM3,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana mencuri air dari Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi projek pembinaan apartmennya di Sri Hartamas.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan hukuman tersebut selepas Pengarah APG Geo Systems Sdn Bhd, Tham Kok Wah mengaku bersalah bagi pihak syarikat atas tuduhan membuat penyambungan paip secara haram dari sesalur utama Syabas, di Jalan Sri Hartamas 1, di sini pada 29 April, 2008.
Hakim juga memerintahkan hukuman penjara 10 hari jika Kok Wah gagal membayar denda.
Pegawai Pendakwa, V. Kirupakaran dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memberitahu mahkamah perbuatan itu telah menyebabkan Syabas kerugian kira-kira RM107,000. – Bernama

Arak tanpa cukai dirampas di kedai CD



03/11/2010 2:45pm

PELABUHAN KLANG - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pelabuhan Klang merampas minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM65,000 yang ditemui di sebuah premis menjual cakera padat di sini, dalam satu serbuan semalam.
Pegawai Pemerintah PGM Wilayah 1 Pelabuhan Klang DSP Norzaid Muhammad Said berkata, serbuan itu dilakukan pada 8.45 malam selepas menerima maklumat orang awam berhubung sindiket menyorok minuman keras di premis terbabit.
"Sebaik menerima maklumat, 10 anggota PGM bergerak dan menyerbu premis berkenaan dan merampas 2,424 tin dan 252 botol minuman keras pelbagai jenama seperti Guinness Stout, Carlsberg, Tiger Beer dan Danish Royal Stout yang kesemuanya bernilai kira-kira RM65,000 termasuk cukai,” katanya pada sidang akhbar hari ini. - Bernama

Pecah rumah: Polis jejak suspek utama



03/11/2010 6:24pm

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjejaki seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kegiatan pecah rumah di sekitar Seri Kembangan, Cheras dan Kajang ekoran penahanan lima rakannya pada 27 Oktober lepas.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, lelaki itu ialah Lee Yuen Soon, 37, atau lebih dikenali sebagai Ah Soon yang dipercayai ketua kumpulan tersebut yang alamat terakhirnya ialah No. 134 Jalan SK 3/6 43300 Seri Kembangan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menyalurkan maklumat di Balai Polis Seri Kembangan atau menghubungi terus Sarjan Mohd Adnan di talian 013-3444771,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Seri Kembangan hari ini.
Beliau berkata, polis menjejaki lelaki terbabit selepas lima rakannya yang berumur antara 30 hingga 40 tahun ditahan di sebuah rumah sewa di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan yang dijadikan pusat kegiatan mereka.
"Kesemua mereka ditahan ketika selesai melakukan kegiatan pecah rumah. Ketika serbuan, dua dari mereka berada di ruang tamu, seorang di bilik belakang dan dua lagi di bilik atas,” katanya. – Bernama

PGM rampas mercun bernilai RM32,000



03/11/2010 6:26pm

TUMPAT - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor merampas 47 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM32,000 yang diseludup dari negara jiran selepas menahan sebuah lori dan sebuah bot di pangkalan haram Pulau Tengkorak di sini, awal hari ini.
Penolong Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Pengkalan Kubor, ASP Wan Ismail Wan Mamat berkata, beberapa orang lelaki yang terbabit dalam penyeludupan pukul 4 pagi itu berjaya meloloskan diri dalam cuaca gelap.
“Semua rampasan termasuk jenis Caizhu Yin Bin, Big Mama, Wan Shi Ru Yi dan Red Fire Cracker diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurut Wan Ismail, sebelum itu Unit Risikan Marin telah menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan mercun di pangkalan haram itu dan membuat pemantauan lebih enam jam sebelum menahan lori dan bot berkenaan di pinggir Sungai Golok.
Beliau berkata, beberapa lelaki yang sedang mengangkut kotak-kotak berisi mercun ke dalam lori dari bot berkenaan bagaimanapun telah melarikan diri sebaik menyedari kedatangan anggota pasukan itu. – Bernama

Ibu tunggal rugi RM20,00 dikebas pencuri



03/11/2010 6:28pm

KUANTAN – Seorang ibu tunggal kerugian hampir RM20,000 selepas beberapa barangan berharga miliknya lesap dikebas oleh pencuri dalam satu kejadian pecah rumah di Batu 4, Jalan Gambang, di sini semalam.
Penjawat awam berusia 55 tahun itu hanya menyedari rumahnya dimasuki pencuri kira-kira pukul 4.15 petang setelah pulang dari bekerja, kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, DSP Kamaruzzaman Jaafar.
Wanita itu yang tinggal bersama anak lelakinya berusia 17 tahun hanya menyedari kejadian apabila melihat pintu depan rumahnya diumpil dan rumah digeledah, katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kamaruzzaman berkata, berdasarkan laporan yang dibuat penjawat awam itu, dia kehilangan sebuah komputer riba, barangan kemas, seutas jam tangan berjenama, kamera digital dan wang tunai sebanyak RM300.
Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Bernama