Search This Blog

Tuesday, November 2, 2010

Enam perompak amuk di restoran

KUALA LUMPUR: Sekumpulan enam lelaki yang merompak beramai-ramai di sebuah restoran di Jalan Ipoh di sini, bukan hanya mensasarkan wang jualan, malah turut mengamuk dan memusnahkan hampir semua barangan di dalam premis berkenaan.
Kumpulan itu yang bersenjatakan parang, besi pengunci stereng selain tukul seolah-olah mempunyai agenda lain apabila terlebih dulu memecahkan peti sejuk, cermin kedai, perhiasan, rak dan pelbagai kemudahan di situ.
MANGSA...gambar atas kiri, pekerja yang cedera di kepala akibat dihentak dengan tukul besi, gambar lain menunjukkan peralatan restoran yang dirosakkan.
MANGSA...gambar atas kiri, pekerja yang cedera di kepala akibat dihentak dengan tukul besi, gambar lain menunjukkan peralatan restoran yang dirosakkan.
Tidak cukup dengan itu, pekerja yang ditugaskan membuat roti canai turut dihentak dengan tukul besi sehingga berlumuran darah sebelum mereka bertindak melarikan diri dengan dua kereta sejurus melakukan rompakan kira-kira jam 11.30 malam pada Sabtu lalu.

Pemilik restoran berkenaan, Mohamed Nor Haja Najimuddin, 23, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan tujuh pekerjanya sedang berkemas kerana mahu menutup perniagaan.

Dia bagaimanapun terkejut apabila enam lelaki tiba-tiba meluru masuk dengan membawa pelbagai senjata antaranya parang dan besi.

“Mereka seperti mengamuk dan menghayun besi sebelum menghentam pelbagai barangan dalam restoran. Saya tidak pasti apa tujuan mereka berbuat demikian.

“Tidak cukup dengan itu, mereka turut memecahkan peti sejuk yang menempatkan ais krim dan satu lagi peti sejuk yang digunakan untuk menyimpan minuman dalam tin serta botol. Turut sengaja dipecahkan adalah cermin premis serta rak kaca,” katanya, semalam.

Menurutnya, kumpulan lelaki itu juga memecahkan mesin daftar wang sebelum merampas wang jualan dan turut melarikan sebuah peti simpanan. Kerugian dianggarkan hampir RM30,000 termasuk wang tunai berjumlah RM2,400.
Katanya, semua lelaki terbabit tidak memakai sebarang penutup muka dan dianggarkan berusia dalam lingkungan 20-an. “Tindakan mereka itu seperti mahu menghancurkan perniagaan saya dan saya tidak pasti sama ada ia adalah rompakan biasa atau mereka ada niat lain terhadap kami. “Tetapi, pegawai penyiasat yang menyiasat kes ini memberitahu ia adalah taktik biasa rompakan yang bertujuan ingin menakutkan orang yang berada dalam premis sebelum melarikan wang dan barang berharga,” katanya yang baru saja mengambil alih restoran itu pada Ogos lalu.

Sementara itu, pekerja warga India berusia 42 tahun yang dihentak di kepala dengan tukul besi itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta dan menerima tujuh jahitan.

Askar hina tahanan Palestin dipenjara



TEL AVIV - Mahkamah tentera Israel menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas seorang anggota tentera rejim itu kerana bergambar secara menghina dengan tahanan Palestin. 

Askar dikenali sebagai Korporal S itu didapati bersalah selepas gambarnya mengacu senjata ke arah seorang tahanan Palestin yang ditutup mata, ditemui dalam telefon bimbitnya. 

Perbuatan biadap itu dilakukan semasa dia sedang bertugas di bandar Jenin, Tebing Barat, Januari lalu. 

Hukuman itu dikenakan sebagai percubaan untuk menghentikan perbuatan bergambar dengan tahanan yang semakin menular dalam kalangan tentera Israel.

Ribuan terkandas

CHANGLUN: Ribuan kenderaan yang dalam perjalanan pergi dan pulang ke Bukit Kayu Hitam, Sintok dan Perlis melalui Lebuhraya Utara-Selatan terkandas apabila Sungai Changlun naik setinggi 0.7 meter di Kilometer 10.5 lebuh raya itu di sini, petang semalam.
Kesesakan bermula kira-kira jam 2 petang sebelum berlarutan akibat penutupan lebuh raya menyebabkan kenderaan terkandas sepanjang kira-kira 10 kilometer dari Napoh ke pekan Changlun menyebabkan semua kenderaan diarah berpatah balik ke Jitra atau Bukit Kayu Hitam oleh anggota polis bertugas di lokasi.

Berikutan itu, lebuh raya di pekan Changlun di sini ditutup kepada kenderaan ringan bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Masalah lebih buruk apabila ramai ibu bapa dan keluarga yang pulang dari menghadiri majlis konvokesyen anak dan waris mereka di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok semalam, terpaksa berpatah balik selepas diarahkan polis.

Nazri Baharudin, 40, dari Johor Bahru berkata, dia bersama keluarga yang datang untuk menghadiri majlis konvokesyen adik perempuannya di UUM Sintok hari ini terpaksa pulang ke hotel di Jitra kerana laluan ke Sintok ditutup berikutan banjir di Changlun.

“Saya dan keluarga terpaksa pulang semula ke hotel di pekan Jitra yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sini kerana bimbang paras air terus naik. “Saya berharap air surut dengan cepat bagi membolehkan kami menghadiri majlis konvokesyen adik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Rela mati demi isteri

KUALA TERENGGANU: Demi menyelamatkan isterinya, seorang penoreh getah sanggup menggadaikan nyawa apabila merelakan dirinya disengat ribuan lebah sehingga dia terbunuh dalam kejadian di Kampung Tanah Lot, Pasir Gajah, Kemaman, kelmarin.
Akibat kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Ali Din, 54, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kemaman manakala isterinya, Khersiyah Engku Hassan, 51, turut cedera dan dimasukkan ke wad selepas terdapat 102 kesan sengatan pada badannya.

Kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri itu berjalan kaki pulang ke rumah selepas selesai menoreh getah di kebun milik mereka sebelum seekor lebah tiba-tiba menyengat pipi Khersiyah.

Secara spontan, Khersiyah menampar lebah di pipinya hingga serangga itu mati, namun selang beberapa saat kemudian ribuan lebah muncul dan menyerang pasangan itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, dalam keadaan kelam-kabut dan kesakitan, pasangan itu lari mendapatkan bantuan pekerja asing di rumah kongsi tidak jauh dari situ.

Menurutnya, kumpulan pekerja asing itu menyerahkan selimut kepada Ali dan Khersiyah sebelum mereka turut melarikan diri ke semak berhampiran akibat disengat.

“Selepas mendapat selimut, si suami menyelimuti isterinya, tapi mereka terus berlari hingga si suami akhirnya terjatuh. Si isteri cuba membantu, tapi suaminya menyuruh dia terus lari menyelamatkan diri.

“Kebetulan, ada satu tong besar berisi air tidak jauh dari situ dan suami menyuruh isterinya menuju ke tong itu dan menyelam bagi mengelak terus disengat,” katanya.
Beliau berkata, biarpun keberatan, Khersiyah akur arahan suaminya dan tindakan itu menyelamatkan nyawanya manakala Ali terus disengat ribuan lebah hingga tidak sedarkan diri.

Menurut Abdullah Sani, selepas keadaan agak terkawal Khersiyah pulang ke rumahnya dan mendapatkan bantuan ahli keluarga.

Katanya, seorang adik ipar Khersiyah segera membantu wanita itu dan turut bergegas ke tempat Ali terlantar tidak sedarkan diri sebelum membawa mereka berdua ke Hospital Kemaman. “Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan dia menghembuskan nafas terakhir di atas riba isterinya,” katanya. Abdullah Sani berkata, hasil bedah siasat, doktor mengesahkan Ali meninggal dunia disebabkan mengalami alahan pada sengatan lebah manakala isterinya yang mempunyai 102 kesan sengatan di badan masukkan ke wad sebelum dibenarkan keluar pagi semalam.

Menurutnya, jenazah Din sudah dituntut anggota keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Gajah di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Neraka cinta

BINTULU: Bagaikan dirasuk syaitan, seorang suami membelasah, menendang dan memijak isterinya sehingga mati dipercayai akibat perasaan cemburu buta selepas melihat isterinya minum bersama rakan di rumah mereka.
Kejadian berlaku di rumah kongsi tempat tinggal pasangan suami isteri itu, Jalan Pesisir di Nyalau, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Lebih menyedihkan, lelaki berusia 33 tahun itu memukul isterin yang setahun lebih tua daripadanya di depan anak tunggal mereka berusia tiga tahun serta beberapa rakan sekerja.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Sulaiman Abd Razak berkata, sebelum kejadian, suspek minum bersama rakan di sebuah gerai dan apabila pulang ke rumah dia melihat isterinya sedang minum bersama empat rakannya di rumah kongsi berkenaan.

“Sebaik melihat isterinya sedang minum bersama rakan, suspek dikatakan mengarahkan isterinya beredar, namun wanita berkenaan enggan mengikut arahannya.

“Berang dengan sikap isterinya, suspek hilang pertimbangan lalu bertindak memukul, menendang selain memijak perut mangsa menyebabkan dia pengsan.

Banjir pusingan pertama




KUALA TERENGGANU – Terengganu dilanda banjir pusingan pertama apabila 85 penduduk di Besut mula berpindah di tiga pusat pemindahan setelah rumah mereka dinaiki air berikutan hujan dua hari. 

Penduduk melibatkan 21 keluarga itu diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa ke Balai Raya Kampung Renek, Jabi, Sekolah Kebangsaan (SK) Anak Ikan dan Surau Kampung Bunga, Kuala Besut kira-kira jam 8 malam, kelmarin. 

Daripada jumlah tersebut, 10 keluarga melibatkan 41 orang ditempatkan di SK Anak Ikan, tujuh keluarga membabitkan 36 orang di Balai Raya Kampung Renek dan lebihnya pula di Surau Kampung Bunga. 

Bagaimanapun, dua pusat pemindahan tersebut iaitu Balai Raya Renek dan SK Anak Ikan telah pun ditutup apabila semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat jam 9 pagi, semalam. : 

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri ketika dihubungi :Sinar Harian: memberitahu, empat keluarga masih lagi berada di Surau Kampung Bunga kerana bimbang dengan ancaman ombak kuat di kawasan rumah mereka. 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah pula berkata, mangsa banjir itu terpaksa berpindah ke pusat pemindahan setelah rumah mereka ditakungi air hujan berikutan kedudukannya di kawasan tanah rendah. 

“Ia disebabkan air hujan bertakung. Paras air sungai di seluruh negeri masih pada tahap berjaga-jaga,” katanya selepas merasmikan Pameran Haiwan Berbisa di Kompleks Muzium Negeri, di sini semalam. 

Menurutnya, walaupun paras sungai di seluruh negeri belum mencapai tahap amaran bahaya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah pun membuka bilik operasi banjir sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh. 

Beliau berkata, tindakan itu juga seiring dengan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi yang menjangkakan Terengganu akan menerima hujan lebih 40 peratus berbanding tahun lepas dengan keadaan hujan lebat diselangi petir.

Malang bertimpa



TAMAN MEDAN – Seorang mangsa kebakaran tiga buah rumah dua tingkat di PJS2C/28 meninggal dunia pagi semalam semasa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini . 

Ismail Ulong, 84 yang turut cedera di kepala dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, PJS 5 petang semalam. 

Menurut sumber, mangsa yang turut mempunyai penyakit asma dan lelah itu difahamkan meninggal dunia akibat kesesakan nafas kerana terhidu asap tebal sepanjang terperangkap di dalam bilik tingkat atas yang mengalami kebakaran teruk sebelum diselamatkan anaknya. 

Anaknya,Mohd Noor Ismail,40, ketika menceritakan detik cemas ketika kejadian kebakaran kelmarin kepada Sinar Harian berkata, dirinya nekad menyelamatkan bapanya dengan memanjat tingkat dua rumahnya daripada luar sebelum rempuh memecahkan tingkap menyelamatkan bapanya yang terperangkap. 

Mohd Noor menceritakan, keluarga hanya sedar tentang kebakaran tersebut selepas terdengar jiran belakang rumahnya menjerit meminta pertolongan orang ramai kerana melihat api sedang marak di bahagian atas belakang rumahnya. 

“Saya segera keluar rumah untuk melihat apa yang sedang berlaku sebab dengar jeritan sebelum nampak api dibahagian atas belakang rumah terbakar. 

“Ketika itu ibu telah berada bersama saya, namun hanya ayah seorang berada di tingkat atas lalu saya nekad masuk kerumah sebelum tidak berjaya naik ketingkat atas kerana api serta asap tebal telah berada di separuh rumah saya. 

“Tanpa berlengah saya tidak menghiraukan bahaya kepada diri sendiri nekad memanjat tingkat dua rumah untuk menyelamatkan ayah. 

“Saya menjerit memanggil ayah di tingkap dan bersyukur ayah masih boleh bergerak dan berjalan ke arah tingkat sebelum saya mengangkat ayah yang tidak lama selepas itu badannya terlalu lemah kerana terperangkap dalam asap tebal menyebabkannya lelah,”katanya ketika ditemui.

Bekas banduan kena sebat




KUANTAN - Tidak serik dengan hukuman penjara tujuh bulan kerana mencuri, seorang bekas banduan kembali menjalani hukuman itu selama 15 tahun selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan merogol kanak-kanak berusia 6 tahun 11 bulan, Februari lalu, kira-kira lima bulan selepas dia dibebaskan. 

Tertuduh, A Ravishankar, 20, dari Taman Datuk Rashid dekat sini, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan itu menukar pengakuannya di hadapan Hakim Nor Adidah Ahmad sebelum dijatuhi hukuman itu bermula dari tarikh dia tangkap serta empat sebatan. 

Dia yang diwakili peguam, Zaharman Zainal Abidin sebelum itu memberitahu mahkamah kejadian berlaku tanpa disedari kerana ketika itu dia berada dalam keadaan mabuk. 

Dia bagaimanapun menafikan kejadian itu atas sebab pengaruh filem porno kerana dia tidak pernah menontonnya sebelum ini. 

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin, bekas buruh kontrak yang dibebaskan daripada hukuman penjara Oktober 2009 didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu dalam semak belakang sebuah rumah di Jalan Mat Kilau di sini, kira-kira jam 2.20 petang 14 Februari lalu. 

Perbuatannya bagaimanapun disedari pemilik rumah (pengadu) apabila lelaki itu mendengar jeritan seorang kanak-kanak dari belakang rumahnya sebelum ternampak tertuduh dalam keadaan separuh bogel sedang merogol mangsa yang terbaring di atas rumput tanpa pakaian. 

Tertuduh yang dicekup lelaki terbabit diserahkan kepada polis manakala mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan hari berikutnya untuk pemeriksaan sebelum kanak-kanak itu disahkan menjadi mangsa rogol. 

Dia yang sebelum ini didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 376(2) Kanun keseksaan berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan. 

Dalam rayuannya, tertuduh merayu supaya hukuman ke atasnya dikurangkan memandangkan dia terpaksa menyara keluarga selain menanggung kos rawatan bapa dan abangnya yang sakit. 

Anak bongsu daripada enam beradik itu juga mengakui sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang. 

Noor Svetlana bagaimanapun membantah rayuan tertuduh itu sebaliknya memohon satu hukuman lebih berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. 

Menurutnya, walaupun ketika kejadian tertuduh masih muda namun mangsa dalam kejadian itu jauh lebih muda. 

Mangsa yang bertubuh kecil turut dibawa ke dalam mahkamah sambil ditemani ibunya untuk meyakinkan mahkamah terhadap keseriusan kesalahan tertuduh yang sanggup merogol kanak-kanak terbabit yang masih mentah dan belum bersekolah. 

Noor Svetlana juga memberitahu, mangsa bukan sahaja di rogol dalam semak yang menyebabkan beberapa kecederaan kecil pada tubuhnya malah kanak-kanak itu juga turut ditampar.

Jaga tembak pelakon yang disangka pembunuh

MANILA: Seorang pengawal kampung di tengah Filipina menembak mati seorang pelakon yang memegang watak seorang lelaki bersenjata dalam sebuah filem Britain kerana menyangka dia pembunuh.
Pengawal berkenaan, Eddie Cuizon cuba mendekati aktor tempatan itu, Kirk Abella semalam dan kemudian menembaknya apabila pelakon itu melarikan diri dengan membonceng motosikal yang dipandu seorang lelaki bertopeng, kata Ketua Polis Daerah Parian di wilayah Cebu, Alexis Relado.

Cuizon, 52, memberitahu polis, dia dikejutkan dari tidur oleh seorang penduduk yang melaporkan kehadiran sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu.

Katanya, dia melihat dua lelaki bertopeng menunggang motosikal dan apabila mendekati mereka, kedua-duanya memecut dan dia terjatuh ketika cuba menghalang mereka, menyebabkan lututnya luka.

Dia kemudian melepaskan tembakan ke arah Abella apabila aktor itu mengeluarkan pistol, yang sebenarnya pistol mainan, kata Relado.

Kebanyakan pembunuhan jalanan di Filipina, termasuk yang membabitkan aktivis politik dan wartawan dilakukan oleh penunggang motosikal bersenjata.

Pendandan rambut bantu tangani kes bunuh diri

TOKYO: Pendandan rambut diminta membantu menangani kes bunuh diri yang semakin meningkat di sebuah bandaraya di Jepun.
Pihak pentadbiran di Toyama kira-kira 186 batu di barat-laut Tokyo melancarkan kaedah pertama seumpamanya di negara itu yang menggunakan khidmat pendandan rambut sebagai orang tengah antara individu yang bermasalah dengan kaunselor profesional. Tindakan itu diambil berikutan penyelidikan universiti menunjukkan pendandan rambut mampu menjadi pendengar setia kepada pelanggan yang gemar menceritakan masalah kepada mereka.

Lebih 650 pendandan rambut di bandaraya itu mengambil bahagian dalam projek baru itu yang memerlukan mereka membabitkan diri dalam latihan syarahan bersama pakar psikologi klinikal bagi membantu mereka mengenal pasti individu yang memerlukan bantuan. Pendandan rambut juga diberikan buku panduan yang boleh diserahkan kepada pelanggan yang dipercayai menghadapi masalah kemurungan atau hasrat untuk membunuh diri supaya mereka dapat menghubungi kaunselor psikologi profesional. Jurucakap pihak pentadbiran Toyoma berkata: “Kaunselor psikologi mendapat idea untuk menggunakan khidmat pendandan rambut sebagai perantara untuk mendekati mangsa yang bermasalah. Pelanggan selalunya mempunyai hubungan yang terbuka dengan pendandan rambut dan berbual mengenai pelbagai tajuk dengan mereka.” “Dengan ini, kami memutuskan untuk mendapatkan kerjasama pendandan rambut bagi membantu mencegah kejadian bunuh diri berlaku.” Tahun lalu seramai 102 orang membunuh diri di Toyama dengan nisbah 24.2 orang bagi setiap 100,000 iaitu lebih dua kali ganda kadar bunuh diri di Britain, menurut catatan rekod Organisasi Kesihatan Sedunia. - Agensi

Pengurus mati dibaham 3 singa

PORT ELIZABETH (Afrika Selatan): Tiga singa meratah seorang pengurus sebuah restoran selepas lelaki yang dipercayai mabuk itu cuba ‘bermain’ dengan haiwan berkenaan di taman hidupan liar di sini.
Jan-Friederick Bredenhand, 30, ditarik ke dalam kandang haiwan itu dan dibaham hingga mati di taman tempat dia bekerja, awal pagi semalam.

Kejadian itu berlaku di Addo Croc and Lion Ranch berhampiran bandar ini.

Polis mengesyaki mangsa mabuk ketika dia cuba ‘bermain’ dengan haiwan berkenaan selepas berparti semalaman. Pelancong Veluchia Hassim berkata, dia dikejutkan daripada tidur oleh suara jeritan pada jam 5 pagi. “Kami berlari ke kawasan perkhemahan. Ia sungguh dahsyat sekali. Apabila kami tiba di situ, seekor daripada singa itu sedang membaham rusuk Bredenhand,” kata Veluchia. Pemilik taman hidupan liar itu, Johnny Janse van Rensburg terpaksa menembak mati haiwan berkenaan selepas dua minggu mengambil alih resort itu supaya pihak polis dapat mengambil sisa-sisa mayat mangsa.

Jurucakap taman itu, Gerda Swart berkata, Bredenhand dipercayai memanjat tiang di situ sebelum singa berkenaan menarik kaki dan mengheretnya hingga membawa kepada kematiannya yang amat mengerikan. “Dia memanjat pagar yang mengelilingi kandang itu dan berada terlalu dekat dengan haiwan berkenaan.” Dia mungkin tidak dapat berfikir dengan waras kerana dia mabuk tetapi tindakannya itu satu perbuatan yang sangat berbahaya dan bodoh,” ujar Gerda. “Orang yang bermain dengan haiwan seperti singa hanya mencari nahas dan dia menerimanya.” Menurut Gerda, seekor daripada singa berkenaan menarik Bredenhand ke dalam kurungan itu sebelum dua lagi singa menyerang dan menyiat tubuhnya. “Rakan Bredenhand menyaksikan semua yang berlaku tetapi tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu kerana dia begitu trauma dengan kejadian itu,” tambah Gerda. Rakan mangsa, Simon kemudian berlari untuk mendapatkan bantuan. - Agensi

Mayat dalam beg dipercayai pembantu rumah

AMPANG: Seorang wanita warga asing yang ditemui dalam sebuah beg pakaian berwarna hitam dengan tubuh dan kakinya dilipat bersama-sama sejumlah pakaian di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana, di Hulu Klang, Khamis lalu dipercayai bekerja sebagai pembantu rumah.
Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, siasatan mendapati mangsa yang berusia 20-an itu bekerja sebagai pembantu rumah sebelum melarikan diri dari rumah majikannya.

“Polis berharap majikan yang kehilangan pembantu rumah tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

“Sehingga hari ini (semalam), hanya lima keluarga sudah membuat pengecaman ke atas mayat wanita terbabit di Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM),” katanya.

Namun, kelima-lima ahli keluarga itu mengesahkan mayat berkenaan bukan ahli keluarga mereka. Menurutnya, polis percaya wanita itu pembantu rumah yang melarikan diri dari rumah majikannya, namun masih berharap sesiapa yang mengenali mangsa atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil bagi membantu siasatan.

Dadah dari Bahrain

SHAH ALAM: Sejumlah 5.45 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.3 juta dirampas polis daripada lima lelaki warga asing yang ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tiga tangkapan berasingan pada Sabtu dan Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata tangkapan pertama pada jam 10.30 pagi Sabtu itu membabitkan dua warga Iran yang baru tiba dari Bahrain.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 26 dan 27 tahun ditahan ketika sedang menunggu beg di ruang mengambil bagasi apabila polis mendapati mereka berada dalam keadaan mencurigakan.

“Selepas polis memeriksa beg yang mereka bawa, kita menemui bahan serbuk dipercayai syabu disorok dalam ruang kosong kerangka dua beg pakaian berkenaan dengan jumlah berat keseluruhan sebanyak 2.85 kg yang nilainya mencecah RM500,000.

Tangkapan kedua pula, katanya, dilakukan pada hari sama kira-kira sejam kemudian membabitkan dua lagi lelaki Iran juga turun satu penerbangan dari Bahrain dan pemeriksaan ke atas beg seorang suspek menemukan 900 gram dadah dipercayai syabu bernilai RM200,000.

Sementara itu, pada Ahad lalu, seorang warga India ditahan pada jam 1.30 tengah hari di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) yang menaiki penerbangan dari Labuan, Sabah kerana disyaki cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 2.6 kg bernilai RM600,000.

Empat warga Nigeria belasah lelaki beri teguran

KUALA LUMPUR: Teguran seorang lelaki berusia 38 tahun kepada sekumpulan empat lelaki warga Nigeria yang membuat bising membawa padah apabila dia diserang sebelum dipukul di sebuah restoran di Metro Prima Kepong, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa dikatakan menegur kumpulan terbabit yang membuat bising selepas dipercayai mabuk.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad, berkata mangsa menerima tiga jahitan di kepala dipercayai dipukul dengan botol arak.

“Semuanya bermula apabila mangsa yang turut menjamu selera di kawasan berkenaan menegur kumpulan terbabit yang membuat bising.

“Mangsa meminta supaya kumpulan terbabit menghormati orang lain yang turut berada di restoran berkenaan namun tegurannya itu menimbulkan kemarahan mereka,” katanya, semalam.

Menurutnya, akibat teguran itu berlaku pertengkaran lebih 10 minit sebelum kumpulan itu bertindak agresif dengan menyerang mangsa.

Sukar lupa rakan mati di depan mata - mangsa kemalangan di Genting Sempah

KUALA LUMPUR: Empat hari berlalu yang menyaksikan bas yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan, namun Mohd Shamsuri Mohd Shafie, 15, masih sukar untuk melupakan pengalaman itu terutama detik-detik hiba apabila melihat sendiri seorang rakannya maut di depan mata.
Dalam kejadian itu, Mohammad Yussof A Akhit, 16, yang duduk bersebelahan Mohd Shamsuri adalah antara tujuh anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Baling, yang maut selepas bas yang dinaiki bersama 37 rakan lain kemalangan ketika menuruni bukit selepas berkunjung ke Genting Highlands, dipercayai akibat kerosakan brek.

Sebak mengenangkan kejadian malang itu, Mohd Shamsuri kesal kerana tidak dapat membantu Mohammad Yussof walaupun beberapa detik sebelum bas terbalik, mereka berdua bersedia untuk menyelamatkan diri.

"Saya sempat kejut (Mohammad) Yussof masa bas mula hoyong hayang tak terkawal dan rakan-rakan yang cemas juga menjerit dan melaungkan "Allahuakbar"," katanya ketika ditemui di wad Hospital Selayang, dekat sini.

Mohd Shamsuri dirawat ekoran mengalami pendarahan paru-paru, patah tulang pinggul serta pendarahan dalam mata.

Menurutnya, selepas bas terbalik, perkara pertama yang diingatnya ialah untuk keluar secepat mungkin dari bas bersama-sama dengan rakannya itu.

"Saya bersyukur kerana masih bernafas tetapi sedih bila tengok Yussof yang berlumuran darah tak bergerak, tersepit bawah bas.

"Saya nak tolong (keluarkan Yussof) tapi tak larat," katanya sambil memamut erat tangan ibunya Suzana Soperi, 39, yang sabar menunggu di samping anaknya sejak kemalangan itu.
Mohd Shamsuri berkata, dalam keadaan cedera parah, beliau kemudian merangkak keluar dari badan bas itu melalui serpihan kaca tingkap bas yang pecah, menuju ke tepi jalan raya sambil mengharapkan bantuan segera.

"Yang ada dalam fikiran saya ketika itu cuma mati dan saya hanya mampu berselawat serta mengucap dua kalimah syahadah," katanya.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang turut mengunjungi lima mangsa kemalangan yang dirawat di hospital itu, merakamkan penghargaan kepada doktor dan kakitangan hospital itu termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana bertungkus lumus menyelamatkan mangsa-mangsa.

"Seperti adik Ahmad Ifwat Abd Halim yang mengalami kecederaan teruk pada tangannya, tetapi Alhamdulilah, berkat usaha doktor, tangannya dapat diselamatkan daripada dipotong," katanya.

Beliau juga menghargai keprihatinan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kerana sudi melawat mereka yang dirawat HKL semalam.

"Saya selaku menteri dari negeri Kedah mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan isteri perdana menteri yang sudi meluangkan masa melawat mangsa semalam. Ini menunjukkan beliau amat mengambil berat," katanya.

Dalam kejadian 7.50 malam itu, sebuah bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Baling, terbabit dalam kemalangan ketika menuruni bukit selepas bertolak dari Genting Highlands.

Mereka yang terbunuh berusia antara 13 tahun hingga 28 tahun, enam daripada mereka mati di tempat kejadian manakala seorang lagi iaitu guru agama dan juga ketua rombongan tersebut Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28, mati dalam perjalanan ke Hospital Selayang.

Baki 39 yang lain termasuk pemandu bas cedera.-Bernama

Isteri mangsa nahas derita sakit



JENAZAH empat mangsa nahas di Kampung Nyatuh dekat Setiu dikebumikan dalam satu liang lahad di Besut semalam.


BESUT – Sudah jatuh ditimpa tangga.
Itulah penderitaan yang terpaksa ditanggung ibu tunggal, Che Marina Awang, 23, yang kehilangan suami dan anak selepas kedua-duanya terlibat dalam kemalangan di Jalan Penarik-Permaisuri dekat Kampung Nyatuh, Setiu dekat sini kelmarin.
Che Marina yang kematian suami, Noorazry Elmy Sidek, 29, dan anak tunggalnya, Noor Amysha Maisarah, berusia setahun, mengakui dia kini terpaksa menanggung kesakitan kerana payu daranya mula membengkak akibat lebihan susu.
Anaknya, Noor Amysha Maisarah sebelum ini bergantung sepenuhnya dengan susu badan.
“Orang kata tanah kubur boleh digunakan untuk kurangkan sakit ini, jadi saya ambil sedikit (tanah kubur) untuk dijadikan ubat,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian anak, suami dan dua iparnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Bual, Pasir Akar di sini semalam.
Selain dua beranak itu, turut terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Wira dengan sebuah van itu ialah dua ipar Che Marina iaitu Noorazydyelwy Sidek, 32, dan Noor Afzan Efizalman, 16.
Kejadian pukul 1.30 petang kelmarin itu berlaku apabila kereta Proton Wira yang dinaiki empat sekeluarga dikatakan terbabas lalu merempuh sebuah van yang dinaiki 13 penumpang. Salah seorang penumpang van itu, Mek Wook Yaakob, 76, turut terbunuh

Rasuah: Pegawai polis dipenjara 6 bulan



02/11/2010 10:49am

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis berpangkat ASP dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan denda RM45,000 selepas disabit dengan dua kesalahan rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, 28 Oktober lepas.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam satu kenyataan di sini malam tadi berkata, ASP Aziz Abdul Latif didakwa memperoleh satu suapan bernilai RM4,000 daripada Tai Lok Uie, pada 16 Februari 2004 bagi pihak Lee Chuen Aun sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya, iaitu melepaskan dengan jaminan polis, Lee Chuen Aun yang dalam tahanan reman.
Menurut kenyataan itu bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, pada 14 Februari 2004 didakwa memperoleh bagi dirinya satu suapan bernilai RM5,000 daripada Lee Chuen Aun sebagai dorongan bagi melepaskan dengan jaminan polis Lee Chuen Aun yang berada dalam tahanan polis.
"Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000, manakala bagi pertuduhan kedua, mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM20,000,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan berjalan serentak, dan mahkamah turut membenarkan penangguhan perlaksanaan hukuman terhadap tertuduh. – Bernama

Lima didakwa bunuh penoreh getah



02/11/2010 1:51pm

MARANG – Lima lelaki termasuk seorang warga negara Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang kerana dituduh membunuh seorang penoreh getah bulan lepas.
Mat Ubidi Osman, 39; Kamarulzaman Mamat, 25; Mas Anuar Fauzi, 27; seorang juvana berumur 17 tahun; dan Roslan Ariffin, 24, warga negara Thailand, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Mereka, bersama seorang lagi yang masih bebas, dituduh membunuh Muda Mohd, 27, di kawasan kebun getah Kampung Lubuk Batu di sini, antara 10 pagi dan 11 pagi 19 Oktober lepas.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Majistret Nor Azizah Yusoff menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – Bernama

Nenek 87 tahun jadi pengedar dadah



OLA MAE AGEE


MIAMI - Seorang pesara berumur 87 tahun, Ola Mae Agee akan meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-88 di penjara selepas polis menangkapnya semasa dia mengedar dadah dari kediamannya, lapor sebuah akhbar semalam.
Agee dihukum penjara 18 bulan selepas juri sebuah mahkamah mendapati dia bersalah menjual dadah dari kediamannya.
Dia ditangkap selepas seorang anggota polis menyamar untuk membeli kokain berharga AS$24.10 (RM74.48) daripada nenek itu.
Hukuman itu menyebabkan nenek tersebut bakal berumur hampir 90 tahun semasa dia berada di dalam penjara.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditayangkan di mahkamah menunjukkan anggota polis yang menyamar itu mengetuk pintu kediaman Agee di Pensacola pada 30 April lalu.
Anggota polis tersebut dibawa ke ruang tamu sebelum Agee menggeledah kerusinya untuk mengeluarkan sejumlah kecil kokain itu.
Nenek itu pernah mengaku salah pada Disember 1996 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk menjual, mengeluar dan menghantarnya. - Agensi

Suspek bawa bungkusan bom di Athens ditangkap




SEORANG anggota polis memakai pakaian perlindungan semasa memeriksa lokasi letupan bom di Athens, semalam.


ATHENS, Greece - Polis Greece memberitahu dua orang suspek pengganas yang membawa bungkusan mengandungi bom kepada Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan pejabat-pejabat kedutaan barat di Athens telah ditahan.
Dua orang lelaki Greece berusia 22 serta 24 tahun itu ditangkap di tengah Athens selepas sebutir bom yang dialamatkan ke Kedutaan Mexico di Athens meletup dan mencederakan seorang kakitangan wanita sebuah syarikat penghantaran persendirian.
"Wanita yang cedera itu kini dirawat di hospital kerana melecur tetapi dia tidak mengalami kecederaan serius," kata pihak berkuasa.
Tiga lagi bungkusan dirampas di sebuah syarikat penghantaran ketika dibawa oleh dua orang lelaki terbabit. Bungkusan itu dialamatkan ke Kedutaan Belgium dan Belanda di Athens.
Kedua-dua suspek membawa pistol.
Seorang daripada mereka memakai rambut palsu, topi dan jaket kalis peluru.
Bungkusan surat yang disyaki bom itu telah dimusnahkan oleh unit pemusnah bom. - Agensi

Lelaki berimej rock rompak bank




GAMBAR rakaman kamera litar tertutup menunjukkan seorang perompak ala bintang rock melakukan rompakan di Bank Sovereign di Wolcott, Amerika Syarikat pada Khamis lalu.


WOLCOTT, Connecticut - Polis Wolcott kini sedang memburu seorang perompak bersenjata yang merompak sebuah bank di sini, Amerika Syarikat pada Khamis minggu lalu dengan gaya seperti seorang bintang rock, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Lelaki itu memakai rambut palsu yang panjang manakala mukanya dimekap dengan warna putih. Dia turut memakai seluar jean lusuh.
Dia kelihatan seperti seorang pemain gitar kumpulan rock Spinal Tap, Derek Smalls yang sudah berusia.
Penjenayah tersebut dilaporkan berjalan masuk ke dalam Bank Sovereign pada pukul 3.44 petang dengan membawa dua senjata api.
Wajahnya yang berjanggut itu cuba ditutup dengan menggunakan cermin mata hitam.
Menurut polis, dia mengarahkan pekerja bank dan pelanggan supaya memberikan kerjasama jika tidak mahu kepala mereka ditembak.
Dia turut mengarahkan pengurus bank membuka peti simpanan sebelum melarikan diri selepas berjaya mendapatkan wang.
Polis kemudian berjaya menemui kenderaan penjenayah tersebut.
Namun, dia dikatakan sudah melarikan diri ke dalam hutan dan polis belum dapat menjejakinya. - Agensi

Banjir: Wanita Jerman hilang dibawa arus deras


Foto Menarik
WARGA Jerman, Yusof Abdullah, 41, berada atas sebatang pokok selepas dia bersama isteri dan ibunya dihanyutkan arus deras sewaktu menyelamatkan diri dalam banjir di Kampung Kota Giam, malam tadi. Dia dan isterinya, Ashalehah Zain, 41, berjaya diselamatkan anggota JPAM selepas berpaut di pokok selama tiga jam, manakala ibunya dihanyutkan arus deras dan gerakan mencari dijalankan.Foto: Shahrizal Md Noor

02/11/2010 5:05pm

ALOR SETAR - Seorang wanita warga emas berbangsa Jerman dikhuatiri lemas setelah dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan diri selepas rumahnya di kampung Kerenjis, Kota Giam di Jitra dinaiki air malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt. Sawaludin Hamenudin berkata, Erna Fisher, 64, dilaporkan hilang kira-kira pukul 8.30 malam ketika keluar bersama anak dan menantunya untuk menyelamatkan diri daripada banjir.
"Arus deras telah menghanyutkan ketiga-tiga mereka tapi anak dan menantu mangsa berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - Bernama

Sembilan sekolah di Rantau Panjang, Tumpat ditutup



02/11/2010 5:03pm

RANTAU PANJANG - Hujan selama dua hari berturut-turut di Kelantan khususnya di daerah Kota Baharu, Rantau Panjang dan Tumpat menyebabkan negeri ini mulai dilanda banjir.
Air yang naik mendadak ekoran limpahan Sungai Golok di Rantau Panjang menyebabkan sembilan buah sekolah di dua daerah di negeri ini iaitu Rantau Panjang dan Tumpat diarah tutup dengan segera pagi ini.
Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussein Awang berkata, kesemua sembilan sekolah itu ditutup pada pukul 9.30 pagi atas faktor keselamatan.
"Sekolah yang ditutup itu melibatkan enam sekolah rendah di Rantau Panjang, sebuah sekolah rendah di Tumpat, sebuah sekolah menengah di Rantau Panjang dan sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan juga di Rantau Panjang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. - Bernama

Anak Sosilawati fail saman RM60 juta





2010/11/02

SHAH ALAM: Keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, memfailkan tuntutan saman gantirugi bernilai RM60 juta terhadap enam individu yang terbabit dalam pembunuhan wanita itu akhir Ogos lalu. 

Tuntutan itu difailkan enam anaknya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, Erwan Suwari Rizuwan, Md Erwan Nasri, Erni Erinawati Sofia, Erni Rineelawati dan Siti Nur Fatimah.
Mereka menamakan enam individu iaitu empat tertuduh kes pembunuhan ibu mereka, bekas peguam, N Pathmanaban, R Kathavarayan, R Mathan dan T Thilaiyagan serta terhadap dua pesalah yang didapati melupuskan mayat Sosilawati serta tiga yang lain, K Sarawanan dan U Suresh.
Peguam Kamarudin Ahmad daripada Tetuan Kamarudin & Partners memfailkan tuntutan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada jam 8.45 pagi tadi. 


Beliau yang ditemui selepas itu, berkata jumlah tuntutan itu menjadi RM60 juta daripada cadangan awal RM40 juta sebelum ini, selepas pihaknya dimaklumkan Sosilawati ada membuat perancangan untuk menyenaraikan syarikat kosmetiknya, Kumpulan Nouvelle Visages ke Bursa Malaysia, sebelum usahawan wanita itu dibunuh pada 30 Ogos lalu. 

  Bagaimanapun, semua anak-anak Sosilawati tidak hadir atas alasan peribadi.

Budak 12 tahun mangsa pertama lemas di Kelantan





2010/11/02

TUMPAT: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menjadi mangsa lemas pertama musim tengkujuh di negeri ini, selepas tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sebuah kolam ikan terbiar, di Kampung Neting, dekat sini, petang semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Neting, Wan Norhafizam Wan Nafi, sebelum kejadian, keluar rumah bersama empat rakannya untuk bermain di sekitar kawasan kolam ikan itu.
Bapa mangsa, Wan Nafi Wan Omar, 44, berkata sebaik pulang ke rumah, beliau mendapati anak keempat dari lima beradik itu tiada di rumah dan menjangkakan keluar bermain dengan rakannya seperti kebiasaannya.
Beliau yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor, dekat sini, berkata tiba-tiba salah seorang rakan mangsa datang ke rumah dan memberitahu mengenai berita malang itu. 

"Saya terkejut apabila diberitahu anak saya lemas selepas terjatuh ke dalam kolam ikan terbiar yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari rumahnya. 

"Paling saya terkilan ialah arwah tidak sempat melihat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijangka diumumkan dua minggu lagi," katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam. 

Wan Nafi berkata, beliau juga terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan arwah anaknya itu dan kali terakhir sempat melihatnya ialah pagi semalam, ketika hendak ke sekolah dengan menaiki basikal kesayangannya. 
"Arwah seorang kanak-kanak yang pintar dan petah bercakap dan sebelum kejadian, tiada sebarang perlakuan pelik pada dirinya, malah arwah kelihatan ceria bersama keluarga seperti biasa," katanya. 

Sementara itu, Pegawai Operasi Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai mengenai kejadian itu pada jam 3.30 petang. 

Katanya, seramai enam anggota Unit Skuba negeri bersama lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu operasi mencari mangsa. 

"Selepas beberapa jam operasi mencari, mayat mangsa akhirnya ditemui kira-kira jam 6 petang sebelum dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat," katanya.

Banjir landa empat negeri



Oleh Khairul Anuar Abdul Samad, Adha Ghazali, Nahar Tajri, Zuliaty Zulkiffli, Betty Subaryati, Baharom Bakar, Mohammad Ishak dan Zarina Abdullah
bhnews@bharian.com.my
2010/11/02

  
  • Foto
    PASUKAN dari unit ‘Task Force’ pejabat ADUN Kuala Nerang, Kedah membantu mengangkat warga emas, Md Lazim Yunus, 86, selepas air mula naik akibat banjir di Kampung Tanjong, dekat Kuala Nerang, semalam.
  • Foto
    ANGGOTA penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) mengangkat mangsa banjir, Khatijah Mohamad, 70 untuk ke pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, Kota Bharu selepas rumahnya ditenggelami banjir.
  • Foto
    KUMPULAN remaja di Kampung Titi Tinggi Hilir, dekat Padang Besar, semalam secara sukarela berdiri di pinggir jalan sebagai panduan kepada pengguna jalan raya untuk melepasi banjir berikutan paras air yang melimpahi laluan utama Kangar-Padang Besar terbabit.
Kedah catat mangsa bah paling ramai dipindahkan

ALOR SETAR: Lebih 3,000 penduduk di Kedah, Perlis dan Terengganu dipindahkan ke pusat pemindahan sejak semalam selepas hujan berterusan di tiga negeri terbabit serta Kelantan sejak beberapa hari lalu.
Kedah mencatatkan mangsa banjir paling ramai dipindahkan setakat ini apabila 2,100 orang membabitkan 483 keluarga di tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Padang Terap dan Kota Setar dipindahkan apabila rumah mereka dinaiki banjir sedalam antara satu dan lebih dua meter berikutan hujan lebat sejak Sabtu lalu.
Tinjauan Berita Harian di Kubang Pasu mendapati lebih 30 kampung, iaitu Kampung Raja Nongmi, Kampung Masjid, Kampung Changkat Setol, Kampung Padang Halban, Kampung Padang Pasir, Kampung Kepala Kerbau dan Pekan Changlun dinaiki air, menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke dewan dan masjid.

Di Padang Terap, banjir melanda 28 kampung, termasuk Kampung Padang Sanai, Kampung Pokka, Kampung Tanjong, Kampung Padang Cenderai, Kampung Tanjung Gorek, Kampung Padang Gelanggang, Kampung Kuala Janing, Kampung Mani A, Kampung Mani B, Kampung Mani C, Kampung Bendang Raja dan Kampung Labi, manakala di Kota Setar dua perkampungan terjejas teruk, iaitu Kampung Titi Gajah dan Kampung Gunong.

Di KANGAR, seramai 1,218 mangsa banjir membabitkan hampir 250 keluarga di seluruh Perlis dipindahkan selepas kediaman masing-masing dinaiki banjir, dengan majoritinya membabitkan daerah Padang Besar.

Antara kampung terjejas ialah Titi Tinggi Hilir, Kampung Gial Tengah, Pokok Sena, Panggas Besar, Panggas Kecil, Guar Musang, Kampung Tok Kuning, Kampung Sungai Buloh, Kampung Padang Melaka, Kampung Semadong, Lembah Biak, Titi Besi dan Kampung Belat Baru. 
Di KUALA TERENGGANU, seramai 84 penduduk daripada 21 keluarga di beberapa kampung di Hulu Besut dipindahkan ke pusat pemindahan sejak pagi semalam. 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, berdasarkan ramalan cuaca, hujan lebat melebihi 40 peratus dijangka melanda seluruh negeri ini dan semua penduduk yang tinggal di tebing sungai serta di kawasan rendah diminta bersiap sedia untuk berpindah ke pusat perpindahan banjir.

Di KOTA BHARU, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abu Bakar Mohd Yusof berkata, Kelantan dijangka dilanda banjir besar tahun ini berikutan baki curahan hujan sehingga kini 1,240 milimeter (mm) atau 46 peratus daripada 2,700 mm, jumlah purata hujan tahunan bagi negeri ini.

Katanya, sehingga jam 4.36 petang semalam, dua lokasi sungai utama di negeri ini mencatatkan paras melebihi bahaya iaitu Sungai Golok di Jenob, Pasir Mas dengan 23.84 meter dan Sungai Golok di Rantau Panjang dengan 9.29 meter, manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai 20 meter iaitu melebihi paras waspada.

Kakitangan JPN disyaki subahat jual bayi





2010/11/02

  • Foto
    SEORANG suspek wanita dipercayai anak pemilik hospital ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam penjualan bayi.
  • Foto
    KAKITANGAN hospital swasta yang disyaki ahli sindiket penjualan bayi turut ditahan polis
    .
Keluar sijil kelahiran asli tanpa perlu prosedur ketat

KUALA LUMPUR: Kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disyaki bersubahat dengan sindiket penjualan bayi bagi memudahkan urusan pendaftaran bayi dan pengeluaran sijil kelahiran asli tanpa prosedur yang ketat.
Menurut sumber, selepas transaksi jual beli, pembeli dibawa oleh anggota sindiket atau kakitangan hospital ke pejabat JPN, manakala ‘kaki’ mereka di kalangan kakitangan jabatan sudah sedia menunggu untuk mendaftar dan pengeluaran sijil kelahiran lengkap dengan nama bayi menggunakan bin atau binti bagi pasangan Islam dan bapa serta ibu bagi yang bukan Islam.
Katanya, sejurus tiba di JPN, pembeli hanya perlu mengambil nombor giliran dan duduk di tempat menunggu sehingga dipanggil pegawai di jabatan pendaftaran.

“Dokumen yang perlu diserahkan ialah borang pendaftaran yang ditandatangani doktor hospital tempat bersalin, surat nikah asal dan salinannya, kad pengenalan serta rekod sejarah perubatan membuktikan ibu pernah menjalani rawatan di mana-mana hospital yang berkenaan. Tiada soalan rumit ditanya atau kadang-kadang tiada langsung soalan ditanya,” katanya.

Selepas dokumen diteliti dan butiran kelahiran yang dicatat adalah betul, pembeli diminta menurunkan tandatangan sebagai pengesahan semua butiran adalah betul.

“Borang itu kemudian diserahkan kepada penyelia. Kira-kira 15 minit kemudian, pembeli akan dipanggil dan sekali lagi diminta meneliti butiran dicatatkan pada sijil kelahiran adalah tepat dan tandatangan diturunkan sekali lagi untuk melengkapkan pengeluaran sijil kelahiran,” katanya. 
Sumber itu berkata, berdasarkan modus operandi yang dipercayai turut membabitkan kakitangan JPN, tidak sukar mendapatkan ‘bayi segera’ yang lengkap dengan sijil kelahiran lengkap dengan bin, binti atau nama pembeli sebagai bapa yang ‘sah’

INFO: Kes jualan bayi dibongkar


  • 12 Julai 2010: Polis Sarawak menyelamatkan bayi perempuan berusia 23 hari yang cuba dijual wanita warga Indonesia pada harga RM10,000 kepada anggota polis yang menyamar pasangan suami isteri di Kuching dan membawa penangkapan pasangan ahli perniagaan terkemuka bergelar Datuk dan Datin dipercayai dalang sindiket.

  • 2 Mei 2010: Seorang wanita ditahan dalam serbuan di pasar raya di Kepong, dekat ibu negara selepas cuba menjual bayi masih dalam kandungan warga Indonesia yang didakwa adik angkatnya.

  • 15 Disember 2009: Tiga beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas tiga tuduhan memperdagang tiga bayi perempuan berumur sehari dilahirkan tiga warga asing di hospital swasta di Jalan Klang Lama.

  • 11 Disember 2009: Polis menyelamatkan lima bayi berusia dua minggu hingga sembilan bulan dan seorang kanak-kanak berumur tiga tahun sebelum dijual sindiket pada harga antara RM15,000 hingga RM20,000 serta menahan 13 individu dalam serbuan di Klang dan Banting.

  • 13 November 2008: Jabatan Imigresen menahan sembilan pendatang tanpa izin Indonesia di dua rumah di Pasir Gudang dipercayai terbabit menjual bayi, selain menemui dua bayi tiada ibu bapa, beberapa salinan MyKad, dokumen kelahiran klinik swasta dan borang daftar anak angkat. 

  • 14 Januari 2005: Polis menahan dua wanita dan pemandu teksi di pasar Gombak, Jalan Setapak ketika cuba menjual seorang bayi berusia 25 hari.