Search This Blog

Monday, November 1, 2010

Badan putus 2

KUALA LUMPUR: Tubuh seorang penunggang motosikal terputus dua selepas digilis berpuluh kenderaan yang tidak sempat mengelak mangsa yang terbaring di atas jalan raya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi semalam, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian hancur lumat akibat rempuhan bertali arus kenderaan yang melalui Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Bandar Tasik Selatan, di sini.
Sumber polis trafik Kuala Lumpur berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke ibu kota sebelum dilanggar dari belakang.
NGERI...anggota polis trafik   mengalihkan  mayat mangsa di MRR2, awal pagi semalam. Gambar kecil, Digat.

NGERI...anggota polis trafik mengalihkan mayat mangsa di MRR2, awal pagi semalam. Gambar kecil, Digat.


“Berdasarkan siasatan, polis percaya mangsa berkemungkinan dirempuh kuat dari belakang oleh sebuah kereta atau kenderaan berat menyebabkan dia tercampak ke atas jalan raya.


“Mangsa terjatuh ke tengah jalan kemudian dirempuh beberapa kenderaan yang dipandu laju. Keadaan jalan yang gelap dan menurun bukit dipercayai menyebabkan pemandu kenderaan yang melalui lokasi kejadian tidak sempat mengelak lalu menggilis tubuh mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang digilis berulang kali menyebabkan badannya terputus dua.

“Malah beberapa penunggang motosikal turut terjatuh dan mengalami cedera ringan selepas terlanggar tubuh dan kepala mangsa.

“Namun semua kenderaan yang tidak sengaja merempuh tubuh mangsa terus meninggalkan lokasi kejadian selepas menyedari objek dilanggar adalah mayat manusia,” katanya.

Katanya, orang ramai kemudian segera menghubungi polis sebelum anggota polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Siasatan awal, mangsa dikenali sebagai Digat a/l Mentagas, 29, berasal dari Rumah Kanawit, Sarawak.

“Susulan kejadian itu, anggota polis trafik terpaksa mengutip cebisan daging mayat mangsa yang berteraburan di atas jalan sepanjang,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa yang hampir hancur itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Sementara itu, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau talian Rakan Cop 03-21159999.

Mangsa kemalangan di Setiu dikebumi dalam satu liang lahad

BESUT: Empat sekeluarga yang terbunuh dalam kemalangan antara sebuah kereta dengan sebuah van di Setiu semalam dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Padang Bual, Pasir Akar hari ini.
Mereka yang berasal dari Kampung Bukit China, Pasir Akar ialah Noorazyelwy Sidek, 32, adiknya Noorazry Elmy, 29, Noorafzan Efizalman, 16, dan anak perempuan Noorazry Elmy, Nor Amysha Maisarah, 1, Ibu kepada ketiga-tiga mangsa Zabedah Teh, 49, dan isteri Noorazry Elmy, Che Marina Awang, 23, turut hadir di tanah perkuburan itu.

Hujan lebat yang turun, tiba-tiba berhenti ketika pengkebumian hendak dijalankan.

Sebelum itu kereta jenazah yang membawa keempat-empat mangsa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira tiga kilometer daripada rumah Zabedah, terpaksa mengharung air banjir apabila jalan utama ke tempatan pengkebumian di Gertak Jerbong dinaiki air sedalam 0.3 hingga 0.6 meter.

Beberapa kampung di Besut kini dilandar banjir ekoran hujan lebat yang turun sejak semalam.

Turut terbunuh dalam kemalangan 1.30 petang itu di Km 67.5 Permasuri-Penarik berdekatan Kampung Nyatoh ialah penumpang van berkenaan, Mek Wook Yaakob, 76, yang meninggal di Hospital Setiu.

Kereta yang dinaiki keluarga itu sedang dalam perjalanan pulang dari Panarik, manakala van berkenaan yang sarat dengan 13 orang penumpang dipercayai sedang menuju ke arah Dungun.

Kereta itu dipandu Noorazydyelwy, kakitangan Universiti Malaysia Terengganu, manakala van itu dipandu Wan Mohd Mustaffa Zulkarnain, 45, penghantar barangan runcit di Jerteh.
Isterinya, Wan Samariah Wan Nawang, 47, cedera parah.

Menurut polis, kereta itu dikatakan terbabas ke kanan jalan akibat jalan yang licin ekoran hujan lebat lalu bertembung dengan van berkenaan yang datang dari arah bertentangan.-Bernama

Polis tahan 4 lelaki Iran, rampas dadah 2.5 kg





2010/11/01

SHAH ALAM: Polis menahan empat lelaki Iran dan merampas 2.85 kilogram dadah disyaki syabu di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi kelmarin. 

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir, berkata keempat-empat mereka ditahan sebaik tiba di KLIA dengan pesawat dari Bahrain, selepas dadah itu ditemui diisi dalam rongga-rongga kosong kerangka beg pakaian tiga daripada mereka.
"Apabila beg-beg mereka diimbas, dadah-dadah itu tidak kelihatan, tetapi polis menemui dadah itu hasil pemeriksaan secara manual kemudiannya," katanya pada satu persidangan media di sini hari ini.
Beliau berkata, dadah itu ditemui di dalam beg yang dibawa oleh tiga lelaki Iran masing-masing berumur 27, 26 dan 43 tahun, dan siasatan mendapati ini merupakan kali pertama ketiga-tiga mereka menjejakkan kaki di Malaysia. 

"Seorang lagi lelaki Iran yang ditahan berumur 26 tahun, biarpun tiada dadah ditemui di dalam begnya, kami menahannya kerana dia dipercayai dalam kumpulan dengan tiga lelaki berkenaan," katanya. 

Beliau berkata, lelaki itu didapati memasuki Malaysia lima kali sejak September 2009. 

Sementara itu, Nordin berkata polis Selangor semalam menahan seorang lelaki warga India berusia 36 tahun yang didapati cuba membawa masuk dadah dipercayai syabu seberat 2.6 kg yang disembunyikan dalam empat bingkai gambar. 
Beliau berkata, lelaki yang bekerja sebagai tukang jahit yang berasal dari Chennai, India, itu ditahan pada kira-kira 1.30 tengah hari dan dia didapati sudah 12 kali memasuki Malaysia sejak Januari lalu. 

Nordin berkata, nilai dadah yang dirampas selama dua hari itu menjangkau RM1.3 juta dengan berat keseluruhan 5.45 kg. 

Semua suspek yang kini ditahan reman sehingga 7 November ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Enam lelaki ditahan berhubung kes bunuh di Kota Tinggi



JOHOR BAHARU - Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu kes pembunuhan di Kota Tinggi pada 15 Oktober lalu, kata Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Beliau berkata, semua suspek yang berumur antara 23 dan 49 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini minggu lalu hasil maklumat orang ramai.

Katanya hasil saol siasat, suspek membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis Walter bersama empat butir peluru di kawasan kebun sayur di Permas Jaya di sini, dipercayai digunakan dalam pembunuhan tersebut.

"Salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu terlibat dengan kes dadah di Kulaijaya pada 2003 dan dikehendaki bagi membantu siasatan kes rogol di Masai pada 2005.

"Dua daripada mereka sudah dibebaskan manakala yang lainnya direman sehingga Khamis ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Dalam kejadian 15 Oktober lepas, G.Tamil Silvam, 44, ditembak mati oleh seorang lelaki yang datang ke rumahnya pada kira-kira pukul 9.30 malam.

Banjir di Perlis, lebih 1,000 dipindahkan


PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sheikh Ahmad Arau Perlis terpaksa meredah banjir untuk kesekolah selepas jalan Raya Kangar ke Arau di naiki air akibath hujan lebat turun dua hari tampa henti di sini. Foto SALIM SHAARI (01/11/10)
PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sheikh Ahmad Arau Perlis terpaksa meredah banjir untuk kesekolah selepas jalan Raya Kangar ke Arau di naiki air akibath hujan lebat turun dua hari tampa henti di sini. Foto SALIM SHAARI (01/11/10)
01/11/2010 8:21pm

KANGAR 1 Nov. - Seramai 1,218 penduduk di daerah Padang Besar, Arau dan Kangar dipindahkan ke 14 pusat pemindahan di negeri ini berikutan keadaan banjir yang semakin buruk.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Abdullah Ali memberitahu, sehingga pukul 6 petang ini, mereka yang terlibat termasuklah seramai 921 mangsa dari 226 keluarga di Padang Besar telah dipindahkan ke lima pusat pemindahan banjir di daerah berkenaan.
Katanya, mereka terdiri daripada 112 mangsa yang ditempatkan di di Dewan Titi Tinggi Hilir, Pusat Khidmat Mata Ayer (30), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan (386), Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bertangkup (324) dan seramai 69 mangsa dipindahkan ke Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Beseri.
"Sebanyak dua lagi pusat pemindahan banjir iaitu Guar Nangka dan SMK Tengku Fauziah di daerah yang sama turut dibuka untuk mangsa banjir namun sehingga kini jumlahnya masih belum diketahui," katanya di sini, hari ini. - Bernama

Lebih 2,000 dipindah akibat banjir di Kedah

ALOR SETAR: Seramai 2,016 penduduk daripada 483 keluarga di beberapa daerah di Kedah dipindahkan ke pusat penempatan banjir apabila rumah mereka dinaiki air akibat hujan berterusan sejak semalam.
Daripada jumlah itu, 1,449 penduduk daripada 359 keluarga adalah dari daerah Padang Terap, manakala 491 mangsa daripada 101 keluarga adalah dari Kubang Pasu dan 70 penduduk daripada 23 keluarga di Kota Setar.

Penghulu Mukim Tualak, Padang Terap, Sharizan Shaari berkata 28 kampung di daerah berkenaan dilanda banjir dan mangsa telah dipindahkan bermula 7 pagi tadi.

Antara kampung yang terbabit ialah Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Tualak, Bendang Raja serta Padang Sanai.

Sebanyak 28 pusat pemindahan telah dibuka antaranya di dewan kampung Mani A, surau kampung Mani B dan Mani C, dewan Felcra Tualak, dewan Kampung Padang Sanai, bangunan Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), masjid Kampung Labi, masjid Kampung Tanjung serta masjid Bendang Raja.

"Jumlah mangsa yang dipindahkan mungkin meningkat sekiranya hujan tidak berhenti sehingga malam ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Sharizan, bacaan paras air Sungai Kuala Nerang melepasi paras bahaya iaitu 19.81 meter berbanding paras bahaya 17.07 meter, manakala tiga lagi sungai berada pada paras berjaga-jaga iaitu Sungai Padang Sanai di paras 35.83m (paras bahaya 36m), Sungai Kubu di paras 12.81m (paras bahaya 13.02m) dan Sungai Naka di paras 31.82 (paras bahaya 33m).

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Kubang Pasu, Fadzin Long, berkata daripada jumlah mangsa di daerah itu, seramai 342 daripada 65 keluarga ditempatkan di dewan kampung Changkat Setoi, Changlun.
Seramai 133 orang lagi daripada 30 keluarga dari Kampung Belukar dan Kampung Darat, Changlun ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun, manakala seramai 16 orang daripada enam keluarga berada di Sekolah Kebangsaan Malau.

Menurut Fadzin, jumlah berkenaan dicatat sehingga 6 petang dan dijangka meningkat memandangkan hujan masih turun. Di Kota Setar, Ketua Kampung Taman Indah, Shuib Mahmod berkata di kawasan Anak Bukit di sini dua pusat penempatan mangsa banjir dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Gunung dan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.

Katanya, sehingga jam 6 petang tadi seramai 16 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di SK Gunung manakala 60 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke SK Titi Gajah. Kebanyakkan mangsa yang dipindahkan adalah dari kampung Lorong Pam Air dan Alor Perang, Anak Bukit, di sini.

Di Pokok Sena, dua jalan utama yang menghubungkan daerah itu dengan Kuala Nerang dan Bukit Pinang dinaiki air dan telah ditutup kepada kenderaan ringan, namun tiada penduduk dipindahkan setakat ini.

Bilik gerakan di setiap daerah akan dibuka 24 jam untuk memantau keadaan.

-Bernama

Operasi cari mangsa tsunami dipertingkat, angka korban cecah hampir 500


HULUR BANTUAN: Sarjan Nandang (kanan) membantu Encik Yeses menaiki sebuah pesawat Mi-17 tentera Indonesia semasa operasi memindah mangsa tsunami di desa Tumalei di kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, semalam. -- Foto AFP
Mudah cetak
E-mel

1 Nov 2010

LUAR NEGARA

BENCANA DI INDONESIA



PAGAI SELATAN (Sumatera Barat): Indonesia semalam meningkatkan operasi bantuan bagi mangsa bencana tsunami, sewaktu angka korban meningkat kepada 449 orang, walaupun 135 penduduk yang hilang dijumpai terselamat.
Cik Nelis Zuliastri, jurucakap bagi Badan Nasional Penanganan Bencana (BNPB) berkata angka korban meningkat selepas penemuan lebih banyak mayat di kawasan bencana.Bilangan penduduk yang masih hilang kini turun kepada 96 orang, kata beliau.Para pegawai bantuan berkata cuaca yang cerah membolehkan lebih banyak helikopter menghantar bekalan bantuan kepada penduduk kampung yang terpencil dan hanya boleh didatangi melalui jalan laut atau udara.'Cuaca cerah hari ini. Jadi kami berharap dapat sampai ke semua kampung yang terpencil,' kata pegawai bantuan, Encik Arif Rahman.Ketua pengurusan bencana setempat, Encik Harmensyah, berkata: 'Pengagihan bekalan bantuan berjalan lancar.'Bekalan bantuan termasuk air botol, makanan dalam tin, ubat-ubatan dan khemah akhirnya tiba di desa Tumalei, di pulau Pagai Utara, tempat 200 penduduk mencari makanan dalam hutan.'Kami makan pisang, keladi dan kelapa yang kami dapati dalam hutan,' kata seorang penduduk kampung kepada agensi berita AFP.Panglima tentera setempat, Kolonel Mulyono, semalam berkata pasukan beliau, Palang Merah Indonesia dan badan bantuan lain berhasil pergi ke semua 24 kampung yang terjejas tsunami dengan menggunakan tujuh helikopter.'Mulai hari ini, kami bercadang mendaratkan bekalan dan pasukan perubatan ke kampung-kampung itu setiap hari,' kata Kolonel Mulyono seperti ditukil laman web Jakarta Post semalam.Para pegawai kini menumpukan perhatian untuk mencari 96 penduduk yang masih hilang.'Kami masih mencari mereka. Ada kemungkinan besar mereka sudah meninggal, atau tertimbus pasir,' kata pegawai bantuan, Encik Joskamatir.Ramai mangsa yang mati dipercayai dihanyutkan ombak ke laut atau tertimbus pasir.'Ada individu yang pergi ke pusat perlindungan. Ada juga penduduk yang sudah balik ke kampung mereka,' kata seorang lagi pegawai bantuan, Encik Agus Prayitno. -- AP, AFP.

Paras air Sungai Golok kini di paras bahaya



01/11/2010 1:16pm

KOTA BHARU 1 Nov. - Paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang kini dilaporkan berada di paras bahaya ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu.
Menurut Pegawai Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, Shaari Harun, paras air di Jenob pada 11 pagi tadi berada pada paras 23.80 meter berbanding para bahaya 23.50 meter, dengan air dilaporkan semakin naik.
Di Rantau Panjang, bacaannya ialah 8.75 meter yang menghampiri paras bahaya 9 meter, katanya.
"Sehubungan itu penduduk diminta bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir kerana air Sungai Golok mungkin melimpah pada bila-bila masa sahaja,” katanya kepada Bernama.
Shaari berkata, paras air sungai utama lain masih di paras biasa namun airnya semakin meningkat secara perlahan-lahan berikutan hujan masih turun.
Katanya, ekoran hujan lebat, beberapa kawasan rendah seperti Pasir Tumboh, Penambang, Kubang Bemban, Berek 12 dan Pasir Hor mengalami banjir kilat sedalam 0.5 meter.
Namun tiada penduduk yang diarahkan berpindah setakat ini.
Shaari berkata, pihaknya telah mula membuka Bilik Gerakan Banjir mulai awal pagi tadi bagi memantau keadaan.
Katanya hujan yang sesekali lebat dijangka terus melanda Kelantan sehingga esok. - Bernama

Ibu, anak ditahan cuba seludup dadah RM180j dari Malaysia



01/11/2010 1:29pm

MELBOURNE 1 Nov. - Seorang wanita dan anak lelakinya ditahan kerana didakwa cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini.
Wanita berusia 55 tahun dan anak lelakinya berumur 28 tahun, kedua-duanya dari Campsie di barat daya Sydney, ditahan Sabtu selepas polis merampas 168kg heroin dalam kontena perkapalan dari Malaysia ke Sydney.
Turut ditahan ialah seorang rakyat Hong Kong berusia 33 tahun, kata Australian Associated Press (AAP) yang memetik kenyataan Komander Polis Persekutuan Australia David Stewart.
Stewart berkata, heroin itu dijumpai dalam beberapa beg dalam sebuah kontena pintu kayu pada 21 Oktober.
Heroin itu bernilai A$58.8 juta dalam bentuk asalnya, tetapi apabila ia diproses nilai pasarannya akan meningkat sehingga A$410 juta, kata Stewart.
Pegawai kastam membuat imbasan terhadap 295 pintu dan menemui 24 paket serbuk putih masing-masing dalam sembilan pintu dan 14 paket lagi ditemui dalam pintu lain, menjadi jumlah keseluruhan dadah yang ditemui ialah 230 paket. - Bernama

Dipenjara 16 tahun sebabkan kematian



01/11/2010 2:57pm

SHAH ALAM - Seorang lelaki terselamat daripada hukuman mati apabila dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menyebabkan kematian seorang peminjam wang berlesen dengan cara menikamnya menggunakan gunting, empat tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan tertuduh, Rais Ngteni, 23, yang bekerja sendiri, menjalani hukuman itu berkuatkuasa daripada tarikh dia ditangkap pada 7 Oktober 2006.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Soh Kim Chye, 35, di Sungai Langat di kawasan Batu Hampar, Jalan Jugra, Jugra, Banting, antara pukul 7.30 malam dan 8 malam pada 3 Okt 2006.
Pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Rais sebelum ini dibicarakan atas tuduhan membunuh Soh mengikut Seksyen 302 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Berrnama

Beberapa kampung di Besut dilanda banjir kilat



01/11/2010 2:56pm

BESUT - Beberapa buah kampung terutamanya yang terletak di kawasan rendah serta beberapa buah sekolah di Hulu Besut dan Jerteh di sini dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat yang melanda sejak semalam.
Banjir juga menyebabkan jalan antara Jerteh ke Bukit Payong di Hulu Besut terputus apabila jalan di Gertak Jerbong di Kampung Pasir Akar ditenggelami air antara 0.3 hingga 1 meter pagi tadi dan tidak boleh dilalui kenderaan kecuali kenderaan berat.
Bilik Gerakan Banjir, Ibu Pejabat Polis di Kampung Raja yang dihubungi memberitahu, seramai 40 penduduk dari 10 keluarga di Kampung Dalam Umar di Tok Renek terpaksa dipindah ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan, Tok Dor malam tadi apabila rumah mereka dinaiki air.
Mereka bagaimanpun telah pulang semula tengah hari tadi setelah paras air di kawasan rumah mereka surut.
Tinjauan Bernama ke beberapa kawasan mendapati beberapa buah sekolah turut digenangi air pagi tadi ekoran limpahan air parit. - Bernama

296 penduduk di Perlis dipindahkan akibat banjir



01/11/2010 2:49pm

KANGAR 1 Nov. - Hujan lebat yang bermula Sabtu lalu dan berterusan sehingga hari ini menyebabkan 296 orang penduduk di Padang Besar dan Arau terpaksa dipindahkan ke empat pusat pemindahan banjir di negeri ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Abdullah Ali memberitahu, daripada 120 keluarga terbabit, 18 keluarga dipindahkan ke Dewan Titi Tinggi Hilir manakala 39 keluarga lagi dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan.
Lain-lain di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bertangkup (60 keluarga) dan seramai 10 orang penduduk dari tiga keluarga ditempatkan di Dewan Kampung Titi Besi, Arau.
Katanya, sebanyak tujuh lagi pusat pemindahan banjir akan dibuka berikutan jumlah mangsa banjir akan bertambah menjelang lewat petang ini.
Dalam pada itu, beberapa kawasan rendah di sekitar kawasan Kangar, Arau dan Padang Besar semakin dinaiki air akibat hujan yang berterusan bermula pada Sabtu malam lalu sehingga hari ini. - Utusan

Ejen penipu beri harapan palsu




TAWARAN kerja di negara luar mungkin menarik, namun adakalanya penuh dengan penipuan.


KUALA LUMPUR – Kadar tukaran mata wang asing yang tinggi menjadi satu daya penarik yang kuat kepada rakyat negara ini untuk memilih bekerja di negara asing.
Bayangkan, menjadi pengawal keselamatan di Singapura umpamanya, gaji yang ditawarkan mampu mencecah RM4,000.
Pastinya ia satu jumlah imbuhan bulanan yang sukar diperoleh di negara ini.
Berdasarkan satu kajian oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan kerjasama Universiti Boston, Amerika Syarikat, dianggarkan seramai 785,000 warga Malaysia tinggal dan bekerja di luar negara terutamanya di Singapura sehingga awal tahun lalu.
Ia diikuti oleh negara-negara seperti Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Jepun dan Korea.
Faktor upah mungkin satu daya penarik yang kuat, namun bukan semuanya indah belaka jika memilih untuk bekerja di negara asing.
Tarikan itu menjadikan ramai dari kalangan rakyat Malaysia mangsa penipuan oleh ejen-ejen pencarian kerja.
Penduduk di sekitar Johor, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur antara yang paling ramai tertipu dengan ejen-ejen yang menjanjikan ‘bulan dan bintang’ untuk bekerja di negara luar.

Pitam lihat rumah dilanda ribut




BEGINILAH keadaan rumah Maznah selepas dilanda ribut di Kampung Padang, Pengkalan Balak, Masjid Tanah semalam.


ALOR GAJAH – Seorang suri rumah yang hendak mengerjakan solat Asar, pitam apabila rumah yang didiami dipukul ribut di Kampung Padang, Pengkalan Balak disini semalam.
Nasib baik dalam kejadian pukul 4.50 petang itu, suri rumah tersebut, Maznah Abdul, 42, dan dua anaknya yang berada di halaman rumah tersebut tidak mengalami kecederaan.
Cerita Maznah, sebelum ribut selama 10 minit itu berlaku, dia sedang berada di dalam bilik air untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat Asar.
‘’Ketika berada di dalam bilik air, saya terdengar bunyi deruan angin kuat serta dentuman kuat tetapi bukan dentuman petir,’’ ceritanya ketika ditemui semalam.
Kata Maznah, belum pun sempat selesai wuduk, tiba-tiba anak bongsunya, Zairi Zulkifli, 9, memanggilnya dalam keadaan cemas.
Cemas dengan panggilan anaknya itu, Maznah kemudian terus keluar dari bilik air dan terus ke bahagian belakang rumah.
‘’Selepas keluar, saya pitam sebentar melihat keadaan rumah yang musnah teruk dengan kepingan atap bertaburan terutama di bahagian ruang tamu.
‘’Syukur anak saya yang sedang bermain di belakang rumah tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut,’’ katanya lagi.

Hilang 3 anak serentak

5 maut nahas. - Foto Nojie Nadzirah

SETIU: “Walaupun terkejut dan berat untuk terima kenyataan kehilangan tiga anak dan seorang cucu serentak, saya reda dengan ketentuan Tuhan yang mengambil mereka bersama.
“Kalau diikutkan rasa sedih, masih belum terubat kepiluan hati apabila suami meninggal 10 bulan lalu dan ibu pula tiga bulan lepas, semua ini datang bertimpa-timpa,” kata Zabedah Teh, 49.

Menurut suri rumah yang tinggal di Kampung Bukit China, Besut, tiga anaknya, Noorazdy Yelwy Sidek, 32; Noorazry Elmy Sidek, 29, dan Noorafzan Efizalman Sidek, 16, serta cucunya, Nor Amisya Maisarah, 1, keluar dari rumah kira-kira jam 10 pagi dan hanya memberitahu ingin mencari ikan di Penarik, di sini.

Katanya, apa yang membuatkan dia terkilan, hasrat Noorazdy Yelwy mahu menemaninya belajar memandu kereta tidak kesampaian apabila Proton Wira dipandu anaknya itu terbabit kemalangan berkenaan.

“Lebih membuatkan saya ralat, anak sulung saya yang bekerja di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu sanggup mengambil cuti semata-mata mahu menemani saya memandu kereta,” katanya.

Menurutnya, beberapa jam selepas anaknya keluar ke Penarik, anggota polis datang ke rumahnya dan ketika itu dia berasa tidak sedap hati dan memikirkan kemungkinan perkara buruk terjadi.

Merapi muntahkan lebih banyak asap, debu

UMBULHARJO: Gunung berapi paling aktif Indonesia yang meragut sekurang-kurangnya 36 nyawa minggu lalu memuntahkan lebih banyak asap dan debu semalam, sekali gus mencetuskan suasana cemas di kalangan penduduk tempatan.
Pegawai di pejabat gunung berapi di Yogyakarta, Jawa Tengah, Aziz berkata, asap dan debu panas mengalir lagi dari kawah Gunung Merapi kira-kira jam 3 petang (4 petang waktu Malaysia).

Seorang lagi pegawai pejabat berkenaan yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari puncak gunung itu berkata, asap dan debu panas itu mengalir sejauh 3.5 kilometer di lereng bahagian selatan.

Berpuluh-puluh penduduk kampung yang ketakutan bergegas meninggalkan Kampung Umbulharjo, 12 kilometer dari puncak gunung.

Ratusan penduduk meninggalkan kampung masing-masing apabila gunung itu bergegar kuat awal Sabtu lalu, menyebabkan suasana cemas apabila mereka berebut-rebut untuk menyelamatkan diri kerana bimbang kemungkinan ia meletup seperti minggu lalu.

Lapangan terbang bandar raya itu masih dibuka tetapi sekurang-kurangnya satu penerbangan memindahkan penerbangannya ke Solo, bandar raya bersebelahan.
“Kerana masalah keselamatan, semua penerbangan dan pendaratan dilakukan di lapangan Terbang Solo sejak semalam (kelmarin). “Lapangan terbang Yogyakarta dilitupi debu yang boleh menyebabkan ia memasuki dan mematikan enjin,” kata Pudjobroto, jurucakap Syarikat Penerbangan Garuda. - AFP

22 cedera serangan pengebom bunuh diri





2010/11/01

ISTANBUL: Seorang pengebom bunuh diri meletupkan bom berhampiran polis yang bertugas di dataran utama Istanbul semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang cedera, termasuk 10 anggota polis. 

Ketua polis Istanbul, Huseyin Capkin, berkata pengebom terbabit cuba untuk masuk ke sebuah van polis yang diletakkan berhampiran, tetapi gagal dan meletupkan bom di luar kenderaan terbabit. Polis rusuhan ditempatkan di Dataran Taksim itu bagi menjaga keselamatan sekiranya berlaku demonstrasi.
Sekurang-kurangnya 10 anggota polis dan 12 orang awam cedera dalam serangan itu, kata gabenor Istanbul, Huseiyn Avni Mutlu.
Huseiyn berkata, sekurang-kurangnya dua daripada mangsa cedera berada dalam keadaan serius. 

“Insiden ini dalam siasatan. Ia kejadian pengeboman bunuh diri,” kata Huseiyn kepada pemberita sambil menambah bahawa pengebom terbabit turut berkecai. 

Huseiyn berkata, skuad pengebom menemui lebih banyak peralatan di tempat kejadian dan cuba mematikan bahan letupan terbabit. 

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan yang berlaku ketika bandar raya terbabit bersiap sedia menyambut perarakan Hari Republik yang biasanya dirancang pada Jumaat, tetapi ditangguhkan berikutan hujan lebat. 
Pemisah Kurdis yang berjuang mendapatkan kuasa autonomi di tenggara Kurdis melakukan beberapa serangan pengeboman bunuh diri sebelum ini. 

Polis menutup semua laluan menuju ke dataran terbabit, manakala pasukan forensik mencari bahan berkecai dan bukti lain. – AP

Suspek wanita kiriman bom dari Yaman dibebaskan





2010/11/01

SANAA: Pihak berkuasa Yaman semalam membebaskan suspek wanita yang dikaitkan dengan kiriman dua bungkusan mengandungi bom yang dijumpai di dalam pesawat Amerika Syarikat. 

Ini kerana siasatan pihak polis Yaman mendapati wanita yang juga seorang pelajar perubatan itu menjadi mangsa apabila identitinya digunakan orang lain.
Kerajaan, syarikat penerbangan dan pihak berkuasa penerbangan di seluruh dunia diletakkan dalam amaran berjaga-jaga selepas bom berkenaan dipintas di Dubai dan Britain, pada Jumaat lalu.
Polis Yaman menahan pelajar perubatan berkenaan yang dipercayai berusia 20-an, kelmarin selepas mengesannya menerusi nombor telefon yang ditinggalkan di syarikat kargo. 

Namun apabila ejen perkalan dipanggil untuk mengenal pasti suspek berkenaan, ejen berkenaan mengakui wanita itu bukan orang sebenar, kata pegawai Yaman. 

"Justeru, pihak berkuasa menyimpulkan bahawa ini adalah kes mencuri identiti oleh individu yang mengetahui nama penuh suspek wanita ini, termasuk alamat dan nombor telefonnya," katanya. 

Sementara itu, berpuluh penuntut berkumpul di pekarangan Fakulti Kejuruteraan di Universiti Sanaa yang mahu penuntut wanita berkenaan dibebaskan. - Reuters

Bayi tercampak nahas dalam hujan



Oleh Nojie Nadzirah
bhkt@bharian.com.my
2010/11/01

ORANG ramai melihat  Proton Wira dan van yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan lima terbunuh  di kilometer 67.7 Jalan Permaisuri di Kampung Nyatoh, Setiu, Terengganu, semalam.
ORANG ramai melihat Proton Wira dan van yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan lima terbunuh di kilometer 67.7 Jalan Permaisuri di Kampung Nyatoh, Setiu, Terengganu, semalam.
4 dalam perjalanan beli ikan maut kereta rempuh van 

PERMAISURI: Lima terbunuh termasuk empat sekeluarga dalam nahas membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan van di Kilometer 67.5 Jalan Permaisuri-Penarik berhampiran Kampung Nyatoh di sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian pada jam 1.30 tengah hari itu, pemandu van Mustafa Zulkarnain, 45, dan isterinya parah manakala 10 lagi penumpang kenderaan itu cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid berkata, tiga sekeluarga itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayi berkenaan yang tercampak keluar dari Proton Wira meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital sama pada jam 6.15 petang semalam. 

Katanya, mangsa terbunuh berasal dari Kampung Bukit China Besut iaitu pemandu Proton Wira, Noor Azyd Helmi Sidek, 32, dan dua adiknya, Noor Azri Helmi, 29; Noor Efiza Helmi, 16, serta anak Noor Azyd, Noor Amysha Maisarah, 1. 

Mangsa kelima dari Cherang Melintang Besut, Mek Wook Yaakob, 76, parah di kepala dan badan, meninggal dunia tiga jam selepas mendapat rawatan di Hospital Setiu. 

Katanya, nahas berlaku dalam keadaan cuaca buruk dan jarak penglihatan terhad kerana hujan berterusan sejak pagi pada permulaan musim tengkujuh di Pantai Timur tahun ini. 
“Siasatan awal mendapati kereta Proton Wira menghala ke Permaisuri dari Kuala Terengganu terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh van, ” katanya. 

Katanya, keluarga dalam Proton Wira mahu ke Penarik, Setiu untuk membeli ikan segar daripada nelayan yang baru pulang ke pangkalan pada sebelah petang manakala keluarga dalam van itu dalam perjalanan dari Besut untuk menziarah saudara mereka yang sedang dirawat di Hospital Dungun. 

Katanya, polis masih menyiasat punca kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Idi Irwan Irwadi Alias, di Unit Trafik Cawangan Setiu di talian 09-6098222 atau 019-5465474.

Hantar surat bantahan




KUANTAN – Penduduk Kampung Baru Gambang dekat sini menghantar surat bantahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerana membantah pembinaan sarang burung walit. 

Surat bantahan itu disampaikan sendiri oleh penduduk berkenaan kepada Yoong Fook Siong di Dewan Serbaguna Kampung Baru. 

Penduduk terbabit mendakwa sarang burung walit itu semakin banyak di kawasan mereka yang boleh mengakibatkan penyakit serta bau yang tidak menyenangkan jika dibiarkan. 

“Kami tidak mahu berjiran dengan burung walit kerana bimbang kawasan ini akan dicemari virus itu,” kata mereka ketika membuat bantahan di perkarangan dewan itu semalam. 

Selain itu, ada juga penduduk yang mendakwa pembinaan sarang burung yang tumbuh semakin banyak di kawasan perumahan itu boleh mengganggu ketenteraman penduduk setempat. 

Dalam bantahan kira-kira sejam itu juga, penduduk mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau kewujudan burung walit. 

“PBT sepatutnya pantau dan ambil tahu kawasan ini dihuni penduduk. Penternak burung juga tidak boleh sewenang-wenangnya diberi kebenaran membina sarang di sini,” kata mereka yang mahu PBT segera bertindak. 

Difahamkan PBT sebelum ini menetapkan beberapa peraturan yang membolehkan pengusaha burung walit menjalankan kegiatan mereka tanpa mengganggu penduduk setempat.

32 cedera serangan bom berani mati di tengah Istanbul





2010/11/01

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 32 cedera apabila seorang pengebom berani mati menyerang sebuah balai polis di dataran awam yang sesak dengan pelancong dan orang membeli-belah di tengah ibu negara Istanbul, semalam. 

Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan bom berkenaan, tetapi pihak berkuasa berkata, bandar raya itu menjadi sasaran kumpulan pemisah Kurdish dan rangkaian al-Qaeda serta militan berhaluan kiri Turki.
Ketua Polis Istanbul, Huseyin Capkin, berkata seorang lelaki memasuki balai polis berkenaan sebelum meletupkan dirinya.
Siaran televisyen menunjukkan sebaik letupan berlaku, polis melepaskan tembakan amaran dengan orang ramai yang panik bergegas menyelamatkan diri. 

Seramai 15 anggota polis dan 17 orang awam cedera dalam serangan yang berlaku jam 10.40 pagi waktu tempatan di Dataran Taksim itu. 

Gabenor Istanbul, Huseyin Avni Mutlu memberitahu pemberita, daripada jumlah itu hanya sembilan mangsa yang kebanyakannya anggota polis dirawat di hospital. 

Dataran Taksim menjadi tumpuan pelancong dan menjadi hub pengangkutan. Ia kawasan yang dipenuhi dengan rangkaian restoran, kedai dan hotel yang menjadi nadi Istanbul. - Reuters

Kereta disimbah asid

KAJANG: Berang kegiatan mereka kerap ditumpas pihak berkuasa, sindiket pengedaran cakera padat digital (DVD) cetak rompak sanggup bertindak jahat mencurahkan asid pada kereta milik seorang pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),
Tidak cukup dengan itu, konco sindiket berkenaan yang menyelinap ke dalam bangunan menempatkan pejabat KPDNKK cawangan Kajang, turut memecahkan cermin belakang kereta terbabit sebelum melarikan diri. Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan KPDNKK Putrajaya, Iskandar Halim Sulaiman, berkata, kejadian itu berlaku jam 2.30 petang Jumaat lalu, ketika kereta pegawai terbabit diletakkan di tingkat dua, Menara Axis, di sini.

Loceng penyelamat



GEORGETOWN- Tindakan pantas seorang pengawal keselamatan membunyikan loceng kecemasan berjaya menyelamatkan deretan kereta yang diletakkan di kawasan lapang di Pinang Court 2, Sungai Pinang, dekat sini, malam kelmarin. 

Deringan loceng kecemasan itu menyedarkan penghuni di rumah pangsa itu yang terus menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan. 

Menurut Penyelia Operasi Pasukan Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Abdul Hamid Osman, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.54 malam dan bomba tiba di tempat kejadian enam minit kemudian. 

“Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada sebuah kereta jenis Mitsubishi berwarna putih yang terbakar dan akibat angin kencang, api telah menyambar sebuah lori tiga tan yang diletakkan di sebelah kereta terbabit. Lori itu mempunyai muatan barangan kitar semula di bahagian belakangnya.

“Api dapat dikawal lima minit kemudian dan padam sepenuhnya kira-kira jam 11.15 malam dalam keadaan angin kencang. Kereta itu tidak dapat diselamatkan manakala lori tiga tan itu terbakar 50 peratus dan muatan dibelakangnya musnah. Punca dan kerugian masih dalam siasatan. Pemilik kedua-dua kenderaan itu tidak dapat dikenalpasti dipercayai tidak berada di rumah ketika kejadian,” katanya.

Saksi yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia yang hendak tidur terdengar bunyi hon kereta di kawasan letak kereta dan setelah melihat melalui tingkap rumahnya, dia mendapati ada kenderaan terbakar di kawasan lapang terbabit.

“Ketika itu saya hanya mampu berlari keluar rumah dan menjerit kepada jiran-jiran supaya selamatkan kereta masing-masing kerana bimbang perkara yang tidak diingini berlaku ke atas kenderaan mereka pula,” katanya di tempat kejadian.

Sebanyak tujuh anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba Jalan Perak dan 21 anggota Bomba Sukarela dari Paya Terubong, Sri Tanjong, Bukit Bendera dan Pulau Tikus telah dikejarkan ke tempat kejadian.

2 maut 8 cedera parah




SERI MANJUNG - Dua maut, manakala lapan cedera parah apabila terlibat dalam tiga kemalangan berasingan di sini, antara tengah hari dan malam tadi. 

Timbalan Ketua Polis Manjung, Deputi Superintendan Shaharudin Abdullah berkata, tiga kejadian itu berlaku antara jam 12.10 malam hingga 11.50 pagi kelmarin. 

Katanya, kemalangan pertama berlaku di Kilometer 10 Sitiawan-Ipoh melibatkan sebuah motosikal Honda EX5 dengan sebuah treler menyebabkan penunggang motosikal maut di tempat kejadian. 

Menurutnya, motosikal yang ditunggang lelaki berusia 29 tahun itu dikenali sebagai K. Suntararesan menemui ajal selepas merempuh belakang treler yang diletakkan di bahu jalan. 

Difahamkan kawasan kemalangan itu gelap dan tiada lampu jalan sehingga menyukarkan penunggang motosikal melihat bahagian hadapan. 

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala itu berasal dari Taman Ayer Tawar dekat sini, dan mayatnya dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, kata Shaharudin, satu lagi kejadian kemalangan berlaku menyebabkan lapan penumpang sebuah van nyaris maut apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1 Teluk Dalam, Pulau Pangkor. 

Katanya, kejadian berlaku pada jam 9.15 pagi kelmarin apabila semua penumpang berusia antara 19 hingga 24 tahun itu datang ke Pulau Pangkor untuk bercuti dan menyewa van ke Teluk Dalam. 

Menurutnya, kejadian itu berlaku apabila pemandu van berusia 24 tahun gagal menekan brek ketika menuruni bukit menyebabkan kenderaan dipandunya merempuh bukit. 

Shaharudin berkata, satu lagi kemalangan berlaku di Kilometer 7 Sitiawan - Lumut menyebabkan seorang pemandu lori maut dalam perjalanan ke HSM untuk menerima rawatan. 

Kejadian itu katanya, berlaku pada jam 11.50 pagi kelmarin apabila sebuah lori lapan tan yang rosak terbalik dengan keadaan semua tayar ke atas. 

Menurutnya, lori yang dipandu mangsa, R Devasakayam, 52, berhenti di bahu jalan disebabkan kerosakan pada enjin dan mangsa turun untuk memeriksa. 

“Dalam masa sama, sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 31 dari arah Sitiawan ke Ipoh melanggar belakang lori berkenaan menyebabkan mangsa yang ketika itu berada di hadapan lori mengalami kecederaan parah di kepala, manakala pemandu treler cedera ringan di kaki akibat tersepit. 

“Dua kes maut itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1), manakala kes di Pulau Pangkor disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 1999,” katanya.

Keadaan tenang selepas letusan terbesar


 

YOGYAKARTA - Seramai ratusan ribu penduduk mula kembali ke rumah masing-masing yang terletak di sepanjang lereng gunung Merapi dan seterusnya meredakan perasaan takut mereka berikutan kejadian letusan gunung Merapi terbesar pada minggu lalu. 

Bagaimanapun, para saintis memberi amaran bahawa gunung berapi itu mungkin akan meletus lagi pada bila-bila masa. 

Di bahagian kepulauan Mentawai, bantuan dihantar kepada mangsa-mangsa yang terselamat dalam kejadian tsunami yang turut mengorbankan 449 orang pada minggu lalu dan usaha menghantar bekalan dijangka diteruskan berikutan keadaan cuaca yang bertambah baik. 

Gunung Merapi meletus lagi selama 21 minit kelmarin, sekali gus, memaksa penutupan sementara di lapangan terbang berdekatan dan menyebabkan seorang wanita yang menunggang motosikal terkorban semasa pemindahan penduduk pada saat-saat akhir dilakukan.

Punggung lebam



KUALA SELANGOR - Seorang murid Tahun Satu sebuah sekolah di sini mengadu trauma dan enggan ke sekolah selepas mendakwa dirotan guru gara-gara insiden perselisihan faham dengan beberapa rakan sekolah. 

Tindakan berang guru terbabit pada Jumaat lalu menyebabkan mangsa mengalami lebam pada bahagian kiri punggungnya. 

Bapa murid terbabit, Mohd Azman Md Nordin, 32, berkata, anak sulungnya mendakwa dipukul oleh seorang guru selepas berlaku perselisihan faham kecil melibatkan beberapa rakan sekelasnya. 

“Pada mulanya, saya tidak tahu bahawa kejadian tersebut kerana dia (anaknya tidak menceritakan kepada saya atau ahli keluarga dia dirotan gurunya sehinggalah saya mendesaknya memberitahu kenapa bahagian kiri punggungnya lebam ketika saya hendak memandikannya sebelum bersiap ke masjid untuk solat Jumaat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di Bukit Rotan di sini. 

Mohd Azman berkata, sebelum anaknya ke sekolah, tiada sebarang kesan lebam pada bahagian tersebut malah, ibunya juga mengaku tidak ada merotan atau memukulnya. 

“Saya ada tanya pada isteri ada pukul dia atau tidak, dia kata tidak ada, kemudian, barulah anak beritahu sewaktu di sekolah, salah seorang guru ada memukulnya kerana ada berlakunya sedikit perselisihan faham dengan rakan sekelasnya,” katanya. 

Menurutnya, anaknya takut untuk menceritakan perkara tersebut lebih awal kerana bimbang dimarahi. 

“Bagi saya, tidak salah kalau guru itu ingin membuat hukuman terhadap anak saya yang melakukan kesilapan. 

“Tetapi tidak wajarlah dia diberikan hukuman dengan memukul anak saya malah, menyebabkan ada kesan lebam dengan usianya itu yang masih muda,” katanya. 

Menurutnya, dia sudah membuat laporan polis dan serahkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan lanjut. 

“Saya difahamkan juga, sekolah tersebut pernah juga ada berlaku kes yang sama seperti ini. 

“Anak saya sekarang ada menyatakan tidak mahu lagi pergi ke sekolah kerana seolah-olah fobia apabila terlihat guru tersebut,” katanya. 

Sementara itu, murid tersebut ketika ditanya mengenai perkara tersebut berkata, ketika kejadian dia sedang membuat kerja sekolah di kelas sebelum diejek beberapa rakan lain hingga mencetuskan perselisihan faham. 

“Kemudian, saya dan rakan tersebut dipanggil oleh guru dan dipukul oleh guru. 

“Saya dipukul sebanyak tiga kali di dalam bilik guru, namun tidak ingat objek apa yang digunakan,” katanya. 

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada bapa murid terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.