Search This Blog

Saturday, October 30, 2010

Ops Sayang: 24 GRO ditahan



30/10/2010 5:26pm

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Johor menahan 24 wanita pelayan pelanggan (GRO) dan tiga lelaki, semuanya warga Filipina dalam satu operasi di sebuah pusat hiburan di Permas Jaya di sini, awal pagi ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasa, Masri Adul berkata, semua mereka yang berumur antara 20 dan 31 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 39(b), Akta Imigresen 1959/1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial untuk berkerja di Malaysia, dan mereka ditahan dalam 'Ops Sayang' yang bermula dari pukul 1 pagi.
"Kami juga menahan seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pemilik pusat hiburan itu bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Operasi itu disertai 33 anggota penguatkuasa dan pegawai jabatan imigresen. - Bernama

Terserempak harimau kumbang




SAIBUN menunjukkan perangkap yang dipasang untuk menangkap harimau kumbang (gambar kecil) di Rancangan Tanah Pinggir Bayas, Jitra semalam.


JITRA – Seramai 100 penoreh getah di Rancangan Tanah Pinggir Bayas di sini gempar apabila kebanyakan mereka mendakwa terserempak dengan seekor harimau kumbang bersama anaknya semasa menoreh getah baru-baru ini.
Harimau berkenaan didakwa muncul seawal pukul 5 pagi ketika kumpulan penoreh itu berada di ladang getah menjalankan kerja-kerja menoreh.
Seorang penoreh, Siti Fatimah Wahab, 52, mendakwa telah terserempak dengan harimau berkenaan ketika sedang menoreh bersama suaminya, Ahmad Saad, 82.
“Saya pasti, binatang tersebut adalah harimau kumbang dan bukan anjing kerana matanya berwarna merah dan mempunyai ekor yang panjang.
“Saya terserempak harimau tersebut pada pukul 11 pagi sedang duduk di atas pokok bersama anaknya sambil mengaum pada jarak kira-kira 10 meter dari tempat saya berdiri,” katanya.

Lelaki maut dirempuh rakan




ANGGOTA polis mengangkat mayat Boon Huat yang terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Terowong Menora di Ipoh semalam.


IPOH – Seorang peserta konvoi dari Kuala Lumpur ke Betong, Thailand maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang dirempuh motosikal rakannya sebelum terbakar di Kilometer 262.7, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Terowong Menora di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.47 pagi itu, mangsa, Robert Lim Boon Huat, 52, yang menunggang motosikal KTM 990 dikatakan bergesel dengan cermin sisi kanan sebuah lori muatan ais yang secara tiba-tiba masuk ke lorong kanan.
Ketua Trafik Daerah Ipoh, Deputi Supritendan, Rodzi Rejab berkata, akibat kejadian, Boon Huat yang berasal dari Taman Desa, Kuala Lumpur terjatuh di atas jalan.
“Pada masa yang sama motosikal jenis BMW GS1200 yang ditunggang rakannya, Cheng Ten Siong dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang lori dan merempuh pula motosikal Boon Huat menyebabkan kedua-dua motosikal itu terbakar,” katanya.

7 terkorban nahas bas terbalik




MAYAT-MAYAT mangsa yang terkorban selepas sebuah bas persiaran dinaiki mereka terbalik di Kilometer 36, Lebuh Raya Karak dekat Genting Sempah malam tadi.


KUALA LUMPUR – Tujuh orang terkorban manakala 39 lagi cedera apabila sebuah bas ekspres membawa anggota Belia 4B dari Kampung Siong, Baling, Kedah terbalik di Kilometer 36, Lebuh Raya Karak dekat sini malam tadi.
Tujuh mangsa yang terkorban ialah Mohammad Yusof Akhif, 16, Mohd. Ridzuan Husin, 17, Muhd. Fahmi Abdullah Mustapha, 17, Mohd. Firdaus Rosedi, 16, Mohd. Amirul Mohamad Isa, 13, Mohd. Khairi Masuki, 14, dan Mohd. Zaidi Mohd. Sufian, 28. Mohd. Zaidi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang.
Penolong Penguat Kuasa Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail berkata, semasa kemalangan pada pukul 7.40 malam, penumpang bas persiaran itu dalam perjalanan turun dari Genting Highlands selepas bermalam di pusat peranginan itu semalaman.
“Bas itu dikatakan cuba mengelak sebuah kereta Mercedes yang didakwa cuba memotongnya sebelum terbabas ke kanan jalan lalu terbalik,” kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Perlis dilanda puting beliung



IMEJ puting beliung yang dirakam oleh seorang pemandu di Jalan Kangar-Arau kelmarin.

KANGAR – “Saya dengar bunyi menderu serta lihat macam ada benda putih di luar rumah dan dalam sekelip mata pintu hadapan rumah saya pecah manakala bumbung diterbangkan angin.”
Demikian cerita Rohana Abdul Rahman, 52, ketika menghadapi detik-detik cemas ‘serangan’ puting beliung yang merosakkan rumahnya di Taman Sri Lancang di sini lewat petang kelmarin.
Dalam kejadian itu, lebih 30 buah rumah rosak di lima buah kampung di sini akibat pusaran angin puting beliung tersebut yang dikesan bermula dari arah Arau sebelum menuju ke arah Kangar dan membadai rumah-rumah, pokok serta kenderaan.
Kawasan yang terlibat ialah di Kampung Pulau Jejawi, Kubang Gajah, Alor Lancang, Padang Petani dan Taman Sri Lancang melibatkan 1,200 penduduk.
Rohana berkata, ketika kejadian, dia berada seorang diri di rumah dan terdengar bunyi bising serta rumahnya bergegar.
“Saya sendiri nampak puting beliung itu menuju ke rumah saya menyebabkan bumbung tercabut dan merosakkan pintu kaca serta pagar rumah.
“Ketika itu saya sangat takut sebab berada seorang diri di rumah, mujurlah saya tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya yang tinggal bersama suami dan seorang anak perempuan, Raja Raine Shasha Raja Shariman, 30, kakitangan Universiti Malaysia Perlis.

JPJ sahkan pemandu bas tidak mempunyai lesen



SUBANG JAYA - Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Sureth Singh berkata jabatan itu sedang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) bagi menyiasat punca kemalangan tersebut.

Katanya, siasatan itu dijangka dapat diketahui dalam masa dua hingga tiga minggu lagi kerana memerlukan siasatan terperinci, dan hasil keputusan tersebut akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya akhir November.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Deepavali dan sudut pameran Persatuan Automobil Malaysia (AAM) di Galeri "Malaysia Unite For Road Safety" (Mufors) di Restoran Jejantas USJ Elite di sini hari ini.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pengangkutan Datuk Kamaruzaman Mohd Noor.

Sureth Singh berkata: "Kita akan meneliti semua aspek, termasuk mengambil contoh darah jika diperlukan, dan kita juga akan bertanya kepada pemandu dan penumpang (mengenai kejadian itu) sebelum membuat keputusan."

Beliau juga meminta media massa tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kemalangan tersebut sebelum hasil keputusan mengenainya dikeluarkan oleh Miros.

Ada ‘Double Standard’ dalam kerajaan: Dr Jeyakumar



KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj memfailkan saman terhadap tiga respondan iaitu Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Perak dan Kerajaan Malaysia kerana tidak menyalurkan peruntukan untuk pembangunan sekitar Sungi Siput. 

Saman itu difailkan melalui firma guaman Srinivasan & Co di Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini, semalam. 

Pada 29 Mei 2009, Jeyakumar mengemukakan permohonan bertulis agar sebahagian daripada Peruntukan Khas Perdana Menteri bagi tahun itu digunakan untuk perbelanjaan yang disarankann beliau sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawap di Sungai Siput. Bagaimanapun, permohonan itu ditolak walaupun Dewan Rakyat ada dinyatakan bahawa sejumlah antara RM1 juta dan RM2 juta diperuntukkan setiap tahun untuk projek kecil bagi setiap kawasan. 

“Hari ini kita memfailkan saman mengatakan cara respondan mengagihkan peruntukan itu tidak betul, kerajaan mesti telus, mesti bagi kepada semua ahli Parlimen melalui prosedur yang betul dan mesti ada satu senarai bagaimana duit ini digunakan di setiap kawasan supaya semua ahli Parlimen dapat mengagihkan kepada yang memerlukan secara adil,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah. 

Jeyakumar berkata, awal tahun ini beliau mendapat satu surat daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perak mengatakan mereka meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 juta untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Shing Chung, PIBG Methodist dan Asrama Anak Yatim Nurul Ihsan, Talang Tengah. 

Namun beliau yang juga ahli Parlimen dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) kesal kerana pihak terbabit memberitahu kepada beliau bahawa peruntukan yang dijanjikan itu tidak pernah diterima. 

“Oleh itu, ke mana wang yang dijanjikan ini? berkemungkinan ada pihak tertentu menyalahgunakan peruntukan ini, saya mahu tindakan undang-undang diambil terhadap pihak kerajaan yang jelas mengamalkan ‘double standard’ terhadap ahli Parlimen pembangkang,” katanya lagi.

Nampak kepala rakan tercabut di hadapan mata




BENTONG – Nasib tidak menyebelahi 44 belia dari Persatuan Belia 4B Kampung Siong, Baling apabila terlibat dalam kemalangan yang berlaku lewat petang semalam. 

Kejadian berlaku di Kilometer 38 Lebuhraya Karak – Kuala Lumpur apabila rombongan terbabit bersama seorang pemandu bas dan pemandu kedua dalam perjalanan turun dari Genting Highlands. 

Seorang mangsa yang cedera ringan, Abdul Hafiy Suhaimi, 20, berkata, mereka semua dalam rangka lawatan 3 hari 2 malam melibatkan lawatan ke Genting Highlands dan Kuala Lumpur. 

Menurutnya, mereka bertolak dari Baling kira-kira jam 11 malam dan sampai di Genting Highlands kira-kira jam 4.00 pagi kelmarin. 

“Selepas seharian bermain dan bergembira di sana, kami semua menaiki bas turun kira-kira jam 7.00 petang di mana menurut perancangannya kami akan singgah bersembahyang di Gombak. 

“Semasa menuruni bukit, bas berada dalam keadaan laju dan secara tiba-tiba, pemandu bas memaklumkan, terdapat masalah brek,” katanya kepada Sinar Harian. 

Abdul Hafiy berkata, selepas dimaklumkan mereka semua diminta berjaga-jaga dan dalam masa sama mengejutkan rakan-rakan yang tidur. 

Menurutnya, keadaan bas yang laju menyebabkan keadaan terumbang-ambing sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terbalik. 

“Pada masa itu saya hanya mampu beristighfar dan dalam keadaan cemas itu, rakan-rakan cuba membantu antara satu sama lain. 

“Ketika menyelamatkan diri saya nampak ada rakan-rakan yang tidak bernyawa dan saya ternampak salah seorang rakan tercabut kepalanya,” katanya. 

Abdul Hafiy berkata, walaupun sedih melihat rakan-rakan yang tidak terselamat namun dia bersyukur kerana terselamat dan hanya cedera ringan. 

Sementara itu, Saiful Idham, 14, berkata, ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidup kerana melihat enam rakan meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di hadapan mata. 

Menurutnya, walaupun pertama kali mengunjungi pusat peranginan Genting Highlands namun ia menjadikan dia fobia untuk berkunjung ke situ lagi akibat nahas yang berlaku. 

“Rakan-rakan yang meninggal dunia tidak menunjukkan perubahan ketara semasa kami semua bergembira di Genting Highlands. 

“Walaupun ketika kejadian saya cuba membantu rakan-rakan lain namun ada juga yang tidak dapat diselamatkan,” katanya sedih. 

Saiful yang cedera di bahagian kaki berkata, dia sudah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga di Baling.

Ibu maut dirempuh ketika melintas



29/10/2010 7:47pm

KUANTAN – Seorang ibu maut, manakala anak dan rakannya cedera dirempuh kereta ketika mereka cuba melintas jalan di Jalan Kuantan-Pekan dekat Tanjung Lumpur di sini pagi tadi.
Sebuah kereta jenis Proton Satria yang dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kempadang di sini dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan dan merempuh ketiga-tiga mangsa yang sedang berdiri di atas pembahagi jalan tersebut.
Rosiah Wahab, 27, meninggal di tempat kejadian dalam kemalangan 10.40 pagi itu, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Zulkifli Taha.
Beliau berkata, mangsa terseret hingga ke tepi jalan, manakala bayinya yang berusia 14 bulan yang didukungnya tercampak ke tengah jalan dan cedera ringan, sementara rakan mangsa yang berusia sekitar 20-an cedera pada lutut.
Pemandu kereta itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Anak Krakatau pula makin aktif

BANDAR LAMPUNG: Aktiviti gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda dikesan semakin meningkat sejak awal minggu ini dan tidak boleh didekati dalam lingkungan tiga kilometer.
Pegawai Balai Pemuliharaan Alam Sekitar Krakatau, Wawan Setianto, berkata aktiviti itu semakin ketara beberapa hari lalu.

“Jika dulu 20 kali sehari, kini gegaran di gunung berapi itu meningkat kepada 35 kali.



“Debu yang keluar dari puncaknya kelihatan semakin tinggi sehingga satu kilometer dan status kini ditingkatkan kepada berjaga-jaga,” katanya, semalam. - Agensi

Tragedi balik bercuti

MALANG...bas yang terbalik di susur masuk ke Genting Highlands.

MALANG...bas yang terbalik di susur masuk ke Genting Highlands.
MALANG...anggota bomba mengangkat seorang mangsa yang terbunuh.
MALANG...anggota bomba mengangkat seorang mangsa yang terbunuh.

GOMBAK: Tujuh maut manakala 38 cedera, 20 daripadanya parah selepas sebuah bas rombongan dari Kampung Baru, Mukim Siong, Baling, Kedah terbabas sebelum terbalik berhampiran terowong Genting Sempah, Kilometer 36, Lebuhraya Karak di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, bas yang membawa 44 orang termasuk dua pemandu dalam perjalanan turun dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kerosakan brek sebaik bas menuruni susur keluar ke lebuh raya.



Katanya, sebaik tiba berhampiran terowong itu, bas berkenaan tiba-tiba gagal dikawal lalu melanggar penghadang tengah jalan sebelum terbaring merintangi jalan.


“Tujuh mangsa yang maut akibat tersepit dan mayat mereka dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL). Mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Bentong dengan ambulans. Dua pemandu bas berkenaan juga terselamat,” katanya.

Enam mangsa yang terbunuh ialah Muhammad Yussof Akhit, 16; Muhammad Khairi Muhammad Marzuki, 14; Muhammad Firdaus Rosedi, 16; Mohd Ridzuan Husin, 17; Mohd Fahmi Abdul Mustaffa, 17 dan Muhamad Amirul Mohamad Isa, 13, dan Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28.

Seorang lagi mangsa terbunuh dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan identitinya belum dikenal pasti.

Che Husin berkata, enam jentera bomba turut dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa tersepit.

Sementara itu, Setiausaha Umno Baling, Mohamad Sani Mahmud berkata, rombongan itu ke Genting Highlands bercuti. Mereka bertolak dari Baling malam kelmarin dan ketika kejadian dalam perjalanan pulang.

Katanya, mereka dipilih di kalangan penduduk berusia 20-an untuk bercuti.

“Kami terkejut kejadian itu dan kini menguruskan jenazah untuk dibawa ke Baling bagi dikebumikan,” katanya

Tiada jaminan amaran tsunami berkesan

KEPULAUAN MENTAWAI: Walaupun perbelanjaan besar dikeluarkan untuk memasang sistem amaran tsunami di seluruh Asia sejak 2004, ia gagal menyelamatkan ramai penduduk kampung pedalaman di Indonesia minggu ini.
Sistem amaran itu memang efektif bagi penduduk yang tinggal jauh dari tempat tsunami melanda tetapi sebaliknya sering gagal di tempat paling berisiko.

Apabila tsunami melanda Isnin lalu, timbul persoalan sama ada sistem dipasang itu berfungsi baik.

Bagaimanapun, kata pakar, jika sistem itu memang berfungsi, tsunami yang dihasilkan daripada gempa bumi di bawah dasar laut itu akan tiba di pantai lama sebelum amaran berkenaan sempat disampaikan kepada penduduk setempat.



Penanam kepala, Piatoro, 49, berkata dia dan keluarganya lari ke tempat tinggi sebaik saja rumahnya dilanda air tetapi tindakannya itu terlambat.

“Saya terjatuh, berguling-guling dalam air dan ditarik jauh dari isteri. Saya langsung tak berdaya berbuat apa-apa,” katanya.


Tsunami memang boleh dikesan beberapa minit selepas gempa bumi, tetapi kebanyakan kampung terpencil tidak mempunyai talian telefon. - AP

7 tahun dicabul bapa

BUKTI...Kamisah menunjukkan laporan polis mengenai pencabulan anak saudaranya.
BUKTI...Kamisah menunjukkan laporan polis mengenai pencabulan anak saudaranya.

KUALA LUMPUR: “Sudah tujuh tahun anak saudara saya yang berusia 14 tahun dicabul bapanya sendiri, tapi baru kini rahsia itu terbongkar sebelum kami membuat laporan di Balai Polis Rawang, Rabu lalu,” kata Kamisah Jamal, 31, ibu saudara kepada seorang remaja perempuan yang mendakwa dicabul bapanya sejak tujuh tahun lalu.
Beliau berkata, setiap hari mangsa sering bermuram kerana trauma dengan apa yang berlaku selain tidak menyangka bapa kandungnya yang juga penagih dadah tergamak mencabul kehormatannya sejak kecil.

“Melalui cerita anak saudara saya, dia memberitahu ketika berusia tujuh tahun, bapanya selalu bermain dengan kemaluannya dengan tangan tetapi sejak dua tahun lalu selepas cukup umur, bapanya semakin berani melakukan perkara yang lebih buruk.

“Bapa mangsa yang juga abang kandung saya, sering mengambil peluang menceroboh masuk ke bilik anaknya itu apabila semua ahli keluarga lain tidur dan ada kalanya pada sebelah pagi ketika ibunya pergi bekerja hingga dia tidak terdaya untuk melawan,” katanya ketika datang ke Balai Berita, semalam.

Menurutnya, kejadian itu berlanjutan menyebabkan anak saudaranya itu trauma.

“Selepas membuat laporan, saya membawanya ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan pihak hospital mengesahkan ada kesan menunjukkan anak saudara saya itu dicabul.
“Saya hanya mahu ayahnya ditangkap kerana sanggup melakukan perbuatan terkutuk ke atas anak sendiri,” katanya.

Akibat perbuatan terkutuk itu, anak saudaranya itu juga dikatakan sudah beberapa kali cuba membunuh diri.

Kamisah juga tidak berpuas hati apabila kakak iparnya merancang untuk menarik balik laporan yang dibuat kerana tidak mahu suaminya ditangkap.

“Saya hanya minta anak saudara dan dua adik perempuannya dilindungi bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

“Mereka masih muda dan mempunyai masa depan yang panjang untuk dilalui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kes cabul berkenaan dan akan membuat siasatan lanjut sebelum melakukan sebarang tangkapan.

Denda RM1j seludup ayam beku





2010/10/30

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM1.008 juta dan lima bulan penjara ke atas seorang pemandu lori kontena selepas didapati bersalah menyeludup 25,200 kilogram (kg) daging ayam beku bernilai kira-kira RM100,800 ke negara ini, tiga tahun lalu. 

Majistret Mazana Sinin membuat keputusan itu terhadap Lee Chai, 53, selepas memutuskan pihak pembelaan gagal mewujudkan sebarang keraguan munasabah terhadap pendakwaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengangkut sejumlah 2,100 kotak mengandungi 25,200kg daging ayam beku yang dianggarkan bernilai RM100,800 tanpa permit atau kelulusan sah terhadap pengimportannya.
Dia didakwa berbuat demikian menggunakan lori bernombor pendaftaran TN1766 dan treler T/BA6072 selepas melalui Tambak Johor dari Singapura di Kilometer 2.72, Jalan Tebrau, berhadapan Hotel Crystal Crown, pada 21 April 2007. 

Berikutan kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda maksimum 20 kali ganda nilai barang yang disita atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rasyiddi Ab Drahman, memanggil seramai 10 saksi termasuk anggota Pasukan Gerak Cepat, Pegawai Pemeriksa dari Jabatan Veterinar negeri serta pengurus besar dan ketua kerani operasi di syarikat pengangkutan untuk memberi keterangan. 

Sepanjang kes pendakwaan, tertuduh dibuktikan melakukan kesalahan tanpa sebarang arahan daripada pihak syarikat selain menunjukkan niat tidak baik ketika mengangkut barangan terbabit di laluan lori kosong. 
Keputusan prosiding bagaimanapun, menyebelahi pihak pendakwaan apabila tertuduh didapati gagal mewujudkan keraguan munasabah dan diperintahkan menjalani hukuman bermula semalam.

Mekanik kena gantung bunuh pekedai runcit



Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my
2010/10/30

THAMORHRAN diiringi polis ketika berada di Mahkamah Tinggi Seremban, semalam.
THAMORHRAN diiringi polis ketika berada di Mahkamah Tinggi Seremban, semalam.
Pendakwa buktikan tertuduh laku jenayah dengan sengaja

SEREMBAN: Seorang mekanik tidak dapat menahan kesedihannya sehingga mengalir air mata sebaik Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya bagi kesalahan membunuh seorang pekedai runcit, dua tahun lalu.
R Thamorhran, 20, yang berasal dari Kulim, Kedah menerima hukuman itu yang dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Thamorhran bersama rakannya, G Chandramogan, 23, didakwa dengan niat bersama membunuh Mohammad Jabrullah Abd Wahab, 60, di Pasaraya Jayamas, 503B Jalan Nilai 8, Taman Jayamas, Nilai, dekat sini pada jam 10.45 malam, 31 Julai 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori tetapi Chandramogan dilepas dan dibebaskan selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa tertuduh tidak terbabit dalam pembunuhan itu.

Ketika membacakan penghakimannya, Ahmad Nasfy berkata, keterangan saksi dan tindakan Thamorhran nyata menunjukkan tertuduh mempunyai niat untuk membunuh mangsa dengan tanpa sebab menikam pekedai runcit itu walaupun sudah mendapat apa yang diminta, selain ada saksi, iaitu anak mangsa melihat kejadian itu.

Katanya, pihak pembelaan juga gagal membuktikan tertuduh tidak mempunyai niat untuk membunuh mangsa menyebabkan mahkamah tidak mempunyai pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Thamorhran diwakili Puspanathan Seelam dan Chandramogan diwakili Ramzani Idris.

Kereta terbabas rempuh wanita





2010/10/30

KUANTAN: Seorang ibu yang mendukung anak sambil berdiri di pembahagi jalan ketika mahu melintas untuk membeli sarapan pagi bersama rakannya, terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta terbabas di Jalan Tanjung Lumpur, di sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, anak lelakinya berusia 14 bulan, Ahmad Afendi Sofian hanya cedera ringan manakala rakannya, Wan Anisah parah di kepala.
Dalam kejadian jam 10.40 pagi, Rosiah Wahab, 27, dari Kampung Peramu, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata sebuah kereta Proton Satria yang dalam perjalanan dari Tanjung Lumpur ke arah bandar ini tiba-tiba terbabas dan menaiki pembahagi jalan berkenaan.

"Kereta terbabit merempuh dua pejalan kaki terbabit menyebabkan Rosiah meninggal dunia manakala rakannya cedera parah di kepala dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan lanjut.

"Anak Rosiah yang turut tercampak beberapa meter bagaimanapun selamat dan mengalami cedera ringan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohd Jasmani berkata, pemandu kereta terbabit yang berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan dan ditahan untuk diambil keterangan.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

100,000 pemeriksaan gagal cekup pengganas





2010/10/30

LONDON: Lebih 100,000 orang ditahan dan diperiksa polis mengikut kuasa antikeganasan tahun lalu namun tiada seorang pun ditahan atas kesalahan berkaitan keganasan, lapor Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, semalam.

Statistik menunjukkan hanya 504 daripada 101,248 orang diperiksa ditahan atas pelbagai kesalahan, kadar penahanan 0.5 peratus berbanding purata 10 peratus penahanan selepas pemeriksaan biasa.
Angka itu menyebabkan bekas jurucakap Konservatif kementerian, David Davis menggesa dasar kontroversi itu dimansuhkan.
“Fakta mengejutkan mengenai tiada tahanan dikaitkan keganasan, lebih-lebih lagi pendakwaan atau sabitan, dalam lebih 100,000 penggeledahan, menunjukkan dasar yang tidak produktif secara besar-besaran,” kata Davis.

“Dasar mencetuskan kemarahan masyarakat minoriti hanya membantu musuh dan menambah ancaman keganasan,” katanya. – Agensi

Dua maut CentralWorld runtuh



Pihak berkuasa memeriksa tapak pembinaan apabila dua pekerja pembinaan maut dan enam yang lain cedera akibat dihempap perancah pembinaan yang runtuh di komplek membeli-belah CentralWorld di Bangkok, semalam. - AFP


BANGKOK 29 Okt. - Dua pekerja pembinaan maut, sementara enam yang lain cedera dihempap perancah pembinaan yang runtuh di sebuah pusat membeli-belah mewah di sini, hari ini.
Menurut polis, kejadian berlaku di sebuah kawasan yang dibangunkan semula selepas pusat membeli-belah CentralWorld dibakar semasa tunjuk perasaan antikerajaan Baju Merah, pada Mei lalu.
Sebahagian kompleks tersebut dibuka semula bulan lalu, namun insiden berlaku di bahagian yang belum dibuka kepada orang ramai.
Pegawai polis, Mejar Jeneral Sumeth Ruangsawat berkata, siasatan awal mendapati, pekerja sedang menjalankan kerja-kerja mengubah suai bahagian tingkat bawah, apabila struktur yang menyokong lantai bersimen di bahagian atas tiba-tiba runtuh.
"Cerucuk keluli yang berada di bahagian atas tidak dapat menampung berat lantai tersebut, lalu ia runtuh menghempap pekerja," katanya sambil menambah kata, tingkat atas bangunan tersebut berada lima hingga enam meter di atas mangsa.
Seorang lagi pegawai polis, Mejar Jeneral Amnuay Nimmano berkata, seorang daripada pekerja pembinaan dibawa ke hospital akibat cedera parah.
CentralWorld turut mengeluarkan kenyataan mengucap takziah kepada mangsa dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam siasatan. - AP

Barangan cetak rompak RM7.38 juta dirampas



IPOH 29 Okt. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak merampas sebanyak 708,381 keping cakera padat (CD), video cakera padat (VCD), video cakera digital (DVD) dan permainan cakera padat bernilai RM6.274 juta sejak 2007 hingga September lalu.
Pengarahnya, Mohd. Hilmi Mohd. Nor berkata, rampasan membabitkan 863 kes sepanjang tempoh itu berdasarkan kesalahan mengikut Akta Hak Cipta 1987 dan Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010.
Katanya, sebanyak 70 kes dengan rampasan 73,495 pelbagai barangan tiruan bernilai RM1.110 juta bagi tempoh yang sama pula didakwa mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.
"Rampasan yang dibuat itu menunjukkan usaha berterusan kementerian dalam membanteras kegiatan cetak rompak dan menjual barangan tiruan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Gerak Gempur Banteras Cetak Rompak dan Barangan Tiruan peringkat negeri di Dewan Kenangan, Bangunan Persekutuan di sini, hari ini.
Mohd. Hilmi berkata, sebanyak 175 kes telah dan sedang dalam proses perbicaraan di negeri ini bagi pelbagai kesalahan sepanjang bulan ini.
Menurut beliau, pihaknya meningkatkan operasi dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan itu.
"Kita juga mewujudkan kelab pengguna di peringkat sekolah bagi mendidik generasi muda supaya membeli barang asli," katanya.
Bagi kes Akta Hakcipta 1987 katanya, tindakan mengikut Seksyen 41(1)(d), sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali

Pelajar 'hilang' serah diri



IPOH 29 Okt. - Setelah menghilangkan diri tanpa sebarang berita selama 22 hari, Balqis Azman, 18, akhirnya muncul di Balai Polis Tapah, dekat sini.
Pelajar Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill dari Kampung Kepayang, Fair Park di sini, menyerah diri pada pukul 11 malam, Jumaat lalu.
Ibunya, Noorlela Abdul Rahman, 37, berkata, anaknya itu menyerah diri selepas berita kehilangannya dilaporkan di akhbar pada 22 Oktober lalu.
"Anggota polis yang menghubungi saya memaklumkan anak saya berada di Balai Polis Tapah," katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.
Pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak (Kawasan Ipoh Barat) di Taman Ipoh, di sini 21 Oktober lalu, Noorlela berkata, dia menghantar anaknya menaiki bas ke Taiping pada 13 September lalu bagi mengikuti latihan kejururawatan selama dua minggu di situ.
Menurutnya, semasa mengikuti latihan itu, anaknya tinggal di sebuah rumah yang disewa kolej berkenaan di Kampung Boyan, Taiping, bersama-sama 15 pelajar lain.
Balqis dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di sini selepas latihan selama dua minggu yang diikuti di Taiping tamat pada 30 September lalu.
Kehilangan Balqis hanya disedari setelah ibunya pergi ke kolej itu pada 4 Oktober lalu.

Peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi terbunuh



Dua motosikal berkuasa tinggi rentung selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 262, Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Terowong Menora, Ipoh, semalam.


IPOH 29 Okt. - Seorang peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi terbunuh manakala seorang lagi cedera ringan apabila kenderaan dinaiki mereka, terlibat dalam kemalangan di Kilometer 262 arah Utara, Lebuh Raya Utara-Selatan, kira-kira dua kilometer daripada Terowong Menora, dekat sini.
Mangsa terbunuh ialah Robert Lim Boon Huat, 52, dari Taman Desa, Kuala Lumpur, sementara rakannya yang cedera ringan, Cheng Ten Siong, 38, dan beralamat di Puchong, Selangor.
Ketua Trafik daerah, Deputi Supritendan, Rodzi Rejab berkata, dalam kejadian pukul 11.15 pagi itu, kedua-dua mangsa bersama lapan lagi rakan yang lain, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Betong, Thailand.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi itu, motosikal dinaiki Boon Huat telah memotong sebuah lori ais yang mengubah haluan daripada lorong tengah ke lorong laju.
"Ketika lori itu masuk ke lorong laju, motosikal mangsa bergesel dengan cermin sisi kanan lori menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan.
"Pada masa sama, motosikal yang ditunggang Ten Siong dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar belakang lori sebelum merempuh motosikal Boon Huat. Ia menyebabkan motosikal mangsa terbakar," katanya di sini, hari ini.
Rodzi berkata, mayat Boon Huat yang mati di tempat kejadian telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan Ten Siong dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

100 penoreh diancam harimau kumbang





Saibun Hassan menunjukan perangkap yang digunakan untuk memerangkap karimau kumbang yang berkeliaran di kebun getah mereka di Rancangan Tanah Pinggir Bayas, Jitra, semalam.


KUBANG PASU 29 Okt. - Kira-kira 100 penoreh getah di Rancangan Tanah Pinggir Bayas, Jitra di sini diselubungi kebimbangan berikutan kehadiran seekor harimau kumbang bersaiz seekor anjing dewasa yang kerap ditemui berkeliaran di situ sejak seminggu lalu.
Binatang buas yang dipercayai berkeliaran bersama anaknya itu juga didakwa membaham ternakan kambing di dalam kawasan berkenaan.
Rata-rata penoreh getah di situ merupakan penduduk sekitar Mukim Malau khususnya dari Kampung Lahar, di sini.
Seorang saksi, Siti Fatimah Wahab, 52, berkata, dia dan suaminya, Ahmad Saad, 82, terserempak dengan haiwan tersebut seminggu lalu ketika sedang menoreh getah di lot mereka pada pukul 11 pagi.
Katanya, haiwan itu muncul dari kawasan belukar kira-kira 10 meter dari tempat dia berdiri.
"Pada mulanya saya ingat haiwan yang saya lihat itu anjing, tetapi setelah diamati ia berlainan kerana bulunya berwarna hitam berkilat, ekor panjang dan matanya merah.
"Saya memanggil suami dan dia pasti haiwan itu ialah harimau kumbang. Kami berdua terus cabut lari kerana terkejut," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Siti Fatimah berkata, berdasarkan bunyi yang turut didengarnya sewaktu haiwan itu muncul, dia percaya harimau kumbang berkenaan membawa anak.
Katanya, walaupun bimbang dengan kehadiran haiwan tersebut, namun dia dan suaminya tetap memberanikan diri untuk datang memotong getah di situ yang menjadi punca mata pencarian keluarganya.
Seorang lagi penoreh getah, Saibun Hassan, 50, berkata, hampir 20 ekor kambing yang diternak di dalam kebun getah tersebut hilang sejak dua bulan lalu dan pada mulanya dia menyangkakan ia angkara anjing liar.
Namun, katanya, dia kini percaya harimau kumbang yang membaham kambing-kambing miliknya apabila menemui bangkai selain ramai rakannya mendakwa terserempak dengan haiwan berkenaan.
"Kami juga telah memasang satu perangkap berhampiran Pusat Pengumpulan Getah Risda Bayas, tetapi sehingga hari ini harimau itu masih belum berjaya ditangkap," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Kampung Lahar, Zainol Othman, 57, berkata, habitat asal harimau kumbang berkenaan dipercayai di kawasan bukit berdekatan kebun getah tersebut.
Katanya, ia mungkin berkeliaran di situ selepas bukit berkenaan digondol bagi tujuan pembalakan.

Kecoh diserbu waris pekerja ladang



KUALA LUMPUR 29 Okt. - Suasana tenang di pekarangan lobi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertukar kecoh hari ini apabila kira-kira 40 penduduk Ladang Bukit Jalil datang untuk menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar.
Memorandum itu berikutan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan DBKL yang dikatakan mengeluarkan surat arahan berpindah keluar kepada sembilan keluarga di ladang berkenaan.
Penduduk terbabit bertegas mahu berjumpa sendiri dengan Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail atas alasan mahu mendengar sendiri penjelasan daripada beliau.
Wakil penduduk, K. Balakrishnan, 53, mendakwa, mereka terbabit adalah waris sah pekerja ladang itu dan tidak wajar diarahkan berpindah.
Ladang berkenaan sebenarnya sudah diambil alih oleh Kerajaan Pusat sejak tahun 1980 lagi dan difahamkan, kerajaan telah bersetuju untuk membayar pampasan berjumlah RM734,160 kepada 93 keluarga bekas pekerja ladang berkenaan.
Bagaimanapun, hanya 60 keluarga menerima tawaran itu manakala selebihnya iaitu 39 keluarga masih lagi menetap di kawasan berkenaan.
Ahmad Fuad ketika ditemui berkata, beliau telah berjumpa dengan penduduk berkenaan bersama-sama Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan DBKL, Datuk Mhd Amin Nordin Aziz.
"Saya juga menerima memorandum tersebut walaupun mereka tidak memaklumkan perkara tersebut lebih awal.
"Mereka mengutarakan tiga perkara untuk diambil berat oleh DBKL iaitu sekolah, kuil dan tanah perkuburan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu sebenarnya sudah pun dijelaskan kepada mereka sebelum ini dan justeru itu tidak perlu dirisaukan lagi.
"Misalnya, pihak kerajaan tidak bercadang untuk mengubah struktur sekolah di ladang berkenaan.
Jika perlu sekali pun, maka sebuah sekolah baru akan dibina bagi menggantikan sekolah sedia ada.
"Malah, sekolah tersebut juga hanya terletak 50 meter dari kediaman baru mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, Puchong.
"Begitu juga dengan kuil yang terdapat di ladang berkenaan, pihak DBKL tidak bercadang untuk mengubahnya," kata beliau.
Malah, katanya, kesemua 39 keluarga tersebut termasuk 13 keluarga yang mendiami setinggan di kawasan itu ditawarkan untuk membeli atau menyewa rumah PPR Muhibbah.
Namun begitu, kata Ahmad Fuad, kerajaan tidak boleh menyerahkan tanah perkuburan kepada mereka kerana tanah perkuburan di ibu negara semakin terhad, selain kawasan itu dicadangkan untuk dijadikan tanah perkuburan untuk semua agama.
Mengulas mengenai sembilan penduduk yang mendapat surat arahan berpindah keluar daripada DBKL, Ahmad Fuad akan menyiasat perkara itu terlebih dahulu.
Katanya, siasatan itu akan menumpukan sama ada penduduk terbabit benar-benar waris pekerja ladang itu atau sebaliknya.

Janda putus cinta cuba bunuh diri dua kali



KUALA LUMPUR 29 Okt. - Hanya kerana gagal dalam percintaan, seorang janda beranak dua hilang kewarasannya apabila cuba membunuh diri dengan mengancam untuk mengelar pergelangan tangan dan merodok perutnya dengan serpihan botol kaca.
Dalam kejadian awal pagi tadi, dia yang menetap di Kajang dekat sini juga mengancam untuk terjun dari sebuah jambatan di Sungai Jelok, Jalan Semenyih.
Cubaan untuk membunuh diri itu dilakukan dua kali namun kecekapan anggota bomba memujuk mangsa berjaya membuatkan wanita berusia 26 tahun berkenaan membatalkan niat tersebut.
Komandan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Syed Lotfi Syed Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan pertama mengenai cubaan mangsa yang mahu membunuh diri itu pada pukul 4.03 pagi.
Beliau berkata, semasa tiba di tempat kejadian, mangsa yang merupakan bekas pekerja hotel dilihat sedang berdiri di tepi jambatan sambil memegang serpihan kaca.
Katanya, dia juga cuba memotong pergelangan tangannya sebelum merancang untuk terjun ke dalam sungai.
"Lima anggota bomba yang dihantar untuk menyelamatkan mangsa berjaya memujuk wanita terbabit agar membatalkan hasratnya setelah dipujuk hampir setengah jam.
"Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Syed Lotfi berkata, pada pukul 7.32 pagi, pihaknya sekali lagi menerima panggilan daripada polis yang memaklumkan mangsa pergi ke tempat kejadian untuk mengulangi hasratnya itu.
Beliau berkata, kali ini, mangsa dilihat menangis sambil menjerit mahu membunuh diri dan cuba merodok perutnya dengan botol kaca yang sudah dipecahkan.
Katanya, melihat keadaan mangsa yang tidak keruan, anggotanya seramai tujuh orang pada kali ini bersiap sedia menjalankan operasi menyelamat.
Tambahnya, ini termasuk menunggu di dalam sungai kerana bimbang mangsa benar-benar akan terjun memandangkan arus sungai agak deras pada masa itu.
"Kita bernasib baik kerana setelah dipujuk, mangsa sekali lagi bersetuju membatalkan hasrat membunuh diri," katanya.
Menurut Syed Lotfi, insiden berlaku pada waktu puncak iaitu semasa orang ramai berpusu-pusu ke tempat kerja itu telah mengakibatkan kesesakan teruk di Jalan Semenyih.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood mengesahkan masalah cinta sebagai punca mendorong janda tersebut cuba membunuh diri.
Beliau berkata, mangsa menghadapi tekanan perasaan apabila hubungan cintanya menghadapi masalah lalu cuba membunuh diri dan mungkin bertindak demikian untuk menarik perhatian kekasihnya.

Empat kampung dilanda puting beliung





KANGAR 29 Okt. - Sebuah van syarikat keselamatan dan sebuah lori kecil diterbangkan puting beliung, ketika bencana alam itu melanda empat kampung dan sebuah taman perumahan di sini petang semalam.
Kedua-dua kenderaan yang sedang dibaiki di Taman Seri Lanchang itu, terapung beberapa meter dari bumi, sebelum dialihkan oleh puting beliung tersebut antara 20 hingga 30 meter dari tempat ia diletakkan untuk dibaiki di bengkel berkenaan.
Ketika diterbangkan puting beliung yang berlaku antara pukul 6 hingga 6.15 petang itu, van milik sebuah syarikat keselamatan itu berputar-putar di udara beberapa kali sebelum terhempas berhampiran pintu masuk ke bengkel Abau Motor.
Pemilik bengkel terlibat, Kelean a/l Eim, 45, memberitahu, dia melihat pusaran puting beliung putih telah menerbangkan kedua-dua kenderaan berkenaan bermula kira-kira pukul 6 petang.
"Saya nampak satu putaran angin berbentuk tajam iaitu besar di atas dan mengecil (tirus) ke bawah. Ia berwarna putih. Putaran itu pula secara bergulung. Takut ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu.
"Apatah lagi ketika van keselamatan di bengkel saya diterbangkan kira-kira 30 meter dari tempat ia dibaiki. Sebuah lori kilang gula di bengkel ini juga diterbangkan kira-kira 20 meter.
"Turut rosak akibat puting beliung tersebut ialah sebuah kereta kerana pecah cermin, begitu juga sebuah bas yang cerminnya pecah akibat terkena objek terbang," ujarnya ketika ditemui di bengkel itu di sini malam tadi.
Sewaktu kejadian, Kelean juga memberitahu, dia sempat melihat pelbagai objek seperti papan ikan besar, tiang besi, papan tanda arah jalan dan batang-batang kayu diterbangkan secara berpusing-pusing.
Seorang lagi mangsa ribut di Taman Seri Lanchang, Rozana Abdul Rahman, 52, memberitahu, sebahagian daripada bumbung dan pintu utama rumahnya pecah akibat puting beliung tersebut.
"Kira-kira pukul 6 petang ketika sedang memasak, saya terdengar bunyi bising yang agak pelik di hadapan rumah. Apabila keluar ke ruang tamu saya melihat satu gumpalan putih merempuh cermin pintu utama rumah sehingga pecah.
"Selepas itu, terdengar pula satu rempuhan kuat di tingkat atas. Apabila naik saya dapati bumbung telah rosak. Syukur kepada Allah kerana saya selamat," ujarnya.
Empat kampung yang dilanda puting beliung itu ialah Kampung Alor Lanchang, Kampung Pulau, Kampung Kubang Gajah dan Kampung Padang Petani manakala sebuah taman perumahan pula ialah Taman Seri Lanchang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kebajikan, Hal Ehwal Pengguna, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Tugas-Tugas Khas negeri, Mansor Jusoh serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Abdullah Ali turut bergegas ke tempat kejadian malam tadi.
Mansor memberitahu, puting beliung kali ini mengakibatkan lebih 30 rumah rosak, tetapi ia tidak mencederakan mangsa.
"Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Bancian JKM menunjukkan 30 rumah terlibat. Jumlah kerugian belum diketahui. Bantuan berkenaan akan disampaikan tidak lama lagi kepada keluarga yang layak," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tujuh penumpang maut di Genting





TRAGEDI MAUT bas pelancongan yang terbabit dalam kemalangan setelah terbabas lalu terbalik di KM38 Genting Sempah di Pahang, kira-kira 7.50 malam tadi. Seramai tujuh maut manakala 21 lagi penumpang cedera. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 29 Okt. – Tujuh penumpang sebuah bas persiaran terbunuh apabila kenderaan itu terbabas lalu terbalik di Kilometer 38 Genting Sempah, berhampiran susur ke Genting Highlands, dekat sini malam ini.
Mangsa ialah Mohd. Amirul Mohamad Isa, 13; Mohd. Khairi Masuki, 14; Muhammad Yussof Akhif, 16; Mohamad Firdaus Rosedi, 16; Mohd. Ridzuan Husin, 17; dan Muhd. Fahmi Abdullah Mustapha, 17, yang kesemuanya meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi, Mohd. Zaidi Mohd. Sufian, 28, yang merupakan ketua rombongan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Kesemua mereka yang merupakan rombongan Belia 4B Kampung Baru, Mukim Siong, Baling, Kedah, dalam perjalanan pulang ke ibu negara selepas tiba di pusat peranginan itu pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, seramai 21 daripada 44 penumpang cedera dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Bentong untuk rawatan, manakala bakinya terselamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa-mangsa.
Katanya, seramai empat mangsa terbunuh tersepit di bawah bas terbalik itu, manakala sebahagian lagi ada yang tercampak keluar.
Tambahnya, Bomba dan Penyelamat Genting Highlands menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.15 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Kesemua penumpang berusia belasan tahun dan awal 20-an. Dua pemandunya ialah S. Muthumani, 40, dan Abdul Ghani Ahmad, 56, juga cedera.
“Siasatan mendapati bas itu hilang kawalan semasa menuruni jalan tersebut lalu merempuh pembahagi jalan diperbuat daripada konkrit.
“Bas itu kemudian melambung dan memasuki laluan bertentangan sebelum terbalik dan terseret di atas jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian dekat sini hari ini.

Mayat dalam beg alami pendarahan



KUALA LUMPUR 29 Okt. - Polis mengesahkan remaja perempuan yang ditemui mati dibunuh dan mayatnya disumbat di dalam sebuah beg pakaian ditinggalkan di tepi sungai berhampiran Rumah Bakti di Ukay Perdana, Ampang, dekat sini semalam, berpunca akibat pendarahan teruk dalam perut.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kecederaan itu akibat ditendang dengan kaki atau dipukul menggunakan benda keras.
Beliau berkata, punca kematian tersebut disahkan melalui hasil laporan bedah yang dijalankan pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
"Laporan bedah siasat menunjukkan kematian mangsa adalah akibat kecederaan teruk dalam perutnya.
"Mangsa juga disahkan bukan rakyat negara ini kerana tiada kesan suntikan BCG pada badannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada pukul 3.30 petang semalam, seorang pekerja bengkel terkejut apabila menemui mayat seorang remaja perempuan disumbat dalam beg pakaian semasa melalui tepi sungai yang terletak berhampiran dengan tempat kerjanya.
Ketika ditemui, mayat mangsa masih lengkap berpakaian gaun berwarna biru tetapi tidak berkasut.
Dalam beg tersebut juga berisi beberapa helai pakaian termasuk sepasang seluar jean dipercayai milik mangsa.
Menurut Abdul Jalil, identiti sebenar mangsa bagaimanapun masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada waris tampil menuntut mayatnya sehingga kini.
"Ada lima keluarga yang kehilangan anak telah datang ke bilik mayat HKL untuk membuat pengecaman ke atas mayat mangsa hari ini, namun keputusan negatif (tidak mengenali mangsa)," katanya.
Beliau berkata, usaha menjejaki suspek dalam kes pembunuhan tersebut juga sedang giat dilakukan.
Katanya, polis juga telah menghubungi beberapa nama lelaki dan nombor telefon tertera pada kertas yang ditemui pada mangsa, namun gagal.

Empat wanita diselamat dari didagang



KLANG 29 Okt. - Penangkapan seorang pegawai Imigresen dan tujuh individu yang dipercayai terlibat menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jeti Pulau Ketam di sini pada awal bulan ini, sedikit pun tidak menggerunkan sindiket pemerdagangan manusia daripada meneruskan kegiatan haram tersebut.
Malah mereka terus beroperasi dengan mendapatkan kerjasama daripada kapten kapal dan pemandu teksi di negara ini.
Terbaru, satu sindiket yang difahamkan berpangkalan di Jakarta, Indonesia, sejak setahun lalu berjaya ditumpaskan Imigresen semalam.
Sindiket yang didalangi oleh seorang wanita Indonesia dikenali sebagai 'Ibu Riah' itu mampu mengaut keuntungan lumayan dengan menjual PATI pada harga kira-kira RM10,000 seorang di negara ini.
Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila Imigresen Jeti Pulau Ketam berjaya memberkas masing-masing seorang kapten kapal dan pemandu teksi dalam satu operasi di Pelabuhan Klang di sini, bermula pukul 7.30 malam tadi hingga 2.30 pagi ini.
Dalam serbuan itu, empat wanita warga Indonesia berusia 21 hingga 35 tahun yang menjadi mangsa berjaya diselamatkan.
Ketua Pejabat Imigresen Jeti Pulau Ketam, M. Chandran berkata, kapten kapal warga Indonesia dan pemandu teksi rakyat tempatan masing-masing berusia lingkungan 40-an itu ditangkap semasa cuba menyeludup masuk mangsa melalui jalan laut.
Chandran berkata, beliau bersama lima lagi pegawai Imigresen melakukan intipan di jeti tersebut sejak sebulan lalu sebelum berjaya memberkas suspek.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas empat pasport, satu buku laut, sebuah teksi dan sejumlah wang dalam Ringgit Malaysia (RM) dan rupiah.

Taktik edar mercun guna lori sampah dibongkar



PELABUHAN KLANG 29 Okt. – Ada sahaja helah pengedar mercun dan bunga api untuk mengaburi mata pihak berkuasa, sehinggakan lori sampah pun sanggup digunakan!
Taktik terbaru itu bagaimanapun berjaya dibongkar Kastam Diraja Malaysia (KDRM) negeri setelah menahan sebuah lori sampah membawa muatan 133 kotak barang larangan itu di Kuala Selangor, semalam.
Pengarah Kastam Negeri, Datuk Roslan Yusof berkata, ketika ditahan pukul 10.15 pagi, lori itu baru keluar membawa mercun dan bunga api dari sebuah gudang barangan lusuh.
Katanya, namun cubaan itu berjaya dihidu pihaknya dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah mercun bernilai RM172,395 di dalam lori sampah terbabit.
Tambahnya, pemeriksaan mendapati nilai cukai barangan itu adalah sebanyak RM112,056.75.
“Turut ditemui katalog gambar-gambar mercun dan invois transaksi penjualan mercun dan bunga api,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau meminta orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama kepada KDRM dan menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau 03-31792321.

Ketua Geng Kebun diburu



KANGAR 29 Okt. - Seorang anggota Rela yang mengetuai sebuah kumpulan dikenali sebagai Geng Kebun dan aktif dalam kegiatan pecah rumah di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang adalah antara empat suspek diburu polis.
Siasatan mendapati suspek turut memiliki tujuh rekod jenayah termasuk kes curi kenderaan di Kuala Lumpur dan Perlis.
Ketua Polis negeri, Datuk Ghazali Md. Amin berkata, pihaknya percaya keempat-empat lelaki terbabit merupakan individu penting dalam geng tersebut.
Katanya, sebelum ini, polis telah menahan tujuh anggota geng itu termasuk seorang gadis bermula 14 hingga 25 Oktober lalu.
"Empat daripada mereka masih dalam tahanan reman sehingga 2 November ini, seorang telah dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan manakala dua orang lagi sudah dibebaskan.
"Bagaimanapun seorang daripada yang dibebaskan itu dikehendaki semula oleh polis," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya ingin mencari Ismail Che Ramli, 36; Hafizi Zaini, 21; dan Sahidi Shatdli, 21, yang masing-masing berasal dari Kampung Kebun, Arau serta Mohamad Ridzuan Hashim, 19, dari Rancangan Perumahan Awam (RPA), Arau, untuk membantu siasatan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat dan mengetahui lelaki itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Azrin Omar melalui talian 013-5336641 dan Inspektor Tajuddin Abdullah (012-4744884) atau mana-mana balai polis berdekatan.