Search This Blog

Friday, October 29, 2010

Osama ancam serang warga Perancis



Amaran ekoran langkah Paris haram purdah dan pelibatan di Afghanistan


DUBAI: Pemimpin kumpulan Al- Qaeda, Osama Bin Laden, memberi amaran kepada Perancis bahawa rancangannya mengharamkan pemakaian purdah di tempat awam dan pembabitan mereka dalam peperangan di Afghanistan membolehkan tindakan ganas diambil ke atas warga Perancis.
Dalam satu rakaman audio yang disiarkan menerusi televisyen Al-Jazeera, Osama berkata penculikan tujuh warga asing, lima daripadanya warga Perancis di Sahara, utara Niger, bulan lalu adalah satu amaran.'Mana boleh anda terlibat dalam penceborohan negara-negara kami dan menyokong Amerika Syarikat membunuh anak- anak dan kaum wanita kami, kemudian berharap dapat hidup dengan aman dan damai?'Ia sangat mudah - sedang anda membunuh, anda akan dibunuh. Sedang anda mengambil orang tebusan, anda akan ditawan. Sedang anda mengkompromi keselamatan kami, kami akan mengkompromi keselamatan anda,' katanya dalam rakaman selama satu minit 55 saat itu.Menyusuli pendedahan itu, Perancis melahirkan kebimbangan dan mendesak keperluan mengambil langkah berjaga-jaga.Namun, pihak berkuasa negara itu masih mengesahkan ketulenan amaran tersebut.Menteri Dalam Negeri Perancis, Encik Brice Hortefeux, berkata risiko serangan pengganas ke atas negara itu adalah benar dan pihak berkuasa akan mengambil langkah berjaga-jaga secara menyeluruh.Perancis mengerahkan sekitar 4,000 askarnya di Afghanistan dan sempadan sekitarnya.'Anda perlu renungkan apa yang berlaku ke atas Amerika ekoran perang yang tidak adil ini,' kata Osama lagi.Bulan ini, Perancis meluluskan undang-undang melarang pemakaian purdah dan burqah di tempat awam mulai April depan.Ramai penduduk Islam setempat menyuarakan kebimbangan langkah itu hanya akan menyebabkan golongan itu distigma.Baru-baru ini, amaran mengenai kemungkinan serangan pengganas akan dilancarkan menyebabkan Perancis dan beberapa negara Eropah lain berada dalam keadaan berjaga-jaga.Awal dari ini, Jabatan Negara Amerika menasihatkan rakyatnya yang tinggal atau akan melancong di Eropah agar mengambil langkah berhati-hati. -- AP, AFP.

Pemain papan luncur kongsi pengalaman dipukul tsunami




SYDNEY (Australia): Sekumpulan pemain papan luncur dari Australia berkongsi pengalaman ngeri mereka bertarung dengan tsunami di Indonesia.
Mereka bersembilan berada di atas bot MV Midas apabila gempa bumi sekuat 7.7 pada skala Richter itu berlaku menyebabkan tsunami melanda berdekatan kepulauan Mentawai pada Isnin lalu.'Ia seperti sejuta trak yang datang merempuh dari lebuh raya. Begitulah cepatnya tsunami itu datang,' kata Encik Jethro Jones.Tsunami yang menghempas ke atas bot mereka dikatakan setinggi lima meter. Bot mereka kemudian berlanggar dengan bot Freedom III berdekatan.Perlanggaran itu menyebabkan enjin bot Midas terbakar dan api merebak dengan cepat.Mereka melompat ke laut dengan tujuh daripada mereka dibawa arus selama 40 minit sebelum sampai ke darat.'Saya berfikir saya tidak boleh berputus asa. Saya tinggal dua pilihan saja iaitu mati atau melakukan segala yang termampu untuk hidup. Saya tidak mahu mati,' kata Encik Robert Marino pula.Rakan-rakannya pada mulanya menyangka Encik Marino pasti mati kerana mereka tidak nampak beliau melompat keluar dari bot yang sedang terbakar itu.Beliau, yang pada mulanya terperangkap di tingkat bawah bot, berjaya meloloskan diri melalui lubang kecil di dek itu. -- AFP.

Kementerian Pelajaran pantau pelajar jual komputer riba 1Malaysia



PUTRAJAYA - Kementerian Pelajaran akan membuat pemantauan berhubung dakwaan terdapat pelajar menjual komputer riba di bawah program Komputer 1Malaysia yang diberikan secara percuma oleh kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Bagaimanapun beliau, yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya belum mendapat maklumat mengenai kesahihan dakwaan tersebut. 

“Sebab itu, di peringkat kementerian kita hendak memantau atau merekodkan pemberian itu... dan ia bukan sahaja digunakan di rumah tetapi turut dibawa ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelaksanaan Jalur Lebar, di sini, hsemalam. 

Komputer itu diberikan kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 bagi kawasan luar bandar dan bawah RM5,000 bagi kawasan bandar berdasarkan nisbah yang ditetapkan. 

Muhyiddin berkata, beliau tidak pasti sama ada disebabkan faktor tidak mampu melanggan perkhidmatan jalur lebar telah membuatkan mereka terpaksa menjual komputer riba tersebut. Oleh itu, guru sekolah boleh menyemak sejauh mana pelajar terbabit masih menyimpan komputer riba yang diberikan.

Penyelaras acara dipenjara lapan tahun dan sepuluh sebatan kerana miliki kanabis



SHAH ALAM - Seorang penyelaras acara dihukum penjara lapan tahun dengan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, kerana memiliki dadah jenis kanabis seberat 419.31 gram pada Mei tahun lepas.

Sallehuddin Hamdan, 39, mengaku melakukan kesalahan itu di No 3, Jalan SS/17D, Subang Jaya dekat sini pada 11.45 malam, 9 Mei 2009.

Dia yang menghadapi dua pertuduhan, didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dengan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan pertama, Sallehuddin dihukum penjara lapan tahun dengan 10 sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua, dia diperintah menjalani hukuman penjara selama 10 bulan.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad mengarahkan Sallehuddin menjalani kedua-dua hukuman secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 9 Mei tahun lepas.

Sebelum ini, dia didakwa dan dibicarakan atas pertuduhan mengedar kanabis mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Sallehuddin menukar pengakuannya selepas pendakwaan mengemukakan pertuduhan pilihan iaitu memiliki kanabis, selepas seorang saksi selesai memberi keterangan.

Terdahulu, ketika meminta hukuman ringan, peguam Ghazali Mohd Taib yang mewakili Sallehuddin berkata anak guamnya itu telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan pula mahu mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan berkaitan dadah semakin berleluasa dan kerap berlaku.-Bernama

Lagi gambar askar Zionis hina tahanan Palestin didedah




BAITULMAQDIS - Sebuah kumpulan hak asasi manusia mendedahkan beberapa gambar terbaru menunjukkan tentera Israel menghina tahanan Palestin termasuk menconteng rumah penduduk semasa perang Gaza pada 2008 hingga 2009, Isnin lalu. 

Salah satu daripada gambar itu menunjukkan tentera Israel melukis simbol Zionis, Star of David dan menulis perkataan 'Akan Kembali Lagi' menggunakan cat penyembur pada dinding sebuah rumah. 

Pendedahan itu dilakukan oleh pertubuhan Breaking the Silence yang dianggotai bekas pegawai tentera Israel. 

Penaung pertubuhan itu, Yehuda Shaul berkata, puluhan gambar penghinaan diterima daripada bekas tentera Israel yang berkhidmat di kawasan Palestin. 

"Perbuatan ini adalah sesuatu yang dianggap biasa bagi tentera Israel kerana mereka mengawal dan memerintah orang awam setiap hari," katanya.

Johor catat kes ketiga tertinggi



NUSAJAYA – Sebanyak 450 kes sindiket penipuan dilaporkan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Negeri bagi tempoh Januari hingga 26 Oktober tahun ini. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 96 kes membabitkan skim gores dan menang, sekali gus mencatatkan Johor sebagai negeri ketiga tertinggi selepas Kuala Lumpur dengan 219 kes dan Selangor dengan 143 kes. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Tan Lian Hoe berkata, keseluruhan kes yang dikesan membabitkan skim itu di seluruh negara bagi tahun ini adalah 573 kes. 

“Secara purata, sebanyak lebih 10 kes dilaporkan setiap hari membabitkan skim gores dan menang ini, dan usaha membanteras giat dilakukan pegawai dan anggota bagi mencapai sifar kes yang dilaporkan. 

“Di Johor, saya melihat ada penurunan kes yang dilaporkan dengan mendadak. Bagi Oktober ini, hanya satu kes dilaporkan, susulan dengan penutupan ibu pejabat sindiket ini yang dikesan di Permas Jaya, dua minggu lalu” katanya selepas merasmikan Seminar Memperkasa Pengguna, di Kota Iskandar, di sini, semalam. 

Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Kebangsaan, Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin dan Pengerusi Puspanita Negeri, Datin Safiah Aris. 

Jelas Lian Hoe, KPDNKK berusaha mengesan dalang di sebalik kegiatan ini dan meminta kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat. 

Sepanjang Januari hingga 26 Oktober ini, Tribunal Tuntutan Pengguna Negeri berjaya menyelesaikan 358 daripada 450 kes membabitkan penipuan termasuk jualan langsung dan skim cepat kaya. 

Daripada angka itu, 92 kes masih dalam pemerhatian manakala seramai 112 pengguna telah diberikan ganjaran dan 17 kes lagi ditolak. 

“Kes penipuan ini membabitkan pelbagai golongan termasuk suri rumah, golongan profesional dan graduan. Kita juga yakin ada kes tidak dilaporkan khususnya membabitkan mereka yang berpendidikan tinggi kerana faktor malu,” katanya. 

Dalam ucapannya terdahulu, Lian Hoe berkata, program tersebut diharap dapat meningkatkan ilmu kepenggunaan dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan dalam masyarakat sekali gus mewujudkan masyarakat yang tahu hak dan tanggungjawab.

RM6.27 juta dirampas




GREENTOWN - Barangan cetak rompak bernilai RM6.27 juta berjaya dirampas oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan PPDNKK Negeri Perak (PPDNKK) bagi tahun 2007 hingga September 2010. 

Pengarahnya, Mohd Hilmi Mohd Noor berkata, antara kesalahan itu adalah kes-kes yang melanggar Akta Hakcipta 1987, dikenakan tindakan di bawah Seksyen 41(1)(d), Akta Hak Cipta 1987. 

“Di bawah akta berkenaan, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap salinan langgaran. 

“Bagi memiliki perekaan denda tidak kurang RM4,000 dan tidak melebihi RM40,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis Pelancaran Kempen Gerak Gempur Banteras Cetak Rompak dan Barangan Tiruan Peringkat Negeri Perak, di Dewan Kenanga, Bangunan Persekutuan di sini, semalam. 

Mohd Hilmi berkata, kes-kes Akta Perihal Dagangan 1972 juga dicatatkan melibatkan Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010, dan diambil tindakan di bawah Perintah4 (4) (a), Label CAkera Optik 2010. 

Menurutnya, jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (1), Akta Perihal Dagangan 1972 dan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

Katanya, sebanyak RM396,000 nilai denda dikenakan kepada pesalah dari tahun 2007 hingga September 2010. 

Sementara itu, bagi kes-kes barangan palsu iaitu di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 – Barang-barang yang menggunakan Perihal Dagangan Palsu iaitu barangan berjenama terkemuka, nilai rampasan adalah sebanyak RM1.11 juta melibatkan 70 kes dari tahun 2007 hingga September 2010. 

“Kes-kes diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1)(b), Akta Perihal Dagangan 1972 dan sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 18(1), Akta yang sama dengan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.”

Mahkamah Tinggi Shah Alam tolak rayuan dua warga China



SHAH ALAM - Rakyat asing yang menjadikan Malaysia sebagai transit menggunakan pasport palsu telah menjejaskan nama baik Malaysia dan rakyatnya, kata Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata, demikian semasa menolak rayuan dua warga China berhubung hukuman terhadap mereka atas dua tuduhan memiliki pasport palsu dan memasuki negara ini secara haram.

Katanya mahkamah mengetahui mengenai amalan yang agak meluas dilakukan oleh rakyat asing yang menyalahgunakan usaha Malaysia memberi layanan istimewa untuk ke negara lain.

"Oleh itu, mahkamah tidak dapat menutup sebelah mata dan melayan hasrat perayu untuk hukuman yang lebih ringan.

"Sebenarnya Hakim Mahkamah Sesyen telah melaksanakan budi bicaranya dengan betul dan ia merupakan undang-undang yang biasa digunakan dalam sesuatu keadaan, dan dalam menjalankan bidang kuasanya Mahkamah Tinggi tidak sepatutnya campur
tangan dengan keputusan itu," katanya.
Pada 10 Ogos tahun ini, Liu Ching Chung, 21, dan Huang Cheng Ho, 31, dihukum penjara 12 bulan kerana memiliki pasport palsu dan tiga bulan penjara lagi dan tiga sebatan kerana memasuki negara ini secara haram.

Tempoh hukuman penjara itu berjalan serentak daripada tarikh mereka ditangkap pada 6 Ogos.

Mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang kerana memiliki dua pasport palsu Taiwan dan kerana memasuki negara ini secara haram di Pejabat Imigresen (Jabatan Operasi), balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.45 pagi, 6 Ogos.

Liu dan Huang memasuki Malaysia melalui laluan masuk istimewa negara sebelum ke United Kingdom. 

Mereka kemudiannya merayu terhadap hukuman itu dan meminta tempoh hukuman penjara itu berjalan serentak, mengetepikan hukuman sebat dan menggantikannya dengan denda.
Mohd Yazid mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan sebatan tetapi mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh mereka ditangkap.

Katanya, beliau telah meneliti asas penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen dan bersetuju bahawa kesalahan perayu itu adalah serius dan bertentangan dengan kepentingan masyarakat.

Mohd Yazid berkata, walaupun elemen keganasan tiada dalam tuduhan kedua, hukuman sebatan diperkenalkan di dalam Akta Imigresen bagi memerangi jenayah kolar putih yang berleluasa itu.

"Secara tradisinya, kesalahan jenayah, sebatan hanya diperuntukkan bagi jenayah membabitkan elemen keganasan. Bagaimanapun, bagi melindungi oranga wam terhadap jenayah kolar putih yang sudah berleluasa ini, Parlimen telah memperkenalkan hukuman sebatan.

"Mahkamah mendapati bahawa hukumanyang dijatuhkan itu tidak keterlaluan dan ia adalah di dalam lingkungan had yang ditentukan oleh kedua-dua akta," katanya.-BERNAMA

Gara-gara salah ubat



KUANG – Gara-gara tersalah makan ubat, ibu lima anak kini tergolong dalam kategori golongan orang kurang upaya (OKU) selepas kehilangan kaki kiri dan jari kedua-dua belah tangan. 

Sharifah Kisut, 52 mendakwa, semuanya berlaku Jun tahun lalu setelah memakan ubat gastrik diberi sebuah klinik kesihatan selepas mendapatkan rawatan akibat sakit perut, walhal mengakui tidak pernah mengalami menyaki tersebut sepanjang hayatnya. 

“Saya dirawat seorang pembantu perubatan dan memberikan saya ubat gastrik dan sakit perut. 

“Mulanya saya sangsi sebab saya syak sakit perut ini berpunca daripada batu karang yang saya hadapi, tetapi pihak klinik bertegas dan menyuruh saya makan ubat yang diberikan. 

“Sebaik pulang saya terus makan ubat tersebut dengan harapan akan sembuh tetapi perkara sebaliknya berlaku," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Gombak dekat sini. 

Sharifah berkata, dia terpaksa dikejarkan ke hospital dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu selepas pengsan di rumahnya akibat pening memakan ubat tersebut 

“Di hospital saya diberikan ubat tertentu, saya tidak pasti jenisnya tetapi keadaan bertambah teruk apabila apabila seluruh badan saya jadi kehitaman dan berlendir,” katanya 

Difahamkan Sharifah turut mempunyai penyakit kencing manis dan buah pinggang 

Keadaannya berlarutan selama lima bulan menyebabkan kaki kirinya semakin membengkak dan busuk menyebabkan ianya terpaksa dipotong hingga ke paras peha kerana khuatir ianya akan merebak dan merosakkan organ penting seperti jantung. 

“Selepas itu dua jari tangan kanan saya juga terpaksa menerima nasib yang sama terpaksa dipotong kerana sudah membengkak manakala dua jari tangan kirinya mereput dan terputus begitu sahaja,” katanya 

Sejak daripada itu dia terpaksa berulang alik ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan selain menjalani hemodialisis. 

Sharifah kini bergerak menggunakan kaki palsu dan kerusi roda sumbangan pihak hospital dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang.

Pemandu, kelindan maut



Kuala Terengganu - Dua maut dalam satu kemalangan yang dilaporkan berlaku pada awal pagi semalam, membabitkan sebuah treler 18 tayar membawa muatan beras. 

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Mahad Nor Abdullah berkata, Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik mendapat laporan berkenaan kejadian pada jam 6.10 pagi dan me-ngambil masa 25 minit untuk sampai ke tempat kejadian. 

“Kejadian berlaku di Kilometer 30.6 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, iaitu di sekitar kawasan Bukit Jala/Pukat, kawasan kerap berlaku kemalangan. 

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, treler berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Gerik menuju ke Jeli, Kelantan,” katanya ketika dihubungi Skuad Gerik, Sinar Harian Perak, semalam. 

Mahad Nor berkata, ketika sampai di tempat kejadian treler berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan menghala ke arah Jeli sebelum terbalik.

Menurutnya, kedua-dua mangsa, Kamis@Mustaffa Abu Diman, 35, sebagai pemandu bersama kelindannya, Zulkifli Mamat, 36, mati di tempat kejadian.

“Pemandu dan kelindan berkenaan berasal dari Batu 17, Kampung Pulau Kerengga, Kuala Terengganu mengikut alamat akhir dalam kad pengenalannya,” kata Mahad Nor.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Daripada maklumat yang diterima, katanya, treler itu sedang dalam perjalanan untuk menghantar bekalan beras ke Kuala Terengganu dari Sanglang, Kedah.

Mayat mangsa dituntut ahli keluarga masing-masing di Unit Forensik Hospital Gerik sekitar jam 12 tengah hari semalam, untuk dibawa balik ke kampung halaman mereka.

Gadis ditemui mati dalam beg, disahkan mengalami pendarahan dalam perut



KUALA LUMPUR - Mayat seorang gadis yang ditemui dalam beg pakaian dan dibuang di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana di Hulu Kelang semalam, disahkan mati akibat pendarahan teruk dalam perut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan berkata, laporan bedah siasat yang diperolehi hari ini, mendapati gadis berumur awal 20-an itu mati akibat ditendang atau dipukul dengan objek yang keras di perut.

"Selain pendarahan di perut, terdapat juga kesan lebam di muka mangsa, namun tiada kecederaan luar dikesan pada tubuh mangsa yang telah mati dalam tempoh 24 jam itu," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiga keluarga telah hadir ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi membuat pengecaman ke atas mayat itu.

"Setakat ini, tiga keluarga yang terdiri daripada keluarga Melayu dan Indonesia telah membuat pengecaman ke atas mangsa berikutan kehilangan ahli keluarga masing-masing. Tetapi selepas pengecaman dibuat, mayat itu bukan ahli keluarga mereka," katanya.

Katanya polis juga tidak menerima sebarang laporan terbaru berhubung kehilangan anggota keluarga daripada mana-mana pihak susulan kejadian itu.

"Tiada sebarang tangkapan dibuat dan tiada penemuan terbaru ditemui oleh polis di lokasi kejadian," kata Abdul Jalil.

Dalam kejadian itu, mayat gadis tersebut ditemui oleh seorang pekerja bengkel kereta berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang dalam keadaan berlipat dan berpakaian lengkap.

Polis percaya gadis itu bukan rakyat tempatan memandangkan tiada parut suntikan vaksin BCG ditemui pada bahunya.

Sehelai kertas yang bertulis nama dan nombor telefon negara asing turut ditemui di dalam beg berkenaan.

Pemuda dihukum mati bunuh peruncit dlaam kejadian rompakan



SEREMBAN - Perayaan Deepavali yang bakal disambut minggu depan tidak membawa apa-apa makna bagi seorang pemuda apabila dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban hari ini selepas didapati bersalah menikam seorang peruncit di hadapan anaknya dalam kejadian rompakan dua tahun lepas.

R. Thamorharan, bekas mekanik, 20, mengalirkan air mata dan menggeleng-gelengkan kepala ketika hukuman itu dibacakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nafsy Yasin.

Bagaimanapun rakannya tertuduh kedua, G. Chandramogan, 23, dibebaskan oleh mahkamah dari tuduhan membunuh Mohamad Jabrullah Abd Wahab, 62.

Mereka didakwa dengan niat bersama membunuh warga emas itu di Pasaraya Jayamas di Nilai dengan niat mahu merompak Mohamad Jabrullah pada 10.45 malam, 31 Julai 2008.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Ahmad Nafsy berkata, tindakan Thamorharan jelas menunjukkan tertuduh mempunyai niat untuk membunuh mangsa.

"Pihak pembelaan gagal membuktikan bahawa tertuduh tidak mempunyai niat untuk membunuh dan mahkamah tidak mempunyai pilihan lain kecuali menjatuhkan hukuman mati," katanya.

Bagaimanapun katanya mahkamah membebaskan tertuduh kedua selepas meragui sama ada dia mempunyai pengetahuan bahawa tertuduh pertama ada membawa pisau dan telah menggunakan pisau tersebut untuk menikam simati kerana perancangan awal
mereka hanya untuk merompak sahaja. 

Tambahan pula katanya, semasa tertuduh pertama menikam simati, tertuduh kedua tidak mengetahuinya dan tidak melihat kejadian itu.

Dalam kejadian itu, mangsa dan anak lelakinya berusia 21 tahun hendak menutup kedai apabila mereka disamun oleh kedua-dua tertuduh.

Mangsa ditikam oleh tertuduh pertama menggunakan sebilah pisau ala 'rambo' manakala tertuduh kedua pula, memukul anak mangsa dengan topi keledar sebelum mereka melarikan diri bersama wang kutipan jualan pasar raya itu.

Thamorharan diwakili peguam S. Puspa Nathan manakala Chandramogan diwakili peguam Ramzani Idris dan pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Wan Shaharuddin Wan Ladin.-BERNAMA

Bertunang lima gadis




KULIM - Hebat sungguh jejaka ini. 

Dia sering kelihatan mewah dan bergaya, membuatkan ramai gadis tergoda. Apabila umpan sudah mengena, dia lantas mengatur majlis pertunangan yang cukup meriah. 

Bukan seorang, tetapi lima gadis menjadi tunangnya sekali gus. 

Namun, jauh di lubuk hati jejaka itu, tiada siapa tahu, dia sebenarnya langsung tiada niat mahu menikahi mereka. 

“Ini hanya taktik licik untuk dia memperdaya ‘tunang-tunangnya’ itu,” kata jurucakap polis di sini mengenai taktik menipu seorang lelaki yang memperdaya wanita sehingga kerugian beratus-ratus ribu ringgit. 

Selepas bertunang, katanya, lelaki itu akan mempengaruhi mangsa untuk membuat pinjaman peribadi sehingga berpuluh-puluh ribu ringgit setiap seorang yang dikatakan bertujuan untuk persediaan majlis perkahwinan dan juga perniagaan yang akan mereka jalankan bersama setelah berkahwin kelak.

"Mangsa yang terpedaya, akan mudah dipengaruhi. Apa lagi dia sering berlagak seperti ahli perniagaan yang berjaya serta punya wang yang banyak. Ini meyakinkan mereka untuk melabur dalam perniagaan khayalan itu tanpa sebarang rasa ragu," katanya.

Bagaimanapun katanya, helah lelaki itu hanya terbongkar apabila selepas mendapat wang mangsa, jejaka itu pun hilang khabar berita.

"Setakat ini, kita sudah terima laporan daripada lima mangsa yang kesemuanya mengaku tunang lelaki itu. Mereka berusia antara 23 hingga 30 tahun dan kebanyakannya berstatus eksekutif," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa mengadu ditipu dengan modus operandi yang hampir sama, sekali gus meyakinkan pelakunya juga adalah orang yang sama.

"Kita sedang berusaha menjejak lelaki itu dan jika ada lagi 'tunangnya' yang lain di luar sana, mereka diminta buat laporan untuk kita siasat," katanya.

3 beranak cedera disamun



SEREMBAN - Satu keluarga yang menetap di Kampung Piring, Rantau di sini, berdepan detik mencemaskan apabila rumah mereka disamun awal pagi Selasa lalu. 

Anak mangsa, Lee Kam Cheong berkata, ayahnya, Lee Tha San, 77, ibu, Wong Kim Kew, 70 dan adiknya, Lee Kam Ying, 45, yang tinggal di ladang kelapa sawit kampung berkenaan cedera parah selepas diserang dua lelaki tidak dikenali. 

Kam Cheong berkata, kejadian berlaku jam 2 pagi ketika semua ahli keluarganya nyenyak tidur. 

“Dalam keadaan kelam-kabut, mereka semua dipukul menggunakan senjata tajam dan ayah saya mengalami kecederaan yang teruk. 

“Bagaimanapun, selepas hari kejadian, baru hari ini (semalam) ayah saya dihantar ke hospital kerana di rumah tiada telefon,” katanya. 

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas seorang pekerja di ladang terbabit memaklumkan kepadanya tengah hari, semalam.

Cemas penyamun acu parang di leher



ULU JELU – Silau mata akibat lampu terpasang mengejutkan seorang bapa yang sedang tidur lena di bilik utama rumah pada jam lebih kurang 3.30 pagi di Kampung Ulu Jelu, semalam. 

Dalam keadaan mengantuk, Azman Idris, 42, diserang tiga penyamun bertopeng sambil terus mengikat kaki dan tangan ke belakang. 

Dalam keadaan tertiarap, seorang penyamun yang bertubuh lebih besar dan tinggi meletakkan parang serta pisau Rambo ke leher Azman sebelum memaksanya memberitahu tempat menyimpan barangan kemas. 

“Penyamun dengan dialek asing bertanyakan di mana isteri saya dan saya hanya memberitahu ‘sudah meninggal’ padahal isteri sedang bertugas di Port Dickson. 

“Kemudian seorang penyamun bertanyakan pula tempat menyimpan barangan kemas, tetapi saya mengaku tidak memilikinya,” kata Azman yang masih trauma dengan insiden ngeri menimpanya. 

Berikutan tidak mendapat apa yang diingini, penyamun berkenaan bertindak menyumbat mulut Azman dengan kain dan terus menyelongkar almari di bilik tidur utama, bilik tidur kedua serta bilik tidur ketiga. 

Kira-kira setengah jam kemudian, ketiga-tiga penyamun keluar dari rumah menggunakan pintu belakang di bahagian dapur. 

Penyamun juga sempat mengambil beg duit Azman mengandungi kad pengenalan dan wang tunai kira-kira RM200 serta kunci kereta jenis Honda Civic. 



Nyawa anak terancam 



Dalam pada itu, anak sulung Azman, Azraei Afiq, 11, terjaga kira-kira jam lebih kurang 3.15 pagi untuk ke tandas yang terletak di bilik tidur kedua. 

Dia terdengar bunyi bising di dapur tetapi tidak mengesyaki sebarang perkara pelik sebaliknya terus menyambung tidur. 

Semasa kejadian, tiga anak Azman iaitu Azraei Afiq, Auni Taqifa, 8, dan Azri Afiq, 5, tidur nyenyak di ruang tengah rumah dalam keadaan lampu terpasang. 

Auni Taqifa terjaga dari tidur apabila menyedari susuk tubuh lelaki berada dekat dengan kakinya, tetapi terus mematikan diri dan memejamkan mata kerana terlalu takut. 

Azman pula tidak dapat berbuat apa-apa dalam keadaan tertiarap di atas katil dengan tangan, kaki dan mulut terikat. 

Semasa seorang penyamun mengacu senjata tajam ke lehernya, seorang lagi penyamun berdiri hampir dengan anak-anaknya manakala seorang lagi menyelongkar almari di ketiga-tiga bilik tidur. 

Azman hanya dapat bangun setelah mendengar penyamun menghidupkan kereta miliknya dan terus keluar. 



Terlompat-lompat dapatkan bantuan 



Dalam keadaan terikat, Azman keluar mendapatkan bantuan sambil terlompat-lompat seperti pocong kira-kira 50 meter menuju ke rumah abangnya. 

Menyedari perkara buruk berlaku, abangnya terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan. 

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Azhar Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga suspek melarikan diri ke Lembah Klau menggunakan kenderaan curi dipercayai milik mangsa. 

Menurutnya, anggota polis yang mendengar hebahan awal mengenai insiden itu sempat mengejar suspek tetapi suspek bertindak meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan Lembah Klau–Mempaga. 

“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan kenderaan jenis Proton Waja dan merempuh sekatan jalan raya di RTP Klau lalu terus ke Mempaga. 

“Sehingga kini usaha mengesan dan menangkap suspek masih diteruskan dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 395 serta 397 Kanun Keseksaan,” kata Azhar. 

Beliau berkata, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat menerusi talian kilat polis Raub 09-3554999 bagi membantu siasatan. 



Penyamun ‘lepas hajat’ 



Tinjauan Sinar Harian mendapati seorang penyamun bertindak membuang air besar dalam longkang di bahagian luar dapur belakang rumah mangsa dipercayai sebahagian daripada amalan ilmu hitam yang digunakan mereka. 

Suspek juga bertindak menggunakan pemotong besi untuk mengumpil tingkap dapur untuk masuk ke dalam rumah mangsa. 

Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek tidak menyentuh langsung anak-anak mangsa yang tidur di ruang tengah rumah.

Saksi nahas diminta tampil bantu siasatan



29/10/2010 2:05pm

KUALA LUMPUR — Polis hari ini meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan maut membabitkan dua buah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Maarof Bangsar, di sini Ahad lepas supaya tampil untuk membantu siasatan.
Ketua Cawangan Trafik Kuala Lumpur, ASP Foo Chek Seng berkata kemalangan yang berlaku kira-kira 4.45 pagi itu melibatkan kereta Proton Wira berwarna putih dan Mercedes Benz berwarna perak.
"Salah seorang pemandu maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Afifi Zulhasni Mohamad Ali di talian 03-20719999. — Bernama

Gunung Merapi meletus kali kedua



SEJUMLAH orang menghadiri pengebumian mangsa-mangsa Gunung Merapi di Sidorejo, Sleman, di tengah Jawa semalam.


YOGYAKARTA – Gunung Merapi dekat sini meletus buat kali kedua semalam dalam tempoh tiga hari, dan kali ini menyemburkan awan panas abu volkanik sehingga 3,500 meter ke udara.
Kejadian itu berlaku pada pukul 4.40 petang waktu tempatan.
“Awan panas muncul kembali, setelah pasca letusan pertama yang berlaku pada Selasa lepas,” kata Ketua Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kegunungapian (BPPTK) Yogyakarta, Subandriyo semalam seperti dilaporkan agensi berita Bernama.
Awan panas itu, katanya, masih tergolong sebagai kecil dengan radius luncuran mencapai sekitar 3,500 meter dari puncak Gunung Merapi.
Dalam kejadian letusan sejak petang Selasa lepas, 33 orang telah terbunuh termasuk Jurukunci Gunung Merapi Mbah Maridjan, 83, serta seorang wartawan portal berita Vivanews.
Dalam letusan Selasa itu, Merapi menyembur awan panas abu volkanik sehingga 1,500 meter dan kesan abunya sampai sehingga ke Ciamis, Jawa Tengah, yang terletak 300 kilometer jauhnya.
Ia menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius di kawasan gunung berapi teraktif di dunia yang berusia 400,000 tahun itu dan memusnahkan beberapa perkampungan di kaki gunung tersebut.
Mangsa-mangsa yang terkorban akibat terkena debu panas dikebumikan secara beramai-ramai di dua tempat berasingan.
Mbah Maridjan dan empat yang lain dikebumikan di Kampung Srunen, Glagahsari, Sleman semalam manakala yang lainnya di Kampung Sidoredjo, Sleman.
Akhbar Kompas.com berkata, keranda kayu yang membawa jenazah Mbah Maridjan dipecahkan oleh penggali kubur sebelum dimasukkan ke dalam liang lahat.
Mbah Maridjan ditemui meninggal dunia dalam keadaan bersujud di rumahnya dekat Gunung Merapi di Kampung Kinahrejo selepas dia enggan berpindah atas alasan menjaga amanah menjaga gunung tersebut selepas dilantik oleh Sultan Jogja.
Sementara itu, angka kematian akibat tsunami di Kepulauan Mentawai di perairan Sumatera meningkat kepada 343 orang selepas lebih banyak mayat ditemui.
Tsunami itu berlaku pada Isnin lalu selepas berlakunya gempa bumi dalam laut sekuat 7.7 pada skala Richter. – Agensi

Puting beliung musnahkan 50 premis



29/10/2010 3:00pm

KANGAR – Lebih 50 buah rumah, kedai makan dan bengkel membaiki kenderaan di sekitar Jejawi dekat sini rosak akibat angin puting beliung semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Perlis, Mansor Jusoh berkata, kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 6 petang menyebabkan kerugian sekitar RM100,000.
Baitul Mal Perlis dan Unit Pembangunan Insan Perlis akan membantu mereka yang terlibat membaiki rumah, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menilai kerugian sebenar, katanya kepada pemberita ketika melawat mereka yang terlibat hari ini.
Katanya, walaupun sebuah pusat pemindahan dibuka sejak malam tadi, kebanyakan penduduk lebih selesa tinggal sementara bersama saudara-mara.
Sementara itu, semua yang terlibat hari ini menerima bantuan awal daripada Yayasan Pok dan Kassim (YPK) dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 seorang dan beras. – Bernama

Identiti penyanyi dicuri di Facebook



LONDON - Seorang penyanyi di Britain, Carolyn Owlett trauma setelah identitinya di laman jaringan sosial Facebook dicuri oleh orang lain, lapor sebuah akhbar semalam.
Kes penipuan identiti itu terbongkar selepas seorang lelaki, Regis Remacle yang tidak dikenalinya tiba-tiba memanggil Carolyn, 26, semasa dia berada di sebuah stesen tren bawah tanah dan mengaku menyintainya pada minggu lalu.
"Saya tidak menghadapi masalah sehinggalah Jun lepas apabila saya menerima mesej cinta daripada Remacle. Saya turut menerima beberapa mesej lucah daripada beberapa lelaki di Afrika dan Turki," katanya.
Selepas mereka saling menceritakan perkara yang sebenarnya, Remacle kemudian menghubungi penyamar berkenaan di Facebook dan mendesak supaya dia mendedahkan identitinya.
Pencuri identiti itu yang merupakan seorang wanita di Belgium dikenali sebagai Kristella Erbicella, 21, kemudian memohon maaf kepada Carolyn dan teman lelakinya.
Dia membuka akaun e-mel dan Facebook dengan menggunakan nama Carolyn dan mengambil 2,000 gambarnya di Internet selain menipu rakan-rakan serta keluarga Carolyn supaya menjadi rakannya di Facebook.
Banyak gambar Carolyn beredar di Internet kerana dia seorang penerbit dan penyampai televisyen selain pernah menganggotai sebuah kumpulan pop agak popular pada 2004, The 411.
Penyamar itu menggunakan gambar dan maklumat peribadi Carolyn untuk menjalin hubungan cinta siber dengan Remacle.
"Sukar saya untuk mempercayainya. Perbuatan Erbicella menakutkan saya. Dia menjadikan saya dan Remacle seolah-olah pasangan kekasih tetapi realitinya kami tidak pernah bertemu," ujar Carolyn. - Agensi

Kurier dadah guna kereta curi




SEORANG pegawai polis memeriksa sebuah kereta Audi yang dirampas daripada seorang lelaki di Petaling Jaya semalam.


KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki memandu sebuah kereta curi jenis Audi untuk mengedar 25 ketulan mampat ganja memakan diri apabila dia ditahan dalam satu serbuan di kawasan Mentari Court Petaling Jaya dekat sini kelmarin.
Serbuan pukul 5 petang itu dilakukan oleh sepasukan polis daripada bahagian risikan jenayah curi kenderaan (D4C) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Kereta mewah model A4 bernilai RM234,000 itu dilaporkan dicuri di ruang pameran sebuah syarikat kereta di Bukit Jelutong, Shah Alam Ogos lalu.
Jurucakap polis memberitahu, sebaik diserbu, pihaknya dapat menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang memandu kereta itu.
"Sebaik membuat pemeriksaan kita terkejut apabila menemui sebanyak 25 ketulan mampat ganja seberat 25 kilogram bernilai RM45,000 yang disembunyikan di dalam dua buah beg plastik hitam di dalam but kereta tersebut.
"Soal siasat mendapati kereta tersebut telah dicuri di Shah Alam dua bulan lalu dan kita percaya suspek bertindak sebagai kurier yang ditugaskan oleh pihak tertentu untuk menghantar bahan khayal itu ke lokasi yang ditetapkan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Pelajar UiTM koma dibelasah



HABERI sedih ketika melawat Hizreen di Unit Rawatan Rapi Hospital Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang yang bakal menamatkan pengajian Disember ini koma selepas dipercayai dibelasah oleh teman lelakinya pada 22 Oktober lalu.
Mangsa, Hizreen Ieraqueen Haberi, 21, pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Perbankan tidak sedarkan diri sejak hari kejadian akibat luka dalaman yang teruk di bahagian kepala.
Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Bapa mangsa, Haberi Hamzah, 49, yang merupakan seorang juruteknik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi berkata, dia menerima panggilan daripada teman serumah anaknya itu pada pukul 1.30 pagi 22 Oktober lalu di rumahnya di Semenyih, Selangor.
"Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan Hizreen, dia dikejarkan ke Hospital Machang kerana cedera dipukul oleh kawan lelaki yang dikenalinya.
"Keadaannya tenat dan saya diberitahu Hizreen dipindahkan ke HUSM.
"Daripada cerita rakan anak saya itu, kejadian tersebut berlaku lebih kurang pukul 10 malam pada 22 Oktober lalu di hadapan rumah sewa Hizreen berhampiran kampus UiTM Machang selepas mereka bergaduh," katanya.
Rakan anaknya itu mendakwa sebelum kejadian Hizreen dilihat bertemu dengan teman lelaki yang datang ke rumah sewa mereka dan berlaku sedikit pertengkaran.

Penoreh korban cinta terhalang



MUDA yang bertarung nyawa meninggal dunia di HSNZ semalam.


KUALA TERENGGANU - Selepas 10 hari menanggung derita akibat dipaksa meminum racun oleh ahli keluarga teman wanitanya yang berusia 16 tahun, seorang penoreh getah akhirnya menemui ajal di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, Muda Mohd., 27, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 pagi selepas menunjukkan komplikasi teruk lewat malam kelmarin sebelum disahkan koma beberapa jam kemudian.
Bagaimanapun, katanya, polis sempat mendapatkan keterangan daripada mangsa.
"Sehubungan itu, kita telah mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya yang memberitahu polis telah menahan tiga suspek bagi membantu siasatan kes itu.

Korban jangkau 500

PAGAI UTARA (Indonesia): Angkat kematian akibat tsunami yang melanda pulau pendalaman Indonesia dijangka menjangkau 500 orang.
Sehingga semalam, 343 orang disahkan mati tetapi, kebimbangan semakin meningkat mengenai nasib beratus-ratus penduduk yang masih hilang selepas ombak besar itu melanda Kepulauan Mentawai di pesisir pantai barat Sumatera Isnin lalu.

Pegawai bantuan berkata, banyak mayat ditemui bergelimpangan di kawasan pantai. “Sepuluh minit selepas gempa itu kami terdengar bunyi seperti letupan di luar. “Ketika itu baru kami sedari tsunami berlaku,” kata Chandra, suri rumah berusia 20 tahun ketika ditemui di Pagai Utara, satu daripada dua pulau paling teruk dilanda bencana itu.

Dalam keadaan bingung dan kepenatan, dia berusaha mencari bayinya berusia enam bulan yang hilang sejak kejadian itu.

Mayat suaminya sudah ditemui oleh jiran di kampung mereka di Muntei Baru.

Pegawai Pengurusan Bencana, Ferry Faisal berkata, 343 orang terbunuh dan 338 masih hilang.
Kapal membawa bantuan, termasuk makanan, air dan bekalan ubat serta beg mayat, tiba di Sikakap di Pulau Pagai Utara, semalam.

Bagaimanapun, beberapa bot yang turut membawa bekalan bantuan berdepan dengan cuaca buruk di sekitar kepulauan Mentawai yang mengambil masa setengah hari perjalanan dari pelabuhan di Padang, Sumatera. - AP