Search This Blog

Thursday, October 28, 2010

Disimbah asid cinta ditolak

GEORGETOWN: “Pada malam kejadian, lelaki itu datang dengan menunggang motosikal dan secara tiba-tiba dia menyimbah ‘air’ ke muka saya sambil mengejek, ‘padan muka hang’ sebelum beredar.
“Saya tersentak dan terkejut apabila muka dan badan menjadi sejuk seketika sebelum bertukar panas, selain seluruh kulit bertukar menjadi hitam seakan-akan terbakar dan membengkak,” kata seorang gadis yang parah akibat disimbah cuka getah di Taman Cenderawasih, Seberang Prai Selatan (SPS), 17 Oktober lalu.
DERITA...Ain  cedera parah akibat melecur disimbah asid oleh bekas rakan sekerja  ketika ditemui di HPP, semalam.
DERITA...Ain cedera parah akibat melecur disimbah asid oleh bekas rakan sekerja ketika ditemui di HPP, semalam.

Gadis berusia 21 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ain, mendakwa menjadi mangsa balas dendam selepas menolak cinta lelaki terbabit.

Berikutan kejadian itu, hasratnya untuk mengikat tali pertunangan pada Aidiladha ini mungkin tidak kesampaian apabila hampir 70 peratus muka, tangan dan badannya melecur teruk.

Ain berkata, sebelum kejadian, dia bersama ibunya berada di rumah neneknya.

Ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya tidak jauh dari situ, kira-kira jam 11 malam, dia terdengar bunyi deruman enjin motosikal yang tiba-tiba berhenti berhampirannya sebelum seorang lelaki tiba-tiba menyimbah cuka getah ke arahnya.
Katanya, dia mengenali lelaki itu kerana sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk berkenalan tetapi ditolaknya secara baik.

“Sudah beberapa kali saya beritahu mempunyai teman lelaki, namun dia tidak dapat menerimanya. Malah, dia pernah mengekori saya setiap kali pergi dan balik kerja sehinggalah saya berhenti bekerja di kilang, Julai lalu.

“Saya ketika itu menjadi kerani mengenali lelaki berusia 26 tahun berkenaan yang menjadi operator di kilang sama di Nibong Tebal, April lalu. Dia pernah meluahkan perasaan cinta serta sayang kepada saya, tapi saya tak dapat menerimanya kerana bakal bertunang, bulan depan,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, semalam.

Ain berkata, pada malam sebelum kejadian, lelaki itu ada menelefon kerana mahu menemuinya tetapi dia menolak dengan baik dan tidak menyangka lelaki berkenaan sanggup bertindak sekejam itu, sekali gus memusnahkan masa depannya.

“Sejurus disimbah cuka getah, saya berlari ke rumah ibu tidak jauh dari rumah nenek untuk meminta bantuan lalu dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan lanjut,” katanya.

Berikutan itu, dia berharap lelaki terbabit dikenakan tindakan sewajarnya berikutan kesengsaraan dialaminya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis.

Keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian itu mengejutkan mereka sekeluarga kerana tidak menyangka lelaki terbabit akan bertindak sekejam itu.

Sementara itu, Ketua Polis Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat berkata, pihaknya menahan suspek yang bekerja sebagai kelindan lori di rumahnya pada 20 Oktober lalu.

Beliau berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa tidak membalas cinta suspek. Lelaki itu dipercayai menggunakan cuka getah yang diisi dalam kole untuk menyimbah ke muka dan badan mangsa.

“Mangsa cedera teruk akibat melecur pada bahagian mata putih dan muka sebelah kiri, kedua-dua lengan tangan serta bahagian belakang badan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut polis mendapati suspek positif dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau, dua membabitkan dadah serta satu kes jenayah.

Shafien berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan cedera parah dengan senjata yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Shafien berkata, suspek didakwa di Mahkamah Seksyen Butterworth hari ini.

Maut turun bukit

REMUK...kereta dinaiki dua mangsa yang terbabit kemalangan maut, semalam.
REMUK...kereta dinaiki dua mangsa yang terbabit kemalangan maut, semalam.

MELAKA: “Arwah Fadzly (Mohd Fadzly Mohd Ariff) sepatutnya menemani saya bertemu pelanggan di Tangkak, Johor pagi ini (semalam), namun dia mahu membawa rakan lain untuk berjumpa bakal pelanggan di Jempol, Negeri Sembilan.
“Tidak sangka arwah terbabit kemalangan dan meninggal dunia. Pagi tadi (semalam) kami sama-sama bersarapan di Bukit Serindit,” kata Perunding Pinjaman Persendirian CIMB Bank, Rahizan Abd Rahim, 34, mengenai kemalangan ngeri di Jalan Bukit Bulat Menggong, Alor Gajah, pagi semalam, membabitkan dua rakan sekerjanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, dua kakitangan bank yang juga Perunding Pinjaman Persendirian, Khairul Afif Mohd Kassim, 24, dari Taman Satelit, Bahau, Negeri Sembilan, dan Mohd Fadzly Mohd Ariff, 22, dari Felda Palong, Gemas, Negeri Sembilan, meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Difahamkan, kereta dipandu oleh Khairul Afif terbabas ke laluan bertentangan ketika menuruni bukit di tempat kejadian sebelum kemalangan.

Akibat kemalangan itu, kedua-dua mereka cedera parah akibat tersepit dalam kereta jenis Perodua Kancil yang remuk sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Menurut Rahizan, Mohd Fadzly adalah kakitangan di cawangan CIMB Jalan Bendahara, dekat sini, yang menunjukkan prestasi kerja baik walaupun baru berkhidmat.
“Arwah memang paling kelakar dan ceria di pejabat. Namun, dalam dua hari kebelakangan ini, saya menyedari perubahan ketara pada dirinya apabila tiba-tiba jadi pendiam dan kurang bercakap.

Pasangan kekasih didakwa miliki pelbagai jenis dadah



28/10/2010 6:21pm

KUALA TERENGGANU - Sepasang kekasih hari ini dihadapkan di dua mahkamah berasingan atas pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah seperti heroin, metamphetamine dan kanabis.
Bagaimanapun, Suresh Kumar a/l Theyunny@Baskaram, 39, dan pasangannya A. Manjula, 31, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.
Di Mahkamah Sesyen, mereka didakwa memiliki tiga botol plastik, dipercayai berisi heroin dengan berat kasar 10.5 gram di sebuah rumah di Jalan 5, Taman Midin di sini pada 11.30 malam, 15 Oktober lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup, dan boleh dikenakan sebatan. - Bernama

Samun: Dua buruh dipenjara 3 tahun, 1 sebatan



28/10/2010 7:08pm

KUALA LUMPUR - Dua orang buruh masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan samun berkumpulan dengan melarikan empat buah kereta mewah, tahun lepas.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad memerintahkan kedua-dua tertuduh, Mohd. Yusof Abu Bakar, 46, dan Amiruddin Mahamuddin, 43, menjalani hukuman penjara bermula pada tarikh mereka ditangkap, 5 Februari 2009.
Kedua-dua tertuduh bersama dua rakan mereka yang masih bebas didakwa melakukan samun berkumpulan dengan cara mengacu sebilah parang di leher Rosli Abdul Ghani, 44, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Mereka kemudian melarikan dua buah kereta jenis Mercedes Benz, sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Alphard dan sebuah Toyota, 10 kunci kereta mewah dan dua kunci bas, yang kesemuanya bernilai RM1 juta. - Bernama

Angka korban meningkat


ANTARA mayat mangsa tsunami yang ditemui.
ANTARA mayat mangsa tsunami yang ditemui.



PADANG: Pesawat dan helikopter yang penuh dengan pekerja penyelamat dan bekalan bantuan mendarat buat kali pertama di kepulauan pedalaman Indonesia semalam selepas kawasan berkenaan dilanda tsunami setinggi tiga meter lewat Isnin lalu, meragut sekurang-kurangnya 311 nyawa.
Seramai 160 cedera manakala 410 lagi hilang.

Gambar pertama yang dirakam menerusi udara menunjukkan sebahagian besar kawasan itu ditenggelami air dan tempat kediaman musnah akibat dipukul ombak besar itu.

Ia satu daripada dua bencana yang melanda Indonesia dalam tempoh 24 jam. Gunung berapi paling aktif di negara itu, Gunung Merapi yang terletak kira-kira 1,300 kilometer ke timur Sumatera meletup petang kelmarin, mengeluarkan asap dan menyebabkan 30 orang terbunuh.

Kedua-dua kejadian itu berlaku di sepanjang Lingkaran Api yang terdedah kepada gempa bumi dan kegiatan gunung berapi.

Sejak gempa melanda Kepulauan Mentawai malam Isnin lalu, ombak kuat dan cuaca buruk menjejaskan operasi menyelamat, menyebabkan penduduk terpaksa berdikari untuk menyelamatkan diri.hmetro


Humban anak keluar tingkap

MUMBAI: Seorang wanita India yang melahirkan sepasang kembar pra-matang ditahan di Mumbai kerana disyaki melemparkan seorang daripada bayinya keluar dari tingkap hospital, kata sumber polis dan hospital.
Wanita terbabit menghumban bayi perempuannya dari tingkat bawah tingkap bilik air Hospital KEM di tengah-tengah bandaraya Mumbai awal pagi, semalam. Bayi itu yang ditemui dengan kecederaan di kepala kemudian meninggal dunia.

Ibu bayi itu pada awalnya mendakwa anaknya dicuri tetapi kamera keselamatan menunjukkan wanita berkenaan yang pergi ke bilik air bersama bayinya keluar seorang diri sejurus kemudian.

Pihak polis menahan wanita itu kerana disyaki membuang bayinya. Akhbar Indian Express yang memetik kenyataan Inspektor Vikram Patil melaporkan, wanita itu mungkin akan didakwa dengan tuduhan lebih berat iaitu membunuh.

Dekan Hospital KEM, Sanjay Oak berkata kepada agensi berita Press Trust of India: “Kami tidak tahu apakah faktor yang menyebabkan wanita itu melakukan tindakan drastik sedemikian.” Media India melaporkan pasangan kembar itu seorang lelaki dan perempuan yang dilahirkan pra-matang pada usia tujuh setengah bulan dengan kekurangan berat badan dipindahkan ke hospital kerajaan berkenan awal bulan ini. - AFP

Mayat remaja perempuan dalam beg pakaian



28/10/2010 10:36pm

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh sebelum mayatnya disumbat ke dalam sebuah beg pakaian dan dibuang di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana, Hulu Kelang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan berkata, mayat remaja tanpa identiti yang dipercayai berusia belasan tahun dan berpakaian lengkap itu ditemui oleh seorang pekerja bengkel berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang.
"Pekerja tersebut yang menunggang motosikal melalui lorong bersemak itu terjumpa sebuah bagasi besar sebelum bertindak menendang-nendang beg tersebut. Curiga dengan berat beg, dia kemudiannya membuka beg berkenaan sebelum terlihat mayat mangsa.
"Mangsa ditemui dalam keadaan berlipat dan pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia belasan tahun berdasarkan saiz badan dan tidak mengalami kecederaan luaran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Pemeriksaan forensik turut mendapati kesan lebam di leher mangsa dipercayai akibat dicekik, katanya. - Bernama

Wanita terkejut suami ditembak



PASIR GUDANG – Seorang wanita terkejut selepas melihat suaminya terbaring di depan pagar berlumuran darah sementara seorang anggota polis berdiri di: sampingnya, sebaik pulang dari tempat kerja, kira-kira jam 6 petang, kelmarin. 

Seperti lagak dalam drama, suaminya yang ketika itu masih sedarkan diri menunjukkan dan berkata bahawa bahagian belakang pinggangnya cedera parah terkena tembakan. 

Wanita terbabit yang enggan namanya disiarkan tidak menyangka hasrat suaminya yang ingin keluar menjala ikan berakhir dengan tragedi ditembak kerana dikatakan melarikan diri daripada pihak berkuasa. 

Menurutnya, suaminya yang ketika itu menunggang motosikal bersama beberapa rakan, melarikan diri daripada ditahan kerana tidak memakai topi keledar dan hanya mempunyai lesen L serta cukai jalan tamat tempoh. 

“Ketika saya pulang makan tengah hari di rumah, suami ada memberitahu dia ingin keluar menjala ikan bersama rakan dan saya pergi semula ke tempat kerja memandu kereta sendiri. 

“Betapa terkejutnya saya sebaik pulang dari tempat kerja apabila melihat suami terbaring berlumuran darah di depan mata kerana ditembak seperti lagak dalam drama yang ditonton di televisyen,” katanya, semalam. 

Dia yang masih bersedih dengan tragedi yang menimpa suaminya, bimbang dengan masa depan empat anaknya yang masih kecil kerana keadaan suaminya yang dirawat di hospital masih belum stabil serta belum sedarkan diri. 

Wanita itu juga mempertikaikan kenapa suaminya ditembak, sedangkan banyak cara lain boleh digunakan untuk menangkap suaminya jika benar dia melarikan diri kerana ketakutan kerana melakukan kesalahan jalan raya. 

“Saya tidak berpuas hati kerana suami saya ditembak seperti penjenayah bahaya, sedangkan dia cuma melarikan diri kerana menunggang motosikal dengan tidak memakai topi keledar dan cukai jalan mati serta hanya ada lesen L. 

“Saya bimbang jika apa-apa berlaku kepada suami kerana anak kami empat orang masih kecil dan perlukan kasih sayang ayah; saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi jika apa-apa berlaku kepada suami saya,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin ketika dihubungi berkata, perkara itu akan disiasat secara terperinci. 

Namun beliau enggan mengulas lanjut.

Gunung Merapi meletus lagi, muntahkan gas, debu panas



28/10/2010 7:44pm

SLEMAN 28 Okt. - Gunung Merapi, yang letusannya telah mengorbankan 33 orang minggu ini, meletus sekali lagi hari ini dengan memuntahkan debu dan lahar panas ke ruang udara, kata pegawai kerajaan.
Pegawai penyelidik gunung berapi, Surano berkata, gunung berapi paling aktif di Indonesia itu telah memuntahkan gas dan debu panas.
“Kami juga mendapati beberapa gegaran kecil turut berlaku akibat letusan berkenaan,” katanya. - AFP

Angka kematian tsunami meningkat 343 orang



28/10/2010 4:00pm

JAKARTA 28 Okt. – Angka kematian akibat tsunami yang melanda barat Indonesia minggu ini meningkat kepada 343 orang sementara 338 lagi masih hilang.
Pegawai pengurusan bencana Sumatera Barat, Ferry Faisal berkata, jumlah tersebut merupakan angka terkini setakat ini.
Tsunami melanda kepulauan Mentawai di perairan Sumatera selepas berlaku gempa bumi sekuat 7.7 pada skala Richter pada Isnin lalu, memusnahkan semua perkampungan pinggir pantai. – AFP

Dua terbunuh treler muatan beras terbalik dalam kemalangan di Gerik


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit aapbila  treler sarat muatan beras terbalik remuk menyebabkan dua maut di Kilometer 30.6,  Jalan Raya Timur Barat, dekat Grik awal pagi ini. Foto  Dj Dolasoh (28/10/10)
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit aapbila treler sarat muatan beras terbalik remuk menyebabkan dua maut di Kilometer 30.6, Jalan Raya Timur Barat, dekat Grik awal pagi ini. Foto Dj Dolasoh (28/10/10)
IPOH - Dua lelaki terbunuh apabila treler memuatkan beras yang mereka naiki terbabas dan terbalik di Km 30.6 Jalan Raya Timur Barat dekat Gerik, 170 km dari sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Mahad Nor Abdullah berkata, mereka ialah pemandu lori Khamis@Mustafaf Abu Diman, 35 dan kelindannya Zulkifli Mamat, 36, dan kedua-duanya berasal dari Kampung Pulau Kerengga Marang, Terengganu.

Mengulas kejadian ketika dihubungi Bernama di sini, Mahad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.10 pagi apabila lori yang dalam perjalanan dari Gerik ke Kelantan itu hilang kawalan ketika menuruni bukit.

Lori itu terbabas sebelum terbalik dan menghempap kedua-dua lelaki tersebut.

Kedua-dua mereka maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, katanya.

Mahad berkata, mayat kedua-dua mereka yang dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat telah dituntut keluarga masing-masing.
-BERNAMA

Dadah: Dua terlepas hukuman gantung





ALOR SETAR - Dua lelaki terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, melepas dan membebaskan seorang daripada mereka daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lepas dan meminda pertuduhan terhadap seorang lagi kepada memiliki dadah berkenaan.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap seorang peniaga iaitu Othman Puteh, 58, dan petani Bakri Abdul Rahim, 51.

Sehubungan itu, Zamani mengarahkan Othman dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan, manakala Bakri dihukum penjara 15 tahun yang bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 7 Ogos 2008.

Mereka didakwa mengedar kanabis seberat 91,503 gram di sebuah rumah tidak bernombor Jilid 4, Sungai Baru, Mukim Bujang Bedong, di daerah Kuala Muda, pada 10.30 pagi,7 Ogos 2008, mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Zamani berkata, pertuduhan terhadap Bakri dipinda daripada Seksyen 39B kepada Seksyen 6 dan dihukum mengikut Seksyen 39A akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dengan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

"Tetapi nasib menyebelahi kamu kerana umur kamu sudah melebihi 50 tahun dan dikecualikan daripada sebatan," kata Zamani kepada Bakri.

Terdahulu, peguam Chong Seng Ming yang mewakili Bakri meminta anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana tertuduh telah mengaku bersalah dan insaf dengan perbuatannya, selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zakhi Mohd Daud meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap Bakri, selepas mengambil kira faktor kepentingan awam, selain kesalahan itu membabitkan jumlah dadah yang besar.

Bakri dan Othman turut terlepas daripada pertuduhan kedua mengikut Akta Racun 1952, iaitu memiliki 36.4 liter cecair dan 26.28 kilogram daun dari tumbuhan yang mengandungi Mitragynine di tempat, tarikh dan masa sama.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
-BERNAMA

Lelaki menyamar polis tipu kontraktor dicekup di Tawau



TAWAU - Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis ditahan di sini semalam, selepas memperdaya seorang kontraktor pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin berkata, lelaki berusia 35 tahun itu yang bekerja di sebuah syarikat swasta ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi hasil laporan polis yang dibuat oleh kontraktor tersebut.

"Lelaki itu yang mengenali kontraktor berkenaan menerusi seorang kawan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah.

"Dia kemudian menjanjikan kontrak kerajaan kepada kontraktor tersebut dengan syarat kontraktor itu membayar imbuhan sebanyak RM1,500 kepadanya," kata beliau kepada pemberita, di sini, hari ini.

Katanya, kontraktor itu yang percaya dengan helah lelaki tersebut telah memberi wang pendahuluan sebanyak RM1,000, namun berasa curiga apabila lelaki berkenaan tidak dapat dihubungi sejak pertemuan mereka lalu membuat laporan polis.

Hasil siasatan, lelaki tersebut berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati dia juga positif dadah jenis syabu, kata beliau. -BERNAMA

Penumpang durjana




KULAIJAYA – Seorang pemandu teksi tergamam apabila beliau tiba-tiba diacukan sebilah pisau di lehernya ketika dalam perjalanan menghantar dua penumpang ke lokasi yang diminta. 

Mahmod Samion, 53, berkata, sebelum kejadian, dua penumpang berkenaan meminta agar menghantar mereka ke Batu 24 berhampiran kawasan perindustrian, di sini, kira-kira jam 12.15 malam, kelmarin. 

“Ketika itu pakcik sedang tunggu penumpang di Hentian Teksi Terminal Kulaijaya seperti biasa sebelum didatangi dua penumpang berkenaan. Tanpa berfikir panjang dan curiga, pakcik segera memulakan perjalanan menghantar mereka ke destinasi yang diminta,” katanya ketika ditemui. 

Bagaimanapun katanya, ketika tiba di lokasi yang dimaksudkan, beliau diarahkan agar menuju terus ke kawasan gelap dan sunyi manakala lehernya diacukan pisau oleh penumpang yang duduk di bahagian tempat duduk belakang. 

“Pakcik terpaksa mengikut arahan mereka kerana terlalu terkejut dan cemas setelah leher diacukan pisau. 

“Manakala seorang lagi penumpang yang duduk di sebelah pakcik turut mengeluarkan sebilah parang pemotong daging sambil meminta menyerahkan barang berharga kepadanya,” katanya. 

Mahmod berkata, situasi itu turut menyebabkan kecederaan pada bahagian bahu dan kedua-dua pergelangan tangannya akibat ditetak salah seorang suspek. 

Tidak cukup dengan itu, kedua-dua suspek turut melarikan teksi berkenaan dan meninggalkan mangsa sehelai sepinggang di lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer daripada jalan utama. 

“Salah seorang daripada mereka bertindak agresif dengan menarik pakcik keluar dari kereta dan memberi amaran supaya tunggu di kawasan itu selama lima minit. 

“Pakcik terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer untuk meminta pertolongan dan terpaksa menunggu selama 15 minit sebelum terserempak dengan salah seorang anggota polis dan dibawa ke hospital,” katanya. 

Katanya, beliau kerugian kira-kira RM1,000 termasuk wang tunai sebanyak RM 300 manakala kedua penumpang itu dipercayai lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu, memakai t-shirt dan jaket berwarna gelap ketika kejadian. 

Dalam pada itu, teksi milik mangsa yang dilarikan suspek berjaya dikesan berada berhampiran tangki air Taman Tropika, di sini kira-kira jam 2.45 petang, semalam. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan akan menjalankan siasatan lanjut di bawah seksyen 395 & 396 Kanun Keseksaaan. 

“Pada masa ini pihak polis sedang mengesan dua suspek untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 395 & 396 Kanun Keseksaaan,” katanya.

Wang dikebas menerusi Internet



BAYAN LEPAS – Seorang warga emas terkejut apabila mendapati jumlah wang simpanan di dalam akaun bank yang sepatutnya berbaki RM7,215 hanya tinggal RM335 baru – baru ini. 

Mangsa, Che Ross Ismail berkata, kejadian itu hanya disedari selepas beliau mengeluarkan wang pencen menerusi mesin wang automatik (ATM) di sebuah cawangan bank itu di Relau beberapa hari lalu. 

“Tanpa membuang masa, saya terus membuat laporan di Balai Polis Bayan Lepas dan selepas itu, saya diarahkan ke Balai Polis Bayan Baru untuk memberikan kenyataan. 

“Kemudian, saya ke bank tersebut untuk membuat laporan rasmi kepada pegawai bank yang bertugas agar tindakan dapat diambil,” katanya. 

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak bank memaklumkan bahawa wang miliknya telah dikeluarkan menerusi transaksi perbankan Internet. 

“Lebih menyedihkan apabila pihak bank memaklumkan bahawa mereka tidak dapat mengenal pasti siapa atau ke mana wang tersebut disalurkan. 

“Malah ia tidak boleh diganti kecuali kakitangan bank yang menyebabkan kehilangan wang tersebut dan segala simpanan saya selama ini lenyap begitu sahaja,” katanya yang berusia 67 tahun. 

Beliau yang tinggal di Kampung Baru, Sungai Ara amat keliru dengan kehilangan wang simpanan tersebut sedangkan beliau tidak pernah memiliki apatah lagi mengaktifkan akaun perbankan Internet. 

“RM7,215 itu bukannya sedikit dan ia merupakan simpanan untuk digunakan ketika kecemasan nanti. 

“Baki yang ada di dalam akaun itu pun merupakan baki wang pencen yang baru dimasukkan baru – baru ini. 

“Pihak yang tidak bertanggungjawab itu menyapu licin segala hasil titik peluh saya dan lebih mengecewakan apabila prosedur yang diamalkan oleh pihak bank seolah-olah ingin melepaskan tangan apabila ada insiden seumpama ini menimpa pelanggan,” katanya yang merupakan pesara buruh am. 

Che Ross berkata, beliau menyesal kerana hanya memiliki satu akaun bank sahaja di mana hasil wang simpanan dan pencen bulanan disalurkan ke akaun yang sama. 

“Saya tidak menyangka perkara seperti ini akan menimpa dan saya berharap agar masyarakat dapat mengambil iktibar dari kejadian ini. 

“Saya juga berharap agar pihak berkuasa dapat menyiasat dan menyelesaikan masalah ini sebelum orang lain turut menjadi mangsa,” katanya.

Lintas jalan bawa padah


 

KLANG - Tindakan seorang pejalan kaki yang juga pekerja swasta melintas jalan membawa padah selepas dia dilanggar motosikal di Persimpangan Tengku Ampuan Rahimah berhadapan stesen minyak Petronas, Taman Desawan di sini dalam kejadian awal pagi semalam. 

Tragedi yang berlaku kira-kira jam 12.55 pagi, mangsa, TRR Geevarajah, 31, beralamat di Lebuh Setaka, Taman Chi Liung, patah tangan kiri dan mengalami luka di bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, siasatan polis mendapati mangsa melintas jalan seorang diri. 

“Belum sempat mangsa sampai ke seberang jalan, secara tiba-tiba sebuah motosikal yang datang dari arah Klang dan dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun gagal mengelak lalu melanggar kaki mangsa. 

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala penunggang motosikal turut luka di bahagian tangan dan lutut kanan,” katanya. 

Menurutnya, mayat mangsa kemalangan kemudiannya dihantar ke Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. 

“Penunggang motosikal yang dalam perjalanan menuju arah Banting turut tercedera dan dia dikejar ke hospital sama untuk rawatan susulan. 

“Polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

Sesiapa yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta menghubungi Balai Trafik Klang Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Naim Saufy di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan.

Dua bot ditahan



PASIR PUTEH - Kapal KM Ligitan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Tok Bali menahan tiga vesel, termasuk kapal kargo tempatan dalam Ops Perkasa Timur 79/2010, kelmarin. 

KM LIGITAN dengan kekuatan 21 anggota yang diketuai Pegawai Memerintah Leftenan Maritim Mohamad Shukri Khotob mengesan bot pertama jam 6.50 pagi, kira-kira 177 batu nautika timur laut Tok Bali. 

Pengarah Operasi Daerah Maritim Tok Bali, Komander Maritim Saiful Lizan Ibrahim berkata, pemeriksaan ke atas bot kelas C2 itu mendapati ianya membawa kapasiti diesel berlebihan di dalam petak penyimpanan ikan yang diubah suai. 

Menurutnya, terdapat satu tekong dan empat awak-awak warga Thailand di atas bot yang membawa diesel pada anggaran 43,000 liter itu. 

“Mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah selain lesen vesel tamat tempoh yang boleh didakwa di bawah Akta Perikanan 1985. 

“Vesel itu juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen (21) (AKTA 122) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa diesel berlebihan tanpa kebenaran yang sah, jika disabitkan dengan kesalahan, pemilik boleh didenda tidak melebihi RM100.000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut. 

Pada jam 7.35 pagi, KM Ligitan mengesan sebuah lagi bot nelayan asing pada jarak 174 batu nautika dari timur laut Tok Bali. 

Hasil pemeriksaan katanya, bot itu membawa minyak diesel pada anggaran 30,000 liter di dalam petak penyimpanan ikan yang juga diubah suai. 

“Kita mengesyaki satu tekong dan lima awak-awak Thailand terbabit dalam aktiviti pemindahan diesel di laut,” katanya sambil memberitahu kes itu juga dirujuk kepada KPDNKK. 

Ketika kedua-dua vesel itu ditunda ke Pangkalan APMM Tok Bali katanya, KM Ligitan mengesan sebuah bot kargo tempatan dalam keadaan mencurigakan jam 2.40 Petang pada jarak 132 Batu nautika dari Timur Laut Tok Bali. 

Hasil pemeriksaan atas kapal berkenaan katanya, terdapat satu nakhoda dan 19 awak-awak Thailand yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. 

“Semua Kru termasuk Nakhoda tidak memiliki Kad Pelaut, Kapal itu juga tidak memiliki Jaket Keselamatan dan tidak mematuhi notis keselamatan yang tertera di vesel semasa pelayaran seperti dalam syarat sah lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut,” katanya sambil memberitahu bahawa kapal itu belayar melebih had pelayaran yang ditetapkan.

Tenggiling bernilai RM50,000 dirampas




MUAR – Pasukan Gerakan Marin (PGM) Muar berjaya merampas 23 tenggiling bernilai RM50,000 selepas menahan sebuah kereta Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan di Parit Tengah Darat, Parit Jawa, di sini, semalam. 

Pegawai Perintah Markas Operasi PGM Muar, Asisten Superintendan Mohd Nordin Osman berkata, kejayaan PGM merampas haiwan eksotik itu hasil maklumat dan risikan anggotanya. 

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, Ketua Operasi PGM, Inspektor Mohd Naser Marzuke dan beberapa anggota lain mengekori kenderaan suspek, seorang lelaki berumur lingkungan 40-an di Parit Jamil Darat, di sini. 

“Sebaik anggota PGM menghampiri dan mengarahkan kenderaan ini berhenti, suspek terus memecut kenderaannya. 

“Anggota PGM terus mengejar suspek sehingga ke Parit Tengah Darat di mana suspek memberhentikan kereta dan melarikan diri ke kawasan kebun sawit berhampiran,” katanya dalam sidang media di markas PGM, di sini, semalam. 

Mohd Nordin berkata, hasil pemeriksaan di bahagian bonet belakang kereta itu, anggota PGM menemui 23 karung mengandungi tenggiling, termasuk 17 karung berisi tenggiling betina. 

“Kami percaya haiwan ini diseludup dari negara jiran dan kawasan ini menjadi tempat transit sebelum diseludup semula ke negara lain," katanya. 

Mohd Nordin berkata, tahun ini PGM Muar berjaya membuat dua tangkapan berkaitan penyeludupan tenggiling. 

“Haiwan ini akan diserahkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Skim cepat kaya: Seorang lelaki ditahan



28/10/2010 12:52pm

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 30-an telah ditahan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Putrajaya bagi membantu siasatan ke atas sebuah syarikat skim cepat kaya di Taman Equine Park di Seri Kembangan dekat sini awal pagi ini.
Pengarah Kanannya, Shahrudin Hamzah berkata, dalam serbuan ke atas premis itu pada pukul 10.30 malam tadi, seramai 30 ahli syarikat turut diperiksa dan diambil keterangan, sebelum mereka dibebaskan.
"Serbuan tersebut dibuat atas hasil maklumat dan aduan dari orang ramai.
“Lelaki yang ditahan itu dipercayai orang kuat skim tersebut. Kita turut menyita beberapa buah komputer riba (laptop) dan berpuluh-puluh kepingan risalah mengenai skim ini yang dipercayai untuk diedarkan kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian awal pagi ini setelah menamatkan operasi tersebut.
Beliau berkata, skim itu dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan menjanjikan pulangan hampir mencecah RM100,000 dalam tempoh sebulan kepada pelabur yang membuat pelaburan minimum RM3,000 seorang.
Sebelum mengajak ahli melabur, syarikat itu menarik orang ramai dengan menjual pelbagai produk, termasuk produk kosmetik dan kesihatan, dan selepas itu memujuk mereka melabur dalam skim cepat kayanya, kata Shahrudin. – Bernama

Juruwang dituduh curi RM910,000




MOHD. NASIR menutup muka bagi mengelak gambarnya dirakam jurugambar semasa dibawa ke Mahkamah Majistret di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Seorang ketua juruwang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam bagi menghadapi tuduhan mencuri wang sebanyak RM910,000 milik bank tempatnya bekerja di Lebuh Bishop dekat sini pada 18 Oktober lalu.
Pertuduhan terhadap Mohd. Nasir Ismail, 46, dibacakan di hadapan Majistret Nor Aini Yusof.
Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chun Keat meminta wang jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, R.S.N. Rayer merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan anak guamnya perlu menanggung empat anak yang masih bersekolah.

Pegawai Imigresen tak mengaku salah 3 tuduhan rasuah



MOHD. YUSOF dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas tiga tuduhan rasuah.


SEREMBAN - Seorang pegawai Imigresen Port Dickson semalam tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga tuduhan rasuah melibatkan suapan RM66,950 pada Julai dan September lalu.
Tertuduh, Mohd. Yusof Bahari, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sabariah Atan dan minta dibicarakan.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan RM80 bagi setiap warga Indonesia yang menaiki feri Rasa Rindu 2 membolosi pemeriksaan Imigresen tanpa diperiksa. Rasuah itu didakwa diterima daripada seorang lelaki di sebuah restoran berhampiran Hotel Suria, Port Dickson pada pukul 7.30 malam 20 Julai lepas.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah RM41,110 daripada orang tengah untuk melepaskan warga Indonesia yang juga penumpang feri Rasa Rindu 2 antara 20 Julai hingga 6 September lepas.
Dalam tuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa menerima RM25,840 daripada seorang lelaki bernama Mohamad Shariman Sharuddin untuk menghalang warga Indonesia balik ke negara mereka walaupun memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Lari dari gunung berapi





SUKARELAWAN mengusung mayat seorang mangsa letusan Gunung Merapi di Kampung Kinarrejo berdekatan Yogyakarta semalam.



KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta semalam mengesahkan tiada laporan kematian atau kecederaan yang melibatkan rakyat Malaysia termasuk pelajar dalam kejadian gempa bumi dan letusan Gunung Merapi di Indonesia.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta akan terus memantau situasi terkini di Kepulauan Mentawai, Sumatera dan Jawa Tengah tempat berlakunya gempa bumi dan letupan gunung berapi tersebut.
Kenyataan itu menyebut, Kementerian Luar telah menubuhkan Bilik Operasi untuk menerima sebarang pertanyaan mengenai tragedi berkenaan.
Jelasnya, orang ramai boleh memperoleh maklumat dengan menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya menerusi talian 03-8889 2746 atau 03-8887 4570

Pelakon filem Susuk bercerai




ALEEZA kelihatan sebak ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lumpur bersama Mohd. Fauzi semalam.


KUALA LUMPUR – Model dan pelakon filem Susuk, Aleeza Kasim sah bercerai dengan suaminya, Datuk Mohd. Fauzi Che Rus di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam. Lafaz cerai tersebut dibuat oleh suaminya secara tertutup di kamar Hakim Syarie Mohd. Suhaily Rosdi.
Pasangan tersebut memasuki kamar hakim pada pukul 9.15 pagi dan keluar kira-kira 15 minit kemudian.
Aleeza, 40, dilihat menangis teresak-esak manakala Mohd. Fauzi, 47, nampak tenang.
Ketika dihampiri oleh wartawan dan jurufoto, kedua-dua mereka enggan ditemu bual.
Mereka kemudian pulang secara berasingan menaiki kenderaan masing-masing.

Seks kaki dadah




ANGGOTA AADK menyoal siasat lima penagih dadah yang ditahan dalam serbuan di Jalan Datuk Dalam, Johor Bahru kelmarin.


JOHOR BAHRU - Melakukan seks beramai-ramai sambil menghisap dadah.
Itulah tindakan yang disyaki sering dilakukan oleh sekumpulan lima penagih dadah sebelum dicekup sepasukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Johor di sebuah pondok haram di Jalan Datuk Dalam di sini petang kelmarin.
Difahamkan, kesemua penagih dadah termasuk seorang wanita berusia 20-an sedang khayal ketika dicekup. Beberapa kondom terpakai juga ditemui bersepah di lantai pondok haram terbabit.
Malah, hasil pemeriksaan di pondok penagih terbabit turut menemui pelbagai pakaian yang disyaki disimpan penagih-penagih terbabit sebagai kemudahan untuk mereka menginap di situ.
Penolong Pegawai AADK Johor, Zulhilmi Ahmat berkata, kesemua penagih terbabit ditahan dalam Ops Res-Q selama tiga jam bermula pukul 3.30 petang kelmarin hasil maklumat orang ramai.
Turut ditemui ialah beberapa kad pengenalan, lesen memandu, kad-kad bank serta kad kredit dipercayai diperoleh daripada kegiatan ragut yang dilakukan oleh penagih-penagih terbabit.
Katanya, selain itu, beberapa dadah jenis heroin, morfin dan ganja juga ditemui.
"Pihak kami percaya pondok haram yang didirikan ini merupakan markas penagih-penagih dadah berkumpul untuk menghisap dadah selain melakukan aktiviti maksiat.
"Hasil siasatan juga mendapati pondok yang berdindingkan kayu serta beratap kain khemah itu dipercayai telah didirikan baru-baru ini," katanya semasa dihubungi semalam.

Kena simbah cuka akibat tolak cinta





2010/10/28

KEADAAN Ain yang melecur 70 peratus di bahagian muka, tangan dan badan, di bilik rawatan Hospital Pulau Pinang.
KEADAAN Ain yang melecur 70 peratus di bahagian muka, tangan dan badan, di bilik rawatan Hospital Pulau Pinang.
GEORGETOWN: Akibat cinta tidak berbalas, seorang lelaki menyimbah cuka getah ke muka bekas rakan sekerjanya bagi membalas dendam di depan rumah nenek wanita itu di Taman Cenderwasih, Seberang Prai Selatan, baru-baru ini. 

Berikutan kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Ain, 21, melecur 70 peratus di bahagian muka, tangan dan badan, masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Mangsa merancang mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya selepas sambutan Aidiladha bulan depan, buntu memikirkan masa depannya berikutan kecederaan dialaminya.
Ain berkata, beliau tidak menyangka lelaki itu sanggup menyimbah asid kerana mahu membalas dendam akibat cinta tidak berbalas. 

“Saya kecewa dengan perbuatannya dan berharap dia dikenakan tindakan sewajarnya, setimpal dengan kesalahan yang dilakukan," katanya. 

Mengimbau kejadian itu, Ain berkata, kejadian berlaku jam 11 malam pada 17 Oktober lalu di depan rumah neneknya ketika beliau bersama ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah. 

Katanya, ketika tiba di depan pagar rumah, beliau dihampiri motosikal suspek sebelum disimbah cuka getah ke muka sambil suspek mengejek ‘padan muka hang’ dan berlalu pergi. 
"Saya tersentak dengan muka dan badan menjadi sejuk seketika sebelum bertukar panas dan seluruh kulit bertukar menjadi hitam dan terbakar dan membengkak. Suasana ketika itu sukar digambarkan kerana kesakitan yang amat sangat. Saya berlari ke rumah untuk meminta bantuan," katanya. 

Katanya, beliau dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan lanjut. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata suspek yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan pada 20 Oktober lalu di rumahnya. 

Katanya, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana cintanya tidak berbalas.

Juragan bot karam didakwa



Oleh Mohd Roji Kawi 
mdroji@bharian.com.my
2010/10/28

  TING dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bintulu atas tuduhan menyebabkan   13 penumpang bot ekspres maut.
TING dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bintulu atas tuduhan menyebabkan 13 penumpang bot ekspres maut.
Dituduh cuai sebabkan 13 maut akibat langgar tongkang 

KUCHING: Juragan bot ekspres yang karam selepas berlanggar dengan tongkang balak di hulu Sungai Anap, Tatau, 18 Oktober lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Bintulu dekat sini, semalam, atas tuduhan menyebabkan kematian 13 penumpangnya.
Ting Meng Siik, 58, dari Sibu, didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian 13 penumpang selepas bot ekspres Liang Yu dalam perjalanan dari pekan Tatau ke Hulu Kakus yang dipandunya terbalik.
Mengikut seksyen itu, jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Majistret Ahmad Zulfadli Hamdan, bagaimanapun membebaskan Ting dengan ikat jamin RM30,000 oleh dua penjamin, manakala pasportnya ditahan mahkamah. 

Ahmad Zulfadli kemudian menetapkan 1 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Bintulu. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hairun Najmi, manakala tertuduh diwakili peguam Stephanie Chieng. 
Dalam kejadian jam 2.30 petang 18 Oktober lalu, bot ekspres difahamkan membawa kira-kira 30 penumpang itu terbalik dan karam selepas berlanggar dengan sebuah tongkang balak. 

Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dalam siasatan awalnya mengenal pasti kecuaian manusia sebagai punca kejadian itu. 

Pemandu bot berkenaan dikatakan cuai kerana cuba memotong tongkang di hadapan yang ditarik sebuah kapal tunda di sebuah selekoh sungai yang sempit dan berbahaya. 

Mangsa terkorban dalam nahas sungai terburuk di Sarawak itu ialah Bremas Nyuweng, 26; Peter Julan, 28; Amilia Sisa Peter, 3; Wong Siew Guan, 21; Wilfred Ukir Salleh, 56; Reas Rengan, 75; Jennifer Yak, 10 bulan; Undah Engkeramat, 22; Lily Manggi, 38; Lenny Ibun, 9; Jau Deng, 43; Alicia Emelda Sumping, 5 dan Empam Untam, 40.