Search This Blog

Wednesday, October 27, 2010

Mahkamah batalkan saman RM5 juta Saari Sungib terhadap polis





2010/10/27

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman RM5 juta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang Saari Sungib terhadap 
polis yang didakwa bertindak tidak profesional sehingga menjatuhkan maruah 
beliau di khalayak ramai pada satu perhimpunan di sebuah pusat beli-belah,
Subang Jaya, dua tahun lalu. Saari, yang diwakili peguam Anwar Ezzad, menamakan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku defendan, dan mereka diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohd Radhi Abas.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan membatalkan saman itu dengan kos 
dalam kamarnya selepas membenarkan permohonan pihak polis. 

Antara alasan pembatalan saman itu ialah writ saman dan penyataan tuntutan ADUN berkenaan gagal menamakan pegawai yang bertanggungjawab atas kejadian yang didakwa dilakukan mengikut Seksyen 5 dan 6(1) Akta Prosiding Kerajaan 1956. 

Pihak polis juga menyatakan jika pegawai berkenaan tidak dinamakan sebagai defendan, bagaimana beliau hendak membela diri bagi menafikan tuduhan yang dilemparkan kepada mereka. 
Dalam pernyataan tuntutannya, Saari mendakwa pada 18 Mac 2007, kira-kira 10 anggota polis, tanpa tidak memberi amaran, telah memaut lehernya dengan kuat dari belakang ketika beliau sedang memberikan taklimat kepada kira-kira 50 orang awam di pusat beli-belah itu, yang bertujuan memberi kesedaran mengenai kesan kenaikan harga tol lebuh raya. 

ADUN PAS itu mendakwa anggota polis terbabit telah memukul, mengheret, 
menggenggam atau meramas zakar beliau di khalayak ramai dengan kasar, yang 
bertujuan menghalangnya dari meneruskan taklimat tersebut kepada orang awam. 

Saari juga mendakwa anggota polis terbabit telah meniarapkan badannya dengan 
kasar, serta menekan beliau dengan kuat ke lantai untuk digari, sehingga 
mencederakan lututnya. 

Beliau mendakwa tindakan anggota polis itu terjumlah kepada suatu tindakan fitnah terhadapnya dalam bentuk lisan secara tindakan, dan melampaui batasan atau kuasa. 

Katanya, beliau telah mendapatkan rawatan pada hari yang sama, dan laporan 
doktor mengesahkan beberapa kecederaan serta luka di kedua-dua pergelangan 
tangan, bahu kiri, tangan kanan, siku kanan dan tangan kiri. 

Saari mendakwa ditahan di Balai Polis Subang Jaya secara tidah sah selepas 
itu, dan walaupun satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu, 
sehingga kini beliau tidak mengetahui sebarang perkembangan mengenai hasil 
siasatan kes berkenaan. 

Beliau kemudian telah mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan notis 
tuntutan kepada semua defendan pada 24 Oktober 2007, namun hanya menerima sepucuk surat dari Jabatan Peguam Negara pada 15 Nov yang memaklumkan bahawa semakan mengenai perkara yang berlaku ke atasnya sedang dilakukan, dan sehingga kini, semua defendan gagal memberi sebarang penjelasan munasabah kepadanya. 

Sehubungan itu, Saari meminta mahkamah mengeluarkan perintah injunksi bagi 
melarang defendan atau anggota bawahan mereka supaya tidak mengulangi tindakan 
kasar mereka terhadapnya, surat permohonan maaf, ganti rugi am RM3 juta, ganti 
rugi teladan RM1 juta, ganti rugi melampau RM1 juta, ganti rugi khas RM1,000, 
faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. 

Sementara itu, dalam pernyataan pembelaan mereka, kesemua defendan antara lain, menafikan dakwaan Saari dan mendakwa Adun itu didapati menyampaikan ucapan berbaur hasutan bagi membangkitkan kemarahan kepada kerajaan kepada kira-kira 300 orang dalam satu perhimpunan yang tidak mempunyai permit, mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967. 

Mereka juga mendakwa Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya telah memberi 
arahan kepada Saari untuk bersurai kerana perhimpunan itu tidak mempunyai 
permit, tetapi ADUN itu enggan berbuat demikian malah meneruskan ucapannya. 

Justeru, defendan berkata pihak polis telah bertindak menangkap Saari 
sebagai langkah terakhir untuk menghalang beliau daripada meneruskan ucapannya. 

Mereka mendakwa Adun itu telah bertindak agresif kerana enggan menyerah 
diri, melawan serta tidak memberikan kerjasama sehingga berlaku bergelutan yang 
menyebabkan polis bertindak menggunakan kekerasan munasabah bagi menahan beliau. 

Mengenai laporan polis Saari, mereka mendakwa satu kertas inkuiri telah 
dibuka dan siasatan telah dijalankan oleh Cif Inspektor Roslin Mohamad Isa. 

Bagaimanapun, mereka mendakwa kes itu masih belum selesai kerana Adun 
tersebut tidak memberikan kerjasama bagi membolehkan percakapan mengikut Seksyen 
112 Kanun Prosedur Jenayah dirakam. - BERNAMA

Korban Gunung Merapi meningkat



27/10/2010 12:14pm

Yogyakarta 27 Okt. – Sekurang-kurangnya 25 terkorban dan beribu-ribu lagi terpaksa melarikan diri apabila Gunung Merapi di pulau Jawa Indonesia mula meletus semalam.
Ahli saintis sebelum ini telah mengeluarkan amaran bahawa tekanan yang semakin meningkat di bawah kubah lahar gunung itu boleh mencetuskan letupan paling kuat dalam tempoh beberapa tahun.
Bagaimanapun, pakar gunung berapi kerajaan, Gede Swantika menyuarakan harapan letupan yang mengeluarkan batu dan lahar menuruni cerun gunung itu, mungkin akan mengeluarkan wap secara perlahan-lahan.
“Adalah terlalu awal untuk memastikannya. Letupan susulan mungkin akan berlaku, tetapi jika ia terus meletup seperti ini untuk seketika, kita akan berhadapan dengan letupan perlahan dan berpanjangan,” katanya. – AP

15 orang terbunuh terkena abu letusan Gunung Merapi



27/10/2010 12:29pm

YOGYAKARTA 27 Okt. - Sekurang-kurang 15 orang terkorban sehingga pagi ini termasuk seorang wartawan setelah Gunung Merapi meletus sejak petang semalam.
Mangsa-mangsa ditemui mati dalam keadaan rentung akibat terkena abu panas yang dihambur oleh Merapi.
Kebanyakan mangsa ditemui di kawasan rumah penjaga kunci Merapi, Mbah Maridjan di Sleman dan mayat wartawan tempatan itu ditemui di dalam rumah lelaki warga emas yang dipercayai mempunyai keahlian luar biasa kerana terselamat ketika Merapi meletus pada tahun 2006.
Dalam pada itu Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia telah memindahkan 44 orang dari sebuah pesantren yang berada 15 kilometer dari kaki gunung Merapi di Magelang dekat sini ke Solo, tengah malam tadi.
Mereka terdiri 34 orang pelajar Malaysia serta tiga orang isteri mereka dan dua orang bayi.
Mereka yang dipindahkan adalah dari pasentran Sirojul Mukhlasin, Magelang ke Solo, Jawa Tengah.
Turut dipindahkan ialah dua pelajar warganegara Singapura.
Operasi itu diketuai oleh Pengarah MSD, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar. - Utusan

Maridjan ditemui mati dalam keadaan sujud



27/10/2010 11:47am



MAYAT dipercayai penjaga kunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan ditemui mati di dalam rumahnya di kaki gunug berapi tersebut di Jawa Tengah, Indonesia. - UTUSAN


YOGYAKARTA 27 Okt. - Penjaga kunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan dipercayai ditemui mati di dalam rumahnya di kaki gunung berapi itu dekat sini dalam keadaan sujud.
Jenazah itu ditemui keadaan sujud dan mengadap kiblat dan kini ditempatkan di Hospital Sandjito.
Doktor hospital berkenaan, Kresno Heru Nugroho berkata, ciri-ciri fizikal mayat itu sama dengan Mbah Maridjan.
Pakaiannya juga, kata beliau adalah sama dengan yang diberi gambaran oleh keluarga warga emas itu.
Bagaimanapun jelas doktor berkenaan pengesahan hanya dapat dibuat apabila selesai ujian DNA.
Masyarakat Jawa mempercayai jurukunci merupakan orang perantaraan roh gunung berapi dengan masyarakat. - Utusan

Iran tahan anggota kumpulan pemberontak Sunnah



27/10/2010 2:38am

TEHRAN 27 Okt. - Iran menahan tiga anggota kumpulan pemberontak Sunnah yang mendakwa memainkan 'peranan besar' dalam serangan letupan maut ke atas sebuah masjid Syiah di tenggara negara ini semalam.
Agensi berita rasmi, IRNA melaporkan, lebih 20 orang termasuk anggota pasukan elit Revolutionary Guards terbunuh manakala 100 yang lain cedera dalam dua serangan nekad di masjid itu di Zahedan Julai lalu.
"Tiga pengganas ini memasuki negara jiran secara haram sebelum mereka melancarkan serangan tersebut dan menerima latihan yang diperlukan untuk aktiviti anti-keselamatan mereka di sana," IRNA memetik seorang pegawai kanan tempatan sebagai berkata. - REUTERS

Anggota militan Indonesia Mujahiddin Aceh ditahan



27/10/2010 8:26pm

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Seorang lelaki, dipercayai anggota kumpulan Mujahiddin Aceh (KMA), sebuah pertubuhan militan Indonesia yang memperjuangkan penubuhan negara Aceh secara kekerasan, telah ditahan pada 29 September lepas.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail berkata, Taufiq Marzuki @ Sulaiman Tarmizi, 29, ditahan mengikut Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 kerana disyaki terlibat dalam kegiatan militan yang boleh memudaratkan keselamatan negara.
"Taufiq telah melarikan diri ke Malaysia pada 12 Mac lepas apabila Kem Latihan Ketenteraan yang dibina oleh kumpulannya sebagai tapak bagi membina kekuatan ideologi dan ketenteraan di Bireuen, Acheh, diserbu polis Republik Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penahanan itu bagi membolehkan siasatan rapi dijalankan kerana kehadiran Taufiq di Malaysia boleh menjejaskan keselamatan negara. - Bernama

Abang rayu Noor Kalsom pulang



HUTAN MELINTANG – Seorang gadis dipercayai hilang apabila tidak pulang sejak keluar dari rumah pada 16 Oktober lalu untuk ke klinik melihat keadaan rakannya yang tidak sakit. 

Gadis berkenaan, Noor Kalsom Mohd Ali, 22, yang sepatutnya berkahwin pada 28 November ini masih belum pulang ke pangkuan keluarga biarpun usaha mencari sudah dilakukan. 

Abangnya, Shodikul Ameen Mohd Ali, 29, berkata, adik bongsunya itu hilang sebaik sahaja menerima panggilan telefon menyatakan seorang rakannya berada di Klinik Kesihatan Sungai Sumun mendapatkan rawatan dan adiknya terus meminta kebenaran untuk ke klinik berkenaan. 

“Lepas sejam dia keluar, kami mula risau sebab masih tidak pulang-pulang dan saya terus ke klinik kesihatan itu untuk mencarinya tetapi dia tiada di situ. 

“Kami sekeluarga kemudiannya terus mencari adik di merata tempat sehingga malam dan kemudian membuat laporan polis,” katanya kepada ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Lot 5343, Lorong Mesra, Batu 12, Jalan Bagan Datoh, di sini, semalam. 

Shodikul Ameen berkata, kehilangan adiknya itu cukup merisaukan kerana semasa keluar untuk ke klinik itu, tiada apa yang dibawanya malah Mykad juga tinggal di rumah bersama kad ATM. 

"Tiada pakaian yang dibawa bersama dan tidak mungkin Noor Kalsom lari dari rumah kerana dia keluar sehelai sepinggang. 

"Noor Kalsom tinggal bersama ibu, Maimunah Abdul Karim, 53, di Parit 11, Batu 16, Jalan Bagan Datoh, dan bekerja di kedai makan milik keluarga," katanya. 

Shodikul Ameen berkata, dia tidak tahu bagaimana lagi cara untuk menjejakinya kerana telefon yang digunakan juga tidak dibawa bersama ketika keluar rumah. 

“Kami sekeluarga sangat risau dengan keadaannya sekarang dan sehingga kini tiada sebarang khabar berita sama ada dia masih hidup atau sebaliknya,” katanya. 

Menurutnya, kehilangan adiknya menyebabkan perkahwinan gadis itu terpaksa dibatalkan sedangkan kad jemputan telah dicetak sebanyak 1,500 keping. 

Beliau berkata, majlis pernikahan sepatutnya diadakan pada 13 November nanti tetapi semua persiapan dan perancangan terpaksa dibatalkan kerana majlis itu tidak akan diadakan. 

“Ibu kami tidak sihat kerana memikirkan nasib adik yang masih belum pulang sehingga ke hari ini. 

“Saya berharap kepada orang ramai yang pernah melihat dan mempunyai maklumat mengenai Noor Kalsom agar dapat menghubungi kami sekeluarga atau pihak polis,” katanya. 

Kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Noor Kalsom diminta menghubungi Shodikul Ameen di talian 016-5554423 atau adik iparnya, Razak Ibrahim, 32, menerusi talian 010-4614077.

Siti Balqis hilang dipercayai dilari ke Gunung Jerai



BESUT - Gadis misteri, Siti Balqis Mohd Nor, 22, dari Kampung Gong Nangka, dekat Apal, di sini, mengejutkan keluarganya apabila dia kembali ‘ghaib’ kira-kira jam 9 malam Ahad lalu selepas 15 hari tidak pulang. 

Ibunya, Norizan Said, 47, berkata, anaknya kali ini keluar dari rumah dengan menaiki kenderaan Perodua Kembara miliknya. 

Kata Norizan, anaknya ada menghubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahu dia meningalkan kenderaan itu di stesen bas. 

“Gerakan mencari diusahakan dan menemui kenderaan itu berkunci berhampiran stesen kereta sewa berhampiran stesen bas Jertih kira-kira jam 1 pagi. 

“Apa yang menjadi persoalan kenderaan itu tidak ada kunci pendua dan kunci berada dalam simpanan saya,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih mengenai kehilangan anaknya dan kereta itu. 

Norizan memberitahu, pada malam dia mula-mula hilang, anak saudaranya, Noraini Ghani, 25, yang tinggal di Sungai Petani, Kedah menghubunginya memberitahu terlihat kelibat Siti Balqis di rumah itu. 

Katanya, Siti Balkis kali ini turut dilarikan makhluk halus ke Gunung Jerai berdasarkan SMS yang dikirimkan anaknya kira-kira jam 5 pagi kelmarin memberitahu berada di gunung itu. 

Katanya, anaknya dilarikan makhluk halus selepas Siti Balqis meninggalkan kereta di stesen kereta sewa itu. 

Sehingga jam 7.30 malam semalam, Siti Balqis masih belum ditemui dan kehilangannya dikatakan paling lama berbanding sebelum ini. 

“Saya diberitahu (secara ghaib) Siti Balqis dalam perjalanan pulang,” dakwa Norizan ketika ditemui Sinar Harian malam semalam. 

Sementera itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan gadis tersebut dan berkata pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut dan mengesan gadis itu.

Bapa rayu OKU pulang




KUANTAN – Seorang pengawal keselamatan dari Kampung Baru Chendering dekat sini, merayu anak bongsunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) supaya pulang ke rumah selepas enam hari menghilangkan diri. 

Hashim Idris, 65, berkata, anaknya, Mohd Shahrul Affendi, 21, yang dilahirkan pekak dan bisu mula dikesan tidak pulang ke rumah pada 21 Oktober lalu dipercayai akibat merajuk selepas gagal dalam ujian undang-undang untuk mengambil lesen motosikal beberapa kali. 

Menurutnya, selepas menyedari anaknya tidak pulang ke rumah, isterinya Siti Minah Ismail, 61, membuat laporan polis di balai polis terdekat kerana bimbangkan keselamatannya. 

“Anak saya itu sudah lama menyuarakan hasrat mahu memiliki motosikal namun saya menasihatkannya untuk mengambil lesen terlebih dahulu atas tujuan keselamatan. 

“Berikutan itu, dia sudah lima kali mengambil ujian undang-undang dengan menggunakan komputer dan ujian bertulis dengan sebuah sekolah memandu di sini namun masih gagal,” katanya ketika hadir ke pejabat Sinar Harian di sini, semalam. 

Katanya, anak bongsu daripada enam beradik itu sepatutnya mengambil ujian undang-undang sekali lagi pada 21 Oktober lalu namun guru sekolah memandu berkenaan memaklumkan tempat untuk pengambil lesen sudah penuh. 

“Guru berkenaan kemudiannya memaklumkan tarikh pengambilan ujiannya ditunda pada 11 November depan namun dia hanya mendiamkan diri sahaja. 

“Isteri saya yang lebih rapat dengannya memberitahu Mohd Shahrul berasa semua orang menipunya dan tidak mahu membantunya mendapatkan lesen sedangkan perkara itu tidak benar,” katanya. 

Hashim berkata, anaknya diketahui sudah membeli peralatan keselamatan untuk menunggang motosikal seperti jaket, sarung tangan dan menandakan kalendar pada tarikh 21 Oktober sebagai tarikh dia akan memperoleh motosikal. 

“Saya katakan padanya saya boleh ikhtiarkan untuk membeli motosikal namun dia harus mendapatkan lesen terlebih dahulu supaya geran boleh diletakkan di atas namanya. 

“Mungkin sebab itu dia merajuk dan terus tidak pulang ke rumah,” katanya. 

Menurutnya, anaknya baru empat bulan bekerja sebagai tukang sapu di Masjid Sultan Ahmad Shah 1 di sini dan tidak pernah bekerja sebelum ini. 

“Saya sudah menghubungi kawan sekerja yang rapat dengannya namun dia juga tidak tahu di mana anak saya berada. 

“Rakannya itu memberitahu saya, pada 21 Oktober anak saya menumpang tidur di rumahnya di Jabor tetapi terus tidak kelihatan selepas itu,” katanya. 

Katanya, dia juga sudah menghubungi anaknya di Johor dan Kuala Lumpur namun mereka memberitahu adik mereka itu tidak berkunjung ke sana. 

“Saya risaukan keadaannya kerana dia anak yang baik dan mendengar kata malah tidak pernah bertindak sebegini sebelum ini. 

“Saya merayu dia supaya segera pulang tambahan pula dengan keadaan ibunya yang menghidap darah tinggi semakin teruk kerana merinduinya,” katanya yang turut menghidap asma sejak tujuh tahun lalu.

Lima ditangkap positif dadah



JOHOR BAHRU – Seramai lima individu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri ini selepas positif dadah dalam satu serbuan di sebuah kawasan lapang di Jalan Dato Dalam, di sini, semalam. 

Operasi selama tiga jam yang dinamakan sebagai Ops Res-Q di lokasi terbabit dan sebuah tanah lapang berhampiran Danga City Mall itu bermula sekitar jam 3.30 hingga 6.30 petang dengan kekuatan 15 pegawai dan anggota AADK negeri. 

Ketua Unit Operasi AADK negeri, Zulhilmi Ahmat berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam seterusnya membuat intipan selama tiga hari di dua lokasi terbabit. 

Menurutnya, pihaknya menahan empat lelaki dan seorang wanita di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 selepas didapati positif dadah dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan. 

“Bertindak atas maklumat daripada orang awam, AADK Johor Bahagian Penguatkuasaan membuat serbuan dan pemeriksaan di dua buah kawasan yang dijadikan sebagai ‘port’ untuk menghisap dadah. 

“Hasil pemeriksaan kemudian mendapati lima individu ditahan di dalam pondok ketika sedang khayal dipercayai baru menghisap dadah malah AADK Johor juga tidak menolak kemungkinan ‘port’ sama dijadikan tempat penagih berteduh selain melakukan maksiat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Bersalah bunuh jiran



KOTA BHARU – “Dalam kes ini mangsa ditikam 32 kali dan ketika kejadian itu pada 14 September 2006 mahkamah boleh bayangkan mangsa alami serangan dahsyat dan kejam. 

“Sepanjang kerjaya saya ini gambar kejadian paling tragik saya tengok, di mana mangsa wanita, yang tidak boleh bertindak untuk pertahankan diri,” kata Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim sebelum menjatuhkan hukuman di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam. 

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun mulai tarikh tangkapan pada 15 September 2006 terhadap tertuduh, Rahim Ngah, 33, selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan tertuduh bersalah dan disabitkan atas pertuduhan pindaan itu. 

Dalam pertuduhan pindaan, tertuduh mengaku bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan dan melakukan kesalahan membunuh terhadap Norazlina Awang, 27, di sebuah rumah di Kampung Pantai Senok, Bachok antara jam 8 dan 9.30 pagi, 14 September 2006.: 

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda. 

Dalam penghakimannya, Ahmad Zaidi berkata, walaupun tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan itu ia alasan paling ringan mahkamah patut beri pertimbangan. 

“Berdasarkan bedah siasat separuh daripada 32 tikaman itu dibuat selepas mangsa mati, kejadian itu berlaku dengan kehadiran anak mangsa yang berusia setahun. Apa-apa alasan sekalipun ia kesalahan kejam. 

“Tertuduh hari ini (semalam) bernasib baik kerana pindaan pertuduhan dibuat daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati kepada Seksyen 304(a),” katanya. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Khairul Anuar Wahab dalam hujahnya berkata, kejadian itu berlaku di rumah berhadapan dengan rumah tertuduh kerana keluarga mangsa menyewa rumah kakak tertuduh. 

“Tertuduh berkawan dengan keluarga si mati. Kejadian ini seolah-olah harapkan pagar, pagar makan padi. Tertuduh sepatutnya orang yang boleh dipercayai kerana berkawan dengan suami si mati. 

“Ketika kejadian anak si mati berusia setahun ada di situ. Alangkah zalim ia dilakukan di depan bayi dan si mati ditikam banyak kali. Ada tikaman dibuat selepas si mati sudah meninggal dunia,” katanya. 

Menurutnya, tertuduh juga menutup perbuatan jenayahnya dengan cuba menghapuskan jejak dan bukti seolah-olah ia kejadian rompakan. 

Katanya, ketika kejadian tertuduh menyedari apa yang dilakukannya dan diharapkan mahkamah menjatuhkan hukuman yang mencerminkan keseriusan jenayah yang dilakukannya itu.

23 maut akibat tsunami



JAKARTA - Sekurang-kurangnya 23 orang terkorban manakala 160 lagi masih hilang selepas gegaran sekuat 7.7 skala Ritcher mencetuskan gelombang tsunami yang membadai perkampungan di pulau-pulau terpencil di barat Indonesia, kelmarin. 

Angka kematian akibat gegaran yang berpusat 20 kilometer di bawah dasar laut dijangka akan terus bertambah berikutan laporan kemusnahan harta benda dan penduduk yang cedera dalam kejadian itu semakin meningkat, semalam. 

Menteri Kesihatan, Mujiharto berkata, tsunami setinggi tiga meter itu menenggelamkan beratus-ratus rumah di Pagai dan Silabu yang terletak di sebahagian pulau terpencil di Pulau Mentawi. 

Pegawai Agensi Pengurusan Bencana, Ade Edward menyatakan seramai 23 mayat ditemui di pesisiran pantai Pagai yang paling teruk terjejas manakala 167 lagi masih hilang. 

Paras air di sesetengah kawasan mencecah sehingga ke paras bumbung dan 80 peratus rumah di kampung Muntei Baru di Silabu musnah selepas kejadian itu.

Ibu maut kena gilis



PENDANG – Seorang wanita maut digilis lori pasir di Titi Kampung Hampar, di sini, petang Ahad lalu. 

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, Rosiah Hussin, 47, dari Kampung Tok Sedau, dekat sini, dikatakan terjatuh apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan lori berkenaan sebelum digilis. Mangsa ketika itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari pekan ini. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah Pendang, Cif Inspektor Abdul Ghani Khamis berkata, mangsa yang meninggalkan suami dan empat anak, menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian. 

“Motosikal mangsa dan lori itu datang dari arah jalan Sungai Tiang ke Pekan Pendang ketika lori terbabit tergesel dengan motosikal mangsa yang berada di kiri laluan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan digilis tayar belakang lori itu,” katanya. 

Abdul Ghani berkata, kejadian itu berlaku ketika kedua-dua kenderaan tiba di pangkal jambatan berikutan laluan yang sempit, tambahan pula ada kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, lori yang membawa muatan pasir melebihi had itu datang dari Bukit Selambau.

Abdul Ghani berkata, pemandu lori terbabit terus melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh orang awam yang melihat kejadian itu.

“Seorang pemandu lain yang menyedari pemandu lori itu cuba lari meminjam motosikal penduduk untuk mengejar dan berjaya menahan lori itu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian,” katanya.

Abdul Ghani berkata, pihak polis meminta lelaki terbabit tampil ke balai polis bagi membantu siasatan memandangkan dia yang melihat kejadian yang berlaku.

Selain itu, beliau meminta semua pemandu lori yang melalui jalan itu lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang memandangkan laluan di tempat itu begitu sempit dan digunakan ramai penunggang motosikal.

“Pemandu lori harus lebih berhati-hati memandangkan jalan Sungai Tiang ke Pendang itu sempit selain banyak selekoh. Pemandu lori harus memberi ruang kepada penunggang motosikal kerana banyak kes kemalangan maut yang membabitkan penunggang motosikal dengan lori di laluan itu,” katanya.

Maut hantar kad kahwin



TAMPIN – Hasrat K Kanaratanam, 63, untuk meraikan majlis perkahwinan anak bongsunya, Buvanesvari, 28, mengikut adat resam dan budaya kaum India, 20 November ini tidak menjadi kenyataan. 

Kanaratanam maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 23, Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Kampung Seri Asahan Gemencheh, petang kelmarin. 

Lebih tragis lagi, kemalangan itu berlaku selepas mangsa dan kakaknya, Kanagapusan, 69, dikatakan dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Taman Clonlee selepas menghantar kad jemputan perkahwinan di Felda Palong, dekat Gemas. 

Anak sulung mangsa, Ghunasan, 32, berkata, dia amat terkejut dan bersedih dengan kejadian menimpa ayahnya kerana mangsa sebelum ini tidak menunjukkan apa-apa perubahan, sebaliknya ‘pergi’ begitu sahaja meninggalkan mereka sekeluarga. 

“Kejadian ini menyebabkan semua persiapan bagi menyambut Deepavali yang hanya berbaki dua minggu lagi dan majlis perkahwinan adik bulan depan tidak dapat diteruskan,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, di sini, malam kelmarin. 

Ghunasan berkata, sudah menjadi tradisi mereka sekeluarga untuk membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali awal dan tahun ini, pakaian serta beberapa jenis kuih-muih telah dibuat oleh ibunya.

“Bagaimanapun, kini semuanya sudah tidak membawa apa-apa makna.

Sinar Harian difahamkan, Kanaratanam amat disenangi masyarakat setempat kerana aktif dalam kerja kebajikan dan keagamaan serta turut memegang jawatan Naib Pengerusi Gerakan Cawangan Pekan Tampin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Suprintendan Wooi Kooi Cheang berkata, keja dian kira-kira jam 4.30 petang di Kilometer 23 Jalan Tampin Gemas itu berlaku apabila kereta dipandu mangsa, jenis Perodua Viva terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori kecil membawa muatan ais .

Menurutnya, mangsa yang juga bekas pemain hoki Negeri Sembilan era 70-an, mati beberapa jam kemudian selepas di masukkan ke Wad Kecemasan Hospital Tampin akibat cedera parah di kepala, tangan kanan dan anggota dalaman. 

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Gemas menghala ke Tampin dan sejurus tiba di tempat kejadian, kenderaannya terbabas ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan lori muatan ais.

“Berikutan kejadian ini, kereta mangsa yang remuk di bahagian depan berpusing semula menghala ke Gemas dan lori ais pula terbalik,” katanya.

Kooi Cheang berkata, kakak mangsa yang cedera parah turut dirawat di Hospital Tampin.

Sehubungan itu, Kooi Cheang meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya membantu polis menjalankan siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ridwan Ghazali menerusi talian 06-441 1221 atau 06-441 1222 sambungan 228.

Ahli perniagaan maut jatuh hotel



27/10/2010 5:48pm

KUANTAN - Seorang ahli perniagaan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua sebuah hotel di Jalan Wong Ah Jang di sini malam tadi.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Deputi Supritenden Kamaruzzaman Jaafar berkata, lelaki berusia 53 tahun itu difahamkan menyewa bilik hotel berkenaan sejak semalam.
Dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada pukul 2 pagi tadi, hampir empat jam selepas kejadian itu.
Kamaruzzaman berkata polis masih menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah atau dalam kes itu. - Bernama

Kuala Kedah turut dilanda ribut



27/10/2010 6:24pm

ALOR SETAR - Enam buah rumah di Kampung Tepi Laut di Kuala Kedah dekat sini rosak dilanda ribut beserta hujan lebat pagi tadi.
Ia dikatakan kali kedua ribut melanda kampung tersebut sejak kali pertama pada 2004.
Kebanyakan rumah rosak di bahagian bumbung termasuk barangan lain seperti perkakas elektrik dan perabut dalam kejadian 8.30 pagi itu.
"Ia berlaku dalam sekelip mata sahaja. Tiba-tiba datang angin kuat yang mengangkat bumbung rumah saya yang menghempap pula rumah jiran saya.
"Saya tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah saya melainkan menjerit meminta orang di sekeliling rumah saya menyelamatkan diri,” katanya. - Bernama

20 cedera Gunung Merapi meletus




SEORANG sukarelawan melihat asap keluar dari Gunung Merapi di Kaliadem, Yogyakarta, Indonesia semalam.


GUNUNG MERAPI – Gunung Merapi mula meletus semalam selepas para saintis memberi amaran tekanan di bahagian bawah kubah lahar gunung itu akan menghasilkan letusan paling kuat dalam tempoh beberapa tahun.
Menurut seorang jurugambar agensi berita AFP, setakat ini, seramai 20 orang yang cedera disebabkan abu panas yang keluar dari Gunung Merapi di Pulau Jawa telah menerima rawatan perubatan.
Ketua volkanologi di kawasan Gunung Merapi, Subandriyo berkata, letusan itu bermula menjelang senja.
Gunung itu mengeluarkan bunyi selama beberapa jam.
“Terdapat satu bunyi kuat berlaku, kemungkinan selama 15 minit,” kata seorang petani, Sukamto yang terpaksa meninggalkan rumahnya di kawasan cerun pergunungan itu yang subur.
“Kemudian, satu kepulan debu panas mula keluar ke udara,” tambahnya.
Menurut seorang ahli volkanologi pemerintah, Surono, pihaknya berharap letusan itu akan berlaku secara perlahan-lahan.
“Jika tidak, kita akan melihat satu letusan yang besar,” jelasnya.
Amaran berjaga-jaga gunung setinggi 9,737 itu telah dipertingkatkan ke tahap paling tinggi.
Sejak kelmarin, pihak berkuasa berusaha memindahkan lebih 11,000 penduduk yang tinggal dekat dengan gunung itu. Pada 1994, satu letusan berlaku selepas kubah lahar gunung itu runtuh menyebabkan 70 orang terbunuh.
Letusan gunung itu pada 1930 menyebabkan 1,300 orang terbunuh. – Agensi

113 maut, 502 hilang disapu tsunami di Sumatera




BEBERAPA penduduk melarikan diri ke tempat yang lebih tinggi selepas gegaran gempa bumi kuat dirasai di Padang, Indonesia kelmarin.


JAKARTA - Kira-kira 113 orang maut dan ratusan lagi termasuk sekumpulan peluncur ombak Australia hilang kelmarin setelah ombak besar tsunami yang dicetuskan satu gempa bumi kuat melanda Kepulauan Mentawai di perairan Sumatera dengan memusnahkan perkampungan dan rumah.
Ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Mujiarto berkata, menurut maklumat terkini seramai 113 ornag terbunuh.
Menurut Pertubuhan Palang Merah Indonesia, bilangan mereka yang masih hilang ialah 502 orang.
Agensi Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan, gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter menggegarkan Kepulauan Mentawai, barat pulau Sumatera pada pukul 9.42 malam kelmarin waktu tempatan.
Gempa itu berpusat pada kedalaman 20.6 kilometer, 280 kilometer ke selatan bandar Padang.
Beberapa pegawai berkata, bencana itu mencetuskan tsunami setinggi tiga meter yang menghanyutkan 10 buah kampung.
Sekumpulan pelancong Australia melaporkan bahawa bot mereka yang dinaiki 15 orang musnah dipukul ombak yang kelihatan seperti tembok air menghempas sebuah teluk selepas gempa bumi bawah laut itu berlaku.
Sebahagian mereka terpaksa berpaut pada pokok-pokok untuk terus hidup.
Agensi Kaji Selidik Geologi AS menyatakan, gempa bumi itu berlaku pada pukul 9.42 malam (waktu tempatan) pada kedalaman 20.6 kilometer, dan berpusat 280 kilometer ke selatan bandar Padang.
Mudjiharto berkata, tsunami di Mentawai melanda sejauh 600 meter ke darat di Pulau Pagai Selatan, lokasi paling teruk terjejas.
Sementara itu, seorang warga Australia, Rick Hallet menyatakan, dia bersama 15 yang lain melihat seolah-olah satu tembok air bergerak ke arah botnya yang dinaiki mereka di sebuah teluk di kepulauan Mentawai.
"Kami mendengar bunyi ngauman yang amat kuat," kata Hallet yang menguruskan perniagaan sewa bot di Sumatera.
"Saya terus melihat ke laut dan kami melihat tembok air itu menuju ke arah kami. Tsunami itu melambungkan sebuah bot ke arah kami dan bot kami meletup akibat rempuhan," tambahnya.
Kumpulan itu termasuk sembilan warga Australia itu kemudian bertindak pantas dengan terjun ke dalam air ketika bot mereka meletup.
Beberapa orang daripada mereka dihanyutkan sejauh 200 meter ke darat.- Agensi

Tak jadi nikah, gadis lari rumah




SHODIKUL AMEEN menunjukkan gambar adiknya, Noor Kalsom yang menghilangkan diri sejak 16 Oktober lalu di Bagan Datoh semalam.


BAGAN DATOH - Gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan keluarga untuk tidak meneruskan majlis pernikahan dengan jejaka pilihan, seorang gadis dikatakan lari dari rumah sejak 11 hari lalu.
Noor Kalsom Mohd. Ali, 22, yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 13 November ini gagal dikesan selepas kali terakhir ditemui ahli keluarganya pada 16 Oktober lalu.
Menurut abangnya, Shodikul Ameen Mohd. Ali, 29, dia sendiri tidak menyangka adiknya sanggup bertindak sedemikian meskipun mengakui berlaku sedikit perselisihan dengan keluarga sebelum ini.
"Kami sebelum ini dengan berat hati terpaksa batalkan pernikahan dengan tunangnya atas sebab-sebab peribadi yang tidak dapat kami nyatakan biarpun sebanyak 1,500 kad undangan telah siap dicetak.
"Noor Kalsom sendiri memahami tujuan dan alasan pembatalan perkahwinan itu namun secara tiba-tiba dia menghilangkan diri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit 11, Batu 16, Jalan Bagan Datoh dekat sini semalam.

Simpan wang di pusat boling



SEORANG pegawai polis membawa sebuah beg menyimpan bola boling yang digunakan untuk menyembunyikan wang sebanyak RM860,000.


GEORGE TOWN - Misteri kehilangan wang RM1.5 juta dari sebuah bank di Lebuh Bishop di sini pada 19 Oktober lalu terungkai apabila polis menemui sebahagian besar daripada wang tersebut selepas menahan dua kakitangan bank berkenaan.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, wang tersebut ditemui selepas pihaknya menahan seorang ketua juruwang dan pembantu bank, masing-masing berusia 46 tahun, pada 20 Oktober lalu dan menemui wang berjumlah RM1.45 juta.
Difahamkan, sebagai ketua juruwang, dia bertanggungjawab mengawasi proses keluar masuk wang pada setiap hari selain diberi tanggungjawab memegang wang tunai untuk cawangannya manakala pembantu bank (teller) pula akan menguruskan pelanggan dan operasi harian di kaunter.
Menurut Ayub, selepas disoal siasat, suspek telah menunjukkan wang RM590,000 yang disembunyikan di dalam dua buah bilik di bank berkenaan manakala bakinya ditemui disorok di dalam sebuah beg menyimpan bola boling di sebuah pusat boling di Sungai Petani, Kedah dua hari selepas itu.
Katanya, suspek sempat membelanjakan sebanyak RM50,000 untuk kegunaan peribadi.
"Kehilangan wang itu disedari selepas pihak bank membuat imbangan akaun pada Jumaat lalu. Mereka kemudian melakukan siasatan dalaman dan menemui RM500,000 di sebuah bilik kebal bahagian atas bangunan bank setinggi tiga tingkat itu manakala RM90,000 pula ditemui di sebuah bilik di tingkat bawah.
"Polis kemudian menahan dua lelaki itu sebelum menemui baki wang itu berjumlah RM860,000 yang disembunyikan di sebuah pusat boling di Sungai Petani, Kedah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri semalam.

Kerah tenaga bawa lelaki obes 300kg




DUA anggota paramedik HPP memeriksa keadaan Balaji di rumahnya di Ayer Itam, Pulau Pinang sebelum dia dibawa ke hospital semalam.


GEORGE TOWN – Seorang lelaki obes terjatuh ketika berjalan ke tandas di rumahnya di flat Bandar Baru Ayer Itam di sini pagi semalam sehingga memaksa 10 anggota penyelamat mengerah kudrat mengangkat tubuhnya seberat 300 kilogram (kg) untuk dibawa ke hospital.
M. Balaji, 43, terjatuh pada pukul 6.50 pagi membuatkan dia mengerang kesakitan akibat kecederaan di paha.
Ibunya yang hanya dikenali sebagai Rajasundi, 60, cuba membantu tetapi gagal menolong Balaji berdiri sebelum menghubungi Hospital Pulau Pinang (HPP).
Beberapa minit kemudian, lima anggota dari HPP dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba di flat tingkat sembilan itu tetapi mereka sekadar mampu menarik Balaji ke ruang tamu dengan kain.
Sewaktu lelaki itu diheret ke ruang tamu, dia menjerit kesakitan sambil memegang pahanya.
Dalam keadaan terdesak, anggota pasukan penyelamat akhirnya mendapatkan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Itam sebelum 10 anggota penyelamat mengangkat lelaki itu ke lif dan membawanya ke HPP.