Search This Blog

Tuesday, October 26, 2010

Pekerja pembersihan ditemui mati, dipercayai akibat renjatan elektrik

LABUAN: Seorang pekerja pembersihan dijumpai mati, dipercayai terkena renjatan elektrik di hadapan bangunan Kompleks Sukan Laut, Kementerian Pelancongan di sini hari ini.
Mayat Mursi Jainuddin, 24, dijumpai tertiarap di kawasan lanskap di hadapan bangunan itu oleh seorang pengawal keselamatan Jabatan Muzium kira-kira jam 6.45 pagi ketika beliau sedang membuat rondaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan, Timbalan Penguasa Zakaria Yusof berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Polis percaya pekerja itu mati akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan di sekitar pejabat Kementerian Pelancongan di Kompleks Sukan Laut ini," katanya.-Bernama

Petugas rumah kebajikan bantu siasatan



26/10/2010 3:49pm

PETALING JAYA - Polis mengambil keterangan beberapa petugas sebuah rumah kebajikan swasta di Seksyen 18 di sini berhubung kematian seorang remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dipercayai akibat dipukul, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata keterangan yang diambil terhadap beberapa individu itu adalah bagi memastikan punca sebenar kejadian dan sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak.
"Kami masih menyiasat kes ini untuk mengetahui punca sebenar kejadian," katanya di sini hari ini.
Brian Goh Kah Heng, 19, yang baru lima bulan tinggal di rumah kebajikan itu mati selepas mengalami pendarahan teruk di kepala dipercayai akibat dipukul.
Remaja itu ditemui tidak sedarkan diri di rumah kebajikan itu sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Dia disahkan meninggal dunia pada pukul 11.30 pagi semalam. - Bernama

Polis siasat kes lontar batu di Sg. Pinang



26/10/2010 2:57pm

GEORGETOWN - Polis mengklasifikasi kejadian melontar batu yang mengakibatkan kematian seorang lelaki di kawasan rumah pangsa di Jalan Sungai di sini Sabtu lepas, sebagai kes menyebabkan kematian.
Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
"Polis mengambil serius insiden itu dan siasatan dijalankan secara terperinci untuk mencari orang yang bertanggungjawab mengakibatkan kematian orang awam di flat berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata polis menjalankan ops sikap di flat itu semalam dan memeriksa setiap tingkat flat berkenaan untuk mendapatkan maklumat mengenai kejadian itu. - Bernama

47 rumah di Kulim rosak teruk dilanda ribut



26/10/2010 7:46pm

KULIM — Sebanyak 47 buah rumah termasuk tujuh rumah kedai dan sebuah kuil rosak teruk akibat dilanda ribut kuat di Taman Sempilai, Mukim China di sini tengah hari tadi.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) Daerah Kulim, Rohana Mohd Yusuf berkata, ribut kuat dan hujan lebat pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu menerbangkan bumbung tujuh buah rumah, selain merosakkan beberapa rumah lagi di kawasan taman perumahan itu.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri Merbau Pulas, Abdul Rahman Mahamud yang melawat mangsa ribut berkata bahawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Zon Kulim/Bandar Baharu sedang membuat bancian segera untuk menilai kerugian yang dialami.
"Pihak saya bercadang untuk membekalkan barang-barang ”hardware” mulai esok untuk membaiki bumbung dan bahagian-bahagian rumah yang terbabit untuk membantu mangsa ribut,” katanya.
Abdul Rahman menganggarkan peruntukan RM100,000 diperlukan untuk kerja-kerja membaiki bumbung semua 47 buah rumah yang rosak dalam kejadian itu. — Bernama

Kes Sosilawati: Remaja kemuka rayuan



26/10/2010 7:34pm

SHAH ALAM 26 Okt — Seorang remaja yang dipenjara tujuh tahun selepas mengaku melupuskan bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, hari ini mengemukakan rayuan berhubung sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya.
Bekas mekanik iaitu K.Saravanan, 19, memfailkan rayuan itu melalui firma Tetuan A S Dhaliwal di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini.
Pada 15 Okt lepas, Saravanan dan V. Suresh, 26, masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Teluk Datuk, Banting selepas mengaku bersalah.
Dalam notis rayuannya, Saravanan menyatakan dia tidak berpuas hati dengan keputusan Majistret Hurman Hussain.
Peguam Avtar Singh Dhaliwal yang menerima arahan keluarga Saravanan untuk memfailkan rayuan itu, memberitahu Bernama bahawa Mahkamah Tinggi belum menetapkan tarikh untuk mendengarnya.
Saravanan dan Suresh masing-masing menghadapi tujuh pertuduhan melupuskan bahan bukti mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan Hurman menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap mereka bagi setiap kesalahan, serta memerintahkan mereka menjalani hukuman itu secara serentak, yang bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 9 Sept tahun ini.
Mereka adalah antara lapan yang ditahan polis antara 9 dan 12 Sept berhubung kes kehilangan Sosilawati dan tiga lelaki pada 30 Ogos lepas.
Saravanan didakwa melupuskan bahan bukti dengan membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu peribadi Kamaruddin Shansuddin, 44, Mayat kesemua mangsa dibakar di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam, pada 30 Ogos. — Bernama

Gunung Merapi mula meletus, 20 cedera kena debu panas



26/10/2010 9:02pm

GUNUNG MERAPI, Indonesia 26 Okt. - Ahli sains tempatan mengesahkan gunung berapi yang terletak di Daerah Sleman, Yogyakarta, Gunung Merapi, sudah mula meletus.
Sekurang-kurang 20 orang penduduk cedera disebabkan terkena debu panas ketika letusan permulaan Gunung Merapi sebentar tadi.
Seorang wartawan agensi berita AP menyaksikan sehingga 20 orang terpaksa dibawa ke hospital selepas cedera terkena debu panas tersebut.
Ketua ahli vulkanologi kawasan itu, Subandriyo berkata, Gunung Merapi memulakan letusan pertamanya hanya kira-kira selepas senja.
Sebelum itu kata beliau, gunung berkenaan berderam-derum dan berkeriut selama beberapa jam. - AP

23 terbunuh gempa di Mentawai, tsunami 3 meter



26/10/2010 7:19pm

JAKARTA 26 Okt. – Dipercayai 23 orang terbunuh dalam kejadian gempa dengan kekuatan 7.7 skala Richter di Mentawai, Sumatera Barat malam tadi.
Pengurus Pusat Pengendalian Bencana Sumatera Barat, Ade Edward berkata, mereka yang terkorban ditemui di Kampung Malakopak, Kecamatan Pagai Selatan dan di Pulau Pagai Utara.
Gempa bumi yang berpusat di Mentawai dilaporkan menyebabkan tsunami setinggi 3 meter di beberapa daerah. - Agensi

Polis peroleh semula sebahagian daripada wang tunai RM1.5 juta



GEORGE TOWN - Polis memperoleh semula baki RM860,000 daripada RM1.5 juta yang dilaporkan hilang dari sebuah bank di Lebuh Bishop di sini minggu lepas. 

Wang itu dijumpai dalam sebuah beg boling di Sungai Petani, berikutan penahanan ketua juruwang dan pembantu pentadbiran bank itu untuk melancarkan siasatan kes kecurian itu.

Pembantu pentadbiran itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada 19 Okt, pengurus bank berkenaan membuat laporan polis setelah mendapati RM1.5 juta hilang dari bilik kebal bank itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, dalam laporan itu, pengurus bank itu berkata sebahagian daripada wang berjumlah RM590,000, dijumpai di tingkat atas dan bawah yang dijadikan bilik kebal bank.

"Berikutan laporan polis itu, kami menahan ketua juruwang dan pembantu pentadbiran untuk siasatan.

"Penahanan itu juga membawa kepada penemuan RM860,000 yang disimpan dalam sebuah beg boling di Sungai Petani," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ayub berkata, polis berusaha untuk mendapatkan semula RM50,000, yang dipercayai telah pun dibelanjakan oleh salah seorang suspek.

Pejabat Pengerusi PKR Pahang dipecah masuk



KUANTAN - Pejabat milik Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang Datuk Fauzi Abd Rahman di Bukit Sekilau di sini, dipecah masuk mengakibatkan beliau kehilangan dua komputer yang mengandungi maklumat peribadi dan perniagaannya.

Fauzi berkata, kejadian itu disedarinya pukul 10.15 pagi ini apabila beliau ke pejabat dan mendapati pintu pejabat itu terbuka.

"Tindakan suspek yang hanya melarikan dua unit komputer dan tidak mengambil barangan berharga lain menjadi tanda tanya. Jika suspek berhasrat mencuri komputer, terdapat banyak kedai menjual peralatan itu di sini tetapi kenapa pejabat ini yang dipilihnya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau percaya suspek merupakan pihak yang pakar pecah rumah kerana pejabat berkenaan berhampiran dengan restoran 24 jam yang sentiasa dikunjungi orang ramai.

"Suspek dipercayai masuk melalui bumbung restoran berkenaan dan mengumpil pintu jeriji pejabat dan memotong mangga. Saya menemui satu lubang pada siling pejabat yang dipercayai menjadi laluan masuk suspek," katanya.

Beliau membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Jasmany Mohd Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Datuk minta siasat kematian cucu



KUALA LUMPUR – Seorang warga emas menggesa polis menyiasat secara terperinci kematian cucunya dipercayai akibat didera pengasuh setelah cucunya yang berusia dua tahun maut ketika dalam jagaan pengasuhnya itu pada Februari lalu. 

Seah Chong Lok, 59, mendakwa pengasuh yang dikenali sebagai Kamachi, 60, menyebabkan kematian cucunya, Jacson Seah Kean Shun, 2, yang disahkan mati 22 Februari lalu selepas baru lima hari berada dalam jagaan pengasuh itu sejak 18 Februari. 

Menurutnya, Kamachi memberitahu cucunya tidak sihat akibat selesema dan dia menghantar ubat dan mendapati cucunya itu dalam keadaan sihat pada 20 Februari. 

Malah keesokannya Kamachi meminta sijil kelahiran cucunya itu untuk dibawa berjumpa doktor sekiranya keadaannya makin teruk.: 

“Kira-kira jam 6 petang 22 Februari, isteri saya menghantar sijil kelahiran itu ke rumah pengasuh itu. 

“Sejam kemudian, isteri saya menerima panggilan daripada pengasuh itu memaklumkan cucu saya pengsan,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini, semalam. 

Menurutnya, pengasuh itu menghantar cucunya ke klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun cucu malang itu didapati sudah mati. 

Menurut doktor, bayi itu mati sebelum dibawa ke klinik.

Chong Lok berkata, laporan bedah siasat yang diterima Julai lalu menunjukkan cucunya mati disebabkan beberapa kecederaan dalaman yang serius seperti di bahagian kepala. 

“Pengasuh mendakwa cucu saya terjatuh dari buaian tetapi berdasarkan laporan itu saya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.: 

“Lebih menghairankan dua minggu selepas kejadian itu, Kamachi telah berpindah serta menjual rumah itu,” katanya. 

Katanya, adalah mustahil cucunya itu boleh terjatuh daripada buaian seperti didakwa sehingga menyebabkan kematian. 

Menurutnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Selayang 2 Mac lalu. 

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, beliau memandang serius kejadian berkenaan dan meminta polis menyiasat kes tersebut secara terperinci. 

Menurutnya, sejak tahun lalu sehingga kini lima kes membabitkan amah dilapor dan dua daripadanya menyebabkan kematian.

Pembunuh dari langit



GEORGETOWN - Tiga hari selepas nyawa seorang lelaki melayang akibat ditimpa batu yang dibuang dari tingkat atas Rumah Pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini, kejadian hampir sama berlaku lagi semalam. 

Sharifah Mydin Kuppay, 27, yang baru sahaja menurunkan dua anak saudaranya berhampiran lif rumah pangsa itu terkejut apabila tiba-tiba sebatang alat pemutar skru jatuh menghempap cermin depan keretanya hingga retak. 

“Saya baru balik dari mengambil anak saudara di sekolah dan berhenti di sini untuk menurunkan mereka. Ketika mengambil beg sekolah mereka di pintu belakang, tiba-tiba saya terdengar bunyi cermin pecah. 

“Pada masa yang sama, saya ternampak satu alat pemutar skru terpelanting jatuh ke tanah. Mujur ia tidak kena kepala saya atau anak saudara saya. Jika tidak, kami juga mungkin bernasib malang seperti pemandu teksi Sabtu lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian petang semalam.

Apa yang diceritakan Sharifah kemudian ternyata lebih mengejutkan.

Menurutnya, empat hari lalu, iaitu sehari sebelum tragedi yang meragut nyawa pemandu teksi itu, dia sendiri nyaris ditimpa pasu bunga yang dicampak individu tidak bertanggungjawab dari tingkat atas rumah pangsa berkenaan.

“Pada masa itu, saya sedang mendukung anak. Nasib baik pasu itu tidak mengenai kami. Kalau tidak, sudah tentu apa yang berlaku kepada pemandu teksi itu lebih dahulu menimpa diri saya dan anak,” katanya.

Sharifah yang tinggal di rumah pangsa itu sejak tujuh tahun lalu berkata, dia sememangnya berasa trauma dengan kejadian itu namun tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa juga tinggal di situ.

“Selepas apa yang berlaku, saya sendiri memang berasa takut. Saya tidak tahu bagaimana perasaan mereka yang sewenang-wenangnya membuang benda dari tingkat atas rumah pangsa ini tanpa memikirkan risiko yang bakal menimpa orang lain, malah hingga membawa maut.

“Saya harap setiap penghuni rumah pangsa ini lebih bertanggungjawab. Jangan mereka insaf hanya setelah anggota keluarga mereka sendiri jadi mangsa,” katanya.

Sharifah turut meminta pihak pengurusan rumah pangsa itu meningkatkan aspek keselamatan dengan memasang kamera litar tertutup
Sabtu lalu, seorang pemandu teksi sapu, Koay Chin Chai mati di tempat kejadian selepas mengalami pendarahan teruk akibat dihempap batu yang dibuang dari tingkat atas rumah pangsa berkenaan.

Terkejut jumpa puluhan bom



GEMAS – Seorang pemandu jengkaut tidak menduga tugasnya mengorek tebing Sungai Gemas bagi melebarkan dan mendalamkan sungai berkenaan berakhir dengan penemuan berpuluh-puluh bom mortar serta ribuan peluru mesi�ngan kira-kira jam 11.30 pagi, semalam. 

Sinar Harian difahamkan, ia dipercayai milik Tentera Bersekutu, yang juga peninggalan sejarah Perang Dunia Kedua yang berlaku di kawasan berkenaan. 

Ketua Polis Daerah, Suprintendan Wooi Kooi Cheang berkata, setakat jam 4 petang, semalam, dipercayai sebanyak 30 hingga 40 bom mortar dijumpai di tepi lokasi penemuan iaitu Sungai Gemas dan jumlah itu berkemungkinan bertambah. 

“Justeru, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang diketuai Cif Inspektor Hamidin Ramli bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan. 

“Bagaimanapun, jumlah sebenar bom dan peluru berkenaan masih belum dapat dipastikan tetapi polis akan meneruskan operasi mencari," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. 

Menurutnya, proses memusnahkan bom dan peluru terbabit akan dijalankan secara berperingkat dan dijangka selesai dalam tempoh dua atau tiga hari. 

Sinar Harian juga difahamkan, kerja mendalamkan dan melebarkan tebing Sungai Gemas itu adalah bagi melicinkan lagi pelaksa�naan projek landasan kereta api Gemas ke Segamat. 

Sementara itu, ketika kejadian, pemandu jengkaut terbabit segera menghentikan kerjanya apabila menjumpai puluhan bom yang tertanam dalam tanah, selain peluru di dalam kotak plastik hampir reput terdedah apabila tebing itu dikorek. 

Kooi Cheang menasihatkan penduduk berhampiran dan orang ramai tidak menghampiri kawasan atau lokasi penemuan bom terbabit sepanjang kerja :pemusna�han dijalankan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini. 

Menurutnya, pihaknya tidak menolak :kemungki�nan terdapat banyak lagi bom dan peluru lama di tebing sungai yang memisahkan Negeri Sembilan serta Johor.

Kedaifan hidup temukan ibu, anak



KUALA LUMPUR- Kisah derita sebuah keluarga yang yang hidup daif di bawah jambatan di susur Lebuh Raya Maju Expressway bukan sahaja berakhir dengan berita gembira dijanjikan kediaman baru lebih sempurna, pendedahan media juga menemukan Siti Faiza, 27 dengan ibu tercinta setelah enam tahun berpisah. 

Paparan kedaifan hidup Siti Faiza dan suami, Hazman Abdul Jalil, 28 serta anak sulung, Siti Norafida oleh media sejak beberapa hari lalu di sedari ibu Siti Faiza, Siti Rohani Abdullah, 52. 

Menerusi keprihatinan Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh dengan kerjasama Skuad Sayang Wanita UMNO, ibu dari Segamat Johor itu ditemukan dengan anak tercinta dalam satu majlis ringkas penuh emosi di pejabat Muhd Khairun semalam. 

Suasana pilu menyelubungi majlis apabila Siti Faiza dimaklumkan bapanya Abu Bakar Sulaiman telah meninggal dunia akibat serangan jantung setahun lalu. 

“Dalam tempoh enam tahun terpisah, saya bersama arwah suami tidak jemu-jemu mencari Siti Faiza termasuk bertanya kepada rakan-rakannya. 

“Sedihnya semua usaha menjejaki anak keenam saya itu gagal sehinggalah saya menonton televisyen semalam (kelmarin) yang menyiarkan kisah kehidupan daif Siti Faiza bersama suami dan anaknya di bawah jambatan,” kata Siti Rohani. 

Menurutnya, dia berhasrat membawa keluarga Siti Faiza kembali ke rumahnya di Segamat untuk memulakan kehidupan baru dan sudah memaafkan semua kesalahan anak dan menantunya. 

Sementara itu, Siti Faiza berkata, dia tidak menghubungi keluarganya selepas mendirikan rumah tangga kerana kesempitan hidup. 

Pengakun Siti Faiza itu disokong suaminya, Hazmain yang menyalahkan dirinya kerana ketidakmampuannya menjadi punca hubungan isteri dan keluarga mertuanya terputus. 

Sementara itu, Muhd Khairun memberitahu, dia menyerahkan kepada Siti Rohani untuk menentukan masa depan keluarga anaknya itu selepas ini. 

“Hari ini (semalam), kita membawa Siti Norafida menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan doktor mengesahkan kanak-kanak ini mendapat jangkitan paru-paru yang kronik kerana tidak pernah mendapat suntikan imunisasi dan ubat-ubatan yang diperlukan selama ini. 

“Oleh itu, Siti Norafida terpaksa dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan kita membenarkan nenek dan ibu bapanya membawa dia pulang ke Segamat selepas sihat,” katanya sambil memberitahu Pergerakan Pemuda UMNO Segamat juga bersedia mencarikan pekerjaan yang sesuai untuk Hazmain di Segamat nanti.

Leka nikmat dunia



DUNGUN – Lantaran nipisnya iman dan terdorong hasutan syaitan seorang wanita berstatus ibu tunggal sanggup menjual kehormatan diri dengan menjadi perempuan simpanan seorang pemilik pusat hiburan. 

Dengan pendapatan mencecah RM6,000 sebulan, dia dipercayai menjadi hamba seks tauke terbabit. 

Malah janda yang difahamkan pernah menjadi mak andam itu dipercayai pernah mengandung anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan tauke, 31 yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu. 

Perbuatan tidak bermoral janda terbabit sudah mula dihidu pihak berkuasa, bagaimanapun tindakan licik wanita berasal dari kawasan Tanah Rancangan Felda Kerteh Satu yang dipercayai sering menukar modus operandi itu menyebabkan lokasi maksiatnya sukar dikesan. 

Bagaimanapun hasil risikan bersepadu membabitkan kerjasama warga komuniti, sepasukan Anggota Penguat Kuasa Syariah Dungun akhirnya berjaya memerangkap janda berusia 27 tahun itu ketika bersama teman lelakinya di sebuah rumah teres di Kampung Limbong Paka, jam 2.50 pagi, 29 mei 2008 lalu. 

Sehubungan itu, dia dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu kerana kesalahan berkhalwat. 

Janda terbabit yang dibawa ke Pejabat Agama Daerah untuk diambil keterangan kemudian dibebaskan dengan seorang penjamin sementara menunggu kesnya disebut semula pada 13 ogos 2008. 

Biarpun perintah mahkamah menghendaki dia hadir bagi menghadiri perbicaraan pada tarikh berkenaan, namun tanpa sebarang alasan munasabah, janda tersebut gagal menghadirkan diri lalu satu waran tangkap dikeluarkan ke atasnya. 

Sejak itu, wanita yang difahamkan pernah mempunyai anak dengan suaminya terdahulu terus menghilangkan diri. 

Akhirnya selepas hampir dua tahun menjejaki janda berambut perang itu, dia berjaya dikesan berada di sebuah rumah di Felda Kerteh Satu lalu satu operasi khas diketuai Ketua Penguat Kuasa Syariah, Yusuf Musa dilakukan untuk menangkap wanita terbabit. 

Janda berambut pendek yang bekerja sebagai pengurus pusat Karaoke dipercayai milik teman lelakinya ketika menerima tetamu tidak diundang kira-kira jam 12.30 malam itu bagaima-napun hanya mampu terkedu apabila diarahkan untuk mengikuti anggota penguat kuasa terbabit ke lokap polis sebelum dibawa ke mahkamah bagi mengikuti perbicaraan keesokan harinya. 

Akhirnya, tertuduh yang tidak diwakili peguam dikenal sebagai Lina yang berada di kandang tertuduh ketika mendengar hujah panas Pendakwaraya Syarie, Azmi Tengah tidak dapat menahan sebak lalu menangis terisak-isak. 

Ketika ditanya Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah berkaitan pertuduhan yang dikenakan ke atasnya bersabit kesalahan berkhalwat dengan lelaki itu, dengan linangan air mata dia mengakui kesilapan dilakukan dan memohon mahkamah meringankan hukuman yang bakal dikenakan ke atasnya. 

Azmi dalam hujah pendakwaannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh memandangkan perbuatan tersebut boleh menjatuhkan moral umat Islam selain menyebabkan gejala sosial semakin berleluasa. 

Bagaimanapun dengan hujah penggulungan yang dikemukakan pendakwaraya terbabit dan mengambil kira rayuan tertuduh, hakim akhirnya menjatuhkan hukuman denda maksimum RM3,000 ke atas Lina. 

Mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu, mereka yang didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. 

Lina yang dijatuhkan hukuman mengikut seksyen tersebut akhirnya membayar denda berjumlah RM3,000 untuk membolehkan dia dibebaskan mahkamah.

KTMB lancar tren kargo terpanjang




KERETA API kargo terpanjang di Asia Tenggara yang dilancarkan di stesen KTMB Padang Besar semalam.


PADANG BESAR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatat sejarah apabila melancarkan Tren Kargo Terpanjang Menggunakan Lokomotif Tunggal yang menarik 50 gerabak di Stesen KTMB Padang Besar di sini semalam.
Pengurus Besar Perkhidmatan Kargo KTMB, Azman Ahmad Sharabi berkata, kargo terpanjang di Asia Tenggara itu membawa 100 TEU (unit bersamaan 20 kaki) sepanjang 900 meter itu berlepas dari Stesen KTMB di sini ke Pulau Pinang.
Katanya, itu mengambil masa sembilan jam untuk sampai ke Pulau Pinang dan tempoh itu dapat disingkatkan kepada di antara empat dan lima jam apabila landasan berkempar Ipoh-Padang Besar siap sepenuhnya pada 2013.
"Lazimnya sesebuah lokomotif menarik sehingga 20 gerabak dan boleh ditingkatkan kepada 25 gera- bak atas permintaan pada satu-satu masa.
"Namun, dengan pemilikan aset baru dengan loko- motif yang lebih berkuasa tinggi kelas 26 dan 29, ia dapat ditingkatkan dan boleh membawa sehingga 50 gerabak pada satu-satu masa," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kargo Terpanjang Asia Tenggara di sini.

Diserbu kali kedua jual VCD haram





Othman (kanan) menunjukkan VCD dan DVD yang dirampas di dalam sebuah van di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Tidak kenal erti serik. Biarpun pernah diserbu kerana menjual cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak dari dalam sebuah van pada Ogos lalu, pemilik premis di Taman Tun Dr. Ismail di sini masih berdegil dan terus menjalankan kegiatan itu.
Pemilik premis itu didapati menjual VCD dan DVD asli di dalam kedai manakala versi cetak rompak dijual dari dalam van yang diletakkan tidak jauh dari situ.
Kegiatannya sekali lagi terbongkar selepas lapan anggota dan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur menyerbu lokasi tersebut pada pukul 6.45 petang, Ahad lalu.
Menurut Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan, Othman Nawang, bertindak atas maklumat awam, pihaknya berjaya mengesan sebuah van jenis Toyota berwarna biru kira-kira 200 meter dari premis tersebut.
Katanya, pemilik premis itu menggunakan modus operandi yang sama seperti sebelum ini iaitu pelanggan akan menempah VCD atau DVD cetak rompak dari premis berkenaan melalui nombor yang ada di dalam katalog dan kemudiannya seorang pekerja akan menaiki motosikal untuk mengambil tempahan dari dalam van.

Geng Air Cond samun pejabat

KUALA LUMPUR: Sekumpulan lelaki dikenali sebagai ‘Geng Air Cond’ dikesan menggunakan taktik menyamar sebagai pekerja syarikat servis penyaman udara sebelum bertindak menyamun peralatan dan barang berharga di pejabat korporat sekitar Bandar Puchong, di sini sejak tiga minggu lalu.
Mereka dipercayai memasuki premis pejabat yang dijadikan sasaran kononnya menjalankan kerja servis penyaman udara sebelum bertindak ‘menyapu bersih’ semua barangan yang ada dalam pejabat berkenaan terutama komputer dan barangan elektrik lain.

Lebih licik, mereka turut mengarahkan semua pekerja di dalam pejabat berkenaan mengosongkan bahagian tertentu kononnya keselamatan dengan alasan mereka menggunakan bahan kimia berbahaya ketika menjalankan kerja itu.

Ketua Polis Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, suspek dipercayai tiga lelaki itu melakukan aktiviti berkenaan pada waktu makan tengah hari ketika ramai pekerja keluar makan tengah hari.

Katanya, suspek memasuki premis dengan membawa peralatan berkaitan servis penyaman udara bagi mengelak disyaki.

Beliau berkata, suspek dipercayai memindahkan barangan berharga yang dicuri menggunakan bekas khas dan tali yang kemudian diturunkan kepada rakan mereka yang menunggu di bawah bagi mengelak dikesan.

Pemuda OKU maut dipercayai dipukul

PETALING JAYA: Seorang pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) mati dipercayai kerana perbuatan aniaya di sebuah rumah kebajikan di Seksyen 18, di sini semalam.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun sejurus tiba di PPUM, mangsa disahkan meninggal dunia dan berdasarkan rekod mangsa yang berusia 19 tahun baru lima bulan menetap di rumah kebajikan berkenaan.

“Laporan bedah siasat mendapati mangsa mengalami pendarahan pada anggota badan dan keluarga mangsa mendakwa mangsa dipukul sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Arjunaidi berkata pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu tiada individu ditahan.

Beliau berkata, polis mengambil keterangan keluarga mangsa serta rumah kebajikan berkenaan bagi membantu siasatan.
Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

Wanita Georgia ditahan cuba seludup syabu RM1.3 juta



KETUA Polis Negeri, Datuk Wira Ayub Yaakub (kanan) menunjukkan bingkai gambar yang dimuatkan dadah jenis syabu bernilai RM1.3 juta oleh seoarang wanita warga Georgia ketika membawa beg itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang, hari ini.- Foto Ramdzan Masiam 

GEORGETOWN: Polis menggagalkan cubaan seorang wanita warga Georgia menyeludup dadah jenis syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaacob berkata, selepas pemeriksaan pada wanita berusia 37 tahun itu polis menemui syabu bernilai RM1.3 juta.

Polis yakin dapat selesai 30 kes pecah rumah





2010/10/26

AMPANG: Polis yakin dapat menyelesaikan 30 kes pecah rumah sekitar Ampang yang berlaku sepanjang tahun ini, selepas berjaya menumpaskan Geng Pick-Up dengan menahan lima ahli kumpulan termasuk dua wanita masing-masing rakyat tempatan dan warga Thailand, tiga hari lalu. 

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik premis memaklumkan melihat kelibat seseorang di dalam pejabatnya dalam kejadian di Ampang Hilir di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menahan seorang lelaki ketika bersembunyi di dalam pejabat itu.
“Hasil soal siasat terhadap suspek selama dua hari, polis menyerbu rumah sewa yang turut didiami empat lagi rakannya berusia dalam lingkungan 23 hingga 43 tahun di Taman Pandan Ria di sini, kira-kira jam 4 pagi. 

“Polis merampas enam komputer riba, wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan jalur lebar selain peralatan pertukangan digunakan untuk mengumpil pintu rumah termasuk kunci pendua dan sebilah parang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, semalam. 

Abd Jalil berkata, siasatan awal mendapati mereka mengakui sudah melakukan lebih 30 kes pecah rumah sekitar Ampang sepanjang tahun ini dengan anggaran barangan yang dirampas bernilai RM50,000. 

Katanya, suspek mempunyai lima rekod lampau dan mereka aktif melakukan kerja pecah rumah pada siang hari ketika pemilik rumah keluar bekerja. 
Semua yang ditahan direman selama tujuh hari sehingga 29 Oktober ini dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Kepala babi hutan diletak depan rumah





2010/10/26

KULAIJAYA: Seorang suri rumah terkejut dan panik apabila objek hitam yang disangkanya bangkai burung hantu, sebenarnya bangkai kepala babi hutan yang masih berdarah itu diletak oleh individu tidak bertanggungjawab di depan rumahnya di Jalan Cermai 12, Taman Mesra Saleng, di sini, semalam. 

Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, Jamilah Mahmood, 53, membersihkan halaman rumahnya sebelum terlihat objek hitam berkenaan.
“Ketika itu dua anak saya bersiap sedia untuk ke sekolah sebelum saya ingin membuka pintu pagar sekali gus membersihkan bahagian kaki lima rumah. Bagaimanapun, langkah kaki saya terhenti apabila terlihat objek terbabit.
“Pada mulanya, saya menyangkakan ia bangkai burung hantu, namun selepas melihat dengan lebih dekat, rupa-rupanya objek itu kepala babi hutan,” katanya, di sini. 

Beliau sekeluarga tidak menyangka ada pihak atau individu sengaja meletakkan bangkai itu di depan rumahnya sekali gus cuba menimbulkan ketegangan di kalangan penduduk yang majoritinya beragama Islam di kawasan perumahan itu. 

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mencari suspek yang bertanggungjawab. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 298 (A) Kanun Keseksaan dan saya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

2 wanita Afrika ditahan miliki syabu RM2 juta





2010/10/26

 NORDIN menunjukkan syabu yang dirampas di KLIA di IPK Selangor, semalam.
NORDIN menunjukkan syabu yang dirampas di KLIA di IPK Selangor, semalam.
SHAH ALAM: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas 7.2 kilogram (kg) syabu bernilai hampir RM2 juta selepas menahan dua wanita Afrika pada 19 dan 22 Oktober lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata rampasan pertama membabitkan 3 kg syabu yang cuba diseludup seorang wanita warga Togo berusia 28 tahun.
Katanya, suspek bekerja sebagai pencuci rambut di salun di negaranya ditahan ketika mahu menaiki teksi selepas melepasi semua pemeriksaan keselamatan.
“Selepas melakukan pemeriksaan rapi kami menemui sembilan botol berisi cecair dipercayai dadah dan dua bungkus beg plastik berisi syabu bernilai RM750,000 dalam beg pakaiannya. 

“Suspek mendakwa cecair 7.2 liter dalam sembilan botol itu bahan membuat pewangi. Kami sebaliknya percaya ia dadah dalam bentuk cecair dan masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam. 

Nordin berkata, seorang lagi suspek warga Nigeria berusia 37 tahun pula ditahan kerana cuba menyeludup 4.2 kg syabu bernilai RM1 juta yang disorok di tempat rahsia di bawah lapik beg pakaiannya ketika menunggu teksi. 

Katanya, suspek bekerja sebagai tukang cuci dan baru pertama kali datang ke negara ini mendakwa tujuannya ke sini untuk mencari pekerjaan. 
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek baru pertama kali masuk ke negara ini dengan menaiki penerbangan dari Doha dan masing-masing ditemani beberapa rakan. 

Suspek warga Togo itu ditahan reman hingga hari ini manakala suspek warga Nigeria pula direman hingga 30 Oktober ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Nordin berkata, seorang lagi suspek warga Nigeria berusia 37 tahun pula ditahan kerana cuba menyeludup 4.2 kg syabu bernilai RM1 juta yang disorok di tempat rahsia di bawah lapik beg pakaiannya ketika menunggu teksi. 

Katanya, suspek bekerja sebagai tukang cuci dan baru pertama kali datang ke negara ini mendakwa tujuannya ke sini untuk mencari pekerjaan. 
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek baru pertama kali masuk ke negara ini dengan menaiki penerbangan dari Doha dan masing-masing ditemani beberapa rakan. 

Suspek warga Togo itu ditahan reman hingga hari ini manakala suspek warga Nigeria pula direman hingga 30 Oktober ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pelajar 16 tahun rogol rakan sekolah



Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my
2010/10/26

Suspek kerap kali berkunjung ke rumah ketika ketiadaan ibu bapa mangsa 

AMPANG: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat ditahan polis selepas disyaki merogol rakan sekolahnya, pelajar perempuan berusia 13 tahun di rumah mangsa di sekitar Ulu Klang di sini, Jumaat lalu.pek berusia 16 tahun dikatakan melarikan diri ketika sedang melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah pelajar perempuan apabila bilik itu diserbu bapa dan bapa saudara mangsa, pada jam 1 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata mangsa mengaku di hadapan bapa dan bapa saudaranya dia pernah mengadakan hubungan seks dengan suspek beberapa kali sebelum ini. 

Berikutan itu, bapa mangsa membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini, dan anggota polis menahan suspek di rumahnya di sekitar Keramat, pada hari sama. 

“Suspek turut mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan mangsa ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. 

“Pasangan itu mengaku mereka sering menjalinkan hubungan haram di rumah pelajar perempuan itu ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah,” katanya di sini, semalam. 
Abd Jalil menasihatkan kepada semua ibu bapa supaya menjadikan kes itu sebagai contoh dengan memberikan perhatian lebih kepada anak mereka terutama perempuan dan dinasihatkan tidak meninggalkan anak mereka keseorangan di dalam rumah.

Thailand ditenggelami banjir





2010/10/26

SEORANG penduduk mengharungi banjir di sebuah  kuil di wilayah  Ayutthaya, semalam.
SEORANG penduduk mengharungi banjir di sebuah kuil di wilayah Ayutthaya, semalam.
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, semalam meninjau keadaan banjir di wilayah Nonthaburi, di utara ibu kota ini selain mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa baru dibentuk untuk membantu mangsa bencana yang masih kritikal di beberapa kawasan, lapor Agensi Berita Thai (TNA). 

Abhisit yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ongart Klampaiboon, memeriksa situasi banjir di Masjid Tha It di Pak Kret Nontharburi, semalam dan menaiki bot di Sungai Chao Phraya memeriksa keadaan penduduk di tepi sungai.
Ketika air banjir semakin surut di beberapa wilayah timur laut, wilayah tengah Bangkok di Ayutthaya, Nonthaburi dan Pathum Thani berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan air di bahagian utara mengalir turun melalui Sungai Chao Phraya.
Paras air di Sungai Chao Phraya di tengah Thailand, mencapai paras tertingginya kelmarin menyebabkan 27 komuniti ditenggelami air. 

Jabatan Meteorologi mengumumkan semalam sistem tekanan tinggi dari China berkembang ke kawasan selatan negara itu dan dijangka meliputi bahagian utara Thailand semalam, mengakibatkan hujan diikuti kilat dan cuaca yang lebih sejuk. – BERNAMA

Warga Kanada 'terpaksa' mengaku salah bunuh





2010/10/26

GUANTANAMO: Seorang warga Kanada semalam mengaku salah atas tuduhan membunuh seorang askar Amerika Syarikat ketika remaja kerana tiada pilihan lain bagi mengelak daripada dituduh melakukan jenayah perang sebagai anggota al-Qaeda. 

Oamar Khadr mengaku salah atas lima tuduhan termasuk membunuh dengan membaling sebutir bom tangan menyebabkan kematian askar Amerika menyerang sebuah kubu al-Qaeda di Afghanistan pada 2002.
Defendan berusia 24 tahun itu juga mengaku memasang letupan dan dilatih menggunakan senjata pergerakan militan berkenaan.
Khadr dituduh membunuh atas kematian Sarjan Christopher Speer, seorang anggota perubatan unit tentera khas dari Albuquerque, New Mexico. 

Amerika menuduh tertuduh dari Kanada itu yang cedera parah dalam pertempuran, sebagai penjenayah perang kerana bukan seorang anggota tentera sebenar. Dia juga dituduh mengintip, memberi bantuan untuk pengganas, berkomplot dan cuba membunuh. 

Perbicaraannya atas tuduhan jenayah perang adalah yang pertama di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama bermula pada Ogos lalu tetapi ditunda kerana peguam Khadr jatuh sakit dan pengsan di mahkamah. 

Kes Khadr mencetuskan kemarahan pengkritik Guantanamo, termasuk penyokong Obama yang percaya remaja itu tidak sepatutnya dibicarakan kerana berusia 15 tahun ketika kejadian dan didera selepas ditahan. 
Mereka juga berkata, Khadr askar kanak-kanak yang terbabit dalam konflik atas paksaan bapanya, seorang rakan Osama bin Laden yang maut di Pakistan selepas anaknya ditahan. 

Mereka juga menegaskan, perbuatan membunuh askar di medan perang tidak wajar ditakrifkan jenayah perang. 

“Agak janggal seorang presiden berjanji memulihkan hak asasi manusia memulakan perbicaraan di sini ke atas seorang kanak-kanak yang didera dalam tahanan Amerika dan dibawa ke zon perang oleh bapanya,” kata Jennifer Turner, peguam Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika yang berada di sini bagi memantau prosiding. – AP

Hukuman ke atas ulama dianggap keterlaluan





2010/10/26

SYDNEY: Seorang ulama yang didakwa mengetuai kumpulan pengganas Australia berkomplot membunuh ribuan penduduk, semalam hilang hak merayu ke atas hukuman penjaranya, namun sebuah mahkamah mendapati sesetengah hukuman dijatuhkan ke atasnya agak keterlaluan. 

Abdul Nacer Benbrika, berasal dari Nigeria dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun pada Februari 2009 kerana mengetuai organisasi yang komited melancarkan jihad dan serangan bom serta senjata api.
Mahkamah Rayuan Victoria memutuskan hukuman utama ke atasnya wajar namun Benbrika yang sudah menjalani hukuman penjara tujuh tahun kerana kesalahannya diberi hukuman keterlaluan berbanding tahap ancaman kumpulan itu.
Dalam penghakimannya, mahkamah berkata sebuah organisasi pengganas mungkin kumpulan kecil individu yang membincang serangan tetapi tidak pernah melancarkannya seperti dilakukan kumpulan al-Qaeda yang mempunyai rekod melakukan keganasan. 

Mahkamah berkata, kumpulan Benbrika adalah terkumpul dalam golongan yang tidak begitu serius. Justeru, hukuman yang dikenakan ke atas Benbrika kerana menjadi anggota kumpulan kecil berkenaan perlu setimpal dengan tahap ancaman kumpulan itu. 

Mahkamah berkata Benbrika sepatutnya diberi hukuman penjara lima tahun atas keanggotaannya dalam kumpulan itu. Mahkamah yang sama turut mengurangkan hukuman kepada pengikut Benbrika yang disabitkan atas dakwaan sama kepada penjara dua tahun. 

Ia mengarahkan perbicaraan baru ke atas Benbrika atas dakwaan memiliki CD yang memberitahu cara melakukan tindakan ganas kerana juri diberi salah panduan. – AFP