
KUALA LUMPUR: Bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan maut hingga mengorbankan 13 nyawa di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat pada 10 Oktober lalu didapati dipandu pada kelajuan 120 kilometer sejam (kph) selepas memasuki lebuh raya itu dari tol Alor Gajah.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata itu adalah antara penemuan kajian dan analisis saintifik mengenai kemalangan itu yang dikendalikan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).Beliau berkata berikutan kemalangan itu, satu mesyuarat membabitkan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Puspakom, polis dan Pihak Berkuasa Lebuh Raya Malaysia diadakan pada 14 Oktober lalu.Laporan mesyuarat itu dikumpul dan dianalisis satu pasukan berkaitan kemalangan Miros, katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.Beliau berkata berdasarkan laporan analisis kesan tenaga kemalangan, kemungkinan kelajuan bas dari syarikat Bas Delima yang membawa 36 penumpang itu sebelum berhenti ialah antara 94 dengan 109 kph.'Selain daripada itu, terdapat kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu yang mungkin dipandu dengan kelajuan 160 kph pada masa kejadian,' katanya.Dalam kejadian pada 6.47 petang 10 Oktober lalu itu, bas ekspres Delima yang menghala ke Kuala Lumpur dari Melaka hilang kawalan, dan 'melayang' ke laluan bertentangan lebuh raya dan melanggar sebuah van, dua kereta dan sebuah lagi bas lain, menyebabkan 13 maut dan 38 yang lain cedera.Mengenai keadaan bas ekspres itu, Datuk Seri Kong berkata pemeriksaan berkala oleh Puspakom menunjukkan bas itu dalam keadaan baik. -- Bernama.