Search This Blog

Sunday, October 24, 2010

Proses dadah di kondo



GEORGETOWN - Polis berjaya membongkar kegiatan memproses dan membungkus dadah jenis heroin bernilai RM1 juta ringgit selepas menyerbu sebuah kondominium mewah di Lebuh Sungai Pinang 2, yang dijadikan sebagai makmal haram memproses dadah.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hissan Tun Hamzah berkata, dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama beberapa anggota JSJN Pulau Pinang berjaya menahan dua lelaki berusia 40 dan 41 tahun yang sedang leka memproses dadah.

Menurutnya, dalam serbuan yang dibuat kira-kira jam 11.45 pagi itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah, beberapa peralatan makmal untuk memproses dadah, wang tunai, sepucuk pistol dan beberapa butir peluru.

Tun Hisan berkata, kedua-dua mereka dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di negeri ini sejak dua bulan lalu.

“Dalam serbuan yang dilakukan, polis berjaya merampas 21 kilogram dadah yang dipercayai jenis heroin tahap tiga, dadah heroin base seberat 300 gram, 113 kilogram kafein, asid dan klorofom.

“Kita turut temui sepucuk pistol jenis Barreta, satu magazin yang berisi 13 butir peluru yang bersaiz sembilan milimeter. Pemeriksaan yang dilakukan ke atas pistol itu mendapati suspek telah menarik pemicu pistol dan sedia untuk melepaskan tembakan bila-bila masa sahaja sekiranya mereka diserbu polis,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini semalam. 

Tun Hissan berkata, tindakan pantas pasukan serbuan yang berjaya merampas pistol itu menggagalkan daripada suspek melepaskan sebarang tembakan kepada pasukan polis.

Katanya lagi, polis turut merampas beberapa harta suspek antaranya wang tunai RM28,000, AS$500, seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai RM1,300, barang kemas yang dipercayai bernilai RM56,000 dan sebuah komputer riba yang bernilai RM5000.

Polis juga merampas empat kenderaan yang dipercayai milik suspek iaitu sebuah Proton Waja, sebuah Proton Saga, sebuah Perodua Kenari dan sebuah motosikal yang dianggarkan bernilai RM77,000.

“Jumlah keseluruhan harta yang disita ialah RM168,800 manakala nilai pasaran dadah yang dirampas kita anggarkan mencecah RM1 juta. 

“Dengan heroin seberat 21 kilogram itu, mereka boleh hasilkan 700,000 tiub kecil untuk diedarkan dan bayangkan disebabkan kegiatan mereka ini telah menyebabkan 700,000 orang menjadi mangsa dadah,” katanya.

Tun Hissan berkata, salah seorang suspek yang ditahan mempunyai empat rekod jenayah lampau bersabit kes dadah. Kedua-dua suspek kini direman sehingga 29 Oktober bagi siasatan lanjut.

Kes akan siasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya manakala kesalahan memiliki pistol dan peluru akan disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

Seludup lembu tumpas



BUKIT BUNGA – Sepasukan anggota Batalion Ke 2 Rejimen Sempadan (RS) Kem Batu Melintang, dekat sini merampas tujuh lembu jenis Brahman dan kampung yang cuba diseludupkan melalui sempadan Malaysia-Thailand dalam operasi di kampung Lubuk Dulang dengan nilai anggaran RM15,500. 

Rampasan jam 7.30 petang itu dilakukan anggota terbabit semasa membuat rondaan rutin di pangkalan haram di kawasan tersebut. 

Sedar kehadiran anggota yang melakukan rondaan tiga suspek mendalangi seludup lembu itu melarikan diri ke kawasan belukar kerana bimbang ditahan anggota bertugas. 

Pegawai Memerintah Batalion Ke-2 Rejimen Sempadan, Leftenan Kolonel Zambery Jefrey Darus berkata, usaha seludup lembu di kawasan sempadan berjaya dipatahkan hasil usaha tindakan cekap anggota bertugas yang sentiasa peka dengan aktiviti penyeludupan. 

“ketika terserempak dengan pasukan keselamatan tiga lelaki melarikan diri dengan meninggalkan tujuh ekor lembu di lokasi tersebut di mana ia cuba dibawa masuk ke negara ini melalui pangakalan haram tersebut. 

“Dipercayai lembu tersebut untuk dipasarkan di pasaran tempatan menjelang Aidiladha,” katanya. 

Menurutnya, aktiviti mengawal sempadan akan diteruskan tidak mengira masa agar sempadan negara tidak dibolosi. 

“Pengawasan serta pemantauan akan diteruskan sepanjang masa dan tidak terhad pada musim perayaan sahaja dan juga tidak terhad kepada haiwan malah kepada semua barang yang diseludup secara haram akan menjadi tumpuan operasi kita dalam membanteras penyeludupan di kawasan sempadan,” katanya. 

Zambery berkata, barang rampasan tersebut akan di serahkan kepada jabatan Vaterinar yang beribu pejabat di Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Hajat tidak kesampaian




CHERAS- Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya parah dalam perjalanan mencari kerja apabila terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Hubungan Timur Barat Metramac pagi semalam. 

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.45 pagi itu berlaku di Kilometer 1.5 dekat sini dari arah Petaling Jaya menuju ke Cheras. 

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritenden (DSP) Abdullah Roning berkata kemalangan melibatkan seorang lelaki India yang menunggang motosikal bersama temannya yang membonceng bersama-sama. 

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas melanggar pengadang di kiri jalan. 

“Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan yang parah di bahagian kepala dan tangan kiri,” katanya. 

Mangsa yang yang dikenali sebagai M. Vigenthiran,21 dari Taman Sri Layang Mentakab Pahang dikatakan dalam perjalanan mencari kerja bersama rakannya. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur manakala rakannya di rawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). 

Sementara itu, kakak mangsa Anu, 23, yang tiba di tempat kejadian tidak dapat menahan sebak apabila melihat sekujur tubuh adiknya terlantar kaku. 

Kata Anu, adiknya itu keluar dari rumah untuk mencari kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan pembelajarannya. 

“Vigenthiran masih belajar di sebuah koleh swasta, dia kata tidak mahu bebankan keluarga, mahu cari kerja sambilan untuk bayar perbelanjaan kolej itu. 

“Katanya lagi dia juga mahu membantu meringankan beban keluarga apabila dapat kerja nanti,” katanya yang turut ditemani rakan-rakan adiknya itu.

Sorok dalam ‘lubang tikus’




SEREMBAN - Beberapa wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan karaoke dekat Rahang Kecil, di sini sanggup berhimpit-himpit dalam lubang rahsia bagi mengelakkan diri dicekup pihak berkuasa, malam kelmarin.

Mereka juga dikatakan bertempiaran lari menyelamatkan diri sebaik saja menyedari kehadiran sepasukan polis yang melancarkan Ops Noda di pusat hiburan berkenaan.

Akibat terlalu panik, ada antara mereka bertindak nekad merempuh anggota polis, selain bergegas menyembunyikan diri dalam ‘lubang-lubang tikus’ di premis berkenaan supaya tidak diberkas.

Malangnya, cubaan itu bukan sahaja gagal malah ia mengakibatkan pihak berkuasa menemui lebih ramai wanita dipercayai GRO dalam keadaan berhimpit-himpit dalam tempat persembunyian berkenaan.

Serbuan mulai kira-kira jam 9.30 malam hingga 12.30 malam itu dijalankan sepasukan dua pegawai dan 11 anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman diketuai Pegawai Operasinya, Asisten Superintendan Khairi Anuar Rusly.

Turut serta sepasukan pegawai dan anggota D7 dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri.

Menurut Khairi Anuar, siasatan awal mendapati semua wanita berkenaan, berumur antara 20 hingga 30-an, memiliki dokumen perjalanan sah selain permit kerja dalam pelbagai bidang.

"Namun mereka disyaki menyalah gunakan permit berkenaan dan seterusnya ditahan di bawah Peraturan Imigresen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 untuk siasatan lanjut.

"Di samping itu, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur sekitar 40-an dipercayai penjaga premis bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pusat hiburan di premis dua tingkat dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan dipercayai mula beroperasi sejak beberapa tahun lalu. 

"Setiap pelanggan perlu membayar RM50 sejam untuk khidmat GRO menemani mereka semasa berhibur di pusat hiburan terbabit,” katanya.

Khairi Anuar berkata, kira-kira 50 pelanggan berumur antara 20 hingga 40-an serta 10 pekerja berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan.

Menurut beliau, ujian air kencing mendapati empat pelanggan berumur antara 20 hingga 30-an positif dadah.

"Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya. 

Dua pelajar tidak sempat ambil periksa



SHAH ALAM – Dua pelajar lelaki tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), selepas maut terlibat dalam kemalangan jalan raya di kilometer 51, Jalan Teluk Intan-Klang dekat sini, pagi semalam. 

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi, ketika motosikal ditunggangi mangsa terbabas sebelum dilanggar lori. 

Penunggang motosikal, Amirul Asyraf Abdullah, 17, dari Taman Air Manis, Sabak Bernam, meninggal dunia di tempat kejadian. 

Rakannya, Muhamad Muazzam Shah Muhamad Khir, 17, dari Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga di sini, disahkan meninggal dunia di Hospital Sabak Bernam (HSB), kira-kira jam 12 tengah hari. 

Ketua Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar berkata, mangsa dari Sekolah Menengah Agama Al-Ulum, Bagan Datoh, Perak, dalam perjalanan ke Sungai Nibong. 

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa memotong sebuah kenderaan dan motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum dirempuh lori yang dari arah sama,” katanya. 

Katanya, rempuhan kedua itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan. 

“Muhamad Muazzam Shah sempat diberi rawatan kecemasan di HSB, namun disahkan meninggal dunia ekoran kecederaan parah yang dialami,” katanya.

Sampel darah bapa, adik diambil



SHAH ALAM – Polis telah mengambil sampel darah dua individu dipercayai bapa dan adik lelaki kepada pemilik rangka manusia yang ditemui tertanam di ladang kelapa sawit di Bukit Brogra, Semenyih, Isnin lalu. 

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, darah dua individu itu diambil bertujuan untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA). 

Katanya, polis tidak dapat memastikan lagi sama ada dua individu itu merupakan ahli keluarga kepada pemilik rangka tersebut. 

“Apa yang pasti, dua individu itu merupakan bapa dan adik kepada orang hilang yang dilaporkan kepada kita. 

“Ujian DNA sedang dilakukan dan sampel darah itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk memastikan sama ada wujud persamaan dengan sampel DNA si mati,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih lagi dilakukan. 

Dalam kejadian tersebut, penemuan rangka itu susulan daripada pengakuan seorang suspek kes pembunuhan yang menunjukkan kepada polis lokasi dia menanam mayat mangsa. 

Setelah digali, polis menemui rangka manusia yang masih ada sedikit cebisan tisu. 

Suspek berusia 30-an turut menunjukkan lokasi sebuah kereta yang hangus dibakar, dipercayai milik mangsa, iaitu kira-kira 3 kilometer dari tempat mayat mangsa ditemui. 

Polis tidak menolak kemungkinan rangka manusia itu milik individu berprofil tinggi.

Pemandu traktor dihukum gantung sampai mati kerana edar dadah



ALOR SETAR - Seorang pemandu traktor dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis ganja seberat 2,700.01 gram lima tahun lepas. 

Hakim Datuk Zamani A. Rahim menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tamim Ansari Abdul Hamid, 26, yang berasal dari Sanglang dekat Jitra, dituduh mengedar dadah jenis ganja di hadapan pintu masuk stadium Darul Aman pada pukul 10.45 malam 10 Mei 2005.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd Nor manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Nizan Azdahari. - Bernama

Kilang proses sarang burung walit guna kimia bahaya



SEREMBAN - Dua buah kilang memproses sarang burung walit dikenal pasti menggunakan bahan kimia berbahaya untuk menjadikan warna sarang burung itu kemerah-merahan, iaitu kategori yang terbaik, bertujuan menipu pembeli. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Chua Tee Yong berkata, perbuatan itu menyebabkan China, selaku pengimport utama sarang burung itu, menghantar aduan kepada kementeriannya memandangkan penggunaan bahan kimia itu yang boleh menyebabkan kanser. 

Sebagai tindakan, beliau berkata kementeriannya sudah pun mengarahkan kedua-dua kilang terbabit menghentikan pengeluaran dan tindakan akan diambil oleh jabatan kesihatan. 

China mengimport sarang burung walit sebanyak RM1 bilion dari Malaysia, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Sehari Perladangan Burung 

Walit anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan dan Persatuan Pengusaha-pengusaha Burung Walit Negeri Sembilan di sini semalam. 

Chua berkata garis panduan untuk pengusaha burung walit akan diperkenalkan pada hujung tahun ini. 

“Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama yang menguatkuasakan garis panduan ini. Ini akan membolehkan pihak berkuasa mengadakan tindakan memantau industri ini supaya rumah burung itu tidak dibuat sesuka hati,” katanya. 

Beliau berkata kementerian itu merekodkan kira-kira 6,000 pengusaha burung walit tetapi beliau menganggarkan jumlah tidak rasmi mungkin mencecah dua kali ganda. - Bernama

Bunuh angkara perselisihan faham




SENAI – Seorang warga Nepal dibunuh akibat pertengkaran dengan salah seorang rakannya di asrama kediaman mereka di Taman Senai Jaya, Senai di sini dalam kejadian kira-kira 6.30 petang, kelmarin. 

Sinar Harian difahamkan, terdapat perselisihan faham di antara mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu dengan rakannya yang juga merupakan warga Nepal sebelum pergelutan berlaku. 

Perselisihan itu membawa kepada pergaduhan sehingga gagal dikawal rakan-rakan yang lain. 

Mangsa dikatakan cedera parah di kepala akibat hentakan menggunakan objek tumpul meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya, untuk siasatan lanjut. 

Bagaimanapun, suspek pembunuhan dipercayai melarikan diri sejurus selepas mendapati mangsa yang bekerja di salah sebuah kilang di sini telah meninggal dunia. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan menyifatkannya sebagai kes pembunuhan. 

“Kita akan jalankan siasatan lanjut berhubung kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Lelaki maut kereta terbabas




KUANTAN – Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga kereta di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-Kemaman kira-kira jam 8.55 malam kelmarin.

Mangsa, Azman Muhammad, 29, yang menaiki kereta Myvi dikatakan dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menuju ke Beserah apabila kenderaan yang dipandunya tiba-tiba terbabas dan memasuki arah bertentangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha berkata, kereta itu kemudiannya bertembung dengan sebuah lagi kereta proton sebelum merempuh pengadang jalan.

“Pada masa sama, sebuah lagi kereta Honda melanggar belakang kereta Proton terbabit menyebabkan dua kenderaan itu mengalami kerosakan manakala pemandu kereta proton itu cedera,” katanya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pagi semalam akibat cedera parah akibat kehilangan banyak darah dan cedera parah di bahagian badan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Bukit Ubi, Tuan Farid Pisri berkata, anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kira-kira jam 8.37 malam.

Katanya, operasi mengeluarkan mangsa tersepit mengambil masa kira-kira 20 minit dan keadaan salah seorang mangsa ketika itu parah sebelum dibawa ke HTAA.

Katanya, lapan anggota bomba bertugas berjaya mengeluarkan dua mangsa lelaki dalam dua kereta berasingan.

Kemalangan itu menyebabkan gangguan lalu lintas lebih satu kilometer tetapi polis berjaya mengawal keadaan dan kembali pulih dalam tempoh setengah jam kemudian.

Jurugambar New York Times cedera parah terpijak periuk api di Afghanistan





2010/10/24

KABUL: Seorang jurugambar New York Times cedera parah apabila beliau terpijak periuk api ketika membuat liputan di selatan Afghanistan, Sabtu (waktu tempatan). 

Joao Silva, 44, dibawa ke pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di selatan Kandahar selepas cedera di kaki. - AFP

Polis serbu makmal proses dadah di Seremban, rampas dadah bernilai RM20 juta





2010/10/24

SEREMBAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Negeri Sembilan menyerbu makmal haram memproses dadah di Pusat Komersial Oakland, di sini, pagi semalam. 

Pihak polis turut merampas dadah jenis Eramin 5 bernilai kira-kira RM20 juta serta menahan empat individu termasuk seorang wanita warga Vietnam.

Pemancing lemas air laut bergelora

PORT DICKSON: Memilukan apabila seorang lelaki yang memancing dan menjala ikan di pantai Telok Pelandok, Batu 10, di sini, ditemui lemas kerana dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri apabila air laut bergelora, kelmarin.
Mayat mangsa dikenali sebagai Mohd Azhari Tahari, 41, ditemui anggota Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat di sekitar Pulau Judi, Batu 12, kira-kira jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, mangsa sebelum itu dikatakan memancing dan menjala ikan bersama empat rakannya di kawasan pantai berkenaan.

“Hasil siasatan awal polis mendapati keadaan bertukar kecoh apabila mereka menyedari laut tiba-tiba bergelora, menyebabkan mereka segera menyelamatkan diri menuju ke tepi pantai, namun terkejut mendapati mangsa hilang,” katanya di sini, semalam.

Menurut Baljeet, selepas usaha mencari mangsa gagal membuahkan hasil, mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui di Pulau Judi dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
“Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas dan mayatnya dituntut ahli keluarga,” katanya.

Berikutan kejadian itu, sebagai langkah keselamatan, Baljeet menasihatkan orang ramai supaya tidak mandi atau melakukan aktiviti pantai di luar kawasan umum atau yang diwartakan selamat.

“Ini kerana tidak semua pesisiran pantai Port Dickson sesuai untuk sebarang aktiviti dan ia turut mengundang bahaya kepada orang awam,” katanya.

Kebakaran musnahkan dua stor perabot



24/10/2010 12:12pm

ALOR SETAR – Dua buah stor simpanan perabot yang terletak di tingkat tiga sebuah premis perniagaan di Lebuh Raya Sultan Abdul Halim di sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba Jalan Tun Razak, Fazil Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 6.35 pagi dan sampai di tempat kejadian pada 6.38 pagi.
"Lima jentera iaitu sebuah dari Balai Bomba Jalan Raja dan empat dari Balai Bomba Jalan Tun Razak termasuk sebuah jentera tangki air dan sebuah jentera tangga putar bersama 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian,” katanya di sini.
Fazil berkata, api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 7.05 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Beliau berkata keseluruhan kerugian dianggarkan kira-kira RM730,000. – Bernama

Devon menipu

LOS ANGELES: Jangan bermimpi untuk menyaksikan rakaman aksi ranjang Tiger Woods dengan seorang daripada pemuas nafsunya dalam rakaman didakwa dimiliki Devon James.
Sebuah laman sesawang berita hiburan AS mendapati, rakaman aksi seks itu sebenarnya tidak membabitkan Woods, sebaliknya seorang lelaki lain yang menyerupai bekas jaguh golf berkenaan.

Menurut laman sesawang itu, Devon mengupah lelaki terbabit, Teneal Goyco, dan merakamkan aksi ranjang mereka untuk dijaja kepada mana-mana penerbit filem pornografi berminat.

Rakaman itu pernah cuba dijual kepada penerbit dan pengedar filem lucah terbesar di dunia, Vivid Entertainment Group.

Laman sesawang itu melaporkan, Goyco adalah petinju amatur dan diupah sebanyak AS$1,000 (RM3,000) untuk berlakon seperti Woods bagi rakaman selama dua jam.

Kepada sebuah akhbar tabloid, Geyco berkata, dia tidak tahu dirinya digunakan untuk melariskan rakaman Devon.
“Saya sangka dia membayar upah itu untuk memuaskan nasfunya saja dan saya pula hanya berminat kepada wang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, sebuah laman sesawang mendapati, syarikat yang bakal mengedar rakaman aksi ranjang ‘Devon dan Woods’ itu memasukkan terma dan syarat mengelirukan kepada pembeli.

Menurut laman sesawang pengedar itu, pita rakaman berkenaan hanya dijual jika ia ditempah terlebih awal dan mereka berhak membatalkan jualan itu pada bila-bila masa.

“Bagaimanapun, jika penjualan itu dibatalkan, syarikat kami mungkin akan mengembalikan bayaran,” katanya.

Devon - seorang pelacur Tampa, Florida - mendakwa menjalin hubungan sulit dengan Woods dan turut melahirkan zuriat atlit terbabit.

Bagi sesiapa yang mahu melihat aksi seksnya dengan ‘Woods’, Devon mengenakan caj AS$25.95 (kira-kira RM81) bagi setiap rakaman yang dihantar terus ke rumah pembeli. - Agensi

Cut Tari mahu ubati rindu peminat

JAKARTA: Walaupun dicemari dengan skandal seks, personaliti televisyen Indonesia, Cut Tari (gambar), bersemangat dan tidak sabar-sabar kembali ke dunia hiburan yang pernah menaikkan namanya.
Menurut ibu beranak seorang itu, beberapa stesen televisyen serta firma korporat menghubunginya dan mencadangkan kerjasama.

Seorang pembantu peguam Cut Tari berkata, pasti personaliti itu rindu untuk kembali menghidupkan kerjayanya.

“Malah Cut Tari pasti ada ramai peminat merinduinya,” katanya, semalam.

Cut Tari adalah seorang daripada dua wanita mengadakan hubungan seks dengan vokalis Peterpan, Ariel.

Berbanding Luna Maya yang enggan memberi sebarang komen terhadap rakaman aksi ranjang bersama Ariel, Cut Tari membuat pengakuan terbuka mengenainya.
Selepas empat bulan kes itu tercetus, wanita berdarah Aceh itu masih belum didakwa di mahkamah.

Menurut pembantu peguam itu, Cut Tari teringin merasai kembali kesibukan dunia hiburan seperti pernah dialaminya satu ketika dulu.

“Rindunya terlalu menebal dan disokong dengan keluarga serta peminat, Cut Tari tidak sabar-sabar membuat kemunculan semula,” katanya. - Agensi

Sex.com masih domain termahal





2010/10/24

NEW YORK: Apa juga perkara mengenai seks biasanya laris dan terbukti selepas nama domain Sex.com menjadi alamat web paling mahal selepas dijual pada harga AS$13 juta (RM41.6 juta). 

Berdasarkan dokumen mahkamah difailkan minggu ini, pemilik domain itu yang bankrap, Escom LLC, menamakan Clover Holdings Ltd sebagai pemilik terbaru domain itu.
Escom dilaporkan membeli doman itu pada harga AS$14 juta (RM44.8 juta) pada 2006. Persetujuan urus niaga itu akan diputuskan oleh hakim pada 27 Oktober depan.
Seorang pakar mengenai nama domain dari firma Sedo.com berkata, nama domain Sex.com adalah harga nama paling mahal dijual. – Reuters

Ariel didakwa sebar video lucah sendiri





2010/10/24

Penyanyi mungkin dipenjara 12 tahun jika sabit kesalahan 

JAKARTA: Penyanyi kumpulan Peterpan, Nazril ‘Ariel’ Irham kelmarin dibebaskan daripada dakwaan melakukan perbuatan melanggar tata susila tempatan berkaitan video lucahnya bersama dua artis lain, sebaliknya didakwa dengan tuduhan baru sebagai orang yang bertanggungjawab menyebarkan rakaman video terbabit.
Ketua Pusat Penerangan Jabatan Peguam Negara, Babul Khoir Harahap, yang dipetik laman web Metrotvnews, berkata dakwaan terbaru ke atas Ariel adalah menyebarkan rakaman video lucah dan bukan sebagai pelaku dalam video seks yang tersebar di internet.
Ariel yang ditahan di sebuah penjara di Bandung, akan didakwa di bawah Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik 2008 dan Undang-Undang Kelucahan 2008. Beliau berdepan hukuman penjara 12 tahun jika sabit kesalahan. 

Babul berkata, tuduhan pindaan yang dikenakan ke atas Ariel berpunca daripada kegagalan pihak polis mengenal pasti lokasi dan masa video itu dirakamkan. 

“Tempat video itu dirakamkan dan waktunya tidak jelas. Ada yang menyatakan bahawa ia dibuat pada 2005, 2006 dan 2010. 

“Dua artis yang didakwa terbabit dengan rakaman itu, Luna Maya dan Cut Tari berkata, mereka tidak ingat tempat ia dirakam. Cut Tari mengaku tahu tetapi lupa lokasinya. Apa yang pasti tempatnya di Indonesia,” katanya. 
Babul berkata, siasatan polis selama empat bulan mengesahkan Ariel bertanggungjawab atas penyebaran video lucah itu. 

“Dalam siasatan itu, kami mendapati Ariel dibantu bekas pengarah muziknya Redjoy, menyebarkan video lucah terbabit dari rumah penerbit muziknya, Capung. Keterangan mengenai perkara ini ditemui di rumah Capung di Jalan Antapani, Bandung,” katanya. 

Babul berkata, pegawai pendakwa di Bandung mengesahkan menerima fail kes Ariel daripada polis dan merancang mengemukakan kes itu di Mahkamah Daerah dalam tempoh beberapa minggu lagi. – Agensi

Taufan Megi gempur China pula





2010/10/24

Bencana alam punca 48 terbunuh di Filipina, Taiwan 

BEIJING: Hujan lebat dan angin kencang melanda kawasan selatan China semalam, menandakan permulaan taufan Megi selepas ia menyebabkan 48 orang maut di Filipina dan Taiwan.
Televisyen menyiarkan gambar angin kencang menyebabkan pokok tumbang di wilayah Fujian selain menyebabkan papan iklan runtuh manakala ombak besar membadai pantai.
Selain itu, beberapa jalan raya di bandar Zhangzhou, turut dinaiki air. Pusat Kaji cuaca China mengesahkan, Megi sudah tiba dan meminta penduduk tidak keluar. 
Bagaimanapun, selepas tiba di China, kekuatan Megi menurun ke tahap ribut tropika dan dipercayai lemah selepas ini. 

Taufan itu menyebabkan 36 terbunuh di Filipina. Di Taiwan, 24 masih hilang manakala 12 disahkan maut kerana lumpur dan tanah runtuh. 

Di Taipei, pasukan penyelamat Taiwan menemui beberapa serpihan kenderaan rosak dipercayai sebuah bas yang membawa 19 pelancong China yang tertimbus di dalam kejadian tanah runtuh akibat taufan Megi. 
Menteri Pengangkutan Mao Chih-kuo berkata bas itu tertimbus sepenuhnya di dalam lumpur. Di sebelah bas terbabit ialah serpihan sebuah lagi bas yang berkecai akibat dihempap batu besar. Bagaimanapun pelancong di dalamnya berjaya menyelamatkan diri,” katanya. 

Beberapa bas yang membawa pelancong China itu dalam perjalanan di lebuh raya pesisir pantai Ilan apabila sekurang-kurangya tujuh kejadian runtuhan batu berlaku, manakala laluan sepanjang 500 meter runtuh. 

Sembilan belas pelancong China yang diselamatkan dari sebuah bas lain memberitahu wartawan, pemandu bas rakyat Taiwan dan pemandu pelancong China berusaha membantu menyelamatkan mereka tetapi bongkah batu besar tiba-tiba menghempap bas itu menyebabkan mereka terhumban ke dalam gaung bersama kenderaan terbabit. 

Runtuhan batu menimbus 30 buah bas, kereta dan van menyebabkan sekurang-kurangnya 400 orang terkandas. Mereka berjaya diselamatkan awal semalam. 

Mao berkata, tanah runtuh akibat taufan itu menyebabkan sembilan orang terbunuh dan menimbus sebuah tokong Buddha di daerah Ilan yang paling teruk terjejas dengan jumlah hujan sebanyak 114 sentimeter direkodkan hanya dalam tempoh 48 jam. – AP

Doktor gigi tawar diskaun untuk seks





2010/10/24

LONDON: Seorang ibu lima anak memberi keterangan mendedahkan dilema dirinya selepas seorang doktor gigi menawarkan diskaun rawatan jika dia bersetuju tidur dengannya, lapor media tempatan di sini, semalam. 

Chammelle Courtney, menghadapi masalah besar selepas suaminya, Mark, pemandu lori berusia 36 tahun, diserang asma menyebabkan jantungnya terhenti dan merosakkan otak.
Tidak lama selepas suaminya lumpuh dan ditempatkan di pusat rawatan 24 jam, Chammelle mendapat tawaran itu daripada doktor gigi terbabit, Milan Shah. Doktor itu sering menelefonnya dan berkata: “Anda tidak mendapat kasih sayang suami dan saya juga mengalami situasi sama kerana isteri sering mengabaikan saya. Mungkin kita boleh saling membantu.”

Chammelle, 37, berkata polis enggan menerima kesnya kerana kekurangan bukti. Perbualan telefon yang dirakam Chammelle mengandungi tawaran Milan Shah, 43, itu tidak dapat diterima mahkamah jenayah kerana doktor itu tidak tahu perbualan mereka dirakam. 

Tetapi, Majlis Pergigian Awam menerima rakaman itu sebagai bukti dan selepas satu sesi keterangan bulan lalu, Milan Shah tidak lagi dibenarkan memberi perkhidmatan. 

Chammelle yang berasal dari St Albans, Hertfordshire, menjelaskan mengapa dia memutuskan membuat pendedahan mengenai doktor gigi itu. 
“Saya mahu orang lain tahu profesional perubatan boleh dikenakan tindakan. 
Jika doktor gigi saya melayan orang lain begitu juga, mereka perlu buat aduan,” katanya. – Agensi

Putus tunang: Kedua sekeluarga sepakat

KEMAMAN: Sah putus. Pertunangan Rozaliya Mat Lazim, 20, dengan pasangannya Mohd Helmi Mohd Noor, 24, putus selepas keluarga kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenainya, semalam.
Bapa Mohd Helmi, Mohd Noor Juah, 53, yang tiba dari Kampung Sebaso Paya Redan, Muar, Johor kira-kira jam 3 petang bersama isteri, Mariani Hussin, 46, berkata dia datang ke rumah Rozaliya di Bandar Cheneh Baru, di sini, kerana menunaikan permintaan gadis itu dan keluarganya bagi memutuskan pertunangan berkenaan.
TERLERAI... Marianai menunjukkan wang hantaran RM3000 dan cincin yang diserahkan keluarga Rozaliya.

TERLERAI... Marianai menunjukkan wang hantaran RM3000 dan cincin yang diserahkan keluarga Rozaliya.


Katanya, mereka menghormati permintaan keluarga Rozaliya yang meminta mereka datang untuk memutuskan pertunangan seperti disiarkan dalam akhbar beberapa hari lalu, sekali gus menyelesaikan segala salah faham antara dua keluarga itu.


“Kami datang dengan cara baik untuk berbincang demi kepentingan anak saya, Mohd Helmi dan Rozaliya. Namun jika itu keputusan (memutuskan pertunangan) diambil, kami menerimanya dengan hati terbuka dan tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

“Mungkin setakat ini hubungan Mohd Helmi dan Rozaliya kerana jodoh sudah tiada dan semuanya berakhir di sini, apatah lagi semua yang berlaku sekarang adalah berdasarkan kata putus mereka berdua. Kami sebagai ibu bapa menghormati keputusan itu,” katanya.

Mohd Noor berkata, sebelum ini keluarganya tersinggung dan menanggung malu dengan jiran dan saudara mara di atas tuduhan dilemparkan keluarga Rozaliya yang mengatakan Mohd Helmi melarikan anak gadis mereka.

“Hanya Allah tahu perasaan kami ketika itu kerana semua penduduk kampung, khususnya saudara mara, mempunyai tanggapan negatif terhadap Mohd Helmi dan keluarga kami.

“Kami membacanya dalam akhbar dan sedih dengan tuduhan sebelum ini mengatakan Mohd Helmi dikatakan melarikan Rozaliya dan kami datang untuk bersemuka serta berbincang,” katanya.

Sementara itu, Mariani berkata, apa diharapkan ialah keputusan memutuskan pertunangan itu dapat memenuhi kehendak Rozaliya dan keluarganya serta berharap segala masalah yang timbul dapat diselesaikan.

“Biar mereka berdua menentukan sendiri masa depan mereka selepas ini dan kita sebagai ibu bapa ada kalanya perlu menghormati keputusan mereka,” katanya.

Mohd Helmi ketika ditemui pula berkata, dia menerima keputusan memutuskan pertunangan itu dengan hati terbuka dan menganggap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

“Saya menyayanginya tetapi apakan daya, takdir yang menentukan segala-galanya dan hubungan saya dengan Rozaliya hanya sampai di sini,” katanya.

Pada pertemuan itu Keluarga Rozaliya memulangkan wang tunai sebanyak RM3,000 yang juga sebahagian daripada wang hantaran berjumah RM6,000 yang diberi kepada keluarga itu sebagai persediaan majlis perkahwinan, termasuk sebentuk cincin pertunangan.

Pemancing lemas air laut bergelora

PORT DICKSON: Memilukan apabila seorang lelaki yang memancing dan menjala ikan di pantai Telok Pelandok, Batu 10, di sini, ditemui lemas kerana dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri apabila air laut bergelora, kelmarin.
Mayat mangsa dikenali sebagai Mohd Azhari Tahari, 41, ditemui anggota Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat di sekitar Pulau Judi, Batu 12, kira-kira jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, mangsa sebelum itu dikatakan memancing dan menjala ikan bersama empat rakannya di kawasan pantai berkenaan.

“Hasil siasatan awal polis mendapati keadaan bertukar kecoh apabila mereka menyedari laut tiba-tiba bergelora, menyebabkan mereka segera menyelamatkan diri menuju ke tepi pantai, namun terkejut mendapati mangsa hilang,” katanya di sini, semalam.

Menurut Baljeet, selepas usaha mencari mangsa gagal membuahkan hasil, mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui di Pulau Judi dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
“Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas dan mayatnya dituntut ahli keluarga,” katanya.

Berikutan kejadian itu, sebagai langkah keselamatan, Baljeet menasihatkan orang ramai supaya tidak mandi atau melakukan aktiviti pantai di luar kawasan umum atau yang diwartakan selamat.

“Ini kerana tidak semua pesisiran pantai Port Dickson sesuai untuk sebarang aktiviti dan ia turut mengundang bahaya kepada orang awam,” katanya.

Produk tiruan sarang burung walit penyebab kanser




SARANG burung walit produk tiruan (kiri) berwarna merah seragam dan berbau ammonia manakala produk asli hanya memiliki tompok kemerahan.


SEREMBAN - Produk minuman kesihatan yang diperbuat daripada sarang burung walit kualiti terbaik yang berwarna kemerah-merahan boleh mencecah RM8,000 sekilogram namun jika anda tidak berhati-hati ketika memilih, pengambilan produk itu boleh menyebabkan kanser.
Kesan mengejutkan produk premium itu didedahkan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong yang berkata, risiko kanser itu bukan tindak balas semula jadi tetapi hasil perbuatan pengilang menggunakan bahan kimia berbahaya.
"Bahan kimia ini menjadikan sarang burung kemerah-merahan dan seakan-akan sama dengan sarang burung daripada kualiti terbaik.

Sindiket turut edar dadah di luar P. Pinang




TUN HISAN (kanan) menunjukkan hasil rampasan dadah jenis heroin bernilai RM1 juta pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Dua lelaki tempatan yang ditahan kerana memproses dan membungkus dadah di sebuah makmal mini di kondominium mewah The Spring, Lebuh Sungai Pinang kelmarin didapati terlibat dengan sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di luar negeri ini sejak dua bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kedua-dua suspek menyewa sebuah unit di aras dua kondominium 22 tingkat itu sebagai tempat memproses dadah sebelum diedar.
"Kedua-dua suspek ditahan ketika sedang menyediakan bahan-bahan memproses dadah jenis heroin yang bernilai RM1 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini semalam.
Katanya, mereka yang berusia 40 dan 41 tahun ditahan pada pukul 11.45 pagi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan negeri.

Perkahwinan Brand dan Perry dikawal ketat




BRAND (tengah) menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama jemputan tidak dikenali ketika memasuki kawasan hutan di Taman Negara Ranthambore, kelmarin. – AFP


RANTHAMBORE 23 Okt. – Kawalan ketat diadakan hari ini ketika pelakon komedi Britain dan aktor Hollywood, Russell Brand dan bintang pop Amerika Syarikat (AS), Katy Perry melangsungkan perkahwinan mereka di sebuah resort mewah di barat India.
Perkahwinan penuh rahsia dalam upacara Hindu itu diadakan di kawasan perlindungan harimau Ranthambore di negeri Rajashtan, menurut laporan media.
Resort mewah Aman-i-Kas yang menjadi lokasi perkahwinan, dipagari buluh dan rumput untuk menghalang sesiapa mengintai upacara yang disifatkan media sebagai ‘perkahwinan hutan’.
Brand, 35, dan Perry, 25, tiba di Mumbai pada Rabu lalu dan menaiki penerbangan ke Rajashtan.
Perry akan mengenakan pakaian bertemakan India dan akan turut memakai inai tradisional henna pada tapak tangan dalam persiapan perkahwinan.
Antara yang dijemput hadir ke majlis yang terletak 130 kilometer dari bandar pelancongan Jaipur itu adalah Rihanna dan P. Diddy. Kedua-dua mereka dijangka mengadakan persembahan di depan pasangan pengantin.
Kakitangan di tiga lokasi mewah yang ditempah, Aman-i- Khas, Sher Bagh dan Oberoi Vanyavilas di Ranthambore dikawal ketat bagi menghalang orang luar masuk.
Semalam, pasukan pengawal peribadi menggunakan kekerasan ke atas jurugambar yang mengekori Brand dan jemputan di taman hidupan liar itu, dengan dua daripada mereka ditumbuk.
Majlis resepsi perkahwinan pula dijangka diadakan di Hotel Taj Rambagh di Jaipur esok. – AFP

Wilders dibicara semula



THE HAGUE 23 Okt. - Ahli Parlimen anti-Islam Belanda, Geert Wilders akan dibicarakan semula selepas panel hakim yang membicarakannya atas tuduhan mencetuskan kebencian diarah berundur dari kes itu oleh sebuah panel hakim lain yang menyokong dakwaan beliau wujudnya sikap berat sebelah.
Jurucakap mahkamah daerah Amsterdam, Mercedes Grootscholten berkata, perbicaraan akan dimulakan semula selepas sebuah panel hakim pengawasan berpendapat kebimbangan Wilders mengenai sikap berat sebelah di pihak hakim-hakim perbicaraan 'boleh difahami'.
Ketua panel hakim pengawasan, Hakim GH Marcus berkata, keputusan hakim perbicaraan menolak permintaan Wilders untuk memanggil balik seorang saksi 'kelihatan bercanggah dengan undang-undang yang diguna pakai'.
"Kami mendapati kebimbangan pemohon bahawa keputusan mahkamah menunjukkan sikap berat sebelah...boleh difahami," kata Marcus.
Panel hakim pengawasan itu bersidang untuk menimbangkan permohonan Wilders supaya para hakim perbicaraannya digugurkan.
Wilders, 47, mula dibicarakan pada 4 Oktober lalu atas tuduhan membuat kenyataan yang mencetuskan kebencian dengan menggambarkan Islam sebagai 'fasis' dan menyamakan al-Quran dengan Mein Kampf karangan Adolf Hitler.
Perbicaraan telah berlangsung selama tujuh hari dan keputusan dijadual diumumkan pada 5 November ini. - AFP

Megi bawa hujan lebat, angin kencang di selatan China



BEIJING 23 Okt. - Taufan Megi melanda selatan China hari ini dengan membawa hujan lebat dan angin kencang setelah menyebabkan sekurang-kurangnya 47 orang maut di Filipina dan Taiwan.
Televisyen kerajaan menunjukkan pokok condong dipukul angin kencang di wilayah Fujian, tenggara China, papan tanda runtuh dan ombak besar menghempas ke pantai.
Jalan-jalan di bandar raya Zhang zhou yang terletak di laluan taufan itu ditenggelami air.
Pusat meteorologi China mengesahkan taufan itu melanda kawasan pantai dan menasihatkan penduduk supaya tidak keluar rumah.
"Jika anda berada di luar, jangan berlindung dekat struktur sementara, papan tanda, tiang besi dan pokok," menurut kenyataan pusat itu.
Taufan Megi menyebabkan kemusnahan meluas di Filipina dengan 36 terkorban, dan di Taiwan di mana pasukan penyelamat masih mencari 24 orang yang hilang.
Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh di Taiwan dalam kejadian tanah runtuh berpunca daripada taufan.
Pihak berkuasa selatan China menggantung perkhidmatan feri dan penerbangan, dan 270,000 penduduk dipindahkan.
Pihak berkuasa kawalan banjir berkata, lebih banyak penduduk akan perlu dipindahkan apabila taufan yang membawa angin selaju 140 kilometer sejam itu bergerak ke tengah China. - AFP

Bekas penarik beca selamat





Ismail Ibrahim dibawa ke hospital, semalam.


LEDANG 23 Okt. – Seorang bekas penarik beca yang kini lumpuh nyaris maut selepas terperangkap dalam rumahnya yang terbakar di Taman Kenangan Tun Syed Nasir, Tanjung Agas di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, nyawa Ismail Ibrahim yang berusia lingkungan 60-an masih panjang apabila dia diselamatkan oleh jirannya yang belum tidur dan menyedari kebakaran itu.
Isteri bekas penarik beca itu, Zaiton Mohamad, berusia lingkungan 40-an dan menghidap penyakit mental, hanya duduk mencangkung di luar rumahnya ketika api marak.
Menurut jiran mangsa, Abdul Rahman Abu Bakar, 17, dia dan tiga orang abangnya terkejut mendengar suara seorang lelaki meminta tolong semasa sedang menonton cakera video digital (DVD) di rumah mereka.
“Sebaik sahaja menjenguk di luar rumah, saya terkejut kerana nampak api menjulang membakar rumah jiran saya.
“Tiga abang saya membantu menjaga isteri Pak Mail, manakala saya masuk ke dalam ruang tamu yang tengah terbakar itu dan menarik Pak Mail keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Kedua-dua pasangan itu kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar dengan Ismail menerima rawatan sebagai pesakit luar sementara isterinya turut menerima rawatan psikiatri.
Difahamkan, kedua-dua suami isteri itu tidak mempunyai anak dan mereka hidup dengan bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas Ismail tidak dapat mengayuh beca apabila lumpuh kira-kira lima tahun lalu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.08 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudiannya.
“Anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak dalam tempoh enam minit dan pihak kami masih menyiasat punca sebenar kebakaran,” katanya.

Polis temui rangka manusia



LAHAD DATU 23 Okt. – Polis menemui rangka manusia dalam keadaan berselerakan di pesisir pantai Pangutan Tambisan, Tungku dekat sini semalam. Tulang bersama tengkorak dipercayai lelaki dewasa itu ditemui kira-kira pukul 3 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Supritendan Bong Kuet Kiun berkata, rangka itu ditemui dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 yang sedang melakukan rondaan di kawasan pantai itu.
“Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penemuan rangka itu, sepasukan anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian turut menemui beberapa barangan seperti sehelai baju putih, seluar dan sepasang kasut sukan yang masih ada bersama rangka berkenaan,” katanya di sini hari ini.

32 GRO warga asing ditahan





SEBAHAGIAN daripada GRO yang cuba menyembunyikan diri dalam serbuan Ops Noda di sebuah premis hiburan di Seremban, semalam.


RASAH 23 Okt. – Taktik menyembunyikan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dalam ‘lubang tikus’ bagi mengaburi pihak berkuasa nyata tidak berhasil apabila kesemua mereka dicekup dalam ‘Ops Noda’ di sebuah premis hiburan di sini malam tadi.
Dalam serbuan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu, seramai 32 GRO ditahan ketika cuba bersembunyi di dalam lubang tikus berkenaan.
Pegawai Operasinya, Asisten Supritendan Khairi Anuar Ruslan berkata, operasi bermula pukul 9.30 malam melibatkan dua pegawai serta 11 anggota dari bahagian berkenaan.
Katanya, hasil serbuan itu pihaknya berjaya menahan 25 GRO warga China manakala selebihnya merupakan wanita Thailand.
“Ketika serbuan, kesemua mereka sedang leka melayan pelanggan masing-masing sebelum tersentak dengan kehadiran pihak polis yang menyerbu masuk premis hiburan itu.
“Berikutan itu, ada di antara GRO berkenaan didapati cuba melarikan diri bagi mengelak daripada ditahan namun kita berjaya menahan mereka.
“Terdapat sebahagian besar GRO itu cuba menyembunyikan diri dalam lubang tikus yang disediakan oleh pihak pengusaha,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.
Khairi Anuar memberitahu, kesemua GRO berkenaan berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an telah menyalahgunakan pas lawatan kerja ke negara ini sebaliknya menjadi pelayan di pusat hiburan terbabit.
Katanya, serbuan yang dilancarkan itu dibuat setelah pihaknya membuat risikan selama dua minggu terhadap aktiviti yang dilakukan oleh pengusaha berkenaan.
Berdasarkan siasatan, premis yang beroperasi hampir tiga tahun ini menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan mereka menyembunyikan gadis-gadis berkenaan.
“Dalam serbuan itu, kita juga menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang dipercayai melindungi wanita berkenaan,” katanya.
Jelasnya, penjaga premis itu ditahan atas kesalahan menggaji dan melindungi pekerja asing.

Dua pelajar maut nahas



SHAH ALAM 23 Okt. - Dua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) penghujung tahun ini maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 51, Jalan Teluk Intan-Klang di Sabak Bernam dekat sini, pagi ini.
Amirul Asyraf Abdullah, 17, dan Muhamad Muazzam Shah Muhamad Khir, 17, kedua-duanya merupakan pelajar di Sekolah Menengah Agama Al-Ulum, Bagan Datoh, Perak.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Hussain Omar memberitahu, kemalangan berlaku pukul 9 pagi ketika kedua-dua pelajar itu dalam perjalanan untuk menemui seorang rakan di Sungai Nibong, Sekinchan.
Katanya, motosikal yang ditunggang oleh Amirul Asyraf dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan tetapi terlanggar sebuah kereta yang berhenti di hadapan simpang.
"Pelanggaran itu menyebabkan motosikal hilang kawalan, terbabas lalu dirempuh sebuah lori yang datang dari arah yang sama," katanya ketika dihubung di sini hari ini.
Beliau menambah, Amirul Asyraf mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhamad Muazzam walaupun sempat dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Che Hussain memberitahu, Amirul Asyraf berasal dari Taman Air Manis, Sabak Bernam manakala rakannya dari Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga di sini.