Search This Blog

Saturday, October 23, 2010

Pecah rumah: 4 lelaki Vietnam ditahan



23/10/2010 7:53pm

JURU – Polis berjaya menahan empat lelaki warga Vietnam dipercayai geng pecah rumah dalam satu sekatan jalan raya di plaza Tol Juru, arah selatan awal pagi tadi.
Pegawai Turus Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Cif Inspektor Rohizad Halim berkata, ketika ditahan polis menemui pelbagai peralatan seperti dua bilah parang, pemutar skru, topeng, tali dan pita pelekat yang dipercayai digunakan untuk jenayah pecah rumah.
"Kesemua peralatan itu ditemui di dalam kenderaan yang dinaiki suspek, yang dipercayai melakukan jenayah pecah rumah di kawasan Seberang Perai Utara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kesemua suspek yang berusia lingkungan 30-an ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Kanun Keseksaan. – Bernama

Ceroboh: 18 nelayan asing ditahan



23/10/2010 6:52pm

LUMUT – Lapan belas nelayan asing ditahan ketika sedang menangkap ikan di perairan Pulau Jarak, dekat sini semalam.
Kesemua rakyat Indonesia yang menggunakan dua bot jaring itu ditahan pada pukul 11 pagi dan 12 tengah hari oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana menangkap ikan dalam perairan negara.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 3 (DM 3), Kpt Maritim Ang Cheng Hwa berkata, dalam kejadian pertama, sebuah bot dengan sembilan nelayan berumur antara 19 dan 40 tahun ditahan kira-kira 35 batu nautika dari tenggara Pulau Jarak.
Sejam selepas itu, sebuah lagi bot dikesan pada kedudukan 36 batu nautika dari tenggara Pulau Jarak, kepada pemberita di pejabat APMM DM 3 di sini hari ini.
Bot KM Mitra Jaya yang berpangkalan di Tanjung Balai itu dinaiki sembilan nelayan Indonesia berumur antara 18 dan 53 tahun, katanya.
Cheng Hwa berkata, dua tekong dan 16 orang awak-awak kedua-dua bot terbabit ditahan selepas gagal menunjukkan permit menangkap ikan yang sah di bawah Seksyen 15 Akta Perikanan 1985. – Bernama

APMM patahkan cubaan seludup diesel



23/10/2010 5:51pm

KANGAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 3,000 liter diesel bersubsidi yang disimpan dalam sebuah bot nelayan di perairan Kuala Perlis dekat sini semalam.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kepten Abdul Rahim Abdullah berkata, rampasan itu dilakukan pukul 5.10 petang selepas APMM menahan sebuah bot nelayan yang dalam keadaan mencurigakan.
Semasa ditahan bot itu sedang menghala ke perairan Thailand dan hasil pemeriksaan, anggota APMM menemui tiga tangki minyak mengandungi 3,000 liter diesel bersubsidi disyaki cuba diseludup ke negara jiran itu.
Katanya, dua awak-awak warga tempatan berumur 36 dan 48 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
"Diesel bersubsidi yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,750 telah diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut,” katanya. – Bernama

Gadis biar diri dirogol



Klang - Kerana takut motosikalnya dirosakkan, seorang gadis bersetuju membiarkan dirinya dirogol abang angkatnya di kebun kelapa sawit di Sabak Bernam, dua tahun lalu.Mangsa terpaksa bersetuju dirogol apabila lelaki itu mengugut mencabut tayar motosikal mangsa. 

Pekerja ladang itu merogol remaja itu kira-kira jam 3 petang, 18 Disember 2008, dalam kereta. 

Bagaimanapun, lelaki itu ditangkap empat jam selepas kejadian dan dihadapkan ke mahkamah. 

Pekerja ladang, Hamiruddin Abd Haris, 27, dijatuhkan hukuman penjara enam tahun kerana merogol adik angkatnya yang ketika kejadian berusia 15 tahun. 

Hakim Mahkamah Sesyen, Yong Zarida Sazali memerintah hukuman kuatkuasa semalam. 

Dalam rayuannya, Hamiruddin, memohon mahkamah mengambil kira keadaannya yang miskin dan ayahnya yang sakit. 

Hamiruddin disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noorbaya Jamil.

Enam spesies ikan dilindungi dirampas



23/10/2010 6:20pm

TAWAU – Jabatan Perikanan Sabah berjaya merampas enam spesies ikan yang dilindungi termasuk ikan mameng yang diharamkan untuk eksport, di Lapangan Terbang Tawau hari ini, dipercayai cuba diseludup ke Hong Kong.
Pegawai Perikanan Tawau, Azhar Kassim berkata, ikan-ikan bernilai RM30,000 itu ditemui hasil pemeriksaan anggotanya ke atas 26 buah kotak yang baru diturunkan dari sebuah lori yang tiba dari Semporna kira-kira pukul 7 pagi.
Pemeriksaan mendapati 21 kotak mengandungi ikan hidup dan bakinya ikan mati, dan kesemuanya tidak mempunyai permit eksport dari jabatan kami serta kastam, katanya kepada pemberita di sini.
"Pengirim itu memilih penerbangan pertama ke Kota Kinabalu untuk transit sebelum berlepas ke Hong Kong dan dijangka sampai ke negara itu menjelang petang hari ini,” katanya.
Beliau berkata, spesies ikan hidup lain yang dirampas ialah udang kara seberat 150kg, udang lipan (200 ekor), udang setak (10kg), ikan sebelah (50 ekor) dan ikan depu berbisa sebanyak tujuh ekor. – Bernama

Pangsapuri jadi makmal dadah diserbu



23/10/2010 5:57pm

GEORGETOWN – Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis heroin dengan nilai pasaran RM1 juta apabila menyerbu sebuah pangsapuri mewah di Lebuh Sungai Pinang 2, berhampiran Lebuh Raya Jelutong di sini, semalam.
Turut dirampas dalam serbuan pada pukul 11.45 pagi itu ialah peralatan memproses dadah, sepucuk pistol jenis Barreta dan satu magazine berisi 13 butir peluru.
Dengan serbuan ke atas pangsapuri yang disyaki dijadikan makmal memproses dadah itu, polis percaya berjaya melumpuhkan kegiatan memproses dadah jenis heroin, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.
Beliau berkata, turut dirampas ialah empat kenderaan iaitu Proton Waja, Proton Saga, Perodua Kenari dan motosikal, barangan kemas, seutas jam tangan, mata wang asing dan komputer riba.
"Dadah yang dirampas ialah heroin nombor 3 seberat 21 kilogram, heroin base seberat 300 gram dan kafein seberat 113 kilogram,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tun Hisan berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 40 dan 41 tahun itu kini ditahan reman sehingga Jumaat. – Bernama

Bot karam 12 hilang



23/10/2010 11:06am

MAUMERE, Indonesia 23 Okt. - Seramai 12 orang dikhuatiri masih hilang selepas sebuah bot penumpang dilaporkan tenggelam di bahagian timur perairan Indonesia semalam.
“Kami telah berjaya menyelamatkan 18 orang daripada 30 orang mangsa yang hilang,” kata ketua kumpulan mencari dan menyelamat Kupang, Herman Da Gomez.
Beliau berkata penumpang bot yang dikenali “Karya Terang” itu dilaporkan hilang selepas bot tersebut tenggelam pada pukul 4.00 petang waktu tempatan (5.00 petang waktu Malaysia) di sebabkan angin kencang di Tanjung Watumanuk, Pulau Flores sebelah timur wilayah Nusatenggara. - AFP

Pengawal keselamatan terkena tembakan rakan meninggal



23/10/2010 3:31pm



KANGAR 23 Okt. – Pengawal keselamatan yang cedera parah di perut selepas senapang milik rakannya tiba-tiba meletup sewaktu berada dalam van syarikat keselamatan kelmarin, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) malam tadi.
Zakaria Mat, 57, dari Mata Ayer, Padang Besar menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11.18 malam di sisi isteri dan enam anaknya setelah tidak sedarkan diri lebih 24 jam selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Rahman Noordin ketika dihubungi mengesahkan kematian pengawal keselamatan itu. – Utusan

Dua pelajar bakal duduki STAM maut dalam nahas



23/10/2010 6:37pm



SHAH ALAM 23 Okt. – Dua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) penghujung tahun ini maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 51, Jalan Teluk Intan-Klang di Sabak Bernam dekat sini pagi ini.
Mangsa, Amirul Asyraf Abdullah, 17, dan Muhamad Muazzam Shah Muhamad Khir, 17, kedua-dua mereka pelajar di Sekolah Menengah Agama Al-Ulum, Bagan Datoh, Perak.
Kemalangan berlaku pukul 9 pagi ketika kedua-dua pelajar itu dalam perjalanan untuk menemui seorang rakan di Sungai Nibong, Sekinchan. – Utusan

Kumpulan pengemis menuju Makkah jelang musim haji




JEDDAH/MAKKAH: Ramai pengemis dari Jeddah dan bandar berdekatan kini menuju ke Makkah dengan harapan mendapat belas kasihan para jemaah menjelang musim haji.
'Ramai pengemis setempat telah bergerak lebih awal untuk mencari tempat paling baik di luar dan sekitar Masjidil Haram,' kata Aisha, seorang pengemis rakyat Somalia, seperti ditukil akhbar Arab News.Aisha berkata ia bukan semata-mata kes pengemis ke Makkah untuk mengemis. Kini ia telah menjadi satu urus niaga bertujuan mengumpul sebanyak mungkin wang tunai.'Tempat paling berharga dan menjadi rebutan ialah di pekarangan masjid, di samping jalan raya utama menuju ke masjid dan dekat hotel dan pasar berhampiran,' kata Aisha.Katanya, dengan cuma duduk di tempat strategik seorang pengemis boleh mendapat sekitar seribu riyal ($346) tidak kira malam atau siang.Geng pengemis kadangkala menguasai seluruh kawasan seperti tempat meletak kereta bagi mendapatkan lebih banyak pendapatan.Mufti Besar Saudi mengingatkan umat Islam agar tidak mengemis dan menasihati jemaah haji supaya tidak memberi wang kepada pengemis di tepi jalan.Polis trafik bahagian pencegah pengemis kini meningkatkan rondaan untuk memberkas para pengemis. -- Agensi.

Cuaca sejuk dijangka landa China hujung minggu ini




BEIJING: Suhu di bahagian utara dan barat China diramalkan menjunam dengan banyaknya ke bawah takat beku pada hujung minggu, menurut satu kenyataan amaran yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Kebangsaan China (NMC), semalam.
Suhu di kawasan-kawasan berkenaan dijangka jatuh sebanyak 6 hingga 12 darjah Celsius, kata NMC.Ia akan membawa bersamanya suasana yang sangat sejuk ke beberapa kawasan termasuk Wilayah Autonomi Xinjiang Uygur, Wilayah Autonomi Pedalaman Mongolia, Wilayah Autonomi Ningxia Hui, dan bahagian barat kawasan timur laut China dan beberapa bahagian di wilayah Qinghai.Wilayah Gansu, Shanxi dan Hebei pula akan mengalami suhu yang menjunam hampir ke takat beku, kata pusat tersebut, seperti yang dipetik oleh agensi berita rasmi China, Xinhua News.Kejatuhan suhu yang lebih banyak, sekitar 14 hingga 16 darjah Celsius, dijangka berlaku di kawasan selatan wilayah Xinjiang, utara wilayah Ningxia, barat wilayah Gansu dan bahagian barat wilayah Pedalaman Mongolia, kata kenyataan amaran yang dikeluarkan oleh NMC itu.Pusat tersebut juga meramalkan berlakunya angin kencang dan salji di beberapa daerah, dengan salji tebal dijangka menyelimuti beberapa kawasan di Xinjiang, Pedalaman Mongolia, Ningxia, Hebei dan Shanxi, sepanjang dua hari akan datang.NMC telah menasihatkan para penduduk di kawasan-kawasan berkenaan supaya memakai pakaian lebih tebal dan menumpukan perhatian kepada laporan-laporan berita dan cuaca.Sementara itu, agensi berita Bloomberg memetik pusat berkenaan sebagai berkata, cuaca sejuk itu akan berterusan hingga Selasa ini.Akhbar The Beijing Times melaporkan bahawa pemerintah Beijing mungkin memulakan sistem pemanasan bandar itu, yang menggunakan bahan pembakar gas asli, lebih awal daripada biasa tahun ini kerana cuaca sejuk.Permintaan bagi gas di ibu kota itu dijangka bertambah lebih 20 peratus tahun ini, menurut akhbar itu. -- Agensi.

Warga berwaspada sedang jerebu melanda



Pesakit jantung kronik dinasihati kurangkan kegiatan jasmani

Oleh
Nuradilah Mahbob

SEBAHAGIAN warga Singapura mengambil sikap berwaspada bagi melindungi kesihatan mereka sedang ruang udara negara ini diselubungi jerebu.
Ada mengehadkan kegiatan jasmani di luar, sementara yang lain memutuskan tidak keluar rumah dan memantau keadaan jerebu menerusi laman Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).Cik Zuraini Mohamad yang bermain hoki dengan rakan-rakannya setiap Jumaat, misalnya, membatalkannya semalam.'Lagipun ramai daripada kami sedang selesema dan kami bimbang jerebu ini akan memburukkan keadaan,' kata Cik Zuraini, 37 tahun.Ibu tiga anak berusia dua, 12 dan 15 tahun itu menambah keluarganya juga tidak akan keluar rumah hujung minggu ini jika jerebu berterusan.Seorang anggota Perkhidmatan Negara (NS), Encik Zulhaili Suyoto, pula berkata latihan jasmaninya di luar mungkin terjejas hujung minggu ini.'Saya khuatir juga kerana ada rakan-rakan saya berpenyakit semput mengadu susah bernafas,' kata Encik Zulhaili, 23 tahun.Namun, Cik Norain Rafie, 40 tahun, dan keluarga besar kemungkinan meneruskan kegiatan hujung minggu seperti biasa tetapi akan terus mengawasi keadaan jerebu.'Buat masa ini kami rasa tidak perlu panik dan boleh teruskan kehidupan seperti biasa, tetapi kami akan lihat juga kalau keadaan jerebu bertambah buruk,' kata ibu dua anak itu.Ditanya tentang kesan-kesan jerebu, pakar perubatan kecemasan di Hospital Universiti Nasional (NUH), Dr Irwani Ibrahim, berkata mereka yang mempunyai penyakit kronik jantung dan paru-paru harus mengurangkan kegiatan jasmani apabila mutu udara kurang baik.'Pada umumnya sesetengah orang mungkin mengalami mata pedih dan gatal, batuk atau bersin. Kami juga telah melihat beberapa kes semput yang diburukkan oleh jerebu,' katanya.Namun, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) menyatakan kelmarin penerbangan di Lapangan Terbang Changi tidak terjejas oleh jerebu.CAAS menjelaskan Lapangan Terbang Changi mempunyai kemudahan dan prosedur yang membolehkan pendaratan selamat dalam keadaan paras penglihatan kurang baik.Jerebu yang melanda Singapura dan Malaysia sejak beberapa hari lalu disebabkan oleh pembakaran hutan di sekitar kepulauan Riau, Jambi dan selatan Sumatera.Semalam, Indeks Pencemaran Udara (PSI) mencecah 94 sekitar 9 hingga 10 pagi sebelum turun kepada 71 sekitar 3 petang. Paras itu menandakan mutu udara sederhana.Ini berbanding paras 108 sekitar 6 petang kelmarin - tertinggi sejak 2006 - dan menandakan mutu udara tidak sihat.PSI 0-50 menandakan mutu udara di paras sihat.Orang ramai yang ingin mengetahui paras jerebu boleh melayari laman www.weather.gov.sg danwww.nea.gov.sg/psi atau khidmat Twitter di twitter.com/neasg.Mereka boleh juga menghubungi Pusat Panggilan NEA di 1800-CALL NEA (1800- 2255-632), atau Divisyen Khidmat Kaji Cuaca, 6542-7788.

Serangan bom ragut sembilan nyawa di barat laut Pakistan




PESHAWAR: Serangan-serangan bom di barat laut Pakistan membunuh sembilan orang semalam, termasuk tiga jemaah di sebuah masjid dan sekumpulan askar yang sedang meronda sebuah kawasan tentera yang pernah diserang selama sebulan pada awal tahun ini.
Serangan-serangan itu menunjukkan kerapuhan usaha pihak tentera Pakistan terhadap kumpulan Al-Qaeda dan Taleban di sepanjang sempadan negara itu dengan Afghanistan.Dalam serangan pertama, sebutir bom di jalan raya meledakkan sebuah kenderaan yang membawa sekumpulan anggota separuh tentera di wilayah puak Orakzai - kawasan di mana pihak tentera mengisytiharkan kemenangan ke atas Taleban baru-baru ini.Letupan itu membunuh enam askar, termasuk seorang leftenan kolonel dan mencederakan tiga lagi, kata para pegawai, atas syarat nama mereka tidak didedahkan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.Selang beberapa jam kemudian, sebuah bom meletup dekat sebuah masjid di sekitaran Peshawar, ibu kota wilayah barat laut Pakistan.Selain tiga yang terbunuh, 22 lagi cedera, kata pegawai kanan polis, Encik Liquat Ali.Tidak jelas sama ada masjid itu adalah masjid puak Sunni atau Syiah.Letupan itu berlaku semasa solat Jumaat.Sementara itu, dalam satu perkembangan lain di Washington, Amerika Syarikat merancang mendapatkan sokongan awam bagi membantu Pakistan semalam, termasuk bantuan ketenteraan baru, sedang ia cuba mengimbangi hubungannya yang semakin kukuh dengan India.Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, semalam dijangka memimpin satu 'dialog strategik' dengan Pakistan - satu daya usaha pentadbiran Presiden Barack Obama. -- AP, AFP.

Polis Filipina syak JI dalang letupan bom di bas




BANDAR DAVAO (Filipina): Polis Filipina berkata semalam serangan bom dalam bas penumpang yang menyebabkan 10 orang mati dan 30 cedera kelmarin didalangi sarang setempat kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Satu pasukan penyiasat polis, Pasukan Petugas Luar Bandar, telah dibentuk bagi menyiasat dakwaan bahawa cawangan setempat JI terlibat dalam serangan di bandar Matalam, dalam wilayah Cotabato Utara di pulau Mindanao, itu.Ketua polis wilayah, Superintenden Kanan Cornelio Salinas, memberitahu pemberita polis kini melancarkan operasi susulan terhadap suspek serangan itu.'Kami tidak boleh mendedahkan identiti suspek agar ia tidak menjejas operasi kami,' kata beliau, sebagaimana ditukil agensi berita Xinhua semalam.Namun, seorang jurucakap tentera wilayah, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang, berkata serangan itu mungkin dilakukan kumpulan pemeras ugut setempat.Ini kerana serangan bom terhadap bas dan pengangkutan lain di wilayah itu sebelum ini pernah dikaitkan dengan geng yang memeras ugut wang daripada pengendali pengangkutan.Leftenan Kolonel Cabangbang menolak spekulasi bahawa Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mendalangi serangan itu.'Tidak mungkin MILF terlibat. Kami sekarang menumpukan perhatian terhadap peras ugut sebagai motif utama,' kata beliau, menurut laporan AFP semalam.Ekoran serangan itu pemerintah Filipina telah meningkat langkah keselamatan di selatan negara itu.Pemeriksaan ketat kini dijalankan di perhentian dan terminal bas serta pusat pemeriksaan di tengah Mindanao, kata panglima Divisyen Infantri ke-6, Mejar Jeneral Anthony Alcantara.'Sebenarnya sejak minggu lepas kami sudah mengarahkan semua unit supaya lebih berjaga-jaga dengan mengadakan sekatan jalan dan pemeriksaan bagasi,' kata Leftenan Kolonel Cabangbang.'Kami juga mengarahkan panglima dan unit tentera mengadakan penyelarasan dengan pengendali bas. Ini bagi membolehkan mereka menaiki bas dan memeriksa bagasi penumpang,' - AFP.

138 mati dan 1,520 sakit disyaki akibat kolera di Haiti


DEMAM: Seorang wanita demam duduk di kaki lima di luar sebuah kemudahan perubatan di kejiranan Saint-Marc kelmarin, sedang Haiti dilanda wabak disyaki kolera. -- Foto AFP

Penyakit dikhuatiri jangkiti lebih ramai orang


PORT-AU-PRINCE (Haiti): Hampir 140 orang mati di Haiti akibat wabak disyaki kolera, kata pegawai kesihatan kelmarin.
Pegawai Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) berkata pihak berkuasa kesihatan Haiti memberitahu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai 138 kematian dan 1,526 kes sejauh ini di wilayah Hilir Artibonite, ke utara ibu kota Port-au- Prince.Beberapa kes turut dilaporkan di kawasan Dataran Tinggi Tengah.Hospital St. Nicholas di bandar Saint-Marc penuh sesak dengan pesakit mengalami cirit-birit dan mayat mereka yang mati akibat dehidrasi, kata pegawai Haiti.Pasukan perubatan daripada operasi bantuan antarabangsa yang membantu mangsa gempa bumi Haiti sejak 12 Januari lalu turut dihantar ke kawasan yang dilanda wabak di bandar itu.Namun WHO dan PBB belum dapat mengesahkan kolera punca penyakit itu kerana masih menunggu ujian makmal ke atas sampel yang diambil daripada mereka yang sakit atau mati, kata jurucakap bantuan kemanusiaan PBB di Haiti, Encik Imogen Wall.Awal dari itu, ketua pengarah Jabatan Kesihatan Haiti, Dr Gabriel Thimote, dan Menteri Kesihatan, Encik Alex Larsen, berkata ujian awal menunjukkan ia kolera.'Daripada 15 contoh yang diuji, 13 membuat kami percaya ia kolera,' kata Dr Thimote.Menurutnya, pesakit datang daripada pelbagai peringkat umur, tetapi paling ramai ialah kanak-kanak dan orang tua.Sejauh ini tiada wabak dilaporkan di Port-au-Prince. Kawasan terjejas teruk ialah Douin, Marchand Dessalines dan Saint-Marc, kata Dr Thimote.Kolera sejenis penyakit yang disebar menerusi air dan makanan tercemar. Ia menyebabkan cirit-birit dan boleh membawa maut dalam masa beberapa jam jika tidak dirawat segera.Sementara menunggu hasil ujian, para pegawai Pertubuhan Kesihatan Pan-Amerika (Paho) dan Pejabat Penyelaras Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha) mengaitkan punca kematian kepada 'cirit- birit teruk'.Timbalan pengarah Ocha bagi Haiti, Cik Catherine Huck, berkata: 'Apa yang kami tahu ialah penduduk mengalami cirit-birit. Mereka muntah-muntah dan akan mati jika tidak dirawat segera.'Presiden Persatuan Perubatan Haiti, Encik Claude Surena, berkata: 'Kami bimbang penyakit ini (kolera) boleh merebak dari tempat ke tempat. Ia boleh menjangkiti lebih ramai orang atau merebak dari satu kawasan ke kawasan lain.'Di hospital, sesetengah pesakit berkata mereka jatuh sakit selepas minum air dari sebuah terusan awam. -- AP, Reuters.

Tumpas cubaan seludup 532 tayar lori ke Thailand



KLANG – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor mematahkan cubaan menyeludup tayar lori baru dengan menyeleweng pemindahan borang kastam dalam dua serbuan berasingan di Puchong dan Kajang, Rabu lalu. 

Dalam serbuan itu, Bahagian Penguatkuasaan KDRM mengintip dua kontena dari China membawa dagangan bercukai iaitu tayar lori untuk di hantar ke Padang Besar Perlis sebelum di eksport ke Thailand menggunakan borang Kastam 8 yang membolehkan pengeksport tidak perlu bayar cukai kerana hanya menggunakan negara ini sebagai transit. 

Namun, sebaliknya berlaku, apabila kedua-dua kontena yang berada di sebuah Gudang Berlesen Awam (GBA) di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, tidak di bawa ke Padang Besar, Perlis, sebaliknya dilencong ke kawasan perindustrian Bandar Bukit Puchong dan juga kawasan perindustrian Sg Chua, Kajang. 

Dalam serbuan pertama, kontena pertama diekori dari GBA kira-kira jam 6 petang dan jam 8 malam, kontena itu didapati berhenti di kawasan perindustrian Bandar Bukit Puchong dan sekumpulan lelaki memunggah keluar dagangan itu dengan memecahkan sil kastam di kontena terbabit. 

Manakala, dalam serbuan di kawasan perindustrian Sg Chua pula, kontena kedua didapati keluar dari GBA dan ke kawasan terbabit kira-kira jam 3.30 petang dan 9.10 malam, barangan dagangan dalam kontena itu dipunggah dan sil kastam dipecahkan. 

Penolong Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Bahagian Penguatkuasaan), Datuk Ismail Ibrahim berkata, sil kastam digunakan apabila negara ini dijadikan transit untuk pengeksport membawa barangan dagangan ke luar terutama ke Thailand menggunakan jalan darat tanpa perlu membayar cukai dan sil itu hanya akan dipecahkan di pintu sempadan oleh KDRM di Padang Besar. 

“Namun, dalam kejadian ini barangan itu tidak di bawa ke pintu sempadan sebaliknya dipindahkan dalam negara oleh sindiket dipercayai untuk mengelak daripada membayar cukai. 

“Dalam kedua-dua serbuan, seramai 12 individu berusia antara 23 tahun dan 51 tahun termasuk lapan warga asing ditahan dan sebanyak 532 biji tayar lori baru bernilai RM206,300 membabitkan cukai sebanyak RM111,342 dirampas,” katanya pada sidang media di KDRM Pelabuhan Utara, di sini, semalam. 

Menurutnya, selain itu, dua pemilik gudang juga turut ditahan bagi membantu siasatan dan usaha giat dijalankan bagi memburu anggota sindiket yang lain.

Polis cari dua saksi kes bunuh




MELAKA - Polis Melaka mencari dua saksi utama untuk hadir perbicaraan mahkamah membabitkan kes pembunuhan seorang pemilik kedai snuker di Kelemak, Alor Gajah, dekat sini, dua tahun lalu. 

Saksi berkenaan, K Thanaseelan, 22, bernombor kad pengenalan 880529-30-5049 dan alamat terakhir No 7720 Jalan Kenanga, Taman Seri Kelemak, Alor Gajah. 

Manakala seorang lagi, G Ramachandran bernombor kad pengenalan 860820-56-5489 dan alamat terakhir di No. 18 Rumah Panjang Kampung Bunga Raya, Kampung Baru Subang, Shah Alam. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri, Supritendan R Gunarajan berkata, kedua saksi berkenaan gagal dikesan apabila menghilangkan diri sejak beberapa bulan lalu. 

“Saksi ini diminta hadir perbicaraan yang dijadualkan pada 25 hingga 29 Oktober ini di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh,” katanya pada sidang media di IPK negeri, dekat sini, semalam. 

Gunarajan berkata, saksi terbabit dipercayai berada di luar Negeri Melaka. 

“Orang ramai yang mengenali atau mengetahui saksi atau saksi sendiri yang membaca kenyataan ini, sila hubungi pegawai penyiasat, Cif Inspektor Abd Rashid Idris di talian 012-603 9499 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-556 3222,” katanya.

Wang palsu RM100 untuk beli surat khabar RM1



JITRA - Meskipun kurang upaya, Fazim Yusof, 56, tetap mahu berdikari dan tidak mahu berpeluk tubuh mengharap bantuan sesiapa termasuk kerajaan. 

Sejak 21 tahun lalu, dia menjalankan perniagaan surat khabar di sini. Sepanjang tempoh itu, Fazim tidak pernah ditipu. 

Namun nasibnya tidak sebaik biasa petang Isnin lalu. 

Kira-kira jam 2 petang, dia didatangi seorang anak muda yang kelihatan sihat walafiat menyerahkannya not RM100 untuk membeli senaskhah surat khabar berharga RM100. 

“Saya tidak ada pilihan kerana dia beli surat khabar, terpaksalah saya tukarkan kepadanya RM99,” kata Fazim. 

Fazim berkata, sejurus anak muda itu berlalu, barulah dia tersedar rupa-rupanya not RM100 yang diberi itu wang palsu.

Lari lintang pukang




NILAI - Sekumpulan lelaki Islam yang sedang leka menikmati minuman keras di sebuah pusat hiburan dan karaoke, dekat sini terkejut dan lari lintang pukang selepas menyedari kehadi-ran anggota penguat kuasa, malam kelmarin. 

Bagaimanapun, tinda-kan mereka meloloskan diri daripada dicekup tidak membuahkan hasil apabila pintu keluar pusat hiburan itu sudah dikepung anggota penguat kuasa terbabit. 

Operasi bermula 10.30 malam itu dijalankan Bahagian Penguat kuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Majlis Keselamatan Negara membabitkan 40 anggota penguat kuasa.

Remaja lelaki maut berebut alat kawalan jauh TV dengan adik



KUANTAN - Gara-gara berebutkan alat kawalan jauh televisyen dengan adik, seorang pelajar lelaki Maahad Tahfiz Batu 4 di sini, menemui ajal selepas tercetus pertengkaran dengan saudaranya di Taman Balok Baru di sini, 4.30 petang semalam. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Mohd Haris Daud berkata, sebelum kejadian, mangsa, Naili Nafiz Zakaria, 14, dipercayai bertengkar dengan adik perempuannya berusia lima tahun yang berebut mahu menonton siaran pilihan masing-masing di televisyen. 

Bercakap kepada pemberita, Mohd Haris berkata, seorang saudara mangsa yang melihat pertengkaran itu dikatakan segera campur tangan sambil mengacah membaling serpihan kaca tingkap yang terdapat di depan pintu, kepada mangsa. 

Mohd Haris berkata, serpihan kaca berkenaan tiba-tiba terlepas dari tangan dan terkena paha kanan mangsa yang menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak. 

Menurut Mohd Haris mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Balok di sini oleh jirannya sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.40 petang ketika sedang mendapatkan rawatan. 

Katanya ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah. 

Jezanah mangsa yang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dituntut oleh ahli keluarganya malam tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Balok kira-kira 9 pagi ini.

Lelaki terbunuh dalam kejadian pergaduhan



IPOH - Seorang lelaki terbunuh selepas diserang sekumpulan lelaki dalam satu pergaduhan di Taman Klebang Ria, di sini, malam tadi.

Mangsa Abdul Rasid Ramesh Abdullah, 31, yang mengalami kecederaan parah di badan meninggal dunia sejurus selepas menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 12.05 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata, mangsa yang tinggal di Taman Klebang, Chemur dikatakan terlibat dalam satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan di taman berkenaan pada 11 malam.

Pihak polis yang menerima laporan daripada orang awam berhubung kes pergaduhan itu, bagaimanapun gagal menemui mereka kerana telah menghilangkan diri, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Azisman berkata, polis dimaklumkan mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dan meninggal dunia ketika dalam rawatan.

Motif kejadian dan punca kematian masih belum diketahui dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat hospital, katanya.

Setakat ini polis belum membuat sebarang tangkapan dan sedang menyiasat kejadian tersebut dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan.

Kes tersebut di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, seorang pelajar terbunuh selepas di hempap lori membawa muatan ayam di simpang empat lampu Isyarat Jalan Kuala Lumpur-Bidor malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 11.54 malam tadi Mohamad Azmin Abdul Rahim, 17, berasal dari Bidor.

Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Bidor untuk bedah siasat, katanya.

Ketika kejadian mangsa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sheikh Abdul Ghani, Bidor dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya apabila motosikal yang ditunggangnya berhenti di lampu isyarat warna merah simpang empat.

Pada masa sama, sebuah lori yang mengekorinya dari belakang kemudian menghempapnya selepas lori berkenaan dikatakan dirempuh dari belakang oleh sebuah treler.

Pemandu lori dan treler hanya cedera ringan dan polis menahan mereka untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin, katanya.

Sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah lori berkenaan.

Ugut bunuh kerana cemburu



TEMERLOH - Seorang guru tuisyen terkejut selepas menerima nota ancaman yang disertakan bersama satu kelongsong peluru M16 pada sebuah van milik pusat tuisyennya di Mentakab, kira-kira jam 3.30 pagi kelmarin.

Sebelum itu, guru berkenaan juga dikejutkan dengan kebakaran kecil di tangga pusat tuisyen terbabit dipercayai akibat perbuatan khianat individu sama yang menghantar nota ancaman tersebut. 

Guru berkenaan kemudiannya menghubungi bomba yang bertindak memadamkan kebakaran, sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis. 

Siasatan polis kemudiannya berjaya menahan seorang lelaki pada jam 11.30 pagi, hari yang sama di sebuah rumah di Taman Bukit Bendera Intan, Mentakab. 

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, suspek berusia 19 tahun itu melakukan ugutan tersebut, dipercayai bermotifkan cemburu terhadap guru berkenaan. 

Menurutnya, rumah yang menjadi pusat tuisyen itu adalah tempat di mana teman wanitanya berusia 17 tahun belajar dengan guru berkenaan yang juga berusia 19 tahun. 

“Suspek membakar tayar kereta yang dibawanya sehingga menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian tangga dan merosakkan suis elektrik utama rumah tersebut. 

“Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, guru terbabit ternampak tulisan Cina yang ditulis pada kertas A4 yang diletakkan pada cermin keretanya. 

“Tulisan yang diterjemahkan dalam Bahasa Melayu bermaksud ‘Saya harap kamu masih hidup dan bernasib baik dapat jumpa keluarga kamu’ dan satu lagi tulisan yang ditulis melintang bermaksud ‘mati'," katanya kepada media di sini, semalam. 

Mohd Nor berkata, selain surat ugutan, mangsa juga menemui satu sampul surat yang mengandungi satu kelongsong peluru kapur M16. 

“Suspek memberitahu dia mengambil kelongsong peluru kapur yang digunakan tentera semasa menjalani latihan di lapang sasar berhampiran rumahnya. 

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 507/436 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan secara bersembunyi dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mati tergantung




PADANG BUAL - Seorang remaja lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung pada bahagian anjung luar dapur rumahnya di Kampung Padang Bual, Hulu Besut, pagi semalam. 

Mayat remaja berusia 17 tahun itu ditemui ibunya, kira-kira jam 6 pagi sebelum memaklumkan kepada suaminya, 48. 

Bapa mangsa berkata, kali terakhir dia menemui anaknya malam kelmarin dan dia ketika itu tidak menunjukkan sebarang tingkah laku aneh. 

“Kira-kira jam 8 malam kelmarin, dia makan nasi di rumah sebelum datang rakannya mengajak keluar. Selepas itu saya tidak pasti dia ke mana dan pulang jam berapa. 

“Kira-kira jam 10.30 hingga 11 malam selepas saya anak beranak masuk tidur dan padam lampu, kami terdengar seperti bumbung rumah bergegar dan kami menyangkanya tikus,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori. 

Remaja itu, anak kelima daripada sembilan beradik bekerja di tapak projek Empangan Paya Peda di sini tidak mengalami sebarang masalah, malah agak rapat dengan ibunya. 

Bapanya berkata, mayat anaknya hanya ditemui tergantung dalam keadaan lehernya terjerut dengan tali nilon ampaian di luar dapur rumah ibunya. 

Mayat dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk urusan pengebumian. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyifatkan kematian remaja tersebut tidak ada unsur jenayah. 

Bedah siasat mendapati, mangsa meninggal dunia akibat lemas kerana jerutan pada lehernya.

Empat kampung bergelap



KOTA BHARU - Lebih 50 keluarga di empat kampung dekat Tiong, di sini merungut ekoran masalah bekalan elektrik yang dihadapi mereka sejak 10 hari lalu masih belum berakhir. 

Penduduk di kawasan Kampung Tiong Dalam, Tunjong Dalam, Pulau Tebu dan sebahagian di Kubang Kachang kini semakin rimas dengan keadaan tersebut kerana ia menyebabkan urusan seharian terganggu malah peralatan elektrik turut rosak. 

Seorang penduduk, Dzolkiffli Ab Muttalib, 41, berkata sebelum ini penduduk di kawasan berkenaan pernah mengalami masalah yang sama dan sekarang ia kembali berulang menghantui mereka. 

“Sejak bekalan elektrik di kawasan terganggu, banyak barangan elektrik di rumah saya rosak seperti mesin penapis air, enjin air termasuk juga lampu rumah. 

“Bagi mengelak barangan yang lain turut rosak pada sebelah malam, saya terpaksa menutup suis peti sejuk kerana bekalan elektrik tidak diterima dengan sempurna,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. 

Seorang penduduk lain Lijah Musa, 68, berkata, jika mengharapkan bekalan elektrik rumahnya akan bergelap sepanjang malam dan dia terpaksa menggunakan lilin sejak sepuluh hari lalu. 

“Hanya sebiji mentol sahaja yang nyala dan lampu-lampu lain tidak berfungsi kerana bekalan elektrik tidak mencukupi,” katanya. 

Seorang suri rumah pula, Norazlin Md Ramli, 36 berkata, dia sangat tidak selesa dengan keadaan ini dan ia juga berisiko untuk mendapat kecelakaan kerana sebelum ini lilin yang dipasangnya pernah jatuh tetapi bernasib baik setelah kami menyedarinya. 

“Langsir dan beberapa buku anak hangus akibat lilin terjatuh dan jika saya tidak mendengar jeritan anak sudah pasti rumah kami akan terbakar,” katanya. 

Mek Yakob, 56, berkata, dia juga menerima nasib sama kerana sejak menghadapi gangguan tersebut, ada kelengkapan elektrik seperti mesin membasuh dan lampu mengalami rosak. 

“Kami mengharapkan pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera kerana aduan sudah dibuat dan kami meminta jasa baik pihak TNB supaya keadaan ini tidak berpanjangan sehingga mengganggu aktiviti harian kami,” katanya. 

Bagi Zulfahmi Idris, 32, pula dia memberitahu kerja-kerja pejabatnya juga terganggu kerana komputer yang berada di rumahnya rosak sejak masalah itu berlaku. 

“Saya bekerja sebagai kerani dan ada kerja penting yang memerlukan ia dilakukan di rumah tetapi sekarang ia lebih merumitkan saya kerana komputer rosak dan bekalan elektrik kadang-kadang tidak ada,” katanya. 

Sementara itu, Pengurus Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kota Bharu, Zainal Abidin Osman ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada penduduk kampung terlibat. 

Menurutnya, gangguan berkenaan berlaku disebabkan terdapat kerosakan pada kabel dan pihaknya sudah membaiki tetapi ia kembali rosak selepas beberapa hari dibaiki. 

“Kini pihak TNB masih membaikinya dan kita juga terpaksa menggunakan bekalan tenaga elektrik sokongan daripada pencawang lain yang jauh menyebabkan bekalannya tidak diterima sepenuhnya. 

“Kami berharap penduduk dapat bersabar dan dijangka dalam tempoh beberapa hari ini ia akan dapat diselesaikan kerana pihak TNB akan menggantikan kabel baru,” katanya.

Padah lintas jalan



SELAYANG – Keberanian melintas jalan utama penuh sesak di Jalan Ipoh, arah antara Kuala Lumpur-Rawang, di sini membawa padah kepada seorang datuk bersama cucunya apabila dilanggar kereta. 

Dalam kejadian 7.45 petang kelmarin itu, mangsa dipercayai keturunan Myanmar maut di tempat kejadian, manakala cucunya berusia dua tahun parah setelah melekat di cermin kenderaan jenis Honda dipandu seorang lelaki berusia awal 20-an. 

Menceritakan detik insiden, saksi kejadian, Ashraf Azuan Wan Bahador, 17, berkata, ketika itu dia baru pulang dari pusat tuisyen dengan jarak kira-kira 300 meter, terdengar bunyi kuat dari tempat kejadian. 

Katanya, serentak itu dia datang melihat kejadian berlaku dan ketika sampai didapati seorang lelaki dewasa sedang terbaring di lorong kanan jalan (arah ke Rawang), manakala seorang kanak-kanak lelaki seakan melekat di cermin kereta. 

“Semasa melanggar, kereta itu bergerak dan berhenti kira-kira 100 meter dari tempat lelaki itu jatuh. Kemudian saya nampak lelaki Cina berusia lingkungan awal 20-an keluar dari kereta dan meraung melihat keadaan kanak-kanak di cermin keretanya. 

“Keadaan kanak-kanak itu ketika itu terlentang di cermin kereta, dengan sebahagian bahagian belakang kepala menembusi cermin kereta retak itu,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin. 

Menurut Ashraf, beberapa minit kemudian, kenderaan dari Hospital Selayang datang dan membawa kanak-kanak itu menaiki ambulans. 

Sementara itu, seorang lagi saksi, Mahmood Khan, 35, berkata, mangsa adalah rakan senegaranya dari Myanmar sudah tinggal di sini sejak kira-kira 15 tahun lalu. 

“Dia (mangsa) bekerja di Pasar Borong Selayang, manakala isterinya bekerja di pasaraya dibuka 24 jam berhadapan Warta Lama, di sini dan mereka memang sering menjaga cucu. 

“Mangsa berusia lewat 50-an bersama cucunya mahu pulang ke rumah di Flat Desa Bakti selepas berjumpa dengan isterinya ketika itu sedang bekerja di pasaraya,” katanya. 

Menurut Mahmood, selama mengenali lelaki itu dia mengetahui sedikit sebanyak latar belakang mangsa, di mana ada antara anaknya berkahwin dengan orang tempatan dari Terengganu. 

Katanya, jalan itu mempunyai tiga lorong bagi kedua-dua hala ke Rawang dan Kuala Lumpur itu kebiasaannya digunakan untuk melintas jalan bagi orang Myanmar bekerja di Pasar Borong Selayang. 

“Jalan ini memang berbahaya kerana boleh dikatakan sebulan sekali pasti ada kemalangan membabitkan orang melintas. 

“Tetapi kita terutama dari Taman Desa Bakti terpaksa gunakan laluan ini kerana ia salah satu jalan pintas yang ada. Jika ikut jejantas agak jauh,” katanya.

Lima rumah dijilat api


CARI...mangsa kebakaran mencari barang di rumah yang hangus, semalam.
CARI...mangsa kebakaran mencari barang di rumah yang hangus, semalam.
KUALA LUMPUR: “Api merebak pantas dan tiada apa yang dapat diselamatkan,” kata Muhammad Rosdi, 42, seorang daripada lima keluarga yang kehilangan rumah akibat kebakaran di Setapak, di sini, semalam.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, tiada orang di rumahnya kerana dia dan isteri keluar bekerja.

“Saya hanya tahu mengenai kebakaran itu selepas dimaklumkan jiran sebelum bergegas pulang. Sebaik pulang, saya melihat rumah terbakar,” katanya.


Dalam kejadian di Kampung Seavoy, Jalan Sekolah Setapak di sini, lima rumah setinggan yang terletak berhampiran hangus dijilat api.

Ketua Balai Bomba Setapak, Yunus Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan awal pada jam 11.16 pagi sebelum tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.

Katanya, lima jentera dari Balai Bomba Setapak, Jelatek, Chow Kit dan dua dari Jalan Hang Tuah dihantar ke tempat kejadian bagi memadankan kebakaran itu.

“Setibanya di kawasan itu, api marak dan kami mengawal kebakaran dari merebak ke rumah lain.

“Keadaan rumah yang terlalu hampir dan bumbung yang bersambung menyebabkan api mudah marak. Kami berjaya mengawal kebakaran pada jam 11.37 pagi,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian berkenaan tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.

Katanya, kawasan penempatan setinggan itu berisiko tinggi jika berlaku kebakaran memandangkan tiada spesifikasi keselamatan.

Dihempap papan tanda

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori maut apabila sebuah papan tanda arah jalan di Kilometer 446.2 Lebuh raya Utara-Selatan (Plus) berdekatan susur masuk Lebuhraya Guthrie, dekat sini, menghempapnya sebaik dilanggar sebuah lori lain dari arah bertentangan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Danial Mohamed Yasin, 43, berasal dari Taman Ehsan, Ipoh, yang dalam perjalanan dari utara ke Kuala Lumpur maut di tempat kejadian sebaik dihempap papan tanda dianggarkan seberat 20 tan itu.

Ketua Trafik Selangor Superintendan Che Husin Omar, berkata siasatan awal polis mendapati lori yang merempuh papan tanda berkenaan bergesel sebuah kereta lain sebelum terbabas.


“Lori mangsa yang membawa peralatan pembinaan itu gagal mengelak sebelum bahagian pemandu lori berkenaan dihempap papan tanda yang jatuh itu,” katanya.

Aida tekad lapor polis

JAKARTA: Selepas gagal bertemu pendakwah terkenal Indonesia, Zainuddin MZ pada Selasa lalu, Aida Saskia kini mendakwa dia mengambil sikap pasrah.
Katanya, walaupun dijanjikan untuk bersemuka dengan tokoh bergelar Pendakwah Sejuta Umat itu, Aida, 25, kecewa apabila ia tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, dia dijanjikan tarikh lain untuk menyempurnakan hajatnya.

“Saya bukan cakap sembarangan. Pertemuan yang sepatutnya diadakan Selasa lalu ditunda, tapi jika memang beliau kesempitan masa, kita tunggu kesempatan lain,” katanya kepada media, semalam.

Dengan kegagalan itu, Aida - penyanyi dangdut yang terkenal dengan lagu Ayam Jago - turut memikirkan tindakan lanjut jika isu dakwaannya dirogol pendakwah itu gagal diselesaikan.

Kata Aida, jika sehingga Isnin ini dia masih tidak diberi peluang bersemuka dengan Zainuddin, penyanyi itu akan mengadu kepada polis.
“Sebelum ini saya pernah berjanji untuk bertindak mengikut undang-undang.

“Justeru, merujuk kes ini kepada polis adalah satu daripada langkah yang diambil,” katanya.

Sementara itu, di mana Pendakwah Sejuta Umat itu berada ketika ini masih belum dapat dipastikan kerana rumahnya dikatakan kosong.

Malah, Aida sendiri mengaku dia tidak tahu kedudukan Zainuddin.

“Saya adalah pihak yang menunggu dan kita lihat sama-sama nanti jika beliau memang berniat baik,” katanya. - Agensi

Rampasan mercun terbesar





2010/10/23

TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan mercun terbesar tahun ini susulan kejayaan merampas bahan letupan berkenaan bernilai RM755,400 dalam dua serbuan berasingan dekat sini, petang semalam. 

Dalam serbuan pertama, pasukan itu menahan sebuah lori membawa 109 kotak besar mengandungi pelbagai jenis mercun bernilai RM562,600 selain kira-kira 30 guni memuatkan pakaian terpakai di kawasan Chabang Empat Tok Mek Ngah, pada jam 4.30 petang.
Menerusi serbuan kedua pula, pihak berkuasa itu merampas 21 kotak besar mengandungi pelbagai jenis mercun bernilai RM192,800 yang disimpan dalam sebuah stor di Kampung Telaga Lanas, jam 6.15 petang.
Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Rooslan Radzi, berkata semua mercun dirampas itu dipercayai untuk pasaran Lembah Klang sempena Tahun Baru Cina dan Aidiladha.