Search This Blog

Friday, October 22, 2010

Enam ditahan kes samun empat jentolak

KUALA LUMPUR: Enam lelaki ditahan dalam serbuan berasingan di Kajang, Cheras, Semenyih dan Taman Damai berhubung kes samun empat jentolak pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisoner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, kejadian samun pada jam 3 pagi itu berlaku di sebuah syarikat pembinaan di Bukit Damansara apabila antara tujuh dan lapan lelaki memasuki stor yang dijaga seorang warga Bangladesh. "Penjaga stor itu kemudian diikat kedua-dua tangannya sebelum kesemua suspek melarikan empat buah jentolak itu yang bernilai RM600,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan kesemua suspek terbabit yang berumur 22 dan 51 di rumah mereka masing-masing.

Hasil penahanan kesemua suspek itu, polis telah menemui dua daripada empat jentera itu di hadapan rumah seorang daripada mereka.-Bernama

Pemain bola sepak Nigeria dihukum mati kerana edar heroin

SHAH ALAM: Seorang pemain bola sepak dari Nigeria yang menjadi pengedar dadah dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 530.14 gram heroin di Puchong, dekat sini, tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Danny Phiri, 25, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit apartmen bernombor Blok A-3A-08, Koi Tropikana, Batu 3 Jalan Puchong, Puchong, pada pukul 12.35 tengah malam, 15 Mei, 2009.

Menurut fakta kes, atas maklumat awam, polis menyerbu rumah itu dan menemui 530 gram heroin dalam sebuah beg plastik di sebuah bilik serta 0.14 gram heroin yang disembunyikan dalam sebuah bingkai foto di ruang tamu rumah tersebut.

Polis kemudian menahan tertuduh bersama teman wanitanya, seorang warga Filipina, di rumah berkenaan.

Mahkamah diberitahu bahawa Danny berada di Malaysia sejak 2008 untuk mencari kelab bola sepak yang sesuai tetapi terperangkap dengan sindiket dadah selepas digoda oleh seorang rakan senegaranya.

Ketika perbicaraan, teman wanita Filipina berusia 24 tahun itu menjadi saksi utama pendakwaan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alfred Egin manakala tertuduh diwakili oleh peguam K.A.Ramu.-Bernama

Parah terkena peluru penabur

KANGAR: Seorang pengawal keselamatan panik apabila tertembak rakan sendiri ketika menunjukkan aksi menggunakan senjata api jenis Pump Gun yang dibawanya di dalam van keselamatan yang dinaiki bersama mangsa, semalam.
Mangsa dikenali Zakaria Mat, 57, berasal dari Mata Ayer cedera parah di bahagian perut akibat terkena peluru penabur senjata api milik rakannya ketika dalam perjalanan menghantar wang ke sebuah bank, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Kejadian itu menyebabkan van keselamatan itu yang sepatutnya menuju ke bank, diubah haluan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, apabila mangsa mengerang kesakitan terkena tembakan itu.

Mangsa dikatakan sudah dua tahun berkhidmat sebagai pengawal keselamatan sebuah syarikat di Kangar, dilaporkan stabil, walaupun mengalami berbelas kesan luka di perut akibat kesan tembakan peluru penabur itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan berkata pihaknya menahan rakan mangsa berusia 50 tahun selepas hadir untuk membuat laporan berhubung kejadian berkenaan di Balai Polis Kangar, di sini, sejurus selepas kejadian.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya merampas senjata api itu dan menahan van keselamatan dinaiki mereka untuk siasatan lanjut.
Berdasarkan laporan, katanya, pengawal keselamatan itu secara tidak sengaja tertekan picu senjata berkenaan hingga menyebabkan rakannya yang berada dalam van cedera parah di bahagian perut.

Pendakwa tuntut ulama kahwin budak 12 tahun dihukum penjara

UNGARAN (Indonesia): Pendakwa raya semalam menuntut seorang ulama kaya yang berkahwin dengan seorang budak berusia 12 tahun dihukum penjara enam tahun atas tuduhan mencabul kanak-kanak.
Pujiono Cahyo Widiyanto, 45, dari Semarang, Jawa Tengah, mencetuskan kontroversi apabila berkahwin dengan kanak-kanak dari keluarga miskin itu, Lutfiana Ulfa.

“Kami mengesyorkan supaya dia dipenjara enam tahun. Beliau terbukti bersalah mencabul secara seksual kaum wanita, khususnya kanak-kanak bawah umur itu,” kata pendakwa raya, Suningsih.

“Sebagai pemilik sebuah sekolah agama, Pujiono tidak menunjukkan contoh yang baik,” katanya.

Pujiono yang juga terkenal dengan panggilan Sheikh Puji, mengahwini Lutfiana pada Ogos 2008.

Beliau mempertahankan perkahwinan itu, yang kedua baginya, dengan berkata kanak-kanak itu sudah cukup umur.
Pujiono juga berkata, perkahwinan itu sah di sisi Islam tetapi pengkritiknya berkata, beliau perlu mematuhi undang-undang negara yang menetapkan 16 tahun sebagai usia minimum untuk berkahwin.

Indonesia mempunyai undang-undang tegas berhubung kesalahan seks dengan kanak-kanak tetapi perkahwinan yang tidak didaftarkan atau dilakukan secara tidak rasmi antara lelaki tua dengan gadis bawah umur adalah perkara biasa di kawasan pedalaman. - AFP

Limarumah setinggan terbakar di Setapak

KUALA LUMPUR: Seramai 19 orang dari tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila lima buah rumah setinggan termasuk dua yang tidak berpenghuni di Setapak musnah dijilat api dalam satu kebakaran pagi tadi.
Pegawai Balai Bomba Setapak, Kusin Bidin berkata kejadian berlaku pada pukul 11 pagi di Kampung Seavoy, Jalan Sekolah Setapak, Off Jalan Genting Klang.

"Pihak kami bergegas ke tempat kejadian dengan menggunakan sebuah jentera sebaik sahaja menerima panggilan daripada Pusat Kawalan Kebakaran Kuala Lumpur pada pukul 11.18 pagi.

"Kami sampai di sana kira-kira tujuh minit kemudian iaitu pada jam 11.26 pagi," katanya. Menurutnya, sebanyak lima buah jentera bomba lain turut membantu memadamkan kebakaran iaitu dua daripada Bomba Pusat manakala masing-masing satu dari Setapak, Jelatik dan Chow Kit.

Kusin berkata, kesemua mangsa ditempatkan sementara di Dewan Orang Ramai Setapak sementara punca kejadian masih disiasat.-Bernama

Pengawal subahat curi 15 komputer sekolah

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah sanggup bersekongkol dengan dua rakannya untuk memecah masuk Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJRK) di Rawang, di sini, Ahad lalu, membabitkan kehilangan 15 komputer.
Suspek dan dua rakannya itu yang bekerja sebagai buruh serta penganggur ditahan di Rawang hasil laporan pihak sekolah dan siasatan polis.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan, berkata ketiga-tiga suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di rumah masing-masing pada Ahad dan Isnin lalu.

“Seorang ditahan Ahad lalu kira-kira jam 10 malam di rumahnya di Rawang manakala dua lagi ditahan keesokannya kira-kira jam 3 pagi.



“Polis menemui semula 15 komputer dipercayai dicuri dari sekolah berkenaan. Hasil siasatan lanjut, mendapati ketiga-tiga suspek terbabit beberapa kes samun di Gombak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, semalam.

Difahamkan, sebelum ini, mereka terbabit sekurang-kurangnya tiga kes pecah masuk rumah dan sekolah.enurutnya, ketiga-tiga suspek direman mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk kediaman dan mencuri.

Pencuri lori 'pakar kunci'

RAMPAS...Thaiveegan (kanan) menunjukkan peralatan yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...Thaiveegan (kanan) menunjukkan peralatan yang dirampas daripada suspek.

KUALA LUMPUR: Hanya tiga minit diperlukan sekumpulan pencuri lori profesional untuk membuat kunci pendua lori yang menjadi sasaran sebelum kenderaan berat itu dilarikan.
Difahamkan, kumpulan terbabit menggunakan sejenis serbuk hijau yang dimasukkan bersama kunci baru ke dalam lubang kunci pintu lori bertujuan meniru bentuk kunci asal. Sebaik mendapat bentuk kunci berkenaan, mereka akan membuat kunci baru bagi membolehkan pintu lori dibuka sebelum kunci sama digunakan untuk menghidupkan pula enjin lori.

Lebih mengejutkan, sejak setahun lalu, kumpulan terbabit mencuri 22 lori seberat antara tiga hingga 16 tan. Semua lori itu dijual pada harga RM3,000 hingga RM5,000 sebuah.


Biasanya kenderaan berat itu dijual kepada pelanggan tertentu.


Bagaimanapun, kegiatan kumpulan itu ditumpaskan selepas polis memberkas empat suspek di Kepong, di sini, Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan, berkata satu pasukan khas dianggotai dua pegawai dan sembilan anggota diwujudkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, bagi menumpaskan sindiket terbabit.

“Hasil siasatan dan intipan pasukan terbabit, sindiket itu dipercayai aktif mencuri lori di Gombak, Kepong, Selayang dan Kuala Lumpur. Selain itu, mereka juga mencuri motosikal.

“Keempat-empat suspek ditahan di dua tempat berasingan kira-kira jam 5 petang iaitu tiga di hadapan sebuah hotel Taman Sri Ehsan, Kepong dan seorang lagi di rumahnya yang terletak berhampiran,” katanya pada sidang media di IPD Gombak, di sini, semalam.


Polis turut merampas dua lori di kawasan Desa Jaya dan Bandar Sri Damansara, selain sebuah kereta Proton Iswara.


Menurutnya, hasil siasatan mendapati lori berkenaan dilaporkan hilang di Kepong kira-kira seminggu lalu.


“Selain itu, polis turut menemui beberapa senjata tajam seperti parang, pisau panjang, spanar, pemutar skru, kunci, alat perhubungan walkie-talkie dan telefon bimbit dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri lori itu.


“Semua lori yang dicuri dipercayai dihantar ke utara Semenanjung untuk dijual. Sehingga kini, suspek yang berusia 20-an hingga 47 tahun itu direman untuk siasatan lanjut,” katanya.


Difahamkan, hasil siasatan mendapati semua suspek yang bekerja sebagai penarik kereta mempunyai beberapa rekod jenayah lampau selain positif dadah.


Thaiveegan berkata, seorang suspek dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes itu masih bebas dan polis masih memburu lelaki itu.


“Lelaki terbabit yang dikenali sebagai R Yogendran,24, diminta menyerah diri secepat mungkin bagi membantu siasatan. Alamat terakhir suspek ialah di D-06-08 Apartment Mutiara Magna, Kepong Baru. “Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan,” katanya.


Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun menggunakan senjata api.

Tidak ikut peraturan





CHERAS - Gara-gara memandu tidak mengikut peraturan dan membawa muatan melebihi had ketinggian, sebuah kren seberat 30 tan yang diangkut treler panjang tersangkut sebelum terjatuh dan hampir menghempap beberapa kenderaan lain, petang semalam. 


Kejadian di laluan bawah jejambat susur ke Lebuhraya Persekutuan dari arah Kuala Lumpur-Seremban itu juga telah menyebabkan kesesakan lebih sejam setelah laluan ditutup bagi mengalih kren terbabit. 


Orang ramai yang ditemui berkata, kren terbabit diangkut treler terbabit dalam perjalanan dari Cheras untuk dihantar ke sebuah tapak pembinaan di Bandar Mahkota, Bangi. 


“Sebaik memasuki susur laluan ini, pemandu treler dipercayai tidak me- nyedari ketinggian kren yang dibawanya melebihi had ketinggian laluan di bawah jejambat. 


“Bahagian hujung kren ini akhirnya tersangkut dan rantai pengikatnya putus menyebabkan hilang imbangan lalu terjatuh ke atas jalan,” kata seorang saksi. 


Ketinggian yang dibenarkan lalu di bawah jambatan ini tidak melebihi 4.6 meter. 


Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan lain kerana kebanyakan kenderaan sempat mengelak daripada terlanggar kren terbabit. 


Walau bagaimanapun, Sinar Harian difahamkan, kren tersebut tidak dapat dialihkan lagi berikutan kerja-kerja membaiki roda kren masih dilakukan sebelum dapat diangkat semula ke atas treler terbabit. 


Pemandu treler yang dikenali sebagai Chew berkata, ia kejadian pertama sejak lebih 30 tahun memandu treler.

Pelajar Arab beritahu pegawai agama, arak halal di negara mereka


NILAI - Sebagai helah untuk melepaskan diri, sekumpulan pelajar Islam dari sebuah negara Arab memberitahu bahawa arak adalah halal di di negara mereka.


Namun pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) tidak termakan dengan kelentong para pelajar berusia 20-an itu.


Malah mereka menjadi terkedu apabila diberitahu bahawa pegawai JAINS pernah belajar di negara mereka dan apa yang disebut mereka adalah bohong.


"Saya tidak peduli. Ini negara saya dan negara saya tidak benarkan orang Islam seperti kamu minum arak. Kamu melanggar peraturan dan undang-undang Islam di negara saya akan menghukum kamu," kata salah seorang pegawai JAINS.


Dalam drama selama 15 minit itu, turut menyaksikan salah seorang dari tiga pelajar terbabit terlentang di tengah-tengah pusat hiburan tersebut akibat terlalu mabuk.


Mereka adalah antara 25 orang yang diberkas dalam operasi JAINS di tiga pusat hiburan di sekitar Nilai yang bermula 11 malam tadi hingga 3 pagi tadi.


Yang turut diberkas ialah empat penjawat awam kerana mengambil minuman keras.


Pegawai Penyelaras Operasi JAINS, Mohd Zol Sidek berkata, maklumat empat penjawat awam berkenaan yang berusia dalam lingkungan 40-an dari kalangan pasukan beruniform akan didedahkan kepada ketua jabatan mereka.


"Mereka yang ditahan dalam operasi ini akan didakwa di bawah Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan denda tidak lebih dari RM3,000 atau penjara dua tahun," katanya kepada Bernama.


Operasi yang disertai 42 pegawai JAINS, polis dan Majlis Keselamatan Negeri itu berjaya menahan 27 orang Islam termasuk dua wanita kerana meminum arak.-Bernama

Lelaki ugut penerbit South Park mengaku bersalah




VIRGINIA - Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) mengaku bersalah atas tuduhan melancarkan serangan atas talian terhadap pencipta siri animasi televisyen South Park yang menghasilkan episod menghina Nabi Muhammad, kelmarin.

Zachary Chesser, 20, mengaku bersalah atas tiga tuduhan 'menyediakan bahan sokongan kepada pengganas, melakukan ugutan dan menggalakkan jenayah keganasan' yang diumumkan di mahkamah persekutuan AS. 

Ketiga-tiga tuduhan itu membawa hukuman maksimum 30 tahun penjara. 

Pencipta South Park, Trey Parker dan Matt Stone mencetuskan kemarahan umat Islam apabila memasukkan watak Nabi Muhammad yang memakai kostum beruang dalam salah satu episod siri animasi itu.

Bas bawa lebih 50 penumpang terkena letupan bom buatan sendiri



MINDANAO - Sekurang-kurangnya sembilan orang disahkan maut dan enam lagi cedera selepas sebuah bas terkena letupan bom di selatan Filipina, semalam. 

Ketua polis tempatan, Gil Meneses berkata, bom itu meletup semasa bas yang membawa lebih 50 penumpang itu sedang dalam perjalanan ke bandar Matalam di Mindanao. 

Menurutnya, dua mayat penumpang hancur akibat terkena kuasa letupan bom yang terlampau kuat dan polis masih belum dapat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atas serangan itu. 

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang berkata, syarikat bas itu kerap menerima surat ugutan daripada kumpulan pemisah Filipina yang beroperasi di kawasan tersebut. 

Beberapa insiden serangan bas melanda Filipina sebelum ini apabila lima penumpang dan seorang konduktor bas cedera selepas dua bom buatan sendiri meletup, April tahun lalu, dan sebuah bom turut meletup di terminal bas bandar Cotabato pada Februari tahun yang sama.

20 wanita didakwa terbabit sindiket pornografi kanak-kanak



STOCKHOLM - Polis Sweden menahan 23 individu, termasuk 20 wanita, dalam serbuan besar-besaran di seluruh negara terhadap satu sindiket menghasilkan filem pornografi kanak-kanak. 

Penahanan itu dilakukan di 12 lokasi berlainan di seluruh Sweden, kelmarin. 

Seramai 20 suspek wanita berumur antara 38 hingga 60 tahun ditahan dalam serbuan itu. 

Jurucakap polis Sweden menganggap serbuan itu sebagai 'unik' kerana siasatan kes pornografi itu membabitkan jumlah suspek wanita yang tinggi, sesuatu yang tidak pernah berlaku di negara itu. 

Kewujudan sindiket itu didedahkan semasa polis menyoal siasat seorang lelaki atas dakwaan melanggar undang-undang pornografi kanak-kanak, bulan lalu. 

Polis belum mengenal pasti punca penglibatan terlalu ramai wanita dalam kes itu dan siasatan lanjut masih dijalankan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui komputer dan telefon bimbit yang dirampas ketika serbuan.

"Adik makan nasi goreng sebelum ajal"





"SHAH ALAM – Remaja yang mati d:itembak polis, Aminulrasyid Amzah sempat menikmati nasi goreng terakhir dimasak kakaknya sebelum menemui ajal, April lalu. 


Menurut kakaknya, Tuty Shaninza Anom Amzah, remaja itu memintanya memasak nasi goreng selepas dia sampai di rumah ibunya pada waktu senja dan ketika itu Aminulrasyid sedang membuat kerja sekolah di meja makan. 


Tuty Shaninza, 36, berkata, dia memenuhi permintaan adik bongsunya dan makan bersama tiga anaknya. 


Itulah kali terakhir dia melihat Aminulrasyid sebelum ke bilik tidur dan meninggalkan kunci kereta di tempat meletak kunci, tepi pintu rumah mereka. 


Pakar warna itu memberi keterangan demikian, dalam kes seorang anggota polis peronda, Koperal Jenain Subi yang dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, tanpa niat di Jalan Tarian 11/2 , Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April lalu. 


Tuty Shaninza memberitahu, dia ialah pemandu kereta Proton Iswara yang terbabas itu sementara pemilik asalnya, bapa mentuanya, Mahali Ramlan. 


Katanya, pada malam itu selepas mengemas meja makan dan meninggalkan kunci kereta, dia naik ke bilik tidur manakala Aminulrasyid dilihatnya menyambung membuat kerja sekolah. 


Dia masuk tidur sehingga dikejutkan panggilan telefon daripada suaminya, Muzafar Mahali supaya memeriksa kereta di luar rumah kerana dimaklumkan kereta itu terbabit dengan satu kes. 


Selepas itu dia memeriksa kunci kereta dan mendapatinya sudah hilang. Dia kemudian ke depan rumah, ketika itulah melihat kereta peronda polis di simpang masuk ke lorong rumahnya, Jalan Makyong 11/2G. 


Dia terus ke sana dan melihat keretanya tersadai melanggar tembok putih tetapi dihalang polis daripada mendekati kenderaan itu. 


“Saya tanya siapa yang pandu kereta dan di mana orang dalam kereta itu tetapi tiada respon daripada polis,” katanya. 


Menurutnya, anggota polis di situ enggan memberi maklumat kepadanya walaupun didesak kerana menunggu arahan lanjut. 


Tuty Shahinza berkata, dia mencari Aminulrasyid dan menghubungi telefon bimbitnya tetapi tiada jawapan. 


Saksi itu memberitahu, turut cuba menghubungi rakan Aminulrasyid tetapi semuanya tidak menjawab panggilan telefonnya. 


Dia menunggu sehingga pagi dan tidak mengetahui nasib Aminulrasyid sehinggalah dia dipanggil untuk mengecam mayat adiknya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) pada lewat tengahari kejadian. 


Menurutnya, arwah Aminulrasyid, adik bongsu daripada lapan beradik itu seorang yang bijak dari segi akademik dan belajar dalam tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam. 


Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar perihal disiplin Aminulrasyid, saksi itu memberitahu adiknya seorang yang mendengar cakap dan aktif bersukan. 


Menurut Tuty Shaninza, adiknya itu kadang kala lepak di restoran mamak berhampiran kawasan perumahan itu untuk menonton perlawanan bola sepak. 


Dia memberitahu, sepanjang pengetahuannya Aminulrasyid tidak tahu memandu kereta. 


Bagaimanapun cadang peguam Salim Bashir, dia gagal menilai sikap sebenar adiknya kerana jarang bermalam di rumah ibunya, malah tidak tahu kegiatan Aminulrasyid waktu malam.

Polis kena penjara




SEREMBAN - Empat anggota polis dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas tuduhan mencederakan seorang jurulatih karate warga Indonesia di Nilai, dekat sini, pada 2007 lalu, semalam. 

Keputusan berkenaan dibuat oleh Majistret Noralis Mat selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap keempat-empat tertuduh. 

Mereka adalah Lans Koperal Abdul Aziz Shamsudin, 42; Lans Koperal Adi Sebi, 35; Konstabel Mohd Dzulhafiz Che Zainal Abidin, 23, dan Konstabel Helmi Hussanie Sukri, 22, yang bertugas di Balai Polis Nilai. 

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencederakan mangsa, Donald Peter Luther Kolopitha, kira-kira jam 2 pagi, 24 Ogos 2007 berhampiran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai. 

Donald ketika itu berkunjung ke negara ini bersama pasukan karate Indonesia dan dia turut dilantik menjadi salah seorang pengadil pada Kejohanan Karate Asia kelapan yang diadakan di Stadium Tertutup Nilai. 

Tiga daripada empat anggota polis yang dijatuhi hukuman penjara enam bulan semalam, kerana mencederakan seorang jurulatih karate warga Indonesia.

Pesawah maut kencing tikus



ALOR SETAR – Seorang pesawah, Ahmad Fudzil Man, 36, yang meninggal dunia 12 Oktober lalu, disahkan positif dijangkiti kuman leptospirosis atau kencing tikus. 

Timbalan Pengarah Kesihatan Kedah (Kesihatan Awam), Dr Shahidan Hashim berkata, hasil ujian darah yang dijalankan menunjukkan Ahmad Fudzil dijangkiti kuman jenis leptospirosis. 

“Buat masa ini, kita masih lagi menyiasat punca jangkitan dan akan menjalankan kajian di beberapa kawasan yang pernah dilawatinya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Sementara itu, bekas isteri Ahmad Fudzil, Noraini Md Isa, 31, berkata, dua hari sebelum dimasukkan ke hospital, bekas suaminya ada mengadu kurang sihat dan pada 9 Oktober lalu, dia dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah sebelum ditahan untuk rawatan lanjut. 

“Ketika berada di wad, badannya kelihatan kekuningan dan matanya kemerahan. Ketika ditanya doktor yang bertugas sama ada pernah mengunjungi mana-mana kawasan air terjun, arwah menafikannya.

“Dia hanya mengesahkan pergi ke sawah dan sungai kecil berhampiran sawahnya,” katanya.

Ahmad Fudzil menetap di Kampung Telok, Bukit Pinang.

Difahamkan, punca kematian belum dapat dipastikan ketika dia meninggal kerana ujian darah memerlukan masa 10 hari untuk mendapat keputusan.

Dua lelaki warga Thai edar dadah dihukum mati




KOTA BHARU – Dua lelaki warga Thailand dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam selepas didapati bersalah mengedar 42 kilogram kanabis pada 13 Jun empat tahun lalu. 

Faisan Wasoh, 30, dan Amran Jehleah, 35, berasal dari Narathiwat, Selatan Thailand, didakwa mengedar 42,154 gram kanabis ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Kok Lanas, dekat sini. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.45 petang pada 13 Jun 2006. 

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Hakim Azman Abdullah dalam penghakimannya berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-kedua tertuduh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu. 

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh dikatakan memasuki negara ini menggunakan kenderaan pikap Isuzu bernombor pendaftaran negara jiran melalui pekan Rantau Panjang, Pasir Mas. 

Ketika tiba di Tendong, mereka berjumpa dengan polis penyamar lalu mengikutinya sehingga tiba di sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Kok Lanas. 

Hasil pemeriksaan, polis menemui 54 ketulan mampat dadah yang disembunyikan di beberapa bahagian termasuk di speaker kanan dan kiri kenderaan itu.

10 terbunuh bom meletup dalam bas




2010/10/22

POLIS mengeluarkan mayat penumpang bas yang terbunuh di Cotabato, Filipina, semalam.
POLIS mengeluarkan mayat penumpang bas yang terbunuh di Cotabato, Filipina, semalam.
Kenderaan jadi sasaran kumpulan pemeras ugut 

MANILA: Sebutir bom meletup dalam sebuah bas penumpang di wilayah selatan Filipina semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan mencederakan sembilan yang lain.Bas terbabit membawa lebih 50 penumpang ketika letupan kuat menggegarkan bahagian tepi kenderaan itu di tempat letak barang bahagian atas, kata ketua pesuruhjaya polis, Gil Meneses. Letupan berkenaan menyebabkan kepala dua mangsa terputus.Mangsa yang cedera dibawa ke hospital di bandar Matalam, wilayah utara Cotabato. Polis dan unit tentera menyoal mangsa terselamat dan memeriksa tempat kejadian, kata Meneses. 

Belum ada pihak mengaku bertanggungjawab dalam kejadian pengeboman itu. Selatan Filipina banyak menyaksikan insiden penculikan, peras ugut dan pemberontakan pemisah Islam sejak berdekad lalu. Kumpulan pemeras ugut pernah disalahkan atas serangan bas di wilayah terbabit sebelum ini. 

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang berkata, syarikat bas yang terbabit dalam pengeboman semalam menjadi sasaran kumpulan pemeras ugut sejak beberapa tahun lalu. 

Antara kumpulan peras ugut yang aktif ialah Al-Khobar yang dianggotai penjenayah dan bekas pemisah Islam yang melakukan serangan ke atas syarikat perniagaan yang enggan membayar wang ugutan yang dituntut. 
April tahun lalu, dua bom buatan sendiri meletup dalam bas mencederakan konduktor dan lima penumpang. Sebuah bom juga meletup di terminal bas Cotabato Februari tahun lalu mencederakan dua orang. – AP 

Mahkamah Myanmar dengar rayuan Suu Kyi




2010/10/22

YANGON: Mahkamah tertinggi Myanmar bersetuju mendengar rayuan terakhir pembebasan pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi daripada tahanan kediaman, kata peguam ikon demokrasi itu yang mengemukakan rayuan berkenaan walaupun anak guam mereka dijadualkan dibebaskan kurang sebulan lagi. 

“Kami percaya Suu Kyi akan dibebaskan 13 November tetapi kami meneruskan langkah rayuan ini untuk membuktikan beliau tidak bersalah,” kata peguamnya, Nyan Win kepada pemberita.Nyan Win berkata, Mahkamah Tinggi menghantar satu pengumuman malam kelmarin bahawa mereka akan mendengar rayuan khas Suu Kyi yang sudah menjalani 15 tahun dalam tahanan kediaman.Nyan Win berkata peguam akan hadir dalam perbicaraan di hadapan panel sekumpulan panel hakim Rayuan Khas di Naypyitaw pada tarikh yang belum ditetapkan lagi. 

Ini adalah pilihan perundangan terkini Suu Kyi untuk membuat rayuan selepas didapati bersalah pada 2009 kerana melanggar peraturan tahanan kediaman dengan membenarkan seorang lelaki rakyat Amerika Syarikat berenang memasuki rumahnya di hadapan tasik. 

Peguam Suu Kyi berkata, tahanan kediaman itu tidak sah kerana ia berdasarkan perlembagaan 1974 yang dimansuhkan selepas junta tentera merampas kuasa pada 1988, kata Nyan Win. – AP 

Tunjuk perasaan sekat laluan lapangan terbang




2010/10/22

SEBAHAGIAN daripada penumpang  berjalan kaki mengelak tersekat dalam bantahan di jalan utama menuju ke lapangan terbang Marseille, semalam.
SEBAHAGIAN daripada penumpang berjalan kaki mengelak tersekat dalam bantahan di jalan utama menuju ke lapangan terbang Marseille, semalam.
Ramai penumpang jalan kaki elak terlepas penerbangan 

MARSEILLE: Aktivis dan anggota kesatuan sekerja menyekat laluan ke lapangan terbang di bandar kedua terbesar di Perancis awal pagi semalam, mencetuskan kesesakan lalu lintas sepanjang satu kilometer dan menjejaskan penumpang yang mengejar penerbangan.Kira-kira 200 penunjuk perasaan memakai lilitan tangan daripada Persekutuan Buruh Umum (CGT) dan FSU menyekat bulatan utama menuju ke lapangan terbang Marseille untuk menghalang kenderaan daripada melaluinya, sebagai sebahagian bantahan seluruh negara ke atas cadangan kerajaan untuk merombak skim pencen.Tindakan itu menyebabkan sesetengah penumpang terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing di tepi jalan untuk berjalan kaki ke terminal lapangan terbang bagi bagi memastikan mereka tidak terlepas penerbangan. 

Pihak berkuasa lapangan terbang berkata tiada penerbangan dibatalkan berikutan insiden itu dan lalu lintas lancar semula bermula jam 8.30 pagi. 

Kakitangan dari lapangan terbang dan industri penerbangan turut menyertai tindakan itu, kata seorang jurucakap kesatuan. 

Selain kemudahan awam dan industri, penyanyi pop Amerika Syarikat, Lady Gaga turut menjadi mangsa bantahan kerana terpaksa membatalkan konsertnya di Paris. – AFP/Agensi 

Mayat tanpa organ ditemui




2010/10/22

KUALA TERENGGANU: Mayat lelaki dipercayai warga asing ditemui dengan keadaan dada kiri berlubang serta tiada organ dalaman dipercayai dibunuh di sebuah ladang kelapa sawit di Blok 16, Peringkat Satu di sini, semalam. 

Mayat lelaki dipercayai warga Pakistan itu ditemui dalam keadaan terlentang dan sudah berulat jam 8.30 pagi oleh pemilik ladang berkenaan Mohamad Mahmud, 59, ketika hendak meninjau ladang sawitnya.Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata dokumen kad pekerja asing yang ditemui dalam poket belakang seluar mangsa memaparkan namanya sebagai Habib Ali, 28.Beliau berkata, dia dipercayai dibunuh berdasarkan penemuan beberapa kesan tikaman di bahagian rusuk kanannya selain terdapat kesan luka di bahagian kepala mangsa. 

“Berdasarkan keadaan mayat kita percaya mangsa dibunuh dalam tempoh lima hari lalu atau 72 jam yang lalu. 

“Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh kira-kira tujuh meter dari tempat mayatnya ditemui iaitu dalam belukar sebelum dia diseret binatang yang dipercayai memakan organ dalamannya,” katanya. 

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, dan motif pembunuhan masih dalam siasatan. - Bernama 

Polis tahan lima lelaki bantu siasatan kes bunuh, rogol pelajar




2010/10/22

IPOH: Polis setakat ini menahan lima lelaki termasuk seorang pelajar berhubung kes rogol dan bunuh pelajar perempuan, M Divya Barathi, 16, yang mayatnya ditemui tertiarap dalam sebuah parit di Ladang Rubana, dekat sini, Sabtu lalu. 

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata pelajar berkenaan dan seorang lagi penganggur, masing-masing berusia 16 hingga 17 tahun diberkas malam kelmarin, manakala tiga yang lain berusia 20-an termasuk seorang pekerja ladang, ditahan sebelum itu.“Mereka kini direman bagi membantu siasatan kes itu. Kita masih menyiasat bagi mencari bukti kukuh termasuk melalui ujian DNA,” katanya selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, semalam.Zulkifli berkata, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kes itu dilakukan lebih daripada seorang. 

Mayat Divya, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Horley Methodist ditemui orang awam jam 7.30 pagi dalam keadaan bogel dan tertiarap di dalam parit berkenaan selepas mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah sejak petang Jumaat lalu. 

Pada malam sebelum kejadian, bapa mangsa, K Murali, 43, ketua pengawal keselamatan Ladang Rubana membuat laporan di Balai Polis Teluk Intan apabila anaknya itu tidak pulang ke rumah seperti biasa selepas menghadiri kelas tambahan di bandar Teluk Intan. 

Dalam laporannya, bapa mangsa memberitahu mangsa dilihat memasuki ladang berkenaan selepas turun dari bas menuju ke rumahnya kira-kira 500 meter dari pondok pengawal dan selepas itu mangsa gagal dikesan.