Search This Blog

Thursday, October 21, 2010

Suri rumah ditahan khalwat terkejut kekasih suami orang

ALOR SETAR: Seorang wanita yang masih berstatus isteri orang sanggup menyewa sebuah bilik motel di Jalan Pegawai, di sini, kelmarin semata-mata untuk memuaskan nafsu seksnya dengan seorang lelaki yang baru dikenali empat hari lalu.
Suri rumah berusia 26 tahun itu dikatakan dalam proses bercerai dengan suaminya dan mempunyai seorang anak tetapi berani berduaan-duaan dengan lelaki lain di sebuah bilik motel.

Mereka akhirnya dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dalam serbuan kira-kira jam 3 petang.

Wanita itu dikatakan terkejut apabila mengetahui pasangannya berusia 46 tahun dari Sungai Petani juga adalah suami orang dan mempunyai lima anak kerana sebelum ini, lelaki itu mendakwa masih bujang.

Wanita itu hanya mengetahui perkara itu ketika anggota penguat kuasa menyoal siasat mereka di pejabat agama sejurus selepas tangkapan.

Ketua Operasi Jaik, Md Nasir Md Dali berkata, berdasarkan maklumat diterima, anggotanya bergegas ke motel terbabit dan mendapati sebuah bilik berkunci serta tertutup rapat.
Beliau berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, pintu dibuka seorang lelaki yang mendakwa menyewa bersama `isterinya’.

“Selepas menyoal siasat pasangan itu, mereka akhirnya mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan apabila wanita terbabit mendakwa baru mengenali lelaki yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu empat hari lalu manakala lelaki itu juga mengaku sudah berkeluarga.

“Ketika ditahan, wanita itu hanya sempat memakai tuala kerana terkejut apabila pintu bilik diketuk berkali-kali oleh anggota penguat kuasa dan tidak sempat memakai baju manakala keadaan katil pula berselerak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pasangan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, untuk dibuat laporan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung hingga mendatangkan syak kepada orang ramai yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali.

“Kami akan melakukan pemeriksaan lebih kerap dalam usaha mencegah maksiat,” katanya.

Anak raja Saudi dipenjara

LONDON: Cucu pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah, dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah Britain, semalam, selepas bersalah membunuh pembantu lelakinya selepas mangsa mengalami penderaan seksual berpanjangan.
Saud Abdulaziz al-Saud, 34, diarah menjalani hukuman penjara minimum 20 tahun oleh hakim di Mahkamah Old Bailey.

Hakim, David Bean, berkata sangat janggal apabila seorang anak raja dibicarakan atas tuduhan membunuh.


“Tetapi tiada sesiapa di negara ini terkecuali daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Saud disabitkan kesalahan memukul dan mencekik Bandar Abdullah Abdulaziz, 32, sehingga mati pada 15 Februari lalu sebagai kemuncak penderaan seksual ke atas mangsa.

Kejadian berlaku sejurus selepas kedua-dua mereka pulang daripada meraikan sambutan Hari Kekasih. - AFP

Maut bergesel motosikal

PETALING JAYA: Seorang pekerja kilang yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut apabila motosikal ditunggangi terbabas selepas bergesel dengan sebuah motosikal lain di dalam terowong lorong motosikal di Lebuh Raya Persekutuan PJS 8/6, Sunway di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa dikenali sebagai Norhisham Arshad, 38, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebaik tiba di tempat kejadian sebelum bergesel dengan motosikal lain.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebaik motosikalnya yang gagal dikawal merempuh tiang lampu amaran kuning di tempat kejadian manakala penunggang sebuah lagi motosikal tidak mengalami sebarang kecederaan. “Mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi semalam. Katanya, keluarga mangsa yang tinggal di Jalan Klang Lama, di sini sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Petaling Jaya 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Maut bergesel motosikal

PETALING JAYA: Seorang pekerja kilang yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut apabila motosikal ditunggangi terbabas selepas bergesel dengan sebuah motosikal lain di dalam terowong lorong motosikal di Lebuh Raya Persekutuan PJS 8/6, Sunway di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa dikenali sebagai Norhisham Arshad, 38, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebaik tiba di tempat kejadian sebelum bergesel dengan motosikal lain.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebaik motosikalnya yang gagal dikawal merempuh tiang lampu amaran kuning di tempat kejadian manakala penunggang sebuah lagi motosikal tidak mengalami sebarang kecederaan. “Mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi semalam. Katanya, keluarga mangsa yang tinggal di Jalan Klang Lama, di sini sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Petaling Jaya 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Jerebu tebal Sumatera kini landa Singapura




2010/10/21

SINGAPURA: Jerebu yang melanda sebahagian kawasan di Malaysia khasnya di Johor kini melanda Singapura, dan kian bertambah buruk dalam masa beberapa jam sahaja. 

Keseluruhan pulau republik ini hari ini berkabus dan langit khasnya di kawasan Marina Bay di mana bangunan tinggi seperti Maybank setinggi 32 tingkat dan Hotel Marina Bay Sands setinggi setinggi 55 tingkat, penglihatan tidak berapa jelas disebabkan jerebu tebal.Pusat bandar raya juga tidak ketinggalan di mana kawasan seperti dalam dan sekitar kawasan pelancong di sepanjang Orchard Road kelihatan berkabus dengan jerebu.Semalam, Indeks Mutu Pencemaran (PSI) mencecah sekitar 80, menyebabkan kualiti udara di sekitar pulau ini yang paling teruk, yang pernah dicatatkan sejak jerebu buruk berlaku berpunca dari Sumatra, Indonesia. 

Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura Dr Yaacob Ibrahim telah melahirkan perasaan tidak puas hati mengenai bertambahnya kawasan tompok-tompok panas di Sumatra yang menyebabkan jerebu. 

Beliau berkata Singapura telah banyak kali meminta pihak berkuasa Indonesia mengambil langkah-langkah untuk memastikan kebakaran hutan tidak berlaku lagi. 

"Kita agak dukcita dengan apa yang berlaku, (dan) ini bukan pertama kali kita maklumkan pihak berkuasa Indonesia bahawa mereka hendaklah memberikan perhatian terhadap tompok panas di kedua-dua Sumatera dan Borneo," katanya. 
"Pada hakikatnya, banyak kali, kita beritahu pihak berkuasa Indonesia, sila ambil langkah-langkah agar ini tidak berlaku. Tetapi ini telah berlaku,” katanya. 

Minggu lalu, Menteri-menteri Alam Sekitar Asean mengadakan pertemuan di Brunei untuk Perjanjian Jerebu Asean, dan mereka mengingatkan sesama sendiri agar berwaspada dengan ancaman jerebu. 

Yaacob juga berkata Singapura bersedia membantu Indonesia untuk membanteras kebakaran di kawaan tompok panas. 

Sementara itu, Agensi Alam Sekitar Nasional menyatakan bahawa jerebu sederhana akan berterusan menyelubungi Singapura dalam masa beberapa hari akan datang. - BERNAMA 

Tiga nafi pemilik parang dalam kereta dipandu Aminulrasyid





2010/10/21

SHAH ALAM: Persoalan siapa pemilik sebilah parang yang ditemui dalam kereta dipandu Aminulrasyid Amzah yang mati dalam satu kejadian tembakan di Seksyen 11 di sini, belum terjawab selepas tiga saksi pendakwaan yang memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini menafikan pernah melihat atau meletakkan parang itu dalam kereta berkenaan. 

Mereka ialah kakak kedua Aminulrasyid, Tuty Shaninza Anom Amzah, yang pemilik kereta Proton Iswara putih yang dipandu oleh remaja itu pada hari kejadian, suami Tuty, Muzafar Mahali dan bapa mentua Tuty, Mahali Ramlan, pemilik berdaftar kereta itu.Parang itu ditemui oleh polis di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid, 15.Dalam keterangannya, Tuty Shaninza, 36, berkata beliau tidak pernah meletakkan parang di dalam kereta itu, dan ketika ditunjukkan sebilah parang, iaitu satu daripada barang kes, saksi pendakwaan ke-20 itu berkata beliau tidak pernah lihatnya dan tidak tahu siapa pemiliknya. 

Tuty Shaninza juga berkata beliau tidak pernah melihat Aminulrasyid membawa parang sebelum kejadian. 

Mahali, 69, yang merupakan saksi ke-21 pendakwaan, pula berkata beliau tidak pernah menyimpan parang dalam kereta itu yang dibelinya pada 2006 sehingga beliau memberikan kereta itu kepada Tuty Shaninza, empat bulan selepas itu. 

Ketika Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar menunjukkan parang itu, Mahali menafikan bahawa beliau pernah melihatnya. 
Muzafar, 36, dalam keterangannya juga menafikan bahawa beliau pernah nampak dan meletakkan parang dalam kereta itu. 

Saksi ke-22 pendakwaan itu berkata beliau tidak tahu siapa pemilik parang itu dan menafikan bahawa isterinya, Tuty Shaninza, ada membawa parang dalam kereta itu. 

Ketiga-tiga saksi itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap anggota polis, Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lalu. 

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Tuty Shaninza berkata Aminulrasyid adalah anak bongsu daripada lapan adik beradik dan ketika diminta mengenal pasti wajah adiknya dalam gambar bedah siasat bagi proses pengecaman, saksi itu kelihatan mengusap-usap gambar itu dan hanya mengangguk sambil mengesat air mata. 

Saksi itu berkata bahawa pada 25 April lalu, beliau telah memandu kereta itu ke rumah ibunya di No 26, Jalan Makyong 11/2G, Seksyen 11, untuk bermalam di situ, dan apabila tiba di rumah itu beliau melihat Aminulrasyid sedang menyiapkan kerja sekolahnya di meja makan. 

"Aminulrasyid kemudian minta saya masakkan nasi goreng untuknya dan kami kemudian makan bersama-sama ibu saya dan tiga anak saya. Selepas mengemas meja makan, saya letakkan kunci kereta di tempat letak kunci di bahagian dalam rumah dan Aminulrasyid menyambung kembali kerja sekolahnya. Saya kemudian masuk tidur di bilik ibu saya yang terletak di tingkat atas," katanya. 

Tuty Shaninza, seorang pakar warna, berkata bahawa jam 3.30 pagi, beliau telah menerima panggilan daripada suaminya (Muzafar) yang bertanyakan di mana kereta Proton Iswara itu berada dan beliau menjawab kereta itu berada di tempat letak kereta di rumah. 

"Suami saya minta saya pastikan sama ada kereta itu masih ada di situ atau tidak dan apabila saya turun saya lihat kereta Iswara telah tiada, yang ada cuma kereta Proton Saga milik adik lelaki saya, Muhammad Shahreeman Putra. 

Kemudian suami suruh saya periksa sama ada adik-adik saya ada di rumah dan apabila diperiksa cuma Aminulrasyid sahaja tiada di biliknya. Saya cuba hubungi telefon bimbit Aminulrasyid tetapi tidak berjawab. 

"Apabila saya dapati kereta tiada, saya keluar ke pintu pagar rumah dan saya nampak kereta peronda polis di hujung simpang jalan masuk ke rumah ibu saya. 

Selepas itu saya kejutkan ibu dan Muhammad Shahreeman dan kami terus pergi ke simpang jalan dan apabila saya bertanyakan anggota polis apa yang berlaku mereka tidak cakap apa-apa. Kemudian saya nampak kereta saya terjungkit di depan tembok putih dan bila saya cuba pergi ke kereta saya telah dihalang oleh polis," katanya. 

Tuty Shaninza berkata beliau cuba bertanyakan kepada anggota polis di mana pemandu kereta Iswara itu tetapi anggota polis itu berkata beliau tidak boleh beritahu apa-apa tanpa arahan pihak atasan. 

Saksi itu berkata beliau hanya mengetahui bahawa Aminulrasyid terlibat dalam kejadian itu apabila dibenarkan membuat pengecaman mayat mangsa di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 3 petang hari kejadian. 

Ditanya mengenai perwatakan Aminulrasyid, Tuty Shaninza berkata adiknya merupakan seorang yang aktif bersukan, bijak, manja serta tidak pernah melawan cakap ibunya. 

Walaupun bersetuju dengan cadangan peguam Salim Bashir yang mewakili Jenain bahawa beliau tidak boleh memastikan sama ada adiknya mempunyai masalah disiplin, saksi itu bagaimanapun berkata perkara itu (masalah disiplin) tidak pernah sampai ke pengetahuannya. 

Saksi itu juga berkata Aminulrasyid tidak pernah memandu serta belajar memandu kereta sebelum kejadian dan sekiranya ingin ke mana-mana, adiknya itu akan dihantar dan diambil oleh ibunya. 

Tuty Shaninza bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Salim bahawa sepanjang pengetahuannya beliau tidak boleh memastikan sama ada adiknya itu ada memandu kereta lain di rumah ibunya. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar disambung 28 Oktober ini. - BERNAMA 

Dipenjara, denda RM10,000 rasuah polis


21/10/2010 4:44pm

BUTTERWORTH – Seorang pelanggan sebuah pusat nyanyian dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini terhadap tuduhan memberi rasuah RM1,000 kepada seorang pegawai polis Julai lepas.
Hakim Mohd Zairan Aman memerintahkan Tan Kok Heng, 39, dipenjara tiga bulan lagi jika dia gagal membayar denda.
Kok Heng didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Nyanyian Wan Star Restaurant di Jalan Kebun Baru, IKS Juru, Bukit Mertajam pada 1.30 pagi 17 Julai lepas.
Dia dituduh memberikan wang itu kepada Inspektor Ahmad Hamzah Kasdi sebagai dorongan supaya pemeriksaan tidak dilakukan di premis berkenaan.
Menurut fakta kes, Kok Heng cuba memberi wang sogokan itu kepada Ahmad Hamzah sebanyak tiga kali dan pada kali ketiga dia terus ditangkap dan dibawa ke balai polis, seterusnya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan lanjut. – Bernama

Warga emas ditemui mati di taman mainan


21/10/2010 5:33pm

TAWAU – Seorang warga emas yang sering menjadikan sebuah taman permainan kanak-kanak di sini iaitu Taman Pelita sebagai tempatnya untuk bermalam, dijumpai mati di taman tersebut pagi tadi.
Lelaki dalam lingkungan umur 60-an itu ditemui kira-kira 6.30 pagi dengan terdapat kesan pendarahan pada hidungnya.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin berkata, kematiannya dianggap sebagai kematian mengejut.
Orang ramai yang mengenali lelaki tua berketurunan Cina itu diminta menghubungi polis. Dia dipercayai berasal dari Kota Kinabalu. – Bernama

Mayat warga asing disyaki dibunuh ditemui


21/10/2010 8:21pm

KUALA TERENGGANU – Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui dengan keadaan dada kiri berlubang serta tiada organ dalaman dipercayai dibunuh di sebuah ladang kelapa sawit di Blok 16, Peringkat Satu, di sini hari ini.
Mayat lelaki yang dipercayai warga Pakistan itu ditemui dalam keadaan terlentang dan sudah berulat kira-kira pukul 8.30 pagi oleh pemilik ladang berkenaan Mohamad Mahmud, 59, ketika hendak meninjau ladang sawitnya.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Abdullah Sani Salat berkata, dokumen kad pekerja asing yang ditemui dalam poket belakang seluar mangsa memaparkan namanya sebagai Habib Ali, 28.
Beliau berkata, dia dipercayai dibunuh berdasarkan terdapat beberapa kesan tikaman benda tajam di bahagian rusuk kanannya selain terdapat kesan luka di bahagian kepala mangsa.
"Berdasarkan keadaan mayat kita percaya mangsa dibunuh dalam tempoh lima hari lalu atau 72 jam yang lalu.
"Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh kira-kira tujuh meter dari tempat mayat ditemui iaitu dalam belukar sebelum dia diseret binatang yang dipercayai telah memakan organ dalamannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – Bernama

”Geng Hicom” curi lori sekitar KL tumpas


21/10/2010 8:42pm

TIMBALAN Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan menunjukkan gambar suspek yang masih bebas pada sidang akhbar mengenai sindiket curi lori di Kepong, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah


KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan ”Geng Hicom” yang aktif mencuri lori di kawasan Gombak, Selayang, Kepong dan Kuala Lumpur sejak dua bulan lepas dengan penahanan empat lelaki dalam dua serbuan di Taman Sri Ehsan, Kepong, Selasa lepas.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, tiga daripada lelaki itu ditahan di depan sebuah hotel di kawasan tersebut pada pukul 5 petang, manakala seorang lagi ditahan di rumahnya di taman yang sama setengah jam kemudian.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata, hasil soal siasat, keempat-empat lelaki itu mengaku mencuri 22 buah lori bermuatan antara tiga dan 16 tan, yang mana 20 daripadanya telah dijual.
"Kita berjaya mengesan baki dua buah lori yang belum sempat dijual iaitu masing-masing di Bandar Sri Damansara dan Desa Jaya, Kepong,” katanya.
Thaiveegan berkata, pemeriksaan awal mendapati kesemua mereka yang berasal dari Taman Sri Ehsan itu dipercayai menjual lori-lori berkenaan di utara Semenanjung dengan harga antara RM3,000 dan RM5,000 sebuah. – Bernama

Kes rogol, bunuh pelajar: 2 remaja antara 5 ditahan


21/10/2010 4:18pm

IPOH 21 Okt. – Polis setakat ini menahan lima lelaki termasuk dua remaja bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh dan rogol seorang pelajar berumur 16 tahun di Teluk Intan pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, dua remaja berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan malam tadi, manakala tiga yang lain berusia 20-an telah ditahan pada Ahad lepas.
"Setakat ini, kita masih menyiasat kes itu bagi mencari bukti kukuh untuk mengesan dalang yang melakukan jenayah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini hari ini.
Beliau berkata, tiga daripada mereka ditahan reman sehingga 24 Oktober ini bagi membantu siasatan, manakala dua remaja itu masih disoal siasat sebelum tindakan lanjut diambil.
Dalam kejadian 17 Oktober lalu, seorang remaja Divya Barathi Murali ditemui mati dalam keadaan berbogel di kawasan Ladang Rubana, Teluk Intan. – Bernama

Gempa bumi sederhana landa Laut Celebes, Indonesia


21/10/2010 5:00pm

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Satu gempa bumi sederhana berukuran 5 pada skala Richter berlaku di Laut Celebes, Indonesia pada pukul 3.03 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan di sini berkata, pusat gempa itu terletak kira-kira 263km dari tenggara Davao, Filipina dan 738km dari timur Kunak, Sabah.
Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. – Bernama

Diperintah bayar RM250,000 kerana fitnah ADUN


21/10/2010 7:10pm

TEMERLOH 21 Okt. – Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini memerintahkan bekas Setiausaha UMNO Bahagian Lipis, Zulkifli Othman, membayar ganti rugi RM250,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed, kerana memfitnahnya dua tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir membacakan keputusan itu selepas meneliti keterangan saksi dan dokumen di mana terdapat unsur-unsur fitnah dalam perkataan yang diungkap oleh Zulkifli.
Zulkifli, 54, didakwa memfitnah Abdul Rahman, 48, dengan membuat surat akuan bersumpah serta mengedarkannya menjelang pemilihan UMNO Bahagian Lipis pada 2008 dengan mendakwa Abdul Rahman suka berfoya-foya dengan niat mencalarkan imej Abdul Rahman yang ketika itu bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian berkenaan.
Zulkifli sebelum ini diberikan tempoh 14 hari memohon maaf kepada Abdul Rahman tetapi enggan berbuat demikian.
Kes berkenaan kemudiannya difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 3 Mac 2009. – Bernama

Pasangan dicekup cetak DVD lucah




SRI KEMBANGAN – Seorang pakar komputer yang baru habis berkursus setahun di Jepun, menggunakan kepakaran itu dengan bergiat aktif mencetak cakera video digital (DVD) lucah. 

Suspek berusia 30 tahun, memulakan ‘kerjayanya’ itu sejak empat bulan lalu, bersama teman wanitanya, 32, iaitu selepas pulang ke tanah air. 

Bagaimanapun, tindakan pasangan kekasih yang menjadikan sebuah rumah di Pangsapuri Putra Raya, Taman Pinggiran Putra dekat sini, terbongkar selepas polis menyerbu kediaman itu, kira-kira jam 4 petang kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, sebelum serbuan dilakukan, pihaknya mendapat maklumat rumah itu dijadikan lokasi pasangan kekasih itu melepaskan gian dadah. 

“Kita tidak menemui dadah tetapi sebaliknya menemui 300 keping salinan DVD lucah dan 600 keping DVD belum cetak. 

“Siasatan mendapati, suspek melakukan kerja itu kerana tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan diperoleh mampu menampung kehidupannya,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, semalam. 

Katanya, polis turut merampas monitor, papan kekunci dan unit pusat pemprosesan komputer (CPU) yang mempunyai tujuh alat mencetak DVD (burner). 

Abdul Razak berkata, suspek dipercayai memasarkan DVD itu di sekitar pasar malam di utara tanah air. 

“Kita percaya abangnya yang berasal dari Perak menjadi pengedar DVD itu dan siasatan lanjut berhubung kegiatan tersebut masih diteruskan,” katanya. 

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah, malah suspek wanita berasal dari Kelantan itu, mempunyai rekod jenayah lampau.

Dua remaja ditahan bantu kes bunuh dan rogol pelajar 16 tahun



IPOH - Dua remaja ditahan kelmarin bagi membantu siasatan kes bunuh dan rogol pelajar 16 tahun di Teluk Intan, kata Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah. 

Remaja yang di tahan berumur 16 dan 17 tahun.

Tidak sedar bunuh isteri




ALOR SETAR - Seorang bekas staf sarjan tentera udara terlepas daripada tuduhan membunuh isterinya tiga tahun lalu setelah Mahkamah Tinggi di sini semalam mendapati dia tidak waras ketika melakukan perbuatan itu. 

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, tertuduh, G Renganathan,45, mengalami gangguan mental dan perkara itu disahkan oleh pakar psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr Rabaiah Mohd Salleh. 

Mohd Zaki bagaimanapun memerintahkan Renganathan ditahan di Hospital Bahagia di Perak selama perkenan Sultan Kedah. 

Menurutnya, berdasarkan laporan perubatan dan keterangan Dr Rabaiah, lelaki itu tidak menyedari dirinya melakukan pembunuhan itu.

“Walaupun mahkamah mendapati tertuduh melakukan pembunuhan tersebut, namun seperti yang tertakluk di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan, dia telah membunuh tanpa sedar.

“Justeru, dia akan dihantar ke rumah sakit jiwa di Tanjung Rambutan, Perak,” katanya.

Reganathan didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 3.30 pagi dan 4.30 pagi di rumah mereka yang beralamat 963A, Lorong 19, di Taman Seri Bayu, Sungai Lalang, Bedong pada 29 Mei 2007.

Isterinya, A Sumathi ditemui mati akibat dikelar di leher, ditetak di dahi dan ditikam di perut dipercayai selepas berselisih faham dengan tertuduh.

Mayat mangsa ditemui terlentang di ruang tamu rumahnya setelah suspek sendiri menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

Renganathan diwakili peguam M Chandaran manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norsyuhada Mohd Yatim.

3 bot, 4 nelayan asing ditahan

 


KUANTAN - Sebanyak tiga bot dan 15 nelayan termasuk empat nelayan asing berjaya ditahan dalam Operasi Hulubalang Jabatan Perikanan Malaysia yang dijalankan selama lima hari di perairan di negeri ini. 

Pengarah Bahagian Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Malaysia, Thalathiah Saidin berkata, dua daripada tiga bot yang ditahan merupakan bot pukat tunda Zon B manakala sebuah bot pukat tunda Zon C. 

Menurutnya, dua bot itu melakukan kesalahan menggunakan krew asing tanpa permit dan sebuah lagi melakukan kesalahan memukat tunda kurang 12 batu nautika dari perairan Pahang. 

“Kedua-dua bot pukat tunda Zon B di tahan tujuh batu nautika dari Pantai Teluk Cempedak, bot kedua pula di tahan lima batu nautika dari Tanjung Gelang itu mendapati masing-masing membawa dua warga Indonesia dan Thailand manakala bot ketiga 9.2 batu nautika dari Pulau Tioman. 

“Hasil operasi itu juga, sebanyak RM950 hasil lelongan tangkapan berjaya dikumpul selain 20 bot berjaya diperiksa,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Jabatan Perikanan Pahang, di sini. 

Thalathiah berkata, sehingga kini, sebanyak 36 kapal ditahan membabitkan 29 kapal tempatan manakala tujuh merupakan kapal asing masing-masing tiga dari Thailand dan empat dari Vietnam di samping 232 kapal diperiksa dalam pelbagai aspek di Pahang. 

Katanya, semua tangkapan yang dibuat adalah hasil operasi daripada pelbagai agensi maritim termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia selain Jabatan Perikanan Malaysia. 

“Selain operasi berterusan, kami sedang berusaha menambah baik kemudahan aset iaitu kapal yang lebih besar untuk menampung keperluan melindungi sumber 200 batu nautika. 

“Setakat ini, kita mempunyai 56 kapal yang bersaiz 10 hingga 26 meter. Justeru, kami berhasrat menggantikan kepada kapal yang lebih besar iaitu bersaiz 40 meter. 

"Bagaimana pun, kos yang tinggi mencecah RM25 juta bagi sebuah kapal menyebabkan ia akan dilakukan secara berperingkat,” katanya. 

Thalathiah berkata, nelayan asing yang didapati menceroboh dan menangkap ikan dalam perairan negara tanpa lesen atau kebenaran boleh didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985. 

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) akta yang sama membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan tidak lebih RM100,000 atau enam bulan penjara bagi setiap awak-awak atau krew kapal.

Polis Tatau teruskan usaha mencari mangsa bot karam




2010/10/21

BINTULU: Balai Polis Daerah Tatau akan meneruskan usaha mencari dan menyelamat mangsa tragedi bot karam selain membuka pusat menyelamat sementara di Kem Balak Kelebu kira-kira 60 kilometer dari sini. 

Ketua Polis Daerah Bintulu, DSP Wan Zaizodin Wan Jaafar, berkata keputusan itu dibuat memandangkan tiada laporan baru mengenai orang hilang dari kawasan itu dibuat sejak semalam."Kita harus mengekalkan pusat ini kerana kita tidak tahu jumlah sebenar penumpang yang berada di dalam bot ekspres 'Liang Yu' yang karam di sungai Kakus."Kapten bot juga tidak tahu berapa jumlah sebenar penumpang dalam insiden tersebut walaupun beliau percaya antara 20 hingga 30 penumpang," katanya. 

Dalan kejadian 2.30 petang Isnin lalu, bot ekspres penumpang itu berlanggar dengan sebuah tongkang balak yang sedang ditarik bot tunda di Ulu Anap, Kakus. 

Sehingga kini, 17 penumpang dilaporkan selamat dan 13 mayat ditemui. 

Wan Zaizodin yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat nahas itu berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada masyarakat di situ agar membuat laporan polis sekiranya terdapat ahli keluarga mereka yang hilang bagi membolehkan kita menjejaki jumlah sebenar mangsa bot tersebut. 
"Sejak menemui tujuh mayat dari sungai itu semalam, kami belum lagi menerima laporan baru," katanya. 

Sementara itu, ahli keluarga mangsa tragedi bot karam itu telah berkumpul di hospital di sini sejak awal pagi untuk menuntut mayat bagi tujuan pengebumian. 

Mereka yang terkorban ialah lapan wanita, lima lelaki dan empat kanak-kanak. 

Kemalangan itu adalah antara yang terburuk setakat ini membabitkan penumpang bot ekspres di Bahagian Bintulu. - BERNAMA