Search This Blog

Wednesday, October 20, 2010

Rangka peniaga diculik lebih setahun ditemui

KAJANG: Misteri kehilangan seorang ahli perniagaan yang diculik beberapa lelaki di hadapan rumahnya lebih setahun lalu terjawab apabila mayatnya yang sudah tinggal tulang selepas dipercayai dibunuh kejam ditemui ditanam berhampiran sebuah tanah perkuburan Cina di Broga, Semenyih di sini semalam.
Mangsa, Ravi Shanker Ramasamy, 42, sebelum ini diculik sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Taman Mahkota Cheras, menyebabkan isteri dan adik mangsa membuat laporan polis selain berusaha menggunakan hebahan media untuk menjejaki mangsa.

Bagaimanapun, pelbagai usaha dilakukan termasuk menawarkan wang ganjaran sebanyak RM60,000 oleh adik mangsa terdapat individu yang mampu memberi maklumat berhubung kehilangan mangsa ternyata gagal membuahkan hasil.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, penemuan lokasi mayat mangsa ditanam adalah hasil pengakuan seorang suspek kes pembunuhan yang kemudian membawa polis ke tempat dia menanam mayat mangsa.

“Suspek yang berusia lingkungan 30-an itu, membawa polis ke lokasi berdekatan dengan sebuah kawasan perkuburan Cina. Polis kemudian bertindak menggali kawasan yang ditunjukkan suspek dan satu rangka manusia yang masih ada sedikit cebisan tisu ditemui.

“Namun, tempoh mangsa disahkan mati dan berapa lama ditanam di situ masih belum dapat dipastikan lagi,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.
Menurutnya, suspek juga menunjukkan lokasi di mana sebuah kereta dibakar, dipercayai milik mangsa terbabit yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat mayat mangsa ditanam.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi isteri mangsa bagaimanapun tidak membuahkan hasil apabila beliau enggan memberi sebarang komen berhubung penemuan mayat itu selain berharap penemuan rangka manusia berkenaan bukan milik suaminya.

Juragan ditahan bantu siasatan

TATAU: Polis menahan juragan bot ekspres yang terbalik sebelum karam selepas terlanggar tali kapal tongkang membawa balak di Ulu Sungai Anap,di sini, kelmarin, bagi membantu siasatan.
Lelaki berusia 58 tahun berasal dari Sibu itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung nahas bot ekspres yang mengakibatkan enam mati manakala lima lagi hilang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh berkata, lelaki terbabit direman untuk membantu siasatan.


“Jika terbukti kecuaian pemandu berkenaan, kemungkinan dia bakal didakwa mengikut Kanun Keseksaan atau Ordinan Sungai Sarawak.” katanya yang tidak memaklumkan tempoh reman dikenakan ke atas lelaki itu.

Pesawat Iran diboikot

TEHERAN: Iran semalam mengesahkan sesetengah syarikat enggan membekalkan minyak kepada pesawat penerbangan negaranya di lapangan terbang di Eropah dan akan bertindak balas jika keadaan itu berterusan.
Iran memperlekehkan sekatan antarabangsa ke atasnya yang dilancar Jun lalu dan menganggap berita mengenai penerbangannya menghadapi masalah untuk mengisi minyak di luar negara sebagai perang psikologi.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai perkara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast berkata, malangnya sesetengah syarikat Barat mengamalkan polisi yang tidak patut.


“Nasihat kami kepada kerajaan mereka supaya tidak bertindak di luar batasan dan resolusi haram itu,” kata beliau merujuk kepada sekatan baru PBB sebagai tekanan ke atas program nuklear Iran.

Syarikat Royal Dutch Shell antara yang pertama memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak untuk membekalkan minyak kepada penerbangan Iran Air.

Sejak itu syarikat lain turut menghentikan bekalan kepada penerbangan nasional Iran. - Reuters

Askar Zionis curi daripada Mavi Marmara dijel

BAITULMAQDIS: Tentera Israel memenjara seorang anggotanya kerana mencuri daripada kapal flotila bantuan dari Turki yang ditahan di luar perairan Gaza pada Mei lalu.
Jurucakap tentera berkata, anggota itu menerima hukuman penjara lima bulan kerana mencuri dua lensa kamera dan satu kompas dari kapal Mavi Marmara selepas ditunda ke pelabuhan Israel. Anggota tentera itu turut dikenakan denda dan diturunkan pangkat.

Kapal Mavi Marmara yang membawa aktivis pro-Palestin dan bantuan ke Gaza cuba melepasi sekatan Israel tetapi diserang tentera Yahudi hingga mengorbankan sembilan aktivis. - AP

Barangan curi RM1.6j dirampas

JEDDAH: Pihak berkuasa keselamatan Arab Saudi berjaya merampas barangan curi bernilai SR2 juta (RM1.6 juta) daripada sekumpulan pencuri warga Indonesia.
Kumpulan itu didakwa memecah masuk beberapa rumah pangsa di sekitar Jeddah dan mencuri barangan berkenaan.

Akhbar Okaz dan Saudi Gazette sebelum ini menyiarkan laporan mengenai kegiatan rompakan dan mendedahkan kumpulan samseng Indonesia itu yang diketuai oleh seorang lelaki bernama Nouri.

Pasukan polis yang diketuai oleh Pengarah Polis Jeddah, Mejar Jeneral Ali Al-Ghamdi bertindak mengawasi kegiatan anggota kumpulan terbabit.

Hasil pengawasan itu menunjukkan kumpulan samseng berkenaan menjadikan kediaman di daerah Al-Salama, khususnya rumah keluarga kaya, sebagai sasaran mereka. - Agensi

Anna aksi separuh bogel

ANNA Chapman.
ANNA Chapman.
MOSCOW: Perisik Russia, Anna Chapman dikatakan muncul dengan aksi separuh bogel untuk kulit sebuah majalah lelaki meniru raya aksi dalam filem James Bond.
Gambar yang menunjukkan Anna hanya memakai pakaian dalam sambil mengacukan pistol diterbitkan selepas Presiden Dmitry Medvedev menganugerahkan gelaran kehormat negara kepada perisik Russia yang terbabit dengan skandal perisikan dan diusir dari Amerika Syarikat (AS).

Sebagai kakitangan Perkhidmatan Perisik Luar Negara (SVR), tingkah-laku Anna sejak diusir dari AS pada Julai lalu bersama sembilan lagi perisikan Russia yang lain dikatakan amat berbeza.


Ia termasuklah ketika muncul berpakaian sempurna dalam majalah selebriti Russia dan kemunculannya secara misteri di pusat angkasa Baikonur awal bulan ini untuk menyaksikan angkasawan Russia dan AS berlepas ke angkasa.

Majalah lelaki Maxim yang memuat turun gambar terbaru Anna dalam laman webnya turut menjanjikan untuk menerbitkan temu bual Anna yang pertama sejak pendedahan identiti sebenarnya terbongkar dalam majalah itu yang akan diterbitkan esok.

Dalam gambar itu, Anna kelihatan seperti perempuan penggoda bersenjata pistol dengan memakai sarung tangan hitam hingga ke siku dan pakaian dalam merah.

“Tidak, anda tidak bermimpi dan mata anda tidak menipu. Perisik berambut merah itu bukan saja bergaya separuh bogel untuk majalah Maxim tetapi turut membuka mulut berbicara tentang lelaki, cinta dan rancangan dalam hidupnya,” lapor kenyataan dalam majalah itu.

“Anna sudah berjaya menyemarakkan semangat patriotisme di Russia melebihi kombinasi pasukan bola sepak kami dengan peluru berpandu Bulava,” lapor kenyataan itu lagi.

Prestasi pasukan bola sepak Russia mengalami kemerosotan, sementara peluru berpandu Bulava yang mampu membawa peledak nuklear pula gagal dalam beberapa ujian sebelum ini.

Pada Isnin lalu, Medvedev mengurniakan anugerah gelaran kehormat negara kepada perisik yang terbabit dengan skandal perisikan di AS dalam satu majlis di Kremlin.

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Anna antara yang menerima gelaran itu. - AFP

Dua penyamun toreh jari, ketuk kepala mangsa

AMPANG: Dua lelaki sanggup menoreh jari dan memukul kepala seorang wanita dengan topi keledar ketika merampas komputer riba milik mangsa yang berjalan sendirian untuk pulang ke rumahnya di Bukit Indah, di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa seorang pengurus jualan baru turun dari bas sebelum tersedar dua lelaki sedang memerhatikannya.

Menurut sumber, mangsa mula bimbang dengan tingkah laku pelik dua lelaki terbabit berjalan dengan pantas.


“Suspek menghampirinya dan menunjukkan pisau untuk menakutkan mangsa.

“Mangsa yang ketakutan melarikan diri dan seorang daripada mereka mengejarnya,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit menarik beg mengandungi komputer riba namun, mangsa melawan dan enggan memberikan beg berkenaan.

Kereta mewah stor simpan barang curi

SERDANG: Dua lelaki dikesan menjadikan kereta Mercedes Benz sebagai stor menyimpan barangan yang curi dari beberapa rumah di sekitar Sungai Besi Indah, di sini.
Suspek yang juga warga tempatan turut menjadikan kenderaan itu sebagai tempat penyimpanan peralatan canggih yang akan digunakan bagi mencuri kereta dan memecah masuk rumah.

Kegiatan mereka terbongkar selepas polis menemui peralatan memecah rumah dan beberapa barangan curi dalam sebuah kereta mewah dipandu seorang lelaki yang tiba-tiba meninggalkan kereta itu secara tergesa-gesa apabila didekati anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan itu.

Lelaki terbabit kemudian menaiki sebuah lagi kereta yang dipandu rakannya yang diletakkan bersebelahan untuk melarikan diri.


Dalam kejadian 4.30 pagi semalam itu, dua anggota polis, Lans Koperal Shamsuldalila Mohd dan Lans Koperal Mohd Zahir Mohd Zuki mengesyaki sesuatu apabila melihat dua kenderaan yang diletakkan bersebelahan di depan sebuah rumah di Sungai Besi Indah.

Ketua Polis Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata apabila dua anggotanya mendekati kereta berkenaan, suspek memecut laju melarikan diri dengan memasuki lebuh raya berdekatan.
“Mereka yang melarikan diri meninggalkan kereta mewah berkenaan di tepi jalan dengan keadaan enjin kereta masih hidup.

“Siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan adalah kereta curi kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu mendapati ia dilaporkan hilang di Cheras pada 7 Oktober.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, pihaknya menjumpai 15 set kunci kereta pelbagai jenis dan tiga set nombor pendaftaran palsu di dalam but kereta berkenaan. Polis juga menjumpai barangan berharga dan peralatan pecah rumah di dalam kereta berkenaan termasuk beberapa set kamera litar tertutup (CCTV).

Menurutnya, suspek juga dipercayai sudah lama menjalankan kegiatan pecah rumah dan curi kereta di kawasan itu berdasarkan penemuan peralatan itu.

Sorok 10 tin susu dalam baju

PETALING JAYA: Sukar dipercayai apabila seorang wanita yang mencuri di pasar raya di Sungai Plong di sini, mampu menyumbat 10 tin susu tepung bayi di dalam pakaian apabila menyamar sebagai wanita mengandung ketika memasuki premis itu, malam kelmarin.
Suspek berusia 30-an itu didakwa mempunyai kebolehan luar biasa apabila mampu menyusun tin susu seberat hampir 10 kilogram berkenaan di dalam pakaiannya yang diubah suai bagi tujuan melakukan jenayah berkenaan.

Bagaimanapun, suspek yang bergerak secara berkumpulan itu melarikan diri selepas pemilik pasar raya itu yang cuba menahannya disembur cecair dipercayai bahan kimia pemedih mata.


Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek warga tempatan itu sebelum ini dikesan muncul di pasar raya di Sungai Plong, Sungai Buloh.

Menurutnya, suspek yang menaiki kereta memasuki premis berkenaan bersendirian kira-kira jam 8 malam dengan berpura-pura menyamar sebagai pelanggan yang sarat mengandung.

“Bagaimanapun pakaian yang dipakai seolah-olah baju wanita mengandung itu hanyalah topeng bagi mengaburi pemilik pasar raya yang ketika itu berada di kaunter pembayaran.

“Suspek mengambil 10 tin susu bayi sebelum memasukkannya ke dalam pakaiannya. Difahamkan, suspek memasukkan 10 tin susu seberat kira-kira 900 gram setiap satu,” katanya.

Menurutnya, suspek dengan selamba berjalan keluar dari premis itu tanpa membuat sebarang pembayaran di kaunter.

“Namun, gerak geri mencurigakan suspek diperhatikan pemilik pasar raya itu sebelum dia meluru keluar untuk mengejarnya.

“Menyedari dikejar, suspek melarikan diri bersama tin susu yang diselitkan di dalam pakaiannya. Namun, belum sempat pemilik berkenaan menangkap suspek, seorang wanita lain dipercayai rakan suspek muncul sebelum menyemburkan cecair ke arah muka mangsa,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan mata mangsa pedih dan gagal melihat untuk tempoh beberapa minit.

“Kesempatan itu membolehkan suspek dan rakannya itu melarikan diri dengan menaiki kereta. Polis percaya, rakan suspek menunggu di luar premis bagi melindungi suspek dengan bersenjatakan alat pemedih mata.

“Polis masih menyiasat kes terbabit dengan terperinci dan yakin kes berkenaan mampu diselesaikan. Siasatan terhadap kes terbabit akan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan berhubung kes curi terbabit dipercayai turut dilakukan suspek di beberapa premis lain.

Pekerja kilang dipenjara sebabkan kematian anak teman wanita

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kilang kayu getah dipenjara empat tahun dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan yang merupakan anak teman wanitanya dua tahun lalu.
Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tey Kian Min, 29, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Tey didakwa memukul kanak-kanak berumur lima tahun itu di rumah beralamat No 14, Jalan 7/17, Taman Padason Off Kepong di sini pada 10 malam 19 Februari 2008.

Terdahulu peguam N Subramaniam yang mewakili Tey memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan keran Tey perlu menyara tiga anak serta ibu bapanya yang sedang uzur di Segamat, Johor.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Tey memukul kanak-kanak itu menggunakan rotan di ruang tamu tingkat bawah rumah itu sebelum membawanya ke tingkat atas dan terus memukulnya menggunakan tali pingang.

Kanak-kanak itu meninggal dunia di Hospital Selayang pada 20 Feb 2008.

Peragut baru keluar penjara tidak serik

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang baru sebulan keluar penjara atas kesalahan menyamun sebelum ini ternyata tidak pernah insaf apabila kembali melakukan perbuatan jenayah dengan meragut beg tangan seorang wanita, Ahad lalu.
Bagaimanapun, nasib sekali lagi tidak menyebelahinya apabila dia ditahan polis dalam tempoh 48 jam selepas melakukan kegiatan terkutuk itu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi Ahad lalu ketika seorang wanita berusia 39 tahun yang menunggang sebuah motosikal berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Melati, Dungun.

"Ketika berhenti di persimpangan berkenaan, tiba-tiba muncul sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki meragut beg tangan wanita berkenaan yang bekerja di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun.

"Tersentak dengan insiden itu, wanita berkenaan cuba mengejar suspek namun gagal," katanya.

Beliau berkata, wanita itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Dungun kira-kira sejam selepas kejadian.
Katanya, dua hari kemudian, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Nibong Stesen, Bukit Catak, Dungun dan berjaya menahan suspek.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya menemui semula beg tangan wanita berkenaan bersama kad pengenalannya, bagaimanapun wang tunai RM200 dan telefon bimbitnya gagal ditemui.

"Lebih mengejutkan, siasatan ke atas lelaki berusia 24 tahun itu mendapati dia baru saja sebulan dibebaskan dari penjara atas kesalahan meragut," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

115 ekor Bayan dirampas di Serdang Raya

SHAH ALAM: Sejumlah 115 ekor burung yang kebanyakannya dari spesies bayan tempatan dirampas dari seorang pemilik di sebuah rumah di Serdang Raya, malam tadi.
Antara yang dirampas ialah 64 ekor bayan kecil, 33 bayan puting, tujuh bayan nuri dan dua merbah telinga merah.

Pengarah Jabatan Perhilitan Selangor, Rahmat Topani berkata, seorang lelaki berusia 40 yang memiliki mergastua itu tanpa kebenaran sudah ditahan dan dibebaskan kemudian dengan jaminan polis sehingga 3 November ini.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda RM3,000 bagi setiap spesies yang dipeliharanya atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dia juga didapati memiliki beberapa spesies mergastua yang berasal dari luar negara yang antaranya tiga anak burung San Conure (Aratinga solstitialis) dan seekor anak burung African Gray Parrot (Psittacus erithacus).

Untuk kesalahan ini, lelaki terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen 12 (aa) Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 bagi setiap haiwan itu atau dipenjarakan maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, kata Rahmat.

Jumlah mangsa kemalangan bot di Bintulu meningkat kepada 13 orang

BINTULU: Tujuh lagi mayat ditemui hari ini, menjadikan jumlah mangsa kemalangan bot di Ulu Anap pada Isnin lepas meningkat kepada 13 orang.
Ketua Polis Daerah Bintulu, DSP Wan Zaizodin Wan Jaafar berkata, sebahagian daripada mayat itu ditemui kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Mohmad Salleh berkata, sukar untuk menentukan jumlah sebenar penumpang yang menaiki bot ekspres "Liang Yu" itu yang kerap kali mengambil dan menurunkan penumpang sebelum kemalangan berlaku.

Operasi mencari penumpang yang hilang dalam tragedi berkenaan disambung semula pada 6.30 pagi ini, membabitkan 74 anggota daripada pasukan polis, Lembaga Sungai-sungai Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan Pejabat Daerah Tatau, menggunakan lapan bot serta dua jet ski.-Bernama

Gelagat pencuri dirakam CCTV




SUNGAI PINANG – Sepatutnya pada waktu berkenaan umat Islam sudah mula berpusu-pusu menuju ke masjid menunaikan solat Subuh, namun dua lelaki ini pula sanggup melakukan kegiatan jenayah dengan cuba memecahkan kereta orang awam. 

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 pagi di Perumahan Pinang Court itu tidak disedari penduduk kerana berlaku pada awal pagi. 

Jurucakap perumahan Pinang Court berkata, ia adalah kejadian kali kedua selepas tiga kereta dipecahkan oleh dua individu yang tidak bertanggungjawab dan dipercayai mahu mencuri barangan di dalam kereta tersebut. 

Menurutnya, kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakamkan pergerakan dua pemuda tersebut yang membuat rondaan dengan motosikalnya beberapa kali di dalam kawasan letak kereta Pinang Court. 

“Kami berjaya rakamkan gambar mereka dan sudah pun menyerahkan kepada polis, tetapi sehingga kini kami masih belum menerima sebarang maklumat terbaru daripada polis dan selagi itu kami akan tunggu. 

“Sememangnya pihak perumahan dan juga pihak keselamatan tidak dapat membuat rondaan sepenuhnya pada setiap saat tetapi kami sentiasa berjaga-jaga dengan memasang CCTV, dan akhirnya berjaya juga merakamkan gambar penjenayah,” katanya ketika dihubungi skuad Sinar Harian. 

Penduduk, Mohd Ghani Salleh berkata, beliau sendiri yang duduk berdekatan dengan kereta tersebut tidak sedar dengan kejadian berkenaan kerana pada waktu itu sudah ramai penduduk yang bersiap-siap untuk bekerja. 

Menurutnya, beliau percaya pencuri berkenaan mahu mengambil alat permainan cakera padat (DVD) yang berada di dalam Kereta Proton Wira tersebut. 

“Mereka pecahkan bahagian tepi tingkap kereta dan kemudiannya pemain DVD itu berada di belakang, mungkin ternampak orang mereka tidak sempat mahu mengambilnya. 

“Saya nasihatkan supaya penduduk berhati-hati dan jangan terlalu yakin meletakkan barangan yang bernilai di dalam kereta, tambahan pula kalau ada yang nampak sudah pasti mereka sanggup pecahkan kereta kita,” katanya. 

Pihak perumahan juga meminta kerjasama penduduk supaya menyimpan barangan bernilai di rumah berbanding dengan meletakkan di dalam kereta. 

Ia berikutan bimbang ada penduduk yang salah faham dengan tugas pegawai keselamatan dan juga pihak perumahan yang akan dikatakan tidak menjaga tahap keselamatan dengan baik. 

Dalam masa yang sama pihak perumahan Pinang Court juga memohon polis mengambil perhatian dengan laporan yang dibuat mereka.

Cecair Maut




KOTA DAMANSARA – Malang tidak berbau dan ibu bapa perlu lebih peka. Mungkin itulah pengajaran terbaik boleh diambil daripada insiden yang dialami seorang datuk. 

Keprihatinannya berjaya menyelamatkan cucunya yang baru berusia tiga tahun itu daripada maut. 

Semuanya, gara-gara sejenis cecair dipercayai 'permainan' yang dibeli cucunya di sebuah kedai runcit di sini. 

P. Parameswaran, 51, berkata, permainan pelik yang dibeli cucunya itu amat menarik perhatian khususnya kanak-kanak kerana cecair tersebut dibungkus dalam bungkusan plastik berbentuk telur dengan harga semurah 50 sen. 

Dia bawa pulang ke rumah dan hampir mahu menelan cecair itu, saya curiga lalu menahannya bila saya periksa plastik bungkusan cecair itu tertera perkataan ‘tidak boleh dimakan’,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam. 

Menurutnya, dia sendiri tidak faham apakah permainan dimaksudkan cucunya itu kerana bungkusan tersebut hanya cecair berwarna hijau semata-mata dengan segumpal getah seolah-olah ’hadiah sampingan’ berada di dalam cecair tersebut. 

“Ini jelas satu penganiayaan kerana pengeluar produk itu menjual barangan merbahaya dan berisiko kerana kanak-kanak tidak tahu membaca dan memahami lagi amaran yang diletakkan apatah lagi ianya di dalam bahasa Inggeris,” katanya kesal. 

Tinjauan Sinar Harian ke kedai runcit terbabit mendapati, barangan permainan itu dikilangkan oleh sebuah syarikat yang beroperasi di Seberang Perai, Pulau Pinang. 

Ketika ditanya, pemilik kedai runcit itu mengakui tidak tahu menahu mengenai barangan yang dijual dan setelah menyedari akan bahayanya kepada kanak-kanak akhirnya dia mengambil keputusan menarik balik jualan ‘permainan’ tersebut serta merta. 

Katanya, permainan sama turut dijual di beberapa kedai runcit lain di sekitar kawasan itu. 

Polis marin rampas 110 kotak mercun bernilai RM66,000



PELABUHAN KLANG -- Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang merampas 110 kotak mercun buatan China bernilai RM66,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kapar, Klang malam semalam.

Pegawai Memerintah Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang DSP Norzaid Muhammad Said berkata hasil maklumat orang ramai sepasukan enam polis marin di ketuai Cif Inspektor Sarebjit Singh menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Saga, Kapar pada pukul 9.20 malam.

Norzaid berkata tiada tangkapan dibuat dan mercun-mercun itu diletakkan di dalam sebuah bilik dan keadaan keseluruhan rumah itu berselerak seperti tidak dihuni oleh sesiapa.

"Kita akan kesan pemilik rumah itu bagi siasatan lanjut," katanya lagi. Kesemua mercun yang dirampas itu telah dibawa ke markas operasi pasukan polis marin dan kes ini disiasat di bawah Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, kata beliau.

Beliau berkata pihaknya sedang menyiasat dari mana mercun-mercun itu dibawa masuk dan dipercayai untuk dijual sempena beberapa perayaan pada penghujung tahun ini seperti Deepavali, Krismas dan Hari Tahun Baru.

Norzaid juga berkata setakat 15 Oktober tahun ini pihaknya telah menahan 244 orang pendatang asing tanpa izin dari India, Indonesia, Bangladesh, Afghanistan dan Nigeria.

Gara-gara bergaduh adik-beradik, dua buah rumah terbakar di Alor Setar


ALOR SETAR - Gara-gara bergaduh adik-beradik, dua buah rumah dan sebuah kereta terbakar di Kampung Seberang Perak di sini, malam tadi.

Kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan seorang pemuda sakit mental yang sebelum itu dikatakan bergaduh dengan adiknya dan mengugut untuk membakar rumah mereka.

Ibu mereka Khua Ai Git, 56, berkata, pergaduhan tersebut bermula 4 petang semalam, antara si abang Tan Chee Leng, 32, dan seorang adik lelakinya.

"Saya terpaksa buat laporan di balai polis kerana saya bimbang Chee Leng ada sakit mental. Saya risau Chee Leng akan buat seperti yang dia ugut (bakar rumah).

"Selepas buat laporan, anggota polis ada pergi rumah saya dan saya terus berada di balai polis kerana bimbang pulang ke rumah," katanya.

Namun pada pukul 8 malam, Khua berkata, beliau dihubungi adiknya yang memberitahu rumahnya dan sebuah rumah jiran sudah terbakar.

"Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang kerana semasa saya sampai di rumah, api sudah kuat dan sebuah kereta di hadapan rumah saya juga terbakar," katanya.

Pihak polis belum memberi butiran mengenai kejadian tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Idris Mydin berkata, pihaknya menjumpai dua botol cecair yang tidak berlabel di tempat kejadian.

"Namun kita akan mengenal pasti cecair tersebut dan punca sebenar kejadian.

Setakat ini kita percaya api disebabkan daripada cecair yang dicurahkan itu," katanya.

Beliau berkata, bomba menghantar dua buah jentera beserta 24 anggota untuk memadam kebakaran dengan turut dibantu pasukan bomba sukarela.

Pesakit mental tersebut dikatakan telah menghilangkan diri.

Vietnam dilanda banjir: 41 maut




HANOI – Sekurang-kurangnya 41 maut dan 15 lagi hilang dalam kejadian banjir kilat yang melanda tiga wilayah di Nghe An, Quang Binh dan Ha Tinh, semalam. 

Ketua Polis Hanoi, Pham Quoc Cuong melaporkan, Ha Tinh adalah wilayah yang paling teruk terjejas, di mana sebuah bas yang membawa hampir 40 penumpang hanyut di lebuh raya utama utara-selatan negara itu, kelmarin. 

Menurutnya, pasukan khas turut dihantar untuk membantu mencari mangsa menggunakan bot khas untuk mencari bom dan lombong lama digunakan untuk mencari bas yang hanyut itu tetapi masih gagal dikesan. 

“Bas tersebut mungkin membawa antara 33 hingga 37 penumpang dan hanya 18 berjaya diselamatkan. 

“Akan tetapi, kami belum dapat mengesan lokasi sebenar bas tersebut kerana arus yang deras dan kuat menyukarkan pencarian kami,” katanya. 

Pengerusi kerajaan wilayah Ha Tinh, Vo Kim Cu melaporkan hampir 150,000 rumah musnah akibat banjir kilat dan bekalan kecemasan seperti makanan, dan jaket keselamatan sudah dihantar ke kawasan yang terjejas.

Penyamun kempunan




SERDANG – Naib malang si penyamun. Sudahlah niat melakukan jenayah pecah rumah di Taman Sungai Besi di sini gagal kerana terlebih dahulu dihidu polis, penyamun terbabit juga berputih mata selepas kenderaan mewah yang ditinggalkan ketika melarikan diri dirampas. 

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi, dua suspek terbabit suspek terbabit sempat melarikan diri ke lebuh raya berdekatan dan meninggalkan sebuah kereta mewah terbabit. 

Ketua Polis Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, dua anggotanya yang menjalankan rondaan di kawasan perumahan di Jalan 1/2B di sini mencurigai tindak-tanduk dua lelaki yang berada dalam sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna hitam. 

Katanya, kereta berkenaan diletakkan bersebelahan sebuah kereta jenis Mercedes Benz berwarna biru gelap yang didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu. 

“Menyedari kehadiran kedua-dua anggota peronda yang menaiki motosikal itu, suspek bertindak melarikan diri ke arah lebuh raya berdekatan. 

“Anggota kemudian kembali ke tempat kereta mewah itu diletakkan dan menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan tidak berkunci itu,” katanya. 

Abd Razak berkata, pemeriksaan dalam kenderaan menemukan polis set lengkap peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan dan pecah rumah. 

“Kami turut menjumpai 15 set kunci kenderaan, master key dan tiga plat nombor pendaftaran disyaki palsu dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan curi kenderaan 

“Semakan ke atas rekod kenderaan mendapati ia dilaporkan hilang di Cheras pada 7 Oktober lalu dan didaftarkan atas sebuah nama syarikat perniagaan,” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya kini giat memburu kedua-dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

Melaka dilanda jerebu teruk



BANDARAYA MELAKA – Persekitaran Melaka semalam, dilanda jerebu apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat paras 74 di sekitar Bandaraya Melaka setakat jam 5 petang. 

Sementara di kawasan Bukit Rambai, IPU mencatat bacaan 73. 

Paras berkenaan meletakkan indeks udara berada di paras sederhana dan agak tidak baik untuk mereka yang mengalami penyakit berkaitan pernafasan, warga tua serta kanak-kanak. 

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Abd Hafiz A Samad ketika dihubungi berkata, keadaan berjerebu disebabkan kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia. 

“Keadaan cuaca kering dan tidak terdapat hujan juga menyumbang kepada peningkatan IPU. 

“Setakat ini kawasan Johor terutama di Muar juga terjejas teruk apabila bacaan IPU mencecah paras 122 iaitu di paras ‘tidak sihat’, katanya. 

Menurutnya, jika kebakaran hutan di seberang tidak dikawal, maka keadaan itu akan berlarutan hingga hujung bulan jika Melaka tidak menerima hujan. 

“Cuaca kering yang terjadi di kebanyakan negeri di Malaysia disebabkan kuasa yang menyedut air dan wap ke kawasan berlakunya taufan ‘megi’ di Filipina ketika ini. 

“Oleh yang demikian, negara kita termasuk Melaka kekurangan hujan dan dengan kejadian jerebu ini, kemungkinan IPU akan kekal atau naik bergantung juga kepada keadaan angin,” katanya. 

Semalam, keseluruhan negeri ini diselubungi jerebu teruk sehingga mencatat kadar pemandangan sehingga enam hingga tujuh kilometer, sekali gus kepada mereka yang berisiko diminta mengurangkan aktiviti di luar rumah.

200,000 CD, DVD dirampas



JOHOR BAHRU – Lebih 200,000 keping cakera padat (CD) dan cakera padat digital (DVD) permainan video komputer cetak rompak bernilai kira-kira RM800,000 disita di salah sebuah bangunan kedai dua tingkat di Taman Universiti, di sini, kelmarin. 

Serbuan Gerak Gempur Cetak Rompak dan Barang Tiruan (GGCR) yang bermula sekitar jam 5 petang berakhir 3 pagi itu disertai oleh sepasukan 10 anggota Bahagian Penguatkuasaan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor. 

Ketua Pegawai Penguatkuasaan negeri, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, serbuan itu dilakukan ke atas sebuah premis perniagaan menjual barangan komputer yang disyaki menyimpan bahan cetak rompak cakera optik tanpa dilekatkan label tulen. 

Menurutnya, serbuan itu dijalankan hasil maklumat orang awam yang diterima oleh pihaknya diikuti risikan oleh pegawai risikan cawangan sejak tiga minggu lalu untuk memastikan dakwaan berkenaan benar. 

“Apabila pasukan ini memasuki premis ini, dua pekerja lelaki lingkungan usia 20-an ditahan bagi membantu siasatan dijalankan.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati premis terbabit menyimpan pelbagai CD dan DVD permainan video komputer yang disimpan di stor penyimpanan di tingkat atas kedai berkenaan sekali gus menjadikan serbuan dijalankan merupakan jumlah nilai rampasan terbesar setakat ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di Menara Ansar, di sini, semalam.

Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan barangan itu disyaki dibawa dari luar negeri ini untuk edaran di merata tempat khususnya premis perniagaan yang menjual aksesori komputer.

“Dengan tindakan yang diambil menerusi serbuan GGCR, kita percaya dapat melumpuhkan sebahagian pengedaran barangan cetak rompak di Johor malah akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti tuan punya premis tersebut,” katanya.

Katanya, serbuan sama juga akan diteruskan dari masa ke semasa selaras dengan perancangan KPDNKK Johor untuk membersihkan Johor Bahru daripada pen jualan cakera optik cetak rompak.

“Tindakan ini juga adalah berasaskan GGCR oleh KPDNKK Malaysia yang sudah dilancarkan pada 10 Mei lalu dan kami akan terus menjalankan tindakan sama ke atas mana-mana premis penjualan bahan cetak rompak serta barangan tiruan dari masa ke semasa.

“Justeru, saya ingin menasihatkan peniaga supaya tidak menjual cetak rompak dan barangan tiruan di premis masing-masing kerana KPDNKK Johor tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Abdul Halim berkata, pengguna turut disarankan supaya tidak membeli barangan tiruan dan cetak rompak seterusnya berhati-hati dalam membuat pembelian di pasaran sekali gus tidak terpedaya dengan jenama.

Selain itu, katanya, semua barangan yang disita mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010 untuk siasatan lanjut.

“Pemilik premis terbabit boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya terbukti melakukan kesalahan mengikut akta ini,” katanya.

Dalam pertemuan sama, katanya, sebanyak 101 kes dengan jumlah rampasan RM984,385 sudah berjaya pihaknya selesaikan mengikut Akta Hak Cipta 2010, manakala 150 kes rampasan berjumlah RM1.4 juta berdasarkan Akta Perihal Dagangan 1972 sepanjang tempoh bulan Januari hingga 31 September lalu.

Pemandu lori ditahan disyaki merogol anak kandungnya



SEREMBAN - Seorang pemandu lori ditahan polis di rumahnya dekat sini, semalam, kerana disyaki merogol anak perempuan kandungnya, seorang remaja berumur 14 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, suspek 30an dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu berulang kali sejak setahun lalu.

Sepasang kekasih ditahan disyaki terbabit kegiatan cetak DVD lucah


KUALA LUMPUR - Polis menahan sepasang kekasih kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membuat salinan DVD lucah di kediaman mereka di Taman Pinggiran Putra dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Abdul Razak Elias berkata, lelaki berusia 30 tahun dan pasangannya yang berumur 32 tahun itu ditahan pada pukul 4.15 petang atas maklumat penduduk di kawasan itu.

"Maklumat awal yang kami peroleh ialah jiran-jirannya mendakwa pasangan kekasih itu melakukan kegiatan dadah namun apabila diserbu, kami temui 395 keping DVD lucah, 600 keping DVD kosong, satu set komputer dan tujuh 'burner'," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat daerah (IPD) Serdang di sini, hari ini.

Beliau berkata, pasangan itu menjadikan kediaman mereka sebagai tempat memproses DVD lucah sebelum diedar ke pasar malam di bahagian utara negara.

"Sekeping DVD dianggar bernilai antara RM15 dan RM20. Anggaran kesemua rampasan termasuk DVD kosong, set komputer dan burner ialah RM10,000,"katanya. 

Abdul Razak berkata, pemeriksaan awal mendapati lelaki dari Perak itu tamat pengajian Kejuruteraan Komputer dari sebuah institusi di Jepun kira-kira empat bulan lepas.

"Lelaki itu belajar di sana selama enam bulan dengan ditaja oleh abangnya yang tinggal di Perak dan dipercayai juga terbabit dalam kegiatan ini manakala pasangannya yang berasal dari Kelantan tidak bekerja," katanya.

Beliau berkata, polis percaya mereka melakukan kegiatan itu sejak mula menginap di kawasan berkenaan kira-kira empat bulan lepas.

Pasangan itu juga positif dadah jenis Methaphetamine dan wanita itumempunyai satu rekod jenayah lampau iaitu penagih dadah. 

Kedua-duanya ditahan reman selama empat hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.-Bernama

Mayat mangsa lemas di Lubuk Mat Anjing ditemui terapung



KUALA KANGSAR – Mayat mangsa lemas di Lubuk Mat Anjing Ahad lalu, ditemui terapung di bawah jambatan Sultan Azlan Shah.

Rela bunuh diri gagal bayar hutang ah long



KUALA LUMPUR – Sebuah keluarga sanggup membuat keputusan membunuh diri kerana tidak mampu membayar hutang ah long selepas menjadi mangsa sindiket pemilikan harta pusaka bernilai jutaan ringgit. 

Bukan itu saja, malah ada seorang mangsa yang berpendidikan tinggi menanggung kerugian hampir RM100,000 akibat terpengaruh dengan sindiket terbabit. 

Sindiket licik ini kebanyakannya menggunakan kepakaran pujuk rayu seorang wanita yang mendakwa berasal dari United Kingdom, untuk menjerat mangsanya. 

Akibatnya, dalam tempoh Januari sehingga kini, sebanyak enam laporan diterima Biro Pengaduan Awam (BPA), membabitkan kerugian mencecah RM1 juta. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah berkata, wanita terbabit akan menghubungi mangsa melalui telefon dan emel bagi memaklumkan mangsa adalah pewaris harta pusaka di luar negara. 

“Sebelum itu, wanita itu: berpura-pura baik dan menjalin cinta dengan niat untuk memasang jerat. Semua itu berlaku dalam tempoh sekurang-kurangnya empat bulan. 

“Bila sudah terpedaya, mangsa sanggup memasukkan sejumlah wang dalam akaun sindiket bagi membolehkan mereka mendapatkan dokumen wasiat, kiriman wang ringgit dan sebagainya, bernilai jutaan ringgit,” katanya di Ibu Pejabat MIC di sini, semalam. 

Murugiah berkata, mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun wanita itu, sebagai kos penghantaran, malah dipaksa membayar hampir RM70,000 untuk menuntut dokumen hartanah yang disekat Kastam Diraja Malaysia (KDRM). 

“Selepas bayaran dilakukan, wakil penghantar dan wanita terbabit menghilangkan diri serta gagal dihubungi,” katanya.

Lelaki hidap sakit kronik bakar diri




TEMERLOH – Seorang lelaki yang menghidap penyakit kronik ditemui mati dipercayai membakar diri sendiri dekat Kampung Baru Cina Temerloh, kira-kira jam 9.30 pagi, semalam. 

Mayat Tan Chee Keong, 53, yang menghidap Parkinson dan sakit jantung ditemui orang awam hampir rentung berhampiran gelanggang bola keranjang. 

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Deputi Superintendan R Sundralingam berkata, turut ditemui berhampiran mayat adalah tong plastik dipercayai digunakan untuk mengisi bahan bakar. 

Menurutnya, mangsa sebelum ini pernah memberitahu jiran dan rakan-rakan untuk membunuh diri kerana tidak tahan dengan penyakit dihidapi. 

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di tempat kejadian, semalam. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKB) Kampung Baru, Tan Say Cheong berkata, beberapa saksi dan penduduk kampung terserempak dengan mangsa pagi semalam ketika hendak bersarapan. 

Menurutnya, mangsa keluar minum seawal jam 7 pagi di sebuah restoran berhampiran kampung terbabit. 

“Ada saksi nampak mangsa membawa tong plastik dan berjalan pulang. Tidak lama kemudian ada saksi nampak kepulan asap berhampiran gelanggang bola keranjang kira-kira 50 meter dari rumah mangsa. 

“Disebabkan tidak menaruh sebarang syak, beberapa penduduk yang melihat kepulan asap itu menganggap ia asap bakar sampah dan tidak menghiraukannya. Tidak lama kemudian ada penduduk yang ke tempat kejadian, ternampak mayat mangsa dalam keadaan terlentang dengan lebih 50 peratus badannya melecur terbakar,” katanya. 

Say Cheong berkata, mangsa yang telah lama menanggung derita sakit kronik, mempunyai seorang anak kurang upaya dan tinggal bersama ibunya berusia 80 tahun, manakala isterinya bekerja di Singapura.