Search This Blog

Tuesday, October 19, 2010

Rangka kes bunuh di temui di Semenyih


KAJANG -- Polis menemui rangka manusia tertanam di sebuah kebun kelapa sawit dekat Bukit Broga, Semenyih malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Shakarudin Che Mood berkata penemuan itu adalah ekoran pengakuan seorang suspek kes pembunuhan yang kemudian menunjukkan kepada polis tempat dia menanam mayat mangsa.

"Suspek yang berumur sekitar 30-an itu membawa polis ke satu lokasi berdekatan dengan kawasan perkuburan Cina dan setelah digali satu rangka manusia yang masih ada sedikit cebisan tisu ditemui.... namun belum dapat dipastikan sudah berapa lama mangsa mati," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Shakarudin berkata suspek turut menunjukkan lokasi sebuah kereta yang hangus dibakar, yang dipercayai milik mangsa kira-kira 3 km dari tempat mayat mangsa ditemui.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan rangka manusia tersebut milik individu berprofil tinggi namun beliau enggan mengulas lanjut dan katanya ia sedang disiasat.

"Kita tidak tolak kemungkinan ia kes berprofil tinggi tetapi kita kata kemungkinan.. tunggu sahaja keputusan bedah siasat dan ujian asid
deoksiribonukleik (DNA) nanti baru kita tahu identiti sebenar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata suspek lelaki itu ditahan baru-baru ini oleh pihak polis di tempat lain dan hasil pemeriksaan mendapati dia merupakan penjenayah dikehendaki di daerah Kajang dan kemudian diserahkan kepada IPD Kajang untuk siasatan. -- BERNAMA

Pelajar Nigeria ditahan memiliki heroin RM160,000



19/10/2010 5:05pm

KUALA LUMPUR - Perbuatan seorang lelaki warga Nigeria yang berselindung di sebalik status pelajar di sebuah kolej swasta di sini untuk mengedar dadah akhirnya terbongkar apabila ditahan bersama 700gm heroin bernilai RM160,000 di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang pada 12 Okt lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ACP Kang Chez Chiang berkata, lelaki berusia 28 tahun itu, yang dipercayai anggota sindiket dadah antarabangsa menyimpan heroin tersebut di celahan beg galasnya.
"Dadah itu dibungkus dengan tebal menggunakan kertas karbon, span dan aluminium bagi mengelakkan dari dikesan apabila diimbas,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki yang belum berumahtangga itu merupakan pelajar jurusan perniagaan di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur yang telah tinggal di sini sejak tahun lepas.
Katanya, ketika ditanya, lelaki itu berkata hendak ke China dan sedang menunggu rakannya namun apabila diperiksa lelaki itu tidak mempunyai tiket penerbangan. - Bernama

Rumah papan musnah terbakar


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran sebuah rumah papan di Kampung Tabuan Melayu, Kuching, Sarawak, semalam.


KUCHING 18 Okt. - Sebuah rumah papan musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Tabuan Melayu, di sini hari ini. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Eddy Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.59 tengah hari sebelum jentera pertama tiba pada pukul 1.05 petang.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, api telah marak memandangkan rumah terbabit diperbuat daripada kayu yang mudah terbakar.
"Bagaimanapun, pihak bomba berjaya mengawal api dalam tempoh enam minit, malah memastikan kebakaran tidak merebak ke rumah yang berhampiran.
"Pada mulanya, operasi memadam kebakaran mengalami kesukaran ekoran tekanan air rendah, namun bomba mendapatkan bantuan Lembaga Air Kuching bagi memastikan tekanan air adalah kuat dalam usaha memadam kebakaran," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Katanya, seramai 15 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi memadam kebakaran di samping bantuan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya.
Eddy memberitahu, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, pemilik rumah terbabit, Bolhasan Masit, 47, berkata, dia sedang berada di rumah jirannya sebelum ternampak asap tebal menyelubungi kawasan rumahnya.
Bolhasan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kuching No. 2 memberitahu, dia bergegas ke rumahnya untuk memastikan bahawa anak-anaknya tiada di rumah ketika kejadian itu.
"Saya sempat meninjau keadaan dalam rumah kerana khuatir anak-anak saya berada di dalamnya. Alhamdulillah, mereka tiada di dalam rumah ketika itu kerana masih bersekolah," katanya.
Katanya, pada masa ini, dia dan keluarganya terpaksa menumpang di rumah saudara-mara memandangkan mereka kini hanya tinggal sehelai sepinggang.

Empat maut, 19 hilang nahas bot ekspres


KUCHING 18 Okt. - Empat maut manakala 19 lagi dipercayai hilang apabila sebuah bot ekspres merempuh kapal tunda sebelum terbalik dalam satu kejadian yang berlaku di hulu Sungai Anap, Tatau dekat Bintulu petang ini.
Kejadian yang merupakan paling buruk pada tahun ini juga menyaksikan tujuh orang lagi penumpang terselamat setelah berjaya keluar daripada bot yang sedang karam.
Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Supritendan Wan Zaizoddin Wan Jaafar berkata, mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemui terapung sejurus selepas kejadian manakala tiga lagi mayat ditemui dalam bot setelah kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa dilakukan.
"Pihak kami sedang giat melakukan kerja-kerja menyelamat dan berharap lebih ramai mangsa yang masih hidup ditemui walaupun hari semakin gelap," katanya di sini malam ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kejadian tersebut kerana ia masih dalam siasatan.
Utusan Malaysia difahamkan, kebanyakan penumpang wanita dipercayai membawa anak-anak untuk mendapat pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan di Tatau.
Dalam pada itu, seorang mangsa yang terselamat, Silo Gerenang, 48, dari Rumah Panjang Polik, Nanga Rungan, Kakus berkata, ketika kejadian, bot ekspres berkenaan dipercayai dinaiki oleh kira-kira 30 penumpang termasuk wanita dan kanak-kanak.
Katanya, bot ekspres itu sedang dalam perjalanan dari Pekan Tatau menuju ke hulu Kakus selepas berlepas pada pukul 1.30 petang.
"Nahas yang berlaku pada pukul 2.30 petang itu berlaku setelah bot ekspres tersebut dipercayai cuba memintas tongkang balak tanpa muatan yang sedang ditunda sebelum bergesel lalu terbalik dan karam," katanya.
Sementara itu, Ketua Pasukan Gerakan Marin (PGM) Sarawak, Asisten Komisioner Taib Sabot yang dihubungi berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang giat dilakukan.
Katanya, setakat pukul 6.30 petang ini, usaha mencari dan menyelamat dilakukan oleh pasukan PGM dengan bantuan pasukan Polis Gerakan Am (PGA) serta penduduk tempatan walaupun pada waktu gelap.
"Kita akan menghantar enam anggota penyelam kita ke tempat kejadian esok dengan menggunakan sebuah helikopter pada pukul 9 pagi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat," katanya.
Taib menambah, mayat serta mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan dan juga tindakan lanjut.

Cecair Maut

KOTA DAMANSARA – Malang tidak berbau dan ibu bapa perlu lebih peka. Mungkin itulah pengajaran terbaik boleh diambil daripada insiden yang dialami seorang datuk.

Keprihatinannya berjaya menyelamatkan cucunya yang baru berusia tiga tahun itu daripada maut.

Semuanya, gara-gara sejenis cecair dipercayai 'permainan' yang dibeli cucunya di sebuah kedai runcit di sini.

P. Parameswaran, 51, berkata, permainan pelik yang dibeli cucunya itu amat menarik perhatian khususnya kanak-kanak kerana cecair tersebut dibungkus dalam bungkusan plastik berbentuk telur dengan harga semurah 50 sen.

Dia bawa pulang ke rumah dan hampir mahu menelan cecair itu, saya curiga lalu menahannya bila saya periksa plastik bungkusan cecair itu tertera perkataan ‘tidak boleh dimakan’,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dia sendiri tidak faham apakah permainan dimaksudkan cucunya itu kerana bungkusan tersebut hanya cecair berwarna hijau semata-mata dengan segumpal getah seolah-olah ’hadiah sampingan’ berada di dalam cecair tersebut.

“Ini jelas satu penganiayaan kerana pengeluar produk itu menjual barangan merbahaya dan berisiko kerana kanak-kanak tidak tahu membaca dan memahami lagi amaran yang diletakkan apatah lagi ianya di dalam bahasa Inggeris,” katanya kesal.

Tinjauan Sinar Harian ke kedai runcit terbabit mendapati, barangan permainan itu dikilangkan oleh sebuah syarikat yang beroperasi di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Ketika ditanya, pemilik kedai runcit itu mengakui tidak tahu menahu mengenai barangan yang dijual dan setelah menyedari akan bahayanya kepada kanak-kanak akhirnya dia mengambil keputusan menarik balik jualan ‘permainan’ tersebut serta merta.

Katanya, permainan sama turut dijual di beberapa kedai runcit lain di sekitar kawasan itu.

Lelaki maut dalam kemalangan


19/10/2010 2:24pm

SEREMBAN - Seorang anak anggota polis maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah treler di KM 259.2 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar plaza tol Rasah di sini, hari ini.
Mohd. Syadidi Zikri Hairi, 26, dari Muar, Johor, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’far Seremban untuk bedah siasat.
Jurucakap polis berkata, dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, Mohd. Syadidi Zikri dalam perjalanan ke arah utara.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati treler terbabit mengalami kerosakkan pada kira-kira pukul 6.30 pagi dan diletakkan di lorong kecemasan dengan turut meletakkan beberapa kon di situ. - Bernama

Pengawal dipenjara 3 bulan curi harta PDRM


19/10/2010 1:57pm

KUALA LUMPUR - Gara-gara mencuri harta milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), seorang pengawal keselamatan dihukum penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu tiga hari lepas.
Majistret Aina Azahra Arifin memerintahkan tertuduh, N. Jayaraman, 57, menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditangkap pada 16 Oktober lepas.
Mengikut pertuduhan, Jayaraman didakwa mencuri satu pagar besi berukuran sembilan kaki panjang dan empat kaki lebar milik PDRM di Batu 2 1/2 Jalan Cheras di hadapan tapak lama Ibu Pejabat Polis Cheras, di sini pada pukul 4 petang, 16 Oktober lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. - Bernama

3 lelaki ditahan terlibat samun bersenjata api


19/10/2010 3:14pm

JOHOR BAHRU - Polis percaya berjaya menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata api selepas menahan tiga lelaki di Batu Pahat, dua hari lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dua daripada mereka, berumur 20 dan 23 tahun ditahan menerusi sekatan jalan raya di Jalan Yong Peng-Labis, kira-kira pukul 3 pagi manakala seorang lagi rakan mereka yang berumur 24 tahun ditahan sejurus selepas itu.
"Kedua-dua lelaki itu menaiki sebuah kereta Proton Perdana dan pemeriksaan di dalam beg sandang salah seorang dari mereka menemui tiga peket serbuk putih serta sejumlah pil yang dipercayai dadah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, siasatan lanjut terhadap mereka menemui sepucuk revolver bersama tiga peluru hidup, sepucuk pistol MOD 500 7.65mm mengandungi satu kelopak dengan dua butir peluru, sebuah kotak mengandungi 10 butir peluru hidup pelbagai jenis, tiga kunci allen serta dua pemutar skru. - Bernama

Kes bunuh ustazah ke Mahkamah Tinggi




PORT DICKSON – Perbicaraan kes seorang pemasang paip gas yang dituduh membunuh seorang ustazah dan anaknya pada 3 September lalu dipindahakan ke Mahkamah Tinggi Seremban, semalam. 

Majistret, Zaridah Y Abdul Jalil membuat keputusan itu memandangkan ia membabitkan kes bunuh. 

Ali Tan Abdullah, 34, dituduh membunuh jirannya, Nor Liza Ishak, 35, antara jam 3.15 petang, 2 September dan 10.15 pagi, 3 September lalu di Flat Win Min, Pasar Baru, di sini. 

Pemuda itu juga dituduh membunuh anak Nor Liza, Amirul Ayman Mohd Yusoff, 10, pada tarikh, tempat dan masa yang sama. 

Ali kelihatan tenang di kandang tertuduh dan mengangguk apabila pertuduhan dibacakan di hadapan majistret, tetapi tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang diwakili peguam, Philip Yeow. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmud Abdullah dan tarikh perbicaraan di Mahkamah Tinggi Seremban belum ditetapkan. 

Pada 3 September lalu, Nor Liza, guru Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf ), dan anaknya ditemui mati dibunuh di sebuah apartmen di Jalan Sutera Lama berhampiran pasar di sini. 

Mangsa yang mati akibat lemas selepas mulut diikat dengan pita pelekat dan dibalut kain sarung ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh rakan dan pihak pengurusan bangunan yang melakukan pemeriksaan berikutan mangsa tidak hadir mengajar di sebuah sekolah rendah, di sini. 

Nor Liza berasal dari Kampung Pulau Kerbau, Palekbang, Tumpat, Kelantan, dan tinggal di apartmen itu bersama anak lelakinya. Suaminya menjalankan perniagaan di Mesir ketika itu.

Dituduh 5 kali rogol budak bawah umur



KUANTAN - Seorang pekerja kilang menghadapi tuduhan merogol seorang remaja bawah umur sebanyak lima kali dalam tempoh tiga jam di bilik sewa, di sini, tahun lalu. 

Ahmad Zulhelmi Zulkifli, 24, yang beralamat di RRM 2 Kuala Pahang, Pekan, ditahan pada 12 Oktober lalu dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 4, di sini, semalam. 

Mengikut fakta kes, Ahmad Zulhelmi didakwa merogol mangsa berumur 13 tahun lapan bulan di sebuah bilik sewa di Lorong Tun Ismail 6, di sini, kira-kira jam 4 pagi pada 5 Disember tahun lalu. 

Kira-kira setengah jam kemudian, tertuduh melakukan perkara sama terhadap mangsa serta mengulangi perbuatan itu pada jam 6 pagi, 6.45 pagi dan 7.30 pagi di tempat dan tarikh sama. 

Ketika ditanya Hakim Irwan Suaibon, tertuduh tidak mengaku salah dan memohon supaya dibicarakan. 

Irwan menetapkan tarikh perbicaraan semula pada 15 November ini selepas diminta Pegawai Pendakwa Raya, Law Chin How. 

Tertuduh juga diminta membawa peguam selepas dikenakan ikat jamin keseluruhan RM14,000 bagi kesemua pertuduhan dan seorang penjamin. 

Ahmad Zulhelmi, bagaimanapun, gagal membayar ikat jamin dengan alasan bapanya pergi menunaikan haji di Makkah, lalu tertuduh dihantar ke Penjara Penor.

Arwah minta mahu jumpa cucu sehari sebelum terlibat kemalangan maut



TAPAH - “Kebiasaannya ayah tidak akan bertanya atau pun menyampaikan pesanan kepada kami yang beliau mahu berjumpa dengan cucunya, namun keadaannya agak berbeza apabila Allahyarham menyampaikan pesanan mahu berjumpa dengan anak kami, pagi Jumaat lalu. 

“Saya tidak menyangka keinginan ayah untuk berjumpa dengan anak saya adalah kali terakhir kami menatap wajahnya dan menjadi petanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga selama-lamanya,” kata Mohd Zainuri Kamaruddin, 35. 

Zainuri, dari Kampung Seri Azam, di sini, berkata, jantungnya seperti mahu gugur sebaik dimaklumkan tragedi yang meragut nyawa bapanya, lalu bergegas ke Hospital Slim River. 

Menurutnya, pada malam sebelum kejadian, anaknya tidak berhenti menangis sebaik pulang berjumpa Allahyarham. 

“Kami pergi ke rumah ayah pada petang Ahad dan ayah cukup gembira apabila kami bawa Mohd Zulhelmi yang berumur empat bulan berjumpa dengannya. 

“Selepas balik ke rumah, anak saya tidak berhenti menangis walaupun puas kami mencari puncanya, kami berikan susu, mainan, dan macam-macam lagi namun tangisannya tetap tidak berhenti; keesokan harinya ayah pergi meninggalkan kami,” katanya kepada Sinar Harian. 

Isteri Zainuri, Nurul Hasnah Abdullah, 29, berkata, sepanjang malam Ahad lalu, suaminya mengadu tidak dapat melelapkan mata akibat kepanasan. 

“Memang amat pelik kerana malam sebelum kejadian, suami saya ada mengadu bahawa badannya begitu panas dan dia tidak dapat melelapkan mata serta gelisah sepanjang malam. 

“Dia gelisah seperti ada yang tidak kena tetapi kami tidak menyangka insiden malang ini akan terjadi," katanya. 

Anak kelima Udoh, Mohd Nor Razman, 29, berkata, sebelum ini berlaku beberapa insiden yang menjadi petanda awal. 

“Allahyarham dan saya pada ketika itu mahu menghantar abang saudara ke Gerik di mana beliau memandu kereta dan hampir-hampir mengakibatkan kemalangan. 

“Memang amat sedih apabila menerima berita kemalangan ini namun saya reda dengan ketentuan Allah SWT dan berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat,” katanya.

Pakar bedah sokong marijuana diluluskan




CALIFORNIA - Bekas ketua pakar bedah Amerika Syarikat (AS), Joycelyn Elders menyatakan bahawa beliau menyokong penggunaan marijuana adalah sah di sisi undang-undang. 

Undian untuk meluluskan akta itu akan dilakukan pada bulan hadapan walaupun pegawai persekutuan menegaskan untuk terus menegakkan undang-undang penggunaan dadah di California walaupun akta itu sudah diluluskan. 

Walau bagaimanapun, Ketua Peguam AS, Eric Holder tidak menyokong penggunaan dadah itu kerana beranggapan ia akan mendatangkan kesan sampingan dan pelbagai masalah kepada pengguna. 

Menurutnya, jika penggunaan marijuana itu diluluskan, akan wujud pelbagai masalah dan halangan kerjasama antara kerajaan dan penguat kuasa tempatan mengenai penguatkuasaan dadah di negara itu.

YouTube keluarkan video ngeri warga Papua diseksa



JAKARTA - Video empat minit yang memaparkan tentera Indonesia sedang menyeksa seorang ahli gerakan pemisah warga Papua dikeluarkan daripada :YouTube: kerana jalan ceritanya yang menjijikkan dan mengejutkan. 

Akhbar The Jakarta Post melaporkan, video tersebut dimuat turun oleh Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Asia pada Sabtu lalu dan dikeluarkan daripada laman YouTube, awal semalam. 

Video tersebut memaparkan bagaimana tentera Indonesia sedang menyeksa mangsa untuk mendapatkan pengakuan di mana gerakan pemisah Organisasi Bebaskan Papua menyimpan bekalan senjata api mereka. 

Pihak YouTube terpaksa mengeluarkan video tersebut kerana paparan penyeksaannya yang amat teruk termasuk membakar alat sulit mangsa menggunakan bara. 

Walau bagaimanapun, kesahihan video tersebut masih belum dapat dikenal pasti.

Polis marin rampas 110 kotak mercun bernilai RM66,000



PELABUHAN KLANG -- Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang merampas 110 kotak mercun buatan China bernilai RM66,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kapar, Klang malam semalam.

Pegawai Memerintah Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang DSP Norzaid Muhammad Said berkata hasil maklumat orang ramai sepasukan enam polis marin di ketuai Cif Inspektor Sarebjit Singh menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Saga, Kapar pada pukul 9.20 malam.

Norzaid berkata tiada tangkapan dibuat dan mercun-mercun itu diletakkan di dalam sebuah bilik dan keadaan keseluruhan rumah itu berselerak seperti tidak dihuni oleh sesiapa.

"Kita akan kesan pemilik rumah itu bagi siasatan lanjut," katanya lagi. Kesemua mercun yang dirampas itu telah dibawa ke markas operasi pasukan polis marin dan kes ini disiasat di bawah Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, kata beliau.

Beliau berkata pihaknya sedang menyiasat dari mana mercun-mercun itu dibawa masuk dan dipercayai untuk dijual sempena beberapa perayaan pada penghujung tahun ini seperti Deepavali, Krismas dan Hari Tahun Baru.

Norzaid juga berkata setakat 15 Oktober tahun ini pihaknya telah menahan 244 orang pendatang asing tanpa izin dari India, Indonesia, Bangladesh, Afghanistan dan Nigeria.

Pusat beli belah musnah





PASIR PUTEH - Pusat beli belah yang diusahakan sejak 15 tahun lalu, berhampiran Pasar Besar Pasir Puteh di bandar ini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin. 


Pengurusnya, Azizi Awang, 50, berkata, dia yang menerima panggilan daripada rakan berhubung kejadian itu bergegas ke premis Mutiara Shoping Centre yang diusahakannya bersama isteri, Safiah Yusof, 47. 


Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dia berada di rumahnya di Sri Aman, kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian. 


“Saya tergamam apabila melihat marak di tingkat atas bangunan sebaik tiba di situ, ketika itu anggota bomba bertungkus-lumus mengawal api. 


“Saya reda dengan kejadian ini, saya juga bersyukur kerana ianya berlaku ketika kedai sudah ditutup,” katanya yang menggunakan khidmat lima pekerja. 


Azizi berkata, dia tidak pasti sama ada mahu meneruskan perniagaan di tapak itu atau beralih ke tempat baru. 


Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, kebakaran itu disedari orang ramai dan kejadian itu dimaklumkan kepada anggota polis yang mengadakan rondaan di kawasan berkenaan. 


Menurutnya, anggota polis kemudiannya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat, sementara polis membuat kawalan kerana api turut menyambar kabel elektrik yang membahayakan orang ramai. 


“Siasatan awal mendapati pemiliknya mengalami kerugian kira-kira RM700,000 dan setakat ini kita mendapati ia tiada kaitan perbuatan khianat,” katanya. 


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Kaharudin Yahya berkata, dua jentera dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 11.30 malam. 


Menurutnya, api berjaya dikawal kira-kira jam 11.45 malam dan operasi memadam kebakaran itu ditamatkan jam 2.20 pagi. 


“Tingkat atas bangunan yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dengan pantas, tindakan pantas anggota bomba menyelamatkan sebahagian daripada stok barang di tingkat bawah. 


“Kami masih tidak dapat mengenal pasti punca kebakaran kerana ianya masih dalam siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

9 maut ditembak di majlis keluarga di Mexico





2010/10/19

CIUDAD JUAREZ, Mexico: Lelaki bersenjata menyerbu satu majlis keluarga di bandar sempadan Ciudad Juarez dan menembak mati sembilan orang, termasuk enam sekeluarga awal pagi tadi. 

Empat mangsa mati di tempat kejadian dan dua yang lain di hospital manakala dua lagi diburu lelaki bersenjata terbabit dan ditembak mati berhampiran lapangan terbang.Sembilan lagi mangsa dibunuh dalam serangan berasingan dalam tempoh 24 jam lalu di bandar Mexico paling ganas itu.Kira-kira 6,500 orang dibunuh di Ciudad Juarez sejak tiga tahun lalu dalam pembunuhan yang dikaitkan dengan perebutan laluan penyeludupan ke Amerika Syarikat di antara kumpulan pengedar dadah Juarez and Sinaloa. - AFP 

2 pekerja pos ditembak di Tennessee Barat




2010/10/19

HENNING, Tennessee: Dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pejabat pos di bandar pedalaman Tennessee Barat, membunuh dua pekerja dalam satu cubaan merompak. 

Tembakan itu dilepaskan di bangunan satu tingkat di Henning yang menjadi pusat aktiviti bandar itu.Tiada tangkapan dibuat dan pihak pejabat pos merayu orang ramai tampil dengan maklumat berhubung kejadian itu.Mangsa dikenali sebagai pegawai pos, Judy Spray, 58, dan kerani, Paula Robinson, 33. - AP

Identiti 4 korban tragedi bot di Tatau dikenal pasti




2010/10/19

KUCHING: Identiti empat penumpang bot ekspres yang disahkan terkorban dalam tragedi pelanggaran dengan sebuah tongkang di hulu Sungai Anap Tatau, petang semalam sudah dikenal pasti. 

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin (PGM) Bintulu, Asisten Superintendan Iswandi Ken, berkata mangsa pertama yang ditemui ialah bayi perempuan berusia lima bulan yang dikenal pasti sebagai Jennifer Yak dari Long Tepen Palutan.Tiga lagi mayat yang ditemui dikenali sebagai Wong Siew Guan, 21, dari Durin Sibu; Wilfred Ukir Salleh, 56, dari Rumah Sudan Sibu; dan Meas anak Renggan, 75, (wanita) dari Rumah Engka Kakus.Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam, bot ekspres yang difahamkan membawa kira-kira 30 penumpang itu dikatakan terbalik dan karam selepas berlanggar dengan tongkang balak. Bot yang dalam perjalanan dari Pekan Tatau ke Hulu Kakus itu bertolak dari Pekan Tatau pada 1.30 petang. 

Sehingga malam tadi, empat disahkan maut manakala 17 penumpang termasuk empat kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun disahkan selamat. Tujuh penumpang dewasa dan empat kanak-kanak terbabit dirawat di Hospital Umum Bintulu. 

"Setakat jam 11 pagi ini kita belum menerima laporan penemuan baru mangsa yang terkorban dalam kejadian itu walaupun ada laporan media yang mengatakan jumlah mangsa yang terkorban lebih dari empat orang," katanya di sini hari ini. 

Beliau berkata pemandu bot ekspres terbabit iaitu Ting Meng Siik, 58, selamat dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Daerah Tatau lewat petang semalam. 
Usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota polis, PGM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pekerja balak sebuah kem balak berhampiran. 

"PGM juga menghantar pasukan penyelam dari Kuching untuk membantu operasi mencari dan menyelamat hari ini," katanya. - BERNAMA

Anak polis maut rempuh treler




2010/10/19

SEREMBAN: Seorang anak anggota polis maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah treler di KM259.2 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar Plaza Tol Rasah di sini, hari ini. 

Mohd Syadidi Zikri Hairi, 26, dari Muar, Johor, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja'far Seremban untuk bedah siasat.Seorang jurucakap polis berkata, dalam kejadian 8 pagi itu, Mohd Syadidi Zikri sedang dalam perjalanan ke arah utara.Beliau berkata, siasatan awal mendapati treler terbabit mengalami kerosakkan pada 6.30 pagi dan diletakkan di lorong kecemasan dengan turut meletakkan beberapa kon di situ. 

"Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa melekat di bekalang treler terbabit," katanya. 

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Insp Taufiq Abd Samad di talian 06-6033394 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA 

3 remaja simbah cat ke atas surau didenda RM2,000




2010/10/19

SEREMBAN: Mahkamah Majistret Sivil Seremban hari ini menjatuhi hukuman denda RM2,000 terhadap tiga remaja lelaki atas tiga pertuduhan berasingan dalam kejadian menyimbah cat dan melempar botol minuman keras di sebuah surau di Taman Pulai Impian, Sikamat, Seremban, Ogos lalu. 

Ketiga-tiga mereka juga diperintahkan menjalani bengkel Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebulan sekali selama dua tahun.Hukuman mengikut Seksyen 93 (1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 itu dibacakan oleh Majistret M Mageshwary.Remaja pertama berumur 17 tahun, kedua 15 tahun dan ketiga 16 tahun, berasal di sekitar Ulu Temiang dan Sikamat, di sini didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 3 pagi dan 4 pagi, 23 Ogos lepas. 

Ketiga-tiga remaja itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu ketika mereka dihadapkan di mahkamah pada 27 Ogos lalu. 

Bagi pertuduhan pertama, ketiga-tiga remaja tersebut dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan serta perlu menghadiri bengkel JKM sebulan sekali selama satu tahun atas dakwaan melakukan khianat dengan membaling botol di surau tersebut. 

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh kedua dan ketiga dikenakan bon sebanyak RM3,000 untuk berkelakuan baik serta perlu menghadiri bengkel JKM sebulan sekali selama satu tahun atas dakwaan khianat dengan menyimbah cat di surau yang sama. 
Remaja pertama turut dikenakan bon sebanyak RM3,000 untuk berkelakuan baik serta perlu menghadiri bengkel JKM sebulan sekali selama satu tahun atas satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat melakukan kesalahan menyimbah cat di surau terbabit. 

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Datuk Lee Kong Fee manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahmud Abdullah. - BERNAMA 
http://www.bharian.com.my