
Mangsa, Teoh Jun Kai, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Muara itu bersama seorang lagi rakannya, Goh See Khai, 14, dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas merempuh tiang berhampiran jalan itu.
Salah seorang saksi yang membantu mengeluarkan mangsa dari dalam rimbunan pokok pisang itu, Suhaimi Salleh, 31, berkata, dia tidak nampak bagaimana keadaan berlaku cuma selepas melepasi tempat kejadian terdengar jeritan meminta tolong.
Menurutnya, setelah mendengar jeritan dia terus berpatah balik ke tempat kejadian dan salah seorang dari mereka berlumuran darah di bahagian kepala.
“Saya tarik kedua-dua mereka keluar kerana mereka masih hidup dan selepas itu saya pergi ke Bagan Sungai Burung untuk meminta bantuan,” katanya kepada S:inar Harian: ketika ditemui di tempat kejadian di Jalan Bagan Sungai Burung, di sini, semalam.
Suhaimi berkata, mangsa pada mulanya masih bernyawa ketika beberapa orang datang membantu tetapi belum sempat untuk dibawa ke klinik berhampiran, mangsa telah meninggal dunia.
Katanya, pembonceng motosikal yang cedera parah dibawa ke klinik berhampiran oleh penduduk kampung untuk mendapatkan rawatan.
Sinar Harian difahamkan, mangsa dari arah Bagan Sungai Burung menaiki motosikal untuk pulang ke rumah di Lorong Muhibbah, di Pekan Bagan Datoh, di sini.
Kakak mangsa, Teoh Ni Yuan, 17, yang ditemui di tempat kejadian enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa adiknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang yang dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurut Kok Liang, mangsa dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal dari arah bertentangan dan kemudiannya gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya.
Beliau berkata, pembonceng motosikal seorang lelaki berusia 14 tahun mengalami kecederaan parah apabila kaki kirinya patah dan sedang dirawat di Hospital Teluk Intan. http://www.sinarharian.com.my
“Bedah siasat ke atas mayat akan dilakukan semalam untuk mengetahui punca kematian,” katanya.