Search This Blog

Saturday, October 16, 2010

Majikan iklan jual amah

JEDDAH: Akhbar Arab Saudi sering kali menerbitkan iklan daripada majikan yang ingin ‘menjual’ pembantu rumah mereka yang dianggap sesetengah orang sebagai satu bentuk perhambaan.
Majikan yang tidak puas hati dengan khidmat pembantu rumah mereka mempunyai dua pilihan sama ada menghantar pulang mereka ke negara asal dengan visa keluar atau memindahkan mereka kepada majikan baru bagi mendapatkan kembali sekurang-kurangnya sebahagian wang yang sudah dibelanjakan.
Bagaimanapun, kebanyakan orang melihat proses ‘menjual’ pembantu rumah itu sebagai satu bentuk perhambaan.

Mereka yang memberi respons kepada iklan berkenaan biasanya adalah agensi pencari pekerja haram. Majikan yang menyiarkan iklan sedemikian kerap melakukannya secara sulit dan tidak memberi nama mereka tetapi hanya memberikan nombor telefon bimbit. - Agensi
sumber

Rumah berusia tiga tahun musnah dalam kebakaran

BAGAN SERAI: Sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang apabila rumah baru yang dibina hasil titik peluh mereka tiga tahun lalu musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Baru, Selinsing, kira-kira 60 kilometer dari sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika Zainuddin Basri, 43, dan isteri, Suhaida Saidin, 36, berada di sawah.
Suhaida berkata, mereka mengetahui kejadian itu apabila dimaklumkan jiran.

“Sebaik tiba, kami melihat rumah terbakar dan usaha kami serta jiran memadam kebakaran dan menyelamat harta benda gagal kerana api terlalu marak.

“Kami bernasib baik kerana anak bongsu berusia setahun setengah berada di rumah neneknya tidak jauh dari rumah kami manakala enam lagi anak berusia lapan hingga 13 tahun berada di sekolah,” katanya.

Zainuddin yang membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat Semanggol tidak dapat ditemubual kerana terlalu sedih.

Suhaida berkata, dia menganggarkan kerugian lebih RM85,000.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Rohana Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.12 pagi dan tiba di tempat kejadian jam 11.33 pagi.

“Dua jentera dan van bersama 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan sebaik tiba kami mendapati 90 peratus rumah terbakar.

“Kami mengambil masa 30 minit memadamkan api dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.
sumber

Pelajar parah tong gas meletup

GEORGETOWN: Seorang pelajar tingkatan tiga melecur hampir 50 peratus anggota badan dalam kebakaran dipercayai kebocoran tong gas di rumah panjang di Tanjong Tokong, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Khalid Eri Alwalid, 15, tidak menyedari saluran paip tong gas di rumahnya bocor membuka suis dapur gas yang mengakibatkan tong gas berkenaan meletup.
Akibatnya, Khalid yang berada berhampiran tong gas itu cedera parah dari paras paha hingga kaki dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

Bapa saudaranya, Mohd Hassan Pitchay, 55, berkata, ketika kejadian, dia pulang ke rumah selepas makan malam sebelum terdengar bunyi letupan kuat dari bahagian dapur rumah dan tidak lama kemudian melihat anak saudaranya menjerit meminta tolong dengan pakaian terbakar.

“Ketika itu, saya hanya fikirkan keselamatan Khalid sebelum menariknya keluar dari dapur dan dengan bantuan pasukan penyelamat, dia dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Akibat kebakaran itu, enam keluarga hilang tempat tinggal dan seorang pemuda berusia 20-an yang cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran turut cedera dilanggar kereta yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Difahamkan, mangsa yang belum dikenali itu cedera dalaman dan dirawat di HPP. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Bagan Jermal, Roslan Hasnan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.41 malam sebelum dua jentera bersama 12 anggota bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, mereka menemui seorang pelajar berusia 15 tahun mengalami cedera parah di luar rumah sebelum dihantar ke hospital.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kebocoran pada saluran paip tong gas dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

“Kami menerima bantuan pasukan Bomba Sukarela Tanjung Tokong dan Weld Quay bersama 12 anggota sukarela dalam operasi ini,” katanya.
sumber

Cinta palsu 4 Mat Afrika

KUALA LUMPUR: Empat lelaki warga Afrika yang memberi cinta palsu kepada seorang wanita warga China di Hong Kong melalui laman sosial Facebook hingga mendorongnya menyerahkan wang tunai lebih RM400,000 berjaya ditahan selepas mangsa membuat laporan polis di negara ini sebaik menyedari ditipu.
Lelaki penipu terbabit hanya menggunakan kata-kata manis yang dihantar setiap hari melalui Facebook untuk meyakinkan mangsa berhubung hubungan cinta maya mereka yang terjalin sejak tiga bulan lalu.
Namun, jejaka Inggeris kacak yang dikenali itu sebaliknya adalah pelajar warga Afrika yang menjadikan Malaysia sebagai markas menjalankan penipuan bermodalkan cinta murahan itu.

Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 46 tahun yang juga ahli perniagaan berasal dari Hong Kong mula berkenalan dengan suspek pada Julai lalu selepas saling berkenalan dan bertukar biodata.

“Suspek yang menggunakan gambar palsu selain bijak bermain kata-kata pujukan cinta menyebabkan mangsa yang sudah berkahwin dilamun cinta tanpa menyedari ia adalah perangkap yang dipasang sindiket Awang Hitam Afrika itu,” katanya.

Beliau berkata, dalam perkenalan itu, suspek yang menggunakan nama samaran James George mendakwa dia adalah seorang pelajar sebuah kolej di Malaysia.

Katanya, mangsa yang kerap bersembang di Facebook dengan suspek jatuh cinta dengan lelaki yang dikenali di alam maya itu.

“Selepas beberapa bulan berkenalan dan pasti mangsa benar-benar sudah jatuh cinta, suspek mula memasang perangkap dengan memujuk mangsa mengirim wang kepadanya.

“Suspek berjaya meraih simpati mangsa hingga wanita itu sanggup mengirimkan HK$280,797.94 bersamaan dengan RM111,826.45 selepas mendakwa menghadapi masalah membayar yuran pengajian kerana bapanya sakit,” katanya. Menurutnya, tidak lama selepas itu, suspek sekali lagi meminta mangsa mengirim wang kepadanya dengan alasan mahu membuka perniagaan mengeksport kayu dari Malaysia.

Katanya, mangsa yang masih belum menghidu temberang kekasihnya sekali lagi mengirim HK$747,785.19 (RM297,816.90) kepada lelaki berkenaan.

Katanya, semua wang diberikan kepada suspek melalui kiriman wang segera atas dua penama iaitu James George dan Kelvin Nice.
“Mangsa pada mulanya tidak mengesyaki dia ditipu kerana suspek berjanji akan datang ke Hong Kong bertemu dengannya selepas itu.

“Namun, kekasih yang ditunggu tidak pernah muncul, malah terus menyepikan diri termasuk gagal dihubungi,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis di Hong Kong, namun dinasihatkan supaya datang bertemu polis di negara ini memandangkan suspek berada di Malaysia.

Katanya, pada 5 Oktober lalu, mangsa tiba di ibu negara dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) berhubung penipuan itu.
Katanya, mangsa bernasib baik kerana mempunyai alamat suspek di negara ini dan melalui maklumat itu, polis berjaya menjejaki dan memberkas suspek iaitu empat lelaki Afrika.

“Keempat-empat suspek berusia 22 hingga 25 tahun yang juga pelajar sebuah kolej swasta ditangkap di sebuah pangsapuri di Taman Desa Millenium, Puchong baru-baru ini,” katanya.

Dalam serbuan di rumah itu, polis merampas sebuah komputer riba dan telefon bimbit dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan tangkapan empat lelaki Afrika berkenaan.

Beliau berkata, semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sehingga 19 Oktober ini.
sumber

Samun duit RM20,000

SEREMBAN: Seorang wanita hanya mampu melihat dua penjenayah bertopeng melarikan wang tunai lebih RM20,000 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank dalam kejadian samun di depan rumahnya di Taman Jasmin, Senawang, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, dua penjenayah bersenjatakan objek tajam itu menyerbu kereta mangsa sebelum memecahkan cermin kereta itu lalu melarikan wang tunai yang diletakkan di dalam sebuah beg.
Penjenayah dipercayai warga asing itu melarikan diri menggunakan sebuah kereta sebaik berjaya melarikan wang berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Mohd Zaki Masrof, berkata wanita berusia 30-an itu pergi ke sebuah bank di Senawang untuk mengeluarkan duit, dan dia menyedari seseorang sedang mengekorinya sebaik masuk ke dalam kenderaan.

Menurutnya, mangsa segera memandu pulang ke rumah dalam usaha untuk menyelamatkan diri dan wang yang baru dikeluarkannya.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di depan rumahnya, dia diserbu dua lelaki bertopeng yang bersenjatakan objek tajam memecahkan cermin kereta dipandunya sebelum mengambil wang yang baru dikeluarkan dari bank.

“Mangsa gagal mengecam identiti suspek kerana mereka memakai topeng, namun penjenayah dipercayai warga asing berdasarkan dialek percakapannya,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang terkejut dengan kejadian itu kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan.

“Polis juga menasihatkan mereka yang mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak di bank supaya lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian sama berulang di masa depan.

“Elakkan daripada pergi mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak seorang diri terutamanya golongan wanita dan segera menghubungi polis sekiranya didatangi atau diekori orang yang mencurigakan,” katanya.
Orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di talian 06-7619999 atau balai polis berhampiran.
sumber

Warga asing menyamar polis rompak pelancong

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penjenayah warga asing dikesan semakin berani menyamar sebagai polis untuk memperdaya dan merompak pelancong asing terutama di ibu kota.
Penjenayah yang berkeliaran dengan menaiki kereta dikesan aktif menyamar dengan hanya menunjukkan kertas bertulis perkataan ‘police’ untuk memaksa mangsa menyerahkan barang berharga dimiliki.
Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, seorang ahli perniagaan dan juga pelancong dari Jepun berusia 52 tahun menjadi mangsa apabila diperdaya dua lelaki yang mendakwa bertugas sebagai anggota unit polis pelancong.

Kejadian berlaku ketika mangsa berjalan bersama rakannya di Jalan Parlimen berhampiran Tugu Negara sebelum sebuah kereta dinaiki dua lelaki berhenti berhampirannya.

Sumber polis berkata, seorang daripada mereka menunjukkan sekeping kad warna kuning dan memperkenalkan diri sebagai polis pelancong.

“Suspek meminta mangsa menunjukkan pasport selain sengaja memeriksa badan mangsa dan rakannya.

“Pada masa sama, suspek turut mengeluarkan dompet mangsa yang sengaja membuka dan mengira wang di dalamnya. Suspek kemudian menyerahkan kembali dompet milik mangsa sebelum beredar dari lokasi berkenaan,” katanya.

Mangsa yang curiga mengira semula wang di dalam dompetnya sebelum mendapati duit berkenaan hilang.

“Bagaimanapun mangsa tidak sempat mengingati nombor pendaftaran kereta suspek. Mangsa yang kerugian mata wang Yen dianggarkan kira-kira RM4,800 membuat laporan polis di Unit Polis Pelancong di Jalan Ampang, di sini,” katanya.

Kejadian dengan modus operandi sama turut menyebabkan seorang pelancong India berusia 43 tahun kerugian wang tunai RM15,000 selepas diperdaya sekumpulan lelaki yang menyamar polis, bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, mangsa dan keluarganya berjalan berhampiran Jalan Pahang di sini, sebelum dihampiri sebuah kereta.
“Empat suspek di dalam kereta terbabit memperkenalkan diri sebagai anggota polis sambil menunjukkan sekeping kad tertera perkataan polis.

“Suspek dipercayai warga Timur Tengah,” katanya.
sumber

Sindiket kutip derma di masjid

KEPALA BATAS: Beberapa warga Pakistan yang singgah dari masjid ke masjid sekitar Seberang Prai meminta derma selain merayu sumbangan orang ramai dipercayai didalangi sindiket tertentu bagi mengaut keuntungan.
Penduduk beberapa kampung percaya warga Pakistan terbabit cuba mengambil kesempatan berikutan sikap murah hati jemaah selain ada yang bertindak keterlaluan dengan mengambil wang dalam tabung selepas solat Jumaat. Kejadian mengambil wang dalam tabung masjid berlaku di Masjid Jamek Bagan Dalam, Butterworth hingga menyebabkan ahli jawatankuasa masjid tidak membenarkan warga asing terbabit terus mengutip derma.
sumber

Kelab penarik kereta minta ufti

JOHOR BAHRU: Tidak cukup mengugut pembeli kereta, sekumpulan penarik kereta di bandar raya ini bertambah samseng apabila menubuhkan kelab bagi mendalangi kegiatan mengutip wang perlindungan daripada pemilik kenderaan yang gagal menjelaskan ansuran bulanan kepada institusi kewangan.
Difahamkan, lebih 10 kumpulan bergiat aktif sejak lebih setahun lalu, mensasar peminjam yang gagal membayar ansuran bulanan kereta dengan menawarkan sejenis pelekat sebagai tanda kenderaan itu dilindungi kelab masing-masing.
Difahamkan, kegiatan sindiket itu yang menerima sambutan di kalangan peminjam, mencetuskan kekeliruan di kalangan orang ramai selain rasa tidak puas hati kumpulan penarik kereta yang mengikut peraturan.

Penarik kereta, Hassan Abdullah, 32, berkata, kewujudan sindiket itu menjadi ancaman kepadanya dan rakan apabila terpaksa berdepan risiko keselamatan diri ketika menarik kereta mengikut arahan bank.

Dia mendakwa, pelekat yang dilekat pada kereta pelanggan sindiket itu membawa mesej kenderaan terbabit tidak seharusnya ditarik mana-mana penarik kereta kerana dilindungi kelab tertentu.

Menurutnya, seseorang pemilik kenderaan disyarat membayar sejumlah wang perlindungan termasuk wang pendahuluan RM400 sebelum boleh mendapatkan khidmat sindiket berkenaan.

“Misalnya bagi kereta Perodua Kancil, seseorang pelanggan yang gagal membayar ansuran bagi tempoh masa lama, perlu membayar wang pendahuluan RM100 manakala bagi kenderaan lebih besar seperti Toyota Avanza, kadar wang perlindungan ditetapkan mencecah RM300.

“Sekiranya ingkar membayar wang perlindungan itu kereta berkenaan akan ditarik sindiket berkenaan yang turut berlagak samseng dengan memonopoli sesebuah kawasan sebagai tempat menjalankan operasi kegiatan itu,” katanya.

Menurut Hassan, dia yang beroperasi di sekitar Masai nyaris menjadi mangsa sindiket itu selepas menarik sebuah kereta pada 8 Oktober lalu.

Menurutnya, selepas menarik kereta berkenaan, dia diekori tiga lelaki tidak dikenali.

“Saya terpaksa bersembunyi di kawasan gelap bagi mengelak mereka melakukan perbuatan tidak diingini.“Saya dapati kenderaan yang ditarik itu mempunyai pelekat kuning, dipercayai diagih sindiket berkenaan.

“Khuatir dengan keselamatan diri dan keluarga, saya membuat laporan di Balai Polis Masai, semalam (kelmarin),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan siasatan dijalankan bagi mengesan sindiket yang mendalangi kegiatan itu.

Menurutnya, polis tidak akan berkompromi jika terdapat kegiatan haram tukang tarik kereta yang berlagak samseng serta tidak mematuhi undang-undang.
sumber

Bapa rayu anak 14 tahun pulang rumah

TELUK INTAN: Seorang bapa merayu anak lelakinya berusia 14 tahun segera pulang ke pangkuan keluarga selepas menghilangkan diri sejak Rabu lalu.
E Sooria Chandra, 47, peniaga barangan lusuh di Taman Perindustrian Anson, di sini, bimbang keselamatan anaknya, S Soomeswaran, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Horley Methodist yang tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui di mana anaknya berada boleh menghubunginya di talian 016-5172041 atau IPD Hilir Perak di talian 05-6299222 atau balai polis berhampiran.
sumber

Miliki dadah: Askar dan rakan ditahan

sumber

16/10/2010 7:20pm


BUTTERWORTH – Seorang anggota tentera bersama rakannya ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Dua di sini awal hari ini selepas didapati memiliki dadah jenis heroin seberat 200 gram.
Ketua Operasi sekatan jalan raya berkenaan, Cif Insp Rohaizat Salim berkata, anggota tentera bersama rakannya yang bekerja sendiri itu ditahan kira-kira 12.30 pagi selepas polis menemui dadah dalam kereta Perodua Kancil yang mereka naiki.
"Sebaik polis menemui dadah dalam sebuah beg dalam kereta mereka, anggota tentera yang memandu dan rakannya bertindak keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke arah sawah berhampiran tempat operasi.
"Polis terpaksa mengejar mereka kira-kira 300 meter sebelum berjaya menahan kedua-duanya yang berusia 20-an itu,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kedua-dua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

TI pujuk lelaki batal hasrat bunuh diri


ATLANTA, Georgia 15 Okt. – Penyanyi rap TI kelmarin berjaya memujuk seorang lelaki membatalkan hasratnya mahu membunuh diri dengan terjun dari bangunan pencakar langit di Atlanta.
Seorang pegawai polis, James Polite berkata, ketika kejadian, bintang hip hop itu berada bersama-sama dengan orang ramai di luar bangunan 22 tingkat itu menyaksikan kejadian itu dan menawarkan diri kepada polis untuk membantu.
Menurut polis, lelaki itu bersetuju untuk turun selepas beberapa minit berbicara dengan TI atau nama sebenarnya Clifford Harris.
“Saya memberitahu kepadanya bahawa apa yang berlaku ke atasnya tidaklah seteruk mana. Ia hanya memerlukan masa dan usaha untuk berubah menjadi baik.
“Saya juga mengingatkannya bahawa saya faham apa yang dialaminya. Ia mungkin buruk hari ini tetapi ia masih boleh berubah,” kata TI ketika ditemuramah melalui telefon oleh The Associated Press.
Menurutnya, beliau mengetahui mengenai kejadian itu melalui radio dan bergegas ke tempat kejadian untuk membantu.
TI turut merakam dirinya menggunakan telefon bimbit dan pasukan penyelamat memperlihatkan rakaman itu kepada lelaki yang mahu membunuh diri itu untuk membuktikan dia benar-benar penyanyi rap.
Penduduk Atlanta berkata, lelaki itu kelihatan kecewa dengan hidupnya.
Lelaki itu yang tidak mahu dikenali kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan. – AP

Jurutol patah 3 jari, tersepit antara pintu lori, pondok tol


Mohd. Shohaimi Jusoh (kiri) bersama Ketua Puteri Umno Pahang, Siti Azma Izzah Adnan (dua kanan) melawat Noratikah Azman '20' (tengah) di rumahnya di Felda Lepar Hilir, Kuantan, semalam.

sumber
KUANTAN 15 Okt. - Seorang jurutol patah tiga jari tangan kanannya selepas tersepit antara pondok tol dengan pintu lori ketika kenderaan itu mengundur untuk mendapatkan tiket transit di Plaza Tol Gambang di sini Selasa lalu.
Kejadian berlaku pukul 2.20 pagi ketika mangsa, Noratikah Azman, 20, bertugas syif malam di plaza tol itu.
Ketika ditemui, Noratikah berkata, sebuah lori berhenti dan pemandunya membuka pintu untuk mendapatkan tiket transit.
"Semasa saya menghulurkan kad berkenaan, lori itu mengundur dan pada masa yang sama tangan saya tiba-tiba tersepit antara pintu lori dan dinding pondok saya bertugas.
"Saya menjerit kesakitan dan pemandu lori itu segera memberhentikan kenderaannya untuk membantu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Lepar Hilir 4 di sini hari ini..
Menurut mangsa, dia kemudian menghubungi penyelia bertugas bagi memaklumkan keadaannya kerana tiada petugas lain bertugas ketika itu.
Bagaimanapun, dakwanya, penyelia itu hanya mengarahkan jurutol lain menggantikannya dan tidak menghantar ke klinik bagi mendapatkan rawatan atas alasan dia tiada pengganti.
Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, dalam keadaan kesakitan, dia menghubungi ibu bapanya untuk membawanya ke hospital.
"Ibu dan bapa saya bergegas datang untuk membawa saya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi mendapatkan rawatan.
"Pemandu lori berkenaan turut bersama-sama ke hospital dan memohon maaf atas kejadian itu," jelasnya.
Namun, apa yang dikesalkan adalah pihak syarikatnya seolah-olah lepas tangan dan tidak bertanggungjawab dengan kejadian tersebut, katanya yang telah disahkan dalam jawatannya selepas sembilan bulan bekerja.
Noratikah mendakwa, walaupun kejadian tersebut merupakan yang pertama berlaku, pihak syarikatnya tidak sewajarnya 'memejamkan mata.'
Sementara itu, pihak konsesi syarikat tol berkenaan ketika dihubungi enggan memberi sebarang kenyataan atas alasan pegawai berkaitan berada di luar negara.

Nelayan rugi RM60,000 peralatan dibuang ke laut

sumber

16/10/2010 7:22pm

GEORGETOWN 16 Okt. – Sepuluh nelayan kerugian kira-kira RM60,000 selepas peralatan menangkap ikan dan enjin mereka yang disimpan dalam bangsal di tepi Sungai Gelugor di sini dibuang ke laut, hari ini.
Salah seorang nelayan, Mohd Yusof Md Isa, 46, mendakwa kejadian itu didalangi syarikat pemaju yang mengupah kira-kira 50 lelaki bagi merobohkan bangsal nelayan sebelum membuang tiga enjin dan lebih 18 pukat ke laut.
"Kira-kira pukul 9.30 pagi tadi lebih 50 lelaki bertindak merobohkan bangsal yang digunakan kira-kira 40 nelayan Persatuan Nelayan Sungai Gelugor itu dan mereka yang bersenjata tajam juga mengugut kami agar menjauhkan diri dari situ jika hendak selamat,” katanya kepada pemberita di sini.
Dakwanya, salah seorang lelaki terbabit memaklumkan diarahkan oleh sebuah syarikat pemaju untuk merobohkan bangsal itu bagi memastikan projek pembangunan yang sedang berjalan siap seperti dijadualkan.
"Saya merayu mereka tidak terus merobohkan bangsal ini sehingga pemiliknya tiba supaya dapat berunding bagaimanapun mereka bukan saja tidak mengendahkannya malah membuang enjin dan pukat ke laut.
"Mereka juga bertindak mencuri beberapa tong mengandungi minyak dan kamera digital serta beberapa barangan berharga yang disimpan di bangsal ini,” katanya. – Bernama

Nenek kena belasah

sumber

SEREMBAN - Seorang wanita warga emas cedera selepas dibelasah sekumpulan tiga lelaki tidak dikenali di sebuah rumah kosong sekitar Jalan Haji Abdul Hamid di Temiang, dekat sini, malam kelmarin. 

Mangsa, Wong, 62, yang masih trauma dan lemah akibat kejadian itu mengalami bengkak dan lebam di muka serta kepala. 

Suami mangsa hanya dikenali sebagai Chin, 63, berkata, sebelum kejadian, isterinya memberi makanan kepada beberapa ekor kucing liar di depan pintu pagar rumah tinggal berkenaan. 

“Kira-kira jam 9 malam, tiba-tiba muncul tiga lelaki meluru ke arah isteri saya sebelum menumbuknya bertubi-tubi. 

“Tidak cukup dengan itu, mereka mengheret Wong pada jarak kira-kira 10 meter dan membawanya masuk ke dalam rumah kosong berhampiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. 

Menurutnya, ketiga-tiga suspek terus memukul wanita malang itu selama kira-kira 15 minit sebelum meninggalkannya begitu sahaja di rumah kosong terbabit.

"Saya mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila isteri tidak pulang ke rumah seperti biasa.

"Saya segera bergegas ke tempat Wong memberi makanan kepada kucing tetapi dia tiada di sana dan dengan bantuan jiran, isteri saya akhirnya ditemui mengerang kesakitan di rumah kosong itu,” katanya.

Chin berkata, Wong seterusnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Kejadian menimpa isteri saya adalah yang pertama berlaku di kawasan ini sejak kami berpindah ke sini 17 tahun lalu.

"Sebelum ini, jiran kami seorang wanita berumur sekitar 50-an nyaris menerima nasib serupa apabila dihampiri sekumpu lan lelaki tidak dikenali berhampiran rumahnya, kira-kira jam 4 petang hari yang sama," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, wanita terbabit berjaya melarikan diri.

"Jika tidak, mungkin dia juga teruk dibelasah seperti isteri saya,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Chin membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2, malam kelmarin.

Sementara itu, Ahli Dewan Unda ngan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai yang melawat mangsa berkata, tiga suspek terbabit tidak berhati perut kerana tergamak melakukan kekasaran terhadap wanita warga emas yang lemah.

"Saya berharap pihak polis segera mencari suspek yang terlibat dan meningkatkan rondaan agar keselamatan penduduk di sini terjamin,” katanya.

Pelajar ditemui mati dalam ladang sawit

sumber


2010/10/16



IPOH: Seorang pelajar perempuan ditemui mati dipercayaidibunuh di ladang kelapa sawit Rubana di Teluk Intan di sini hari ini. Mayat Dirya Barathi A/P Murali, 16, ditemui tanpa pakaian di dalam paritkira-kira 7.30 pagi oleh orang awam. 

Polis kemudiannya menjumpai pakaian seragam sekolah mangsa tidak jauh dari 
situ. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata polis mendapati 
mayat mangsa dalam keadaan terlentang. 
Mayat telah dihantar ke Hospital Teluk Intan. 

Beliau berkata motif kejadian masih belum diketahui dan tidak menolak 
kemungkinan mangsa telah dirogol. 

Mangsa dikatakan keluar rumah di waktu pagi untuk ke Sekolah Menengah Horley 
Methodist, sejauh 8 km dari rumahnya dan tidak pulang sehingga lewat petang. 

Kehilangan mangsa telah dilaporkan oleh bapanya K. Murali, 43, yang bekerja 
sebagi ketua pengawal estet pada 9 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir 
Perak, kata Goh. 

Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan polis meminta orang ramai yang 
mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah 
Hilir Perak di talian 05-6212222.-- BERNAMA 

20 maut letupan gas di lombong arang batu di China

 sumber


2010/10/16

BEIJING: Sekurang-kurangnya 20 pelombong arang batu di tengah China maut hari ini dengan 17 yang lain dilaporkan masih terperangkap. 

Kejadian di lombong yang terletak di bandar Yuzhou di Wilayah Henan itu dipercayai berpunca daripada letupan gas, lapor agensi berita Xinhua.Laporan itu menyebut, operasi menyelamat mangsa sedang dilakukan. - AFP

PGA rampas lapan lembu bernilai RM30,000

sumber
PENGKALAN KUBOR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 merampas lapan ekor lembu dianggarkan bernilai RM30,000 dalam satu serbuan di pangkalan haram Mek Gombok di sini, malam tadi.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8, Superintendan Rooslan Radzi berkata, intipan dilakukan hasil maklumat orang awam kira-kira jam 11.30 malam tadi sebelum melihat tiga individu sedang menarik lembu yang dibawa naik dari sungai ke darat dipercayai dibawa dari negara jiran.
"Menyedari kehadiran anggota PGA, ketiga-tiga individu itu yang telah naik dan sedang mengheret lembu berkenaan ke darat cuba melarikan diri dengan membawa lembu-lembu berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, kesukaran untuk melarikan lembu berkenaan menyebabkan ketiga-tiga suspek kemudian meninggalkan lembu itu setelah cuba melarikan diri sejauh 200 meter dari tempat serbuan.

"Ketiga-tiga suspek berjaya meloloskan diri dan terpaksa meninggalkan kesemua lembu berkenaan yang dianggarkan bernilai RM30,000," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PGA Batalion 8 turut merampas pelbagai barangan seperti minyak masak, gula, beras, rokok sebuah kenderaan dan dua motosikal yang dianggarkan bernilai RM57,597 dalam empat serbuan berasingan semalam.

Katanya, kesemua barangan itu dirampas dalam serbuan di dua pangkalan haram iaitu pangkalan haram Kebun dan Kuala Jambu serta sebuah premis kosong. Rooslan bagaimanapun berkata, tiada tangkapan dilakukan dalam keempat-empat serbuan itu.- Bernama

Seludup rokok melalui feri penumpang

sumber

16/10/2010 2:56pm


PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pelabuhan Klang menggagalkan taktik baru penyeludupan rokok ke negara ini menggunakan feri penumpang apabila merampas 266 karton rokok pelbagai jenama di perairan Pelabuhan Barat di sini semalam.
Ketua Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Zulkifli Abu Bakar berkata, dalam rampasan yang dilakukan itu, pihaknya menemui kesemua rokok berkenaan di bahagian bagasi feri tersebut dan disembunyikan dalam beberapa kotak barangan makanan dan sabun.
"Berdasarkan maklumat orang awam, ketika rondaan kira-kira pukul 4.20 petang semalam bot APMM telah menahan sebuah feri penumpang Pasific Jetstar 1 kira-kira 0.7 batu nautika di perairan Pelabuhan Klang, yang dalam perjalanan dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia ke jeti Pulau Ketam di sini.
"Sebaik pemeriksaan kita menemui kesemua rokok berkenaan yang dianggarkan bernilai RM20,014 termasuk duti import dan eksais,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Zulkifli berkata, taktik baru itu dipercayai pertama kali digunakan kerana berdasarkan rekod penyeludupan rokok sebelum ini ia dilakukan menggunakan bot fiber. – Bernama

Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan

sumber
16/10/2010 4:17pm

GERIK – Tiga sekeluarga terbunuh, manakala enam lagi cedera dalam kemalangan di Km 42.7 Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat Lenggong hari ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Mahad Nor Abdullah berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian 10 pagi itu ialah Abdul Lagis Zakaria, 40; anak lelakinya, Mohd Mukmin, 4; dan ibu kepada Abdul Lagis, Kamariah Ahmad, 62.
Mereka berasal dari Kampung Tembak, Kuala Ketil, Kedah.
Kamariah dan Mukmim yang cedera parah di kepala meninggal di tempat kejadian, manakala Abdul Lagis yang turut cedera di kepala meninggal pada 12.45 tengah hari ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar.
Lima mangsa yang cedera dan dirawat di hospital yang sama ialah bapa kepada Abdul Lagis, Zakaria Jasin, 67; Ghatimah Mun, 80; dan anak perempuan Abdul Lagis, Norashikin, 17, sementara seorang lagi belum dikenal pasti.
Seorang lagi yang cedera tetapi dirawat di Hospital Gerik ialah penuntut Universiti Teknologi Mara, Tajul Khairil Mohamad, 22, yang berasal dari Pulau Rusa, Terengganu yang cedera di kepala. – Bernama

Ladang ayam musnah kebakaran, pemilik rugi RM5 juta

IPOH: Sebuah ladang ternakan ayam di Batu 3 Jalan Lintang, Sungai Siput dekat sini musnah dalam satu kebakaran malam tadi, mengakibatkan kerugian sekitar RM5 juta.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, kebakaran di ladang seluas 1.2 hektar itu dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam.
"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana semasa kejadian kesemua lima pekerja warga Bangladesh berjaya menyelamatkan diri," katanya hari ini.

Ladang itu juga katanya, kosong kerana pemilik baru menjual kesemua ayam ternakannya minggu lalu.

Beliau berkata, pihak bomba dengan enam jentera mengambil masa kira-kira dua jam untuk memadamkan kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Sementara itu, pengusaha ladang, Ahmad Nasir Saidi ketika ditemui berkata, nilai kerugian itu dianggar berdasarkan kemusnahan reban dan juga pelbagai jenis mesin memproses ayam, selain sebuah kereta serta sebuah motosikal.

Dia yang tinggal di Klebang Jaya, Ipoh berkata, ladang itu dibuka sejak empat tahun lalu.

Kesemua reban itu dalam proses dibersihkan selepas lebih 100,000 ekor ayam dijual kepada pemborong baru-baru ini, katanya.-Bernama

Guna ramuan tidak halal

 sumber

KUANTAN - Beberapa hotel di daerah Cameron Highlands yang memohon logo halal tidak prihatin dengan penggunaan bahan masakan di premis mereka kerana masih menggunakan bahan tidak halal.

Penolong Pengarah Pengurusan Halal, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Noridzuan bin Abdul Manan berkata, pemantauan Jawatankuasa Kajian Makanan Dan Barang Gunaan Orang Islam Pahang ke beberapa hotel di daerah itu mendapati tahap kesedaran dan keprihatinan pihak pengusaha hotel terhadap standard halal perlu dipertingkatkan.

Menurutnya, walaupun kesedaran untuk mendapat sijil halal adalah tinggi tetapi kefahaman terhadap standard halal kurang memuaskan.

“Lebih mengejutkan ada dapur hotel yang menggunakan produk terutama sos salad yang jelas mengandungi alkohol dan tidak dibenarkan penggunaannya sama sekali bagi maksud persijilan halal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, pihak jawatankuasa halal mengingatkan pengusaha hotel mengenai garis panduan yang wajib dipatuhi jika mereka berhasrat memohon sijil halal.

Katanya, memang ada pelbagai pilihan sos yang digunakan sebagai ramuan sajian tetapi pihak hotel perlu menukar produk yang tiada perakuan halal kepada produk yang diperakui halal dan suci.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada masalah untuk mendapatkan jenama yang mempunyai sijil halal di negara ini kerana banyak pilihan yang terdapat di pasaran.

“Kita nasihatkan supaya pengurusan hotel perlu bijak memilih produk yang tidak dikilangkan di Malaysia seperti bahan-bahan di dalam tin serta ramuan yang digunakan untuk penyediaan masakan barat,” katanya.

Lawatan pemeriksaan dan pemantauan disertai 14 pegawai Jaip, Jabatan Kesihatan Cameron Highlands, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cameron Highlands dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Raub.

Sementara itu, Noridzuan kesal kerana ada pengusaha hotel yang masih keliru mengenai status persijilan yang dibenarkan Jaip dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Masih ada pengurusan hotel yang keliru mengenai status sijil halal dari pihak swasta sedangkan sijil berkenaan tidak sah.

Menurutnya, di antara aspek utama yang perlu dicapai oleh pihak hotel ialah memastikan semua bahan atau ramuan yang digunakan di dalam penyediaan semua masakan dan minuman diperakui halal oleh badan yang diiktiraf.

Pekerja korek sungai tidak sangka besi dijumpa bom

sumber

SHAH ALAM – Seorang pekerja yang sedang mengorek sungai, tidak menyangka objek besi yang ditemuinya semalam adalah sebutir bom yang digunakan sebagai perangkap samar sewaktu zaman perang. 

Bom yang masih aktif itu ditemui pekerja berusia 55 tahun itu, kira-kira jam 11.45 pagi dalam sungai di Jalan Penghulu, Seksyen 2, Bandar Mahkota, Cheras, Kajang. 

Difahamkan lelaki itu pada mula bercadang untuk menjual objek besi itu kepada penjual besi buruk, sebelum seorang rakannya memberitahu bahawa objek itu adalah bom. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakarudin Che Mood berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh pekerja terbabit kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam. 

Menurutnya, sejurus menerima panggilan mengenai penemuan bom, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut. 

“Pemeriksaan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) mendapati objek besi itu adalah bom peninggalan zaman perang dan masih aktif. 

“Bom itu sudah kami musnahkan kira-kira jam 4.30 petang tadi,” katanya ketika dihubungi semalam, 

Menurutnya, keadaan sekitar disahkan selamat dan terkawal. Bagaimanapun, sesiapa yang mungkin menemui objek yang mencurigakan, diminta terus menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Peneroka dakwa ditipu, dipaksa



sumber

LAWIN – Peneroka di Felda Lawin Selatan Peringkat Satu mendakwa mereka ditipu dan dipermainkan pihak pengurusan Felda di sini berhubung pengeluaran kayu getah bagi persiapan tanam semula. 

Bekas Ketua UMNO Cawangan Felda Lawin Selatan, Abu Mansur Ahmad, 52, berkata, tender bagi melaksanakan projek itu sudah dikeluarkan pada awal April lalu. 

Menurutnya, boleh dikatakan sepanjang proses persetujuan tender pengeluaran kayu getah antara pemaju, pihak pengurusan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Lawin Selatan adalah bercorak paksaan ke atas semua peneroka. 

“Walaupun pihak pemaju berusaha untuk mencari kontraktor yang mampu memberikan tawaran harga tinggi, namun tidak dipersetujui oleh pihak pengurusan, sebaliknya kami dipaksa untuk bersetuju dengan kontraktor yang dipilih pihaknya dengan hanya menawarkan harga lebih rendah. 

“Harga yang ditawarkan kepada kami adalah RM2,395 untuk sehektar dan kami juga diarahkan supaya tidak membangkitkan sebarang masalah berhubung pengeluaran kayu getah ini dalam mana-mana mesyuarat bersama Pihak Pengurusan Felda Lawin Selatan dan JKKR Felda Lawin Selatan,” katanya ketika ditemui di Felda Lawin Selatan Peringkat Satu, semalam. 

Abu Mansur berkata, mereka terpaksa bersetuju terutama bila pihak pengurusan berjanji bahawa peneroka boleh mengusahakan kebun getah masing-masing dan mengeluarkan hasil seperti biasa sehingga kerja-kerja pengeluaran kayu getah sampai ke kawasan mereka. 

Menurutnya, selain itu, peneroka turut mendakwa mereka tidak menerima duit hasil kebun getah sepertimana yang sepatutnya. 

“Apa yang dijanjikan kepada kami adalah tanah milik peneroka akan diberikan pajakan pada kadar RM1,400 sebulan untuk setiap satu lot bersama duit sara hidup sepanjang kerja-kerja pengeluaran kayu getah itu dijalankan. 

“Namun sehingga kini, kami hanya menerima duit sara hidup sahaja, manakala sembilan peneroka lain langsung tidak mendapat apa-apa,” katanya. 

Beliau berkata, beliau pernah membincangkan perkara ini dengan pihak pemaju dan dipersetujui bahawa nilai yang ditawarkan adalah rendah di mana pihak pemaju kemudiannya memberi insentif tambahan sebanyak RM236,000 kepada peneroka. 

Bagaimanapun, Abu Mansur berkata, insentif tambahan ini disalah erti oleh pihak pengurusan yang menganggap ia sebagai duit pajakan dan memaksa peneroka mengikuti syarat dalam surat perjanjian tidak bertarikh sebelum menerima wang masing-masing. 

“Pembayaran itu dikeluarkan pada 27 September lalu dan berhubung surat perjanjian itu, ia sebenarnya tidak bertarikh dan dikeluarkan tanpa terlebih dahulu melalui sebarang perbincangan atau mesyuarat bersama kami. 

“Ketika mengusahakan sendiri kebun masing-masing, kami mampu mengeluarkan hasil lebih RM2,000 sebulan, namun setelah diberi pajakan, ternyata hasil yang diterima berkurangan apabila hanya menerima sekitar RM1,000 lebih sahaja,” katanya.: 



Cuba ubah syarat perjanjian 

Manakala:, bekas Pengerusi JKKR Felda Lawin Selatan, Jumari Ismail, 57, berkata, terdapat percubaan untuk mengubah salah satu syarat Perjanjian Tuntutan/Pampasan Bayaran Kayu Getah tanpa terlebih dahulu membatalkan perjanjian asal. 

Menurutnya, perkara ini disedari melalui satu sesi perbincangan dalam satu mesyuarat bersama pemaju dan berasa syarat yang hendak diubah adalah syarat ketiga dalam perjanjian itu. 

“Lebih mencurigakan apabila surat perjanjian asal hanya ditandatangani satu pihak sahaja sementara JKKR Felda Lawin Selatan sebagai pihak kedua dan Pengurus Felda Lawin Selatan selaku saksi tidak menurunkan tandatangan,” katanya. 

Jumari berkata, dalam mesyuarat itu juga, pihak berkenaan bersetuju untuk memberikan tempoh dua minggu kepada peneroka untuk menjalankan kerja menoreh dan mengeluarkan hasil seperti biasa bermula 1 Oktober lalu.

Beliau berkata, langkah itu diberikan sementara menunggu kerja-kerja mengeluarkan kayu getah dimulakan oleh pihak pemaju. 

“Pihak pemaju juga sebenarnya masih dalam proses perbincangan dengan JKKR Felda Lawin Selatan dan pihak pengurusan termasuk mesyuarat khas yang diadakan pada 8 Oktober lalu, namun tidak menemui sebarang keputusan. 

“Saya bagaimanapun tidak dijemput bersama walaupun saya sepatutnya ada dalam mesyuarat selaku salah seorang ahli tertinggi Jawatankuasa Bertindak Penanaman Semula Getah di Felda Lawin Selatan Peringkat Satu,” katanya. 

Katanya, perjumpaan yang diadakan pada sebelah pagi itu sepatutnya lanjutan kepada mesyuarat yang tertangguh tanpa sebarang keputusan pada 8 Oktober lalu, namun ditukar tujuannya secara tiba-tiba. 

“Sepatutnya ia adalah mesyuarat bersama bagi mencari penyelesaian dan memberi penerangan berhubung masalah pengeluaran kayu getah ini, tetapi ditukarkan kepada sesi taklimat oleh pihak perbankan serta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja,” katanya. 

Beliau berkata, berlaku sedikit kekecohan pada pertemuan itu dan semua peneroka Felda akhirnya bertindak meninggalkan Dewan Komuniti Felda Lawin Selatan. 

“Antara punca kemarahan peneroka adalah arahan yang mengatakan mereka perlu menghentikan segala kerja dan tidak boleh mengeluarkan hasil tidak sepertimana yang dipersetujui pada peringkat awal," katanya.: 



Harga tawaran berbeza 

Sementara: itu, seorang peneroka, Ahmad Abd Latef, 60, berkata, dia tidak berpuas hati dengan harga yang berbeza daripada tawaran asal. 

Menurutnya, harga yang mereka terima adalah lebih murah daripada harga asal. 

“Bukan hanya tentang harga tawaran, saya dan rakan-rakan turut tidak merasa puas hati tentang perjalanan perbincangan sejak peringkat awal lagi apabila semua yang dijanjikan tidak terlaksana,” katanya. 

Ahmad berkata, pada perbincangan awal, mereka dijanjikan untuk mendapatkan kadar harga tawaran lebih tinggi. 

Katanya, dia juga tidak puas hati apabila pihak pengurusan Felda Lawin Selatan memaksa peneroka bersetuju dengan harga yang diperoleh sepertimana pada hari ini. 

“Sedangkan pada peringkat perbincangan bersama peneroka, Pengerusi JKKR Lawin Selatan memberi keyakinan kepada kami bahawa pihaknya akan berunding dengan pemaju untuk dapatkan harga lebih tinggi. 

"Namun hingga kini, tidak ada sebarang keputusan dibuat dan dimaklumkan kepada kami,” katanya.