Search This Blog

Friday, October 15, 2010

Jeritan adik ipar selamatkan tiga beranak dalam kebakaran


15/10/2010 6:05pm

ALOR SETAR 15 Okt. – Jeritan adik ipar menyelamatkan warga emas Rohnah Mohamad Nor, 76, dan suaminya, Hamzah Abd. Hamid, 82, serta anak mereka Norsiah, 46, daripada terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Lorong Keriang, Derga dekat sini hari ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.45 tengah hari tadi memusnahkan keseluruhan tingkat atas rumah berkenaan.
Zaiton Shaari, 50, yang merupakan adik ipar Rohnah, berkata, dia tiba-tiba terhidu bau asap di rumah iparnya yang terletak bersebelahan dan diikuti dengan letupan kuat yang dipercayai litar pintas.
Dia kemudiannya keluar dan melihat api sedang marak di bahagian atas rumah iparnya itu.
"Saya menjerit memanggil kakak ipar saya (Rohnah) supaya keluar menyelamatkan diri dan meminta tolong jiran yang kebetulan baru sahaja selesai solat Jumaat,” katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Alor Setar, Mohammad Mahyuddin berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam kira-kira pukul 1.47 tengah hari dan sampai ke tempat kejadian kira-kira 1.59 petang dengan kekuatan 20 anggota dan empat jentera dari Balai Bomba Jalan Tun Razak dan Jalan Raja di sini.
Kebakaran dapat dikawal sembilan minit kemudian.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca dan jumlah kerugian masih disiasat. – Bernama

Nahas bas ekspres ragut satu lagi nyawa


15/10/2010 7:54pm

MELAKA – Seorang lagi mangsa kemalangan ngeri yang membabitkan bas ekspres di Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Ahad lepas, meninggal dunia di Hospital Melaka (HM) hari ini, menjadikan jumlah korban tragedi itu kini berjumlah 13 orang.
Pemangku Pengarah HM, Dr Abdul Raof Jaafar berkata, Sharifah Norasmirah Syed Sallehuddin, 20, dari Terengganu yang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kecederaan parah di kepala, meninggal dunia pukul 12 tengah malam tadi.
Sharifah adalah penuntut Institut Pendidikan Guru di Lembah Pantai, Kuala Lumpur jurusan Bahasa Melayu.
"Sementara itu dua lagi yang dirawat di HM iaitu pemandu bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Umar Yusop, 31 dan Hazalizah Paiman, 24, dibenarkan pulang ke rumah petang tadi,” kata Dr Abdul Raof di sini hari ini.
Menurutnya hanya seorang mangsa kemalangan, Shanor Amer Mohamad, 18, masih dirawat bagi menjalani pembedahan tulang rahang. – Bernama

Lelaki Saudi abai anak

JEDDAH: Kira-kira 900 kanak-kanak yang dilahirkan hasil daripada perkahwinan wanita Mesir dengan lelaki Saudi yang dikenali sebagai perkahwinan ‘misfar’ diabaikan bapa mereka, kata aktivis Mesir dalam forum pemerdagangan manusia, baru-baru ini.
Berucap ketika persidangan di Mesir, Pengerusi Badan Amanah Yayasan Keamanan dan Pembangunan Maat, Aiman Abu Akeel berkata, majoriti lelaki yang melawat Mesir untuk perkahwinan misfar terdiri daripada rakyat Saudi diikuti rakyat Iraq dan wanita yang dikahwini mereka pula rata-rata gadis muda. Perkahwinan misfar merujuk kepada kontrak penyatuan yang membolehkan wanita hidup bersama lelaki yang berada di negara mereka dalam tempoh tertentu.
Wanita terbabit selalunya diceraikan dalam jangka waktu singkat dari seminggu hingga sebulan, lapor akhbar Mesir Al-Yaum Al Sabi. Berucap dalam forum sama, penganjur program anti-pemerdagangan gadis Mesir, Azza Al-Jazaar berkata, gadis muda yang terbabit dengan perkahwinan misfar tidak tahu mereka dilayan seperti barang dagangan.

Bapa mereka dibayar 4,000 pound Mesir (RM2,162) supaya mengahwinkan anak mereka dan kebanyakan yang menjadi mangsa ialah gadis di bawah usia 16 tahun. Statistik menunjukkan sesetengah perkahwinan misfar menelan belanja hingga 100 juta riyal (RM82 juta) dan bertahan kurang dari sebulan, manakala 90 peratus lelaki Saudi meninggalkan anak yang lahir hasil daripada perkahwinan misfar. - Agensi

Polis terbabit curi dadah kes terpencil, kata Timbalan Ketua Polis Pahang

TEMERLOH: Anggota dan pegawai polis yang dipercayai terbabit mencuri dadah jenis syabu yang dirampas dalam serbuan terbesar negara di Rompin pada tahun lepas hanya kes terpencil dan tidak menggambarkan imej keseluruhan anggota polis.
Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, perkara itu berlaku kerana sifat tamak sesetengah anggota polis.
"Kita ada arahan dan peraturan yang sepatutnya diikuti tetapi ini berlaku kerana sifat tamak," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Temerloh di sini hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan berhubung kes itu telah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan daripada tuduhan mengedar 753,359 gram dadah di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin pada pukul 6.45 pagi, 2 Mei tahun lepas.

Ketika membuat keputusan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah yang dirampas itu milik tertuduh selain tidak memanggil dua saksi penting berhubung kes itu.

Mahkamah juga mahu beberapa anggota polis yang mengaku mencuri barang kes iaitu syabu seberat 40 kilogram ketika perbicaraan kes itu didakwa.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Penolong Pengarah Perjawatan (Audit II) di Jabatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Mohd Nor Mansor, 56, dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Temerloh yang baru menggantikan ACP Ahmad Fadzillah Mohamed berkuat kuasa hari ini.

Ahmad Fadzillah yang tidak sengaja mencederakan rakannya semasa memburu di Hutan Simpan Kemasul, Lanchang pada 18 Sept lepas pula mengambil alih tugas Mohd Nor.

Sharifuddin berkata pertukaran itu merupakan satu cabaran yang perlu ditempuhi dan diambil secara positif oleh Ahmad Fadzillah kerana ia mungkin mengandungi hikmah di sebaliknya.-Bernama

Wahid Don dibebas daripada tuduhan terima rasuah RM60,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don atas tuduhan menerima rasuah membabitkan wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh.
Hakim Rosbiahanin Arifin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Wahid, 57, didakwa menerima rasuah itu daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian, pada 10 Julai 2008 sebagai bayaran upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki negara ini.

Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta, pada 10.15 malam hari berkenaan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 17 Ogos tahun lalu, pihak pendakwaan telah memanggil 40 saksi termasuk bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar, Low dan beberapa ejen pekerja asing.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas mendengar keputusan hakim, Wahid menyatakan rasa syukur atas keputusan tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan moral kepadanya selepas dituduh di mahkamah.

Wahid yang berkhidmat selama 33 tahun dengan perkhidmatan kerajaan, berkata beliau akan kembali bertugas setelah dua tahun berhadapan dengan proses perbicaraan.

Wahid akan menyambut ulang tahun ke-58 kelahirannya pada bulan depan.

-Bernama

16 bantah roboh kedai

sumber
AMPANG: “Semalam hantar notis, hari ini (semalam) bawa jentera untuk robohkan gerai kami”. Antara luahan tidak berpuas hati 16 peniaga di Flat LC 700, Pandan Perdana mengenai tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merobohkan kedai mereka di sini, semalam


ROBOH...kakitangan MPAJ merobohkan kedai terbabit, semalam.
ROBOH...kakitangan MPAJ merobohkan kedai terbabit, semalam.

KUMPUL...peniaga mengumpulkan barang masing-masing.
KUMPUL...peniaga mengumpulkan barang masing-masing.
Proses merobohkan kedai tanpa lesen di flat berkenaan oleh MPAJ yang disertai kira-kira 50 pegawai penguat kuasa itu bermula seawal jam 10.30 pagi selepas peniaga selesai mengeluarkan barangan jualan.

Peniaga kedai minum, Ali Hashim, 66, berkata dia hanya menerima surat penolakan mengenai cadangan peniaga untuk menyusun atur kedudukan kedai bertarikh 12 Oktober lalu daripada MPAJ, kelmarin, sebelum mengedarkan kepada peniaga lain.

“Kira-kira jam 9 pagi, ketika sibuk membancuh minuman untuk pelanggan, saya dikejutkan dengan kehadiran pegawai MPAJ serta jentera berkenaan dan saya tak menyangka mereka akan bertindak sedemikian.

“Tindakan MPAJ itu dianggap menindas peniaga yang juga penduduk flat ini kerana kami langsung tidak diberitahu proses meroboh akan dilakukan hari ini (semalam).

“Kami bukan golongan berada dan bergantung hidup dengan kedai yang tidak seberapa ini. Selepas ini, saya pun tak tahu di mana tempat patut kami berniaga,” katanya.
Sementara itu, ahli jawatankuasa Komuniti Penyelenggaraan flat berkenaan, Hamidah Zainol, 46, berkata dia pernah menghantar surat cadangan bagi menyusun atur kedai terbabit sebelum menerima notis perpindahan berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Menurutnya, notis perpindahan berkenaan ditangguhkan sementara waktu berikutan MPAJ menerima surat cadangan daripada mereka.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata notis perpindahan dikeluarkan sejak 25 Ogos lalu dan menyatakan tindakan meroboh akan dilakukan pada 1 Oktober lalu, namun ia ditangguhkan sehingga 7 Oktober lalu.

Katanya, pihak MPAJ sudah memaklumkan mengenai tindakan berkenaan dan peniaga seharusnya lebih bersiap sedia menghadapinya.

Mengulas mengenai dakwaan kadar sewa mahal, Norhayati berkata, peniaga perlu mengambil inisiatif dengan mengadakan rundingan bersama pemilik medan selera berkenaan.

16 buruh China dihantar pulang

RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi menghantar pulang 16 buruh warga China yang bekerja di projek kereta api ringan Makkah selepas mereka mengadakan bantahan menuntut kenaikan gaji, lapor media Saudi, semalam.
Kira-kira 16 pekerja ditahan selepas melancarkan demonstrasi terhadap bayaran gaji menyebabkan beberapa kenderaan rosak, lapor akhbar Al-Watan memetik kenyataan jurucakap polis Makkah. Pekerja di projek itu kecewa dengan gaji rendah, tiada bayaran kerja lebih masa, di samping terpaksa menahan diri bekerja dalam suhu panas yang tinggi di Saudi. Beratus-ratus buruh warga China dibawa masuk oleh konsortium yang dimiliki Syarikat Kereta Api China untuk menyiapkan projek AS$1.8 bilion (RM5.54 bilion) sistem pengangkutan ringan untuk kemudahan jemaah yang berkunjung ke Tanah Suci.
- Agensi

Lihat isteri dimamah api

sumberKUALA LUMPUR: Seorang suami hanya mampu melihat isterinya terbakar di dalam kereta selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan ngeri di Kilometer 5.2, Jalan Taman Connaught, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pemandu kereta berusia 40-an itu sempat ditarik keluar oleh orang ramai yang cuba membantu sebaik menyedari kereta dinaiki mangsa mula terbakar.
Bagaimanapun, isteri mangsa yang tidak sedarkan diri dan tersepit di tempat duduk hadapan tidak dapat ditarik keluar sebelum kereta itu terbakar dan meletup beberapa kali.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Honda City yang dinaiki mangsa bersama suaminya dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan pelbagai guna Honda CRV.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta mangsa diheret kira-kira 100 meter. Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit berpusing dan merempuh pembahagi besi di tengah jalan sebelum terbakar,” katanya.

Menurutnya, beberapa pemandu kereta yang melihat kejadian itu membantu mengeluarkan mangsa sebaik menyedari api mula marak membakar kereta mangsa.

“Bagaimanapun, hanya suami mangsa berjaya dikeluarkan manakala isterinya, Loo Chooi Wen, 42, gagal diselamatkan. Identiti suami mangsa belum dikenal pasti.

“Pada masa sama, pemandu Honda CRV yang merempuh mangsa berjaya ditarik keluar oleh orang awam. Kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM),” katanya.

Bagaimanapun, pemandu CRV terbabit hanya cedera ringan.

Katanya, satu jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak dipanggil bagi memadamkan kebakaran sebelum mengeluarkan mayat mangsa yang rentung.

“Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
“Berdasarkan siasatan, polis menemui kesan brek pada permukaan jalan menunjukkan kenderaan terbabit cuba berhenti selepas berlanggar, namun diseret hingga merempuh besi penghadang jalan,” katanya.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tukang urut warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara

sumber
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana dituduh membunuh rakan senegaranya bulan lalu.
Tomei Zuan, 31, seorang tukang urut, hanya mengangguk tanda faham apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.
Tomei, yang tidak diwakili peguam, didakwa membunuh rakannya yang hanya dikenali sebagai Jack (umur dan pekerjaan tidak dinyatakan) di sebuah kediaman beralamat No 29-1 Jalan 2A/27A Seksyen 1 Wangsa Maju, di sini antara 5 pagi dan 7 pagi 27 Sept lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh membawa dihukum mati.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohd Hanifa.

Siti Shakirah kemudian menetapkan 15 Disember ini untuk sebutan semula kes.

-Bernama

Bayi mati dijaga pengasuh

sumber
PUTRAJAYA: “Anak saya membuka mata dan tersenyum apabila saya mengejutkannya dari tidur, malah kelihatan sihat ketika saya menghantarnya ke rumah pengasuh sebelum ke tempat kerja,” kata Nor Zulaihan Mustapa, 25, ibu kepada Muhammad Firdaus Hakim Faizal Hafiz, lima bulan yang meninggal dunia dipercayai terjatuh ketika dijaga pengasuh di pangsapuri Presint 14 di sini, Selasa lalu.


MAUT...Nor Zulaihan menunjukkan gambar anaknya yang meninggal dunia dipercayai terjatuh 
di rumah pengasuh.
MAUT...Nor Zulaihan menunjukkan gambar anaknya yang meninggal dunia dipercayai terjatuh di rumah pengasuh.

Anak sulung pasangan, Nor Zulaihan dan Faizal Hafiz Abdullah, 24, yang masing-masing bekerja dijaga pengasuh sejak lebih tiga bulan lalu.

Difahamkan, pengasuh yang menjaga arwah turut menjaga empat kanak-kanak lain termasuk dua kembar selain empat anaknya sendiri.

Kejadian itu yang ketiga membabitkan kematian bayi ketika dijaga pengasuh atau pusat asuhan di sini, dalam tempoh dua bulan selepas dua kes membabitkan kematian bayi masing-masing empat dan sembilan bulan, akibat tersedak susu.

Nor Zulaihan berkata, anaknya sihat dan sangat aktif malah sudah pandai meniarap serta tidak nampak sebarang perubahan atau tanda menunjukkan dia sakit.

“Biasanya pengasuh memaklumkan kepada saya jika anak meragam, tetapi pada hari itu (kejadian) saya tidak menerima sebarang mesej.
“Bagaimanapun, saya menghubungi pengasuh bagi mengetahui keadaan anak saya dan dimaklumkan pengasuh anak saya baik dan aktif serta suka meniarap,” katanya ketika ditemui Harian Metro di bilik mayat Hospital Putrajaya di sini, semalam.

Sambil menitiskan air mata, Nor Zulaihan berkata, dia reda dan menerima pemergian anak sulungnya itu.
Mengimbas kembali insiden itu, dia menerima panggilan pengasuh kira-kira jam 1 tengah hari supaya mengambil anaknya dengan segera kerana dimaklumkan bayinya itu berada dalam keadaan sungguh lemah.

Menurutnya, dia meminta suami yang kebetulan berada di rumah kerana bekerja syif malam mengambil anak mereka.

“Ketika suami mengambil anak, Firdaus sudah lembik dan tidak sedarkan diri, malah badannya biru selain ada kesan darah pada hidungnya. Melihat keadaan anak yang kritikal suami menghantarnya ke hospital.

“Ketika diberi rawatan kecemasan, denyutan jantung anak berhenti menyebabkan doktor memberikan kejutan elektrik... selepas itu baru jantungnya kembali berdenyut, tetapi dia masih tidak sedarkan diri,” katanya.

Nor Zulaihan berkata, arwah kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), namun bayi malang itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi semalam, selepas lebih 24 jam bertarung dengan maut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan doktor mendapati ada pendarahan pada otak, tetapi tidak begitu ketara dan ia tidak boleh menjadi punca kematian bayi terbabit.

“Doktor membuat bedah siasat petang ini (semalam) untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Katanya, suaminya membuat laporan di Balai Polis Daerah (IPD) Putrajaya, petang kelmarin kerana mengesyaki mangsa didera berikutan terdapat pendarahan dalam kepala, selain hidungnya berdarah.

“Jika laporan bedah siasat mendapati anak saya didera, saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengesah sama ada bayi terbabit didera atau sebaliknya kerana berdasarkan keterangan pengasuh, bayi terbabit jatuh di rumah menyebabkan hidung dan kepalanya berdarah.

“Kita tunggu keputusan bedah siasat,” katanya.

Kaki bogel lupa tutup pintu rumah didenda

sumber
AYER KEROH - Gara-gara berbogel tanpa menutup pintu kediamannya, seorang pemuda didenda Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah mempamerkan tubuh badannya kepada seorang pelajar perempuan institut pengajian tinggi (IPT), bulan lalu. 

Tertuduh, Teh Zhi Yong, 28, mengaku bersalah selepas faham pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Fairuz Johari. 

Berdasarkan pertuduhan, Zhi Yong yang tinggal di rumah sewanya di Apartment Jayamuda dengan sengaja mempamerkan tubuh badan dalam keadaan berbogel kepada Hasliza Mokhtar, 23, pada 27 September lalu, kira-kira jam 8 pagi. 

Zhi Yong didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil yang boleh didenda tidak lebih daripada RM100 jika sabit kesalahan. 

Mohd Fairuz sebelum menjatuhkan hukuman meminta tertuduh mengubah sikap dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan memalukan itu. 

“Kenapa awak nak bogel, tak boleh ke pakai seluar pendek atau sekurang-kurangnya tuala walaupun di dalam rumah dan kenapa awak tak tutup pintu, tak malu ke dengan orang yang lalu-lalang di hadapan rumah awak?” katanya. 

Jawapan ‘lupa menutup pintu’ yang keluar daripada mulut tertuduh menyebabkan orang ramai termasuk majistret tersenyum dan ketawa. 

Mohd Fairuz kemudian menjatuhkan hukuman denda maksimum RM100 terhadap tertuduh atau satu bulan penjara jika tidak membayar denda. 

Berdasarkan fakta kes, pengadu (Hasliza) yang mahu ke kelas melihat tertuduh baring dalam keadaan bogel di lantai rumahnya. 

Pengadu mendakwa perkara sama sering berlaku dan tertuduh sengaja membuka pintu rumahnya apabila dia dan rakan lain melalui pintu hadapan rumah.

Bayi koma akibat gegaran otak

sumber
SHAH ALAM – Seorang bayi lelaki, :berusia tiga bulan, koma, setelah dipercayai mengalami gegaran otak semasa ditinggalkan ibu bapanya di rumah pengasuh, kelmarin. 

Mangsa dikenali Mohd Adam Haikal, kemudian dihantar ibu bapanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kira-kira jam 6.30 petang. 

Menurut sumber, gegaran otak itu dipercayai berpunca daripada katil buaian di rumah pengasuh terbabit. 

Katanya, sebelum itu, pengasuh wanita berusia 40-an, memaklumkan keadaan bayi itu kepada ibu bapanya yang tinggal di Desa Mentari, Petaling Jaya. 

“Pasangan itu diberitahu bahawa anaknya mengalami kekejangan otot dan mata kemerahan. 

“Bayi itu terus di bawa ke PPUM dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya. 

Pasangan suami isteri itu menghantar bayi mereka ke rumah pengasuh terbabit kira-kira dua bulan lalu. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan laporan polis yang dibuat oleh bapa bayi terbabit. 

“Laporan mengatakan mangsa mengalami gegaran otak dan kita sedang menyiasat punca kejadian itu berlaku,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (C) Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2002.

‘Perkampungan’ pendatang diserbu

sumber


SUNGAI BULOH – Sebuah tapak semaian berhampiran Hospital Sungai Buloh dekat sini bukan saja menempatkan ‘perkampungan’ pendatang asing tanpa izin, tapi turut menjadi tempat berkumpul pendatang lain terdiri daripada ahli keluarga mereka, bagi menyambut Aidilfitri, baru-baru ini.

Dalam kawasan seluas lebih kurang 10 ekar itu, terdapat perumahan haram yang boleh menempatkan lebih 100 penghuni.

Pada siang hari, tapak semaian itu tidak memperlihatkan kehadiran pendatang asing yang ramai, tetapi senario itu berubah bila menjelang malam.

Bukan hanya tidur dalam rumah yang dibina, malah longkang berhampiran Plaza Tol Hospital Sungai Buloh juga dijadikan tempat tidur dengan beralaskan papan lapis.

Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 3 pagi semalam, seramai 30 termasuk tujuh wanita warga Indonesia, berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun, diberkas.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Johari Supardi berkata, kegiatan mereka terbongkar selepas pihaknya melakukan risikan selama seminggu dengan menyamar sebagai pembeli di tapak semaian berkenaan.

“Berdasarkan risikan itu, kami menyerbu tapak semaian itu dan hasilnya kami memberkas semua mereka yang didapati melanggar kesalahan antaranya tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan.

“Semua mereka akan ditahan lanjut untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke pusat tahanan,” katanya, semalam.

Sinar Harian yang turut sama dalam operasi itu melihat beberapa pendatang asing berjaya meloloskan diri daripada diberkas penguat kuasa.

Di situ juga terdapat ‘lubang-lubang tikus’ yang dijadikan laluan masuk pendatang asing ke ‘perkampungan’ itu, yang dihuni sejak dua tahun lalu.

Mengulas lanjut, Johari berkata, pemilik tapak semaian itu akan dikesan bagi membantu siasatan dan jika didapati bersalah, individu itu boleh dikenakan tindakan kerana dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahuinya melanggar peruntukan akta.

“Pendatang asing tanpa izin yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 6 (1)(C) dan seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002,” katanya.

Gas bocor, 9 pelajar ke hospital




GUAR CEMPEDAK - Sembilan pelajar Sekolah Menengah Guar Chempedak dimasukkan ke Hospital Yan kerana terhidu gas amonia yang dilepaskan oleh sebuah kilang berhampiran, pagi semalam. 

Sebelum itu, pelajar terbabit dikatakan mengalami muntah dan pening. 

Guru sekolah berkenaan, Rozimah Mohd Zain berkata, pelajar Tingkatan Tiga sekolah itu berkumpul di dewan sekolah untuk melakukan aktiviti kerana tidak lagi belajar setelah selesai menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). 

“Kira-kira jam 9.30 pagi, apabila terbau gas amonia, pihak sekolah mengeluarkan siren lalu menyuruh semua pelajar berkumpul di dewan. 

“Kami memberi topeng muka kepada pelajar untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Namun begitu, sembilan pelajar mengalami pening dan muntah,” katanya ketika ditemui. 

Menurutnya, pihak sekolah segera menghubungi ambulans untuk membawa beberapa pelajar yang mengalami gejala serius ke hospital manakala yang lain dibawa oleh guru. 

Seorang pelajar, Nurul Izwarina Mohd Khorazi berkata, dia mengalami pening dan loya secara tiba-tiba:. 

Gas itu dikatakan dilepaskan oleh sebuah kilang membuat baja urea berdekatan. 

Bagaimanapun, usaha mendapatkan maklum balas daripada pengurusan kilang terbabit gagal. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Yan, Hasbullah Mohd Isa, ketika ditemui mengesahkan kejadian berkenaan.

Pelombong terakhir dibawa keluar



sumber

2010/10/15

MANGSA terakhir,   Luis Urzua melambai ke arah wartawan ketika di bawa ke hospital    Chile, semalam.
MANGSA terakhir, Luis Urzua melambai ke arah wartawan ketika di bawa ke hospital Chile, semalam.
Semua mangsa runtuhan lombong di Chile sihat

SAN JOSE: Semua 33 pelombong yang terperangkap pada kedalaman 700 meter di sebuah lombong di tengah Chile, berjaya dibawa keluar malam semalam, sekali gus mengakhiri misi menyelamat selama 22 setengah jam dan penantian lebih dua bulan yang menarik perhatian seluruh dunia.Ketika pelombong terakhir, Luis Urzua keluar dari lif khas yang membawanya ke permukaan, lebih 2,000 orang yang setia menunggu, bersorak dan bertepuk tangan menyambut kejayaan melaksanakan operasi menyelamat tanpa sebarang masalah.Semua pelombong juga berada dalam keadaan sihat dan wajah yang bersih, manakala sebilangan mereka menggenggam buku lima menandakan kegembiraan sebaik dapat menikmati ‘kebebasan’.

Keseluruhan operasi penyelamat dilapor menelan belanja lebih AS$22 juta (RM70.4 juta), walaupun kerajaan bertegas bahawa wang tidak menjadi isu.

“Kami berjaya melakukan sesuatu yang dinantikan seluruh dunia. “Perjuangan hebat selama 70 hari tidak sia-sia. Kami mempunyai kekuatan dan semangat untuk terus berjuang demi keluarga yang mengharap dan ia adalah sesuatu paling hebat,” kata Urzua kepada Presiden Chile, Sebastian Pinera sejurus beliau diselamatkan.

Pinera ketika menjawab kata-kata Urzua memberitahunya: “Anda dan negara kita akan berubah selepas ini. Anda adalah sumber inspirasi. Pergilah segera peluk isteri dan anak perempuan anda.” 
Beliau bersama Urzua kemudian mengetuai orang ramai menyanyikan lagu kebangsaan Chile.

Pegawai berkata, operasi menyelamat melebihi jangkaan yang ditetapkan kerana pada awalnya mereka menyangka ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat bulan sebelum pelombong boleh dibawa keluar.

Mereka juga menganggarkan masa 36 hingga 48 jam diperlukan untuk membawa keluar semua pelombong ke permukaan, bagaimanapun keseluruhan operasi hanya mengambil masa 22 jam 37 minit.

Pekerja penyelamat terakhir daripada sepasukan enam anggota yang mengendalikan kerja membawa pelombong, dibawa ke permukaan pada jam 12.32 tengah malam waktu tempatan semalam, sebelum dipeluk ketuanya dan Pinera.

Orang ramai yang berhimpun di kaki bukit berhampiran terowong menyelamat, mengadakan majlis keramaian dan melepaskan belon ke udara menandakan kegembiraan, manakala di ibu negara Chile, Santiago, beratus-ratus orang berhimpun di Plaza Italia, sambil mengibarkan bendera dan melaungkan kata-kata semangat ketika setiap pelombong diselamatkan. – AP 

'Bom Filipina' musnah terumbu


Oleh Kandau Sidi
kandausidi@bharian.com.my
2010/10/15

Banyak khazanah laut terutama batu karang di perairan Pulau Sari mati 

MIRI: Sejenis bahan letupan dikenali sebagai 'Bom Filipina' yang digunakan untuk menangkap ikan dikatakan punca kebanyakan terumbu karang di khazanah laut di kawasan perairan Pulau Sari dekat Lawas, mati.Difahamkan batu karang jenis lembut dan keras yang menjadi tempat pembiakan ikan, sebelum ini banyak terdapat di kawasan berhampiran pantai terbabit mati akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu.Seorang penyelam, Vincent Gungang, 32, yang sempat merakamkan gambar mengenai kemusnahan terumbu karang yang berlaku akibat ‘Bom Filipina’ itu berkata, hampir semua kawasan terumbu karang di perairan itu dibom. 

Beliau berkata, kebanyakan batu karang yang di kawasan Pulau Sari, Kuala Punang, dan sekitarnya juga musnah akibat perbuatan itu. 

“Batu karang yang sudah musnah memerlukan jangka masa yang lama untuk kembali pulih. 

“Sekarang tempat pembaikan ikan yang terdapat di kawasan berkenaan sudah banyak musnah dibom. Hanya beberapa kawasan saja yang belum diusik dan perlu dilindungi,” katanya kepada Berita Harian. 
Beliau mendakwa kedalaman air di kawasan yang musnah itu ialah sekitar lima hingga sepuluh meter. 

Kebanyakan batu karang yang mati bertukar warna daripada putih kepada warna kehitaman. 

“Banyak kawasan pembaikan ikan di perairan berkenaan sudah lenyap,” katanya selain mendakwa landak laut turut menjadi ancaman baru kemusnahan batu karang di kawasan itu. 

Beliau berkata, ratusan ekor landak laut boleh dijumpai jika kita menyelam di kawasan batu karang berkenaan. 

“Landak laut ini memakan batu karang dan memusnahkan hidupan laut yang terdapat di kawasan berkenaan. Ini adalah satu daripada ancaman baru yang berlaku kepada terumbu karang di kawasan Lawas,” katanya. 

Sementara itu, nelayan tempatan mendakwa perbuatan mengebom ikan berkenaan dipercayai dilakukan nelayan asing, yang datang dari Labuan. 

“Mereka menggunakan bot laju berkembar di kawasan antara Lawas dan Labuan. Mereka bom ikan dengan pantas dan selepas mengutipnya mereka akan memecut bot dengan laju balik ke pulau bebas cukai berkenaan,” katanya yang enggan namanya disiarkan. 

Nelayan itu berkata, perbuatan mengebom ikan berkenaan tidak semestinya dilakukan oleh orang asing tetapi rakyat tempatan sendiri. 

“Cuma kaedah mengebom ikan yang digunakan berkenaan ditiru daripada nelayan Filipina. Sebab itu ia dikenali sebagai ‘Bom Filipina’,” katanya. 

Beliau berkata, di kawasan perairan Labuan sendiri kebanyakan kawasan batu karangnya sudah pun musnah akibat perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan. 

Ancaman ribut

sumber
Oleh Safuri Kamarudin
bhnews@bharian.com.my
2010/10/15

Bencana di beberapa kampung di Baling akibatkan kerosakan rumah, kenderaan 

BALING: Lebih 60 rumah di beberapa kampung di sini mengalami kerosakan, kebanyakannya di bahagian bumbung dalam kejadian ribut yang disusuli hujan lebat tengah hari kelmarin.Antara kampung yang terbabit dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, termasuk Kampung Haji Abas, Kampung Bawah Gunung, Kampung Asam Jawa, Kampung Pokok Sena, Kampung Pulai dan Kampung Bongor serta sekitar pekan ini.Selain itu, turut mengalami kerosakan ialah sebahagian bumbung Stesen Teksi Baling di sini, yang tercabut diterbangkan angin menyebabkan ia menimpa lima kenderaan, termasuk masing-masing dua teksi dan dua kereta persendirian dan satu motosikal yang diletakkan di situ. 

Seorang pemandu teksi, Yusuf Ramli, 55, berkata ketika kejadian dia sedang duduk berbual bersama rakannya tidak jauh dari stesen teksi berkenaan apabila tiba-tiba angin bertiup kencang. 

“Apabila mendapati angin semakin kuat dan ia membentuk satu pusaran saya melaungkan azan dan tidak lama selepas itu saya terdengar bunyi dentuman kuat yang berpunca daripada sebahagian bumbung stesen teksi di sini tercabut dan menimpa kenderaan yang diletakkan di situ. 

“Nasib baik tiada orang ramai yang cedera dalam kejadian itu kerana semua sempat berlindung,” katanya ketika ditemui di sini. 
Yusuf berkata, ketika itu dia juga ternampak beberapa keping bumbung rumah kedai yang terletak berhampiran stesen teksi itu diterbangkan angin kencang sejauh kira-kira 100 meter. 

Rakannya, Mohd Zakri Shamsudin, 43, berkata, ketika kejadian dia baru saja meletakkan teksinya di stesen berkenaan dan beredar ke restoran berhampiran untuk makan tengah hari. 

“Bumbung stesen teksi yang jatuh itu menimpa teksi saya yang diletakkan di situ menyebabkan sedikit kerosakan. 

“Namun, saya bersyukur kerana ketika bumbung itu jatuh saya sudah beredar dari situ, jika tidak mungkin akan mengakibatkan kecederaan,” katanya. 

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata, anggota pasukan itu dengan bantuan pelbagai agensi lain, termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Majlis Daerah Baling (MDB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dikerah membantu penduduk yang terjejas dalam kejadian itu. 

Katanya, JKM juga sedang membuat penilaian mengenai tahap kerosakan harta benda penduduk terbabit dan setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. 

Pantai berhantu


Oleh Kandau Sidi
kandausidi@bharian.com.my
2010/10/15

15 kes lemas dilaporkan sejak sepuluh tahun lalu 

MIRI: Amaran tidak diendah, larangan tidak dipatuhi - itulah keadaan yang berlaku di Pantai Tanjung Lobang dekat sini.Biar pun terpampang tanda amaran melarang pengunjung mandi, bermain ombak dan mendekati kawasan pantai Tanjung Lobang, namun ia sama sekali tidak diendahkan. Orang ramai, khususnya pada hujung minggu ternyata tidak menghiraukan keselamatan mereka dan terus mandi-manda serta bermain ombak di tepi pantai berkenaan, tanpa menghiraukan bahaya yang boleh menimpa.
Mereka bagaikan tidak peduli dengan ombak tinggi dan berbahaya, terutama ketika cuaca tidak menentu seperti sekarang, menjelang musim tengkujuh. 

Bukan tidak pernah berlaku, sudah 15 kes lemas dilaporkan di situ sejak 10 tahun lalu, termasuk dua kes awal tahun ini, sehingga ada kalangan penduduk tempatan menyifatkan pantai itu sebagai ‘berhantu’. 

Namun bagaikan tidak takut dan tidak serik, masih ramai yang mandi-manda di situ terutama pada hujung minggu. 
Seorang pengawal keselamatan yang enggan namanya disiarkan berkata, pengunjung tidak takut mandi dan bermain ombak di kawasan pantai itu walaupun mereka mengetahui bahaya sentiasa menunggu. 

“Sekarang cuaca tidak menentu, ombak besar dan angin kencang berlaku di utara negeri ini sejak seminggu lalu. Namun, masih ada juga pengunjung yang tidak takut mandi dan bermain ombak di pantai Tanjung Lobang. 

“Kita sudah letak papan tanda dan notis amaran melarang mereka berbuat demikian, namun masih ramai yang berdegil,” katanya kepada Berita Harian. 

Difahamkan terdapat pasir jerlus di kawasan tepi pantai itu, sehingga menyebabkan mereka yang tidak pandai berenang mudah terperangkap dan lemas dihanyutkan arus deras atau ombak besar. 

Selain terkenal di kalangan penduduk tempatan, pantai Tanjung Lobang juga antara destinasi popular dijadikan sebagai tempat riadah pelancong negara jiran dari Brunei Darussalam. 

Penduduk Miri, Jimbai Undik, 37, berkata sebelum ini ada cadangan dikemukakan pihak berkuasa tempatan supaya mewujudkan pasukan keselamatan seperti meletakkan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) bertugas di pantai itu seperti yang dilakukan dekat pantai Luak khususnya pada hujung minggu. 

“Namun, sehingga sekarang usaha berkenaan belum diambil. Inilah kelemahan kita, yang mana kita hanya bertindak apabila ada berlaku sesuatu kejadian buruk. Selepas beberapa ketika kita mudah lupa terhadap tindakan yang dibincangkan. Ini tidak sepatutnya berlaku," katanya. 

Sementara itu, tinjauan Berita Harian mendapati masih ramai pengunjung bermain dan mandi-manda di pantai berkenaan, termasuk ibu bapa yang membawa anak-anak kecil berkelah pada hujung minggu.