Search This Blog

Thursday, October 14, 2010

Pelatih PLKN ingkar bakal dikena hukuman khidmat masyarakat





2010/10/14

IPOH: Pelatih yang ingkar menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bakal dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) yang akan dilaksanakan tahun depan, kata Pengarah Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia, Zaimi Abdul Rali. 

Beliau berkata, hukuman berkenaan akan dijalankan selepas mendapat perintah mahkamah."Lebih 6,733 pelatih ingkar dicatatkan sehingga tahun 2007 dan jumlah ini dijangka meningkat pada tahun akan datang."Bagaimanapun, hukuman dikenakan selepas ada perintah mahkamah. Antara kesalahan adalah pelatih tidak hadir ke PLKN atau hilangkan diri dari kem latihan," katanya kepada pemberita selepas taklimat Perluasan Tempat Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat ke Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini hari ini. 

Zaimi berkata, pesalah akan melakukan kerja khidmat masyarakat tidak lebih 240 jam dengan menjalankan pelbagai kerja biasa yang dijalankan oleh petugas PBT. 

Beliau berkata, PKM adalah hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah ke atas pesalah muda dalam lingkungan umur 18 hingga 21 tahun yang pertama kali melakukan kesalahan ringan daripada sudut undang-undang. 

"Mengikut statistik Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), seramai 716 peserta dari Perak gagal menghadiri program dan jumlah itu menjadikan negeri itu keempat teramai dari seluruh negara," katanya. 
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr Mah Hang Song, berkata perluasan program PKM ke PBT akan membantu dan memanfaatkan PBT meningkatkan pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan. 

"Kehadiran pelatih (yang dihukum) secara tidak langsung dapat membantu membersihkan kawasan, urusan landskap dan sebagainya. Selain menjalankan hukuman, mereka juga menyumbangkan bakti dan tenaga serta pelatih juga akan lebih menghargai peranan pekerja di PBT," katanya. - BERNAMA

Saksi kes kematian Aminulrasyid dengan 10 tembakan




2010/10/14

SHAH ALAM: Seorang saksi dalam perbicaraan kes seorang anggota polis dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, di Seksyen 11 di sini 26 April lalu, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau terdengar lebih 10 tembakan pada hari kejadian. 

Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, 28, seorang penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), berkata beliau terdengar bunyi seakan-akan letupan mercun yang diselangi bunyi siren kereta polis sebelum mendengar bunyi dentuman seperti bunyi objek melanggar dinding."Ketika sedang membuat kerja di komputer di tingkat dua rumah saya, saya terdengar bunyi seperti 'tap' yang datang dari arah Jalan Tarian 11/2, dan kemudian mendengar bunyi 'tap-tap-tap-tap-tap' secara berterusan yang makin lama makin kuat dan dekat menghampiri rumah saya."Seterusnya bunyi itu diselangi dengan bunyi siren polis dan bunyi siren polis pun makin lama makin kuat kedengaran. Akhir sekali saya dengar bunyi dentuman yang sangat kuat seperti bunyi objek melanggar dinding," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar. 

Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lalu. 

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Zafrullah berkata, beliau kemudian bergegas ke tingkap rumahnya dan ternampak sebuah kereta yang sudah terlanggar dinding serta dua kereta polis yang sedang mengepung kereta itu. 
"Seterusnya saya pergi ke tebing rumah saya dan ternampak seorang lelaki sedang berlari ke arah bertentangan Jalan Tarian 11/2 sambil beberapa anggota polis mengejar dengan menjerit ke arah lelaki itu 'jangan lari'," katanya. 

Saksi ke-15 pendakwaan itu berkata, beliau kemudian pergi ke tempat kejadian 30 meter dari rumahnya yang di Jalan Silat Gayung 11/3A. 

Zafrullah berkata, apabila tiba di tempat kejadian, beliau melihat sebuah Iswara Aeroback putih yang telah melanggar dinding dan ternampak satu mayat dalam keadaan kepalanya tersembam di tempat duduk pemandu yang pintunya terbuka manakala bahagian badan dan kaki mayat itu berada di luar kereta. 

"Lelaki itu berpakaian T-shirt lengan pendek dan seluar pendek paras lutut tetapi saya tidak dapat cam mukanya," katanya. 

Saksi itu berkata, beliau turut melihat beberapa kereta polis, anggota polis dan beberapa orang awam di tempat kejadian. 

Ditanya Mohd Dusuki bagaimana beliau mengetahui bahawa bunyi letupan yang beliau dengar dari rumahnya adalah bunyi tembakan, Zafrullah berkata beliau mengagak ia bunyi tembakan selepas melihat kesan tembakan pada cermin belakang kereta itu. 

Mohd Dusuki: "Adakah awak tahu identiti mayat itu pada bila-bila masa?" 

Zafrullah: "Pada masa itu saya tidak tahu tetapi saya tahu (identiti) keesokan harinya. Mayat itu adalah Aminulrasyid yang merupakan adik kepada kawan saya dan saya memang kenal mangsa serta keluarganya yang tinggal di rumah No: 26, Jalan Makyong." 

Beliau berkata, rumah Aminulrasyid terletak kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian. 

Hakim Latifah Mohd Tahar kemudian menetapkan 19 Oktober ini untuk pihak mahkamah, pihak pendakwaan dan pembelaan melawat tempat kejadian. - BERNAMA 

Tiga pengawah dan seorang bekas pengarah didakwa atas 796 tuduhan pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR: Tiga pengarah dan seorang bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan jongkong emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 796 pertuduhan pengubahan wang haram, tiga tahun lalu, yang membabitkan urus niaga bernilai ratusan juta Ringgit.
Kesemua pertuduhan itu melibatkan 364 cek melalui Public Bank, masing-masing antara RM100,000 sehingga RM4 juta untuk pelbagai kegunaan.
Mereka ialah Pengarah Syarikat Genneva Sdn Bhd iaitu Ng Poh Weng, 60, Marcus Yee Yuen Seng, 58, Chin Wai Leong, 34, dan seorang bekas pengarah syarikat itu, Liew Chee Wah, 56.

Ng, yang menghadapi 263 pertuduhan, didakwa membabitkan diri dalam transaksi hasil daripada suatu aktiviti haram iaitu dengan mengeluarkan beberapa keping cek berjumlah RM185,146,570.10, yang mana jumlah itu adalah hasil aktiviti haram antara 10 Jun 2008 hingga 27 Julai 2009.

Marcus, yang menghadapi 234 pertuduhan, didakwa melakukan kesalahan yang sama membabitkan RM153,324,636.00 pada 20 Julai 2007 hingga 20 Julai 2009, dan Chin yang menghadapi 210 pertuduhan, didakwa melakukan kesalahan yang sama melibatkan RM212,992,466.50 pada 10 Jun 2008 hingga 6 Disember 2009.

Liew yang menghadapi 89 pertuduhan, didakwa melakukan kesalahan yang sama melibatkan RM31,332,757.80 pada 20 Julai 2007 hingga 3 Februari 2008.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad Cawangan Kuala Lumpur City Main Office, Tingkat Bawah Menara Public Bank, 146 Jalan Ampang di sini, dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan keganasan 2001, yang dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) Akta. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM5 juta.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haziq Razali menawarkan jaminan sebanyak RM4 juta dan seorang penjamin bagi setiap tertuduh manakala pasport antarabansga mereka diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Ng, Marcus dan Chin merayu agar jaminan dikurangkan kerana akaun peribadi semua tertuduh dibekukan; dan mereka juga memerlukan pasport antarabangsa bagi meneruskan usaha perniagaan ke Singapura, Hong Kong dan China.

Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan Ng, Marcus dan Chin diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin bagi setiap seorang manakala Liew diikat jamin RM800,000 dengan dua orang penjamin dan memerintahkan kesemua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Rozana menetapkan 16 November depan untuk sebutan semula kes.-Bernama

Cubaan seludup minyak, diesel dipatahkan



14/10/2010 8:58pm

BUKIT KAYU HITAM – Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 1,400 liter petrol dan 800 liter diesel di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam hari ini.
Petrol tersebut bernilai RM2,900 sementara diesel bernilai RM1,320.
Komander UPP Kedah, Mohd Jasri Othman berkata, ketika rondaan tengah hari tadi, Komandan UPP Bukit Kayu Hitam, Muhammad Zunaidi Abdullah bersama tujuh anggota mendapati sebuah kereta jenis Honda dan empat buah pikap jenis Toyota Hilux milik rakyat Thailand sedang mengisi minyak di kawasan tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati kenderaan berkenaan telah diubah suai dengan meletakkan tangki tambahan pada bahagian belakang kenderaan dan di bahagian tempat duduk penumpang serta ditutup dengan pengalas tempat duduk.
"Kesemua pemandu kereta dan pikap tersebut ditahan dan kes ini diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di pejabat UPP Bukit Kayu Hitam di sini hari ini. – Bernama

Siswazah didakwa edar dadah kanabis


14/10/2010 8:02pm

KUALA TERENGGANU - Seorang siswazah lulusan ijazah pemasaran dari sebuah universiti tempatan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis, berdepan dengan hukuman mati mandotari jika sabit kesalahan.
Mohamad Abdul Rahman, 28, yang berasal dari Kampung Bukit Parit, Marang didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,400 gram, satu kesalahan mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tertuduh yang bekerja sebagai peniaga kain sutera didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10 pagi, 3 Oktober lalu di sebuah rumah di Lot 420, Kampung Tok Jamal, Wakaf Mempelam.
Tertuduh hanya tunduk dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Nor Azizah menetapkan 6 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohamad Ramlan Taib.
Media sebelum ini melaporkan polis yang membuat serbuan ke rumah tertuduh pada 3 Oktober lepas menemui dadah bernilai hampir RM100,000 disimpan di dalam bilik. Hasil siasatan mendapati tertuduh positif dadah jenis sama. - Bernama

Petrol, diesel di Perairan Bohey Dulang dirampas



14/10/2010 8:24pm

SEMPRONA – Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini berjaya merampas 6,030 liter petrol dan 4,290 liter diesel, yang cuba diseludup keluar ke negara jiran malam tadi, di kawasan perairan Bohey Dulang.
Pegawai Pemerintah PGA, Batalion Ke-14, Supt Khaled Che Lah berkata, minyak petrol dan diesel yang disimpan dalam tong plastik dirampas kira-kira pukul 9 malam dari sebuah bot panjang oleh anggota PGA yang menjalankan tugas rondaan di kawasan perairan Bohey Dulang.
Katanya, turut dirampas adalah 170 kilogram (kg) minyak masak, 55kg gula pasir dan sembilan tong gas memasak.
"Juragan bot berkenaan dan 10 orang penumpang di atas bot itu, termasuk dua wanita, berusia antara 9 hingga 54 tahun, turut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kesemua barangan rampasan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. – Bernama

4 didakwa atas 796 tuduhan pengubahan wang haram


14/10/2010 9:06pm

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Tiga pengarah dan seorang bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan jongkong emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 796 pertuduhan pengubahan wang haram, tiga tahun lalu, yang melibatkan urus niaga bernilai ratusan juta ringgit.
Kesemua pertuduhan itu melibatkan 364 cek melalui Public Bank, masing-masing antara RM100,000 sehingga RM4 juta untuk pelbagai kegunaan.
Mereka ialah Pengarah Syarikat Genneva Sdn Bhd iaitu Ng Poh Weng, 60; Marcus Yee Yuen Seng, 58; Chin Wai Leong, 34; dan seorang bekas pengarah syarikat itu, Liew Chee Wah, 56.
Poh Weng, yang menghadapi 263 pertuduhan, didakwa melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada suatu aktiviti haram iaitu dengan mengeluarkan beberapa keping cek berjumlah RM185,146,570.10, yang mana jumlah tersebut adalah merupakan hasil aktiviti haram antara 10 Jun 2008 hingga 27 Julai 2009.
Marcus Yee, yang menghadapi 234 pertuduhan, didakwa melakukan kesalahan yang sama melibatkan RM153,324,636.00 pada 20 Julai 2007 hingga 20 Julai 2009, dan wai Leong yang menghadapi 210 pertuduhan, didakwa melakukan kesalahan yang sama melibatkan RM212,992,466.50 pada 10 Jun 2008 hingga 6 Disember 2009.
Chee Wah yang menghadapi 89 pertuduhan, didakwa melakukan kesalahan yang sama melibatkan RM31,332,757.80 pada 20 Julai 2007 hingga 3 Februari 2008. – Bernama

Dua hadapi tuduhan mencabul

http://www.sinarharian.com.my

KUALA LUMPUR – Seorang bekas polis dan seorang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencabul di mahkamah yang berlainan di sini, semalam. 

Asbarudin Hasan, 29, bekas polis mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Jenayah. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah teksi di kawasan Taman Desa, Brickfields pada jam 1.45 petang, 1 Oktober lalu. 

Asbarudin dituduh menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa berumur 25 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatannya. 

Sementara itu, Mohd Shopon Ali, seorang warga Bangladesh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam stor simpanan barang di sebuah stesen minyak di Sentul, jam 12.30 malam, 26 September lalu. 

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa berumur 22 tahun yang juga penolong pengurus di stesen itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Lima rentung, 3 krew hilang pesawat kargo terhempas




2010/10/14

KABUL: Lima mayat rentung ditemui dari bangkai pesawat kargo yang terhempas di kawasan puncak gunung di timur Afghanistan semalam, manakala tiga lagi krew kapal masih hilang. 

Ketua polis, Jeneral Zulmayi Horya Khail, berkata pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang hilang dan dibimbangi maut di sekitar lokasi nahas dan kawasan berhampiran.Pesawat malang itu terhempas sejurus berlepas dari pangkalan udara Bagram kira-kira jam 8 malam waktu tempatan. Punca sebenar nahas bagaimanapun belum diketahui dan sedang disiasat berikutan kejadian berlaku ketika cuaca cerah.Saksi berhampiran tempat kejadian berkata beliau melihat sisa pesawat di kawasan pergunungan itu pada malam kelmarin. 

Beratus-ratus anggota pasukan keselamatan Afghanistan yang bersenjatakan M-16 kini berkumpul di kaki gunung itu untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Asap kelihatan berkepul dari lokasi nahas hingga beberapa ratus meter. 

“Pasukan kami ditugaskan mengawal keselamatan kawasan sekitar nahas dan sedang menunggu arahan lanjut daripada kementerian pertahanan,” kata Panglima Angkatan Tentera Afghanistan, Kolonel Abdul Malik. 

Pengarah Lapangan Terbang Kabul Mohammad Yaqub Rassuli berkata pesawat itu membawa bekalan untuk tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Beliau berkata pihaknya percaya tiada mangsa nahas yang terselamat. 
NATO dalam kenyataannya berkata, nahas berlaku kira-kira 30 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul, sejurus berlepas. – AP 
sumber-http://www.bharian.com.my

Pesawat AS serang Pakistan, empat maut


14/10/2010 2:33am

MIRANSHAH, Pakistan 14 Okt. - Sebuah pesawat penyerang tanpa juruterbang milik Amerika Syarikat (AS) menyerang sebuah kawasan kabilah di barat laut negara ini hingga menyebabkan sekurang-kurangnya empat anggota militan maut semalam.
Pesawat tersebut mensasarkan serangan ke atas sebuah rumah di kampung Inzarkas di kawasan Dattakhel, kira-kira 35 kilometer dari barat Miranshah, bandar utama di Waziristan Utara.
"Pesawat itu melepaskan dua peluru berpandu ke atas rumah itu, sekurang-kurangnya empat anggota militan maut," kata seorang pegawai perisik di Miranshah memberitahu AFP. - AFP

7 pegawai Imigresen: Hukuman ISA berdasarkan undang-undang



14/10/2010 5:24pm

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Hukuman tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas tujuh kakitangan Jabatan Imigresen yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia tidak harus dilihat sebagai hukuman berat, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman.
Beliau berkata, sebaliknya hukuman itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada berdasarkan bukti kukuh yang dikumpul polis.
"Tindakan ISA itu satu keputusan yang telah pun difikirkan oleh kerajaan.
"Biasalah pada kita yang tak tahu (hasil siasatan) ni, mesti kita kata keraslah, kejamlah dan sebagainya," katanya di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mendedahkan sembilan individu terdiri tujuh kakitangan Jabatan Imigresen dan dua warga asing, ditahan di bawah ISA kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia. - Bernama

Pegawai imigresen sekongkol ketua sindiket berbahaya


14/10/2010 7:15pm

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Tujuh pegawai imigresen termasuk seorang berpangkat Timbalan Penolong Pengarah yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana bersekongkol dengan ketua-ketua sindiket yang sangat berbahaya serta boleh memudaratkan keselamatan negara, kata Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, penglibatan mereka bukan hanya melibakatkan penyeludupan manusia melalui pintu masuk utama tetapi juga terdedah kepada pelbagai jenayah serius lain seperti aktiviti pengganas, penyeludupan senjata api, dadah dan penyuluhan (pengintipan).
"Mereka telah dipantau lama oleh polis, dan penglibatan mereka dengan ketua-ketua sindiket ini sangat berbahaya dan serius.
"Saya memandang berat kes-kes penyeludupan ini kerana melibatkan soal keselamatan di pintu masuk negara sekali gus menjejaskan nama baik negara dan turut menimbulkan ancaman kepada keselamatan di rantau ini," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan tujuh pegawai imigresen itu dan dua warga asing mengikut ISA dalam operasi besar-besaran selama tiga hari bermula Ahad lepas. - Bernama

Pelombong bersedia umpama angkasawan



SAN JOSE - Kesemua 33 pelombong yang diberi diet khas oleh pakar pemakanan dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) sejak 22 Ogos lalu akan terus merasai pengalaman seperti angkasawan sehingga berjaya dibawa keluar. 

Sebelum memasuki kapsul :Phoenix: berdiameter 60 sentimeter, pelombong terbabit diberi minuman khas yang digunakan angkasawan untuk mengelak daripada rasa pening dan muntah. 

Perkara ini amat perlu kerana kapsul itu mungkin berpusing 10-12 kali sewaktu ditarik keluar melalui lengkuk 622 meter menuju ke permukaan tanah. 

Pelombong itu juga memakai topeng oksigen sebagai persediaan jika perlu sementara kamera khas digunakan oleh memantau keadaan individu itu sepanjang perjalanan. 

Jaket tebal yang dipakai pula penting kerana pelombong berkenaan akan mengalami perubahan perubahan suhu yang amat ketara. 

Pelombong terbabit perlu segera diterbangkan ke hospital di Copiapo untuk rawatan lanjut.

Lelaki ditahan


HULU SELANGOR: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit kes pembunuhan seorang warga emas di Kampung Keliang, Kalumpang, di sini, Isnin lalu, ditahan di Ulu Bernam, malam kelmarin.
Suspek seorang warga tempatan berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam di rumahnya.Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah itu membabitkan kes dadah dikenal pasti seorang daripada suspek kes pembunuhan itu.
“Suspek kini direman hingga 19 Oktober ini dan kami percaya dia dapat membantu menyelesaikan kes pembunuhan bekas tentera terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan mangsa, Saad Johari Yamin, 73, seorang bekas tentera mati ditembak di rumahnya, di Kampung Keliang, Kalumpang, dekat sini.
Kejadian berlaku pada jam 11.58 malam apabila mangsa cuba menjerit meminta pertolongan selepas rumahnya dimasuki penjenayah ketika dia dan isteri, Enson Rashid, 65, tidur.

Pelajar dilaporkan hilang ketika pulang dari sekolah

IPOH: Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dilaporkan hilang ketika pulang ke rumahnya di Taman Banjar Jaya, Teluk Intan, 100 kilometer dari sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, Somaswaran a/l Sooria dilaporkan hilang pada jam 2 petang semalam oleh bapanya ketika dia dalam perjalanan dari sekolah ke rumah.
Somaswaran, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist di Teluk Intan, sebelum itu telah bertemu ayahnya di tempat kerja kemudian pulang sendirian ke rumah.

Kehilangan pelajar itu disedari oleh bapanya ketika pulang ke rumah pada waktu petang.

Goh meminta sesiapa yang melihat pelajar itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Che Intan Subri di nombor telefon 05-6221222 atau telefon bimbit 013-9329614 untuk membantu siasatan.-Bernama

Lepasan universiti didakwa edar kanabis

KUALA TERENGGANU: Lulusan ijazah pemasaran sebuah universiti tempatan, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan mengedar dadah kanabis, berdepan hukuman hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mohamad Abdul Rahman, 28, yang berasal dari Kampung Bukit Parit, Marang didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,400 gram, satu kesalahan mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.
Tertuduh, yang bekerja sebagai peniaga kain sutera, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10 pagi, 23 Oktober tahun lalu di sebuah rumah di Lot 420, Kampung Tok Jamal, Wakaf Mempelam. Tertuduh hanya tunduk dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof. Tiada pengakuan direkodkan.

Nor Azizah menetapkan 6 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohamad Ramlan Taib.

Media sebelum ini melaporkan polis yang membuat serbuan ke rumah tertuduh pada 3 Oktober lalu menemui dadah bernilai hampir RM100,000 disimpan di dalam bilik. Hasil siasatan mendapati tertuduh positif dadah jenis sama.-Bernama

Dua belas rumah rosak akibat ribut

LANGKAWI: Sebanyak 12 rumah dari tiga kampung di Langkawi mengalami kerosakan dalam kejadian ribut di sini malam tadi.
Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah, Datuk Nawawi Ahmad berkata, daripada jumlah itu, tujuh di Kampung Sungai Menghulu, tiga dari Kampung Belak Kedawang, manakala dua di Kampung Perana Ulu Melaka.
"Kita akan melantik kontraktor secepat mungkin untuk membaiki rumah yang rosak," katanya pada sidang media selepas melawat mangsa ribut di Kampung Sungai Menghulu di sini hari ini.

Katanya, Jabatan Pembangunan Negeri Kedah dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan membiayai kerja-kerja pembaikan itu.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Langkawi sedang membuat bancian untuk menyalur bantuan.

Seorang pemilik rumah Yusri Yusuf, 38, dari Kampung Sungai Menghulu berkata beliau berada dalam rumah ketika kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 malam.

"Saya azan untuk meredakan angin kuat sebelum bumbung rumah saya diterbangkan," katanya.

Beliau berkata tiada kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan.-Bernama

Peguam, tiga pekerja didakwa

PEGUAM, N Pathmababhan, didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datuk,Banting, pagi ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain.Foto:  Sairien Nafis (13/10/10).



BANTING: Teka teki berhubung suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain berakhir apabila seorang peguam, N Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang dihadapkan ke muka pengadilan di Mahkamah Majistret Teluk Datok, di sini, pagi semalam.
Pathmanabhan, 41, didakwa bersama-sama T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20 dan R Kathavarayan, 30, membunuh Sosilawati, 47.
Selain itu, keempat-empat mereka didakwa membunuh pemandu wanita itu, Kamaruddin Shansudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini, pada jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pathamanabhan tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi dengan menaiki kereta Waja manakala tertuduh lain di bawa menaiki van dengan dikawal polis.

Ketika pertuduhan dibacakan, keempat-empat mereka yang berdiri di dalam kandang tertuduh kelihatan tenang.

Pertuduhan terhadap Pathmanabhan dibacakan dalam bahasa Melayu manakala pertuduhan terhadap tiga yang lain dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Hurman Hussain Mereka menangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memohon kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh sebutan semula bagi mengemukakan dokumen serta memerlukan masa kerana masih menunggu laporan kimia.

Selain Ishak, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin dan Idham Abdul Ghani.

Mahkamah menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula.

Mahkamah AS sokong askar homoseksual


CALIFORNIA - Mahkamah Amerika Syarikat (AS) mengarahkan tentera negara itu berhenti menggunakan polisi 'don’t ask, don’t tell' (jangan tanya, jangan beritahu), sekali gus menamatkan larangan ke atas askar yang mengamalkan hubungan homoseksual secara terbuka. 

Hakim mahkamah persekutuan, Virginia Phillips mengeluarkan perintah injuksi di seluruh dunia dan mengarahkan tentera AS 'menggantung serta merta sebarang siasatan atau pemecatan' yang dilakukan berdasarkan polisi itu, kelmarin. 

Perintah itu dikeluarkan selepas kumpulan hak asasi homoseksual, Log Cabin Republicans memenangi saman terhadap angkatan tentera. 

Jurucakap Pentagon berkata, Jabatan Pertahanan AS sedang meneliti keputusan mahkamah itu sebelum mengambil tindakan susulan. 

Lebih 12,500 askar dibuang daripada perkhidmatan ketenteraan sejak polisi 'don’t ask, don’t tell' diperkenalkan, 17 tahun lalu. 

Selain menghalang pengamal homoseksual secara terbuka daripada berkhidmat sebagai tentera, polisi itu juga menghalang pihak tentera daripada bertanya mengenai orientasi seksual anggota mereka.

Si ‘pelesit’ itu mesti dinyahkan


Oleh - Abd Jalil Ali

Kemalangan ngeri pada waktu senja di KM 223 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat itu melibatkan dua bas, dua kereta dan satu van. Sebuah bas ekspres dari arah Melaka yang dikatakan hilang kawalan telah merempuh pembahagi jalan, lalu masuk ke lorong bertentangan, dan bertembung dengan kenderaan-kenderaan lain. 

Akibatnya 12 maut, berpuluh lagi cedera. Selain mayat bergelimpangan di atas jalan raya, kelihatan juga kereta yang remuk sama sekali, badan bas menghempap kereta, dan darah yang masih merah bertompok-tompok di sana-sini. 

Fakta paling menyayat ialah 12 mangsa tidak berdosa, termasuk wanita, yang terkorban secara tiba-tiba. Hasrat dan hajat mereka tidak tertunai. Tentu sekali ini menjadi tangisan kaum keluarga dan sanak-saudara. Orang yang ditunggu kepulangannya dengan penuh harapan, tiba-tiba maut dalam keadaan mengerikan. 

Dan, fakta yang paling menyakitkan hati semua orang ialah pihak berkuasa masih amat lembap bertindak untuk perkara-perkara seperti ini. Sebenarnya apa yang terjadi pada tarikh 10/10/10 (sesetengah orang terlalu percaya pada tuah atau sial angka-angka tertentu!), bukan luar biasa sangat. 

Cerita-cerita darah dan air mata di lebuh raya bukan lagi luar biasa. Sebelum ini sudah beratus kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres yang dipandu tidak mengikut peraturan keselamatan. Sudah beratus – mungkin beribu – nyawa pengguna jalan raya melayang akibat pemandu bas ekspres yang cuai. 

Mereka yang biasa memandu jauh menggunakan lebuh raya pasti akan terserempak dengan bas-bas ekspres – juga lori-lori besar! – yang menekan minyak tanpa menghiraukan had laju. Betapa kenderaan-kenderaan besar ini yang telah ditetapkan had laju 90kmj, telah memecut lebih dari yang dibenarkan. 

Mereka menekan hon untuk meminta laluan dari kenderaan yang bergerak mengikut undang-undang. Mentang-mentang mereka besar, mereka tidak menghiraukan kenderaan kecil dan memecut bagaikan kereta api peluru @ ‘bullet train’ di Jepun. Mereka memotong ikut suka, seolah-olah lebuh raya hanya milik mereka. 

Selalu saya berasa hairan apakah kelajuan bas-bas ekspres itu tidak boleh dikesan oleh kamera-kamera trafik yang dipasang sepanjang lebuh raya? Apakah kamera trafik dan saman ekor hanya untuk pemandu kerdil seperti saya? Atau, apakah bas-bas ekspres kita dilengkapkan dengan alat yang lebih canggih untuk mengesan kamera trafik? 

Menjadi kebiasaan setiap kali ada tragedi besar lebuh raya, badan penyiasat khas akan ditubuhkan. Kemudian terbongkarlah macam-macam kalut-malut dalam industri pengangkutan awam, khasnya bas ekspres kita. Antara yang telah dibongkar sebelum ini ialah perihal sebuah syarikat bas ekspres yang telah beratus kali menerima kompaun, tetapi tidak dilangsaikan. 

Ada syarikat bas ekspres yang dikesan melakukan beratus kesalahan trafik, saman telah dikeluarkan tetapi pihak syarikat tidak mempedulikannya. Ada syarikat ekspres yang menggunakan pemandu yang telah disahkan sebagai penagih. Ada pemandu bas ekspres yang telah disenaraihitamkan tetapi masih memandu bas. Ada pemandu bas ekspres yang mengantuk sebab memandu berterusan lebih 16 jam. Malah, ada sekian ramai pemandu bas ekspres yang mengaku telah menjadi ‘pelesit’ jalan raya. 

Persoalannya: apakah yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa, khasnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, untuk menghukum pesalah dan pelesit jalanan ini? Apakah syarikat ekspres yang menerima beratus kompaun dan saman itu sudah ditarik permitnya? Atau, apakah setelah bayaran kompaun dibuat, syarikat itu dikira telah bersih sehingga tidak ada sebarang tindakan susulan dilakukan? 

Sudahkan pihak berkuasa mengadakan pemeriksaan dan ujian menyeluruh ke atas pemandu bas ekspres untuk memastikan penagih dan orang gila tidak menjadi pemandu bas ekspres kita? Tindakan tegas – termasuk menarik permit, menggantung lesen – hendaklah dikenakan ke atas mana-mana syarikat ekspres yang melakukan kesalahan dan kecuaian. Mereka sebenarnya pembunuh secara tidak langsung. Mana boleh orang-orang ini dilepaskan begitu sahaja? 

Sekiranya tindakan tegas tidak dilakukan orang ramai akan membuat berbagai andaian. Salah satu persepsi popular sekarang ialah sekiranya syarikat ekspres tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun berulang kali melakukan kesalahan, pasti ada ‘orang besar’ atau orang politik di belakang syarikat ekspres tersebut. Persepsi ini tidak semestinya betul, tetapi ia perlu diperbetulkan. Tidak kira orang biasa, orang kecil, orang besar, orang politik, kalau buat salah mereka patut dihukum.

Enam maut kereta rempuh pokok dan terbakar di Kampar

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan 5 daripada 6  mangsa yang rentung dalam kemalangan maut apabila kenderaan mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok sebelum terbakar di Kilometer 30.1 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Kampung Pasir, Kampar, Perak, jam 1.50 pagi ini. (14/10/10)

KAMPAR - Enam orang, iaitu empat lelaki dan dua perempuan, terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok dan terbakar di tepi jalan di Km 30.1 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu ialah pemandu kereta Lim Kar Wai, 20, Yap Heng Loong, 21, Soo Poi Wan, 18 (wanita), Wong Chee Keong, 23, dan Tang Wai Leong, 18.

Seorang lagi mangsa wanita yang masih belum dikenal pasti identitinya, meninggal dunia di Hospital Kampar pada pukul 4.50 pagi, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, lima mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan mengalami kebakaran 80 peratus di badan.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Abdul Aziz berkata, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Lim dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampar dikatakan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebatang pokok di kanan jalan dan terbakar.

Akibat kemalangan itu, kereta jenis Honda City tersebut musnah terbakar dan pasukan Bomba dan Penyelamat dari sini dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran dan mengeluarkan kesemua mangsa.

Lebih 5,000 pokok getah di Felda Chuping tumbang dan rosak akibat dilanda ribut


KANGAR - Lebih 5,000 pokok getah di Felda Chuping tumbang serta rosak akibat ribut yang melanda kawasan itu semalam. 

Pengurus Felda Chuping, Abdullah Pirus Ishak berkata, pokok-pokok getah berusia antara tiga dan empat tahun itu ditanam di kawasan seluas 30 hektar dan kerugian dianggarkan sebanyak RM60,000.

Ketika ditemui di Felda itu hari ini, beliau berkata, pokok-pokok getah itu bakal mengeluarkan hasil antara dua hingga tiga tahun lagi.

Dalam kejadian bermula pukul 1 tengah hari itu, tujuh buah rumah dilaporkan mengalami kerosakan terutama pada bahagian bumbung iaitu tiga di kawasan Chuping, tiga di kawasan Beseri dan sebuah di Bintong.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Perlis Mansor Jusoh turut melawat lokasi kejadian manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang membuat bancian kerosakan dan Baitulmal Perlis turut turun padang bagi membantu mangsa.

Sementara itu, seorang mangsa, Rasidah Khamis, 42, dari Kampung Semadong, Beseri dekat sini berkata semasa kejadian, beliau sedang menyediakan makanan tengah hari. 

Katanya angin kencang serta hujan tiba-tiba berlaku menyebabkan seluruh bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam tempoh 15 minit.

Rasidah bersyukur kerana sempat menyelamatkan cucu perempuannya berusia tujuh bulan yang sedang bermain di ruang tetamu sebelum alang rumah terjatuh di tempat berkenaan.

Semasa kejadian, suaminya, Ghazali Yatim, 42, sedang mandi dan mereka kemudiannya berlindung di bawah rumah bagi menyelamatkan diri.