Search This Blog

Wednesday, October 13, 2010

7 rumah rosak dipukul ribut


KHAIRUL Azhar Maamor menunjukkan atap bumbung rumahnya yang pecah selepas dipukul ribut di Lorong Penaga 2, Taman Senawang Jaya, Senawang, semalam.


RASAH 12 Okt. - Penghuni tujuh buah rumah di Taman Senawang Jaya, Senawang dekat sini terkejut apabila sebahagian atap rumah mereka tercabut akibat dipukul ribut dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2 petang tadi.
Menurut penghuni terbabit, ketika kejadian cuaca cerah dan tidak hujan, sebaliknya pusaran angin kelihatan yang merosakkan sebahagian bumbung rumah di Lorong Penaga 2, dalam kawasan taman perumahan berkenaan.
Seorang penghuni, Abu Bakar Md. Top, 61, berkata, kejadian ribut tidak pernah berlaku di taman perumahan itu.
''Semasa kejadian hanya anak saya berada dalam rumah dan sedang tidur," katanya di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, dia pergi ke kedai berhampiran dan apabila balik ke rumah didapati bumbungnya termasuk siling tercabut dan pecah.
''Sebanyak 30 keping atap rumah perlu diganti," katanya.
Mohd. Nazeri Abu Bakar, 36, pula berkata, semasa kejadian itu berlaku dia berada di dalam lorinya.
''Saya rasa lori bergoyang dengan kuat dan melihat pusaran melangkaui deretan rumah di lorong ini. Saya nampak dengan jelas pusaran angin itu setinggi 15 meter dan berpusing pantas dengan menerbangkan sampah-sarap selain kepingan atap," katanya.
Sementara itu, Khairul Azhar Maamor, 24, memberitahu, ketika dia sibuk mengangkat kain, bumbung rumahnya terbang ditiup angin kencang.
''Kejadian berlaku begitu pantas namun saya sekeluarga tidak mengalami kecederaan,'' jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Senawang Jaya, Mokhtar Mohd. Rashid berkata, beliau telah berhubung dengan Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi bagi menguruskan bantuan segera kepada mangsa.
''Kerugian yang dialami mangsa terbabit akan dinilai sebelum rumah mereka dibaiki oleh kontraktor yang dilantik," katanya.
Pada Jumaat lalu, angin kencang beserta hujan lebat menerbangkan sebahagian bumbung rumah yang dihuni 51 keluarga di Taman Satria, Senawang.
Kejadian itu berlaku pada pukul 3.30 petang dan hampir sebahagian besar rumah di kawasan berkenaan rosak teruk di bahagian bumbung selain bekalan elektrik terputus.

Pegawai kilang lindungi 20 PATI ditahan


ALOR SETAR 12 Okt. - Seorang pegawai sumber manusia di sebuah kilang papan di Sungai Petani dekat sini ditahan kerana disyaki melindungi 20 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi Jabatan Imigresen negeri semalam.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditangkap bersama 20 lelaki warga Bangladesh dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 4.15 petang.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Hatta Kassim berkata, seramai 25 orang pegawai telah menyertai 'Ops Mahir' itu dan pihaknya telah memeriksa 96 orang pekerja warga asing berumur 20 hingga 40 tahun yang bekerja di kilang tersebut.
"Hasil pemeriksaan, seramai 20 pekerja warga Bangladesh ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menyalahgunakan permit pekerjaan.
"Pegawai sumber manusia tersebut yang merupakan warga tempatan ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi PATI," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya percaya PATI tersebut telah bekerja di kilang tersebut sejak enam bulan lalu.
"Pihak kami pernah menyerbu kilang yang sama pada tahun lalu dan menahan beberapa pekerja asing namun masih ada PATI yang bekerja di kilang ini," ujarnya.
Katanya lagi, kesemua PATI yang ditahan telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Belantik, Sik untuk tindakan lanjut.
Operasi itu berakhir kira-kira pukul 6 petang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini, katanya.

Identiti seorang mangsa kritikal dikenal pasti


MELAKA 12 Okt. - Identiti seorang lagi mangsa kemalangan melibatkan dua buah bas dan empat kenderaan di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara- Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat sini kelmarin dikenal pasti sebagai Sharifah Norasmirah Syed Sallehuddin, 19, berasal dari Kuala Terengganu.
Timbalan Pengarah Hospital Melaka, Dr. Rauf Jaafar berkata, mangsa yang merupakan penuntut Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu di Lembah Pantai, Kuala Lumpur kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.
"Mangsa kini berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa bergantung pada alat bantuan pernafasan.
"Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Sharifah adalah antara 34 penumpang bas Ekspres Delima yang terlibat dalam kemalangan itu dengan sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga buah kereta dan sebuah van sehingga mengorbankan 12 nyawa.
Rauf memberitahu, seorang lagi mangsa dan juga penumpang bas ekspres, Tan Giin Ling, 18, yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Melaka telah dipindahkan ke Pusat Perubatan Mahkota (MMC) pada pukul 1 petang ini.
"Seorang lagi mangsa, Noor Hafizah Abd. Razak, 21, yang sebelum ini menerima rawatan pesakit luar Hospital Melaka juga telah dibenarkan pulang pada pukul 1.30 petang ini," katanya.
Turut stabil, katanya, pemandu bas JKM, Umar Yusop, 31, yang cedera di muka, patah tangan kanan dan tulang rusuk.

Anak tunggal kebas duit KWSP

KUALA LUMPUR: Hancur luluh hati seorang ibu tunggal apabila mendapati wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah ratusan ribu ringgit yang baru diperoleh apabila bersara selepas puluhan tahun bekerja lesap dari akaun banknya.
Lebih menyedihkan apabila pesara kilang elektronik berusia lewat 50-an itu mendapat tahu orang yang melesapkan wang RM117,000 itu ialah anak lelaki tunggal kesayangannya selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah bank, di sini.

Mangsa yang hanya menyedari kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya hilang baru-baru ini, membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan Balai Polis Jinjang, dekat sini.

Menurut sumber, sebaik melihat wajah anak lelaki dan menantunya bergembira mengeluarkan wang menggunakan kad ATM miliknya, wanita terbabit menangis teresak-esak, menggeletar seluruh tubuhnya dan hampir pengsan.

“Wanita itu beristighfar panjang dan menjadi tidak keruan apabila rakaman terbabit menunjukkan anak dan menantunya berulang kali mengeluarkan wang simpanannya menerusi ATM daripada RM117,000 hingga tinggal RM15.44 sen,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa sedih dan kecewa dengan perbuatan anak serta menantunya dan hasratnya untuk membeli rumah menggunakan wang KWSP itu tidak kesampaian.

20 keluarga Ahmadiah dipindah




2010/10/13

JAKARTA: A regional leader in West announced plans to move 20 families Ahmadiah to a remote island, the action is considered by many to be oppressive and inhuman. 

"We're trying to protect members Ahmadiah," said Chairman of the West Lombok District, Zaini Arony yesterday.Zaini said he had discussed the matter with religious groups and communities.He added that the matter has been agreed Ahmadiah members and they will be transferred to an island in a small area Sekotong. 

He claimed that local governments are concerned over the incident in February 2006 when thousands of people to burn houses belonging Ahmadiah members in the area. - Agencies 

Lima terlepas hukuman mati



Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2010/10/13

PETUGAS media  dihalang mengambil gambar lima tertuduh di Mahkamah Tinggi  Ipoh, semalam.
PETUGAS media dihalang mengambil gambar lima tertuduh di Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam.
Tuduhan membunuh dipinda kepada sebabkan kematian 

IPOH: Lima pemuda termasuk dua anak bekas pegawai tinggi kerajaan bergelar Datuk terlepas hukuman mati, selepas Mahkamah Tinggi semalam membenarkan pindaan tuduhan daripada membunuh kepada menyebabkan kematian seorang remaja lelaki, tahun lalu.Hakim Chong Siew Khim memerintahkan Azlan Effandy Abd Samat, 22, dihukum penjara 10 tahun dan masing-masing penjara empat tahun terhadap Raslan Rashid, 22; Mohd Johari Abu Samah, 26, serta Mohd Hamdan Zainal, 22, berkuat kuasa tarikh tangkap pada 15 Oktober tahun lalu.Mahkamah menetapkan 29 Oktober ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas adik Azlan Affandy yang juga pesalah juvana (kini berusia 19 tahun) bagi membolehkan mahkamah mendapatkan laporan akhlak terlebih dulu. Tertuduh kini ditempatkan di Pusat Pemulihan Akhlak Sungai Petani. 

Semua tertuduh pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan, tetapi mahkamah meminda kepada Seksyen 304 (a) kanun sama dan mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan baru yang dibacakan jurubahasa mahkamah. 

Mereka dituduh menyebabkan kematian Andrew Chow Kin Mun, 17, di Simpang Tiga Lebuh Meru Indah, Gerbang Meru Indah di sini, jam 12.30 pagi pada 14 Oktober tahun lalu. 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azizah Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Khairil Azwa dan Datuk Hazman Ahmad. 
Sementara itu, pekarangan Mahkamah Tinggi Ipoh gempar apabila lebih 50 rakan tertuduh menghalang jurugambar media merakamkan wajah semua tertuduh ketika keluar daripada mahkamah. 

Jururawat pergi kursus ditemui mati dalam parit





2010/10/13

PASUKAN forensik polis di lokasi mayat Annie (gambar kecil) ditemui di  Taman Kingfisher, Jalan Sulaman, dekat Kota Kinabalu,  semalam.
PASUKAN forensik polis di lokasi mayat Annie (gambar kecil) ditemui di Taman Kingfisher, Jalan Sulaman, dekat Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU: Kehilangan seorang jururawat selepas keluar dari rumah abangnya di Penampang untuk menghadiri kursus amali di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di sini, Sabtu lalu, terjawab apabila mayatnya ditemui dalam parit di Taman Kingfisher, Jalan Sulaman dekat sini, pagi semalam.

Mayat Annie John, 39, ditemui beberapa kanak-kanak yang mencari sayur di sekitar kawasan itu pada jam 11 pagi sebelum menghubungi polis.Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Rowell Marong, berkata mayat mangsa ditemui dalam keadaan telentang tanpa kain atau seluar, manakala bahagian atas tubuhnya lengkap berpakaian.“Wajah mangsa dalam keadaan tidak sempurna. Bagaimanapun, mangsa dicam oleh ahli keluarganya berdasarkan gelang, rantai dan cincin dipakainya,” katanya di sini, semalam.

Mangsa yang bertugas di Hospital Kudat dikatakan ke rumah abangnya di Kampung Mahandoi, Penampang untuk mengikuti kursus berkenaan selama dua minggu. 

Annie yang belum berumah tangga, dikatakan keluar dari rumah abangnya kira-kira jam 3 petang, tetapi tidak pulang ke rumah, menyebabkan anggota keluarga keluar mencarinya. 

Warga Malaysia buka rumah pelacuran




2010/10/13

LONDON: Seorang warga Malaysia yang pernah muncul dalam program masakan di televisyen Britain, didakwa menggunakan kediamannya yang juga sebuah hotel murah sebagai rumah pelacuran, lapor akhbar di sini, semalam. 

Pihak berkuasa Blackpool melakukan serbuan dan mendapati beberapa pelacur menggunakan rumah Perkash Walia, 44, sebagai tempat melakukan aktiviti sumbang itu, lapor The Sun.Serbuan itu dilakukan beberapa bulan selepas Perkash yang juga seorang jururawat dan dikenali dengan panggilan ‘Cass’ bersaing untuk menang £1,000 (RM5,200) dalam program memilih hidangan terbaik dalam Come Dine With Me di Channel 4.Bagaimanapun, Perkash mendapat mata terendah dalam program itu selepas menyediakan hidangan kari bagi peserta lain yang tidak sedar bahawa kediaman jururawat itu di Blackpool digunakan untuk aktiviti tidak bermoral. 

Pegawai jabatan penarafan perniagaan yang menerima maklumat jiran wanita itu kemudian membuat serbuan dan mendapati seorang pendatang tanpa izin juga menginap di situ. – Agensi 

Kapal tangki Greece bertembung kontena




2010/10/13

KEADAAN kapal Mindoro yang terbelah selepas pelanggaran dengan kapal kontena menyebabkan bahan api jet tumpah ke laut  di perairan Belanda.
KEADAAN kapal Mindoro yang terbelah selepas pelanggaran dengan kapal kontena menyebabkan bahan api jet tumpah ke laut di perairan Belanda.
THE HAGUE: Sebuah kapal tangki Greece bertembung dengan sebuah kapal kontena 30 kilometer di luar pantai Belanda semalam dan menyebabkan bahan api jet tertumpah di Laut Utara, kata jurucakap Pengawal Pantai. 

Krew kapal Mindoro, b mengepam baki minyak ke dalam bahagian tidak rosak kapal itu, bagi menghentikan kebocoran, kata jurucakap Pengawal Pantai Peter van Oorschot.“Kami mengesan sedikit lapisan tumpahan minyak dalam air, namun ia minimum dan tersejat dengan pantas,” katanya menambah tidak jelas berapa banyak bahan api jet tertumpah ke dalam laut. Angin di luar pantai meniup lapisan minyak jauh dari pantai.“Situasi itu terkawal,” beliau menambah. 

Van Oorschot berkata sebuah bot kawalan tumpahan minyak dalam perjalanan ke kapal tangki itu sebagai langkah berjaga-jaga. Sebuah bot tunda pengawal pantai turut menghala ke tempat kejadian. 

Tiada siapa cedera dalam mana-mana kapal, kata Van Oorschot. 

Mindoro melabuhkan sauh dan menunggu pakar menyiasat sama ada selamat untuknya kembali ke pelabuhan. Lubang sepanjang lima meter kelihatan pada badan kapal itu yang hampir dengan paras air. 
Kapal kontena yang terbabit dalam perlanggaran itu, Jork Ranger dari Cyprus, kembali ke pelabuhan namun tidak mengalami kerosakan teruk. – AP 

Polis jamin siasat nahas maut YB Batu Sapi




2010/10/13

KOTA KINABALU: Polis memberi jaminan menjalankan siasatan menyeluruh kemalangan jalan raya yang menyebabkan Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah terbunuh ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi di Jalan Coastal di sini, Sabtu lalu. 

Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan ahli perniagaan berusia 31 tahun yang memandu kereta mewah Mercedes Benz S320 yang dipercayai bergesel dengan motosikal ditunggang Chong.Kereta berkenaan juga sudah dihantar ke Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kimia untuk dianalisis.Ketika memberi jaminan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, Polis Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu juga sudah menyediakan lakaran tempat kejadian. 

“Saya akan memberi kenyataan lanjut selepas laporan Jabatan Kimia dan JKR diperoleh,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam. 

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat tidak membuat spekulasi kerana ia boleh mengganggu siasatan. 

Kelmarin, Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) dilaporkan akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk melakukan siasatan teliti kes berkenaan. 

Pesara tentera mati ditembak perompak




2010/10/13

KALUMPANG: Seorang pesara tentera terbunuh selepas ditembak dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Keliang dekat sini, malam kelmarin. 

Mangsa, Saad Johari Yamin, 73, mati ditembak dari jarak satu meter di ruang tamu rumahnya oleh seorang penjenayah selepas menjerit meminta bantuan jiran pada jam 11.50 malam.Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata suspek dikatakan mengumpil pintu belakang sebelum memasuki rumah mangsa. Beliau berkata, mangsa yang menyedari rumahnya dimasuki pergi memeriksa sebelum terserempak dengan seorang lelaki bersenjatakan pistol.
“Ketika mangsa menjerit meminta bantuan, lelaki terbabit terus melepaskan satu das tembakan pada dada kiri mangsa. 

“Isteri mangsa, Enson Rashid, 65, yang mendengar tembakan itu keluar dari biliknya untuk mendapatkan mangsa. 

“Bagaimanapun, mangsa rebah dan sudah mati di tempat kejadian,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam. 
Beliau berkata, siasatan awal mendapati penjenayah gagal melarikan barang berharga dan wang tunai dalam kejadian itu. 

Katanya, polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sehingga kini belum ada tangkapan dibuat. 

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, jam 12 malam kelmarin untuk dibedah siasat,” katanya. 

Dua maut tak sempat elak MPV


Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2010/10/13

Mangsa rakan sekampung disyaki menunggang laju 

KANGAR: Dua rakan sekampung maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Jejawi Permatang, dekat Tambun Tulang, di sini, tengah malam kelmarin.Dalam kejadian pada jam 12.20 tengah malam itu, ketiga-tiga remaja berketurunan Siam dari Kampung Padang Petani, dekat Jejawi, dikatakan menunggang laju di laluan berkenaan menghala ke Tambun Tulang.Difahamkan Sorod Som-yut, 16, meninggal dunia pada jam 4.15 pagi di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, kerana parah kepala dan badan, manakala rakannya, Phanongkorn Khuntipak, 21, mati tiga jam kemudian di hospital sama. 

Seorang lagi mangsa yang hanya dikenali sebagai Krissadi, 16, dilaporkan patah kaki selepas merempuh MPV jenis Honda Stream terbabit. 

Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awan negeri, Deputi Superintendan Ishak Mamat berkata, berdasarkan maklumat awal kejadian itu berlaku apabila Honda Stream dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dari arah Jejawi menghala Tambun Tulang membuat pusingan U secara tiba-tiba, menyebabkan ketiga-tiga mangsa gagal mengelak. 

“Semua mangsa yang menaiki tiga motosikal berasingan kemudian terus merempuh bahagian kanan Honda Stream terbabit sebelum masing-masing tercampak dan mengalami kecederaan. 
“Berikutan itu, dua daripada mangsa yang dilaporkan parah disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian ketika dirawat di HTF, manakala seorang lagi dilaporkan parah,” katanya. 

Ishak berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada pemandu MPV berkenaan sejurus dia membuat aduan selepas kejadian awal pagi semalam. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya. 

Difahamkan, mayat kedua-dua mangsa dituntut keluarga masing-masing pagi semalam sebelum dibawa pulang untuk pengebumian. 

Gadis trauma dibelasah 2 rakan


Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
2010/10/13

Calon SPM cedera dipukul di hadapan orang ramai dekat pejabat pos 

PETALING JAYA: Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Damansara di sini, yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan, trauma selepas dibelasah dua pelajar perempuan sekolah sama, disaksikan puluhan pelajar lain dan orang ramai di depan sebuah pejabat pos.Dalam kejadian jam 3 petang, Jumaat lalu, pelajar itu bukan saja cedera dipukul dua pelajar perempuan, masing-masing Tingkatan Lima dan Tiga, malah baju sukan dipakainya turut ditarik sehingga menampakkan baju dalam.Berikutan kejadian itu, Fatin Farihah Nordin, 17, yang luka tisu lembut pada bahagian kepala, telinga berdarah, bengkak dan luka di dahi serta kepala, mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh, pada hari sama. 

Mangsa yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh, sejurus selepas kejadian itu tidak ke sekolah sejak dua hari lalu kerana malu dan trauma selain bimbangkan keselamatan dirinya. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, yang dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. 

Beliau berkata, polis juga sudah mengambil keterangan dua pelajar yang terbabit dalam serangan itu. 
Sementara itu, Fatin Farihah berkata, sebelum kejadian dia dan dua rakannya ke pejabat pos selepas diberitahu yang dua pelajar perempuan terbabit termasuk seorang yang sedang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) mahu berjumpanya di situ untuk menyelesaikan perselisihan faham. 

Bagaimanapun, katanya, sebaik dua pelajar terbabit tiba, berlaku pertelingkahan antara mereka sebelum dua pelajar itu memaki dan memanggilnya bohsia serta menggelar ibunya pelacur. 

“Selepas itu, mereka pukul saya dan ketika bergelut untuk melepaskan diri, saya terjatuh dan mereka menarik baju saya hingga menampakkan baju dalam. 

“Saya malu kerana ramai pelajar lain termasuk pelajar lelaki dan orang ramai berada di situ dan mereka hanya melihat tanpa memberikan bantuan,” katanya. 

Akibat kejadian itu, Fatin Farihah berkata, dia tidak berani ke sekolah, malah tumpuan terhadap pelajaran menjelang SPM tidak lama juga terganggu. 

Beliau percaya kejadian itu berpunca akibat perselisihan faham dan rasa tidak puas hati dua pelajar berkenaan selepas ibunya membuat laporan polis selepas dibelasah sekumpulan pelajar di luar sekolah mereka, Mac lalu. 

Pegawai Jabatan Perhutanan diacu parang




SHAH ALAM – Seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Selangor mengalami detik mencemaskan apabila lehernya diacukan parang oleh dua lelaki warga asing dalam kejadian di kawasan hutan simpan, Pulau Tengah, berdekatan Pulau Ketam, Klang, di sini Khamis lalu. 

Mohd Noorizan Manan, 28, yang ketika itu bersama seorang pemandu bot swasta yang disewa untuk operasi itu sedang menunggu pegawai perhutanan lain untuk membawa keluar kayu bakau yang sudah disita dari salah sebuah anak sungai di kawasan tersebut. 

Mohd Noorizan berkata, tiba-tiba datang dua lelaki yang menaiki bot kecil ke arah mereka dan dengan pantas salah seorang daripada mereka terus menaiki bot dan meletakkan parang ke lehernya sebelum membawanya ke tengah laut. 

“Pada awalnya, saya ingatkan mereka pemancing tetapi apabila salah seorang daripadanya mengacukan parang ke leher saya menyebabkan pemandu bot yang bersama-sama saya terus memecut bot untuk keluar bagi mendapatkan bantuan. 

“Saya hanya menurut arahan dua lelaki, dipercayai pendatang asing sehingga mereka membawa saya berlegar di laut selama kira-kira 20 hingga 30 minit,” katanya, semalam. 

Menurutnya, Noorizan yang ketika ini sedang bertugas memantau kayu bakau di laut memberitahu, kedua-dua lelaki yang berusia lingkungan 40-an itu mengugut dan memarahinya berikutan operasi yang dijalankan Jabatan Perhutanan negeri baru-baru ini. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Mohd Noorizan dikatakan sedang menjalankan tugas untuk memunggah kayu bakau yang telah di sita Jabatan Perhutanan negeri. 

“Ketika sedang menunggu rakan sekerja yang lain, tiba-tiba datang dua lelaki warga asing yang tidak dikenali bersenjatakan parang panjang sebelum suspek mengarahkan mangsa mengikut arahan yang diberikan.